Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Kemalangan di Bukit Merah-Taiping Utara Lebuhraya PLUS – kesesakan di kedua-dua arah sehingga 3 km

    Kemalangan di Bukit Merah-Taiping Utara Lebuhraya PLUS – kesesakan di kedua-dua arah sehingga 3 km

    Pada pukul 3.15 PM tadi satu kemalangan telah terjadi di KM 195.6 arah Selatan Lebuhraya Utara Selatan (Bukit Merah-Taiping Utara) membabitkan sebuah lori yang separa terbalik merentangi kedua-dua arah lebuhraya berkenaan.

    Tiada sebarang perincian berkenaan kemalangan tersebut, namun Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyatakan kesemua lorong arah Utara ditutup sepenuhnya, manakala untuk yang menghala ke selatan lorong kanan telah ditutup. Ini telah menyebabkan kesesakan trafik berlaku sepanjang 1 km ke arah Selatan dan 1.7 km ke arah utara.

    Kemaskini pada pukul 4.15 petang tadi menunjukkan lorong-lorong yang sama masih ditutup, manakala trafik arah Utara dilencongkan ke RnR Gunung Semanggol. Trafik juga dilaporkan semakin sesak dengan kesesakan sepanjang 1.6 km ke arah Selatan dan 3 km ke arah Utara.

    Jadi untuk mereka yang sedang merancang perjalanan dan perlu menempuh jalan ini, tangguh dahulu perjalanan anda atau gunakan jalan alternatif untuk ke destinasi.

     
     
  • Stesen Petronas di R&R Simpang Pulai (U) ditutup hingga 12 Jan untuk kerja penyelenggaran – PLUS

    Stesen Petronas di R&R Simpang Pulai (U) ditutup hingga 12 Jan untuk kerja penyelenggaran – PLUS

    Bagi yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke arah utara, PLUS Berhad memakkumkan stesen Petronas di kawasan R&R Simpang Pulai di Perak (arah utara, selepas Ipoh) sedang ditutup sehingga Khamis, 12 Januari 2023 untuk kerja penyelenggaran.

    Penutupan ini hanya melibatkan stesen minyak Petronas sahaja dan tidak membabitkan keseluruhan kawasan R&R terbabit yang masih kekal beroperasi seperti biasa. Jika sudah terbiasa mengisi minyak di situ, apa kata anda ke stesen minyak arah utara yang terhampir iaitu di RTC Gopeng, di KM291.6, sebelum Simpang Pulai.

    Apa pun, sila tingkatkan fokus pemanduan, terus berhati-hati di jalan raya dan berehat seketika di kawasan R&R berhampiran sekiranya keletihan atau mengantuk.

     
     
  • BMW M340i dan 330Li facelift 2023 tiba di Malaysia Mac ini – varian LWB miliki suspensi lebih selesa

    BMW M340i dan 330Li facelift 2023 tiba di Malaysia Mac ini – varian LWB miliki suspensi lebih selesa

    Semalam BMW Group Malaysia telah melancarkan barisan BMW 3 Series facelift untuk pasaran tempatan, dan kita menerima LCI G20 dalam varian 320i, 330i dan 330e, kesemuanya eksklusif dalam kemasan M Sport. Tiada model M Performance atau varian jarak roda panjang (LWB) diperkenalkan dalam majlis pelancaran,namun difahamkan ia bakal tiba di Malaysia pada Mac 2023.

    Ini bermakna varian M304i dan 330Li akan berada di bilik pameran tidak lama lagi. Sebelum ini, varian M340i xDrive yang dijual di sini adalah dari barisan G20, sementara model M Performance yang bakal tiba pula diposisikan di bawah M3.

    M340i merupakan satu-satunya varian dari 3 Series yang memiliki enjin 3.0 liter petrol enam-silinder dengan kuasa 374 PS dan tork 500 Nm dari 1,900 hingga 5,000 rpm. Seperti namanya, ia juga adalah xDrive AWD. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam 4.4 saat menjadikannya sebagai sedan sport padu.

    Unit enam-silinder tersebut disepadukan dengan sistem hibrid ringkas 48-voltan. Starter-generator berkeupayaan menyalurkan 11 PS, membantunya dengan penjanaan semula tenaga brek dan membekalkan sistem elektrikal 12-voltan.

    Rupa M Sport standard cukup agresif, jadi ia tak banyak berbeza dengan M Performance. Kelihatan jejaring pada gril ‘kidney’, kemasan ekzos trapezoidal, spoiler belakang yang nipis dan perumah cermin sisi M dalam rona hitam berkilat yang merupakan ciri baharu bagi facelift ini. Selain itu, pakej “Pro” turut menambah kemasan luar yang lebih banyak hitam dan kaliper brek merah.

    Manakala 330Li pula kini memiliki jarak roda yang lebih panjang sebanyak 110 mm (2,961 mm) dan ketinggiannya juga dipertingkatkan sebanyak 6 mm, kini 2,961 mm. Dengan jarak yang lebih panjang antara roda, bahagian penumpang belakang menerima penambahan sebanyak 42 mm bagi ruang kaki.

    Model pre-facelift bagi 330Li yang dijual di sini adalah dalam bentuk M Sport, tetapi kini 3 Series dengan jarak roda standard ditampilkan dengan M Sport secara eksklusif. BMW Malaysia turut memberikan isyarat bahawa 330Li mungkin akan diberikan larasan yang lebih lembut dan selesa.

    Buat masa ini, pasaran kita telah menerima barisan 3 Series facelift dalam bentuk 320i, 330i dan 330e PHEV, masing-masing ditawarkan pada harga RM283,800, RM317,800 dan RM298,800. Agak-agak berapa pula harga yang bakal ditawarkan buat M340i dan 330Li facelift 2023?

    GALERI: BMW M340i xDrive facelift

    GALERI: BMW 330i M Sport 2023

    GALERI: BMW 320i M Sport 2023

    GALERI: BMW 330e M Sport 2023


     
     
  • Hyundai Ioniq 5 dipasang di Singapura — unit CKD untuk edisi First 100 lengkap dengan lencana khas

    Hyundai Ioniq 5 dipasang di Singapura — unit CKD untuk edisi First 100 lengkap dengan lencana khas

    Hyundai Ioniq 5 akan dipasang di Singapura, bermula dengan Ioniq 5 First 100 edisi terhad bagi pasaran Singapura, dan akan dipertontonkan ketika Singapore Motor Show yang bakal berlangsung dari 12-15 Januari 2023.

    Ini akan dilakukan di Hyundai Motor Group Innovation Centre (HMGICS) yang terletak di Jurong Innovation District (JID), yang mana Hyundai memaklumkan akan memasang sejumlah 30,000 kenderaan setahun.

    Ioniq 5 First 100 akan dibezakan dengan perincian seperti penggunaan warna cat luaran Gravity Matte Gold, warna ruang dalaman Dark Pebble Grey, lencana “First 100”, kesan cetak “First 100” di kerusinya, serta nombor plat khas bagi 100 unit yang dipasang di Singapura ini.

