Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • VIDEO: Drag Race Perodua Ativa Hybrid Vs Ativa Turbo – mana yang lebih ‘tekan-tekan pergeyyy’?

    VIDEO: Drag Race Perodua Ativa Hybrid Vs Ativa Turbo – mana yang lebih ‘tekan-tekan pergeyyy’?

    Ativa merupakan model produksi pertama dari Perodua yang diberikan enjin turbo dari kilang. Walaupun ia hanya menghasil 98 PS, enjin 1.0 liter tiga selinder berkenaan berupaya mengerah tork maksima setinggi 140 Nm pada putaran enjin serendah 2,400 rpm.

    Pada September lalu, Perodua memperkenalkan satu lagi varian Ativa pada pasaran tempatan iaitu versi Hybrid. Tetapi model yang diasaskan dari Daihatsu Rocky e:Smart Hybrid dan diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun berkenaan hanya dibawa sebanyak 300 unit, dan hanya ditawarkan dalam program langganan sahaja.

    Persoalannya, antara Ativa Turbo dan Ativa Hybrid, mana lebih laju? Untuk mengetahui fakta berkenaan, kami buat ujian menerusi satu sesi Drag Race pendek antara kedua-dua model tersebut.

    @paultancars Replying to @Nabil Syakirrin nah, #dragrace antara #Ativa #Hybrid dengan #Turbo. Korang terkejut dengan keputusan ni? #paultancars #paultan #carsoftiktok #cartok #viral #malaysia #trending #fyp #foryou #foryoupage ? original sound – Paul Tan's Automotive News

    Ternyata, Ativa Hybrid lebih laju dari Ativa Turbo. Untuk pengetahuan anda, sistem e:Smart Hybrid yang ada pada Ativa ini sebenarnya berlainan dari sistem-sistem hibrid yang ditawarkan dalam pasaran khususnya di Malaysia.

    Model ini diberikan enjin petrol WA-VEX 1.2 liter tiga-silinder kitaran Atkinson yang hanya menghasilkan kuasa 82 PS dan tork maksima 105 Nm. Namun enjin berkenaan langsung tidak memacu roda SUV tersebut kerana ia bertugas semata-mata sebagai enjin penambah jarak (range extender) yang berfungsi hanya untuk mengecas bateri lithium-ion.

    Sementara roda hadapan dipacu sepenuhnya oleh motor elektrik berkuasa 106 PS dan tork maksima 170 Nm seperti kereta elektrik sebenar. Motor berkenaan bukan sahaja 8 PS lebih berkuasa dari enjin petrol, malah tork 30 Nm yang lebih besar diberikan sepenuhnya bermula dari 0 rpm!

    VIDEO: Drag Race Perodua Ativa Hybrid Vs Ativa Turbo – mana yang lebih ‘tekan-tekan pergeyyy’?

    Tidak hairanlah mengapa Ativa Turbo tewas dalam Drag Race ini. Bukan sahaja enjinnya yang kurang berkuasa dari motor elektrik, malah penyampaian kuasanya dari enjin yang perlu melalui kotak gear CVT juga menjadi antara punca ia lebih perlahan.

    Bukan sahaja lebih pantas, Ativa Hybrid ini juga jauh lebih jimat penggunaan petrol. Perodua memaklumkan bahawa Ativa Hybrid ini mampu memberikan bacaan 31.3 km/l mengikut ujian Kitaran Pemanduan Malaysia, manakala Ativa Turbo pula memberikan bacaan 18.9 km/l dalam mod ECE.

    Berminat dengan Ativa Hybrid ini? Maaf, program langganan ini sudahpun penuh dan kesemua 300 unit Ativa Hybrid berkenaan telah dihantar kepada pelanggan yang berjaya dari 600 permohonan yang diterima.

    VIDEO: Drag Race Perodua Ativa Hybrid Vs Ativa Turbo – mana yang lebih ‘tekan-tekan pergeyyy’?

    Peserta bagi program ini terikat dengan kontrak langganan selama lima-tahun, dan perlu membayar pendahuluan sebagai komitmen sebanyak RM2,150, diikuti dengan yuran langganan bulanan sebanyak RM500. Jumlah berkenaan sudah termasuk sekali dengan deposit tiga bulan dan yuran langganan untuk bulan pertama (dengan deposit tiga bulan itu akan dipulangkan kepada pelanggan nanti).

    Penyelenggaraan, insurans dan cukai jalan akan ditanggung oleh Perodua, memandangkan Ativa Hybrid ini didaftarkan di bawah syarikat, bukan di bawah nama pelanggan. Dalam tempoh lima-tahun ini, had jarak pemanduan yang dibenarkan kepada pelanggan adalah 100,000 km, dengan purata 20,000 km setahun atau 1,666 km sebulan.

    Di hujung tempoh berkenaan, jumlah keseluruhan yang akan di bayar kepada Perodua adalah RM30,150. Peserta perlu memulangkan kereta terbabit kepada Perodua selepas lima tahun.

    GALERI: Perodua Ativa Hybrid 2022

    GALERI: Perodua Ativa 1.0L Turbo AV 2021

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia 2022 — TIV rekod tertinggi setakat ini dengan 720k unit, naik 212k unit dari 2021

    Jualan kenderaan di M’sia 2022 — TIV rekod tertinggi setakat ini dengan 720k unit, naik 212k unit dari 2021

    Bagi tahun 2022, secara keseluruhannya sebanyak 720,658 unit kenderaan terjual di Malaysia, seperti dimaklumkan dalam sidang media Persatuan Automotif Malaysia (MAA) hari ini. Ia melibatkan peningkatan 211,775 unit daripada 508,883 unit yang terjual sepanjang 2021, bersamaan dengan kenaikan 41.6%.

    Jumlah keseluruhan industri (TIV) yang dicapai pada 2022 adalah yang tertinggi setakat ini, dan ini juga kali pertama jumlahnya melepasi angka 700,000 unit. Ini bermakna, TIV 2022 juga melepasi angka sasaran 600,000 unit yang ditetapkan itu dengan lebihan 120,000 unit.

