Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Rapid KL tawar pas percuma dengan setiap pembelian Pas MyCity 3 Hari – tawaran sah hingga 28 Feb 2023

    Rapid KL tawar pas percuma dengan setiap pembelian Pas MyCity 3 Hari – tawaran sah hingga 28 Feb 2023

    Rapid KL sedang menawarkan kempen ‘Beli 1 Percuma 1’ bagi Pas MyCity 3 Hari, yang membolehkan pemegang kad ini menggunakan rangkaian rel dan bas kendalian syarikat ini untuk tiga hari dalam satu harga. Syarikat pengendali pengangkutan awam ini berkata ia adalah sebahagian daripada kempen ‘terima kasih’ untuk rakyat Malaysia yang membeli pas ini sejak 15 Januari lalu sehingga 28 Februari 2023.

    Apabila membeli Pas MyCity 3 Hari ini, anda perlu mengimbas kod QR yang tertera pada poster kempen ‘Terima Kasih’ di pejabat perkhidmatan pelanggan Rapid KL atau hab bas Rapid KL terpilih. Kemudian, ia akan menghubungkan ke aplikasi MyRapid Pulse, di mana anda perlu mengisi maklumat peribadi di laman kempen berkenaan.

    Sekiranya berjaya, anda akan menerima surat baucar untuk menebus Pas MyCity 3 hari secara percuma menerusi e-mel yang didaftar selepas tempoh kempen ini berakhir. Pas ini terhad untuk 2,023 pelanggan pertama sahaja. Selain itu, anda juga berpeluang memenangi cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik termasuk tiket Aurum Theatre.

    Untuk menebus pas MyCity 3 Hari secara percuma ini, anda perlu ke pejabat perkhidmatan pelanggan LRT KL Sentral dan mengemukakan salinan surat baucar, serta resit asal pembelian pas MyCity 3 Hari dan juga menunjukkan MyKad anda sebagai pengesahan. Tempoh penebusan bermula 4 hingga 31 Mac ini.

     
     
  • Kerajaan Selangor setuju tambah peruntukan RM21.1 juta bagi baikpulih di lokasi cerun runtuh Batang Kali

    Kerajaan Selangor setuju tambah peruntukan RM21.1 juta bagi baikpulih di lokasi cerun runtuh Batang Kali

    Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menambah peruntukan sejumlah RM21.1 juta bagi kerja-kerja baikpulih cerun yang runtuh di Batang Kali. Ia susulan laporan bencana alam tanah runtuh yang dibentangkan oleh Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN).

    Menurut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, penambahan peruntukan bagi baik pulih cerun terbabit adalah hasil cadangan yang dikemukakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), laporan Bernama. Tambah beliau, garis panduan berkaitan aktiviti komersil termasuk tapak perkhemahan akan diusaha sama antara kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk meningkatkan keselamatan warga Selangor yang menjalan aktiviti berkaitan.

    Pada awal pagi 16 Disember 2022, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita mengenai tragedi tanah runtuh di tiga tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang menyebabkan seramai 31 nyawa terkorban.

    Laluan berkenaan telah ditutup buat sementara waktu untuk operasi menyelamat. Namun ia kembali dibuka sejak 6 Januari 2023 dan hanya laluan sementara yang melibatkan satu lorong sahaja. Ia juga terhad kepada pekerja di kawasan Genting Highlands yang mempunyai surat pengesahan majikan selain kenderaan kelas 1 (motokar, teksi dan kenderaan pelbagai guna) serta kenderaan kelas 6 (motosikal dan skuter).

    Dalam masa yang sama, JKR turut menyarankan pengguna jalan raya untuk menggunakan laluan alternatif iaitu laluan Ulu Yam-Batu Caves dan laluan Kuala Lumpur-Ipoh bagi mengurangkan risiko kesesakan.

     
     
  • BYD Atto 3 – 100 unit pertama telah dihantar kepada pelanggan di M’sia; jarak gerak 480 km; dari RM150k

    BYD Atto 3 – 100 unit pertama telah dihantar kepada pelanggan di M’sia; jarak gerak 480 km; dari RM150k

    Penghantaran bagi model BYD Atto 3 telah pun bermula di Malaysia, dengan 100 unit pertama sudah pun diserahkan kepada pelanggan dalam majlis penyerahan yang berlangsung kelmarin. Penghantarannya tidak mengambil masa yang lama selepas crossover elektrik sepenuhnya ini dilancarkan pada Disember tahun lalu.

    Seperti yang kami laporkan sebelum ini, Atto 3 telah menerima sambutan yang menggalakkan di pasaran tempatan, dengan 1,000 tempahan diperoleh sejak dilancarkan. Dengan tempahan 100 unit pertama telah dipenuhi, ia mendorong pengedar rasminya di Malaysia, BYD SD Motors Malaysia, untuk membawa lebih banyak kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) ke sini dan difahamkan lebih 500 unit bakal tiba tidak lama lagi.

    Dua varian Atto 3 ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu Standard Range (SR) dengan bateri 49.92 kWh yang memberikan jarak perjalanan 410 km (NEDC, 345 km WLTP), dan Extended Range (ER) dengan bateri 60.48 kWh, dengan jarak 480 km (NEDC, 420 km WLTP). Varian SR ini dijual pada harga RM149,800 sementara varian ER pula pada harga RM167,800.

    Kedua-duanya menggunakan bateri Blade EV oleh BYD sendiri, yang disambung kepada sebuah motor elektrik di depan dengan janaan 204 PS/310 Nm. Atto 3 boleh dicas menggunakan pengecasan AC (Type 2) sehingga 7 kW dan juga pengecasan pantas DC (CCS2), dengan kadar maksimum antara 70 kW atau 80 kW, mengikut kapasiti baterinya. Dengan input lebih tinggi, kadar pengecasan 0-80% boleh dicapai dalam masa 45 minit.

    Ciri keselamatan standard yang diberikan termasuklah roda 18-inci, bumbung suria panoramik, kluster instrumen digital lima-inci, tempat duduk balutan kulit tiruan, tempat duduk hadapan larasan kuasa, kamera 360-darjah, pemantauan tekanan tayar, brek parkir elektronik dengan penahan auto, lampu utama LED, skrin sesentuh infotainmen 12.8-inci, pendingin hawa automatik, kad kunci NFC, dashcam binaan-dalam, lapan pembesar suara, tailgate elektronik, pencahayaan ambien pelbagai-warna, penapis udara PM2.5 dan pengecas tanpa wayar bagi telefon pintar.

    Bagi aspek keselamatan, Atto 3 ini diberikan tujuh beg udara, brek parkir elektrik, enam sensor parkir, sistem pengesan tekanan tayar, ABS dan kawalan kestabilan, sistem kawalan cengkaman, EBD, kawalan menuruni curam, kawalan melayar adaptif kelajuan penuh dengan Stop & Go, brek kecemasan autonomous (AEB), amaran perlanggaran belakang (RCW), pengesan titik buta (BSD), amaran buka pintu (DOW) dan amaran lintasan trafik di belakang.

    Atto 3 didatangkan dalam lima pilihan warna — Ski White, Boulder Grey, Forest Green, Parkour Red dan Surf Blue. Crossover ini didatangkan dengan jaminan selama enam tahun atau 150,000 km, dengan jaminan bateri pula selama lapan tahun atau 160,000 km.

    GALERI: BYD Atto 3 Extended Range di Malaysia

     
     
  • PLUS keluarkan jadual cadangan perjalanan bagi tempoh 19-29 Jan sempena Tahun Baharu Cina

    PLUS keluarkan jadual cadangan perjalanan bagi tempoh 19-29 Jan sempena Tahun Baharu Cina

    Seperti kelaziman setiap kali musim perayaan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut hujung minggu ini.

    “Cadangan tersebut adalah berdasarkan analisa PLUS tentang data corak perjalanan pengguna Lebuhraya Utara-Selatan pada musim-musim perayaan yang lalu. Oleh yang demikian, TTA pada kali ini turut berperanan untuk mengelakkan kenderaan ke pelbagai destinasi bertemu di lokasi-lokasi ‘hot spot’ tertentu di lebuh raya dan terperangkap di dalam kesesakan,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

    TTA yang dikeluarkan itu mencadangkan agar pengguna Lebuhraya Utara-Selatan dari Lembah Klang yang menghala ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor di antara 19 hingga 22 Januari ini dinasihatkan supaya mula memasuki Lebuhraya Utara-Selatan sebelum jam 9 pagi untuk mengelakkan mereka daripada bertembung dengan perjalanan pengguna yang menghala ke destinasi yang lebih dekat pada cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang akan datang.

    Manakala pengguna yang menghala ke destinasi-destinasi lain yang lebih hampir dengan Lembah Klang dinasihatkan mula memasuki Lebuhraya Utara-Selatan di antara jam 12 tengah hari hingga 4 petang.

