Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • PDRM sedang mengesan penunggang Ducati Hypermotard yang tidak memakai topi keledar

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman sedang mengesan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi Ducati Hypermotard yang didapati menunggang dengan tidak memakai topi keledar.

    Menerusi perkongsian di Facebook PDRM, terdapat video tular di laman media sosial yang berdurasi 11 saat memaparkan aksi penunggang berkenaan yang dirakamkan di jalan raya yang sibuk dipercayai di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. Kesalahan ini adalah di bawah kaedah 4, Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973.

    “JSPT sedang mengesan alamat pemilik motosikal dan meminta penunggang motosikal tersebut supaya hadir ke Balai Trafik bagi membantu siasatan. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta untuk menghubungi mana-mana Balai Polis Trafik yang berdekatan dengan kadar segera,” kata kenyataan yang dikeluarkan.

    Dalam masa yang sama, JSPT turut menasihati para penunggang motosikal agar mematuhi peraturan jalan raya. “Pemakaian topi keledar semasa menunggang bukanlah untuk menyusahkan diri namun ia adalah untuk keselamatan diri penunggang itu sendiri,”tambahnya.

     
     
  • Kerja baiki struktur LRT dijangka siap dua minggu

    Kerja baiki struktur LRT dijangka siap dua minggu

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan kerja pembaikan struktur jejambat Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) yang mengalami keretakan antara stesen Masjid Jamek dan Bandaraya dijangka selesai dalam tempoh dua minggu.

    Katanya, kerja pembaikan itu akan dilaksanakan oleh pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dengan perunding yang dilantik bagi membaiki struktur terbabit segera, laporan Harian Metro.

    “Sepanjang tempoh pembaikian, stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya tidak ditutup cuma laluan menghubungkan kedua-duanya sahaja ditutup. Buat masa ini pengguna LRT akan menggunakan ‘shuttle bus’ yang disediakan bagi menghubungkan kedua-dua stesen itu.

    “Proses pembaikan dua fasa iaitu fasa pendek dalam tempoh dua minggu untuk dipastikan ada pembaikan dan struktur itu selamat digunakan, manakala fasa panjang memastikan struktur itu kukuh. Kita menjangkakan laluan antara dua stesen ini terganggu dalam tempoh dua minggu,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan terkini mengenai kerosakan struktur jejambat terbabit.

    Beliau turut berkata, kedua-dua stesen itu akan dibuka semula apabila pihak berkenaan memastikan perkhidmatan itu selamat kepada pengguna.

    “Lebih 200 kakitangan Prasarana dimobilasikan di dua stesen itu bagi meminimumkan gangguan kepada pengguna. “Kita tiada pilihan kerana ini membabitkan isu keselamatan. Jadi, saya memohon maaf kepada pihak penumpang,” katanya.

    Pada 27 Januari lalu, akses laluan antara Stesen LRT Masjid Jamek dan Bandaraya pada LRT Laluan Ampang terpaksa disekat akibat penjajaran landasan yang bengkok (kinked) dan struktur jejambat retak.

    Menurut Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), hasil siasatan dan pemerhatian awal mendapati ada sebuah projek pembangunan bersebelahan kawasan kejadian yang telah mula dijalankan tanpa sebarang rundingan dengan APAD di bawah Peraturan-Peraturan Kereta Api (Zon Perlindungan Kereta Api) 1998 [P.U. (A) 367].

     
     
  • JPJ eBid: Siri nombor KFN bakal dibuka bidaan

    JPJ eBid: Siri nombor KFN bakal dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan satu lagi siri plat nombor pendaftaran baharu iaitu BRG. Bidaan dilakukan secara dalam talian iaitu menerusi JPJ eBid.

    Siri nombor plat terkini dari Kedah, KFN ini bakal dibuka bidaan pada 5 Februari 2023. Tempoh bidaan menerusi JPJ eBid adalah selama lima hari, dan berakhir jam 10 malam pada 9 Februari. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 10 Februari 2023. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Larangan kenderaan asing isi diesel bersubsidi, petrol RON95 di stesen minyak di Perlis dikuatkuasakan

    Larangan kenderaan asing isi diesel bersubsidi, petrol RON95 di stesen minyak di Perlis dikuatkuasakan

    Mulai hari ini, 1 Februari 2023, Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melarang semua kenderaan dengan nombor pendaftaran asing daripada mengisi diesel bersubsidi di seluruh stesen minyak di Perlis. Sebelum ini, hanya petrol RON 95 bersubsidi yang dilarang penjualannya kepada kenderaan asing manakala penjualan diesel bersubsidi pula hanya dihadkan kepada 20 liter sahaja.

    Menurut Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDN Shamsul Nizam Khalil, larangan berkenaan dilaksanakan berikutan isu kenderaan berpendaftaran asing terutama dari Thailand yang dilihat kerap berulang alik ke stesen petrol di Perlis yang bersempadan dengan Malaysia-Thailand, laporan Bernama.

    Tambahnya, KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar arahan selepas tempoh advokasi selama 14 hari (mulai hari ini) dengan mengambil tindakan tegas termasuk mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan perundangan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Di mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM1 juta, manakala kesalahan berikutnya denda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Untuk syarikat pula, jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM2 juta dan bagi kesalahan berikutnya denda tidak lebih RM5 juta.

    “Mereka (kenderaan pendaftaran asing) berbuat demikian bertujuan mengisi petrol atau diesel sebelum diseludup ke negara jiran menggunakan tangki yang diubahsuai. Bagi membendung perkara ini daripada terus berlaku, kita mengambil langkah proaktif dengan menggunakan advokasi kepada kesemua 40 pengusaha stesen minyak.

    Larangan kenderaan asing isi diesel bersubsidi, petrol RON95 di stesen minyak di Perlis dikuatkuasakan

    “Ia termasuk dua stesen minyak tanpa subsidi di negeri ini bermula 27 Januari tahun ini dengan memberi penerangan berhubung arahan larangan penjualan diesel bersubsidi termasuk petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing termasuk motosikal di seluruh Perlis,” katanya memetik laporan Harian Metro pula.

    Jelas beliau, tahun lalu pihaknya berjaya membanteras lima kes dan tiga daripadanya sudah didakwa di mahkamah membabitkan penyeludupan petrol dan diesel bersubsidi ke luar negara jiran.

    “Selain pengusaha stesen minyak, advokasi turut diberikan terhadap pemilik kenderaan berpendaftaran asing termasuk motosikal di setiap laluan pintu masuk negara di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar dan Pos Imigresen Wang Kelian dengan mengedarkan 250 notis amaran,” katanya.