    Kenaikan ini adalah susulan kepada penurunan TIV di Malaysia selama dua tahun berturut-turut; TIV 2021 turun sebanyak 20,603 unit atau 3.9% berbanding 2020, manakala pada 2020 sendiri TIV menurun 12.4% daripada apa yang dicapai pada 2019, ketika itu dengan 604,281 unit.

    Jumlah jualan meningkat ini disumbangkan oleh permintaan yang melonjak pada 2022, terutama pada separuh pertamanya, serta kelonggaran yang membolehkan pembeli dengan tempahan kenderaan yang dibuat sebelum 30 Jun 2022 menikmati pengecualian cukai tersebut asalkan kenderaan mereka didaftarkan sebelum 31 Mac 2023.

    Mengikut segmen, kenderaan penumpang menyumbang sebanyak 641,773 unit pada 2022, melibatkan pertambahan 189,287 unit atau 41.8% berbanding 452,486 unit yang dijual pada 2021. Sementara itu, jualan kenderaan komersial mencatatkan 87,885 unit pada 2022, melibatkan kenaikan 22,488 unit atau 39.9% berbanding angka 56,397 unit yang dicapai pada 2021.

    Ini juga melangkaui ramalan MAA pada Januari 2022 bahawa kenderaan penumpang akan mencatatkan 87,337 unit atau 19.3%, manakala kenderaan komersial pula akan mencatatkan 3,752 unit atau 6.7% bagi angka masing-masing bagi 2021.

     
     
  • MAA rancang anjur semula KL International Motor Show tahun depan; 6 tahun selepas edisi terakhir

    MAA rancang anjur semula KL International Motor Show tahun depan; 6 tahun selepas edisi terakhir

    Pagi tadi ketika berlangsungnya majlis pembentangan prestasi 2022, presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad berkata pihaknya mungkin akan menganjurkan semula KL International Motor Show (KLIMS) tahun hadapan.

    Motor show, mungkin 2024. Saya harap anda semua (media) akan menyokong kami,” katanya ketika ditanya adakah satu lagi edisi KLIMS akan dilangsungkan. Kali terakhir MAA menganjurkan KLIMS adalah pada akhir 2018.

    Terdapat pelbagai acara motorshow yang dianjurkan oleh pelbagai pihak dalam negara buat masa sekarang, namun KLIMS adalah yang terbesar. Ini kerana ia dianjurkan oleh MAA iaitu persatuan yang dianggotai oleh semua pengeluar automotif yang bertapak dalam negara.

     
     
  • Proton Global Services lantik Industrial Labs sebagai pembekal sistem solar photovoltaic yang kedua

    Proton Global Services lantik Industrial Labs sebagai pembekal sistem solar photovoltaic yang kedua

    Proton Global Services Sdn. Bhd. (PGS), anak syarikat milik Proton Edar, telah melantik Industrial Laboratories Sdn. Bhd. (Industrial Labs) sebagai pembekal sistem solar photovoltaic (PV) yang kedua. Ia bertujuan bagi mengembangkan penggunaan tenaga solar dalam rangkaian pengedar dan vendornya. Selain itu, pelantikan ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif kelestarian tenaga pembuat kereta nasional yang berusaha untuk menurunkan pelepasan karbonnya untuk meningkatkan skor ESG.

    Dalam majlis menandatangani perjanjian yang diadakan baru-baru ini, kedua-dua pihak menerangkan tentang usaha kerjasama untuk mengembangkan penggunaan tenaga solar di Malaysia. Selain menceburi pelbagai aktiviti perniagaan, PGS juga melaksanakan pengoptimuman tenaga dan solusi tenaga lestari untuk Proton. Industrial Labs ialah pembekal utama dan pembekal perkhidmatan solusi tenaga yang boleh diperbaharui di Malaysia dengan pengalaman di seluruh Asia Tenggara.

    “Tenaga baharu adalah salah satu aktiviti perniagaan teras untuk PGS. Selain daripada mempromosi dan melaksanakan penggunaan tenaga solar kepada pengedar dan vendor, kami juga telah menyelia pemasangan sistem solar di kilang Proton di Tanjung Malim yang mampu menghasilkan 12MWp dan menjana potensi penjimatan bil tenaga sehingga RM3.5 juta setahun untuk Proton selama 25 tahun.

    Proton Global Services lantik Industrial Labs sebagai pembekal sistem solar photovoltaic yang kedua

    “Dengan penambahan Industrial Labs sebagai pembekal sistem PV, kami sedang berusaha untuk mempercepatkan penggunaan tenaga solar dalam rangkaian pengedar dan vendor Proton pada tahun 2023 untuk mengurangkan lagi pelepasan karbon syarikat” kata Lee Yeet Chuan, Ketua Pegawai Eksekutif PGS.

    Sementara itu, Shamsul Azhar Bin Zainuddin selaku pengasas bersama dan Pengarah Industrial Labs pula berkata, “Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP27) di Mesir tahun lalu menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan peningkatan suhu global diminimumkan berbanding tahap pra-industri.

    “Penyahkarbonan pengeluaran tenaga adalah salah satu inisiatif yang dipromosikan, dan itulah sebabnya kami gembira dapat bekerjasama dengan PGS kerana mempromosikan tenaga bersih seperti solar adalah satu langkah menuju ke arah yang betul.

    Proton Global Services lantik Industrial Labs sebagai pembekal sistem solar photovoltaic yang kedua

    Di peringkat nasional, Malaysia telah komited untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050 dan oleh itu, pengeluar seperti Proton akan memainkan peranan penting untuk membantu mengurangkan tahap pelepasan karbon negara.

    “Dengan parameter ESG yang semakin popular setiap tahun, semua entiti korporat mesti berusaha untuk meningkatkan markah mereka dalam bidang ini. Di samping itu, Proton sebagai jenama automotif nasional mempunyai tanggungjawab untuk memainkan peranan aktif dalam membantu Malaysia mencapai matlamat neutral karbonnya menjelang tahun 2050.

