Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Polis laksana Op Khas untuk kesan kesalahan nombor pendaftaran motosikal, penunggang tiada lesen

    Polis laksana Op Khas untuk kesan kesalahan nombor pendaftaran motosikal, penunggang tiada lesen

    Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam telah mengumumkan sebanyak 285 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan menerusi Op Khas Kesalahan Nombor Pendaftaran yang yang dilaksanakan berhampiran Dataran kemerdekaan, Shah Alam pada 18 Februari lalu.

    Ini termasuk kesalahan melibatkan lesen memandu, dan sebanyak 94 saman telah dikeluarkan atas kesalahan nombor pendaftaran. Selain itu, sebanyak 312 buah kenderaan dan 341 orang individu telah diperiksa dalam operasi bersepadu tersebut.

    Selain itu, hasil operasi khas ini juga sebanyak 81 buah motosikal pelbagai jenis telah disita di bawah Seksyen 64 (1) APJ1987 kerana tidak mempunyai lesen memandu kelas B2 dan pelbagai kesalahan lain.

    “BSPT IPD Shah Alam akan terus komited dalam menjalankan penguatkuasaan bagi memberikan peringatan dan kesedaran kepada pengguna kenderaan agar semua pengguna kekal selamat semasa berada di atas jalan raya. BSPT IPD Shah Alam juga menasihatkan orang awam agar sentiasa mematuhi peraturan jalanraya yang telah ditetapkan,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh IPD Shah Alam.

    Operasi bersepadu ini merupakan sebahagian daripada Op Khas Kesalahan Nombor Pendaftaran yang dilaksanakan serentak di seluruh negara setelah Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerima banyak rungutan dari pelbagai pihak dalam kalangan masyarakat mengenai ketidakpatuhan rakyat berkaitan undang-undang dan peraturan jalan raya.

     
     
  • Kajian tunjuk pemandu BMW, EV miliki IQ lebih rendah

    Kajian tunjuk pemandu BMW, EV miliki IQ lebih rendah

    Ramai di antara kita suka berfikiran stereotaip bagi mengaitkan mereka yang memandu kenderaan-kenderaan tertentu sering melakukan perkara-perkara bodoh di atas jalan raya. Pemikiran-pemikiran sedemikian biasanya terhasil dari persepsi dan mungkin tidak tepat.

    Jadi bagi mengetahui kebenaran dakwaan-dakwaan ini, laman Scrap Car Comparison dari United Kingdom telah melakukan kajian terhadap 2,000 pemandu British dengan membuat ujian kecerdasan otak (IQ).

    Hasil keputusan ujian berkenaan kemudiannya akan membentuk statistik bukan sahaja untuk menunjukkan pemandu jenama mana yang paling pintar atau paling kurang pintar dari 22 jenama kenderaan, malah kedudukan bedasarkan jenis unit rangkaian kuasa, warna kenderaan dan juga subset personalisasi pada kenderaan juga dikelaskan untuk memberikan rumusan.

    Kajian tunjuk pemandu BMW, EV miliki IQ lebih rendah

    Hasilnya, pemandu-pemandu Skoda dilihat adalah yang paling pintar dengan mendapat purata ujian IQ sebanyak 99 markah. Ia diikuti Suzuki dengan markah purata 98.09, Peugeot (97.79), Mini (97.41) dan Mazda (95.91). Dan tiga kumpulan pemandu yang mendapat purata markah paling rendah adalah BMW (91.68), Fiat (90.14), dan paling teruk adalah Land Rover dengan 88.58 markah.

    Ujian ini juga menunjukkan bahawa pemandu kenderaan dengan enjin petrol mempunyai IQ paling tinggi iaitu purata 94.35, berbanding pemandu kereta hibrid (93.89) dan diesel (92.91). Kereta elektrik penuh (EV) walaupun ia kereta paling canggih buat masa sekarang, kadar IQ purata pemilik-pemiliknya adalah yang paling rendah iaitu hanya 90.19.

    Manakala untuk warna badan, pemilik kereta berwarna putih adalah yang paling pintar dengan markah purata 95.71, diikuti kelabu (94.97) dan merah (94.88). Antara tujuh warna yang dibandingkan ini, pemilik kereta berwarna hijau adalah yang paling rendah markah purata ujian IQ dengan hanya 88.43.

    Kajian tunjuk pemandu BMW, EV miliki IQ lebih rendah

    Akhir sekali, ujian ini juga mendapati bahawa pemilik-pemilik yang menggunakan nombor pendaftaran istimewa turut menunjukkan markah ujian IQ yang lebih rendah berbanding mereka yang menggunakan nombor plat biasa.

    Ok, penulis sendiri tak pernah pakai BMW, Fiat atau Land Rover, kereta yang ada sekarang guna enjin petrol penuh, warna putih dan merah, serta tak pernah beli nombor plat mahal di JPJ. Phew. Anda pula bagaimana?

     
     
  • BAJET 2023: MOT harap peruntukan lebih tinggi diberikan untuk tambah baik pengangkutan awam

    BAJET 2023: MOT harap peruntukan lebih tinggi diberikan untuk tambah baik pengangkutan awam

    Menerusi pembentangan Bajet 2023 yang bakal diumumkan pada Jumaat ini, 24 Februari 2023, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengharapkan peruntukan yang tinggi bakal diberikan untuk tujuan penambahbaikan pengangkutan awam.

    Menteri MOT Anthony Loke berkata, pihaknya akan mengoptimumkan dan memastikan pengurusan yang baik peruntukan yang akan diterima nanti bagi memastikan keselesaan rakyat terutamanya mereka yang bergantung kepada perkhidmatan berkenaan, laporan Bernama.

    “Bukan sahaja pengangkutan awam di Semenanjung tetapi juga di Sarawak dan Sabah yang kita juga ada perkhidmatan udara yang perlu kita berikan untuk kawasan-kawasan luar bandar.

    “Kita juga mengharapkan untuk memberikan perkhidmatan bas di Kota Kinabalu, Sabah dan di Kuching, Sarawak yang juga merupakan permintaan kita supaya mendapat peruntukan tambahan untuk memulakan satu sistem bas henti-henti yang lebih baik dan efisien di Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi program wawancara Naratif Khas terbitan RTM bertajuk ‘Transformasi Pengangkutan Negara’.

    Dalam masa sama, beliau turut mengharapkan kerjasama daripada kerajaan negeri terutamanya bagi negeri yang mempunyai kerjasama sedia ada dengan kerajaan Persekutuan dalam konteks penyediaan pengangkutan awam.

    “Dalam aspek pengangkutan ini kita tidak melihat kepada perbezaan politik. Kita mesti menawarkan perkhidmatan yang baik kepada rakyat kerana ini bersangkut dengan mutu kehidupan rakyat kerana apa yang penting kita nak perkasakan pengangkutan awam supaya rakyat dapat hidup dengan lebih selesa,” katanya.

     
     
  • AD: Beli KTM 200 Duke dan RC 200 sebelum 31 Mac, nikmati penyelenggaraan berjadual percuma setahun!

    AD: Beli KTM 200 Duke dan RC 200 sebelum 31 Mac, nikmati penyelenggaraan berjadual percuma setahun!

    Kebanyakan peminat motosikal pasti sangat kenal model sport KTM 200 Duke dan juga KTM RC 200. KTM Malaysia kini menawarkan harga jualan asas bagi dua model berkenaan, masing-masing dengan RM13,888 atau RM284 sebulan* bagi 200 Duke dan RM15,888 atau RM310 sebulan* bagi RC 200.

    Walaupun dilahirkan dari sebuah jenama Austria yang sinonim dengan naluri perlumbaan, kedua-dua model 200 Duke dan RC 200 ini cukup ringan dan mudah dikendalikan, menjadikannya sangat sesuai kepada penunggang baru.

    Kelompok ini mungkin baru ingin memulakan perjalanan mereka untuk mengenali motosikal, bagi mereka yang mahu beralih kepada motosikal KTM pertama dari moped atau kapcai, serta untuk mereka yang mahukan jentera ringan, kompak dan mudah ditunggang di kawasan urban. Bagi RC 200 pula, model sportbike ini juga akan memberi manfaat kepada peminat litar lumba.

    Prestasi dan kelincahan menjadi taruhan utama model motosikal KTM seperti 200 Duke dan RC 200 ini, dan untuk menjadikannya lebih menarik, KTM Malaysia mengadakan promosi bagi kedua-duanya.

