Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • RMK-12: Infrastruktur pejalan kaki, penunggang basikal akan ditambahbaik untuk promosi mobiliti aktif

    RMK-12: Infrastruktur pejalan kaki, penunggang basikal akan ditambahbaik untuk promosi mobiliti aktif

    Sebahagian dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), terdapat juga pelan untuk mobiliti aktif dengan memfokuskan pembangunan infrastruktur bagi pejalan kaki dan penunggang basikal. Ia akan diberikan penekanan terhadap infrastruktur yang bersepadu dan mesra pengguna, serta selamat dan selesa.

    Langkah-langkah yang akan dilaksanakan termasuklah keadaan lalu lintas yang tenang serta teduhan semulajadi untuk ruang pejalan kaki. Ini adalah antara rancangan untuk meningkatkan mobiliti hijau sebagai sebahagian daripada pembangunan bandar dan wilayah termasuk mobiliti rendah karbon.

    Pelan mobiliti rendah karbon juga akan diperkenalkan sebagai panduan perancangan, implementasi, pemantauan dan juga penilaian inisiatif mobiliti hijau di kawasan bandar dan luar bandar. Selain itu, kebolehcapaian, ketersambungan, keselamatan dan kebolehpercayaan terhadap pengangkutan awam juga akan ditambahbaik, berserta dengan mobiliti mikro yang lebih lancar untuk sambungan pertama dan jarak terakhir.

     
     
  • RMK-12: Penggunaan pengangkutan awam rendah kerana kereta murah, pendaftaran kereta meningkat

    RMK-12: Penggunaan pengangkutan awam rendah kerana kereta murah, pendaftaran kereta meningkat

    Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ada beberapa perkara berkaitan automotif dan pengangkutan yang turut mendapat perhatian dalam merangka pelan untuk tempoh lima tahun ke depan.

    Perihal pengangkutan awam turut tidak terlepas daripada menjadi tumpuan dalam merencanakan kemakmuran Malaysia bagi tempoh berkenaan. Ini turut meliputi penilaian semula terhadap usaha-usaha yang telah dijalankan sepanjang tempoh RMK11 sejak 2016-2020.

    Menjadi pementaan menyeluruh bagi semua aspek pengangkutan awam termasuk untuk tujuan komersial, ia tidak ketinggalan merangkumkan juga usaha-usaha seperti meningkatkan perkongsian modal pengangkutan awam, sebagai contoh untuk mengelakkan kesesakan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Lembah Klang — seperti perkhidmatan MRT 1 (Sungai Buloh-Kajang) yang mula beroperasi pada 2017 dan LRT 2 (Putra Heights-Kelana Jaya) yang siap pada 2016.

    RMK-12: Penggunaan pengangkutan awam rendah kerana kereta murah, pendaftaran kereta meningkat

    Antara perkara yang dikenal pasti adalah penggunaan pengangkutan awam adalah pada tahap yang rendah disebabkan pemilikan kenderaan agak murah di negara ini. Sasaran 40% perkongsian modal pengangkutan awam pada tahun 2020 tidak dapat dicapai akibat keterhubungan rangkaian yang tidak mencukupi, kurangnya perkhidmatan yang boleh dicapai dan boleh diharap, serta keengganan orang ramai untuk beralih daripada kenderaan persendirian serta kesan penularan Covid-19 menjadi antara punca yang dikenal pasti menyumbang kepada hal ini.

    Prestasi ketepatan masa (OTP) yang rendah, tempoh perjalanan yang lebih panjang dan ketiadaan pengurusan permintaan perjalanan yang holistik telah memberi kesan kepada kecekapan dan kebolehpercayaan terhadap pengangkutan awam. Disebabkan ini, pemanfaatan pengangkutan awam kekal di bawah sasaran. Keengganan untuk beralih daripada pengengkutan persendirian kepada pengangkutan awam sebahagiannya juga disumbangkan oleh kos pemilikan kenderaan yang relatif murah.

    Ini dapat dilihat melalui peningkatan dalam angka pendaftaran kenderaan, menjangkau 6% setahun, daripada 20.2 juta pada 2010 kepada 30 juta kenderaan pada 2018. Nisbah kenderaan kepada populasi, pada kadar 0.9 pada 2018, adalah antara yang tertinggi di rantau ini. Adakah Malaysia bersedia untuk mengubah cara penggunaan pengangkutan di negara ini dalam lima tahun akan datang?

     
     
  • Teknologi caj kereta elektrik tanpa wayar – kenapa masih belum digunakan pada model produksi terkini?

    Teknologi caj kereta elektrik tanpa wayar – kenapa masih belum digunakan pada model produksi terkini?

    Berberapa tahun lalu, pengecas induktif yang membolehkan kereta elektrik (EV) dicaj semula tanpa menggunakan wayar dikatakan bakal digunakan secara meluas. Tanpa perlu menggunakan sebarang wayar atau penghubung, teknologi berkenaan dilihat sebagai solusi yang sempurna bagi memudahkan pemilik EV mengecaj kenderaan mereka.

    Aspek teknikal untuk memindahkan kuasa elektrik tanpa menggunakan wayar ini kini semakin berkembang, dengan kadar dan keberkesanan yang semakin meningkat, namun penampilannya dalam model-model produksi masih belum kelihatan. Jadi persoalannya, adakah pengecaj kereta elektrik tanpa wayar ini akan benar-benar digunakan tidak lama lagi bagi menggantikan sistem pengecaj biasa seperti yang diramalkan?

    Dalam sesi temuramah bersama Johan Hellsing, pakar prinsipal Pergerakan dan Tenaga di China Euro Vehicle Technology (CEVT, pusat inovatif milik Zhejiang Geely Holding Group) baru-baru ini, kami turut bertanyakan berkenaan teknologi tersebut kepada beliau.

    Menurut Hellsing, memang ada masa hadapan untuk teknologi pengecaj tanpa wayar bagi kereta elektrik, tetapi ia akan mengambil sedikit lagi masa sebelum direalisasikan untuk penggunaan massa. Teknologi tersebut juga mampu memberikan keberkesanan yang sama seperti pengecaj konvensional, malah aspek penghantarannya juga dapat dilaksanakan sekarang.