    Katanya, sebagai langkah alternatif kenderaan berpendaftaran asing ini boleh membeli petrol RON97 tanpa had selain petrol RON95 dan diesel di dua stesen petrol tidak bersubsidi yang berada di Kawasan Perindustrian Kampung Kolam di Padang Besar dan Wang Kelian.

    “Kita sudah pun mengadakan dialog secara bersemuka dengan setiap pengusaha stesen petrol di Perlis mengenai arahan ini. Perlis adalah negeri perintis kepada arahan ini berikutan isu penyeludupan petrol dan diesel bersubsidi ini yang sering berlaku di negeri ini,” katanya.

     
     
  • Produksi Perodua Axia generasi pertama sudah ditamatkan, pemasangan Axia D74A kini bermula

    Produksi Perodua Axia generasi pertama sudah ditamatkan, pemasangan Axia D74A kini bermula

    Tempahan untuk Perodua Axia generasi baharu (dikenali dengan kod D74A) telah pun dibuka secara rasmi semalam, dan pelancarannya dijadualkan berlangsung pada pertengahan bulan ini. Oleh itu, Perodua telah mengesahkan bahawa produksi model generasi pertama telahpun tamat pada akhir Januari, manakala produksi untuk Axia D74A sudah pun bermula.

    Axia D74A ini nanti akan diasaskan dari platform terkini Daihatsu New Global Architecture (DNGA), menampilkan saiz yang lebih besar serta diberikan perincian-perincian yang jauh lebih canggih, menyebabkan ia perlu dijual lebih mahal iaitu bermula RM38,600 untuk varian G, RM40,000 untuk Axia X, RM44,000 untuk Axia SE dan RM49,500 bagi Axia AV.

    Ia jauh dengan julat harga Axia generasi pertama di mana model facelift 2019 Axia GXtra dengan VSC dijual pada harga RM34,990, manakala varian tertinggi Axia AV dijual pada harga RM43,190. Dengan berakhirnya produksi Axia generasi pertama ini, sudah tentu ada pelanggan yang menempahnya tidak dapat memperolehi model berkenaan dan mungkin perlu memilih Axia D74A yang lebih mahal.

    Produksi Perodua Axia generasi pertama sudah ditamatkan, pemasangan Axia D74A kini bermulaProduksi Perodua Axia generasi pertama sudah ditamatkan, pemasangan Axia D74A kini bermula

    Tambahan pula, ada pelanggan yang menempah Axia generasi pertama tersebut ketika tempoh insentif Penjana dari kerajaan yang mengecualikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Jadi bagaimana Perodua menyelesaikan masalah ini bagi mewujudkan situasi “menang-menang” antara pihaknya dan juga pelanggan?

    “Masalahnya adalah apabila ada model baharu sepenuhnya (Full Model Change/FMC) atau perbezaan harga, jadi kami perlu uruskan perkara ini dengan berhati-hati,” kata Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dalam majlis perkongsian halatuju Perodua 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam.

    “Saya tidak mempunyai angka sebenar berapa ramai pelanggan yang terjejas dan kami perlu tunggu sehingga akhir Mac nanti untuk melihat berapa ramai pelanggan yang belum menerima kereta, tetapi mereka menempahnya ketika tempoh sifar cukai jualan, jadi kami akan membuat pengumuman selepas ini. Namun kami akan pastikan mereka akan menerima apa jua manfaat cukai jualan jika mereka teruskan tempahan tersebut,” tambahnya.

    Produksi Perodua Axia generasi pertama sudah ditamatkan, pemasangan Axia D74A kini bermula

    “Pelanggan Axia sedia ada yang menunggu kereta mereka digalakkan untuk menukar tempahan mereka kepada model baharu sekiranya mereka tidak dapat kereta mereka, stok yang lama. Kami jangkakan akan ada beberapa ratus tempahan di mana pelanggan tidak dapat Axia lama kerana produksinya berakhir bulan ini (Januari), dan produksi Axia baharu bermula pada akhir Januari,” kata Zainal.

    “Walau bagaimanapun, apabila mereka bertukar, kami akan pastikan apa jua faedah yang sepatutnya diterima pelanggan, kami akan memberikan subsidi (cukai jualan) walaupun Axia baharu mempunyai cukai jualan yang berbeza. Contohnya, cukai jualan Axia lama mungkin RM1,500 manakala yang baru adalah RM2,000, jadi kami akan berikan subsidi. Kerana pelanggan yang mahu bertukar kepada Axia baharu, mereka adalah pelanggan yang setia,” jelas Zainal lagi.

     
     
  • Harga minyak 2-8 Feb – Masih tiada perubahan

    Harga minyak 2-8 Feb – Masih tiada perubahan

    Bagi minggu bertarikh 2 hingga 8 Februari 2023, Kementerian Kewangan (MoF) memutuskan untuk terus mengekalkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel. Ini merupakan minggu ke-enam tiada perubahan bagi harga runcit bagi petrol dan diesel.

    Di mana petrol RON 97 dikekalkan pada harga runcit RM3.35 seliter, selepas ia mengalami penurunan harga selama tiga minggu berturut-turut sepanjang Disember 2022.

    Manakala petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling pula, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • BMW Motorrad catat jualan terbaik dalam sejarah syarikat – 203k motosikal/skuter terjual pada 2022

    BMW Motorrad catat jualan terbaik dalam sejarah syarikat – 203k motosikal/skuter terjual pada 2022

    BMW Motorrad mengumumkan bahawa mereka sekali lagi dapat memecahkan rekod jualan terbaik syarikat dengan 202,895 buah motosikal dan skuter berjaya diserahkan kepada pelanggan pada tahun 2022. Ini adalah peningkatan sebanyak 4.4% berbanding jumlah yang dicatat pada tahun 2021 dan sekaligus meletakkan syarikat sebagai pendahulu bagi segmen motosikal dan skuter premium.

    Jerman menjadi negara tunggal yang menyumbang jualan terbanyak bagi BMW Motorrad pada tahun 2022, dengan catatan 24,129 (+6.7%) buah motosikal dan skuter. Bagi rantau lain, Asia mencatat jualan 46,332 unit (+7.4%), China 15,404 unit (+7.7%), India 7,282 unit (+40.3%), Amerika Utara 20,295 unit (+11%) dan Amerika Syarikat 17,690 unit (+10.4%).

