Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jaguar F-Pace 2.0L Ingenium dilancar – dari RM426k

    Jaguar F-Pace 2.0L Ingenium dilancar – dari RM426k

    Jaguar Land Rover Malaysia telah melancarkan secara rasmi model F-Pace permulaan, iaitu yang dikuasakan enjin Ingenium petrol empat silinder 2.0 liter. Sebelum ini, SUV pertama Jaguar tersebut ditawarkan di Malaysia dalam satu varian sahaja, iaitu yang dikuasakan oleh enjin petrol V6 3.0 liter supercharged.

    Untuk F-Pace 2.0L ini, tiga trim ditawarkan bermula dengan Prestige pada harga RM425,800, R-Sport Mid-spec RM476,800 dan R-Sport Hi-spec RM498,800. Melihat kepada varian tertinggi F-Pace 2.0L ini, ia adalah RM100,000 lebih murah berbanding F-Pace 3.0L V6 Prestige pada harga RM598,800. Harga ini termasuk GST, tetapi tanpa insurans, dan didatangkan bersama jaminan lima tahun, program Jaguar Care, servis percuma lima tahun atau 65,000 km dan bantuan tepi jalan tiga tahun.

    Semua tiga trim yang ditawarkan ini masih menggunakan enjin sama, iaitu unit 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan 250 PS dan 365 Nm tork (kurang 90 PS dan 85 Nm berbanding 3.0L V6). Dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan ZF 8HP45 dan pacuan semua roda, SUV ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat. Ada juga satu lagi versi yang ditala untuk menghasilkan 300 PS, tetapi masih tidak diberitahu akan tiba di Malaysia.

    Menurut Jaguar, transmisi pada F-Pace 2.0L ini lebih kompak dan ringan berbanding unit 8HP70 yang digunakan pada model V6 supercharged. Pada transmisi ini, terdapat torque converter yang mempunyai penyerap yang boleh mengurangkan gegaran semasa di kadar rpm rendah.

    Model ini juga datang dengan Configurable Dynamics, yang membolehkan pemandu memilih tetapan antara Normal atau Sports, untuk mengubah tindak balas pendikit, kotak gear dan stereng. Turut diberi adalah suspensi Adaptive Dynamics yang dapat mengubah tetapan suspensi bergantung kepada aktiviti pecutan, selekoh, pendikit dan pedal brek.

    Dari aspek penampilan, ia tidak banyak beza dengan model 3.0L. Muka hadapan sebahagian besarnya adalah sama dengan terdapat lampu utama LED, gril mesh besar, bahagian bawah bampar dengan lampu DRL LED dan air curtain. Kelengkapan standard lain adalah rim 20 inci, pintu but kuasa letrik dan bumbung panoramik.

    Varian R-Sport Hi-spec pula mendapat tambahan sistem kamera keliling 360 darjah, adaptive cruise control dengan queue assist dan panel instrumen digital penuh 12.3 inci dengan empat tema grafik. Anda juga boleh melihat lebih lanjut spesifikasi F-Pace ini di CarBase.my.

    GALERI: Jaguar F-Pace 2.0L Ingenium R-Sport


    GALERI: Jaguar F-Pace 2.0L Ingenium R-Sport Black Pack

     
     
  • VIDEO: Xing Mobility Miss R – supercar elektrik rali

    Syarikat dari Taipei, Xing Mobility telah menunjukkan kereta supercar elektrik terbaru mereka, Miss R melalui satu video ia diuji atas jalan biasa dan jalan offroad. Kereta yang menggunakan elektrik sepenuhnya, dengan kuasa boleh mencecah 1,341 hp ini sedang diuji untuk pembangunan selanjutnya.

    Menurut syarikat itu, Miss R mempunyai inspirasi daripada kenderaan rali, dan penilaian yang sedang dilakukan bertumpu kepada prestasinya di atas jalan offroad, seterusnya memberikan maklum balas berharga untuk bahagian ketahanan, pengendalian, tetapan suspensi, penyampaian kuasa dalam mod offroad serta bentuk tayar dan fender.

    Miss R dikuasakan oleh empat motor elektrik 350 volt, yang mendapat tenaga daripada pek bateri 98 modul, 4,116 sel, dan boleh menghasilkan sehingga satu Megawatt kuasa, bersamaan 1,341 hp. Catatan prestasi lain adalah pecutan 0-100 km/j dalam masa 1.8 saat dan 0-200 km/j dalam masa 5.1 saat. Laju maksimum pula lebih daripada 270 km/j.

    Sistem bateri yang dibangunkan oleh Xing mempunyai teknologi penyejukan rendaman, di mana baterinya yang bertingkat diletakkan dalam satu perumah tertutup yang mempunyai cecair Novec 7200 3M. Ini juga pertama kali cecair tersebut digunakan untuk penyejukan bateri modular pada kenderaan elektrik.

    Xing juga memberitahu sistem bateri mereka pada masa ini adalah antara pek bateri EV yang mempunyai ketumpatan kuasa paling tinggi dalam pasaran, menawarkan sehingga 50% penjimatan berat, berbanding bateri standard lain dalam industri. Ia juga menampilkan ciri penukaran pantas, yang boleh ditukar dalam masa lima minit sahaja.

     
     
  • KLIMS 18 terima sambutan menggalakkan, MAA gesa lebih banyak pemain industri di Malaysia ikut serta

    KLIMS 18 terima sambutan menggalakkan, MAA gesa lebih banyak pemain industri di Malaysia ikut serta

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyatakan telah menerima sambutan yang sangat mengalakkan bagi penganjuran Kuala Lumpur International Motor Show 2018 (KLIMS 18) sejak diumumkan Januari lalu. Pameran itu juga akan berlangsung di tempat baru, di bangunan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Jalan Duta.

