Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • VIDEO: 5 perkara sempoi tentang Perodua Ativa 2021

    Perodua Ativa 2021 telah pun diperkenalkan semalam. Maka, dah banyaklah perkara tentang SUV kompak terbaru ini yang telah diperincikan. Jika inginkan laporan yang komprehensif tentang model ini, boleh rujuk artikel pelancaran rasmi Ativa yang kami sediakan.

    Tetapi, kalau nak tahu secara ringkas apa keunikan yang ada pada Ativa, boleh rujuk video ini. Antaranya berkaitan ciri menarik, kelebihan berbanding model kembarnya dari Jepun serta perkara yang menjadi keunikan SUV kompak terbaru Perodua ini.

    Lain-lain hal tentang Ativa yang mungkin anda berminat untuk tahu juga ada, sebagai contoh tentang pakej aksesori Gear Up, ujian ASEAN NCAP, kemungkinan varian hibrid serta perbezaannya berbanding model kembar Daihatsu Rocky dan Toyota Rocky.

    Perodua Ativa 1.0L Turbo AV 2021

     
     
  • Volvo akan kurangkan model wagon dan sedan untuk bagi laluan lebih kepada SUV yang semakin popular

    Volvo akan kurangkan model wagon dan sedan untuk bagi laluan lebih kepada SUV yang semakin popular

    Sebelum kemunculan SUV XC90 pada tahun 2002, Volvo terlebih dahulu terkenal dalam penghasilan model-model wagon yang bukan sahaja praktikal, malah nampak begitu menarik. Namun disebabkan buat masa sekarang 75% dari jumlah keseluruhan jualan model baharu mereka adalah SUV, jenama Sweden berkenaan dilaporkan akan terus mengikut kemahuan pelanggan yang lebih gemarkan kenderaan utiliti lebih tinggi berkenaan.

    Jadi bukan sahaja wagon, Volvo juga bakal mengurangkan barisan model sedan mereka bagi memberi ruang lebih kepada penghasilan SUV baharu, lapor Autocar.

    Halatuju Volvo ini sebenarnya sudahpun boleh kita lihat – semua siri barisan model mereka telah pun lengkap dengan SUV iaitu XC40, XC60 dan juga XC90. Malah untuk siri-40 yang paling kecil, sedan S40 dan hatchback V40 generasi baharu belum lagi dilancarkan, dan ia terlebih dahulu dimulakan dengan SUV kompak XC40.

    Volvo akan kurangkan model wagon dan sedan untuk bagi laluan lebih kepada SUV yang semakin popular

    Malah model coupe dengan kod abjad ‘C’ seperti C70 dan C30, juga kini telah diperkenalkan dalam bentuk coupe crossover elektrik sepenuhnya iaitu Volvo C40 Recharge P8 AWD yang baru didedahkan minggu ini.

    “Secara tradisional, kami perlu ada sedan, wagon dan SUV. Sekarang kami jual sekitar 75% SUV, bermaksud kami perlukan lebih SUV. Sekarang kami ada C40 Recharge, dan kami sedang rancang untuk hasilkan SUV lebih kecil dari siri-40, ” kata CEO Volvo, Hakan Samuelsson kepada portal automotif berkenaan.

    “Kami hanya perlu kurangkan varian sedan dan wagon; kami ada banyak wagon hari ini, dengan V60, V90, Cross Country, bukan-Cross Country, dan sangat banyak sedan kecil dan besar, panjang dan sangat panjang. Kami perlu beralih dari wagon dan sedan; kami akan kekalkan model-model ini pada masa hadapan, tetapi tidak banyak.

    “Kami perlu lebih banyak jenis SUV dari kenderaan elektrik yang tinggi. Itu adalah hala tuju kami sekarang dan apa yang kami ada dalam barisan pembangunan,” jelas Samuelsson. Selain dari mahu memperkenalkan lebih banyak SUV, Volvo juga sebelum ini telah mengumumkan bahawa mereka hanya akan menjual kereta elektrik bermula pada tahun 2030.

    Volvo kini sedang membangunkan SUV kompak yang lebih kecil dari XC40 berdasarkan platform SEA baharu yang dibangunkan oleh Geely, mungkin akan diberikan nama XC20 atau C20, menurut Autocar lagi.

    Firma Scandinavia tersebut juga kini sedang membangunkan XC90 dalam versi elektrik. Malah dalam satu slaid pembentangan Volvo, mereka mendedahkan bahawa sejumlah tujuh model elektrik sepenuhnya akan dilancarkan menjelang 2025 bagi membolehkan separuh dari model yang mereka jual adalah terdiri dari model EV.

     
     
  • Perodua bagi petunjuk serius untuk hasilkan model hibrid pada masa hadapan, tapi tidak pada Ativa

    Perodua bagi petunjuk serius untuk hasilkan model hibrid pada masa hadapan, tapi tidak pada Ativa

    Kita sudah tahu bahawa Perodua Ativa adalah model yang diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) – platform ini sememangnya dibangunkan sekali dengan pilihan penggerak hibrid elektrik. Malah di Jepun, kembar Ativa iaitu Daihatsu Rocky dalam versi hibrid kini sedang dibangunkan, dijangka bakal diperkenalkan tahun ini juga.

    Pada Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018, Perodua juga ada mempamerkan mock-up sistem hibrid yang akan mereka terima pada masa akan datang. Jadi, adakah menerusi Ativa ini Perodua akan memperkenalkan model hibrid elektrik pertama mereka?

    Dalam sesi soal jawab bersama media selepas sesi pandu uji ringkas Perodua Ativa di Rawang minggu lalu, Presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad tidak menafikan bahawa syarikatnya kini sedang dalam perbincangan dengan Daihatsu berkenaan teknologi elektrifikasi ini.

    “Saya tak nafikan bahawa kami kini sedang berbincang dengan rakan kerjasama kami Daihatsu berkenaan elektrifikasi,” katanya dan menjelaskan bahawa kini mereka mempunyai pelbagai perkara yang perlu dipertimbangkan dan juga idea berkenaan penggunaan teknologi tersebut pada model-model Perodua.

    Perodua bagi petunjuk serius untuk hasilkan model hibrid pada masa hadapan, tapi tidak pada Ativa

    Ini adalah kerana anda perlu lihat kepada objektif sebenar dan keperluan terhadap elektrifikasi, sama ada untuk manfaat kepada alam sekitar atau untuk teknologi. Jika kami mahu mencapai elektrifikasi penuh bagi tujuan pemuliharaan alam sekitar, jadi keseluruhan rantaian tenaga – termasuk kereta – sepatutnya juga perlu mesra alam,” kata bos besar Perodua berkenaan.

    Maksud Zainal, objektif untuk mencapai manfaat untuk pemuliharaan alam sekitar tidak akan tercapai sekiranya sumber utama elektrik dalam negara masih dijana oleh arang batu dan kita perlu lihat alternatif lain seperti penjana hidroelektrik.

    Jadi bagi meningkatkan tahap teknologi dalam industri automotif secara keseluruhan, infrastruktur sokongan juga perlu dibangunkan. “Ia perlu berjalan serentak,” jelas Zainal.

    Zainal menyatakan bahawa perbincangan berkenaan perkara ini dengan Daihatsu memang sudah berlaku dan ia benar, namun Perodua tidak boleh mendedahkan teknologi elektrifikasi jenis bagaimana dirancang untuk digunakan dalam masa terdekat. Tapi apa yang pasti untuk melihat sebuah model Perodua yang dijana oleh elektrik sepenuhnya adalah masih lagi jauh, dan pilihan paling hampir adalah teknologi hibrid.

    Perodua bagi petunjuk serius untuk hasilkan model hibrid pada masa hadapan, tapi tidak pada Ativa

    “Walau bagaimanapun, kami telah membuat penyelidikan dan mendapati bahawa berdasarkan perancangan, infrastruktur dan sumber tenaga sedia ada dalam negara, pilihan terbaik untuk kami adalah hibrid. Ia adalah titik di mana kami boleh menyeimbangkan antara impak kepada alam sekitar dan penjimatan bahan api. Kami masih sedang mengkaji pilihan ini, dan apabila tiba masanya, kami akan membuat pengumuman rasmi,” katanya.

    Namun, Perodua telah mengesahkan bahawa Ativa tidak akan ditawarkan dalam versi hibrid seperti Rocky nanti. Tetapi mereka sangat bersungguh dengan teknologi tersebut kerana Perodua adalah jenama yang berbangga dengan penjimatan bahan api untuk setiap model keluaran mereka.

    Buat masa sekarang dengan teknologi konvensional, Perodua sudahpun mampu untuk menghasilkan kereta yang mampu bergerak sejauh 22.5 km dengan hanya 1 liter petrol. Jadi dengan teknologi hibrid nanti mereka pasti boleh melangkaui apa yang telah dicapai sekarang.

    “Mana-mana teknologi yang membolehkan kami mencapai tahap maksimum tersebut, kami akan mempertimbangkannya,” kata Zainal.

     
     
  • Perodua Ativa dapat lima bintang dalam ujian ASEAN NCAP – model Asean pertama diuji guna protokol baru

    Perodua Ativa dapat lima bintang dalam ujian ASEAN NCAP – model Asean pertama diuji guna protokol baru

    Perodua Ativa yang baru sahaja dilancarkan hari ini telah diuji dalam program Penilaian Kenderaan Baru Asean (Asean NCAP) dan ia telah mendapat lima bintang dalam semua empat kategori yang dilalui – Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP), bantuan keselamatan serta keselamatan kepada penunggang motosikal (termasuk pemerhati titik buta dan perlindungan pejalan kaki).

    Dalam program ini, jumlah mata yang diberikan untuk setiap kategori ujian mengikut susunan seperti di atas adalah masing-masing 40%, 20%, 20% dan 20%. Bagi Ativa, ia telah mencatat 37.48, 17.36, 18.57 dan 10.00 mata. Asean NCAP turut menyatakan bahawa Ativa adalah model pertama dalam benua ini yang diuji dalam protokol 2021-2025 yang terbaru.

    Data daripada ujian offset hadapan menunjukkan bahawa perlindungan bagi kedua-dua penumpang di hadapan adalah baik, sementara perlindungan yang diberikan pada dada penumpang serta kaki adalah memadai. Data daripada ujian perlanggaran tepi pula menunjukkan perlindungan dada pemandu adalah mencukupi. SUV Perodua ini mencatat mata 14.08 untuk perlanggaran hadapan, 7.90 untuk perlanggaran tepi dan 8.00 untuk teknologi perlindungan kepala.

