Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Perodua sasar jualan 314k unit bagi 2023 — 45% perkongsian pasaran, RM10b untuk pembekal lokal

    Perodua sasar jualan 314k unit bagi 2023 — 45% perkongsian pasaran, RM10b untuk pembekal lokal

    Bagi tahun 2023, Perodua mensasarkan jumlah jualannya kepada 314,000 unit kenderaan,sementara jumlah pengeluarannya pula sebanyak 330,000 unit. Menurut syarikat itu, angka ini boleh dicapai dengan mengambil kira tempahan tertunggak daripada tahun lalu yang melibatkan tempoh pembelian dengan sifar cukai SST sebelum ini. Setakat ini, lebih separuh daripada tempahan yang diterima tahun lalu masih belum diserahkan kepada pelanggan.

    Sasaran yang dinyatakan itu masing-masing lebih tinggi sebanyak 14.2% dan 11.3% berbanding prestasi jualan dan pengeluaran Perodua pada tahun 2022, yang masing-masing mencatatkan angka 289,054 unit dan 282,019 unit. Perkara ini dikongsikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad dalam satu taklimat media hari ini di Kuala Lumpur.

    Dengan sasaran yang ditetapkan ini, Perodua juga menjangka akan mampu meningkatkan perkongsian pasarannya dari 39.1% pada tahun lalu kepada 44.5% untuk tahun 2023 — naik sebanyak 5.4%, dan berdasarkan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 705,000 unit yang disasarkan.

    Dengan sasaran dan pertumbuhan pengeluaran itu, Perodua juga telah memperuntukkan sebanyak RM10 bilion untuk membeli alat ganti atau komponen berkaitan daripada pembekal tempatan. “Komitmen pembelian ini dijangka akan menggalakkan lagi ekosistem automotif Malaysia untuk menambah baik keupayaan pengeluaran dan standard kualitinya,” ujar beliau.

    Selain itu, RM1.15 bilion juga telah diperuntukkan untuk menambahbaik oeprasi keseluruhan kumpulannya. Ini termasuklah hal-hal berkaitan perluasan rangkaian operasi sedia ada, sebagai contoh untuk meluaskan lagi perniagaan kenderaan terpakainya (POV).

     
     
  • Kereta Thailand dikesan isi petrol bersubsidi RON95

    Kereta Thailand dikesan isi petrol bersubsidi RON95

    Menerusi Facebook USJ Community yang memuat naik foto seorang lelaki yang memandu BMW X1 dengan nombor plat pendaftaran Thailand dikesan mengisi minyak petrol bersubsidi RON95 di sebuah stesen Shell yang dipercayai terletak di sekitar USJ Subang Jaya.

    Entri berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan pemandu BMW X1 berkenaan dan meminta agar perkara ini segera dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan. Individu yang memuat naik foto ini berkata, dia telah pun membuat aduan kepada pekerja stesen minyak terbabit tetapi tidak diendahkan. Menurutnya, pekerja stesen minyak berkenaan juga seorang warga asing dan kemungkinan besar tidak mahu mencetuskan sebarang masalah di situ.

    Sebelum ini, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menggesa orang ramai untuk terus melaporkan ke stesen minyak sekiranya mereka mengesan ada warga asing yang mengisi petrol RON 95 yang disubsidi. Presiden PDAM Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata laporan yang dikemukakan oleh orang awam adalah lebih efektif bagi menangani isu ini berbanding hanya mengambil foto dan kemudian menularkannya di laman media sosial.

    Tambah beliau, sekiranya pihak berkuasa mendapati warga asing mengepam petrol RON 95, tindakan hanya boleh diambil terhadap pengusaha stesen minyak. Mereka yang ditangkap kerana melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), yang mengawal Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, boleh berdepan hukuman iaitu denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya, bagi individu, dan denda tidak melebihi RM2 juta untuk entiti atau syarikat.

    Sebenarnya ini bukanlah perkara baharu, malah telah acapkali berlaku sebelum ini. Umum mengetahui bahawa kenderaan dengan pendaftaran plat asing adalah tidak dibenarkan untuk membeli petrol RON 95 di Malaysia. Peraturan ini telah termaktub sejak 1 Ogos 2010. Ini kerana subsidi yang dibiayai cukai yang lebih tinggi hanya disediakan untuk pengguna RON 95, iaitu untuk pengguna kenderaan berpendaftaran Malaysia sahaja. Manakala untuk kenderaan asing, hanya dibenarkan untuk membeli petrol RON 97 atau RON 100 sahaja.

     
     
  • Perodua Axia 2023 dengan kotak gear manual akan dilancarkan selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini

    Perodua Axia 2023 dengan kotak gear manual akan dilancarkan selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini

    Hari ini Perodua telahpun membuat kejutan dengan secara rasmi membuka tempahan untuk model generasi kedua Axia yang dijangka akan dilancarkan pada pertengahan Februari. Seperti yang tular tempoh hari, Axia 2023 berkenaan akan ditawarkan dalam empat varian yang kesemuanya dipadankan hanya dengan kotak gear automatik D-CVT.

    Persoalannya, adakah model-model Perodua akan ‘pupus’ di sekolah-sekolah memandu selepas ini kerana tiada lagi model dengan kotak gear manual dipadankan? Dalam majlis sambutan Tahun Baharu Cina dan perkongsian halatuju Perodua yang berlangsung di Kuala Lumpur pagi tadi, Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad mendedahkan Axia manual masih akan ditawarkan tetapi ia akan hadir lambat sedikit berbanding varian-varian D-CVT.

    Bila model berkenaan akan dilancarkan tidak disebutkan secara spesifik, tetapi Zainal mengesahkan bahawa ia akan ditawarkan dalam pasaran selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Model tersebut akan dihasilkan dalam spesifikasi lebih baik dari Axia manual generasi sedia ada, dan selain untuk kegunaan sekolah memandu, model tersebut turut akan dijual kepada orang awam.

    “Kami masih akan terus hasilkan kereta [dengan kotak gear] manual khasnya untuk sekolah-sekolah memandu. Ini akan kami umumkan kemudian dan kami rasa sekolah-sekolah memandu akan suka sebab keretanya sama (Axia), spesifikasi [yang ditawarkan] bagus,” kata Zainal.

