Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • VIDEO: Mazda RX-7 rai ulangtahun ke-40

    Mazda sememangnya terkenal dengan kereta sport dengan enjin Wankel Rotary bermula dengan Mazda Cosmo Sport pada tahun 1967, kemudian R100, seterusnya kereta-kereta dari siri RX seperti RX-2, RX-3 dan sebagainya. Namun, ikon antara kesemua kereta sport ini tentunya Mazda RX-7 yang telah dihasilkan dalam tiga generasi bermula era 70’an sehingga 90’an. Populariti ketiga-tiga model tersebut juga dilihat masih lagi gah sehingga sekarang walaupun Mazda telah melancarkan model gantiannya iaitu RX-8 pada tahun 2003.

    Mazda mula memperkenalkan RX-7 pada tahun 1987 menerusi model generasi pertama SA22C (dikenali sebagai FB di Amerika Syarikat) Savanna RX-7, bermaksud siri jentera ini sudahpun berusia 40 tahun pada 2018, dan Mazda menghasilkan video khas bagi memperingati ulangtahun ini. Ketika mula diperkenalkan, RX-7 yang terkenal dengan penampilannya dalam siri Ultraman 80 ini dijana enjin Wankel Rotary 12A.

    Model tersebut tidak hadir dengan pengecas turbo pada awal kemuculannya, namun enjin dua-rotor dengan kapasiti hanya 1,146 cc berkenaan mampu menghasilkan 103 hp dengan putaran enjin mencecah 7,000 rpm tanpa masalah. Model turbo hanya dihasilkan dalam jumlah yang sedikit pada tahun 1983, sebelum model generasi kedua membuat penampilannya. Secara keseluruhan, RX-7 generasi pertama ini berjaya dijual lebih dari 470,000 unit di seluruh dunia, menjadikan ia sebagai salah satu model sports terpenting dalam barisan model Mazda.

    Mazda RX-7 generasi kedua muncul pada tahun 1985 dengan rekaan seakan diinspirasikan dari Porsche 944. Model dengan kod casis FC3S ini dijana enjin 13B 1,308 cc dua-rotor sama ada dalam versi NA atau turbo. Versi pasaran Amerika Syarikat menerima kuasa sekitar 146 hp hingga 182 hp, bergantung pada model. Manakala untuk pasaran lain, versi JDM khususnya, FC3S yang terkenal dengan watak ‘White Comet of Akagi‘ dalam siri animasi Initial D ini dibekalkan dengan kuasa 215 hp, standard dari kilang.

    Model generasi ketiga RX-7 FD3S muncul pada tahun 1992. Ya, walaupun sudah berusia 28 tahun, rekaan FD3S masih lagi nampak relevan dan seperti baharu sahaja dilancarkan. Model ini masih dijana enjin 13B, namun diberikan dua pengecas turbo. Pelbagai versi dikeluarkan untuk model generasi ini, bermula dengan versi awal dengan bekalan kuasa 252 hp secara standard, sehinggalah model-model terakhir serta versi-versi edisi terhad seperti Spirit R dan Bathurst R dengan bekalan kuasa asal mencecah 280 hp.

    Model terakhir RX-7 dihasilkan pada tahun 2002, kemudian ia digantikan dengan model RX-8 tahun berikutnya, dijana enjin Rotary tanpa turbo semula, digelar Renesis. RX-8 hanya bertahan sehingga tahun 2012, selepas terpaksa dihentikan kerana enjin Rotary tidak mampu lagi untuk memenuhi piawaian pencemaran alam sekitar yang semakin ketat.

    Walau bagaimanapun, Mazda pernah hadir dengan kereta sport konsep dengan enjin Wankel Rotary pada tahun 2015 digelar RX-Vision, namun setahun selepas itu CEO mereka, Masamichi Kogai menyatakan syarikatnya belum bercadang untuk membina model produksi sebenar. Kogai menegaskan bahawa Mazda kini sedang membangunkan enjin Rotary yang akan berfungsi sebagai enjin penambah jarak untuk sistem hibrid yang akan diperkenalkan pada tahun 2019.

    Namun, Mazda turut ditemui telah mempatenkan enjin Wankel Rotary turbo generasi baharu digelar SkyActiv-R yang menampilkan kedudukan port kemasukan dan port ekzos yang diterbalikkan berbanding enjin 13B, 12A mahupun 10A sebelum ini. Jenama tersebut juga pernah diintip menguji sebuah RX-8 di litar Nürburgring, Jerman, dipercayai dijana enjin Wankel Rotary generasi baharu.