    Bagi perlindungan penumpang kanak-kanak, daripada 20 mata penuh, Ativa diberikan 17.36, dan lain-lain ia mencatat 24.00 untuk ujian dinamik, 9,00 untuk ujian asas kenderaan dan 11.26 untuk ujian pemasangan kelengkapan. Sistem kekangan untuk patung ujian sama seperti kanak-kanak 18 bulan yang digunakan adalah Maxi Cosi Cabriofix menghadap ke belakang, dipasang menggunakan Isofix dan tapak sokongan di bawah, sementara untuk patung seperti kanak-kanak tiga tahun, ia menggunakan Joie Stages ISOFIX.

    Dalam ujian dinamik penumpang kanak-kanak, Ativa mencatat 8,00 mata bagi perlanggaran hadapan, 4.00 bagi perlanggaran tepi dan 4.00 bagi perlanggaran tepi, memberikan jumlah keseluruhan 12.00 mata bagi patung ujian kanak-kanak 18 bulan dan tiga tahun.

    Pergi pula kepada kategori bantuan keselamatan, Ativa mencatat mata 6.00 untuk brek secara berkesan dan penghindaran, 4.50 untuk peringatan tali pinggang, 6.00 untuk brek kecemasan autonomous serta 3.00 untuk advance SAT, seterusnya memberikan mata keseluruhan 19.50.

    Perodua Ativa dapat lima bintang dalam ujian ASEAN NCAP – model Asean pertama diuji guna protokol baru

    Penilaian baru bagi Asean NCAP 2021-2025, iaitu Autonomous Emergency Braking (AEB) menyaksikan fungsi serta keberkesanan sistem AEB City dan AEB Inter-Urban yang dipasang pada Ativa diuji. Kedua-dua sistem ini diberikan secara standard untuk semua varian, dan ia telah disahkan berfungsi dengan baik mengikut syarat Asean NCAP.

    Penilaian teknologi titik buta sudah pun diperkenalkan dalam protokol 2017-2020, dan protokol 2021-2025 yang baru ini terus melakukannya di bawah kategori keselamatan penunggang motosikal. Dalam ujian ini, Ativa mencatat mata 4.00 untuk pengesan titik buta, 0.00 bagi pandangan belakang, 2.00 untuk lampu hadapan, 2.000 untuk pejalan kaki dan 0.00 untuk Advanced MST, menjadikan keseluruhannya 8.00 mata.

    Secara keseluruhannya, Ativa yang diuji dalam kategori kenderaan SUV telah mencatat mata 83.40, dan melayakkan ia untuk mendapat penarafan Asean NCAP lima bintang. SUV terbaru Perodua ini telah mula dijual dengan harga antara RM61,500 hingga RM72,000 tidak termasuk insurans.

     
     
  • Perodua Ativa 2021 – beza dengan kembar, Daihatsu Rocky dan Toyota Raize yang dipasarkan di Jepun

    Perodua Ativa 2021 – beza dengan kembar, Daihatsu Rocky dan Toyota Raize yang dipasarkan di Jepun

    Perodua Ativa akhirnya sudah pun dilancarkan hari ini, tapi pastinya masih banyak persoalan berkenaan SUV kompak ini. Ramai yang sudah tahu ia menggunakan asas sama seperti Daihatsu Rocky dan Toyota Raize, tapi apa lagi bezanya? Di sini kami nyatakan.

    Sudah tentu, penampilan tiga model ini adalah berbeza, tetapi ada juga beberapa perubahan yang menjadikannya nampak lain. Paling mudah untuk mengenali Ativa berbanding Rocky dan Raize adalah melalui muka depan. Gril berbentuk V pada Ativa adalah lebih besar berbanding gril enam bucu pada Rocky dan jalur nipis pada Raize, sementara lampu utama LED pula masih sama.

    Seperti Rocky, gril Ativa juga menggunakan jalur melintang, tetapi bagi memastikan ia padan dengan cita rasa orang Malaysia, Perodua menggunakan dua jalur krom (varian X yang asas hanya ada satu jalur) dan logo Perodua di bahagian tengahnya. Bonjolan pada bucu bampar untuk bahagian perumah lampu kabus Ativa juga lebih menghampiri Rocky, tetapi dengan kemasan plastik hitam berbentuk L terbalik.

    Konsep rekaan sama turut digunakan pada bahagian belakang, namun ia diganti dengan pemantul cahaya warna merah. Satu rekaan unik yang digunakan oleh Ativa, tetapi tiada pada Rocky dan Raize adalah kemasan seperti skid plate di bahagian tengah bampar hadapan dan belakang.

    Pilihan rim 17 inci dua tona pada Ativa juga adalah lain – sementara Rocky dan Raize masing-masing menggunakan rekaan enam dan lima cabang yang lebih ringkas, Ativa pula mempunyai rekaan sepuluh cabang dengan lima daripadanya berwarna hitam. Rekaan rim ini nampak lebih kompleks.

    Rekaan rim 16 inci pada varian asas Ativa X juga adalah berbeza, di mana ia menggunakan cabang berpecah yang lebih bergaya berbanding rekaan seperti turbin pada dua model lain. Hiasan pada bahagian tengah pintu but, yang menyambungkan lampu kiri dan kanan juga diubah daripada warna hitam pada dua model Jepun itu, kepada warna krom untuk Ativa.

    Satu lagi fakta berkenaan set roda, Rocky dan Raize di Jepun tidak diberikan tayar gantian kerana ruang berkenaan digunakan sebagai ruang kargo tambahan. Manakala untuk Ativa, ia bukan sahaja diberikan tayar ganti bersaiz penuh, malah dibekalkan dengan rim yang sama seperti rim yang sedang digunakan di luar.

    Cermin sisi Ativa diambil daripada Aruz, dan ia nampak lebih kemas berbanding unit yang kelihatan murah pada Rocky dan Raize. Ia disepadukan dengan lebih baik dengan pemegang di bawahnya dan mempunyai lampu penunjuk arah yang lebih panjang dan nipis. Pada bahagian segi tiga berhampiran tiang A pula terdapat jalur aerodinamik yang dikatakan dapat mengurangkan bunyi bising pada cermin tersebut.

    Sistem masuk tanpa kunci diberikan pada semua varian Ativa. Walaubagaimanapun, pengesan sensitif sentuhan hanya disediakan pada pembuka pintu pemandu. Rocky dan Raize pula mempunyai pengesan ini pada pintu penumpang hadapan, menjadikannya lebih praktikal. Pintu but belakang masih boleh dibuka tanpa kunci.

    Masuk ke dalam, keadaan untuk tiga model ini adalah sama. Semua mendapat rekaan papan pemuka yang ringkas, dengan corong pendingin hawa berbentuk heksagon, head unit seakan terapung serta roda stereng tiga cabang. Tetapi, masih ada perincian yang berbeza.

    Perodua Ativa 2021 – beza dengan kembar, Daihatsu Rocky dan Toyota Raize yang dipasarkan di Jepun

    Sebagai permulaan, tombol bulat untuk kawalan pendingin hawa Rocky dan Raize telah diubah kepada panel digital dengan permukaan rata. Tiada fungsi automatik untuk pendingin hawa ini, tetapi anda akan mendapat dua butang memori seperti Myvi baru. Ativa juga mendapat butang membuka dan mengunci pintu di bahagian konsol tengah, berhampiran brek tangan – satu ciri mesra penumpang yang tiada pada Rocky dan Ativa.

    Spesifikasi kenderaan juga ada perubahan. Kekurangan utama pada Ativa adalah ia mendapat sistem infotainmen keluaran tempatan bagi varian H dan AV. Saiz skrin sesentuh masih sama dengan Rocky dan Raize, iaitu sembilan inci, tetapi paparannya nampak seperti sistem unit kedai aksesori dan Bahasa Inggeris yang digunakan sedikit pelik.

    Ia juga hanya menggunakan fungsi mirroring Smart Link dan tidak mempunyai sambungan Apple CarPlay atau Android Auto. Walaupun begitu, panel paparan instrumen digital tujuh inci pada Ativa masih lagi sama dengan Rocky dan Raize, siap dengan peringatan hari jadi serta ulang tahun.

    Varian AV Ativa juga mendapat kemasan balutan berbeza berbanding dua model Jepun itu. Rocky dan Raize menggunakan kombinasi kulit tiruan serta fabrik pada tempat duduk, sementara Ativa pula menggunakan balutan kulit lembu tiruan serta gabungan suede tiruan. Rekaannya juga lain, dengan lebih banyak warna merah serta label Perodua pada penyandar kepala. Varian X dan H datang dengan balutan fabrik serta jahitan warna perak.

    Seperti yang dinyatakan di atas, bentuk roda stereng semua model ini masih sama, kecuali logonya, tetapi malah varian AV yang paling tinggi juga masih mempunyai bahagian kosong di sebelah kiri. Pada Rocky dan Raiza, bahagian ini diletakkan dengan butang sistem kamera 360 darjah serta bantuan letak kereta – dua ciri ini tiada pada Ativa. Satu lagi kelebihan Ativa, ia diberikan dengan tayar ganti saiz penuh – tiada pada Rocky dan Raize.

    Perubahan yang menjimatkan kos ini mungkin adalah sebab Ativa dapat dijual lebih murah berbanding Rocky dan Raize di Jepun. Harganya bermula RM61,500 untuk varian X, RM66,100 untuk varian H dan RM71,200 untuk varian AV. Sementara itu, Rocky dijual pada harga antara 1.705 juta yen (RM64,600) hingga 2.145 juta yen (RM81,200), dan Ativa masih mempunyai kelengkapan yang lebih baik bagi setiap varian.

    Perodua Ativa 2021 – beza dengan kembar, Daihatsu Rocky dan Toyota Raize yang dipasarkan di Jepun

    Walaubagaimanapun bagi sistem keselamatan lain, Ativa masih dilengkapi secara standard dengan Autonomous Emergency Braking (kini dengan pengesan penunggang basikal serta laju operasi sehingga 120 km/j), Lane Keep Assist, Lane Departure Warning, Pedal Misoperation Control (PMC), Front Departure Alert serta Automatic High Beam.

    Varian AV kemudiannya ditambah lagi dengan sistem pemanduan semi autonomous, yang termasuk Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, Blind Spot Monitoring dan Rear Cross Traffic Alert. Varian paling tinggi ini juga mendapat lampu utama matriks LED dengan lampu penunjuk arah sequential.

