Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Range Rover 2023 tiba di Malaysia – enjin V8 4.4L dengan kuasa sehingga 523 hp, dari RM2.488 juta

    Range Rover 2023 tiba di Malaysia – enjin V8 4.4L dengan kuasa sehingga 523 hp, dari RM2.488 juta

    Jaguar Land Rover Malaysia hari ini melancarkan Range Rover serba baru, yang tiba dalam versi Standard Wheelbase dan enjin V8. Model generasi kelima ini – menggunakan nama kod L460 – pertama kali ditunjuk kepada dunia pada Oktober 2021, dan menggantikan model L405 generasi keempat yang sudah berada di pasaran sejak tahun 2012.

    Dibina atas platform Flexible Modular Longitudinal Architecture (MLA-Flex), Range Rover baru ini mempunyai ketegaran torsional 50% lebih kuat berbanding model sebelumnya, dengan ketegaran statik 30,000 Nm setiap darjah. Casis baru ini juga menampilkan bulkhead hadapan besi dengan susunan bahagian tertutup yang mengurangkan tahap kebisingan transmisi serta gegaran frekuensi rendah dari jalan ke dalam kabin sehingga 24%.

    Dalam versi SWB ini, Range Rover baru mencatat jarak roda 2,997 mm, dengan panjang 5,052 mm, lebar 2,047 mm dan tinggi 1,870 mm. Model L405 adalah lebih kecil dengan catatan panjang 4,999 mm, lebar 1,984 mm, tinggi 1,835 mm dan jarak roda 2,922 mm.

    Berkenaan penggayaan, model generasi kelima ini tidak melibatkan perubahan yang radikal dan masih lagi mengekalkan identitinya. Antara yang baru adalah lampu belakang menegak yang seakan tersembunyi dan hanya akan terlihat jelas apabila menyala, serta kemasan hitam di tengah yang turut menempatkan lampu penunjuk arah di bahagian tepinya. Satu lagi yang unik adalah antena berbentuk sirip berkembar.

    Pada bahagian hadapan, terdapat lampu utama Digital LED baru serta lampu DRL yang diperkemas semula, yang mengapit gril dengan kemasan baru di bahagian tengah. Pintu pula menggunakan pembuka yang sama rata dengan badan dan mempunyai kemasan yang lebih ringkas (hadapan).

    Bahagian dalam juga menggunakan rekaan yang lebih ringkas, sebagai contoh corong pendingin hawa yang kelihatan bersepadu dengan kemasan berjalur melintang di sepanjang papan pemuka. Di hadapan pemandu terdapat skrin Interactive Driver Display 13.7 inci.

    Jika sebelum ini model L405 menggunakan tetapan dua skrin di tengah, model baru ini pula mendapat satu skrin sesentuh melengkung 13.1 inci yang diletakkan seakan terapung. Ia disambung kepada sistem infotainmen Pivi Pro dan di bawahnya terdapat panel kawalan khas untuk sistem pendingin hawa.

    Pada konsol tengah pula terdapat tombol gear pendek, butang pemula enjin, tombol kawalan suara media dan butang kawalan Terrain Response untuk mod offroad. Dalam versi SWB, Range Rover baru ini datang dengan tetapan lima tempat duduk, dengan bahagian belakang boleh disandarkan sehingga 12 darjah dan diberikan dengan fungsi pemanas dan penyejuk.

    Range Rover 2023 tiba di Malaysia – enjin V8 4.4L dengan kuasa sehingga 523 hp, dari RM2.488 juta

    JLRM telah mengesahkan bahawa Range Rover baru ini akan ditawarkan dengan pakej kuasa P530, yang menggabungkan enjin petrol V8 turbo 4.4 liter berkuasa 530 PS (523 hp atau 390 kW) dan tork 750 Nm, bersama transmisi automatik lapan kelajuan ZF dan sistem pacuan semua roda, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat dan mencecah kelajuan maksimum 250 km/j.

    Penyerap udara diberikan standard pada model ini, dan ia disambungkan kepada tetapan suspensi double wishbone di hadapan dan five-link di belakang. Model L460 ini juga menjadi Range Rover pertama yang mendapat sistem rear-wheel steering yang membolehkan roda belakang membelok sehingga 7.3 darjah pada kelajuan bawah 50 km/j dan mengurangkan radius pusingan kepada 10.95 meter.

    Sekiranya anda bercadang membawa Range Rover baru ini meredah offroad, ia sentiasa bersedia dengan menyediakan jarak dari tanah 295 mm, sudut bampar hadapan 34.7 darjah, sudut bampar belakang 29 darjah dan breakover angle 27.7 darjah. Perincian penting lain adalah seperti kemampuan meredah air sehingga 900 mm, sudut condong 45 darjah, kapasiti menarik 3,500 kg dan kemampuan membawa beban di bumbung 100 kg.

    Untuk pasaran Malaysia, SUV ini datang dengan spesifikasi HSE (High Specification Equipment), yang memberikan Interactive Driver Display 13.7 inci, sementara sistem infotainmen Pivi Pro disambung kepada skrin sesentuh tengah 13.1 inci serta sistem bunyi Meridian dengan amplifier 1,600 watt.

    Kelengkapan lain yang diberikan adalah termasuk rim 22 inci, balutan tempat duduk kulit semi-aniline, kawalan pendingin hawa tiga zon, lampu suasana 30 warna, differential aktif boleh kunci secara elektronik, head-up display serta tempat duduk hadapan kawalan kuasa dengan liang udara dan fungsi pemanas.

    Turut disediakan adalah Active Noise Cancellation yang menggunakan sensor untuk mengesan tahap gegaran tayar, bunyi tayar serta bunyi enjin yang memasuki kabin, seterusnya mengeluarkan bunyi yang berlawanan (untuk menjadikan lebih senyap) melalui sistem audio. Sistem keselamatan aktif yang ada pada model ini adalah termasuk Autonomous Emergency Braking, Lane Keep Assist, Adaptive Cruise Control dengan Steering Assist, Driver Attention Warning, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Assisted Parking dan Traffic Sign Recognition.

    Sudah tentu, dengan status mewah ini, Range Rover baru menawarkan pelbagai ubah suai khas untuk pelanggan, termasuk pakej hiburan tempat duduk belakang, balutan tempat duduk, kemasan serta warna badan. Rim juga boleh dipilih sehingga saiz 23 inci – paling besar untuk untuk Range Rover.

    Harga yang ditetapkan untuk Range Rover 2023 adalah RM1.268 juta, tidak termasuk pilihan tambahan dan duti. Apabila dikira sekali dengan duti, harganya boleh mencecah RM2.488 juta tidak termasuk insurans. Setiap pembelian datang dengan jaminan serta servis percuma lima tahun, dan bantuan tepi jalan selama tiga tahun.

     
     
  • Toyota Agya 2023 kembar Perodua Axia D74A didedahkan di Indonesia – ada varian GR Sport!

    Toyota Agya 2023 kembar Perodua Axia D74A didedahkan di Indonesia – ada varian GR Sport!

    Selepas Perodua mendedahkan Axia 2023 (dikenali dengan kod D74A) minggu lalu, salah satu kembarnya di Indonesia iaitu Toyota Agya telah pun diperkenalkan secara rasmi hari ini di negara berkenaan. Model ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Agya standard (mungkin akan dikenali sebagai Agya G) dan juga versi lebih sporty iaitu Agya GR Sport.

    Walaupun pendedahan ini digelar sebagai “World Premier”, Toyota Astra Motor (TAM) iaitu pengedar Toyota di Indonesia masih belum menyiarkan sebarang spesifikasi dan juga harga untuk hatchback ini. Hanya rupanya sahaja didedahkan dan beberapa maklumat yang tidak terperinci.

    Sama seperti Axia, Agya diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), yang bukan sahaja bakal memberikan prestasi pemanduan dan juga keselesaan lebih baik, malah menampilkan saiz yang lebih besar dari sebelum ini.

    Malah menurut Ketua Jurutera Eksekutif Agya 2023, Toshihiro Nakaho, saiz hatchback segmen-A ini menampilkan panjang badan yang sama seperti beberapa model segmen-B dalam pasaran. Walau bagaimanapun, spesifikasi dimensi sebenar model ini masih belum disebutkan secara rasmi sama ada oleh Toyota mahupun Perodua.

    Toyota Agya 2023 kembar Perodua Axia D74A didedahkan di Indonesia – ada varian GR Sport!

    Dari segi rupa, seperti biasa Toyota akan memberikan muka tersendiri pada Agya. Kluster lampu Agya nampaknya lebih nipis dari Axia, serta menampilkan jalur LED lampu panduan dengan kedudukan kontra – Agya di atas, dan Axia pula di bawah.

    Gril untuk Agya biasa direka seakan gril Toyota Yaris pasaran Jepun. Pada bahagian ‘pipi’ bampar berkenaan diberikan lekuk seakan liang ambilan udara, dan apa yang menarik ia turut disertakan dengan lampu nyalaan siang yang disusun menegak seakan diambil terus dari Perodua Myvi facelift.

    Bagi model GR Sport, bamparnya direka seakan mengambil inspirasi dari hot-hatch GR Yaris, dengan apron agesif menampilkan liang udara sisi bersegi dan besar, bersama rekaan spoiler pada bahagian bawah. Logo GR ditampal pada bar tengah yang memisahkan gril atas dan juga bawah.

    Agya GR Sport juga menerima skirt sisi, spoiler belakang lebih besar berwarna hitam, bumbung berwarna hitam dan juga serlahan-serlahan hitam berkilat pada cermin sisi dan juga gril hadapan bagi memberikan rupa yang lebih garang.