     
     
  • BMW Group lantik Regas Premium Sabah sebagai pengedar baharu untuk negeri di bawah bayu

    BMW Group lantik Regas Premium Sabah sebagai pengedar baharu untuk negeri di bawah bayu

    BMW Group Malaysia telah melantik Regas Premium Sabah sebagai wakil pengedar terbaharunya bagi jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad di negeri Sabah.

    Regas Premium Auto merupakan wakil pengedar sah bagi BMW, MINI dan BMW Motorrad di negeri Sarawak. Regas Premium Auto juga dilantik sebagai pengedar servis sah bagi BMW i pada tahun 2016 di negeri tersebut dan pada tahun lepas, ia telah membangunkan fasiliti pengecasan awam BMW i yang pertama di Timur Malaysia yang terletak di CityOne Megamall Kuching.

    Regas Premium Sabah akan mengambil alih FM Autohaus sebagai pengedar terbaharu BMW Group Malaysia di Kota Kinabalu dan akan beroperasi di dalam fasiliti bersaiz 53,500 kaki persegi ini menawarkan perkhidmatan menyeluruh merangkumi Jualan, Servis, Alat Ganti dan Sistem (4S) bagi jenama BMW dan BMW Motorrad serta fasiliti servis bagi jenama BMW i dan MINI.

    Harald Hoelzl, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia berkata, “Kawasan Timur Malaysia merupakan pasaran yang sekian lama menyumbang kepada perkembangan perniagaan kami di negara ini dan kami berasa teruja untuk menjalin kerjasama dengan Regas Premium Sabah sebagai pengedar terbaharu kami di Kota Kinabalu untuk meluaskan lagi penawaran perkhidmatan kami di negeri Sabah.”

    Tambahnya lagi, Sabah menyumbang kepada penjualan melebihi 500 unit kenderaan untuk segmen premium di dalam negara setiap tahun dan ia mempunyai potensi untuk menggandakan angka tersebut dalam masa lima tahun yang akan datang.Pada tahun lepas, syarikat ini telah melakar peningkatan jualan sebanyak 18% di Sabah berbanding tahun 2016 yang membuktikan potensi negeri tersebut.

    Kini, BMW Group Malaysia mempunyai rangkaian yang terdiri daripada 20 pengedar BMW, 8 pengedar MINI, dan 9 pengedar BMW Motorrad di seluruh negara. Regas Premium Sabah akan mula beroperasi pada 1 Julai ini di Mile 3, Lido, Jalan Penampang, Penampang.

     
     
  • Mitsubishi Xpander bakal guna logo Nissan pada 2019

    Mitsubishi Xpander bakal guna logo Nissan pada 2019

    MPV Mitsubishi Xpander akan dibekalkan kepada Nissan bermula 2019 nanti, di mana model berkenaan turut akan dijual menggunakan logo Nissan, memetik sebuah laporan Nikkei. Terdahulu, Mitsubishi Motors menyertai pakatan Renault-Nissan pada Oktober 2016 selepas Nissan membeli 34% kepentingan di dalam MMC.

    Mitsubishi Xpander diperkenalkan pertama kali untuk pasaran Indonesia pada Ogos 2017. Diasaskan daripada model XM Concept dari tahun 2016, model berkenaan bersaing di dalam segmen “MPV asas” di dalam pasaran negara itu, dan dicabar antara lain oleh Toyota Avanza, Daihatsu Xenia, Suzuki Ertiga dan Honda Mobilio. Xpander – walaupun sebuah MPV – tampil dengan penggayaan yang lebih cenderung kepada SUV serta rekaan muka depan yang tersendiri.

    Dikuasakan enjin 1.5 liter, Xpander menjadi model laris oleh MMC di Indonesia; angka jualan di sana dijangka meningkat kepada 137,000 bagi tahun 2018 berbanding 2016 dahulu. Nikkei melaporkan, kira-kira 70% pembeli Xpander merupakan pemilik kenderaan jenama lain sebelum ini; Mitsubishi telah berjaya menarik perhatian pelanggan-pelanggan baru melalui produk berkenaan.