    Sah dari sekarang hingga 31 Mac 2023, kedua-dua naked bike 200 Duke dan sport bike RC 200 ini akan dijual dengan penyelenggaraan percuma bernilai RM1,237 untuk setahun! Dengan ini, barangan yang diliput di dalam penyelenggaraan percuma setahun itu termasuklah minyak enjin dan penapis minyak, penapis udara, shim dan upah buruh, serta empat servis berjadual atau sehingga 15,000 km, yang mana dahulu.

    200 Duke menggabungkan kuasa dengan kendalian responsif, dengan kelebihan enjin ultra-kompak silinder tunggal empat-lejangnya yang menghasilkan 26 hp menerusi transmisi enam-kelajuan nisbah rapat, yang memberikan kadar penggunaan rendah sebanyak 35 km per liter. Ini disertai juga oleh casis yang terdiri daripada kerangka split-steel trellis serta fork terbalik WP yang ringan dan berprestasi. Semua ini memberikan alatan dan kualiti tunggangan kelas dunia bagi motosikal naked segmen di bawah 200 cc ini.

    AD: Beli KTM 200 Duke dan RC 200 sebelum 31 Mac, nikmati penyelenggaraan berjadual percuma setahun!

    Daya membrek pula oleh angkup Bybre, yang datangnya dari pakar peralatan brek Brembo, bersama dengan ABS dua-saluran oleh Bosch, memastikan keselamatan penunggang ketika keadaan jalan tidak menentu. Jika penunggang membawa jentera ini ke litar dan bersedia untuk berlumba, sistem brek 200 Duke juga menampilkan mod Supermoto.

    Penampilan terkini RC 200 turut memperkenalkan penghadang angin, lampu, pemegang, tangki minyak, pelana, kerangka dan roda yang baru. Fairing-nya diilhamkan oleh jentera lumba dalam Moto3, kategori di mana KTM turut bersaing, membawakan rekaan lebih aerodinamik sementara kawasan di sekitar lutut penunggan telah dibangunkan agar lebih nipis, serta pemijak kaki ringannya juga baru.

    Juga baru untuk RC 200 ialah pemetaan enjinnya kini memberikan penyampaian tork lebih baik, menjadikan tunggangan lebih lancar tetapi tangkas untuk kendalian maksimum. Kotak penapis udara yang lebih besar telah disediakan untuk membantu memanfaatkan aplikasi enjin, serta radiator melengkung dengan kipas untuk penyejukan.

    Komponen casis bagi RC 200 juga sangat berkualiti, terdiri daripda WP Apex Big Piston Fork di depan dan penyerap hentak WP Apex di belakang. Seperti pada 200 Duke, RC 200 turut menerima brek Bybre dan dibantu ciri ABS dua-saluran oelh Bosch, dan disertai mod Supermoto untuk dimanfaatkan oleh penunggang yang inginkan keseronokan perlumbaan.

    Lebih minyak boleh di bawa dengan RC 200 kerana tangkinya lebih besar, daripada 9.5 liter hingga 13.7 liter (termasuk 1.5 liter simpanan), membolehkan tunggangan yang lebih lama dengan satu tangki. Pemegangnya pula kini boleh dilaras, dengan 1.15 mm lebih tinggi berbanding generasi sebelumnya dan boleh direndahkan sebanyak 2.1 mm mengikut kesesuaian pelumba.

    Tahu lebih lanjut tentang KTM Duke di sini, dan RC 200 di sini, serta kenali juga motosikal lain KTM melalui laman Facebook, Instagram dan YouTube.

    *Tertakluk terma dan syarat.

     
     
  • Beberapa jalan, persimpangan di PJ ditutup waktu petang untuk aliran kontra, 3 bulan mulai 1 Mac

    Beberapa jalan, persimpangan di PJ ditutup waktu petang untuk aliran kontra, 3 bulan mulai 1 Mac

    Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah mengumumkan beberapa jalan dan persimpangan akan ditutup selama dua jam 30 minit pada setiap petang mulai 1 Mac ini untuk aliran trafik kontra percubaan. Penutupan jalan berkenaan akan dilaksanakan pada jam 5 petang hingga 7.30 malam pada hari biasa (Isnin-Jumaat, kecuali cuti umum dan waktu hujan) dalam tempoh percubaan selama tiga bulan, laporan Selangor Journal.

    Menurut kenyatan media yang dikongsikan, jalan dan persimpangan yang terlibat ialah persimpangan Jalan Othman-Jalan Templer, persimpangan Jalan Gasing-Jalan Templer, persimpangan Jalan Templer-Jalan 6/29 dan Jalan Templer menghala Lebuhraya Pantai Baharu (NPE).

    Beberapa jalan, persimpangan di PJ ditutup waktu petang untuk aliran kontra, 3 bulan mulai 1 Mac

    Justeru, pengguna jalan berkenaan yang datang dari arah Jalan Gasing menghala ke Jalan Othman atau kawasan Melayu perlukan menggunakan Jalan Changgai 6/22 atau Jalan Anak Gasing 6/5-Jalan Tinggi 6/12-Jalan Selangor. Bagi yang datang dari arah Jalan Othman ke Lebuhraya NPE, perlulah membuat pusingan-U di bulatan Assunta.

    MBPJ turut berkata pengguna jalan yang datang dari pusat bandar Petaling Jaya dan Seksyen 52/Lebuhraya Persekutuan bolehlah mengunakan laluan aliran trafik kontra ini. Apa pun semua pengguna jalan raya dinasihati agar memandu berhati-hati dan mengikut isyarat papan tanda di lokasi terbabit.

     
     
  • Perodua Axia 2023 dapat 4-bintang ASEAN NCAP

    Perodua Axia 2023 dapat 4-bintang ASEAN NCAP

    Perodua Axia pertama kali diuji di bawah ASEAN NCAP pada 2014, dan mencatatkan penarafan empat-bintang bagi kedua-dua kategori penilain Adult Occupant Protection (AOP) dan Child Occupant Protection (COP). Ketika itu, Axia 2014 mencatatkan 12.91 daripada 16.00 mata bagi AOP dan mencapai pematuhan 71% bagi COP.

    Bagaimana pula dengan Perodua Axia D74A 2023? Di bawah protokol penilaian ASEAN NCAP 2021-2023, kenderaan dinilai berdasarkan empat kategori yang terdiri daripada AOP dengan markah penuh 40 mata, sementara bagi COP, Safety Assist (SA) dan Motorcyclist Safety (MS) masing-masing menyumbang 20 mata penuh bagi setiap kategori.

    Axia 2023 menunjukkan prestasi cukup membanggakan di bawah protokol penilaian baru yang lebih ketat ini dengan mencapai penarafan 4-bintang ASEAN NCAP, dengan jumlah keseluruhan 73.55 mata. Melalui markah ini, Axia telah mencapai penafaran maksimum 5-bintang bagi tiga kategori yang terlibat: AOP dengan 32.06 mata, COP dengan 17.03 mata dan SA dengan 15.71 mata. Bagi MS, Axia 2023 mencapai penarafan 4-bintang dengan 8.75 mata.

    Perodua Axia 2023 didatangkan dengan dua beg udara bagi setiap varian kecuali bagi varian AV yang lengkap dengan enam beg udara. Kelengkapan keselamatan standardnya terdiri daripada kawalan kestabilan elektronik (ESC), sistem brek anti-kunci (ABS), sistem peringatan tali keledar (SBR) bagi bahagian penumpang depan dan belakang dan teknologi pelindungan pejalan kaki untuk semua varian.

    Axia 2023 juga turut dilengkapi dengan bantuan keselamatan aktif sebegai pilihan kepada semua variannya, termasuk ciri AEB City, AEB Inter-Urban, AEB Pedestrian, Lane Departure Warning (LDW), Forward Collision Warning (FCW), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Blind Spot Detection (BSD) bagi kedua-dua sisi kenderaan dan Auto High Beam (AHB).

    Perodua Axia D74A 2023 yang baru lancarkan itu ditawarkan dalam empat varian: G, X, SE dan AV, dengan harga masing-masing bermula RM38,600, RM40,000, RM44,000 dan RM49,500. Ia masih mengekalkan enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan DVVT yang sama. Namun, gandingan transmisi enjin berkenaan telah diubah, tiada lagi kotak gear automatik empat-kelajuan yang lama, sebaliknya digantikan dengan transmisi D-CVT yang baru — enjin dan transmisinya sama untuk semua varian.

