Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hyundai Santa Fe bakal dapat varian hibrid dan PHEV

    Hyundai Santa Fe bakal dapat varian hibrid dan PHEV

    Hyundai Santa Fe baharu bakal menerima penjana kuasa hibrid dan plug-in hybrid dalam tempoh 18 bulan akan datang, laporan Autocar UK. SUV tujuh-tempat duduk ini pertama kali didedahkan pada awal Februari lalu dengan pilihan enjin konvensional petrol dan diesel.

    Perincian mengenai kedua-dua penjana kuasa tersebut masih disimpan rapi, namun hibrid sederhana ini mungkin diambil dari Tucson dan Kia Sportage facelift. Ia terdiri daripada 2.0 liter turbodiesel, mild hybrid starter generator (MHSG), dan penukar DC/DC voltan-rendah (LDC), inverter dan bateri lithium-ion 0.44 kWh.

    Bagi PHEV, disarankan menggunakan penjana kuasa yang sama dengan Kia Optima kerana kesesuaiannya. Mengenai enjinnya, ia menampilkan penjana petrol 2.0 loter dengan motor elektrik 50 kW, bateri 9.8 kWh dan pengecas ‘on-board’ voltan tinggi. Sedan ini mendakwa mampu dipacu sehingga 965 km dan 43 km dalam mod EV penuh.

    Versi elektrifikasi bagi model baharu ini adalah sebahagian daripada perancangan pengeluar kereta Korea Selatan ini bagi memperkenalkan 18 model eco-friendly ke pasaran global menjelang 2025. Dalam perancangan turut mengandungi kenderaan bahan api alternatif seperti Nexo janaan hidrogen.

    GALERI: Hyundai Santa Fe 2019

     
     
  • Volvo Car Malaysia buka pusat 3S baru di Batu Pahat

    Volvo Car Malaysia buka pusat 3S baru di Batu Pahat

    Sebagai inisiatif bagi memudahkan lagi akses kepada pelanggannya, Volvo Car Malaysia kini membuka satu lagi pusat 3S nya di kawasan selatan tanah air iaitu di Batu Pahat, Johor. Fasiliti milik pengedar baharunya – AJ Premium Motors – ini adalah salah satu langkah yang diambil di bawah program transformasi servis selepas jualan jenama dari Sweden berkenaan.

    “Ada peningkatan minat terhadap model-model kami di Malaysia dan kami kini sedang aktif membuka jaringan pengedar di kawasan strategik di seluruh Malaysia bagi memberikan servis terbaik terhadap permintaan ini,” kata Lennart Stegland, pengarah urusan Volvo Car Malaysia.

    “Adalah menjadi kewajipan untuk semua pengedar baharu untuk menerapkan standard Volvo Retail Experience (VRE) baharu, konsisten dengan standard pengedar kami di Eropah – ia bukan sekadar penunjuk terhadap nilai astetika tetapi turut menunjukkan tahap servis yang direka dalam jaringan pengedar kami,” tambah Stegland.

    Volvo Batu Pahat menampilkan ‘ruang tamu’ yang diinspirasikan dari rekaan Scadinavia di mana pelanggan boleh berehat sambil di layan oleh wakil jualan atau menunggu kenderaan mereka yang sedang diservis. Bahagian servis selepas jualan di fasiliti ini pula mempunyai dua buah ruang kerja.

    “Kehadiran kami di Batu Pahat membuatkan pemilik dari kawasan sekitar Muar, Kluang dan Segamat untuk menservis kereta mereka atau untuk pelanggan yang berminat untuk melihat model-model baharu Volvo,” kata Jacky Ong, pengarah urusan AJ Premium Motors.

    Pusat 3S ini terletak di Lot. 1005, Jalan Kluang, 83000 Batu Pahat, Johor, Mdan ia dibuka dari 9 pagi hingga 6 petang dari Isnin hingga Sabtu, dan dari 11 pagi hingga 5 petang pada Ahad dan cuti am.

     
     
  • Peugeot 508 baharu tiba di Malaysia pada Q2 2019

    Peugeot 508 baharu tiba di Malaysia pada Q2 2019

    Peugeot 508 baharu disahkan bakal memasuki pasaran Malaysia pada suku kedua (Q2) 2019 ini. Itulah yang dimaklumkan oleh Nasim, pengimport rasmi Peugeot di Malaysia, kepada wakil paultan.org, Danny Tan, yang menyertai sesi pandu uji 508 generasi kedua di Morte Carlo baru-baru ini.

    Dijangka enjin petrol 1.6 liter, satunya dengan 180 hp/250 Nm dan varian tertinggi dengan 225 hp/300 Nm. Enjin PureTech ini menggantikan unit Prince yang lama, dan akan dipadankan dengan transmisi automatik torque converter lapan-kelajuan oleh Aisin.

    Enjin 225 hp pastinya menjadi milik 508 GT, dengan prestasi yang lebih menguja. Ia mampu mencapai 0-100 km/j dalam hanya 7.3 saat dan kelajuan tertinggi 250 km/j, sementara PureTech 180 pula mengambil masa hanya 7.9 saat bagi pacuan 0-100 km/j dan kelajuan maksimum 230 km/j.

    Peugeot 508 baharu tiba di Malaysia pada Q2 2019

    Model semasa dengan enjin diesel masih berada di pasaran Malaysia, namun belum dipastikan sama ada unit BlueHDi pada 508 baharu akan dilancarkan di sini atau tidak. Ini kerana enjinnya adalah mengikuti piawaian Euro 6.c, dan tidak sesuai dengan diesel tempatan kita.

    508 baharu ini menggunakan platfrom EMP2 buatan PSA Group dengan penjimatan berat (kurang 70 kg) dan bahan api, prestasi dan keselamatan yang lebih baik, ujar Peugeot.

