Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Foto Honda City facelift 2023 bocor – akan dilancarkan di India Mac ini; gril, bampar & perincian dikemaskini

    Foto Honda City facelift 2023 bocor – akan dilancarkan di India Mac ini; gril, bampar & perincian dikemaskini

    Sedar tak sedar, sudah hampir empat tahun Honda City generasi sedia ada berada dalam pasaran selepas pendedahan sulungnya dibuat pada November 2019 di Thailand. Kini memang sudah masanya ia hadir dalam versi facelift, dan nampaknya India mungkin antara pasaran pertama yang akan menerima versi kemaskini tersebut yang dijangka didedahkan pada Mac nanti.

    Sebelum pelancaran rasminya dibuat, nah, ini dia beberapa foto City 2023 berkenaan yang telah pun bocor di internet. Dapat dilihat City berkenaan diberikan beberapa perubahan ketara pada bahagian luar dan sedikit pada bahagian dalaman.

    Untuk muka, City masih diberikan kluster lampu utama dan juga bahagian ‘kening’ krom yang sama. Namun pada gril, panel krom kini lebih nipis manakala elemen gril sarang lebah diberikan bahagian lebih besar. Gril pada bampar juga nampak sedikit lebih besar dari sebelum ini, dan perumah lampu kabus pada sebelah sisi sudah dihubungkan dengan gril tengah berkenaan.

    Foto Honda City facelift 2023 bocor – akan dilancarkan di India Mac ini; gril, bampar & perincian dikemaskini

    Manakala di belakang, bampar yang kelihatan ringkas dan bersih sebelum ini telah diadun dengan kemasan seakan diffuser pada sebelah bawah. Reflektor yang sebelum ini diletakkan ‘berdiri’ juga kini telah dialih dan ‘dibaringkan’ pada diffuser tersebut.

    Dalam kabin, rupa keseluruhannya masih nampak sama kecuali sedikit perubahan pada roda stereng dibuat di mana butang tekan untuk volume radio sebelum ini digantikan dengan suis jenis putar ke bawah. Laporan dari media-media di India turut menyebut bahawa City facelift ini turut akan menerima perincian tambahan seperti pengecas tanpa wayar serta tempat duduk berliang.

    Buat masa sekarang, City masih ditawarkan dengan enjin petrol 1.5 liter i-VTEC berkuasa 121 PS/245 Nm dan juga pilihan enjin turbodiesel i-DTEC berkuasa 100 PS/200 Nm. Kedua-duanya digandingkan dengan transmisi manual enam-kelajuan sebagai standard, dan hanya versi i-VTEC diberikan pilihan untuk kotak gear CVT.

    Namun untuk versi facelift nanti, versi diesel bakal digugurkan dari pasaran kerana kerajaaan India bakal memperkenalkan piawaian emisi Real Driving Emissions (RDE) pada 1 April 2023 bagi menggantikan standard BS6 sedia ada.

    Walau bagaimanapun City pasaran India selepas ini bakal menerima pilihan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV berkuasa 126 PS/253 Nm, hanya ditawarkan dalam varian kemasan tertinggi ZX. City facelift ini juga bakal menawarkan satu lagi varian rendah dalam kemaskini kali ini.

    Honda City generasi kelima ini dilancarkan di India buat pertama kali pada Julai 2020, manakala Malaysia pula menerima model yang sama pada Oktober 2020. Mungkin kita juga bakal menerima City facelift ini tahun ini atau awal tahun hadapan?

    GALERI: Honda City 1.5L V 2020 pasaran Malaysia

     
     
  • Toyota GR Supra 2023 rasmi di Malaysia — kotak gear manual 6-kelajuan dan 8AT, enjin 3.0L, dari RM645k

    Toyota GR Supra 2023 rasmi di Malaysia — kotak gear manual 6-kelajuan dan 8AT, enjin 3.0L, dari RM645k

    Penghulu segala kereta keluaran Toyota yang memulakan barisan kenderaan GR sebelum ini, Supra tampil sebagai model tahun 2023 dengan penawaran baru selepas mula diperkenalkan pada 2019. Coupe sport GR Supra akhirnya hadir dengan transmisi manual, membawa bersamanya pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan, seperti diingin oleh peminatnya sejak pengenalan empat tahun lalu itu. Ia dijual pada harga RM645,000 bagi model manual, dan RM655,000 bagi varian automatik, harga atas jalan dan tidak termasuk insuran.

    Kotak gear manual dengan enam-kelajuan yang melengkapi GR Supra 2023 dibangunkan khusus untuknya, melengkapi lagi karekter pemanduan seida ada yang diteraju oleh enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris dengan pengecas turbo twin-scroll. Dalam jelmaan terkininya, enjin 24-injap DOHC ini menghasilkan sebanyak 388 PS antara 5,800-6,500 rpm dan 500 Nm tork dari 1,800-5,000 rpm yang dihantar ke roda belakang — sebuah tetapan pemanduan sport yang didambakan ramai peminatnya.

    Transmisi manual 6-kelajuan pintar ini mampu memadankan kelajuan enjin ketika penukaran gear untuk memberikan peralihan yang lebih lancar dan rasa pemanduan sporty. Dengan laju maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j, pecutan 0-100 km/j versi manual ini memberikan bacaan 4.4 saat, sedikit lambat berbanding 4.1 saat untuk transmisi automatik sebelum ini.

    Toyota GR Supra 2023 rasmi di Malaysia — kotak gear manual 6-kelajuan dan 8AT, enjin 3.0L, dari RM645k

    Selain memberi pilihan tambahan kepada versi automatik lapan-kelajuan, jurutera GR Supra manual ini turut memperhaluskan lagi karekter stereng dan suspensinya dengan menambahbaik bushing bagi tiang penstabil serta melakukan talaan semula suspensi boleh ubah adaptifnya. Sistem kawalan casis juga telah dilaraskan semula untuk memberikan prestasi kendalian dan keselesaan yang lebih baik.

    Selain mempunyai agihan berat dalam nisbah 50:50, dinamik pemanduan yang cemerlang GR Supra diperkayakan lagi dengan suspensi pembolehubah adaptif dan slip-differential kawalan elektronik. Pemandu bagaimanapun masih boleh memilih tetapan sendiri untuk melanjutkan kemampuan prestasi serta meminimumkan campur tangan bantuan elektronik kereta ini. Rim aloi diperkukuh 19-inci adalah standard, dengan tayar 255/35 di depan dan 275/35 di belakang.

    Sebagai sebuah kereta sport, ruang dalamannya direka untuk memberi tumpuan lebih kepada pemandu. Antara perincian yang diberikan termasuklah kerusi balutan kulit, head-up display, kerusi sport larasan elektrik, cermin pandang belakang elektrokromatik dan sistem audio JBL dengan 12-pembesar suara.

    Dengan prestasi yang mengkagumkan GR Supra, kelengkapan keselamatannya juga perlulah selari. Teknologi yang melengkapi model ini termasuklah sistem keselamatan aktif yang akan membantu pemandu bila diperlukan. Kawalan melayar pula ada untuk varian manual, manakala versi automatic ada pertambahan kemampuan adaptif untuk ciri berkenaan.

    Turut ada ialah ciri lain seperti sistem pemantau tekanan tayar, sensor parkir pintar dengan fungsi brek kecemasan dan peninjau titik buta dengan amaran lintasan trafik di belakang. Pilihan warna badan yang tersedia ada lapan — Prominence Red, Lighting Yellow, White Metallic, Black Metallic, Dawn Blue Metallic, Volcanic Ash Grey Metallic, Matte Avalanche White Metallic dan Matte Storm Grey Metallic.

     
     
  • Toyota GR 86 rasmi mendarat di Malaysia – bermula RM295k, 2.4L NA, 237 PS/250 Nm, pilihan 6MT dan 6AT

    Toyota GR 86 rasmi mendarat di Malaysia – bermula RM295k, 2.4L NA, 237 PS/250 Nm, pilihan 6MT dan 6AT

    Selain dari GR Corolla dan GR Supra dalam versi kotak gear manual, ini satu lagi model penuh GR yang mendarat secara rasmi pada pasaran Malaysia menerusi acara yang dilangsungkan di Litar Antarabangsa Sepang malam ini – Ini dia, model generasi baharu Toyota 86 iaitu Toyota GR 86!

    Model ini secara rasminya telah didedahkan di Jepun pada April 2021. Ia sebelum ini dirancang untuk dilancarkan di Malaysia pada tahun lalu, tetapi akhirnya ditunda hingga tahun ini. Secara rasmi, model generasi baharu Hachiroku ini dijual di Malaysia pada harga atas jalan tanpa insuran RM295,000 untuk varian manual dan RM305,000 untuk varian automatik.

    Sama seperti Toyota 86 generasi sebelumnya, GR 86 masih dibangunkan bersama Subaru BRZ generasi baharu – kembarnya tersebut muncul lebih awal iaitu pada November 2020, kemudian sudahpun dilihat di bilik pameran Subaru Setia Alam sejak November tahun lalu.

    Toyota GR 86 rasmi mendarat di Malaysia – bermula RM295k, 2.4L NA, 237 PS/250 Nm, pilihan 6MT dan 6AT

    Dari segi rekaan, GR 86 menampilkan hampir keseluruhan rupa yang sama dengan BRZ termasuk lampu dan bampar belakang. Elemen utama yang membezakan antara kedua-duanya adalah bampar dan gril hadapan – GR 86 menerima rekaan “Gril Matrix” serta diapit dengan liang udara sisi bersama kemasan hitam berbentuk-L.

    Perincian lain seperti lampu hadapan dengan bentuk titisan air bersama jalur LED lampu nyalaan siang berbentuk-C bersepadu, liang udara sisi yang memang berfungsi, bumbung “double bubble” dan juga spoiler ekor itik yang bersepadu terus dengan penutup but belakang adalah seiras dengan BRZ.

