Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • BMW M3 CS 2023 diperkenal – sedan G80 keluaran terhad dengan kuasa 550 PS, 20 kg lebih ringan

    BMW M3 CS 2023 diperkenal – sedan G80 keluaran terhad dengan kuasa 550 PS, 20 kg lebih ringan

    Selepas mengeluarkan beberapa model edisi khas untuk BMW M4 G82 tahun lepas, BMW kini memberikan fokus kepada kembar sedannya pula dan memperkenalkan M3 CS G80 ini. Dibangunkan dengan semangat yang sama seperti M5 CS F90, BMW memberitahu model keluaran terhad ini menjanjikan lebih kuasa, lebih ringan dan prestasi mengujakan.

    Di bawah bonetnya terdapat enjin enam silinder sebaris 3.0 liter twin turbo yang mampu menghasilkan 550 PS (543 hp atau 405 kW) pada 6,250 pm dan tork 650 Nm antara 2,750 hingga 5,950 rpm. Jumlah ini adalah sama seperti M4 CSL yang diperkenalkan Mei lalu, dan lebih tinggi 40 PS (40 hp atau 30 kW) berbanding M3 Competition biasa.

    Peningkatan kuasa ini dapat diperoleh dengan menaikkan tekanan boost dari 1.7 bar kepada 2.1 bar, bersama beberapa perubahan lain yang diambil daripada kereta lumba M4 GT3. Ini termasuklah crankcase dengan binaan tanpa sleeve dan close-deck, kelongsong silinder serba ringan, crankshaft forged, cylinder head dengan liang 3D-printed, serta sistem bekalan minyak dan penyejukan yang dinaik taraf.

    BMW M3 CS 2023 diperkenal – sedan G80 keluaran terhad dengan kuasa 550 PS, 20 kg lebih ringan

    Dipadankan bersama transmisi M Steptronic, sistem pacuan semua roda M xDrive dan differential Active M, M3 CS ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa cuma 4.4 saat dan mencecah kelajuan maksimum 302 km/j – dengan pakej M Driver.

    Seperti biasa, pemandu disediakan dengan beberapa mod pemanduan, dengan mod Sport dan Sport+ membuka penutup ekzos yang dikawal secara elektronik dan memberikan bunyi yang lebih garang. Sistem ekzos kereta ini juga menggunakan tabung belakang titanium, dengan empat muncung yang dicat warna hitam matte.

    Bahagian lain yang diusik untuk M3 CS ini adalah talaan casis khas, yang termasuk kinematik gandar, tetapan camber, penyerap, spring serta anti-roll bar. BMW menyediakan brek seramik M Carbon sebagai naik taraf (dengan bayaran tambahan) kepada unit brek M Compound biasa.

    Untuk rim, rekaan eksklusif yang digunakan pada kereta ini kemudiannya disempurnakan dengan cat Gold Bronze. Tetapan berbeza saiz digunakan, iaitu 19 inci dengan tayar 275/35 di hadapan dan 20 inci dengan tayar 285/30 di belakang – tayar berprestasi tinggi ditawarkan sebagai pilihan tambahan.

    Menurut BMW, M3 CS ini lebih ringan 20 kg berbanding M3 Competition dengan M xDrive. Ini adalah disebabkan ia kini menggunakan bahan plastik yang diperkuat dengan gentian karbon (CFRP) pada bonet, splitter hadapan, bukaan udara hadapan, pelindung cermin sisi, diffuser belakang dan spoiler belakang.

    Bumbung kereta ini juga dibuat pada gentian karbon, sementara grilnya pula mengikut gaya M4 CSL. Padanya terdapat jalur merah, sementara di sisinya terdapat lampu utama BMW LaserLight bersama DRL berwarna kuning seperti kereta lumba GT.

     
     
  • Polestar 2 facelift 2024 didedah – jarak gerak sehingga 635 km, penambahan varian satu motor RWD

    Polestar 2 facelift 2024 didedah – jarak gerak sehingga 635 km, penambahan varian satu motor RWD

    Polestar telah memperkenalkan Polestar 2 facelift, sebagai model tahun 2024, dengan membawa peningkatan teknikal yang termasuk motor penggerak baru, bateri lebih berkuasa dan buat pertama kalinya bagi fastback elektrik tersebut, pacuan dua roda belakang.

    Pengenalan pacuan RWD pada Polestar 2 facelift ini adalah melalui varian asas satu motor, di mana motor tersebut menyampaikan kuasa kepada dua roda belakang dan bukannya roda hadapan seperti sebelum ini. Sementara itu bagi varian dua motor AWD pula, ia kini ditetapkan supaya memberi lebih nisbah kuasa kepada roda belakang.

    Melalui model baru ini, kuasa dan tork bagi varian satu motor telah ditingkatkan sehingga 220 kW (299 PS) bagi varian Long Range Single Motor, dan tork 490 Nm. Sebelum ini, varian Long Range Single Motor cuma menghasilkan 231 PS dan 330 Nm tork.

    Polestar 2 facelift 2024 didedah – jarak gerak sehingga 635 km, penambahan varian satu motor RWD

    Sementara itu, varian Standard Range Single Motor juga mendapat peningkatan kuasa, sehingga 200 kW (272 PS) dan tork yang masih kekal 490 Nm. Varian Dual-Motor AWD mendapat motor penggerak baru di hadapan dan belakang, membawa jumlah kuasa keseluruhan meningkat menjadi 476 PS dan tork 740 Nm (Performance Pack) – sebelum ini cuma 408 PS dan 660 Nm.

    Semua versi Polestar 2 facelift juga menerima bateri lithium ion yang dipertingkat, dengan unit 82 kWh dari CATL dengan 20 modul membekalkan kuasa kepada varian Long-Range, dan unit 69 kWh daripada LG Chem dengan 24 modul membekalkan kuasa kepada versi Standard-Range.

    Melalui ujian WLTP, varian Standard Range Single Motor kini boleh memberikan jarak gerak sehingga 518 km, iaitu 40 km lebih tinggi berbanding bateri sebelum ini, sementara varian Long Range Single Motor pula dapat memberikan jarak gerak maksimum 635 km, iaitu 84 km lebih tinggi berbanding sebelum ini.

    Menurut Polestar, bateri Polestar 2 2024 telah dinaik taraf dengan unit pemutus bateri yang direka semula, busbar dipertingkat serta sel kimia yang diperbaiki, seterusnya dapat memberikan waktu mengecas yang lebih pantas dan menerima kadar 205 kW DC bagi bateri Long-Range dan sehingga 135 kW untuk bateri Standard Range.

    Bahagian utama yang nampak berbeza pada badan Polestar 2 ini adalah panel SmartZone di hadapan, yang menurut Polestar, dilakukan bagi “beralih daripada pernafasan kepada penglihatan.” Ini adalah sebagai rujukan kepada bahagian salur udara yang kini diganti dengan peranti sistem keselamatan aktif seperti kamera dan radar.

    Ciri Driver Awareness seperti Blind Spot Information System (BLIS) dengan sokongan stereng, Cross Traffic Alert dengan sokongan brek, serta Rear Collision Warning and Mitigation kini diberikan standard, bersama kamera 360 darjah dan cermin boleh malap sendiri.

     
     
  • KTMB sediakan tren tambahan untuk perkhidmatan ETS sempena cuti persekolahan Feb-Mac 2023

    KTMB sediakan tren tambahan untuk perkhidmatan ETS sempena cuti persekolahan Feb-Mac 2023

    KTM Berhad (KTMB) telah mengumumkan tren tambahan untuk perkhidmatan ETS bakal disediakan sempena cuti persekolahan pada Februari dan Mac 2023. Jika anda ingin ke mana-mana destinasi sepanjang laluan ETS, bolehlah menempah tiket lebih awal dengan kadar fleksi atau pun lebih murah berbanding biasa.

    Perkhidmatan tren tambahan ini adalah untuk lima hujung minggu berturut-turut (Jumaat hingga Ahad) dari tempoh 17-19 Februari hingga 17-19 Mac. Tren bernombor 9283 akan bergerak dari Padang Besar pada jam 11 pagi dan sampai di KL Sentral jam 4.36 petang. Tiga trip perjalanan tambahan pada setiap hujung minggu menjadikannya keseluruhan 15 trip untuk arah selatan sepanjang tempoh berkenaan.

    Manakala tren bernombor 9286 pula akan bergerak dari KL Sentral pada jam 5.05 petang dan sampai di Padang Besar jam 10.34 petang hari yang sama. Ia juga melibatkan perjalanan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad untuk lima hujung minggu berturut-turut, dengan 15 trip tambahan hala ke utara.