    Tiada perubahan bahagian mekanikal, dengan semua model digerakkan oleh enjin tiga silinder 1.0 liter 1KR-VET turbo yang mampu menghasilkan kuasa 98 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork pada 2,400 hingga 4,000 rpm. Hanya transmisi D-CVT disediakan untuk semua model ini, sementara Rocky dan Raize datang dengan pilihan pacuan empat roda (Ativa menggunakan pacuan dua roda hadapan).

    Perincian penuh untuk Ativa ada dalam artikel kami di sini.

      Perodua Ativa 1.0T X 2021

      Kelengkapan standard:

      Mekanikal

    • Enjin 1.0 liter 1KR-VET VVT-i DOHC
    • 996 cc turbocas tiga-silinder petrol
    • 98 PS pada 6,000 rpm, 140 Nm tork dari 2,400 hingga 4,000 rpm
    • D-CVT dengan tujuh nisbah maya
    • Pacuan roda depan
    • Enjin Start/Stop automatik
    • Penggunaan minyak 18.9 km per liter
    • Cakera brek berliang (depan), dram (belakang)
    • Suspensi MacPherson strut (depan), torsion beam (belakang)
    • Luaran

    • Lampu utama reflektor dengan lampu tinggi automatik
    • Palang perak atas gril, palang bawah krom
    • Rim 16-inci perak dengan tayar Goodyear Assurance Triplemax 2 205/65
    • Cermin sisi hitam larasan elektrik dengan lipatan manual
    • Pemegang pintu warna badan
    • Tiang-A dan B hitam
    • Lampu belakang LED
    • Antena sirip jerung
    • Kemasan pintu kargo perak
    • Pilihan warna Glittering Silver, Granite Grey dan Cobalt Blue
    • Dalaman

    • Sistem tanpa kunci
    • Butang Push Start
    • Stereng Urethane dengan butang Power
    • Corong pendingin hawa tengah kemasan perak
    • Pemegang pintu hitam
    • Kawalan pendingin hawa digital dengan butang memori
    • Butang kunci sentral di tengah
    • Kerusi balutan fabrik
    • Kluster instrumen analog dengan paparan multi-info
    • Radio dengan sambungan Bluetooth
    • Empat pembesar suara
    • Dua slot USB
    • Penyandar belakang lipatan 60:40 dan boleh direbahkan
    • Lantai but dua tahap (303 liter hingga 369 liter)
    • Tayar ganti saiz penuh
    • Keselamatan

    • Enam beg udara
    • ABS dengan EBD dan Brake Assist
    • Kawalan kestabilan
    • Brek kecemasan autonomous dengan pengesanan pejalan kaki dan pengayuh (kini hingga 120 km/j)
    • Lane Departure Warning and Protection
    • Pedal Misoperation Control (PMC)
    • Front Departure Alert (FDA)
    • Pengingat tali keledar depan dan belakang
    • Isofix di belakang
    • Sensor parkir
    • Perodua Ativa 1.0T H 2021

      Tambahan:

      Luaran

    • Lampu utama LED dengan signal sequential, lampu selekoh dan Adaptive Driving Beam (ADB)
    • Lampu kabus depan LED
    • Gril dengan dua palang krom
    • Skid plate perak di depan dan belakang
    • Rim aloi 17-inci dua tona dengan tayar Bridgestone Turanza T005A 205/60
    • Cermin sisi lipatan automatik elektrik
    • Kemasan pintu kargo krom
    • Pilihan warna Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red
    • Dalaman

    • Stereng balutan kulit
    • Kawalan audio pada stereng
    • Kemasan sudut corong pendingin sudut
    • Kemasan perak konsol tengah
    • Pemegang pintu warna perak
    • Perehat lengan tengah
    • Paparan kluster instrumen tujuh-inci
    • Skrin sentuh infotainmen sembilan-inci dengan SmartLink
    • Satu port HDMI
    • Dua slot USB
    • Keselamatan

    • Sensor parkir depan
    • Kamera undur
    • Perodua Ativa 1.0T AV 2021

      Tambahan:

      Luaran

    • Pemegang pintu krom
    • Bumbung hitam untuk Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red
    • Dalaman

    • Corong pendingin sudut kemasan merah
    • Pemegang pintu krom
    • Tuil gear krom
    • Butang brek tangan krom
    • Ruang storan konsol tengah
    • Kerusi balutan kulit buatan dengan suede
    • Enam pembesar suara
    • Perakam video digital
    • Filem keselamatan Llumar
    • Keselamatan

    • Kawalan melayar adaptif
    • Bantuan mengikut lorong
    • Peninjau titik buta
    • Amaran lintasan trafik di belakang

    Perodua Ativa 1.0L Turbo AV 2021

    Perodua Ativa 1.0L Turbo H 2021

    Perodua Ativa 1.0L Turbo X 2021

    Perodua Ativa 2021 dengan kit Gear Up

     
     
  • Perodua Ativa 2021 – pelbagai pilihan aksesori GearUp

    Perodua Ativa 2021 – pelbagai pilihan aksesori GearUp

    Serentak dengan pelancaran Ativa 2021, Perodua turut melancarkan sekali pakej aksesori asli GearUp untuk SUV segmen-B ini. Untuk membuatkan imej luaran Ativa 2021 ini lebih ranggi dan sporty, pakej kit badan Blaze ditawarkan untuk kesemua varian, merangkumi kit bampar hadapan, kit bampar belakang, skirting sisi dan juga spoiler belakang yang berharga RM2,500.

    Selain itu, pilihan balutan tempat duduk Blaze dengan rekaan jahitan merah hanya ditawarkan untuk varian X dan H. Pakej bernilai RM800 ini merangkumi kemasan dua tona pada tempat duduk balutan PVC yang bersentuhan lembut tapi tahan lama serta mudah untuk dibersihkan.

    Aksesori tambahan lain yang turut ditawarkan termasuklah LED Scuff Plate (RM260), pencahayaan lantai (kecuali untuk varian AV – RM240), door visor (RM160), coil mat (RM140), pelindung bampar belakang (RM140), penebat hud (RM80), jejaring penyimpanan barang (RM30) dan alas penyimpanan barang (RM100).

    Seperti mana model Perodua yang lain, Ativa 2021 turut ditawarkan dengan tempat duduk keselamatan bayi dan kanak-kanak Isofix bernilai RM975 dan GearUp Smart TPMS (sistem pemantauan tekanan tayar) berharga RM430.

    Barisan GearUp ini turut didatangkan dengan ciri aksesori baharu iaitu perakam video digital (RM500), pengunci roda (RM200), cermin titik buta (RM60), filem lapisan hydrophobic untuk cermin sisi (RM15) dan pemegang kotak tisu dengan cermin (RM40).

    Untuk aksesori GearUp ini, Perodua turut menawarkan pelan pembiayaan ansurans dan kesemua pakej aksesori serta ciri tambahan ini didatangkan dengan waranti selama setahun. Untuk mendapatkan pakej aksesori GearUp yang asli ini, sila berkunjung ke bilik pameran Perodua berhampiran.

    GALERI: Perodua Ativa 2021 dengan kit Gear Up

    GALERI: Perodua Ativa 1.0L Turbo AV 2021

    Perodua Ativa 1.0L Turbo H 2021

    GALERI: Perodua Ativa 1.0L Turbo X 2021

     
     
  • Perodua Ativa tidak akan ditawar dengan sistem AWD, kandungan tempatan 95%; lebih tinggi dari Myvi

    Perodua Ativa tidak akan ditawar dengan sistem AWD, kandungan tempatan 95%; lebih tinggi dari Myvi

    Seperti yang diketahui, kembar Perodua Ativa pada pasaran Jepun iaitu Daihatsu Rocky dan Toyota Raize memang sudah ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda – ini amalan biasa di Jepun; apa saja jenis kereta kebanyakannya akan ditawarkan dengan sistem tersebut sebagai ciri opsyen untuk mengharungi musim salji.

    Untuk Ativa pula, ia tidak ditawarkan dengan sistem berkenaan ketika dilancarkan tadi. Namun memandangkan sistem tersebut sememangnya sudah ada, dan Ativa ini juga adalah dihasilkan bagi menggantikan tempat yang ditinggalkan Perodua Kembara, adakah Perodua akan menawarkan sistem berkenaan selepas ini?

    Menurut Perodua ketika sesi uji pandu ringkas media minggu lalu, mereka tidak bercadang untuk menawarkan sistem berkenaan pada masa akan datang. Ativa hanya akan terus dijual dalam versi pacuan roda hadapan sahaja.

    Perodua Ativa tidak akan ditawar dengan sistem AWD, kandungan tempatan 95%; lebih tinggi dari Myvi

    Selain itu, unit rangkaian kuasa Perodua Ativa adalah sama seperti Rocky dan Raize dalam versi 2WD. Ia dijana oleh enjin 1KR-VET 1.0 liter tiga-silinder turbo berkuasa 98 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm bermula 2,400 rpm hingga 4,000 rpm, digandingkan dengan kotak gear automatik D-CVT.

    Perodua turut menyatakan bahawa walaupun diasaskan dari platform global, ia dilengkapi dengan 95% komponen yang dihasilkan dalam Malaysia, berbanding Myvi dengan 90% kandungan tempatan walaupun hatchback berkenaan diasaskan dari kerangka yang dihasilkan sendiri oleh jurutera tempatan.

    Perodua Ativa tidak akan ditawar dengan sistem AWD, kandungan tempatan 95%; lebih tinggi dari Myvi

    Perodua Ativa ditawarkan dalam tiga varian, bermula dari varian asas Ativa X berharga RM61,500, varian pertengahan Ativa H dijual pada harga RM66,100, dan varian tertinggi Ativa AV berharga RM71,200. Pembeli turut ditawarkan dengan warna Special Metallic untuk semua varian, dengan tambahan harga RM500.

    Manakala varian AV boleh dipilih dengan skema warna badan dua-tona (bumbung hitam) bersama warna Special Metallic, ditawarkan dengan harga RM71,000. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran termasuk potongan cukai jualan.

    Perincian penuh untuk Ativa ada dalam artikel kami di sini.