    Subaru BRZ dan Toyota GR 86 ini diasaskan dari casis generasi sebelumnya, tetapi diolah dengan elemen dari Subaru Global Platform yang baharu. Ini membolehkan ia mencapai ketegaran torsi 50% lebih kuat dari sebelum ini hasil dari sistem cagak casis yang telah diperkuatkan.

    Toyota GR 86 rasmi mendarat di Malaysia – bermula RM295k, 2.4L NA, 237 PS/250 Nm, pilihan 6MT dan 6AT

    Dimensi untuk model generasi baharu ini juga tidak banyak berubah dari model sebelumnya, dengan GR 86 diukur mempunyai 4,265 mm (+25 mm) panjang, 1,775 mm lebar, 1,310 mm (-10 mm) tinggi, serta jarak roda sejauh 2,575 mm atau 5 mm lebih panjang.

    Model generasi baharu ini masih tidak diberikan pengecas turbo, sebaliknya dibekalkan enjin Boxer empat silinder NA yang lebih besar. Toyota GR 86 (dan Subaru BRZ) dijana oleh enjin petrol 2.4 liter (berbanding hanya 2.0L pada generasi sebelum) berkuasa 237 PS pada takat 7,000 rpm dan juga tork maksima 250 Nm seawal 3,700 rpm.

    Enjin dengan kod FA24D berkenaan masih dibekalkan dengan sistem suntikan bahan api D-4S Toyota, yang menampilkan sistem suntikan terus ke dalam kebuk pembakaran dan juga suntikan port. Ia juga dibekalkan dengan sistem injap bervariasi dual Active Valve Control System (DAVCS), dengan empat aci sesondol (dua setiap kepala) yang digerakkan oleh timing chain.

    Toyota GR 86 rasmi mendarat di Malaysia – bermula RM295k, 2.4L NA, 237 PS/250 Nm, pilihan 6MT dan 6AT

    Kuasa dari enjin masih hanya disalurkan hanya ke roda belakang menerusi kotak gear enam-kelajuan dalam pilihan manual atau automatik. Menurut Toyota, GR 86 mampu untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.3 saat, atau 1.1 saat lebih pantas dari Toyota 86 generasi sebelum ini. Model dengan kotak gear auto pula memerlukan 6.8 saat untuk pecutan sama.

    Oleh sebab itu, Toyota GR 86 ini tidak lagi diberikan tayar ‘eco’ seperti model generasi sebelumnya untuk memudahkan ia membuat aksi drift, sebaliknya sudah menerima tayar prestasi sebenar Michelin Pilot Sport bersaiz 215/40R18.

    Sistem kestabilan elektronik (VSC) dan Traction Control pada GR 86 ini diintegrasikan bersama mod-mod pemanduan yang disediakan sama ada untuk pemanduan jalan raya atau litar. Sebanyak lima kombinasi berbeza antara VSC dan TRC, dengan talaan dari bantuan sepenuhnya sehingga tanpa sebarang bantuan (untuk pemandu lebih berpengalaman).

    Mod Track juga disediakan yang direka dengan bantuan pelumba-pelumba profesional Toyota Gazoo Racing, yang memberikan data penting masa sebenar ketika pemanduan dalam litar.

    Bahagian dalaman GR 86 ini juga nampak seiras dengan Subaru BRZ generasi baharu. Ia menampilkan papan pemuka, sistem infotainmen, paparan instrumen digital, suis susunan seperti kekunci piano untum sistem pendingin hawa semuanya sama untuk kedua-dua model. Apa yang berbeza cuma logo Toyota dan lencana GR pada roda stereng.

    Model dengan kotak gear auto turut menerima pedal penukar gear di belakang roda stereng. Model pasaran Malaysia ini juga datang standard dengan perincian seperti upholsteri gabungan kulit premium dan sued dan tempat duduk pemandu larasan manual enam-hala dan sistem pendingin hawa dua zon.

    Untuk sistem infotaimen pun, GR 86 pasaran Malaysia ini menampilkan skrin sesentuh lapan-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, dihubungkan kepada enam pembesar suara. Manakala pemandu menerima paparan instrumen digital dengan skrin TFT LCD berwarna tujuh-inci.

    Toyota GR 86 rasmi mendarat di Malaysia – bermula RM295k, 2.4L NA, 237 PS/250 Nm, pilihan 6MT dan 6AT

    Untuk keselamatan, Toyota GR 86 ini menerima tujuh-beg udara bersama sistem bantuan pemanduan yang terdiri dari amaran pra pelanggaran hadapan, amaran keluar laluan, brek undur automatik, pemantau titik buta dan lampu hadapan adaptif dan lampu tinggi automatik. Untuk model dengan kotak gear automatik, ia turut datang dengan sistem cruise control adaptif.

    Toyota GR 86 ini datang dengan perlindungan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan sama seperti model-model biasa Toyota yang lain. Namun untuk membeli GR 86 ini atau mana-mana model dengan logo GR lain, anda perlu datang ke pengedar yang mempunyai outlet GR Garage. Setakat ini hanya lima pengedar yang mempunyai fasiliti GR Garage berkenaan – tiga daripadanya terletak di Lembah Klang, satu di utara semenanjung dan satu lagi di selatan.

    GR Garage diperkenalkan buat pertama kali di sini pada 2019 serentak dengan pelancaran GR Supra ke pasaran tempatan, dan Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang menyediakan GR Garage di luar Jepun. Anda bukan sahaja boleh membeli model-model GR, peralatan prestasi GR dan juga cenderamata GR, malah GR Garage turut menyediakan perkhidmatan bagi mereka yang berminat untuk membeli kereta untuk tujuan perlumbaan dan akan diberikan sekali sokongan dan bantuan servis selepas jualan.


     
     
  • Toyota Hilux GR Sport dilancar di Malaysia – RM160k, 204 PS/500 Nm, suspensi ditala semula, lebih sporty

    Toyota Hilux GR Sport dilancar di Malaysia – RM160k, 204 PS/500 Nm, suspensi ditala semula, lebih sporty

    Seperti yang diumumkan minggu lalu, hari ini secara rasminya UMW Toyota Motor (UMWT) melancarkan tiga model GR sebenar dan dua model GR Sport baharu, dan salah satunya, ini dia – Toyota Hilux GR Sport! Menerusi trak pikap ini, UMWT dapat menambah lagi pilihan model GR Sport dalam pasaran tempatan selain Vios GR Sport yang telah dilancarkan pada Disember 2020 dan juga Corolla Cross GR Sport yang turut dilancarkan hari ini.

    Kini Toyota Hilux GR Sport ini bukan sahaja menjadi varian Hilux paling sporty dan paling tinggi dari segi spesifikasi untuk pasaran Malaysia, malah ia juga merupakan varian paling mahal yang dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM159,880.

    Toyota GR Sport pasaran Malaysia ini diasaskan dari model CKD Hilux Double Cab 2.8 Rogue 4X4 yang dijual pada harga RM152,880. Untuk rupa luaran, Hilux GR Sport ini dibezakan dengan gril baharu yang nampak sama seperti Hilux GR Sport pasaran Thailand. Kesemua overfender menerima kemasan warna badan, manakala perumah lampu kabus hadapan, cermin sisi dan juga sports bar pada bed belakang disudahkan dengan warna hitam berkilat.

    Toyota Hilux GR Sport dilancar di Malaysia – RM160k, 204 PS/500 Nm, suspensi ditala semula, lebih sporty

    Hanya tiga warna badan ditawarkan untuk Toyota Hilux GR Sport ini iaitu Super White II, Attitude Black Mica dan Crimson Spark Red Metallic. Ia turut disertakan dengan pelekat badan dengan grafik hitam dan merah yang diinspirasikan dari livery perlumbaan rasmi kereta-kereta lumba Toyota Gazoo Racing.

    Bagi melengkapkan rupa Hilux GR Sport ini, ia menerima rim aloi 18-inci dengan rekaan eksklusif serta diberikan kemasan hitam berkilat, dibalut dengan tayar Highway Terrain (HT) bersaiz 265/60R18. Angkup brek model ini disembur dengan warna merah dan turut menampilkan logo GR.

    Perincian lain yang dibawa dari Hilux Rouge ke GR Sport ini termasuk lampu projektor bi-LED automatik bersama lampu nyalaan siang dan lampu kabus LED, serta lampu isyarat membelok pada cermin sisi kawalan elektrik.

    Toyota Hilux GR Sport dilancar di Malaysia – RM160k, 204 PS/500 Nm, suspensi ditala semula, lebih sporty

    Seperti Rogue, Hilux GR Sport ini dijana oleh enjin 1G-FTV 2.8L empat silinder turbodiesel yang menghasilkan kuasa 204 PS pada 3,400 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 rpm hingga 2,800 rpm – tiada talaan kuasa sehingga 224 PS/550 Nm seperti yang diterima pada Hilux GR Sport pasaran Afrika Selatan dan Australia diberikan.

    Kuasa juga masih dihantar pada kotak gear enam-kelajuan automatik dengan fungsi manual sequential, serta sistem 4WD yang boleh diaktif dan dinyahaktifkan ketika bergerak dengan menggunakan suis putar. Manakala gandar belakang dilengkapkan dengan LSD automatik, dan sistem pacuan ini turut berintegrasi dengan sistem Active Traction Control dan Diff Lock bagi memberikan kebolehan meredah laluan off-road yang lebih baik.

    Walaupun tanpa bekalan kuasa lebih besar, Hilux GR Sport pasaran Malaysia ini masih diberikan talaan suspensi yang lebih sporty menerusi pemadanan penyerak hentak monotube dan pegas gegelung yang berbeza dari Hilux Rouge.