    Toyota Agya 2023 kembar Perodua Axia D74A didedahkan di Indonesia – ada varian GR Sport!

    Bahagian sisi Agya ini menampilkan bayang badan dan juga garis-garis sisi yang sama seperti Axia D74A. Model standard menerima rim kemasan perak yang mungkin bersaiz 14-inci seperti Axia, manakala model GR Sport diberikan rim aloi lebih besar lima-jejari berkembar dua-tona yang dibalut dengan tayar profil lebih rendah.

    Pada sebelah belakang, Agya dan Axia dilihat menampilkan rupa yang hampir sama seluruhnya, dibezakan hanya dengan logo-logo jenama masing-masing.

    Pada bahagian dalaman, Agya turut berkongsi papan pemuka yang sama dengan Axia, dibezakan dengan beberapa perincian kecil termasuk panel kawalan pendingin hawa. Panel pada Agya ini tampil dengan rekaan berbeza, serta tidak diberikan dua slot memori seperti Axia.

    Nampaknya Agya pasaran Indonesia ini juga tidak menerima paparan instrumen digital penuh seperti Axia, tetapi hanya diberikan meter kelajuan analog di tengah bersama bersama skrin pelbagai info TFT pada sebelah kanan. Untuk Axia, model tertinggi AV hadir dengan skrin instrumen TFT 7-inci yang nampak sama seperti pada Ativa dan Alza.

    Toyota Agya 2023 kembar Perodua Axia D74A didedahkan di Indonesia – ada varian GR Sport!

    Walau bagaimanapun, gambar papan pemuka yang disiarkan ini mungkin untuk model varian biasa Agya, dan paparan instrumen digital penuh mungkin ditawarkan pada Agya GR Sport. Ini kerana tiada sebarang kemasan yang sporty ditunjukkan seperti lazimnya Agya GR Sport terdahulu.

    Apa yang dapat dilihat lagi, skrin infotainmen yang berdiri sendiri di tengah papan pemuka juga menunjukkan Agya turut diberikan sokongan Apple CarPlay. Juga, Agya nampaknya turut diberikan pedal penukar gear di belakang roda stereng.

    Untuk unit rangkaian kuasa, Nakaho-san ada menyebut bahawa Agya generasi baharu ini diberikan ‘enjin baharu’ yang dipadankan dengan kotak gear CVT baharu. Bagi model generasi sebelumnya, Agya dijana oleh enjin 1.2 liter empat silinder 3NR-VE berkuasa 88 PS dan tork maksima 108 Nm, digandingkan dengan pilihan kotak gear empat kelajuan automatik atau lima-kelajuan manual.

    ‘Enjin baharu’ yang dimaksudkan Nakaho-san berkenaan berkemungkinan adalah enjin generasi baharu WA-VE 1.2L tiga-silinder yang kini digunakan varian lebih rendah kembar Perodua Ativa di Indonesia iaitu Daihatsu Rocky dan Toyota Raize.

    Enjin berkenaan masih lagi menghasilkan 88 PS, namun tork yang dihasilkan sedikit tinggi iaitu 112 Nm. Manakala untuk transmisi, Agya mungkin menerima kotak gear D-CVT seperti Axia 2023 dan masih ditawarkan dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan.

    Dalam pendedahan yang dibuat ini, Nakaho-san turut ada menyatakan bahawa Agya GR Sport turut menerima talaan semula pada sistem stereng dan juga suspensi untuk memberikan pemanduan yang lebih sporty.

    Esok, 14 Februari, Axia 2023 akan dilancarkan di Malaysia secara rasmi, dan beberapa perincian lain seperti saiznya akan didedahkan. Manakala untuk satu lagi kembar hatchback segmen-A ini iaitu Daihatsu Ayla generasi baharu dikhabarkan akan dilancarkan pada lusa, 15 Februari 2023, dan selepas itu mungkin perincian penuh untuk Agya 2023 ini akan didedahkan sepenuhnya.

     
     
  • Toyota Grand Highlander masuk pasaran AS – kuasa hingga 362 hp, 542 Nm daripada enjin hibrid 3.5L

    Toyota Grand Highlander masuk pasaran AS – kuasa hingga 362 hp, 542 Nm daripada enjin hibrid 3.5L

    Toyota Grand Highlander masuk pasaran AS – kuasa hingga 362 hp, 542 Nm daripada enjin hibrid 3.5L

    Toyota telah memperkenalkan sebuah SUV besar baru untuk pasaran Amerika Syarikat, dipanggil sebagai Grand Highlander, dan diletakkan atas daripada model Highlander dan Sequoia di pasaran negara tersebut. Dibina atas platform TNGA-K, Grand Highlander disediakan dalam pilihan tiga enjin iaitu empat silinder petrol turbo 2.4 liter (FWD dan AWD), petrol hibrid 2.5 liter (FWD dan AWD), dan Hybrid Max 3.5 liter (AWD).

    Enjin 2.4 liter yang digunakan pada Grand Highlander ini juga ada digunakan pada model Lexus, seperti NX 350, di mana ia menghasilkan kuasa 275 hp dan tork 430 Nm. Model Hybrid Max 3.5 liter yang diletakkan sebagai varian paling tinggi pula mampu menghasilkan 362 hp dan 542 Nm, membolehkan ia memecut 0-60 bsj (0-96 km/j) dalam masa 6.3 saat dan kapasiti menarik beban 2,272 kg.

    Bergantung kepada varian, tempat duduk Grand Highlander boleh dipilih dengan sama ada tujuh tempat duduk atau lapan tempat duduk, dan baris kedua boleh menempatkan tempat duduk jenis kapten (berasingan) atau bersambung.

    Pada bahagian keselamatan, varian paling asas sudah dilengkapi dengan pakej Toyota Safety Sense (TSS) 3.0, yang memberikan Pre-collision System dengan pengesan pejalan kaki, Lane Departure Alert dengan bantuan stereng, Full-Speed Range Dynamic Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist, Road Sign Assist, Automatic High Beams dan Proactive Driving Assist. Pergi kepada varian paling tinggi, ia kemudiannya ditambah lagi dengan Traffic Jam Assist dan Front Cross-Traffic Alert.

    Kelengkapan lain yang boleh didapati pada Grand Highlader ini adalah seperti tempat duduk dengan liang udara dan fungsi pemanas, lampu suasana, bumbung panoramik, pedal penukar gear di stereng, pengesan jarak dengan fungsi membrek, unit multimedia 12.3 inci dengan sistem audio 11 pembesar suara JBL, pintu but boleh dibuka dengan pengesan dan panel instrumen digital penuh di hadapan pemandu.

     
     
  • Kelemahan keselamatan aplikasi MyJPJ berjaya diatasi sebelum ia dilancarkan – Menteri Komunikasi & Digital

    Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengesahkan kelemahan keselamatan yang dikesan dalam aplikasi MyJPJ berjaya diatasi sebelum dilancarkan pada 10 Februari lalu. Jelas beliau, CyberSecurity Malaysia (CSM) sudah mengenal pasti kelemahan itu semasa proses pembangunan aplikasi itu, laporan Bernama.

    “Pihak CSM sudah melakukan saringan dan siasatan terhadap aplikasi MyJPJ, kita sudah kenal pasti satu kelemahan yang tidak terlalu besar dan ia (kelemahan itu) telah dimaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan.

    “Saya tiada maklumat terperinci, tetapi sebelum digunakan secara meluas ia sudah dikesan. Saya sendiri berhubung dengan Menteri Pengangkutan (Anthony Loke Siew Fook) dan perkara itu telah diselesaikan,” katanya bagi menjawab kegusaran yang disuarakan pengguna mengenai keselamatan data peribadi dan aplikasi MyJPJ.

    Kelemahan keselamatan aplikasi MyJPJ berjaya diatasi sebelum ia dilancarkan – Menteri Komunikasi & Digital

    Sejak Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian dilaksanakan bermula 10 Feb lalu, orang ramai mula memuat turun aplikasi MyJPJ untuk mendapatkan mod paparan cukai jalan dan lesen memandu.

    Walau bagaimana pun, banyak rungutan diterima dari orang ramai yang menyatakan sukar untuk mendaftar aplikasi berkenaan termasuk kesukaran mendapatkan TAC dan sebagainya. Namun Loke berkata, orang ramai tidak diwajibkan untuk memuat turun aplikasi berkenaan kerana ia adalah salah satu opsyen sahaja untuk mendapat salinan digital untuk road tax dan lesen memandu sahaja.

    “Orang ramai tidak akan disaman hanya kerana tidak dapat menunjukkan mod paparan digital cukai jalan dan lesen memandu. Ini kerana pihak penguatkuasa boleh mengesahkan status cukai jalan dan lesen memandu melalui sistem dalam peranti penguatkuasaan,” kata Loke.

     
     
  • Versi produksi Mitsubishi XFC Concept dilihat diuji di Indonesia – ini ASX generasi baru untuk ASEAN?

    Oktober tahun lalu Mitsubishi telah mendedahkan model konsep SUV kompak yang digelar sebagai XFC Concept ketika berlangsungnya Vietnam Motor Show (VMS) 2022. Ia bukan sekadar model konsep kerana XFC bakal dijelmakan sebagai model produksi seperti Mitsubishi XM Concept yang hadir dalam pasaran sebagai Misubishi Xpander.

    Versi produksi untuk XFC berkenaan sebelum ini telah pun diumumkan bakal masuk kepasaran ASEAN pada tahun ini dan bakal di bawa ke VMS 2023. Dan ini dia, prototaip untuk model produksi tersebut telah pun dilihat diuji di lebuhraya awam di Indonesia!