      Perodua Ativa 1.0T X 2021

      Kelengkapan standard:

      Mekanikal

    • Enjin 1.0 liter 1KR-VET VVT-i DOHC
    • 996 cc turbocas tiga-silinder petrol
    • 98 PS pada 6,000 rpm, 140 Nm tork dari 2,400 hingga 4,000 rpm
    • D-CVT dengan tujuh nisbah maya
    • Pacuan roda depan
    • Enjin Start/Stop automatik
    • Penggunaan minyak 18.9 km per liter
    • Cakera brek berliang (depan), dram (belakang)
    • Suspensi MacPherson strut (depan), torsion beam (belakang)
    • Luaran

    • Lampu utama reflektor dengan lampu tinggi automatik
    • Palang perak atas gril, palang bawah krom
    • Rim 16-inci perak dengan tayar Goodyear Assurance Triplemax 2 205/65
    • Cermin sisi hitam larasan elektrik dengan lipatan manual
    • Pemegang pintu warna badan
    • Tiang-A dan B hitam
    • Lampu belakang LED
    • Antena sirip jerung
    • Kemasan pintu kargo perak
    • Pilihan warna Glittering Silver, Granite Grey dan Cobalt Blue
    • Dalaman

    • Sistem tanpa kunci
    • Butang Push Start
    • Stereng Urethane dengan butang Power
    • Corong pendingin hawa tengah kemasan perak
    • Pemegang pintu hitam
    • Kawalan pendingin hawa digital dengan butang memori
    • Butang kunci sentral di tengah
    • Kerusi balutan fabrik
    • Kluster instrumen analog dengan paparan multi-info
    • Radio dengan sambungan Bluetooth
    • Empat pembesar suara
    • Dua slot USB
    • Penyandar belakang lipatan 60:40 dan boleh direbahkan
    • Lantai but dua tahap (303 liter hingga 369 liter)
    • Tayar ganti saiz penuh
    • Keselamatan

    • Enam beg udara
    • ABS dengan EBD dan Brake Assist
    • Kawalan kestabilan
    • Brek kecemasan autonomous dengan pengesanan pejalan kaki dan pengayuh (kini hingga 120 km/j)
    • Lane Departure Warning and Protection
    • Pedal Misoperation Control (PMC)
    • Front Departure Alert (FDA)
    • Pengingat tali keledar depan dan belakang
    • Isofix di belakang
    • Sensor parkir
    • Perodua Ativa 1.0T H 2021

      Tambahan:

      Luaran

    • Lampu utama LED dengan signal sequential, lampu selekoh dan Adaptive Driving Beam (ADB)
    • Lampu kabus depan LED
    • Gril dengan dua palang krom
    • Skid plate perak di depan dan belakang
    • Rim aloi 17-inci dua tona dengan tayar Bridgestone Turanza T005A 205/60
    • Cermin sisi lipatan automatik elektrik
    • Kemasan pintu kargo krom
    • Pilihan warna Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red
    • Dalaman

    • Stereng balutan kulit
    • Kawalan audio pada stereng
    • Kemasan sudut corong pendingin sudut
    • Kemasan perak konsol tengah
    • Pemegang pintu warna perak
    • Perehat lengan tengah
    • Paparan kluster instrumen tujuh-inci
    • Skrin sentuh infotainmen sembilan-inci dengan SmartLink
    • Satu port HDMI
    • Dua slot USB
    • Keselamatan

    • Sensor parkir depan
    • Kamera undur
    • Perodua Ativa 1.0T AV 2021

      Tambahan:

      Luaran

    • Pemegang pintu krom
    • Bumbung hitam untuk Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red
    • Dalaman

    • Corong pendingin sudut kemasan merah
    • Pemegang pintu krom
    • Tuil gear krom
    • Butang brek tangan krom
    • Ruang storan konsol tengah
    • Kerusi balutan kulit buatan dengan suede
    • Enam pembesar suara
    • Perakam video digital
    • Filem keselamatan Llumar
    • Keselamatan

    • Kawalan melayar adaptif
    • Bantuan mengikut lorong
    • Peninjau titik buta
    • Amaran lintasan trafik di belakang

    Perodua Ativa 1.0L Turbo H 2021

    Perodua Ativa 1.0L Turbo X 2021

    Perodua Ativa 2021 dengan kit Gear Up

     
     
  • Perodua Ativa 2021 dilancarkan — varian X, H dan AV, 1.0L turbo dengan CVT, ASA 3.0, dari RM61k-RM72k

    Perodua Ativa 2021 dilancarkan — varian X, H dan AV, 1.0L turbo dengan CVT, ASA 3.0, dari RM61k-RM72k

    Akhirnya, hari ini Perodua Ativa dilancarkan secara rasmi di Malaysia dalam satu acara dalam talian, di luar kelaziman sebelum ini. Dengan ini, nama SUV kompak terbaru Perodua ini juga disahkan sebagai Ativa; dalam bahasa Portugis, ia bermaksud “aktif”. Harga rasmi juga telah diumumkan; bermula dari RM61,500 bagi varian X, kepada RM66,100 bagi varian H.

    Bagi varian paling atas, AV, ia dijual pada harga RM71,200, atau RM72,000 jika dengan pilihan warna dua tona dengan bumbung hitam. Semua harga ini atas jalan, tidak termasuk insurans dan dengan pengecualian SST. Ini juga sedikit lebih rendah berbanding harga anggaran yang diumumkan sebelum ini, iaitu RM62,500 hingga RM73,400.

    Banyak juga perincian lain yang sudah diketahui sebelum ini. Spyshot, ulasan ringkas pandu uji pertama antara yang pernah kami laporkan sebelum ini. Kini, tiba masanya untuk mengetahui perincian lebih dalam dan menyeluruh tentang Perodua Ativa.

    Ativa menjadi model pertama Perodua bagi era Transformasi 3.0 syarikat itu, yang dikenali Perodua Smart Build. Dalam era baru ini, fokus dihalakan ke arah kemapanan dan globalisasi. Perodua akan bekerjasama lebih erat bersama rakan teknikalnya, Daihatsu, yang juga merupakan anak syarikat milik Toyota di peringkat global.

    Ini model rebadge Daihatsu Rocky?

    Sekali pandang, macam ya. Tapi bukan. Daihatsu Rocky dan kembarnya Toyota Raize diperkenalkan di Jepun pada penghujung 2019. Mungkin ada yang ingat, tempoh waktu yang ada sebelum Ativa dilancarkan di sini adalah masa yang diperlukan untuk mengadaptasi model berkenaan bagi pasaran Malaysia.

    Perodua Ativa 2021 dilancarkan — varian X, H dan AV, 1.0L turbo dengan CVT, ASA 3.0, dari RM61k-RM72k

    Tapi bukan itu ceritanya. Rocky-Ativa memang dirancang sebagai model yang berkongsi banyak perkara, dan Perodua telah terlibat di dalam rekaan dan pembangunan model SUV kompak ini sejak awal, ketika ia dimulakan tiga tahun lalu. Seperti juga yang dijelaskan oleh Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad, ketika ini ada 50 staf Perodua yang sedang tinggal dan bekerja bersama Daihatsu di Jepun, dari bahagian rekaan dan kejuruteraan.

    Maksudnya, memang ada input Perodua di dalam model yang dikongsi ini, termasuk pada Rocky. Maka sebab itulah iras rekaan dari Myvi — misalnya pada bahagian belakang — bukanlah tidak sengaja berlaku. Dan, untuk menghasilkan sebuah model yang berkongsi banyak unsur, produk akhir itu perlu memenuhi dan menepati keperluan pelbagai pasaran. Ini bukan kerja mudah.

    Disebabkan itu staf Perodua diterapkan di DMC, bertujuan untuk memberikan maklum balas dari pasaran Malaysia. Prosesnya tidak lagi sama seperti pengenalan model kei car awal oleh Perodua dahulu. SUV ini memang sejak awal direncanakan untuk menjadi model pasaran luar, dan Malaysia menjadi antara pasaran penting untuk Daihatsu.

    Berbanding Rocky, terdapat banyak juga kelainan dan penambahbaikan yang dilakukan terhadap Ativa. Perincian ini akan kita lihat nanti. Perkara ini dikongsikan kepada kami oleh Perodua sendiri. Ada antaranya sangat jelas, ada juga yang tidak kelihatan.

    Perodua Ativa 2021 dilancarkan — varian X, H dan AV, 1.0L turbo dengan CVT, ASA 3.0, dari RM61k-RM72k

    Mengapa Ativa tidak dilancarkan lebih awal? Sebenarnya, menurut Perodua, tiada kelewatan bagi pengenalan Ativa, walaupun kita dihadapkan dengan cabaran penularan Covid-19 sejak setahun lalu. Mereka memerlukan lebih banyak masa untuk buat persediaan, kerana kerja-kerja yang terlibat juga lebih banyak. Misalnya, Ativa merupakan model pertama yang menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), dan merupakan model pertama menggunakan enjin turbo bagi Perodua, serta pertama kalu juga menggunakan transmisi CVT.

    Perodua sangat berbangga dengan kerja-kerja yang dilakukan bersama pembekal dan vendor yang terlibat; hasilnya, 95% daripada kandungan Ativa adalah hasil pengeluaran tempatan sendiri. Ini bahkan lebih besar daripada peratusan sama bagi model Myvi, yang merupakan sebuah model rekaan tempatan yang lahir di sini.

    Enjin 1.0 liter turbonya pula dibuat di Perodua Engine Manufacturing, Rawang, sementara CVT dikeluarkan dari kilang Akashi Kikai di Sendayan, Negeri Sembilan. Transmisi ini juga kelak akan di eksport kepada Daihatsu Indonesia.

    Teknologi canggih Perodua — DNGA, Turbo, CVT

    Ativa menampilkan banyak ciri yang pertama kali diperkenalkan pada model Perodua setakat ini. Ia yang pertama menggunakan platform DNGA, enjin turbo yang pertama dan transmisi CVT yang pertama menggantikan kotak gear 4AT.

    Perodua Ativa 2021 dilancarkan — varian X, H dan AV, 1.0L turbo dengan CVT, ASA 3.0, dari RM61k-RM72k

    Kami telah huraikan tentang platfrom DNGA dengan terperinci. Ia sebuah platform terkini Daihatsu, lebih kukuh, selamat dan senyap. Ia juga sebuah platfrom modular yang direka dengan kesediaan untuk dilanjutkan penggunaannya dengan teknologi elektrifikasi. Dengan kilang Perodua kini bersedia untuk menguruskan platform DNGA ini, kita boleh jangkakan lebih banyak model baru berkualiti tinggi akan dihasilkan kelak. Ativa menjadi teraju permulaannya.

