Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Vespa Primavera, GTS 75th Anniversary dikeluarkan sempena sambut ulang tahun, warna istimewa

    Vespa Primavera, GTS 75th Anniversary dikeluarkan sempena sambut ulang tahun, warna istimewa

    Bermula dari pendaftaran paten pada bulan April 1946 hinggalah sekarang, Vespa sudah berusia 75 tahun dan syarikat itu menyambut ulang tahun mereka dengan pengeluaran model khas 75th Anniversary untuk Primavera dan GTS.

    Dua model istimewa ini menggunakan skema warna “Giallo 75th”, yang memberikan penghormatan kepada warna Vespa tahun 40-an dan ia kemudiannya diserikan lagi dengan kemasan “tie” hadapan warna kuning opaque pyrite serta tulisan nombor 75 berwarna kelabu di panel tepi dan fender hadapan.

    Kedua-dua model keluaran khas ini juga menggunakan tempat duduk yang dibalut kulit serta rim berwarna kelabu dengan jalur putih di tepi. Terdapat juga beberapa bahagian yang berwarna krom seperti pelindung ekzos, keliling meter, cermin sisi, perumah lampu serta peletak kaki.

    Turut diberi secara standard adalah rak barangan belakang berwarna krom, yang kemudiannya dipasang dengan beg berbentuk bulat, menyamai bentuk seperti tayar simpanan pada model Vespa klasik. Beg yang diperbuat daripada kulit nubuck ini datang dengan tali bahu serta pelindung kalis air, dan ia boleh dicabut dengan mudah untuk dibawa oleh pengguna.

    Di sebalik pelindung kaki dalam motosikal ini, terdapat lencana yang tertulis nombor keluaran model edisi khas, dan panel instrumennya menggunakan unit digital LCD 4.3 inci. Setiap satu model 75th Anniversary ini datang dengan selendang sutera Itali, plet vintaj Vespa, buku pemilik serta poskad sejarah Vespa.

    Setakat ini untuk pasaran Malaysia, kita masih belum tahu berapa banyak model ini akan tiba, tetapi pengedar rasminya, Didi Resources sedang cuba mendapatkannya untuk pasaran tempatan.

    GALERI: Vespa GTS 75th Anniversary 2021

    GALERI: Vespa Primavera 75th Anniversary 2021

     
     
  • VIDEO: Edisi khas Honda 1 Million Dreams; Jazz, City, Civic, Accord, BR-V, HR-V, CR-V untuk dimenangi

    Sehingga 24 Mac 2021 ini, anda berpeluang untuk memenangi model edisi khas Honda 1 Million Dreams, sebuah kempen yang dianjurkan oleh Honda Malaysia sebagai tanda terima kasih kepada pelanggannya sempena mencecah angka 1,000,000 juta unit kenderaan jenama itu di pasaran tempatan.

    Tujuh model edisi khas yang terlibat ialah Jazz, City, Civic, Accord, BR-V, HR-V dan CR-V. Hanya ada satu unit bagi setiap model berkenaan untuk direbutkan. Keistimewaan yang ditampilkan ialah semua unit ini menggunakan warna putih berkilau dengan kemasan hitam dan merah sebagai perinciannya. Ini juga merupakan kerja mengecat berkualiti tinggi — termasuk bahagian bumbung hitam — dan bukannya sekadar menggunakan pelekat.

    Menempah dan mendaftar sebuah kenderaan baru Honda dalam tempoh kempen ini akan memberikan anda peluang terbesar untuk menang, masing-masing dengan tiga dan empat penyertaan. Dan, jika anda menggunakan aplikasi HondaTouch, semua kelayakan penyertaan itu meningkat lima kali ganda.

    Selain itu, anda juga boleh memperoleh penyertaan dengan cara bermain permainan 1 Million Dreams di laman web rasmi Honda Malaysia, memandu uji kereta Honda atau menghantar kereta Honda anda untuk servis di pengedar sah. Borang penyertaan pula boleh dihantar melalui pengedar sah Honda ataupun laman web rasmi. Selain itu, hadiah-hadiah lain turut ditawarkan melibatkan kerjasama dengan Shoppee, Watsons dan Cuckoo, dengan keseluruhan habuan bernilai RM1 juta.

    Edisi Khas Honda 1 Million Dreams

    Honda Jazz

    Honda City

    Honda Civic

    Honda Accord

    Honda HR-V

    Honda CR-V

    Honda BR-V

     
     
  • Geely Boyue Asian Games Edition dilancarkan – guna gril Infinite Weave Proton X70, casis talaan Lotus

    Geely Boyue Asian Games Edition dilancarkan – guna gril Infinite Weave Proton X70, casis talaan Lotus

    Tahun depan bakal berlangsungnya Sukan Asia ke-19, dan ia akan diadakan di Hangzhou, China. Geely Auto, sebagai jenama automotif tempatan antara yang paling berpengaruh di negara tersebut turut menyumbang sebagai penaja kejohanan berkenaan.

    Selain dari membekalkan sedan Geely Preface (juga dikenali sebagai Xing Rui) sebagai kenderaan rasmi untuk acara sukan berkenaan, Geely juga menghasilkan model edisi terhad SUV Boyue Asian Games Edition.

    Seperti yang kita ketahui Boyue adalah model asas untuk Proton menghasilkan X70 bagi pasaran Malaysia. Untuk model edisi terhad ini, Boyue berkenaan diberikan berberapa perincian istimewa termasuk penggunaan gril Infinite Weave yang sama seperti X70 bagi mengganti gril Expanding Cosmos asal – ini bukan kali pertama dibuat, model edisi khas Boyue sempena jualannya yang mencecah sejuta unit turut menggunakan gril sama.