     
     
  • Cadangan insentif untuk EV di M’sia telah dihantar ke MoF, termasuk sambungan pengecualian cukai – MITI

    Cadangan insentif untuk EV di M’sia telah dihantar ke MoF, termasuk sambungan pengecualian cukai – MITI

    Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh The Star, cadangan rangsangan tambahan untuk kenderaan elektrik (EV) di Malaysia dikatakan sudah dihantar kepada kementerian kewangan (MoF). Menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dipetik berkata, cadangan ini termasuk dengan lanjutan pengecualian cukai untuk EV yang dijual dalam negara.

    “Kami telah menghantar cadangan, dan kami berharap kementerian kewangan akan dapat terus memberi sokongan kepada agenda EV,” kata Zafrul, yang juga hadir dalam perjumpaan National Electric Vehicle Task Force (NEVTF) di MITI.

    Pembentangan pertama Bajet 2023 menyaksikan pengumuman pengecualian cukai import dan duti eksais untuk EV import sepenuhnya (CBU) sehingga 31 Disember 2024, di mana ia telah dilanjutkan dari tempoh tamat awalnya yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini, iaitu pada 31 Disember 2023.

    Cadangan insentif untuk EV di M’sia telah dihantar ke MoF, termasuk sambungan pengecualian cukai – MITI

    Pengarah urusan Volvo Car Malaysia berkata, pengecualian cukai yang ada sekarang ini telah membantu memberi rangsangan kepada perkembangan EV di pasaran Malaysia. “Sistem insentif sekarang dengan tiada cukai jualan untuk EV telah membantu pengeluar dan juga pembangunan (EV). Jadi, ini cukup untuk memacu elektrifikasi di Malaysia. Jika kita teruskan, kita berada di laluan yang betul,” kata Frump.

    Menurut Zafrul, jualan kenderaan elektrik dan hibrid menyumbang 2.77% daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) pada tahun 2022. “Laporan terkini untuk tahun 2022 yang kami terima menunjukkan jualan kenderaan EV dan hibrid meningkat banyak berbanding tahun sebelumnya. Untuk memastikan momentum ini berterusan, kami juga perlu memastikan ekosistem telah bersedia, termasuk stesen mengecas,” kata beliau.

     
     
  • Rapid KL lancar bas perantara T757 ke LRT Alam Megah, tempah tempat duduk dalam van via Kumpool

    Rapid KL telah pun melancarkan bas perantara T757 ke stesen LRT Alam Megah, Shah Alam, yang berkhidmat untuk kawasan industri dan penempatan penduduk di sekitar LRT Laluan Kelana Jaya.

    Kalau dilihat menerusi peta laluannya, bas perantara ini akan melalui beberapa lokasi perhentian termasuk di Flat Proton, SMK Seksyen 27, Seksyen 26, Telekom Malaysia Seksyen 27, Flat Taman Bunga Raya dan Flat Taman Bunga Negara.

    Tapi ini bukanlah bas perantara biasa, ia merupakan van yang dicat dengan warna merah jambu-putih yang tertulis perkataan bas perantara LRT. Ia dikendalikan secara kerjasama dengan Kumpool, yang menawarkan perkhidmatan shuttle atas-permintaan dengan mengumpulkan tempahan para penumpang dan melibatkan perjalanan berdasarkan laluan mengambil dan menurunkan semua penumpang dalam masa yang sama.

    Sebelum ini, Kumpool pernah menawarkan perkhidmatan tempahan van e-hailing di sekitar Johor Baharu sebelum ia turut ditawarkan di Lembah Klang (Subang Jaya dan Petaling Jaya).

    Pada Oktober tahun lalu, Rapid KL melancarkan laluan T250 dari LRT Wangsa Maju ke Setapak. Kadar tambangnya hanya RM1 bagi seorang penumpang untuk perkhidmatan van berkenaan, dan tempahannya dibuat menerusi aplikasi Kumpool.

     
     
  • Motosikal dari Malaysia perlu ikut standard emisi baru jika masuk Singapura – saman serta merta jika salah

    Motosikal dari Malaysia perlu ikut standard emisi baru jika masuk Singapura – saman serta merta jika salah

    Bermula 6 April ini, Singapura akan mula menguatkuasakan standard emisi baru bagi motosikal dan semua kenderaan jenis itu, termasuk yang didaftar di negara lain seperti Malaysia perlu mematuhinya. Bagi mereka yang berulang-alik kerja di Singapura dari Johor, ini adalah sesuatu yang perlu diambil penting.

    Menurut National Environment Agency (NEA) negara itu, semua motosikal di Singapura mestilah mematuhi tahap emisi karbon monoksida (CO) dan hydrocarbon (HC) yang telah ditetapkan, dan juga tahap pelepasan asap dan bunyi tertentu.

    Had CO baru yang ditetapkan adalah 4.5%, sementara untuk HC pula adalah 7,800 ppm untuk motosikal berenjin dua lejang, sementara enjin empat lejang 2,000 ppm. Ini adalah tambahan kepada tahap asap (tiada asap yang kelihatan) dan bunyi (99 dBA) yang dibenarkan.

    NEA memberitahu, ujian emisi akan dijalankan di pusat pemeriksaan kemasukan darat dan dikuatkuasakan oleh kerajaan Singapura. Sekiranya gagal mematuhi peraturan ini, penunggang akan dikenakan saman serta merta, dan jumlahnya adalah sama untuk kenderaan yang didaftar dalam Singapura ataupun luar.

     
     
  • Kerajaan belanja RM1.6 juta untuk kenderaan rasmi menteri dalam masa tiga tahun lepas – PM Anwar

    Kerajaan belanja RM1.6 juta untuk kenderaan rasmi menteri dalam masa tiga tahun lepas – PM Anwar

    Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh New Straits Times, perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa kerajaan membelanjakan sehingga RM1.6 juta untuk pajakan, penyelenggaraan dan baik pulih kenderaan rasmi yang digunakan oleh menteri kabinet antara tahun 2020 hingga 2022.

    Beliau turut mendedahkan bahawa semasa di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, kos operasi barisan kenderaan ini, yang diambil daripada syarikat pengurusannya, iaitu Spanco, berjumlah RM672,000, sementara pada tahun 2021 dan 2022 ia mencatat masing-masing RM478,991.50 dan RM450,690.66.

    “Kos keseluruhan untuk menjaga dan membaiki kenderaan rasmi menteri kabinet ini adalah RM1,601,682.16,” kata Anwar dalam satu jawapan bertulis dalam Dewan Rakyat. Beliau menjawab soalan yang diajukan oleh Chong Zhemin (DAP-Kampar), yang bertanya tentang kos memelihara semua kenderaan rasmi menteri dari tahun 2020 hingga 2022.

    Kerajaan belanja RM1.6 juta untuk kenderaan rasmi menteri dalam masa tiga tahun lepas – PM Anwar

    Pada tahun 2020, menteri menggunakan Proton Perdana 2.4L Premium versi panjang sebagai kenderaan rasmi, dan kemudiannya diperbaharui dengan Toyota Vellfire 2.5L pada tahun 2021. Pada masa itu, kabinet Muhyiddin terdiri daripada 32 menteri dan 38 timbalan menteri.

    Hujung tahun 2021, menteri kewangan waktu itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melaporkan bahawa jumlah pajakan bulanan untuk setiap Vellfire adalah RM5,759, dengan RM4,852 daripadanya adalah untuk bayaran sewa dan RM908 untuk penyelenggaraan.

    Menjawab komen negatif semasa penukaran kepada Vellfire ini, Zafrul memberitahu bahawa sewa bulanan MPV itu adalah lebih rendah berbanding bayaran untuk Perdana 2.4L Premium, iaitu RM4,854.41 bagi setiap kenderaan.

     
     
  • MITI kata EV mampu milik dari China bakal masuk M’sia pada Q2 2023 – harga serendah RM120k

    MITI kata  EV mampu milik dari China bakal masuk M’sia pada Q2 2023 – harga serendah RM120k

    Untuk memajukan lagi industri kenderaan elektrik (EV) Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) turut menggalakkan pengenalan lebih banyak EV mampu milik, laporan Bernama.

    Menurut Timbalan Ketua Setiausaha Industrinya, Datuk Seri Norazman Ayub, akan ada lebih banyak model EV berharga serendah RM120,000 dibawa masuk ke Malaysia pada suku kedua (Q2) tahun ini. Buat masa ini, EV mampu milik yang dijual di sini adalah varian asas 400 Pro dalam barisan model Ora Good Cat dari Great Wall Motors (GWM) yang ditawarkan pada harga RM139,000 tanpa insurans. Satu lagi model EV di bawah harga RM150,000 ialah varian Standard Range dari model BYD Atto 3 yang berharga RM149,800.

