Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Range Rover Velar 2023 facelift — beza penggayaan, Pivi Pro baru, varian PHEV kini dengan jarak EV 64 km

    Range Rover Velar 2023 facelift — beza penggayaan, Pivi Pro baru, varian PHEV kini dengan jarak EV 64 km

    Range Rover Velar diberikan facelift untuk tahun 2023, dan itu hanya melibatkan sedikit perubahan luaran dalaman sahaja. Kelengkapan teknologi juga ada yang ditambah, sementara model plug-in hybrid diberi peningkatan bateri untuk jarak EV yang lebih jauh.

    Antara perubahannya adalah rekaan gril baru, selari dengan yang ada pada Range Rover terkini. Begitu juga dengan lampu utama Pixel LED dengan DRL, dan di belakang hadir dengan lampu lebih moden dengan apron diperkemas. Dua tambahan warna baru juga diberikan — Metallic Varesine Blue dan Premium Metallic Zadar Grey.

    Di dalam, Velar menerima sistem infotainmen Pivi Pro terbaru, dengan skrin sentuh lengkung 11.4-inci terapung. Sistem ini menyokong sambungan tanpa wayar Andorid Auto dan Apple CarPlay, boleh dikemaskini over-the-air, sokongan Amazon Alexa dan paparan fungsi lain kenderaan.

    Range Rover Velar 2023 facelift — beza penggayaan, Pivi Pro baru, varian PHEV kini dengan jarak EV 64 km

    Kemaskini lain termasuklah balutan kerusi dan perincian, dengan empat warna baru kulit sintetik disediakan (Cloud, Caraway, Raven Blue dan Deep Garnet), kemasan Moonlight Chrome di stereng, konsol tengah dan corong udara, serta kemasan Technical Light Anodised atau Dark Anodised Aluminium.

    Ciri tambahan seperti Active Road Noise Cancellation juga ditambah, menjadikan Velar lebih senyap. Sistem berkenaan bergantung kepada sistem audio untuk mengurangkan bunyi bising dalam kabin sebanyak minimum empat decibel (dB). Dan sistem audio bagi varian tertinggi pula melibatkan tetapan Meridian dengan 17 pembesar suara dan 750 watts amplifikasi.

    Untuk sistem janaan, SUV plug-in hyrid P400e menampilkan enjin 2.0 liter Ingenium turbocas empat-silinder petrol yang menghasilkan 300 PS dan 400 Nm tork yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Range Rover Velar 2023 facelift — beza penggayaan, Pivi Pro baru, varian PHEV kini dengan jarak EV 64 km

    Ini dibantu juga oleh motor elektrik dengan janaan 143 PS (105 kW) dan 275 Nm, yang bekerja dengan belt-integrated starter generator (BISG), untuk memberikan janaan total 404 PS dan 640 Nm. Motor elektrik ini dikuasakan oleh bateri lithium-ion berkapasiti 19.2 kWh (sebelum ini 17.1 kWh), dengan jarak EV penuh naik 20% — dari 53 km kepada 64 km.

    Kapasiti lebih besar itu juga datang dengan input pengecasan pantas DC yang dipertingkatkan kepada 50 kW (sebelum ini 32 kW), dengan pengecasan 0-80% boleh dicapai dalam masa 30 minit. Untuk pengecasan AC dengan maksimum kekal 7 kW, tempoh yang 2.5 jam untuk penuh.

    Selain pilihan PHEV, barisan enjin petrol Ingenium dan diesel dengan teknologi mild-hybrid 48-volt yang termasuk ciri BiSG. Ini memberikan kelebihan ketika pecutan dan situasi Start/Stop yang lebih lancar.

    Range Rover Velar 2023 facelift — beza penggayaan, Pivi Pro baru, varian PHEV kini dengan jarak EV 64 km

    Untuk petrol, P250 datang dengan enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder yang menghasilkan 250 PS (247 hp) dan 365 Nm. Varian paling asas tiada sistem mild-hybrid, tetapi P340 dan P400 ada. Ini memanfaatkan enjin 3.0 liter turbo enam-silinder sebaris yang menjana 340 PS (335 hp) dan 480 Nm (P340) dan 400 PS (395 hp) dan 550 Nm (P400).

    Bagi pilihan diesel, D200 menggunakan unit 2.0 liter empat-silinder turbodiesel yang menghasilkan 204 PS (201 hp) dan 430 Nm; sementara D300 dengan 3.0 liter yang menjana 300 PS (296 hp) dan 650 Nm. Semua enjin digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan pacuan semua roda (berserta ciri Terrain Response 2).

    Tingkat kemasan yang ditawarkan adalah S, Dynamic SE, Dynamic HSE dan Autobiography. Semua model enam-silinder dan PHEV, dan juga Dynamic HSE empat-silinder dilengkapi dengan Adaptive Dynamics sebagai standard.

     
     
  • JPJ eBid: Siri BRH dan JWB bakal dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Selangor dan Johor bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bidaan bagi siri nombor pendaftaran terkini Selangor, BRH, bakal dibuka bidaan mulai 8 Februari 2023. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 12 Februari, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 13 Februari 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Johor pula, JWB, bidaannya bakal dibuka bermula 9 Februari 2023 dan akan berakhir jam 10 malam pada 13 Februari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 14 Februari 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Lorong tambahan Lebuhraya Utara Selatan dari Yong Peng ke Skudai: MOF bakal berbincang dengan PLUS

    Lorong tambahan Lebuhraya Utara Selatan dari Yong Peng ke Skudai: MOF bakal berbincang dengan PLUS

    Sehingga kini, laluan enam hingga lapan lorong Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Kuala Lumpur ke selatan hanya berakhir di Melaka, dan hampir keseluruhan jajaran lebuhraya berkenaan di Johor hanya mempunyai empat lorong. Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan kesesakan di kawasan berkenaan pada waktu sibuk, malah ia juga telah menyebabkan banyak kemalangan maut berlaku.