    Nissan juga dijangka dapat memanfaatkan model MPV berkenaan untuk pasaran ASEAN, memandangkan usia Grand Livina yang ada dalam pasaran kini sudah mencecah lebih 10 tahun. Menarik juga untuk membayangkan bagaimana Xpander ini akan kelihatan selepas diubah dengan menggunakan rekaan wajah depan “V-Motion” Nissan (seperti pada model Serena S-Hybrid). Xpander juga sebelum ini telah disahkan akan turut memasuki pasaran ASEAN dan Malaysia bermula tahun ini.

    Mitsubishi Xpander bakal guna logo Nissan pada 2019

    Di dalam laporan yang sama, turut disebut ialah perkongsian platform antara Nissan dan Mitsubishi bagi trak pikap yang bakal dihasilkan, dijangka bermula pada tahun 2021 nanti. Trak satu tan sangat popular di Thailand, dan MMC memang sudah mempunyai kilang pengeluar bagi model Triton/L200 di sana.

    Kilang pemasangan Mitsubishi di sana yang terletak di Laem Chabang baru-baru ini sudahpun melepasi angka pengeluaran 5 juta unit. Daripada jumlah berkenaan, 3.7 juta unit dieksport ke 120 negara. Ini menjadikan MMC sebagai pengeksport kedua terbesar di Thailand selepas Toyota.

    MMC mempunyai tiga kilang dan satu kilang enjin di Laem Chabang. Litar ujian pertama syarikat itu di luar Jepun juga terletak di daerah yang sama. Dengan reputasi yang lebih kukuh bagi trak pikap, MMC akan mengetuai pembagunan model baru bagi kenderaan itu, walaupun Navara generasi seterusnya akan menggunakan rekaan luaran berbeza. Keseluruhannya, Mitsubishi akan memainkan peranan yang lebih besar di rantau ASEAN, yang merupakan pasaran luar terbesarnya dan paling menguntungkan ketika ini.

     
     
  • Harga minyak RON 97 turun satu sen menjadi RM2.59

    Harga minyak RON 97 turun satu sen menjadi RM2.59

    Seperti yang telah diumumkan oleh kerajaan, harga minyak RON 95 dan diesel akan dikekalkan bagi orang ramai, yang bermaksud penggunaan subsidi, tetapi minyak RON 97 masih lagi dipasarkan mengikut harga apungan, dan harga mingguannya akan disiarkan pada setiap hari Rabu.

    Bagi tempoh bermula 21 hingga 27 Jun ini, harga bagi bahan api RON 97 telah menurun satu sen daripada harga minggu terdahulu, menjadi RM2.59 bagi setiap liter. Setakat tiga minggu harga apungan ini telah dilaksanakan, dua kali ia telah mencatat penurunan, di mana minggu lepas ia turun enam sen.

    Harga yang dikekalkan untuk RON 95 adalah RM2.20 seliter, manakala diesel Euro 2M pula adalah RM2.18 seliter (diesel Euro 5 dijual lebih 10 sen daripada diesel Euro 2M seperti biasa). Menurut menteri kewangan, pada kadar ini, kerajaan menggunakan subsidi sebanyak 33 sen setiap litar bagi petrol RON 95 dan diesel.

     
     
  • Suzuki Jimny bumbung-boleh-buka lukisan digital

    Suzuki Jimny bumbung-boleh-buka lukisan digital

    Suzuki baru sahaja memperkenalkan generasi baru trak retro Jimny mereka, dan kini sudah ada bayangan bagaimana model itu akan kelihatan sekiranya mempunyai bumbung yang boleh dibuka (convertible). Lukisan digital ini adalah hasil daripada X-Tomi Design.

    Model Jimny generasi sebelum ini memang ada ditawarkan dalam versi convertible dan bayangan ini nampak sangat menyakinkan. Rekaan bumbung tersebut ada membawa pengaruh daripada Jeep Wrangler, tetapi seperti tidak akan melepasi tahap keselamatan masa kini.

    Walaupun sudah ditunjuk, Jimny baru sebenarnya cuma akan dilancarkan secara rasmi di Jepun awal bulan hadapan dan cuma sedikit sahaja perincian yang didedah. Ia dibina atas platform ladder frame, suspensi gandar tegar three-link dan sistem pacuan empat roda separuh masa dengan penukar gear rendah.

    Kuasa penggerak pula datang daripada enjin tiga silinder Bossterjet 1.0 liter turbo, ataupun pilihan unit NA 1.2 liter. Transmisi disediakan dalam pilihan unit manual lima kelajuan dan automatik torque converter, tetapi kedua-duanya masih akan menerima penukar gear rendah gaya lama dan ia boleh dilihat pada gambar bahagian dalam di bawah.