    Dengan tema “Beyond Mobility”, KLIMS 18 menjanjikan konsep pameran yang segar serta pelancaran model baru yang menarik. Setakat ini, jenama-jenama utama yang sudah mengesahkan penyertaan mereka antaranya adalah seperti Daihatsu, Ford, Honda, Hyundai, Infiniti, Isuzu, Kia, Lexus, Mitsubishi, Nissan, Peugeot, Perodua, Proton, Toyota, UD, Kawasaki, Honda motosikal, 3M, Elite Looks, dan V-Kool.

    “Kami sangat gembira dengan maklum balas yang diberikan terhadap KLIMS 18, memandangkan ia tidak akan berjaya sekiranya tanpa sokongan daripada pemain industri di Malaysia dan juga orang ramai,” jelas Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad.

    Pihak penganjur mensasarkan untuk menghimpunkan 100 pempamer dan lebih dari 350,000 pengunjung tahun ini. “Untuk itu, masih ada masa bagi pemain dan penggerak industri yang lain itu turut serta di dalam pameran kali ini. Kami gesa pihak-pihak yang berminat akan membuat tempahan ruang pameran secepat mungkin.

    KLIMS 18 terima sambutan menggalakkan, MAA gesa lebih banyak pemain industri di Malaysia ikut serta

    “Bagi UMW Toyota, kami gembira kerana KLIMS akan kembali lagi tahun ini. Sudah tentu kami akan terlibat sama dalam pameran ini, seperti juga pada edisi-edisi yang dianjurkan sebelum ini. Kami juga bercadang untuk menunjukkan masa depan mobiliti kepada pengunjung,” tambah Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran Kurusamy.

    Bahagian automotif Sime-Darby pula akan diwakili oleh dua jenama yang diedarkan syarikat itu – Ford dan Hyundai. “Bagi Ford, ia bukan sekadar pameran biasa. Kami turut akan bawa tema masa depan teknologi dan keselamatan pada kenderaan untuk dipersembahkan kepada pengunjung,” jelas Pengarah Urusan Sime Darby Motors, Dennis Ho.

    Bagi Hyundai pula, yang akan menjadi tumpuan utama tentunya barisan SUV terbaru jenama itu yang menampilkan konsep Modern Premium untuk dibawa dan dipamerkan di hadapan khalayak Malaysia.

     
     
  • Naza EC dianugerah kontrak bina jalan bertingkat 2.8 km di Jalan Tun Razak, beri kelegaan kepada trafik

    Naza EC dianugerah kontrak bina jalan bertingkat 2.8 km di Jalan Tun Razak, beri kelegaan kepada trafik

    Naza Engineering & Construction Sdn Bhd (Naza EC) telah dianugerahkan satu kontrak bernilai RM450 juta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membina jalan bertingkat tiga lorong satu hala dari Jalan Langgak Golf ke Bulatan Kampung Pandan.

    Jalan bertingkat ini mempunyai panjang 2.8 kilometer dan juga akan menghubungkan beberapa laluan lain termasuk Jalan Bukit Bintang, Jalan Kampung Pandan, Lebuh Raya Maju (MEX) dan Setiawangsa Pantai Expressway (SPE) yang kini masih dalam pembinaan.

    Dijangka mengambil masa selama dua tahun untuk dibina dan siap pada pertengahan tahun 2019, jalan yang dinamakan sebagai Tun Razak External Road ini akan dapat membantu mengurangkan kesesakan di Jalan Tun Razak dan mampu menampung sekitar 2,400 kenderaan pada waktu puncak.

    Naza EC dianugerah kontrak bina jalan bertingkat 2.8 km di Jalan Tun Razak, beri kelegaan kepada trafik

    Majlis pecah tanah projek ini dilakukan pagi tadi, sambil dihadiri oleh timbalan menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Bala Mohan, ketua setiausaha kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd Aziz, pengerusi eksekutif bersama Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, SM Nasarudin SM Nasimuddin dan timbalan pengerusi eksekutif Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, SM Faliq SM Nasimuddin.

    Jalan bertingkat ini tidak akan dikenakan sebarang bayaran atau tol, dan dijangka dapat memberi kelegaan kepada pengguna Jalan Tun Razak kerana ia adalah jalan utama untuk keluar dari Kuala Lumpur. Projek ini sudah pun berjalan sejak 10 Julai 2017 dan dijangka siap pada 9 Julai 2019.

     
     
  • Lexus ES 2019 – imej bocor tunjuk inspirasi dari LS

    Lexus ES 2019 – imej bocor tunjuk inspirasi dari LS

    Gambar yang ada lihat ini khabarnya dari model Lexus ES 2019 serba baru yang akan dilancarkan tahun ini. Kalau betul, nampak gayanya kereta sedan eksekutif itu akan mengambil inspirasi penggayaan dari model flagship limosin Lexus LS.

    Berbanding model facelift semasa yang diperkenalkan pada 2015, imej yang kelihatan ini memberikan penampilan berlainan kepada model ES. Rekaan dan ruang gril yang luas kini menempatkan jalur dalam alur menegak – lebih rapat di atas dan semakin terbuka di bahagian bawahnya.

    Sekali pandang, rekaan pada bonetnya juga ada pembaharuan; lekuk dan garis yang ditempatkan di situ memberikan elemen pemanpilan yang tidak ada sebelum ini pada model berkenaan. Ini dilengkapkan lagi dengan rekaan lampu utama yang lebih “tajam”, yang disepadukan dengan lampu DRL LED.