    Oleh itu, Kementerian Kewangan (MOF) bakal mengadakan pertemuan bersama pengendali Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) pada minggu ini bagi membincangkan perkara tersebut, lapor Sinar Harian.

    Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan perbincangan tersebut adalah berhubung penambahan lorong daripada empat kepada enam lorong lebuh raya berkenaan membabitkan laluan antara Yong Peng hingga Skudai, yang menjadi fokus kerajaan negeri terutama dalam mengatasi kesesakan, akibat pertambahan kenderaan.

    “Ini juga adalah permintaan ramai rakyat berikutan kesesakan lalu lintas lebuh raya itu di antara Yong Peng-Skudai adalah masalah yang berlarutan sejak sekian lama.

    “Kita lihat dari Melaka ke Seremban sudah ada enam lorong, manakala dari Seremban ke Kuala Lumpur sudah ada lapan lorong.

    Lorong tambahan Lebuhraya Utara Selatan dari Yong Peng ke Skudai: MOF bakal berbincang dengan PLUS

    “Namun Johor cuma ada empat lorong sedangkan negeri itu memberikan sumbangan yang begitu besar kepada kekayaan dan pendapatan negara,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 peringkat negeri di Bangunan Sultan Ismail semalam.

    Laporan Sinar Harian turut menyebut bahawa sebelum ini kerajaan Johor dilaporkan berulang kali memohon supaya laluan Lebuhraya PLUS antara Yong Peng ke Skudai dinaik taraf kepada enam lorong berikutan kesesakan yang sering dialami sepanjang laluan 70 km tersebut.

    “Pertemuan antara MOF dan PLUS itu bukanlah pengumuman berhubung pertambahan lorong di laluan lebuh raya di negeri ini akan bermula. Namun ia adalah perbincangan awal yang akan memberi pemberat kepada cadangan yang sekian lama dibuat Johor.

    “Sekiranya tidak ada perbincangan lanjut, seolah-olah perkara itu akan berlalu begitu sahaja dan tidak ada sebarang pemberat kepada cadangan yang penting untuk merealisasikan permohonan Johor itu,” tambah Ahmad Maslan.

     
     
  • Lorong Kiri di Terowong Meru laluan Kuala Kangsar-Ipoh di Lebuhraya PLUS ditutup pada 7-16 Feb

    Lorong Kiri di Terowong Meru laluan Kuala Kangsar-Ipoh di Lebuhraya PLUS ditutup pada 7-16 Feb

    PLUS Berhad (PLUS) memaklumkan lorong kiri di Terowong Meru bagi laluan Kuala Kangsar-Ipoh di Lebuhraya Utara-Selatan iaitu ii KM260.30 hingga KM262.05 (arah selatan) ditutup secara berperingkat mulai hari ini, 7 Februari hingga 16 Februari 2023. Penutupan secara berperingkat antara jam 9 malam hingga 12 tengah hari setiap hari sepanjang tempoh tersebut adalah bagi kerja-kerja penambahbaikan turapan jalan.

    Menurut PLUS, sepanjang tempoh tersebut, laluan kontra akan diaktifkan secara berkala sekiranya perlu bergantung kepada keperluan semasa untuk membantu melancarkan pergerakan trafik di laluan terbabit.

    “Justeru, pengguna yang menghala ke selatan/Ipoh/Kuala Lumpur dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini.

    Lorong Kiri di Terowong Meru laluan Kuala Kangsar-Ipoh di Lebuhraya PLUS ditutup pada 7-16 Feb

    “Mereka juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit,” kata kenyataan yang dikeluarkan.

    Pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat trafik atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.

    Untuk mengelakkan kekeliruan atau pun mungkin ada yang tidak tahu, jika ke anda dari arah utara, terowong ini dipanggil Terowong Menora. Manakala jika dari arah selatan, ia dipanggil Terowong Meru.

     
     
  • Audi RS e-Tron GT 2023 dilihat sebelum pelancaran

    Audi RS e-Tron GT 2023 dilihat sebelum pelancaran

    Audi RS e-tron GT telah dilihat di Malaysia, awal sebelum dilancarkan dijangka pada suku kedua tahun ini. Unit dalam gambar ini dilihat di EQ Kuala Lumpur. PHS Automotive Malaysia (PHSAM) selaku pengedar rasmi kenderaan Audi di Malaysia sebelum ini mengumukan syarikat itu akan memperkenalkan barisan model e-tron EV dan mula mengambil pendaftaran minat daripada pelanggan.

    Kereta yang dinobat sebagai pemenang anugerah World Performance Car of the Year 2022 pertama kali diperkenalkan pada 2021 dan menggunakan platform J1 yang turut digunakan untuk Porsche Tycan. Dengan dua motor elektrik dan pacuan semua roda, RS e-tron GT mempunyai output sistem keseluruhan 598 PS (590 hp atau 440 kW) dan 830 Nm tork, dengan mod lonjakan kuasa yang akan memberikan sehingga 646 PS (637 hp atau 475 kW).

    Dari segi prestasi, RS e-torn GT memerlukan 3.3 saat untuk pecutan 0-100 km/j dengan laju maksimum 250 km/j. Untuk jarak, bateri 85-kWh lithium memberikan 487 km (WLTP) dan menyokong pengecasan pantas DC (CCS2). Input maksimum adalah 270 kW, yang boleh memenuhkan bateri dari 5-80% dalam masa hanya 22.5 minit. Turut disediakan adalah pengecasan AC (Type 2) sehingga 22 kW (dipertingkat daripada 11 kW).