    Kalau platform baru, tak bolehlah gunakan enjin lama. Oleh itu, enjin yang ada juga adalah baru; unit 1KR-VET 1.0 liter turbo, DOHC VVT tiga-silinder — keluarga enjin yang sama dengan yang digunakan Axia/Bezza, tetapi dengan tambahan pengecas turbo, yang memberikan banyak perbezaan antara keduanya.

    Enjin ini menghasilkan 98 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork dari 2,400 rpm hingga 4,000 rpm. Ini menyaksikan kelebihan 30 PS dan 50 Nm daripada unit enjin sama tanpa turbo. Namun, tork maksimumnya dicapai lebih awal, bahkan lebih awal daripada enjin 1.5L Myvi (136 Nm pada 4,200 rpm). Perodua maklumkan yang enjin 1.0L turbo ini mampu memberikan prestasi yang sama seperti unit 1.5L.

    Butang Power pada stereng pula memberikan lonjakan respon dari enjin dan CVT-nya, memudahkan lagi pemandu meraih kuasa ketika memotong. Kadar purata penggunaan minyak adalah 18.9 km/l dalam mod ECE. Daihatsu mendakwa 18.6 km/l bagi Rocky dalam kitaran WLTP yang lebih ketat. Ciri Idle Stop yang Perodua perkenalkan sejak pengenalan Bezza datang standard. Untuk tahu lebih lanjut tentang enjin 1KR-VET, rujuk di sini.

    Perodua Ativa 2021 dilancarkan — varian X, H dan AV, 1.0L turbo dengan CVT, ASA 3.0, dari RM61k-RM72k

    Selain enjin, gandingan transmisi CVT-nya juga penting. Digelar D-CVT atau Dual Mode CVT, penggunaan kali pertama CVT oleh Perodua ini juga merupakan sistem CVT “split gear” pertama di dunia. Ringkasnya, D-CVT menggabungkan pacuan tali sawat dengan pacuan gear untuk memperbaiki kecekapan, pecutan dan kesenyapannya.

    Dari kelajuan rendah/sederhada, D-CVT berfungsi seperti CVT lain, dengan tork dari enjin melalui pengubah tork dan ke dalam input pulley, sebelum dipindahkan kepada output pulley melalui tali sawat dan kemudian ke roda. Bagaimanapun, dalam kelajuan tinggi, D-CVT berubah ke dalam split mode, memanfaatkan pacuan gear untuk memberikan kuasa yang lebih cekap (kurang kehilangan kuasa), dengan putaran pacuan tali sawat diturunkan dengan ketara. Turut ada mod manual dengan tujuh nisbah maya — tolak tombol gear ke kiri untuk menukarnya.

    D-CVT ini juga berbeza daripada Direct Shift-CVT oleh Toyota, yang digunakan pada model seperti RAV4 dan Lexus UX. Tidak sama dengan CVT biasa yang ada pada Vios, Direct Shift-CVT ini melibatkan tambahan “launch gear” yang bertindak sebagai gear pertama bagi transmisi AT biasa. Kalau anda berminat untuk tahu lebih lanjut tentang D-CVT, sila rujuk di sini.

    Yang besar tak selalunya lebih baik

    Tentang dimensinya, Ativa mempunyai panjang 4,065 mm dan 1,710 mm lebar. Dengan sedikit melebihi empat meter panjang, SUV kompak ini ditakrifkan daripada SUV segmen A kepada segmen B kecil oleh Perodua. Apapun, ini bukan angka yang sama dengan Rocky; Ativa 70 mm lebih panjang. Ini disebabkan oleh rekaan berbeza untuk bampar Ativa.

    Pada ketinggian 1,635 mm, model Perodua ini juga 15 mm lebih tinggi berbanding model JDM-nya. Ini pula disebabkan talaan suspensi khusus untuk Malaysia, yang lebih keras berbanding talaan untuk keselesaan yang ada pada Rocky, ia turut menaikkan sedikit kedudukan SUV ini dan memberikan jarak kelegaan tanah sebanyak 200 mm. Jarak antara roda pula ialah 2,525 mm.

    Sekadar gambaran saiz Ativa, ia mempunyai tapak 170 mm lebih panjang dan 25 mm lebih sempit berbanding Myvi. Jarak antara rodanya pula 25 mm lebih panjang. Jika dibandingkan dengan Proton X50 pula, Ativa 265 mm lebih pendek dan 90 mm lebih sempit, dengan jarang antara roda kurang 75 mm. Jadi, ini menunjukkan bahawa Ativa memang sedikit lebih kecil daripada SUV segmen B biasa.

    Bagaimanapun, saiz luaran biasanya bukanlah cerminan tepat bagi keluasan ruang dalaman. Sebagai contoh, ruang but Ativa ialah 369 liter, mengalahkan Proton X50 yang menyediakan 330 liter. Perlu diingat, Perodua juga menyediakan tayar ganti saiz penuh dengan rim sebenar (X50 datang dengan tayar space saver). Kit menukar tayar pada Ativa pula diletakkan di bawah kerusi penumpang depan.

    Lantai but Ativa juga datang dengan dua tahap. Lantai paling rendah berikan 369 liter, lantai atasnya pula berikan kapasiti 303 liter (but Myvi ialah 277 liter). Penyandar kerusi belakang boleh direbahkan dengan nisbah 60:40. Pelitup ruang barangan bagaimanapun hanya dari jenis kain; sekadar untuk melindungi penglihatan terhadap barangan dalam but, tetapi tak boleh letak barang di atasnya.

    Perodua Ativa 2021 dilancarkan — varian X, H dan AV, 1.0L turbo dengan CVT, ASA 3.0, dari RM61k-RM72k

    Penyandar belakang pula boleh dilaraskan sebanyak dua tahap serta dua slot pengecas USB (varian X dan AV sahaja). Kerusi depan pula semuanya larasan manual, tetapi datang dengan rekaan yang jauh lebih baik daripada apa yang ada oleh Perodua setakat ini. Bagi varian paling tinggi, ia menggunakan balutan kulit (dengan bahagian suede), sementara varian rendah gunakan fabrik. Tidak ketinggalan, perehat lengan di depan; juga yang pertama untuk Perodua.

    Dari segi ruang keseluruhan, Ativa menyediakan keluasan yang memadai. Cuma, kalau dengan Myvi atau X50, kedua-dua kereta berkenaan dirasakan lebih luas. Bahagian tempat duduk kerusi Ativa juga agak pendek. Mungkin anda perlu melihatnya sendiri depan mata barulah akan tahu bahawa ruang yang ada ini sesuai untuk kegunaan anda atau tidak.

    Kelengkapan canggih, skrin besar

    Senarai kelengkapan yang ada pada Ativa, terutama bagi varian AV yang paling tinggi sangat mengkagumkan. Apa lagi kalau mengambil kira harga jualannya antara RM60k-RM70k. Aspek keselamatannya sahaja memang boleh dibincangkan secara berasingan.

    Beri perhatian dulu terhadap teknologi lampu yang digunakan pada Ativa. Ia menggunakan lampu utama reflektor LED, sama seperti Myvi, tetapi varian paling asas X menerima tambahan Auto High Beam (AHB). Ciri ini akan diaktifkan pada kelajuan 30 km/j ke atas, atau ketika persekitaran jadi gelap. Sistem akan mematikan lampu tinggi berkenaan sekiranya mengesan kenderaan datang.

    Perodua Ativa 2021 dilancarkan — varian X, H dan AV, 1.0L turbo dengan CVT, ASA 3.0, dari RM61k-RM72k

    AHB memang berguna dan ditawarkan pertama kali oleh Perodua. Varian H dan AV pula bagaimanapun menampilkan lampu utama LED dengan Adaptive Driving Beam (ADB). Ia sistem lampu tinggi pintar yang akan melaraskan LED individual dan mengawal capahan cahaya agar tidak menyilaukan pemandu kenderaan yang datang dari arah depan.

    Lampu depan ini juga datang dengan lampu isyarat sequential dan lampu limpahan tepi. Ciri terakhir ini, yang turut dikenali sebagai lampu selekoh, akan menerangi sudut laluan ketika stereng dipusing ke arah yang sama lampu isyarat diberi. Ketika mengundur pula, kedua-dua lampu selekoh ini akan menyala dan menerangi persekitaran untuk memudahkan pemandu. Semua ciri ini biasanya hanya ada pada kenderaan premium yang jauh lebih mahal. Selebihnya, lampu belakang kombinasi LED adala standard untuk semua Ativa, sementara H dan AV menerima lampu kabus depan LED.

    Ciri lain yang ditawarkan kepada umum ialah masukan tanpa kunci dan Push Start. Keyless Entry pada Ativa turut menerima peningkatan; tiada butang perlu ditekan pada pintu, ia kini menggunakan sensor elektrostatik yang bertindak balas dengan sentuhan.

    Di dalam, skrin sentuh besar sembilan-inci terletak di tengahnya untuk sistem infotainmen. Interface sama seperti yang ada pada Myvi. Tiada sambungan Apple CarPlay atau Android Auto. Tetapi pengguna Android boleh memanarkan telefon mereka ke skrin melalui SmartLink (HDMI port). Pemandu boleh menekan butang suara pada stereng dan beri arahan melalui Google Voice.

    Perodua Ativa 2021 dilancarkan — varian X, H dan AV, 1.0L turbo dengan CVT, ASA 3.0, dari RM61k-RM72k

    Sistem skrin sentuh datang sekali dengan kamera undur dan larasan bunyi automatik. Varian X tidak mempunyai skrin sentuh untuk radionya, USB dan Bluetooth. Radionya juga kelihatan agak aneh dalam papan pemuka tersebut, yang memang direka untuk skrin apung yang besar. Ativa juga menjadi model pertama Perodua yang menawarkan panel instrumen digital dalam harga begitu.

    Berada di sebelah kiri speedometer, skrin TFT tujuh-inci tersebut menggabungkan “rev counter” dan trip komputer. Ada empat tema paparan yang boleh dipilih. Ia juga datang dengan ciri unik menarik; pengingat hari jadi atau ulang tahun.