    PLUS keluarkan jadual cadangan perjalanan bagi tempoh 19-29 Jan sempena Tahun Baharu Cina

    Menurut Zakaria, saranan tersebut diberikan berikutan jangkaan sebanyak dua juta kenderaan sehari bakal menggunakan lebuh raya pada setiap hari puncak pada musim perayaan yang akan datang.

    “TTA merupakan salah satu daripada strategi pengagihan trafik yang digunakan oleh PLUS pada musim perayaan bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selamat dan lebih selesa. Namun begitu, kelancaran perjalanan trafik turut bergantung kepada kejadian-kejadian luar jangka seperti kemalangan dan sebagainya yang boleh mengganggu perjalanan di lebuh raya.

    “Oleh itu, kami menggesa orang ramai supaya menyusun jadual perjalanan mereka berdasarkan TTA yang dikeluarkan bukan sahaja bagi perjalanan untuk keluar dari Lembah Klang sebelum cuti Tahun Baharu Cina, tetapi juga bagi perjalanan mereka pulang ke Lembah Klang selepas bercuti,” jelas Datuk Zakaria.

    Dalam masa yang sama, pengguna RFID pula dinasihatkan supaya memastikan baki e-Wallet yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan di lebuh raya. “Pastikan anda masuk dan keluar dari plaza tol menggunakan mod pembayaran yang sama, iaitu jika masuk dari plaza tol menggunakan lorong RFID, anda juga mestilah keluar menggunakan lorong RFID,”tambahnya.

     
     
  • Toyota GR Yaris Sebastien Ogier & Kalle Rovanpera Edition didedahkan di Tokyo Auto Salon 2023

    Toyota GR Yaris Sebastien Ogier & Kalle Rovanpera Edition didedahkan di Tokyo Auto Salon 2023

    Toyota pernah menghasilkan Celica GT-Four Carlos Sainz Edition pada 1991 bagi meraikan kemenangan pemandu pasukan rali dunia Toyota dari Sepanyol berkenaan merangkul gelaran juara WRC pada 1990. Ya, Toyota dah buat dulu sebelum Subaru menghasilkan model Impreza Series McRae dan Impreza RB320 (Richard Burns) serta Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinnen Edition.

    Sekali lagi, sempena meraikan gelaran juara WRC yang dirangkul oleh Sebastien Ogier (2020,2021) dan Kalle Rovanpera (2022) dengan pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT), Toyota telahpun memperkenalkan model edisi terhad GR Yaris Sebastien Ogier Edition dan Kalle Rovanpera Edition ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2023 minggu lalu.

    Kedua-dua model ini walau bagaimanapun masih diperingkat konsep, dan harga, jumlah unit yang akan dihasilkan serta spesifikasi akhirnya nanti akan diumum ketika model produksi sebenarnya didedahkan kelak. Kedua-duanya juga diasaskan dari varian tertinggi GR Yaris pasaran Jepun iaitu GR Yaris RZ High-Performance.

    Toyota GR Yaris Sebastien Ogier & Kalle Rovanpera Edition didedahkan di Tokyo Auto Salon 2023

    Namun kedua-dua model edisi terhad ini menampilkan rupa luaran yang berbeza antara satu sama lain. Bagi Seb Ogier Edition, ia menerima rupa lebih matang dengan menampilkan warna badan kelabu matte, spoiler belakang lebih besar, pelekat badan berwarna hitam pada pintu, bendera Perancis pada rim aloi forged dalam kemasan hitam berkilat, dan angkup brek GR dalam kemasan biru.

    Manakala untuk juara WRC paling muda dalam sejarah, GR Yaris Kalle Rovanpera Edition menampilkan rupa yang lebih agresif dengan dipadankan spoiler belakang ‘leher angsa’ serta splitter pada bampar hadapan yang sama seperti model edisi terhad GRMN Yaris serta grafik badan merah-putih-hitam yang lebih menyerlah.

    Pada bahagian dalaman, kedua-duanya diberikan serlahan warna bendera negara asal pemandu-pemandu berkenaan; Biru, putih, merah untuk Ogier dari Perancis serta biru dan perak untuk Rovanpera yang berasal dari Finland. Plat nombor produksi unik turut akan diberikan, bersama suis pilihan mod sistem pacuan semua roda GR-Four rekaan baharu.

    Toyota GR Yaris Sebastien Ogier & Kalle Rovanpera Edition didedahkan di Tokyo Auto Salon 2023

    Kedua-dua model istimewa ini masih dijana oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo berkuasa 272 PS pada takat 6,500 rpm. Namun ia diberikan talaan tingkat taraf prestasi Kinto yang memberikan tork maksima 390 Nm bermula 3,000 hingga 4,600 rpm, atau 20 Nm lebih besar dari model standard.

    Ia juga menerima mod baharu pada sistem AWD GR-Four yang diberikan talaan unik dari Sebastien Ogier dan Kalle Rovanpera sendiri pada edisi khas masing-masing.

     
     
  • Toyota OutRun 2023 terima lebih 4,300 penyertaan – kutipan dana RM170k untuk Persatuan Kanser M’sia

    Toyota OutRun 2023 terima lebih 4,300 penyertaan – kutipan dana RM170k untuk Persatuan Kanser M’sia

    Selepas tidak diadakan selama tiga tahun, UMW Toyota Motor kembali dengan penganjuran acara larian Toyota OutRun 2023 pada Ahad lalu, 15 Januari yang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Ia melibatkan dua kategori iaitu perlumbaan kompetitif 10 km dan 5 km fun run.

    Untuk penganjuran kali kedua ini, seramai lebih 4,300 peserta telah mengambil bahagian. Dengan tema All for One, Run for All, penganjuran acara larian kali ini adalah bagi mengutip dana untuk Persatuan Kanser Kebangsaan.

    Susulan kejayaan penganjuran Toyota OutRun 2023, Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. berkata, “Kami gembira melihat sambutan dan penyertaan yang menggalakkan untuk Toyota OutRun kedua kami, yang dianjurkan pada skala yang lebih besar berikutan kejayaan acara pertama pada 2019.

    “Sebagai sebahagian daripada komitmen CSR, kami telah bekerjasama dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) untuk inisiatif tahun ini, di mana 100% daripada hasil pendaftaran bernilai
    kira-kira RM170,000, akan disumbangkan kepada mereka”.

    Selain acara larian, beberapa aktiviti lain turut diadakan termasuklah persembahan dari artis jemputan, De Fam dan kemunculan istimewa duta Toyota Yaris, Janna Nick.

     
     
  • Mazda MX-30 R-EV 2023 didedahkan – enjin Wankel Rotary kembali diproduksi untuk sistem hibrid plug-in

    Mazda MX-30 R-EV 2023 didedahkan – enjin Wankel Rotary kembali diproduksi untuk sistem hibrid plug-in

    Akhirnya, Mazda sudahpun mendedahkan model produksi sebenar yang menggunakan kembali enjin rotary di Brussels Motor Show tahun ini – memperkenalkan Mazda MX-30 R-EV 2023! Walau bagaimanapun, tugas untuk enjin rotary pada MX-30 ini bukanlah seperti pada kereta sport Mazda RX-7 terdahulu, sebaliknya ia berfungsi sebagai enjin penambah jarak dengan unit rangkaian kuasa yang dikenali sebagai e-Skyactiv R-EV.

    Dalam kata mudah, enjin rotary pada crossover ini berfungsi hanya untuk mengecas bateri bateri lithium-ion seperti “generator pasar malam”, sementara roda digerakkan sepenuhnya oleh motor elektrik. Oleh itu, MX-30 R-EV ini dibekalkan dengan enjin Wankel Rotary yang dikenali dengan kod 8C, berkapasiti 830 cc dan mampu menghasilkan 75 PS (74 hp atau 55 kW) tork maksima 116 Nm.

    Ia merupakan enjin rotary Mazda generasi baharu dan menggunakan sistem suntikan bahan api terus dan juga perumah rotor yang diperbuat dari aluminium, serta liang kemasukan dan port ekzos seperti enjin 13B Renesis pada Mazda RX-8 masih dikekalkan. Risau dengan masalah apex seal yang selalu ‘bocor’? Enjin 8C ini menerima apex seal yang lebih tebal dengan ukuran 2.5 mm.

    Enjin rotary ini masih diletakkan pada bahagian hadapan, sementara bateri lithium-ion dengan kapasti 17.8 kWj diletakkan pada bahagian bawah lantai. Manakala motor elektrik yang memacu roda hadapan pula mampu menghasilkan 170 PS (168 hp atau 125 kW) dan tork maksima 260 Nm – lebih berkuasa tetapi kurang tork berbanding MX-30 EV dengan motor 145 PS (143 hp atau 107 kW) dan 271 Nm.

    Dengan enjin rotary berada di hadapan, versi R-EV ini adalah 130 kg lebih berat dari versi EV pada 1,778 kg. Namun ia masih bolehkan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.1 saat berbanding 9.7 saat untuk model EV, dengan kelajuan maksima masih dihadkan pada 140 km/j.

    Kapasiti bateri lithium-ion yang dibekalkan tersebut juga hanya separuh dari kapasiti bateri MX-30 EV. Ini membolehkan ia menggerakkan crossover tersebut dalam jarak 85 km (110 untuk pemanduan dalam bandar) menurut standard WLTP.