    “Kami menggalakkan pengimportan lebih banyak EV terutamanya dari China kerana kami mahu mempunyai EV yang mampu dimiliki oleh rakyat,” katanya sambil menambah daripada segi infrastruktur pengecasan, kerajaan menyasarkan untuk menyediakan sekurang-kurangnya 10,000 unit kemudahan pengecasan awam menjelang 2025.

    Katanya lagi, “Kami akan bekerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya seperti PLUS Expressways Bhd untuk stesen pengecasan. Kami ingin menjemput mana-mana pelabur tertentu bagi melabur dalam stesen pengecasan untuk menjadi sebahagian daripada pembangunan ekosistem EV.”

    MITI kata  EV mampu milik dari China bakal masuk M’sia pada Q2 2023 – harga serendah RM120k

    Sebelum ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad turut mengeluarkan kenyataan mengenai EV mampu milik, dan berkata sasaran harga yang dibuat pada masa ini ialah di bawah RM100,000.

    “Kebanyakan EV di pasaran kita berharga lebih RM100,000, maka keperluan untuk mengalihkan perhatian kita kepada pasaran yang lebih besar dengan EV berharga RM100,000 atau kurang. Kerajaan sedang meneroka jalan untuk memperkenalkan lebih banyak EV mampu milik di Malaysia dan turut memberikan tumpuan kepada Proton yang bakal memperkenalkan EV yang berasaskan model Geely di sini tidak lama lagi,”katanya.

    Pada Disember lalu, menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Malaysia komited untuk menarik pelaburan dalam industri EV dan mencapai sasaran negara dalam menghasilkan kenderaan elektrik, termasuk hibrid, menyumbang 15% daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) menjelang 2030 dan 38% TIV menjelang 2040.

     
     
  • Toyota Vios 2023 bakal dilancar di M’sia Jumaat ini?

    Toyota Vios 2023 bakal dilancar di M’sia Jumaat ini?

    Belum lagi reda kehangatan lima model dengan logo Gazoo Racing (GR) yang dilancarkan minggu lalu, UMW Toyota Motors (UMWT) nampaknya bakal ‘memanaskan’ lagi pasaran automotif tempatan – satu teaser baru sahaja disiarkan menerusi laman media sosial UMWT bertajuk ‘Defy’, yang mungkin menandakan pelancaran Toyota Vios 2023 tidak lama lagi!

    Antara yag disebut lagi dalam teaser berkenaan termasuk “Defy Perceptions (menentang persepsi), Defy Limits (menentang had), Defy Norm (menentang norma) dan Defy the limits of where your journey starts and ends (menentang had di mana perjalanan anda bermula dan berakhir”. Ia juga memberikan pautan yang membawa ke laman mikro khas yang menunjukkan kira detik dengan pendedahan pada 24 Februari ini iaitu hari Jumaat minggu ini.

    Vios generasi keempat ini mula didedahkan untuk peringkat global di Thailand pada Ogos tahun lalu. Di negara berkenaan, Vios dikenali sebagai Yaris Ativ dan menggunakan enjin 1.2L bagi membolehkan ia dikelaskan sebagai kereta Eco Thai. Dan spesifikasi yang paling hampir dengan pasaran Malaysia sudah hampir pasti adalah Vios pasaran Indonesia. Model berkenaan dilancarkan di negara tersebut pada Oktober 2022, dan ia menerima enjin 1.5 liter.

    Defy

    Nobody is destined from the start. It's time to rewrite your journey. To be more than meets the eye. To defy expectations.

    Watch this space: tyt.my/defy

    #Toyota #ToyotaMalaysia #ToyotaMY

    Posted by Toyota Malaysia on Monday, 20 February 2023

    Seperti yang diketahui sebelum ini, Toyota Vios generasi baharu berkenaan diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) iaitu platform yang berkait rapat dengan Perodua Ativa, Alza 2022 dan Axia 2023, bagi menggantikan platform model generasi ketiga yang telah digunakan sejak 2013.

    Ia menampilkan dimensi panjang keseluruhan 4,410 mm, lebar 1,740 mm, tinggi 1,480 mm dan jarak roda sejauh 2,620 mm. Jadi berbanding model sebelumnya, Vios generasi baharu menampilkan panjang keseluruhan yang hampir sama, tetapi 10 mm lebih lebar dan 5 mm lebih rendah. Manakala jarak rodanya pula adalah 70 mm lebih panjang yang tentunya memberi gambaran bahawa bahagian kabinnya dapat dihasilkan lebih luas.

    Apa yang menarik, Vios generasi baharu ini tidak lagi menggunakan enjin 2NR-FE Dual VVT-i sebaliknya digantikan dengan enjin 2NR-VE, iaitu enjin yang sama boleh ditemui pada perut Perodua Alza 2022 dan juga Perodua Myvi facelift 2022.

    Enjin 1.5L Dual VVT-i tersebut menghasilkan kuasa 105 hp (106 PS) pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 138 Nm pada takat 4,200 rpm. Angka-angka ini adalah seiras dengan kuasa yang ditala pada Alza, serta 3 hp dan 1 Nm lebih tinggi berbanding Myvi, juga 1 PS/2 Nm kurang berkuasa dari model generasi sebelumnya

    Dalam kabin lebih perincian dilihat turut dikongsi bersama model-model Perodua seperti panel paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 7.0-inci dan juga roda stereng yang sama seperti pada Ativa, Alza dan Axia 2023.

    Di Indonesia, Vios masih ditawarkan dalam versi kotak gear manual lima kelajuan, manakala model dengan transmisi automatik diberikan kotak gear CVT. Ia dijual pada harga bermula Rp 314,900,000 (RM96k) hingga Rp 368,400,000 (RM112k).

    Buat masa sekarang Toyota Vios generasi sedia ada di Malaysia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM 74,623.00 untuk model paling asas 1.5J hingga RM 95,284.00 untuk varian paling tinggi dan sporty Vios GR-Sport. Dengan pelbagai teknologi baharu ditawarkan, mungkinkah harga Vios akan meningkat seperti model-model Perodua yang diasaskan dari platform DNGA?

    GALERI: Toyota Vios generasi keempat pasaran Indonesia

     
     
  • Lesen memandu dan cukai jalan digital tidak akan tambah kesesakan trafik di sekatan jalan raya – PDRM

    Lesen memandu dan cukai jalan digital tidak akan tambah kesesakan trafik di sekatan jalan raya – PDRM

    Pendigitalan lesen memandu dan cukai jalan kenderaan persendirian tidak akan menambah kesesakan trafik dalam sekatan jalan jaya yang dilaksanakan, seperti yang dilaporkan oleh artikel Sinar Ahad yang turut dikongsikan menerusi Facebook rasmi Polis DiRaja Malaysia.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), CP Dato’ Sri Mat Kasim Karim, pihaknya menyambut baik dan menyokong sepenuhnya pendekatan digital kerajaan.

    “Dalam proses interim, kita bagi peluang kepada masyarakat dan lebih kepada advokasi dahulu sehingga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menguatkuasakannya secara 100%. Saya juga yakin pemeriksaan ketika sekatan jalan raya tidak terjejas. Sekiranya bermasalah, barulah semakan terperinci akan dibuat,” katanya kepada penerbitan berkenaan.

    Lesen memandu dan cukai jalan digital tidak akan tambah kesesakan trafik di sekatan jalan raya – PDRM

    Beliau turut berkata, pihak polis akan sentiasa berkolaborasi dengan JPJ bagi penugasan dan penguatkuasaan.

    Tambahnya lagi, JSPT dibekalkan dengan peralatan “Mobile Computerized On-Line Payment System” (MCOPS) yang masih boleh melaksanakan penguatkuasaan melalui semakan integrasi dengan sistem mySikap JPJ atau paparan QR Qode semakan nombor kenderaan.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah mengumumkan, mulai 10 Februari lalu, pemilik kenderaan persendirian yang merupakan warganegara boleh menggunakan mod paparan LKM (cukai jalan) Digital (e-LKM) dan LMM (Lesen Memandu Malaysia) Digital (e-LMM) melalui Portal Awam JPJ atau Aplikasi Mobile MyJPJ di bawah satu projek perintis.

    “Selaras dengan inisiatif ini, peruntukan di bawah Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) di mana “setiap LKM hendaklah dilekatkan dan dipamerkan pada kenderaan yang berkenaan” tidak lagi akan dikuatkuasakan bagi kategori pemilik di bawah fasa pertama. Pengecualian ini akan diwartakan di bawah kuasa yang diberi kepada Menteri Pengangkutan di bawah Seksyen 127 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata Loke.

