Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • GALERI: Toyota C-HR di M’sia – gambar sepenuhnya

    GALERI: Toyota C-HR di M’sia – gambar sepenuhnya

    Model SUV kompak Toyota C-HR mungkin menjadi antara model yang paling hangat dinantikan untuk tiba di Malaysia secara oleh peminat-peminat jenama itu, mahupun bagi mereka yang ingin tahu lebih banyak tentang penawarannya dan perbandingan dengan segmen yang sama.

    Memang bukan lagi rahsia, cuma UMW Toyota belum lagi memberikan apa-apa maklumat rasmi yang komprehensif tentang model berkenaan, tetapi telah beberapa kali mempamerkannya untuk tatapan umum. Kali pertama pada Mei lalu, dan bermula bulan ini, beberapa lokasi terpilih akan menjadi “pentas” terbaru dan terbuka bagi khalayak umum yang berminat untuk datang dan mendekati model berkenaan.

    Jika sebelum ini hanya bahagian luaran yang ditunjukkan, di dalam galeri terbaru ini kami sertakan pula koleksi gambar yang lebih menyeluruh, termasuk untuk ruang dalaman model berkenaan. Bagaimanapun, ia masih lagi unit yang sama seperti yang pernah dipertontonkan sebelum ini; unit dari pasaran dan spesifikasi Australia. Ia menggunakan enjin 1.2 liter turbo.

    GALERI: Toyota C-HR di M’sia – gambar sepenuhnya

    Bagaimanapun, senarai spesifikasi bagi model yang akan dipasarkan di Malaysia nanti hampir sama dengan unit contoh ini, cuma penggunaan enjin adalah dari enjin 1.8L. Dijangka, untuk pasaran tempatan, C-HR nanti akan dilengkapi dengan ciri keselamatan aktif lengkap termasuk , sistem masukan tanpa kunci serta hadir dengan tempat duduk kulit.

    Dari segi ciri-ciri keselamatan, unit yang dipamerkan ini turut lengkap dengan sistem seperti Pre-Collision Safety, Active Cruise Control, Lane Departure Alert, Autonomous Emergency Braking, Forward Collision Warning dan Automatic High Beam.

    Kelengkapan lain termasuk paparan maklumat 4.2 inci pada kluster instrumen, lampu utama halogen dengan DRL LED, sistem pendingin hawa dwi-zon, rim aloi 17 inci dan kerusi fabrik. Apapun, spesifikasi pada unit yang dipamerkan ini bukanlah cerminan kepada kelengkapan spesifikasi bagi versi yang akan dijual di sini nanti.

    Namun, semua ini hanyalah maklumat awal dan bukannya dari sumber rasmi daripada UMW Toyota. Sementara kita menunggu ketibaan model ini tiba untuk pasaran Malaysia, tinjau dahulu perincian yang terakam oleh lensa kamera kami ini.

     
     
  • GALERI: Toyota Vios Sports Edition – suspensi boleh laras, kit badan, pelekat jalur perlumbaan, RM85,300

    GALERI: Toyota Vios Sports Edition – suspensi boleh laras, kit badan, pelekat jalur perlumbaan, RM85,300

    Model Vios istimewa yang dihasilkan sempena perlumbaan ‘one make’ Toyota Gazoo Racing (TGR) Vios Challenge kini telah pun mula dipamerkan di bilik-bilik pameran Toyota. Model yang digelar Toyota Vios Sports Edition tersebut hanya ditawarkan dengan satu varian dan dijual pada harga atas jalan tidak termasuk insuran RM85,300.

    Seperti namanya, model ini dibina mengambil inspirasi daripada jentera-jentera lumba yang menyertai siri perlumbaan berkenaan. Diasaskan dari model Vios 1.5J, ia diberikan kit badan yang terdiri dari spoiler hadapan, skirt sisi, lips belakang dan juga spoiler belakang ‘tiang gol’ yang lebih besar dari versi standard.

    Ia juga menerima pelekat badan dengan jalur merah-hitam, sempena tema warna jentera-jentera perlumbaan sebenar Vios Challenge. Bagi melengkapkan rupa luarannya, rim 15-inci pelbagai jejari yang diambil dari varian 1.5G dipadankan tetapi diberikan kemasan berwarna hitam. Ia juga diberikan suspensi boleh laras tinggi-rendah, yang bukan sahaja menjadikan ia lebih cantik (dengan talaan asas 27 mm lebih rendah dari standard) malah turut membantu mendapatkan pengendalian lebih baik.

