Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Pengecualian bayaran tol bagi kenderaan yang masuk ke Johor dari Singapura tamat esok, 7 April – PLUS

    Pengecualian bayaran tol bagi kenderaan yang masuk ke Johor dari Singapura tamat esok, 7 April – PLUS

    Tempoh pengecualian bayaran tol selama tujuh hari di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Linkedua) di Johor sempena pembukaan semula laluan darat Malaysia-Singapura bermula Jumaat lalu akan tamat esok.

    Menurut PLUS Malaysia Berhad (PLUS), operasi kutipan tol akan dilaksanakan seperti biasa mulai Jumaat ini, 7 April 2022. Justeru, para pengguna dinasihatkan supaya memastikan kad Touch ‘n Go serta e-Wallet Touch ‘n Go mereka aktif serta mempunyai baki mencukupi bagi menikmati perjalanan yang lancar.

    “Pengguna lebuh raya yang menggunakan RFID (tag Identifikasi Frekuensi Radio) untuk sistem VEP (Permit Masuk Kenderaan) turut boleh mula menggunakan sistem tersebut di lorong RFID di Bangunan Sultan Iskandar dan Tanjung Kupang,” kata PLUS.

    Jelasnya lagi, bagi pemandu Singapura yang bercadang untuk menambah nilai kad Touch ‘n Go di Johor, mereka boleh berbuat demikian di lapan pusat tambah nilai di lebuh raya Linkedua selain pusat tambah nilai di lokasi-lokasi sekitar Tambak Johor.

    Pengecualian bayaran tol bagi kenderaan yang masuk ke Johor dari Singapura tamat esok, 7 April – PLUS

    “Secara amnya, stesen minyak dan kedai serbaneka 24 jam turut menyediakan perkhidmatan tambah nilai kad Touch ‘n Go. Sebagai tambahan, urusan tambah nilai turut boleh dilakukan di kiosk layan diri di plaza tol dan kawasan rehat yang terpilih.

    “Penguna lebuh raya juga boleh merancang perjalanan mereka apabila memuat turun aplikasi PLUS yang boleh menghubungkan pelanggan terus ke talian PLUSLine 1800 88 0000 sekiranya berlaku kecemasan,” ujar PLUS lagi.

    Pada 30 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan bersetuju memberikan pengecualian bayaran tol selama tujuh hari membabitkan semua jenis kenderaan di sempadan Malaysia-Singapura sempena pembukaan semula laluan darat kedua-dua negara bermula 1 April 2022.

     
     
  • Honda Civic Type R 2023 pecah rekod Litar Suzuka – hampir 1 saat lebih pantas berbanding Type R FK8!

    Honda Civic Type R 2023 pecah rekod Litar Suzuka – hampir 1 saat lebih pantas berbanding Type R FK8!

    Walaupun belum lagi didedahkan sepenuhnya, model generasi baharu Honda Civic Type R telahpun memecahkan catatan rekod terpantas di Litar Suzuka untuk kereta pacuan hadapan, yang sebelum ini dipegang oleh Civic Type R generasi FK8 sedia ada!

    Menurut Honda, unit prototaip Civic Type R 2023 berkenaan telahpun mencatatkan rekod 2 minit 23.120 saat pada laluan 5.8 km litar tersebut. Masa yang dicatatkan ini cukup untuk memecahkan rekod yang dibuat oleh versi paling hardcore dan paling ringan untuk FK8 iaitu Type R Limited Edition yang mencatatkan masa 2 minit 23.993 saat – hampir satu saat lebih perlahan! – pada tahun 2020.

    Video yang disiarkan ketika rekod tersebut dibuat turut disertakan dengan beberapa data telemetri seperti bacaan daya-G dan juga kelajuan. Namun sudut kamera yang diletak pada kabin kereta berkenaan masih menyorokkan lagi perincian-perincian dalaman model generasi baharu ini.

    Model ini diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam versi hatchback. Honda telah pun mendedahkan versi prototaip Civic Type R 2023 ini tahun lalu serta membuat penampilan di Tokyo Auto Salon awal tahun ini, tetapi dengan keadaan masih dibalut dengan pelekat penyamaran.

    Walaupun rupa sebenarnya diselindung disebalik pelekat tersebut, masih boleh dilihat ia diberikan fender yang lebih gemuk bagi menjadikan ia lebih lebar, serta bampar hadapan yang lebih agresif menampilkan liang pengambilan udara lebih besar dengan gril atas dan bawah diberikan elemen sarang lebah. Juga terdapat liang aliran udara di belakang ruang roda hadapan, manakala bampar belakang pula diberikan diffuser yang agak agresif serta masih menempatkan tiga tip ekzos pada bahagian tengah.

    Spoiler belakang Civic Type R generasi baharu ini masih lagi bersaiz besar, tetapi ia kini direka ala GT-Wing, dengan kakinya dilekat pada kedua-dua tiang sisi cermin belakang. Seperti model FK8, model gantiannya ini turut disertakan dengan rim lebih besar bersama tayar Michelin Pilot Sport, serta set brek Brembo yang jelas kelihatan disebaliknya.