    Ciri yang tiada pada Rocky

    Ada beberapa ciri yang sebelum ini ditawarkan pada model Perodua yang lain tetapi tidak lagi ada pada Ativa. Antaranya cangkuk teh tarik dan cangkuk beg tangan, serta pengimbas Smart Tag yang semuanya ada pada Myvi. Berbanding Rocky, Ativa menerima panel digital kawalan pendingin hawa sendiri, tetapi tanpa fungsi auto. Butang M1 dan M2 yang ada itu adalah untuk memori pendingin hawa; anda boleh tetapkan pilihan yang diinginkan.

    Juga unik untuk Ativa ialah butang Lock/Unlock pada konsol tengah, di sebelah brek tangan. Ini adalah peningkatan dari Rocky, yang tidak mempunyai ciri sama. Kedudukan di tengah itu juga membolehkan semua penumpang untuk mengaksesnya. Pengunci pintu automatik berdasarkan kelajuan kenderaan juga ciri baru bagi Perodua.

    Perodua Ativa 2021 dilancarkan — varian X, H dan AV, 1.0L turbo dengan CVT, ASA 3.0, dari RM61k-RM72k

    Selain itu, Ativa juga hadir dengan tayar ganti saiz sebenar, lengkapi dengan rim yang digunakan oleh model ini. Model Daihatsu itu juga menggunakan tailgate daripada plastik, sebaliknya Ativa datang dengan material logam — Perodua mungkin membuat pilihan ini mungkin kerana ia lebih ringkas, mungkin lebih murah dan tiada tanggapan bahawa ia berkualiti rendah.

    Terakhir, cermin sisi Ativa diwarisi daripada Aruz, dengan saiz yang lebih besar dan lebar berbanding Rocky. Bahagian tiang-A juga ada sirip penstabil, yang baru saja ditambah untuk model JDM tersebut juga. Jika dilihat dari spesifikasi yang setara, Ativa RM10k lebih murah berbanding Rocky 2WD di Jepun. Ini sangat jarang berlaku. Di Jepun, pembeli boleh memilih ciri lain seperti kamera 360-darjah, Auto Parking Assist dan kawalan pendingin hawa.

    Aspek keselamatan terbaik, autonompous Tahap 2

    Ini sisi Ativa yang paling cemerlang agaknya. Sistem Advanced Safety Assist (ASA) yang diperkenalkan pada Myvi 2017 lalu kini diberikan peningkatan menjadi versi 3.0 pula (versi 2.0 ada pada Aruz). ASA yang terdiri daripada ciri Amaran Pra-Perlanggaran (PCW), Brek Pra-Perlanggaran (PCB atau AEB), Amaran Pergerakan Depan (FDA) dan Kawalan Salah Operasi Pedal (PMC) kini ditawarkan standard bagi semua varian Ativa — biasanya hanya untuk varian paling tinggi.

    Sistem ini juga telah dikemaskini, misalnya ia sudah boleh mengesan kenderaan dua roda bagi PCW dan PCB (pengesanan pejalan kaki ditambah dalam ASA 2.0) dan julat operasi PCW kini antara 4-120 km/j, naik 20 km/j.

    Perodua Ativa 2021 dilancarkan — varian X, H dan AV, 1.0L turbo dengan CVT, ASA 3.0, dari RM61k-RM72k

    PCB dan AEB kini boleh digunakan tanpa had. Sebelum ini, selepas tiga kali diaktifkan, enjin perlu dihidupkan semua sekiranya ingin ciri ini aktif. ASA juga kini berfungsi pada waktu malam, hanya untuk kereta dengan lampu belakang menyala. Juga ditawarkan standard pada varian asas X ialah cii Amaran Penukaran Lorong dan Penghindaran.

    Ativa AV juga mempunyai ciri pemanduan autonomous Tahap 2 dengan tambahan fungsi seperti Kawalan Mengekal Lorong (LKC), Peninjau Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) dan Kawalan Melayar Adaptif (ACC, berfungsi dari 30 hingga 125 km/j, tiada pergerakan perlahan dan tidak berfungsi dalam kesesakan).

    Selebihnya, senarai aspek keselamatan lain juga mengkagumkan. Ada enam beg udara untuk semua varian, ABS, EBD, BA, VSC, Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan, Hill Hold Assist dan Isofix semuanya kini jadi ciri standard dari varian X lagi. Lampu peringatan tali keledar belakang ada di siling. Varian asas juga ada sensor undur, sementara varian H menerima tambahan sensor depan dan kamera undur.

    Dengan ini, aspek keselamatan memang menjadi kelebihan Ativa, yang turut dijangka akan menerima penarafan lima-bintang ASEAN NCAP. Proton X50 misalnya bermula dengan hanya empat beg udara bagi varian paling asas, dan semua ciri ADAS hanya ada pada varian Flagship RM103k. Maka Perodua ada banyak kelebihan dalam penawaran keselamatan ini.

    Harga dan warna

    Pilihan warna bagi varian X dan H terdiri daripada Glittering Silver, Granite Grey dan Cobalt Blue, dengan varian H turut ditawarkan dalam warna Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red. Bagi AV pula, ada pilihan Glittering Silver, Granite Grey, Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red serta pilihan bumbung hitam bagi dua warna Pearl tersebut (dengan tambahan kos sekitar RM800).

    Sekadar recap, Perodua Ativa dijual pada harga RM61,500 bagi varian X, diikuti RM66,100 bagi varian H dan RM71,200 bagi varian AV. Semua ini harga atas jalan tidak termasuk insurans, dengan pengecualian cukai SST. Tempoh jaminan pula kekal lima-tahun/150,000 km, serta tempoh servis bagi Ativa pula ialah setiap 10,000 km.

    Jadi, inilah dia perincian lengkap penawaran Perodua Ativa 2021. Apa pandangan anda? Spesifikasi dan galeri ada di bawah.

      Perodua Ativa 1.0T X 2021
      Kelengkapan standard:

      Mekanikal

    • Enjin 1.0 liter 1KR-VET VVT-i DOHC
    • 996 cc turbocas tiga-silinder petrol
    • 98 PS pada 6,000 rpm, 140 Nm tork dari 2,400 hingga 4,000 rpm
    • D-CVT dengan tujuh nisbah maya
    • Pacuan roda depan
    • Enjin Start/Stop automatik
    • Penggunaan minyak 18.9 km per liter
    • Cakera brek berliang (depan), dram (belakang)
    • Suspensi MacPherson strut (depan), torsion beam (belakang)
    • Luaran

    • Lampu utama reflektor dengan lampu tinggi automatik
    • Palang perak atas gril, palang bawah krom
    • Rim 16-inci perak dengan tayar Goodyear Assurance Triplemax 2 205/65
    • Cermin sisi hitam larasan elektrik dengan lipatan manual
    • Pemegang pintu warna badan
    • Tiang-A dan B hitam
    • Lampu belakang LED
    • Antena sirip jerung
    • Kemasan pintu kargo perak
    • Pilihan warna Glittering Silver, Granite Grey dan Cobalt Blue
    • Dalaman

    • Sistem tanpa kunci
    • Butang Push Start
    • Stereng Urethane dengan butang Power
    • Corong pendingin hawa tengah kemasan perak
    • Pemegang pintu hitam
    • Kawalan pendingin hawa digital dengan butang memori
    • Butang kunci sentral di tengah
    • Kerusi balutan fabrik
    • Kluster instrumen analog dengan paparan multi-info
    • Radio dengan sambungan Bluetooth
    • Empat pembesar suara
    • Dua slot USB
    • Penyandar belakang lipatan 60:40 dan boleh direbahkan
    • Lantai but dua tahap (303 liter hingga 369 liter)
    • Tayar ganti saiz penuh
    • Keselamatan

    • Enam beg udara
    • ABS dengan EBD dan Brake Assist
    • Kawalan kestabilan
    • Brek kecemasan autonomous dengan pengesanan pejalan kaki dan pengayuh (kini hingga 120 km/j)
    • Lane Departure Warning and Protection
    • Pedal Misoperation Control (PMC)
    • Front Departure Alert (FDA)
    • Pengingat tali keledar depan dan belakang
    • Isofix di belakang
    • Sensor parkir
    • Perodua Ativa 1.0T H 2021
      Tambahan:

      Luaran

    • Lampu utama LED dengan signal sequential, lampu selekoh dan Adaptive Driving Beam (ADB)
    • Lampu kabus depan LED
    • Gril dengan dua palang krom
    • Skid plate perak di depan dan belakang
    • Rim aloi 17-inci dua tona dengan tayar Bridgestone Turanza T005A 205/60
    • Cermin sisi lipatan automatik elektrik
    • Kemasan pintu kargo krom
    • Pilihan warna Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red
    • Dalaman

    • Stereng balutan kulit
    • Kawalan audio pada stereng
    • Kemasan sudut corong pendingin sudut
    • Kemasan perak konsol tengah
    • Pemegang pintu warna perak
    • Perehat lengan tengah
    • Paparan kluster instrumen tujuh-inci
    • Skrin sentuh infotainmen sembilan-inci dengan SmartLink
    • Satu port HDMI
    • Dua slot USB
    • Keselamatan

    • Sensor parkir depan
    • Kamera undur
    • Perodua Ativa 1.0T AV 2021
      Tambahan:

      Luaran

    • Pemegang pintu krom
    • Bumbung hitam untuk Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red
    • Dalaman

    • Corong pendingin sudut kemasan merah
    • Pemegang pintu krom
    • Tuil gear krom
    • Butang brek tangan krom
    • Ruang storan konsol tengah
    • Kerusi balutan kulit buatan dengan suede
    • Enam pembesar suara
    • Perakam video digital
    • Filem keselamatan Llumar
    • Keselamatan

    • Kawalan melayar adaptif
    • Bantuan mengikut lorong
    • Peninjau titik buta
    • Amaran lintasan trafik di belakang

    Perodua Ativa 1.0L Turbo AV 2021

    Perodua Ativa 1.0L Turbo H 2021

    Perodua Ativa 1.0L Turbo X 2021

    Perodua Ativa 2021 dengan kit Gear Up

    Risalah spesifikasi dan perincian Perodua Ativa 2021 & Gear Up

     
     
  • Harga minyak 4-10 Mac 2021 – Semuanya masih kekal; harga mingguan ditukar ke setiap Khamis hingga Rabu

    Harga minyak 4-10 Mac 2021 – Semuanya masih kekal; harga mingguan ditukar ke setiap Khamis hingga Rabu

    Sebelum ini, harga runcit bahan api secara mingguan akan diumumkan pada setiap petang Jumaat dan dilaksanakan mulai keesokannya, Sabtu, sehinggalah Jumaat hadapan. Amalan ini telah berlangsung sejak pengumuman harga runcit bahan api secara mingguan dilaksanakan.