    Masuk ke bahagian kabin, model Sport Edition ini menerima tempat duduk lebih sporty dan juga aksesori-aksesori istimewa lain termasuk karpet kaki, tombol gear dan juga scuff plate bernyala. Lampu kaki pada dinding hadapan yang berwarna biru untuk Vios standard ditukar ke warna merah untuk versi istimewa ini.

    Walau bagaimanapun, Sport Edition tidak menerima sebarang peningkatan pada enjin dan ia masih dijana enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i empat-silinder yang mampu menghasilkan kuasa 107 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada takat 4,000 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT (versi perlumbaan sebenar menggunakan kotak gear lima-kelajuan manual).

    Ciri-ciri lain dari versi standard masih dikekal pada versi jelmaan perlumbaan ini, antaranya termasuk lampu hadapan reflektor halogen, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus belakang, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pemain CD/radio dengan Bluetooth, empat pembesar suara, dua beg udara dan kawalan kestabilan.

     
     
  • Hyundai Ioniq didatangkan dengan pilihan sistem AVN

    Hyundai Ioniq didatangkan dengan pilihan sistem AVN

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah memperkenalkan pilihan sistem navigasi audio visual (AVN) baru untuk Hyundai Ioniq bagi mereka yang mahukan lebih fungsi pada head unit mereka.

    Model yang dipasang dengan sistem AVN baru ini dikenali sebagai Ioniq Hybrid HEV Plus with AVN System, dan dijual pada harga RM116,488 atas jalan tidak termasuk insurans. Sebagai perbandingan, model Ioniq Hybrid HEV Plus dijual pada harga RM114,008 manakala Ioniq Hybrid HEV RM100,328.

    Melihat kepada spesifikasinya, sistem AVN baru ini datang dengan skrin sesentuh lapan inci – satu inci lebih besar berbanding unit yang digunakan pada Ioniq Hybrid HEV Plus – dan menggunakan sistem operasi Android 5.1.1. Antara aplikasi yang boleh digunakan pada sistem ini adalah seperti Spotify, Google Maps dan Waze.

    Hyundai Ioniq didatangkan dengan pilihan sistem AVN

    Fungsi lain adalah termasuk pilihan pemain kembali muzik (radio, bluetooth, USB, MP3), jam dan cuaca yang dikemas kini melalui WiFi dan My Hyundai App. Aplikasi terakhir tersebut membolehkan pemilik menempah slot servis atau menghubungi talian bantuan tepi jalan 24 jam apabila perlu. Pengguna juga boleh memasukkan kad SIM ke dalam sistem ini atau menyambungkannya kepada talian hotspot untuk data internet.

    Pemilik Hyundai Ioniq sekarang yang mahu menaik taraf kepada sistem AVN baru ini boleh memulangkan kembali head unit asal yang ada sekarang dan menambah beza harga di antara keduanya. Bagi pemilik Ioniq Hybrid HEV Plus, kosnya adalah RM2,283 manakala bagi pemilik Ioniq Hybrid HEV, ia adalah RM3,533. Harga ini termasuk GST, bersama jaminan tiga tahun atau 100,000 km (yang mana datang dahulu).

    Selain head unit, model Ioniq Hybrid HEV Plus with AVN System mempunyai spesifikasi sama seperti Ioniq Hybrid HEV Plus, bermaksud menggunakan enjin hibrid 141 PS dan 265 Nm tork yang sama. Bagi sistem keselamatan pula, ia mempunyai Vehicle Stability Management (VSM), pengesan titik buta, Autonomous Emergency Braking (AEB), Lane Keep Assist dan Adaptive Cruise Control (Smart Cruise Control).

    GALERI: Hyundai Ioniq HEV Plus

     
     
  • VIDEO: Nissan Leaf lebih aerodinamik, tambah cekap

    Nissan Leaf asal adalah sebuah kereta yang cukup menarik. Ia adalah peneraju kepada langkah pengenalan kenderaan elektrik, sebelum ia popular seperti sekarang. Walaupun begitu, kereta elektrik pertama yang dikeluarkan secara besar-besaran untuk pasaran ini mempunyai rekaan yang tidak begitu menarik, pelik dan membonjol.