    Hyundai sedang menerima pendaftaran minat bagi EV edisi terhad ini untuk pasaran di sana, dan bidaannya akan dimulakan pada 2.30 pm esok.

    Di Malaysia, Ioniq 5 dilancarkan pada Mac 2022 dan dijual dalam tiga varian dengan harga bermula RM207,808 untuk Lite; RM238,408 untuk Plus; dan RM270,408 untuk Max. Varian Lite dan Plus menggunakan bateri 58 kWh dan motor elektrik tunggal 170 PS/350 Nm yang memacu tayar belakang, sementara Max memanfaatkan bateri 72.6 kWh dan dwi-motor 305 PS/605 Nm pacuan semua roda.

    Untuk pasaran di sini juga, kumpulan Ioniq 5 bagi model tahun 2023 telah dilihat dengan beberapa perbezaan perincian berbanding model tahun 2022, misalnya tiada lagi bumbung solar dan penambahan ciri head-up display (HUD) untuk pemandu.

    Di Eropah pula, kemaskini terbaru Ioniq 5 diumumkan Februari lalu untuk model tahun 2023. Ini termasuklah bateri lebih besar, 77.4 kWh untuk varian tertinggi, dengan adanya tambahan dua modul bateri di dalam pek baterinya.

    Kemaskini tersebut disertai juga oleh pilihan Digital Side Mirrors, atau kamera yang menggantikan cermin biasa, yang menyediakan paparan video pada bahagian dalaman pintu, serta pilihan untuk Digital Centre Mirror (DCM).

     
     
  • Mitsubishi Malaysia jual 24k unit kenderaan sepanjang 2022; jenama bukan nasional no.3, naik 37.3%!

    Mitsubishi Malaysia jual 24k unit kenderaan sepanjang 2022; jenama bukan nasional no.3, naik 37.3%!

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan bahawa ia berjaya menjual sebanyak 24,017 unit kenderaan dari Januari sehingga Disember 2022. Angka yang cukup memberangsangkan ini menunjukkan syarikat tersebut berjaya menjual kenderaan 37.3% lebih banyak berbanding tempoh sama pada 2021.

    Malah rekod ini juga membolehkan Mitsubishi berada di tempat ketiga dalam carta jualan jenama bukan nasional di Malaysia untuk 2022, dengan pegangan pasaran sebanyak 3.3%.

    Angka jualan yang tinggi ini dipacu oleh MPV tujuh-tempat duduk Mitsubishi Xpander dengan jualan berjumlah 14,316 unit, naik 93.5% berbanding jumlah jualan pada 2021 dan mewakili 59.6% dari jualan keseluruhan MMM untuk 2022. Syarikat berkenaan turut mendakwa bahawa Xpander masih kekal antara crossover tujuh-tempat duduk Jepun paling laris di Malaysia.

    Mitsubishi Malaysia jual 24k unit kenderaan sepanjang 2022; jenama bukan nasional no.3, naik 37.3%!

    Trak pikap Mitsubishi Triton juga masih memberikan jualan yang besar buat MMM dengan 9,697 unit berjaya dihantar ke pemilik baharu sepanjang 2022. Jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan jualan sebanyak 4.6% berbanding 2021 dan mewakili 40.4% dari jumlah jualan keseluruhan 2022. Angka tersebut cukup untuk menempatkan Triton di tempat kedua untuk trak pikap paling popular di Malaysia.

    “MMM berbesar hati setelah mencapai rekod prestasi jualan tertinggi pada 2022, dan kami mengucapkan terima kasih kepada setiap pelanggan Mitsubishi di seluruh negara atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi. Salah satu pencapaian penting kami pada tahun ini ialah kami meraikan trak pikap Triton yang mencapai pencapaian jualan 100,000 unit di Malaysia sejak penubuhan MMM pada tahun 2005,” kata CEO MMM Shinya Ikeda.

    “Dari segi produk, kami juga gembira dengan berita baik pada penghujung tahun lepas kerana Triton milik Pasukan Mitsubishi Ralliart merupakan pemenang keseluruhan Asia Cross Country Rally (AXCR) walaupun pertama kali menjadi peserta perlumbaan tersebut pada November.

    Mitsubishi Malaysia jual 24k unit kenderaan sepanjang 2022; jenama bukan nasional no.3, naik 37.3%!

    “Kereta Rali Triton dibina berdasarkan Triton produksi jalan raya, dengan hanya sedikit pengubahsuaian pada berat badan dan peralatan keselamatan untuk pertandingan. Semua elemen seperti prestasi tinggi, ketahanan, keselesaan dan pengendalian yang baik telah diadaptasi ke produk asal di pasaran. Kini setiap pelanggan Mitsubishi Motors dapat merasakan DNA sukan permotoran dalam model mereka,” katanya lagi.

    “Kami juga berterima kasih kepada rakan kongsi perniagaan kami atas sokongan padu mereka. Tahun lepas, 91% pengedar kami menaik taraf cawangan mereka dengan identiti visual (VI) baharu untuk pengalaman pelanggan yang lebih baik. Menjelang tahun 2023, Mitsubishi Motors sedang memulakan perubahan ke arah yang lebih baik, dan pengalaman pemilikan dengan standard tertinggi. Kami berharap untuk meneruskan trajektori menaik dan mencapai pertumbuhan masa depan bersama-sama,” tambah Ikeda.

     
     
  • Honda Cub e: – Super Cub legenda versi elektrik diperkenal bersama DAX e: & Zoomer e: di China

    Honda Cub e: – Super Cub legenda versi elektrik diperkenal bersama DAX e: & Zoomer e: di China

    Masuk ke era kenderaan elektrik penuh (EV), nampak motosikal kecil dari Honda iaitu Super Cub masih terus kekal dalam pasaran – memperkenalkan Honda Cub e: iaitu motosikal elektrik penuh yang diispirasikan dari moped Super Cub! Model ini diperkenalkan sekali dengan Honda DAX e: dan Zoomer e:, versi elektrik dengan dua lagi motosikal kompak ikonik Honda iaitu DAX dan Zoomer.

    Walau bagaimanapun, Cub e:, DAX e: dan Zoomer e: ini buat masa sekarang dihasilkan khas untuk pasaran China. Honda masih belum mengumumkan sebarang spesifikasi berkenaan ketiga-tiga model ini, tetapi ia disahkan diklasifikasikan sebagai EB (Basikal Elektrik) di China yang dihasilkan dengan kelajuan maksimum di bawah 25 km/j.

    Dengan mengambil inspirasi dari rekaan model-model funky dan ikonik sebelum ini yang digabungkan dengan perincian serta kelengkapan terkini, ketiga-tiga EB baharu Honda ini disasarkan untuk menawarkan nilai-nilai baharu serta lebih kejutan kepada pembeli-pembeli muda di China.