    Mazda MX-30 R-EV 2023 didedahkan – enjin Wankel Rotary kembali diproduksi untuk sistem hibrid plug-in

    Namun itu merupakan jarak tanpa enjin rotary dihidupkan. MX-30 R-EV ini dibekalkan dengan tangki petrol dengan kapasiti 50 liter, dan enjin rotary tersebut menggunakan 1 liter petrol untuk jarak 100 km. Namun Mazda belum mengeluarkan angka rasmi jarak gerak gabungan bagi model ini.

    Sistem hibrid sesiri pada model ini juga mempunyai sokongan sistem pengecas plug-in (PHEV). Bateri hibrid tersebut boleh dipenuhkan dalam masa 50 minit menggunakan sistem AC 11.kW (1.5 jam dengan 7.2 kW). Ia juga menyokong pengecas pantas DC sehingga 36 kW bagi membolehkan kadar cas dipenuhkan 20-80% dalam masa 25 minit. Ia turut boleh berfungsi sebagai “powerbank” dengan port kuasa yang membekalkan 1,500 watt untuk menghidupkan pelbagai peralatan elektrik.

    Tiga mod pemanduan ditawarkan pada MX-30 R-EV ini Normal, EV dan Charge. Dalam mod Normal, ia akan memberikan operasi seakan EV biasa, tetapi akan menghidupkan enjin rotary ketika memecut.

    Mod EV pula akan menggunakan kuasa elektrik dari bateri sepenuhnya dan hanya akan menghidupkan enjin sekiranya cas hampir habis. Manakala dalam mod Charge, enjin akan dihidupkan untuk mengecas dan mengekalkan kadar cas bateri tersebut pada tahap yang pemandu tetapkan.

    Dari segi rupa, model R-EV ini nampak seiras dengan MX-30 EV. Perbezaan yang dapat dilihat adalah dari segi rekaan rim, serta ia diberikan logo tiga segi sebagai simbol untuk enjin Wankel Rotary.

    Ia juga ditawarkan dalam versi ‘Edition R’, yang menampilkan warna badan hitam bersama serlahan warna bumbung seakan Mazda R360 Coupe (kereta penumpang pertama Mazda) digandingkan dengan kemasan dalaman Maroon Rouge Metallic. Logo-logo rotor turut diberikan pada karpet kaki serta perehat kepala tempat duduk.

     
     
  • Karamjit Singh: Rali adalah hidup saya, hanya akan berhenti berlumba bila sudah tidak boleh menang

    Karamjit Singh: Rali adalah hidup saya, hanya akan berhenti berlumba bila sudah tidak boleh menang

    Tanggal 29 Januari 2023, genap 60 tahun umur legenda sukan rali tempatan, Karamjit Singh. Dalam usia yang kebanyakkan orang menganggapnya sebagai ‘umur emas’, Karamjit masih berlumba dan sentiasa mencari jalan untuk mendapatkan penaja bagi membolehkan dia terus beraksi dalam laluan Super Stage perlumbaan rali.

    Ini menyebabkan ada suara-suara yang mengatakan Karamjit perlu bersara, dan memberi peluang pada muka-muka baharu. Namun hakikatnya, Karamjit masih lagi pantas. Oktober tahun lalu Karam ke Indonesia bagi menyertai pusingan keempat Kejurnas Rally Sprint Indonesia pusingan ketiga dan keempat Kejurnas Rally Indonesia yang berlangsung Sirkuit Suwarnadwipa Nusantara, Muara Bungo, Jambi.

    Karamjit menang besar dalam perlumbaan berkenaan. Dia muncul juara untuk kelas M3 dan kelima secara keseluruhan dalam Rally Sprint, juara kelas M3 dan kelima keseluruhan dalam Kejurnas Rally pusingan ketiga, serta juara kelas M3 dan keempat secara keseluruhan dalam Kejurnas Rally pusingan keempat!

    Karamjit Singh: Rali adalah hidup saya, hanya akan berhenti berlumba bila sudah tidak boleh menang

    Di Malaysia, Karamjit baru sahaja dinobatkan sebagai juara Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) 2022, membuktikan dia masih bertahan sebagai pemandu rali paling laju dalam negara buat masa sekarang.

    Dan kesemua pencapaian ini dicapai dengan sebuah kereta lama iaitu Proton Gen2 Turbo 4WD yang berusia 15 tahun dan jauh ketinggalan dari jentera-jentera rali moden buat masa sekarang. Bayangkan sekiranya Karamjit diberikan jentera terkini dalam spesifikasi Rally2/R5 atau AP4.

    “Perlumbaan rali telah menjadi minat saya selama lebih 35 tahun. Dalam tempoh berkenaan, saya sentiasa melakukan yang terbaik kearah mencapai kejayaan untuk negara dan pasukan saya. Sekarang pada umur 60 tahun, apabila orang bertanya bila saya akan bersara, dengan mudah saya mengatakan saya akan bersara apabila saya dah tak boleh menang,” kata Karamjit Singh dalam kenyataan selepas menerima trofi MNRC 2022 di Hotel Sama-Sama, Sepang semalam.

    Karamjit Singh: Rali adalah hidup saya, hanya akan berhenti berlumba bila sudah tidak boleh menang

    “Perlumbaan rali ialah hidup saya. Ia adalah tempat di mana saya boleh memaksimakan bakat dan kepakaran saya. Ada masa-masa sukar yang perlu ditempuhi, tetapi tanpa rendah, kita tidak akan merasa tinggi. Apa yang terus memacu saya adalah sokongan peminat di Malaysia yang menyapa saya di mana sahaja. Saya tahu saya sedang buat sesuatu yang betul,” tambahnya lagi.

    Bukan hanya Karamjit seorang sahaja pelumba veteran yang masih bertanding secara kompetitif dalam usia sedemikian. Juara WRC dua kali Carlos Sainz misalnya, juga menyambut hari jadi yang ke-60 tahun ini tetapi masih berlumba dalam rali paling lasak di dunia iaitu Rali Dakar.

    Untuk tahun ini, Karamjit masih bersama dengan pasukan Cisco Racing yang telah diwujudkan bersama Rabin Nijhar pada 2021, dan terus berganding dengan juruarahnya, Jagdev Singh. Gandingan berkenaan merancang untuk bertanding dalam musim penuh MNRC 2023 bermula Jun ini, serta merancang untuk menyertai rali-rali diperingkat antarabangsa.

    Karamjit Singh: Rali adalah hidup saya, hanya akan berhenti berlumba bila sudah tidak boleh menang

    Antara rali di luar negara yang dirancang adalah untuk menyertai pusingan di Kejurnas Rali dan Rali Sprint di Indonesia, pusingan untuk APRC 2023 dan juga satu rali di India.

    Cisco Racing juga bercadang untuk menyewakan Proton Gen2 yang dipandu oleh Karamjit kepada pelumba rali dari luar negara sekiranya mereka mahu untuk menyertai mana-mana pusingan MNRC 2023 di sini. Sementara untuk Karamjit, pasukan berkenaan bercadang untuk membangunkan satu jentera baru khas untuk MNRC yang diasaskan dari kerangka Perodua Myvi generasi ketiga.

    Myvi berkenaan dirancang untuk disumbatkan dengan enjin 2.0 liter turbo bersama sistem pacuan semua roda; butirannya boleh anda baca pada PAUTAN INI. Sementera untuk rali antarabangsa, Cisco Racing bercadang untuk menggunakan jentera dari Skoda yang tidak berada disini bagi menjimatkan kos seperti kos pengangkutan dan sebagainya.

     
     
  • Toyota Mirai terawal di M’sia — 4 unit FCEV ini untuk SEDC Energy, satu lagi untuk Ketua Menteri Sarawak

    Toyota Mirai terawal di M’sia — 4 unit FCEV ini untuk SEDC Energy, satu lagi untuk Ketua Menteri Sarawak

    Akhirnya, empat unit model kereta dengan teknologi hydrogen fuel cell (FCEV), Toyota Mirai generasi kedua yang terawal di Malaysia kini telah diserahkan kepada SEDC Energy di Sarawak, bersama dengan serahan sebuah lagi Mirai kepada Ketua Menteri Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

    Ini adalah susulan kepada sebuah kereta dari model sama yang pernah dilihat di Kuching sebelum ini, dan khabar angin tentangnya untuk tiba di Malaysia dengan sendirinya disahkan, dan Sarawak menjadi yang pertama menerima unit terawal tersebut.

    Toyota Mirai menggunakan hydrogen fuel cell yang mempunyai jarak perjalanan sama seperti kereta biasa dan boleh diisi semula dalam masa hanya lima minit, dilihat mempunyai potensi besar sebagai kenderaan mesra alam yang mensisakan hanya air dalam operasinya.