     
     
  • Rapid KL lancar ‘bas Parlimen’ – perkhidmatan bas mini dari KL Sentral dan kawasan parkir Taman Botani

    Rapid KL lancar ‘bas Parlimen’ – perkhidmatan bas mini dari KL Sentral dan kawasan parkir Taman Botani

    Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah melancarkan inisiatif perkhidmatan bas perantara percuma di antara KL Sentral dan Bangunan Parlimen yang dikendalikan sepenuhnya oleh Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus).

    Dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, perkhidmatan ini beroperasi mulai hari ini (20 Feb) sehingga 6 April 2023 iaitu sepanjang persidangan Parlimen bagi memberi kemudahan kepada pengguna yang ingin ke Bangunan Parlimen atas urusan rasmi atau pun tugas. Ia juga adalah satu inisiatif untuk mengatasi masalah kesesakan dan tempat letak kereta yang terhad di kawasan Parlimen.

    “Pihak Prasarana dan Rapid Bus amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan MOT dalam menyediakan perkhidmatan bas percuma ini kepada mereka yang perlu ke Parlimen. Inisiatif ini juga selaras dengan Ikrar Kenyataan Polisi Alam Sekitar Prasarana dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) iaitu sasaran neutral karbon melalui pengurangan pelepasan karbon menjelang tahun 2050 ke arah kelestarian alam sekitar,” kata Prasarana menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Menurut Prasarana lagi, perkhidmatan bas perantara percuma ini beroperasi dari Isnin hingga Jumaat pada jam 7 pagi hingga 8 malam. Kekerapan bas adalah setiap 30 minit pada waktu puncak (7 pagi hingga 10.30 pagi, 4.30 petang hingga 8 malam) dan setiap 60 minit di luar waktu puncak.

    “Bas perantara percuma ini mengambil penumpang di Balai Pelepasan ERL, KL Sentral dan juga dari Taman Botani Perdana (berhampiran tempat letak kereta bertingkat) untuk ke Bangunan Parlimen.

    “Perkhidmatan ini meliputi laluan sepanjang 5 km dan mengambil masa lebih kurang 15 minit. Menggunakan bas yang lebih kecil, ia adalah lebih sesuai untuk melalui jalan di sekitar Taman Botani Perdana yang lebih kecil. Ia juga adalah sejajar dengan perancangan untuk menggunakan bas-bas yang lebih kecil di Lembah Klang bagi memastikan lebih banyak kawasan dapat dilalui,” katanya lagi.

    Dalam masa yang sama, Prasarana dan Rapid Bus juga menyeru semua pihak yang mempunyai urusan di bangunan Parlimen untuk memanfaatkan perkhidmatan bas percuma ini dan berharap semoga pengangkutan awam seperti perkhidmatan bas dapat dimartabatkan sebagai mod pengangkutan pilihan bagi semua lapisan masyarakat di ibu kota untuk menjalani aktiviti harian.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Festival Musim ke-6, pusingan-1; Pelumba-pelumba muda kini dominasi perlumbaan!

    Toyota Gazoo Racing Festival Musim ke-6, pusingan-1; Pelumba-pelumba muda kini dominasi perlumbaan!

    Sedar tak sedar, siri perlumbaan ‘one make’ Vios Challenge yang diadakan bersama Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing Festival kini sudahpun masuk musim ke-enam.

    Pelancaran musim baharu berkenaan telah dibuat di Litar Antarabangsa Sepang pada Jumaat malam, 17 Februari 2023 serentak bersama pelancaran lima model GR (GR Corolla, GR 86, GR Supra MT, Corolla Cross GR Sport, Hilux GR Sport), dan perlumbaan pusingan pertama ini berlangsung pada Sabtu dan Ahad.

    Seperti juga musim-musim sebelumnya, Vios Challenge masih menampilkan empat kategori berbeza iaitu Promotional (untuk selebriti), Rookie (untuk bakat-bakat muda yang lahir dari perlumbaan simulator dan kart), Sporting (amatur) dan juga Super Sporting (profesional). Bagi kategori Promotional, beberapa muka-muka lama sebelum ini telah menarik diri dan digantikan dengan beberapa muka baharu.

    KATEGORI SUPER SPORTING

    Toyota Gazoo Racing Festival Musim ke-6, pusingan-1; Pelumba-pelumba muda kini dominasi perlumbaan!

    Race 1

    Kategori ini menyaksikan dua pemandu muda pasukan Axle Sports berada di grid baris pertama – anak kepada bekas pemandu F1 kebangsaan Alex Yoong, Alister Yoong mencatatkan masa terpantas pada sesi kelayakan, diikuti rakan sepasukan Naquib Azlan. Pelumba berpengalaman, Eddie Lew berusia 49-tahun dari pasukan Laser Motor Racing berada di tempat ketiga, dan diikuti rakan sepasukan yang baru berumur 17-tahun, Putera Adam (bekas pelumba kelas Rookie sebelum ini) di tempat keempat.

    Sebaik sahaja dilepaskan, persaingan tempat pertama tertumpu pada Alister Yoong dan Naquib Azlan. Namun disebalik pertarungan di kelompok pertama tersebut, Mitchell Cheah dari pasukan Prima Pearl TD Racing yang bermula dari petak keenam secara perlahan-lahan memanjat hingga ke tempat ketiga, dan kemudian mula ‘mengacau’ kedudukan Naquib Azlan.

    Pertarungan sengit antara Mitchell, Naquib dan Alister berlangsung sehingga ke pusingan terakhir dengan kedudukan pendahulu perlumbaan bertukar-tukar antara ketiga-tiga pelumba berkenaan dan menyaksikan aksi ‘dog fight’ yang sangat agresif. Tetapi akhirnya Mitchell yang berjaya menamatkan perlumbaan 20-lap berkenaan di tempat pertama, diikuti Naquib dan Alister.

    Toyota Gazoo Racing Festival Musim ke-6, pusingan-1; Pelumba-pelumba muda kini dominasi perlumbaan!

    Walau bagaimanapun, atas beberapa insiden sentuh-menyentuh antara tiga pelumba berkenaan, Mitchell dikenakan penalti 10-saat menyebabkan dia jatuh ke tempat keenam, manakala Alister pula hilang terus kelayakan kerana melanggar undang-undang teknikal. Ini membolehkan Naquib diiktiraf juara sebenar Race 1, diikuti Putera Adam di tempat kedua dan Eddie Lew di tempat ketiga.

    “Saya ada kelebihan jarak di hadapan tetapi hujan mula turun sedikit dan itu yang mengkucar-kacirkan saya pada lap-lap terakhir. Tekanan dari belakang dan tayar yang mula bocor sedikit demi sedikit menjadi tiga lap terakhir lebih kacau-bilau,” kata Naquib.

    Ini merupakan musim pertama Naquib bertanding dalam kategori tertinggi ini setelah berjaya menjadi juara kelas Rookie pada 2021, dan ditabalkan juara kelas Sporting musim lalu.

    Race 2

    Toyota Gazoo Racing Festival Musim ke-6, pusingan-1; Pelumba-pelumba muda kini dominasi perlumbaan!

    Selepas “ditendang” hingga ke tempat keenam dengan penalti pada Race 1, bermakna Mitchell Cheah akan memulakan Race 2 pada grid paling hadapan dengan format reverse grid, dan bakal dicabar oleh juara kelas Super Sporting musim lalu iaitu Hayden Haikal dari pasukan Axle Sports di grid kedua dan William Ho dari pasukan Toyotsu Racing di grid ketiga.

    Sebaik sahaja lampu bertukar hijau, Mitchell berlepas dengan baik dan meluru kehadapan bagi memimpin perlumbaan. Babak-babak awal menyaksikan Hayden cuba menyerang Mitchell yang berada di hadapan, meninggalkan kelompok kedua dengan Putera Adam, Naquib Azlan dan rakan sepasukan Mitchell iaitu Tengku Djan Ley bertarung merebut tempat ketiga.

    Namun masuk lap ke-4, serangan dari Hayden mula lemah, membolehkan Mitchell semakin selesa di hadapan. Akhirnya pada lap ke-10, Putera Adam mula tiba rapat di belakang Hayden menyebabkan mod menyerang Mitchell bertukar kepada bertahan dari serangan Putera Adam yang mahu merebut tempat kedua.