    Khabarnya Lexus ES 2019 ini akan menggunakan platform TNGA, sama seperti yang ada pada Toyota Camry terkini. Ini tentunya akan memberikan ruang yang lebih luas bagi ES. Untuk pasaran Amerika, Camry di sana turut ditawarkan dengan enjin V6 baru yang mungkin akan ditawarkan juga pada Lexus ES ini. Dan, seperti model Lexus yang lain, ada kemungkinan versi hibrid turut akan ditawarkan.

    Lexus ES 250 Luxury 2016 di Malaysia

     
     
  • Chevrolet Camaro 2019 – Turbo 1LE, 275 hp/400 Nm

    Chevrolet Camaro 2019 – Turbo 1LE, 275 hp/400 Nm

    Sehari dua ini, nama Chevrolet kembali menjadi perhatian dunia automotif. Ini disebabkan pengenalan beberapa model baru 2019 yang mula didedahkan kepada umum. Ini termasuklah model dari segmen D, Chevrolet Malibu 2019 yang ditampilkan dalam versi facelift seperti yang kami laporkan semalam.

    Tapi, ia tidak berakhir di situ. Ada satu lagi model yang lebih menarik yang akan menemui peminatnya nanti, iaitu Chevrolet Camaro 2019. Dalam perkembangan terbaru, pengeluarnya telah pun mendedahkan perincian lanjut – serta penawaran enjin dan spesifikasi – bagi kereta sport itu.

    Perubahan paling utama yang dilakukan ialah pada bahagian wajah depannya; kini dengan penggayaan yang lebih agresif. Chevrolet menggelarnya sebagai “performance-design design”, merujuk kepada penggunaan bukaan udara yang lebih besar untuk meningkatkan aliran udara.

    Chevrolet Camaro 2019 – Turbo 1LE, 275 hp/400 Nm

    Camaro 2019 ini ditawarkan dalam lima peringkat kemasan yang berbeza – LS, LT, RS, SS dan ZL1 dengan setiap satunya mempunyai perbezaan elemen rekaan pada muka hadapan. Antara pembaharuan yang diberikan ialah lampu LED dua elemen serta rekaan hood baru, dengan versi ZL1 masih mengekalkan rekaan untuk optimumkan aliran udara.

    Bagi versi SS pula, buat pertama kali ia dihadirkan dengan rekaan “flowtie” yang lebih terbuka untuk memberikan pengudaraan yang lebih banyak – tambahan 2.5 kubik meter per minit – ke bahagian enjin.

    Selain itu, RS Appearance Package juga akan ditawarkan bagi model LT, membolehkannya menerima gril hitam berkilat dengan perincian Galvano Chrome, lampu utama LED dengan jalur LED khusus, rekaan belakang unik dengan elemen diffuser serta rim 20-inci.

    Chevrolet Camaro 2019 – Turbo 1LE, 275 hp/400 Nm

    Berkaitan rekaan bahagian belakang pula, ia adalah serba baru untuk semua model Camaro, di mana versi RS dan SS menerima elemen diffuser yang spesifik dengan dilengkapi Dual Mode Exhaust.

    Bahagian kabin bagaimanapun hanya diberikan kemaskini yang sedikit sahaja. Antaranya ialah pilihan pencahayaan suasana serta cermin dengan kamera undur belakang pada model SS dan ZL1. turut melengkapi versi baru Camaro ini ialah sistem Infotainment 3 – juga dengan sambungan Bluetooth yang lebih baik, pertambahan aplikasi sedia ada dan paparan grafik yang lebih kemas.

    Dari sudut mekanikal, peningkatan paling utama boleh didapati pad model SS yang paling berprestasi. Enjin V8 yang digunakan kini dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan dengan ciri custom launch control dan line lock.

    Ada satu enjin baru yang turut ditawarkan kali ini – enjin Turbo 1LE empat-silinder. Ia menggunakan kapasiti enjin 2 liter turbocas yang sama dengan Camaro biasa, dengan janaan 275 hp dan 400 Nm tork yang digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual secara eksklusif.

    Ia juga menggunaan suspensi yang ditala secara khusus (diameter yang lebih besar dengan palang penstabil di belakang serta penyerap hentak yang ditala secara spesifik), imbangan berat hampir kepada 50/50 serta Track Mode dan Commpetition Mode.

    Khabarnya Chevrolet Camaro 2019 serta versi Turbo 1LE ini akan mula dijual tahun ini, bagaimanapun belum ada sebarang pengesahan tentang harganya setakat ini. Camaro 2019 akan menjadi teras utama bagi penawaran dari Chevrolet dalam barisan model 2019, yang turut disertai oleh model-model Malibu, Cruze dan Spark.

     
     
  • Peranti RFID akan diberi percuma seawal tahun depan

    Peranti RFID akan diberi percuma seawal tahun depan

    Pengguna dengan kenderaan yang didaftarkan di Malaysia mungkin akan menerima peranti radio frequency identification (RFID) bermula awal tahun hadapan, menurut kerajaan. Peranti ini adalah untuk kegunaan sistem RFID Tag dilaluan tol bagi tujuan pungutan tol secara elektronik yang sedang dijalankan di kebanyakan plaza di lebuhraya utama ketika ini.

    Seperti dilaporkan oleh NST, kerajaan sedang mempertimbangkan pelaksanaan sistem ini di semua jalan bertol yang lain di seluruh negara, dan ketika ini sedang berbincang dengan pihak Touch n’ Go untuk mengagihkan tag berkenaan secara percuma.

    “Sistem e-wallet Touch n’ Go sedang dibangunkan untuk membolehkan caj tol dilakukan melalui RFID yang dihubungkan kepada e-wallet berkenaan berbanding hanya penggunaan kad Touch n’ Go yang ada ketika ini,” jelas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi dalam sesi di Parlimen sebelum ini.