    Perkara ini akan berubah apabila munculnya Nissan Leaf baru yang akan membuat penampilan rasmi 6 September ini. Selain teknologi yang dipertingkat, kereta elektrik ini akan mempunyai rekaan baru, yang akan membuatkannya kelihatan seperti Nissan March yang lebih besar.

    Dalam video teaser di atas, Nissan memberitahu bahawa Leaf baru akan mempunyai rekaan aerodinamik yang dipertingkat, seterusnya dapat menjadikan ia lebih cekap dan memberikan jarak pergerakan yang lebih jauh. Seperti yang diketahui, rekaan yang mempunyai kurang rintangan angin dan stabiliti yang bagus sememangnya adalah baik untuk apa sahaja kenderaan.

    VIDEO: Nissan Leaf lebih aerodinamik, tambah cekap

    Nissan Leaf baru mempunyai rekaan inspirasi daripada sayap kapal terbang dan ia duduk lebih rendah ke atas jalan berbanding sebelum ini. Nissan telah berjaya mencapai kosong daya angkatan untuk stabiliti yang lebih baik pada kelajuan tinggi. Ciri rekaan baru ini juga membantu stabiliti kenderaan apabila berhadapan dengan angin lintang kuat.

    Sebelum ini, beberapa video teaser lain pernah disiarkan oleh Nissan berkenaan Nissan Leaf baru dan antaranya menyatakan ia akan dilengkapi sistem pemanduan satu pedal, serta fungsi letak kenderaan sendiri.

     
     
  • Yamaha Y135LC dijual dalam grafik baharu untuk 2017

    Motosikal kapcai popular di Malaysia iaitu Yamaha Y135LC kini dijual dengan grafik baru untuk tahun 2017, dalam pilihan warna utama biru, merah, hitam dan kuning. Ia sudah boleh mula didapatkan di wakil pengedar motosikal Yamaha bermula hari ini, pada harga cadangan termasuk GST RM7,167.72.

    Yamaha Y135LC dikuasakan oleh enjin satu silinder 134 cc dan dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan tanpa klac tangan, mampu menghasilkan 11.98 hp pada 8,500 rpm dan 11.79 Nm tork pada 5,500 rpm. Enjin ini masih lagi menggunakan sistem penyampaian bahan api karburetor.

    Pada bahagian roda hadapan, terdapat rim 17 inci, tayar 70/90 dan brek cakera manakala di belakang terdapat rim 17 inci, tayar 80/90 dan brek jenis dram. Suspensi hadapan menggunakan fork teleskopik manakala belakang pula adalah jenis monoshock.

     
     
  • Kerajaan galak pemandu teksi daftar e-hailing untuk tingkatkan kualiti perkhidmatan – Nancy

    Kerajaan galak pemandu teksi daftar e-hailing untuk tingkatkan kualiti perkhidmatan – Nancy

    Kerajaan menggalakkan pemandu teksi supaya mendaftar aplikasi mudah alih telefon pintar atau e-hailing supaya dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan mereka.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri, buat setakat ini hanya 14,000 pemandu teksi yang telah mendaftar di bawah e-hailing.

    “Antara cabaran mengalakkan pemandu teksi menggunakan teknologi ‘e-hailing’ ialah faktor pemandu yang tidak celik IT kerana faktor usia dan menganggap pemandu teksi menggunakan platfrom berkenaan sebagai saingan, ” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini. Ia adalah bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) yang meminta penjelasan mengenai usaha kerajaan menggalakkan pemandu teksi menggunakan platform e-hailing dalam memberikan perkhidmatan mereka, laporan Bernama.

    Kerajaan galak pemandu teksi daftar e-hailing untuk tingkatkan kualiti perkhidmatan – Nancy

    Nancy berkata pemandu teksi seharusnya memanfaatkan penggunaan teknologi itu dalam mempertingkatkan kualiti perkhidmatan serta pendapatan, dan bukannya melihat ia sebagai saingan kepada kaedah operasi teksi konvensional.