    Kelibat unit prototaip berkenaan dirakam dan dimuatnaik oleh pemilik saluran Youtube Sigimedianet Pictures. Dapat dilihat sepanjang ujian itu dibuat di atas lebuhraya, prototaip berkenaan sentiasa diapit oleh dua buah Mitsubishi Xpander berwarna hitam yang masing-masing berada di hadapan dan belakang.

    Seperti juga XM Concept dan Xpander, kebanyakkan perincian dari XFC Concept ini nampaknya diterapkan pada model produksi sebenar. Anda boleh lihat pada bahagian muka, ia masih menerima gril hadapan berbentuk trapezoid dengan elemen sarang lebah, serta lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk-L. Jalur LED sebelah bawah DRL pada XFC mungkin akan dijadikan lampu utama pada versi produksi ini seperti pada Xpander.

    Rekaan skid plate pada sebelah bawah bampar XFC juga diberikan pada versi produksi, cuma ia bersaiz lebih kecil dan tiada jalur LED disekeliing sepasang liang berbentuk segi enam berkenaan.

    Segala perincian sebelah sisi XFC juga dilihat dijelmakan hampir sepenuhnya pada prototaip produksi sebenar ini. Ia termasuk rekaan ruang roda dibentuk seakan flare, garis badan yang direka membentuk seakan ‘otot-otot’ pada bahagian pintu belakang bersama garis cermin tingkap belakang ternaik ke atas, cermin tingkap suku belakang yang direka tajam, dan juga rekaan tiang-D yang memberikan rupa bumbung seakan terapung.

    Di belakang, lampu kombinasi berbentuk-T yang mencerminkan rekaan pada sebelah muka juga dijelmakan pada versi produksi ini. Rekaan pada cermin belakang dan juga spoiler juga nampak sama, namun lampu brek menegak pada versi konsep diubah menjadi mendatar seperti biasa.

    Walaupun ditutup dengan pelekat penyamaran, bahagian skid plate pada bahagian bawah bampar belakang ini nampak kelihatan hampir sama antara XFC Concept dan unit prototaip produksi ini. Cuma rekaan sepasang lubang berbentuk heksagon tidak lagi kelihatan, dan ia diberikan sepasang reflektor berwarna merah mendatar pada sebelah bawah.

    Sebelum ini Mitsubishi ada menyatakan bahawa XFC Concept ini diberikan empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud, di mana mod Wet adalah pertama kali diperkenalkan untuk Mitsubishi yang dihasilkan khas untuk pemanduan di rantau ASEAN – di mana hujan lebat boleh turun pada bila-bila masa.

    Mitsubishi masih belum memberikan sebarang bayangan spesifikasi teknikalnya. Namun ada khabar yang bertiup, model ini merupakan Xpander dalam versi yang dipendekkan, menggunakan banyak komponen mekanikal yang juga diambil dari Xpander – Jadi ada kemungkinan ia akan berkongsi enjin 1.5L MIVEC dan hanya memacu roda hadapan.

    Versi produksi XFC Concept ini bakal berhadapan terus dengan SUV segmen-B seperti Honda HR-V, Mazda CX-3, Subaru XV dan sebagainya. Jadi ada kemungkinan model konsep yang akan didedahkan ini adalah model pengganti ASX yang sudah pun berada lebih 12-tahun dalam pasaran.

    September tahun lalu Mitsubishi baru sahaja mendedahkan SUV segmen-B ASX generasi baharu di Eropah. Walau bagaimanapun model yang sebenarnya Renault Captur tetapi diberikan logo Mitsubishi berkenaan hanya akan dijual untuk pasaran Eropah. Manakala pasaran lain termasuk Australia masih akan menerima ASX facelift generasi sebelumnya.

    Versi produksi XFC Concept yang bakal menggantikan ASX di ASEAN ini sudah tentu berbeza dengan ASX generasi baharu pasaran Eropah. Ini kerana Mitsubishi mengesahkan bahawa ia direka bagi disesuaikan untuk pemanduan di Asia Tenggara sama seperti Triton, Pajero Sport dan Xpander.

    GALERI: Mitsubishi XFC Concept 2022

     
     
  • JPJ eBid: Siri MDS dan QLE bakal dibuka bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Melaka, MDS, bakal bidaan bermula 18 Februari 2023, dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 22 Februari. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 23 Februari 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak pula, QLE, bidaannya bakal dibuka bermula 19 Februari 2023 dan akan berakhir jam 10 malam pada 23 Februari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 24 Februari ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Cukai jalan tidak boleh dimansuhkan, mampu jana hasil kerajaan lebih RM2 bilion setahun – Loke

    Cukai jalan tidak boleh dimansuhkan, mampu jana hasil kerajaan lebih RM2 bilion setahun – Loke

    Jumaat lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah mengumumkan orang ramai kini tidak perlu lagi melekatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau pun cukai jalan pada kenderaan persendirian. Memang ia memberikan ‘keterujaan’ pada rakyat namun ada juga yang mendesak agar kerajaan menghapuskan bayaran cukai jalan pula.

    Loke memberikan respon berhubung perkara ini dan menyatakan ia (mengecualikan cukai jalan) tidak boleh dilakukan memandangkan itu adalah hasil diperoleh kerajaan yang akan digunakan semula untuk menfaat rakyat, laporan Berita Harian.

    Katanya, kerajaan menerima hasil lebih RM2 bilion setiap tahun dari cukai jalan dan gesaan pengecualiannya hanya akan menjejaskan kelancaran pentadbiran negara.

    “Cukai jalan adalah satu hasil kepada kerajaan. Kalau kerajaan semua mahu kecualikan, tiada hasil, bagaimana kita mahu mentadbir negara. Mana-mana negara, kerajaannya mesti ada kutipan hasil.

    “Cukai jalan adalah satu cukai penting dan utama (kepada kerajaan). Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip hampir RM4 bilion lebih setiap tahun dan sebahagian besar adalah daripada cukai jalan. Cukai jalan saja kalau tak silap saya ada lebih RM2 bilion. Jadi kalau semua dikecualikan, hasil kerajaan akan berkurangan. Kalau berkurangan sudah tentu akan menjejaskan perjalanan pentadbiran negara,” katanya.

    Cukai jalan tidak boleh dimansuhkan, mampu jana hasil kerajaan lebih RM2 bilion setahun – Loke

    Jelas beliau, kerajaan khususnya kementeriannya sentiasa berusaha sedaya mungkin untuk mengurangkan kos hidup rakyat menerusi pendekatan dan tindakannya termasuk langkah pengecualian mempamerkan cukai jalan pada kenderaan.

    “Mana yang kita boleh kurangkan kos, kita akan cuba lakukan. Mengapa kita buat pendigitalan (cukai jalan) ini, ia dapat mengurangkan kos rakyat. Mana-mana rakyat yang gunakan (syarikat) pihak ketiga untuk hantar cukai jalan, lepas ini ‘sticker’ itu tak perlu, jadi penghantaran (oleh pihak ketiga) pun tak perlu lagi. Jadi jimatlah beberapa ringgit dari kos penghantaran itu,” katanya.

    Beliau turut menambah, langkah MOT untuk mengecualikan kenderaan mempamerkan cukai jalan bukan langkah mandatori atau wajib, sebaliknya ia pilihan untuk semua pengguna kenderaan. Di mana bagi mereka yang berdepan masalah akses kepada digital atau warga emas yang tidak mahir dengan pendigitalan, mereka masih boleh meneruskan penggunaan yang lama seperti biasa.

    “Kita tak wajibkan. Kalau masih tak sesuai dengan pendigitalan, masih boleh dipakai (tampal cukai jalan pada kenderaan), teruskan. Saya hanya kata itu tak wajib, bukan mesti dikeluarkan dan mesti pakai digital. Kita hanya bagi opsyen, bagi pilihan kepada rakyat,” katanya.

     
     
  • Toyota GR Corolla, GR 86, GR Supra manual, Hilux GR-Sport, Corolla Cross GR-Sport dilancarkan 17 Feb ini?

    Toyota GR Corolla, GR 86, GR Supra manual, Hilux GR-Sport, Corolla Cross GR-Sport dilancarkan 17 Feb ini?

    UMW Toyota Motor (UMWT) baru sahaja menyiarkan teaser yang menunjukkan bayangan lima kereta baharu bersama logo sayap perlumbaan dan prestasinya iaitu Toyota Gazoo Racing. Dan berdasarkan kapsyen “akan datang 17 Februari” dan “Bersedia untuk kebangkitan kerana barisan rasaksa baru akan muncul tidak lama lagi”, UMWT nampaknya bakal melancarkan lima model prestasi Toyota serentak pada minggu hadapan!

    Sekali dengan imej teaser berkenaan, UMW Toyota turut menyediakan pautan bagi membolehkan anda mendaftarkan minat sekiranya berminat pada mana-mana model GR yang akan dilancarkan ini.

    Tiga model GR sebenar iaitu GR Corolla, GR 86 dan GR Supra dalam versi kotak gear manual sudahpun disahkan akan dilancarkan di Malaysia tahun ini menerusi pengumuman yang dibuat oleh UMWT Disember lalu. Dan nampaknya ada dua model GR Sport iaitu varian yang diberikan penampilan lebih sporty akan turut dibawa ke Malaysia – berdasarkan bayangan pada teaser ini hampir pasti ia adalah Hilux GR Sport dan Corolla Cross GR Sport.

    Bagi GR Corolla, ia sudahpun rasmi masuk ke pasaran ASEAN, dengan dilancarkan di Thailand ketika berlangsungnya Thailand International Motor Expo 2022 November lalu, dijual pada harga 3.949 juta baht (RM500,352). Berbanding GR Yaris yang dijual di Thailand pada harga 2.69 juta baht (RM341,021) ketika diperkenalkan pada Disember 2020, harga GR Corolla ini jelas adalah 46.8% lebih mahal.