    Walau bagaimana pun, mulai minggu ini, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) mengubah jadual mingguan tersebut. Di mana harga runcit bahan api utama tersebut akan diumumkan pada setiap petang Rabu dan dilaksanakan pada setiap Khamis sehinggalah Rabu minggu hadapan.

    Untuk minggu bertarikh 4 hingga 10 Mac 2021, MOF mengesahkan tiada perubahan harga bagi bahan api Petrol RON 97, RON 95 dan juga diesel. Harganya masih sama seperti yang diumumkan Jumaat lalu iaitu harga petrol RON 97 kekal pada paras RM2.35 seliter, begitu juga dengan RON95 yang berharga RM2.15 seliter.

    Manakala harga runcit diesel kekal pada paras RM2.15 seliter untuk gred Euro 2M dan Euro 5 pula berharga RM2.25 seliter.

    Kesemua harga itu efektif mulai 12.01 tengahmalam ini, 4 Mac, sehinggalah Rabu hadapan, 10 Mac 2021.

    Menurut MOF, harga pasaran sebenar bagi petrol RON 95 dan diesel telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan. Walau bagaimana pun, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Volvo hanya akan jual kereta elektrik pada 2030

    Volvo hanya akan jual kereta elektrik pada 2030

    Ketika pendedahan SUV Coupe elektrik sepenuhnya (EV) Volvo C40 Recharge semalam, jenama dari Sweden berkenaan mengumumkan bahawa mereka hanya akan menjual kereta elektrik sehingga menjelang tahun 2030, dan menghentikan sepenuhnya penghasilan enjin pembakaran dalaman, termasuk penjana hibrid selepas itu.

    Langkah ini adalah sebahagian dari rancangan Volvo untuk penjagaan iklim bagi mengurangkan kitaran hayat jejak karbon bagi setiap kereta, bermula dari fasa pembuatan di kilang sehingga ia dilupuskan.

    Selain dari menghentikan jualan kereta dengan enjin bahan api fossil berkenaan, usaha Volvo bagi mencapai neutral-iklim ini sebenarnya sudah pun bermula – jenama tersebut turut mengumumkan bahawa model-model elektrik sepenuhnya seperti C40 dan XC40 Recharge hanya boleh dibeli secara atas talian menerusi laman sesawang mereka.

    Volvo hanya akan jual kereta elektrik pada 2030

    Dengan cara ini, pelanggan boleh memilih secara spesifik perincian yang mereka mahukan (yang hanya akan dibuat setelah ditempah), atau memilih model yang telah dipra-tetap. Ia secara tidak langsung akan menyisihkan emisi yang terhasil dalam proses logistik konvensional, dan pelanggan akan melalui pengalaman pembelian lebih selesa serta harga yang lebih telus.

    “Untuk kekal berjaya, kami perlu pertumbuhan yang menguntungkan. Jadi daripada melabur dalam perniagaan yang sedang menguncup, kami pilih untuk melabur dalam masa hadapan – elektrik dan atas talian. Kami kini sedang fokus sepenuhnya dalam menjadi peneraju dalam segmen elektrik premium yang bertumbuh dengan cepat,” kata CEO Volvo, Hakan Samuelsson.

    “Tiada lagi masa depan jangka masa panjang untuk enjin pembakaran dalaman. Kami sangat komited untuk menjadi pembuat kereta elektrik sepenuhnya dan transisi tersebut akan berlaku pada 2030. Ia membolehkan kami untuk memenuhi jangkaan pelanggan dan menjadi sebahagian solusi dalam hal perjuangan perubahan iklim,” tambah ketua pegawai teknologi Volvo, Henrik Green pula.

    GALERI: Volvo C40 Recharge 2021

     
     
  • Harley-Davidson Pan America 1250 – tempahan di Malaysia dibuka, harga RM99,000 untuk model asas

    Harley-Davidson Pan America 1250 – tempahan di Malaysia dibuka, harga RM99,000 untuk model asas

    Baru sahaja didedahkan kepada dunia, kini Harley-Davidson Pan America 1250 kini sudah mempunyai harga untuk pasaran Malaysia, iaitu bermula RM99,000 bagi model asas dan RM115,900 bagi model Special. Harga ini tidak termasuk insurans, cukai jalan dan bergantung kepada aksesori pilihan.

    Pan America 1250 adalah model pertama yang membawa Harley-Davidson ke dalam segmen jelajah/adventure, dan ia dikuasakan oleh enjin v-twin 1,250 cc H-D Revolution Max 1250, bersama padanan kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan maksimum 150 hp dan 127 Nm tork.

    Beza utama antara model asas dengan model Special adalah pada bahagian suspensi, di mana model Special mendapat suspensi semi aktif yang terdiri daripada unit Showa BFF di hadapan dan Showa BFRC di belakang manakala model asas menggunakan fork dan monoshock biasa, tetapi masih boleh dilaras sepenuhnya secara manual.

    Pada bahagian roda, Pan America 1250 menggunakan cakera berkembar berserta angkup Brembo empat piston dan rim 19 inci yang dibalut tayar 120/70 di hadapan, sementara di belakang pula terdapat brek cakera, angkup satu piston dan rim 17 inci yang dibalut tayar 170/60.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada motosikal ini adalah termasuk panel instrumen TFT-LCD 6.8 inci dengan sambungan Bluetooth, semua lampu jenis LED, tangki bahan api 21.2 liter, berat 229 kg (242 kg bagi Special) serta jarak dari tanah 210 mm.

    Tempahan untuk model ini sekarang sudah dibuka di Malaysia melalui pengedar rasminya, dan ia dijangka dapat diserahkan kepada pemilik sama ada dalam bulan April atau Mei tahun ini.

     
     
  • Ford Ranger Raptor X Special Edition – warna luaran unik True Red, ciri kelengkapan tambahan; RM216,888

    Ford Ranger Raptor X Special Edition – warna luaran unik True Red, ciri kelengkapan tambahan; RM216,888

    Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) telah memperkenalkan Ford Ranger Raptor X Special Edition, yang ditampilkan dengan warna luaran yang lebih unik True Red. Selain dari warna yang menyerlah itu, varian terbabit yang eksklusif untuk Malaysia sahaja, turut didatangkan dengan pelekat corak kilat Raptor X pada bahagian sisi belakang.

    Untuk bahagian dalamnya pula, ia diberikan alas karpet edisi istimewa dan bagi membezakannya dengan Raptor standard, varian ini juga tampil dengan kamera 360-darjah yang memberikan real-time dan liputan yang lebih meluas dengan paparan sekeliling kenderaan, serta perakam video digital (DVR) Kenwood dwi-saluran.

    Ia turut didatangkan dengan penapis polarised binaan-dalam dan menawarkan pelbagai fungsi, termasuklah rakaman definisi tinggi (HD), pandangan sudut yang lebih lebar dan juga rakaman pandangan malam. Menerusi aplikasi mobil, kamera ini juga boleh disambungkan ke telefon bimbit untuk melihat paparan video yang telah dirakamkan.

    Tiada perubahan mekanikal dilakukan, masih mengekalkan enjin 2.0 liter biturbo diesel empat-silinder, dengan hamburan kuasa 213 PS dan tork 500 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik Getrag 10R80 10-kelajuan.

    Varian yang dipertingkatkan pada April tahun lalu, turut diberikan ciri baharu termasuk brek kecemasan sendiri (AEB) dengan pengesan pejalan kaki dan bantuan kekal lorong, lampu utama LED dengan projektor persegi baharu, penderia parkir hadapan, pengingat pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang hadapan serta USB port berhampiran cermin pandang belakang.

    Ranger Raptor X ini ditawarkan dengan harga RM216,888 (atas jalan, tanpa insurans), dan didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima-tahun/160,000 km, sama seperti barisan Ranger yang diperkenalkan pada Februari lalu. Harga bagi varian edisi istimewa ini adalah lebih RM6,000 berbanding Raptor standard, yang mengalami penurunan harga iaitu RM210,888 untuk model 2021.

     
     
  • Mitsubishi Outlander 2022 – lebih perincian didedah, guna enjin 2.5L & platform sama dengan Nissan X-Trail

    Mitsubishi Outlander 2022 – lebih perincian didedah, guna enjin 2.5L & platform sama dengan Nissan X-Trail

    Selepas mendedahkan model generasi baharu Mitsubishi Outlander dua minggu lalu, kini jenama ‘tiga berlian’ berkenaan mengumumkan pula lebih perincian berkenaan SUV tersebut, termasuk pecahan varian, harga dan kelengkapan untuk pasaran Amerika Syarikat.

    Outlander 2022 ini merupakan produk yang dihasilkan menerusi perkongsian bersama Nissan selepas mereka bersatu di bawah Pakatan Renault Nissan Mitsubishi. Walaupun ia dihasilkan dengan rupa seiras dengan model konsep Engelberg Tourer yang muncul pada tahun 2019, Outlander baru ini sebenarnya berkongsi banyak komponen mekanikal dengan Nissan X-Trail generasi baru, termasuk platform CMF-F dan juga enjin 2.5 liter.

    Mitsubishi mengumumkan bahawa Outlander generasi baharu ini mampu untuk mencapai penggunaan bahan api dianggarkan pada 8.7 liter untuk setiap 100 km dalam mod pacuan dua roda, dan 9.0 liter setiap 100 km dengan sistem pacuan semua roda S-AWC.

    Walau bagaimanapun, masih belum ada sebarang perincian berkenaan kuasa yang dihasilkan oleh enjin diumumkan oleh Mitsubishi. Namun pada X-Trail, enjin PR25DD 2.5 liter NA empat-silinder dengan sistem suntikan terus berkenaan mampu untuk menjana 185 PS dan tork maksima 245 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT yang diberikan lapan-kelajuan maya.

    Mitsubishi Outlander 2022 – lebih perincian didedah, guna enjin 2.5L & platform sama dengan Nissan X-Trail

    2022 Mitsubishi Outlander shown.

    Jika talaan kuasa yang sama diberikan pada Outlander, ini bermakna ia akan dibekalkan kuasa yang lebih tinggi kerana pada model generasi sebelumnya, di mana enjin 2.4 liter tersebut hanya menghasilkan kuasa 167 PS dan tork maksima 222 Nm.