    Tidak seperti kereta baharu, ia adalah lebih kecil berbanding sebelum ini – lebih pendek (4.75m vs 4.83m, pengurangan lebih dari bahagian overhang) dan lebih rendah (1.4m vs 1.46m), namun ia kelihatan lebih dinamik berbanding model sebelum ini.

    Peugeot 508 baharu tiba di Malaysia pada Q2 2019

    Perubahan yang paling besar bagi 508 baharu ini adalah secara teknikalnya adalah hatchback, dengan cermin belakang akan dinaikkan bersama ‘but’ apabila ia dibuka. Digambarkan sebagai “fastback coupe saloon”, Peugeot juga mendatangkannya dengan pintu tanpa bingkai.

    Di dalamnya, 508 baharu didatangkan dengan versi terkini bagi Peugeot i-Cockpit yang merangkumi roda stereng yang lebih kompak, skrin sesentuh kapasitif 10-inci dengan format 8:3, panel instrumen digital 12.3-inci yang Peugeot gelarkannya sebagai unit utama. HUD menawarkan enam paparan mod dan sistem Night Vision baharu. Papan pemuka yang lebih menyerlah adalah hasil produksi semula bagi kokpit Exalt Concept.

     
     
  • Toyota Supra A90 NASCAR – bakal gegar siri Xfinity

    Toyota Supra A90 NASCAR – bakal gegar siri Xfinity

    Mac lalu, Toyota Supra generasi baharu atau akan dikenali dengan nama A90 (meneruskan kod casis A80 pada model sebelum ini) muncul dalam bentuk model konsep perlumbaan Gazoo Racing. Tidak apa yang menghairankan kerana Supra sebelum ini sememangnya menjadi bintang dalam perlumbaan-perlumbaan seperti itu.

    Namun ini ada sesuatu yang tidak biasa – Toyota mengumumkan Supra A90 ini akan mengambil bahagian dalam kejohanan NASCAR Xfinity Series (NXS) tahun hadapan. Ia bukan sekadar cakap kosong, malah Toyota turut mendedahkan Supra dengan bentuk pelik berkenaan dan jentera ini diumumkan akan mula turun ke litar pada perlumbaan NXS Daytona pada 16 Februari 2019.

    “Apabila anda berbicara tentang Toyota dan kereta hebat, Supra merupakan perkara pertama yang akan keluar pada fikiran kebanyakkan peminat dunia automotif. Supra kembali untuk diproduksi merupakan berita yang besar, tetapi sekrang kita akan turut menyaksikan kereta sport ikonik ini kembali ke dunia sukan bermotor Amerika,” kata Ed Laukes, naib presiden kumpulan jabatan pemasaran Toyota.

    Toyota Supra A90 NASCAR – bakal gegar siri Xfinity

    “Dari perspektif pemasaran, adalah sangat penting untuk mempunyai kereta lumba yang membangkitkan dinamisme dan karekter dari produknya di bilik pameran. Kami yakin kami akan mencapainya menerusi Supra, dan kami harap peminat perlumbaan seluruh dunia akan bersorak bangga dengan kejayaannya di atas litar,” tambahnya.

    Supra sememangnya dikenali sebagai sebuah kereta sport dengan bentuk GT sebenar, manakala kereta lumba NASCAR amat sinonim dengan rupa sebuah sedan atau muscle car Amerika. Jadi kereta lumba Supra NASCAR yang dibina oleh Toyota Racing Development (TRD) USA dan Calty Design Research ini perlu direka bagi memenuhi spesifikasi NASCAR untuk menyertai NXS – dan terhasillah Supra dengan bentuk serba tidak kena ini.

    NXS merupakan kejohanan dengan tahap sedikit rendah dari kejohanan NASCAR Cup Series, manakala TRD USA dan Calty Design Research merupakan pasangan kerjasama yang memenangi gelaran tertinggi tersebut tahun lalu menerusi jentera Camry NASCAR Cup 2018.

    “Kami mempunyai kejayaan yang besar bersama Calty untuk membangunkan kereta lumba yang seiring dengan rupa, rasa dan keterujaan dari produknya di bilik pameran. Kami yakin dengan Calty dan TRD telah membina satu lagi kereta lumba, Supra, yang mampu memenangi perlumbaan dan kejohanan. Untuk Supra yang berlumba di NASCAR merupakan bukti betapa pentingnya kereta ini kepada kami, dan kami percaya bahawa Supra akan menjadi pemenang kejuaraan yang sejati,” kata presiden TRD, David Wilson.

     
     
  • Mercedes-Benz E200, E250 Avantgarde dan Exclusive – kemasan baharu, kit dipertingkatkan bagi model 2018

    Selain melancarkan model pemasangan tempatan (CKD) E 300 AMG Line W213 pada Jumaat lalu, Mercedes-Benz turut memperkenalkan varian E 200 Avantgarde, E 250 Avantgarde dan E 250 Exclusive variants yang dipertingkatkan.

    Seperti yang diumumkan sebelum ini, harga bagi varian berkenaan juga mengalami penurunan selepas sifar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada bulan lalu. Kini E 200 Avantgarde berharga RM315,030 iaitu menurun sebanyak RM15,000.

    Manakala harga E 250 Avantgrade pula menyusut sebanyak RM9,000, kini ditawarkan dengan RM348,992. Manakala E 250 Exclusive pula berharga RM357,482 iaitu menyusut sebanyak RM5,000. Manakala E 300 AMG Line baharu pula ditawarkan pada harga RM388,888. Semua harga ini akan kekal sehingga 1 September iaitu apabila cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilaksanakan kembali.