    “Menjelang awal tahun depan, RFID sepatutnya sudah tersedia untuk kenderaan pendaftaran tempatan, dan kerajaan sedang berbicang dengan pihak Touch n’ Go untuk mengedarkannya secara percuma,” tambah beliau.

    Pelaksanaan sistem RFID ini adalah sama dengan sistem Electronic Road Pricing (ERP) yang digunakan di Singapura dan akan memansuhkan penggunaan kad Touch n’ Go di Malaysia secara berperingkat di plaza-plaza tol. Tag RFID ini akan dibaca melalui pengimbas pada laluan tol, dan tempoh masa bagi setiap kenderaan terpaksa berhenti akan dapat dikurangkan atau dihapuskan sama sekali.

     
     
  • Aston Martin DB11 V8 semakin hampir tiba Malaysia?

    Aston Martin DB11 pertama kali dilancar di Malaysia pada bulan September 2016, dan ia didatangkan dengan enjin V12 5.2 liter twin turbo dan harga sekitar RM2 juta. Kini, nampaknya seperti Aston Martin Kuala Lumpur bersedia untuk memperkenalkan pula DB11 dengan enjin V8, dan teaser baginya kelihatan dimuat naik di Facebook rasmi syarikat itu.

    Model ini pertama kali diperkenalkan secara global Jun tahun lepas, dan enjin V8 4.0 liter twin turbo yang digunakan tersebut adalah datang daripada Mercedes-AMG, iaitu rakan kongsi teknikal bagi Aston Martin. Pada DB11, enjin ini mampu menghasilkan 510 PS dan 675 Nm, dan sedikit lebih kuasa berbanding Mercedes-AMG GT yang menggunakan enjin sama.

    Sudah tentu, kalau dibandingkan dengan DB11 berenjin V12, versi V8 ini kurang sedikit kuasanya (DB11 V12 berkuasa 608 PS dan 700 Nm), dan ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan ZF, dan bukannya transmisi klac berkembar tujuh kelajuan. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa empat saat, dengan kelajuan maksimum 301 km/j.

    Aston Martin DB11 V8 semakin hampir tiba Malaysia?

    Dibandingkan lagi dengan DB11 V12, model V8 yang akan datang ini lebih ringan 115 kg, iaitu mencatat berat 1,760 kg, dan datang dengan tapak enjin serta sistem takungan minyak yang berbeza. Perubahan lain yang dibuat adalah suspensi dan perisian ESP yang ditala semula untuk memastikan dinamik pemanduan yang optima.

    Secara visual, model V8 boleh dibezakan dengan model V12 melalui dengan bonet yang hanya mempunyai dua skup di tepi (V12 ada empat), kemasan rim lain dan hiasan gelap pada lampu hadapan. Bahagian dalam pula kebanyakannya sama, dan boleh didapati dengan pelbagai kelengkapan pilihan daripada Q by Aston Martin.

     
     
  • Ford Ranger Raptor bakal dijual pada harga RM223k di Australia – RM39k lebih mahal dari versi Wildtrak

    Ford Ranger Raptor bakal dijual pada harga RM223k di Australia – RM39k lebih mahal dari versi Wildtrak

    Selepas Thailand, giliran Australia pula bakal menerima trak pikap Ranger T6 versi berprestasi tinggi sebenar iaitu Ranger Raptor. Menurut laporan CarAdvice, Ford Australia telah mengumumkan bahawa model berkenaan bakal dijual pada harga AUD$74,990 (RM222,528) dan akan menjengah bilik pameran tahun ini juga.

    Oleh itu, pada pasaran berkenaan, Raptor dijual AUD$13,200 (RM39,170) lebih mahal dari Wildtrak di mana model teratas dengan enjin 3.2L turbodiesel berkenaan dijual pada harga AUD$61,790 (RM183,358). Sebagai perbandingan, di Thailand Ranger Raptor dijual pada harga 1.699 juta baht (RM210,000), manakala pada pasaran Malaysia versi Wildtrak dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM139,838.

    Sebagai model berprestasi tinggi sebenar, Ranger Raptor dijana enjin diesel EcoBlue 2.0 liter baharu, yang disuap dengan dua buah pengecas turbo. Walaupun dengan kapasiti lebih kecil, enjin ini mampu mengekstrak 213 PS/500 Nm, berbanding enjin 3.2 liter lima-silinder Duratorq pada Ranger standard yang menghasilkan 200 PS/470 Nm.

    Enjin empat-silinder tersebut digandingkan dengan kotak gear automatik Getrag 10R80 10-kelajuan, menggantikan transmisi 6R80 enam-kelajuan automatik pada Ranger T6 biasa. Kotak gear ini menawarkan nisbah gear yang lebih lebar, bersama daya pecutan dan tindak balas yang lebih pantas serta penukaran gear yang lebih laju.

    Perubahan mekanikal lain yang turut membezakan model lebih liar ini dari versi biasa adalah angkup brek hadapan dengan dua-pot 9.5 mm lebih besar bersama cakera berliang 332 mm, dan juga angkup omboh tunggal 54 mm pada bahagian belakang.

    Manakala untuk suspensi pula, geometrinya telah diubah semula serta menerima pelbagai peralatan berprestasi tinggi. Untuk bahagian hadapan, ia diberikan set penyerap hentak yang menonjol, manakala bahagian belakang pula menerima sistem dengan spring jenis gegelung. Gandar belakang juga dibekalkan dengan Watt’s Linkage bagi memastikan ia hanya bergerak turun-naik, dan mengurangkan peralihan sisi walaupun pada kelajuan tinggi.