    Menurut Toyota, talaan suspensi baharu ini menampilkan “daya redaman yang lebih tinggi dan keseimbangan antara suspensi hadapan dan belakang yang lebih baik, bagi memberikan pengendalian cemerlang, meningkatkan kestabilan ketika mengambil selekoh serta respon stereng yang lebih tepat”.

    Pada bahagian kabin, Hilux paling sporty ini menampilkan gaya lazim sebuah model GR dan GR Sport iaitu tema berwarna hitam bersama serlahan-serlahan panel dan jahitan benang merah. Ia hadir dengan tempat duduk yang berbeza dari Rouge, menampilkan struktur bagi memberikan rasa lebih sporty, balutan kombnasi kulit dan sued serta sulaman logo GR pada perehat kepala.

    Pemandu menerima butang penghidup enjin GR, roda stereng GR dan buat pertama kali Hilux pasaran Malaysia diberikan pedal penukar gear, set pedal kaki aluminium serta paparan instrumen dengan meter Optitron bersama skrin pelbagai info TFT berwarna 4.2-inci yang memberikan animasi selamat datang GR.

    Antara perincian lain yang dikongsi antara Hilux Rouge dan GR Sport adalah termasuk skrin sesentuh untuk sistem infotainmen bersaiz X-inci dengan sokongan Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto, enam pembesar suara serta sistem pendingin hawa lengkap dengan liang penghembus untuk kabin belakang.

    Untuk keselamatan, Hilux GR Sport dibekalkan dengan tujuh-beg udara, sistem kestabilan elektronik (VSC), cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofix serta pemantau titik buta bersama amaran lintasan trafik belakang.

    Sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS) dari Rouge juga terus dibawa pada Hilux GR Sport ini, memberikan fungsi yang terdiri dari Pre- Collision System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dan Lane Departure Alert (LDA) dengan Yaw Assist.

    Secara standard, Toyota Hilux GR ini dilengkapi dengan penderia parking belakang yang lengkap dengan kamera undur. Namun pembeli boleh memilih ciri opsyen Pemantau Pandangn Panaromik (PVM) yang memberikan visual 360-darjah menerusi empat kamera yang dipadankan di sekeliling badan trak pikap ini.

    Toyota Hilux GR Sport ini datang dengan perlindungan waranti lima-tahun atau 150,000 km sama seperti varian Toyota Hilux yang lain. Namun untuk membeli Hilux GR Sport ini atau mana-mana model dengan logo GR lain, anda perlu datang ke pengedar yang mempunyai outlet GR Garage. Setakat ini hanya lima pengedar yang mempunyai fasiliti GR Garage berkenaan – tiga daripadanya terletak di Lembah Klang, satu di utara semenanjung dan satu lagi di selatan.

    GR Garage diperkenalkan buat pertama kali di sini pada 2019 serentak dengan pelancaran GR Supra ke pasaran tempatan, dan Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang menyediakan GR Garage di luar Jepun. Anda bukan sahaja boleh membeli model-model GR, peralatan prestasi GR dan juga cenderamata GR, malah GR Garage turut menyediakan perkhidmatan bagi mereka yang berminat untuk membeli kereta untuk tujuan perlumbaan dan akan diberikan sekali sokongan dan bantuan servis selepas jualan.

     
     
  • Toyota GR Corolla tiba di Malaysia – RM355,000, 1.6L 3-silinder turbo, 304 PS/370 Nm, 6MT, AWD GR-Four

    Toyota GR Corolla tiba di Malaysia – RM355,000, 1.6L 3-silinder turbo, 304 PS/370 Nm, 6MT, AWD GR-Four

    Yang dinanti-nanti sudah tiba, ini dia Toyota GR Corolla secara rasminya telah dilancarkan di Malaysia! Hot-hatch ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM355,000, menjadi sejarah sebagai Corolla paling mahal dan paling laju pernah dijual oleh UMW Toyota di sini.

    GR Corolla membuat kemunculan sulung globalnya di Amerika Syarikat pada April tahun lalu, jadi bermaksud ia tiba di Malaysia tidak sampai setahun. Namun sebelum Malaysia, GR Corolla sudah pun mendarat di Thailand terlebih dahulu, dilancarkan pada November 2022 dan dijual pada harga 3.949 juta baht (RM500,352).

    Malah walaupun ia diasaskan dari Corolla Hatchback, GR Corolla perlu dipasang di fasiliti GR Factory di kilang Motomachi di Jepun, bersama GR Yaris. Ini kerana kerangka asas GR Corolla tersebut perlu disediakan seakan kereta lumba sebenar bagi memberikan badan lebih tegar dari Corolla Hatchback biasa yang mempengaruhi prestasi dan pengendaliannya. Antara perkara yang dibuat termasuk memberikan bahan perekat panel yang lebih banyak berbanding model biasa.

    Toyota GR Corolla tiba di Malaysia – RM355,000, 1.6L 3-silinder turbo, 304 PS/370 Nm, 6MT, AWD GR-Four

    Model ini masih menggunakan asas enjin yang sama seperti adiknya, GR Yaris iaitu enjin G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter turbo. Namun berbanding GR Yaris yang menghasilkan ‘hanya’ 261 PS, enjin sama pada GR Corolla yang ditala semula ini berupaya untuk menjana 304 PS (300 hp) pada takat 6,500 rpm bagi disesuaikan dengan badannya yang lebih besar. Walau bagaimanapun kadar tork yang dibekalkan adalah sama iaitu 370 Nm bermula 3,000 hingga 5,550 rpm.

    Antara perkara yang dibuat untuk mengekstrak kuasa lebih besar tersebut adalah dengan pemadanan sistem ekzos baharu dan juga menaikkan kadar boost turbo. Secara mata kasar, sistem ekzos GR Corolla ini menampilkan tiga tip pada bampar belakang. Ia bukan sekadar gimik kerana sistem ekzos yang turut diberikan injap berkenaan dapat mengurang tekanan, sekaligus “memberikan pecutan yang luar biasa serta tambahan RPM yang lebih menyeronokkan”, dakwa Toyota.

    Enjin berkenaan dipadankan hanya dengan kotak gear manual pintar (i-MT) enam-kelajuan, tanpa pilihan sebarang transmisi automatik. Jadi untuk anda yang mahukan GR Corolla automatik sekadar untuk ‘melaram’, boleh lupakan niat itu. Kotak gear tersebut turut menampilkan tuil penukar jenis short-stroke serta diposisikan dekat dengan roda stereng agar ia dapat dicapai dengan cepat oleh pemandu. Padanan ini membolehkan GR Corolla memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.3 saat.

    Sama seperti GR Yaris, GR Corolla ini turut diberikan sistem pacuan semua roda GR-Four yang dibangunkan menerusi Kejohanan Rali Dunia (WRC). Sistem tersebut menampilkan LSD jenis Torsen yang diberikan secara standard pada gandar hadapan dan belakang, serta plat klac 4WD pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork antara hadapan dan belakang diagihkan menerusi mod yang boleh dipilih.

    Toyota GR Corolla tiba di Malaysia – RM355,000, 1.6L 3-silinder turbo, 304 PS/370 Nm, 6MT, AWD GR-Four

    Tiga mod utama sistem GR-Four ini masih sama seperti GR Yaris; “Normal” dengan agihan tork 60 peratus roda hadapan dan 40 peratus roda belakang; “Sport” 30 peratus hadapan dan 70 peratus belakang; “Track” 50:50 yang bukan sahaja untuk kegunaan litar, malah untuk permukaan gravel dan salji.

    Kalau anda perasan, badan GR Corolla ini juga lebih lebar dari Corolla Altis mahupun Corolla Hatchback biasa. Ini kerana ia sememangnya diberikan fender hadapan 20 mm lebih lebar dan belakang 30 mm lebih lebar dari model standard. Ia bukan sekadar untuk rupa yang garang semata-mata, tetapi ia adalah untuk suspensi serta set roda yang memberikan jarak trek hadapan 60 mm lebih lebar dan trek belakang 85 mm lebih lebar, sekali lagi untuk prestasi dan pengendalian.

    Konfigurasi asal sistem suspensi GR Corolla ini kekal dengan topang McPherson di hadapan dan double wishbone di belakang. Ia menampilkan set bushing jenis pillow ball, serta talaan terhadap penyerap hentak, spring serta jajaran roda yang dioptimakan bagi membolehkan tork dari sistem GR-Four diagih lebih baik terhadap permukaan jalan. Toyota juga telah menala sistem kawalan kestabilan ketika pemanduan sporty agar ia memberikan keyakinan dan keseronokan walaupun kereta ini dipandu sehingga ke hadnya.

    Tidak cukup dengan itu, GR Corolla ini juga menerima pendakap-pendakap tambahan pada badan, antaranya di bahagian tengah antara ruang roda kiri dan kanan sebelah belakang, terowong bawah badan dan juga di bawah lantai pada bahagian hadapan tangki minyak – kesemua ini bagi memberikan kestabilan pengendalian yang lebih baik.

    Toyota GR Corolla tiba di Malaysia – RM355,000, 1.6L 3-silinder turbo, 304 PS/370 Nm, 6MT, AWD GR-Four

    Untuk memberhentikan kereta ini, GR Corolla dilengkapi dengan sistem brek menampilkan cakera bersaiz 18-inci bersama angkup empat omboh di hadapan, dan juga cakera 16-inci bersama angkup dua omboh di belakang. Kuasa dari sistem pacuan semua roda dialirkan ke permukaan tar menerusi tayar Yokohama Advan Apex bersaiz 235/40R18 yang membaluti set rim aloi 18-inci 15-jejari dari Enkei dalam kemasan hitam berkilat.