    Spesifikasi bagi model berkenaan turut mengalami sedikit perubahan pada bahagian dalaman, iaitu untuk kekemasan dan materialnya. Bagi E 200 Avantgrade, COMAND telah digugurkan, di mana kawalan pad sesentuh konsol tengah, dail rotari bagi fungsi akses telah ditiadakan. Sistem Audio 20 telah menggantikan sistem infotainmen COMAND Online, dengan Widescreen Cockpit masih dikekalkan.

    Bagi kemasannya, kedua-dua varian E 250 dan E 200 Avantgarde, kemasan hitam pekat pada konsol digantikan dengan konsol tengah baharu bagi menyuaipadankan dengan panel kemasan atas (seperti pada model E 350e 2018). Bagi model E 250 Avantgarde, kemasan hitam abu menjadi pilihan. Sementara E 200 Avantgarde dan E 250 Exclusive menerima kemasan kayuan coklat. Manakala E 300 masih kekal dengan kemasan hitam pekat.

    E 250 Avantgarde turut menerima upholstery baharu, dengan kombinasi fabrik/kulit. Manakala E 200 Avantgarde pula menerima upholstery kulit Artico, dan E 250 Exclusive masih kekal dengan tempat duduk kulit Nappa. Papan pemuka balutan kulit Artico kini ditampilkan untuk semua varian, iaitu elemen baharu bagi model Avantgarde.

    Salah satu perubahan yang lebih signifikan ialah sistem kawalan suhu. Konfigurasi tiga-zon pada model terdahulu kini telah diganti dengan bentangan dua-zon, dengan corong pendingin hawa belakang menampilkan blower yang tidak boleh dilaras. Pada bahagian belakang, corong pendingin hawa sisi B-pillar telah digugurkan, jadi penumpang belakang hanya mempunyai dua corong di tengah. Hanya E 300 AMG Line sahaja yang masih mengekalkan sistem tiga-zon dan corong sisi belakang.

    Selain itu, perkara lain masih tidak berubah. Kedua-dua varian E 200 dan E 250 masih dikekalkan dengan enjin M 274 DE 20 AL 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol. Untuk E 200, kuasanya ialah 184 hp dan 300 Nm, mampu dipacu dari 0-100 km/j dengan hanya 7.7 saat, sementara E 250 pula menawarkan 211 hp dan 350 Nm, dengan pacuan yang lebih pantas pada 6.9 saat. Bagi E 300 pula ditawarkan dengan 245 hp dan 370 Nm, dengan 0-100 km/j dalam 6.3 saat.

    Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik torque converter sembilan-kelajuan dengan pemilih gear Direct Select.

    GALERI: Mercedes-Benz E 250 Avantgarde W213 2018

    GALERI: Mercedes-Benz E 250 Exclusive W213 2018

    GALERI: Mercedes-Benz E 300 AMG Line 2018

     
     
  • Nissan Serena S-Hybrid catat 4k unit tempahan – “Joyful Tax Holiday” tawar penjimatan hingga RM12k

    Nissan Serena S-Hybrid catat 4k unit tempahan – “Joyful Tax Holiday” tawar penjimatan hingga RM12k

    Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) telah mengumumkan bahawa sehingga 30 Jun 2018, Nissan Serena S-Hybrid serba baharutelah melangkaui jangkaan apabila menerima 4,000 tempahan. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,900 unit telah didaftarkan dalam tempoh hanya tujuh minggu selepas ia dilancarkan secara rasmi.

    “Penerimaan pasaran yang positif membuktikan bahawa Nissan Serena S-Hybrid serba baharu ialah sebuah MPV yang popular di Malaysia. Keputusan ini memberi semangat kepada kami. Justeru, kami telah meningkatkan produksi serta bekerjasama rapat dengan pembekal alat ganti tempatan, bagi memastikan produk dan kenderaan berkualiti dapat diserahkan kepada pelanggan tepat pada masanya,” ujar Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Christopher Tan.

    Dalam masa yang sama, ETCM turut mengumumkan penganjuran kempen “Joyful Tax Holiday” iaitu sempena dengan sifar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan musim perayaan Aidilfitri sepanjang Julai ini. Ia melibatkan Almera 1.5L E Auto iaitu harga dengan 0% GST ialah RM68,129.62. Tetapi menerusi kempen ini, ETCM memberikan penjimatan duit raya sebanyak RM7,500 dan jika melibatkan trade-in jaminan penjimatan dua tahun pula, ditambah lagi sebanyak RM1,000. Sekaligus membuatkan harganya sepanjang kempen ini menjadi RM59,629.62.

    Nissan Serena S-Hybrid catat 4k unit tempahan – “Joyful Tax Holiday” tawar penjimatan hingga RM12k

    Klik untuk besarkan

    Malah pelanggan juga boleh memilih pakej aksesori istimewa bernilai RM8,955.66. Pakej aksesori yang baharu diperkenalkan ini merangkumi NISMO Aerokit yang sporty, skrin sentuh bersaiz tujuh-inci dengan ketersambungan telefon pintar, WI-FI, navigasi dan kamera undur, perakam video pemanduan, tempat duduk kulit dan tinted Solar Gard.

    Manakala bagi Livina 1.6L Auto pula, harga sepanjang kempen ini ditawarkan hanya RM77,968.31 iaitu jimat sebanyak RM8,000 daripada harga RM85,968.31 dengan 0% GST. X-Trail 2.5L AWD Auto juga tidak ketinggalan menyertai kempen ini dengan harga 0% GST hanya RM150,255.49 namun tetapi menerima penjimatan terbesar sehingga RM12,000 dengan harga sepanjang kempen menjadi RM138,255.49.