    BMW Motorrad catat jualan terbaik dalam sejarah syarikat – 203k motosikal/skuter terjual pada 2022

    Melihat kepada model, R1250GS dan R1250GS Adventure sekali lagi menjadi model paling laris BMW Motorrad dengan jualan lebih 60,000 unit, sementara model lain yang menunjukkan sambutan baik pelanggan adalah model sports empat silinder seperti S1000RR, S1000XR dan M1000RR (jumlah keseluruhan lebih 23,500 unit), serta model permulaan G310R dan G310 GS (lebih 24,000 unit). Skuter elektrik CE-04 pula terjual hampir 5,000 unit.

    Melihat ke hadapan, ketua bahagian jualan dan jenama BMW Motorrad, Stephan Reiff berkata, “pelanggan dan peminat kami bakal menyaksikan beberapa kejutan pada tahun 2023 bersempena sambutan ulang tahun kami yang ke-100. Acara menarik seperti BMW Motorrad Days, produk baru hebat seperti M1000R dan beberapa model baru yang pertama kali didedahkan kepada dunia akan menjadikan tahun ini lebih istimewa.”

     
     
  • Program langganan Perodua bakal diperkenal tahun ini

    Program langganan Perodua bakal diperkenal tahun ini

    Program langganan kenderaan oleh jenama pengeluar bukan perkara baru di sini, bahkah untuk Perodua. Melangkah ke hadapan, syarikat itu bakal menawarkan program seumpamanya untuk pasaran tempatan, dan kini dalam fasa kajian pasaran jangka panjang melalui program langganan 300 unit Ativa Hybrid yang sedang berjalan.

    Melalui usaha berkenaan, Perodua ingin memahami tahap penerimaan pengguna terhadap servis langganan kenderaan selama lima-tahun itu, yang telah pun ditawarkan untuk pelanggan korporat di bawah program EZ MOBi, yang diperkenalkan pada Januari 2021.

    Susulan daripada itu juga, Perodua menggariskan bawaha pelaksanaan program langganan dan pajakan kenderaan sebagai satu daripada usaha utama bagi tahun 2023 ini di bawah bahagian jualan dan pemasarannya.

    Pengumuman tentang ini akan dilakukan sejurus sebelum pelaksanaan penuh skim langganan berkenaan. Tetapi menurut Perodua, sebelum itu, syarikat akan menyelesaikan terlebih dahulu ambilan maklum balas daripada 300 pelanggan Ativa Hyrbid yang terlibat itu.

    Program langganan Perodua bakal diperkenal tahun ini

    Pusingan pertama ambilan maklum balas daripada pelanggan itu sudah pun dilakukan dengan jayanya, tanpa melibatkan sebarang rungutan, dan bayaran RM500 sebulan yang dikenakan itu lebih daripada berbaloi.

    Satu lagi pusingan untuk ambilan maklum balas daripada pelanggan akan diadakan, kemungkinan dalam pertengahan tahun ini. Berdasarkan semua maklumat itu nanti, Perodua akan umumkan sama ada syarikat akan menjalankan program langganan kenderaan mereka sendiri atau dalam bentuk yang bagaimana ia patut dilaksanakan.

    Perincian tentang itu juga akan ditentukan kemudian sebelum pengumuman. Pastinya, sebagai sebahagian daripada cabang perniagaan baru Perodua, program berkenaan disasarkan dilancar dalam tahun ini.

    Selain itu, Perodua juga sedang membangunkan sistem berkaitan dan cuba memastikan sebaik dilancarkan program ini nanti, ia akan berjalan lancar dari segenap sudut operasi.

     
     
  • Tempahan tertunggak Perodua cecah 220k unit – kereta diserah selepas Mac akan diserap cukai jualan

    Tempahan tertunggak Perodua cecah 220k unit – kereta diserah selepas Mac akan diserap cukai jualan

    Dengan insentif Penjana yang mengecualikan cukai jualan dan servis untuk pembelian kereta baharu diberikan kerajaan tahun lalu bagi merancakkan sektor automotif yang terjejas akibat pandemik Covid-19, rakyat Malaysia benar-benar mengambil kesempatan dan menyebabkan banyak jenama menerima tempahan yang melebihi kapasiti pengeluaran.

    Walaupun insentif berkenaan pada awalnya akan ditamatkan pada 30 Jun tahun lalu, kerajaan memberi kelonggaran untuk terus memberikan pengecualian cukai tersebut untuk kenderaan yang didaftarkan sehingga 31 Mac tahun ini, dengan syarat tempahan yang dibuat adalah pada sebelum 30 Jun 2022. Kelonggaran ini dibuat adalah untuk memberikan peluang semua jenama automotif menyelesaikan tempahan tertunggak mereka yang diterima dalam tempoh pemberian insentif tersebut.

    Yang paling banyak menerima tempahan sudah tentulah jenama automotif paling laris dalam Malaysia iaitu Perodua. Dalam majlis perkongsian halatuju Perodua 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam, Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad mendedahkan bahawa syarikatnya kini masih mempunyai sebanyak 220,000 unit tempahan yang perlu disiapkan!

    “Buat masa sekarang, jumlah tempahan yang tertunggak adalah sekitar 220,000 unit. Ia adalah masalah yang bagus tetapi ia tetap masalah. Kami tak boleh tidur malam kerana 220,000 pelanggan menunggu kereta mereka,” kata bos besar Perodua berkenaan.

    Tempahan tertunggak Perodua cecah 220k unit – kereta diserah selepas Mac akan diserap cukai jualan

    Bagi mengatasi masalah ini, Zainal mendedehkan beberapa langkah yang akan diambil oleh Perodua. “Pertama sekali, rancangan kami adalah untuk memastikan pada penghujung Mac, pelanggan yang menempah kerana program Penjana tanpa cukai jualan perlu dapat kereta mereka, kerana selepas 31 Mac cukai jualan akan dikenakan,” katanya.

    “Walau bagaimanapun, berdasarkan penyelidikan dan perancangan semasa kami, kami sedar adalah sukar untuk pelanggan-pelanggan tersebut mendapatkan semua kereta mereka menjelang 31 Mac. Akan ada lebihan, tetapi seperti yang sudah saya katakan banyak kali untuk Perodua, kami akan menyerap (cukai jualan tersebut).