    Walau bagaimanapun bos besar Perodua berkenaan masih merahsiakan berapa julat harga untuk Axia 2023 dengan kotak gear manual berkenaan.

    Ketika mengumumkan Axia generasi kedua ini sudah boleh ditempah pagi tadi, Perodua turut sudahpun memperincikan sekali harga tentatif untuk semua varian yang ditawarkan. Ia bermula RM38,600 untuk varian G, RM40,000 untuk Axia X, RM44,000 untuk Axia SE dan RM49,500 bagi Axia AV; semuanya harga atas jalan tidak termasuk insuran.

    Ini jelas lebih tinggi berbanding model generasi sebelumnya di mana model facelift 2019 Axia GXtra dengan VSC dijual pada harga RM34,990 , manakala varian tertinggi Axia AV dijual pada harga RM43,190. Ini bukan sahaja kerana Axia generasi kedua ini akan menampilkan badan yang lebih besar, malah ia juga akan hadir dengan perincian-perincian jauh lebih canggih yang dikongsi bersama model-model baharu Perodua yang lain seperti Myvi dan Alza.

    Untuk lebih perincian berkenaan Perodua Axia 2023 ini, anda boleh baca laporan yang telah kami sediakan pada PAUTAN INI.

     
     
  • Honda Transalp XL750 2023 – harga jualan di Eropah terdedah, tidak jauh beza dengan Yamaha Tenere 700

    Honda Transalp XL750 2023 – harga jualan di Eropah terdedah, tidak jauh beza dengan Yamaha Tenere 700

    Semasa pameran EICMA hujung tahun lalu, Honda telah mendedahkan sebuah motosikal adventure kelas pertengahan baru yang dipanggil sebagai Transalp XL750. Ramai yang teruja dengannya, kerana memasuki segmen yang popular untuk bersaing antaranya dengan Yamaha Tenere 700 dan Suzuki V-Strom 800DE, dan membawa keunikan tersendiri.

    Dengan kelengkapan serta sistem yang lebih canggih berbanding Tenere 700, ramai yang tertunggu-tunggu harganya. Dalam laman web rasmi Honda ia masih belum didedahkan, tetapi melalui laman web motociclismo.it yang sudah mendapat maklumat awal, kita dapat mengetahui Honda meletakkannya pada harga bermula 10,940 euro (RM50,419) untuk jualan di Itali.

    Perbezaan harganya dengan Tenere 700 biasa di sana cuma 59 euro (RM271), di mana model Yamaha itu dijual pada harga 10,999 euro (RM50,691). Dibandingkan pula dengan salah satu model Honda sendiri, iaitu CB500X yang dijual pada harga 6,699 euro (RM30,873) di sana, Transalp XL750 adalah lebih mahal 4,249 euro (RM19,582).

    Walaupun harga Transalp XL750 ini sangat hampir dengan Tenere 700 yang lebih ringkas, ia menawarkan lebih ciri kepada pengguna, terutamanya pada bahagian elektronik termasuk lima mod tunggangan, empat tahap Engine Power, tiga tahap Engine Brake, lima tahap (juga boleh ditutup) Honda Selectable Torque Control (HSTC) serta mod Offroad bagi ABS.

    Ia dipacu oleh enjin dua silinder selari SOHC 755 cc bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper sama seperti Hornet CB750, mampu menghasilkan kuasa sehingga 90.5 hp pada 9,500 rpm dan 75 Nm tork pada 7,500 rpm.

    Suspensi Transalp XL750 menggunakan unit daripada Showa, dengan cuma pelarasan pra beban sahaja untuk kedua-dua fork hadapan dan penyerap belakang, sementara rim pula menggunakan unit spoked bertiub saiz 21 inci dengan tayar 90/90 di hadapan dan 18 inci dengan tayar 150/70 di belakang. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 208 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 16.9 liter.

    GALERI: Honda Transalp XL750 2023

     
     
  • Stesen Petronas di R&R Sg Perak arah utara ditutup hingga 17 April 2023 untuk kerja naiktaraf – PLUS

    Stesen Petronas di R&R Sg Perak arah utara ditutup hingga 17 April 2023 untuk kerja naiktaraf – PLUS

    Makluman buat pengguna Lebuhraya Utara-Selatan yang menuju ke utara tanahair, PLUS Berhad memaklumkan bahawa stesen Petronas di kawasan R&R Sungai Perak (arah utara) di KM249.4 ditutup mulai hari ini, 31 Januari sehingga 17 April 2023. Ia adalah untuk kelancaran kerja-kerja menaiktaraf stesen minyak berkenaan.

    Menurut PLUS lagi, penutupan ini hanya melibatkan stesen minyak Petronas sahaja dan tidak membabitkan keseluruhan kawasan R&R terbabit yang masih kekal beroperasi seperti biasa. Jika sudah terbiasa mengisi minyak di situ, apa kata anda ke Stesen Minyak Petronas di Hentian Sebelah Simpang Pulai KM290.90 (Arah Utara) di lebuhraya berkenana.

    Apa pun, sila tingkatkan fokus pemanduan, terus berhati-hati di jalan raya dan berehat seketika di kawasan R&R berhampiran sekiranya keletihan atau mengantuk.

     
     
  • Toyota kekalkan kedudukan No.1 sebagai pengeluar kereta utama dunia pada 2022 – VW di tangga kedua

    Toyota kekalkan kedudukan No.1 sebagai pengeluar kereta utama dunia pada 2022 – VW di tangga kedua

    Toyota Motor Corporation masih mengekalkan kedudukan di tangga pertama sebagai pengeluar kereta utama di dunia pada tahun 2022. Syarikat pengeluar kereta gergasi dari Jepun ini turut menewaskan pesaing terdekatnya dari Jerman iaitu Volkswagen buat tiga tahun berturut-turut.

    Walau pun berhadapan dengan isu gangguan rantaian bekalan termasuk cip semikonduktor, namun pada tahun lalu, Toyota dan anak-anak syarikatnya berjaya menjual hampir 10.5 juta kenderaan di seluruh dunia, hampir menyamai rekod yang dicatatkan pada 2021, laporan Reuters.