    Teknologi caj kereta elektrik tanpa wayar – kenapa masih belum digunakan pada model produksi terkini?

    “Ia merupakan teknologi yang boleh berdaya maju, dengan tahap pembangunan kini mencapai keberkesanan yang sangat bagus – tahap kuasa kini sedang meningkat, dengan kebolehan untuk mengecaj pada kadar 10 atau 20 kW, dan ada sehingga 75 kW, seperti yang telah ditawarkan oleh satu syarikat,” katanya kepada paultan.org.

    Walau bagaimanapun, pada tahap sekarang ini, pengguna dilihat masih tidak kisah hidup dengan menggunakan kabel dan palam bagi kegunaan mengecaj. Ia telah ditunjukkan dengan jelas pada pasaran yang menerajui adaptasi EV berkenaan.

    “Norway merupakan contoh yang baik. Mereka mempunyai kadar penggunaan EV tertinggi di dunia, tetapi tidak ada seorang pun yang meminta sistem pengecaj tanpa wayar,” jelasnya. Faktor kos dan juga banyak akses kepada penghubung kabel juga menjadi punca mengapa tiada permintaan terhadap teknologi tersebut.

    Hellsing juga menyatakan pada peringkat awal dahulu dia juga berpendapat teknologi pengecaj tanpa wayar ini akan menjadi halatuju bagi EV, namun sekarang pendapatnya sudah berubah. Tetapi, dia berpendapat teknologi ini bakal mendapat permintaan tidak lama lagi selepas selepas teknologi pemanduan berautonomi mula digunakan.

    Ini kerana selepas kereta boleh bergerak tanpa pemandu, ia akan seiring dengan aspek mengecaj. “Saya rasa dengan kedatangan kereta berautonomi, di mana kereta boleh bergerak sendiri ke pengecaj, kita perlu juga menghasilkan pengecaj automotik,” katanya.

     
     
  • JPJ sasar selesaikan isu ujian lesen memandu tertangguh akibat PKP menjelang Disember ini

    JPJ sasar selesaikan isu ujian lesen memandu tertangguh akibat PKP menjelang Disember ini

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mensasarkan untuk menyelesaikan isu ujian lesen memandu yang tertangguh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum tahun 2021 berakhir.

    Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli, bagi tujuan tersebut, JPJ akan menambah kakitangan penguji sehingga 20% bagi menampung jumlah penguji sedia ada untuk menyelesaikan 462,124 calon yang tertangguh akibat PKP bagi semua jenis kelas kenderaan, laporan Bernama.

    “Dengan penambahan tenaga penguji ini, kita percaya ia dapat menyelesaikan masalah membabitkan calon ujian lesen memandu yang tertunggak di 232 Institut Memandu (IM) pada hujung Disember ini. Setakat ini terdapat 530 bilangan penguji di seluruh negara dan akan menambah 10 hingga 20% penguji lagi mengikut kesesuaian IM bagi melancarkan proses ujian yang tertunggak,” katanya.

    Tambah beliau, pihaknya sudah menghantar bilangan calon di setiap negeri ke ibu pejabat di Putrajaya bagi mengenalpasti bilangan penguji tambahan bersesuaian dengan kuota calon bagi setiap IM.

    “Kita menyarankan supaya IM memberi keutamaan kepada calon tertunggak untuk menyelesaikan masalah pengambilan lesen memandu yang sebelum ini tergendala akibat PKP,” katanya lagi.

     
     
  • Aprilia Tuareg 660 – lagi teaser tunjuk kemampuan sebenar, akan didedah secara rasmi di EICMA 2021

    Aprilia Tuareg 660 – lagi teaser tunjuk kemampuan sebenar, akan didedah secara rasmi di EICMA 2021

    Mula ditunjuk sebagai sebuah model konsep pada tahun 2019, Aprilia Tuareg 660 akhirnya didedah pada bulan lalu. Walaubagaimanapun, hanya sedikit perincian diberi, bersama gambar statik, sementara penampilan rasminya akan dibuat waktu pameran EICMA hujung tahun ini.

    Tapi sebelum itu, satu lagi teaser disiar, dan kali ini menunjukkan video motosikal adventure kelas pertengahan tersebut dibelasah atas jalan offroad. Kemampuan sebenar Tuareg 660 ditunjuk dengan aksi-aksi seperti meluncur laju, mendaki jalan berbatu dan juga melompat ke udara.

    Semua ini dapat dilakukan dengan model versi standard, yang diberi dengan suspensi panjang (jarak gerak 240 mm depan dan belakang), rim 21 inci di hadapan, 18 inci di belakang dan berat keseluruhan 187 kg.

    Meskipun ini adalah jentera lasak – dipanggil oleh Aprilia sebagai sebuah motosikal untuk memuaskan kehendak mereka yang suka meneroka – ia masih dipasang dengan ciri yang dapat memberikan kemudahan kepada pengguna seperti cruise control, skrin TFT 5.0 inci, mod tunggangan serta kawalan cengkaman.

    Perincian lain yang sudah diketahui untuk Tuareg 660 adalah termasuk tetapan brek Brembo berkembar di hadapan, ABS dan traction control yang boleh ditutup, tangki bahan api 18 liter dan paling penting, enjin dua silinder selari 660 cc berkuasa 80 hp.

     
     
  • Jualan kenderaan di Malaysia bagi Ogos 2021 ikut jenama — Perodua naik 967%, Toyota atasi Honda

    Jualan kenderaan di Malaysia bagi Ogos 2021 ikut jenama — Perodua naik 967%, Toyota atasi Honda

    Setelah beberapa bulan tiada data jualan akibat PKP dan penutupan operasi kilang yang kembali dibenarkan dibuka pertengahan Ogos lalu, data jualan kenderaan juga mula bernyawa kembali. Tempahan yang tertangguh serta produksi yang disambung ini juga menyumbang kepada perkembangan ini. Kereta akhirnya boleh dikeluarkan dan didaftarkan, melegakan syarikat pengeluar dan pelanggan sekaligus.