    Pembelian Serena S-Hybrid 2.0L Highway Star juga layak menerima penjimatan sehingga RM4,000 dengan hanya RM123,874.84 daripada harga 0% GST RM127,874.84. Manakala Navara 2.5L VL Auto pula ditawarkan dengan harga RM104,029.08 selepas penjimatan sebanyak RM10,000, daripada harga 0% GST RM114,029.08. Bagi Teana 2.0L XE Auto pula, harga dengan 0% GST ialah RM119,852.55, namun dengan penjimatan sebanyak RM7,000, ia menjadi RM112,852.55 sepanjang kempen ini dianjurkan.

    Maklumat lanjut, sila kunjungi mana-mana bilik pameran Nissan terdekat atau pun layari laman web www.nissan.com.my dan juga boleh hubungi Pusat Khidmat Pelanggan Nissan ETCM di talian 1800-88-3838.

    GALERI:Nissan Serena S-Hybrid C27 Premium Highway Star 2018

     
     
  • Proton mencatatkan peningkatan jualan 50% bagi Jun

    Proton mencatatkan peningkatan jualan 50% bagi Jun

    Proton mencatatkan peningkatan jualan sepanjang bulan Jun 2018, dengan menyerahkan sebanyak 6,173 unit kepada pelanggan, sekaligus mencatatkan peningkatan 50% berbanding bulan Mei. Lonjakan jualan ini menyaksikan kadar perkongsian pasaran syarikat ini mencapai 10% daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi bulan yang sama berbanding 9.5% sebelumnya.

    Menurut Proton, pencapaian yang memberangsangkan ini disumbangkan oleh pelanggan-pelanggan yang mengambil kesempatan tempoh bebas cukai yang sedang berlangsung ketika ini, begitu juga dengan promosi Raya yang dijalankan. Model Saga dan Persona terus menjadi yang paling laris – Saga sahaja berjaya dijual sebanyak 3,000 unit.

    “Proton mencapai angka jualan terbaik pada Jun 2018. Ini membuktikan pengguna di Malaysia masih memilih barisan Proton sedia ada, antaranya disebabkan oleh ciri-ciri terkini yang melengkapi model-modelnya,” ujar CEO Proton Edar, Abdul Rashid Musa

    “Promosi menarik yang diberikan, ditambah dengan kadar GST 0% ketika ini serta penambahbaikan pada kualiti kenderaan Proton, semua ini menjadi faktor kepada peningkatan jualan yang dicatatkan ini. Kami berharap momentum ini boleh diteruskan sehingga hujung tahun nanti,” jelas beliau.

    Proton sebelum ini merupakan jenama kenderaan pertama yang menyatakan sokongan untuk memberi sumbangan kepada Tabung Harapan Malaysia. Dalam perkembangan terbaru, Tun Mahathir turut memberikan reaksi positif terhadap SUV pertama Proton yang bakal dilancarkan tak lama lagi.

     
     
  • Kia Stinger GT ganti Holden Commodore dan Ford Falcon sebagai kereta polis di Queensland, Australia

    Kia Stinger GT ganti Holden Commodore dan Ford Falcon sebagai kereta polis di Queensland, Australia

    Jabatan polis di Queensland, Australia kini memperkenalkan kereta peronda baharu mereka yang menggantikan Holden Commodore dan Ford Falcon, iaitu sedan sport dari Korea – Kia Stinger GT. Minggu ini sebanyak 50 unit Stinger akan diserahkan kepada badan penguatkuasa berkenaan dan dianggarkan sejumlah 200 buah lagi akan menyusul selepas ini.

    News.com.au melaporkan bahawa Kia telah secara aktif berhubung dengan polis bagi mendapatkan urusniaga berkenaan bagi memecahkan monopoli Holden dan Ford selama berberapa dekad. Bukan sahaja Queensland, malah jabatan negeri lain kini turut sedang membuat keputusan bagi menukar kereta-kereta polis sedia ada. Polis Victoria misalnya, mereka telah pun menerima BMW G30 530d pada September tahun lalu.

    Stinger yang digunakan untuk polis Queenlands ini adalah dari versi GT yang paling berkuasa, dijana enjin petrol V6 3.3 liter turbo berkembar Lambda II menghasilkan 365 hp/510 Nm. Kereta peronda ini juga menerima sistem pacuan semua roda, dan juga kelengkapan-kelengkapan sepatutnya seperti lampu kecemasan, siren dan radio komunikasi.

    “Anda sentiasa mendengar Kementerian Polis bercakap mengenai menyediakan kelengkapan terbaik untuk mereka yang berhadapan dengan tugas. Dalam kes ini saya sangat percaya kami mampu untuk melakukannya,” kata menteri polis Queensland, Mark Ryan.

    “Stinger memberikan prestasi yang baik dalam semua aspek dan kami menerima laporan yang paling baik dari semua pegawai lapangan,” kata Pembantu Pesuruhjaya Polis Queensland, Mike Keating dan menyatakan bahawa ini adalah pertama kali pihaknya menerima kereta dari jenama asing.

    Anda minat dengan Kia Stinger ini? Berita baik, model ini akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Menurut teaser yang telah disiarkan oleh Naza Kia Malaysia, pasaran tempatan turut akan menerima versi GT dengan enjin V6 3.3 liter turbo berkembar yang sama.

     
     
  • MSF pusingan ketiga Ahad ini janjikan aksi lebih padu

    MSF pusingan ketiga Ahad ini janjikan aksi lebih padu

    Perlumbaan Malaysia Speed Festival (MSF) pusingan ketiga akan berlangsung hujung miggu ini, bertempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Dengan penyertaan seramai 200 peserta, dengan jangkaan 5,000 orang datang untuk meraikannya, MSF kini merupakan acara perlumbaan kereta yang dianjurkan secara terbuka yang terbesar di Malaysia.