    “Itulah sebabnya kami akan terus mempromosikan lebih banyak inisiatif hijau dalam syarikat dan ekosistem kami pada masa akan datang yang terdekat,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Pada Mac 2022, Proton telag mengumumkan bahawa kilangnya di Tanjung Malim sudah pun mula menjana elektrik menggunakan kuasa solar bagi operasi di fasiliti berkenaan. Bagi menjana elektrik dari kuasa solar, kilang tersebut telah pun dilengkapi dengan panel solar yang dipasang di ruang parkir transit (tempat parkir sementara untuk kereta yang baru sahaja siap, sebelum diangkut ke pengedar-pengedar seluruh negara), dengan keluasan 23.4 ekar. Fasiliti untuk menjana kuasa solar ini disediakan oleh Kumpulan Pekat dan rakan bersekutunya MFP Solar.

     
     
  • François Delecour disaman sebanyak RM7k di Rali Monte Carlo 2023 kerana basuh kereta di Service Park

    François Delecour disaman sebanyak RM7k di Rali Monte Carlo 2023 kerana basuh kereta di Service Park

    Pemandu rali lagenda Perancis, François Delecour menjadi pelumba pertama di saman dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) bagi musim ini kerana mencuci kereta di Service Park Selasa lalu, sebelum bermulanya pusingan pertama WRC 2023 iaitu Rali Monte Carlo minggu ini.

    Delecour memandu jentera baharu Skoda Fabia RS Rally2 untuk pasukan Toksport WRT minggu ini. Saman bernilai €1,500 (RM7k) yang diterima oleh Delecour adalah disebabkan dia didapati bersalah kerana melanggar Artikel 12.12.3 peraturan Rali Monte Carlo kerana membasuh kereta di Service Park.

    Menurut pengurus pasukan Toksport, Jacek Wyrzykowski ketika sesi pendengaran kes ini yang dibuat oleh pegawai pengelola perlumbaan Rabu lalu, insiden tersebut berlaku akibat salah faham arahan yang diberikan kepada ahli pasukan, menyebabkan kereta Delecour dengan nombor 37 tersebut dibasuh di Service Park dan bukan di kawasan basuh kereta yang telah ditetapkan.

    François Delecour disaman sebanyak RM7k di Rali Monte Carlo 2023 kerana basuh kereta di Service Park

    Larangan untuk membasuh kereta di Service Park bagi Rali Monte Carlo ini adalah unik kerana Service Park berkenaan terletak di Pelabuhan Monaco (tempat yang sama paddock perlumbaan Formula 1 didirikan) dan air yang kotor dari basuhan berkenaan akan mengalir ke pelabuhan tersebut.

    Ini merupakan penyertaan ke-23 François Delecour dalam rali Monte Carlo. Beliau pernah memenangi Rali Monte Carlo berkenaan pada tahun 1994, ketika itu memandu Ford Escort RS Cosworth untuk pasukan rali dunia rasmi Ford.

     
     
  • Golongan OKU bakal nikmati tambang percuma ketika menggunakan pengangkutan awam – Menteri

    Golongan OKU bakal nikmati tambang percuma ketika menggunakan pengangkutan awam – Menteri

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri telah memaklumkan, golongan orang kurang upaya (OKU) bakal menikmati tambang percuma apabila menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam tidak lama lagi.

    Katanya, buat masa ini, OKU diberi diskaun 50% bagi tambang pengangkutan awam, tetapi tidak ramai daripada golongan itu yang menikmati manfaat berkenaan, laporan Bernama.

    Beliau turut memaklumkan, perkara itu sudah dipersetujui Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, namun mekanisme pelaksanaan pemberian tambang percuma untuk golongan berkenaan perlu diteliti.

    “Saya telah bercakap dengan Yang Berhormat Menteri (Loke) berhubung perkara itu dan secara prinsip beliau telah bersetuju dengan cadangan ini,” katanya sambil menambah tarikh pelaksanaan tambang percuma itu bergantung kepada pihak Kementerian Pengangkutan.

    Menerusi ciapan di Twitter, Nancy memaklumkan telah berbincang dengan Loke semasa mesyuarat Kabinet hari ini mengenai kemudahan tambang percuma kepada OKU yang menggunakan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan bas henti-henti.

     
     
  • KL Car Free Morning 22 Jan ditangguh pada tarikh dimaklumkan kelak kerana Tahun Baharu Cina

    KL Car Free Morning 22 Jan ditangguh pada tarikh dimaklumkan kelak kerana Tahun Baharu Cina

    Pihak pengurusan KL Car Free Morning (KLCFM) telah mengumumkan acara berkenaan tidak akan dilangsungkan pada Ahad ini, 22 Januari 2023. Ini susulan hari pertama Tahun Baharu Cina yang bakal disambut pada Ahad ini, yang juga merupakan cuti umum untuk seluruh negara.

    Walau bagaimana pun, difahamkan, KLCFM akan dilaksanakan pada tarikh yang bakal dimaklumkan kelak. Jadi para peminat KLCFM yang sememangnya menanti untuk melakukan aktiviti termasuk larian dan berbasikal di sekitar ibu kota secara bebas perlulah bersabar untuk menunggu tarikh yang akan diuar-uarkan itu.

    Untuk yang bakal pulang ke kampung halaman atau pun pergi ke mana-mana destinasi di semenanjung Malaysia dengan memandu sendiri, anda digalakkan untuk mengikut saranan pengendali lebuhraya termasuk Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT) yang mengeluarkan jadual cadangan waktu perjalanan (TTA) masing-masing untuk tempoh musim cuti Tahun Baharu Cina ini.

    Sila pastikan kenderaan anda selamat untuk dipandu, kesihatan anda juga berada dalam tahap terbaik untuk memandu dan baki kad Touch ‘n Go (TNG) atau e-wallet mencukupi untuk pembayaran tol. Ops! Jangan lupa semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pemberian kadar tol percuma di seluruh negara untuk tarikh 21-22 Januari sempena Tahun Baharu Cina. Selamat bercuti!

     
     
  • Harga minyak 19-25 Jan – Masih dikekalkan

    Harga minyak 19-25 Jan – Masih dikekalkan

    Bagi minggu bertarikh 19 hingga 25 Januari 2023, Kementerian Kewangan telah memaklumkan bahawa
    harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel masih dikekalkan. Ini merupakan minggu keempat berturut-turut kesemua harga bahan api tersebut dikekalkan.