    Toyota Mirai terawal di M’sia — 4 unit FCEV ini untuk SEDC Energy, satu lagi untuk Ketua Menteri Sarawak

    Ini juga adalah selari dengan usaha SEDC Energy dalam perancangan Hydrogen Economy and Electric Mobility untuk Sarawak, yang ingin dijadikan jalan rintis untuk berdepan dengan perubahan iklim. Ini merupakan satu daripada langkah untuk mewujudkan kesedaran awam terhadap banyak lagi penyelesaian yang ada dalam mobiliti.

    Untuk Toyota pula, dalam merancakkan lagi penerimaan kenderaan dengan elektrifikasi, syarikat itu telah melabur dalam melakukan R&D untuk mengkomersialkan kenderaan hydrogen fuel cell. Dengan penyerahan ini, UMW Toyota Motor dan SEDC Energy akan memanfaatkannya untuk menilai potensi teknologi berkenaan sebagai jalan untuk membangunkan ekonomi rendah karbon melalui sistem fuel cell dalam kenderaan dan mobiliti.

    UMW Toyota juga sangat menghargai usaha Sarawak Economic Development Corporation (SDEC) melalui anak syarikat milik penuhnya, SEDC Energy untuk melaksanakan aspirasi kerajaan Sarawak dalam menjadi pelopor tenaga hijau di negara ini.

     
     
  • Mazda MX-30 2023 – unit spesifikasi tempatan pertama tiba di M’sia – 145 PS, jarak gerak 199 km; RM199k

    Mazda MX-30 2023 – unit spesifikasi tempatan pertama tiba di M’sia – 145 PS, jarak gerak 199 km; RM199k

    Unit Spesifikasi tempatan pertama bagi Mazda MX-30 telah pun tiba di Malaysia, selepas beberapa bulan kenderaan elektrik (EV) ini dilancarkan pada Jun tahun lalu. Foto yang terpapar di sini merupakan varian tertinggi MX-30 EV High, yang ditawarkan pada harga atas jalan RM198,780 tanpa insurans, dan merupakan antara satu daripada dua varian yang ditawarkan – satu lagi ialah MX-30 EV Mid.

    Kuasa disalurkan dari bateri lithium-ion 355-voltan yang diletakkan di bawah lantai kenderaan dengan kapasiti tenaga mencecah 35.5 kWh, yang mampu memberikan jarak gerak hingga 199 km dalam pengecasan tunggal mengikut standard NEDC.

    Ia menjanakan kuasa kepada motor elektrik pemasangan hadapan dengan hamburan 145 PS (143 hp atau 107 kW) dan tork 271 Nm, membolehkan pecutan dari 0-100 km/j dalam 9.7 saat dan kelajuan maksimum cecxah 140 km/j. Untuk pengecasannya, MX-30 menerima AC input (Type 2) pada 6.6 kW, dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar lima jam jika menggunakan wallbox.

    Jika menggunakan palam pencucuh kuasa biasa dan pada kadar maksimum 3 kW, ia mengambil masa sekitar 12 jam untuk pengecasan penuh. Sebagai alternatif, terdapat juga pengecas pantas DC dengan soket CCS2, yang boleh menaikkan kadar bateri dari kosong ke 80% dalam masa 36 minit menggunakan input 40 kW.

    Mazda MX-30 2023 – unit spesifikasi tempatan pertama tiba di M’sia – 145 PS, jarak gerak 199 km; RM199k

    Antara kelengkapan standard luaran termasuklah lampu utama LED, DRL LED, lampu belakang kombinasi LED Signature di belakang serta lampu kabus dan lampu undur LED. Turut disediakan ialah sensor pengilap cermin dan sistem tanpa kunci, serta empat sensor parkir di depan dan enam di belakang. Kedua-dua varian menggunakan rim 18-inci dengan tayar 215/55.

    Di dalamnya, ia diberikan sistem infotainmen skrin sesentuh 8.8-inci (dengan Android Auto dan Apple CarPlay) berserta dengan paparan skrin sesentuh tujuh-inci untuk kawalan suhu – yang pertama ditawarkan oleh jenama ini. Manakala skrin ketiga pula merupakan paparan pelbagai-inco TFT LCD tujh-inci yang terletak di hadapan pemandu. Selain itu, ia turut diberikan kawalan suhu dwi-zon, brek parkir elektronik, pencahayaan dalaman LED, pedal penukar gear, paparan utama yang dipantul ke cermin hadapan serta roda stereng dan tombol gear balutan kulit.

    Untuk MX-30 EV mid pula menerima sistem audio lapan-pembesar suara, kerusi balutan fabrik, kerusi depan larasan enam-hala dan kamera undur. Varian High pula ada 12-pembesar suara dengan sistem bunyi Bose. Selain itu, varian lebih tinggi itu juga diberikan kerusi balutan kombinasi fabrik dan kulit dengan larasan lumbar dua-hala, dua momori untuk kedudukan kerusi serta fungsi pemanas. Kamera undur untuk varian ini pula memaparkan tinjauan 360-darjah, serta ada bumbung suria larasan elektrik.

    Mazda MX-30 2023 – unit spesifikasi tempatan pertama tiba di M’sia – 145 PS, jarak gerak 199 km; RM199k

    Untuk sistem keselamatan, ia dilengkapi dengan tujuh beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, Dynamic Stability Control, Traction Control dan ISOFIX. Bagi sistem bantuan pemandu, kereta ini dilengkapi dengan i-Activesense yang terdiri daripada AEB, fungsi Start/Go dengan kawalan melayar adaptif Mazda, penggera perhatian pemandu, peninjau titik buta, penggera lintasan trafik di belakang, sistem bantuan mengekalkan lorong, amaran penukaran lorong — semuanya standard untuk kedua-dua varian.

    Varian Mid datang dengan lampu depan adaptif (AFS) dan kawalan lampu tinggi, sementara varian High menerima lampu utama LED adaptif (ALH), amaran lintasan trafik depan serta sokongan melayar dan trafik (CTS).

    Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Polymetal Gray dan Machine Gray, serta pilihan dua-tona warna Jet Black Mica (dengan tiang warna perak), Zircon Sand (dengan bumbung hitam) dan Soul Red Crystal (dengan bumbung hitam). Mazda MX-30 datang dengan jaminan lima-tahun atau 100,000 km, yang mana dulu dan bateri pula dengan jaminan lapan-tahun atau 160,000 km.

     
     
  • Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023 diumumkan — pertama kali di M’sia, bakal berlangsung dari 9-11 Jun

    Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023 diumumkan — pertama kali di M’sia, bakal berlangsung dari 9-11 Jun

    Kepada peminat pameran Tokyo Auto Salon (TAS), anda bakal menikmati sebahagian daripada keseronokan itu tanpa perlu ke luar negara lagi. Malaysia akan menerima edisi pameran berkenaan bermula tahun ini, dan Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023 dijangka berlangsung dari 9-11 Jun nanti bertempat di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

    Pengumuman itu dibuat susulan majlis tandatangan antara San Ei Corporation dan penganjur acara, MUSE Group di Tokyo sebelum edisi pameran 2023 berlangsung.

    “Kami berbangga kerana telah mendapatkan lesen eksklusif bagi Tokyo Auto Salon dan berbesar hati kerana telah disenarai-pendek oleh San Ei Corporation selaku pemilik harta inteleknya, untuk menjadi rakan mereka di luar Jepun. Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur akan menjadi satu-satunya lesen francais secara langsung di bawah jenama ini di dunia. Acara tersebut dijangka akan dapat merancakkan industri lepas jualan, yang terkesan teruk akibat pandemik,” ujar CEO MUSE Group, Riduwan Matni.

    Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023 diumumkan — pertama kali di M’sia, bakal berlangsung dari 9-11 Jun

    MUSE sebelum ini pernah menganjurkan Tokyo Auto Salon Singapura pada 2013, yang menarik lebih 70,000 pengunjung. Menurut mereka, pengunjung ke pameran sama di KL nanti boleh menjangkakan untuk melihat kenderaan unik dipamerkan, serta kemunculan race queen Jepun yang sinonim dengan TAS. Syarikat itu menganggarkan sejumlah 150,000 pengunjung akan hadir ketika di KL nanti.

    Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023 akan berlangsung di MITEC pada 9-11 Jun nanti. Tiket masuk ialah RM40 sehari, dan boleh dibeli secara dalam talian, dengan tiket yang dibeli sebelum tarikh acara akan menikmati diskaun 10%. Perincian tiket akan diumumkan dalam masa terdekat.

     
     
  • PLUS jangka 2 juta kenderaan guna rangkaian lebuhrayanya pada cuti perayaan Tahun Baharu Cina

    PLUS jangka 2 juta kenderaan guna rangkaian lebuhrayanya pada cuti perayaan Tahun Baharu Cina

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan sebanyak dua juta kenderaan akan menggunakan semua rangkaian lebuhraya kendalinya pada hari-hari puncak iaitu pada 20-21 Januari dan 24 Januari 2023, bersempena dengan cuti perayaan Tahun Baharu Cina. Ia merupakan peningkatan sebanyak 20% berbanding jumlah trafik pada hari-hari biasa

    “Oleh itu, bagi menguruskan lonjakan trafik pada perayaan kali ini, PLUS telah membuat persediaan awal dan mengatur pelbagai strategi bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selamat dan lebih selesa ketika berada di rangkaian lebuh raya kami,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

    Strategi-strategi tersebut merangkumi aspek keselamatan lebuh raya, pengurusan trafik dan
    kesesakan, pengagihan trafik, keselesaan pengguna, pengurusan lalu lintas di plaza tol,
    hebahan maklumat trafik dan sebagainya.