    Menarik pada pusingan ketiga ini, ia turut akan menyaksikan penyertaan pelumba dari negara jiran, Thailand. Sebanyak 13 kategori dipertandingkan, dan penganjurannya bagi pusingan ini disifatkan bakal memberikan lebih banyak aksi menarik yang mendebarkan kepada penonton.

    Bagi kategori Street 1600, ia akan mengimbau kenangan lama dengan penglibatan kereta-kereta yang popular ditahun-tahun 1990an – dari buatan pengeluar yang sudah tidak asing lagi seperti Honda, Toyota, Proton dan Nissan. Pendahulu carta kedudukan, Philip Tang dari JDM Racing yang memandu sebuah Honda Civic sudah pasti akan mencuri tumpuan dengan aksi pemanduannya.

    MSF pusingan ketiga Ahad ini janjikan aksi lebih padu

    Walaupun selesa di depan, Philip sebenarnya sedang menerima cabaran sengit dari peserta lain, misalnya oleh Zuhaidi Ishak dari pasukan Z Garage yang turut menggunakan jentera Honda. Begitu juga oleh Hazrin Khaidi dari JMS Tuner yang memandu sebuah Toyota Levin.

    Kategori Super Production juga tidak kurang hebatnya. Dengan penyertaan kereta model baru seperti Honda Jazz, Toyota Vios dan Perodua Myvi, ia punya tarikan tersendiri. Roni Risman dari pasukan Piston Project yang menggunakan Honda Jazz merupakan pendahulu kejuaraan ketika ini. Meskipun agak selesa berada di depan dari segi pungutan mata, Sobree dari Thailand Corredor Racing yang menggunakan Toyota Vios mula mendapat rentak untuk memburu kemenangan.

    Kategori Racecars Open menjadi yang paling menari dan sengit untuk diperhatikan. Dalam pusingan kedua sebelum ini, Thilak Sharma bergandingan dengan Alif Hamdan yang menggunakan Proton Satria 4WD Turbo telah mempamerkan prestasi yang cukup memberangsangkan. Dengan catatan masa terpantas 2 minit 19 saat, ia cukup memberikan “amaran” buat para peserta lain.

    MSF pusingan ketiga Ahad ini janjikan aksi lebih padu

    Meskipun begitu, kepantasan jentera lain yang tidak menggunakan enjin bernadikan turbo juga sangat pantas. Azlan Malik, Shazull, Shamir, Hasrul dan ramai lagi yang menggunakan jentera Honda juga sangat pantas di dalam litar.

    Mereka juga dikhabarkan sudah meningkatkan prestasi kereta masing-masing untuk memberi tekanan kepada Thilak dan Alif. Disebabkan faktor kepantasan yang mengujakan, ia telah menarik perhatian peserta dari Thailand, Weerakarj Dokchan dari World Pumps Corredor Racing yang menggunakan jentera Mitsubishi Evolution 9 untuk ikut serta. Dengan kehadiran beliau, ia sudah pasti akan merancakkan lagi aksi persaingan dalam kategori ini yang sudah terbukti sangat sengit.

     
     
  • Adakah kereta lama selamat ketika kemalangan? – ANCAP anjur kempen galak orang ramai fikir kembali

    Bagi menggalakan orang ramai agar memiliki kereta moden yang lebih selamat, Program Penilaian Kereta Baharu Australasia (ANCAP) kini melancarkan kempen yang diberi nama ‘Safer Vehicle Choice Saves Lives‘ atau ‘Pilihan Kenderaan Yang Lebih Selamat Akan Menyelamatkan Nyawa’.

    Kempen ini dijalankan dengan menularkan video yang memaparkan senario pelanggaran antara dua buah Toyota Corolla – satu dari model tahun 1998 dan sebuah lagi keluaran tahun 2015 – bagi mendemostrasikan bagaimana sistem keselamatan pasif pada kenderaan-kenderaan dalam tempoh dua dekad ini mampu mengurangkan risiko kehilangan nyawa.

    Video berkenaan memaparkan ujian pelanggaran berhadapan pada kelajuan 64 km/j, dan hasil pelanggaran tersebut jelas bahawa pemandu pada Corolla tahun 2015 berada dalam situasi lebih selamat dengan risiko kecederaan pada kaki yang lebih rendah. Laporan ujian ini mendedahkan pemandu pada Corolla 1998 berisiko tinggi untuk mengalami kecederaan pada kepala, dada dan kaki yang serius, dan ANCAP memberikan penilaian sebagai ‘tidak dapat diselamatkan’.

    Video ini bukan sekadar memaparkan ujian, malah ia juga mempunyai jalan cerita seolah-olah kedua-dua patung ujian dalam kedua-dua kereta berkenaan adalah manusia sebenar. Di akhir video tersebut, ANCAP turut memberi persoalan kepada penonton, siapa dari antara dua watak tersebut akan terselamat.

    Bos ANCAP, James Goodwin berkata,”ini merupakan kempen pertama seumpamanya, di mana kereta diprofilkan sebagai faktor yang menjadi penyelamat dalam kemalangan. Kebanyakkan kempen keselamatan memfokuskan aspek sikap seperti kelajuan, kelesuan, memandu dalam keadaan mabuk dan penguatkuasaan. Faktor-faktor tersebut kekal perkara utama, namun kempen ini mengetengahkan kepentingan untuk memilih kereta yang lebih selamat.”