    Honda Civic Type R 2023 pecah rekod Litar Suzuka – hampir 1 saat lebih pantas berbanding Type R FK8!

    Honda masih belum memberikan sebarang pembayang berkenaan spesifkasi teknikal Civic Type R 2023 ini. Namun ia berkemungkinan masih menggunakan unit rangkaian kuasa sama seperti Type R FK8 tetapi diberikan beberapa tingkat taraf. Pada model sedia ada, Honda Civic Type R dijana oleh enjin K20C1 2.0L turbo empat silinder berkuasa 320 PS (306 hp) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan bersama unit LSD untuk memacu roda hadapan.

    Boleh diagak model generasi baharu ini masih tetap akan ditawarkan dengan kotak gear manual, malah video catatan rekod ini turut menunjukkan pemandunya sentiasa sibuk untuk menukar gear sendiri. Menurut Honda, Civic Type R 2023 ini akan didedahkan sepenuhnya pada musim panas ini di Amerika Syarikat, iaitu antara Jun hingga Ogos nanti.

    GALERI: Honda Civic Type R 2023 Prototype

     
     
  • Polis bagi amaran untuk kenderaan persendirian yang guna lampu strobe – denda RM2k atau penjara 6 bulan

    Tidak dinafikan ada juga orang awam yang selamba menggunakan lampu mata arah atau strobe light pada kenderaan persendirian sehingga mencetuskan banyak rungutan di kalangan pengguna jalan raya. Apatah lagi kebanyakan di antara individu yang menggunakan lampu ini suka mengambil kesempatan dan berlagak seperti pegawai penguatkuasa.

    Justeru, bagi menangani perbuatan yang tidak beretika ini, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman sekali menegaskan pihaknya sentiasa memantau perkara ini.

    “Baru-baru ini, terdapat beberapa video tular di media sosial mengenai penggunaan lampu strobe ini dan pihak kami sedang mengambil tindakan sewajarnya kerana nombor pendaftaran kenderaan terlibat telah dikenalpasti.

    Polis bagi amaran untuk kenderaan persendirian yang guna lampu strobe – denda RM2k atau penjara 6 bulan

    “JSPT menegaskan mana-mana pemilik kenderaan yang mengubah suai dan menggunakan lampu strobe pada kenderaan persendirian adalah menjadi suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan,” ujar kenyataan yang dikeluarkan oleh JSPT.

    Jelas JSPT lagi, pemandu boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 138, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 170/59 iaitu ubah suai kenderaan tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM2,000 atau penjara tidak melebehi enam bulan.

    Menurut Kaedah 9, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 hanya kenderaan dalan tugas kecemasan seperti kenderaan polis, bomba, ambulans dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja dibenarkan mendapat hak laluan mengatasi kenderaan lain dengan cara membunyikan siren tertentu, loceng atau hon dua nada.

     
     
  • GALERI: BMW ix xDrive40 2022 di M’sia – SUV elektrik dengan 326 PS, jarak 425 km, harga dari RM361k

    GALERI: BMW ix xDrive40 2022 di M’sia  – SUV elektrik dengan 326 PS, jarak 425 km, harga dari RM361k

    BMW iX dilancarkan di pasaran Malaysia pada Ogos tahun lalu, tapi baru kini kita mendapat unit tempatan, dan difahamkan penghantaran model yang ditempah akan bermula pertengahan bulan ini. SUV elektrik ini telah mula dipromosi sejak Disember lalu, dengan model Sport pula diperkenalkan pada Januari 2022.

    Untuk itu, kami membawakan galeri penuh bagi fotonya, dan kereta yang anda lihat ini adalah varian spesikasi asas xDrive40 yang ditawarkan pada harga atas jalan RM361,430, tanpa insurans, atau RM379,800 dengan waranti lima-tahun dan pakej servis, berbanding waranti standard dua-tahun, tanpa had perbatuan (semua model didatangkan dengan waranti bateri lapan-tahun/160,000 km).

    Harga ini termasuk dengan rebat cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 50% bagi model import sepenuhnya (CBU) yang bakal tamat pada 30 Jun 2022. Bagi varian Sport pula, harganya telah meningkat sebanyak RM46,000, kini menjadi RM407,430, atau RM425,800 dengan waranti lima-tahun dan pakej servis. Jika ingin memiliki Pakej Kuasa yang didatangkan dengan pengecas wallbox 22 kW dan kabel pengecasan awam, kos tambahan sebanyak RM4,600 akan dikenakan.

    GALERI: BMW ix xDrive40 2022 di M’sia  – SUV elektrik dengan 326 PS, jarak 425 km, harga dari RM361k

    Bagi penjana kuasanya, kedua-dua varian menampilkan sistem janaan yang sama — dua motor elektrik, diletakkan pada setiap satu gandar yang menyalurkan pacuan semua-roda. Ia memberikan kuasa hingga 326 PS (322 hp atau 240 kW) dan tork 630 Nm, yang membolehkannya dipecut dari titik sifar ke 100 km/j dalam 6.1 saat dan kelajuan maksimum mencecah 200 km/j.