    Tiket untuk tempoh tersebut akan dijual mulai jam 10 pagi esok (26 Januari 2023) menerusi aplikasi KTMB Mobile atau laman web KTMB.Tren ETS merupakan pengangkutan alternatif bagi anda yang tidak mahu memandu untuk perjalanan jauh dan mahu elak kesesakan trafik. Ia turut menyediakan koc kelas perniagaan yang lebih selesa dan turut menghidangkan makanan buat penumpang.

    Kalau dah sampai Padang Besar tu, bolehlah lajak ke Hat Yai dengan menaiki tren ekspres SRT pula yang telah kembali beroperasi selepas perkhidmatannya digantung sementara pada Disember lalu susulan banjir di sana.

     
     
  • Honda Civic Type R 2023 dilancar di Filipina – RM304k; lebih mahal, lebih 100 unit ditempah sebelum didedah

    Honda Civic Type R 2023 dilancar di Filipina – RM304k; lebih mahal, lebih 100 unit ditempah sebelum didedah

    Selepas Vietnam, Honda Civic Type R FL5 2023 kini mendarat di satu lagi pasaran pemanduan sebelah kiri untuk pasaran ASEAN iaitu Filipina. Hot-hatch berkenaan dilancarkan di bilik pameran Honda Cars Philippines (HCPI) di Karrera, Alabang, dijual pada harga bermula PHP 3,880,000 (RM304k).

    Harga berkenaan adalah PHP 900,000 (RM70k) lebih mahal dari model generasi FK8 sebelumnya yang dilancarkan di negara berkenaan pada 2017. Menurut laporan Autoindsutriya, HCPI telahpun menerima lebih dari 100 tempahan Type R FL5 ini sebelum ia dilancarkan, dan berjaya membawa 40 unit untuk penghantaran kumpulan pertama; 39-unit untuk pelanggan dan sebuah lagi sebagai kereta demo untuk HCPI.

    Tidak seperti model FK8 yang diproduksi di Kilang Honda Swindon, UK, produksi Civic Type R FL5 ini telah kembali ke Jepun. Namun dengan permintaan yang begitu tinggi sehingga ada pelanggan di Jepun yang terpaksa menunggu sehingga dua tahun, tempahan model ini untuk pasaran Jepun telah dibekukan buat sementara waktu.

    Untuk Filipina, HCPI telahpun berbincang dengan Honda Jepun dan berharap mereka boleh membawa sebanyak 80 unit untuk tempahan kumpulan kedua kelak. Dengan jumlah tempahan yang tinggi, HCPI dilihat tidak mempunyai masalah berkenaan ‘stok yang tidak bergerak’ sekiranya diberikan peruntukan unit yang banyak.

    Honda Civic Type R 2023 dilancar di Filipina – RM304k; lebih mahal, lebih 100 unit ditempah sebelum didedah

    Honda Civic Type R generasi baharu ini diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam versi hatchback. Ia masih dijana enjin KC20C1 2.0 liter turbo empat-silinder yang kemaskini. Model pasaran Filipina ini menerima talaan sama seperti model pasaran eksport lain iaitu 320 PS dan tork maksima 420 Nm (naik 10 PS dan 20 Nm berbanding Type R FK8), berbanding versi pasaran Jepun yang menjana 330 PS.

    Enjin tersebut juga masih hanya menerima transmisi enam-kelajuan lengkap dengan LSD untuk memacu roda hadapan. FL5 tidak lagi menerima rim 20-inci, diganti dengan set berdiameter 19-inci tetapi menerima tayar yang lebih lebar (265/30 berbanding 245/30).

    Antara kelengkapan standard untuk FL5 pasaran Filipina ini termasuk upholsteri sued hitam dan merah, karpet merah, tombol gear dan set pedal aluminium, sistem data logger untuk litar Honda LogR, kluster instrumen digital 10.2-inci dan sistem infotainmen skrin sesentuh 9-inci.

    Ia turut menerima pakej bantuan pemanduan keselamatan Honda Sensing yang terdiri dari fungsi brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan kekal lorong, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, pengenal tanda trafik dan lampu hadapan LED adaptif.

    GALERI: Honda Civic Type R 2023

     
     
  • SPE DUKE 3: Akses ke Jalan Kerinchi Kiri dari Lebuhraya Persekutuan tutup hingga 16 April

    SPE DUKE 3: Akses ke Jalan Kerinchi Kiri dari Lebuhraya Persekutuan tutup hingga 16 April

    Makluman buat penduduk atau pun individu yang bekerja di sekitar Kampung Kerinchi dan Bangsar South, akses ke Jalan Kerinchi Kiri dari Lebuhraya Persekutuan (dari arah KL) ditutup sehingga 16 April 2023.

    Pengumuman ini dilakukan oleh syarikat konsesi Setiawangsa Pantai Expressway (SPE) atau lebih dikenali sebagai DUKE 3. Penutupan akses berkenaan adalah bagi kerja-kerja penambahbaikan cerun untuk lebuhraya baharu.

    Justeru, pengguna jalan raya yang sering melalui laluan berkenaan untuk ke persimpangan lampu isyarat ke Jalan Kerinchi Kiri diminta untuk meneruskan perjalanan menuju ke Gateway Mall dan naik ke Bangsar South dan Kampung Kerinchi. Laluan alternatif seperti dalam gambarajah di atas. Sila terus pandu berhati-hati.

     
     
  • Perodua Axia 2023 D74A akan muncul dulu sebelum kembar Daihatsu Ayla dan Toyota Agya di Indonesia

    Perodua Axia 2023 D74A akan muncul dulu sebelum kembar Daihatsu Ayla dan Toyota Agya di Indonesia

    Seperti banyak yang telah kami tulis sebelum ini, untuk model-model baharu yang menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), pembabitan Perodua dalam proses R&D bukan hanya sekadar ‘menukar logo’. Jenama automotif nasional kedua berkenaan kini mempunyai kebolehan untuk bersama-sama Daihatsu bagi membangunkan sesebuah model baharu berkenaan pada peringkat awal, dan kemudian menyudahkannya bagi disesuaikan dengan selera orang Malaysia.

    Namun sebelum ini dua buah model berasaskan platform DNGA tidak sampai ke Malaysia dahulu sebelum negara lain; Daihatsu Rocky dan Toyota Raize muncul dahulu di Jepun sebelum Perodua Ativa di Malaysia, manakala Daihatsu Xenia dan Toyota Avanza/Veloz diperkenalkan dahulu di Indonesia sebelum Perodua Alza dilancarkan di Malaysia.

    Namun untuk model selepas ini iaitu hatchback segmen-A, Perodua Axia 2023 yang dikenali dengan kod dalaman D74A dikhabarkan bakal membuat kemunculan global pertama terlebih dahulu di Malaysia sebelum kembarnya Daihatsu Ayla dan Toyota Agya generasi baharu didedahkan di Indonesia.

    Perodua Axia 2023 D74A akan muncul dulu sebelum kembar Daihatsu Ayla dan Toyota Agya di Indonesia

    Sekitar dua minggu lalu, spesifikasi awalan untuk Perodua Axia 2023 telah pun bocor di laman sosial. Manakala menerusi laporan AutonetMagz.com, sumber Daihatsu dan Toyota Indonesia menyatakan bahawa Ayla mungkin akan diperkenalkan sebelum berlangsungnya Indonesia Internaional Motorshow (IIMS) 2023 pada pertengahan Februari dan Agya mungkin akan diperkenalkan pada bulan Mac 2023, tetapi Axia akan muncul lebih awal pada bulan hadapan.

    Dalam perincian awal yang bocor sebelum ini, Axia 2023 D74A bakal ditawarkan dalam empat varian iaitu 1000 G CVT, 1000 X CVT, 1000 SE CVT dan 1000 AV CVT. Ini bermakna Axia masih lagi akan menerima enjin 1.0 liter, namun dengan pengecas turbo seperti khabar angin yang bertiup sebelum ini atau tidak masih belum dapat dipastikan.

    Axia juga nampaknya akan beralih dari menggunakan kotak gear automatik 4AT kepada transmisi CVT yang kami jangkakan merupakan kotak gear D-CVT seperti pada Myvi facelift, Ativa dan Alza, serta ia tidak lagi akan ditawarkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan.

    Perodua Axia 2023 D74A akan muncul dulu sebelum kembar Daihatsu Ayla dan Toyota Agya di Indonesia

    Seperti dua model serba baharu sebelum ini, Axia dijangka turut akan diasaskan dari platform DNGA. Untuk rekaan, tidak mustahil Alza akan menerima pengaruh yang sama seperti Ativa dan Alza iaitu diberikan rekaan lampu hadapan lebih nipis dari model sebelumnya.