    “Fokus kami pada perayaan hari ini adalah aspek keselamatan di lebuh raya di mana pelbagai strategi telah dikenal pasti dan akan dilaksanakan, Pada masa yang sama, kami memohon kerjasama pengguna motosikal dan pemandu kenderaan berat supaya lebih berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya sepanjang musim perayaan yang akan datang,” jelas beliau.

    PLUS jangka 2 juta kenderaan guna rangkaian lebuhrayanya pada cuti perayaan Tahun Baharu Cina

    Untuk itu, PLUS berkolaborasi dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan advokasi di lebuh raya pada musim perayaan ini.

    “Selain daripada itu, bagi meningkatkan tahap keselamatan di rangkaian lebuh raya PLUS termasuklah di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) pada musim perayaan ini, jumlah pasukan peronda lebuh raya merangkumi PLUSRonda dan LPT2 Ronda akan ditambah kepada 265 pasukan bagi membantu pengguna lebuh raya yang mengalami kerosakan kenderaan atau kecemasan. Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 9.1% berbanding hari-hari biasa,” katanya.

    Tambah beliau, pemandu juga dinasihatkan agar menggunakan mod pembayaran yang sama ketika masuk
    dan keluar dari lebuh raya. Sebagai contoh, sekiranya pengguna menggunakan mod RFID ketika masuk ke lebuh raya, mereka juga mestilah keluar dari lebuh raya melalui lorong RFID.

    “Ini dapat mengelakkan mereka terkandas di lorong tol dan memberi kesan kepada perjalanan orang lain. PLUS juga menasihatkan orang ramai supaya memastikan baki e-Wallet (bagi transaksi RFID) dan baki kad Touch ‘n Go sentiasa mencukupi untuk perjalanan mereka. Selain itu, orang ramai juga disarankan supaya menggunakan aplikasi navigasi seperti Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan dengan lebih efisien,” jelas Datuk Zakaria.

     
     
  • Peugeot Landtrek dibuka tempahan di M’sia – CBU; 1.9L turbo diesel, 4×4, 6DCT; anggaran dari RM123k

    Peugeot Landtrek dibuka tempahan di M’sia – CBU; 1.9L turbo diesel, 4×4, 6DCT; anggaran dari RM123k

    Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd (BAASB) selaku pengedar tunggal jenama Peugeot di Malaysia telah mengesahkan trak pikap saiz sederhana Peugeot Landtrek bakal dilancarkan di sini tidak lama lagi. Malahan tempahannya kini telah dibuka dengan anggaran harga bermula RM123,000. Menurut BAASB, pelancaran Lantrek di Malaysia ini juga bakal menjadi yang pertama di Asia Pasifik.

    Walau pun syarikat induk Peugoet iaitu Stellantis (entiti selepas PSA bergabung dengan FCA) kini turut telah memiliki sepenuhnya kilang Naza Automotive Manufacturing (NAM) di Kedah, iaitu hab produksi syarikat berkenaan di ASEAN, namun Landtrek ini dibawa masuk dari China (model CBU). Akan tetapi, ia juga direncanakan bakal mempunyai model pemasangan tempatan (CKD) pada masa akan datang.

    Landtrek ini sebenarnya diasaskan dari trak pikap China, iaitu Changan Kaicheng F70 yang (diperkenalkan pada 2019) dan dihasilkan untuk pasaran benua Afrika serta Amerika Latin. Walau bagaimana pun, ia telah diolah menjadi lebih bergaya, sesuai dengan era kemodenan dan keperluan masa kini.

    Trak pikap ini direka dengan muka signatur Peugeot menampilkan gril berbentuk mangkuk, bersama skrip ‘Peugoet’ di atas serta logo Singa pada bahagian tengah. Namun rekaan jalur LED ‘cakar singa’ tidak disertakan pada trak ini. ia turut diberikan lampu nyalaan siang LED berserta lampu utama LED, roda aloi 18-inci, palang sport, rel bumbung dan tailgate biasa.

    Di dalamnya, Landtrek diberikan gaya Peugeot sebenar dengan perincian-perincian yang berbeza dari Kaicheng F70. Papan pemuka Peugeot Landtrek ini direka dengan inspirasi dari sedan Peugeot 508, serta diberikan roda stereng rata di bawah. Ia turut menerima spesifikasi premium seperti sistem pendingin hawa automatik dua-zon, dan juga sistem infotaimen dengan skrin sesentuh 10-inci definasi tinggi serta sambungan Apple CarPlay/Android Auto dan hard drive 10 GB.

    Lain-lain ciri yang diberikan termasuklah tempat duduk hadapan larasan kuasa, kawalan suhu dwi-zon (dengan corong untuk tempat duduk belakang), kamera 360-darjah, upholstery kulit, paparan pelbagai-inco, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, enam beg udara, ABS, EBD, bantuan brek, ASR (kawalan cengkaman), bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, dan amaran ketibaan lorong.

    Peugeot Landtrek dibuka tempahan di M’sia – CBU; 1.9L turbo diesel, 4×4, 6DCT; anggaran dari RM123k

    Untuk pasaran Malaysia, Landtrek hanya ditawarkan dengan bentuk double-cab bersama enjin 1.9 liter empat-silinder turbodiesel yang mampu memberikan kuasa 152 PS (150 hp) pada 4,000 rpm dan tork 350 Nm dari 1,800 hingga 2,800 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi automatik enam-kelajuan yang digabungkan dengan sistem pacuan empat-roda separa-masa termasuk rear differential lock.

    Seperti mana yang disebut awal, tempahan Landtrek ini telah pun dibuka dengan harga anggaran RM123,000 dan trak pikap yang dibawa masuk dari China ini dipasang di kilang Changan di Shenzhen. Dalam segmen trak pikap untuk pasaran, Landtrek ini bakal bersaing dengan Toyota Hilux, Mitsubishi Triton, Isuzu D-Max, Nissan Navara dan Mazda BT-50.

     
     
  • Kia Sorento 2023 dipertonton di M’sia – CKD; 6 atau 7 tempat duduk, 2.5L petrol, 2.2L diesel; dari RM220k

    Kia Sorento 2023 dipertonton di M’sia – CKD; 6 atau 7 tempat duduk, 2.5L petrol, 2.2L diesel; dari RM220k

    Baru-baru ini, Dinamikjaya Motors Sdn Bhd selaku pengedar rasmi Kia bagi pasaran Malaysia telah mempertontonkan SUV Kia Sorento 2023 sempena majlis makan malam bersama pihak media. Sebelum ini, Sorento generasi ke-empat direncanakan bakal dilancarkan di pasaran tempatan pada hujung tahun lalu. Namun rancangan itu tertunda ekoran disebabkan faktor yang tidak dapat dielakkan.

    Walau bagaimana pun, Dinamikjaya Motors Sdn Bhd telah mengesahkan Sorento 2023 ini bakal dilancarkan pada suku pertama tahun ini, dan merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) yang diproduksi di kilang pemasangan milik Inokom di Kulim, Kedah.

    Ia bakal ditawarkan dengan dua jenis bentangan tempat duduk iaitu konfigurasi tujuh-tempat-duduk (bentangan 2-3-2) bagi varian asas Smartstream 2.5L MPI 2WD. Manakala bagi konfigurasi enam-tempat duduk (2-2-2) pula diberikan dua pilihan varian iaitu Smartstream 2.5L MPI 4WD dan Smartstream 2.2L Turbo CRDi 4WD.

    Kia Sorento 2023 dipertonton di M’sia – CKD; 6 atau 7 tempat duduk, 2.5L petrol, 2.2L diesel; dari RM220k

    Bagi kedua-dua varian enjin 2.5L Smartstream petrol, ia dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan yang mampu memberikan kuasa hingga 177 hp pada 6,000 rpm dan tork 232 Nm pada 4,000 rpm. Ia boleh mencapai kelajuan maksimum hingga 195 km/j.

    Manakala untuk enjin Smartstream 2.2L turbo CRDi diesel, ia ditampilkan dengan unit baharu bagi transmisi dwi-klac basah dengan lapan-kelajuan (8DCT) yang direkabentuk bagi menawarkan penukaran gear yang lebih lancar dan mampu memberikan penjimatan bahan api. Enjin ini mampu menghasilkan hingga 199 hp pada 3,800 rpm dan tork 440 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Padanan penjana kuasa ini mampu memberikan kelajuan maksimum hingga 205 km/j.