    Selepas Proton menduduki tempat pertama selama sebulan pada Julai, Perodua kini kembali merampas kedudukan itu dengan jualan hampir 7k unit kenderaan pada Ogos, memwakili peningkatan sebanyak 966.9%. Anda tidak salah tengok; dan Perodua juga telah melepasi jualan 100k kenderaan (YTD; 104,933 unit setakat ini bagi 2021). Awal bulan lalu, Perodua mengumumkan syarikat itu menilai semula sasaran jualan bagi 2021 kepada 214,000 unit, 10.8% kurang daripada sasaran asal 240k. Proton berada di tempat kedua dengan peningkatan 44% bagi jualan Ogos, dengan 2,741 unit dan YTD 60,997 unit setakat ini.

    Toyota juga tidak ketinggalan mencatatkan lonjakan besar (+72.2%), Honda (+140.5%), Mazda (+251.5%), Nissan (+118.7%), Volkswagen (+108.0%) dan tidak lupa, Porsche dengan +258.1%. Ini adalah disumbangkan oleh stok tersedia dan bergantung berapa banyak yang dimiliki setiap jenama. Toyota bagaimanapun menjual kurang kenderaan komersial pada Ogos berbanding Julai. Sama juga dengan Isuzu, yang hanya menjual kenderaan komersial.

    Kemaskini bagi jualan setakat ini (YTD) bagi 2021 juga antara yang menarik diperhatikan adalah dengan Toyota mendahui Honda kini melebar kepada 10k unit. Toyota tentunya dapat mencapai matlamat yang dilaungkan sebelum ini untuk menduduki semula tempat pertama selaku pengeluar bukan nasional daripada Honda hujung tahun nanti.

    Sedikit mengejutkan setakat ini ialah Mitsubishi, yang selesa di tangga kelima dan menjarakkan diri daripada Nissan dan Mazda dan merapatkan jurangnya dengan perlumbaan papan atas yang biasanya melibatkan Perodua, Proton, Toyota dan Honda. Dirancakkan jualannya oleh model Xpander tujuh-tempat duduk, Triton juga semakin mengukuhkan kedudukannya dan dalam landasan betul untuk merekodkan tahun yang paling kukuh.

    Jualan kenderaan di Malaysia bagi Ogos 2021 ikut jenama — Perodua naik 967%, Toyota atasi Honda

    Nissan yang biasanya menduduki tangga kelima dan mendahului Mazda pula kini telah beralih ke kedudukan kelapan berdasarkan jualan Ogos — ia masih di tangga ke enam bagi angka YTD, tetapi hanya mendahuli Mazda dalam angka yang sangat tipis, dengan 86 unit sahaja (berbanding 356 unit pada Julai).

    Dengan berbaki empat bulan lagi sebelum berakhir pengecualian SST, masih ada banyak masa untuk peningkatan jualan. Rujuk juga laporan jualan bagi tempoh separuh pertama tahun ini.

    Jualan kenderaan di Malaysia bagi Ogos 2021 ikut jenama — Perodua naik 967%, Toyota atasi Honda

     
     
  • Hyundai Ioniq 5 di M’sia — dipandu oleh Sultan Johor

    Hyundai Ioniq 5 di M’sia — dipandu oleh Sultan Johor

    Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar memang dikenali sebagai pencinta pelbagai jenis kenderaan. Terbaru, baginda dilihat tiba di sebuah pertemuan dengan menaiki sebuah kenderaan crossover Hyundai Ioniq 5 elektrik. Turut hadir menghadap ialah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Hyundai Ioniq 5 membuat penampilan global sulungnya pada Februari tahun ini, menjadikan pendekatan rekaan pada 45 Concept yang ditunjuk di Frankfurt Motor Show 2019 satu kenyataan dalam bentuk kenderaan produksi. Ioniq 5 menjadi model pertama Hyundai yang menggunakan Electric-Global Modular Platform (E-GMP), sebuah platform khusus untuk kenderaan elektrik, dan memiliki jarak antara roda 3,000 mm yang lebih panjang daripada Hyundai Palisade tujuh-tempat duduk.

    Janaan kuasa pada Ioniq 5 menggunakan motor tunggal pacuan roda belakang atau dua-motor pacuan semua roda; yang kedua ini menghasilkan sebanyak 302 hp dan 605 Nm tork dengan pek bateri 72.6 kWh, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat. Bateri 58 kWh juga ada ditawarkan, dengan bateri berkapasiti lebih besar itu memberikan jarak maksimum 480 km dalam kitaran WLTP.

    Ioniq 5 juga menampilkan sokongan langsung bagi kedua-dua pengecasan 400 V dan 800 V yang pertama di dunia, dicapai melalui lonjakan pada motor elektrik dan inverter kereta berkenaan, berbanding menggunakan pengecas binaan dalaman berasingan. Dengan pengecas 350 kW DC, baterinya boleh dicas dari 10% hingga 80% dalam masa hanya 18 minit, atau hingga 100 km jarak (WLTP) untuk pengecasan lima minit.

    Crossover EV ini diperkenalkan di Amerika Syarikat pada Mei tahun ini, dan telah tiba di Australia minggu lalu, dengan harga jualan dari RM219k.

     
     
  • Ferrari Portofino M dilancarkan di M’sia; dari RM998k

    Ferrari Portofino M dilancarkan di M’sia; dari RM998k

    Naza Italia secara rasminya telah pun melancarkan Ferrari Portofino M di Malaysia, genap setahun selepas jentera itu diperkenalkan di peringkat global. Jentera mewah ini dijual pada harga dari RM998,000 (sebelum cukai, pilihan kustom, dan insurans). Malah harganya adalah lebih RM50k berbanding Portofino ketika ia dilancarkan di Malaysia pada tahun 2018.