    Geely Boyue Asian Games Edition dilancarkan – guna gril Infinite Weave Proton X70, casis talaan Lotus

    Selain itu, Boyue edisi istimewa ini turut menerima kemasan hitam-merah pada perumah lampu kabus hadapan, gril, dan pada bahagian bawah pintu. Manakala bar yang menghubungkan kedua-dua lampu belakang yang sebelum ini dalam kemasan krom turut diubah kepada hitam.

    Bagi melengkapkan rupa luaran, Boyue Asian Games Edition ini dibekalkan dengan rim 19-inci bersama tayar Continental UltraContact, manakala bahagian kabin pula diberikan balutan kulit berwarna perang.

    Apa yang menarik, Boyue istimewa ini menerima casis yang diberi sentuhan Lotus. Untuk itu, subframe belakang pada Boyue berkenaan dihasilkan semula bagi membolehkan ia 20% lebih kuat serta 25% lebih ringan.

    Geely Boyue Asian Games Edition dilancarkan – guna gril Infinite Weave Proton X70, casis talaan Lotus

    Geely mendakwa bahawa dengan perubahan berkenaan ia memberikan pengendalian dan juga prestasi off-road lebih baik. Bagi yang belum mengetahui, dalam perjanjian kerjasama Proton Geely empat tahun lalu, Proton telah melepaskan kesemua pegangannya dalam Lotus, dan jenama kereta sport British berkenaan kini dimiliki oleh Geely.

    Kembali kepada Boyue Asian Games Edition ini, ia masih dijana oleh enjin 1.8 liter empat-silinder turbo GDI berkuasa 184 PS dan tork maksima 300 Nm. Namun untuk pelanggan di China, mereka boleh memilih sama ada mahu menggunakan kotak gear enam-kelajuan manual atau transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan automatik.

    Geely Boyue Asian Games Edition dengan kotak gear manual dijual pada harga 91,800 yuan (RM58,064), manakala versi 7DCT pula dijual pada harga 108,800 yuan (RM68,836). Kedua-dua versi ini turut menerima kelengkapan standard seperti sistem infotainmen GKUI dengan skrin 10.25-inci, tempat duduk hadapan larasan elektrik, bumbung panaromik, sistem pendingin hawa dua-zon, penapis kabid N95, dan juga paparan instrumen digital.

     
     
  • AD: Mercedes-Benz AgileCare Financing sediakan pengalaman pemilikan penuh nilai – dari RM2,588

    AD: Mercedes-Benz AgileCare Financing sediakan pengalaman pemilikan penuh nilai – dari RM2,588

    Dengan teknologi moden dan rekaan yang bergaya, Mercedes-Benz berada di hadapan untuk menyediakan pengalaman pemanduan yang tersendiri. Tidak kira sama ada sedan atau SUV, pastinya terdapat model Mercedes-Benz yang sesuai untuk gaya hidup anda, serta pelan pembiayaan yang sama dinamik.

    Melalui AgileCare Financing, setiap aspek diubah secara khas untuk memastikan anda mendapat jaminan prestasi, nilai, manfaat serta ketenangan minda semasa memandu. Dengan program ini, anda akan menikmati semua manfaat Agility Financing, termasuk bayaran bulanan berpatutan, pilihan waktu tamat perjanjian fleksibel dan nilai masa hadapan yang terjamin untuk Mercedes-Benz anda.

    Kelebihannya adalah jelas, kerana anda boleh menikmati Mercedes-Benz anda tanpa perlu risau tentang susut nilai atau bagaimana mahu menjualnya apabila perjanjian sudah tamat. Pada masa itu, anda boleh memutuskan apa yang mahu dibuat, dengan beberapa pilihan yang fleksibel.

    AD: Mercedes-Benz AgileCare Financing sediakan pengalaman pemilikan penuh nilai – dari RM2,588

    Walaubagaimanapun, AgileCare Financing bukan setakat menjaga kepentingan kewangan anda sahaja. Program ini juga datang dengan satu lagi tahap jaminan, dengan menambah pakej servis kompak sepanjang tempoh pemilikan anda demi memberikan lebih ketenangan.

    Dengan semua ini dalam satu pakej, kenderaan anda akan sentiasa terjaga, dengan penggunaan alat ganti asli untuk empat servis bersepadu dan semuanya dilakukan oleh pakar teknikal yang mempunyai kelayakan. Kenderaan yang terjaga baik dapat memastikan harga jualan semulanya lebih tinggi daripada biasa, dan ini adalah satu berita baik untuk mengekalkan nilai kenderaan Mercedes-Benz anda.

    Bukan setakat itu, AgileCare Financing juga datang dengan program MobilityPlus, yang membenarkan anda untuk sentiasa bergerak meskipun kereta Mercedes-Benz anda sedang berada di pusat servis berdaftar* untuk kerja penyelenggaraan.

    AD: Mercedes-Benz AgileCare Financing sediakan pengalaman pemilikan penuh nilai – dari RM2,588

    Pelan AgileCare Financing bermula pada RM2,588 untuk GLA 200, RM2,788 untuk GLB, RM4,088 untuk GLC 300 dan RM3,788 untuk C 300. Daftar untuk mana-mana model ini dan anda layak untuk mendapat kad petrol RM888 secara percuma.

    Tawaran istimewa ini sah dari sekarang hingga 31 Mac 2021, dan jika anda mahukan maklumat lanjut, anda boleh menghubungi Mercedes-Benz Autohaus yang berhampiran. Selain daripada itu, anda juga boleh mendaftarkan minat untuk AgileCare Financing dan wakil yang terlatih akan menghubungi anda.

    *Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia perkenal pakej tambahan tempoh jaminan bateri PHEV – hingga 8 tahun/160k km

    Mercedes-Benz Malaysia perkenal pakej tambahan tempoh jaminan bateri PHEV – hingga 8 tahun/160k km

    Sebelum ini pada tahun 2019, Mercedes-Benz Malaysia pernah memperkenalkan pakej sambungan jaminan bateri hibrid, dan kali ini mereka memperkenalkan satu lagi pakej hampir sama, tetapi untuk kenderaan plug-in hybrid.