    Malaysia mencatat sejarah sebagai negara pertama menjadikan perkhidmatan e-hailing seperti Grabcar dan Uber sebagai perkhidmatan pengangkutan awam yang sah di sisi undang-undang. Di mana rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 diluluskan di Dewan Rakyat minggu lalu.

    Sementara itu, Nancy berkata pihak kerajaan juga sentiasa melakukan pendekatan dengan pemandu teksi termasuk usaha menerangkan kelebihan teknologi e-hailing berkenaan. Malah kerajaan melaksanakan pelbagai program bagi menjamin kebajikan dan melancarkan Program Transformasi Industri Teksi (TITP) untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan teksi dan memastikan kebajikan pemandu teksi sentiasa terjamin.

    “Pemberian geran RM5,000 kepada penerima lesen teksi individu adalah antara usaha agar pemandu teksi ini boleh keluar daripada terikat dengan sistem pajak dengan syarikat teksi yang kita dapati kebanyakannya berat sebelah dan tidak menyebelahi pemandu teksi,” katanya.

     

    Comments are Disabled | Leave a comment?

     
  • Toyota bekerjasama dengan Universiti Chulalongkorn untuk sediakan khidmat perkongsian kenderaan

    Toyota bekerjasama dengan Universiti Chulalongkorn untuk sediakan khidmat perkongsian kenderaan

    Toyota Motor Thailand Co., Ltd. (TMT) bekerjasama dengan Universiti Chulalongkorn di Bangkok untuk menyediakan servis perkongsian kenderaan di dalam kampusnya dan ia dijangka mula beroperasi hujung tahun ini. Sistem perkongsian yang akan diguna dinamakan sebagai Ha:Mo dan ia sudah dilaksana di beberapa kawasan di Jepun seperti Tokyo, Okinawa dan Okayama.

    Servis ini akan dimulakan dengan menggunakan 10 unit kenderaan elektrik (EV) ultra-kompak “COMS” yang dikeluarkan oleh Toyota Auto Body Co., Ltd., dan kemudiannya akan ditambah dengan 20 unit lagi kenderaan pada pertengahan tahun hadapan. Tujuannya adalah untuk menyediakan pengangkutan akhir antara pengangkutan awam dan destinasi akhir orang ramai secara mesra alam.

    12 stesen dalam kampus akan dikhaskan untuk servis ini, dan ia akan menyambungkan pengguna kepada stesen bas atau tren yang terdekat. 10 tempat meletak kenderaan EV ini akan mempunyai tempat mengecas. Pengguna sasaran untuk servis ini sudah tentu adalah pelajar serta tenaga pengajar universiti tersebut, dan setelah mendaftar, mereka perlu membayar setiap kali menggunakan kenderaan EV tersebut.

     
     
  • Boon Siew Honda perkenal RS150R 2017 – tiga pilihan warna baru lebih sporty, harga bermula dari RM8,478

    Boon Siew Honda perkenal RS150R 2017 – tiga pilihan warna baru lebih sporty, harga bermula dari RM8,478

    Selepas setahun berada dalam pasaran tempatan, Boon Siew Honda kini memperkenalkan model supercub Honda RS150R 2017 yang ditampilkan dengan pilihan warna baru yang lebih sporty.

    Honda RS150R 2017 ini ditawarkan dalam tiga warna baru; Edisi Trico, Candy Scintillate Red dan Pearl Nightfall Blue. Warna ekskulsif sedia ada, Repsol masih dikekalkan. Model ini akan berada di bilik pameran pengedar Honda mulai 8 Ogos 2017. Harga yang disyorkan bermula dari RM8,478.94 bagi warna merah dan biru, hingga RM8,796.94 (Edisi Trico dan Repsol). Harga yang dinyatakan termasuk GST, tetapi tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

    Model ini dilengkapi enjin DOHC 150cc satu silinder dengan sistem penyejukan cecair dan dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan. Ini menawarkan janaan kuasa 15.4 hp pada 9,000 rpm, manakala daya tork pula 13.5Nm pada 6,500 rpm.