    Keempat-empat ‘kaki’ Ranger Raptor ini menerima penyerap hentak 46.6 mm berprestasi tinggi Fox Racing Shox bersama sistem Position Sensitive Damping (PSD). Sistem tersebut mampu menyerap kejutan tinggi apabila trak pikap ini dibelasah pada laluan off-road, serta memberikan keselesaan ketika dipandu pada jalan raya biasa. Ia juga diberikan tayar all-terain dari BF Goodrich bersaiz 285/70, membaluti set rim unik berdiameter 17-inci

    Bahagian luaran, Raptor lebih kecil ini turut dipengaruhi dengan rekaan dari F-150 Raptor. Gril hadapan kemasan dengan tulisan ‘FORD’ besar diberikan pada trak ini. Bampar hadapan pula direka bagi membolehkan ia dipasang terus pada kerangka badan dan ia dibina dengan prestasi ketahanan tinggi dan turut menempatkan lampu kabus LED dan liang aliran udara yang berfungsi.

    Ford Ranger Raptor bakal dijual pada harga RM223k di Australia – RM39k lebih mahal dari versi Wildtrak

    Flare pada setiap fender pula dibina dari bahan komposit bagi membolehkan ia bertahan dari kerosakan fizikal seperti calar dan lekuk, serta direka bagi disesuaikan dengan pergerakan strok suspensi lebih panjang serta roda yang lebih besar. Manakala pada bampar belakang pula, ia turut dilengkapi dengan bar tunda bersama dua cangkuk penyelamat yang mampu menampung beban 3.8 tan.

    Masuk ke kabin, Ranger Raptor menampilkan imej sebuah model Ford Performance sebenar. Tempat duduk trak ini direka bagi menampung prestasi ketika pemandu berseronok di laluan off-road, disokong dengan roda stereng sport bersama pedal penukar gear dari material magnesium. Secara keseluruhan, kabin ini diberikan upholsteri kulit bersama serlahan jahitan benang biru, manakala kluster paparan pula dibina untuk kawalan pelbagai mod pemanduan.

    Ford Ranger Raptor juga nampaknya hampir pasti di bawa ke Malaysia kerana selepas pendedahan model ini diperingkat global, satu laman khas untuk model berkenaan telah muncul pada laman sesawang rasmi Ford Malaysia yang dibuat bagi sesiapa yang berminat untuk mendaftarkan minat mereka. Harga untuk model ini masih lagi menjadi teka-teki, tetapi harga di Thailand dan Australia yang telah diketahui seperti di atas mungkin boleh menjadi bayangan petunjuk.

    GALERI: Pendedahan Ford Ranger Raptor untuk peringkat global di Thailand

     
     
  • Kia Grand Carnival 2.2D SX – varian baharu RM188,888

    Kia Grand Carnival 2.2D SX – varian baharu RM188,888

    Naza Kia Malaysia telah memperkenalkan varian SX baru bagi MPV lapan tempat duduk mereka iaitu Grand Carnival. Varian ini ditawarkan kepada pasaran pada harga RM188,888 tidak termasuk insurans dan menggantikan varian EX, iaitu varian paling tinggi bagi Grand Carnival CKD sebelum ini.

    Dari luar, varian SX ini boleh dibezakan dengan adanya rim 19 inci Chrome Sputtering Type (berbanding rim 18 inci pada varian KX), gril mesh berbintik warna hitam berkilat, lampu kabus bentuk bulat bersama kemasan krom di sekelilingnya serta lampu HID dengan Diamond Glitter Type Positioning Lamp dan Auto Levelling System.

    Masuk ke dalam pula, Grand Carnival SX ini didatangkan tempat duduk yang dibalut kulit dua tona warna burgundy, sistem audio dengan skrin sesentuh lapan inci yang boleh disambung dengan Android Auto dan Apple CarPlay dan panel instrumen berserta skrin TFT LCD tujuh inci untuk pemandu.

    Satu peningkatan utama untuk penumpang belakang pada varian SX ini adalah ia dilengkapi dengan dua skrin yang diletakkan di belakang penyandar kepala tempat duduk paling hadapan, dan ia boleh disambung dengan WiFi. Model ini juga dilengkapi dengan enam pembesar suara, serta sambungan USB dan AUX.

    Bahagian utama lain kenderaan ini masih lagi sama termasuk enjin, menggunakan unit 2.2 liter empat-silinder CRDi turbodiesel dengan janaan kuasa sebanyak 190 hp pada 3,800 rpm dan 440 Nm tork dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Ia digandingkan dengan sistem transmisi automatik enam-kelajuan.

    Orang ramai boleh memilih empat warna untuk Grand Carnival 2.2D SX ini iaitu Snow White Pearl, Aurora Black Pearl, Blackberry (tambahan baru) dan Silky Silver (khas untuk SX). Ia juga datang secara standard dengan Electronic Stability Control (ESC), Hill Start Assist System, ABS, enam beg udara, auto cruise control, pintu gelungsur kuasa elektrik dan sistem pemasukan tanpa kunci.

    Jaminan yang diberi adalah selama lima tahun tanpa had batuan. Anda juga boleh melihat spesifikasi penuh Kia Grand Carnival ini di CarBase.my.

     
     
  • Toyota dan Subaru akan bangunkan 86/BRZ baharu?

    Toyota dan Subaru akan bangunkan 86/BRZ baharu?

    Jika mengikutkan laporan daripada Japan Times, Toyota 86 dan Subaru BRZ berkemungkinan akan datang dengan generasi kedua. Menurut sumber itu, versi serba baru 86 dan BRZ akan tampil pada tahun 2021, dan ini adalah lebih lambat berbanding informasi yang pernah dilaporkan sebelum ini.