    Pakej baru ini, yang dipanggil sebagai Plug-in Hybrid Battery Extended Warranty Programme ditawarkan kepada sesiapa yang membeli C 350 e, E 350 e dan S 560 e, di mana jaminan standard enam tahun atau 100,000 km yang diberi boleh dipanjangkan kepada lapan tahun atau 160,000 km (yang mana tiba dahulu).

    Sama seperti pakej sebelum ini, terdapat kos yang perlu dibayar untuk pemanjangan tempoh jaminan bateri ini, iaitu RM2,688, dan pembeli akan mendapat tambahan jaminan dua tahun atau 60,000 km sebagai tambahan kepada jaminan sedia ada. Ini sekaligus dapat memberikan perlindungan untuk kos baik pulih atau gantian sekiranya bateri PHEV perlu ditukar dalam tempoh tersebut.

    Menurut MBM, untuk layak mendapatkan pakej tambahan jaminan ini, kenderaan PHEV tersebut perlulah masih berada dalam tempoh jaminan selama empat tahun yang diberikan secara standard, dan mempunyai rekod servis penuh di wakil sah Mercedes-Benz.

    Walaupun tidak tertulis, kereta yang mendapatkan pakej tambahan jaminan ini dijangka akan terus diservis dan diselenggara di wakil pengedar atau pusat servis berdaftar Mercedes-Benz dengan mengikut spesifikasi pengeluar sepanjang tempoh jaminan.

     
     
  • Ducati akan perkenal Scrambler paling ganas esok

    Ducati akan perkenal Scrambler paling ganas esok

    Dalam barisan model Scrambler keluaran Ducati, mereka sudah menyediakan pelbagai pilihan, daripada enjin berkapasiti 400 cc hingga 1,079 cc, dan pelbagai perubahan aksesori untuk menjadikan karekter motosikal tersebut berbeza. Tetapi nampaknya, Ducati merasakan apa yang ada masih tidak cukup, dan esok mereka akan memperkenalkan satu lagi versi baru bagi Scrambler.

    Tiada perician jelas yang disiarkan oleh Ducati, dan mereka setakat menunjukkan beberapa gambar teaser berserta kiraan detik pelancaran di laman web. Semua gambar yang disiar menunjukkan suasana di jalan berpasir.

    Satu daripadanya tertulis “Be The Wildest“, yang jika diterjemahkan, bermaksud “Jadilah Yang Paling Liar”, dan satu lagi datang dengan ayat “Be The Boldest” atau bermaksud “Jadilah Yang Paling Berani.”

    Ducati akan perkenal Scrambler paling ganas esok

    Daripada apa yang ada ini, kita boleh menjangkakan dua perkara utama iaitu ini adalah sebuah model yang lebih lasak dan boleh dibawa ke atas jalan offroad, dan ia akan menggunakan enjin paling berkuasa – Scrambler paling berkuasa sekarang dipacu oleh enjin 1,079 cc berkuasa 86 hp dan 88 Nm tork.

    Dalam barisan model Scrambler 800, sudah ada model yang lasak, iaitu Desert Sled, dan jangkaannya lagi, model baru ini adalah sesuatu seperti itu, tapi dengan karekter yang lebih ganas dan enjin lebih besar.

     
     
  • EON melantik myTukar sebagai rakan trade-in

    EON melantik myTukar sebagai rakan <em>trade-in</em>

    Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) telah melantik myTukar sebagai rakan trade-in automobil. Menerusi kerjasama ini, platform kereta terpakai secara dalam talian akan menyediakan proses trade-in untuk pelanggan EON menerusi myTukar yang bertanggungjawab dalam melakukan pemeriksaan kenderaan terbabit.

    EON yang sebelum ini merupakan pengedar Proton, kini merupakan anak syarikat kepada DRB-Hicom dan turut mengendalikan pengedaran buat Proton, Mitsubishi, Audi dan Volkswagen menerusi EON, EON Automart, Euromobil dan Hicom Auto. Buat masa ini EON memiliki 20 cawangan di seluruh negara.

    “myTukar berasa berbangga untuk memulakan kerjasama ini dengan salah satu syarikat konglomerat Malaysia yang memiliki pelbagai cabang perniagaan automotif yang komprehensif. Kerjasama ini akan membolehkan EON memanfaatkan platform dengan teknologi milik myTukar untuk menyediakan penilaian yang pantas dan telus dalam urusan trade-in kenderaan kepada para pelanggan EON. Ini akan meningkatkan pengalaman pelanggan di rangkaian EON kerana mereka ini menjadi pusat sehenti yang lebih efektif,” kata CEO myTukar Fong Hon Sum.

    Pengarah urusan kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar, pula berkata, “Trade-in selalu menjadi masalah buat pembeli kereta, yang mahukan proses yang lebih telus dan dipermudahkan. Kami yakin dengan sistem pertukaran inovatif myTukar ini dapat membantu meningkatkan penjualan kenderaan baharu di seluruh cawangan kami, dan yang lebih penting dapat meningkatkan pengalaman pelanggan. Ini akan mendorong kami memberikan lebih banyak nilai untuk pelanggan kami.”

    Kolaborasi myTukar-EON buat setakat ini hanya bermula untuk Semenanjung Malaysia. myTukar telah pun mengembangkan operasinya secara agresif pada tahun ini dengan membuka tujuh cawangan baharu di seluruh negara. Untuk mengembangkan lagi sayapnya di Malaysia Timur, Kuching dan Kota Kinabalu juga dalam senarai perancangannya.

    Platform kereta terpakai ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia yang telah diberikan Pensijilan ISO 9001:2015 untuk Sistem Pengurusan Kualiti.