    Untuk rupa luaran, seperti diberitahu tadi GR Corolla tampil dengan badan yang lebih lebar dari Corolla Hatchback biasa. Bampar hadapan pula diberi rekaan tipikal GR dengan liang udara utama yang lebih besar bagi memberikan aliran udara lebih baik tidak kira sama ada di litar, jalan raya dengan permukaan lasak, mahupun di atas permukaan salji.

    Liang udara yang besar turut diberikan pada fender, manakala fender belakang yang dilebarkan turut melibatkan panel tambahan pada pintu. Bampar belakang pula diolah semula bagi memberikan reflektor yang direka lebih tegak, bersama diffuser lebih agersif serta perumah untuk tiga tip ekzos yang bersaiz besar.

    Sama seperti GR Yaris, panel bumbung GR Corolla ini diperbuat dari plastik diperkuat gentian-karbon (CFRP) dengan proses kompaun acuan lembaran (SMC) yang membolehkan ia dihasilkan dengan rupa lebih bebas, serta menampilkan komponen yang lebih ringan dan lebih kuat.

    Toyota GR Corolla tiba di Malaysia – RM355,000, 1.6L 3-silinder turbo, 304 PS/370 Nm, 6MT, AWD GR-Four

    Tidak seperti GR Yaris yang nampak ‘kosong’ dan dihasilkan semata-mata untuk dipandu, kabin GR Corolla ini nampak lebih mewah. Ia masih menampilkan papan pemuka yang sama seperti Corolla Hatchback biasa, tetapi diberikan paparan instrumen digital TFT penuh bersaiz 12.3-inci yang dihasilkan khas untuk model GR, diinsprasikan dari kereta lumba serta mendapat input dari pelumba profesional.

    Paparan instrumen tersebut akan ‘meraikan’ pemandu dengan animasi selamat datang GR setiap kali enjin dihidupkan, dan turut memberikan maklumat berkenaan mod AWD GR Four, tekanan boost turbo, kedudukan gear dan pelbagai lagi. Tak cukup? Ada juga paparan Head-up yang dipancarkan pada cermin hadapan bagi lebih memudahkan pemandu melihat maklumat pemanduan yang diperlukan.

    Selain itu, model ini juga diberikan tema hitam dengan serlahan-serlahan merah bersama kelengkapan GR lain seperti tempat duduk GR yang ‘memeluk’ badan anda dengan lebih erat, roda stereng GR balutan kulit, set pedal aloi, tombol gear balutan kulit dan juga logo-logo GR di tempat sepatutnya.

    Berbanding Corolla biasa yang diberikan brek parkir elektronik, GR Corolla ini hanya diberikan brek parkir manual yang menggunakan tuil tradisional. Mungkin ada yang fikir ini kerana cut cost bukan? Tidak, ini kerana GR Corolla masih lagi mengutamakan prestasi berbanding perincian mewah – brek parkir manual ini sangat diperlukan dalam pemanduan prestasi khususnya ketika beraksi dalam litar gymkhana dan rali, serta untuk memulakan aksi drift.

    Toyota GR Corolla tiba di Malaysia – RM355,000, 1.6L 3-silinder turbo, 304 PS/370 Nm, 6MT, AWD GR-Four

    Untuk sistem hiburan pula, bahagian tengah papan pemuka GR Corolla ini diberikan skrin sesentuh sembilan-inci yang memberikan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Ia juga datang dengan sistem penghawa dingin dua zon serta pengecas tanpa wayar.

    Manakala untuk keselamatan, GR Corolla ini hadir standard dengan tujuh beg-udara bersama sistem Toyota Safety Sense (TSS). Sistem bantuan pemanduan TSS berkenaan beroperasi menggunakan kamera manokular dan radar, memberikan fungsi seperti brek kecemasan automatik dan sebagainya.

    Model pasaran Malaysia ini turut disertakan dengan kamera perakan digital (DVR) pada bahagian hadapan serta filem penapis haba Toyota Premium Security and Solar Film secara standard. Pembeli juga ditawarkan untuk memadankan Vehicle Telematics System secara opsyenal yang mampu mengesan lokasi kenderaan tersebut sekiranya dicuri.

    Toyota GR Corolla tiba di Malaysia – RM355,000, 1.6L 3-silinder turbo, 304 PS/370 Nm, 6MT, AWD GR-Four

    Tidak seperti GR Yaris yang dibina terhad 25,000 unit untuk pasaran seluruh dunia (Malaysia hanya menerima 127-unit) kerana dihasilkan sebagai model homologasi istimewa FIA untuk WRC, Toyota tidak menetapkan GR Corolla ini sebagai model edisi terhad. Namun jumlah pengeluarannya setiap tahun tidak akan dibuat dengan banyak untuk menjaga nilai eksklusifnya.

    Toyota GR Corolla ini datang dengan perlindungan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan sama seperti model-model biasa Toyota yang lain. Namun untuk membeli GR Corolla ini atau mana-mana model dengan logo GR lain, anda perlu datang ke pengedar yang mempunyai outlet GR Garage. Setakat ini hanya lima pengedar yang mempunyai fasiliti GR Garage berkenaan – tiga daripadanya terletak di Lembah Klang, satu di utara semenanjung dan satu lagi di selatan.

    GR Garage diperkenalkan buat pertama kali di sini pada 2019 serentak dengan pelancaran GR Supra ke pasaran tempatan, dan Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang menyediakan GR Garage di luar Jepun. Anda bukan sahaja boleh membeli model-model GR, peralatan prestasi GR dan juga cenderamata GR, malah GR Garage turut menyediakan perkhidmatan bagi mereka yang berminat untuk membeli kereta untuk tujuan perlumbaan dan akan diberikan sekali sokongan dan bantuan servis selepas jualan.

     
     
  • Toyota Corolla Cross 1.8 GR Sport 2023 dilancar — dari varian 1.8V, suspensi keras, imej garang, RM142k

    Toyota Corolla Cross 1.8 GR Sport 2023 dilancar — dari varian 1.8V, suspensi keras, imej garang, RM142k

    Daripada lima model GR/GR Sport yang diperkenalkan oleh UMW Toyota Motors untuk pasaran tempatan hari ini, satu daripada model yang terlibat ialah Corolla Cross 1.8L GR Sport, sebuah model crossover/SUV segmen B yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Ia menjadi varian baru yang ditawarkan untuk model berkenaan, dengan harga jualan RM142,000, atas jalan tidak termasuk insuran.

    Toyota Corolla Cross GR Sport menampilkan penggayaan sporty di luar dan juga di dalam. Tidak hanya itu, menurut Toyota, Corolla Cross 1.8L GR Sport ini juga memberikan pengalaman pemanduan yang sporty dengan kendalian yang lebih baik.

    Dari aspek luaran, model ini dibezakan dari varian lain melalui penggunaan pakej luaran dua-tona dengan kemasan hitam bagi cermin sisi, bumbung dan spoiler belakang. Lampu belakang juga dari jenis LED; bahagian bawah bampar belakang dengan rekaan khusus serta sporty diffuser; rekaan gril dengan penyudah hitam dan rekaa mesh yang lebih menonjol; rim aloi 18-inci dengan rekaan jejari berkembar dalam rekaan khusus GR Sport; tiga pilihan warna badan — Platinum White Pearl dua tona, Red Mica Metallic dua tona dan Nebula Blue dua tona.

    Toyota Corolla Cross 1.8 GR Sport 2023 dilancar — dari varian 1.8V, suspensi keras, imej garang, RM142k

    Di dalam, Corolla Cross GR Sport menampilkan kelainan ciri seperti berikut: ruang dalaman hitam dengan jahitan kontras merah untuk stereng, tombol gear balutan kulit serta kerusi balutan kulit; logo GR di butang Push Start dan tekapan pada perehat kepala; dan tikar pelapik dengan rekaan GR.

    Untuk enjin, ia masih menggunakan unit yang sama seperti varian lain, ZR-FE 1.8 liter empat-silinder Dual VVT-i petrol, dengan janaan maksimum 139 PS @ 6,400 rpm dan 172 Nm @ 4,000 rpm tork. Transmisi Sequential Shiftmatic 7-kelajuan (CVT) pula menghantar kuasa ke roda depan. Dengan pendikit kawalan elektronik, transmisi ini didakwa lebih responsif, lancar dan senyap.

    Mod pemanduan SPORT membolehkan pemandu memilih kedudukan gear secara manual, memberikan pecutan lebih lonjakan serta maklumbalas peralihan gear yang lebih pantas. Memanfaat Toyota New Global Architecture (TNGA), platform berkenaan memberikan keseimbangan casis yang baik untuk Corolla Cross GR Sport, begitu juga menjadikannya lebih stabil dan lincah. Radius pusingan SUV ini pula ialah 5.2 meter, yang terbaik dalam kelasnya.

    Memberikan kelainan dari sudut dinamik prestasi varian sporty ini adalah penggunaan Sport ECU untuk stereng kuasa elektriknya untuk rasa dan maklum balasnya. Kedudukan titik graviti yang sudah sedia rendah telah mengurangkan olengan badan dengan tetapan khas untuk gegelung spring suspensi depan dan belakang serta strut-nya. Palang prestasi juga ditambah untuk menjadikan varian ini lebih tegap untuk mempertingkat aspek pengendaliannya dengan mengurangkan kesan olengan badan.

    Kelengkapan lain pada Corolla Cross GR Sport ini adalah sama seperti varian Corolla Cross 1.8V. Ini termasuklah landasan bumbung, kerusi pemandu dengan larasan kuasa 8-arah dengan kerusi belakang boleh dicondongkan penyandarnya, paparan infotainmen digital 9-inci (dengan sokongan Android Auto & Apple CarPlay) dengan pintu ruang barangan belakang berkuasa serta ada sensor kaki.