    Audi RS e-Tron GT 2023 dilihat sebelum pelancaran

    Selain RS e-tron GT, PHSAM turut akan menawarkan e-tron GT quattro standard yang juga mempunyai tetapi dua-motor, dengan janaan 476 PS (469 hp atau 350 kW) dan 630 Nm atau 530 PS (523 hp atau 390 kW) dengan lonjakan. Varian bukan RS pula memerlukan 4.1 saat untuk pecutan 0-100 km/j dengan laju maksimum 245 km/j.

    Harga untuk pasaran Malaysia bagi model ini belum diketahui. Tetapi di Jerman, e-tron GT quattro bermula dari 104,000 Euro (RM483,172), RS e-tron 142,500 Euro (RM666,184). Berapa agaknya tanda harga yang akan diletakkan untuk model ini nanti?

     
     
  • Sebuah Honda Jazz terbabas langgar lampu jalan gara-gara Mercedes-Benz E250 ‘u-turn’ ikut suka hati

    Sebuah Honda Jazz terbabas langgar lampu jalan gara-gara Mercedes-Benz E250 ‘u-turn’ ikut suka hati

    Satu video tular hasil rakaman dashcam berdurasi 30 saat yang memaparkan kemalangan yang membabitkan sebuah Honda Jazz merempuh lampu jalan selepas kenderaannya mengelak sebuah Mercedes-Benz E 250 yang membuat pusingan-U secara membabi buta di garisan berkembar di laluan berkenaan.

    Menurut perkongsian Ahmad Aliff Nasrullah menerusi Facebook, Jazz berkenaan dipandu oleh adiknya dan insiden berkenaan berlaku malam semalam di Jalan Long Yunus Kota Bharu, Kelantan. Laporan polis telah dibuat sejurus insiden tersebut dan menurut pihak polis, pemandu E 250 terbabit mempunyai rekod kes langgar lari.

    Ahmad Aliff turut berkata, selepas video ini tular di laman media sosial, pemandu E 250 berkenaan telah pun menyerah diri dan mengakui dia tidak sedar kemalangan terbabit berlaku membuatkannya meneruskan pemanduan.

    Nampak gayanya ‘menjawablah’ pemandu E 250 ni, dah lah buat pusingan-U di garisan berkembar, langgar lari pulak tu. Rasanya polis takkan terima alasan ‘tak sedar kemalangan berlaku.’ Apa pun, kita serahkan sepenuhnya pada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Diharap kita sebagai pemandu lebih peka dengan keadaan sekeliling. Jangan disebabkan kealpaan kita, orang lain yang menjadi mangsa. Jadilah seorang pemandu yang bertanggungjawab.

    Sapo2 kenal Tuan Keto ni, Edjust PM direct… Nok ajok minum air… URGENT DEH.. Lps Dio U-turn BODO td, Dio lari g2…

    Posted by Ahmad Aliff Nasrullah on Thursday, 2 February 2023

     
     
  • KL Car Free Morning pada 5 Feb 2023 ditangguh ke tarikh dimaklumkan kelak kerana perayaan Thaipusam

    KL Car Free Morning pada 5 Feb 2023 ditangguh ke tarikh dimaklumkan kelak kerana perayaan Thaipusam

    Pihak pengurusan KL Car Free Morning (KLCFM) telah mengumumkan acara berkenaan tidak akan dilangsungkan pada Ahad ini, 5 Februari 2023. Ini susulan cuti perayaan Thaipusam pada tarikh terbabit, yang juga merupakan cuti umum untuk seluruh negara.

    Walau bagaimana pun, difahamkan, KLCFM akan dilaksanakan pada tarikh yang bakal dimaklumkan kelak. Jadi para peminat KLCFM yang sememangnya menanti untuk melakukan aktiviti termasuk larian dan berbasikal di sekitar ibu kota secara bebas perlulah bersabar untuk menunggu tarikh yang akan diuar-uarkan itu.

     
     
  • Zeekr X didedah – crossover elektrik yang lebih besar daripada smart #1, harga dijangka bermula RM127k

    Zeekr X didedah – crossover elektrik yang lebih besar daripada smart #1, harga dijangka bermula RM127k

    Selepas beberapa teaser, Zeekr akhirnya mendedahkan beberapa gambar rasmi untuk model ketiga mereka, yang dinamakan sebagai Zeekr X. Penggunaan nama ini adalah di luar jangkaan ramai kerana dua model awal daripada anak syarikat Geely itu menggunakan siri nombor iaitu 001 dan 009.

    Perincian untuk Zeekr X tidak banyak buat masa ini, tetapi media dari China melaporkan bahawa crossover elektrik penuh itu akan membuat penampilan rasmi di Shanghai Auto Show pada bulan April, sebelum dijual dalam tahun ini juga – harga dijangka bermula 200,000 yuan (RM126,560).

    Dibina atas platform Scalable Electric Architecture (SEA) Geely yang juga digunakan oleh smart #1, Zeekr X mencatat ukuran panjang 4,450 mm, lebar 1,836 mm, tinggi 1,572 mm dan jarak roda 2,750 mm. Sementara panjang keseluruhannya adalah lebih daripada yang dijangka, jarak rodanya pula adalah sama seperti smart #1. Ia juga lebih panjang 180 mm dan lebih lebar 14 mm, tetapi tingginya kurang 64 mm.