     
     
  • GALERI: Edisi khas Honda 1 Million Dreams — perincian tujuh model untuk dimenangi secara pecuma

    GALERI: Edisi khas Honda 1 Million Dreams — perincian tujuh model untuk dimenangi secara pecuma

    Honda Malaysia sedang menuju ke angka 1,000,000 unit kenderaannya di Malaysia sejak pengenalan pada tahun 2001. Untuk itu, sebuah kempen sebagai tanda penghargaan kepada pengguna, dikenali sebagai 1 Million Dreams dianjurkan dan terbuka kepada semua.

    Kempen ini menyediakan tujuh buat model edisi khas seumpamanya sebagai hadiah. Mengapa tujuh? Kerana untuk mencerminkan pencapaian tujuh angka (1,000,000 unit) kenderaannya di Malaysia. Kempen ini akan berlangsung sehingga 24 Mac nanti, dan pengumuman pemenang akan dibuat menjelang hujung bulan yang sama.

    Tujuh model edisi khas yang terlibat ialah Jazz, City, Civic, Accord, BR-V, HR-V dan CR-V. Hanya ada satu unit bagi setiap model berkenaan untuk direbutkan. Keistimewaan yang ditampilkan ialah semua unit ini menggunakan warna putih berkilau dengan kemasan hitam dan merah sebagai perinciannya. Ini juga merupakan kerja mengecat berkualiti tinggi — termasuk bahagian bumbung hitam — dan bukannya sekadar menggunakan pelekat.

    Di beberapa tempat juga ada dilekatkan lencana “1 Million Dreams” sebagai tanda, misalnya pada bahagian atas fender di luar, hujung papan pemuka dan perehat kepala di dalam. Stereng balutan kulitnya juga datang dengan kemasan jahitan merah serta penanda merah pada kedudukan jam 12. Selain itu, key pouch yang diberikan juga edisi terhad.

    GALERI: Edisi khas Honda 1 Million Dreams — perincian tujuh model untuk dimenangi secara pecuma

    Namun, kalau anda duit untuk membeli model-model ini pun tak boleh, kerana ia bukan untuk dijual. Honda Malaysia ingin memberikannya secara percuma melalui sebuah peraduan mudah yang dijalankan sempena kempen ini. Anda hanya perlu melakukan beberapa aktiviti untuk melayakkan anda untuk ikut serta.

    Menempah dan mendaftar sebuah kenderaan baru Honda dalam tempoh kempen ini akan memberikan anda peluang terbesar untuk menang, masing-masing dengan tiga dan empat penyertaan. Dan, jika anda menggunakan aplikasi HondaTouch, semua kelayakan penyertaan itu meningkat lima kali ganda.

    Selain itu, anda juga boleh memperoleh penyertaan dengan cara bermain permainan 1 Million Dreams di laman web rasmi Honda Malaysia, memandu uji kereta Honda atau menghantar kereta Honda anda untuk servis di pengedar sah. Borang penyertaan pula boleh dihantar melalui pengedar sah Honda ataupun laman web rasmi. Selain itu, hadiah-hadiah lain turut ditawarkan melibatkan kerjasama dengan Shoppee, Watsons dan Cuckoo, dengan keseluruhan habuan bernilai RM1 juta.

    Honda Malaysia akan mengumumkan pemenang bertuah bagi kempen 1 Million Dreams ini pada penghujung Mac nanti. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi atau kunjungi 102 pengedar sah Honda seluruh negara. Anda juga boleh menghubungi talian bebas tol Honda Malaysia di 1-800-88-2020.

    Edisi Khas Honda 1 Million Dreams

    Honda Jazz

    Honda City

    Honda Civic

    Honda Accord

    Honda HR-V

    Honda CR-V

    Honda BR-V

     
     
  • Toyota Corolla 1979 ini terjual pada harga RM40k di Australia – tak pernah direstorasi, hanya 31,239 km

    Toyota Corolla 1979 ini terjual pada harga RM40k di Australia – tak pernah direstorasi, hanya 31,239 km

    Kita biasa dengar kereta-kereta klasik dari Toyota yang dijual pada harga yang cukup mahal – tapi kebiasaannya ia adalah dari model-model prestasi yang bertaraf lagenda dan menjadi buruan pengumpul kereta seperti 2000GT, Celica generasi pertama, atau barisan adik beradik ‘kilat & guruh’ iaitu Toyota Corolla Levin dan Sprinter Trueno.

    Namun Toyota Corolla generasi ketiga berwarna oren yang anda lihat bukan tergolong dalam kategori berkenaan, malah ia adalah dari versi hampir asas yang biasanya dipandu oleh uncle dan aunty. Tetapi, kereta ini sebenarnya baru sahaja terjual dalam laman lelongan kereta collectingcars.com yang berpusat di Australia pada harga AU$12,750 (RM40k)!

    Ini adalah Toyota Corolla KE55, iaitu model facelift versi kouki 1979 dan sudah pun menggunakan enjin 4K-C 1.3 liter karburator berkuasa 60 hp, berbeza dengan model KE30 dengan muka zenki (berlainan gril hadapan) yang diberikan enjin lebih kecil 3K 1.2 liter sebelum itu. Model yang terjual ini juga merupakan dari versi transmisi automatik tiga-kelajuan.

    Toyota Corolla 1979 ini terjual pada harga RM40k di Australia – tak pernah direstorasi, hanya 31,239 km

    Jadi, apa yang istimewa sangat pada kereta ini sehingga ada yang sanggup beli dengan harga lelongan yang cukup tinggi? Kalau anda lihat, meter perbatuannya hanya mencatatkan jarak perjalanan 31,239 km dan menurut collectingcars.com ia masih belum pernah direstorasi.

    Ini bermaksud, apa yang ada pada badan Corolla ini termasuk cat adalah asli dari kilang dan bilik pameran, dan ia seolah-olah disimpan dalam kapsul masa dan di bawa ke zaman sekarang!

    Model ini juga adalah dari varian CS yang ketika itu dikelaskan sebagai kemasan ‘luxury’. Oleh itu, ia datang sekali dengan perincian seperti karpet kaki, jam, upholsteri fabrik kemasan beige dan perang, serta sistem stereo dari Philips yang boleh memainkan pita kaset.