    GALERI: Suzuki Jimny 2018

     
     
  • MAA: Jualan kenderaan bagi bulan Mei 2018 turun 9%

    MAA: Jualan kenderaan bagi bulan Mei 2018 turun 9%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah pun mengeluarkan data jumlah jualan serta pengeluaran kenderaan bagi bulan Mei 2018, dan kedua-duanya menunjukkan penurunan berbanding apa yang dicatat pada bulan April.

    Bagi bulan Mei, 42,983 buah kenderaan telah didaftar, dan ini adalah 4,106 unit lebih rendah daripada bulan April, bersamaan dengan 9%. Menurut persatuan itu, penurunan jumlah jualan ini adalah disebabkan oleh pengumuman kerajaan untuk menghapuskan kadar GST, seterusnya membuatkan pelanggan menangguh dahulu pembelian.

    Jualan pada bulan Mei 2018 juga adalah lebih rendah berbanding bulan sama tahun lepas, iaitu dengan penurunan sebanyak 7,611 unit, ataupun 15% daripada jumlah 50,594 unit yang dicatat pada Mei 2017. Untuk jumlah dari awal tahun kenderaan yang berjaya dijual adalah sebanyak 225,212 unit, bersamaan dengan penurunan 3.8% (8,968) daripada tempoh sama tahun lepas.

    Untuk bulan Jun, persatuan itu menjangka jualan yang lebih tinggi daripada Mei memandangkan pelanggan kini sedang mengambil peluang daripada ‘cuti cukai’ yang diberi, ditambah lagi dengan pelbagai promosi dan tawaran bersempena musim Hari Raya.

     
     
  • Unit khas polis ditempatkan di Lebuhraya PLUS mudahkan pengguna buat laporan kemalangan kecil

    Unit khas polis ditempatkan di Lebuhraya PLUS mudahkan pengguna buat laporan kemalangan kecil

    Jika anda menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan dan terlibat dengan kemalangan kecil, anda tidak perlu lagi ke balai polis untuk membuat laporan. Kini pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tellah menempatkan Unit Penyiasatan Lebuhraya di beberapa lokasi di lebuhraya berkenaan, laporan The Star.

    Menurutu Ketua Polis Perak Hasnan Hassan, unit tersebut adalah bagi menyiasat kes kemalangan kecil di lebuhraya berkenaan, termasuk membantu pengguna menjimatkan masa untuk ke balai polis berhampiran bagi membuat laporan.

    “Bagi yang terlibat dengan kemalangan kecil, kini boleh membuat laporan terus dengan unit terbabit yang ditempatkan di beberapa perhentian rehat besar sepanjang lebuhraya terbabit. Dengan adanya unit ini, kami berharap dapat memudahkan lagi urusan pengguna jalan raya yang berhadapan dengan masalah ini,” ujarnya.

    Unit tersebut, yang dilancarkan pada awal tahun ini, dibahagikan kepada tiga zon (utara, sentral dan selatan) sepanjang Lebuhraya PLUS. Zon utara melibatkan kes dari Perlis ke Ipoh, sementara zon sentral mengendalikan kes dari Ipoh ke Seremban. Manakala zon selatan pula dari Seremban ke Johor.

     
     
  • Volvo S60 2019 tunjuk teaser lagi – lancar malam ini

    Volvo S60 2019 tunjuk teaser lagi – lancar malam ini

    Volvo telah menayang beberapa lagi imej teaser sedan S60 baharu menjelang pelancarannya malam ini. Salah satu imej menunjukkan kereta tersebut dilitupi kain dan diletakkan di ruang tamu Scandinavian seperti kilang baharu Volvo yang terletak di Ridgeville, South Carolina, di mana ia menjadi lokasi pelancarannya. Di kilang ini, yang turut akan menjadi fasiliti produksi bagi S60, menjadikannya sebagai model Volvo pertama yang dibangunkan di USA untuk pasaran eksport.

    Di bawah fabrik tersebut juga jelas menunjukkan bahagian cermin belakang dan belakang kereta dengan profil sporty, bersama lampu belakang berbentuk-C yang menjadi trademark Volvo. Selain itu, terdapat beberapa imej yang disebarkan menunjukkan bahagian hadapan yang mirip dengan V60 wagon, termasuk corong udara dan paten gril yang disemak semula seperti varian R-Design.