    Boon Siew Honda perkenal RS150R 2017 – tiga pilihan warna baru lebih sporty, harga bermula dari RM8,478

    Berat RS150R adalah 123 kg. Ia dilengkapi tangki minyak dengan kapasiti 4.5 liter. Ia juga menggunakan brek cakera di bahagian hadapan dan belakang. Bentuk badan agresif, wajah depan dan rekaan lampu yang tajam, rangka badan yang berlapis menjadi keunikan RS150R.

    Dengan purata lebih dari 2,000 unit terjual setiap bulan, ia masih lagi menerima permintaan tinggi dari pasaran. Boon Siew Honda telah meningkatkan kapasiti pengeluaran model ini untuk memastikan semua pembeli mampu mendapatkannya secepat mungkin. Model ini juga didatangkan dengan jaminan kilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana dahulu).

     
     
  • Isuzu MU-X facelift kini dilancarkan di M’sia – bermula RM177k, standard 6-beg udara, ciri lain dipertingkat

    Isuzu MU-X facelift kini dilancarkan di M’sia – bermula RM177k, standard 6-beg udara, ciri lain dipertingkat

    Tidak sampai tiga tahun dalam pasaran, SUV ladder frame tujuh-tempat duduk Isuzu MU-X kini telah pun diperkenalkan dalam versi facelift. Setelah mendarat di pasaran Thailand Mac lalu, hari ini model facelift 2017 dilancarkan secara rasmi di pasaran Malaysia.

    Isuzu MU-X dipasarkan dalam dua varian iaitu 2.5L 4×2 automatik dijual pada harga RM176,640.40 dan juga 2.5L 4×4 automatik dijual pada harga RM183,000.40. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran tetapi termasuk GST. Setiap pembelian MU-X baharu juga diberikan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan.

    Versi kemaskini ini menerima rupa luaran lebih segar menampilkan bampar hadapan dengan rekaan baharu pada kemasan perumah lampu kabus (kini diberikan lebih banyak elemen krom) serta gril dengan rekabentuk baharu. MU-X baharu ini juga kini diberikan lampu hadapan LED (projektor halogen pada model sebelum ini) yang digandingkan bersama lampu nyalaan siang LED.

    Ia juga diberikan bampar belakang yang dirombak semula. Bentuk perumah lampu belakang masih kekal sama, tetapi grafik bahagian dalam diubah bagi diselarikan dengan rekaan pada bahagian hadapan. Model ini turut diberikan spoiler belakang baharu yang lebih menyerlah dan juga rim aloi 18-inci dengan rekaan baharu.

    Isuzu MU-X facelift kini dilancarkan di M’sia – bermula RM177k, standard 6-beg udara, ciri lain dipertingkat

    Satu ciri untuk membezakan varian 4×2 dan 4×4 adalah pada antena di mana model varian asas diberikan antena biasa, manakala varian tertinggi diberikan antenna sirip yu.

    Pada bahagian dalam, rekaan keseluruhan masih lagi kelihatan seiras dengan model sebelum ini tetapi diberikan berberapa kemasan lebih premium termasuk penggunaan plastik sentuhan-lembut dan juga trim kayu palsu pada berberapa bahagian kabin. Papan pemuka juga masih lagi menggunakan susunan yang sama seperti sebelum ini dan juga seiras pada unit yang dipadankan pada trak pikap Isuzu D-Max.

    Untuk membezakan antara kedua-dua varian, model 4×2 diberikan skrin sesentuh tujuh-inci manakala model 4×4 diberikan skrin lapan-inci. Kedua-dua unit pemain utama tersebut menyokong fungsi MP3, Bluetooth dan Ipod serta diberikan input AUX dan juga USB, dihubungkan kepada lapan-pembesar suara. Varian tertinggi turut diberikan monitor DVD yang diletakkan pada bahagian bumbung.

    Ciri lain yang diberikan secara standard untuk kedua-dua model termasuk paparan informasi e-LUMAX, ‘Passive Entry and Start System’ (PESS – sebelum ini hanya ditawarkan pada varian tertinggi) , tempat duduk (berwarna Beige, elemen rekaan baharu, larasan berkuasa enam-hala untuk pemandu) dan roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit serta sistem pendingin hawa automatik bersama motor penghembus dengan kawalan berasingan untuk tempat duduk barisan kedua dan ketiga.