    Menurut Ferrari, huruf M membawa maksud ‘Modificata’, iaitu terma yang “digunakan untuk kereta yang mengalami evolusi yang dipertingkatkan prestasi yang ketara”. Di mana peningkatan prestasi ini disumbangkan oleh kombinasi penjana kuasa dan drivetrain yang agak berbeza dengan apa yang diberikan pada Roma.

    Pembaharuan yang dibuat untuk Portofino M termasuklah diberikan padanan bampar hadapan baharu, yang menampilkan corong sisi yang direka semula dan juga pertambahan corong pengambilan udara baharu pada gerbang roda untuk meningkatkan penjimatan aero dinamik. Corong tersebut juga memberikan bonus untuk imejnya, malah memberikan aliran udara yang lebih baik untuk bahagian sisi.

    Manakala padanan gril yang dipertingkatkan itu juga telah dihadirkan dengan kepingan aluminium baharu. 2+2 GT ini juga menerima kemasan spesifik-berlian, rekaan roda lima-jejari baharu yang dibaluti tayar 245/35 di hadapan dan 285/30 di belakang.

    Untuk bahagian belakangnya, ia menampilkan bampar baharu yang telah diprofilkan semula dengan konfigurasi sistem ekzos baharu. Selain itu, diffuser belakang juga kini diasingkan daripada bampar, untuk memberikan imej yang lebih menyerlah pada bahagian belakang. Walau bagaimana pun, tiada perubahan pada bumbung retractable hard top, yang masih boleh dibuka dan ditutup dalam 14 saat.

    Mengenai penjana kuasa dan drivetrain, enjin 3.9 liter F154 BB twin-turbo V8 pada Portofino telah diberikan modifikasi, membawanya ke spesifikasi BE. Kuasanya dipertingkatkan menjadi 620 PS (611 hp) pada 5,750 hingga 7,500 rpm, di mana ia lebih 20 PS (atau 19 hp) berbanding sebeluum ini, mirip pada Roma. Manakala tujahan tork masih kekal pada 760 Nm dari 3,000 hingga 5,750 rpm.

    Menurut Ferrari, penambahan kuasa adalah hasil cam profile baharu untuk meningkatkan anjakan injap dan mengoptimakan pengisian ruang pembakaran dan juga penderia kelajuan ke unit pengecas turbo, di mana ia membolehkan anjakan rpm ke turbin secara maksimum ditambah.

    Peningkatan penjana kuasa ini turut dipadankan dengan kotak gear baharu – yang sebelum ini dengan padanan transmisi dwi-klac F1 tujuh-kelajuan yang kini digantikan dengan unit dwi-klac lapan-kelajuan. Unit ini pertama kali diberikan pada model Roma, berasal dari unit SF90 Stradale lapan-kelajuan, tetapi mempunyai mekanikal gear undur dan nisbah gear yang lebih panjang.

    Selain itu, suis manettino telah menerima mod kelima, iaitu tatapan Race, dan sistem brek juga dipertingkatkan, dengan tekanan pedal brek yang dapat diubah dan 10% pengurangan pada brek bagi menghasilkan tindak balas yang lebih cepat dan tepat terhadap input brek.

    Manakala untuk sistem ekzos baharu, perubahan termasuklah geometri baharu untuk keseluruhan jajaran ekzos, di mana ia telah ‘membuang’ dua peredam belakang pada Portofino. Dengan ketiadaan komponen terbabit, ia bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan belakang pada paip ekzos, bahkan menambahbaik bunyi pada sistem tersebut. Sebagai tambahan, injap pintasan baharu diberikan bagi meningkatkan lagi aliran bunyi ekzos.

    Bahagian kabin Portofino M pula tiada perubahan, masih sama seperti sebelum ini. Kluster instrumen dengan dua paparan TFT masih berada di tempat yang sama seperti sebelum ini. Begitu juga dengan sistem infotainmen dan skrin sesentuh sentral 10.25-inci serta sokongan Apple CarPlay/Android Auto.

    Namun terdapat beberapa ciri baharu yang diberikan termasuklah pengudaraan dan tempat duduk dengan fungsi haba, dan elemen tambahan terkini yang paling besar melibatkan komponen bantuan pemanduan dan keselamatan bagi sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), yang ditawarkan secara pilihan.

    Ia menambahkan ciri yang sebelum ini tidak ada seperti kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi Stop&Go, sistem brek kecemasan ramalan (juga dikenali sebagai amaran pelanggaran hadapan dan AEB), pemantauan titik buta, amaran ketibaan lorong, kepekaan lintasan trafik belakang, pengesan isyarat trafik, lampu tinggi automatik dan kamera pandangan sekeliling 3D.

    Bercakap mengenai ADAS, pek tersebut ada pada unit yang dipamerkan di Naza Ferrari, Petaling Jaya, yang merupakan unit pemanduan sebelah kiri (LHD) dengan kemasan luaran Grigio Alloy. Ia turut hadir dengan beberapa ciri spesifik yang didatangkan bersama kos tambahan, termasuklah kaliper brek hitam berkilat, gril sutera/hitam pekat dan lampu utama adaptif dengan fungsi lampu static bending hinggalah ke sistem pemanas leher, tempat duduk elektrik dan juga suspensi dwi-mod Magneride.

    Harga yang ditawarkan adalah RM998k bagi model asas, yang didatangkan dengan ciri standard termasuk lampu utama Xenon dan brek seramik karbon. Menurut Naza Italia, jentera pertama untuk pembeli di Malaysia bakal sampai pada tahun hadapan.

     
     
  • Kaedah gantian bateri untuk kereta elektrik bagi percepat proses caj belum relevan – pakar CEVT

    Kaedah gantian bateri untuk kereta elektrik bagi percepat proses caj belum relevan – pakar CEVT

    Minggu lalu kami telah siarkan satu artikel mengapa kereta elektrik (EV) tidak boleh dicaj sepantas mengisi minyak petrol, hasil temuramah kami bersama Johan Hellsing, pakar prinsipal Pergerakan dan Tenaga di China Euro Vehicle Technology (CEVT) iaitu pusat inovatif milik Zhejiang Geely Holding Group.