    Berkenaan penggayaan, Zeekr X ternyata menonjol dengan bentuk DRL LED unik yang juga membawa sedikit persamaan dengan 009. DRL ini adalah sebahagian daripada tetapan lampu dua tingkat yang digunakan, dan lampu utama (dengan teknologi matriks) terletak mendatar di bawah.

    Meskipun gambar bahagian dalam masih belum ditunjuk, ada spyshot yang menampakkan papan pemuka X menggunakan rekaan minimalis, dengan rekaan berpetak, panel instrumen digital kecil serta skrin sesentuh sistem infotainmen yang besar. Konsol tengah antara tempat duduk hadapan tidak bersambung dengan papan pemuka dan ia menempatkan perehat tangan serta tempat cawan.

    Ada laporan yang mengatakan Zeekr X akan mendapat pilihan penggerak yang sama seperti smart #1, dengan tetapan motor tunggal bersama pacuan roda belakang, dan motor berkembar dengan pacuan semua roda. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah antara 272 PS (268 hp atau 200 kW) hingga 428 PS (422 hp atau 315 kW), sementara bateri pula berkemungkinan mempunyai kapasiti 66 kWh.

     
     
  • Rapid Bus dapat kerjasama DBKL bagi kelancaran bas perantara sepanjang LRT Laluan Ampang terganggu

    Rapid Bus dapat kerjasama DBKL bagi kelancaran bas perantara sepanjang LRT Laluan Ampang terganggu

    Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), selaku pengendali perkhidmatan bas berhenti-henti dan perantara di Lembah Klang, telah mendapat sokongan dan kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi melancarkan perjalanan perkhidmatan bas. Sokongan ini telah diaktifkan sejak petang semalam.

    “Ini adalah hasil perbincangan dalam usaha membantu melancarkan perjalanan bas perantara yang menyokong perkhidmatan alternatif LRT Laluan Ampang, terutama sekali laluan di antara stesen LRT Hang Tuah dan stesen LRT Bandaraya. Sokongan yang diberikan termasuklah laluan bas khusus di waktu puncak.

    “Selain itu, DBKL juga bersetuju untuk meletakkan kon-kon di laluan lorong paling kiri di Jalan Raja Laut untuk kegunaan bas perantara LRT. Malahan DBKL juga telah bersetuju untuk hanya membenarkan bas-bas kendalian Rapid KL untuk melalui jalan Tun Perak sekiranya jalan tersebut ditutup kepada lalulintas ketika waktu puncak,” jelas Rapid Bus dalam kenyataan yang dikongsikan.

    Dalam waktu yang sama, DBKL menempatkan penguatkuasa di lampu isyarat Jalan Tun Perak dan Bulatan Dato’ Onn dengan sokongan anggota Polis Bantuan Prasarana di lokasi tersebut, serta
    membenarkan pemasangan khemah-khemah di stesen-stesen LRT yang terjejas bagi kemudahan dan keselesaan para pengguna.

    “Justeru, pihak Rapid Bus ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan tambahan yang diberikan oleh pihak DBKL bagi kemudahan dan keselesaan pengguna yang terkesan akibat daripada gangguan perkhidmatan LRT Laluan Ampang di antara stesen LRT Masjid Jamek dan stesen LRT Bandaraya,” katanya lagi.

     
     
  • Belasungkawa Allahyarhamah Datuk Aishah Ahmad – Malaysia kehilangan tokoh automotif yang disegani

    Belasungkawa Allahyarhamah Datuk Aishah Ahmad – Malaysia kehilangan tokoh automotif yang disegani

    Hari ini, industri automotif Malaysia dikejutkan dengan berita pemergian Datuk Aishah Ahmad, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), ke Rahmatullah. Beliau yang berusia 71 tahun menghembuskan nafasnya yang terakhir sewaktu mengerjakan ibadah umrah di Jeddah pagi semalam dan dikebumikan di sana hari ini.

    Allahyarhamah Datuk Aishah telah berkecimpung dalam industri automotif tanahair sejak lebih 40 tahun, termasuk pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Hal Ehwal Korporat (Kumpulan Automotif), Sime Darby Motors Division Sdn. Bhd. Atas kredibiliti dan pengalaman yang meluas dalam industri ini, beliau telah dilantik sebagai Presiden MAA sejak Januari 2000 sehingga kini.

    DRB-Hicom dalam kenyataan medianya turut berkongsikan rasa sedih di atas pemergiaan Allahyarhamah Datuk Aishah, “Beliau adalah seorang yang gigih dalam industri automotif dan telah memberikan sumbangan besar kepada industri permotoran Malaysia sepanjang kerjayanya. Datuk Aishah amat sukar diganti dan legasinya akan mencerminkan impak segala usaha yang dilaksanakan di dalam industri yang beliau sangat cintai,” kata Datuk Seri Syed Faisal Albar, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM.

    Tambahnya, “Kepimpinan, visi, dan dedikasi beliau dalam menguruskan MAA telah memberi impak yang berkekalan kepada industri, dan beliau akan dikenang sebagai pemimpin yang tidak mengenal erti penat lelah demi perkembangan dan pembangunan sektor automotif di Malaysia. Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada industri dan seluruh masyarakat.”

    Kami di paultan.org juga turut berdukacita di atas pemergian Allahyarhamah yang boleh dianggap sebagai srikandi automotif tempatan. Perjuangan dan usaha beliau di dalam memajukan industri automotif tempatan cukup dihargai. Salam takziah untuk keluarga beliau. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan hambaNya yang beriman. Al-Fatihah.