    Pada 2022, Toyota menjual 2.7 juta kenderaan elektrik (EV), kira-kira lima peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya dan juga 2.6 juta unit model hibrid. Toyota pernah meletakkan sasaran untuk memperkenalkan 30 model EV menjelang akhir dekad ini.

    Di tempat kedua pula diduduki oleh Volkswagen, yang sebelum ini melaporkan bahawa syarikatnya mencatatkan jualan yang paling rendah dalam sedekad ini, dengan hanya menjual sebanyak 8.3 juta kenderaan pada tahun lalu, penurunan sebanyak tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya. Ia disebabkan faktor sekatan pergerakan di China kerana Covid-19 serta perang Ukraine-Rusia yang mengganggu raantaian bekalan komponen.

    Baru-baru ini,Toyota telah mengumumkan peletakan jawatan Akio Toyoda sebagai CEO dan presiden syarikat itu bermula 1 April ini. Jawatan yang disandang oleh cucu kepada Kiichiro Toyoda, pengasas Toyota Motor Corporatin ini akan diambil alih oleh Koji Sato yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Penjenamaan Toyota, Presiden Lexus International Co dan juga Gazoo Racing Company.

     
     
  • Perodua Axia D74A 2023 dibuka untuk tempahan — DNGA, 1.0L NA D-CVT, meter digital, dari RM38.6k

    Perodua Axia D74A 2023 dibuka untuk tempahan — DNGA, 1.0L NA D-CVT, meter digital, dari RM38.6k

    Perodua Axia 2023, yang mungkin menjadi pengenalan model baru paling penting tahun ini untuk pasaran tempatan dan dinanti-nantikan oleh ramai orang, kini sudah dibuka untuk tempahan. Dengan ini, perincian awal model serba baru dengan kod nama D74A yang menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) juga mula muncul.

    Walaupun ini model serba baru yang banyak penawaran menarik, ia tidak hadir dengan enjin turbo. Sebaliknya, ia akan digerakkan oleh enjin “EEV dengan D-CVT”. Ini saja maklumat yang tertera dalam risalah awal berkaitan sistem janaannya. Kemungkinan besar unit 1KR-VE 1.0L tiga-silinder akan dikekalkan, dengan janaan 67 hp/91 Nm.

    Perbezaan paling utama adalah kotak gearnya. Tiada lagi gear automatik empat-kelajuan, dan kini digantik dengan kotak gear D-CVT yang pertama kali digunakan oleh Ativa pada Mac 2021, diikuti oleh Myvi kemudiannya pada tahun yang sama. Untuk faham apa perbezaan D-CVT ini dengan CVT biasa, anda boleh lanjutkan bacaan di sini. Secara ringkasnya, D-CVT lebih cekap dan menjimatkan.

    Perodua Axia D74A 2023 dibuka untuk tempahan — DNGA, 1.0L NA D-CVT, meter digital, dari RM38.6k

    Dengan kotak gear baru ini, kadar penggunaan minyaknya kini 25.3 km/l, atau sehingga 27.4 km/l dengan sistem Start/Stop Eco Idle. Angka ini adalah mengikut Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC), yang berdasarkan keadaan jalan dan corak pemanduan tempatan. Dan, jika mengikut standard New European Driving Cycle pula, Axia terbaru ini memberikan bacaan 23.2 km/l berbanding 21.6 km/l untuk model semasanya.

    Sekadar perbandingan, dalam Myvi facelift, penggunaan minyaknya 5% lebih baik dengan pertukaran kotak gear ini (dengan enjin yang sama sebelum itu), sementara pecutan 0-100 km/j 20% lebih pantas. Jadi, Axia juga akan lebih pantas dan jimat jika mengikut corak yang sama ini.

    Gabungan sistem janaan enjin 1.0L NA dan D-CVT ini adalah standard untuk Axia baru, yang datang dalam empat varian — G, X, SE dan AV. Dua varian terakhir ini ada tambahan Eco Idle dan mod Power (butang di stereng, seperti Ativa).

    Yang membezakan SE dan AV dari luar pula adalah DRL LED yang disertakan, diletak dalam perumah bentuk T. Lampu utama LED pula adalah standard untuk varian X ke atas. Cermin sisi Axia juga kawalan elektrik, dengan yang SE/AV boleh dilipat automatik. Sistem tanpa kunci adalah standard untuk varian X ke atas, melalui sensor elektrostatik sentuhan, tanpa perlu tekan butang dari luar pintu. Ini sama seperti Ativa, dan merupakan naik taraf daripada butang hitam pada Myvi.

    Perodua Axia D74A 2023 dibuka untuk tempahan — DNGA, 1.0L NA D-CVT, meter digital, dari RM38.6k

    Ciri lain yang perlu dinyatakan ialah panel meter digital. Varian AV yang paling tinggi menerima panel instrumen TFT 7.0-inci; ini sama dengan varian pertengahan pada Ativa dan Alza, dengan gelung 3D juga kelihatan, seperti dalam risalah. Khas untuk AV juga ada skrin paparan audio 9.0-inci terapung. Ini sama dengan saiznya untuk Ativa, sementara varian lain diberikan radio tanpa skrin sentuh.

    Selain itu, ada dua jenis kerusi diberikan, satu untuk varian lebih rendah G/X, dan satu lagi untuk varian lebih tinggi SE/AV. Varian lebih rendah datang dengan kerusi standard dengan “bantal” perehat kepala untuk bahagia belakang. Varian lebih tinggi itu pula datang dengan kerusi semi-bucket di depan, dengan perehat kepala berasingan untuk kerusi belakang. Hanya AV yang menerima kerusi balutan separa kulit dua tona. Filem penapis haba standard hanya untuk ES dan AV.

    Aspek keselamatan juga menarik; AV datang dengan enam beg udara, berbeza dengan hanya dua beg udara depan yang diberikan untuk model semasa Axia. Perodua Smart Drive Assist (PSDA) juga ada, menjadikannya model peringkat kemasukan pertama yang dilengkapi ciri berkenaan. Advanced Safety Assist (ASA) yang lengkap dengan ciri AEB dan tampil dalam Axia facelift 2019 dijangka akan dikekalkan — perlu tunggu dan lihat varian mana yang datang dengan ASA dan perbezaan penawaran ciri keselamatan lainnya kelak. VSC pula standard untuk semua varian.