    Kuasa yang disalurkan untuk e-motor dijanakan dari bateri lithium-ion dengan kapasiti tenaga 76.6 kWh (71 kWh) yang mampu memberikan jarak sehingga 425 km mengikut standard WLTP. Untuk pengecasan, xDrive40 menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW menerusi sambungan Type 2, dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar tujuh jam dan 15 minit. Ada juga pengecas pantas DC dengan kuasa sehingga 150 kW menggunakan sambungan CCS2, yang boleh mengecas 0-80% dalam masa 31 minit.

    Varian xDrive40 didatangkan dengan ciri standard termasuk lampu utama LED dengan bantuan lampu tinggi, roda aerodinamik 21-inci serta bingkai dekoratif moulding dan penutup tingkap dengan rona hitam berkilat.

    GALERI: BMW ix xDrive40 2022 di M’sia  – SUV elektrik dengan 326 PS, jarak 425 km, harga dari RM361k

    Menjengah bahagian kabinnya, ia diberikan sistem Live Cockpit Professional dengan paparan kluster instrumen digital 12.3-inci dan juga paparan skrin sesentuh sentral 14.9-inci — yang kedua-duanya dikuasakan oleh BMW Operating System 8 baharu.

    Selain itu, ia turut ditawarkan dengan pakej dalaman Atelier bersama kawalan dan komponen terpilih dalam rona Gold Bronze. Sementara itu, tempat duduk, papan pemuka, konsol tengah dan perehat tangan tengah diberikan kemasan kulit sintetik Sensatec. Kelengkapan standard yang lain termasuk kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, peredam pasif standard, pengecas tanpa wayar Qi, kawalan pergerakan, bantuan parkir, kamera undur dan 12-pembesar suara dengan output mencecah 205 watt.

    Untuk varian Sport, ia menerima ciri tambahan termasuk lampu utama Laserlight, brek Sport dengan kaliper berwarna biru, bumbung matahari panoramik dengan pencahayaan Sky Lounge, kamera 360-darjah dan sistem bunyi Harmon Kardon 655-watt dengan 18-pembesar suara.

    Bagi aspek keselamatan, iX didatangkan dengan elemen standard bagi pakej Driver Assistant, brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta dan kepekaan trafik lintasan belakang, dan bantuan lampu tinggi.

    Varian Sport juga menerima ciri tambahan bagi pek Professional yang merangkumi kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop-and-go, dan bantuan pemusatan lorong untuk fungsi pemanduan separa-automatik Tahap 2. Ia juga diberikan sistem pemantauan tekanan tayar dan sekatan pancaran tinggi bagi mengelakkan pemandu lain silau dengan suluhan lampu varian ini.

     
     
  • Pesalah trafik warga S’pura dilarang keluar M’sia jika ada saman tertunggak; 100k saman belum dibayar

    Pesalah trafik warga S’pura dilarang keluar M’sia jika ada saman tertunggak; 100k saman belum dibayar

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman sekali lagi menegaskan bahawa warga Singapura yang mempunyai saman trafik tertunggak serta saman berstatus waran tangkap boleh dihalang keluar dari negara ini dan boleh ditangkap.

    Menurut Pengarah JSPT, Datuk Mat Kasim Karim, sehingga kini, sebanyak 108,757 saman masih belum dijelaskan daripada 143,427 saman yang dikeluarkan dari 2016 hingga 2021, laporan Berita Harian.

    “JSPT ingin mengingatkan kepada semua pesalah trafik warganegara Singapura bahawa mereka boleh dihalang keluar dari negara ini jika mempunyai saman tertunggak sama ada Pol 170A atau Pol 257 berdasarkan di bawah Seksyen 66J Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan di bawah Seksyen 24(4) Akta Polis 1967.

    “Jika pesalah trafik berkenaan mempunyai saman berstatus waran tangkap, polis akan menangkap pesalah trafik berkenaan dan dituduh di mahkamah dalam tempoh segera. Jika dapat dituduh pada hari yang sama, pesalah trafik berkenaan akan ditahan sekiranya tidak dapat mengemukakan penjamin dalam kalangan warganegara Malaysia, sebelum dituduh keesokkan harinya,” katanya.

    Pesalah trafik warga S’pura dilarang keluar M’sia jika ada saman tertunggak; 100k saman belum dibayar

    Mengenai penguatkuasaan yang dilaksanakan, Mat Kasim berkata, pihaknya sentiasa mengadakan Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing (OSTWA) bagi mengambil tindakan terhadap pesalah trafik warganegara Singapura, sama ada berskala besar yang membabitkan semua kontinjen atau sederhana, yang dilakukan oleh kontinjen Johor sepanjang tahun.