    “Contohnya, jika pelanggan menempah (ketika pengecualian SST), jika kami perlu menyerap cukai jualan walaupun penghantaran dibuat selepas 31 Mac, kami akan lakukan. Kami akan pastikan. Saya merasakan pelanggan adalah sangat mustahak. Mereka menempah kereta kami ketika tiada cukai jualan, dan ia menjadi masalah kami kerana tidak boleh menyerahkan kereta pada Mac, oleh itu kami perlu menyerap (cukai jualan tersebut), jelas Zainal.

    Untuk tahun 2023, Perodua telah menetapkan sasaran jualan sebanyak 330,000 unit. Namun dari jumlah berkenaan, keutamaan produksi di kilang adalah untuk tempahan tertunggak sebanyak 220,000 unit ini terlebih dahulu.

     
     
  • Perodua sasar eksport naik sebanyak 640% pada 2025

    Perodua sasar eksport naik sebanyak 640% pada 2025

    Turut menjadi tumpuan utama Perodua untuk tahun-tahun mendatang adalah perancangan bagi merancakkan semula perniagaan eksport syarikat itu. Selepas jumlah eksport merudum pada 2020 hingga 2022 akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perodua meramalkan angka eksportnya mencecah 3,300 unit pada 2023.

    Ini kemudiannya akan meningkat lagi menjadi 4,680 unit pada 2024, dan kepada 8,410 unit pada 2025 dengan jumlah terakhir itu mewakili peningkatan sebanyak 640% berbanding angka yang dicapai pada 2022 dengan hanya 1,137 unit. Pada 2021, Perodua hanya dapat mengeksport 1,150 unit dan pada 2020, hanya 722 unit. Sebagai perbandingan, dari 2015 hingga 2019, jumlah yang dieksport adalah antara 2,214 unit hingga 4,636 unit.

    Ketika ini, Perodua mempunyai wakil jualan di pasaran seperti berikut: Brunei, Singapore, Mauritius, Fiji, Sri Lanka dan Seychelles, dengan penawaran model seperti Aruz, Axia, Bezza dan Myvi. Perodua juga ada di UK, walaupun hanya berurusan dengan servis dan alat ganti, sementara Indonesia menerima Myvi sebagai Daihatsu Sirion.

    Perodua sasar eksport naik sebanyak 640% pada 2025

    Dalam taklimat media semalam, Perodua menggariskan beberapa cabaran yang dihadapi ketika ini berkaitan eksport. Ini termasuklah kemasukan pasaran yang terhad kerana hanya mengeluarkan kereta pemanduan sebelah kanan, nilai jenama yang lebih rendah berbanding jenama global yang lain, daya saing kos dan kualiti yang belum mencapai tahap sewajarnya, pematuhan peraturan yang dikenakan di negara lain serta kurangnya maklum balas strategik daripada pengedar luar sedia ada.

    Untuk mencapai sasarannya, syarikat itu bakal mengadakan aktiviti kecekapan kos bersama barisan vendor untuk mempertingkat kualiti dan tahap daya saing kos. Struktur organisasi eksportnya juga akan diperkukuh, sementara pengedar sedia ada akan dibangunkan untuk merancakkan pertumbuhan. Perodua juga akan meningkatkan kesedaran jenama dan kehadiran, dengan produk akan dibangunkan untuk memenuhi potensi standard negara eksport dan peraturannya.

     
     
  • Proton umum pelan hala tuju EV – dimulakan dengan MHEV, BEV dan PHEV; sasar M’sia jadi hab RHD EV

    Proton umum pelan hala tuju EV – dimulakan dengan MHEV, BEV dan PHEV; sasar M’sia jadi hab RHD EV

    Proton acapkali diajukan pertanyaan bilakah syarikat pengeluar kereta nasional ini bakal memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) memandangkan ia semakin mendapat tempat di dalam pasaran tempatan. Dari masa ke masa semakin banyak syarikat pengeluar kereta global membawa masuk model EV ke pasaran Malaysia.

    Enggan ketinggalan dalam memperkenalkan EV, pada tahun 2021, pertama kali Proton mendedahkan pelan hala tuju elektrifikasi yang melibatkan model hibrid, plug-in hybrid dan pacuan elektrik sepenuhnya. Namun ketika itu, Proton berkata, ia akan dimulakan pada masa yang bersesuaian.

    Pada Mei 2022, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton, Li Chunrong mendedahkan syarikat ini akan memperkenalkan model EV untuk pasaran Malaysia yang dijangka dilaksanakan pada tahun ini. Model berkenaan ialah smart #1 iaitu crossover elektrik penuh dengan penggayaan Mercedes-Benz dan dibangunkan oleh Geely. Walau ia bukanlah dikeluarkan oleh Proton namun Proton Edar telah dilantik sebagai pengimport dan pengedar rasmi jenama smart di Malaysia dan Thailand, dan #1 akan menjadi model pertama yang mewakili kemunculan semulanya di pasaran automotif ASEAN.

    Proton umum pelan hala tuju EV – dimulakan dengan MHEV, BEV dan PHEV; sasar M’sia jadi hab RHD EV

    Dalam masa yang sama, CEO Proton itu turut memaklumkan pihaknya bersedia untuk mengeluarkan model EV menjelang tahun 2027. Pendedahan ini diperkukuhkan dengan pembentangan hala tuju bagi EV yang diumumkan oleh Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah, dalam majlis makan malam dengan pihak media sempena Tahun Baharu Cina semalam.

    Menurut Roslan, pelan hala tuju bagi pengeluaran EV akan dilakukan mengikut fasa, didahului dengan teknologi hibrid ringkas (MHEV), berserta dengan pelancaran smart #1. Ini akan diikuti dengan model BEV (EV janaan bateri) dan PHEV. Walau bagaimana pun Proton mengesahkan model BEV akan menjadi produk terasnya.

    Tidak mendedahkan sebarang garis masa secara spesifik, Roslan berkata, “Pelan hala tuju ini dijalankan dengan tiga fasa pelaksanaan. Fasa pertama melibatkan perintis EV yang bertujuan untuk menembusi pasaran EV, keupayaan membangunkan dan meningkatkan kesedaran pasaran.

    Proton umum pelan hala tuju EV – dimulakan dengan MHEV, BEV dan PHEV; sasar M’sia jadi hab RHD EV

    “Manakala fasa kedua pula melibatkan perkembangan EV dengan objektif mengeluarkan model EV secara pemasangan tempatan (CKD), pembangunan eko-sistem dan memacu pengeluaran EV. Untuk fasa ketiga pula ialah menjadikan Proton sebagai hab pengeluaran EV pemanduan sebelah kanan (RHD) yang bukan setakat untuk pasaran tempatan tetapi melibatkan pasaran eksport.”

