Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • BMW 8 Series facelift didedah – dapat gril Iconic Glow boleh menyala, skrin infotainmen sesentuh 12.3 inci

    BMW 8 Series facelift didedah – dapat gril Iconic Glow boleh menyala, skrin infotainmen sesentuh 12.3 inci

    BMW telah memberikan facelift kepada keseluruhan model 8 Series – Coupe (G15), Convertible (G14), Gran Coupe (G16) – dan kesemuanya akan mula dijual di Eropah Mac ini. Selain daripada beberapa perubahan kecil di bahagian luar, 8 Series facelift ini juga menerima peningkatan kelengkapan sementara enjin pula masih kekal sama.

    Untuk bahagian luar, semua varian kini datang dengan pakej M Sport secara standard, bermakna ia mendapat panel tambahan di bahagian bawah bampar hadapan dan belakang. Bahagian baru yang lain adalah kemasan bukaan udara pada bampar hadapan, diffuser dengan warna Dark Shadow Metallic di belakang serta brek M Sport dengan angkup berwarna biru.

    Varian M850i xDrive pula datang dengan cermin sisi M yang sebelum ini hanya diberikan pada M8. Turut diberikan terus pada M850i xDrive adalah spoiler lip hadapan, brek lebih berkuasa dan spoiler belakang untuk model coupe – barang-barang ini juga ada ditawarkan kepada varian lain melalui pilihan tambahan M Sports Package Pro.

    Satu lagi pakej yang disediakan untuk M850i xDrive adalah M Performance Package, yang memberikan kit M High Gloss Shadow Line untuk angkup brek berwarna hitam, lampu M Shadow Line dengan bahagian dalam berwarna gelap serta spoiler belakang warna hitam (coupe sahaja). Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 BMW M, semua model 8 Series ini juga boleh dipilih dengan logo BMW Motorsport pada bonet, but dan rim, menggantikan logo BMW biasa.

    Cara paling senang untuk mengenali model 8 Series facelift ini adalah melalui grilnya, di mana ia sekarang mempunyai kidney bar dengan kemasan U yang unik. Selain daripada itu, gril ini juga adalah unit Iconic Glow, di mana ia boleh menyala seperti beberapa model BMW terbaru yang lain. Lampu hadapan menggunakan unit LED adaptif, dan ia boleh dinaik taraf kepada sistem LaserLight.

    Bagi warna, empat pilihan baru disediakan iaitu Skyscraper Grey, San Remo Green, M Portimao Blue dan BMW Individual Frozen Tanzanite Blue (kesemuanya adalah metalik) manakala pilihan rim juga dikemas kini.

    BMW 8 Series facelift didedah – dapat gril Iconic Glow boleh menyala, skrin infotainmen sesentuh 12.3 inci

    Di dalam, kebanyakan bahagiannya tidak diubah, kecuali sistem Live Cockpit Professional yang datang dengan skrin infotainmen sesentuh 12.3 inci di tengah (sebelum ini 10.25 inci), dan dipadankan bersama panel instrumen 12.3 inci sama seperti sebelum ini.

    Pada bahagian sistem bantuan pemandu dan keselamatan, model 8 Series ini mendapat pakej Driving Assistant dan Parking Assistant secara standard, dan ia boleh dipertingkat lagi dengan pelbagai ciri lain melalui Driving Assist Professional yang dijual sebagai pilihan tambahan.

    Bagi enjin, kesemua 8 Series facelift ini disediakan dengan empat pilihan, bermula dengan unit enam silinder sebaris 3.0 liter turbo B58 yang mampu menghasilkan 333 PS antara 5,500 hingga 6,250 rpm (sebelum ini 340 PS) dan 500 Nm tork antara 1,700 hingga 4,000 rpm, bagi varian 840i. Enjin B58 ini menghantar kuasa ke roda belakang, tetapi ia juga boleh dipilih dengan sistem xDrive untuk memberikan pacuan semua roda.

    Atas daripada itu adalah varian M850i xDrive, yang datang dengan enjin V8 4.4 liter twin turbo N63, berkemampuan 530 PS antara 5,500 hingga 6,000 rpm dan 750 Nm antara 1,800 hingga 4,600 rpm. Kemudiannya, terdapat juga varian 840d xDrive yang menggunakan enjin enam silinder diesel turbo 3.0 liter B57 dengan sistem hibrid ringkas 48 volt, berkemampuan 340 PS pada 4,400 rpm dan 700 Nm tork antara 1,750 hingga 2,250 rpm.