    Di mana petrol RON 97 dikekalkan pada harga runcit RM3.35 seliter, selepas ia mengalami penurunan harga selama tiga minggu berturut-turut sepanjang Disember 2022.

    Bagi petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling pula, ia m, c masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • VIDEO: Penunggang motosikal bersama anak kecil terjatuh di jalan raya akibat bergesel dengan kereta

    VIDEO: Penunggang motosikal bersama anak kecil terjatuh di jalan raya akibat bergesel dengan kereta

    Satu video tular di laman media sosial petang ini yang memaparkan kejadian seorang penunggang motosikal bersama anak kecil terjatuh di jalan raya selepas motosikal tersebut bergesel dengan sebuah BMW 3 Series. Kejadian ini berlaku berhampiran dengan persimpangan Endah Parade, Sri Petaling, dirakamkan oleh pemilik akaun Facebook Zoul BraveSlick.

    Menerusi rakaman terbabit, penunggang motosikal berkenaan didapati cuba menukar lorong dari kiri dan memasuki lorong kanan namun tergesel dengan BMW berkenaan. Lantaran tindakan tersebut, seorang anak kecil yang dipercayai duduk dibakul motosikal tersebut terjatuh dan penunggang terbabit bersama motosikalnya turut terpelanting menghentam pembahagi jalan.

    Anak kecil berkenaan yang tidak dipakaikan topi keledar kelihatan terkejut dan cuba untuk bangun sebelum pemandu BMW berkenaan bergegas keluar kereta dan mengangkatnya.

    Menurut Zoul menerusi entri di FB, penunggang motosikal terbabit hanya mengalami kecederaan ringan, manakala anak kecil berusia sekitar dua hingga tiga tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Rata-rata netizen yang menonton video ini meluahkan rasa kekesalan kerana tindakan penunggang motosikal berkenaan yang kemungkinan bapa pada anak kecil itu kurang menitikberatkan soal keselamatan dirinya dan anaknya sendiri. Mujur kenderaan yang dipandu Zoul yang berada di belakang BMW tidak berada dalam keadaan laju dan kelihatan pada mulanya hendak memasuki simpang kiri namun pantas ke lorong kanan untuk menghalang kenderaan lain terlanggar anak kecil berkenaan.

    Bersyukur penunggang dan si kecil selamat dari kecelakaan yang lebih mengerikan, namun diharap kejadian ini menjadi iktibar kepada semua penunggang motosikal agar memastikan pemboncengnya turut memakai topi keledar waima melibatkan kanak-kanak. Serta tolonglah berhati-hati sewaktu menunggang motosikal. Malang memang tidak berbau, tetapi InsyaAllah boleh dielakkan sekiranya semua pengguna jalan raya sentiasa berhemah di dalam pemanduan.

    Kemaskini jam 8.35 malam:
    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur telah memaklumkan pihaknya sedang mengesan pemilik kenderaan iaitu kereta dan motosikal yang terlibat di dalam insiden yang diperkatakan ini.

    “Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kejadian tersebut boleh menghubungi Balai Trafik Jalan Bandar di talian 03-2071999 atau mana-mana balai polis terdekat. Pemilik rakaman Dash Cam bagi video ini juga diminta tampil memberi maklumat,” kata JSPT KL menerusi kenyataan yang dimuat naik menerusi FB sebentar tadi.

     
     
  • Geely Binyue L didedahkan sebelum pengenalan rasmi – lebih besar dari Proton X50, 1.5T 4-silinder, 7DCT

    Geely Binyue L didedahkan sebelum pengenalan rasmi – lebih besar dari Proton X50, 1.5T 4-silinder, 7DCT

    Kementerian Industri dan Teknologi Informasi (MIIT) China telah menyiarkan gambar crossover terbaharu dari Geely yang bakal diperkenalkan tahun ini dan dilaporkan akan digelar sebagai Binyue L.

    Walaupun menggunakan nama Binyue iaitu asas kepada Proton X50, model baharu ini akan dijual bersama Binyue yang telah pun menerima kemaskini baharu tahun lalu (kini dikenali sebagai Binyue Cool) dan menampilkan saiz yang lebih besar.

    Menurut MIIT, Binyue L dihasilkan dengan dimensi 4,510 mm panjang, 1,865 mm lebar, 1,650 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,701 mm. Sebagai perbandingan, dimensi untuk Binyue Cool adalah 4,380 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,609 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,600 mm.

    Menurut laporan-laporan dari media China, model yang dikenali dengan kod dalaman G426 ini dijangka akan menawarkan perincian yang lebih premium dari Binyue Cool.

    Rupa antara Binyue Cool dan Binyue L ini juga jauh berbeza tanpa satu persamaan sekalipun. Untuk Binyue L, ia lebih menyerupai Boyue L yang didedahkan tahun lalu, dengan rekaan muka menampilkan lampu yang seakan sebahagian dari gril hadapan yang besar, bersama elemen gril berbentuk-V.

    Bentuk sisi badan Binyue L ini juga tidak sama dengan Binyue Cool di mana ia menampilkan garis sisi yang bermula dari pintu depan dan terus menaik sehingga ke tingkap sisi belakang. Tiang-A sehingga tiang-D digelapkan sepenuhnya bagi memberikan kesan seakan bumbung terapung.

    Binyue L ini akan menerima enjin 1.5 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 181 PS (178 hp ata 133 kW) dan tork maksima 290 Nm. Ia mungkin digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan dan hanya memacu roda hadapan.

     
     
  • Tol percuma di semua lebuhraya pada 20 dan 21 Jan ini sempena cuti Tahun Baru Cina – PM Anwar Ibrahim

    Tol percuma di semua lebuhraya pada 20 dan 21 Jan ini sempena cuti Tahun Baru Cina – PM Anwar Ibrahim

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memberi pengecualian tol bagi semua kategori kenderaan di semua lebuh raya pada 20 dan 21 Januari ini sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

    Beliau membuat pengumuman tersebut dalam sidang media selepas berlangsungnya mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.

    Dalam kesempatan yang sama PM turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa menjaga keselamatan serta patuh terhadap undang-undang jalan raya bagi mengurangkan jumlah kemalangan ketika cuti musim perayaan ini.