    Sorento 2023 ini dibangunkan dengan platform crossover saiz pertengahan N3 baharu dari Hyundai dan diberikan rekaan yang lebih moden serta menyerlah berbanding model sebelumnya. Ia memiliki ukuran dimensi 4,810 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,695 mm tinggi (+5 mm bagi varian diesel) dan jarak roda cecah 2,815 mm. Ia juga mempunyai jarak kelegaan tanah hingga 176 mm.

    Dengan konsep ‘refined boldness’, Sorento 2023 menampilkan imej estetika, elegan dan sporty. Bahagian hadapan Sorento 2023 kini tampil bersama gril ‘tiger nose’ interpretasi gaya baharu Kia dengan bentuk yang lebih lebar. Ia turut disepadukan bersama lampu utama yang turut menampilkan lampu nyalaan siang LED ‘tiger eyeline’ baharu.

    Kia Sorento 2023 dipertonton di M’sia – CKD; 6 atau 7 tempat duduk, 2.5L petrol, 2.2L diesel; dari RM220k

    Untuk ruang kabinnya, Kia berkata, ia diberikan kualiti material yang dipertingkatkan bagi menambah elemen sofistikated dengan gabungan kemasan metalik, upholstery kulit dan sulaman efek kayuan pada permukaan.

    Antara ciri kelengkapan yag diberikan untuk Sorento 2023 termasuklah kluster intrumen pemandu digital 12.3-inci yang dipadankan bersama sistem infotainmen 10.25-inci yang terletak di tengah papan pemuka. Selain itu, ia turut diberikan pengecas tanpa wayar bagi telefon pintar yang ditempatkan di konsol tengah, sistem bunyi BOSE®, ketersambungan Apple Carplay dan Android Auto.

    Bagi aspek keselamatan, Sorento 2023 dilengkapi dengan enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Kawalan Brek Pelbagai-Pelanggaran (MCB), Kawalan Bantuan Naik Bukit (HAC) dan cagak Isofix.

    Perincian penuh mengenai Sorento 2023 ini akan didedahkan sewaktu ia dilancarkan tidak lama lagi. Begitu juga dengan harganya, namun Dinamikjaya Motors Sdn Bhd mengesahkan tempahan bagi Sorento 2023 kini telah dibuka dan anggaran harganya bermula RM220,000 hingga RM255,000.

    GALERI: Kia Sorento Smartstream 2.5L MPI 4WD 2023

    GALERI: Kia Sorento Smartstream 2.2L Turbo CRDi 4WD 2023

     
     
  • Larangan pemanduan kenderaan barangan pada 20-21 Jan & 24-25 Jan sempena Tahun Baharu Cina 2023

    Larangan pemanduan kenderaan barangan pada 20-21 Jan & 24-25 Jan sempena Tahun Baharu Cina 2023

    Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan larangan pemanduan kenderaan barangan di jalan raya pada 20-21 Januari dan 24-25 Januari ini sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2023. Ini merupakan amalan biasa yang dilakukan setiap kali musim perayaan.

    Faktor penyebab larangan ini dibuat adalah kerana kehadiran lori berkenaan yang sering kali bergerak perlahan di jalan raya yang boleh menambahkan kesesakan lalu lintas. Selain itu, langkah ini turut diambil bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya, ujar MOT.

    Larangan pemanduan kenderaan barangan pada 20-21 Jan & 24-25 Jan sempena Tahun Baharu Cina 2023

    Terdapat tiga kategori bagi kenderaan berat dengan larangan yang dikeluarkan ini. Bagi kategori 1, ia merupakan larangan sepenuhnya. Manakala Kategori 2 pula melibatkan larangan dari 12 tengahmalam hingga 8 pagi dan Kategori 3 pula adalah larangan dari jam 6 petang hingga 6 pagi dalam jarak 25 km dari tapak pembinaan. Perincian penuh terpapar menerusi imej di atas ini.

    Walau bagaimana pun, tidak semua lori terlibat dengan larangan yang dikeluarkan. Lori komersil yang membawa barangan termasuk makanan, perubatan dan bahan api tidak termasuk dalam larangan ini dan masih dibenarkan menggunakan jalan raya seperti biasa.

     
     
  • Yamaha EZ115 dilancar untuk pasaran Malaysia – RM5.6k, model sama seperti Sirius Fi pasaran Thailand

    Yamaha EZ115 dilancar untuk pasaran Malaysia – RM5.6k, model sama seperti Sirius Fi pasaran Thailand

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini melancarkan sebuah motosikal baru, yang dipanggil sebagai EZ115 untuk pasaran Malaysia, pada harga RM5,598 tidak termasuk insurans. Ia ditawarkan dalam tiga warna dan didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km, serta kunci cakera brek secara percuma.

    Daripada pemerhatian kami, EZ115 sebenarnya adalah model yang sama seperti Sirius Fi di pasaran Thailand, dan bezanya cuma pada grafik, penutup rantai, fender belakang, cermin sisi serta penutup ekzos.

    Walaupun menggunakan nama yang bermula dengan huruf EZ, motosikal ini bukanlah sebuah skuter, sebaliknya adalah kapcai bertransmisi empat kelajuan (tanpa klac tangan), dan dipacu oleh enjin satu silinder, SOHC, suntikan bahan api, 114 cc, mampu menghasilkan kuasa 8.7 PS pada 7,000 rpm dan tork 9.5 Nm pada 5,500 rpm.

    Enjin yang mendapat penarafan Euro 4 itu boleh dihidupkan dengan menggunakan penendang kaki ataupun butang elektrik, sementara pada panel meter pula terdapat lampu penunjuk Eco serta tanda amaran bateri sekiranya bateri mula menjadi lemah.

    EZ115 juga boleh memberikan kemudahan tambahan kepada pengguna dengan menyediakan ruang simpanan di bawah tempat duduk, tetapi ia telah menjadikan tangki bahan apinya sedikit kecil berbanding Lagenda 115Z, iaitu 3.9 liter (Lagenda berkapasiti 4.05 liter).

    Bahagian lain motosikal ini dijadikan ringkas sahaja, dengan lampu masih menggunakan mentol, brek cakera hanya di depan (belakang menggunakan dram) dan rim bersaiz 17 inci dengan tayar 70/90 di depan dan 80/90 di belakang. Suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang.

    Satu lagi yang menarik berkenaan EZ115, HLYM juga mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan siri perlumbaan ‘one-make race‘ untuk EZ115 dalam Malaysian Cub Prix tahun ini. Ia dibuat bagi menunjukkan potensi motosikal yang baru tiba dalam pasaran itu.

     
     
  • Karamjit Singh kecewa dengan Proton, bakal guna Perodua Myvi 2.0L Turbo 4WD untuk rali tahun ini

    Karamjit Singh kecewa dengan Proton, bakal guna Perodua Myvi 2.0L Turbo 4WD untuk rali tahun ini

    Nama Karamjit Singh sudah sinonim dengan Proton – beliau telah mendominasi dunia rali di Malaysia sejak era 90’an serta merangkul enam kejuaraan pada peringkat Asia Pasifik dan juara Kejohanan Rali Dunia (WRC) kategori Produksi pada tahun 2002, kesemuanya dengan memandu Proton.

    Namun menurutnya sejak pengurusan Proton bertukar tangan selepas perjanjian kerjasama strategik bersama Geely pada 2017, divisi perlumbaan Proton iaitu Proton R3 sudah tidak dapat peruntukan untuk perlumbaan rali. Kecewa dengan perkembangan tersebut, hari ini Karamjit mengumumkan beliau bakal memandu Perodua Myvi untuk Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) bermula musim tahun ini.

    Kali terakhir Karamjit memandu untuk pasukan Proton R3 adalah pada tahun 2015 dengan memandu Satria Neo pacuan roda hadapan. Dengan jentera berkenaan, Karamjit telah memenangi Kejuaraaan Rali Asia Pasifik (APRC) untuk kategori 2WD pada tahun 2011 dan 2012, serta merangkul gelaran juara 2WD dalam Kejohanan Rali Malaysia dari 2013 hingga 2015.

    Beliau menyatakan bahawa R3 sudahpun membina Proton Iriz 1.6 liter turbo untuknya pada 2016, namun sehingga kini jentera berkenaan terus direhatkan di fasiliti R3 di Shah Alam dan tidak digunakan untuk berlumba walaupun sudah siap sepenuhnya.

    Karamjit Singh kecewa dengan Proton, bakal guna Perodua Myvi 2.0L Turbo 4WD untuk rali tahun ini

    Karamjit kemudiannya membeli Proton Gen2 4WD Turbo yang digunakannya buat masa sekarang pada 2017, dan sudah menghabiskan kira-kira RM500,000 untuk merestorasi semula jentera berkenaan untuk berlumba di dalam dan luar negara. Proton Gen2 tersebut sebelum ini telah digunakan oleh Felda Rally Team yang membuat kemunculan pada tahun 2007, dipandu oleh Saladin Mazlan ketika itu.