    Pada bahagian luar pula, ia diberikan emblem CS ditempat sepatutnya, serta diberikan rim besi 13-inci yang digilap. Dan menerusi gambar, dapat dilihat ia masih menggunakan tayar klasik Goodyear Grand Rally S bersaiz 165/75SR13 yang diproduksi pada tahun 2001.

    Mengikut nombor VIN, Corolla ini adalah dari versi pemasangan tempatan yang dibuat di kilang AMI-Toyota di Port Melbourne. Manakala segala dokumentasi termasuk buku manual dan servis pula menunjukkan kereta ini dijual oleh Le Mans Toyota di Oakleigh, Victoria pada harga hanya AU$6,240!

    Kami selalu nampak komen-komen seperti “baik beli rumah, beli kereta harga jatuh”, tapi nampaknya pemilik Corolla KE55 dah menunjukkan sebaliknya – walaupun ia adalah kereta keluarga biasa, setelah dijaga dengan begitu baik selama 42 tahun, kereta berkenaan dapat dijual dengan harga sekali ganda lebih mahal!

     
     
  • Mitchell Cheah diumum sebagai pelumba Hyundai Motorsport Junior Driver, sebaris Oliver Solberg

    Mitchell Cheah diumum sebagai pelumba Hyundai Motorsport Junior Driver, sebaris Oliver Solberg

    Hyundai Motorsport hari ini mengumumkan bahawa pelumba muda negara yang berlumba dalam disiplin Touring Car, Mitchell Cheah kini disenaraikan dalam barisan pelumba Hyundai Motorsport Customer Racing Junior Driver untuk musim 2021.

    Program yang masuk ke tahun ketiga berkenaan diwujudkan oleh Hyundai Motorsport bagi memberikan sokongan kepada pelumba-pelumba muda yang berlumba dalam kejohanan rali dan litar untuk pasukan-pasukan di bawah seliaan program perlumbaan pelanggan Hyundai.

    Mitchell Cheah yang kini berumur 22 tahun dipilih oleh Hyundai atas prestasi yang ditunjukkan olehnya tahun lalu memandu jentera Hyundai i30N TCR dengan pasukan Engstler Motorsport. Mitchell membuat kejutan besar tahun lalu dalam Kejohanan TCR Jerman pusingan kelima di Red Bull Ring, Austria – walaupun hanya diletakkan sebagai pengganti kepada Nico Gruber, dia berjaya mencatatkan masa terpantas disesi kelayakan untuk bermula di petak pertama, kemudian berjaya menamatkan Race 1 di tempat kedua.

    Mitchell Cheah diumum sebagai pelumba Hyundai Motorsport Junior Driver, sebaris Oliver Solberg

    Dengan prestasi yang ditunjukkan Mitchell itu juga, tahun lalu Engstler Motorsport turut membawanya ke pentas tertinggi perlumbaan Touring Car iaitu di pusingan terakhir World Touring Car Cup (WTCR) yang berlangsung di Litar MotorLand Aragon, Sepanyol pada bulan November – Mitchell berjaya mengutip 4 mata pertamanya dalam WTCR setelah berjaya menghabiskan perlumbaan di tempat ke-13 dalam Race 2.

    Mitchell adalah salah seorang pelumba di bawah program Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk perlumbaan empat roda. Selain berlumba dalam musim penuh TCR Jerman untuk musim 2019, dia turut ditawarkan untuk berlumba di Kejohanan WTCR pusingan Malaysia 2019 juga dengan Hyundai i30 N TCR Team Engstler, dan juga menjadi juara Sepang 1000km tahun yang sama berpasangan dengan Farique Hairuman dengan jentera Proton Iriz pasukan Proton R3.

    Selain Mitchell Cheah, Hyundai Motorsport turut menyenaraikan Jáchym Galáš yang berumur 19-tahun berlumba dalam kejohanan TCR Eropah dan juga dua pelumba berumur 16-tahun dari Amerika Syarikat, Tyler Maxson dan Tyler Gonzalez yang berkongsi Veloster N TCR pasukan Copeland Motorsport dalam perlumbaan IMSA Michelin Pilot Challenge.

    Mitchell Cheah diumum sebagai pelumba Hyundai Motorsport Junior Driver, sebaris Oliver Solberg

    Manakala untuk disiplin rali, anak kepada juara Kejohanan Rali Dunia (WRC) 2003 Petter Solberg iaitu Oliver Solberg yang kini berusia 19-tahun turut tersenarai dalam program Hyundai Motorsport Junior Driver ini. Oliver sudah pun mendapat kontrak dua tahun dengan Hyundai bagi memandu jentera i20 R5 (selepas ini akan bertukar ke i20 N Rally2) untuk mengejar kejuaraan kategori WRC2 bermula pada musim ini.

    Namun pada hujung bulan lalu, prinsipal pasukan Hyundai, Andrea Adamo memberikan tempat kepada Oliver bagi memandu jentera kelas tertinggi untuk pusingan kedua WRC musim 2021, Arctic Rally Finland. Walaupun penyertaan pertamanya dalam kelas tertinggi berkenaan hanya dianggap sebagai ujian, Oliver Solberg terus membuat kejutan dengan mencatatkan masa dalam kelompok lima teratas pada 6 SS, dan menghabiskan rali di tempat ketujuh keseluruhan.

    Selain Oliver Solberg, Hyundai Motorsport turut menyenaraikan berberapa lagi nama untuk program ini bagi kategori rali, antaranya Ole Christian Veiby, Jari Huttunen, Luxembourger Gregoire Munster dan Josh McErlean.

    Mitchell Cheah diumum sebagai pelumba Hyundai Motorsport Junior Driver, sebaris Oliver Solberg

    “Komitmen untuk memupuk bakat pelumba muda adalah perkara yang penting dalam divisi Perlumbaan Pelanggan, dan Hyundai Motorsport secara amnya,” kata ketua Operasi Perlumbaan Pelanggan Hyundai Andrew Johns.