    Dalam kabin, walaupun Mitsubishi menghasilkan rekaan tersendiri pada papan pemuka dan sebagainya, Outlander sebenarnya turut berkongsi banyak komponen dengan X-trail, antaranya panel kawalan pendingin hawa, butang kawalan pada roda stereng, paparan instrumen digital dan paparan head-up, serta skrin sistem infotainmen.

    Seperti yang diumumkan tempoh hari, Amerika Syarikat merupakan pasaran pertama yang akan menerima Outlander generasi baharu ini. Pada pasaran berkenaan, Outlander dijual ada harga bermula US$25,795 (RM104,600) untuk model asas ES, hadir dengan rim aloi 18-inci, brek kecemasan automatik hadapan dan belakang, pemantau titik buta dan skrin sesentuh infotainmen lapan-inci.

    Outlander dengan Convenient Package pula dijual pada harga US$26,795 (RM108,700), diberikan rim aloi 20-inci serta sistem terhubung Mitsubishi Connect yang menampilkan perkhidmatan keselamatan dan kawalan jauh dengan percubaan percuma selama 24-bulan.

    Mitsubishi Outlander 2022 – lebih perincian didedah, guna enjin 2.5L & platform sama dengan Nissan X-Trail

    2022 Mitsubishi Outlander interior shown

    Seterusnya, Outlander SE akan dijual pada harga US$28,845 (RM117,100), menerima kelengkapan tambahan seperti lampu kabus LED, sistem kunci pintar, pemanas untuk tempat duduk dan cermin tingkap sisi, roda stereng balutan kulit, skrin sesentuh sembilan-inci, pengecaj peranti pintar tanpa wayar Qi, port USB belakang dan juga kamera 260-darjah.

    Model ini juga turut diberikan sistem bantuan pemanduan keselamatan separa-autonomi MiPilot Assist (yang sebenarnya sistem ProPilot Nissan), memberikan fungsi seperti cruise control adaptif dengan fungsi berhenti dan mula, bantuan kekal tengah lorong, bantuan kekal lorong dan juga pengenal tanda trafik.

    Varian SE ini juga boleh dipilih bersama Tech Package, dijual pada harga US$31,145 (RM126,400), menampilkan kelengkapan tambahan seperti paparan instrumen digital 12.3-inci, sistem bunyi Bose dengan 10-pembesar suara dan juga bumbung panaromik.

    Manakala varian SEL pula dijual pada harga US$31,945 (RM129,600) – model ini datang standard dengan paparan instrumen digital Tech Package, bersama perincian lain seperti upholsteri kulit, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan fungsi memori untuk pemandu, rel bumbung, pemanas tempat duduk belakang dan pendingin hawa tiga-zon.

    Varian paling tinggi Outlander yang dijual pada pasaran Amerika Syarikat adalah model SEL Touring Package, dijual pada harga US$34,645 (RM140,600). Model ini hadir dengan pemanas roda stereng, upholsteri kulit separa-aniline, paparan head up 10.8-inci, pelindung matahari bahagian belakang, dan semua kelengkapan Tech Package.

    Mitsubishi turut menawarkan sistem pacuan semua roda Super All-Wheel Control (S-AWC) untuk setiap varian dengan tambahan harga US$1,800. Sistem berkenaan kini turut menampilkan fungsi torque vectoring pada gandar belakang yang berfungsi berasaskan brek.

    Ketika dilancarkan, Mitsubishi juga menawarkan versi Luanch Edition berasaskan model SE Tech package dan SEL Touring Package versama sistem S-AWC, namun kedua-duanya tidak diberikan sistem Mi-Pilot. Sebaliknya, model berkenaan hadir dengan nyalaan Dynamic Shield bersama logo yang dipancar,lencana bonet kemasan krom, serta fungsi Amazon Echo Auto bersama langganan buku audio Audible selama tiga-bulan dan juga langganan Amazon Prime Music selama enam-bulan.

    Selepas jualannya bermula di Amerika Syarikat bulan hadapan, Mitsubishi Outlander ini turut akan diperkenalkan di pasaran lain seluruh dunia secara beransur-ansur.

     
     
  • Proton bagi rebat cukai hingga RM7k; Saga, Iriz, Persona & Exora dapat 12 bulan servis percuma

    Proton bagi rebat cukai hingga RM7k; Saga, Iriz, Persona & Exora dapat 12 bulan servis percuma

    Anda merancang untuk membeli kereta baharu Proton? Nah! Ini ada berita gambira. Sepanjang bulan Mac ini, Proton menawarkan rebat cukai sehingga RM7,000 bagi sesetengah modelnya.

    Promosi ini ditawarkan untuk varian terpilih bagi Saga, Iriz, Persona, Exora, X50 dan X70. Kesemua enam model tersebut kini didatangkan dengan penuras kabin N95 secara standard, selepas ciri tersebut diperkenalkan pada Julai 2020.

    Selain itu, Proton turut menawarkan servis percuma selama 12 bulan (termasuk alat ganti dan kos buruh) bagi Saga, Iriz, Persona dan Exora. Namun sayangnya, barisan SUV tidak diberikan pakej servis sebegini.

    Jika teruja dengan tawaran ini, anda boleh mendaftarkan minat anda menerusi laman web rasmi Proton. Selain itu, jangan lupa untuk teliti perincian mengenai spesifikasi model Proton menerusi CarBase.my. Di mana anda juga boleh menyemak kadar pembiayaan kewangan dan insurans kereta baharu tersebut, atau pun membandingkan model Proton yang diingini dengan model pesaingnya.

     
     
  • Hyundai Bayon diperkenalkan di Eropah – SUV hibrid ringkas 1.0L T-GDI dengan kuasa sehingga 120 PS

    Hyundai Bayon diperkenalkan di Eropah – SUV hibrid ringkas 1.0L T-GDI dengan kuasa sehingga 120 PS

    Selepas beberapa kali teaser dikeluarkan, Hyundai Bayon akhirnya diperkenalkan untuk pasaran Eropah dalam beberapa pilihan enjin iaitu 1.0 liter T-GDI direct-injection dengan hibrid ringkas 48-volt dalam dua talaan kuasa (120 PS dan 100 PS), enjin sama tetapi tanpa bantuan hibrid, serta enjin petrol NA 1.2 liter MPI berkuasa 84 PS.

    Varian paling tinggi, iaitu petrol hibrid ringkas itu boleh dipadankan bersama transmisi manual pintar (iMT) enam kelajuan ataupun automatik klac berkembar tujuh kelajuan, sementara enjin 1.0 liter tanpa sistem hibrid pula boleh dipadankan bersama unit manual enam kelajuan atau automatik klac berkembar tujuh kelajuan. Enjin NA 1.2 liter MPI pula datang dengan transmisi manual lima kelajuan.

    Lampu hadapan Bayon menggunakan rekaan seperti Kona, dengan susunan bertingkat, di mana bahagian atas yang nipis adalah untuk DRL, sementara bahagian bawah adalah untuk lampu utama. Semua lampu untuk SUV ini menggunakan unit LED manakala bamparnya pula mempunyai bentuk seperti bampar i20 N Line.

    Hyundai Bayon diperkenalkan di Eropah – SUV hibrid ringkas 1.0L T-GDI dengan kuasa sehingga 120 PS

    Di belakang, lampunya mempunyai pencahayaan seperti anak panah dan pergi ke tepi, ia dipasang dengan kemasan plastik yang bermula dari lengkuk roda hadapan hinggalah ke belakang – satu gaya biasa SUV. Di bahagian tengah bampar terdapat kemasan seperti skid plate.

    Bagi roda, bergantung kepada varian, Bayon boleh datang dengan rim 16, 17 ataupun 15 inci. Ukuran dimensi kenderaan ini adalah 4,180 mm panjang, jarak roda 2,580 mm, lebar 1,775 mm dan tinggi 1,490 mm (10 mm lebih tinggi apabila menggunakan rim 17 inci). Menurut Hyundai, apabila menggunakan rim 17 inci juga, jarak dari tanahnya menjadi 183 mm.

    Masuk ke dalam, penumpang disediakan dengan ruang kaki 1,072 mm di hadapan dan 882 mm di belakang, sementara ruang barangan pula berkapasiti 411 liter. Untuk infotainmen, ia boleh datang dengan skrin AVN 10.25 inci atau Display Audio 8.0 inci yang boleh disambung dengan Apple CarPlay serta Android Auto.

    Hyundai Bayon diperkenalkan di Eropah – SUV hibrid ringkas 1.0L T-GDI dengan kuasa sehingga 120 PS

    Dua soket USB disediakan di bahagian hadapan kenderaan sementara di belakang terdapat satu lagi soket USB. Untuk yang berada di bahagian hadapan, satu daripadanya boleh disambungkan kepada sistem infotainmen dan menyediakan operasi pemindahan data. Turut disediakan adalah pad mengecas tanpa wayar.

    Bayon juga mendapat servis atas talian Hyundai Bluelink, yang termasuk Connected Routing serta ciri baru User profile. Satu lagi ciri baru bagi Bluelink adalah integrasi kalendar, di mana pengguna boleh memaparkan kalendar Google atau Apple mereka pada unit infotainmen.

    Menurut Hyundai, sistem navigasi Bayon juga boleh mengimport alamat daripada temu janji dalam jadual, sekiranya ada. Turut disertakan dalam Bluelink ini adalah informasi tempat letak kereta, pengenalan suara atas talian, fungsi mencari kenderaan, memerhati sama ada kereta kunci atau tidak berserta statusnya melalui aplikasi, dan notifikasi penyelenggaraan.

    Hyundai Bayon diperkenalkan di Eropah – SUV hibrid ringkas 1.0L T-GDI dengan kuasa sehingga 120 PS

    Melalui pakej keselamatan Hyundai SmartSense yang diberikan pada Bayon, Hyundai mengatakan ia adalah yang terbaik di dalam kelasnya. SUV segmen B ini mendapat Lane Following Assist serta Forward Collision Avoidance Assist (kereta, pejalan kaki dan penunggang basikal) yang boleh membrek sekiranya perlu.

    Turut disertakan adalah Junction Turning (boleh brek sendiri sekiranya terdapat risiko kemalangan di persipangan), Smart Cruise Control, Driver Attention Warning, Leading Vehicle Departure Alert, Rear Occupant Alert Parking Collision-Avoidance Assist-Reverse, Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist serta Parking Assist.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 18, 2024