     
     
  • Perodua Alza terbalik dikejar peronda Polis di MRR2 – bawa 11 warga asing, 1 warga tempatan di tahan

    Perodua Alza terbalik dikejar peronda Polis di MRR2 – bawa 11 warga asing, 1 warga tempatan di tahan

    Semalam tular satu video berdurasi seminit memaparkan sebuah Perodua Alza yang dipandu secara berbahaya terbalik di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2). Sejurus terbalik, sebuah kereta peronda polis Mitsubishi ASX tiba di tempat kejadian, seterusnya berlaku adegan kejar-mengejar antara pegawai polis dan individu dipercayai keluar dari Alza berkenaan.

    Apa yang terjadi sebenarnya ni? Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Alza berkenaan sebenarnya terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia dan ia dikejar oleh kereta peronda berkenaan.

    “Pada 2 Febuari 2023 lebih kurang 8.00 pagi semasa Peronda Kl-Lancang JSPT Bukit Aman, Kpl Vijayan A/L Sivarajah bersama Kpl Mohd Khairul Azhar b. Zakaria sedang membuat rondaan di KM 29 Jalan KL – Lanchang menghala barat telah mengesan satu mpv jenis Perodua Alza di dalam keadaan mencurigakan. Semasa ditahan mpv tersebut tidak berhenti dan terus memecut menghala ke Tol Gombak dan merempuh palang Tol di Plaza Tol Gombak.” tulis kenyataan tersebut.

    “Hasil bantuan Gerakan JSPT Bukit Aman, mpv tersebut berjaya ditahan di Lebuhraya MRR2 menghala ke Sungai Buloh dan pemeriksaan mendapati (1) lelaki warga tempatan, (10) lelaki dan (1) wanita dipercayai warga asing berada di dalam mpv tersebut. Semakan awal dapati kesemua tangkapan warga asing tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” tulis kenyataan tersebut.

    Polis mengesahkan kesemua mereka yang ditahan telah dibawa ke IPD Petaling Jaya dan ditahan di Bahagian Siasatan Jenayah dan warga tempatan yang ditangkap tersebut disiasat di bawah SOSMA yang diperuntukkan dibawah Seksyen 4(5) SOSMA 2012 manakala 11 warga asing disiasat dibawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen (pindaan) 2002 (Akta 155).

     
     
  • Jalan Yong Shook Lin di PJ ditutup setiap Jumaat-Ahad, 8 mlm-12 t/mlm untuk PJ Weekend Flea Market

    Untuk penduduk di sekitar Petaling Jaya (PJ), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah mengumumkan Jalan Yong Shook Lin di Seksyen 52 atau lebih dikenali sebagai PJ State akan ditutup untuk laluan trafik setiap hari Jumaat hingga Ahad, dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam. Ia akan bermula pada hujung minggu ini, 3-5 Februari 2023.

    Laluan berkenaan yang terletak berhadapan dengan Laman MBPJ akan ditutup bagi menjayakan acara mingguan PJ Weekend Flea Market @ PJ Art Lane, yang melibatkan pameran seni, jualan pakaian terpakai dan vintaj, buku, permainan dan banyak lagi.

    Justeru, semua pengguna jalan raya yang sering menggunakan laluan terbabit diminta untuk menggunakan laluan alternatif seperti mana yang disarankan dalam jadual di atas. Amalkan pemanduan berhemah dan selamat.

     
     
  • Volvo Car Malaysia bakal eksport model-model EV dari Shah Alam ke Vietnam dan Filipina bermula tahun ini

    Volvo Car Malaysia bakal eksport model-model EV dari Shah Alam ke Vietnam dan Filipina bermula tahun ini

    Volvo Car Malaysia (VCM) dijangka bakal mengeksport model-model elektrik penuh (EV) yang diproduksi di kilang Swedish Motor Assemblies di Shah Alam ke Vietnam dan Filipina tahun ini. VCM sememangnya telah pun mengeksport unit-unit yang dipasang di Malaysia ke Thailand, dan yang terbaharu Indonesia bermula tahun lalu.

    Buat masa sekarang, dua model EV telah dipasang di Malaysia iaitu SUV XC40 Recharge Pure Electric dan juga versi coupe C40 Recharge Pure Electric. Sejak dilancarkan pada Mac 2022, model EV XC40 berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan dengan 400 unit yang diperuntukkan untuk 2022 habis ditempah dalam masa sebulan.

    C40 turut mencatatkan prestasi yang baik dengan 100 tempahan diterima hanya dalam 10 hari selepas pelancarannya Disember lalu, semuanya dibuat secara atas talian menerusi servis pembelian atas talian baharu yang ditawarkan dalam laman web rasmi VCM. Ini membolehkan VCM berada di landasan yang betul dalam sasarannya untuk menjual 75% EV dari jumlah jualan keseluruhannya menjelang 2025, dan menjadi jenama EV penuh pada 2030.

    Volvo Car Malaysia bakal eksport model-model EV dari Shah Alam ke Vietnam dan Filipina bermula tahun ini

    Menurut VCM, dengan kemampuan kilangnya di Shah Alam untuk memasang model-model EV memberikan peluang terbaik bagi membolehkannya menerajui segmen kereta elektrik premium di Malaysia.

    “Cita-cita Volvo Car Malaysia kearah elektrik sepenuhnya di Malaysia kini semakin kukuh untuk menjadi realiti. Kilang pemasangan kami di Malaysia memainkan peranan yang penting dalam cita-cita elektrifikasi kerana kami akan membawa kenderaan elektrik ke dua lagi negara ASEAN – Vietnam dan Filipina,” kata pengarah urusan VCM, Charles Frump.