    Beliau turut menyangkal isu saman tertunggak terkait dengan kelemahan penguatkuasaan. Katanya, perkara yang turut menyumbang kepada saman tertunggak ini ialah notis saman gagal disampaikan berikutan tidak mempunyai alamat pesalah trafik berkenaan bagi membolehkan saman berkenaan diposkan kepada mereka.

    “Selain itu, kemungkinan terdapat kenderaan yang dikeluarkan saman oleh polis sudah dilupuskan apabila sampai tempohnya, iaitu lima tahun berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa di Singapura,” jelasnya.

    Dalam masa yang sama, pihaknya turut mengalu-alukan pelaksanaan pendaftaran kenderaan warganegara Singapura oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Sistem Kutipan Caj Jalan (RC) dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP), yang berkuat kuasa di pintu masuk sempadan negara tidak lama lagi.

    Berdasarkan sistem ini, maklumat pesalah trafik akan diperoleh bagi membolehkan notis saman dapat disampaikan kepada pesalah trafik.

    Pesalah trafik warga S’pura dilarang keluar M’sia jika ada saman tertunggak; 100k saman belum dibayar

    “Sistem ini juga akan mengimbas nombor pendaftaran kenderaan warganegara Singapura yang memasuki sempadan Malaysia serta memaparkan jumlah saman yang tertunggak. Mereka akan dihalang keluar dari negara ini sehingga semua saman mereka dijelaskan berdasarkan peruntukan undang-undang yang dinyatakan tadi iaitu Seksyen 24 (4) Akta Polis 1967 dan Seksyen 66J Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Dalam masa yang sama, JSPT juga meningkatkan peralatan penguatkuasa yang lebih moden dan berkesan iaitu dengan menggunakan 40 alat Pengimbas Nombor Pendaftaran Kenderaan (iCOPS) bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan saman berstatus waran tangkap.

    Malah, beliau berkata, pengimbas itu yang dihubungkan terus kepada pangkalan data dapat mengesan kenderaan hilang atau yang dilaporkan curi, termasuk kenderaan klon.

    “Selain itu, bagi meningkatkan kecekapan dan keselamatan pengguna jalan raya, JSPT turut menggunakan Peralatan Pengesan Had Laju (In-Car Radar), yang dipasang pada kenderaan peronda bagi menangani kesalahan memandu melebihi had laju yang ditetapkan dan mengeluarkan saman terhadap pesalah trafik berkenaan pada ketika itu juga,” katanya.

     
     
  • Geely Jiaji facelift dikesan di China – kelihatan gril Infinite Wave Proton, ruang dalaman direka semula

    Geely Jiaji facelift dikesan di China – kelihatan gril Infinite Wave Proton, ruang dalaman direka semula

    Geely Jiaji (kod nama VF11) telah dilancarkan di China pada Mac 2019 dan tidak lama lagi ia bakal menerima versi facelift, menurut laporan CarNewsChina. Sebelum ini dilaporkan, MPV tiga-barisan tempat duduk ini, merupakan salah satu daripada kenderaan Geely yang memberikan kebenaran buat Proton memperoleh penggunaan harta intelek (IP) dan hak untuk mengeluarkannya, dan ada perkhabaran mengatakan ia adalah pengganti Exora.

    Foto spyshot untuk MPV yang diberikan suntikan lebih segar ini kelihatan tampil dengan bahagian hadapan yang disemak semula, dengan mengadaptasi falsafah rekaan Geely iaitu Vision Starburst. Hasilnya, wajah berbentuk-X ini kelihatan sedikit sama dengan gril Lexus, sementara gril “Kosmos yang lebih besar” turut dibentukkan semula dan kali ini diberikan paten “infinite Weave”. Direka oleh Proton, gril ini juga kelihatan pada X70, X50, Persona, Iriz dan Saga.

    Ciri luaran lain yang turut ada perubahan termasuk bahagian belakang, yang kini tampil dengan dua-kepingan lampu yang dibentuk semula. Kluster juga disambungkan ke palang lampu dan perkataan Geely kini ditempatkan pada tailgate yang telah diprofil semula. Selain itu, reflektor juga telah diberikan kedudukan menegak dan diletakkan di penjuru bampar, dengan kepingan krom baharu yang seakan sama dengan saluran ekzos.

    Di dalamnya, terdapat beberapa semakan semula dilakukan pada konsol tengah, yang kini nampak lebih ringkas dan mempunyai lebih banyak kawalan yang diletakkan pada tempat yang sama dan selari dengan ruang storan. Selain itu, kelihatan juga ruang storan yang lebih besar di bawah lubang udara tengah, dan tempat letak tangan di bahagian tengah kini tidak lagi boleh dibuka dalam dua bahagian.