    Pilihan warna pula ada lima — Granite Grey, Lava Red, Glittering Silver, Ivory White (solid) dan warna baru Coral Blue. Yang terakhir ini ialah warna “hero” bagi Axia D74A.

    Anggaran harga adalah dari RM38,600 bagi G, RM40,000 bagi X, RM44,000 bagi SE dan RM49,500 bagi AV; semuanya harga atas jalan tidak termasuk insuran. Ini lebih tinggi berbanding sebelumnya, disebabkan ia produk yang lebih baik dengan kelengkapan yang bertambah. Sebagai rujukan, harga pelancaran bagi Axia facelift 2019 adalah RM34,990 bagi GXtra dengan VSC dan RM43,190 bagi AV.

    Tidak dinyatakan varian “kosong” E setakat ini. Jadi, apa pandangan anda tentang penawaran Axia 2023 berdasarkan perincian awal yang ada setakat ini? Pelancarannya dijangka berlangsung dalam bulan Februari ini.

     
     
  • JPJ eBid: Siri plat nombor RAQ bakal dibuka bidaan

    JPJ eBid: Siri plat nombor RAQ bakal dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran bagi kenderaan baharu, ini ada lagi pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia bakal boleh dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Perlis, RAQ, bakal dibuka bidaan mulai 11 Februari 2023. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 15 Februari ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 16 Februari 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Suzuki akan lancar lapan motosikal elektrik menjelang 2030 – model pertama akan diperkenalkan pada 2024

    Suzuki akan lancar lapan motosikal elektrik menjelang 2030 – model pertama akan diperkenalkan pada 2024

    Suzuki kini sedang merombak kembali hala tuju syarikat dan seperti yang kita ketahui sebelum ini, syarikat dari Jepun itu mahu meletakkan lebih fokus kepada peneutralan karbon sambil menghasilkan produk dan servis yang bertumpukan kepada pelanggan.

    Semua produk Suzuki akan dibangunkan mengikut hala tuju baru ini, dan dalam pembentangan strategi pengembangan syarikat sehingga tahun 2030 yang dibuat baru-baru ini, ia memberitahu antaranya untuk motosikal, rancangan yang dibuat adalah untuk mengeluarkan lapan buah motosikal elektrik menjelang 2030.

    Model pertama daripada lapan buah motosikal elektrik ini akan diperkenalkan pada tahun 2024, namun jenis atau bentuknya masih belum diberitahu. Gambar yang dikeluarkan dalam pembentangan cuma menunjukkan bentuk motosikal sports dan skuter kelas permulaan, tetapi ia mungkin bukan menggambarkan model sebenar.

    Suzuki akan lancar lapan motosikal elektrik menjelang 2030 – model pertama akan diperkenalkan pada 2024

    Walaupun dengan sasaran ini, tidak bermakna Suzuki akan melupakan terus motosikal yang menggunakan enjin pembakaran dalaman biasa kerana dalam pembentangan itu diberitahu bahawa sasaran motosikal elektrik yang diletakkan hanya akan menjadi 25% daripada keseluruhan barisan motosikal mereka, sementara selebihnya masih menggunakan enjin pembakaran dalaman.

    Turut diberitahu, pelaburan sebanyak dua trillion Yen (RM68 bilion) akan dibuat bagi perkara yang melibatkan elektrifikasi ini seperti penyelidikan dan pembangunan, serta perbelanjaan modal, sementara 0.5 trilion Yen (RM17 bilion) daripadanya adalah untuk perkara yang melibatkan bateri.

     
     
  • Mazda 2 facelift 2023 15MB diperkenal di Jepun – model ‘kosong’ khas untuk perlumbaan, RM57k

    Mazda 2 facelift 2023 15MB diperkenal di Jepun – model ‘kosong’ khas untuk perlumbaan, RM57k

    Serentak dengan pengenalan Mazda 2 facelift 2023 di Jepun, jenama dari Hiroshima berkenaan turut memperkenalkan sekali varian 15MB untuk versi tingkat taraf ini. Sama seperti versi-versi sebelumnya, varian 15MB ini adalah model ‘kosong’ yang dijual untuk mana-mana individu atau pasukan lumba yang mahu mentransformasi Mazda 2 sebagai sebuah jentera lumba.

    Oleh itu, Mazda 2 15MB ini hanya datang dengan satu gaya iaitu dalam versi gril dengan kemasan bertutup tetapi tidak diwarnakan, bersama bingkai gril dalam kemasan hitam berkilat, serta diberikan rim aloi yang juga datang dalam warna hitam berkilat.

    Dalam kabin, tiada skrin 8-inci untuk sistem infotaimen Mazda Connect diberikan pada Mazda 15MB ini dan ia hanya dibekalkan dengan radio standard. Boleh dilihat juga model asas untuk perlumbaan ini hadir dengan sistem pendingin hawa manual dengan suis kawalan yang lebih ringkas dan tiada sebarang suis diberikan pada jejari sebelah kanan roda stereng.

    Panel papan pemuka tidak diberikan sebarang pilihan warna, dan upholsteri juga hanya datang dengan balutan fabrik hitam tanpa opsyen lain. Namun model ini masih diberikan butang penghidup enjin, manakala sistem audio dibekalkan hanya dengan empat pembesar suara.

    Mazda 2 facelift 2023 15MB diperkenal di Jepun – model ‘kosong’ khas untuk perlumbaan, RM57k

    Untuk enjin, Mazda 2 15MB ini menerima unit 1.5 liter SkyActiv-G versi lama yang menghasilkan kuasa 116 PS dan tork maksima 149 Nm. Enjin ini menghasilkan kuasa yang lebih tinggi dari versi baharu dengan nisbah mampatan lebih tinggi yang diperkenalkan pada 2021 yang hanya menghasilkan 110 PS dan tork maksima 142 Nm.

    Ia digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, tetapi diberikan nisbah gear 1 hingga 6 yang lebih pendek serta nisbah akhir yang lebih besar dari kotak gear 6MT untuk varian lain. Menurut Mazda, dengan “talaan tork berkuasa pada enjin dan nisbah gear 6MT yang dioptimakan membolehkan anda memandu mengikut kemahuan tanpa tekanan untuk semua jenis sukan permotoran.”