    Toyota Corolla Cross GR Sport turut dilengkapi dengan Toyota Safety Sense 2.0, peninjau pandangan panoramik 3D, tujuh beg udara SRS dan sistem telematik kenderaan.

    Dengan harga RM142k, Corolla Cross 1.8 GR Sport dijual pada harga RM4,600 lebih mahal daripada varian 1.8V. Senarai harga kenderaan Toyota bagi tahun 2023 juga ada melibatkan peningkatan, varian 1.8G paling asas kini dijual RM130,400 (+RM2,097), diikuti 1.8V pada RM137,400 (+RM2,971). Model hybridnya pula dijual dengan harga RM142,000 (+RM2,009), sama harga dengan varian GR Sport ini.

     
     
  • Jualan kenderaan Januari 2023 turun 35% – MAA

    Jualan kenderaan Januari 2023 turun 35% – MAA

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mendedahkan data jualan kenderaan bagi bulan Januari 2023, yang menyaksikan 49,461 buah kenderaan diserahkan kepada pelanggan. Jumlah ini menunjukkan penurunan sebanyak 35.5% berbanding 76,657 unit yang dicatat pada bulan Disember 2022 (-27,196).

    MAA memberitahu, penurunan jumlah jualan ini adalah disebabkan oleh jumlah hari bekerja yang kurang pada bulan itu, termasuk cuti perayaan Tahun Baru Cina, dan ada pengeluar masih terkesan dengan kekurangan komponen dan mikrocip.

    Apabila dibandingkan pula dengan bulan sama tahun 2022, yang mencatat 41,522 unit, catatan jualan bulan Januari 2023 adalah 19.1% (atau 7,928 unit) lebih tinggi. Pada waktu itu, kitaran pengeluaran di kilang masih dalam proses pemulihan akibat banjin besar yang melanda Shah Alam pada hujung tahun 2021.

    Bagi bulan Februari, meskipun jumlah harinya lebih sedikit, MAA menjangkakan jualan yang lebih banyak kerana hari bekerja adalah penuh. Persatuan itu juga menambah bahawa syarikat kereta dijangka memenuhi tempahan tertunggak yang masih ada.

     
     
  • Polis keluarkan peringatan bagi yang tidak memakai tali pinggang keledar semasa berada dalam kenderaan

    Polis keluarkan peringatan bagi yang tidak memakai tali pinggang keledar semasa berada dalam kenderaan

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah berkongsi segmen peringatan trafik menerusi Facebook rasminya mengenai ‘Kepentingan Memakai Tali Pinggang Keledar’.

    “Sikap cuai dengan tidak memakai tali pinggang keledar adalah punca utama individu itu berisiko kehilangan nyawa selain mendapat kecederaan parah termasuk penumpang yang duduk di bahagian belakang, sekiranya terlibat dalam kemalangan jalan raya.

    “Bahkan, mereka yang tidak memakai tali pinggang keledar semasa memandu boleh dikompaun di bawah Kaedah-Kaedah Kereta Bermotor (Tali Pinggang Keledar) (PU (A) 378/1978 004),” kata JSPT.

    Justeru, JSPT telah berkongsikan beberapa perkara asas yang perlu dititikberatkan demi keselamatan pemandu dan penumpang kenderaan, termasuk menerusi paparan video seperti di bawah. Katanya, semua individu diingatkan supaya sentiasa memakai tali pinggang keledar walaupun jarak perjalanan yang dekat.

    Sebelum itu, sila periksa tali pinggang keledar agar berfungsi dengan baik. Pastikan tali pinggang keledar dipasang melintangi bahagian dada dan pinggul. Untuk penumpang kanak-kanak dan bayi pula, sila gunakan kerusi keselamatan atau kerusi sokongan yang bersesuaian dengan mereka.

    “Penumpang kanak-kanak yang berada di dalam kenderaan juga tidak terkecuali daripada memakai tali pinggang keledar. Penggunaan tali pinggang keledar atau kerusi keselamatan kanak-kanak adalah penting sebagai perlindungan mereka apabila terlibat dalam kemalangan,” tambahnya lagi.

    Dalam masa yang sama, JSPT turut mengingatkan pengguna agar tidak memakai tali pinggang keledar yang berpintal.

    “Selain itu, jangan letakkan tali pinggang keledar di bawah lengan atau di belakang badan setelah dipasang. Juga, elakkan memangku anak di atas riba dan jangan berkongsi tali pinggang keledar dengan anak. Dan jangan gunakan ‘dummy buckle’ sebagai aksesori tambahan terutama mahu mengelakkan bunyi penggera amaran.

    “Menggunakan tali pinggang keledar adalah cara paling murah dan mudah untuk mengurangkan risiko kematian, sekiranya berlaku kemalangan jalan raya. Namun ramai masih gagal mengamalkan langkah keselamatan ini,” kata JSPT.

     
     
  • Program Menu Rahmah akan dilaksanakan di R&R Lebuhraya PLUS dalam masa terdekat – Menteri KKR

    Program Menu Rahmah akan dilaksanakan di R&R Lebuhraya PLUS dalam masa terdekat – Menteri KKR

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah mengumumkan program Menu Rahmah yang menawarkan makanan pada harga RM5 bakal dilaksanakan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya PLUS dalam masa terdekat.

    Katanya, cadangan pelaksanaan program yang bakal memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya itu, sudah dibincang pihak PLUS bersama pengendali gerai makanan di R&R.

    “Saya telah mengusulkan kepada pihak PLUS untuk bersama-sama dengan Kerajaan dalam usaha membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat termasuk menerusi program Menu Rahmah. PLUS secara amnya telah bersetuju dengan cadangan itu dan menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pengendali gerai makanan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) lebuhraya PLUS berkenaan cadangan itu.

    Program Menu Rahmah akan dilaksanakan di R&R Lebuhraya PLUS dalam masa terdekat – Menteri KKR

    “Saya juga dimaklumkan, pihak PLUS akan menyediakan perancangan yang lebih konkrit bagi melaksanakan perancangan Menu Rahmah di R&R PLUS ini. Saya amat berterima kasih kepada pihak PLUS di atas kerjasama yang baik ini,”katanya menerusi perkongsian di Facebook rasminya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut berharap agar dengan adanya penyediaan Menu Rahmah di hentian R&R PLUS akan memberikan manfaat kepada pengguna lebuhraya.

    Sebentar tadi, PLUS telah mengumumkan Menu Rahmah telah pun mula diperkenalkan di Restoran Burger King sepanjang Lebuhraya PLUS dengan harga yang berpatutan. Dengan harga RM5 per combo, pelanggan diberikan pilihan sama ada Cheesy Burger dengan air mineral atau pun BK Chick ‘n Crips juga bersama air mineral.

     
     
  • MOT dan KTMB lancar pas perjalanan tanpa had MyRailLife – percuma untuk pelajar sekolah dan OKU

    MOT dan KTMB lancar pas perjalanan tanpa had MyRailLife – percuma untuk pelajar sekolah dan OKU

    Kementerian Pengangkutan dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah melancarkan inisiatif baharu iaitu pas perjalanan tanpa had MyRailLife yang diberikan secara percuma kepada pelajar sekolah dan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi meringankan beban mereka yang menggunakan perkhidmatan kereta api.

    Pas perjalanan tanpa had MyRailLife ini dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dalam majlis yang berlangsung semalam, dan sudah boleh didapati bermula 15 Februari 2023.

    Menurut KTMB, pas perjalanan tanpa had MyRailLife ini boleh dinikmati oleh warganegara Malaysia iaitu pelajar sekolah dari Tahun 1 sehingga Tingkatan 6 serta golongan OKU yang telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

    “Pelaksanaan pas percuma ini dijangka dapat mengurangkan kos pengangkutan kepada 500 ribu orang pelajar sekolah dan OKU setahun yang menggunakan perkhidmatan KTM Komuter sector Lembah Klang dan Utara serta perkhidmatan Shuttle Timuran,” kata KTMB dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    MyRailLife merupakan pas percuma yang boleh digunakan tanpa had bagi perkhidmatan KTM Komuter sektor Lembah Klang, Utara dan Perkhidmatan Shuttle Timuran. Bagi KTM Komuter sektor Lembah Klang, ia terdiri daripada laluan Pulau Sebang – Batu Caves – Pulau Sebang dan laluan Pelabuhan Klang – Tanjung Malim – Pelabuhan Klang.

    Sementara, bagi perkhidmatan Komuter sektor utara laluan Padang Rengas – Butterworth – Padang Rengas dan laluan Butterworth – Padang Besar – Butterworth. Perkhidmatan tren KTM Shuttle Timuran (DMU) ialah bagi sektor laluan Gemas -Tumpat – Gemas.

    Para pelajar sekolah dan OKU boleh mula mendaftar MyRailLife melalui aplikasi KTM Mobile (KITS), laman sesawang KTMB atau di kaunter KTMB yang berhampiran.

     
     
  • Mercedes-Benz Agility+ kini di Malaysia – pembiayaan kenderaan serba mudah, jamin nilai kenderaan

    Mercedes-Benz Agility+ kini di Malaysia – pembiayaan kenderaan serba mudah, jamin nilai kenderaan

    Pelan pembiayaan Agility Financing oleh Mercedes-Benz sebelum ini telah diganti dengan pelan baru yang dipanggil sebagai Agility+. Masih lagi menawarkan fleksibiliti, ketenangan minda serta membantu menjaga nilai kenderaan, pelan baru ini sekarang datang dalam dua pakej servis.