    Putera Adam tidak mengambil masa yang lama untuk melemahkan Hayden di mana dia berjaya memintas pada selekoh pertama lap ke-11. Selepas dipintas oleh Putera Adam, Hayden semakin kucar-kacir menerima serangan dari rakan sepasukannya iaitu Naquib Azlan pula bagi mempertahankan kedudukan podium berkenaan.

    Kedudukan ini tidak berubah sehingga tamat 20-lap perlumbaan dengan Mitchell berjaya menang tempat pertama, diikuti Putera Adam di tempat kedua dan Hayden Haikal di tempat ketiga. Namun keputusan akhir menunjukkan Putera Adam bersama Naquib Azlan yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat dikenakan penalti, membolehkahn Hayden berada di tempat kedua dan Tengku Djan naik ke tempat ketiga walaupun menghabiskan perlumbaan di tangga kelima.

    “Rasa seronok untuk naik semula ke podium. Secara teknikalnya saya menang kedua-dua perlumbaan tetapi penalti menyebabkan saya hilang kemenangan pada Race 1. Race 2 lebih mencabar dari apa yang saya jangkakan kerana pelumba-pelumba lebih muda adalah sangat laju,” kata Cheah.

    “Saya terpakasa bertahan dengan kereta yang mula understeer pada akhir-akhir perlumbaan dan saya perlu lakukan semuanya untuk mempertahankan kedudukan,” tambahnya lagi.

    KATEGORI SPORTING

    Toyota Gazoo Racing Festival Musim ke-6, pusingan-1; Pelumba-pelumba muda kini dominasi perlumbaan!

    Race 1

    Untuk kategori Sporting, perlumbaan dilangsungkan dalam cuaca hujan. Ia bermula dengan adik kepada Naquib, Nabil Azlan dari pasukan Axle Sports yang juga juara kategori Rookie musim lalu berada di grid pertama setelah mencatatkan masa terpantas di dalam sesi kelayakan pada sebelah pagi.

    Ia diikuti dua lagi pelumba muda, Abdul Miqail dari pasukan 23 Motors berada di kedudukan kedua dan Bradley Banedict Anthony dari pasukan Crestmax Motorsport di grid ketiga. Nabil terus berada di hadapan apabila perlumbaan bermula, dan agak malang bagi Miqail yang telibat dalam insiden di selekoh kedua lap ke-2 menyebabkan dia tertinggal di kelompok belakang.

    Dengan keadaan litar yang basah, Tarmimi Tahang dari pasukan Zaquin Boulevard Motorsports yang bermula dari petak ke-lapan menggunakan kemahirannya untuk secara perlahan-lahan mara ke kelompok hadapan. Dan pada babak-babak akhir perlumbaan, Miqail berjaya tiba di kelompok utama bagi memberikan cabaran kepada Tarmimi dan Bradley.

    Toyota Gazoo Racing Festival Musim ke-6, pusingan-1; Pelumba-pelumba muda kini dominasi perlumbaan!

    Namun akhirnya Nabil kekal ditempat pertama, meninggalkan Miqail di tempat kedua dengan kelebihan 8 saat. Manakala Tarmimi Tahang berjaya mendapatkan podium pertamanya untuk musim ini walaupun diasak oleh Bradley di tempat keempat.

    Walau bagaimanapun selepas siasatan oleh pengendali perlumbaan, Miqail diberikan penalti 30-saat dalam insiden yang melibatkannya, menyebabkan dia jatuh ke tangga ke-sembilan. Ini membolehkan Tarmimi naik ke tempat kedua dan Bradley disahkan pemenang tempat ketiga.

    “Saya sentiasa lebih gemarkan perlumbaan kering. Bila hujan turun saya jadi sedikit gementar kerana saya tidak ada pengalaman yang cukup untuk berlumba dalam keadaan basah. Sasaran dalam perlumbaan ini adalah untuk memastikan tiada kesilapan dibuat dan elakkan dari terlibat dalam masalah,” kata Nabil.

    Toyota Gazoo Racing Festival Musim ke-6, pusingan-1; Pelumba-pelumba muda kini dominasi perlumbaan!

    Untuk Abdul Miqail yang baru berumur 17-tahun, ini merupakan musim keduanya dalam perlumbaan Vios Challenge. Dengan prestasi yang ditunjukkan dalam perlumbaan pertama musim ini, Miqail mungkin akan menjadi antara pilihan utama untuk menjuarai kategori Sporting untuk musim ke-enam.

    “Musim kelima merupakan proses belajar dan mendapatkan pengalaman buat saya. Tahun ini, saya harap untuk menggunakan semuanya dalam latihan dan berharap untuk mendapat juara keseluruhan kejohanan. Ia tidak mudah kerana persaingan sangat sengit. Kami hanya perlu melihat bagaimana situasi perlumbaan kali ini,” kata Miqail.

    Race 2

    Toyota Gazoo Racing Festival Musim ke-6, pusingan-1; Pelumba-pelumba muda kini dominasi perlumbaan!

    Untuk Race 2, Mohd Syafiq Samsudin dari pasukan Race Rally KL berada di grid pertama dan terus berada hadapan. Manakala Bradley Bendict yang bermula dari petak keempat berjaya menyusup dikesesakan trafik kelompok hadapan untuk berada di tempat kedua dan tertinggal 1.7 saat di belakang Syafiq pada lap pertama.

    Namun hanya selepas satu lap perlumbaan bemula, safety car terpaksa keluar memimpin perlumbaan sebanyak tiga lap disebabkan oleh kemalangan yang melibatkan Shanmuganathan dari pasukan Kashash Vina Motorsports Racing. Ini menyebabkan usaha Syafiq untuk menjarakkan dirinya dengan kelompok belakang menjadi sia-sia.

    Selepas safety car masuk semula ke laluan pit, Bradley terpaksa bertahan dengan asakan dari Nabil Azlan yang berada di belakang untuk merebut tempat kedua. Malang sekali lagi untuk Syafiq, pengarah perlumbaan mengeluarkan arahan kepadanya untuk menerima penalti drive through kerana didapati melakukan kesalahan ketika memulakan perlumbaan, menyebabkan dia terus jatuh ke kelompok belakang.

    Dengan ketiadaan Syafiq, persaingan pertarungan tiga tempat pertama berlangsung antara Bradley, Nabil dan juga Abdul Miqail yang secara tidak sedar sudah berada di kelompok hadapan walaupun hanya bermula dari petak ke kesembilan. Perlumbaan yang masih belangsung sebanyak 20 lap ini akhirnya dimenangi oleh Bradley, diikuti Nabil dengan 0.7 saat di belakang serta Miqail di tempat ketiga.

    “Saya sentiasa diberikan tekanan dari mula sehingga bendera penamat. Saya lihat Abdul Miqail sentiasa mengejar. Dia bermula dari grid kesembilan tetapi pada pertengahan perlumbaan dia sudahpun bertarung untuk kedudukan kedua” kata Bradley.

    “Saya hanya melakukakan yang terbaik untuk menjaga tayar bagi memastikan saya dapat tahap cengkaman yang saya perlukan untuk menghasbiskan perlumbaan,” katanya lagi.

    KATEGORI PROMOTIONAL

    Toyota Gazoo Racing Festival Musim ke-6, pusingan-1; Pelumba-pelumba muda kini dominasi perlumbaan!

    Race 1

    Dalam kategori ini, dua pelumba ‘orang lama’ iaitu Zizan Razak dan Shukri Yahaya masih mendominasi perlumbaan dengan masing-masing berada di tempat pertama dan kedua. Manakala pendatang baru, Ezzrin Loy berjaya membuat kejutan dengan berada di tempat ketiga.

    “Nampaknya saya masih ada lagi tugas yang belum selesai dari musim lalu. Saya sangat berpuas hati dengan keputusan Race 1 ini. Saya diberikan tekanan dari Shukri dari mula tetapi ini merupakan perlumbaan yang bersih sehingga habis,” kata Zizan.

    “Sejujurnya ini merupakan perlumbaan pertama yang mencabar, saya tidak ada sebarang sasaran untuk habis di atas podium,” kata Ezzrin yang sebelum ini mempunyai pengalaman berlumba motosikal dalam kelas 250 cc dan 1,000 cc.

    Toyota Gazoo Racing Festival Musim ke-6, pusingan-1; Pelumba-pelumba muda kini dominasi perlumbaan!