    Honda Zoomer e: (kiri) dan DAX e: (kanan)

    Tiga model baharu EB ini juga merupakan permulaan untuk rancangan Honda bagi memperkenalkan lebih dari 10 motosikal elektrik untuk pasaran global menjelang 2025. Ia juga merupakan sebahagian dari rancangan Honda untuk memperkenalkan lima model EB dan Motosikal Elektrik (EM) dari sekarang hingga 2024 ke pasaran Asia, Eropah, Jepun dan China.

    Namun Honda turut mengesahkan bahawa tiga model EB baharu ini tidak akan dilancarkan ke pasaran Jepun.

     
     
  • Dijangka 1.2 juta penumpang sehari apabila MRT Laluan Putrajaya dibuka sepenuhnya – CEO Prasarana

    Dijangka 1.2 juta penumpang sehari apabila MRT Laluan Putrajaya dibuka sepenuhnya – CEO Prasarana

    Prasarana Malaysia Berhad menjangkakan sejumlah 1.2 juta penumpang sehari yang bakal menggunakan perkhidmatan rel dan bas kendaliannya pada 2023 berikutan pembukaan sepenuhnya Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya pada Mac ini, berbanding 772,000 penumpang pada tahun lalu.

    Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd Azharuddin Mat Sah, ia dianggarkan memanfaatkan sebanyak 100,000 penumpang pada setiap hari untuk tahun pertama ia dibuka sepenuhnya dan dijangka meningkat dari tahun ke tahun. “Pembukaan sepenuhnya Laluan Putrajaya akan menjadi satu kejayaan penting bagi Prasarana pada tahun ini,” katanya menerusi laporan Bernama.

    Mengenai tarikh pembukaan fasa dua, beliau berkata ia akan diumumkan oleh kontraktor dan pemaju rel, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp). Jelasnya, ia adalah satu daripada prasyarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa untuk menguji serta mengukur keberkesanan sistem tersebut sebelum kelulusan untuk dibuka sepenuhnya akan diberikan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

    “Prasarana sebagai pengendali rel akan mengambil alih tugas selepas MRT Corp menyerahkan aset ini kepada kami,” katanya.

    Keseluruhan Laluan Putrajaya akan merangkumi 57.7km yang terdiri daripada 36 stesen dari Kwasa Damansara ke Putrajaya, meliputi kawasan berkepadatan tinggi seperti Bandar Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, Persiaran KLCC, Kuchai Lama, Seri Kembangan, Cyberjaya, dan Putrajaya.

    Dijangka 1.2 juta penumpang sehari apabila MRT Laluan Putrajaya dibuka sepenuhnya – CEO Prasarana

    Mengenai fokus pada 2023, beliau berkata Prasarana berhasrat untuk meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan terutamanya bagi sistem rel. Sehubungan itu, beliau berkata pengguna pengangkutan awam boleh mengharapkan pergerakan waktu puncak yang bertambah baik susulan kekerapan tren ditingkatkan kepada tahap yang boleh diterima.

    “Mengenai LRT Laluan Kelana Jaya, kebanyakan tren di laluan itu sedang menjalani program pemeriksaan dan baik pulih khas,” katanya sambil memaklumkan hanya tren yang sesuai dan selamat akan dilepaskan untuk beroperasi.

    Beliau berkata melalui penambahan tren baharu, kekerapan tren akan ditingkatkan kepada tiga minit pada September 2023 manakala bagi MRT Laluan Kajang, kekerapan waktu puncak akan ditingkatkan kepada empat minit pada Ogos tahun ini.

    “Ia adalah hasil daripada penggantian roda yang progresif mulai Jun 2022 hingga Disember 2024 berikutan kerosakan pada roda yang lebih awal daripada dijangka,” katanya.

    Bagi KL Monorel pula, kekerapannya akan ditingkatkan kepada lima minit pada suku keempat tahun kewangan 2023.

    “Sejak 23 Mei 2022, kita menggunakan tren empat gerabak dalam perkhidmatan. Usaha itu yang diteruskan pada tahun ini akan menyumbang kepada kecekapan tinggi serta kebolehpercayaan yang lebih baik,” katanya.

     
     
  • BMW Motorrad K1600B 2023 di M’sia — 1,649 cc enam-silinder sebaris, 160 hp/180 Nm, berharga RM173,500

    BMW Motorrad K1600B 2023 di M’sia — 1,649 cc enam-silinder sebaris, 160 hp/180 Nm, berharga RM173,500

    Sebuah lagi model kenderaan yang diperkenalkan oleh BMW Motorrad hari ini ialah motosikal touring BMW Motorrad K1600B 2023 ketika majlis pengenalan BMW 3 Series. Pembaharuan yang terlibat antaranya kini motosikal berkenaan memenuhi piawaian Euro 5.

    Kuasa dijana oleh enjin 1,649 cc enam-silinder sebaris yang menghasilkan 160 hp pada 6,750 rpm dan 180 Nm pada 5,250 rpm (5 Nm lebih tinggi berbanding sebelumnya). Semua output disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear enam-kelajuan dan shaft final drive, dengan bantuan undur.

    Dari segi kelengkapan, kemaskini terbaru ini menyaksikan ciri paparan instrumen TFT LCD warna penuh bersaiz 10.25-inci disertakan, membolehkan sambungan kepada telefon pintar dan peta navigasi bersepadu menggunakan aplikasi BMW Motorrad Connected. Ciri bantuan tunggangan terdiri daripada kawalan cengkaman dinamik (DTC), tiga mod tunggangan — Rain, Road dan Dynamic — dan kawalan brek enjin.

    BMW Motorrad K1600B 2023 di M’sia — 1,649 cc enam-silinder sebaris, 160 hp/180 Nm, berharga RM173,500

    Senarai lain termasuklah kawalan mula mendaki, tinjauan tekanan tayar, pemanas pelana dan pemegang serta lampu LED (termasuk yang menerang bahagian bawah motosikal) dengan lampu belokan adaptif.

    Suspensi K1600B adalah dari sistem Duolever BMW dengan strut gegelung tengah di depan, sementara di belakang menggunakan swing arm Paralever sebelah, masing-masing memberikan jarak gerak suspensi 115 mm dan 125 mm di depan dan belakang.

    Brek pula menggunakan cakeran 320 mm dengan kaliper empat-piston di depan, sementara di belakang dengan cakera 320 mm tunggal dengan kaliper dua-piston. Tidak ketinggalan, Integral ABS Pro diberikan sebagai ciri standard untuk K1600B,

    Sama seperti sebelum ini, K1600B 2023 menampilkan ciri penyerap hentak kawalan elektronik dan tahapan beban automatik. Tinggi pelana adalah 750 mm, dengan berat 344 kg, dengan kapasiti bahan api 26.5 liter.

    Pakej Comfort bagi motosikal ini menawarkan sistem tanpa kunci, sistem kunci sentral, quickshifter dan penggera anti-kecurian. Pakej Tour pula datang dengan sistem audio, lampu depan bantuan LED dan palang pelindung enjin.