    Selain smart #1, Proton juga dijangka akan memperkenalkan model SUV tujuh-tempat duduk X90 seperti mana yang telah pun dilancarkan di Filipina dan dikenali sebagai Geely Okavango. SUV ini diberikan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder yang digandingkan bersama sistem hibrid ringkas 48-volt. Ia menghasilkan kuasa keseluruhan 190 PS dan tork maksima 300 Nm, dan dipindahkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan. Unit enjin 1.5 liter turbo ini juga dipamerkan di Pusat Kecemerlangan Proton.

    “Bagi memacu langkah ke hadapan, rangkaian produk akan diperkembangkan dengan pengenalan lebih banyak model BEV dan PHEV. Dan jika anda melihat pada slaid pembentangan ini, juga terdapat rancangan untuk mensinergikan perindustrian EV kami termasuk dengan jenama lain dalam kumpulan Geely. Walaupun saya tidak menjanjikan apa-apa, anda mungkin dapat melihat beberapa tawaran EV yang menarik di Malaysia dalam masa terdekat,” katanya.

     
     
  • KTM 390 Adventure 2023 dapat versi rim spoked

    KTM 390 Adventure 2023 dapat versi rim spoked

    Selain memberikan penampilan yang lebih segar bagi 390 Adventure tahun 2023, KTM juga telah menambah satu lagi versi bagi model tersebut, yang dipanggil sebagai 390 Adventure SW. Kelebihan versi ini adalah ia dilengkapi dengan rim spoked yang diperbuat daripada aluminium.

    Penawaran 390 Adventure SW ini dibuat bagi mereka yang mahukan sesuatu yang lebih lasak, dan rim spoked tersebut datang dalam saiz 19 inci di hadapan, dan 17 inci di belakang, dibalut dengan tayar Continental TKC70 (saiz dan tayar yang sama seperti versi yang menggunakan rim aluminium biasa).

    Bahagian lain tidak diubah, termasuk enjin yang masih menggunakan unit satu silinder 373 cc berkuasa 43 hp dan 37 Nm tork, bersama padanan transmisi enam kelajuan dan klac jenis slipper. Di hadapan penunggang terdapat skrin TFT lima inci.

    Meskipun merupakan antara model Adventure paling kecil KTM, 390 Adventure masih dilengkapi sistem elektronik seperti brek ABS, kawalan cengkaman dengan pilihan dua mod, pendikit jenis ride-by-wire, mod tunggangan Road dan Offroad serta lampu jenis LED.

    Brek terdiri daripada cakera 320 mm dengan angkup Bybre empat piston di hadapan dan cakera 230 mm dengan angkup satu piston di belakang, sementara suspensi pula terdiri daripada fork WP-Apex 43 mm dan monoshock WP Apex di belakang. Tangki bahan api model ini berkapasiti 14.5 liter dan berat keseluruhannya (kering) adalah 161 kg).

     
     
  • Model EV pertama Perodua – komponen utama perlu dibuat di Malaysia, vendor akan dibangunkan

    Model EV pertama Perodua – komponen utama perlu dibuat di Malaysia, vendor akan dibangunkan

    Kita sudah tahu sikit lebih kurang bila Perodua akan memperkenalkan model hibrid mereka, dan model mana yang akan menerima teknologi berkenaan. Namun bagaimana dengan model elektrik penuh (EV)? Adakah ia ada dalam perancangan Perodua?

    Dalam majlis perkongsian halatuju Perodua 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam, Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad masih berpegang dengan pendirian Perodua sebelum ini iaitu EV bukanlah penyelesian sebenar untuk meneutralkan karbon selagi punca utama elektrik dalam negara masih dijana menggunakan arang batu.

    Namun bagi mengelakkan Perodua ketinggalan dalam penghasilan EV, syarikatnya masih perlu bergerak ke arah elektrifikasi penuh, dan usaha paling penting serta terlebih dahulu yang perlu dilakukan adalah untuk membangunkan vendor tempatan.

    Model EV pertama Perodua – komponen utama perlu dibuat di Malaysia, vendor akan dibangunkan

    “Isunya adalah pembekal kami kurang pendedahan dalam pembangunan komponen untuk HEV (hibrid elektrik) atau BEV (EV bateri) dan juga komponen-komponen termaju lain. Walaupun Perodua masih belum bersaing dalam segmen EV, industri automotif Malaysia berada dalam bahaya dengan ketinggalan apabila BEV menjadi teknologi arus perdana.

    “Bagi mengatasi masalah ini, kami kini berkerjasama dengan rakan kami, Daihatsu Motor Co. (DMC) di Jepun untuk mengenalpasti syarikat-syarikat dengan kepakaran elektrifikasi dan mempunyai akses kepada teknologi termaju. Dari situ, kami akan menerokai potensi bagi kerjasama strategik dengan pembekal dan vendor tempatan kami, dan dari situ kami akan memacu vendor-vendor ini kearah elektrifikasi dan teknologi termaju,” kata Zainal.

    Menurut bos Perodua itu lagi, ada tiga komponen utama pada EV iaitu bateri, motor elektrik dan unit inverter, dan salah satu dari komponen ini haruslah dihasilkan oleh vendor tempatan sekiranya Perodua memperkenalkan EV dalam pasaran kelak.

    Model EV pertama Perodua – komponen utama perlu dibuat di Malaysia, vendor akan dibangunkan

    “Ini kerana kami adalah Perodua, dan kami mahu membangunkan industri tempatan,” kata Zainal untuk menegaskan mengapa sekurang-kurangnya salah satu dari komponen berkenaan perlu dihasilkan oleh vendor tempatan di Malaysia untuk model EV pertamanya nanti.

    Zainal turut menyatakan proses pembangaunan vendor untuk model EV berkenaan akan bermula tahun ini, namun bila model EV pertama tersebut akan dilancarkan belum dimuktamadkan kerana setelah vendor-vendor itu mempunyai kebolehan dan kapasiti, barulah produk tersebut boleh dirancang.

    Ketika ditanya antara tiga komponen berkenaan, yang mana menjadi keutamaan Perodua untuk dihasilkan oleh vendor tempatan, Zainal menyatakan bahawa pihaknya lebih berharap agar ada vendor tempatan yang sanggup untuk menghasilkan bateri terlebih dahulu di Malaysia.