    Walau bagaimanapun kerajaan masih belum memperincikan berkenaan tol percuma untuk dua hari ini. Namun ia mungkin akan menggunakan cara yang sama ketika pengecualian tol diberikan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri dan juga Pilihan Raya Umum ke-15 sebelum ini.

    Oleh itu tol percuma ini mungkin akan bermula pada pukul 12.01 am 20 Januari dan berakhir pada 11.59 pm 21 Januari 2023. Sekiranya anda keluar dari lebuhraya selepas 12 am 22 Januari, anda bakal dikenakan bayaran penuh tol walaupun anda masuk ke lebuhraya ketika tempoh pengeculian tol. Namun sekiranya anda masuk ke lebuhraya sebelum 12.01 am 20 Januari, anda masih menerima tol percuma sekiranya keluar dari lebuh raya dalam tempoh pengecualian tol.

    Kami akan memberikan laporan kemaskini sekiranya kerajaan mengeluarkan kenyataan lebih terperinci berkaitan perkara ini.

     
     
  • Honda Malaysia tawar rebat hingga RM4,000 bagi model terpilih sempena Tahun Baharu Cina 2023

    Honda Malaysia tawar rebat hingga RM4,000 bagi model terpilih sempena Tahun Baharu Cina 2023

    Selepas sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2023, kini tibalah pula giliran Tahun Baharu Cina yang bakal diraikan hujung minggu ini. Seperti biasa, setiap kali ada perayaan besar, pastinya banyak promosi menarik ditawarkan. Jadi belum terlewat untuk anda membeli kereta baharu pada tahun baharu.

    Ini termasuklah kempen promosi yang dianjurkan oleh Honda Malaysia sempena Tahun Baharu Cina ini. Kempen “Prosperous Rewards” ini adalah untuk kereta yang didaftarkan pada Januari 2023, dengan nilai penjimatan sehingga RM4,000.

    Klik untuk besarkan

    Selain tawaran rebat yang mengujakan, model kereta yang terpilih ini adalah buatan tahun 2023, bukannya stok tahun lalu. Model yang terlibat dengan kempen ini ialah City, City Hatchback dan Accord.

    Diskaun terbesar yang ditawarkan adalah bagi sedan segmen-D, Accord, yang menerima rebat mencecah RM4,000. Manakala kesemua lima varian City sedan dan hatchback – S, E, V, V-Sensing dan RS – diberikan rebat sebanyak RM1,000. Memanglah tidak banyak, tetapi ini model tahun 2023 dan boleh dianggap berbaloi.

     
     
  • Litar Antarabangsa Sepang mungkin naikkan kadar sewa pertengahan 2023 ekoran kos operasi meningkat

    Litar Antarabangsa Sepang mungkin naikkan kadar sewa pertengahan 2023 ekoran kos operasi meningkat

    Kadar sewa bagi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berkemungkinan bakal dinaikkan pada pertengaha 2023, laporan NST. Ia disebabkan peningkatan kos penyelenggaran dan operasi, di mana telah mendorong penyusutan margin keuntungan yang ketara.

    “Pasukan (SIC) masih melihat keseluruhan perkara (semakan), tetapi yang paling awal mungkin pada pertengahan tahun atau suku ketiga tahun ini, jika tidak tahun depan. Kadar sewa trek kami tidak disemak untuk masa yang agak lama, mungkin 10 tahun sekarang. Kadar semasa ialah RM55,000 (sehari) untuk hari bekerja dan RM65,000 untuk hujung minggu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif.

    Sambungnya, ““Kos kami telah meningkat dua atau tiga kali ganda dan kami tidak dapat bertahan dengan kadar semasa kerana margin kami sangat.. sangat tipis. Ini termasuk kos seperti logistik untuk membawa peralatan masuk dan keluar dari trek, kos pembersihan dan juga landskap. Kami berterima kasih kepada pelanggan sedia ada yang telah menyokong kami selama ini, tetapi mereka perlu memahami bahawa semua orang telah terjejas oleh kenaikan kos.”

    Litar Antarabangsa Sepang mungkin naikkan kadar sewa pertengahan 2023 ekoran kos operasi meningkat

    Untuk tahun ini, Azhan mendedahkan tempahan SIC hampir penuh bagi sesi hujung minggu, tetapi masih ada kekosongan untuk slot pada hari biasa. Bagi penganjuran acara pula, memandangkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 telah dilonggarkan, ini membolehkan SIC merancang dengan lebih sewajarnya.

    “Tahun lepas kami berada dalam fasa pemulihan, dan kami meramalkan satu lagi musim sukar untuk kami tahun ini. Tetapi sekurang-kurangnya tahun ini kami mempunyai lebih masa untuk merancang dan mempromosikan acara kami,” kata Azhan.

    Selain Petronas Malaysian Motorcycle Grand Prix, SIC juga bakal melaksanakan ujian musim sejuk MotoGP, Malaysian Superbike Championship, Malaysian Championship Series dan Sepang 1000KM pada tahun ini.

    “Perkembangan bagi ujian musim sejuk MotoGP yang bakal berlangsung pada 5-12 Feb ini lebih lancar pada tahun ini disebabkan SOP yang dilonggarkan. Ia adalah lebih mudah (untuk diuruskan). Kami mempunyai banyak isu pada tahun lalu termasuk begitu banyak kelulusan yang diperlukan untuk pasukan datang ke sini,” tambahnya.

     
     
  • Tujuh kesalahan trafik tidak akan dikompaun ketika Tahun Baru Cina; pesalah akan terus ke mahkamah

    Tujuh kesalahan trafik tidak akan dikompaun ketika Tahun Baru Cina; pesalah akan terus ke mahkamah

    Sempena Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan 2023 yang dilancarkan semalam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyenaraikan tujuh kesalahan utama lalu lintas yang tidak akan dikompaun oleh penguatkuasa, tetapi pesalah akan terus dihadapkan ke mahkamah sekiranya dikenakan tindakan.

    Kesalahan tersebut meliputi memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan.