    Dilancarkan awal tahun ini, BMW Motorrad K1600B 2023 dijual pada harga RMRM173,500 atas jalan tidak termasuk insuran. Ini termasuk jaminan tiga-tahun untuk kecatatan pengilangan dan tiga-tahun untuk program bantuan tepi jalan.

     
     
  • MINI Electric 2023 terima bumbung panoramik, warna baru, pemanas kerusi di M’sia — bermula dari RM194k

    MINI Electric 2023 terima bumbung panoramik, warna baru, pemanas kerusi di M’sia — bermula dari RM194k

    MINI Electric (atau MINI Cooper SE) telah diberikan sedikit kemaskini bagi tahun 2023 di Malaysia. Ini didedahkan bersekali ketika majlis pengenalan model BMW 3 Series facelift dan skuter elektrik CE04 hari ini.

    Kemaskini yang dilakukan pada model MINI Electric adalah termasuk pertambahan ciri bumbung panoramik serta pemanas untuk kerusi depan, dan selebihnya sama sahaja dengan penawaran sebelumnya. Ada juga warna baru ditawarkan, Nanuq White yang menyertai pilihan warna sedia ada White Silver dan Midnight Black.

    Sebelum ini, model sama dilaporkan menerima peningkatan harga untuk tahun 2023 melibatkan RM7,900 bermula 1 Januari lalu, maka kemaskini dan pertambahan kelengkapan ini mencerminkan perkara itu. Ketika ini, MINI Electric dijual pada harga RM193,834 atas jalan tidak termasuk insuran, dan termasuk sekali jaminan dua-tahun standard. Dengan tempoh jaminan itu dilanjutkan kepada empat tahun dan juga pakej servis, harganya menjadi RM199,164.

    MINI Electric 2023 terima bumbung panoramik, warna baru, pemanas kerusi di M’sia — bermula dari RM194k

    Turut ada pilihan untuk pelanggan yang tidak mahukan ciri head-up display dalam model MINI ini, dengan harga jualannya RM191,546 (atau RM196,876 dengan lanjutan tempoh jaminan dan pakej servis).

    Selain perubahan yang dinyatakan, kelengkapan standard model ini kekal sama dengan versi facelift 2021, termasuklah lampu depan LED adaptif, sistem tanpa kunci, pengawal pendingin dwi-zon, cermin anti-silau, kerusi balutan kulit buatan, Park Assist, head-up display, kluster instrumen digital lima-inci, MINI Navigation System dengan skrin tengah 8.8-inci dengan Apple CarPlay, sistem bunyi Harman Kardon dengan 12 pembesar suara, pengecas tanpa wayar Qi dan kamera undur.

    Bagi pakej Driving Assistant, yang termasuk ciri AEB, pengesanan papan tanda trafik dan amaran penukaran lorong terus ditawarkan, bersama dengan enam beg udara, kawalan kestabilan dan ISOFIX.

    Sistem janaan kuasa elektriknya juga kekal sama, dengan motor elektrik di depan menghasilkan 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan 270 Nm tork, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat dan laju maksimum 150 km/j. Bateri lithium-ion pula berkapasiti 28.9 kWh yang memberikan jarak perjalanan sejauh 232 km mengikut kitaran WLTP. Pengecasan boleh dibuat menggunakan input AC (11 kW, Type 2) dalam masa 3.5 jam, atau pengecasan pantas DC (50 kW, CCS2) untuk 10-80% dalam masa 36 minit.

     
     
  • PDRM tawar diskaun saman 50% pada 13-14 Jan di Restoran Jejantas, R&R Ayer Keroh, Lebuhraya PLUS

    PDRM tawar diskaun saman 50% pada 13-14 Jan di Restoran Jejantas, R&R Ayer Keroh, Lebuhraya PLUS

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah memaklumkan pihaknya bakal menawarkan diskaun saman trafik sehingga 50% bagi kesalahan terpilih pada 13 hingga 14 Januari ini sempena program Mini Karnival Pelancaran OP Selamat 19 Tahun Baru Cina 2023 di Restoran Jejantas Ayer Keroh (arah selatan) di Lebuhraya PLUS. Kaunter pembayaran saman trafik berkenaan akan dibuka pada jam 8 pagi hingga 5 petang pada tarikh berkenaan.

    Walau bagaimana pun, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan berkembar, saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, dan saman ubahsuai ekzos.

    Menurut JSPT, selain kaunter semakan dan pembayaran saman trafik, acara yang dianjurkan oleh PDRM dan PLUS Malaysia Berhad ini turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik, antaranya pameran aset PDRM, gerai jualan PERKEP, pameran campervan, pameran dan jualan motosikal Harley Davidson dan Ducati, mini zoo Melaka, pameran kebudayaan serta pameran pelancongan Negeri Melaka.

    Bagi yang berada di sekitar Lembah Klang pula, seperti yang diuar-uarkan sebelum ini, JSPT KL turut mengadakan program penawaran diskaun saman 50% pada 10 hingga 12 Januari ini bertempat di Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee, KL.

     
     
  • Lebih 5,000 unit Honda Civic dan CR-V dipanggil semula di Australia kerana tinted asli terlalu gelap

    Lebih 5,000 unit Honda Civic dan CR-V dipanggil semula di Australia kerana tinted asli terlalu gelap

    Honda Australia telah mengeluarkan notis untuk memanggil semula 5,053 unit Honda Civic dan CR-V keluaran tahun 2021 hingga 2022 yang telah dijual di pasaran negara berkenaan kerana kesemua kenderaan tersebut telah dipasangkan dengan filem penapis haba aksesori asli Honda yang terlalu gelap, lapor Drive.com.au.

    “Filem penapis haba aksesori asli Honda yang dipasang pada tingkap sisi (pintu) hadapan tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan dan mungkin terlalu gelap dan mengurangkan tahap penglihatan,” kata notis panggilan semula yang dikeluarkan oleh Jabatan Infrastruktur dan Pengangkutan Australia.

    “Penglihatan yang berkurangan berpotensi meningkatkan risiko kemalangan, menyebabkan kecederaan serius atau kematian kepada penumpang kenderaan dan pengguna jalan raya yang lain,” tulis kenyataan itu lagi.

     
     
  • BMW M’sia umum prestasi jualan 2022 – 14,466 unit dihantar, tahunan naik 35%; 11,855 unit BMW terjual

    BMW M’sia umum prestasi jualan 2022 – 14,466 unit dihantar, tahunan naik 35%; 11,855 unit BMW terjual

    Menerusi majlis pelancaran BMW 3 Series 2023, BWM Group Malaysia turut memgumumkan prestasi jualan bagi tahun 2022 untuk ketiga-tiga produknya di pasaran tempatan iaitu BMW, MINI dan BMW Motorrad. Angka prestasinya mencerah 14,466 unit terjual, dengan jualan tahunan meningkat sebanyak 35% berbanding 2021.