    Tidak mustahil juga Perodua Axia 2023 ini akan menerapkan rekaan dari model konsep Perodua X-Concept yang muncul di KLIMS 2018. Menurut ketua pereka Perodua, Muhamad Zamuren Bin Musa, walaupun X-Concept kelihatan seperti SUV, ia sebenar sebuah hatchback kompak biasa dengan sedikit pendekatan rekaan crossover dengan saiz antara Axia dan Myvi.

    Apa pun, kita tunggu sahaja pengumuman rasmi dari Perodua yang mungkin akan muncul tidak lama lagi. Seperti biasa Perodua memang bijak berahsia dan selalunya akan muncul dengan pelbagai kejutan!

    GALERI: Perodua X-Concept di KLIMS 2018

     
     
  • Benarkan sebahagian badan anak keluar dari sunroof, denda RM500 dan penjara 3 bulan menanti anda!

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sedang mengesan pemandu Proton X70 berwarna merah yang didapati mengabaikan keselamatan seorang kanak-kanak yang mengeluarkan sebahagian badannya menerusi bumbung suria atau sunroof kenderaannya seperti mana yang disiarkan menerusi video yang tular semalam.

    Menerusi entri oleh @nabilahroslan menerusi Twitter, X70 terbabit yang dipandu di lorong laju di Lebuhraya NKVE dari arah Subang Jaya ke Bukit Lanjan jelas menunjukkan kanak-kanak lelaki terbabit mengeluarkan sebahagian badannya dari sunroof seakan menikmati ‘angin menderu’ sepanjang perjalanan terbabit, turut menerima kecaman ramai netizen serta perhatian pihak PDRM sendiri.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis daerah petaling Jaya, ACP Mohamad Fakharudin Abdul Hamid, untuk kesalahan terbabit mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan , segala perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa manusia, atau keselamatan orang lain boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga bulan ataua denda tidak lebuh RM500 atau kedua-duanya.

    “Pemandu kereta yang terlibat atau mana-mana saksi yang melihat kejadian tersebut diminta tampil membuat laporan polis dan membantu siasatan dengan balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Penolong Pegawai Penyiasat Trafik Sarjan Mejar Mohd Yusof Hamzah di talian 01123065984,” kata ACP Mohamad Fakhrudin.

    Sehingga artikel ini ditulis pada jam 10 pagi, masih tiada perkembangan lanjut mengenai kes ini, diharap pemandu SUV berkenaan tampil menyerah diri di balai polis untuk siasatan lanjut. Apa pun kena ingat, jangan kerana untuk berseronok maka risiko dan bahaya diketepikan. Jadilah seorang pemandu dan orang dewasa yang lebih bertanggungjawab. Malang tidak berbau, maka jangan mengundang risiko.

     
     
  • NATS RX-Cabriolet di TAS 2023 – Mazda MX-5 ND dengan rupa seperti RX-3 Kato Wataru Liberty Walk!

    NATS RX-Cabriolet di TAS 2023 – Mazda MX-5 ND dengan rupa seperti RX-3 Kato Wataru Liberty Walk!

    Melihat kereta ini pasti banyak perkara bermain dalam kepala – memang ada ke Mazda RX-3 Cabriolet? Atau ‘orang gila’ mana yang sanggup potong bumbung RX-3 yang semakin pupus atas muka bumi ni? Sebenarnya, ini bukannya Mazda RX-3 sebenar, tetapi ia adalah Mazda Miata MX-5!

    Atau secara spesifiknya, ini adalah Miata MX-5 generasi ND terkini yang digelar RX-Cabriolet, diubahsuai oleh pelajar-pelajar Nihon Automotive College (NATS) untuk dipamerkan di Tokyo Auto Salon (TAS) 2023 yang berlangsung minggu lalu. Kereta ini dipamerkan sekali dengan satu lagi projek NATS iaitu Toyota Alphard Super Dually – sebuah Alphard yang ‘disumpah’ menjadi trak pikap ala-lowrider Amerika Syarikat.

    Untuk NATS RX-Cabriolet ini, muka Roadster berkenaan diubahsuai bagi memuatkan muka coupe rotary klasik Mazda RX-3. Pelajar-pelajar NATS ini mendapatkan bahagian nosecut yang diperbuat dari bahan FRP merangkumi kerangka lampu, gril, bampar dan juga lower valance yang dihasilkan oleh EZO-ISM sebagai komponen gantian yang boleh dipadankan terus pada RX-3 sebenar.

    NATS RX-Cabriolet di TAS 2023 – Mazda MX-5 ND dengan rupa seperti RX-3 Kato Wataru Liberty Walk!

    Bagi memadankan muka tersebut, fender dan penutup bonet MX-5 ini turut diubahsuai dengan komponen custom. Bahagian belakang juga dibentuk semula agar lebih lebar dan ‘petak’ seakan RX-3 sebenar, serta diberikan lampu belakang dari kembar RX-3 versi bukan rotary iaitu Mazda 808.

    Tidak cukup dengan itu, RX-Cabriolet ini juga dihasilkan dengan inspirasi dari Mazda RX-3 milik pengasas Liberty Walk, Kato Wataru. Jadi ia diberikan fender hadapan dan belakang yang lebih lebar ala-kaido racer serta spoiler ‘sodok’ besaiz besar di hadapan.

    Pengaruh RX-3 Kato Wataru turut diserlahkan dengan warna badan kuning bersama jalur hijau serta pemadanan set rim ‘pisang’ yang lebar dari RS-Watanabe.

    Pada sebelah dalam, papan pemuka Miata ND masih dikekalkan. Namun pelajar-pelajar berkenaan memberikan serlahan hijau pada bahagian atas papan pemuka dan juga pada konsol terowong, tempat duduk asal digantikan dengan tempat duduk bucket dari Bride, serta menukar roda stereng asal kepada roda stereng tiga jejari dari Nardi.

    NATS RX-Cabriolet di TAS 2023 – Mazda MX-5 ND dengan rupa seperti RX-3 Kato Wataru Liberty Walk!

    Walau bagaimanapun, Roadster ini tidak disumbatkan dengan enjin rotary dari mana-mana kereta sport RX Mazda, dan ia masih dijana oleh enjin empat-silinder asal Mazda Miata ND. Setiap kenderaan yang dibawa oleh pelajar NATS ke Tokyo Auto Salon ini merupakan projek akhir bagi mereka yang mengambil jurusan Customize di kolej berkenaan.

    Untuk pengetahuan anda, NATS mempunyai 750 orang pelajar yang menuntut dalam empat jenis kursus pada satu-satu masa. Secara asas, kesemua pelajar perlu mengambil Kursus Penyelenggaraan selama dua tahun bagi melayakkan mereka diiktiraf sebagai mekanik kelas 2 di Jepun.

    Kemudian, mereka boleh memilih untuk menyambung pengajian dalam tiga kursus berbeza iaitu Sukan Permotoran (setahun), Customize (setahun) atau Penyelidikan (dua tahun). Bagi projek jurusan Customize seperti RX-Cabriolet ini, ia dimulakan pada bulan Julai (kursus asas bermula bulan April dan berakhir pada Jun) dan mereka mempunyai masa selama setengah tahun sebelum TAS berlangsung pada Januari tahun berikutnya.

    Selepas dipamerkan di TAS, kenderaan ini akan menjalani ujian yang diselia oleh jabatan pengangkutan jalan negara berkenaan. Setelah diluluskan untuk digunakan secara sah di atas jalan raya, pelajar-pelajar berkenaan perlu mengujinya pada jalan raya sebenar yang digelar “Test Run Caravan”. Lengkap kesemua proses ini, barulah mereka diiktiraf lulus dan boleh menamatkan pengajian di NATS.

     
     
  • PLUS aktifkan laluan Smartlane di Persimpangan Senai Utara ke Persimpangan Kulai hingga 29 Jan ini

    PLUS aktifkan laluan Smartlane di Persimpangan Senai Utara ke Persimpangan Kulai  hingga 29 Jan ini

    Klik untuk besarkan

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan pengaktifan Smartlane di laluan antara Persimpangan Senai Utara ke Persimpangan Kulai (Arah Utara) KM19.0 hingga KM27.0. Pengaktifan Smartlane ini telah pun bermula sejak 19 Januari lalu dan berlangsung sehingga 29 Januari 2023, melibatkan jarak sepanjang 8 km dan waktu operasinya adalah bergantung pada keadaan trafik semasa.

    Ini merupakan inisiatif PLUS dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi menambah kapasiti lorong sedia ada, serta membantu melancar dan menyuraikan trafik ketika musim perayaan Tahun Baru Cina 2023, ujar PLUS.