    Model EV pertama Perodua – komponen utama perlu dibuat di Malaysia, vendor akan dibangunkan

    Ini kerana untuk model EV pertama Perodua kelak, ia bekemungkinan besar adalah model yang diubah dari versi petrol untuk ditransformasikan kepada sebuah EV, dan ini adalah lebih mencabar untuk mencari ruang di mana bateri boleh diletakkan pada platform tersebut.

    Jadi sekiranya vendor untuk bateri tersebut berada di Malaysia, proses pembangunan untuk bateri berkenaan akan menjadi lebih mudah.

    Untuk satu lagi jenama nasional iaitu Proton, model EV pertamanya dijangka akan muncul pada 2027, di mana pasukan juruteranya telah mula dihantar ke China bagi mempelajari pelbagai aspek berkenaan EV termasuk R&D, jualan, servis selepas jualan dan sebagainya, dan syarikat itu juga sedang mengenalpasti teknologi EV yang mampu milik dan mudah diselenggara, sesuai dengan pasaran Malaysia.

    Mungkin kedua-dua jenama ini akan hadir dengan model EV pertama masing-masing dalam tempoh masa yang hampir sama?

     
     
  • Rancangan 10-tahun Proton-Geely di landasan betul – sasar tempat pertama di M’sia, tiga teratas di ASEAN

    Rancangan 10-tahun Proton-Geely di landasan betul – sasar tempat pertama di M’sia, tiga teratas di ASEAN

    Rancangan 10-tahun Proton dan Geely kini sudah memasuki separuh daripada perjalanannya dan menurut syarikat itu, segalanya berada di landasan yang betul. Perkara ini diberitahu bersama pembentangan hala tuju syarikat di Kuala Lumpur semalam.

    Bagi separuh pertama rancangan ini, iaitu dari tahun 2018 hingga 2022, Proton berjaya mencatat beberapa pencapaian besar antaranya kembali menghasilkan keuntungan serta mencatat jualan tahunan melebihi 100,000.

    Turut dianggap penting adalah beberapa langkah lain seperti peningkatan kepada model PIES (Persona, Iriz, Exora dan Saga), penawaran teknologi canggih pada X70, pemasangan tempatan X70 serta naik taraf kepada kilang di Tanjung Malim.

    Rancangan 10-tahun Proton-Geely di landasan betul – sasar tempat pertama di M’sia, tiga teratas di ASEAN

    Bergerak ke hadapan bagi rancangan tahun 2022-2027, Proton meletakkan sasaran untuk menjadi pendahulu dalam pasaran Malaysia dan sekurang-kurangnya berada di tempat ketiga teratas dalam ASEAN.

    Untuk itu, syarikat akan terus kompetitif dalam segmen yang besar dan mampu milik, melancarkan model baru dengan teknologi canggih, menyertai solusi tenaga baru, perletakan penggerak baru pada model kenderaan Proton, serta memasukkan program pembangunan tempatan yang bergerak selari dengan hala tuju teknologi Geely.

     
     
  • Op Selamat 19 sempena TBC catat 15,999 kes kemalangan, naik 41%; 160,375 saman dikeluarkan

    Op Selamat 19 sempena TBC catat 15,999 kes kemalangan, naik 41%; 160,375 saman dikeluarkan

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sejumlah 15,999 kes kemalangan jalan raya sepanjang Op Selamat 19 yang dilaksanakan sempena Tahun Baharu Cina (TBC), sekaligus menunjukkan peningkatan sebanyak 41% berbanding 11,325 kes pada tahun 2022.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain, kes kemalangan meningkat sebanyak 4,674 kes dengan 121 kemalangan maut direkodkan dalam tempoh sama dengan melibatkan sebanyak 134 kematian berbanding 119 kematian pada tahun lalu laporan Harian Metro.

    “Penunggang dan pembonceng motosikal kekal angka korban tertinggi iaitu 81 kematian sepanjang Op Selamat 19. Bagaimanapun, tiada kemalangan maut membabitkan 30 lokasi panas di Lebuhraya Utara-Selatan selain 234 ‘blackspot’ dikenal pasti di jalan raya seluruh negara,” katanya pada Majlis Penutup Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina 2023 semalam.

    Tambah beliau, untuk tempoh operasi yang sama, sebanyak 160,375 saman dikeluarkan di seluruh negara. Katanya, “Jumlah ini menurun berbanding tahun lalu iaitu 308,726 saman. Saman yang dikeluarkan adalah bersifat mendidik dengan memberi fokus enam kesalahan utama.”

    Dalam majlis sama, Kontinjen Kuala Lumpur menerima Anugerah Kontinjen Terbaik, manakala Daerah Terbaik dimenangi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bharu Selatan.

     
     
  • Model hibrid sebenar dari Perodua – bukan Ativa, mungkin Bezza G2 atau Myvi G4, muncul 2024?

    Model hibrid sebenar dari Perodua – bukan Ativa, mungkin Bezza G2 atau Myvi G4, muncul 2024?

    Tahun lalu Perodua telah melancarkan Ativa Hybrid – seperti yang diketahui, ‘Ativa’ berkenaan sebenarnya Daihatsu Rocky hybrid yang diimport sepenuhnya dari Jepun dan ditampal dengan logo Perodua, serta ianya hanya dibawa sebanyak 300 unit, kesemuanya tidak dijual tetapi hanya ditawarkan dalam pakej langganan di mana pelanggan perlu memulangkannya semula kepada Perodua selepas lima-tahun.

    Untuk model hibrid sebenar dari Perodua, satu laporan yang pernah dikeluarkan oleh RHB Investment Bank sebelum ini menyatakan ia akan muncul pada tahun 2024. Dan pada majlis perkongsian halatuju Perodua 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam, Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad ada berkongsi hint berkenaan model tersebut.

    Menurut Zainal, model hibrid sebenar dari Perodua nanti bukanlah dari model-model generasi sedia ada, tetapi ia akan hadir sebagai varian untuk model baharu sepenuhnya (Full Model Change/FMC). Jadi jelas, model hibrid pertama dari Perodua kelak bukanlah Ativa Hybrid.

    Jadi ‘calon’ untuk model pertama hibrid Perodua berkenaan boleh dijangka antara dua model iaitu Bezza generasi kedua atau Myvi generasi keempat.

    Model hibrid sebenar dari Perodua – bukan Ativa, mungkin Bezza G2 atau Myvi G4, muncul 2024?

    Baru-baru ini ada laporan menyatakan bahawa sedan Perodua Bezza generasi kedua mungkin akan dilancarkan pada tahun ini, dan ia mungkin dilihat logik memandangkan Bezza sedia ada sudah berada enam tahun dalam pasaran dan telah diberikan satu fasa facelift.