    Mengikut jenama, kenderaan BMW mencatatkan peningkatan jualan tahunan sebanyak 38% dengan menyumbang sebanyak 11,855 unit. Syarikat ini menambah sebanyak lebih 2,300 unit bagi 3 Series telah dihantar kepada para pelanggan pada tahun 2022, sementara sejumlah 1,300 unit pula melibatkan model 2 Series Gran Coupe.

    Manakala lebih 5,100 unit dari famili X bagi Sports Activity Vehichles (SAV) telah terjual tahun lalu, di mana melibatkan 1,300 unit model X3. Untuk jenama MINI pula, sebanyak 1,233 unit (+26%) telah dihantar pada tahun lalu, sementara 1,378 unit (+20%) pula datangnya dari jualan kenderaan BMW Motorrad, dengan siri Adventure melibatkan lebih 730 unit.

    Bagi kenderaan elektrifikasi, BMW Group Malaysia berkata lebih 4,600 unit telah terjual tahun lalu yang membabitkan jenama BMW dan MINI. Ia susulan faktor usaha mengembangkan infrastruktur pengecasan bagi kenderaan elektrik (EV). Kerjasama dengan JomCharge, ChargEV, Gentari dan beberapa rakan kerjasama lain, menjadikan bilangan fasiliti pengecasan EV kini mencecah lebih 610 unit di seluruh negara.

    Bagi sudut kewangan, BMW Group Financial Services telah membiayai lebih 5,000 kontrak pada tahun 2022 dan menyaksikan peningkatan 100% menerusi pelan Easy Drive.

     
     
  • Honda ADV 160 dilancar untuk Malaysia – enjin 157 cc baru, ABS, sistem kawalan cengkaman, RM12,999

    Honda ADV 160 dilancar untuk Malaysia – enjin 157 cc baru, ABS, sistem kawalan cengkaman, RM12,999

    Hampir satu tahun selepas ADV 150 dilancarkan untuk pasaran Malaysia, kini tiba pula model generasi baru yang akan menggantikannya, iaitu ADV 160 dengan harga RM12,999 tidak termasuk insurans. Dua warna ditawarkan untuk skuter bergaya adventure ini, iaitu Mat Charcoal Gray Metallic dan Vivacity Red.

    Seperti yang boleh diketahui melalui namanya, naik taraf utama pada ADV 160 ini adalah pada bahagian enjin, di mana sekarang ia menggunakan unit satu silinder suntikan bahan api 156.9 cc eSP+ yang dipadankan bersama transmisi CVT untuk menghasilkan kuasa 15.8 PS pada 8,500 rpm dan 14.7 Nm tork pada 6,500 rpm. Kuasa ini adalah sama seperti Vario 160 dan Air Blade 160 yang menggunakan enjin sama.

    Walaupun nampak seakan sama, semua panel badan serta casis skuter ini sebenarnya adalah baru, termasuklah panel yang memegang lampu hadapan, tepi, bawah, pelindung ekzos, penghadang angin (lebih tinggi) dan penghadang lumpur hadapan. Dengan badan yang sudah ditukar ini, ruang simpanan di bawah tempat duduk juga bertambah besar menjadi 30 liter. Lampu hadapan dan belakang LED bagaimanapun masih lagi sama seperti ADV 150.

    Bahagian meter juga telah diperbaharui dengan unit LCD yang rata tanpa sebarang butang, dan di sekelilingnya tidak mempunyai pelindung plastik seperti pada ADV 150. Semua informasi dipaparkan pada skrin ini, termasuklah lampu amaran yang sebelum ini diasingkan pada ADV 150, dan di bawahnya terdapat tiga butang kawalan.

    Model yang diperkenalkan untuk pasaran Malaysia ini, selain dilengkapi brek ABS single-channel, juga diberikan sekali dengan sistem kawalan cengkaman HSTC. Demi memberikan sedikit kepuasan kepada pengguna, sistem kawalan cengkaman ini boleh ditutup dengan menekan butang yang disediakan.

    Kelengkapan lain skuter ini masih lagi sama seperti ADV 150 yang diperkenalkan kali pertama pada tahun 2019, termasuk fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak Showa di belakang dengan tabung gas, rim 14 inci di hadapan dengan tayar 110/80, rim 13 inci di belakang dengan tayar 130/70, sistem kunci pintar serta sistem start/stop enjin.

     
     
  • BMW CE04 ditunjuk di M’sia — bateri 8.9 kWh, jarak 130 km, 0-50 km/j 2.6 saat, anggaran harga RM60k

    BMW CE04 ditunjuk di M’sia — bateri 8.9 kWh, jarak 130 km, 0-50 km/j 2.6 saat, anggaran harga RM60k

    BMW Motorrad Malaysia telah memperkenalkan model skuter elektrik sulung keluarannya untuk pasaran tempatan, BMW CE 04, dengan harganya akan diumumkan pada Mac nanti, dijangka sekitar RM60,000. Pertama kali ditunjukkan sebagai rekaan konsep dengan nama BMW Motorrad Definition CE 04, model ini menampilkan rekaan futuristik dalam satu pakej yang mempertemukan antara teknologi dan penggayaan yang kompak.

    Dengan kedudukan yang rendah, BMW CE 04 menggunakan rangka utama yang diperbuat daripada tiub keluli yang dipadankan dengan bahagian luaran yang luas dan ringkas. Rekaan unik untuknya adalah tempat duduk terapung yang ditampilkan — dengan penyudah warna Light White dan perincian hitam kesat secara keseluruhannya.

    Bahagian depannya memanfaatkan fork teleskopik, lengkap dengan cakera brek berkembar untuk memastikan daya brek yang mencengkam. Rekaan rim yang ditampilkan juga sejajar dengan imej futuristik yang dibawanya, sementara tongkat sisi juga direka dan diambil kira dalam penggayaan yang sama.

    Tayar pula menggunakan saiz 120/70 R15 67H di depan, sementara di belakang menggunakan saiz 160/60 R15 56H. Bahagian belakang pula menggunakan swing arm tunggal dengan penyerap hentak yang terselindung sepenuhnya.

    BMW CE04 ditunjuk di M’sia — bateri 8.9 kWh, jarak 130 km, 0-50 km/j 2.6 saat, anggaran harga RM60k

    Kelibatnya di atas jalan diserikan oleh penggunaan lampu LED yang menyeluruh. Unit LED yang cerah digunakan untuk lampu utama, lampu belakang dan juga lampu isyarat. Ciri Adaptive Headlight Pro juga didatangkan sebagai standard bersama DRL dan juga lampu untuk aluan “Welcome” dan “Good Bye”.

    Yang menjadi penggerak utamanya adalah motor elektrik magnetik sejukan cecair yang diletak di bahagian bawah kerangka. Berada di antara bateri dan roda belakang, kedudukan ini menyumbang kepada rekaan graviti rendah baru BMW CE 04. Dari segi janaan kuasa, skuter ini menghasilkan output maksimum 31 kW (42 PS) dan 62 Nm tork, membolehkan pecutan 0-50 km/j dalam masa hanya 2.6 saat. Kelajuan maksimumnya pula ditetapkan pada 120 km/j.