    Tambahnya lagi, pengaktifan Smartlane juga akan dilaksanakan di beberapa lokasi strategik di Lebuhraya PLUS bergantung kepada keadaan trafik semasa. Pengendali Lebuhraya Utara-Selatan ini turut menasihati pengguna lebuhrayanya agar patuhi papan tanda trafik dan arahan petugas PLUS ketika melalui lokasi tersebut.

    Pada Oktober 2019, PLUS telah melaksanakan Inisiatif Ujian SmartLane secara manual di Lebuhraya NKVE iaitu dari laluan Setia Alam menuju ke laluan keluar di Plaza Tol Shah Alam bagi mengatasi aliran kesesakan trafik. Ujian yang sama turut dilaksanakan pada Januari 2022, juga melibatkan laluan yang sama.

    Melihat akan keberkesanan SmartLane ini, PLUS turut mengaktifkan laluan yang sama sewaktu musim perayaan Deepavali pada Oktober lalu. Ia melibatkan dua laluan di Lebuhraya Utara-Selatan iaitu di antara persimpangan Senai Utara hingga persimpangan Kulai, arah utara dari KM19.0 hingga KM27.0. Ia turut diaktifkan di laluan dari Port Dickson ke Seremban, arah utara dari KM260 hingga KM263.1.

     
     
  • Kerajaan beri tumpuan kepada EV ketika ini, tiada insentif tambahan untuk kereta enjin biasa — MAA

    Kerajaan beri tumpuan kepada EV ketika ini, tiada insentif tambahan untuk kereta enjin biasa — MAA

    Dengan kerajaan ketika ini memberi perhatian terhadap kenderaan berteknologi elektrifikasi dan EV, jangan berharap akan ada insentif tambahan lain bagi kenderaan jenis enjin pembakaran dalaman (ICE) yang biasa di negara ini. Hal ini diutarakan oleh Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad semalam.

    “Setakat yang diketahui, kami tidak menjangkakan apa-apa berkaitan kereta ICE kerana tumpuan kerajaan adalah terhadap EV. Ada pasukan khas MITI berkaitan EV yang bertemu setiap bulan untuk berbincang tenangnya, bersama dengan agensi kerajaan dan kementerian lain juga,” ujar beliau.

    “Tumpuannya adalah untuk memastikan mencapai matlamat mobiliti hijau menjelang 2050. Tumpuannya lebih terarah kepada EV,” jelasnya.

    Kerajaan beri tumpuan kepada EV ketika ini, tiada insentif tambahan untuk kereta enjin biasa — MAA

    Kenderaan hibrid dilihat sebagai teknologi peralihan sebelum pengguna bergerak ke arah kenderaan bateri elektrik. Ia juga sudah terbukti dalam pasaran, dengan terjualan dalam kuantiti yang meyakinkan, serta lebih murah berbanding EV. Pengeluar Jepun, Toyota dan Honda menjadi yang pertama mempelopori pengenalan kereta hibrid di sini sejak sedekad lalu.

    “Untuk model hibrid, kamu juga akan memohon agar kerajaan terus memberi dan mempertingkatkan insentif untuknya, kerana ramai pengguna akan membeli kenderaan hibrid terlebih dahulu sebelum beralih kepada EV. Insentif untuk hibrid ketika ini masih sama,” ujar beliau. Namun, insentif ini bukanlah untu selama-lamanya. “Bahkan untuk EV, mereka akan mengurangkan insentif sebaik sahaja lebih banyak EV di atas jalan kelak,” tambahnya.

    Mungkin manfaat dalam bentuk ini terhadap pembeli tidak akan sentiasa akan disediakan oleh kerajaan. Pengecualian cukai yang diberikan sebelum ini juga adalah sebagai pemangkin ekonomi ketika sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19. Kelebihan ini bukanlah akan berkekalan.

     
     
  • Hyundai Palisade facelift 2023 ‘terpaksa’ dilancarkan lebih awal di Malaysia kerana pengaruh YDP Agong

    Hyundai Palisade facelift 2023 ‘terpaksa’ dilancarkan lebih awal di Malaysia kerana pengaruh YDP Agong

    Hyundai Palisade facelift baru sahaja diperkenalkan diperingkat global pada April tahun lalu. SUV flagship ini bukanlah model bread & butter untuk Hyundai di Malaysia, tetapi tak sampai setahun ia didedahkan buat pertama kali New York International Auto Show 2022, model berkenaan sudah pun dilancarkan di pasaran tempatan hari ini. Kenapa begitu cepat?

    Menurut wakil Hyundai Sime Darby Malaysia (HSDM) ketika sesi prebiu Palisade facelift 2023 untuk media awal minggu ini, terdapat banyak permintaan dari pelanggan untuk menempah Palisade selepas beberapa kali tular gambar Yang diPertuan Agong Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memandu sendiri Palisade milik baginda.

    Ketika tular foto-foto berkenaan, HSDM tidak lagi boleh membuat pesanan Palisade pre-facelift yang telah dilancarkan di Malaysia pada Disember 2021 kerana kilang yang menghasilkan model berkenaan di Korea Selatan sudahpun beralih untuk menghasilkan Palisade facelift 2023.

    Jadi untuk tidak menghampakan permintaan sejumlah pelanggan yang mahu menempah model tersebut, HSDM ‘terpaksa’ melancarkan Palisade facelift 2023 ini jauh lebih awal dari sepatutnya. Model tingkat taraf berkenaan masih ditawarkan dalam pilihan enjin petrol dan diesel, serta kedua-duanya boleh dipilih dalam versi tujuh- atau lapan tempat duduk.

    Bagi model diesel 2.2 CRDi, ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM368,888 untuk varian Executive lapan tempat duduk, dan RM389,888 untuk varian Luxury tujuh-tempat duduk. Manakala model petrol 3.8L pula, varian Executive lapan-tempat duduk dijual pada harga RM378,888, diikuti varian Luxury tujuh-tempat duduk berharga RM399,888.

    Model ini menerima penyegaran rupa pada sebelah luar dan dalaman serta pelbagai kemaskini dibuat pada kelengkapan yang ditawarkan – semuanya anda boleh baca dalam laporan pelancarannya pada PAUTAN INI.

    Hyundai Palisade facelift 2023 ‘terpaksa’ dilancarkan lebih awal di Malaysia kerana pengaruh YDP Agong

    Tiada perubahan diberikan pada bahagian mekanikal. Bagi model diesel, ia dijana oleh enjin R2.2 liter CRDi empat silinder turbodiesel menghasilkan kuasa 200 PS tork maksima 440 Nm. Manakala versi petrol pula menerima enjin V6 3.8 liter Lambda II dengan suntikan bahan api terus (GDI) menghasilkan kuasa 295 PS dan tork maksima 355 Nm.

    Kedua-dua pilihan enjin ini dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik, namun hanya model diesel diberikan sistem pacuan semua roda, sementara model petrol hanya menyalurkan kuasa ke roda hadapan.

    GALERI: Hyundai Palisade facelift 2023

     
     
  • Hyundai Palisade facelift 2023 dilancarkan di Malaysia – bermula RM369k, petrol V6 3.8L & diesel 2.2 CRDi

    Hyundai Palisade facelift 2023 dilancarkan di Malaysia – bermula RM369k, petrol V6 3.8L & diesel 2.2 CRDi

    Selepas mendarat di Malaysia pada Disember 2021, kini SUV flagship dari Hyundai iaitu Palisade dilancarkan pula dalam versi facelift untuk pasaran tempatan tidak sampai setahun ia diperkenalkan untuk peringkat global pada April lalu. Sama seperti sebelum ini, Palisade ditawarkan dalam dua pilihan enjin iaitu petrol dan diesel, dengan kedua-duanya hadir dalam versi tujuh- dan lapan-tempat duduk.

    Bagi model diesel 2.2 CRDi, ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM368,888 untuk varian Executive lapan tempat duduk, dan RM389,888 untuk varian Luxury tujuh-tempat duduk. Manakala model petrol 3.8L pula, varian Executive lapan-tempat duduk dijual pada harga RM378,888, diikuti varian Luxury tujuh-tempat duduk berharga RM399,888.

    Kesemua model ini adalah diimport sepenuhnya (CBU) dari Korea Selatan dan seperti model-model baharu Hyundai yang lain, Palisade turut ditawarkan dengan dua pilihan pakej waranti. Secara standard, ia diberikan waranti dua-tahun atau 50,000 km.

    Namun untuk pelanggan yang mahukan waranti selama lima-tahun/300,000 km, Palisade akan dijual pada harga RM 11,000 (model petrol) dan RM12,000 (model diesel) lebih mahal. Dengan harga tersebut pelanggan turut menerima servis penyelenggaraan percuma tiga tahun/50,000 km.