    Tiada sistem pacuan semua roda ditawarkan untuk model 15MB ini, dan ia merupakan model paling ringan berbanding varian lain dengan berat 1,040 kg. Sebagai perbandingan, model petrol manual pacuan roda hadapan varian lain adalah 1,060 kg, dan model petrol automatik dengan sistem AWD adalah 1,160 kg.

    Model ini dijual pada harga bermula 1.749 juta yen (RM57k). Secara keseluruhan sebanyak tujuh varian Mazda 2 2023 ini dijual di Jepun, dengan pilihan enjin petrol dan turbodiesel, manual dan automatik serta 2WD dan AWD, dijual pada harga bermula 1.529 juta yen (RM50k) hingga 2.541 juta yen (RM83k). Pelanggan di Jepun sudah pun boleh menempah Mazda 2 baharu ini, dan penghantaran kepada pelanggan dijadualkan pada penghujung Mac.

    GALERI: Mazda 2 facelift 2023 pasaran Jepun

     
     
  • Pelaksanaan sistem tol MLFF pelbagaikan kaedah bayaran untuk pengguna, tiada monopoli TnG — MyCC

    Pelaksanaan sistem tol MLFF pelbagaikan kaedah bayaran untuk pengguna, tiada monopoli TnG — MyCC

    Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memaklumkan dalam sebuah kenyataan baru-baru ini, dengan pelaksanaan sistem tol multi-lane free flow (MLFF), pengguna lebuhraya kelak boleh membayar tol melalui mana-mana kaedah bayaran digital, sekaligus memecahkan monopoli sistem bayaran tol menggunakan Touch ‘n Go (TnG).

    Kenyataan bertarikh 28 Januari 2023 itu dikeluarkan selepas Persatuan Pengguna Persekutuan Malaysia (FOMCA) menyelar MyCC kerana gagal menamatkan dakwaan sikap monopoli oleh TnG. Dalam kenyataan itu, MyCC memaklumkan pihaknya telah melakukan siasatan, walaupun FOMCA mendakwa sebaliknya.

    “FOMCA mengalu-alukan tindakan daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup untuk membentuk pasukan tindakan khas untuk menyiasat aduan terhadap TnG. Selain itu, FOMCA turut menggesa menteri untuk menilai semula kecekapan MyCC dalam melindungi pengguna,” ujar satu kenyataan mereka.

    Pelaksanaan sistem tol MLFF pelbagaikan kaedah bayaran untuk pengguna, tiada monopoli TnG — MyCC

    MyCC kini menjelaskan bahawa pihaknya sedar isu yang dibangkitkan oleh orang awam, FOMCA dan pihak berkepentingan lainnya berkaitan hal ini dan terus-menerus meninjau operasi TnG. Bagaimanapun dakwa badan itu, terdapat salah tanggapan yang telah dicetuskan oleh FOMCA berkaitan isu monopoli, kerana sesebuah syarikat hanya melanggar Akta Persaingan 2010 ketika ia menyalahguna kedudukannya dalam pasaran.

    “Dalam keadaan ini, MyCC mengenal pasti yang TnG hanya memonopoli sistem bayaran tol sahaja. Mereka menjadi monopoli sebaik sahaja kerajaan memutuskan, melalui gazet, untuk menghapuskan bayaran tunai untuk tol di seluruh negara dengan hasrat untuk mengurangkan kesesakan di plaza tol,” ujar MyCC dalam kenyataan itu.

    “TnG merupakan penyedia perkhidmatan wang elektronik yang diselia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) melalui undang-undang dan garis panduan berkaitan. Bagi hubungan antara TnG dan konsesi lebuhraya berkaitan sistem bayaran tol, ia diselenggara oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),” jelasnya.

    Pelaksanaan sistem tol MLFF pelbagaikan kaedah bayaran untuk pengguna, tiada monopoli TnG — MyCC

    MyCC juga pihaknya pernah mengambil langkah terhad berkaitan isu yang dibangkitkan itu, yang membawa kepada perubahan pelaksanaan oleh TnG. Ini termasuklah pemansuhan surcaj parkir yang dikenakan oleh TnG di 94% lokasinya pada 2021; menyediakan saluran tambah nilai TnG tanpa caj servis; memperkenalkan kad Enhanced Touch ‘n Go dengan kebolehan tambah nilai NFC melalui aplikasi eWallet di telefon; dan membayar semula kad yang beku atau hilang dalam masa 30 hari seperti yang diarahkan oleh BNM.

    Tentang sistem tol MLFF, MyCC memaklumkan perbincangan telahpun berlangsung pada 17 Januari tahun lalu dengan PLUS dan TnG untuk menyelesaikan isu berkaitan pelaksanaan sistem radio frequency identification (RFID) oleh TnG. Perbincangan itu turut tertumpu untuk mempertimbangkan kaedah bayaran lain selain kad debit dan kredit, dan melibatkan juga sistem e-Wallet lain.

    Seminggu setelah itu, Menteri Kerja Raya terdahulu, Datuk Seri Fadhillah Yusof menggesa semua konsesi lebuhraya agar bersedia untuk pelaksanaan sistem tol MLFF, termasuk untuk mempertimbangkan kaedah bayaran yang tidak hanya melibatkan kad debit dan kredit, tetapi juga sistem e-Wallet yang lain.

     
     
  • Mazda 2 facelift didedahkan di Jepun – gril hadapan baharu, skrin infotainmen 8-inci, RM50k-RM83k

    Mazda 2 facelift didedahkan di Jepun – gril hadapan baharu, skrin infotainmen 8-inci, RM50k-RM83k

    Muncul buat kali pertama pada 2014, hatchback segmen-B Mazda 2 masih lagi dijual dalam pasaran. Dan bagi versi 2023, Mazda 2 kini diberikan fasa facelift kali kedua selepas fasa pertama facelift diperkenalkan pada 2019. Jadi apa yang baru untuk versi terkini ini?

    Dari segi luaran, perubahan paling ketara adalah pada bahagian muka di mana Mazda 2 2023 ini menerima gril baharu yang ditawarkan dengan dua rekaan berbeza bergantung pada varian. Rekaan pertama menampilkan gril “biasa” dengan elemen sarang lebah dan diberikan kemasan hitam berkilat pada bingkai tanpa krom seperti versi sebelum ini.