    Sedan ini turut menggunakan Scalable Product Architecture (SPA) seperti model siri V60, XC60 90 Series models, namun dijangkakan S60 baharu ini didatangkan dengan teknologi keselamatan dan infotainmen terkini dari Gothenburg. Ini termasuk menampilkan sistem brek kecemasan baharu dan mengurangkan tahap pelanggaran dengan kenderaan dari hadapan, seperti yang pernah diperkenalkan menerusi V60.

    Turut dijangkakan ialah enjin petrol 2.0 liter Drive-E, yang turut didapati pada V60 selain unit pengecas turbo dan supercharged dengan 310 hp/400 Nm T6 AWD, bersama dua pilihan plug-in hybrid – pengecas turbo 340 hp/590 Nm T6 Twin Engine dan twincharged 400 hp/640 Nm T8 Twin Engine. Volvo telah mengesahkan S60 tidak akan ditawarkan dengan enjin diesel.

    Syarikat ini juga mendedahkan bakal diperkenalkan versi Polestar Engineered bagi T8 Twin Engine dengan kuasa 415 hp dna tork 670 Nm. Ia juga akan dipadankan dengan suspensi yang ditala semula dengan peredam boleh laras Öhlins dan palang hadapan, cakera brek dengan kaliper mono-block Brembo emas serta roda aloi ringan berekaan unik.

     
     
  • Volvo akan guna sekurang-kurangnya 25% plastik kitar semula pada kenderaannya menjelang tahun 2025

    Volvo akan guna sekurang-kurangnya 25% plastik kitar semula pada kenderaannya menjelang tahun 2025

    Dalam usahanya untuk mengurangkan kesan kepada alam sekitar, Volvo telah mengumumkan menjelang tahun 2025, sekurang-kurangnya 25% daripada plastik yang digunakan pada kenderaan mereka akan dibuat daripada bahan kitar semula. Pengeluar dari Sweden ini juga menggesa pembekal mereka untuk bekerja dengan jenama yang mempunyai visi sama.

    Model XC60 T8 yang anda lihat dalam gambar ini mungkin nampak sama sahaja seperti model yang ada dalam pasaran sekarang, tapi sebenarnya ia menggunakan pelbagai komponen plastik kitar semula. Sebagai contoh. konsol tengahnya diperbuat daripada tali yang diambil daripada jala ikan dan bahan maritim lain.

    Bahagian karpet pula menggunakan gentian yang dibuat daripada botol plastik PET, serta campuran kapas yang didapati daripada lebihan baju. Bahan sama untuk konsol tengah tadi juga turut digunakan pada tempat duduk kenderaan ini, dan Volvo juga menggunakan tempat duduk lama untuk dijadikan bahan penyerap bunyi di bawah bonet.

    “Penjagaan alam sekitar adalah antara nilai penting bagi Volvo dan kami akan terus mencari cara baru untuk membawa perkara ini dalam perniagaan kami. Kereta ini serta hasrat penggunaan plastik kitar semula kami adalah contoh kepada komitmen tersebut,” kata presiden dan ketua pegawai eksekutif Volvo Cars, Håkan Samuelsson.

    Inisiatif mesra alam Volvo juga tidak terhenti kepada kenderaan sahaja. Syarikat itu juga berjanji akan menghentikan penggunaan plastik yang cuma boleh dipakai sekali sahaja (tidak boleh dikitar semula) di pejabat, kantin serta acara mereka, dan akan dilakukan secara berperingkat.

     
     
  • Alfa Romeo lancarkan Giulia dan Stelvio edisi NRing

    Alfa Romeo lancarkan Giulia dan Stelvio edisi NRing

    Alfa Romeo telah memperkenalkan Giulia Quadrifoglio dan Stelvio Quadrifoglio edisi terhad NRing, di mana setiap satunya hanya dikeluarkan sebanyak 108 unit sahaja, sempena dengan ulangtahun ke-108 pengeluar kereta Itali itu. Persamaan ciri yang ada bagi kedua-dua model Giulia dan Stelvio edisi NRing ini ialah warna luaran Circuito Grey dan plak nombor antara kabin.

    Bukan itu sahaja, ia turut didatangkan dengan spesifikasi Quadrifoglio, dijanakan dengan enjin petrol 2.9 liter biturbo V6 yang mampu menghamburkan kuasa 510 PS dan tork 600 Nm. Giulia mampu dipacu dari 0-100 km/j dengan hanya 3.9 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 307 km/j, sementara Stelvio pula 3.7 saat bagi 0-100 km/j dan kelajuan maksimum mencecah 283 km/j.