    Ramai juga dikalangan pembaca yang mengutarakan persoalan “kenapa tak buat sistem swap sahaja bateri seperti kita tukar tong gas di rumah?” Sebenarnya, dalam temuramah yang sama, kami turut bertanya kepada Hellsing apa pandangan beliau tentang masa hadapan kaedah penggantian bateri berkenaan.

    Menurut Hellsing, kaedah tersebut memang mungkin, tetapi atas beberapa faktor ia belum lagi relevan buat masa sekarang. “Saya tidak menolaknya, tetapi saya tidak dapat mengatakan adakah ia akan berjaya,” katanya.

    Beliau menjelaskan bahawa banyak proses kejuruteraan tambahan perlu dibuat contohnya memberikan pek bateri tersebut kedapan air dan juga menampilkan perlindungan pelanggaran sebaik bateri yang dihasilkan dalam kedudukan tetap seperti bateri EV lazim buat masa sekarang.

    Kaedah gantian bateri untuk kereta elektrik bagi percepat proses caj belum relevan – pakar CEVT

    “Apa yang berlaku di China sekarang adalah sangat menarik untuk diikuti, kerana dari perspektif teknologi ia boleh diselesaikan. Sudah tentu pasti ada keperluan yang lebih tinggi – kereta akan jadi lebih mahal, dan juga lebih berat, tetapi jika ada peluang perniagaan, ia mungkin akan direalisasikan,” katanya.

    Peluang perniagaan yang dimaksudkan oleh Hellsing adalah ia perlu menjadi perniagaan skala besar dan bateri tersebut bukan hanya boleh digunakan pada kereta. Sekiranya bateri tersebut boleh menjadi sumber tenaga bagi sektor lain selain kereta, permintaanya sudah tentu menjadi tinggi dan kaedah ini mungkin akan diimplementasikan.

    “Saya rasa kunci utama untuk menentukannya adalah adakah ia akan menjadi skala besar bagi menjadikan bateri-bateri yang tidak digunakan pada kereta bukan hanya disimpan (untuk menunggu kereta seterusnya).” jelas beliau.

    Ini bukan kali pertama individu dari Geely menjelaskan bahawa kaedah gantian bateri ini belum lagi relevan sebagai teknologi arus perdana buat masa sekarang. Jun lalu, ketua jurutera untuk platform kereta elektrik SEA Geely Auto Group, Kent Bovellan turut menyatakan perkara yang sama kepada paultan.org dalam satu sesi temuramah.

    Kaedah gantian bateri untuk kereta elektrik bagi percepat proses caj belum relevan – pakar CEVT

    Bagi yang belum mengetahui, bateri kereta elektrik bukanlah seperti bateri 12V yang anda lihat pada kereta berkuasa petrol atau diesel. Bateri EV ini bersaiz sangat besar dan berat, sehinggakan faktor utama kereta elektrik lebih berat dari kereta konvensional adalah kerana bateri berkenaan.

    Kebanyakkan kereta elektrik sekarang termasuk Tesla dan model-model dari platform SEA Geely sendiri, bateri berkenaan dijadikan sebagai lantai, bukan sahaja untuk memastikan ia tidak akan mengorbankan ruang, malah ia juga membolehkan kereta tersebut mendapat titik graviti yang rendah.

    Oleh itu, bateri-bateri kereta EV ini perlu dihasilkan benar-benar kedap air, dan ia juga perlu mempunyai perlindungan yang cukup baik sekiranya kereta berkenaan terlibat dalam kemalangan – sekarang bayangkan untuk menjadikan sesuatu yang cukup besar dan berat, serta dihasilkan dengan cukup ‘kebal’ sebegini perlu dibuat agar ia mudah dibuka dan dipasangkan kembali.

    Kaedah gantian bateri untuk kereta elektrik bagi percepat proses caj belum relevan – pakar CEVT

    “Pertama sekali, saya memilih kaedah bateri bersepadu kerana saya mahu menghasilkan struktur seni bina paling ringan yang mungkin berdasarkan saiz kenderaan. Jadi, saya memilih kaedah bateri bersepadu untuk SEA. Geely turut membuat penyelidikan kaedah penggantian bateri tetapi rekaan anda akan menjadi sangat terhad dari segi dimensi dan saya tak rasa kaedah penggantian bateri ini akan menjadi sesuatu yang besar sebelum kami mencapai standard,” jelas Bovellan.

    Standard yang dimaksudkan Bovellan adalah sebelum kaedah penggantian bateri dapat diimplementasikan sepenuhnya, semua pengeluar perlu menetapkan satu standard yang sama contohnya saiz dan juga kesesuaian lain bagi memastikan bateri tersebut boleh digunakan untuk semua kereta, seperti sistem mengecaj buat masa sekarang.

    “Anda boleh bayangkan untuk semua EV, untuk mengecaj, mereka mempunyai penghubung berbeza, tentu akan celaru. Setiap syarikat perlu letak fasiliti pengecj mereka. Ia sama sekali serupa apa yang akan terjadi dengan kaedah penggantian. Jika kita tidak ada standard, semua orang perlu membuat stesen mereka sendiri dan memerlukan bateri mereka sendiri pada setiap stesen…ia tentu celaru,” jelasnya.

    Stesen penggantian bateri untuk MPV Maple 80V

    Walau bagaimanapun, Geely tidak membiarkan sahaja teknologi penggantian bateri ini tanpa sebarang penyelidikan. Kerana nampak potensi yang ada pada teknologi tersebut, tahun lalu Geely Technology Group mendemonstrasikan kaedah berkenaan pada MPV Maple 80V, iaitu MPV Geely Jiaji dalam versi elektrik sepenuhnya dihasilkan berdasarkan platform CV.

    Maple 80V merupakan produk pertama Geely yang menampilkan teknologi penggantian bateri. Dengan teknologi ini, bateri yang sudah kekurangan kuasa pada MPV tersebut boleh digantikan dengan bateri yang sudah siap dicaj menerusi stesen penggantian pandu lalu, dan keseluruhan proses dilakukan secara automasi dan mengambil masa hanya 90 saat.