    Namun perkara ini disangkal sendiri oleh Zainal semalam dengan menyatakan kemampuan Perodua kekal hanya boleh melancarkan satu model FMC dan dua model facelift (Minor Change/MC) setiap tahun, dan Perodua Axia generasi kedua sudah pun disahkan akan dilancarkan tahun ini selepas tempahannya secara rasmi telah dibuka.

    Dengan itu, model generasi baharu untuk Bezza ini dijangka akan dilancarkan tahun hadapan, sekali dengan varian hibrid.

    Tetapi ada kemungkinan juga model hibrid berkenaan akan diperkenalkan dahulu pada Myvi generasi keempat. Myvi untuk generasi ketiga sedia ada mula dilancarkan 2017, kemudian diberikan facelift pada 2021. Jadi tahun hadapan Myvi G3 sudahpun berusia enam tahun dalam produksi, dan cukup masa untuk digantikan dengan model generasi keempat.

    Model hibrid sebenar dari Perodua – bukan Ativa, mungkin Bezza G2 atau Myvi G4, muncul 2024?

    Buat masa sekarang, program langganan yang dijalankan pada Ativa Hybrid adalah untuk kajian dan penilaian pemanduan pemilik-pemilik yang berminat dengan teknologi hibrid di Malaysia, dan ia akan digunakan untuk penambahbaikkan oleh Perodua untuk model hibrid sebenar mereka nanti.

    Model-model baharu dari Perodua selepas ini akan terus menggunakan platform modular Daihatsu New Global Architecture (DNGA), iaitu platform yang telah diguna pada Ativa dan Alza 2022, serta Axia D74A yang akan dilancarkan bulan ini. Jadi tidak mustahil Perodua turut akan menggunakan unit rangkaian kuasa e:Smart Hybrid sama seperti Ativa/Rocky Hybrid untuk model hibrid pertamanya kelak.

    Sistem e:Smart Hybrid tersebut adalah berlainan dari sistem-sistem hibrid biasa yang ditawarkan dalam pasaran khususnya di Malaysia. Ia diberikan enjin petrol WA-VEX 1.2 liter tiga-silinder kitaran Atkinson yang menghasilkan kuasa 82 PS dan tork maksima 105 Nm.

    Namun enjin berkenaan langsung tidak memacu roda SUV tersebut kerana ia bertugas semata-mata sebagai enjin penambah jarak (range extender) yang berfungsi hanya untuk mengecas bateri lithium-ion. Sementara roda hadapan dipacu sepenuhnya oleh motor elektrik berkuasa 106 PS dan tork maksima 170 Nm seperti kereta elektrik sebenar.

     
     
  • Malaguti Spectre GP125 sedia masuk pasaran Eropah

    Malaguti Spectre GP125 sedia masuk pasaran Eropah

    Sementara kita yang berada di Asia sudah biasa dengan motosikal kapcai yang menjadi pilihan ramai untuk kegunaan harian, pasaran Eropah pula adalah sebaliknya. Meskipun masih ada motosikal kapasiti rendah di sana, kebanyakannya adalah berbentuk skuter atau yang mempunyai tangki di atas, sementara kapcai (tangki di bawah tempat duduk) masih lagi asing.

    Kini, pengeluar dari Itali, Malaguti bersedia untuk memperkenalkan sebuah kapcai baru untuk pasaran benua itu. Ia dipanggil sebagai Spectre GP125 dan bagi kita ia mungkin nampak familiar kerana mempunyai ciri rekaan seperti Yamaha 135LC, Y15ZR dan Honda RS150.

    Spectre GP125 digerakkan oleh enjin empat strok satu silinder 125 cc dengan sistem penyejukan udara dan suntikan bahan api elektronik, digabungkan bersama transmisi lima kelajuan dengan klac tangan, mampu menghasilkan kuasa sehingga 9.7 hp pada 8,500 rpm dan tork 9.6 Nm pada 6,500 rpm.

    Penampilan Spectre GP125 nampak tegap dengan rim 17 inci yang dibalut tayar tebal 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, bersama cakera brek hadapan yang besar serta angkup dua piston. Brek belakang juga menggunakan tetapan cakera, dan motosikal ini dilihat mempunyai klac tangan di sebelah kiri pemegang.

    Kelengkapan lain Spectre GP125 adalah biasa sahaja dengan fork teleskopik di hadapan, monoshock di belakang serta meter gabungan analog dan LCD digital. Tangki bahan api berkapasiti lima liter dan berat keseluruhannya adalah 123 kg.

    Di dalam laman web Malaguti, harga Spectre GP125 masih belum didedahkan tetapi motociclismo.it ada melaporkan bahawa ia akan dijual pada harga 2,499 euro, bersamaan RM11,544.

     
     
  • CEO Perodua sahkan Bezza generasi baharu tidak akan dilancarkan tahun ini, hanya Axia D74A

    CEO Perodua sahkan Bezza generasi baharu tidak akan dilancarkan tahun ini, hanya Axia D74A

    Baru-baru ini ada laporan menyatakan bahawa Perodua bakal melancarkan sedan baharu tahun ini, iaitu model gantian untuk Bezza sedia ada. Laporan berkenaan adalah berdasarkan penyelidikan yang dibuat oleh penganalisis RHB Investment Bank, Jim Lim Khai Xhiang.

    Walau bagaimanapun apa yang dinyatakan oleh Jim Lim berkenaan disangkal oleh kenyataan Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dalam majlis perkongsian halatuju Perodua 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur pagi tadi.

    Ketika ditanya adakah Perodua masih mempunyai keupayaan untuk memperkenalkan satu model baharu sepenuhnya (Full Model Change/FMC) dan dua model facelift (Minor Change/MC) setiap tahun, Zainal mengesahkan bahawa syarikatnya hanya mempunyai keupayaan sedemikian untuk tahun ini.

    CEO Perodua sahkan Bezza generasi baharu tidak akan dilancarkan tahun ini, hanya Axia D74A

    “Masih lagi terpakai. Kemampuan kami buat masa sekarang adalah satu model FMC dan dua model MC (setiap tahun). Disebabkan Covid-19 – 2019, 2020, 2021 – ia telah terganggu. Tahun lalu merupakan tahun pemulihan kami, tahun ini kami akan kembali ke tahap sebelum-pandemik dari segi kapasiti,” katanya.