    Dengan slogan “Pandu Cermat, Sampai Selamat”, Ops Bersepadu ini akan berlangsung dari 18-28 Januari 2023 dan melibatkan beberapa agensi lain yang bernaung di bawah dua kementerian itu, seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS.

    Seramai 2,000 anggota penguatkuasa JPJ akan terlibat dalam operasi tersebut, yang antara lain akan berada juga di dalam bas ekspres, pemantauan melalui Enforcement Based Station (EBS) di 14 lokasi tumpuan di sepanjang lebuhraya serta Ops Khas Motosikal.

    Pra Ops Tahun Baru Cina juga akan diadakan dari 14-17 Januari, melibatkan pemeriksaan bas ekspres di 77 buah depoh dan 28 terminal bas utama seluruh negara bagi memastikan keadaan bas layak berada di atas jalan.

     
     
  • Jurutera Mazda masih mengidam hasilkan kereta sport dengan enjin rotary, tapi sekarang bukan masanya

    Jurutera Mazda masih mengidam hasilkan kereta sport dengan enjin rotary, tapi sekarang bukan masanya

    Mazda baru sahaja mendedahkan model produksi terkini yang menggunakan enjin Wankel Rotary minggu ini iaitu MX-30 R-EV. Walau bagaimanapun, ia bukanlah seperti lazimnya sebuah Mazda dengan enjin rotary kerana model berkenaan merupakan sebuah crossover yang menggunakan motor elektrik bagi memacu roda hadapan, sementara enjin rotary 830 cc tersebut hanya berfungsi untuk mengecas bateri lithium ion seperti tugas “generator pasar malam”.

    Apa yang Mazda hasilkan ini adalah selari dengan keperluan semasa di mana industri automotif kini bergerak ke arah lebih mesra alam dan penggunaan teknologi elektrifikasi diperlukan bagi memenuhi undang-undang emisi yang semakin ketat. Namun untuk pasukan jurutera Mazda, menghasilkan kereta sport dengan enjin rotary generasi baharu masih lagi menjadi impian mereka.

    “Rotary merupakan simbol kami. Memang impian para jurutera di Mazda untuk menghasilkan kereta sport dengan enjin rotary. Tetapi sekarang bukan masanya untuk itu,” kata penolong pengurus divisi pembangunan rangkaian kuasa Mazda, Yoshiaki Noguchi dalam laporan Autocar.

    Jurutera Mazda masih mengidam hasilkan kereta sport dengan enjin rotary, tapi sekarang bukan masanya

    “Apabila situasi syarikat lebih baik [berkaitan dengan melengkapkan pelancaran model-model elektriknya], kami boleh fikirkan impian tersebut sekali lagi,” tambahnya.

    Enjin rotary yang digunakan pada unit rangkaian kuasa e-Skyactiv R-EV pada MX-30 berkenaan merupakan enjin Wankel Rotary generasi baharu yang dikenali dengan kod 8C. Ia dikatakan turut boleh digunakan dalam aplikasi lain selain bertindak sebagai enjin penambah jarak (range extender) seperti yang digunakan buat masa sekarang.

    Berbeza dengan enjin 13B dua-rotor sebelum ini, enjin 8C hanya menampilkan satu rotor dan ia turut diberikan sistem suntikan bahan api terus. Perumah rotor untuk enjin baharu ini diperbuat dari material alumnium, manakala apex seal pada setiap bucu rotor direka lebih tebal dengan ukuran 2.5 mm bagi mengatasi masalah apex seal yang selalu ‘bocor’ pada enjin-enjin rotary sebelum ini.

    Jurutera Mazda masih mengidam hasilkan kereta sport dengan enjin rotary, tapi sekarang bukan masanya

    “Ada tiga cabaran besar pada enjin rotary. Ekonomi adalah nombor satu. Dalam masa yang sama, anda perlu hasilkannya lebih ringan bagi memberikan jarak gerak lebih baik. Selepas itu perbaiki tahap ketahanan,” kata Noguchi.

    Dengan sistem suntikan bahan api terus, tahap penggunaan bahan api pada enjin rotary berkenaan adalah 25% lebih baik. Ia secara tidak langsung mengurangkan pencemaran CO2 dan ia sentiasa menghasilkan NOx pada kadar yang rendah. Nisbah mampatan juga adalah lebih tinggi pada kadar 11.9.

    Perumah rotor aluminium yang digunakan pula dapat mengurangkan berat sekitar 15 kg. Manakala pada apex seal, ia bukan sahaja lebih tebal malah disalut dengan bahan salutan baharu bagi membolehkan ia tahan lebih lama.

    Jurutera Mazda masih mengidam hasilkan kereta sport dengan enjin rotary, tapi sekarang bukan masanya

    Menurut Noguchi lagi, walaupun buat masa sekarang enjin 8C berkenaan hanya bertugas untuk mengecas bateri dengan kelajuan putaran 2,450 hingga 4,500 rpm, ia sebenarnya masih seperti enjin-enjin rotary lain yang boleh berputar pada tahap rpm tinggi dan sesuai digunakan untuk menghasilkan sebuah kereta sport.

    Mazda telah menghentikan produksi kereta sport rotary terakhirnya iaitu RX-8 sekitar 11 tahun lalu, selepas model berkenaan tidak lagi boleh melepasi ujian pencemaran yang semakin ketat. Selepas itu, jenama dari Hiroshima tersebut telah menghasilkan model konsep RX-Vision yang didedahkan di Tokyo Motor Show 2015, dikatakan gambaran bagi model produksi pengganti RX-8.

    Syarikat berkenaan turut sudah dikesan memfailkan paten bagi enjin rotary turbo baharu yang digelar sebagai SkyActiv-R pada 2016, namun sehingga kini masih lagi tiada bayangan bila kereta sport rotary generasi baharu tersebut akan diperkenalkan.

     
     
  • ANIH keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan untuk Lebuhraya KLK, LPT1 bagi Tahun Baharu Cina

    ANIH keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan untuk Lebuhraya KLK, LPT1 bagi Tahun Baharu Cina

    ANIH Berhad selaku pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) telah mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi tempoh 20-21 Januari dan 24-25 Januari 2023 untuk kedua-dua lebuhraya berkenaan sempena Tahun Baharu Cina. Seperti musim perayaan yang lain, kebiasaannya lebuhraya utama di Semenanjung Malaysia bakal mengalami kesesakan luar biasa.