    Model semasa Jiaji ditawarkan dengan penjana kuasa petrol bersama enjin 1.8 liter pengecas turbo empat-silinder dengan hamburan 181 hp dan tork 300 Nm. Selain itu, ia turut ditawarkan dengan sistem plug-in hybrid yang menampilkan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder dan motor elektrik untuk menghasilkan kuasa 255 hp dan 385 Nm. Setakat ini, tidak dipastikan adakah penjana kuasa ini dikekalkan atau ada perubahan lain buat model facelift.

     
     
  • Proton eksport 794 kereta pada Mac – tertinggi dalam 108 bulan; Pakistan jadi pasaran eksport terbesar

    Proton eksport 794 kereta pada Mac – tertinggi dalam 108 bulan; Pakistan jadi pasaran eksport terbesar

    Selain mengumumkan angka jualan bagi bulan Mac, Proton turut berkongsi berita gembira bahawa syarikat ini telah mencatatkan sejumlah 794 kenderaan yang dieksport pada bulan lalu, sekaligus menjadikannya rekod tertinggi dalam tempoh 108 bulan bagi pasaran eksportnya.

    Angka eksport sebanyak 794 unit yang dicapai oleh Proton untuk bulan Mac 2022 adalah melibatkan pelbagai model, dan Pakistan merupakan pasaran eksport terbesar untuk syarikat ini. Di mana sebanyak 690 unit kereta Proton telah dieksport ke negara berkenaan pada bulan lalu. Operasi pemasangan tempatan (CKD) untuk model Saga di Karachi, Pakistan telah pun bermula sejak Oktober tahun lalu.

    Menurut Proton, secara keseluruhannya, jumlah eksport pada suku pertama 2022 adalah sebanyak 1,117 unit, mewakili peningkatan sehingga 175% berbanding suku yang sama tahun lalu.

    Untuk prestasi jualannya secara keseluruhan, Saga terus mendahului semua model bagi jenama ini dengan sejumlah 6,422 unit pada bulan Mac. Di mana ia merupakan angka jualan bulanan terbaik bagi model tersebut dalam tempoh sembilan tahun ini.

    Malahan Saga bukan setakat merajai jumlah jualan Proton, tetapi juga merupakan sedan segmen-A paling laris di negara ini, menurut syarikat ini sendiri. Untuk tiga bulan pertama 2022, Saga telah mencatatkan jualan sebanyak 9,449 unit. Manakala model kedua Proton yang turut mencapai rekod jualan memberangsangkan ialah SUV X70, dengan 2,320 unit dijual pada Mac dan 4,238 unit secara keseluruhan pada tahun ini.

     
     
  • Honda Malaysia anjur promosi ‘Share Rezeki Deals’ sepanjang April 2022 – tawar ganjaran sehingga RM4k

    Sudah masuk hari kelima umat Islam di negara ini berpuasa di bulan Ramadan, dan tak lama lagi bolehlah kita meraikan Hari Raya Aidilfitri secara lebih bebas (tapi sila patuhi SOP sedia ada). Yelah, dua tahun kita tak dapat menyambut Syawal secara normal gara-gara pandemik Covid-19. Kali ini, dalam kegirangan yang bakal tercipta, adakah di antara anda yang mahu berkereta baharu di hari raya? Jika ya, inilah masanya untuk merealitikan impian anda.

    Terkini, Honda Malaysia sedang menganjurkan promosi ‘Share Rezeki Deals’ sepanjang April 2022, dan ini menggabungkan “Bonus Festival” dengan “Rebat Istimewa” atau baucar servis dengan penjimatan sehingga RM4,000.

    Sudah tiada diskaun mega bagi stok 2021 untuk promosi pada bulan ini, bermakna semua kereta buatan tahun lalu telah pun dimiliki. Jadi, jika anda mengambil peluang dengan promosi yang menawarkan penjimatan seperti yang sedang berlangsung ini, pastinya anda akan mendapat kereta ‘baru-keluar-kilang’ buatan tahun 2022.

    Bagi model BR-V, HR-V dan CR-V, ia didatangkan dengan ganjaran bernilai RM1,000, sementara model sedan City pula diberikan rebat sebanyak RM2,000. Manakala sedan segmen-D Accord pula ditawarkan dengan penjimatan sehingga RM4,000.

    Namun model Civic baharu tidak pulak tersenarai dalam promosi bulan ini. Memandangkan generasi ke-11 FE ini sedang mendapat permintaan yang tinggi dan tiada insentif tambahan diperlukan. Dilancarkan pada Januari lalu, Civic baharu ini didatangkan dengan enjin turbo dan Honda Sensing secara standard untuk semua varian. Sedan segmen-C ini ditawarkan pada harga bermula RM125,635 untuk varian E hingga RM144,350 bagi RS baharu. Juga tidak disenaraikan dalam promosi ini ialah City Hatchback yang dilancarkan pada Disember 2021.

    Jadi, jika anda mahu memiliki Honda baharu, jangan lepaskan peluang untuk memperoleh ganjaran seperti yang ditawarkan ini, dan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) juga masih berlangsung sehingga 30 Jun 2022. Kesemua barisan model yang dijual oleh Honda Malaysia adalah pemasangan tempatan (CKD) dan layak menerima 100% pengecualian SST.