    Antara perubahan yang dilaporkan sudah dirancang adalah termasuk enjin lebih besar – menjadi 2.4 liter daripada 2.0 liter – tetapi tidak diberitahu sama ada ia akan menggunakan sebarang pendesak kuasa seperti turbo atau supercharger. Permintaan popular untuk model sekarang ini adalah penambahan pengecas turbo, tetapi menurut ketua jurutera 86 dan Supra, Tetsuya Tada, ini akan mengganggu kestabilan kenderaan dan memerlukan platform serba baru.

    Toyota dan Subaru akan bangunkan 86/BRZ baharu?

    Kereta generasi baru ini juga dikata akan datang dengan lebih banyak teknologi, yang besar kemungkinan akan termasuk Subaru EyeSight, Toyota Safety Sense dan sistem bantuan pemandu lain. Pengendalian lebih mantap juga satu lagi bahagian yang akan dinaik taraf, dan platform Subaru Global (yang digunakan untuk Forester, XV dan Impreza) boleh menjadi permulaan yang baik.

    Toyota 86 dan Subaru BRZ sudah berada di pasaran sejak tahun 2011, dan telah diperbaharui pada tahun 2016. Model yang disegarkan semula tersebut sudah pun berada di Malaysia sejak bulan Julai tahun lepas, dengan harga jualan RM257,502 tidak termasuk insurans untuk 86 dan RM224,389 untuk BRZ.

     
     
  • Perodua perkenal sistem pemantau tekanan angin tayar Bluetooth, aksesori asli dalam barisan GearUp

    Perodua perkenal sistem pemantau tekanan angin tayar Bluetooth, aksesori asli dalam barisan GearUp

    Sebelum ini GearUp sering menampilkan aksesori melibatkan kosmetik untuk Perodua seperti kit badan dan seumpamanya. Terbaharu, Perodua telah mengumumkan satu aksesori baharu yang berbeza dari sebelum ini iaitu Smart Bluetooth TPMS (Tyre Pressure Monitoring System), iaitu sistem yang membolehkan anda memantau tekanan angin tayar setiap masa.

    Produk ini dibangunkan dan diproduksi secara tempatan, serta dijual pada harga pengenalan RM385 sehingga 30 Jun ini. Selepas dari tarikh berkenaan, sistem TPMS Bluetooth ini akan dijual pada harga RM430. Sama seperti barisan aksesori GearUp yang lain, ia dilindungi waranti selama enam-bulan selepas pembelian.

    “Dengan Smart Bluetooth TPMS, Perodua telah menjadi pengeluar kenderaan Malaysia pertama yang memperkenalkan sistem pemantau angin tayar yang berfungsi dengan aplikasi mudah-alih sebagai aksesori asli. Kami di Perodua bangga dengan mengutamakan produk tempatan dan berbuat perkara yang sama, menyumbang kepada ekosistem automotif tempatan,” kata pengarah urusan jualan Perodua, Datuk Dr Zahari Husin.

    Menurutnya lagi, dengan memastikan tayar sentiasa mempunyai angin yang mencukupi dan memanjangkan jangka hayatnya, ia juga secara tidak langsung mengurangkan penggunaan petrol serta membantu keselamatan keseluruhan sesebuah kenderaan itu.

    Smart Bluetooth TPMS ini terdiri dari empat penderia dan satu peranti yang diletakkan di dalam kereta. Setiap penderia berkenaan akan diskru pada setiap injap angin tayar, menggantikan tempat penutup injap biasa. Ia akan menghantar isyarat bacaan tekanan angin tayar kepada peranti di dalam kereta menerusi hubungan Bluetooth.

    Peranti berkenaan pula diberikan empat lampu, mewakili keempat-empat tayar kereta. Sekiranya tekanan angin pada mana-mana tayar berkurangan 8% dari jumlah yang disyorkan, ia akan mengeluarkan bunyi, manakala lampu penunjuk tayar yang dikesan tersebut pula akan menyala.

    Anda juga boleh memuat-naik aplikasi telefon pintar FOBO Tire untuk memantau tekanan angin dan juga suhu setiap tayar berkenaan juga menerusi hubungan Bluetooth. Aplikasi ini turut menyimpan data pada cloud bagi membolehkan ia dikongsi bersama pengguna lain yang dijemput, contohnya ahli keluarga terdekat.

    Tentu ramai yang bertanya adakah setiap penderia berkenaan mudah dicuri bukan? Menurut Perodua, setiap penderia tersebut boleh dikunci menggunakan spana kunci khas yang disertakan. Setiap penderia berkenaan menerima kuasa dari bateri sel-syiling, manakala untuk peranti pula berfungsi dengan bateri bersaiz AA (kesemua bateri diberikan sekali) dan ia turut diberikan penderia pergerakan bina-dalam, yang membolehkan ia dialih kepada mod tidur secara automatik sekiranya tiada pergerakan dikesan.

    Selain produk baharu ini dan juga kit-kit kemasan dan badan, Perodua GearUp turut menawarkan tempat duduk keselamatan untuk kanak-kanak pada Oktober tahun lalu. Kelebihan pada kesemua aksesori asli ini, anda boleh membelinya ketika menempah kereta baharu, dan kesemua jumlah berkenaan boleh dimasukkan sekali dalam jumlah pembiayaan kereta tersebut.