    “Perlumbaan empat-roda sangat berbeza dan saya tiada pengalaman sebelum ini. Objektif saya adalah untuk menghabiskan perlumbaan dan syukur saya berjaya melakukannya dan dalam proses berkenaan saya dapat naik ke podium,” tambahnya lagi.

    Antara muka baru lain dalam kategori Promotional bagi musim ini termasuk pelakon wanita Syaidatul Afifah; pelakon, hos television dan penyampai radi Hot FM Imran Aqil; penyampai radio Hefny Sahad; dan pelakon serta model Reen Rahim.

    Race 2

    Tak banyak yang berubah pada kategori Promotional untuk Race 2 ini. Walaupun kaedah reverse grid memberikan peluang kepada Ain Edruce, Hefny Sahad dan Imran Aqil masing-masing bermula dari petak pertama, kedua dan ketiga, perlumbaan ini masih dimenangi oleh Zizan Razak, diikuti Shukri Yahaya di tempat kedua dan Ezzrin Loy di tempat ketiga.

    “Saya jangkakan pertarungan seperti ini dalam litar akan berterusan sepanjang musim ini. Saya perlu mengaku Zizan merupakan pelumba yang lebih baik. Amat susah buat saya bukan sahaja untuk memotongnya bahkan untuk menjarakkan diri darinya apabila saya mendahului perlumbaan. Tak seperti Zizan, pendedahan saya dalam sukan bermotor hanyalah dalam enam musim bersam GR Vios Challenge,” kata Shukri.

    KATEGORI ROOKIE

    Toyota Gazoo Racing Festival Musim ke-6, pusingan-1; Pelumba-pelumba muda kini dominasi perlumbaan!

    Race 1

    Dalam kelas Rookie, perlumbaan pertama ini sudah menyaksikan penguasaan pelumba-pelumba simulator; Iman Danish menamatkan perlumbaan di tempat pertama, diikuti Elson Lew dan Nazmir Azlan – ketiga-tiga datang dari dunia simulator.

    “Peluang untuk memandu dan berlumba sebagai pelumba muda yang diberikan ini adalah luar biasa dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Toyota. Ini merupakan satu peluang untuk membuktikan kemampuan kami. Saya tidak menjangkakan perlumbaan ini berlangsung dengan baik kerana saya telah mengalami beberapa isu ketika kelayakan dan saya berasa sedikit kecewa ketika perlumbaan bermula,” kata Danish Iman yang baru berumur 16-tahun.

    Elson Lew yang berumur 19-tahun juga berasa gementar dalam perlumbaan pertama ini, tetapi masih mampu mempertahankan kedudukan keduanya sepanjang perlumbaan 20 lap berkenaan. Nazmir Azlan, yang merupakan pelumba paling muda kali ini dengan baru berumur 15-tahun juga berkongsi sentimen yang sama.

    Toyota Gazoo Racing Festival Musim ke-6, pusingan-1; Pelumba-pelumba muda kini dominasi perlumbaan!

    “Pertama sekali saya mahu ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Toyota kerana memberikan peluang untuk semua enam Rookies bagi menyertai acara yang berprestij ini. Saya tidak dapat permulaan yang baik dan hampir membuatkan enjin kereta mati.

    “Melihat beberapa kereta berlanggar pada selekoh pertama juga menyebabkan saya lebih gementar. Memandangkan ini merupakan kali pertama saya berlumba dan bersama pelumba lain di atas litar, saya sangat bersyukur kerana dapat mengekalkan kedudukan saya,” kata Nazmir, yang juga adik paling bongsu kepada Naquib dan Nabil – dua pelumba kelas Rookie yang kini bertanding dalam kelas lebih tinggi.

    Race 2

    Toyota Gazoo Racing Festival Musim ke-6, pusingan-1; Pelumba-pelumba muda kini dominasi perlumbaan!

    Untuk Race 2 dalam kelas Rookie ini dimenangi oleh Ariff Azmi. Dua pemenang podium pada Race 1 iaitu Nazmir Azlan dan Iman Danish juga masih kembali ke podium Race 2 ini dengan masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.

    “Semalam saya mendahului tetapi dalam pertengahan perlumbaan saya mengalami kerosakan sistem ABS menyebabkan saya jatuh ke tempat ke enam dan itu bukan keputusan yang saya harapkan selepas mendapat pole position,” kata Ariff. Tidak seperti Nazmir dan Iman yang berasal dari perlumbaan Sim, Ariff bermula sebagai pemandu go-kart dan pernah menjuarai kejohanan Rotax Max Malaysia pada 2019.

    “Transisi dari memandu kart kepada kereta saloon agak mencabar tetapi dengan banyak pertolongan yang saya dapat menerusi Program Pembangunan Bakat Muda GR dan dari ramai orang di atas grid adalah sangat baik. Ia memudahkan saya di dalam kereta dengan lebih baik berbanding hanya membawa saya berlumba tanpa program pembangunan,” katanya lagi.

    “Race 2 seperti menaiki roller coaster buat saya. Saya terlibat dalam kemalangan tapi saya masih dapat meneruskan perlumbaan. Secara keseluruhan, ia amat menyeronokkan,” kata Iman Danish.

    Menurut UMW Toyota, seramai 3.5 juta penonton yang mengikuti siaran langsung pelumbaan pusingan pertama ini yang disiarkan secara atas talian pada hari Sabtu dan Ahad minggu lalu. Dan pelumba-pelumba muda yang lahir sama ada dari kategori Sporting dan Rookie pada musim-musim sebelum ini sudah mula mengenepikan pelumba-pelumba yang jauh lebih berpengalaman.

    “Sukan permotoran bukan sahaja memberi impak yang mendalam kepada jenama tetapi kami amat gembira kerana kami telah dapat memberikan sumbangan yang bermakna kepada pembangunannya, iaitu dengan kemunculan pemandu muda,” kata Presiden UMW Toyota Motor Datuk Ravindran K.

    “Pada permulaan perlumbaan musim ke-6 ini, anda sudah boleh melihat kumpulan pemandu muda yang sangat besar mula menggunakan penguasaan mereka terutamanya dalam Kelas Super Sporting dan Sporting yang masing-masing untuk pelumba profesional dan amatur. Ini adalah perkembangan yang sangat positif untuk sukan ini,” tambahnya lagi

    Pusingan kedua GR Vios Challenge musim ke-enam ini akan berlangsung dari 2 hingga 4 Jun 2023, dan ia masih akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang.

     
     
  • Pemandu KL habiskan 159 jam dalam trafik waktu puncak pada 2022 — jimat 104 jam dengan 3 hari WFH

    Pemandu KL habiskan 159 jam dalam trafik waktu puncak pada 2022 — jimat 104 jam dengan 3 hari WFH

    Menurut laporan terbaru Indeks Trafik Tomtom, pemandu di Kuala Lumpur menghabiskan masa sebanyak 159 jam di atas jalan ketika trafik waktu kemuncak di pusat bandar sepanjang tahun lalu; masa yang cukup untuk membaca 31 buah buku.

    Data dari kaji selidik itu juga menunjukkan, daripada 159 jam di atas jalan itu, 75 jam adalah disebabkan oleh kesesakan. TomTom juga menganggarkan pemandu membelanjakan sebanyak RM1,023 untuk minyak (RM221 disebabkan kesesakan) dan mengeluarkan 833 kg gas karbon monoksida (180 kg disebabkan kesasakan).

    Dapatan lain daripada kaji selidik berkenaan juga menunjukkan waktu perjalanan di dalam pusat bandar meningkat tahun lalu, dengan masa yang diperlukan untuk bergerak sejauh 10 km meningkat kepada 16 minit dan 10 saat (naik satu minit dan 40 saat berbanding 2021). Turut didedahkan ialah tanggal 25 April 2022 menjadi hari terburuk untuk pergerakan dalam Kuala Lumpur sepanjang tahun lalu, dengan purata masa perjalanan untuk 10 km ialah 21 minit.

    Indeks Trafik TomTom turut menunjukkan pemandu menghabiskan tambahan 75 jam memandu dalam waktu puncak tahun lalu, dengan waktu puncak paling teruk adalah pada Khamis antara 6pm hingga 7pm. Ia juga menunjukkan, pengguna boleh menjimatkan 35 jam dan RM203 belanja minyak sekiranya mereka bekerja dari rumah pada Khamis, dengan penjimatan ini meningkat kepada 104 jam dan RM609 sekiranya mereka bekerja dari rumah dari Selasa hingga Khamis.