    Toyota GR Corolla, GR 86, GR Supra manual, Hilux GR-Sport, Corolla Cross GR-Sport dilancarkan 17 Feb ini?

    Di Malaysia, GR Yaris dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM299,000 (RM286,896 ketika tempoh cuti cukai jualan) ketika dilancarkan juga pada Disember 2020. Jadi berdasarkan harga jualan di Thailand, GR Corolla ini kelak mungkin akan dijual di sini pada harga sekitar RM439k.

    Corolla yang jauh lebih liar ini masih berkongsi kerangka yang sama dengan Toyota Corolla Hatchback, namun cara penghasilannya dibuat seperti kereta lumba di fasiliti GR Factory di Jepun bagi menghasilkan kerangka yang lebih tegar. Ia juga menampilkan suspensi dengan jarak trek lebih lebar, secara tidak langsung membuatkan badannya juga lebih berbanding Corolla standard.

    GR Corolla ini disumbat dengan enjin yang sama seperti GR Yaris iaitu unit G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter. Namun ia diberikan beberapa komponen dan talaan berlainan bagi menghasilkan kuasa lebih besar pada kadar 304 PS (300 hp) pada takat 6,500 rpm, berbanding 272 PS pada GR Yaris. Walau bagaimanapun, kadar tork yang dihasilkan untuk kedua-dua versi tersebut adalah sama iaitu 370 Nm bermula 3,000 hingga 5,550 rpm.

    Toyota GR Corolla, GR 86, GR Supra manual, Hilux GR-Sport, Corolla Cross GR-Sport dilancarkan 17 Feb ini?

    Juga sama seperti GR Yaris, GR Corolla hanya diberikan pilihan kotak gear enam kelajuan manual pintar (i-MT) dan turut menampilkan tuil penukar jenis short-stroke serta diposisikan dekat dengan roda stereng agar ia dapat dicapai dengan cepat oleh pemandu.

    Sistem pacuan semua roda GR-Four juga dibekalkan pada GR Corolla ini, menampilkan LSD jenis Torsen yang diberikan secara standard pada gandar hadapan dan belakang, serta plat klac 4WD pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork antara hadapan dan belakang diagihkan menerusi mod yang boleh dipilih.

    Bagi GR Supra pula, model dengan kotak gear manual baru sahaja diperkenalkan pada peringkat global pada April tahun lalu. Model dengan kotak gear Intelligent Manual Transmission (i-MT) enam kelajuan tersebut hanya ditawarkan untuk model dengan enjin 3.0 liter enam silinder turbo sahaja.

    UMWT telah membawa GR Supra buat pertama kali ke pasaran Malaysia pada September 2019, hanya dalam varian GTS 3.0L dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM568,000. Berapa pula harga untuk versi manual nanti? Sama-sama kita tunggu.

    Toyota GR Corolla, GR 86, GR Supra manual, Hilux GR-Sport, Corolla Cross GR-Sport dilancarkan 17 Feb ini?

    Untuk GR86 pula, model generasi baharu ini telahpun mula dijual di Jepun bermula Oktober 2021. Ia sebelum ini dijangka akan dilancarkan pada pasaran tempatan pada tahun lalu, namun nampaknya rancangan awal tersebut telah ditunda ke tahun ini.

    Model generasi baharu ini masih tidak diberikan pengecas turbo, sebaliknya dibekalkan enjin Boxer empat silinder NA dengan kapasiti lebih besar. Ia dijana oleh enjin petrol 2.4 liter (berbanding hanya 2.0L pada generasi sebelum) berkuasa 235 PS pada takat 7,000 rpm dan juga tork maksima 250 Nm seawal 3,700 rpm.

    Enjin dengan kod FA24D berkenaan masih dibekalkan dengan sistem suntikan bahan api D-4S Toyota, yang menampilkan sistem suntikan terus ke dalam kebuk pembakaran dan juga suntikan port. Ia juga dibekalkan dengan sistem injap bervariasi dual Active Valve Control System (DAVCS), dengan empat aci sesondol (dua setiap kepala) yang digerakkan oleh timing chain.

    Kuasa dari enjin masih hanya disalurkan hanya ke roda belakang menerusi kotak gear enam-kelajuan dalam pilihan manual atau automatik. Ini membolehkan GR 86 dalam versi manual mampu untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.3 saat, atau 1.1 saat lebih pantas dari Toyota GT86 generasi sebelum ini dan mencapai kelajuan maksima 226 km/j. Model automatik pula melakukan pecutan yang sama dalam masa 6.9 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 216 km/j.

    Bagi Hilux GR Sport dan juga Corolla Cross GR Sport, kedua-dua model ini telah pun dilancarkan di Thailand, dan ianya hanya menampilkan tingkat taraf kosmetik semata-mata. Sebelum ini UMWT sudahpun memperkenalkan Vios GR Sport di Malaysia, dan model berkenaan hadir dengan talaan suspensi lebih sporty serta nisbah maya untuk kotak gear CVT telah diubah kepada 10-kelajuan berbanding hanya tujuh kelajuan pada model biasa.

    Awal bulan ini Toyota Hilux GR-Sport telah pun dilancarkan di Australia di mana versi berkenaan bukan sahaja hadir dengan fender flare yang lebih lebar, ia turut menampilkan ubahsuai suspensi yang ekstensif serta enjin yang ditala semula bagi menghasilkan kuasa yang lebih besar.

    Agak-agak apa spesifikasi Hilux GR Sport dan Corolla Cross GR Sport pasaran Malaysia nanti? Kita nantikan sahaja pengumuman rasmi dari UMW Toyota nanti.

     
     
  • Beberapa jalan utama di sekitar KL ditutup dan dilencongkan pada 12 Feb sempena acara GENY 2023

    Beberapa jalan utama di sekitar KL ditutup dan dilencongkan pada 12 Feb sempena acara GENY 2023

    Polis Kuala Lumpur telah mengumumkan beberapa jalan utama di ibu negara akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat pada Ahad ini, 12 Februari, bagi memberi laluan kepada perlumbaan basikal Grand Fondo New York (GFNY) 2023.

    “Program berkenaan akan bermula di Dataran Merdeka pada 6 pagi dan melalui beberapa jalan sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur serta Selangor dan akan berakhir semula di Dataran Merdeka,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Menurutnya, antara jalan yang akan ditutup dan dilencongkan ialah Jalan Raja, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Tun Razak ke arah Lebuhraya Sultan Iskandar.

    Selain itu, ia turut melibatkan Jalan Kuching ke Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela ke Jalan Loke Yew, Bulatan Billion ke MRR2, MRR2 hingga ke Taman Metropolitan ke sempadan Selangor, Jalan Kuching bermula Bulatan Batu Caves hingga Bulatan Segambut dan Jalan Kuching hingga Bulatan Dato’ Onn dan ke Dataran Merdeka semula.

    Beberapa jalan utama di sekitar KL ditutup dan dilencongkan pada 12 Feb sempena acara GENY 2023

    “Jalan berkenaan akan ditutup dan dilencongkan bermula 6.30 pagi secara berperingkat hingga 9 pagi oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur. Kemudian ia akan dibuka semula juga secara berperingkat mulai 9 pagi hingga 11.30 pagi,” sambungnya.

    Tambahnya seramai tujuh pegawai kanan dan 103 pegawai rendah polis daripada JSPT akan digerakkan untuk menjalankan penugasan kawalan lalu lintas sepanjang berlangsungnya program berkenaan..

    Justeru, orang ramai dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam atau elakkan melalui jalan yang ditutup dan patuhi arahan anggota polis bertugas bagi memastikan pengurusan lalu lintas berjalan lancar.

    Acara berbasikal ini melibatkan seramai 1,200 peserta dari dalam dan luar negara yang melibatkan dua kategori peringkat profesional dengan jarak kayuhan sejauh 140 km dan semi profesional (70 km).

     
     
  • Pemandu didenda RM10k kerana muatan treler dipandunya jatuh pada Okt 2022 punca kemalangan

    Pemandu didenda RM10k kerana muatan treler dipandunya jatuh pada Okt 2022 punca kemalangan

    Ingatkah anda dengan tragedi muatan yang diangkut sebuah treler jatuh lalu menimpa sebuah kereta yang dipandu dari arah bertentangan yang berlaku di Gerik pada Oktober 2022? Pagi tadi, Mahkamah Majistret Gerik telah menetapkan denda sebanyak RM10,000 terhadap pemandu treler berkenaan selepas dia mengaku bersalah memandu secara tidak cermat sehingga mengakibatkan kematian seorang bayi yang masih dalam kandungan.

    Jika gagal membayar denda berkenaan, tertuduh berhadapan dengan hukuman penjara 12 bulan, selain butiran kesalahan diendors dalam lesen memandu tertuduh, laporan Bernama.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh terbabit, Alias Awang, 49 tahun, didakwa memandu treler secara tidak cermat di Kilometer 69 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada jam 10.50 pagi, 29 Oktober tahun lalu. Dalam perbicaraan di mahkamah berkenaan, dia telah membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Savinder Singh di bawah kesalahan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga 12 bulan, selain butir-butir mengenai sabitan di bawah seksyen itu hendaklah diendorskan pada semua lesen memandu orang yang disabitkan.

    Dalam kemalangan terbabit, kenderaan yang dinaiki sepasang suami isteri terbalik selepas terlanggar muatan yang jatuh dari treler berkenaan. Lebih menyedihkan, kemalangan itu turut meragut nyawa bayi sulung mereka dalam kandungan yang berusia 34 minggu, manakala wanita yang hamil itu cedera parah.