    Kapasiti bateri lithium-ion juga besar dengan 8.9 kWh, yang menyediakan jarak perjalanan sehingga 130 km. Pengecasan dilakukan menerusi peranti pengecas bersepadu yang membolehkannya memanfaatkan sama ada soket domestik biasa di rumah, wallbox atau stesen pengecasan umum.

    BMW CE04 ditunjuk di M’sia — bateri 8.9 kWh, jarak 130 km, 0-50 km/j 2.6 saat, anggaran harga RM60k

    Dari keadaan kosong, bateri ini memerlukan masa 4 jam 20 minit untuk dicas AC, melalui output standard 2.3 kW. Dengan pengecasan pantas berkapasiti 6.9 kW, masa yang diperlukan hanya satu jam 40 minit. Penunggang juga mempunyai pilihan mod tunggangan — ECO, Rain dan Road, serta Dynamic. Untuk menjamin keselamatan dan kendalian berkesan, ciri BMW Motorrad Integral ABS Pro ditawarkan secara standard.

    Kelengkapan lain pada BMW CE 04 ini antaranya ialah paparan berwarna 10.25-inci TFT dengan Integrated Map Navigation, serta keterhubungan menyeluruh melalui BMW Motorrad Connected App. Melaluinya, penunggang boleh mengakses sistem tunjuk arah, serta status dan statistik kenderaan.

    Skrin tersebut juga boleh memaparkan peta tunjuk arah, tanpa memerlukan paparan tambahan dan boleh dikendali melalui multi-controller. Slot USB, ruang simpanan dengan pengecas USB, soket 12V, ruang simpanan helmet, sistem tanpa kunci dan bantuan mengundur juga termasuk sebagai ciri standard.

     
     
  • Sedan EV gergasi BMW i7 sekali lagi dilihat di Malaysia

    Sedan EV gergasi BMW i7 sekali lagi dilihat di Malaysia

    Belum lagi dilancarkan secara rasmi, tetapi sedan elektrik penuh bersaiz besar, BMW i7 telah beberapa kali dilihat di Malaysia. Yang terbaharu, ia dilihat pagi tadi ketika berlangsungnya BMW Group Malaysia 2023 Business Briefing di Kuala Lumpur. Berdasarkan nombor pendaftarannya, ia merupakan unit yang sama dilihat sebelum ini dengan warna badan Oxide Grey Metallic.

    Sehingga sekarang BMW Malaysia masih belum mengumumkan bila model ini akan dilancarkan secara rasmi pada pasaran tempatan. Namun pendaftaran minat untuk BMW i7 ini sebenarnya telah dibuka pada April lalu, diikuti dengan majlis prebiu yang dibuat secara tertutup pada bulan Julai 2022 dengan menampilkan model dalam versi pemanduan sebelah kiri.

    Bagi unit yang dilihat pagi tadi ini, ia dilihat mengenakan rim berdiameter 20-inci bersama tayar bersaiz 255/45R20 di hadapan dan 285/40R20 di belakang. Selain dari bahagian luarannya yang kelihatan jelas, kami turut sempat untuk mengintai bahagian dalam i7 tersebut.

    Sedan EV gergasi BMW i7 sekali lagi dilihat di Malaysia

    Antara perincian kabih yang dapat dilihat termasuk roda stereng tiga jejai berbanding unit dua-jejari pada model yang membuat kemunculan sulung global, perapi kayu dengan kemasan lebih gelap pada papan pemuka yang dilengkapi dua skrin lebar, bersama upholsteri kulit dalam kemasan Cognac.

    Sebelum ini BMW ada menyatakan bahawa i7 akan ditawarkan dalam varian xDrive60 terlebih dahulu. Versi tersebut menampilkan dua motor elektrik bagi memacu keempat-empat roda sedan ini dengan kuasa keseluruhan 544 PS dan tork maksima 745.

    Ini membolehkan gergasi i7 xDrive60 tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.7 saat dengan kelajuan maksima dihadkan secara elektronik pada 240 km/j.

    Motor-motor elektrik berkenaan menerima kuasa dari bateri lithium-ion berkapasiti 101.7-kWj yang diletakkan pada bahagian lantai, membolehkan ia bergerak sejauh 625 km dengan sau cas penuh menerusi kitaran ujian lebih realistik WLTP.

    Bateri tersebut boleh dicas semula menerusi Combine Charging Unit (CCU) yang membolehkan cas AC dibuat sehingga 11 kW menggunakan penyambung Type 2, memerlukan masa selama 9.5 jam untuk dicas penuh. Ia juga menyokong pengecas pantas DC sehingga 195 kW menerusi penyambung CCS2, membolehkan cas 10-80% dipenuhkan dalam masa 34 minit.

    Di United Kingdom, BMW i7 xDrive60 ini dijual pada harga bermula 110,000 pound sterling, atau sekitar RM585k. Dengan insentif pengecualian duti dan eksais bagi EV yang diimport sepenuhnya (CBU), agaknya berapa harga sedan EV gergasi ini jika dilancarkan di Malaysia kelak?

     
     
  • BMW 3 Series 2023 G20 facelift kini di Malaysia — tiga varian M Sport bagi 320i, 330i, 330e; dari RM264k

    BMW 3 Series 2023 G20 facelift kini di Malaysia — tiga varian M Sport bagi 320i, 330i, 330e; dari RM264k

    BMW Malaysia hari ini melancarkan model BMW 3 Series facelift 2023 untuk pasaran Malaysia. Merupakan model pemasangan tempatan, ia ditawarkan dalam tiga varian: 320i M Sport, BMW 330i M Sport dan BMW 330e M Sport, dengan harga jualan masing-masing RM263,600 (RM283,800 dengan pakej lanjutan jaminan dan servis), RM297,600 (RM317,800 dengan pakej lanjutan jaminan dan servis) dan RM278,600 (RM298,800 dengan pakej lanjutan jaminan dan servis) harga atas jalan dan tidak termasuk insuran. Selain daripada tiga varian ini, akan ada dua lagi varian BMW 3 Series terbaru ini yang akan diperkenalkan pada Mac nanti, dijangka varian M340i dan 330Li.

    BMW 3 Series 2023 ini menyerlahkan lagi imej ikonik dengan rekaan luaran yang sporty dan penampilan dinamiknya ke tahap yang baru. Bahagian depan terus dihiasi dengan rekaan “kidney grille” yang baru, menampakkannya lebih besar dan muscular.

    Lampu utama LED juga telah diberikan rekaan baru yang menampakkan kereta ini lebih lebar, termasuk di dalamnya lampu DRL dalam bentuk L terbalik. Bahagian apron juga diberi sentuhan baru, dengan masih menempatkan bukaan tirai udara yang menjadi ciri khas BMW — mengapit bukaan tengah yang hadir dengan corak honeycomb dari pakej M Sport yang ditawarkan standard untuk semua varian.