     
     
  • PDRM siasat pemandu S’pura pandu Tesla 3 secara bebas-tangan sepanjang perjalanan ke Pulau Pinang

    PDRM siasat pemandu S’pura pandu Tesla 3 secara bebas-tangan sepanjang perjalanan ke Pulau Pinang

    Selepas pembukaan pintu masuk sempadan sejak 1 April lalu, pelbagai kisah yang tular di laman media sosial berhubung dengan warga jiran kita, Singapura, yang masuk ke negara kita. Bukan setakat mengisi minyak petrol RON 95 dan memandu secara melulu di jalan raya di Malaysia, ini ada satu lagi kisah yang dilakukan oleh warga mereka. Ada seorang pemandu warga Singapura telah berkongsi pengalamannya memandu model Tesla 3 ke Pulau Pinang dengan menggunakan sistem bantuan pemanduan automatik atau Autopilot.

    Dia telah berkongsi pengalaman sepanjang perjalanan ke utara itu menerusi platform media sosial TikTok dan ia mendapat perhatian ramai termasuklah Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

    Ekoran perbuatan tersebut, Ketua Penolong Pengarah Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin telah mengeluarkan kenyataan bahawa adalah dilarang untuk menggunakan sistem pemanduan sendiri seperti ini di Malaysia. Malahan pihaknya juga akan membuka kertas siasatan berhubung perkara tersebut, laporan Guang Ming Daily.

    Beliau menjelaskan walau pun Malaysia tidak menggubal peraturan berkaitan sistem bantuan pemanduan automatik, namun menurut yang termaktub di bawah Akta Trafik Darat 1959 mengatakan bahawa pemandu perlulah memandu dengan baik, berhati-hati dan menumpukan perhatian. Apa yang dilakukan oleh pemandu Tesla 3 terbabit adalah membiarkan sistem Autopilot berkenaan mengawal sendiri pemanduan. Dan ini suatu kesalahan dan melanggar ordinan tersebut kerana sepatutnya pemandu perlulah sentiasa mengawal sendiri pergerakan stereng.

    PDRM siasat pemandu S’pura pandu Tesla 3 secara bebas-tangan sepanjang perjalanan ke Pulau Pinang

    “Polis percaya bahawa walau pun buat masa ini tiada undang-undang di Malaysia yang melarang pemanduan bantuan sendiri, namun sistem tersebut bukan sahaja tidak dapat mengekalkan perhatian pemandu, malahan juga tidak dapat mengesan sama ada terdapat pemandu di dalam kereta; pemandu mungkin kurang melihat keadaan jalan raya, tetapi lebih memberi perhatian kepada sistem berkenaan. Untuk perkara lain yang tiada kaitan, seperti penggunaan telefon pintar sewaktu memandu. Oleh itu, penggunaan sistem pemanduan automatik semasa memandu masih dilarang di negara kita,” jelas beliau.

    Tambah beliau, walau pun semua kenderaan pada masa hadapan dilengkapi dengan fungsi bantuan pemanduan automatik sebegini, namun pemandu haruslah sentiasa memberi perhatian dan peka dengan keadaan jalan raya. Ini kerana sekiranya sistem berkenaan gagal mengesan sebarang bahaya, pemandu boleh bertindak balas tepat pada masanya untuk mengelakkan kemalangan daripada berlaku.

    “Walaupun sebagai sebuah negara yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan berkaitan sistem bantuan pemanduan automatik ini, Amerika Syarikat masih menetapkan larangan menggunakannya di kebanyakan negerinya. Dan laporan penyelidikan terkini daripada Institut Teknologi Massachusetts (MIT) menunjukkan bahawa penggunaan fungsi bantuan pemanduan automatik ini boleh menyebabkan pemandu lalai dan tidak peka dengan keadaan jalan raya,”ujarnya lagi.

     
     
  • Harga minyak 7-13 April – RON97 turun 10 sen seliter

    Harga minyak 7-13 April – RON97 turun 10 sen seliter

    Jika minggu sebelum ini, petrol RON 97 dilaporkan naik harga sebanyak lapan sen seliter, tapi untuk minggu bertarikh 7 hingga 13 April 2022, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa bahan api tersebut turun harga sebanyak 10 sen seliter.

    Ia akan menjadi RM3.81 seliter, berbanding RM3.91 seliter sebelum ini. Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12 tengah malam ini sehingga Rabu hadapan, 13 April 2022.