    Dalam pelan ini, apa yang perlu anda lakukan hanya pilih tempoh bayaran semula dan jarak batuan setiap tahun bagi kenderaan Mercedes-Benz yang anda mahu, serta tetapkan bayaran pendahuluan untuk menentukan bayaran bulanan anda. Selepas itu anda tidak perlu berbuat apa-apa sehinggalah tiba di penghujung tempoh pelan – pada waktu itu anda perlu membuat keputusan sama ada mahu membayar penuh, sambung lagi tempoh atau pulangkan semula kenderaan.

    Sebagai contoh, bayaran semula melalui pelan Agility+ untuk C 200 Avantgarde CKD boleh menjadi serendah RM3,788 sebulan, untuk tempoh tiga tahun. Ini jauh lebih murah berbanding bayaran pinjaman bank biasa. Satu lagi yang bagus, anda tidak perlu memilih tempoh yang panjang untuk mendapatkan bayaran bulanan rendah.

    Setiap pakej Agility Financing ini juga datang dengan MobilityPlus tanpa sebarang bayaran tambahan. Jika kenderaan anda perlu berada di pusat servis berdaftar lebih daripada 48 jam, terlibat dalam kemalangan atau melakukan tuntutan waranti, anda akan diberi dengan kereta ganti. Ketahui lebih lagi tentang Agility+ di sini.

     
     
  • JPJ rugi RM14.38 juta membabitkan pembayaran cetak kad lesen memandu – laporan ketua audit negara

    JPJ rugi RM14.38 juta membabitkan pembayaran cetak kad lesen memandu – laporan ketua audit negara

    Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 mendedahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengalami kerugian dan pembaziran wang awam sebanyak RM14.38 juta membabitkan pembayaran perkhidmatan mencetak kad Lesan Memandu Malaysia (LLM).

    Menurut laporan terbabit, perkara ini berlaku disebabkan oleh kelemahan pemantauan JPJ terhadap peraturan dan perjanjian yang berkuat kuasa.

    “Sebanyak 1.83 juta keping kad LLM tidak digunakan bernilai RM14.23 juta dan penalti sejumlah RM149,178 tidak dikenakan terhadap pelanggaran Service Level Agreement (SLA),” menurut laporan LKAN 2021 Siri 2 seperti yang disiarkan oleh Bernama.

    Melalui laporan itu juga, pihak audit telah mencadangkan beberapa perkara bagi mengatasi kelemahan yang berlaku di jabatan berkenaan.

    “Antaranya, melakukan pemantauan terhadap penggunaan stok kad yang dibuat dari semasa ke semasa bagi memastikan penggunaan stok kad itu adalah secara optimum supaya tidak membazir. Memastikan SLA dipatuhi oleh syarikat dan sekiranya gagal, penalti atau denda akan dikenakan dengan segera,” menurut laporan tersebut.

    Selain itu, laporan itu turut mengesyorkan pemantauan terhadap perkhidmatan dibuat dengan lebih berkesan dengan mengambil tindakan segera terhadap masalah berbangkit.

     
     
  • Perkhidmatan KTM Komuter sektor utara ditambah kekerapan perjalanan mulai 18 Feb 2023 – KTMB

    Mulai Sabtu ini, 18 Februari 2023, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah kekerapan perjalanan KTM Komuter Sektor Utara.

    Menurut KTMB, penambahbaikan jadual waktu kepada perkhidmatan KTM Komuter Sektor Utara laluan Padang Besar ke Butterworth dengan peningkatan kekerapan dari 60 minit ke 20 minit pada waktu puncak pagi dan dari 60 minit ke 30 minit pada waktu puncak petang.

    Bagi laluan Butterworth ke Padang Besar pula, jadual perkhidmatan akan ditambah baik dengan kekerapan pada setiap 30 minit pada waktu puncak pagi dan petang.

    Manakala bagi laluan Padang Rengas–Butterworth–Padang Rengas akan turut ditambah baik dengan penambahbaikan kekerapan di ruang luar waktu puncak pada setiap 120 minit berbanding 180 minit kekerapan sebelum ini.

    Penambahan kekerapan perjalanan bagi tren berkenaan juga sekaligus turut meningkatkan jumlah perjalanan KTM Komuter bagi sektor utara. Di mana Laluan Padang Besar-Butterworth bakal mempunyai 36 perjalanan sehari berbanding 26 perjalanan sebelumnya. Manakala Laluan Padang rengas-Butterworth pula, ditambah ke empat perjalanan iaitu 16 perjalanan berbanding 12 perjalanan sebelum ini.

     
     
  • JPJ eBid: Siri AMW kini dibuka untuk dibida

    JPJ eBid: Siri AMW kini dibuka untuk dibida

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran bagi kenderaan baharu, ini ada lagi pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia sudah pun boleh dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Perak, AMW, telah pun dibuka bidaan sejak semalam, 16 Februari 2023. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 20 Februari ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 21 Februari 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • RON95 tanpa subsidi di Malaysia RM3.22 seliter – sedia bayar 57% lebih tinggi dengan subsidi bersasar?

    RON95 tanpa subsidi di Malaysia RM3.22 seliter – sedia bayar 57% lebih tinggi dengan subsidi bersasar?

    Pembukaan stesen minyak khas yang menjual minyak tanpa subsidi di Perlis mungkin hanya memberi kesan kepada kenderaan luar yang berada berhampiran sempadan utara negara kita dengan Thailand, tetapi ia juga dapat menunjukkan kepada kita apa yang boleh dijangka apabila program subsidi bersasar dilaksanakan nanti. Untuk makluman anda, tanpa subsidi kerajaan, petrol RON95 dijual pada harga RM3.22 seliter di Malaysia.

    Jika dibandingkan dengan harga bersubsidi sekarang, iaitu RM2.05 bagi RON95, harga itu adalah RM1.17 lebih tinggi. Ditukar pula kepada peratusan, ia bersamaan dengan 57% lebih tinggi berbanding harga yang kita bayar sekarang. Jadi, katakanlah dalam masa sebulan anda berbelanja RM300 untuk petrol, harga yang akan anda bayar tanpa subsidi adalah RM471 – lebih RM171.

    Sudah tentu, ini cuma menggunakan contoh yang mudah dan buat masa ini, kita masih belum tahu bagaimana mekanisme subsidi minyak bersasar akan dilaksanakan dan lebih penting lagi, bila ia akan diguna pakai. Mereka yang berada di luar kategori sasaran ini pula bagaimana? Adakah mereka akan membayar harga penuh, atau masih akan mendapat subsidi tetapi dalam jumlah yang lebih sikit?

    RON95 tanpa subsidi di Malaysia RM3.22 seliter – sedia bayar 57% lebih tinggi dengan subsidi bersasar?

    Cara penentuan siapa yang layak untuk subsidi minyak ini juga masih belum diketahui. Setakat ini apa yang diberitahu adalah kerajaan akan menggunakan data kapasiti kenderaan anda sebagai ukuran, tetapi cara kira-kira sebenarnya juga masih belum jelas.

    Pada tahun 2018, kerajaan waktu itu mencadangkan had sehingga 1.3 liter – jika enjin kenderaan anda lebih besar, anda tidak akan mendapat subsidi. Selepas itu dalam Bajet 2019 ia ditingkatkan kepada 1.5 liter, dan kemudiannya dinaikkan sekali lagi kepada 1.6 liter. Kali terakhir dinyatakan, jika enjin anda lebih daripada 1.6 liter, tetapi berusia lebih 10 tahun, anda masih akan layak.

    Untuk motosikal pula, had yang ditetapkan adalah 125 cc, dan kemudiannya dinaikkan kepada 150 cc. Untuk motosikal dengan enjin lebih besar, ia perlu berusia lebih tujuh tahun untuk layak menerima subsidi. Semua ini sepatutnya dilaksanakan pada Januari 2020, tetapi disebabkan oleh pandemik, PKP dan sudah tentu, pertukaran kerajaan, ia masih belum berlaku.

    Setakat penghujung tahun 2022, menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub memberitahu bahawa selain kapasiti enjin mengikut data JPJ, kerajaan juga akan melihat kepada informasi berkaitan lain dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Khazanah Nasional dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk menentukan sama seseorang itu layak untuk mendapat subsidi atau tidak.

    Sekali lagi, mekanisme sebenar untuk subsidi ini masih belum diketahui. Jika melihat kepada tahap pendapatan, adakah hanya golongan B40 sahaja yang layak? Jika ya, adakah had penentunya akan berbeza mengikut negeri? Bagaimana pula dengan minyak yang digunakan untuk syarikat atau perdagangan – adakah ia hanya bergantung sepenuhnya kepada individu yang mengisi minyak di stesen? Soalan yang ada sekarang memang tidak berpenghujung.

    Buat masa sekarang, kita cuma dapat menjangka topik program subsidi minyak bersasar ini akan dibawa ke Bajet 2023, yang akan dibentangkan oleh menteri kewangan dan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu hadapan, 24 Februari. Adakah waktu itu semua soalan kita ini akan terjawab?

     
     
  • Isuzu D-Max 2023 dilancar – diff-lock kini standard untuk semua, rupa disegarkan, bermula RM95k

    Isuzu D-Max 2023 dilancar – diff-lock kini standard untuk semua, rupa disegarkan, bermula RM95k

    Setelah tiba di Malaysia dua tahun lalu, kini model generasi ketiga Isuzu D-Max diperkenalkan dalam versi kemaskini 2023 yang menampilkan pelbagai penyegaran perincian rupa dan mekanikal bagi semua varian yang dijual pada pasaran tempatan.