    Tiada perubahan mekanikal diberikan pada model baharu ini di mana ia masih dijana enjin turbo diesel 2.5 liter 4JK1-TCX VGS berkuasa 136 PS dan tork maksima 320 Nm bermula 1,800 hingga 2,800 rpm, dipadankan bersama kotak gear lima-kelajuan automatik dengan penukar gear manual. Isuzu Malaysia masih lagi belum menawarkan enjin RZ4E-TC 1.9 litre Ddi Blue Power turbodiesel, yang ditawarkan pada D-Max dan MU-X pasaran Thailand.

    Untuk keselamatan, kesemua varian MU-X diberikan sistem Brek Anti Kunci (ABS), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA) dan Bantuan Mendaki (HSA) dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix. Berbanding model terdahulu yang hanya menerima dua beg-udara, versi baharu ini diberikan enam unit beg-udara.

    Untuk anda yang ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan spesifikasi dan pembelian Isuzu MU-X Type-S ini, anda boleh layari laman Carbase.my.

     
     
  • APWorks Light Rider – motosikal elektrik 35 kg keluaran anak syarikat Airbus, dicetak secara 3D

    APWorks Light Rider –  motosikal elektrik 35 kg keluaran anak syarikat Airbus, dicetak secara 3D

    Sementara ia mungkin kelihatan seperti sebuah basikal, Light Rider tidak mempunyai sebarang pedal pengayuh dan dipanggil oleh pengeluarnya, iaitu sebuah anak syarikat Airbus bernama APWorks sebagai sebuah motosikal. Ia juga didakwa sebagai prototaip motosikal elektrik pertama di dunia yang menggunakan kerangka cetakan 3D.

    Untuk kerangka itu sahaja, ia mempunyai berat cuma 5.9 kg, dihasilkan daripada aloi tahan karat yang dipanggil sebagai Scalmalloy dan dikatakan mempunyai kekuatan seperti titanium. Cara cetakan 3D pula memberi kebebasan kepada pengeluarnya untuk menghasilkan bentuk yang kompleks seperti yang boleh dilihat.

    Light Rider dikuasakan oleh motor elektrik 6 kW yang mampu menghasilkan sehingga 130 Nm tork, dan apabila dipadankan dengan berat keseluruhan yang hanya 35 kg, mempunyai nisbah berat dan kuasa yang hampir seperti sebuah supercar. Motor elektrik ini juga boleh memacu Light Rider sehingga kelajuan maksimum 80 km/j, memecut 0-45 km/j dalam masa tiga saat dan baterinya boleh bertahan untuk perjalanan sehingga 60 km.

     
     
  • DBKL saran beli pas bulanan parkir elak kompaun

    DBKL saran beli pas bulanan parkir elak kompaun

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyarankan agar pemilik kenderaan termasuk penghuni kediaman yang tidak mempunyai kemudahan parkir khas di ibukota supaya membeli pas bulanan parkir bagi mengelak kenderaan mereka dikenakan kompaun kerana melebihi masa parkir, laporan Bernama.

    Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, DBKL mengeluarkan pas parkir bulanan itu sebagai pilihan kepada bayaran parkir harian mengikut jumlah jam.

    “Pas bulanan ini dapat mengelak pemilik kenderaan daripada dikenakan kompaun bagi kesalahan tidak membayar parkir mengikut tempoh jam seperti yang sering berlaku,” katanya kepada pemberita bagi mengulas mengenai keluhan warga kota tentang kenderaan mereka yang sering dikompaun oleh DBKL meskipun diletakkan di kawasan perumahan di sekitar ibu kota.

    DBKL mengadakan sistem pembayaran pas bulanan bagi pengguna parkir di ibu kota dengan kadar bayaran RM300 sebulan di kawasan pusat bandar dan RM150 sebulan untuk kawasan luar pusat bandar beraktiviti tinggi dan luar pusat bandar.

    Bagi petak khas pula, caj RM400 sebulan dikenakan di kawasan pusat bandar, RM240 di kawasan luar pusat bandar beraktiviti tinggi dan RM200 di kawasan luar pusat bandar.