    Hyundai Palisade facelift 2023 dilancarkan di Malaysia – bermula RM369k, petrol V6 3.8L & diesel 2.2 CRDi

    Perubahan paling besar untuk Palisade ini adalah pada bahagian muka. Gril Cascading untuk SUV besar ini diubah dengan memberikan elemen Parametric Jewel seperti pada Tucson. Lampu utama masih diletakkan pada bampar, manakala lampu isyarat membelok LED tersorok kerana ia kelihatan sama seperti elemen blok pada gril.

    Jalur LED untuk lampu nyalaan siang masih ada tetapi kedudukannya yang berada pada sebelah dalam sebelum ini telah dialihkan keluar. Tiada perubahan dilihat pada bahagian sisi, kecuali rim reka bentuk baharu diberikan dan ianya adalah standard untuk semua varian dengan rekaan serta diameter 20-inci bersama tayar 245/50R20 yang sama, termasuk untuk tayar gantian.

    Manakala di belakang, kluster lampu yang digunakan masih sama, cuma berbeza sedikit pada lampu undur di mana ia menampilkan tiga jalur menegak. Untuk bampar, model facelift ini diberikan jalur reflektor yang merentangi sepenuhnya serta kemasan skid plate yang nampak lebih lasak.

    Kesemua varian Palisade hadir dengan penampilan luaran yang sama sepenuhnya. Cuma pada versi facelift ini, varian diesel tidak lagi diberikan lampu belakang LED penuh, yang boleh dikenali dengan jalur merah berbentuk ‘7’ pada lampu tersebut yang tidak menyala.

    Senarai perincian standard yang dipadankan pada semua varian Palisade facelift ini termasuk lampu hadapan, lampu nyalaan siang, dan lampu belakang LED, dua bumbung suria, cermin sisi elektrik bersama lampu puddle dan fungsi pemanas, rel bumbung serta pintu tailgate bantuan kuasa.

    Dimensi untuk Palisade facelift ini secara asasnya tidak berubah dengan jarak roda 2,900 mm, lebar 1,975 mm dan tinggi 1,750 mm. Cuma ia sedikit lebih panjang dengan ukuran 4,995 mm berbanding 4,980 mm sebelum ini kerana rekaan bampar hadapan dan belakang yang kini berbeza.

    Pada bahagian kabin, rekaan papan pemuka dan juga tempat duduk masih lagi sama. Perubahan ketara yang boleh dilihat adalah pada sistem infotainmen dan juga paparan instrumen untuk pemandu.

    Paparan meter analog untuk pemandu sebelumnya telah disingkarkan dan diberikan paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin TFT LCD 12.3-inci, dan turut diberikan paparan HUD. Tiada lagi skrin lapan-inci untuk yang nampak janggal sebelum ini, dan digantikan dengan skrin 12.3-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay bersama fungsi arahan suara.

    Hyundai Palisade facelift 2023 dilancarkan di Malaysia – bermula RM369k, petrol V6 3.8L & diesel 2.2 CRDi

    Sistem penegcas tanpa wayar yang dibekalkan kini ditingkat taraf dari 5 watt kepada 15 watt. Manakala perubahan lain yang turut diberikan termasuk rekaan liang penghembus pendingin hawa kini merentangi sepenuhnya papan pemuka, cermin pandang belakang tanpa bingkai roda stereng baharu dengan rekaan seperti unit pada Sonata.

    Sama seperti bahagian luar, kelengkapan pada bahagian kabin untuk kesemua varian Palisade ini adalah hampir sama. Apa yang berbeza adalah konfigurasi tempat duduk, serta model tujuh-tempat duduk diberikan fungsi liang pendingin hawa dan pemanas pada tempat duduk baris kedua, sementara model lapan-tempat duduk hanya diberikan fungsi pemanas.

    Perincian lain adalah kekal seperti sebelum ini termasuk butang pemilih gear shift-by-wire, pedal penukar gear, brek parkir elektronik (dengan sistem auto hold), sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, lampu, pengelap cermin automatik serta sistem pendingin hawa tiga zon serta tempat duduk hadapan (pemanas dan pengalir udara) larasan kuasa 12 hala bersama fungsi memori untuk pemandu dan 8 hala untuk penumpang.

    Untuk konfigurasi tempat duduk, model lapan tempat duduk menampilkan susunan tiga baris 2-3-3, dengan tempat duduk baris kedua dan ketiga menampilkan tempat duduk jenis bench. Manakala versi tujuh tempat duduk pula diberikan susunan 2-2-3, di mana kerusi baris kedua adalah dari jenis Captain Seat yang lebih selesa.

    Kesemua baris tempat duduk juga menerima sekurang-kurangnya dua port USB (enam secara keseluruhan tidak termasuk 1 port USB multimedia) dan kini ditingkat taraf menggunakan port USB Type C serta 10 pemegang cawan di serata kabin. Ia juga diberikan empat port kuasa 12-volt yang masing-masing diletakkan pada konsol tengah, hadapan, belakang dan ruang but belakang.

    Penumpang baris kedua menerima pelindung cahaya matahari manual untuk setiap tingkap. Manakala untuk memudahkan penumpang masuk ke baris ketiga, kerusi baris kedua boleh dilipat dan digelangsarkan kehadapan dengan menekan butang satu sentuhan yang diletakkan pada bahagian atas dan bawah.

    Palisade menyediakan ruang kargo belakang sebesar 509 liter. Jika mahukan lebih ruang, tempat duduk baris ketiga turut boleh dilipat rata (serta diberikan karpet khas dan juga penutup tonneau yang boleh disorokkan di bawah lantai ruang kargo) bagi memberikan ruang tambahan sehingga 1,297 liter. Tempat duduk baris kedua juga boleh dilipat rata dengan menggunakan butang satu sentuhan yang disediakan pada ruang belakang tersebut.

    Disebabkan Palisade diimport sepenuhnya dari Korea Selatan, tempat yang sama untuk menghasilkan model-model untuk pasaran Eropah, pembeli di Malaysia boleh memilih beberapa tema dan material upholsteri yang disediakan. Untuk mereka yang mahukan tema hitam sepenuhnya, hanya kulit biasa ditawarkan.

    Manakala kulit Nappa boleh dipilih dalam warna Warm Grey dan ia akan dipadankan dengan perapi-perapi dalam kemasan Layered Wood atau kulit Nappa berwarna Burgundy yang datang dengan perapi-perapi dalam kemasan Cloth Look. Enam warna badan ditawarkan untuk semua varian Palisade iaitu Creamy White Pearl,Graphite Gray Metallic, Shimmering Silver Metallic, Moonlight Blue Pearl, Abyss Black Pearl dan Gaia Brown Pearl.

    Beralih kepada fungsi keselamatan, kesemua varian menerima kelengkapan standard seperti enam-beg udara, sistem kawalan kestabilan elektronik, kawalan menurun bukit, pemantau titik buta, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix pada baris kedua dan ketiga, kamera undur, pemantau tekanan angin tayar, amaran lintasan trafik belakang, amaran buka pintu dan juga pengingat tempat duduk belakang.

    Untuk model facelift ini, kini semua varian menerima sistem bantuan pemandua Hyundai SmartSense penuh yang terdiri dari sistem seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif (dengan stop & go), bantuan kekal tengah lorong, pengelak pelanggaran titik buta dan lintasan trafik belakang, lampu tinggi automatik, amaran mula berlepas hadapan, amaran selamat keluar dan juga amaran pengingat penumpang belakang yang berfungsi dengan penderia ultrasonic dalam kabin.

    Hyundai Palisade facelift 2023 dilancarkan di Malaysia – bermula RM369k, petrol V6 3.8L & diesel 2.2 CRDi

    Tiada perubahan diberikan pada bahagian mekanikal. Bagi model diesel, ia dijana oleh enjin R2.2 liter CRDi empat silinder turbodiesel menjana 200 PS tork maksima 440 Nm. Manakala versi petrol pula menerima enjin V6 3.8 liter Lambda II dengan suntikan bahan api terus (GDI) menghasilkan kuasa 295 PS dan tork maksima 355 Nm.

    Kedua-dua pilihan enjin ini dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik, namun hanya model diesel diberikan sistem pacuan semua roda, sementara model petrol hanya menyalurkan kuasa ke roda hadapan. Gandingan ini membolehkan versi diesel memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.2 saat dan mencapai kelajuan maksima 190 km/j, manakala versi petrol pula mencatatkan masa 7.8 saat dalam pecutan sama sebelum mencapai kelajuan maksima 210 km/j.

    Juga, kedua-dua pilihan unit rangkaian kuasa ini hadir dengan mod pemanduan Eco, Comfort, Sport dan Smart, manakala hanya model diesel hadir dengan Traction Mode Select dengan mod Snow, Mud dan Sand yang disertakan pada sistem pacuan semua roda tersebut.