    D-Max 2023 ini masih kekal ditawarkan dalam bentuk badan Single Cab dengan pilihan enjin turbo diesel 3.0L dan 1.9L (kedua-duanya diberikan sistem 4X4 dan hanya kotak gear manual) serta bentuk badan Double Cab bermula varian asas Standard 1.9L 4X4 AT dan MT, diikuti varian 1.9L 4X2 Auto Plus (hanya AT), varian pertengahan 1.9L 4X4 AT Premium dan 3.0L 4X4 AT Premium, dan varian paling tinggi 3.0L 4X4 AT X-Terrain.

    Untuk bahagian luaran, model kemaskini 2023 ini menyaksikan kesemua varian menerima rekaan gril baharu. Model Premium dan X-Terrain, ia kini ditawarkan dengan warna baharu Islay Gray Mica, manakala rona putih Silky Pearl White untuk kedua-dua varian ini telah digantikan dengan Dolomite White yang lebih menyerlah.

    Bagi varian Premium, Auto Plus dan Standard dengan kotak gear automatik, warna badan Sapphire Blue sebelum ini digantikan dengan warna Biarritz Blue Metallic. Selain itu, model X-Terrain dan Premium kini menerima penutup lampu kombibasi belakang yang baharu.

    Isuzu D-Max 2023 dilancar – diff-lock kini standard untuk semua, rupa disegarkan, bermula RM95k

    Khas untuk varian X-Terrain, ia menerima rel bumbung, cermin sisi, pembukan pintu dan tailgate, panel pada bampar hadapan, pemijak sisi dan overfender dalam kemasan kelabu gelap, bersama kemasan skid plate bawah bampar hadapan berwarna perak.

    Rekaan rim aloi 18-inci untuk varian X-Terrain dan Premium serta rim aloi 17-inci pada varian Auto Plus dan Standard juga telah dikemaskini dengan rekaan baharu.

    Perincian lain masih lagi kekal dengan lampu halogen bersama fungsi Follow Me Home dan lampu nyalaan siang jenis mentol diberikan pada semua varian Single Cab dan Standard MT, manakala lampu Bi-LED diberikan pada model Standard AT dan Auto Plus. Lampu nyalaan siang LED pula diberikan bermula pada varian Auto Plus dan ke atas. Model Premium dan X-Terrain diberikan lampu hadapan projektor Bi-LED Automatik.

    Pada sebelah dalam, X-Terrain dan Premium kini menerima upholsteri kulit serba hitam. Bagi model X-Terrain, warna gelap berkenaan turut diserlahkan panel kemasan Cafe Brown dan Satin Silver pada papan pemuka dan pintu, serta serlahan-serlahan jahitan benang perang termasuk pada roda stereng serta sarung tuil gear dan brek tangan. Bagi varian Auto Plus dan Standard pula, ia diberikan upholsteri fabrik berwarna hitam.

    Isuzu D-Max 2023 dilancar – diff-lock kini standard untuk semua, rupa disegarkan, bermula RM95k

    Kini pengecas pantas tanpa wayar 15W diberikan pada varian X-Terrain, Premium dan Auto Plus.Manakala port USB Type C 2.1A pula diberikan pada varian X-Terrain dan Premium. Istimewa pada X-Terrain, ia juga kini menerima perakam video digital hadapan dan belakang secara standard, bersama lampu suasana kabin.

    Untuk sistem hiburan, model Single Cab hanya diberikan pemain audio 1-DIN dengan hubungan Bluetooth dan USB bersama dua pembesar suara. Varian Standard pula diberikan pemain CD 2-DIN dengan enam pembesar suara. Manakala varian Auto Plus menerima skrin infotainmen tujuh-inci dengan hubungan MirrorLink, Miracast, Apple CarPlay, Android Auto serta enam pembesar suara.

    Bagi varian Premium, ia diberikan skrin tujuh-inci yang sama, tetapi menerima sejumlah lapan pembesar suara. Dan akhir sekali untuk varian tertinggi X-Terrain, ia menerima skrin lebih besar bersaiz sembilan-inci juga dengan lapan pembesar suara.

    Untuk penghawa dingin pula, model Single Cab, Standard dan Auto Plus diberikan sistem jenis manual, disertakan dengan liang kabin belakang untuk model empat pintu. Manakala varian Premium dan X-Terrain pula diberikan penghawa dingin automatik dua-zon.

    Varian Premium dan X-Terrain turut diberikan paparan pelbagai informasi dengan skrin TFT LCD berwarna 4.2-inci, dan hanya varian X-Terrain diberikan tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-hala.

    Semua model dengan enjin 1.9L dijana oleh unit RZ4E-TC turbodiesel common-rail empat-silinder berkuasa 150 PS dan tork maksima 350 Nm. Manakala model dengan enjin 3.0L pula masih menerima unit 4JJ3 turbodiesel empat-silinder berkuasa 190 PS dan tork maksima 450 Nm.

    Tiada perubahan untuk kotak gear enam-kelajuan manual dan automatik, dan ia masih dipadankan dengan sistem pacuan empat roda yang boleh dipilih antara mod 2H, 4H dan 4L hanya dengan memutarkan suis pilihan. Apa yang baharu, kini semua varian telah pun diberikan unit diff-lock pada gandar belakang bagi memberikan keupayaan off-road yang lebih baik.

    Secara standard, semua varian D-Max 2023 diberikan sistem keselamatan seperti brek ABS, EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik, Traction Control, bantuan mula mendaki, kawalan menurun cerun, isyarat berhenti kecemasan dan pengingat pemakaian tali pinggang keledar untuk semua tempat duduk.

    Isuzu D-Max 2023 dilancar – diff-lock kini standard untuk semua, rupa disegarkan, bermula RM95k

    Semua varian juga diberikan dua beg-udara, kecuali varian X-Terrain yang hadir dengan enam beg-udara. Varian Premium pula menerima penambahan sistem pemantau titik buta serta amaran lintasan trafik belakang.

    Varian X-Terrain diberikan lebih banyak sistem bantuan pemanduan termasuk amaran perlanggaran depan, brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan fungsi Stop/Go, lampu tinggi automatik, amaran menukar lorong, penghindaran salah operasi pedal, bantuan selekoh dan kamera 360 darjah.

    Dengan semua pembaharuan ini, Isuzu D-Max 2023 dijual pada harga bermula RM94,949.20 untuk model Single Cab 1.9L 4X4 MT, diikuti RM101,888.40 untuk model Single Cab 3.0L 4X4 MT. Model Double Cab pula bermula RM104,099.20 bagi model 1.9L 4X4 MT Standard, RM111,499.20 untuk model 3.0L 4X4 AT Standard. Satu-satunya model pacuan dua roda iaitu 1.9L 4X2 Auto Plus dijual pada harga RM105,499.20.

    Bagi model 1.9L 4X4 Premium AT dijual pada harga RM129,149.20, dan varian 3.0L 4X4 AT pula berharga RM135,638. Akhir sekali varian tertinggi 3.0L 4X4 At X-Terrain dijual pada harga RM150,938.40. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, untuk semenanjung Malaysia.

    Bagi varian X-Terrain, ia masih menawarkan waranti selama tujuh tahun tanpa had perbatuan, manakala varian lain kekal dengan waranti selama lima tahun atau 150,000 km.

     
     
  • Brabus 1300 R Edition 23 diperkenal – guna asas KTM 1290 Super Duke EVO, hanya dikeluarkan 290 unit

    Brabus 1300 R Edition 23 diperkenal – guna asas KTM 1290 Super Duke EVO, hanya dikeluarkan 290 unit

    Pada tahun lalu, KTM telah memperkenalkan sebuah motosikal istimewa yang dibuat dengan kerjasama Brabus, iaitu Brabus 1300 R. Kini, motosikal itu telah diperbaharui, dan diperkenalkan dalam versi baru yang dipanggil sebagai Brabus 1300 R Edition 23 dan akan dikeluarkan hanya sebanyak 290 unit dengan jumlahnya dibahagi dua antara dua warna iaitu Superblack dan Stealth Gray.

    Masih menggunakan model KTM 1290 Super Duke EVO sebagai asas, Brabus 1300 R Edition 23 ini diterapkan dengan konsep rekaan eksklusif 1-Second-Wow yang dibangunkan oleh Brabus untuk kenderaan mewah keluaran mereka. Elegan, berani dan garang adalah antara penampilan yang mahu ditonjolkan melalui barisan kenderaan Brabus ini, termasuk 1300 R.

    Antara barangan Brabus yang boleh anda lihat berada pada motosikal ini adalah termasuk ekzos dua muncung di tepi sebelah kanan, tempat duduk khas dengan fungsi pemanas, animasi Brabus pada meter, rim monoblock Z sembilan cabang Platinum Black serta nombor keluaran di atas tangki.

    Meningkatkan lagi konsep prestasinya, motosikal ini dipasang dengan pelbagai panel gentian karbon termasuk pada bawah enjin, panel atas lampu hadapan, salur udara tepi, penghadang lumpur hadapan, panel bawah tempat duduk, pelindung tepi enjin, pelindung rantai serta penghadang lumpur belakang.

    Brabus juga menaik taraf beberapa kelengkapan dengan unit CNC-machined khas, termasuk triple clamp, tuil brek dan klac yang boleh dilaras, peletak kaki boleh laras serta penutup tangki bendalir brek dan klac, Cermin sisi di hujung pemegang motosikal ini juga adalah unit khas Brabus.

    Enjin v-twin 1,301 cc pada motosikal ini tidak disentuh dan ia masih menghasilkan 180 hp pada 9,500 rpm dan 140 Nm tork pada 8,000 rpm sama seperti 1290 Super Duke EVO yang digunakan sebagai asas. Berat keseluruhan Brabus 1300 R Edition 23 adalah 194 kg.

     
     
  • Perodua Bezza 2023 dalam imej bayangan — lagi cun?