    ANCAP membuat keputusan untuk melancarkan kempen ini kerana jumlah yang melebihi jangkaan kereta-kereta lama yang terlibat dalam keadaan maut di Australia. “Kereta lama yang masih berjalan di atas jalan raya kita hanya 20% dari jumlah keseluruhan, tetapi 37% dari jumlah kereta-kereta lama tersebut telah terlibat dalam kemalangan maut, manakala kenderaan yang dibuat antara 2012 hingga 2017 yang mewakili 31% dari jumlah keseluruhan kenderaan hanya mencatat 12% kematian dalam kemalangan,” menurut laporan tersebut.

    “Selalu sangat orang kata kereta lama lebih selamat dan lebih teguh. Ia amat jelas tidak benar. Paling penting, kempen ini juga menggalakkan kewujudan kereta-kereta baharu yang lebih selamat dan lebih mampu milik, bagi menggalakkan peralihan beramai-ramai,” tambah Goodwin.

    Bukan sahaja ANCAP, malah sebelum ini Euro NCAP turut telah membuat ujian yang sama, menggunakan Rover 100 yang berusia lebih 20 tahun dan juga Honda Jazz 2015 – hasilnya juga sama, kereta baharu jauh lebih selamat dalam ujian tersebut.




     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia catat prestasi jualan terbaik bagi separuh pertama 2018 – 6,790 unit, naik 15%

    Mercedes-Benz Malaysia catat prestasi jualan terbaik bagi separuh pertama 2018 – 6,790 unit, naik 15%

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mengumumkan prestasi jualan keseluruhan bagi separuh pertama (1H) 2018. Malahan menganggap rekod yang dicapai itu adalah yang terbaik bagi sejarah penubuhannya di Malaysia setakat ini.

    Menurut Mark Raine, Timbalan Presiden, Pemasaran & Jualan MBM, bagi 1H2018, pihaknya telah mencatatkan jualan sebanyak 6,790 unit kenderaan iaitu meningkat sebanyak 15% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Di mana 996 unit daripadanya melibatkan model kereta kompak yang turut meningkat sebanyak 20% yang terdiri daripada barisan A-Class, B-Class, GLA-Class dan CLA-Class, serta 4,322 unit kereta limosin pemasangan tempatan (CKD) yang turut mencatatkan peningkatan sebanyak 18% yang melibatkan model C-Class, E-Class, dan S- Class,

    Bagi segmen SUV premium pula, ia turut meningkat sebanyak 4% iaitu mencapai 1,291 unit, manakala 181 unit model dream car telah terjual, tetap meningkat sebanyak 1%. Difahamkan model Mercedes-Benz yang paling laris bagi tempoh tersebut ialah barisan C-Class terutamanya C 200 dan C 300.

    Dengan keseluruhan jumlah tersebut, MBM juga turut menunjukkan peningkatan sebanyak 2.5% bagi perkongsian pasaran bagi 1H2018, malah terus mengekalkan kedudukannya sebagai jenama premium No.1 di negara ini.

    “Suku kedua 2018 merupakan tempoh yang paling cemerlang bagi 1H2018, manakala bulan Jun pula telah mencatatkan jumlah jualan tertinggi bagi tempoh ini. Sifar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) antara salah satu faktor jumlah jualan yang cemerlang berjaya dicatatkan,” ujar Mark.

    Tambahnya lagi, buat masa ini, pihaknya tidak mengalami masalah daripada segi stok kereta kerana kilang pemasangan Mercedes-Benz di Pekan, Pahang, cukup fleksibiliti daripada segi pengeluarannya tanpa berkompromi soal kualiti.

    Buat masa ini, MBM mempunyai 23 barisan model kenderaan iaitu merangkumi 53 varian bagi pasaran tempatan, dengan model terbaharu yang dilancarkan pada tahun ini termasuk barisan Mercedes-AMG 43 pemasangan tempatan iaitu varian C43 Sedan dan GLC43 yang dilancarkan pada April lalu. Malahan selepas majlis mengumumkan prestasi jualan bagi 1H2018, MBM turut melancarkan model E 300 AMG Line versi CKD yang ditawarkan dengan harga anggaran RM388,888.

    Mercedes-Benz Malaysia catat prestasi jualan terbaik bagi separuh pertama 2018 – 6,790 unit, naik 15%

    Ketika ditanya mengapa pelancaran model baharu bagi tahun ini agak perlahan, Dr Claus Weidner, Presiden dan CEO MBM, menjawab, “Kami tidak memperlahankan langkah untuk memperkenalkan model baharu untuk tahun ini. Seperti tahun lalu yang menyaksikan 17 model baharu dilancarkan, untuk 2018, kami juga akan memperkenalkan beberapa model baharu, namun anda kena nantikan model apakah yang akan kami lancarkan sehingga hujung tahun ini. Apa yang pasti, ia melibatkan model-model kenderaan yang pastinya mengikut permintaan pelanggan dan sesuai untuk dipasarkan di negara ini.”

    Untuk rangkaian pusat servis pula, dalam tempoh yang sama, sebanyak 71,650 unit telah diselenggara di 31 pusat servis Mercedes-Benz yang bertauliah di seluruh negara. Di mana ia turut menunjukkan peningkatan sebanyak 16% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. Kesemua pusat servis juga masih kekal meneruskan standard yang tinggi bagi Indeks Kepuasan Pelanggan (CS)) di mana ia menjadi penanda aras di rantau Asia Tenggara.

    Selari dengan inisiatif perkhidmatan pelanggan, MBM turut menaiktaraf beberapa pengedar iaitu NZ Wheels Klang Autohaus, Auto Commerz Service Centre dan Hap Seng Star Puchong South Autohaus. Setakat ini, MBM memiliki 34 cawangan autohaus dengan jumlah keseluruhan sembilan kumpulan pengedar tempatan di seluruh Malaysia.