     
     
  • Manifesto PRU14 Barisan Nasional – tumpuan bagi penyediaan dan naiktaraf sistem pengangkutan awam

    Manifesto PRU14 Barisan Nasional – tumpuan bagi penyediaan dan naiktaraf sistem pengangkutan awam

    Sebelum ini, kami pernah laporkan berkaitan manifesto PAS untuk Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) yang menyentuh sedikit sebanyak tantang industri automotif negara. Terbaru, Barisan Nasional pula mendedahkan manifesto parti itu; walaupun tidak menyentuk industri automotif secara khusus, ia antara lain melibatkan aspek penyediaan pengangkutan awam.

    Daripada manifesto berkenan, BN ingin memberi penekanan terhadap pembangunan kemudahan dan rangkaian pengangkutan awam negara. Antara perkara yang disebut ialah bahawa parti itu akan terus menaiktaraf dan menyelenggara jalan-jalan Persekutuan dengan baik, sebagai alternatif kepada lebuhraya bertol.

    BN juga akan memperkukuh rangkaian pengangkutan di Sabah dan Sarawak melalui naiktaraf jalan-jalan luar bandar yang meliputi 12,500 km keseluruhannya.

    Manifesto PRU14 Barisan Nasional – tumpuan bagi penyediaan dan naiktaraf sistem pengangkutan awam

    Peluasan rangkaian lebuhraya juga akan diteruskan, termasuk pembinaan fasa ketiga Lebuhraya Pantai Timur (LPT), sementara bagi Lebuhraya Pantai Barat (LPB) dari Banting ke Taiping akan disiapkan menjelang tahun 2020 nanti.

    Sementara itu, pembinaan Central Spine Road – atau lebuhraya Kuala Krai-Kuala Pilah – akan diteruskan. Selain mengurangkan kesesakan trafik, laluan sepanjang 325 km yang menghubungkan Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan itu mensasarkan untuk memacu pertumbuhan ekonomi di sepanjang laluan berkenaan.

    Tumpuan turut diberikan kepada projek-projek prasarana seperti pembinaan jalan-jalan kampung, jambatan dan pemasangan lampu jalan tambahan. Paling utama ialah pembinaan sebanyak 383 jambatan kecil di seluruh negara untuk merancakkan lagi perhubungan antara kawasan terpencil dengan bandar-bandar utama.

    Bagi peringkat individu, di bawah rancangan Transformasi Nasional 50 (TN50) akan menyaksikan pengenalan pas pengangkutan awam TN50 (kos dari RM50-RM150). Ini akan membolehkan capaian terhadap pengangkutan awal secara bulanan bagi pelajar, belia bekerja dan warga emas serta yang kurang upaya.

    Manifesto PRU14 Barisan Nasional – tumpuan bagi penyediaan dan naiktaraf sistem pengangkutan awam

    Selain itu, sebagai tambahan kepada program MyLesen, subsidi akan disediakan bagi belia luar bandar yang memohon untuk mendapatkan lesen motosikal B2.

    Lagi berkaitan pengangkutan awam; servis bas perantara akan dipertingkat, terutama kawasan sekitar rangkaian keretapi/tren seluruh negara. Antara pembangunan rangkaian ini yang dimaksudkan ialah HSR Singapura-Kuala Lumpur, East Coast Rail Link sejauh 688 km yang akan menghubungkan Port Klang-Pengkalan Kubor serta kerja-kerja laluan Gemas-Johor Bahru sepanjang 197 km juga masih dalam pembinaan.

    Manifesto berkenaan juga menekankan beberapa projek lain, termasuk rapid transit system (RTS) antara Johor Bahru-Singapura, rancangan pembinaan landasan elektrik dari Subang Jaya ke Terminal Subang Skypark serta landasan berkembar di Lembah Klang – dengan 42 km trek yang akan dibaik pulih. Projek-projek lain termasuk pengenalan sistem pengangkutan bersepadu pintar (ITS), yang akan meliputi semua jenis pengangkutan dan trafik di seluruh negara. Anda teruja dengan manifesto ini?

     
     
  • Chevrolet Malibu facelift 2019 – varian RS baharu, CVT untuk model 1.5L turbo serta rupa yang lebih segar

    Chevrolet Malibu <em>facelift</em> 2019 – varian RS baharu, CVT untuk model 1.5L turbo serta rupa yang lebih segar

    Setelah diperkenalkan buat pertama kali pada 2015, sedan segmen-d dari jenama Amerika Syarikat – Chevrolet Malibu – kini telah muncul dalam bentuk facelift 2019. Selain dari menampilkan rupa yang lebih relevan dalam pasaran, model ini juga diberikan pelbagai tingkat taraf lain, termasuk unit transmisi baharu.

    Pada bahagian luar, model 2019 ini diberikan muka menampilkan gril hadapan yang lebih besar dan garang, serta sepasang lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED dengan grafik baharu, menjadikan ia kelihatan lebih agresif. Di bahagian belakang pula, Malibu facelift menerima lampu LED “dua elemen” berbentuk-Y, manakala pada sisi perubahan dapat dilihat pada set-set rim dengan rekaan baharu.

    Untuk fasa facelift ini, Malibu kini mempunyai versi RS dalam barisan modelnnya. Versi lebih sporty berkenaan menerima kemasan luaran berwara hitam termasuk pada gril hadapan dan emblem “bowtie” Chevy. Model tersebut juga turut diberikan spoiler belakang, rim 18-inci dengan kemasan digilap serta dua tip ekzos. Walau bagaimanapun, Malibu RS masih kekal menggunakan lampu belakang lama, tidak menerima unit yang berbentuk-Y.