    “Menerusi inisiatif Customer Racing Junior Driver ini, kami boleh memberikan sokongan kepada pelumba muda yang berlumba bersama pasukan pelanggan Hyundai dalam kejohanan besar rali dan TCR di seluruh dunia.

    “Dengan bekerja rapat bersama mereka dan pasukan mereka kami dapat menolong setiap daripada mereka untuk meningkat naik secara konsisten, supaya dapat memberikan keputusan terbaik dan membina karier sukan permotoran professional mereka ke arah tempat dalam WRC atau pada grid FIA WTCR,” tambah Andrew lagi.

     
     
  • OPS Ekzos: Polis dapat maklum balas positif dari orang awam, mungkin diteruskan selepas 14 Mac

    OPS Ekzos: Polis dapat maklum balas positif dari orang awam, mungkin diteruskan selepas 14 Mac

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman memaklumkan bahawa setakat ini mereka menerima makluman positif dari orang awam berkenaan Operasi Khas Ubahsuai Ekzos (bising) di seluruh negara bermula 1 Mac lalu. Oleh demikian, operasi ini mungkin akan diteruskan selepas ia dijadualkan berakhir pada 14 Mac nanti.

    “Setakat ini, operasi terbabit akan berakhir pada 14 Mac ini yang akan berlangsung selama dua minggu dan ia mendapat maklum balas positif daripada masyarakat yang berpuas hati dengan tindakan penguatkuasaan dilakukan pihak polis. Disebabkan faktor itu, operasi ini mungkin akan diteruskan selepas 14 Mac nanti,” tulis kenyataan yang dikeluarkan oleh JSPT dan disiarkan oleh Harian Metro.

    Menurut JSPT Bukit Aman lagi, sehingga Sabtu lalu sebanyak 26,239 kenderaan membabitkan 12,709 motosikal, 8,678 kereta dan 4,852 lain-lain kenderaan diperiksa dalam operasi itu sepanjang tempoh berkenaan di seluruh negara. Selepas pemeriksaan dijalankan, sebanyak 10,166 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam operasi tersebut, walau bagaimanapun bukan semua saman adalah kerana kesalahan ubahsuai ekzos.

    “Daripada 10,166 saman dikeluarkan, 1,423 saman adalah bagi kesalahan ubahsuai ekzos membabitkan 1,060 motosikal, 294 kereta dan 69 lain-lain kenderaan.

    OPS Ekzos: Polis dapat maklum balas positif dari orang awam, mungkin diteruskan selepas 14 Mac

    “Selain itu, sebanyak 474 motosikal, tujuh kereta dan dua lain-lain kenderaan disita atas kesalahan sama dalam 540 lokasi operasi berkenaan dijalankan di seluruh negara sepanjang tempoh itu,” tulis kenyataan tersebut.

    JSPT menegaskan bahawa operasi berkenaan adalah bertujuan menguatkuasakan undang-undang jalan raya kepada pengguna kenderaan terutama pemilik dan penunggang motosikal yang melakukan ubahsuai ekzos sehingga mendatangkan bunyi bising.

    “Tindakan saman bagi ubahsuai ekzos boleh dilakukan mengikut Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959).

    “Setiap ekzos yang dipasang pada kenderaan bermotor perlu pada setiap masa diselenggarakan supaya berada dalam keadaan baik dan tidak boleh diubahsuai sehingga menyebabkan bunyi bising.

    “Mana-mana individu yang membuat pengubahsuaian ekzos menjadi satu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan jika disabitkan kesalahan,” jelas kenyataan berkenaan lagi dan menambah bahawa di bawah peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis diberikan kuasa menyita motosikal bagi mengelakkan kesalahan sama berulang.

    “Malah, polis boleh menahan motosikal itu sehingga pemiliknya mengambil langkah bagi menjamin kesalahan berkenaan tidak berlaku semula,” tambah kenyataan itu lagi.

    Menurut JSPT, mereka sedia maklum mengenai maklumat dan aduan orang ramai berkaitan isu ekzos bising dan akan menjalankan operasi serta pemantauan di kawasan dilaporkan berkenaan.

    Oleh itu, mereka mempunyai perancangan dan strategi dalam melaksanakan operasi sebegini dengan memilih lokasi yang sering menjadi tumpuan kumpulan motosikal melakukan kesalahan lalu-lintas. Lokasi operasi kali ini menyasarkan kawasan tumpuan orang ramai, jalan bandaran, kawasan perumahan dan kawasan kerap berlaku kemalangan.

    JSPT turut menasihatkan semua pemilik kenderaan bukan saja pemilik motosikal tetapi pemilik kenderaan bermotor lain supaya mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya berkaitan pengubahsuaian kenderaan.

    “Sebarang pengubahsuaian yang mahu dilakukan perlu mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” tambah kenyataan tersebut.

     
     
  • Guna hon berirama boleh kena penjara atau denda

    Guna hon berirama boleh kena penjara atau denda

    Selain daripada operasi ekzos bising yang sedang giat dijalankan seluruh negara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga kini sedang melakukan Operasi Penguatkuasaan Hon Melebihi Satu Nada atau Berirama bermula 1 Mac lalu.

    Operasi ini mensasarkan kenderaan yang menggunakan hon jenis berlagu atau berirama, yang mana kini sedang menjadi satu trend terutamanya pada kenderaan berat seperti lori dan bas. Hon jenis ini juga lebih dikenali dengan nama ‘hon tenonet’.

    Dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, pengarah JPJ negeri Selangor, Nazli Md Taib memberitahu bahawa mereka yang menggunakan hon jenis ini boleh di ambil tindakan bawah Seksyen 119(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan denda maksimum sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

    OPS HON MELEBIHI SATU NADA

    SHAH ALAM, SELANGOR: JPJ Negeri Selangor telah menjalankan Operasi Penguatkuasaan Hon…

    Posted by JPJ Negeri Selangor on Saturday, March 6, 2021

    “Hon merupakan salah satu instrumen penting pada sesebuah kenderaan yang berfungsi untuk memberi amaran, peringatan atau isyarat kepada pengguna jalan raya lain melalui sistem bunyi. Namun begitu, penggunaan hon yang melebihi satu nada atau nada berirama ini boleh mengelirukan pengguna jalan raya lain tentang isyarat yang ingin disampaikan serta boleh mengganggu ketenteraman awam sekiranya dibunyikan di kawasan perumahan,” kata Nazli.

    Beliau turut menjelaskan bahawa pemasangan hon jenis ini secara tambahan aksesori (retrofit) boleh diambil tindakan saman di bawah Kaedah 24(i) Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Kegunaan) 1959 iaitu ‘memasang hon melebihi satu nada’.

    Pemilik kemudiannya perlu melakukan pemeriksaan di pejabat JPJ berdekatan bagi memastikan kenderaan tersebut telah diambil tindakan pembetulan dengan membuang semula hon tersebut dan notis Penarikan Semula Larangan Penggunaan Kenderaan (PG2) akan dikeluarkan selepas pemeriksaan kenderaan dibuat.

     
     
  • Singapura haramkan kereta, teksi diesel bermula 2025

    Singapura haramkan kereta, teksi diesel bermula 2025

    Singapura akan mengharamkan pendaftaran kereta dan teksi baru yang dikuasakan enjin diesel bermula pada 2025, atau lima tahun lebih awal berbanding jadual asal, lapor Bloomberg. Ketika ini, sejumlah 2.9% kenderaan penumpang dan 41.5% teksi menggunakan enjin diesel di sana, mengikut perangkaan Land Transport Authority negara itu.

    Peraturan baru akan datang ini bagaimanapun tidak akan dikenakan ke atas kenderaan komersial penghantaran dan bas. Singapura juga merancang untuk pemasang 60,000 pengecas EV menjelang 2030. Dua pertiga daripadanya akan diletakkan di ruang parkir umum dan bakinya di premis persendirian.

    Menurut laporan berkenaan lagi, sebuah badan kerajaan baru akan diperkenalkan untuk menerajui dasar berkaitan kenderaan elektrik di sana, dengan rundingan bagi penyertaan sektor swasta akan diadakan hujung bulan ini.

    Singapura haramkan kereta, teksi diesel bermula 2025

    “Langkah ini akan menyokong sasaran Singapura untuk menamatkan pendaftaran baru bagi kereta dan teksi diesel bermula 2025, dan memerlukan semua pendaftaran kereta serta teksi baru dari model dan teknologi lebih bersih bermula 2030. Menjelang 2040, semua kenderaan yang ada akan menggunakan tenaga lebih bersih,” jelas LTA.

    Sebahagian daripada rancangannya melibatkan pembangunan perumahan baru di negara itu mempunyai 15% parkir untuk pengecas EV. Kerajaan Singapura juga telah mengumumkan langkah untuk mengurangkan pembebasan karbon, termasuk fokus utama terhadap tenaga solar, menanam sejuta pokok, lanjutan rangkaian landasan dan laluan basikal serta pengurangan 20% sisa buangan yang dihantar ke tapak pelupusan dalam tempoh lima tahun.

    Tahun lalu, kerajaan Singapura mengumumkan akan membeli bas hibrid dan kuasa elektrik, dan telah mula menggunakan 50 bas diesel-elektrik setahun sebelum itu. 60 buah lagi bas elektrik telah dibeli thaun lalu untuk digunakan secara berperingkat.

     
     
  • Yamaha TMax 20th Anniversary 2021 – hanya 560 unit dikeluarkan, guna panel gentian karbon forged

    Yamaha TMax 20th Anniversary 2021 – hanya 560 unit dikeluarkan, guna panel gentian karbon forged

    Bagi menyambut ulang tahun model TMax yang ke-20, Yamaha Eropah telah mengeluarkan versi edisi khas untuk model skuter popular tersebut, dengan hanya 560 unit ditawarkan kepada orang ramai. Penampilan model ini dipertingkat untuk menjadikan ia lebih istimewa.

    Bermula dengan warna badan utama Tech Graphite serta rim warna gangsa, model ulang tahun ini kemudiannya ditambah lagi dengan panel tepi serta fender hadapan yang diperbuat daripada gentian karbon forged.

    Tempat duduk pula menggunakan bentuk yang lebih sporty dan dibalut dengan kain khas serta jahitan kuning. Melengkapkan penampilannya, terdapat pelekat serta lencana yang menandakan ini adalah model keluaran khas ulang tahun ke-20 TMax.

    Model keluaran khas ini menggunakan TMax 560 Tech Max – iaitu varian paling tinggi bagi skuter tersebut -sebagai asas, dan ini bermakna ia datang dengan kelengkapan seperti penghadang angin kawalan elektrik, cruise control, pemanas tangan dan tempat duduk, suspensi belakang boleh laras, fork berwarna emas dan sambungan MyTMAX Connect.

    Kelengkapan lain yang datang secara standard adalah lampu jenis LED, kunci pintar, panel instrumen TFT, kawalan cengkaman, D-Mode, brek cakera berkembar di hadapan, rim 15 inci depan dan belakang, fork USD 41 mm di hadapan dan monoshock di belakang, tangki bahan api 15 liter serta ruang simpanan barang besar di bawah tempat duduk.

    Untuk enjin, TMax 560 dikuasakan oleh unit dua silinder 560 cc DOHC yang mampu menghasilkan kuasa 47 hp pada 7,500 rpm dan 55.7 Nm tork pada 5,250 rpm, untuk dihantar kepada roda belakang melalui tranmsisi automatik serta sistem tali sawat.