    BMW 3 Series 2023 G20 facelift kini di Malaysia — tiga varian M Sport bagi 320i, 330i, 330e; dari RM264k

    Dilihat dari sisi, BMW 3 Series 2023 facelift ini terserlah dengan imej dan garis sporty yang diperkemas. Jarak antara rodanya panjang, begitu juga dengan bonet dan bahagian overhang yang pendek. Rim pula menggunakan saiz 18-inci M jejari berkembar Style 848 M Bicolour. Logo M turut menghiasi bahagian sisinya, dan dilengkapi juga dengan M Sport Suspension bagi varian petrol, sementara varian BMW 330e M Sport memanfaatkan Adaptive M Suspension.

    Bahagian belakang sedan ini tampil lebih menarik dan segar dengan penggayaan sporty, ditonjolkan antaranya dengan dua corong ekzos yang ditambah menjadi 100 mm diameternya, disertai juga bahagian diffuser yang tambah mengemaskan penampilannya. Pakej M Aerodinamic dan M High-gloss Shadowline melengkapkan lagi sisi ranggi berkenaan, kedua-duanya datang sekali bersama M Sport Package.

    Di dalam, pengenalan ciri BMW Curved Display menyuntik tahap kecanggihan dan pendigitalan baru kepada BMW 3 Series ini. Dengan paparan maklumat 12.3-inci dan paparan kawalan skrin sentuh 14.9-inci disepadukan dalam satu rekaan tanpa bingkai yang menawan.

    BMW 3 Series 2023 G20 facelift kini di Malaysia — tiga varian M Sport bagi 320i, 330i, 330e; dari RM264k

    Walaupun BMW Curved Display menempatkan pelbagai kawalan, fungsi keselamatan serta yang kerap digunakan masih boleh di kawal melalui butang kawalan fizikal — yang direka untuk memudahkan pemandu, dan terletak di bawah corong pendingin. Rekaan yang ditampilkan ringkas, dan lebih mementingkan fungsi kepenggunaan. Semua varian juga hadir dengan paddle shifter.

    BMW 3 Series 2023 ini meneruskan tradisi sedia ada dengan menawarkan agihan berat depan/belakang dalam nisbah 50:50, jejak yang lebar, badan teguh, pusat graviti rendah dan teknologi casis yang cemerlang bagi menjamin dinamik pemanduan yang mantap.

    BMW 320i M Sport terbaru ini menggunakan enjin 2.0L empat-silinder sebaris yang menghasilkan sebanyak 184 hp (135 kW) dan 300 Nm tork, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 7.4 saat dengan laju maksimum dihadkan kepada 235 km/j.

    BMW 3 Series 2023 G20 facelift kini di Malaysia — tiga varian M Sport bagi 320i, 330i, 330e; dari RM264k

    Bagi BMW 330i M Sport, enjin 2.0L empat-silinder sebarisnya menghantar kuasa maksimum 258 hp (190 kW) dan 400 Nm tork, dengan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 5.8 saat sementara laju maksimum dihad kepada 250 km/j.

    Sistem pacuan plug-in hybrid pada BMW 330e M Sport terbaru ini pula memberikan output gabungan 292 hp (215 kW) dan 420 Nm tork, dari enjin 2.0L, dengan motor elektrik yang menyediakan 109 hp (80 kW) dan 265 Nm tork, dengan 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat juga.

    Ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 5.8 saat, dengan laju maksimum dihadkan kepada 230 km/j (laju maksimum untuk pacuan elektrik adalah 140 km/j). Sebagai penawaran standard, semua varian BMW 3 Series ini dipadankan dengan transmisi Steptronic Sport lapan-kelajuan.

    Kelengkapan lain pada model ini termasuklah BMW Live Cockpit Professional, yang dikuasakan oleh versi terkini BMW Operating System 8. Terdapat juga beberapa cara intuitif untuk berinteraksi dengan kenderaan — bahasa melalui BMW Intelligent Personal Assistant, operasi skrin sentuh menggunakan Control Display, BMW iDrive Controller dan akses kawalan langsung melalui sentuhan. Live Cockpit Professional dengan BMW Head-Up Display juga tersedia.

    Lain-lain ciri digital pada model ini termasuk Comfort Access, Remote Software Update dan BMW ID. Bagi Connected Package Professional, yang termasuk perkhidmatan digital seperti Remote Services, Apple CarPlay® dan Android Auto juga ditawarkan dengan BMW 3 Series baru ini — sebuah penawaran standard bagi model BMW bermula 2023. Melalui My BMW App, pemandu juga boleh mengakses fungsi sokongan lain untuk pengalaman mobiliti yang lebih mudah.

    BMW 3 Series 2023 juga didatangkan dengan jaminan menyeluruh daripada BMW Group Malaysia, termasuk jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dengan program servis berjadual percuma; bantuan tepi jalan dan hotline kemalangan; BMW Group Loyalty+ Mobile App — BMW Privileges Card; dan BMW Service Online.

    BMW 320i M Sport 2023

    BMW 330e M Sport 2023


    BMW 330i M Sport 2023

     
     
  • Selangor bakal turap jalan secara besar-besaran pada Mac ini dengan kos peruntukan cecah RM50 juta

    Selangor bakal turap jalan secara besar-besaran pada Mac ini dengan kos peruntukan cecah RM50 juta

    Kerajaan Selangor telah memperuntukan sejumlah RM50 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penurapan jalan secara besar-besaran di negeri ini pada Mac 2023. Perkara ini disahkan oleh Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim, yang berkata projek ini membabitkan jalan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini kecuali Jalan Persekutuan, laporan Harian Metro.

    “Saya sudah berbincang dengan menteri dan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai kaedah untuk memastikan jalan persekutuan termasuk lebuh raya dalam keadaan baik. Penyelenggaraan yang begitu longgar menyebabkan banyak aduan diterima mengenai jalan persekutuan yang memerlukan bajet khas untuk dibaiki,” katanya.

    Pada akhir November lalu, kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan RM145 juta untuk meningkatkan sistem jaringan jalan raya tahun ini bagi memberi keselesaan kepada pengguna yang semakin bertambah. Menerusi pembantangan Bajet 2023 Negeri Selangor oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, sebanyak RM40.98 juta diagihkan kepada JKR untuk melaksanakan pembinaan jalan baharu di beberapa lokasi.