     
     
  • Mercedes-Benz E 300 AMG Line W213 di M’sia – harga anggaran RM388,888, ciri lebih baik dari versi CBU

    Mercedes-Benz E 300 AMG Line W213 di M’sia – harga anggaran RM388,888, ciri lebih baik dari versi CBU

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah memperluaskan lagi barisan pemasangan tempatan (CKD) bagi E-Class W213 dengan melancarkan E 300 AMG Line. Pada April tahun lalu, syarikat ini telah memperkenalkan versi CKD bagi E 200 Avantgarde, E 250 Avantgarde dan E 250 Exclusive, jadi ini merupakan penambahan terkini bagi melengkapi barisan E-Class CKD. E 300 CKD juga akan menggantikan E 350 plug-in hybrid pada masa hadapan, tetapi C 350 e masih dikekalkan.

    Berkenaan harganya, E 300 AMG Line CKD akan ditawarkan dengan harga anggaran RM388,888, jauh lebih rendah berbanding versi CBU (RM458,888). Walau bagaimana pun, harga bagi CBU masih termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan harga sifar-GST dari MBM tidak termasuk E 300 AMG Line. Walau bagaimana pun, jika dengan pengiraan kasar dan memotong 6% daripada harga CBU pada masa itu (RM431,355), ia masih menawarkan penjimatan yang besar.

    Bagi spesifikasinya, model CKD ini agak mirip dengan versi CBU dengan hanya satu perbezaan ketara – ia didatangkan dengan roda aloi pelbagai-jejari 20-inci berbanding unit jejari-berkembar AMG 19-inci. Selain itu, ia turut didatangkan dengan lampu utama Multibeam LED, bumbung panoramik, akses but bebas-tangan, pakej AMG Line dan Night Package.

    Menjengah bahagian dalamnya pula, ia ditampilkan dengan papan pemuka balutan kulit Artico, tempat duduk upholstery balutan kulit Nappa, pengecas tanpa wayar untuk telefon bimbit, paparan utama, kokpit cermin hadapan (dua skrin 12.3-inci) sistem COMAND Online, roda stereng dengan Touch Control, kawalan konsol tengah dan sistem bunyi sekeliling Burmester 13-pembesar suara dengan sembilan saluran amplifier.

    Lain-lain elemen dalam senarai kit termasuklah Keyless-GO, kamera 360-darjah, Dynamic Select dengan lima mod (Comfort, Eco, Sport, Sport+ dan Individual), sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, pendingin hawa belakang dan pedal penukar gear.

    Di bawah bonetnya, enjin petrol M 274 DE 20 AL 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dikekalkan dengan hamburan 241 hp (245 PS) dan tork 370 Nm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik torque converter 9G-Tronic sembilan-kelajuan, dengan kuasa disalurkan ke roda belakang – pacuan 0-100 km/j dalam 6.3 saat.

     
     
  • Diskaun hingga 20% untuk alat ganti tulen Hyundai

    Diskaun hingga 20% untuk alat ganti tulen Hyundai

    Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) mengumumkan promosi lepas jualan di semua pusat servis Hyundai dengan menawarkan potongan harga sehingga 20% bagi alat ganti tulen terpilih. Promosi berkenaan yang berlangsung sejak 1 Jun hingga 31 Julai 2018 turut menawarkan potongan kos buruh sebanyak 10%.

    Sebagai tambahan, pelanggan yang membelanjakan RM500 untuk servis kenderaan mereka turut layak untuk menerima hadiah misteri. Bagi mereka yang menggantikan sistem pembersih minyak pula akan diberi diskaun 15%.

    Sementara itu, pemilik Grand Starex Royale pula boleh menikmati potongan harga alat ganti sehingga 50%, serta dua hadiah misteri jika membelanjakan lebih daripada RM500. Pengumuman ini dibuat selepas pengedar tidak sah didapati menjual alat ganti tiruan bagi kenderaan Hyundai dan Kia, termasuk penapis minyak, penapis udara, pad brek dan palam pencucuh. Ada sesetengah alat ganti tiruan itu juga dijual pada harga yang sama dengan alat ganti tulen.

    Pengarah Urusan Sime Darby Motors, Dennis Ho berkata, pendidikan berterusan terhadap bahaya penggunaan alat ganti tiruan adalah sangat penting. “Pusat servis rasmi akan menggunakan alat ganti tulen dan pengguna tidak perlu ragu-ragu ketika menghantar kenderaan mereka untuk servis,” ujarnya.

     
     
  • Ford Ranger Raptor 2018 pemasangan Thai dimulakan

    Pengeluaran model Ford Ranger Raptor yang dinanti-nantikan kini telah pun bermula di Thailand. Semua proses pengilangan dan pemasangannya ditampilkan dalam video pendek 90 saat seperti yang disertakan ini. Model berkenaan sudah pun dijual untuk pasaran Thailand, begitu juga dengan pasaran lain seperti di Australia. Malaysia juga tidak ketinggalan, dan akan menerima model terbabit kelak. Seperti yang kita sedia maklum, nama “Raptor” yang digunakan pada versi ini bukanlah sekadar melambangkan pertambahan aksesori kepada model Ranger T6.

    Ia dilengkapi dengan enjin diesel 2.0 liter EcoBlue turbo berkembar yang baru, membekalkan kuasa sebanyak 213 PS dan 500 Nm tork. Output ini bahkan lebih besar daripada janaan yang diberikan oleh enjin 3.2 liter Duratorq, yang hanya mengeluarkan 200 PS/470 Nm.

    Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan Getrag 10R80, dan bukan lagi kotak gear enam-kelajuan yang pernah digunakan pada varian 2.2L dan 3.2L sebelum ini. Kotak gear baru ini memberikan nisbah yang lebih luas, dengan pecutan dan maklum balas yang bertambah baik serta pertukaran gear yang lebih cepat.