    Ia menggunakan enjin 2.0L Turbo 4G63T dan juga sistem pacuan semua roda yang diambil dari Mitsubishi Lancer Evolution VI. Namun dengan usia yang sudah mencecah 15 tahun, kerangka Gen2 berkenaan sudah “penat” dan Karamjit perlu mencari jentera lain yng lebih kompetitif.

    Beliau sebelum ini sudah cuba beberapa kali untuk berbincang dengan Proton untuk membina jentera baharu yang lebih kompetitif, namun langsung tiada jawapan yang diberikan oleh Proton. Oleh itu untuk MNRC tahun ini, Karamjit bersama pasukannya Cisco Racing bercadang untuk membangunkan sendiri jentera rali baharunya, dengan mengambil Perodua Myvi generasi ketiga sebagai asas!

    “Saya sememangnya peminat Proton. Dari tahun 1988 sampai sekarang memang saya hanya memandu kereta Proton. Tapi sayangnya, kami tak dapat sokongan dari Proton. Dari tahun 2017 saya beli kereta ni (Gen2) saya dah belanja lebih dari RM500,000 wang sendiri. Sampai wang EPF saya pun semua sudah habis,” luah Karamjit ketika majlis penyampaian hadiah MNRC 2022 di Hotel Sama-Sama, Sepang pagi tadi.

    Tambahnya, pasukannya kini memang sedang mencari penajaan untuk membangunkan kereta baru, dan bos pasukan Cisco Racing sendiri menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk melupakan Proton dan beralih ke Perodua.

    “Saya pun memang sayang nak bertukar sebab saya memang peminat Proton. Tapi apa boleh buat, mereka tidak beri sokongan kepada kami, jadi terpaksa la kami bertukar jenama,” luahnya lagi.

    Karamjit turut mendedahkan bahawa rancangannya untuk memandu Proton Iriz R5 binaan Mellors Elliot Motorsport (MEM) dari United Kingdom sebelum ini menelan belanja yang terlalu tinggi dan tidak dapat direalisasikan.

    Beliau menjelaskan bahawa tawaran paling rendah yang diberikan oleh MEM kepadanya untuk Iriz R5 berkenaan adalah RM900,000, dan ia tanpa sebarang bekalan alat ganti. Bagi pakej lengkap jentera tersebut, kosnya mencecah RM1.5 juta hanya untuk perlumbaan dalam tempoh satu tahun. Dan sekiranya jentera berkenaan digunakan untuk berlumba di semua pusingan APRC, kosnya boleh mencecah sehingga RM4 juta.

    Karamjit Singh kecewa dengan Proton, bakal guna Perodua Myvi 2.0L Turbo 4WD untuk rali tahun ini

    Menurut bos pasukan Cisco Racing, Rabin Nijhar pula, spesifikasi untuk Myvi berkenaan masih belum dimuktamadkan. Namun pasukannya bercadang untuk menghasilkan sebuah Myvi generasi ketiga dengan enjin 2.0 liter turbo dan dilengkapi sistem pacuan semua roda, dengan spesifikasi yang hampir dengan AP4.

    Namun disebabkan sasaran awal Myvi ini hanya untuk perlumbaan dalam negara iaitu MNRC, ia bukanlah jentera AP4 sebenar yang menerima homologasi dari FIA. Rabin menjelaskan untuk perlumbaan luar negara seperti pusingan APRC di Indonesia, Cisco Racing mungkin akan menggunakan jentera Skoda dari luar bagi menjimatkan kos perbelanjaan seperti kos pengangkutan dan sebagainya.

    Karamjit kemudiannya mendedahkan kos pembangunan untuk Myvi baharunya nanti akan menelan belanja paling kurang RM500,000. Dari segi spesifikasi, Karamjit menyatakan Myvi berkenaan mungkin akan disumbat dengan enjin dan sistem pacuan semua roda dari jenama lain seperti Mitsubishi atau Toyota.

    Gambar hiasan.Perodua Myvi pasukan JV Motorsport

    Namun disebabkan Perodua mempunyai kaitan rapat dengan Toyota, Karamjit memberitahu Myvi ralinya nanti mungkin akan diberikan enjin dan sistem pacuan semua roda dari Toyota. Untuk rekod, buat masa sekarang unit rangkaian kuasa Toyota dengan enjin 2.0 liter dan AWD yang memang khas dibangunkan untuk rali ialah enjin 3S-GTE yang pernah digunakan pada Toyota Celica GT-Four dan Caldina GT-Four.

    Bagi jentera rali homologasi FIA tebaharu Toyota iaitu Toyota GR Yaris, ia kini sudah beralih ke enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo yang mampu menghasilkan kuasa sama seperti 2.0L turbo, bersama sistem pacuan semua roda GR-Four.

    Karamjit juga menjelaskan bahawa ini merupakan projek Cisco Racing sendiri, dan ia boleh disiapkan dalam masa sekitar tiga bulan, sempat sebelum bermulanya pusingan pertama MNRC 2023 pada bulan Jun nanti. Walau bagaimanapun, pihaknya bakal berjumpa dengan Perodua dalam masa terdekat untuk menunjukkan konsep rekaan kereta rali tersebut dan berharap turut bakal diberikan penajaan dari jenama kereta nasional kedua itu.

    Karamjit Singh kecewa dengan Proton, bakal guna Perodua Myvi 2.0L Turbo 4WD untuk rali tahun ini

    Jika projek ini berjaya kelak, ini sebenarnya bukan kali pertama Perodua muncul dalam arena rali negara. Pada era 90’an, Perodua telah menubuhkan pasukan rali Perodua Castrol Rally Team yang diketuai oleh lagenda Gary Chua. Pasukan berkenaan telah menghasilkan jentera-jentera seperti Kancil 4WD Turbo dan Kelisa 4WD Turbo yang dipandu Kan Chee Hong untuk bertarung dengan Karamjit yang ketika itu mewakili pasukan Proton PERT.

    Malah pada tahun 2006, Kelisa 4WD Kan Chee Hong telah digantikan dengan Perodua Myvi 4WD Turbo. Jentera tersebut diasaskan dari Myvi generasi pertama dan menerima enjin K3VET 1.3 liter turbo, kotak gear dog-box dan juga sistem pacuan semua roda dari Daihatsu Boon X4.

    Apa dah jadi dengan Proton R3? Bukan sahaja rali, malah pasukan berkenaan sudah tidak berlumba dalam Sepang 1000km (S1K) dan juga Malaysia Championship Series (MCS) sejak tahun 2020. Malah pelumba pasukan tersebut yang juga juara dua kali S1K dengan Proton Iriz iaitu Farique Hairuman turut membuat penampilan pertamanya dengan Perodua Myvi pasukan JV Motorsport dalam S1K tahun lalu.

    GALERI: Proton Gen2 4WD Turbo yang dipandu Karamjit Singh

     
     
  • Karamjit Singh disahkan juara Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) 2022 pada usia 60 tahun

    Karamjit Singh disahkan juara Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) 2022 pada usia 60 tahun

    Lagenda rali tanah air, Karamjit Singh disahkan sebagai juara keseluruhan musim pertama Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) yang diadakan tahun lalu. Beliau yang kini berusia 60 tahun ditabalkan sebagai juara kejohanan tersebut bersama juru arahnya, Jagdev Singh di satu majlis yang diadakan di Hotel Sama-Sama, Sepang hari ini.

    MNRC dirancang untuk diadakan sebanyak lima pusingan untuk musim 2022. Namun dengan pelbagai kekangan, ia hanya sempat dilangsungkan dengan satu pusingan iaitu di Maran pada 30 dan 31 Julai tahun lalu. Dalam pusingan berkenaan Karamjit berjaya bergelar juara keseluruhan dan kelas P12 dengan memandu Proton Gen2 4WD Turbo yang sudahpun berusia 15 tahun untuk pasukan Cisco Racing Team.

    Dia disaing rapat oleh seorang lagi pemandu rali berpengalaman negara iaitu Haji Sutan Mustafa Salihin yang memandu Subaru Impreza WRX STI, menamatkan perlumbaan tersebut di tempat kedua dengan hanya ketinggalan 58 saat di belakang. Manakala tempat ketiga untuk kelas P12 di menenangi oleh Mohd Shahbandi Bin Mohd Desa dengan memandu Subaru Impreza WRX GC8.

    “Perlumbaan rali telah menjadi minat saya selama lebih 35 tahun. Dalam tempoh berkenaan, saya sentiasa melakukan yang terbaik kearah mencapai kejayaan untuk negara dan pasukan saya. Sekarang pada umur 60 tahun, apabila orang bertanya bila saya akan bersara, dengan mudah saya mengatakan saya akan bersara apabila saya dah tak boleh menang,” kata Karamjit Singh.

    Karamjit Singh disahkan juara Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) 2022 pada usia 60 tahun

    “Kembali ke kereta rali dengan Karamjit pada 2022, selepas lama bercuti berjaya seperti dirancang. Kami menerima tekanan untuk menang dalam penampilan semula di Maran dan kami lakukan dengan margin yang menakjubkan,” kata Jagdev Singh.