    Beberapa hari selepas kemalangan berkenaan, Kementerian Pengangkutan memaklumkan bahawa syarikat pengangkutan itu, Mun Fei Enterprise telah dibatalkan lesennya sebagai operator.

     
     
  • DBKL angkut, tunda kenderaan halang laluan pejalan kaki, ingkar larangan parkir – 44 saman dikeluarkan

    DBKL angkut, tunda kenderaan halang laluan pejalan kaki, ingkar larangan parkir – 44 saman dikeluarkan

    Semalam Warden Trafik Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan Tindakan Khas Angkut dan Tunda Kenderaan di sekitar laluan pejalan kaki, laluan Orang Kelainan Upaya (OKU) serta ingkar papan tanda larangan pakir kenderaan berhampiran Stesen LRT Bangsar, Jalan Bangsar.

    DBKL berkata, menerusi maklumbalas dan aduan yang diterima oleh pihaknya berkaitan terdapat peletakkan kenderaan awam melibatkan motosikal, kenderaan persendirian dan teksi yang dipakir di tempat yang tidak dibenarkan, Warden Trafik Jabatan Penguatkuasaan akan mengatur beberapa siri tindakan khas sekitar kawasan tumpuan (hotspot) secara berkala.

    Ini termasuklah dengan operasi yang dilakukan semalam di mana sejumlah lapan buah motosikal dan enam buah kereta telah ditundakan ke Depoh Simpanan Tunda Kenderaan DBKL Jalan Pahang untuk tindakan lanjut termasuk pengeluaran notis kompaun dan penyimpanan sementara.

    “DBKL turut mengeluarkan 44 notis kompaun pelbagai kesalahan lalulintas lain sepanjang operasi tindakan dijalankan. Kesemua tindakan dilakukan menerusi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

    “Pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal diingatkan agar mematuhi peraturan dan isyarat lalulintas yang telah ditetapkan pihak berkuasa dan memastikan kenderaan (motosikal/kereta) diletakkan di tempat sepatutnya tanpa menghalang dan menggangu pejalan kaki atau kelancaran lalulintas,” kata DBKL menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Perodua bukan jual kereta ‘murah’ semata-mata, tapi hasilkan kereta yang lebih bernilai untuk rakyat – CEO

    Perodua bukan jual kereta ‘murah’ semata-mata, tapi hasilkan kereta yang lebih bernilai untuk rakyat – CEO

    Harga Perodua Axia D74A 2023 yang lebih tinggi dari model generasi pertama masih menjadi bualan hangat di media-media sosial. Ini kerana Axia merupakan model paling mampu milik yang dihasilkan oleh Perodua dan menjadi ‘harapan’ bagi mereka yang memiliki motosikal untuk bertukar ke mod pengangkutan lebih selesa dan selamat seperti Viva dan juga Kancil sebelum ini.

    Namun menurut CEO dan Presiden Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, syarikatnya buat masa sekarang bukanlah pengeluar yang menghasilkan model-model yang ‘murah’ semata-mata tanpa memikirkan spesfikasi untuk pelanggan, tetapi model-model Perodua lebih disifatkan sebagai ‘bernilai’ atau ‘berbaloi’ untuk dimiliki.

    Menurutnya, terma yang paling sesuai untuk model-model yang dijual oleh Perodua adalah “kereta dengan kos yang dioptimakan”.

    Perodua bukan jual kereta ‘murah’ semata-mata, tapi hasilkan kereta yang lebih bernilai untuk rakyat – CEO

    “Maknanya kita cuba untuk memberikan lebih nilai, kita cuba untuk memberikan spesifikasi yang terkini, tetapi pada harga yang berpatutan.

    “Apa yang kita nak adalah, kita bukan hanya menyediakan mobiliti (semata-mata). Tapi kita menyediakan mobiliti dengan keselesaan, dengan kesenangan, semua perincian yang diberikan, supaya rata-rata rakyat Malaysia dapat menikmati teknologi terkini dan juga untuk memenuhi keperluan mobiliti,” kata Zainal dalam sidang media ketika majlis prebiu Perodua Axia 2023 Rabu lalu.

    Model generasi baharu Axia ini dijual pada harga bermula RM38,600 untuk varian G, RM40,000 untuk Axia X, RM44,000 untuk Axia SE dan RM49,500 bagi Axia AV. Ia jauh dengan julat harga Axia generasi pertama di mana model facelift 2019 Axia GXtra dengan VSC dijual pada harga RM34,990, manakala varian tertinggi Axia AV dijual pada harga RM43,190.

    Perodua bukan jual kereta ‘murah’ semata-mata, tapi hasilkan kereta yang lebih bernilai untuk rakyat – CEO

    Walau bagaimanapun ia sesuai dengan spessifikasi yang diberikan kerana Axia D74A diasaskan dari platform terkini Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang sama seperti tiga dua model terkini Perodua iaitu Ativa dan Alza, malah Toyota Vios generasi baharu juga menggunakan platform modular tesebut.

    Platform berkenaan bukan sahaja membolehkan Axia 2023 ini dihasilkan lebih besar dari model generasi sebelumnya, malah turut memberikan pemanduan dan keselesaan lebih baik.

    Kesemua varian Axia generasi baharu ini juga menerima kotak gear D-CVT yang sama seperti Ativa, Alza dan Myvi facelift bagi menggantikan kotak gear automatik konvensional 4AT pada model sebelum ini.

    Dengan kotak gear D-CVT dan juga sistem Eco Idle, Axia 2023 kini mencapai penggunaan bahan api serendah 25.3 km/l berbanding 27.4 km/l pada model generasi sebelumnya. Bacaan berkenaan adalah berdasarkan ujian Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC) yang lebih relevan dengan situasi pemanduan tempatan.

    Pada Myvi facelift, kotak gear D-CVT ini bukan sahaja memberikan penjimatan bahan api 5% lebih baik berbanding model yang meggunakan kotak gear 4AT, malah pecutan 0-100 km/j adalah 20% lebih pantas. Jadi boleh dijangka Axia 2023 ini juga bakal memberikan prestasi pecutan lebih baik.

    Kami telah berpeluang untuk membuat pandu uji ringkas terhadap Perodua Axia D74A 2023 ini. Apa yang berbeza antara varian-varian berkenaan? Bagaimana prestasinya? Anda perlu baca laporan yang telah disediakan pada PAUTAN INI.

    GALERI: Perodua Axia 2023

     
     
  • Rekaan konsep Sport Sedan EV oleh Saharudin Design — kalau ini EV pertama Malaysia, ramai yang bangga?

    Rekaan konsep Sport Sedan EV oleh Saharudin Design — kalau ini EV pertama Malaysia, ramai yang bangga?

    Malaysia pernah ada rekaan konsep sebuah kereta sport sedan EV? Sekurang-kurangnya itu mungkin pernah diikhtiarkan, tetapi belum menjadi kenyataan. Dan, orang yang terlibat di dalam membayangkan reka bentuk itu adalah nama yang tidak asing lagi, Saharudin Busri yang selalu berkongsi rekaan digitalnya melalui platform Saharudin Design.

    Menurut beliau, asalnya rekaan digital ini dihasilkan pada 2020, untuk sebuah syarikat yang katanya ingin membangunkan Sport Sedan EV Malaysia. Namun, semuanya kemudian senyap — mungkin kerana Covid, atau tiada lagi ura-ura tentang jenama kereta nasional ketiga Malaysia (masih ingat?).

    Maka, rekaan berkenaan kini boleh kita lihat dalam perkongsian beliau ini. Secara rujukan, model yang ditampilkan ini adalah untuk sebuah kereta yang berada dalam segmen pasaran yang sama dengan Porsche Taycan.

    Rekaan konsep Sport Sedan EV oleh Saharudin Design — kalau ini EV pertama Malaysia, ramai yang bangga?

    Menarik untuk lihat bagaimana rekaan ini agak matang walaupun hanya sebuah rekaan konsep digital. Dari beberapa aspek rekaan, terutama jika dilihat unit dalam warna putih-hitam, ia mengingatkan kita kepada model Acura NSX yang pernah muncul sebelum ini di pasaran global. Jika dua nama ini — Porsche Taycan dan Acura NSX — menjadi sumber imaginasinya, maka tak hairan ia tampil meyakinkan.

    Wajah depan dengan lampu tirus LED, lengkung bonet depan yang mengalir dan bertingkat untuk bukaan udara, bampar bersih dan bahagian bawah bampar yang diberikan kemasan krom menjadikan sentuhan visual pada kereta ini nampak elegan, walaupun agak ringkas.

    Perhatikan bahagian fender, itu juga bayangan yang menarik — tanpa perlu lengkungnya dihabiskan dan terbuka hanya di bahagian atas kedudukan roda, dilanjutkan ke bahagian padan (depan) dan ke bahagian lampu (belakang). Rim pun garang, dengan jejari yang bersegi dan bercabang.

    Rekaan konsep Sport Sedan EV oleh Saharudin Design — kalau ini EV pertama Malaysia, ramai yang bangga?

    Dari belakang, ia lebih tajam dan terperinci. Rekaan bahagian lampu yang lebar dan luas, yang hanya dihiasi dengan jalur LED merah yang nipis, rekaan rekaan ala spoiler yang khas. Lengkung cermin belakangnya juga hadir dalam gelembung yang nampak ketara, mencadangkan keluasan yang ada dalam kabin. Seperti juga bahagian depan, rekaan bampar hanya diberikan garis ringkas yang elegan.