     
     
  • Proton mula bersedia ke arah elektrifikasi – Azlan

    Proton mula bersedia ke arah elektrifikasi – Azlan

    Model konsep hibrid penambah jarak (range extender) Proton Emas yang muncul di Geneva Motor Show 2010

    Jika sebelum ini pengeluar-pengeluar automotif mula mengecilkan kapasiti enjin masing-masing dan menggunakan pengecas turbo bagi memastikan ia melepasi ujian emisi, kini trend berkenaan mula beralih kepada penggunaan teknologi elektrifikasi kerana ujian tersebut mengenakan syarat kelulusan yang rata-ratanya semakin ketat di seluruh dunia.

    Walaupun perkara ini masih belum terasa di negara kita, namun pengeluar automotif tempatan, Proton tidak boleh terlalu selesa – jika mereka tidak bersedia dari awal, mungkin terlalu lewat untuk mereka bermula apabila peralihan tersebut berlaku kelak.

    Ketika sesi temuramah bersama ketua pereka Proton, Azlan Othman minggu lalu, beliau mendedahkan bahawa jabatannya iaitu Proton Design sememangnya sudah bersedia berkenaan perkara ini.

    Ketika ditanya adakah Proton sudah mula melihat kepada elektrifikasi sebagai sebahagian strategi perniagaan, jawab Azlan, “Kami perlu – semua orang sedang melihat perkara ini, kami tak boleh tertinggal. Tetapi untuk mengatakan ianya fokus utama, sudah tentu tidak buat masa sekarang.”

    Proton mula bersedia ke arah elektrifikasi – Azlan

    Ketua pereka Proton, Azlan Othman

    Rekaan untuk kereta dengan teknologi elektrifikasi ini sudah tentu menampilkan banyak perbezaan kerana kebiasaannya ia mementingkan pekali geseran yang lebih rendah bagi memastikan ia dapat menggunakan tenaga yang lebih efisien. Malah pada model elektrik sepenuhnya, ia tidak memerlukan aliran udara kepada sistem penyejukkan enjin, jadi rekaan muka perlu dimanfaatkan untuk lebih aspek aerodinamik.

    “Ia mewakili banyak cabaran untuk kami kerana pelbagai kekangan. Contoh terbaik adalah pada muka hadapan. Ramai yang cakap anda boleh tutup segalanya kerana anda sudah tidak perlu lagi radiator atau penyejuk enjin. Tapi apa akan jadi dengan muka kenderaan berkenaan? Semua yang anda buat untuk menghasilkan DNA, bagaimana untuk perkara tersebut?” kata Azlan.

    Menurutnya lagi, Proton kini sedang belajar dari rakan kongsinya iaitu Geely. Jenama automotif China tersebut kini mempunyai barisan model dengan teknologi elektrifikasi yang komprehensif seperti hibrid, plug-in hybrid (PHEV), dan elektrik sepenuhnya yang dijual dalam pasaran.

    “Dalam banyak hala tuju, untuk kami, ia adalah perkara yang agak asing. Saya pasti Guy [Burgoyne, naib presiden Geely Design Shanghai yang turut serta dalam temu ramah ini] mempunyai lebih banyak pengalaman berbanding Proton Design dalam perkara ini, dan di situlah di mana kami belajar dari mereka sekarang,” jelas Azlan.

    Proton mula bersedia ke arah elektrifikasi – Azlan

    Kembar Proton X50, Geely Binyue PHEV untuk pasaran China

    Sebelum kerjasama dengan Geely lagi Proton sebenarnya sudahpun memulakan pelbagai eksperimen terhadap model dengan teknologi elektrifikasi. Azlan memberikan contoh model konsep Proton Emas yang telah dipamerkan di Geneva Motor Show 2010.

    Kereta tersebut merupakan hatchback kompak yang digerakkan oleh motor elektrik, dengan bateri yang menerima janaan kuasa elektrik dari enjin penambah jarak. Rekaan Proton Emas berkenaan dihasilkan dengan kerjasama firma rekaan Itali iaitu Italdesign Giugiaro. Walaupun ia tidak dihasilkan sebagai model produksi, kebanyakkan elemen penggayaannya telah dijelmakan pada model produksi Proton Iriz.

    “[Kereta tersebut] banyak mengajar kami dalam aspek mengendalikan pakej dan rekaan,” kata Azlan. “Tetapi dah banyak yang berubah dalam masa 11 tahun, jadi kami perlu belajar pembangunan terbaharu berkenaan elektrifikasi dan hibridisasi dan kami akan lihat di mana kami boleh gunakan dalam rekaan baharu kami. Itu merupakan cabaran yang terbesar.”

    Walau bagaimanapun, masih lagi belum jelas teknologi elektrifikasi bagaimana yang akan Proton gunakan. Untuk pembangunan teknologi, Proton dijangka tidak mempunyai masalah kepada akses teknologi-teknologi yang telah sedia ada dibangunkan oleh Geely.

    Proton mula bersedia ke arah elektrifikasi – Azlan

    Sebelum ini Proton telah disahkan diberi lampu hijau untuk menghasilkan model baharu berdasarkan platform B-segment Modular Architecture (BMA) dari Geely. Platform tersebut bukan sahaja dihasilkan untuk dipadankan bersama enjin 1.5 liter turbo dan kotak gear klac berkembar automatik 7DCT, malah memang sudah bersedia untuk dipadankan sekali dengan sistem elektrifikasi termasuk sistem hibrid ringkas 48V, PHEV dan juga hibrid konvesional.

    Buat masa sekarang, kembar X50 iaitu Geely Binyue adalah antara model yang menggunakan platform BMA ini, dan di China Binyue turut telah dipasarkan dalam varian PHEV.

    Malah bukan teknologi ini sahaja yang sudah dibangunkan oleh Geely. Ia juga telah mewujudkan satu jenama bebas yang digelar Geometry, yang hanya menghasilkan model-model dijana kuasa elektrik sepenuhnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024