    Manakala satu lagi pilihan rekaan, ia diberikan gril dengan penutup liang udara besar menjadikannya kelihatan seakan sebuah kereta EV. Namun untuk kedua-dua rekaan ini, ia diberikan gril bawah yang lebih besar dari model sebelumnya.

    Mazda 2 facelift didedahkan di Jepun – gril hadapan baharu, skrin infotainmen 8-inci, RM50k-RM83k

    Mazda turut menawarkan dua warna badan baharu iaitu Aero Grey Metallic dan Airstream Blue Metallic, pilihan bumbung dalam beberapa kemasan termasuk rekaan ala-karbon, serta memberikan “serlahan warna yang tidak simetri” menerusi perapi khas yang diletak pada gril hadapan dan bampar belakang.

    Mazda 2 2023 ini juga hadir dengan pilihan set rim baharu, termasuk rekaan penutup rim funky yang menampilkan tiga jejari segitiga yang nampaknya boleh diberikan pelbagai kemasan warna.

    Tiada perubahan besar dilihat pada bahagian kabin. Semuanya masih nampak serupa kecuali skrin untuk sistem infotainmen Mazda Connect yang kini lebih besar bersaiz lapan-inci, serta pilihan warna-warna kemasan yang baharu untuk papan pemuka bagi disesuaikan dengan pilihan warna luaran.

    Mazda 2 facelift didedahkan di Jepun – gril hadapan baharu, skrin infotainmen 8-inci, RM50k-RM83k

    Secara keseluruhan, Mazda menawarkan 11 warna badan, tiga warna panel papan pemuka, tiga warna bumbung dan enam warna penutup rim ditawarkan, membolehkan pembeli membuat pilihan dengan 198 padanan berbeza.

    Ia juga ditawarkan pakej-pakej tema seperti Rookie Drive dan Clap Pop, serta pelbagai aksesori Mazdaspeed dan AutoExe yang boleh dipilih menerusi katalog baharu.

    Bagi pasaran Jepun, Mazda 2 facelift 2023 ini masih dijana oleh barisan enjin petrol dan diesel sama seperti versi sebelum ini. Bagi model petrol, ia menerima dua pilihan enjin NA 1.5 liter empat silinder SkyActiv-G. Yang pertama adalah versi dengan nisbah mampatan lebih tinggi menampilkan penjimatan bahan api lebih baik (diperkenalkan pada 2021) berkuasa 110 PS tork maksima 142 Nm.

    Pengguna yang tidak kisah berkenaan penggunaan bahan api dan lebih mengutamakan kuasa masih boleh memilih enjin 1.5 SkyActiv-G versi lebih lama yang menghasilkan kuasa 116 PS dan tork maksima 149 Nm. Kedua-dua pilihan enjin petrol ini boleh dipadankan dengan kotak gear manual atau automatik enam-kelajuan, serta pilihan sistem pacuan semua roda turut ditawarkan.

    Model diesel juga diberikan dua pilihan talaan enjin bergantung pada transmisi yang dipilih. Kedua-duanya masih diberikan enjin turbodiesel SkyActiv-G 1.5 liter empat silinder, dengan model yang diberikan kotak gear automatik ditala bagi menghasilkan kuasa 105 PS dan tork maksima 250 Nm.

    Manakala model diesel dengan kotak gear manual menerima talaan kuasa yang sama tetapi tork yang lebih rendah dengan angka 220 Nm. Sistem pacuan semua roda untuk Mazda 2 diesel ini masih ditawarkan pada varian-varian terpilih.

    Mazda 2 facelift 2023 pasaran Jepun ini dijual pada harga bermula 1.529 juta yen (RM50k) hingga 2.541 juta yen (RM83k). Pelanggan di Jepun sudah pun boleh menempah Mazda 2 baharu ini, dan penghantaran kepada pelanggan dijadualkan pada penghujung Mac.

     
     
  • LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dan KL Monorel – operasi waktu puncak dilanjutkan mulai 30 Jan

    LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dan KL Monorel – operasi waktu puncak dilanjutkan mulai 30 Jan

    Rapid KL telah memaklumkan waktu operasi Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Monorel Kuala Lumpur pada waktu puncak dilanjutkan mulai hari ini, 30 Januari 2023.

    Keputusan ini dibuat susulan gangguan perkhidmatan antara stesen LRT Bandaraya dan LRT Masjid Jamek akibat penjajaran landasan yang bengkok (kinked) berhampiran stesen LRT Bandaraya.

    Dari hari Isnin hingga Jumaat, waktu puncak bagi LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dan KL Monorel akan bermula jam 6.30 pagi hingga 10.30 pagi untuk waktu pagi berbanding jadual asal iaitu 7 pagi hingga 9.30 pagi. Manakala waktu puncak petang pula akan dipanjangkan dari jam 4.30 petang hingga 8.30 malam berbanding jadual asal iaitu 5 petang hingga 7.30 malam.

    Sepanjang waktu puncak ini, kekerapan bagi LRT Laluan Ampang/Sri Petaling adalah setiap lima minit untuk kawasan CBD dan setiap 10 minit untuk di luar kawasan CBD. Di luar waktu puncak, kekerapannya masing-masing enam dan 12 minit, termasuk untuk hujung minggu dan cuti umum.

    Untuk KL Monorel pula, kekerapan waktu puncak adalah setiap tujuh minit, manakala di luar waktu puncak adalah 10 minit, sementara tren akan tiba setiap 12 minit pada hujung minggu dan cuti umum. CBD membawa maksud kawasan perniagaan sentral yang melibatkan laluan antara stesen Chan Sow Lin dan Sentul Timur.

    Walau bagaimana pun, perubahan waktu puncak ini tidak melibatkan LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT, yang masih dikekalkan pada jam 7 pagi hingga 9.30 pagi untuk waktu puncak pagi, dan petang pula 5 petang hingga 7.30 malam.