    Masuk ke kabin, model RS berkenaan menerima balutan kulit pada roda stereng dan juga tombol gear, bersama upholsteri fabrik hitam. Pemandu dan penumpang akan dihiburkan dengan skrin sesentuh lapan-inci pada sistem Chevrolet Infotainment 3 (dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto), manakala kamera undur diberikan standard pada semua varian. Untuk kemasan Premier, pemanas tempat duduk dan kluster informasi pemandu bersaiz lapan-inci yang boleh dikonfigurasikan semula turut ditambah.

    Chevrolet Malibu <em>facelift</em> 2019 – varian RS baharu, CVT untuk model 1.5L turbo serta rupa yang lebih segar

    Chevrolet Malibu 2019 hadir dengan tiga varian enjin petrol, bermula dari model asas yang dijana enjin turbo 1.5 liter berkuasa 160 hp/250 Nm yang digandingkan dengan kotak gear CVT baharu yang menggantikan kotak gear enam-kelajuan automatik. Manakala untuk versi paling berkuasa, ia digerakkan dengan enjin 2.0 liter turbo berkuasa 250 hp/352 Nm, bersama kotak gear automatik sembilan-kelajuan.

    Untuk versi lebih mesra alam Malibu Hybrid pula, ia menerima enjin petrol 1.8 liter berkuasa 182 hp, digandingkan dengan sistem dua motor elektrik dari Chevrolet Volt dan disuap dengan pek bateri lithium-ion 1.5 kWh, 80-sel. Dalam mod elektrik sepenuhnya, ia mampu dipandu pada kelajuan malar 55 bsj (88 km/j). Versi ini turut mengekalkan sistem Pemulihan Haba Gas Ekzos yang akan memindahkan haba dari ekzos untuk memanaskan enjin dan kabin.

    Untuk keselamatan pula, Malibu 2019 menerima platform keselamatan Teen Driver, 10-beg udara serta sistem kawalan kestabilan elektronik, ABS dan EBD. Ciri opsyen yang ditawarkan pula termasuk sistem amaran pejalan kaki hadapan, bantuan kekal lorong, cruise control adaptif dan pelbagai lagi. Selain dari RS, varian sebelum ini iaitu L, LS, LT, Premier dan Hybrid masih kekal ditawarkan pada pasaran Amerika Syarikat.

     
     
  • Hafizh Syahrin beri kejutan lagi di MotoGP Argentina

    Hafizh Syahrin beri kejutan lagi di MotoGP Argentina

    Setelah mendapatkan dua mata yang tidak dijangka pada perlumbaan pertama di Qatar tempoh hari, pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin sekali lagi memberikan persebahan yang sangat memberangsangkan pada perlumbaan MotoGP Grand Prix Argentina yang berlangsung semalam.

    Memulakan perlumbaan dari petak kedua terakhir, Hafizh – atau El Pescao – berjaya “meloloskan” diri untuk menduduki tempat kesembilan di akhir perlumbaan, dengan menunggang jentera Yamaha YZR-M1. Ini membolehkan beliau mendapat tujuh mata bagi kejuaraan ini, sebagai tambahan kepada dua mata yang diperoleh pada perlumbaan pertama – keseluhannya kini dengan sembilan mata.

    Dengan sembilan mata ini, Hafizh menduduki tangga ke-13 dalam kejuaran dunia berkenaan, dan menjadi pendahulu bagi pelumba-pelumba baru yang ada. Beliau mendahului sebanyak tiga mata dan enam mata di depan pelumba baru seperti Franc Morbidelli dari Itali dan Takaaki Nakagami dari Jepun.

    Hafizh Syahrin beri kejutan lagi di MotoGP Argentina

    Perlumbaan kedua MotoGP hujung minggu lalu menyaksikan banyak drama. Antaranya permulaan yang ditunda disebabkan penunggang-penunggang memilih untuk menukar semula kepada tayar biasa daripada tayar basah selepas litar bertukar kering.

    Penunggang Australia, Jack Miller yang menunggang jentera Ducati bagi pasukan Pramac Racing hanya sekejap menikmati kedudukan pendahulu sebelum dipintas kembali oleh Marc Marquez. Marquez juga kemudiannya sempat dikenalkan penalti kerana bertembung dengan Valentino Rossi, membuatkan Rossi terjatuh dari jenteranya walaupun dapat meneruskan perlumbaan semula selepas itu.

    Insiden itu membolehkan Miller, Alex Rins, Johann Zarco dan Cal Crutchlow berada di dalam kelompok di depan, dengan Cal Crutchlow dari pasukan CWM LCR Honda yang menunggang Honda RC213-V berjaya muncul juara dengan catatn masa 40 minit 36.342 saat.

    Hafizh Syahrin beri kejutan lagi di MotoGP Argentina

    Tempat kedua menjadi milik rakan sepasukan Hafizh dari Monster Tech 3 Yamaha, Zarco, dengan hanya ketinggalan 0.251 saat sementara tempat ketiga menjadi milik Alex Rins yang menunggang jentera Suzuki.

    Pelumba kegemaran ramai, Rossi pula sekadar menapatkan perlumbaan di tempat ke-19. Jorge Lorenzo menduduki tempat ke-15, sementara rakan sepasukan Ducati, Andrea Dovizioso ditempat ke-6.

    Bagi perlumbaan Moto2 pula, Khairul Idham Pawi dari pasukan Idemitsu Honda Team Asia menduduki tempat ke-24 diakhir perlumbaan. Manakala seorang lagi pelumba Malaysia, Zulfhami Khairuddin dari pasukan SIC Racing ditempat ke-26.

    Dalam kategori Moto3, Adam Norrodin dari Petronas Sprinta Racing berjaya menduduki tempat kelima, memberikannya tujuh mata berharga. Siri perlumbaan seterusnya akan berlangsung di Grand Prix Amerika di Austin Texas pada 22 April.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025