    Elemen standard bagi model edisi terhad NRing termasuk brek seramik karbon, tempat duduk racing Sparco dengan jahitan merah dan struktur pelindung gentian-karbon, roda stereng kemasan Alcantara dengan gentian-karbon, dan tombol tuil gear automatik kemasan gentian-karbon. Giulia NRing turut mendapat bumbung gentian-karbon, semantara Stelvio NRing pula dengan padanan bumbung panoramik larasan elektronik.

    Ciri lain bagi edisi NRing sama seperti model standard termasuk Welcome Kit dengan sarung tangan racing Sparco dan jaket, serta beg sport Alfa Romeo, Quadrifoglio cuff-link dan kasut pemandu Car Shoe serta model skala kecil mengikut pilihan masing-masing, selain undangan pengalaman pemanduan dengan Alfa Romeo di Nurburgring.

    Nurburgring Nordscheleife menjadi saksi apabila Giulia mampu mencatat tujuh minit 32 saat, dan Stelvio pula tujuh minit 51.7 saat, menjadikannya terpantas bagi sedan Itali tersebut dalam pusingan mengelilingi litar terkemuka Jerman itu.

    Malahan ia turut menambah reputasi bagi pembangunan kenderaan prestasi-tinggi, dan menjadi adat untuk menamakan model istimewa itu dengan nama litar tersebut.

     
     
  • Yamaha akan guna grafik khas dalam perlumbaan di Suzuka bagi menyambut ulang tahun R1 yang ke-20

    Tahun ini Yamaha menyambut ulang tahun ke-20 model YZF-R1 berada dalam pasaran dan syarikat dari Jepun itu cuba melakukan sesuatu yang istimewa semasa perlumbaan Suzuka 8 Hours yang akan berlangsung 29 Julai nanti. Tiga pasukan yang berlumba menggunakan R1 iaitu pasukan Yamaha Factory Racing, GMT94 Yamaha dan YART Yamaha Official EWC akan mewarnakan motosikal mereka dengan grafik khas seperti R1 asal tahun 1998.

    Walaubagaimanapun, Yamaha masih belum mendedahkan sepenuhnya grafik untuk motosikal lumba tersebut, dan sekadar menyiarkan satu video teaser di laman Youtube. Melalui video pendek tersebut, kita dapat melihat skema warna merah dan putih seperti R1 lama digunakan, bersama logo ‘YZF’ dan ‘R1’ yang sama.

    Yamaha akan guna grafik khas dalam perlumbaan di Suzuka bagi menyambut ulang tahun R1 yang ke-20

    Suzuka 8 Hours adalah satu perlumbaan jarak jauh yang melibatkan saingan 28 buah pasukan, dan seperti yang dilihat pada namanya, ia akan berlangsung secara terus selama lapan jam di litar Suzuka, Jepun. Setiap satu pasukan mempunyai dua ataupun lebih pelumba yang akan bertukar giliran waktu perlumbaan sukar itu.

    Dalam siri perlumbaan ini juga, Yamaha sedang mengejar kejuaraan sebagai jenama pengeluar teratas, di mana mereka telah berjaya melakukannya tiga kali berturut-turut sebelum ini. Bagi grafik istimewa tersebut, walaupun ia diperkenalkan untuk motosikal lumba, mungkin nanti Yamaha akan memperkenalkannya untuk model produksi.

     
     
  • Mercedes-Benz EQC SUV elektrik diuji di Sepanyol

    Mercedes-Benz EQC SUV elektrik diuji di Sepanyol

    Mercedes-Benz meneruskan program ujian bagi EQC akan datang berikutan lawatan ke Sweden beberapa bulan yang lalu. Kali ini, ujian telah dilakukan dalam cuaca panas di Sepanyol, dengan suhu yang boleh meningkat sehingga 50 darjah Celsius.

    EQC bakal menjadi model pertama yang diperkenalkan di bawah sub-jenama EQ dan julung kalinya dipertontonkan menerusi Generation EQ di Paris Motor Show 2016. Secara kasar, saiznya lebih kurang sama dengan model semasa GLC, tetapi telah didatangkan dengan gaya yang tersendiri untuk membezakannya sebagai model semua-elektrik.