     
     
  • Mercedes-Benz CLA facelift 2023 didedahkan – lebih bergaya; enjin petrol hibrid ringkas, diesel, PHEV

    Mercedes-Benz CLA facelift 2023 didedahkan – lebih bergaya; enjin petrol hibrid ringkas, diesel, PHEV

    Mercedes-Benz CLA generasi kedua telah pun menerima peningkatan pertengahan hayat, empat tahun selepas ia diperkenalkan pada tahun 2019. Seperti sebelum ini, para pelanggan boleh memilih antara dua bentuk gaya badan sama ada Coupe empat-pintu (C118) atau Shooting Brake (X118) – termasuk lebih banyak pilihan penjana kuasa.

    Seperti A-Class yang dipertingkatkan pada Oktober lalu, perubahan penggayaan bagi CLA sedikit diperincikan, tanpa mengubah profil asalnya yang menjadi titik utama jualannya. Di bahagian hadapan, bamparnya telah dibentuk semula dan disambungkan dengan gril radiator yang dipertingkatkan yang kini menampilkan bintang Mercedes-Benz bersaiz kecil.

    Lampu utama LED High Performance turut diberikan secara standard bersama lampu nyalaan siang LED baharu dengan garisan putus-putus pada setiap kluster. Untuk belakang pula, ia menerima diffuser baharu untuk menyerlahkan lagi karakter penuh bergayanya, serta diberikan signitur lampu baharu bagi lampu belakang LED.

    Kesemua model didatangkan secara standard dengan roda 17-inci, tetapi juga diberikan pilihan untuk dipertingkatkan hingga 19-inci dengan rekaan berbeza. Selain itu, ia juga diberikan pilihan warna tambahan iaitu Hyper Blue dan Spectral Blue yang pertama kali digunakan untuk CLA.

    Di dalamnya, konfigurasi standard untuk sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) merangkumi paparan tujuh-inci dan 10.25-inci. Walau bagaimana pun, pembeli boleh menaiktarafnya dengan dwi paparan 10.25-inci, dan sistem ini kini menawarkan gaya paparan dengan rekaan baharu yang dipanggil
    Classic, Sporty and Discreet.

    Selain itu, post USB-C turut dipertingkatkan dan ditambah kapasiti pengecasan. Ia turut diberikan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar.

    Dengan MBUX generasi terkini, bantuan suara Hey Mercedes kini mampu berdialog dan mempelajari keutamaan pemandu. Sistem ini juga boleh memberikan pengalaman audio Dolby Atmos yang mengasyikkan apabila disepadukan dengan sistem bunyi sekeliling Burmerster.

    Sama seperti A-Class terkini, pad sesentuh pada konsol tengah juga telah digugurkan untuk memberikan lebih ruang storan. Maka, cara untuk interaksi dengan sistem MBUX adalah menerusi penggunaan butang di roda stereng, skrin sesentuh tengah dan juga bantuan suara. Selain itu, kawalan fizikal untuk sistem suhu masih dikekalkan.

    Berkenaan dengan perubahan lain, Mercedes-Benz berkata roda stereng kini dengan upholstery balutan kulit Artico buat pertama kalinya untuk model ini dan pakej AMG Line kini turut menampilkan pilihan roda stereng dengan fungsi suhu panas.

    Pakej kelengkapan lain bergantung pada maklumbalas pelanggan, memberikan lebih kemudahan untuk mereka dalam menentukan konfigurasi kenderaan masing-masing. Untuk tahap asas, Bantuan Lampu Tinggi, kamera undur dan pakej USB dimasukkan, dengan Parking Package, Mirror Package serta Easy-Pack tailgate diberikan secara standard untuk CLA Shooting Brake dari kemasan pilihan Progressive dan ke atas.

    Bagi penjana kuasa, kita mulakan dengan CLA250e, yang merupakan pilihan tunggal bagi plug-in hybrid. Peningkatan termasuk motor elektrik yang lebih padu dengan menambah 7 PS (7 hp atau 5 kW) dengan kuasa keseluruhan kini cecah 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan tork 300 Nm.

    Ia di antara transmisi dwi-klac lapan kelajuan dan enjin petrol, dengan unit 1.3 liter pengecas turbo empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa hingga 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan 270 Nm untuk keseluruhan lonjakan kuasa bagi 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 450 Nm.

    Bateri lithium-ion 15.6-kWh masih terus digunakan, tapi kini turut menyokong pengecas AC 11 kW berbanding 7.8 kW sebelum ini. Ia juga diberikan pilihan pengecas pantas DC dengan 22 kW, di mana bateri mencapai status pengecasan 10-80% dalam hanya 25 minit. Dengan pengecasan penuh, bateri ini boleh memeberikan jarak gerak 71-82 km (Coupe) atau 68-80 km (Shooting Brake) untuk pacuan elektrik penuh, di mana ia telah dipertingkatkan hasil kapasiti tenaga boleh guna yang lebih tinggi pada bateri.

    Model ini turut dibarisi dengan enjin semua petrol bersama DCT tujuh-kelajuan dengan sistem hibrid ringkas 48-voltan yang merangkumi keupayaan belt-driven starter-generator untuk mnmacu ledakan sementara cecah 14 PS (13 hp atau 10 kW). Enjin 1.3 liter turbo empat-silinder yang digunakan pada CLA180 dan CLA200, kini menawarkan output masing-masing mencecah 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan 230 Nm serta 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan 270 Nm.

    Selain itu, ia turut disertai oleh CLA250 4Matic dengan enjin 2.0 liter turbo empat-silinder dengan hamburan kuasa cecah 224 PS (221 hp atau 165 kW) dan 350 Nm, digandingkan dengan sistem pacuan semua-roda. Ketiga-tiga enjin petrol ini adalah untuk Coupe dan Shooting Brake. Sementara CLA220 4Matic oula menggunakan enjin 2.0 liter, tetapi dengan talaan kuasa sehingga 190 PS (188 hp atau 140 kW) dan 300 Nm.

    Akhir sekali, terdapat tiga enjin 2.0 liter empat-silinder turbodiesel tanpa elektrifikasi, iaitu CLA180d dengan 116 PS (114 hp atau 85 kW) dan 280 Nm, CLA200d pula dengan 150 PS (148 hp atau 110 kW) dan 320 Nm, serta CLA220d diberikan kuasa 190 PS (188 hp atau 140 kW) dan 400 Nm. Ketiga-tiganya didatangkan dengan CVT tujuh-kelajuan.

    Untuk angka prestasi 0-100 km/j dan kelajuan maksimum bagi setiap penjana kuasa adalah seperti berikut:

    • CLA250e – 7.6 saat, 229 km/j (Coupe); 7.7 saat, 226 km/j (Shooting Brake)
    • CLA180 – 9.4 saat, 216 km/j (Coupe); 9.6 saat, 215 km/j (Shooting Brake)
    • CLA200 – 8.4 saat, 229 km/j (Coupe); 8.6 saat, 226 km/j (Shooting Brake)
    • CLA220 4Matic – 7.6 saat, 237 km/j (Coupe)
    • CLA250 4Matic – 6.4 saat, 250 km/j (Coupe); 6.5 saat, 250 km/j (Shooting Brake)
    • CLA180d – 10 saat, 205 km/j (Coupe); 10.1 saat, 203 km/j (Shooting Brake)
    • CLA200d – 8.5 saat, 226 km/j (Coupe); 8.6 saat, 221 km/j (Shooting Brake)
    • CLA220d – 7.3 saat, 244 km/j (Coupe); 7.4 saat, 237 km/j (Shooting Brake)
     
     
  • Op Selamat untuk kelancaran lalu lintas, bukan untuk ganggu perjalanan balik kampung – Pengarah JSPT

    Op Selamat untuk kelancaran lalu lintas, bukan untuk ganggu perjalanan balik kampung – Pengarah JSPT

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menegaskan bahawa Op Selamat yang telah dilaksanakan selama 10 tahun ini bukanlah untuk mengganggu perjalanan para pengguna jalan raya untuk ke destinasi pilihan termasuk pulang ke kampung halaman. Sebaliknya ia adalah bagi melancarkan lalu lintas dengan meminimumkan kes kemalangan dan mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berhemah.

    Menurut Pengarah JSPT, Datuk Seri Mat Kasim Karim, sepanjang operasi, Op Lancar turut dilaksanakan di kawasan hotspot yang dijangka berlaku kesesakan aliran lalu lintas, akibat pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan kembali semula selepas tamat musim perayaan nanti.