    Ruangan kabin yang dibayangkan lebih futuristik. Kerusi sport depan dan belakang dengan rekaan kurus — dalam warna merah, putih dan hitam — tetapi penuh dengan bahagian sokongan sesuai dengan imej sport yang ingin di bawa. Kita boleh bayangkan kerangka kerusi berkenaan diperbuat daripada gentian karbon untuk lebih ringan dan tahan.

    Rekaan konsep Sport Sedan EV oleh Saharudin Design — kalau ini EV pertama Malaysia, ramai yang bangga?

    Papan pemuka juga moden dan futuristik, dengan dua tahap pembahagi: yang atas, termasuk untuk sebelah penumpang, hadir juga dengan skrin lebar, selain sebuah lagi skrin untuk infotainmen yang terletak di tengah. Kluster meter pemandu berada lebih tinggi, tentunya dalam paparan digital definii tinggi juga.

    Apa pandangan anda tentang rekaan oleh anak Malaysia ini, boleh dijadikan kenyataan satu hari nanti?

     
     
  • Stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan waktu operasi hingga 1 pagi pada 11 Feb sempena konsert Mayday

    Stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan waktu operasi hingga 1 pagi pada 11 Feb sempena konsert Mayday

    Rapid KL telah mengumumkan waktu operasi bagi stesen LRT Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga jam 1 pagi pada 11 Februari 2023. Malah stesen pertukaran juga akan dibuka untuk membawa penumpang ke destinasi akhir mereka.

    Walau pun Rapid KL tidak memaklumkan alasan untuk waktu operasi LRT ini dilanjutkan, namun difahamkan bahawa ada satu konsert mega bakal berlangsung jam 8 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini, yang melibatkan band popular dari Taiwan yang dikenali sebagai Mayday.

    Bagi yang merancang untuk menonton konsert berkenaan, memang pilihan yang tepat untuk menaiki LRT. Walau bagaimana pun, para penumpang diminta menggunakan kad Touch ‘n Go, dan memastikan baki kad anda mencukupi untuk kelancaran perjalanan. Dan pemakaian pelitup muka atau face mask masih diwajibkan bagi sistem pengangkutan awam.

     
     
  • Tak perlu tampal cukai jalan, bawa lesen memandu mulai 10 Feb; Langkah digitalisasi JPJ dilaksana

    Tak perlu tampal cukai jalan, bawa lesen memandu mulai 10 Feb; Langkah digitalisasi JPJ dilaksana

    Menteri Pangangkutan, Anthony Loke, telah mengumumkan langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Persendirian dilaksanakan mulai hari ini, 10 Februari 2023.

    Di mana pemilik kenderaan persendirian yang merupakan warganegara boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM) melalui Portal Awam JPJ atau Aplikasi Mobile MyJPJ di bawah satu projek perintis.

    “Saya telah menerima pelbagai maklum balas daripada orang ramai mengenai pelekat lesen kenderaan motor (LKM atau lebih dikenali sebagai ‘cukai jalan’) dan saya menghayati kesulitan yang telah dibangkitkan. Pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia telah berusaha untuk mencari jalan penyelesaian bagi meringankan kesulitan orang ramai melalui strategi pendigitalan.

    Tak perlu tampal cukai jalan, bawa lesen memandu mulai 10 Feb; Langkah digitalisasi JPJ dilaksana

    “Selaras dengan inisiatif ini, peruntukan di bawah Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) di mana “setiap LKM hendaklah dilekatkan dan dipamerkan pada kenderaan yang berkenaan” tidak lagi akan dikuatkuasakan bagi kategori pemilik di bawah fasa pertama. Pengecualian ini akan diwartakan di bawah kuasa yang diberi kepada Menteri Pengangkutan di bawah Seksyen 127 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam sidang media pagi tadi.

    Tambah beliau, inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu, termasuklah motosikal (warganegara), mengambil kira kesediaan sistem dan penerimaan awam terhadap pelaksanaannya sebelum peluasan pelaksanaannya ke fasa-fasa seterusnya.

    “Saya mengalu-alukan semua pemandu dan pemilik kenderaan untuk beralih ke platform digital. Dengan pendigitalan, keadaan sesak dan beratur panjang di kaunter JPJ akan berkurangan dan ini akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan keselesaan rakyat.

    “Untuk pemandu dan pemilik kenderaan yang belum bersedia, anda masih boleh memperoleh dan mengekalkan amalan memapar pelekat/kertas LKM dan menggunakan kad fizikal LMM dalam tempoh interim,”tambah beliau.

    Tak perlu tampal cukai jalan, bawa lesen memandu mulai 10 Feb; Langkah digitalisasi JPJ dilaksana

    Walau bagaimana pun, menurut beliau, dalam tempoh pelaksanaan fasa pertama ini, ada kategori pemilik atau pemegang lesen kenderaan yang masih wajib mempamerkan cukai jalan dan mengemukakan kad lesen memandu. Bagi cukai jalan, ia melibatkan cukai jalan kenderaan persendirian syarikat, kenderaan pemilikan warganegara asing serta kenderaan perdagangan meliputi kenderaan barangan dan kenderaan perkhidmatan awam.

    Manakala untuk lesen memandu pula, pemegang Lesen Belajar Memandu (LDL), pemegang Lesen Vokasional (PSV/GDL/KON), pemegang lesen memandu Malaysia bagi warganegara asing dan pemegang lesen memandu luar negara oleh warganegara asing (IDP).

    “Saya ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan sentiasa dijalankan terhadap mana-mana pihak yang memandu kenderaan tanpa mempunyai LKM atau LMM yang sah selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 20(1), 90 (1) dan 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kataya lagi.

    Untuk itu, orang ramai digalakkan mendaftar akaun masing-masing secara digital melalui portal awam JPJ [https://public.jpj.gov.my/] ataupun aplikasi mobile MyJPJ yang boleh dimuat turun dari App Store, Play Store ataupun Huawei App Gallery.

     
     
  • Perodua Axia D74A 2023 – varian SE dan AV paling banyak ditempah; RM44,000 hingga RM49,500

    Perodua Axia D74A 2023 – varian SE dan AV paling banyak ditempah; RM44,000 hingga RM49,500

    Axia merupakan model paling asas Perodua yang menawarkan harga paling mampu milik menggantikan Kancil dan Viva sebelum ini. Ia dihasilkan bagi membolehkan mereka yang memiliki motorsikal beralih ke kereta. Jadi apabila Perodua Axia D74A 2023 diperkenalkan dengan perincian lebih baik serta harga yang lebih mahal, ada yang mendakwa ia “bukan lagi Axia”.

    Namun angka telah membuktikan segalanya – selepas tempahan untuk Axia 2023 ini dibuka pada 31 Januari lalu, Perodua telah menerima sebanyak 3,591 tempahan hanya dalam masa lebih seminggu. Dan ketika sesi prebiu untuk media yang dibuat Rabu lalu, presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad mendedahkan bahawa dari jumlah berkenaan, majoriti pelanggan yang menempah memilih dua varian tertinggi Axia iaitu SE dan AV.

    Malah Zainal turut menyatakan tempahan berkenaan adalah selaras dengan jangkaan syarikatnya bahawa jualan untuk varian SE dan AV ini akan lebih tinggi dari dua varian lebih rendah iaitu X dan G.

    Perodua Axia D74A ini diasaskan dari platform terkini Daihatsu New Global Architecture (DNGA), menampilkan saiz yang lebih besar serta diberikan perincian-perincian yang jauh lebih canggih termasuk kotak gear D-CVT, menyebabkan ia perlu dijual lebih mahal iaitu bermula RM38,600 untuk varian G, RM40,000 untuk Axia X, RM44,000 untuk Axia SE dan RM49,500 bagi Axia AV.

    Ia jauh dengan julat harga Axia generasi pertama di mana model facelift 2019 Axia GXtra dengan VSC dijual pada harga RM34,990, manakala varian tertinggi Axia AV dijual pada harga RM43,190.

    Terdahulu Zainal turut menyatakan hampir semua pelanggan yang menempah Perodua Axia generasi pertama tetapi tidak dapat menerima unit mereka kerana produksi model berkenaan telah ditamatkan hujung bulan lalu telah menukar tempahan mereka untuk model generasi kedua ini, walaupun harganya lebih tinggi.

    Kami telah berpeluang untuk membuat pandu uji ringkas terhadap Perodua Axia D74A 2023 ini. Apa yang berbeza antara varian-varian berkenaan? Bagaimana prestasinya? Anda perlu baca laporan yang telah disediakan pada PAUTAN INI.

    GALERI: Perodua Axia 2023

     
     
  • Aplikasi lesen memandu, cukai jalan digital bakal dilancar, tidak perlu lagi bawa dokumen fizikal – JPJ

    Aplikasi lesen memandu, cukai jalan digital bakal dilancar, tidak perlu lagi bawa dokumen fizikal – JPJ

    Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim mengesahkan pihaknya sedang menantikan ‘lampu hijau’ daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung dengan penggunaan aplikasi khas secara dalam talian untuk mendapatkan maklumat mengenai lesen memandu.

    Menurut beliau, aplikasi berkenaan sudah siap dibangunkan oleh JPJ dan apabila dibenarkan untuk dilaksanakan kelak, ia boleh dimuat turun menerusi telefon pintar dan ia memaparkan lesen pemandu secara digital, laporan Berita Harian.

    Menerusi langkah pendigitalan ini juga, pihak penguat kuasa seperti anggota polis dan JPJ akan dibekalkan dengan peranti khas, untuk melakukan melakukan pemeriksaan atau semakan ke atas lesen memandu digital ini. Di mana Peranti khas itu akan mengimbas kod bar yang tertera pada lesen memandu digital berkenaan, yang dapat menentusahkan sama ada lesen memandu digital berkenaan tulen atau sebaliknya

    Zailani turut berkata, tarikh pelancaran aplikasi berkenaan akan diumumkan sendiri oleh Menteri, dijangka hari ini dalam sesi sidang media.