    “Saya pertama kali berpasangan dengan Karam pada 1997 dan saya perlu katakan walaupun masa telah berlalu, dia masih mempunyai segalanya untuk bergelar juara, bukan hanya peringkat tempatan tetapi diperingkat antarabangsa. Walaupun umur gabungan kami sudah mencecah 116 tahun! Tahun ini, kami sasarkan untuk menggunakan segala kemahiran dan pengalaman dengan sasaran jelas untuk memenangi rali dan kejuaraan untuk pasukan dan negara,” tambah Jagdev lagi.

    Dalam majlis yang sama, trofi turut diserahkan kepada juara untuk kategori 2WD iaitu Muhammad Ikhsan Husni yang memandu Proton Satria 1.6 kelas P10, bersama juruarahnya Teh Yie Sing.

    MNRC akan diteruskan tahun ini untuk musim kedua dengan empat pusingan, dan pusingan pertama dirancang akan berlangsung di Selangor pada Jun 2023. Ia dijangka akan menarik penyertaan dari luar negara.

     
     
  • Perodua Axia 2023 D74A — perincian awal muncul; empat varian 1.0L, semua CVT, warna baru Coral Blue

    Perodua Axia 2023 D74A — perincian awal muncul; empat varian 1.0L, semua CVT, warna baru Coral Blue

    Sebuah akaun TikTok, @promosiprotonperodua telah memuat naik sebuah video yang memaparkan apa yang kelihatan seperti lembar dokumen berkaitan Perodua Axia 2023 D74A terbaru yang dijangka akan diperkenalkan tahun ini.

    Jadual dalam dokumen berkenaan menyenaraikan empat varian Axia D74A tersebut — 1000 G CVT, 1000 X CVT, 1000 SE CVT dan 1000 AV CVT. Semuanya ditandakan dengan CVT, yang mungkin saja mencadangkan bahawa Axia terbaru itu nanti tidak lagi akan ditawarkan dengan kotak gear manual — setidak-tidaknya ketika pelancarannya.

    Jadual kedua di bawah jadual varian pula memaparkan pilihan warna yang akan ditawarkan — Ivory White solid, Glittering Silver metalik, Granite Grey metalik, Lava Red metalik dan terakhir pilihan warna baru, Coral Blue metalik. Ini mungkin biru yang berbeza daripada warna terbaru yang ditawarkan untuk Myvi, dengan nama Electric Blue metalik.

    Perodua Axia 2023 D74A — perincian awal muncul; empat varian 1.0L, semua CVT, warna baru Coral Blue

    Perodua Axia 2019 ketika ini ditawarkan dalam enam varian, bermula dengan 1.0 E Manual pada harga RM23,367 hinggalah kepada Perodua Axia 1.0 AV AT pada harga RM41,427 — ini meliputi tanda harga yang agak luas juga. Adakah model baru Axia nanti akan akan dijual pada harga permulaan yang lebih tinggi? Itu kita perlu tunggu dan lihat nanti.

    Varian unik Axia ketika ini pula diwakili oleh 1.0 Style AT, yang hadir dengan penggayaan lasak dan tinggi daripada Axia biasa.

    Di Indonesia, model Toyota Agya dan Daihatsu Ayla merupakan saudara kepada Axia. Ada khabar angin mengatakan yang model di sana akan memanfaatkan juga enjin dengan turbocas, dengan jangkaan pelancarannya pada Mac 2023. Adakah Perodua juga akan memperkenalkan Axia turbo?

    @promosiprotonperodua Wow ada warna baru utk All New Axia 2023. Mesti laku keras la lepas ini. Harap harga setanding dengan spect yang ditawarkan. #Axia2023 #peroduaaxia #promosiperoduaterkini #promosiaxia #tipsbelikereta #panduanbelikereta #fyp #fypage #fyp??viral ? Goyang Dua Jari – Sandrina

     
     
  • NATS Toyota Alphard Super Dually – MPV mewah yang ‘disumpah’ menjadi trak pikap dipamerkan di TAS 2023

    NATS Toyota Alphard Super Dually – MPV mewah yang ‘disumpah’ menjadi trak pikap dipamerkan di TAS 2023

    Ingat lagi Toyota Alphard yang sedang diubahsuai oleh pelajar Nihon Automotive College (NATS) di Jepun untuk menjadi trak pikap dalam laporan kami pada September tahun lalu? Pikap gergasi yang digelar sebagai Toyota Alphard Super Dually tersebut kini sudahpun siap dan ia telah dipamerkan di Tokyo Auto Salon 2023 yang bermula hari ini!

    Trak pikap ini sebenarnya diinspirasikan dari trak pikap low rider bersaiz penuh dari Amerika Syarikat seperti Ford F-350, dan sebab itulah ia diberi nama sebagai Alphard Super Dually.

    Untuk menghasilkannnya, pelajar-pelajar kolej berkenaan telah memotong badan Alphard tersebut bermula pada bahagian belakang pintu gelangsar, bagi memberikan ruang kabin yang masih luas, dan memberikan rupa seakan badan “crew cab” pada Ford F-350. Ini juga membolehkan sistem suspensi belakang jenis bebas pada Alphard berkenaan masih boleh digunakan.

    NATS Toyota Alphard Super Dually – MPV mewah yang ‘disumpah’ menjadi trak pikap dipamerkan di TAS 2023

    Badan MPV tersebut dipotong di atas sebuah jig, bagi memastikan bahagian belakangnya kekal tegak ketika disambung semula. Pelajar-pelajar NATS ini telah menghasilkan kerangka baharu bagi menjadikan ia sebahagian dari casis yang dipanjangkan.

    Pelajar-pelajar NATS berkenaan mengambil bed dari Toyota Hilux bagi menghasilkan bed belakang Alphard berkenaan. Manakala untuk cermin kabin belakang, ia diubah dari pintu hatch yang diambil dari Toyota Probox. Lantai bed berkenaan dihasilkan dari kayu, manakala tangki untuk sistem suspensi udara sengaja didedahkan tanpa sebarang penutup, dan dihiasi kapas yang nampak seperti kabus.

    Secara asasnya, Alphard memang lebih lebar dari Hilux. Jadi bed belakang tersebut turut diberikan fender belakang custom yang lebih lebar dan turut boleh memuatkan rim gergasi seakan rim berkembar pada trak pikap Dually Ford. Disebabkan tiada lagi rel untuk pintu belakang, pintu berkenaan tidak lagi dibuka secara gelangsar sebaliknya kini dibuka secara “suicide door”.

    NATS Toyota Alphard Super Dually – MPV mewah yang ‘disumpah’ menjadi trak pikap dipamerkan di TAS 2023

    Perincian lain yang turut diberikan bagi membolehkan ia nampak seperti trak Amerika sebenar, ia turut diberikan lampu penanda pada bumbung dan juga cermin sisi bersaiz besar. Badan Alphard Super Dually ini disudahkan dengan semburan warna biru.

    Dalam kabin, ia masih mengekalkan segala perincian asal Alphard termasuk papan pemuka, roda stereng, konsol terowong tengah, panel pintu, tempat duduk hadapan, malah tempat duduk kapten larasan berkuasa pada baris kedua juga masih ada.

    Namun ada beberapa bahagian pada Alphard Super Dually ini masih kelihatan seperti ‘tak siap’. Antaranya panel di bahagian tempat duduk belakang dan juga bahagian cermin suku depan yang diubah kepada panel besi kedua-duanya masih belum diberikan sebarang balutan atau panel pelindung, dan juga pada kawasan corong pengisian petrol pada bed belakang yang dipotong dan dikimpal dengan tidak kemas.

    Setiap kenderaan yang dibawa oleh pelajar NATS ke Tokyo Auto Salon ini merupakan projek akhir bagi mereka yang mengambil jurusan Customize di kolej berkenaan.

    Untuk pengetahuan anda, NATS mempunyai 750 orang pelajar yang menuntut dalam empat jenis kursus pada satu-satu masa. Secara asas, kesemua pelajar perlu mengambil Kursus Penyelenggaraan selama dua tahun bagi melayakkan mereka diiktiraf sebagai mekanik kelas 2 di Jepun.

    Kemudian, mereka boleh memilih untuk menyambung pengajian dalam tiga kursus berbeza iaitu Sukan Permotoran (setahun), Customize (setahun) atau Penyelidikan (dua tahun). Bagi projek jurusan Customize seperti Alphard Super Dually ini, ia dimulakan pada bulan Julai (kursus asas bermula bulan April dan berakhir pada Jun) dan mereka mempunyai masa selama setengah tahun sebelum TAS berlangsung pada Januari tahun berikutnya.

    Selepas dipamerkan di TAS, kenderaan ini akan menjalani ujian yang diselia oleh jabatan pengangkutan jalan negara berkenaan. Setelah diluluskan untuk digunakan secara sah di atas jalan raya, pelajar-pelajar berkenaan perlu mengujinya pada jalan raya sebenar yang digelar “Test Run Caravan”. Lengkap kesemua proses ini, barulah mereka diiktiraf lulus dan boleh menamatkan pengajian di NATS.