    Dari segi kedudukan, Kuala Lumpur berada di tempat ke-143 dalam Indeks Trafik TomTom, dengan tempat pertama menjadi milik London dengan purata jarak perjalanan 10 km dalam masa 36 minit dan 20 saat. Pemandu di London menghabiskan paling banyak masa dalam trafik waktu puncak dengan 325 jam, dan menhabiskan GBP805 (RM4,292) setahun.

     
     
  • Yamaha FZS-Fi Version 4.0 tiba di India – dari RM6.8k

    Yamaha FZS-Fi Version 4.0 tiba di India – dari RM6.8k

    Siri model FZ keluaran Yamaha untuk pasaran India kini diperbaharui dengan ketibaan model FZS-Fi Version 4.0. Motosikal naked kelas permulaan ini menerima pelbagai penambah baikan, terutamanya pada bahagian teknologi dan kelengkapan dan sekarang dijual pada harga bermula 127,400 rupee (RM6,823).

    Perubahan paling jelas yang boleh dilihat pada model V4 ini adalah lampu hadapan, yang kini mendapat jalur DRL LED di bahagian tepi lampu utamanya (juga menggunakan LED). Lampu penunjuk arah LED yang sebelum ini ditawarkan sebagai aksesori tambahan diberikan secara standard pada model V4.

    Panel meter yang digunakan oleh FZS sebelum ini sekarang sudah diganti dengan meter baru lebih besar, yang kelihatan seperti unit sama dengan MT-15. Selain memaparkan informasi penting, ia juga boleh disambung secara bluetooth kepada telefon pintar dan memberikan pelbagai informasi tambahan. Namun begitu, petunjuk navigasi masih tiada.

    Pada bahagian keselamatan, FZS-Fi V4 masih lagi cuma didatangkan dengan ABS one-channel (brek hadapan dan belakang menggunakan cakera), tetapi ia telah ditambah baik dengan pemasangan sistem kawalan cengkaman yang dikatakan sebagai pertama dalam kategorinya.

    Kelengkapan lain motosikal ini masih lagi sama seperti sebelumnya, termasuk enjin iaitu menggunakan unit satu silinder empat strok SOHC 149 cc suntikan bahan api dengan sistem penyejukan udara, digabungkan bersama transmisi lima kelajuan untuk menghasilkan kuasa 12.4 PS pada 7,250 rpm dan 13.3 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Berat keseluruhan model ini adalah 136 kg dan ia datang dengan tangki bahan api berkapasiti 13 liter. Kelengkapan lain yang ada padanya adalah termasuk fork teleskopik, monoshock di belakang dan rim 17 inci dengan tayar 100/80 di hadapan dan 140/60 di belakang.

     
     
  • Honda Accord 2023 – video perincian model AS disiar

    Honda Accord 2023 – video perincian model AS disiar

    Susulan daripada pengenalannya November tahun lalu, Honda Amerika Syarikat kini menyiarkan beberapa video perincian untuk Accord 2023. Ia sekaligus dapat memberikan kita gambaran apa yang ada pada model ini apabila ia akhirnya tiba di negara kita nanti.

    Walaubagaimanapun, itu mungkin berlaku lambat lagi kerana pasaran Malaysia dan negara pemanduan sebelah kanan lain seperti Australia, Jepun dan negara-negara Asia Tenggara lain mempunyai kitaran hayat produk yang berbeza berbanding dengan Amerika Syarikat (AS). Kalau melihat kepada Accord generasi ke-10 sebelum ini, ia cuma sampai di negara kita beberapa tahun selepas ia dipasarkan di AS – perkara sama dijangka untuk model generasi ke-11.

    Accord yang berada dalam pasaran kita sekarang dilancarkan pada Februari 2020 dan dipasang di kilang Honda Malaysia di Pegoh, Melaka. Ia ditawarkan dalam dua varian, dan kedua-duanya dipacu oleh enjin petrol empat silinder 1.5 liter turbo yang menghasilkan 201 PS pada 5,500 rpm dan tork 260 Nm antara 1,600 hingga 5,000 rpm. Kuasa ini dihantar kepada dua roda hadapan melalui transmisi CVT.

    Di AS, Accord mendapat tambahan enjin petrol 2.0 liter 252 hp/370 Nm bersama padanan transmisi automatik 10 kelajuan, dan varian Hybrid yang menggunakan sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) dua motor bersama enjin petrol 2.0 liter, menghasilkan kuasa 212 hp dan 315 Nm.





     
     
  • Mitsubishi Minicab-MiEV diproduksi di Indonesia pada 2024 – van EV kei dengan jarak 133 km, 41 PS, 196 Nm

    Mitsubishi Minicab-MiEV diproduksi di Indonesia pada 2024 – van EV kei dengan jarak 133 km, 41 PS, 196 Nm

    Mitsubishi telah mengumumkan bakal mula memproduksi Minicab-MiEV di Indonesia pada tahun hadapan, di mana ia merupakan kali pertama one-box kei car diproduksi di luar Jepun. Minicab-MiEV ini pada asasnya merupakan Minicab versi semua-elektrik yang diperkenalkan pada tahun 2011, dan pernah dipertontonkan di Indonesia International Motor Show tahun ini.

    Produksi bagi EV ini akan dikendalikan oleh PT Mitsubishi Motors Krama Yudha Indonesia (MMKI) di kilangnya yang terletak di Jawa Barat. Kilang terbabit telah beroperasi sejak April 2017 dan buat masa ini terlibat dalam pengeluaran Pajero Sport, Xpander dan Xpander Cross, dengan kapasiti sebanyak 220,000 unit setahun.

    Perincian EV ini masih belum didedahkan, namun Minicab-MiEV spesifikasi Indonesia ini lebih kurang dengan apa yang ditawarkan di Jepun. Di negara kelahirannya, kenderaan komersil ringan bersaiz kecil ini menampilkan bateri lithium-ion 16-kWh yang mampu memberikan jarak pacuan hingga 133 km mengikut kitaran WLTC. Kuasanya dipacukan oleh motor elektrik tunggal pada kadar 41 PS (40 hp atau 30 kW) dan tork cecah 196 Nm.

    Penjana kuasa elektriknya berasal daripada i-MiEV, dengan Mitsubishi menempatkan baterinya di bawah lantai kenderaan tanpa berkompromi tentang ruang kargo. Sebelum ini, Mitsubishi pernah membuat keputusan untuk menamatkan pengeluaran Minicab-MiEV, tetapi kemudian memutuskan untuk menyambung semula jualannnya pada November 2022 berikutan permintaan yang semakin meningkat untuk EV komersil, terutamanya daripada syarikat logistik dan kerajaan tempatan.

    Di Jepun, Minicab-MiEV ditawarkan pada harga 2.431 juta yen (RM80,208) untuk varian dua-tempat duduk, sementara versi empat-tempat duduk berharga 2.453 juta yen (RM80,934). “Bagi memenuhi permintaan yang berkembang bagi Ev di rantau ASEAN, kami membuat keputusan untuk memproduksi kenderaan ini di luar Jepun buat pertama kalinya. Ia juga bagi meneruskan sokongan terhadap pembangunan industri automotif Indonesia, dan kami juga berharap dapat menyumbangkan inisiatif alam sekitar negara ini,” ujar Takao Kato, presiden dan CEO Mitsubishi Motors.

     
     
  • BAJET 2023: MITI cadang pelepasan cukai pendapatan individu yang langgan/pasang sistem pengecas EV

    BAJET 2023: MITI cadang pelepasan cukai pendapatan individu yang langgan/pasang sistem pengecas EV

    Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mencadangkan supaya pelepasan cukai pendapatan individu untuk langganan kemudahan atau pemasangan sistem pengecas kenderaan elektrik (EV) dimasukkan dalam Belanjawan 2023.

    Menurut Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong, sehingga kini, jumlah unit sedia ada bagi sistem pengecasan EV dan hibrid membabitkan 21,659 dan 902 lokasi pengecas (charging point) di seluruh negara.

    Dalam masa yang sama, beliau juga mengesahkan kerajaan sedang memperhalusi langkah untuk meningkatkan jumlah EV termasuk hibrid sebagai kenderaan rasmi jabatan. Katanya lagi, perkara itu sedang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan, laporan Berita Harian.

    Perkara ini dinyatakan dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi selepas menerima soalan daripada Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang ingin mengetahui dasar MITI untuk menggalakkan penggunaan EV.

    Chin Tong turut berkata, melalui Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia, kerangka strategi pembangunan dan perancangan pengecas EV di negara ini juga sedang dibangunkan. Namun buat setakat ini, perincian mengenai strategi terbabit belum didedahkan.