    Jadi ini bermaksud satu-satunya model generasi baharu yang akan dilancarkan oleh Perodua tahun ini adalah hatchback segmen-A Perodua Axia 2023 (D74A), di mana tempahannya sudah pun dibuka secara rasmi pagi ini. Namun disebabkan Bezza merupakan versi sedan dari Axia, mungkin model generasi baharu Bezza akan dilancarkan tahun hadapan.

     
     
  • Perodua Axia 2023 lebih mahal sebab besar, canggih

    Perodua Axia 2023 lebih mahal sebab besar, canggih

    Perodua hari ini mula mengambil tempahan bagi model serba baru Axia D74A 2023, yang ditawarkan dalam empat varian. Selain perincian awal berkaitan spesifikasinya, Perodua juga mengumumkan harga anggaran bagi model kompak berkenaan.

    Bermula dengan varian G pada harga anggaran RM38,600 atas jalan tidak termasuk insuran, ia diikuti oleh varian X pada harga anggaran RM40,000, SE dengan harga RM44,000 dan varian paling tinggi AV dengan RM49,500. Semua varian menggunakan enjin 1.0 liter yang digandingkan dengan D-CVT, menggantikan kotak gear automatik empat-kelajuan sebelum ini.

    Berbanding dengan model semasa, Axia serba baru ini lebih mahal harganya. Sebagai contoh, model sebelum ini yang diberikan facelift pada 2019 ditawarkan dalam enam varian dengan harga seperti berikut: varian “sekolah memandu” 1.0 E MT (RM24,090); 1.0 G AT (RM33,490); 1.0 GXtra AT (RM34,990); 1.0 Style AT (RM38,890); 1.0 SE AT (RM38,890) dan yang paling tinggi AV (RM43,190).

    Perodua Axia 2023 lebih mahal sebab besar, canggih

    Menurut Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, peningkatan harga bagi Axia serba baru 2023 itu adalah disebabkan ia sebuah kereta yang lebih besar dan lengkap dengan ciri yang lebih maju berbanding model yang bakal digantikannya itu.

    “Dari segi harga, Axia baru ini memang libatkan sedikit kenaikan. Ini kerana ciri yang ada juga berbeza. Sebelum ini, Axia adalah model asas dan tiada ASA bahkan. Model barunya bagaimanapun datang dengan enam beg udara, termasuk bahagian tingkap. Keselamatan sangat penting. Kami ingin pastikan seiring dengan perkembangan, kami sertakan sekali ciri keselamatan maju dalam barisan penawaran Axia,” ujarnya.

    “Jadi, dengan peningkatan penawaran spesifikasi, peningkatan aspek keselamatan, maka harganya juga akan berbeza. Kami naikkan harga bukan kerana inflasi atau kos material, sebaliknya kerana kelengkapan tambahan yang diberikan untuk Axia 2023 ini,” tambah Zainal.

    Perodua Axia 2023 lebih mahal sebab besar, canggih

    Jika dilihat julat harga Axia sedia ada (RM24k hingga RM39k), bezanya agak ketara kerana model varian paling rendah ketika itu adalah versi manual, dan ia tidak akan diperkenalkan ketika pelancaran model Axia terbaru 2023 nanti. Ia bagaimanapun akan ditambah ke dalam barisan penawaran Perodua kelak.

    Jika dibandingkan varian G, atau lebih tepat GXtra yang dulu, beza harganya tidaklah terlalu ketara, melibatkan RM3,610. Hanya GXtra ke atas hadir dengan ciri Vehicle Stability Control (VSC) dan kawalan cengkaman, tetapi Axia baru ini akan lengkap dengan VSC, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki sebagai ciri standard untuk semua varian.

    Maklumat lanjut tentang penawaran Axia 2023 ini akan kita ketahui sebaik sahaja ia dilancarkan nanti, yang dijangka akan diadakan pada Februari 2023.

     
     
  • Perodua akan perkenal imej standard baharu untuk bilik pameran dan pusat servis rasminya tahun ini

    Perodua akan perkenal imej standard baharu untuk bilik pameran dan pusat servis  rasminya tahun ini

    Perodua telah mencatatkan prestasi terbaiknya tahun lalu dengan jumlah jualan dan juga pengeluaran paling tinggi dalam sejarah pernah dicatatkan. Jadi untuk meneruskan momentum berkenaan, dalam majlis perkongsian halatuju Perodua 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur pagi tadi, syarikat tersebut turut berkongsi pelbagai strategi baharu untuk tahun ini dan ia turut melibatkan penukaran imej korporat pada pusat-pusat 3S dan 4Snya diseluruh negara.

    Dalam pembentangan yang dibuat oleh Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, outlet-outlet Perodua bakal menerapkan Standard Outlet Baharu (NOS) bermula tahun ini yang akan menampilkan fasiliti bilik pameran dan pusat servis yang ‘ringkas dan kompak’.

    Bayangan imej baharu berkenaan turut didedahkan pada slaid pembentangan tersebut menyaksikan outlet-outlet berkenaan akan menerima rekaan fakad (muka bangunan) dan pilon baharu, serta tempat parkir yang lebih banyak akan disediakan untuk pelanggan.

    Dan perincian utama untuk NOS 2023 ini adalah setiap bangunan pusat 3S atau 4S berkenaan akan hanya menampilkan satu pintu utama dan juga kaunter penyambut tetamu yang dikongsi untuk bahagian jualan dan juga servis selepas jualan.

    Perodua akan perkenal imej standard baharu untuk bilik pameran dan pusat servis  rasminya tahun ini

    Menurut Zainal, langkah ini dibuat bagi menunjukkan sesebuah outlet 3S dan 4S itu beroperasi sebagai satu entiti bagi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.

    “Ini bermaksud pelanggan boleh merujuk kepada pengurus yang sama untuk rujukan pemantauan mereka,” kata Zainal dan menambah bahawa NOS baharu ini juga akan menyaksikan ruang menunggu untuk pelanggan yang berurusan untuk membeli kereta baharu dan juga yang menghantar kereta mereka untuk diservis turut akan disatukan.

    Pendekatan ini amat jarang digunakan pada outlet-outlet 3S dan 4S tak kira apa jua jenama di Malaysia, dan ia biasanya akan menyebabkan pelanggan “ditendang” antara bahagian jualan dan juga servis selepas jualan sekiranya berlaku masalah berkaitan kereta mereka. Mungkin selepas ini apa yang dibuat oleh Perodua ini boleh dicontohi oleh pengeluar-pengeluar lain?