    “Petugas PDRM juga akan ditempatkan di lokasi yang dikenal pasti bagi tujuan bantuan dan keselamatan pengguna. Seluruh jentera PDRM di lapangan membabitkan anggota balai dan elemen kereta peronda (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB) serta rondaan Bit, akan diatur gerak secara holistik dan sistematik bagi mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta perbandaran.

    Op Selamat untuk kelancaran lalu lintas, bukan untuk ganggu perjalanan balik kampung – Pengarah JSPT

    “Pengguna jalan raya diminta memainkan peranan sebagai pengguna yang berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, menyalahgunakan lorong kecemasan atau memarkir kenderaan sehingga menghalang laluan. Kerjasama orang ramai sepanjang tempoh operasi ini akan memastikan keselesaan buat pengguna jalan raya dan memastikan kelancaran aliran trafik,” katanya.

    Kenyataan beliau dikeluarkan ini bagi mengulas laporan sebuah akhbar semalam menyatakan tindakan penguatkuasaan semasa cuti Tahun Baharu Cina akan mengganggu perjalanan pengguna jalan raya di musim perayaan.

    Bersempena perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 22-23 Januari ini, JSPT sedang melaksanakan Op Selamat 19 di seluruh negara, iaitu sejak 18 Januari lalu dan berlangsung hingga 27 Januari 2023.

     
     
  • Proton serah 28 unit SUV X70 kepada KPDN – bakal digunakan untuk kelancaran aktiviti penguatkuasaan

    Proton serah 28 unit SUV  X70 kepada KPDN –  bakal digunakan untuk kelancaran aktiviti penguatkuasaan

    Proton telah menyerahkan sejumlah 28 unit SUV X70 kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) menerusi Spanco Snd Bhd pada 17 Januari lalu. Menurut Proton, X70 yang diserahkan kepada KPDN itu akan digunakan bagi kelancaran aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan oleh kementerian terbabit.

    Majlis penyerahan ini berlangsung di perkarangan kementerian berkenaan di Putrajaya. Ia diserahkan sendiri oleh Wan Ahmad Fadzli selaku Timbalan pengarah, Pejabat CEO, Pengurusan Kereta Terpakai & Jualan Korporat Proton Edar dan Fazli Hisham, Ketua Jabatan Jualan Korporat Proton Edar. Kemudian Ketua Setiausaha KPDN bakal mengagihkan X70 terbabit kepada semua KPDN negeri.

    Sebelum majlis berlangsung, satu program taklimat kenderaan telah diadakan oleh Proton dan pengurus kenderaan kerajaan Spanco kepada pegawai penguatkuasaan jabatan yang berlangsung di Spanco Services, Bandar Baru Bangi.

     
     
  • Harga kereta naik disebabkan tarif elektrik naik — MAA

    Harga kereta naik disebabkan tarif elektrik naik — MAA

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) memaklumkan bahawa kenaikan kadar tarif elektrik menyebabkan harga kenderaan di Malaysia juga terpaksa dinaikkan. Perkara ini dinyatakan ketika sidang media semalam, yang turut membentangkan prestasi jualan kenderaan di Malaysia sepanjang 2022.

    Pada 16 Disember lalu, kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (EC) telah memberikan kebenaran kepada Tenaga Nasional untuk meneruskan pelaksanaan mekanisma Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023. Ini adalah sebuah mekanisma di bawah kerangka Incentive Based Regulation (IBR) yang membenarkan TNB untuk menyertakan perubahan dalam kos bahan api atau apa saja janaan tenaga ke dalam tarik elektrik.

    Kos ini ditetapkan berdasarkan harga penanda aras di dalam tarif asas, dan pelaksanaan ICPT, yang dinilai semula setiap enam bulan, yang mencerminkan kos sebenar ke dalam tarif dalam bentuk rebat atau surcaj. Sebagai contoh, sekiranya harga arang/gas naik, akan dikenakan surcaj, dan sebaliknya.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sebelum ini yang tidak akan berlaku kenaikan tarif bagi isi rumah dan juga bagi perniagaan kecil dan sederhana (SME) — dengan Tariff A bagi pengguna domestik kekal dengan rebat 2 sen/kWh. Sementara itu, bagi pengguna bukan domestik di bawah Tariff B dan D (perniagaan mikro, SME) serta Tarif H, H1 dan H2 (pertanian) akan kekal dengan surcaj 3.7 sen/kWh.

    Harga kereta naik disebabkan tarif elektrik naik — MAA

    Anwar juga menyebut bahawa semua syarikat multinasional dan pengeksport besar akan dikenakan kenaikan harga elektrik ini. EC dalam kenyataannya sebelum ini juga memaklumkan bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2022, ada kenaikan kos bahan api dan janaan tenaga melibatkan sebanyak RM16.2 bilion, yang bersamaan dengan surcaj ICPT sebanyak 27 sen/kWh. Dengan arang dan gas asli meliputi lebih 90% daripada penjanaan elektrik di Semenanjung, dan juga harga bahan api ini yang naik, kos penjanaan elektrik telah naik sebanyak 74%.

    Dengan tarif baru bagi pengguna industri ini pun, kerajaan masih memberikan subsidi sebanyak RM1.93 bilion, yang jika digabungkan dnegan subsidi yang dibayar untuk mengekalkan tarif bago pengguna domestik dan perniagaan kecil, jumlah keseluruhan subsidi mencecah RM10.76 bilion.

    Kenaikan kos elektrik untuk pengguna industri ini, yang sudah tentu termasuk pengeluar kenderaan, telah menjadi punca kenaikan harga kenderaan, walaupun beberapa jenama masih mengekalkan harga mereka ketika ini.

    Presiden UMW Toyota Motor (UMWT), Ravindran Kurusmary semalam menyatakan; “ketika harga elektrik naik, kami akan serap separuh daripada kos berkenaa, dan separuh lagi terpaksa diserahkan kepada pelanggan. Kami akan mencuba sehabis baik untuk menampung kenaikan ini, tetapi ada waktunya kami tidak ada pilihan lain dan terpaksa serahkannya kepada pelanggan.” Kos elektrik bagi operasi mereka naik sekitar 15-18%.

     
     
  • Motosikal memotong di garisan berkembar, hentam sebuah Perodua Myvi yang sedang keluar simpang

    Motosikal memotong di garisan berkembar, hentam sebuah Perodua Myvi yang sedang keluar simpang

    Ada sebab kenapa garisan berkembar dibuat di sesetengah kawasan. Dan itu adalah peringatan bahawa penunggang atau pemandu kenderaan dilarang memotong, kerana mungkin situasinya sangat berbahaya. Kejadian yang berlaku di Bangi ini mungkin boleh jadi pengajaran untuk kita. Ia tular di media sosial, menunjukkan seorang penunggan melanggar sebuah Perodua Myvi yang sedang keluar daripada simpang, pada Selasa lalu (17 Januari) sekitar jam 6 petang.

    Dalam rakaman dashcam sebuah kereta di belakang, sebuah motosikal dilihat memotong garisan berkembar di laluan dua hala. Tidak lama kemudian, sebuah lagi motosikal melakukan perkara yang sama, dan lebih ketara memasuki laluan sebelah dengan arah trafik bertentangan.

    Rakaman itu juga menunjukkan ada sebuah Myvi yang sedang cuba keluar dari simpang di depan, dan ketika menyeberang garisan tengah jalan, pemandu berkenaan tidak dapat melihat penunggang motosikal terbabit, yang kemudiannya melanggar kereta terbabit.

    Tidak kira anda atas motosikal atau memandu kereta, jangan sesekali memotong di garisan berkembar. Tidak berbaloi untuk mengambil risiko itu dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Menurut polis, sekiranya ada yang terkorban dalam kejadian seperti itu, mereka yang terlibat boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020.

    Sekiranya di dapati bersalah, pelaku boleh dipenjara hingga 10 tahun (minimum lima tahun) serta denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih RM50,000. Pelaku juga boleh digantung lesen memandunya bagi tempoh lima tahun. Berhati-hatilah di jalan raya, dan jika boleh, pasang dashcam dalam kereta anda untuk dijadikan bukti jika berlaku kejadian seperti ini.

     
     
  • Jambatan Sungai Pulai antara Gelang Patah-Tg Bin dibuka – 7.5 km, kos RM800j; perjalanan lebih pendek

    Jambatan Sungai Pulai antara Gelang Patah-Tg Bin dibuka – 7.5 km, kos RM800j; perjalanan lebih pendek

    Kerajaan Negeri Johor telah mengumumkan Jambatan Sungai Pulai menghubungkan Gelang Patah-Tanjung Bin, Pontian, mulai dibuka untuk laluan trafik. Ia melibatkan laluan sepanjang 7.5 km itu dengan kos RM800 juta dan mula dibina pada 2017 serta siap sepenuhnya Disember lalu.