    Dan seperti setahun yang lalu, harga untuk petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Manakala harga diesel Euro B10/B20 yang juga masih dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

     
     
  • Polis Johor tak pilih kasih – tindakan tegas untuk kenderaan asing jika didapati melakukan kesalahan

    Polis Johor tak pilih kasih – tindakan tegas untuk kenderaan asing jika didapati melakukan kesalahan

    Sejak sempadan negara kembali dibuka mulai 1 April lalu, sudah beberapa kali netizen menularkan video dan gambar warga negara jiran kita, Singapura, yang membuat onar di sini. Bukan setakat selamba mengisi petrol RON 95 di stesen minyak di Johor, bahkan video memandu laju dan secara berbahaya turut dirakamkan dan ditularkan oleh netizen kita. Perkara ini turut mendapat perhatian Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

    Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintendan M Kumarasan, berkata pihaknya tidak pilih kasih atau mengamalkan ‘double standard’ terhadap mana-mana pihak, malah sentiasa tegas dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya termasuk kepada warga Singapura. Malah sekiranya wujud kesalahan seperti maklumat yang disalurkan, kertas siasatan akan dibuka untuk tindakan lanjut sehingga ke pertuduhan di mahkamah.

    “JSPT sentiasa menjalankan penguatkuasaan secara berterusan seperti Ops Utama (Laju) dan operasi rutin di semua lokasi iaitu lebuh raya, Jalan Persekutuan, Jalan Negeri dan Jalan Bandaran. Berkaitan kenderaan Singapura yang memandu secara melulu, memang tidak dinafikan ada kejadian sebelum ini dan memang tindakan diambil,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Polis Johor tak pilih kasih – tindakan tegas untuk kenderaan asing jika didapati melakukan kesalahan

    Ia adalah bagi mengulas mengenai tindakan beberapa buah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang dipandu laju dan memotong secara merbahaya di Persimpangan lampu isyarat Felda Gugusan Adela dari Sungai Rengit menghala ke Bandar Penawar pada Ahad lalu. Orang awam sempat merakamkan video aksi kenderaan terbabit sebelum dimuatnaik ke Facebook dan tular di media sosial.

    Susulan rakaman terbabit pihak polis bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik Ibu Pejabat Kota Tinggi membuka kertas siasatan mengikut seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Kumarasan menambah, masyarakat adalah mata dan telinga kepada pihak polis. Di mana kerjasama daripada masyarakat dalam menyalurkan maklumat banyak membantu dari segi siasatan dan kejayaan untuk pertuduhan di Mahkamah.

    “Sekiranya ada maklumat yang disalurkan kita akan jalankan siasatan lebih-lebih lagi dengan bukti video seperti kes di Kota Tinggi. PDRM khususnya JSPT memang tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang dengan sengaja melanggar peraturan dan undang-undang,” katanya.

     
     
  • BYD tamatkan pengeluaran enjin pembakaran dalaman, beri tumpuan kepada EV dan plug-in hybrid

    BYD tamatkan pengeluaran enjin pembakaran dalaman, beri tumpuan kepada EV dan plug-in hybrid

    Pengeluar kenderaan China BYD telah menghentikan pengeluaran kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya dan mengalihkan perhatian kepada model elektrik sepenuhnya dan plug-in hybrid, lapor Reuters.

    “Di masa hadapan, BYD akan memfokuskan pengeluaran kenderaan elektrik dan plug-in hybrid,” jelas pengeluar itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada Bursa Saham Hong Kong.

    Bagaimanapun, ini bukanlah pengakhiran kepada enjin pembakaran dalaman yang akan dihasilkan oleh BYD, memandangkan syarikat itu akan terus mengeluarkan enjin petrol berkapasiti kecil untuk kegunaan sistem plug-in hybrid. Langkah untuk menghentikan pengeluaran kenderaan dengan enjin biasa ini adalah selari dengan ikrar kerajaan China untuk mengurangkan pembebasan karbon menjelang 2030.

    BYD menghasilkan sebanya 104,878 unit kenderaan tenaga baru (NEV) di China pada Mac, menjadikan jualan bulan itu yang tertinggi bagi jenama berkenaan dengan jumlah yang berlipat kali ganda daripada 24,218 unit yang dicapai dalam bulan sama tahun lalu. Daripada jumlah ini, 53,664 unit merupakan kenderaan elektrik dan 50,674 unit kenderaan plug-in hybrid, serta 540 unit NEV komersial.

    Walaupun akan memberi tumpuan kepada kenderaan elektrik dan elektrifikasi, syarikat ini bagaimanapun akan tetap menyediakan sokongan lepas jualan dan alat ganti kepada pelanggan dengan enjin biasa sebelum ini, sepanjang jangka hayat kenderaan terlibat.

    Model terbaru diperkenalkan oleh BYD adalah Seal, model elektrik penuh yang menggunakan e-platfrom 3.0 yang bersaing dengan Tesla Model 3. EV terbaru itu memanfaatkan struktur elektrik 800-volt, dan dengan pek bateri Blade EV-nya, akan memberikan Seal jarak perjalanan 700 km bagi setiap pengecasan.

    Versi pacuan roda belakang Seal EV datang dalam varian 204 hp dan 312 hp, sementara veri prestasi dengan dua motor menampilkan motor 217 hp di gandar depan yang disertai oleh unit 312 hp di belakang untuk menghasilkan output sistem 530 hp. Dalam konfigurasi ini, ia mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat.