     
     
  • Honda pamer teknologi beg udara keselamatan skuter

    Honda pamer teknologi beg udara keselamatan skuter

    Tidak dinafikan, menunggang motosikal dan skuter ada bahayanya. Untuk itu, pengeluar pula sentiasa menjadi jalan terbaik untuk memastikan faktor keselamatan penunggang dan pembonceng. Honda baru-baru ini mempamerkan teknologi beg udara untuk motosikal yang direka khas untuk skuter.

    Melibatkan kerjasama dengan Autoliv, sebuah syarikat pembekal sistem keselamatan, Honda membangunkan beg udara untuk melindungi kepala penunggang dalam keadaan perlanggaran yang spesifik, terutamanya dari impak sisi dengan pertembungan dari depan dengan kenderaan yang memasuki laluan motosikal secara mengejut. Honda berhasrat untuk memperkenalkan teknologi ini ke dalam pasaran secepat mungkin.

    Sistem berkenaan berfungsi dalam cara yang sama dengan beg udara kereta. Sensor pecutan terletak di bahagian fairing depan, dan sekiranya mengesan perlanggaran, beg udara akan terbuka dalam masa 0.4 hingga 0.5 saat. Dalam ujian dengan kelajuan 50 km/j, beg udara ini didapati mampu mengurangkan kesan kecederaan pada kepala patung ujian yang digunakan, seperti dilaporkan Nikkei Technology.

    Honda pamer teknologi beg udara keselamatan skuter

    Bagaimanapun, keberkesanan perlindungan yang diberikan akan berkurangan sekiranya ia melibatkan perlanggaran pada sisi skuter, atau sekiranya skuter itu terbalik. “Dalam kebanyakan kemalangan motosikal moden, ia akan bertembung ke bahagian sisi kenderaan lain. Jadi, beg udara memang berhasil untuk mengurangkan kecederaan dalam keadaan itu,” jelas Honda.

    Syarikat itu sebelum ini sudah pernah menunjukkan teknologi sama pada model teratas yang dikeluarkan, Golwing GL1800. Selain beg udara pada motosikal, teknologi beg udara yang dipasangkan pada pakaian atau tubuh penunggang juga sudah mula ditawarkan, seperti yang ada pada Dainese D-Air atau Alpinestars Tech-Air System.

     
     
  • Toyota beli saham kecil Mazda; kerjasama baharu bina kilang $1.6b di US untuk Corolla, SUV – laporan

    Toyota beli saham kecil Mazda; kerjasama baharu bina kilang $1.6b di US untuk Corolla, SUV – laporan

    Toyota dan pesaingnya Mazda telah mengumumkan rancangan untuk membina kilang bernilai $1.6 bilion di Amerika Syarikat (US) sebagai kerjasama baharu, menurut laporan Reuters yang memetik sumber tanpa nama.

    Laporan tersebut menambah kilang ini bakal mengeluarkan kapasiti 300,000 kenderaan setahun, terbahagi antara dua jenama Jepun itu. Ia juga akan mengambil 4,000 pekerja apabila dibuka pada tahun 2021, sumber tersebut mendedahkan, dan menambah lokasi kilang terbabit bakal didedahkan kelak. Ia dijangka akan memproduksi Toyota Corolla dan SUV Mazda.

    Semalam, Nikkei melaporkan Toyota akan membeli 5% pegangan saham dalam Mazda untuk membangunkan tekonologi kenderaan elektrik dan bekerjasama dalam membina kilang di US. Sumber yang memberitahu Reuters mengesahkan kedua pemain industri automotif terkemuka Jepun ini akan bekerjasama dalam pembangunan EV.

    Toyota berkata dalam kenyataannya bahawa kedua-dua syarikat telah mula mengekplorasi beberapa kerjasama di bawah perjanjian Mei 2015. “Kami berhasrat untuk mengemukakan satu cadangan kepada lembaga pengarah kami hari ini mengenai perkongsian dengan Mazda, bagaimana pun, kami tidak akan mengulas lanjut mengenainya buat masa ini,” menurut kenyataan terbabit.

    Mazda pula berkata “tiada apa yang diputuskan buat masa ini” dan syarikat ini juga mengesahkan “akan mengadakan mesyuarat lembaga pengarah mengenainya hari ini, namun tiada ulasan buat masa ini,” kenyataan itu turut menyebut.