    Mengenai perancangan JPJ seterusnya, akhbar terbabit turut melaporkan, dokumen seperti cukai jalan juga boleh diakses dan dipapar secara digital menerusi aplikasi berkenaan. Jadi, sudah pasti isu pelekat cukai jalan mudah rosak dan koyak tidak lagi diperkatakan sekiranya aplikasi ini dilaksanakan kelak.

     
     
  • Audi Q8 e-tron, Q8 Sportback e-tron dipertonton di M’sia – varian Advanced 50 dan S Line 55, dari RM370k

    Audi Q8 e-tron, Q8 Sportback e-tron dipertonton di M’sia – varian Advanced 50 dan S Line 55, dari RM370k

    Selepas pembukaan pendaftaran minat dibuat bulan lalu, Audi Q8 e-tron dan Q8 Sportback e-tron kini sudah tiba di Malaysia untuk pra tonton awal. Dua SUV elektrik ini turut disertai oleh e-tron GT dan RS e-tron GT yang juga dibawa untuk pameran awal sebelum pelancaran.

    Q8 e-tron ini sebenarnya adalah Audi e-tron yang dinamakan semula, di mana ia merupakan kenderaan elektrik bateri produksi pertama jenama itu dan diperkenalkan kali pertama pada tahun 2018. Tempahan untuk Q8 e-tron dan Q8 Sportback e-tron pasaran Malaysia kini sudah dibuka, dengan harga antara RM369,000 ke RM476,000.

    Perincian awal yang didedahkan oleh pengimport dan pengedar Audi di Malaysia, PHS Automotive Malaysia (PHSAM) adalah Q8 e-tron dan Q8 Sportback e-tron akan dibawa masing-masing dalam dua varian iaitu Advanced 50 dan S Line 55.

    Varian Advanced 50 Q8 e-tron diberitahu akan dilengkapi dengan bateri 95 kWh yang akan memberi jarak gerak sehingga 410 km dan kelengkapan lain seperti pendingin hawa auxiliary, Audi Pre Sense hadapan dan belakang, Adaptive Cruise Control serta Audi Phone Box Light.

    Walaupun tidak diberitahu secara rasmi, Q8 Sportback e-tron Advanced 50 dijangka menggunakan bateri sama seperti Q8 e-tron Advanced 50, tetapi ia akan menerima lampu utama Matrix LED, pakej penggayaan Black, angkup brek berwarna merah, suspensi udara adaptif sports serta tempat duduk sports.

    Pergi pula kepada Q8 e-tron S Line 55, ia datang dengan bateri 114 kWh yang boleh memberi jarak gerak sehingga 481 km, dan dilengkapi lampu projector Singleframe, lampu utama Digital Matrix LED, cermin sisi virtual, bumbung panoramik, head-up display, sistem bunyi B&O, selak pintu kuasa serta pengecas AC 22 kW.

    Bagi Q8 Sportback e-tron S Line 55, ia juga dijangka menggunakan bateri yang sama, dan perincian awal yang dikeluarkan menyatakan ia akan diberi dengan kelengkapan seperti tempat duduk sports plus, pakej penggayaan Black, angkup brek berwarna merah serta suspensi udara adaptif sports.

    Jika melihat kepada spesifikasi waktu Q8 e-tron dan Q8 Sportback e-tron ini diperkenalkan kepada dunia November tahun lalu, varian 50 dengan bateri 95 kWh boleh menghasilkan kuasa sehingga 340 PS (335 hp atau 250 kW) dalam mod boost dan tork 664 Nm.

    Varian 55 yang menggunakan bateri 114 kWh pula diberitahu boleh menghasilkan kuasa 408 PS (402 hp atau 300 kW) dalam mod boost, dan tork 664 Nm. Kedua-dua varian ini datang dengan tetapan dua motor, yang masing-masing diletakkan di setiap gandar (hadapan dan belakang).

    GALLERY: 2023 Audi Q8 e-tron quattro

    GALLERY: 2023 Audi Q8 Sportback e-tron quattro

     
     
  • Audi e-tron GT 2023 dibuka tempahan di M’sia — jarak EV 501 km, 0-100 km/j 3.3 saat, RM559k-RM769k

    Audi e-tron GT 2023 dibuka tempahan di M’sia — jarak EV 501 km, 0-100 km/j 3.3 saat, RM559k-RM769k

    Dilihat sebelum ini di EQ Kuala Lumpur, Audi RS e-tron GT kini diperkenalkan secara rasmi di Malaysia. Ia dipertontonkan oleh pengedarnya, PHS Automotive Malaysia (PHSAM) lebih awal daripada pelancarannya untuk pasaran di sini pada suku kedua tahun ini.

    Kereta yang dinobat sebagai pemenang anugerah World Performance Car of the Year 2022 ini pertama kali diperkenalkan pada 2021 dan menggunakan platform J1 yang turut digunakan untuk model prestasi EV lain, Porsche Tycan.

    Dengan dua motor elektrik dan pacuan semua roda, RS e-tron GT mempunyai output sistem keseluruhan 598 PS (590 hp atau 440 kW) dan 830 Nm tork, dengan mod lonjakan kuasa yang akan memberikan sehingga 646 PS (637 hp atau 475 kW). Dari segi prestasi, RS e-torn GT memerlukan 3.3 saat untuk pecutan 0-100 km/j dengan laju maksimum 250 km/j.

    Audi e-tron GT 2023 dibuka tempahan di M’sia — jarak EV 501 km, 0-100 km/j 3.3 saat, RM559k-RM769k

    Untuk jarak, bateri 85-kWh lithium — yang terdiri daripada 396 sel yang disusun dalam 33 modul — memberikan 487 km (WLTP) dan menyokong pengecasan pantas DC (CCS2). Input maksimum adalah 270 kW, yang boleh memenuhkan bateri dari 5-80% dalam masa hanya 22.5 minit. Turut disediakan adalah pengecasan AC (Type 2) sehingga 22 kW (dipertingkat daripada 11 kW).

    Selain RS e-tron GT, PHSAM turut akan menawarkan e-tron GT quattro standard (dengan Pakej Dynamic) yang juga mempunyai tetapi dua-motor, dengan janaan 476 PS (469 hp atau 350 kW) dan 630 Nm atau 530 PS (523 hp atau 390 kW) dengan lonjakan. Varian bukan RS pula memerlukan 4.1 saat untuk pecutan 0-100 km/j dengan laju maksimum 245 km/j.

    Ruang dalaman tampil dengan penggayaan yang konvensional, tetapi dengan material berkualiti tinggi dan teknologi maju. Balutan kerusi terdiri daripada pilihan antara kulit buatan atau Nappa. Pakej tanpa materil kulit pula menampilkan bahan-bahan kitar semula, dengan tikar lantai diperbuat daripada Econyl.

    Kelengkapan lain pula termasuk paparan instrumen digital Audi Virtual Cockpit Plus 12.3-inci serta paparan skrin sentuh tengah 10.1-inci, yang datang dengan MMI Navigation Plus sebagai standard. Kawalan pendingin tiga-zon adalah standard.

    Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemandu, e-tron GT lengkap dengan sistem pre sense Audi sebagai standard, dengan ciri terdiri daripada amaran penukaran lorong, brek kecemasan autonomous dan kawalan melayar adaptif.

    Audi e-tron GT dijangka dijual pada harga antara RM559k hingga RM643k, manakala Audi RS e-tron GT pula dijangka dijual pada harga RM749k hingga RM769k.

     
     
  • Proton Wira Sembilu 1994 – prototaip Wira 1.6 Turbo, asas penghasilan Wira C99 1.8 DOHC EXi Limited!

    Proton Wira Sembilu 1994 – prototaip Wira 1.6 Turbo, asas penghasilan Wira C99 1.8 DOHC EXi Limited!

    Selepas model pertamanya Saga dilancarkan pada 1985, Proton mula memperkenalkan model keduanya iaitu Wira pada Mei 1993. Proton Wira merupakan satu anjakan buat Proton – ia diasaskan dari Mitsubishi Lancer generasi kelima yang baru sahaja muncul di Jepun pada Oktober 1991, menawarkan reka bentuk dan teknologi yang jauh lebih moden berbanding Saga.

    Setahun selepas itu, badan penala rasmi Proton ketika itu, EON Motorsport yang dikendalikan badan pengedarnya iaitu Edaran Otomobil Nasional (EON) hadir dengan model prototaip Proton Sembilu yang diasaskan dari Wira. EON Motorsport yang juga pengendali pasukan lumba Petronas EON Racing Team (PERT) mendedahkan Sembilu di Ibu Pejabat EON Shah Alam pada 6 Jun 1994.

    Kemunculan Proton Sembilu ini menghiasi dada-dada akhbar utama ketika itu. Menurut Pengurus Kanan Pemasaran EON yang juga bos pasukan PERT Datuk Abdul Razak Dawood dalam laporan Utusan Malaysia, Sembilu memberikan gambaran pelbagai aksesori yang akan dihasilkan oleh EON Motorsport untuk Proton Wira yang akan dijual dalam pasaran untuk masa akan datang.

    Proton Wira Sembilu 1994 – prototaip Wira 1.6 Turbo, asas penghasilan Wira C99 1.8 DOHC EXi Limited!

    Ia bukan sahaja melibatkan aksesori kosmetik seperti kit badan, rim dan juga perincian dalaman yang lebih sporty, malah EON Motorsport turut akan menawarkan kit prestasi yang melibatkan bahagian enjin, suspensi dan juga transmisi bukan hanya untuk jalan raya, malah untuk perlumbaan.