    Pengeluaran BYD Seal adalah dari kilang Changzhou, yang mana 60,000 unit akan dikeluarkan setahun. Syarikat mensasarkan jualan 5,000 unit Seal sebulan.

     
     
  • Geely Coolray facelift 2022 dilancar di Filipina – skrin besar 12.3″; tapi enjin 1.5L 3-silinder TGDi, 7DT kekal

    Geely Coolray facelift 2022 dilancar di Filipina – skrin besar 12.3″; tapi enjin 1.5L 3-silinder TGDi, 7DT kekal

    Geely Coolray facelift 2022 akan dilancarkan di Filipina, menerusi penganjuran Manila International Auto Show (MIAS) yang bakal membuka tirainya pada hujung minggu ini. Pengumuman tersebut dilakukan sejurus selepas Geely memperkenalkan Coolray GT Limited Edition di republik berkenaan, menjadikannya sebagai negara pertama di luar China yang menerima SUV yang dikemaskini itu.

    Model facelift ini berasaskan Binyue Pro 2021, dan bukanlah versi terkini dengan rekaan semula yang lebih sarat untuk bahagian hadapannya.

    Elemen baharu yang diberikan termasuklah gril jejaring honeycomb yang menggantikan unit kosmos terdahulu, serta lapisan tunggal bagi lip hadapan, berbanding dwi-lapisan pada model semasa. Lampu utamanya masih dikekalkan, tetapi dipertingkatkan dengan welcome light apabila dinyahkunci.

    Geely Coolray facelift 2022 dilancar di Filipina – skrin besar 12.3″; tapi enjin 1.5L 3-silinder TGDi, 7DT kekal

    Di dalamnya, model facelift bagi Coolray ini menerima skrin infotainmen yang lebih besar bersaiz 12.3-inci, dengan intrumentasi pemandu masih dalam bentuk digital. Juga diberikan sistem pencahayaan ambien dengan 72 pilihan warna, kemasan dalaman dwi-tona dan bumbung suria panoramik.

    Geely Filipina turut mengesahkan bahawa SUV baharu ini akan menggunakan enjin yang sama iaitu 1.5 liter TGDi tiga-silinder seperti sebelum ini, dengan kuasa 177 PS dan tork 255 Nm. Untuk makluman anda, model facelift yang terkini telah memperkenalkan enjin baharu 1.5 liter turbo empat-silinder yang mampu memberikan kuasa lebih padu mencecah 181 PS.

     
     
  • Rapid KL sedang uji penggunaan bas elektrik di sekitar Kuala Lumpur sehingga 13 Jun 2022

    Rapid KL sedang uji penggunaan bas elektrik di sekitar Kuala Lumpur sehingga 13 Jun 2022

    Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) selaku pengendali perkhidmatan pengangkutan bas Rapid KL telah memaklumkan pihaknya sedang melakukan percubaan pengunaan bas elektrik dalam operasi perkhidmatan basnya di beberapa laluan bas terpilih. Percubaan ini melibatkan empat buah bas elektrik, dan berlangsung selama tiga bulan sehingga 13 Jun 2022.

    Menurut syarikat ini, dua laluan percubaan yang terlibat adalah Laluan 400 iaitu Damai Perdana ke Hab Lebuh Pudu melalui Bukit Bintang, dan Laluan 650 (Taman Desa ke Hab Pasar Seni).

    “Percubaan penggunaan bas elektrik ini adalah selari dengan pelan transformasi Rapid Bus melalui Program Elektrifikasi Bas yang mana bas diesel sedia ada akan digantikan dengan bas elektrik secara berperingkat menjelang tahun 2030,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Mohammad Yazurin Sallij.

    Rapid KL sedang uji penggunaan bas elektrik di sekitar Kuala Lumpur sehingga 13 Jun 2022

    Sebelum ini, Rapid Bus sudah mula menggunakan bas elektrik sejak tahun 2015 bagi koridor BRT Sunway dalam usaha mewujudkan persekitaran yang terkawal. Sebanyak 15 buah bas elektrik telah digerakkan dengan jumlah perjalanan lebih dari 659,000 kilometer menggunakan kaedah “overnight charging” atau pengecasan semalaman.

    “Inisiatif ini juga selaras dengan Ikrar Kenyataan Polisi Alam Sekitar Prasarana dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) iaitu sasaran neutral karbon melalui pengurangan pelepasan karbon menjelang tahun 2050,” sambung Mohammad Yazurin lagi.

    Dalam masa yang sama, beliau berharap sepanjang tempoh percubaan ini berlangsung, penumpang atau penduduk di sepanjang laluan-laluan terlibat tidak melepaskan peluang untuk mencuba perkhidmatan bas elektrik ini dan memberikan maklum balas tentang bagaimana perkhidmatan ini dapat dipertingkatkan lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jul 04, 2024