    Rapid KL turut menggerakkan bas perantara percuma yang kekerapan operasinya setiap 10 minit, bergantung pada keadaan trafik. Terdapat tiga laluan – LRT Hang Tuah – LRT Bandaraya – LRT Hang Tuah (15 bas), LRT Masjid Jamek – LRT Bandaraya – LRT Masjid Jamek (9 bas) dan LRT Sentul Timur – LRT Bandaraya – LRT Sentul Timur (10 bas).

    Bagi melancarkan perjalanan dan pergerakan penumpang, Rapid KL juga menambah bilangan kakitangan sokongan berjumlah hampir 100 orang untuk mengawal dan membantu penumpang yang memerlukan bantuan di stesen-stesen rel.

    Rapid KL berkata, pemanjangan operasi waktu puncak adalah untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna, serta mereka dapat merancang perjalanan lebih awal bagi mengurangkan kesesakan di beberapa stesen khususnya di stesen pertukaran LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Hang Tuah.

     
     
  • Yamaha GT150 Fazer masuk pasaran China – enjin penyejukan udara 149 cc, lima kelajuan, berat 126 kg

    Yamaha GT150 Fazer masuk pasaran China – enjin penyejukan udara 149 cc, lima kelajuan, berat 126 kg

    Yamaha megeluarkan satu lagi model baru dalam segmen 150 cc, dan kali ini dilancarkan untuk pasaran China, iaitu GT150 Fazer. Model ini bagaimanapun dibuat lebih ringkas dan kurang berteknologi berbanding model yang sudah sedia berada dalam pasaran negara tertentu seperti XSR155 dan MT-15.

    Ia cuma mendapat enjin yang menggunakan sistem penyejukan udara dan SOHC, tetapi sistem penyampaian bahan api sudah menggunakan elektronik (EFI). Enjin empat strok satu silinder 149 cc bersama padanan kotak gear lima kelajuan pada model ini mungkin adalah sama seperti yang digunakan pada Fazer FZ15 pasaran India, dan mampu menghasilkan kuasa 12 hp pada 7,500 rpm dan tork 12.4 Nm pada 6,000 rpm.

    Datang dengan gaya ala scrambler klasik, GT150 Fazer ini juga dipasang dengan rim yang sedikit lebih besar berbanding biasa, iaitu unit 18 inci, dibalut tayar berbunga kasar, masing-masing bersaiz 90/90 di hadapan dan 100/80 di belakang. Brek di kedua-dua roda adalah menggunakan tetapan cakera.

    Di bahagian kokpit terdapat panel meter bulat LCD bersama soket pengecas kuasa 12V di sebelahnya, sementara tangki bahan api pula berkapasiti 12.5 liter. Tugas menyerap hentakan dijalankan oleh fork teleskopik biasa di hadapan dan dua penyerap di belakang.

    Berat keseluruhan GT150 Fazer adalah 126 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 800 mm. Lampu hadapan dan belakang pula datang dengan unit LED. Empat warna ditawarkan untuk GT150 Fazer ini di China dan ia dijual pada harga bermula 13,390 Yuan (RM8,398).

     
     
  • Diskaun 25% untuk tren ETS, Ekpres Intercity menerusi Kempen Travel Sama-Sama hingga 31 Dis

    Diskaun 25% untuk tren ETS, Ekpres Intercity menerusi Kempen Travel Sama-Sama hingga 31 Dis

    Bagi meningkatkan lagi sektor pelancongan tempatan, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) telah mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 25% menerusi Kempen Travel Sama-Sama. Ia adalah bagi pembelian tiket bermula 27 Januari hingga 31 Disember 2023 membabitkan semua perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan Ekspres Intercity.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin, tahun lalu, seramai 508,000 penumpang memanfaatkan diskaun berkenaan dengan jumlah RM2.69 juta.

    Di mana pemberian diskaun hanya sah untuk warganegara Malaysia dengan pembelian minimum empat tiket dewasa atau kanak-kanak dalam satu transaksi yang sama dengan memasukkan kod promo yang akan diumumkan, laporan Bernama.

    Diskaun 25% untuk tren ETS, Ekpres Intercity menerusi Kempen Travel Sama-Sama hingga 31 Dis

    “Kami memberikan diskaun khas ini kepada perjalanan perkhidmatan ETS kelas biasa dan kelas perniagaan serta perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran dan Ekspres Selatan. Tujuan utama pemberian diskaun adalah untuk menggalakkan rakyat Malaysia bercuti bersama-sama keluarga dan rakan ke mana-mana destinasi.

    “Di samping itu, ia adalah sebagai inisiatif mengurangkan penggunaan kenderan bagi mengelak kesesakan lalu lintas terutama ketika musim perayaan. Pada masa sama, inisiatif ini adalah sumbangan KTMB kepada kerajaan untuk menggalakkan rakyat Malaysia melancong di dalam negeri,” katanya.

    Tambah beliau, tiket boleh dibeli menerusi kaunter, kiosk, aplikasi dan laman web KTMB. Kempen Travel Sama-Sama adalah kesinambungan Kempen Keluarga Malaysia pada tahun lalu sebagai inisiatif menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan berkenaan.

     
     
  • Mercedes-Benz GLE, GLE Coupe facelift 2023 ditunjuk awal sebelum pengenalan rasmi pada 31 Januari ini

    Mercedes-Benz GLE, GLE Coupe facelift 2023 ditunjuk awal sebelum pengenalan rasmi pada 31 Januari ini

    Mercedes-Benz akan mendedahkan model GLE facelift pada 31 Januari 2023, dan berdasarkan imej teaser yang dikongsi syarikat itu baru-baru ini, seperti akan ada dua pengenalan yang mungkin juga melibatkan GLE Coupe yang dikemaskini.

    Melihat kepada perubahan yang ditampilkan, DRL LED yang melengkapinya nampak berbeza ketara berbanding yang ada pada model asal tahun 2018 dan 2019. Lampu belakang pula tiada lagi grafik gelung sebelum ini, diganti dengan apa yang terlihat seperti jalur lampu dalam kluster masing-masing — sekurang-kurangnya pada GLE Coupe yang ditunjuk.

    Kita boleh menjangkakan rekaan bampar diberi sentuhan baru untuk versi facelift ini. Spyshot yang ada juga menunjukkan GLE akan kekal dengan tataletak dwi-skrin di dalam kabin, dengan sistem operasi Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang terkini.