    Selangor bakal turap jalan secara besar-besaran pada Mac ini dengan kos peruntukan cecah RM50 juta

    Menurut Amirudin, sebanyak RM40.98 juta bakal diagihkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melaksanakan pembinaan jalan baharu di beberapa lokasi. Kawasan yang terlibat adalah Kampung Sri Indah A ke Hospital Sungai Buloh, jalan sambungan Sungai Kelambu-Genting Sanyen dan Kampung Ulu Chuchuh ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    Selain itu, sejumlah RM65.3 juta turut diperuntukan bagi menaik taraf beberapa laluan utama termasuk di Jalan Bukit Rimau di Klang, Jalan Reko di Hulu Langat, simpang tiga Jalan Rahidin, Shah Alam, persimpangan Jalan Kampung Bukit Dugang di Sepang, jalan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tiram Jaya di Kuala Selangor, dan Jalan Sungai Panjang dari simpang Jalan Kuala Selangor-Teluk Intan ke Parit Empat Timur.

    Beberapa projek infrastruktur lain di serata negeri Selangor turut disediakan sejumlah peruntukan iaitu bagi pembinaan jambatan dan jejantas (RM11.8 juta), pemasangan lampu jalan jenis diod pemancar cahaya atau LED (RM3 juta), kerja warta jalan negeri (RM1.5 juta) dan program warta laluan negeri (RM2 juta).

     
     
  • KLIA Ekspres kembali dengan perkhidmatan tanpa-henti, tidak lagi gabung bersama KLIA Transit

    Klik untuk besarkan imej

    Bagi yang menggunakan KLIA Ekspres untuk ke/dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dimaklumkan bahawa perkhidmatan tren berkenaan telah disambung semula.

    Ini bermakna perkhidmatan tren tanpa-henti dari KL Sentral ke KLIA dan KLIA 2 kembali beroperasi seperti sedia kala, dengan kedua-dua perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit, tanpa digabungkan. Sepanjang tempoh pandemik, tren bandar-ke-lapangan terbang itu digantung atau kemudian digabungkan disebabkan lockdown dan permintaan yang rendah.

    Kini KLIA Ekspres diaktifkan semula dan bergerak setiap 20 minit pada waktu puncak pagi dan petang. Manakala kekerapan bagi KLIA Transit pula turut dikemaskini dengan pergerakan setiap 15 minit sepanjang waktu puncak pada hari biasa, dengan operasinya dilanjutkan ke 8 malam (berbanding 7 malam sebelum ini) bagi kemudahan penumpang.

    Pada waktu puncak, sepanjang tujuh tren berkhidmat setiap jam. Kedua-dua tren KLIA Ekspres dan Transit bergerak selang 30 minit sepanjang tempoh bukan-puncak. Di KL Sentral, KLIA Ekspres akan bergerak dari platform balai pelepasan asalnya. Perjalanan mengambil masa sekitar 28 minit atau 33 minit ke/dari KLIA2.

     
     
  • Wanita maut dilanggar lori kontena ketika berhenti di bahu Lebuhraya PLUS kerana kereta rosak pagi tadi

    Wanita maut dilanggar lori kontena ketika berhenti di bahu Lebuhraya PLUS kerana kereta rosak pagi tadi

    Seorang wanita dilaporkan meninggal dunia dilanggar oleh sebuah lori kontena pagi tadi di kilometer (KM) 235.6 arah utara, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

    Menurut Ketua Operasi anggota bertugas Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar PBK II Saiful Hanif bin Mahmad Ayub, wanita berkenaan dilanggar ketika berhenti di bahu lebuhraya tersebut kerana kereta Honda Civic yang dipandunya rosak.

    Saiful turut menjelaskan lori berkenaan melanggar bahagian sisi Honda Civic tersebut bersama mangsa yang turut berada di sisi keretanya ketika itu. Gambar yang disiarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Perak menunjukkan lori kontena yang melanggar kereta berkenaan turut terbabas dan separa terbalik di tepi jalan.

    Anggota bertugas BBP Kuala Kangsar telah ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 5.23 pagi. Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM. Manakala 3 orang lagi mangsa termasuk pemandu lori terselamat.

    “Anggota Bomba bertindak melakukan pemantauan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada lagi mangsa lain yang terlibat. Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya. Setelah memastikan keadaan di lokasi benar selamat, operasi ditamatkan pada jam 6.02 pagi,” tulis kenyataan yang dikeluarkan oleh JBPM Negeri Perak.

    Ini bukan pertama kali kejadian seperti ini berlaku. Jadi sekiranya anda berhadapan dalam situasi yang sama, mungkin beberapa langkah pencegahan boleh dibuat. Jangan terlalu yakin bahawa semua pemandu jalan raya peka dengan keadaan sekeliling dan nampak kereta anda rosak di tepi jalan.

    Sekiranya kereta anda masih mempunyai perlindungan bantuan tepi jalan sama ada dari pengeluar mahupun pihak insuran, atau paling kurang peronda keselamatan lebuhraya seperti PLUSRonda, ada baiknya anda menghubungi mereka dan jauhkan diri anda dari jalan raya sementara menunggu bantuan tersebut sampai.

     
     
  • Hyundai Ioniq 5 dengan sistem e-Corner diperkenal – boleh gerak seperti ketam, serong, pusing setempat

    Hyundai Ioniq 5 dengan sistem e-Corner diperkenal – boleh gerak seperti ketam, serong, pusing setempat

    Hyundai Mobis (MObility Beyond Integrated Solution) adalah sebuah syarikat yang bertanggungjawab membangunkan teknologi baru untuk Hyundai Motor Group, dan pada tahun 2021, ia telah menunjukkan sistem e-Corner melalui model konsep M.Vision Pop dan M.Vision 2Go.

    Tahun ini di pameran Consumer Electronics Show (CES), syarikat itu memperkenalkan pula model konsep M.Vision To dan M.Vision Hi, yang turut dipasang dengan sistem e-Corner, membolehkan ia membuat pergerakan seperti ketam (crab walk), berpusing setempat (zero turn), bergerak menyerong (diagonal driving) dan bahagian belakang sahaja yang berpusing (pivot turn). Untuk memahami lebih lanjut anda boleh tonton video di bawah.

    Bukan setakat pada dua model konsep ini sahaja, Hyundai Mobis juga telah memasang sistem e-Corner pada Ioniq 5. Seperti yang boleh anda lihat dalam video di bawah, sistem dapat meningkatkan pengendalian kenderaan elektrik tersebut, dan boleh bergerak ke pelbagai arah.

    Menurut syarikat itu lagi, sistem e-Corner direka untuk kenderaan elektrik hibrid (HEV), elektrik bateri (BEV) dan elektrik fuel cell (FCEV). Sistem ini menggunakan motor yang terletak pada roda, dan turut mempunyai sistem brek dan membelok by wire, dan juga penyerap elektrik yang digabungkan dalam satu pakej. Ia boleh dipasang pada kenderaan tanpa memerlukan enjin pembakaran dalaman, rekaan casis biasa atau kolum stereng.

    Setiap roda boleh bergerak, brek dan belok secara sendiri, sekaligus membenarkan pacuan empat roda sebenar, yang boleh dipasang pada pelbagai jenis kenderaan seperti SUV, saiz sederhana ataupun kompak. Perincian teknikalnya anda boleh lihat melalui video di bawah.