    Seperti yang boleh dilihat menerusi foto ini, model ujian ini dibaluti penyamaran untuk menyembunyikan elemen yang bakal ditampilkan. Walau bagaimana pun, difahamkan EQC bakal menerima lampu utama dan lampu belakang yang tersendiri dan lebih unik berbanding yang ditampilkan pada GLC.

    Buat masa ini, Mercedes-Benz tidak memberikan sebarang perincian mengenai penjana kuasa yang digunakan, tetapi Generation EQ dilengkapi dengan dua motor elektrik (satu bagi setiap gandar) untuk menyalurkan sistem kuasa keseluruhan sebanyak 300 kW (402 hp) dan tork 700 Nm. Ia turut dijanakan oleh pek bateri 70 kWh yang diletakkan di antara lantai kereta, dan mampu menyalurkan kuasa sehingga 500 km bagi pengecasan tunggal.

    Mercedes-Benz EQC SUV elektrik diuji di Sepanyol

    Ujian di dalam cuaca yang panas melampau sangat penting kerana suhu yang tinggi berkemungkinan boleh menyebabkan kerosakan pada bateri, malah bateri juga boleh “kehilangan” kuasa di bawah suhu yang sejuk. Oleh itu, EQC diuji untuk memastikan litar penyejukan bateri mampu bertugas dalam pelbagai senario.

    Mercedes-Benz juga memfokuskan sistem penyejukan udara kereta – kedua-duanya sebelum dan semasa perjalanan untuk faktor keselesaan. Setiap komponen juga akan diperiksa supaya juruteknik tahu jika ada sebarang kekotoran termasuk debu halus yang mungkin mengganggu sistem kereta, dan konsep pengedapan juga dipastikan sentiasa berfungsi.

    Menurut pengeluar kereta ini, terdapat 200 prototaip dan kenderaan pra-siri yang dibangunkan untuk program ujian ini, bersama 100 pakar daripada pelbagai jabatan pembangunan yang berbeza. Sebelum diperkenalkan di peringkat global pada tahun 2019, ia telah menjalani pelbagai ujian pembangunan selama empat tahun.

    GALERI: Mercedes-Benz Concept EQ

     
     
  • Setiap satu siri nombor plat khas sebabkan kerugian pendapatan hampir RM20 juta kepada kerajaan – Loke

    Setiap satu siri nombor plat khas sebabkan kerugian pendapatan hampir RM20 juta kepada kerajaan – Loke

    Menurut menteri pengangkutan, Anthony Loke, keputusan kerajaan untuk menghentikan amalan penjualan nombor plat istimewa melalui organisasi bukan kerajaan (NGO) adalah bagi memastikan pendapatan yang diperoleh sampai ke laluan yang betul. Tambah beliau, kerugian yang berlaku disebabkan amalan ini adalah sukar untuk dipastikan.

    “Sukar bagi saya untuk memberi jangkaan kerugiannya. NGO yang berjaya cuma perlu membayar kerajaan RM1 juta untuk mendapatkan plat tersebut, tetapi nilai jualan semula boleh menjadi sehingga RM20 juta bagi setiap siri plat. Ini sahaja sudah merupakan satu kekurangan pendapatan yang besar bagi kerajaan,” kata beliau dalam satu temu ramah dengan The Star.

    Berkaitan dengan pengangkutan pula, Loke memberitahu walaupun projek MRT3 telah dibatalkan, kerajaan masih lagi komited kepada pengangkutan awam, dan nanti akan dilakukan pembangunan seterusnya pada bahagian itu, meskipun sekiranya keputusan pelaksanaan kereta nasional baru diteruskan.

    Setiap satu siri nombor plat khas sebabkan kerugian pendapatan hampir RM20 juta kepada kerajaan – Loke

    “Projek kereta nasional baru akan diterangkan selanjutnya oleh perdana menteri. Setakat yang diketahui oleh kementerian, kami masih komited kepada pengangkutan awam. Saya tidak melihat akan berlaku pemilihan hanya satu perkara sahaja (zero-sum game), di mana kalau ada jenama kereta nasional baru, kami tidak akan melabur untuk pengangkutan awam,” jelas Loke lagi.

    “Walaupun kerajaan telah membatalkan projek MRT3 buat masa ini, kami masih mahu menambah hubungan kepada MRT1 dan MRT2. Kami perlu melabur lebih banyak kepada pengangkutan awam, dan MRT mestilah disepadukan dengan sistem bas transit untuk servis yang lebih baik berhampiran stesen,” kata beliau.