    Bagi mengurangkan risiko terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di lebuhraya berkenaan, para pengguna diminta untuk merancang perjalanan ke/dari Pantai Timur sewajarnya. Justeru, ANIH menyarankan agar pengguna lebuhrayanya merujuk TTA (seperti yang dipaparkan pada imej di atas) yang dikeluarkan ini bagi kelancaran perjalanan ke destinasi yang dituju.

    Dalam masa yang sama, para pengguna dinasihati untuk memastikan baki kad dan e-Wallet Touch ‘n Go adalah mencukupi bagi pembayaran kadar tol. Dan jangan lupa untuk periksa keadaan kenderaan anda terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan. Pastikan ia selamat dipandu. Selain terus memandu dengan berhemah, patuhi saranan papan tanda trafik, had kelajuan yang ditetapkan dan ikuti arahan petugas lebuhraya demi keselamatan semua.

     
     
  • Pas MyCity kini boleh digunakan untuk perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara MRT hingga 14 Apr

    Pas MyCity kini boleh digunakan untuk perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara MRT hingga 14 Apr

    Rapid KL telah mengumumkan Pas MyCity 3-Hari dan 1-Hari kini boleh digunakan untuk perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara MRT. Ia telah dimulakan sejak 15 Januari lalu sehingga 14 April ini, kecuali bagi perkhidmatan NadiPutra.

    Ia adalah nilai tambah bagi promosi yang diumumkan sebelum ini iaitu kempen Beli 1 Percuma 1 untuk Pas MyCity 3-Hari, di mana ia memberikan peluang kepada pemilik pas untuk menggunakan perkhidmatan rel kendalian Prasarana tanpa jad untuk tiga hari. Promosi tersebut dibuka untuk rakyat Malaysia yang membeli pas berkenaan sehingga 28 Februari 2023.

    Apabila membeli Pas MyCity 3 Hari ini, anda perlu mengimbas kod QR yang tertera pada poster kempen ‘Terima Kasih’ di pejabat perkhidmatan pelanggan Rapid KL atau hab bas Rapid KL terpilih. Kemudian, ia akan menghubungkan ke aplikasi MyRapid Pulse, di mana anda perlu mengisi maklumat peribadi di laman kempen berkenaan. Maklumat lanjut mengenai kempen tersebut menerusi PAUTAN INI.

     
     
  • Toyota Hilux juara Rali Dakar dua tahun berturut-turut; Nasser Al-Attiyah rangkul gelaran ke-3 dengan Toyota!

    Toyota Hilux juara Rali Dakar dua tahun berturut-turut; Nasser Al-Attiyah rangkul gelaran ke-3 dengan Toyota!

    Pemandu rali dari Qatar, Nasser Al-Attiyah yang dibantu oleh juruarah Perancis Mathieu Baumel dengan jentera Toyota GR DKR Hilux T1+ sekali lagi bergelar juara Rali Dakar tahun ini, mempertahankan gelaran yang dirangkul pada 2022. Hilux pasukan Toyot Gazoo Racing berkenaan menamatkan peringkat terakhir rali tersebut pada 15 Januari lalu dengan mendahului 1 jam 20 min 49 saat berbanding pelumba di tempat kedua.

    Seperti tahun lalu, Rali Dakar tahun ini dilangsungkan sepenuhnya di Arab Saudi. Rali sejauh 8,500 km ini dibahagikan kepada 14 peringkat, bermula di Yanbu pada 1 Januari, dan berakhir di Dammam Ahad lalu. Nasser mengungguli empat dari 14 peringkat berkenaan, namun dengan pemanduan yang konsisten dia berjaya terus berada di hadapan dengan masa keseluruhan 45 jam 3 minit dan 15 saat.

    Tempat kedua milik juara WRC sembilan kali, Sebastien Loeb yang memandu Prodrive Hunter T1+ untuk pasukan Bahrain Raid Xtreme. Manakala tempat ketiga pula adalah milik pemandu Brazil, Lucas Moraes yang memandu Toyota Hilux T1+ pasukan Overdrive Racing.

    Toyota Hilux juara Rali Dakar dua tahun berturut-turut; Nasser Al-Attiyah rangkul gelaran ke-3 dengan Toyota!

    Rali Dakar 2023 ini juga menyaksikan empat buah Hilux berada dalam lima kedudukan teratas, termasuk dua GR DKR Hilux T1+ pasukan TGR yang dipandu Giniel de Villiers (tempat ke-4) dan Henk Lategan (tempat ke-5). Untuk Nasser, ini merupakan gelaran juara Dakar kelima buat dirinya dan ketiga dengan memandu Toyota, serta kali keempat dengan berpasangan bersama Baumel.

    “Ini merupakan perasaan yang menakjubkan! Saya perlu berterima kasih dengan ramai orang, bermula dengan setiap anggota pasukan kami. Ia merupakan dua minggu yang sukar, tetapi berupaya untuk kembali dan mempertahankan gelaran kami merupakan perkara yang hebat!” kata Nasser.

    “Saya sangat bangga dengan GR DKR Hilux T1+, dan untuk memenangi perlumbaan tiga kali bersama Toyota Gazoo Racing merupakan sesuatu yang benar-benar istimewa,” tambahnya lagi.

    Dengan kemenangan ini membolehkan Nasser mengumpul 85 mata untuk Kejuaraan Rali-Raid Dunia (W2RC). Namun mata berkenaan hanya membolehkannya berada di tempat kedua secara keseluruhan kerana Sebastien Loeb berjaya mengumpul 87 mata, hasil dari memenangi tujuh dari 14 peringkat dalam Rali Dakar.

    Abu Dhabi Dessert Challenge akan menjadi cabaran pusingan kedua untuk W2RC 2023, dan ia bakal berlangsung bermula 25 Februari hingga 2 March nanti.