    Perodua Bezza 2023 dalam imej bayangan — lagi cun?

    Dengan pengenalan Perodua Axia D74A 2023 minggu ini, menarik juga sekiranya untuk mengagak bagaimana pula rupa model sedan Bezza jika mengambil pendekataan rekaan yang ada pada kereta kompak hathcback ini. Dan itulah yang dilakukan oleh Theophilus Chin menerusi rekaan bayangan digitalnya terhadap Bezza seperti yang ditunjuk ini.

    Melalui rekaan ini, Theo membayangkan Bezza ditampilkan dalam rekaan yang lebih seimbang secara keseluruhannya, pastinya juga dengan cara untuk mengurangkan lagi imej “tonggek” yang sinonim dengan Bezza model semasa. Untuk melakukan itu, wajah dan separuh bahagian depan Axia 2023 dikekalkan, dan beliau hanya mengerjakan rekaan untuk bahagian belakang.

    Untuk rujukan bahagian but belakang tersebut, Theo menggunakan asas dari model sedan Fiat Cronus untuk dilanjutkan kepada Axia 2023 berkenaan. Antara rekaan yang diubah adalah tiang C yang dianjak dan ditebalkan lebih kebelakang daripada versi hatchback. Garis bumbung menuju cermin belakang juga diperkemas untuk disesuaikan sebagai kereta sedan.

    Perodua Bezza 2023 dalam imej bayangan — lagi cun?

    Paling banyak diubah adalah bahagian belakang tentunya, dengan rekaan umum dari model sedan Fiat yang dinyatakan tadi, serta dengan rekaan lampu belakang yang pada umumnya dikekalkan. Selebihnya, Theo menyesuaikan rekaan tersebut bagi mendapatkan kesimbangan penampilan di bahagian belakang itu, supaya bahagian bawahnya tidak terlalu tercungkit ke atas dan diimbangi juga dengan penggunaan spoiler serta sudut cermin belakang yang diubah.

    Hasilnya ialah sebuah Bezza yang lebih sekata rekaannya, baik dari bahagian depan mahupun belakang. Terutama bahagian belakang ini, ia nampak lebih mahal dan menarik, tidak lupa juga hadir dengan suntikan lebih sporty. Apa pandangan anda tentang rekaan bayangan Perodua Bezza terbaru ini?

     
     
  • Pembeli angkup brek Endless palsu dari Johor Bahru menang kes tuntutan, dapat semula wang RM12.8k

    Pembeli angkup brek Endless palsu dari Johor Bahru menang kes tuntutan, dapat semula wang RM12.8k

    Seorang pemilik syarikat ubahsuai rumah dari Pasir Gudang, Mohamad Syahrul Aizat Mat Sari menang dalam tuntutannya di Tribunal Tuntutan Pengguna Johor Bahru untuk mendapat pulangan wang selepas membeli satu set angkup brek prestasi tiruan jenama Endless dari seorang penjual dari Negeri Sembilan.

    Menurut Syahrul dalam laporan The Star, dia membeli angkup berkenaan setelah melihat iklan dalam talian penjual tersebut yang menyatakan bahawa angkup brek itu adalah asli dan dijual pada harga lebih rendah dari harga pasaran.

    “Penjual berkenaan mendakwa angkup brek yang dijualnya adalah komponen asli dari Jepun dan harga yang ditawarkannya adalah lebih rendah dari pasaran,” kata Syahrul dan menambah dia telah membuat pembayaran sebanyak RM6,000 pada 21 Mac 2022, dan RM6,800 selebihnya pada 25 Mac 2022.

    Syahrul juga menyatakan bahawa dia turut perlu ke bengkel penjual berkenaan yang berada di Port Dickson dan pemasangan angkup tersebut dibuat oleh penjual berkenaan pada 25 Mac selepas baki bayaran dilunaskan. Proses pemasangan itu mengambil masa setengah hari, jelas Syahrul lagi.

    Pembeli angkup brek Endless palsu dari Johor Bahru menang kes tuntutan, dapat semula wang RM12.8k

    Walau bagaimanapun, Syahrul merasakan sesuatu yang tidak kena pada sistem brek tersebut dan ia akan berbunyi setiap kali pedal brek ditekan. Dia mula mengesyaki bahawa angkup yang dibeli berkenaan adalah tiruan, dan mula berbincang dengan penjual terbabit untuk memulangkan komponen tersebut dan mendapatkan kembali wang RM12,800 yang telah dibayar.

    Namun penjual tersebut tidak bersetuju untuk berbuat demikian sehingga dia menyekat nombor telefon Syahrul dari terus menghubunginya.

    Menurut Syahrul lagi, sebelum mengubungi penjual berkenaan dia turut ada menghubungi pengedar sah produk Endless di Malaysia yang terletak di Bandar Sunway, Selangor untuk mengesahkan status angkup brek yang dibeli oleh penjual di Port Dickson berkenaan.

    Dan selepas menghantar gambar dan juga nombor siri angkup tersebut pada pengedar bertauliah itu, angkup yang dibeli Syahrul tersebut disahkan barang tiruan.

    Pembeli angkup brek Endless palsu dari Johor Bahru menang kes tuntutan, dapat semula wang RM12.8k

    “Saya turut pergi ke beberapa bengkel di Johor Bahru untuk mengesahkan penilaian yang dibuat oleh pengedar bertauliah tersebut, dan semua mekanik memberitahu saya bahawa angkup yang dibeli itu adalah tiruan,” kata Syahrul.

    Malah Syahrul turut telah menghantar email ke Endless di Jepun, dan syarikat berkenaan sendiri mengesahkan bahawa angkup yang dibelinya itu adalah tiruan kerana nombor siri pada komponen tersebut tidak jelas seperti angkup Endless asli. Endless turut menyatakan bahawa hanya wakil penjual sahnya di Bandar Sunway yang boleh menjual produk asli Endless di Malaysia.

    Syahrul kemudiannya memasang set angkup Endless asli; komponen berkenaan dihantar sendiri oleh Endless dari Jepun dan pemasangan dibuat di wakil sah Endless di Bandar Sunway pada 9 Disember lalu. “Angkup brek asli memberikan prestasi brek lebih baik pada kereta saya dan saya gembira dengannya” kata Syahrul yang membelanjakan RM17,500 untuk angkup asli tersebut.

    Dalam tuntutan yang difailkan berkenaan, presiden Tribunal, Abdul Rashid Daud mengarahkan responden (penjual angkup palsu) yang tidak hadir ke pendengaran kes itu untuk memulangkan kembali wang berjumlah RM12,800 kepada penuntut (Syahrul) dalam masa dua minggu, dan penuntut perlu memulangkan angkup berkenaan kepada responden dalam masa 14 hari.

     
     
  • Rangkaian pengecas DC 180 kW TNB Electron dilancar – unit di R&R Ayer Keroh, Tapah, Paka kini beroperasi

    Rangkaian pengecas DC 180 kW TNB Electron dilancar – unit di R&R Ayer Keroh, Tapah, Paka kini beroperasi

    Tenaga Nasional (TNB), dengan kerjasama PLUS Malaysia, dan sokongan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) telah mengumumkan bahawa stesen pengecas DC TNB Electron di lebuh raya PLUS kini sudah beroperasi sepenuhnya. Rangkaian pengecas ini dilancarkan secara rasmi oleh menteri kerja raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini di salah satu lokasinya, iaitu hentian R&R Ayer Keroh arah utara.

    Pada masa ini, pengecas TNB Electron boleh didapati di tiga R&R iaitu Ayer Keroh (arah utara) dan Tapah (arah utara) di dalam Lebuh Raya Utara Selatan, serta Paka (arah utara) di dalam Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).

    Enam lagi stesen pengecas TNB Electron sedang dibangunkan dan dijangka siap tahun ini, dan ia terletak di R&R Machap (arah selatan), Rawang (arah utara), Gunung Semanggol (arah selatan), Gurun (arah utara dan selatan) serta Paka (arah selatan).

    Seperti yang ditunjukkan di stesen Ayer Keroh, setiap pengecas TNB Electron terdiri daripada unit pengecas 180 kW dual CCS2 (Exicom) dengan dua kabel, masing-masing menawarkan kuasa 90 kW. Penggunaan pengecas ini adalah percuma sehingga 28 Februari (tempoh percubaan), sementara struktur bayarannya akan diumum pada 1 Mac.

    Sumber yang kami temui mendedahkan bahawa sebagai permulaan, bayaran mengecas akan ditetapkan mengikut masa, dan dijangka berharga antara RM2.80 ke RM3.20, sementara kemudian nanti, ia akan ditukar kepada berasaskan kWh.

    TNB juga memberitahu bahawa rangkaian pengecas ini adalah antara komitmen syarikat ke arah pengurangan emisi dan penyelesaian tenaga mapan. “Penggunaan elektrik bagi semua rangkaian pengecas TNB Electron ini dijangka berada pada 99,000 kWh sepanjang 2023. Ini akan dapat menghindari sebanyak 7.2 tan metrik emisi karbon dioksida pada masa sama,” kata presiden dan CEO TNB, Datuk Baharin Din.

    “Sehingga Januari tahun ini, sebanyak 20 pengecas pantas telah beroperasi di sepanjang lebuh raya PLUS. PLUS juga sentiasa bersedia untuk menambah pengecas ini di R&R lain. Kami yakin pengenalan pengecas TNB Electron ini akan dapat memberikan lebih banyak pilihan kepada pemilik EV di lebuh raya PLUS,” kata ahli lembaga pengarah PLUS dan pengarah urusan UEM Group, Datuk Mohd Izani Ghani.

    Untuk menggunakan pengecas TNB Electron ini, anda perlu memuat turun aplikasi Go To-U melalui Apple App Store dan Google Play Store.