    Ford Ranger Raptor 2018 pemasangan Thai dimulakan

    Perubahan mekanikal lain yang turut membezakan model lebih “liar” ini dari versi biasa adalah angkup brek hadapan dengan dua-pot 9.5 mm lebih besar bersama cakera berliang 332 mm, dan juga angkup omboh tunggal 54 mm pada bahagian belakang.

    Manakala untuk suspensi pula, geometrinya telah diubah semula serta menerima pelbagai peralatan berprestasi tinggi. Untuk bahagian hadapan, ia diberikan set penyerap hentak yang menonjol, manakala bahagian belakang pula menerima sistem dengan spring jenis gegelung. Gandar belakang juga dibekalkan dengan Watt’s Linkage bagi memastikan ia hanya bergerak turun-naik, dan mengurangkan peralihan sisi walaupun pada kelajuan tinggi.

    Keempat-empat ‘kaki’ Ranger Raptor ini menerima penyerap hentak 46.6 mm berprestasi tinggi Fox Racing Shox bersama sistem Position Sensitive Damping (PSD). Sistem tersebut mampu menyerap kejutan tinggi apabila trak pikap ini dibelasah pada laluan off-road, serta memberikan keselesaan ketika dipandu pada jalan raya biasa. Ia juga diberikan tayar all-terain dari BF Goodrich bersaiz 285/70, membaluti set rim unik berdiameter 17-inci.

    GALERI: Pendedahan Ford Ranger Raptor untuk peringkat global di Thailand

     
     
  • Subaru Forester e-Boxer hibrid 2019 pasaran Jepun diperkenal – mungkin akan turut dijual di Australia

    Subaru Forester e-Boxer hibrid 2019 pasaran Jepun diperkenal – mungkin akan turut dijual di Australia

    Subaru Forester generasi baharu telah pun membuat kemunculan sulungnya di New York Mac lalu, manakala untuk pasaran Jepun, SUV tersebut telah pun dihasilkan dalam versi e-Boxer iaitu model yang diberikan unit janakuasa hibrid.

    Walaupun diberikan bantuan motor elektrik yang disuap oleh bateri lithium ion, Forester e-Boxer ini sebenarnya masih mengekalkan DNA Subaru iaitu dengan penggunaan enjin bentangan boxer empat-silinder bersama sistem pacuan semua roda. Bagaimana sistem berkenaan beroperasi?

    Sistem tersebut masih lagi menggunakan enjin petrol NA 2.0 liter dari siri FB (FB20) bersama suntikan bahan api terus yang mampu menghasilkan 145 PS dan tork maksima 188 – atau sedikit kurang berkuasa dari FB20 pada XV yang menjana 156 PS/196 Nm. Namun kuasa yang berkurangan tersebut mampu ditampung oleh motor elektrik berkuasa 13.6 PS/65 Nm yang dipadankan secara bersepadu dengan kotak gear Lineartronic CVT pada SUV ini.

    Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri lithium-ion yang terletak di bawah lantai ruang kargo belakang (tanpa menjejaskan bentangan sistem pacuan semua roda) dan akan dicas semula ketika membrek. Bateri tersebut secara tidak langsung mengurangkan kapasiti but Forester ini dari 520 liter pada versi petrol sepenuhnya kepada hanya 509 liter.

    Walau bagaimanapun, sistem berkenaan jelas memberikan kelebihan kepada penggunaan bahan api di mana Forester e-Boxer ini mencapai bacaan penggunaan bahan api 18.6 km untuk setiap liter petrol dalam ujian kitaran JC08 Jepun.

    Ini dapat dicapai kerana menerusi sistem berkenaan, Forester e-Boxer mampu bergerak dengan hanya kuasa elektrik tanpa enjin petrol hidup pada kelajuan rendah, namun dalam jarak yang terhad. Untuk kelajuan pertengahan pula, enjin petrol akan beroperasi dengan beban yang lebih rendah dari biasa kerana dibantu dengan operasi motor elektrik bagi menggerakan SUV ini. Manakala pada kelajuan tinggi, hanya enjin petrol beroperasi sambil mengecas semula bateri sistem hibrid.

    Subaru Forester generasi baharu ini dibina berasaskan Subaru Global Platform baharu, sama seperti XV dan juga Impreza generasi terkini. Platform berkenaan sememangnya telah pun direka bagi memuatkan sistem hibrid tersebut, dan turut tidak bermasalah bagi menggunakan sistem hibrid plug-in (PHEV) mahupun elektrik sepenuhnya.

    Untuk pengetahuan anda juga, sistem hibrid pada Forester ini bukanlah sistem hibrid pertama dari Subaru di mana sebelum ini mereka telahpun memadankan sistem yang hampir sama pada XV, tetapi menggunakan enjin FB20 tanpa sistem suntikan bahan api terus, manakala bateri pula digunakan dari jenis nikel-logam hidrat.

    Subaru juga menyatakan mereka akan memperkenalkan sistem PHEV tahun ini bermula pada XV generasi baharu, yang akan menerima sistem hibrid dari Toyota – hasil kerjasama teknikal kedua-dua jenama tersebut.

    Pendaftaran bagi mereka yang menunjukkan minat turut telah bermula di Australia untuk Forester ini, tetapi spesifikasi rasmi serta harga untuk pasaran berkenaan masih lagi belum diumumkan. Malaysia juga berpotensi untuk menerima model yang sama, tetapi bila ia akan mendarat di sini masih lagi belum dapat dijangka.

    GALERI: Subaru Forester generasi baharu di New York International Auto Show 2018

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025