    Menurut Geely, mereka telah mewujudkan 39 stesen penggantian bateri tersebut di China, serta sudah merancang untuk menambah 200 lokasi lagi menjelang 2023, dan sehingga 1,000 lokasi menerusi perjanjian yang telah dibuat.

     
     
  • Tarik balik, hadkan lesen memandu berdasarkan umur pilihan terakhir, tahap kesihatan perlu disahkan – Wee

    Tarik balik, hadkan lesen memandu berdasarkan umur pilihan terakhir, tahap kesihatan perlu disahkan – Wee

    Susulan cadangan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang mengesyorkan syarat khas dikenakan untuk pemegang lesen memandu (LLM) dalam kalangan warga emas sebelum mereka dibenarkan memperbaharui dokumen tersebut, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pula berkata sama ada menarik balik atau mengehadkan lesen kepada individu berdasarkan umur mereka seharusnya merupakan pilihan terakhir. Ia dilakukan selepas tahap kecergasan seseorang untuk memandu disahkan secara telus menerusi satu ujian yang diiktiraf, laporan Bernama.

    “Ramai pemandu berusia lebih 70 tahun mempamerkan kemahiran memandu lebih baik berbanding pemandu lebih muda. Satu sudut yang lebih meluas, lebih menyeluruh termasuk keperluan pergerakan dan faktor sosioekonomi lain patut difikirkan, bukan hanya faktor usia.

    “Keistimewaan LLM diberikan oleh pihak berkuasa pengangkutan jalan sebagai satu akreditasi kepada seseorang yang sudah mempamerkan kebolehan untuk mengendalikan sesebuah kenderaan di atas jalan raya dengan memuaskan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” jelasnya lagi.

    Tarik balik, hadkan lesen memandu berdasarkan umur pilihan terakhir, tahap kesihatan perlu disahkan – Wee

    Seksyen 30 Akta 333 juga menyatakan pemegang lesen boleh menyerahkan lesen mereka di mana-mana pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan secara sukarela atas faktor kesihatan yang mungkin boleh membahayakan pengguna jalan raya lain, kata beliau.

    Mengenai laporan yang mencadangkan untuk mengehadkan pengeluaran Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau lebih dikenali sebagai “Cukai Jalan”kepada mereka yang berumur 70 tahun dan ke atas, Dr Wee berkata seorang individu boleh sahaja meminjam kenderaan pemilik lain untuk mengelak peraturan itu.

    Ka Siong berkata sebarang perubahan dasar berkaitan LMM dan LKM perlu ditangani secara sistematik, pendekatan berasaskan bukti dan ditangani secara berpandangan jauh.

    “Dengan menafikan seorang pemandu keperluannya untuk memandu dengan alasan faktor umur mereka atau bukti yang terpencil atau menggunakan anekdot adalah satu diskriminasi,” katanya.

     
     
  • Kebenaran rentas negeri dijangka dimuktamadkan pada pertengahan Oktober ini – Hishamuddin

    Kebenaran rentas negeri dijangka dimuktamadkan pada pertengahan Oktober ini – Hishamuddin

    Sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berkenaan dengan pergerakan rentas negeri bakal dibenarkan dalam tempoh beberapa minggu lagi, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut mengesahkan perkara yang sama hari ini.

    Beliau berkata, perkara tersebut akan dimuktamadkan dalam tempoh tiga minggu lagi iaitu pada pertengahan Oktober ini. Kerajaan dijangka membuat keputusan tersebut selepas beberapa langkah menyegerakan vaksinasi populasi dewasa diambil dalam masa terdekat, laporan Berita Harian.

    Susulan perkara tersebut, beliau telah mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan orang ramai menerima vaksin lengkap dalam masa terdekat, sekali gus mencapai sasaran 90% dalam tempoh itu.

    Antara tindakan segera akan dilaksanakan ATM ialah menggerakkan lebih banyak Combat Medic Vaccination Team (CMVT) untuk membantu KKM memvaksin masyarakat di kawasan pendalaman. Malahan ATM juga diarahkan memperluaskan program vaksinasi pandu lalu yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi warga ATM kepada orang awam, bagi menyegerakan sasaran.

    Kebenaran rentas negeri dijangka dimuktamadkan pada pertengahan Oktober ini – Hishamuddin

    “Insya-Allah, kebenaran rentas negeri yang ditunggu-tunggu ramai akan diumumkan dalam masa terdekat. Apa perancangan yang kita lakukan bersama KKM itu kita harap dapat dijayakan dalam tiga minggu ini. Jadi sebelum ia (rentas negeri diumumkan) banyak perkara yang perlu difikirkan dari segi prosedur operasi standard (SOP) serta tanggungjawab agensi dalam melaksanakan pemantauan.

    “SOP rentas negeri kita akan umumkan sebelum pengumuman kebenaran rentas negeri dibuat dan ia akan diperincikan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, minggu depan,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut berkata, disiplin orang ramai akan menjadi elemen paling penting apabila kebenarkan rentas negeri diberikan.

    “Adalah mustahil untuk kerajaan pantau dan laksanakan SOP menjaga setiap rakyat yang diberi kebenaran merentas negeri. Sebab itu disiplin orang ramai amat penting apabila menikmati kelonggaran yang bakal diumumkan,” katanya.

     
     
  • Syor syarat khas lesen memandu warga emas; tempoh baharui lesen dihadkan, perlu surat doktor – PDRM

    Syor syarat khas lesen memandu warga emas; tempoh baharui lesen dihadkan, perlu surat doktor – PDRM

    Polis mengeluarkan cadangan kepada kerajaan untuk mengesyorkan syarat khas dikenakan untuk pemegang lesen memandu dalam kalangan warga emas sebelum mereka dibenarkan memperbaharui dokumen tersebut.

    Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias yang berkata, cadangan memperkenalkan syarat khas itu adalah untuk tujuan menjaga keselamatan golongan berkenaan sendiri dan pengguna jalan raya yang lain, laporan Berita Harian.

    Katanya, kesihatan tubuh badan seperti mempunyai penyakit alzheimer dan masalah mata yang sering dihadapi warga emas juga antara faktor kemalangan.

    “Kita lihat kes-kes memandu melawan arus sudah menjadi seperti satu trend pula, ada juga kes melibatkan orang tua berusia 60 dan 70 tahun ke atas. Ia secara tidak langsung boleh menyebabkan kemalangan di jalan raya

    Syor syarat khas lesen memandu warga emas; tempoh baharui lesen dihadkan, perlu surat doktor – PDRM

    “Warga emas berusia 70 tahun ke atas ini ada yang mempunyai penyakit mudah lupa atau nyanyuk dan kebanyakan kes lawan arus melibatkan golongan ini disebabkan salah masuk jalan. Ada kes sebelum ini warga emas memandu kenderaan memasuki lorong motosikal,” katanya pada sidang media khas hari ini.

    Azisman turut menambah, syarat seperti warga emas menjalani pemeriksaan doktor dan mendapat surat pengesahan bahawa mereka sihat untuk memandu adalah bagi menjaga keselamatan diri dan pengguna lain.

    “Sepatutnya golongan warga emas hanya dibenarkan memperbaharui lesen dengan syarat mempunyai pengesahan daripada doktor yang menyatakan individu berkenaan mampu untuk memandu dari segi mental dan fizikal. Tempoh pembaharuan lesen buat warga emas juga seharusnya dihadkan untuk jangka masa pendek supaya pihak berkenaan dapat membuat penilaian terhadap kemampuan golongan itu untuk berada di jalan raya.

    “Sekarang, lesen memandu boleh diperbaharui sehingga tempoh lima tahun. Jika warga emas usia 70 tahun memperbaharui LKM bagi tempoh lima tahun, tidak sesuai sama sekali kerana faktor usia,” katanya yang turut mencadangkan pembaharuan lesen memandu warga emas dihadkan hanya untuk tempoh setahun dengan syarat tertentu.

     
     
  • Volvo perkenal logo Iron Mark baru yang lebih ringkas, bakal digunakan pada model baru menjelang 2023

    Volvo perkenal logo Iron Mark baru yang lebih ringkas, bakal digunakan pada model baru menjelang 2023

    Seiring dengan era baru yang akan menyaksikan Volvo hanya akan menghasilkan model berkuasa elektrik selepas ini, jenama automotif Sweden berkenaan kini sudah pun memperkenalkan logo korporat baharunya.

    Sama seperti pengeluar lain seperti Volkswagen, Nissan, BMW, Kia dan banyak lagi, logo era baharu Volvo ini turut menampilkan simbol ‘Iron Mark’ (atau besi Sweden) yang ikonik dengan rekaan monokrom yang lebih ringkas serta berunsur dua dimensi.

    Logo baru berkenaan dilihat sudah digunakan oleh pelbagai divisi dalam Volvo, termasuk di Malaysia. Ada laporan mengatakan Volvo akan menggunakan logo ini pada kereta mereka bagi model baharu yang muncul pada tahun 2023 dan ke atas. Namun sehingga kini masih lagi belum ada kenyataan rasmi dari Volvo berkenaan logo baharu tersebut.

     
     
  • Bateri kereta elektrik tidak akan dapat dicaj sepantas kita mengisi petrol dalam masa terdekat – pakar CEVT

    Bateri kereta elektrik tidak akan dapat dicaj sepantas kita mengisi petrol dalam masa terdekat – pakar CEVT

    Selain dari range anxiety atau kegusaran sama ada kuasa elektrik yang dibekalkan oleh bateri cukup atau tidak untuk sampai ke destinasi, jumlah masa yang diperlukan untuk mengecaj bateri adalah satu lagi faktor mengapa kereta elektrik masih lagi belum menjadi pilihan orang ramai sebagai medium pengangkutan utama.

    Buat masa sekarang, teknologi paling canggih yang ada di dunia iaitu pengecaj pantas DC Tahap 3 (DCFC) dengan kuasa 350 kW sehingga 400 kW sudah pun mampu untuk memenuhkan bateri sehingga 80% dalam masa sekitar 20 minit.

    Walaupun teknologi dilihat sangat menakjubkan, ia masih lagi tidak sepantas proses mengisi semula bekalan bahan api petrol atau diesel ke dalam tangki yang secara purata mengambil masa 7 minit, termasuk proses membuat bayaran. Namun dengan teknologi bateri yang semakin canggih, adakah proses mengecaj kereta elektrik akan dapat dibuat dalam masa sesingkat kita mengisi minyak?

    Bateri kereta elektrik tidak akan dapat dicaj sepantas kita mengisi petrol dalam masa terdekat – pakar CEVT

    Menurut Johan Hellsing, pakar prinsipal Pergerakan dan Tenaga di China Euro Vehicle Technology (CEVT) iaitu pusat inovatif milik Zhejiang Geely Holding Group, beliau percaya bahawa teknologi bagi menjadikan proses caj kereta elektrik sepantas mengisi tangki bahan api tidak akan tercapai.

    “Pendapat peribadi saya adalah saya tak rasa kita semakin hampir (kepada teknologi itu). Masih banyak kesukaran yang perlu kami hadapi, tetapi untuk mencapai tahap seperti mengisi bahan api kereta, saya tak rasa kita akan mencapainya. Ia adalah sangat susah dan terlampau mahal,” katanya kepada paultan.org dalam satu sesi temuramah baru-baru ini.

    “Pola fikirnya sudah tentu anda mahukan agar ia boleh dicaj sepantas anda mengisi minyak, dan memang ada beberapa teknologi bateri yang mungkin boleh mencapai sekitar 10 minit untuk caj penuh, tetapi ia agak mahal. Mungkin ada kes di mana mustahil bagi grid untuk menangani kuasa sebegitu dalam masa yang pendek, jadi anda mungkin perlu mempunyai simpanan tenaga lokal, bermaksud ia memerlukan kos tambahan,” tambah Hellsing.