    Ketika ini, EON Motorsport bukan baharu dalam memperkenalkan aksesori prestasi untuk kereta-kereta Proton. Sebelum Wira, EON Motorsport pernah memperkenalkan pakej Saga Aerokit untuk Proton Saga Aeroback iaitu kit berharga RM7,000 yang menampilkan kit badan lebar serta sistem ekzos yang mengekstrak 10% kuasa lebih banyak, kesemuanya dibangunkan di bawah seliaan Mitsubishi Ralliart di Jepun.

    Disebabkan sumber rujukan yang kurang, berbagai spekulasi berkenaan Proton Sembilu ini berlegar hingga ke zaman internet. Oleh kerana ada beberapa bahagian yang nampak seperti Lancer Evolution, ada yang mendakwa bahawa Sembilu merupakan Lancer Evo sebenar yang “diWirakan”, malah ada perencah tambahan yang mengatakan projek produksi Sembilu ini terpaksa dihentikan kerana mendapat bantahan dari JPJ. Betul ke?

    Proton Wira Sembilu 1994 – prototaip Wira 1.6 Turbo, asas penghasilan Wira C99 1.8 DOHC EXi Limited!

    Ketika membincangkan spesifikasi sebenar Proton Sembilu ini di Facebook Group Apa Khabar Proton Lama Hari Ini?, seorang ahli kumpulan berkenaan, Chan See Wah telah mendedahkan beberapa foto Proton Sembilu yang tidak pernah dilihat di internet sebelum ini. Dan yang paling penting Chan turut menyiarkan foto spec sheet sebenar Proton Sembilu!

    Dengan apa yang didedahkan oleh Chan ini, barulah misteri dan mitos berkenaan Proton Sembilu dapat dirungkai, dan maklumat tersebut disusun semula dalam artikel ini.

    Seperti yang semua tahu, Sembilu hadir dalam warna badan merah menyala bersama kit badan khas. Yang banyak tersiar di pelbagai laman adalah bahagian hadapannya – Sembilu menerima bampar yang direka bukan sahaja dengan liang udara tengah yang besar, malah liang udara sisi juga besar, sama dengan tujuan rekaan bampar pada Lancer Evo.

    Namun rekaan liang bampar pada Proton Sembilu ini adalah lebih ‘bulat’, berbanding rekaan Evo I/Evo II yang lebih bersegi. Sembilu juga dilihat mengenakan rim aloi OZ Chrono 15-inci berwarna putih yang sama seperti Lancer Evo II dan III.

    Pada bahagian sisi, Sembilu menerima skirt sisi dengan panel pada ruang roda hadapan dan belakang yang tinggi seakan diambil dari Mitsubishi Galant VR4. Manakala di belakang, gambar yang disiarkan oleh Chan mendedahkan model konsep ini hadir dengan spoiler but yang direka seakan spoiler Lancer Evolution II tetapi tanpa tiang di tengah.

    Proton Wira Sembilu 1994 – prototaip Wira 1.6 Turbo, asas penghasilan Wira C99 1.8 DOHC EXi Limited!

    Pada bahagian dalaman, Sembilu diberikan roda stereng Momo lebih sporty yang nampak seiras dengan roda stereng Lancer Evo II. Papan pemukanya masih kekal dari Wira, namun tempat duduk hadapan telah ditukar dengan tempat duduk Recaro dari siri Njoy. Berbanding Recaro Njoy pada Evo yang diberikan perehat kepala jenis “bantal”, perehat kepala pada Sembilu adalah dari jenis “jaring ikan”.

    Untuk sistem mekanikal, spec sheet yang disiarkan oleh Chan menunjukkan Sembilu dijana oleh enjin 1.6 liter yang dipadankan dengan sistem turbo ‘bolt-on’. Ini menafikan sama sekali Sembilu ialah sebuah Evo yang menggunakan muka dan lampu belakang Wira, dijana oleh enjin 4G63T 2.0 liter turbo bersama sistem pacuan semua roda. Selain itu, Sembilu juga menerima tingkat taraf pada sistem ekzos, suspensi dan juga pad brek.

    Jika diperhatikan dengan teliti, Sembilu ini sebenarnya diasaskan dari Wira 1.6 liter manual untuk pasaran eksport ke UK. Ia adalah kerana Sembilu menampilkan meter kelajuan yang memberikan bacaan MPH (batu sejam), manakala lampu belakang juga turut dilengkapi dengan lampu kabus.

    Untuk pengetahuan anda, pada tahun 1993 Wira dengan enjin 1.6 liter untuk pasaran tempatan hanya ditawarkan dengan kotak gear automatik, dan versi manual lima-kelajuan hanya boleh didapati untuk model 1.6 pasaran UK. Wira 1.6 dengan kotak gear manual untuk pasaran Malaysia hanya dijual pada lewat tahun 1994. Ini mungkin sebab mengapa EON Motorsport menggunakan Wira 1.6 UK Spec sebagai asas kepada model konsep Sembilu ini.

    Jadi apa pengakhiran projek Wira Sembilu ini? Adakah benar seperti khabar yang bertiup dibatalkan kerana bantahan JPJ? Agak tidak masuk akal sebenarnya dakwaan “Bantahan dari JPJ” berkenaan. Bahkan ketika ini proses homologasi JPJ tidaklah serumit sekarang.

    Pada era ini, EON Motorsport turut ada menjual kereta baru dengan rollcage dan juga suspensi rali untuk perlumbaan yang boleh dibeli dengan sistem pembiayaan bank yang sama seperti membeli kereta baru biasa di bilik pameran. Mereka tidak perlu bersusah payah untuk membuat proses VTA dengan JPJ seperti pasukan R3 menghasilkan Satria Neo Clubsport yang juga hadir dengan rollcage.

    Sebenarnya ada beberapa produk yang terhasil dari projek Wira Sembilu ini. Antaranya kit turbo bolt-on berkenaan akhirnya dijual dalam pasaran oleh EON Motorsport. Kit turbo tersebut dibangunkan bersama antara EON Motorsport dan juga Mosselmann Turbo System dari Belanda.

    Kit ini direka khas agar ia boleh terus dipasang pada mana-mana enjin 4G92 1.6 single cam Proton dengan mudah secara plug & play. Ia terdiri dari pengecas turbo dari Garret, manifold ekzos untuk pemadanan turbo, unit intercooler bersama hos-hos dan paip-paip yang diperlukan serta kotak komputer enjin yang telah ditala bagi disesuaikan dengan sistem turbo tersebut.

    Menerusi graf dyno yang dikongsikan dalam iklan yang disiarkan untuk kit turbo EON Motorsport ini, ia berupaya untuk meningkatkan kuasa asal enjin 4G92 tersebut dari sekitar 100 PS kepada 122 PS, dan tork maksima asal sekitar 150 Nm kepada lebih 200 Nm!

    Prototaip Proton Wira 1.8 DOHC EXi Limited. Foto ehsan kru EON Motorsport dan PERT, Md Masshoud bin Umar yang dimuat naik oleh anaknya, Amirul Hadi dari Apa Khabar Proton Lama Hari Ini

    Sembilu juga merupakan asas kepada penghasilan model prestasi pertama dari Proton iaitu Proton Wira C99 1.8 DOHC EXi Limited yang muncul pada 1995. Ia merupakan model edisi terhad yang dihasilkan hanya 2,500 unit dan terus dihomologasikan kepada FIA sebagai jentera rali.

    Untuk pengetahuan anda, sebelum versi produksi dilancarkan, versi prototaip Wira 1.8 Limited yang menerima sentuhan EON Motorsport sebenarnya menggunakan rekaan skirt sisi dan juga spoiler belakang yang sama dengan Wira Sembilu.

    Prototaip berkenaan juga turut menyaksikan Wira 1.8 Limited ini sebenarnya dirancang hadir standard dengan lips bampar hadapan, tombol gear kemasan gentian karbon dan juga set meter ‘tiga beradik’ yang diletakkan di bawah radio pada konsol tengah.

    Model produksi sebenar Proton Wira 1.8 DOHC EXi Limited 1995

    Namun ketika dilancarkan, tiada lips hadapan dan skirt sisi tidak diberikan, rim aloi dari AAC yang hanya berdiameter 14-inci dan rekaan spoiler ‘tiang gol’ di belakang diubah. Manakala pada bahagian kabin, kerusi Recaro Njoi masih dikekalkan dengan corak fabrik yang seakan sama dengan Sembilu, tombol gear ditukar dengan tombol gear Momo, roda stereng Momo tiga jejari masih dikekalkan, tetapi tiada meter “tiga beradik” pada konsol tengah.

    Untuk enjin, unit 4G93P DOHC pada Wira 1.8 Limited ini berupaya menghasilkan kuasa 140 PS dan tork maksima 167 Nm – 18 PS lebih berkuasa namun tork yang dihasilkan kurang sekitar 30 Nm berbanding enjin 1.6L dengan sistem turbo EON Motorsport.

    Ketika dilancarkan, Proton Wira 1.8 Limited ini dijual pada harga RM73,000 – agak mahal pada era berkenaan kerana ketika itu model-model jenama import turut dijual dalam julat harga yang lebih kurang sama. Bayangkan sekiranya aksesori penuh yang dipadankan pada versi prototaip dipadankan pada versi produksi, harganya mungkin boleh mencapai sehingga RM80k!

    GALERI: Prototaip Proton Wira 1.8 DOHC EXi Limited

    GALERI: Proton Wira 1.8 DOHC EXi Limited 1995 yang direstorasi oleh Dream Street Restoration (DSR)