     
     
  • Ops Bersepadu sempena CNY 2023 dilancar, libatkan kerjasama pelbagai agensi di bawah MOT dan KKR

    Ops Bersepadu sempena CNY 2023 dilancar, libatkan kerjasama pelbagai agensi di bawah MOT dan KKR

    Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) telah melancarkan Ops Bersepadu & Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan 2023 sempena cuti Tahun Baru Cina yang bakal berlangsung hujung minggu ini, melibatkan beberapa inisiatif. Majlis ini disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

    Dengan slogan “Pandu Cermat, Sampai Selamat”, Ops Bersepadu ini akan berlangsung dari 18-28 Januari 2023 dan melibatkan beberapa agensi lain yang bernaung di bawah dua kementerian itu, seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS.

    Seramai 2,000 anggota penguatkuasa JPJ akan terlibat dalam operasi tersebut, yang antara lain akan berada juga di dalam bas ekspres, pemantauan melalui Enforcement Based Station (EBS) di 14 lokasi tumpuan di sepanjang lebuhraya serta Ops Khas Motosikal.

    Pra Ops Tahun Baru Cina juga akan diadakan dari 14-17 Januari, melibatkan pemeriksaan bas ekspres di 77 buah depoh dan 28 terminal bas utama seluruh negara bagi memastikan keadaan bas layak berada di atas jalan.

    Selain itu, Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan juga akan dilaksanakan selama dua hari sebelum dan dua hari selepas perayaan, iaitu pada 20-21 Januari 2023 dan 24-25 Januari 2023. Ini bagi mengelak risiko berlakunya nahas jalan raya melibatkan percampuran aliran trafik antara kenderaan berat dan kenderaan penumpang.

    Tujuh kesalahan lalulintas utama juga telah dikuatkuasakan sempena Ops Bersepadu tahun ini; memotong barisan; memotong di garisan berkembar; tidak mematuhi isyarat lampu merah; memandu melebihi had laju; penggunaan telefon bimbit ketika memandu; tidak menggunakan tali atau topi keledar; dan memandu di lorong kecemasan. Semua kesalahan ini tidak hanya dikompaun, tetapi pesalah juga akan dihadapkan ke mahkamah.

    Bagi Kementerian Kerja Raya pula, Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya juga dijalankan di lokasi yang kerap berlaku kemalangan (blackspots). Pada 2022, 53 lokasi ini telah dibaikpulih melibatkan kos RM17.2 juta. Selain itu, 40 lokasi yang berisiko berlakunya kemalangan akibat jalan gelap telah dipasang lampu jalan, melibatkan kos RM4.7 juta. Jumlah blackspots yang dikenalpasti untuk tahun 2023 pula adalah 76 lokasi.

    Bagi tempoh 18-21 Januari 2023 juga, had laju di Jalan Persekutuan seluruh negara akan dikurangkan sebanyak 10 km/j kepada 80 km/j, dan 70 km/j bagi Jalan Negeri.

     
     
  • Honda Brio merupakan kereta paling laris di Indonesia sepanjang 2022; terjual 60,535 unit, RM54k-RM70k

    Honda Brio merupakan kereta paling laris di Indonesia sepanjang 2022; terjual 60,535 unit, RM54k-RM70k

    Jika di Malaysia Perodua Myvi, apa pula kereta yang paling laris di negara jiran kita, Indonesia? Untuk tahun 2022, model yang disahkan paling laris di pasaran republik berkenaan adalah hatchback segmen-A, Honda Brio!

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PT Honda Prospect Motor (HPM), sepanjang tahun lalu sebanyak 61,025 unit Brio telah terjual secara borong kepada pengedar-pengedar. Manakala angka jualan yang didaftarkan kepada pengguna pula adalah berjumlah 60,535 unit.

    Jumlah tersebut masing-masing menunjukkan kenaikan 36% untuk borong dan 34% untuk runcit berbanding jualan 2021. Ini membuatkan HPM sentiasa mengutamakan model berkenaan dalam barisan produksi, lebih-lebih lagi ketika masalah bekalan cip mikro yang berlaku.

    Honda Brio merupakan kereta paling laris di Indonesia sepanjang 2022; terjual 60,535 unit, RM54k-RM70k

    Namun kerana permintaan yang terlalu tinggi terhadap Brio serta masalah bekalan cip mikro yang belum pulih sepenuhnya, masih terdapat lagi tempahan tertangguh yang tidak dapat diserahkan kepada pelanggan.

    “Kami bersyukur bahawa permintaan untuk Honda Brio terus tinggi di sepanjang tahun 2022 lalu, sehingga kami berusaha untuk memaksimakan kapasiti produksi di kedua-dua kilang kami untuk Honda Brio,” kata pengarah inovasi perniagaan, jualan dan pemasaran HPM, Yusak Billy.

    “Kami juga menyedari bahawa kekangan pembuat komponen membuatkan kami belum dapat sepenuhnya memenuhi permintaan pelanggan sehingga kini, dan kami akan terus berusaha untuk memenuhi semua permintaan dari pelanggan secepat mungkin untuk Honda Brio dan model-model Honda yang lain tahun ini,” tambahnya lagi

    Honda Brio merupakan kereta paling laris di Indonesia sepanjang 2022; terjual 60,535 unit, RM54k-RM70k

    Honda Brio ditawarkan dalam empat tingkat varian di Indonesia bermula varian asas Brio Satya S, Brio Satya E, Brio RS dan Brio RS Ubranite Edition. Namun kesemua model berkenaan menerima enjin 1.2L i-VTEC empat-silinder yang berkuasa 90 PS dan tork maksima 110 Nm.

    Apa yang menarik, kesemua varian tersebut ditawarkan dengan kotak gear automatik CVT dan juga manual lima kelajuan termasuk untuk varian tertinggi Brio RS Urbanite Edition. Ia dijual pada harga bermula 189,700,000 rupiah (RM54k) untuk Brio Satya S M/T hingga 243,900,000 rupiah (RM70k) untuk Brio RS Urbanite Edition CVT.

    Jika di bawa ke Malaysia, Brio perlu berhadapan dengan hatchback segmen A paling laris di sini iaitu Perodua Axia. Namun dengan harga yang lebih mahal serta perincian yang tidak setara dengan Perodua Myvi, adakah anda rasa Brio boleh dijual dengan laris pada pasaran tempatan?