    Bateri kereta elektrik tidak akan dapat dicaj sepantas kita mengisi petrol dalam masa terdekat – pakar CEVT

    Beliau menyatakan bahawa kelebihan untuk mengecaj dengan sangat pantas kini semakin kecil, terutamanya di persekitaran urban, di mana kebanyakkan orang akan mengecaj kereta pada waktu malam menerusi pengecaj biasa. Untuk perjalanan jarak jauh, tempoh mengecaj 15 hingga 20 minit yang sedang diusahakan oleh beberapa pengeluar mungkin boleh digunakan, kerana tempoh tersebut juga membolehkan pemandu berehat serta meregangkan kaki dan tangan.

    “Jika anda sedang dalam perjalanan jarak jauh dan perlu mengecaj di tengah perjalanan, ia mungkin masa yang baik untuk berehat juga,” katanya. Walau bagaimanapun, ini hanyalah pendapat peribadi Hellsing, dan kita sendiri masih lagi tidak tahu bagaimana teknologi ini boleh berkembang pada masa hadapan bukan?

     
     
  • BMW 3 Series Gran Sedan G28 di Thai dapat varian 320Li Luxury – dari RM309k; bakal dijual di M’sia?

    BMW 3 Series Gran Sedan G28 di Thai dapat varian 320Li Luxury – dari RM309k; bakal dijual di M’sia?

    BMW Thailand telah memperkenalkan varian asas baharu bagi BMW 3 Series Gran Sedan G28 (atau kita lebih kenalinya sebagai 3 Series LWB di Malaysia), dengan 320Li Luxury kini menyertai 330LI M Sport yang telah pun dilancarkan sejak Februari.

    Ditawarkan pada harga 2.469 juta baht (RM309,420), 320Li Luxury ini lebih murah berbanding 330LI M Sport yang berharga 2.899 juta baht (RM363,429), dengan kedua-duanya diberikan pakej standard BSI termasuk waranti tiga-tahun, perbatuan tanpa had, serta penyelenggaraan percuma untuk tiga tahun atau 60,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

    Untuk 320LI, ia diberikan enjin B48 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dengan kuasa 184 PS (181 hp) dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 300 Nm dari 1,350 hingga 4,000 rpm. Turut dipadankan dengan transmisi automatik Steptronic lapan-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda belakang, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 8.1 saat dan kelajuan maksimum cecah 235 km/j.

    330Li juga menggunakan enjin B48 yang sama, tetapi dengan lonjakan kuasa yang lebih tinggi iaitu 258 PS (255 hp) dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 400 Nm dari 1,550 hingga 4,400 rpm. Ia turut menerima kotak gear automatik Steptronic Sport lapan-kelajuan, tetapi pecutan lebih pantas bagi 0-100 km/j iaitu dalam 6.2 saat dan kelajuan tertinggi pula cecah 250 km/j.

    Bagi segi kelengkapannya, 320LI diberikan pakej penampilan Luxury Line dengan imej yang lebih ‘chill’ berbanding gaya agresif pada kit 330 Li M Sport, dan tidak diberikan pakej BMW Individiual high-gloss Shadow Line. Roda bicolour juga sama saiz dengan 330Li iaitu 18-inci, tetapi dengan rekaan pelbagai-jejari dan tayarnya pula dengan profil 225/45.

    Lain-lain perbezaan termasuklah tiada paparan utama, sistem bunyi Harmon Kardon (hanya larasan HiFi biasa) dan roda stereng M Sport pada 320Li, sementara kemasan dalaman pula dengan kayuan oak berbanding Aluminium Tetragon. Ia juga tidak diberikan Bantuan Pemanduan, jadi tiada AEB, amaran ketibaan lorong, amaran menukar lorong, amaran pelanggaran hadapan, amaran lintasan trafik dan pengelak pelanggaran belakang.

    Manakala ciri yang dikongsikan oleh kedua-dua varian termasuklah lampu utama LED dengan bantuan lampu tinggi, tailgate larasan kuasa, kemasukan tanpa kunci Comfort Access, bumbung kaca panorama, upholstery kulit hitam Vernasca, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori, papan pemuka Sensatec, sistem pencahayaan ambien, kawalan suhu tiga-zon, sistem Live Cockpit Professional dan perkhidmatan ConnectedDrive. Ia juga masih diberikan sistem kawalan kelajuan pasif berbanding aktif.

    320Li di Thailand boleh ditempah dalam warna Cashmere Silver atau Mineral White (tiada pilihan Carbon Black) dengan jahitan dekor Mocha; dan Mineral White turut diberikan dua pilihan; Mocha dan Cognac.

    Sebelum ini kami melaporkan yang 3 Series Gran Sedan yang dijual di Thailand sebenarnya diimport dari Malaysia, dipasang oleh BMW Group Malaysia di kilang Inokom di Kulim, Kedah. Kemungkinan kita juga akan menerima varian 320Li pada masa hadapan, tetapi perkara ini belum disahkan lagi.

    Dengan pengecualian cukai jualan yang masih berlangsung, 330Li M Sport di Malaysia buat masa ini berharga RM277,164 OTR tanpa insurans dan waranti standard dua-tahun, tanpa had perbatuan. Melihat barisan 3 Series Gran Sedan di Thailandm 320Li adalah 15% lebih murah berbanding 330Li, dan jika dijual di sini, mungkin 320Li boleh berharga sekitar RM235k.

    Walau bagaimana pun, ia tidak dapat dipastikan lagi, tetapi jumlah yang diekstrapolasi adalah sekitar lebih RM5k berbanding 320i Sport yang berharga RM230,764. Jurang harga antara versi roda standard 330i M Sport dan 330Li M Sport pula tidak begitu jauh iaitu hampir RM6k. Apa pun, kena nantikan perkembangan selanjutnya adakah 320Li ini akan dijual di pasaran kita atau tidak.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024