    “Pengeksportan kenderaan elektrik kami yang dipasang secara tempatan merupakan salah satu usaha kami untuk memacu Malaysia menjadi hab kenderaan elektrik di rantau ASEAN,” tambahnya lagi.

    GALERI: Volvo XC40 Pure Electric CKD 2022

    GALERI: Volvo C40 Pure Electric CKD 2023

     
     
  • Tujuh jalan di sekitar Batu Caves ditutup 3-8 Feb sepanjang perayaan Thaipusam – Polis Gombak

    Tujuh jalan di sekitar Batu Caves ditutup 3-8 Feb sepanjang perayaan Thaipusam – Polis Gombak

    Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed telah mengumumkan sejumlah tujuh jalan di sekitar kawasan Batu Caves akan ditutup mulai tengah malam ini hingga 8 Februari 2023. Ia adalah bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang perayaan Thaipusam yang bermula esok.

    Walau bagaimana pun, katanya, penutupan tujuh jalan itu bergantung kepada situasi semasa, seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    “Jalan yang ditutup sepanjang tempoh itu adalah persimpangan lampu isyarat Kampung Melayu Batu Caves, susur dari arah Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Kuil Batu Caves dan Jalan Batu Caves Lama ke pintu utama Kuil Batu Caves.

    “Selain itu, simpang tiga persimpangan lampu isyarat hadapan stesen minyak Shell Batu Caves, simpang tiga Jalan SBC 8 atau Jalan Lama Batu Caves, susur MRR2 dari Sri Gombak menghala susur Jalan Perusahaan Batu Caves dan Jalan Perusahaan menghala ke Kuil Batu Caves,” katanya.

    Tambah beliau, pihaknya telah mula membuat hebahan mengenai penutupan jalan terbabit menerusi
    papan iklan elektronik dari arah Bulatan Batu Caves menghala ke Gombak selain makluman di laman Facebook Polis Daerah Gombak.

    Tujuh jalan di sekitar Batu Caves ditutup 3-8 Feb sepanjang perayaan Thaipusam – Polis Gombak

    “Laluan alternatif yang dicadangkan oleh pihak polis akan dikemas kini melalui platform media sosial Facebook Polis Daerah Gombak. Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif dan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

    Beliau berkata, seramai 1,888 pegawai dan anggota polis dari pelbagai jabatan di seluruh kontinjen Selangor akan bertugas dalam Op Palu di 45 stesen di lima zon di sekitar Batu Caves selain dibantu 11 agensi lain.

    “Perarakan Thaipusam akan bermula dari Tun H S Lee ke Batu Caves jam 10 malam esok dan dijangka tiba jam 3 petang pada Sabtu ini, namun jadual perjalanan itu bergantung kepada keadaan cuaca dan trafik. Kita anggarkan seramai dua juta pengunjung terdiri dari dalam dan luar negara mengunjungi Kuil Batu Caves bagi tempoh 15 Januari lalu hingga 15 Februari nanti,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati orang ramai supaya meletakkan kenderaan di kawasan dibenarkan dengan memastikan ia ditinggalkan dalam keadaan berkunci, manakala pemilik motosikal dinasihatkan meletakkan kunci tambahan.

     
     
  • Sime Darby lancar Kineta – anak syarikat pembekal pelbagai kelengkapan mengecas kenderaan elektrik

    Sime Darby lancar Kineta – anak syarikat pembekal pelbagai kelengkapan mengecas kenderaan elektrik

    Sime Darby hari ini melancarkan sebuah anak syarikat baru yang dinamakan sebagai Kineta, yang bertindak menyediakan penyelesaian mengecas kenderaan elektrik di Malaysia. Syarikat ini membawa pelbagai barisan produk daripada jenama pengecas terkenal seperti Wallbox, StarCharge, Tritium, Autel dan pelbagai lagi, dengan tetapan AC dan juga DC.

    Terbuka untuk jualan kepada individu dan juga perusahaan, Kineta telah melantik pembekal dan pemasang pengecas EV sendiri untuk jenama di bawah Sime Darby Motors yang menjual EV, termasuk BMW, Hyundai, Porsche, Volvo dan BYD.

    Pada masa ini, Kineta mengendalikan pengecas EV yang terletak di pusat pameran Auto Bavaria, di mana penggunaannya boleh ditempah melalui aplikasi Go To-U yang dikendalikan oleh TNBX, iaitu sebuah anak syarikat Tenaga Nasional. Selain daripada itu, Kineta juga mempunyai kerjasama dengan Ecoride dan Mydin untuk pemasangan dan pengurusan pengecas kenderaan.

    Sime Darby lancar Kineta – anak syarikat pembekal pelbagai kelengkapan mengecas kenderaan elektrik

    Pemilik EV yang mahu mendapatkan pengecas kenderaan rumah melalui Kineta boleh memilih pelbagai produk, antaranya Wallbox Pulsar Plus yang datang dalam beberapa konfigurasi (7.4 kW dan 22 kW), dan pakar terlatih akan memberikan nasihat berguna serta pilihan alternatif yang tersedia.

    Kineta terletak di Sime Darby Motors City, Ara Damansara. Kawasan ini menempatkan pusat pameran dan servis pelbagai jenama dan tidak lama lagi akan disertai oleh BYD. Apabila pusat pameran BYD dibuka, Kineta akan memasang empat lagi pengecas di situ.

     
     
  • Mitsubishi Xpander Venture akan berlangsung di JB minggu ini – peluang pandu uji di laluan mencabar!

    Mitsubishi Xpander Venture akan berlangsung di JB minggu ini – peluang pandu uji di laluan mencabar!