    Menurut Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, ia adalah projek kerjasama awam-swasta membabitkan Seaport Worldwide Sdn Bhd, ahli kumpulan MMC Corporation Bhd, yang dibina merentasi Sungai Pulai menghubungkan Gelang Patah ke Tanjung Bin, Pontian, laporan Berita Harian.

    Di mana jambatan itu dilengkapi laluan dua hala dengan dua lorong setiap laluan selain mempunyai laluan kapal di bawahnya dengan ketinggian 25 meter dan lebar 100 meter.

    “Jambatan Sungai Pulai akan memberi laluan terus dari Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) ke Tanjung Bin. Dengan pembukaan jambatan ini, masa perjalanan asal selama lebih satu jam dari PTP ke Kukup, Pontian dapat dipendekkan kepada hanya 30 minit.

    “Berdasarkan kajian ‘Traffic Impact Assessment’, dianggarkan sebanyak 3,000 kenderaan akan melalui jambatan ini pada waktu puncak setiap jam. Ia bukan sahaja mempercepatkan perjalanan dan aktiviti perniagaan bagi komuniti yang tinggal di Johor Bahru dan Pontian, malah ia akan memberi kesan ekonomi yang positif di kawasan berhampiran jambatan berkenaan,” katanya.

    Tambah beliau, kerajaan Johor sangat berpuas hati dengan penyempurnaan projek Jambatan Sungai Pulai kerana ia akan membawa manfaat besar kepada rakyat.

    “Pembukaan Jambatan Sungai Pulai akan meletakkan Pontian sebagai hab sosio-ekonomi baharu di negeri ini selain merancakkan aktiviti ekonomi, meningkatkan nilai hartanah selain menggalakkan pembangunan
    destinasi utama bagi pelaburan asing.

    “Ia juga akan membawa pelbagai peluang pekerjaan ke kawasan setempat selain menggalakkan industri pelancongan terutamanya eko-pelancongan di Tanjung Piai dan Kukup, terutamanya pelancong dari Singapura,” kata Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap.

     
     
  • Proton Wira kereta paling banyak dicuri 11-tahun berturut-turut; Yamaha 135 LC juga sasaran popular

    Proton Wira kereta paling banyak dicuri 11-tahun berturut-turut; Yamaha 135 LC juga sasaran popular

    Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (VTREC) telahpun mengeluarkan statistik kecurian kenderaan berdasarkan tuntutan yang diterima oleh syarikat insuran untuk tahun 2021, dan Proton Wira masih kekal sebagai kenderaan yang paling banyak dicuri di Malaysia untuk tahun ke-11 berturut-turut, lapor The Star.

    Menurut koordinator VTREC Mastina Abdul Hamid, sebanyak 131 Proton Wira telah dilaporkan dicuri sepanjang 2021, diikuti Proton Iswara di tempat kedua dengan laporan sebanyak 75 kecurian diterima.

    Model ketiga paling banyak dicuri adalah Perodua Kancil, manakala trak pikap Toyota Hilux berada di tempat keempat dan menjadi model bukan nasional yang paling banyak dicuri iaitu sebanyak 65 kes dilaporkan pada 2021. Model paling popular di Malaysia buat masa sekarang iaitu Perodua Myvi pula berada di tempat keenam.

    “Ada kerete Mercedes-Benz yang dicuri dijual serendah RM10,000, atau Hilux hanya RM12,000, dan Wira hanya berharga RM3,000.

    “Wira merupakan model yang popular sebelum ini, dan ia masih banyak di atas jalan raya walaupun produksinya telah dihentikan pada 2009,” kata Mas Tina dan menambah bahawa banyak juga kes Wira yang dicuri untuk mendapatkan alat ganti.

    Mas Tina juga menjangkakan untuk masa akan datang berkemungkinan Myvi akan menjadi model yang paling kerap dicuri kerana pencuri biasanya mensasarkan model-model lama yang popular.

    “Myvi merupakan sasaran kerana rupanya dan ia adalah model yang digemari oleh orang ramai. Trend ini adalah hampir sama dengan Wira. Sekarang Myvi ada banyak di atas jalan (dan ia mungkin akan menjadi sasaran apabila produksinya tamat,” katanya.

    Menurutnya lagi kebanyakkan kenderaan yang dicuri di Malaysia akan dijual kembali dalam pasaran tempatan. Malah dengan masalah kekurangan alat ganti ketika musim pandemik Covid-19, masalah ini menjadi semakin teruk.

    Proton Wira kereta paling banyak dicuri 11-tahun berturut-turut; Yamaha 135 LC juga sasaran popular

    Untuk kecurian motosikal pula, data menunjukkn secara purata sebuah Yamaha 135 LC dicuri setiap hari, menjadikan ia sebagai model paling banyak dicuri untuk tahun 2021. Ia diikuti oleh Yamaha Y15ZR dengan 186 kes dilaporkan, diikuti Honda C100 dengan laporan 151 kes.

    Mas Tina menyatakan untuk motosikal adalah agak kontra berbanding kereta kerana pencuri lebih berminat untuk mencuri model-model baharu. Motosikal-motosikal yang dicuri ini pula lazimnya akan ‘dibaraikan’ dan kemudian dijual sebagai alat ganti.

    “Mereka juga jual Yamaha 125Z pada harga RM1,500, Yamaha 135 LC pada harga RM500, serta Honda EX5 dan Honda Wave pada harga RM300 sebuah.

    Proton Wira kereta paling banyak dicuri 11-tahun berturut-turut; Yamaha 135 LC juga sasaran popular

    “Pelanggan yang bersetuju dengan harga ditawarkan akan membayar deposit ke dalam akaun milik sindiket sebelum kenderaan atau komponen yang dicuri itu dihantar kepada mereka menerusi servis parcel berdaftar,” kata Mas Tina.

    Menurutnya lagi agak sukar untuk pihak berkuasa menangkap mereka yang terlibat dengan sindiket-sindiket berkenaan kerana ia melibatkan pelbagai kumpulan.

    “Mereka ada orang berlainan yang mencuri dan kumpulan lain yang membawanya ke Thailand. Orang lain akan menjualnya,” tambahnya lagi.

     
     
  • MAA jangka jualan kenderaan turun 10% tahun ini berbanding 2022 — OPR bank tinggi, ekonomi meleset

    MAA jangka jualan kenderaan turun 10% tahun ini berbanding 2022 — OPR bank tinggi, ekonomi meleset

    Selepas mengumumkan pencapaian luar biasa TIV bagi 2022 yang merekodkan sebanyak 720,658 unit, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mendedahkan pula ramalan badan itu untuk tahun 2023. MAA menjangkakan TIV tahun ini akan mencapai tahap 650,000 unit, iaitu 70,568 unit atau 9.8% kurang daripda apa yang dicapai tahun lalu.

    Dengan pecahan TIV antara kenderaan penumpang dan komersial, ramalan MAA untuk kenderaan penumpang adalah 585,000 unit tahun ini, mewakili pengurangan sebanyak 56,773 unit atau 8.8%. Bagi kenderaan komersial, dijangka menyaksikan pengurangan sebanyak 13,885 unit atau 17.6% kepada 65,000 unit pada 2023.

    Ramalan ini didorong oleh jangkaan berlakukanya penguncupan ekonomi global tahun ini. Dilaporkan IMF meramalkan ekonomi dunia akan menjadi perlahan daripada 3.2% pada 2022 kepada 2.7% pada 2023, yang membawa kepada jangkaan akan berlakuknya kemelesetan ekonomi. Bagaimanapun, ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4-5%.

    MAA jangka jualan kenderaan turun 10% tahun ini berbanding 2022 — OPR bank tinggi, ekonomi meleset

    Syarikat pengeluar kenderaan juga masih bertungkus-lumus memenuhi tempahan sedia ada dari tempoh pengecualian cukai sebelum ini, untuk didaftarkan sebelum 31 Mac 2023. Hal ini dijangka mungkin akan meningkatkan jualan kenderaan penumpang bagi suku pertama tahun 2023. Selain itu, pengenalan model baru, termasuk kereta elektrik (EV), akan membantu merancakkan keinginan pembeli.

    Cabaran lain juga masih ada, misalnya gangguan bekalan yang dihadapi sebelum ini, serta kemungkinan peningkatan kes Covid-19 di seluruh dunia akan terus memberi kesan. Ada juga kekangan lain yang mungkin memberi kesan; kenaikan kadar overnight policy rate (OPR) beberapa kali tahun lalu kepada kadar semasa 2.75%, yang mungkin menyukarkan pemberian pinjaman oleh bank.