    Pembangunan ini nampak gayanya akan memberikan satu kemajuan buat presiden US Donald Trump, yang pernah meluahkan kemarahannya kepada pengeluar kenderaan yang mendirikan fasiliti di negara-negara jiran. Toyota juga pernah menerima ‘teguran’ menerusi Tweeter Trump apabila berhasrat untuk membangunkan Corolla bagi pasaran US di Mexico. Model kompak mereka buat masa ini dibangunkan di Kanada dan Mississippi, US.

    Tiada “cukai sempadan besar” seperti mana yang diancam oleh Trump, tetapi kilang US baharu ini adalah berdasarkan permintaan terhadap kereta penumpang yang agak ‘jatuh’ berbanding SUV. Jualan Corolla di US juga hampir jatuh sebanyak 9% pada tahun ini.

     
     
  • JPJ Perlis kutip RM7.2j menerusi siri pendaftaran ‘RR’

    Siri pendaftaran nombor kenderaan terbaru bagi negeri Perlis, ‘RR’ nampak gayanya telah mengatasi ‘RM’ apabila Jabatan Pendaftaran Jalan (JPJ) berjaya memperoleh sebanyak RM7.2 juta iaitu lebih RM100,000 berbanding ‘RM’. ‘RR’ yang nampak cukup sesuai digandingkan dengan motosikal berkuasa tinggi dan kereta mewah, menjadi pilihan ramai termasuk golongan VVIP untuk membidanya.

    Perkara ini telah didedahkan oleh jurucakap JPJ Perlis Mohd Tarmizi Ghazali yang berkata pihaknya telah menerima sebanyak 7,960 bidaan untuk siri pendaftaran tersebut. Di mana bidaan tertinggi bagi ‘RR’ turut mengatasi rekod bidaan tertinggi bagi JPJ Perlis sendiri, menerusi ‘R8’ pada tahun 2015 iaitu berjumlah RM297,000.

    Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berjaya membida ‘RR6’ dan ‘RR9’, dengan kos masing-masing RM459,000 dan RM396,800. Manakala Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pula berjaya membida ‘RR11’ dengan harga RM268,400. Semak senarai di bawah untuk melihat individu yang menerima ‘RR’ dengan bidaan masing-masing. Namun persoalannya, milik siapakah ‘RR1’?

     
     
  • Pemandu Uber, Grab diwajibkan ambil insurans untuk penumpang selepas e-hailing dikuatkuasakan – Nancy

    Pemandu Uber, Grab diwajibkan ambil insurans untuk penumpang selepas e-hailing dikuatkuasakan – Nancy

    Sebaik sahaja undang-undang perkhidmatan e-hailing dikuatkuasakan dalam tempoh setahun ini, semua pemandu Uber dan GrabCar diwajibkan mengambil insurans untuk penumpang.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, ia antara syarat lain bagi perkhidmatan itu seperti syarat minimum usia kenderaan, perlu menjalani pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan ujian pemeriksaan kesihatan pemandu, laporan Berita Harian.

    “Kerajaan sedang memperhalusi syarat yang akan dikenakan kepada pemandu Uber dan GrabCar apabila undang-undang dilaksanakan nanti boleh dipatuhi. Setakat ini, sudah banyak syarat yang dibincangkan bersama dipersetujui pemandu Uber dan Grabcar serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD),” katanya pada pemberita hari ini.

    Dalam masa yang sama, Nancy berkata pihaknya prihatin dengan masalah dan cabaran dihadapi pemandu sebelum perkhidmatan e-hailing dibenarkan beroperasi secara sah.

    Katanya, pihaknya telah mengadakan pertemuan untuk memperhalusi syarat itu dengan SPAD dan pemandu Uber dan GrabCar semalam.

    “Ada pemandu minta supaya kenderaan berusia lebih tujuh tahun menjalani pemeriksaan PUSPAKOM dan pembiayaan bayaran pendaftaran Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017. Kerajaan sedang mempertimbangkan keputusan untuk perkara itu. Apa yang penting, keselamatan pemandu dan penumpang menjadi keutamaan,” katanya.

    Pada 27 Julai lalu, perkhidmatan Uber dan GrabCar telah dibenarkan beroperasi selepas mendapat kelulusan pindaan undang-undang bagi Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987. Ini menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di dunia yang mengawal selia perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian seperti Grab dan Uber.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024