    Bagi enjin, GLE ketika ini ditawarkan dengan enjin petrol, diesel dan plug-in hybrid. Semua ini mungkin akan dikekalkan bagi model facelift nanti, dengan versi AMG tiba kemudian untuk menyaingi versi BMW M bagi X5 dan X6.

     
     
  • Pemandu Nissan Navara mabuk rempuh Toyota Vios di Kluang mengakibatkan dua kanak-kanak cedera parah

    Pemandu Nissan Navara mabuk rempuh Toyota Vios di Kluang mengakibatkan dua kanak-kanak cedera parah

    Satu video tular yang dimuatnaik di laman Facebook Aku Budak Kluang telah tular sejak semalam, yang memaparkan sebuah Nissan Navara merempuh Toyota Vios di daerah Kluang, Johor.

    Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Md Noh mengesahkan kejadian berkenaan yang berlaku di KM 57 Jalan Batu Pahat-Mersing yang mengakibatkan dua orang kanak-kanak termasuk seorang bayi berusia setahun lima bulan yang merupakan penumpang Vios berkenaan parah akibat kemalangan terbabit.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Bahrin berkata, trak pikap Navara yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang dipercayai mabuk telah merempuh Vios berkenaan hingga menyebabkannya hilang kawalan lalu melanggar sebatang pokok di bahu jalan.

    “Mangsa dikenali sebagai Nur Hana Humaira, parah di kepala, mengalami pendarahan otak selain cedera di tulang pinggul manakala kakaknya, Nur Aisyah Humaira, 6, turut parah di kepala, mengalami pendarahan di otak dan bengkak tulang rahang.

    “Hasil siasatan awal di tempat kejadian didapati kereta jenis Nissan Navara dan Toyota Vios dari arah yang sama iaitu dari arah Kluang menghala ke Mersing. Apabila sampai di tempat kejadian, kereta suspek melanggar dari arah belakang hingga menyebabkan Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun hilang kawalan lalu melanggar pokok di bahu jalan sebelah kiri,” katanya.

    Beliau turut mengesahkan pemandu Navara berkenaan telah ditangkap oleh Pegawai Polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang. Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya.

     
     
  • Polis sukar tangkap pemandu cuai dan mabuk jika orang ramai kongsi sekatan jalan raya di Waze

    Polis sukar tangkap pemandu cuai dan mabuk jika orang ramai kongsi sekatan jalan raya di Waze

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan bahawa pihaknya sukar untuk membuat penguatkuasaan sekiranya orang ramai berkongsi lokasi sekatan jalan raya dalam aplikasi Waze.

    Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dalam laporan Berita Harian, tindakan berkongsi maklumat itu menyebabkan polis tidak dapat mengambil tindakan ke atas pemandu yang ingkar, terutamanya mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan kesalahan trafik lain.

    “Orang ramai berpendapat dengan memaparkan keberadaan pihak polis, pemandu akan lebih cenderung untuk memandu dalam keadaan berhati-hati dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

    “Hakikatnya, ia menghalang penguatkuasaan terhadap pemandu yang ingkar, terutamanya mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan kesalahan trafik lain,” katanya.

    Polis sukar tangkap pemandu cuai dan mabuk jika orang ramai kongsi sekatan jalan raya di Waze

    Berikutan sebilangan masyarakat memberi reaksi negatif terhadap nasihat polis Kuala Lumpur yang meminta orang ramai tidak berkongsi maklumat sekatan jalan raya atau kehadiran polis di aplikasi Waze, Azmi menyatakan bahawa pengguna jalan raya harus sedar bahaya yang akan dihadapi disebabkan oleh kecuaian pemandu, termasuk yang memandu dalam keadaan mabuk, melanggar lampu isyarat dan memandu melawan arus.

    “Bagi individu yang tidak pernah terkesan dengan musibah diakibatkan oleh kecuaian dan kelalaian pesalah trafik ini, mereka tidak akan dapat merasakan keperitan dan kesengsaraan yang ditanggung oleh keluarga mangsa.

    “Oleh itu, besarlah harapan saya supaya orang ramai terutamanya pengguna jalan raya memberi kerjasama kepada pihak polis daripada cuba membantu mereka yang melakukan kesalahan jalan raya ini,” katanya.

     
     
  • Stesen Petronas di R&R Seremban arah utara ditutup hingga 10 April 2023 untuk kerja naiktaraf – PLUS

    Stesen Petronas di R&R Seremban arah utara ditutup hingga 10 April 2023 untuk kerja naiktaraf – PLUS

    Bagi yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS Berhad memaklumkan stesen Petronas di kawasan R&R Seremban (arah utara) di KM272.2 ditutup mulai hari ini, 30 Januari sehingga 10 April 2023. Ia adalah untuk kelancaran kerja-kerja menaiktaraf stesen minyak berkenaan.

    Menurut PLUS lagi, penutupan ini hanya melibatkan stesen minyak Petronas sahaja dan tidak membabitkan keseluruhan kawasan R&R terbabit yang masih kekal beroperasi seperti biasa. Jika sudah terbiasa mengisi minyak di situ, apa kata anda ke Stesen Minyak Petronas di KM297.2 (Arah Utara) laluan Seremban-Kuala Lumpur.

    Apa pun, sila tingkatkan fokus pemanduan, terus berhati-hati di jalan raya dan berehat seketika di kawasan R&R berhampiran sekiranya keletihan atau mengantuk.

     
     
  • JPJ eBid: Siri nombor VKJ sedang dibuka bidaan

    JPJeBid_BM-e1674813217979-630×371.jpeg” alt=”” width=”630″ height=”371″ class=”alignnone size-medium wp-image-1570915″ />

    Anda sedang mencari siri nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu yang bakal tiba di rumah anda? Ini ada satu lagi pilihan menarik. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri plat nombor pendaftaran, VKJ, sedang dibuka bidaan menerusi platform dalam talian JPJ eBid.

    Siri nombor plat terkini dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, VKJ ini mula dibuka bidaan pada 26 Januari 2023. Tempoh bidaan menerusi JPJ eBid adalah selama lima hari, dan berakhir jam 10 malam pada 30 Januari. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 31 Januari 2023. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.