    Selepas berlangsung di Lembah Klang iaitu di Stadium Shah Alam bulan lalu, kini anda yang berada di Johor Bahru pula berpeluang untuk memandu uji MPV tujuh-tempat duduk Mitsubishi Xpander di litar berhalang menerusi acara Mitsubishi Xpander Venture!

    Acara berkenaan akan berlangsung di Toppen Mall Outdoor Carpark, Johor Bahru pada 4 hingga 5 Februari, bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang.

    Dalam acara ini, anda akan diberi peluang untuk menguji kemampuan seakan SUV pada Xpander berkenaan dengan disediakan satu litar yang dipenuhi pelbagai halangan. Antara halangn tersebut adalah “Log and Roll” membolehkan anda rasai kestabilan dan keselesaan Xpander ini pada laluan tidak rata, serta “Side Traverse” iaitu laluan yang menunjukkan MPV tidak ada masalah untuk dipandu pada jalan senget dengan sudut condong yang tinggi.

    Litar ini juga menyediakan laluan “Roller Conveyer” untuk menunjukkan keberkesanan sistem Traction Control ketika dipandu pada jalan licin. Manakala laluan “Devil’s Angle” memberikan anda peluang memandu Xpander ini meredah laluan sudut tinggi serta banjir, mendemonstrasikan kelegaan tanah 205 mm MPV berkenaan.

    Terdapat juga laluan yang digelar “Agility Challenge”, iaitu satu laluan berselekoh yang sangat sempit. Pada laluan ini anda dapat merasai manfaat radius pusingan 5.2 meter pada Xpander yang membolehkan ia kekal lincah dan mudah dikendali pada laluan sempit seperti kawasan bandar dan tempat parkir walaupun direka sebagai MPV keluarga.

    Dengan menyertai pandu uji ini, anda turut akan diberikan topi eksklusif dari Mitsubishi serta peluang untuk menyertai cabutan bertuah bagi merebut hadiah seperti konsol permainan Nintendo Switch, jam tangan G Shock, dan jaket North Face.

    Selepas Johor Bahru, Mitsubishi Xpander Venture ini akan diadakan pula di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 4 hingga 5 Mac nanti.

     
     
  • Puspakom keluarkan jadual unit pemeriksaan bergerak Feb 2023 – termasuk luar kawasan di Sabah/Sarawak

    Puspakom keluarkan jadual unit pemeriksaan bergerak Feb 2023 – termasuk luar kawasan di Sabah/Sarawak

    Puspakom telah mengeluarkan jadual Januari 2023 bagi bagi unit pemeriksaan bergerak untuk Semenanjung Malaysia dan juga ujian luar kawasan di Sabah dan Sarawak.

    Trak unit pemeriksaan bergerak itu bakal ke Perak, Johor, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan. Tujuan bagi insiatif ini adalah untuk mereka yang tinggal jauh dari cawangan Puspakom.

    Perkhidmatan yang ditawarkan termasuklah rutin pemeriksaan, tukar nama hakmilik, dan banyak lagi. Walau bagaimana pun, Gua Musang yang sering menjadi lokasi kunjungan telah pun dibatalkan kehadirannya untuk bulan ini.

    Walau pun tidak menampilkan trak besar seperti di Malaysia Timur, namun Puspakom tetap tidak melupakan pelanggan di pekan kecil di sekitar Sabah dan Sarawak. Walau bagaimana pun unit bergerak itu tetap akan membawa kelengkapan yang diperlukan untuk pemeriksaan kenderaan.

    Antara daerah yang bakal dikunjungi termasuk Ranau, Kota Belud, Semporna, Kunak, Kapit, Limbang, Lawas dan Marudi. Walau bagaimana pun, kali ini juga Kudat tidak berada dalam senarai, jadi, untuk yang berada di sana, boleh ke Kota Marudu tapi kena buat temujanji terlebih dahulu menerusi MyPuspakom.

    Puspakom berkata pelanggan boleh terus ke lokasi yang disenaraikan pada tarikh yang disediakan, tanpa perlu membuat temujanji secara dalam talian, seperti yang diamalkan di cawangan Puspakom lain. Unit pemeriksaan bergerak ini beroperasi dari jam 8 pagi hingga 6 petang, dan ada sesetengah lokasi, ia bermula dari jam 8 pagi hingga 1 tengahari. Sila semak dahulu jadual yang diberikan sebelum anda ‘menyerbu’ unit pemeriksaan bergerak Puspakom ini.

     
     
  • Perodua Alza digunakan untuk jadi teksi — lagi jimat?

    Perodua Alza digunakan untuk jadi teksi — lagi jimat?

    Kebiasaannya, bagi yang ingin membeli kenderaan untuk kegunaan dalam servis e-hailing atau teksi, model-model asas dan jimat minyak akan jadi pilihan. Dari Perodua misalnya, model Bezza antara yang popular. Dan ini boleh difahami, mengambil kira kos operasi dan selenggara yang rendah, maka jika untuk digunakan dalam konteks itu, memang merupakan pilihan yang kena.

    Tetapi, antaranya seperti yang dikongsikan oleh pengguna Facebook Nabil Ismail, kebelakangan ini makin banyak mula kelihatan Perodua Alza pula turut menjadi pilihan bagi tujuan perkhidmatan teksi/e-hailing ini.

    Ini mungkin perkembangan yang menarik juga, kerana Alza merupakan sebuah model baru yang sangat selesa, tetap jimat penggunaan minyak dan juga boleh dipercayai seperti model-model lain keluaran Perodua sebelum ini.