    Untuk projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL), Loke memberitahu masih belum ada keputusan sama ada ia akan dibatalkan terus atau ditangguh. Keputusan hanya boleh diketahui setelah kementerian hal ehwal kewangan melengkapkan kajian berkenaannya

     
     
  • Projek LRT perlu dilaksanakan di Pulau Pinang dalam tempoh 5 tahun, tram tidak diperlukan – Ketua Menteri

    Projek LRT perlu dilaksanakan di Pulau Pinang dalam tempoh 5 tahun, tram tidak diperlukan – Ketua Menteri

    Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berharap projek Transit Aliran Ringan (LRT) dapat dilaksanakan dalam tempoh lima tahun kepimpinannya. Katanya projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang itu dijangka mengambil masa yang panjang untuk siap.

    “Projek LRT ini mungkin akan mengambil masa enam hingga lapan tahun untuk siap, jadi kalau boleh dimulakan pembinaan dalam dua atau tiga tahun lagi maka kita sudah melangkah ke depan sedikit,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

    Tambahnya lagi, sejak tiga tahun lalu, projek itu menjadi tumpuan utama kerajaan negeri termasuk dari segi membuat kajian bagi memenuhi syarat yang ditetapkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.

    “Projek tersebut boleh dijalankan secepat mungkin sekiranya kelulusan diperoleh dalam tempoh dua atau tiga tahun ini,” ujarnya yang berharap semua projek mega dengan kos keseluruhan dianggar RM46 billion termasuk tiga lebuhraya utama dan Penang Sky Cab di negeri itu akan dipercepatkan memandangkan kerajaan negeri Pulau Pinang kini dalam satu pasukan yang sama dengan kerajaan persekutuan.

    Mengenai cadangan membina tram bagi mengurangkan kos projek LRT, Chow yang juga wakil rakyat Dewan Undangan Negeri Padang Kota, berkata projek tram kurang berdaya maju kerana akan melibatkan penggunaan jalan raya sedia.

    “Kalau tram dibina di atas jalan yang ada, maka kuranglah kapasiti jalan sebab sebahagian perlu digunakan untuk membina landasan tram. Ini tidak sama dengan sistem LRT atau MRT yang mempunyai landasan di atas atau di bawah jalan raya,” katanya.

     
     
  • Honda akan bekalkan enjin untuk Red Bull dalam F1

    Honda akan bekalkan enjin untuk Red Bull dalam F1

    Selepas beberapa bulan cuba membuat keputusan, akhirnya Red Bull Racing mendedahkan secara rasmi siapakah pembekal enjin untuk perlumbaan Formula One musim 2019 – ia adalah Honda. Pasukan ini telah menandatangani perjanjian selama dua tahun dengan Honda, dan tidak akan lagi menggunakan enjin dari Renault.

    Perjanjian ini adalah sama seperti yang dilakukan oleh pasukan Toro Rosso untuk musim ini, dan dua pasukan ini akan berlumba menggunakan unit kuasa berspesifikasi sama pada tahun hadapan. Menurut ketua pasukan Red Bull Racing, Christian Horner, perjanjian ini adalah antara usaha pasukan untuk mengejar kemenangan keseluruhan dalam Formula One.

    “Selepas penilaian dan pertimbangan yang teliti, kami yakin kerjasama dengan Honda ini adalah satu hala tuju yang betul untuk pasukan. Kami kagum dengan komitmen Honda terhadap F1 dan pelbagai peningkatan lain yang ditunjukkan oleh mereka dalam beberapa tahun ini bersama pasukan Scuderia Toro Rosso,” tambah Horner.

    Honda akan bekalkan enjin untuk Red Bull dalam F1

    Pada masa sama, Red Bull juga secara umum menyatakan kehampaan terhadap kekurangan prestasi unit kuasa Renault mereka, yang dikatakan adalah punca utama pasukan bergelut untuk bersaing dengan Mercedes dan Ferrari. Dengan Honda, mereka berharap dapat memberi saingan yang lebih hebat.

    Presiden Honda, Takahiro Hachigo pula berkata, “Setelah mempunyai hubungan yang baik dengan Scuderia Toro Rosso, kami memutuskan untuk menyambung penglibatan dalam F1 dengan kerjasama bersama pasukan lain dalam keluarga Red Bull iaitu Aston Martin Red Bull bermula 2019. Melalui dua pasukan, kami boleh mendapat data yang dua kali ganda lebih banyak.”

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025