    Cuma, kali ini, dengan Alza, ruang dan keselesaan untuk penumpang akan jadi lebih baik — tidak hanya boleh memuatkan tujuh orang, tetapi ruang setiap penumpang yang ada juga lebih luas dan selesa tentunya. Dan untuk perkhidmatan, nilai ini tentunya lebih menarik.

    Tentang kos selenggara Alza, kami pernah membandingkannya dengan kos model-model lain Perodua seperti Myvi dan Ativa. Dan, tidak lupa, bagi model sama dalam segmennya juga, melibatkan model seperti Honda BR-V dan Mitsubishi Xpander. Boleh rujuk jika ada yang ingin tahu lebih lanjut.

    Akan lebih menarik untuk Alza dijadikan teksi/e-hailing dan menggantikan kereta-kereta yang sudah uzur dan tak terjaga, kan?

     
     
  • Penunggang Ducati Hypermotard yang tular di TikTok tidak memakai topi keledar sudah kena saman

    Penunggang Ducati Hypermotard yang tular di TikTok tidak memakai topi keledar sudah kena saman

    Baru-baru ini tular di aplikasi TikTok satu video memaparkan seorang penunggang Ducati Hypermotard yang menunggang motosikal tersebut tanpa memakai topi keledar.

    Video berkenaan kemudiannya mengundang perhatian pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan kemudian jabatan berkenaan mengeluarkan kenyataan rasmi untuk mencari penunggang tersebut semalam.

    Dan tidak sampai 24 Jam, penunggang terbabit telahpun menyerah diri dengan hadir ke Balai Polis Trafik, Jalan Tun H. S. Lee bersama motosikal yang terlibat dalam video tersebut.

    Menurut hantaran Facebook JSPT KL, penunggang berkenaan telah diberikan bukan satu, tetapi tiga saman untuk tiga kesalahan iaitu tidak memakai topi keledar, ubahsuai ekzos dan nombor plet tidak ikut peraturan.

    Malah Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut hadir untuk memeriksa paras bunyi ekzos motosikal tersebut, dan satu lagi saman dikeluarkan oleh JAS kerana bunyi ekzos tersebut melebihi had yang dibenarkan.

    Dalam masa yang sama, JSPT turut menasihatkan semua pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi peraturan lalulintas demi keselamatan sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.

     
     
  • Kawasaki Ninja ZX-4R didedah – enjin empat silinder 399 cc mampu hasilkan sehingga 80 PS, quickshifter

    Kawasaki Ninja ZX-4R didedah – enjin empat silinder 399 cc mampu hasilkan sehingga 80 PS, quickshifter

    Bukan lagi khabar angin, Kawasaki akhirnya mendedahkan ZX-4R, dalam beberapa versi iaitu ZX-4R (asas), ZX-4R SE dan ZX-4RR. Amerika Syarikat akan menjadi antara yang terawal menerima motosikal ini, dan harga yang dikeluarkan setakat ini hanya untuk ZX-4RR KRT Edition, iaitu USD9,699 (RM41,094).

    Meskipun sebelum ini memang ada Ninja 400 di pasaran sana, ZX-4R membawa lebih keterujaan kerana ia dilengkapi dengan enjin empat silinder 399 cc OHC serba baru yang mampu menghasilkan sehingga 77 PS dalam keadaan biasa. Enjin ini juga boleh dikerah sehingga 15,000 rpm, dan apabila salur udara Ram-air padanya cukup padat, ia dapat memberikan kuasa maksimum sehingga 80 PS.

    Transmisi enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper dipadankan bersama enjin ini, dan menjadikan ia lebih mudah bagi pengguna, versi SE dan RR datang terus dengan quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear.

    Kawasaki Ninja ZX-4R didedah – enjin empat silinder 399 cc mampu hasilkan sehingga 80 PS, quickshifter

    Walaupun cuma merupakan motosikal kelas pertengahan, ZX-4R datang dengan spesifikasi tinggi, termasuk bahagian elektronik yang menyediakan empat mod tunggangan, dua mod kuasa, tiga mod sistem kawalan cengkaman KTRC, serta meter TFT 4.3 inci dengan mod paparan Circuit.

    Dengan kuasa yang tinggi pada badan kompak sama seperti ZX-25R, Kawasaki tidak berkompromi dengan ciri keselamatan dengan memberikan tetapan brek cakera 290 mm berkembar bersama angkup empat piston di hadapan, cakera tunggal 220 mm dengan angkup satu piston di belakang, sistem ABS serta rim 17 yang dibalut tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.

    Selain quickshifter dan penghadang angin smoked, kedua-dua versi SE dan RR juga mempunyai kelebihan di bahagian suspensi, dengan mendapat fork Showa SFF-BP 37 mm yang boleh dilaras (preload), sementara monoshock Showa BFRC Lite larasan penuh hanya diberi pada model RR.

    Kawasaki Ninja ZX-4R didedah – enjin empat silinder 399 cc mampu hasilkan sehingga 80 PS, quickshifter

    Ciri lain pada ZX-4R adalah termasuk semua lampu jenis LED, tangki bahan api 15 liter, berat keseluruhan 188 kg, tinggi tempat duduk, tinggi tempat duduk 800 mm, serta skrin TFT yang boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi Rideology.

    Semasa pengenalan pertama ZX-4R ini, Kawasaki menyatakan tidak semua versi akan ditawarkan pada pasaran tertentu dan menarik untuk kita lihat versi mana yang akan tiba di rantau kita. Bila ia akan tiba di negara kita juga masih belum diketahui, sedangkan ZX-25R pun masih belum dilancarkan secara rasmi (sepatutnya pertengahan tahun ini).