    Semua enjin dipadankan bersama tranmsisi automatik lapan kelajuan, dengan masa pecutan 0-100 km/j antara 3.9 saat hingga 5.5 saat, bergantung kepada kuasa enjin masing-masing. Semua enjin ini juga dihadkan pada kelajuan maksimum 250 km/j.

    GALERI: BMW M850i xDrive Coupe 2022

    GALERI: BMW M850i xDrive Gran Coupe 2022

    GALERI: BMW M850i xDrive Convertible 2022

     
     
  • myTukar rancang buka 25 pusat khidmat dan pameran kenderaan terpakai di seluruh negara tahun ini

    myTukar rancang buka 25 pusat khidmat dan pameran kenderaan terpakai di seluruh negara tahun ini

    Laman jualan kenderaan atas talian myTukar mempunyai perancangan untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka dengan sasaran membuka hampir 25 pusat khidmat pelanggan serta pusat pameran di seluruh negara tahun ini.

    Selain platform digital, pusat pameran baru ini nanti akan menjadi satu lagi tempat untuk pelanggan membeli dan menjual kenderaan mereka secara lebih mudah. Syarikat ini juga akan membuka tempat yang mereka panggil sebagai pusat pengalaman runcit, seperti yang sudah beroperasi di Puchong South. Konsep pusat sehenti ini menyediakan pelanggan dengan khidmat serba lengkap termasuklah servis dan penyelenggaraan.

    Lokasi yang disasarkan oleh myTukar untuk pembukaan pusat khidmat mereka ini antaranya termasuk Perak, Kedah, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Lembah Kelang, Johor dan Seremban.

    “Melalui pengembangan perniagaan ini, kami harap dapat menjadikan myTukar sebagai satu jenama komuniti, satu platform yang mendorong pembangunan industri kereta terpakai. Dengan adanya pusat khidmat fizikal ini nanti, kami akan dapat melayan pelanggan dengan lebih baik dan memberikan mereka lebih banyak akses kepada kenderaan berkualiti berbanding sebelum ini,” kata CEO myTukar, Derrick Ng.

    “Sasaran kami untuk tahun 2022 adalah untuk mempunyai pusat pengalaman runcit di semua bandar utama di seluruh negara. Jenama ini sekarang bergerak ke arah menjadi jaringan yang fokus kepada pelanggan, memastikan pengguna kami sentiasa dapat berhubung, rasa selamat apabila menggunakannya dan percaya kepada kami. Kami juga mahu menyediakan pelanggan dengan tawaran yang lebih menarik serta pengalaman jual beli yang lebih menyeluruh,” tambah Derrick.

    Semasa acara myTukar AutoFair 2022 yang berlangsung di pusat pengalaman runcit mereka di Puchong South 7-9 Januari lalu, myTukar telah mencatat 443 tempahan kenderaan dengan keseluruhannya berjumlah RM29 juta.

     
     
  • PLUS keluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan antara 28 Jan-6 Feb 2022 sempena Tahun Baharu Cina

    PLUS keluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan antara 28 Jan-6 Feb 2022 sempena Tahun Baharu Cina

    Sempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina minggu hadapan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan dan panduan buat orang ramai dalam merancang perjalanan mereka. Di mana PLUS menjangkakan peningkatan jumlah trafik daripada 1.4 juta kepada 1.6 juta buah kenderaan sepanjang perayaan Tahun Baru Cina yang bermula 28 Januari 2022 sehingga 6 Februari 2022 ini.

    Justeru, PLUS mencadangkan orang ramai yang akan bergerak meninggalkan Lembah Klang untuk ke destinasi-destinasi di utara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Utara Perak serta Johor disarankan supaya mula memasuki lebuhraya sebelum jam 10 pagi.

    Manakala untuk ke destinasi-destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang, orang ramai dinasihatkan supaya mula memasuki lebuhraya selepas jam 1 tengahari.

    Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi menggalakkan orang ramai supaya dapat merancang perjalanan mereka berpandukan kepada TTA. Ia bagi mengelakkan kemungkinan kesesakan di lebuhraya apabila kenderaan yang menuju ke pelbagai destinasi terkumpul di satu-satu lokasi di lebuhraya secara serentak.

    PLUS keluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan antara 28 Jan-6 Feb 2022 sempena Tahun Baharu Cina

    “Orang ramai juga dinasihati supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan ketika berhenti rehat di R&R dan hentian sebelah di sepanjang lebuhraya. Pada ketika ini, pendaftaran menerusi MySejahtera masih lagi dikuatkuasakan dan orang ramai yang telah lengkap divaksin dibenarkan untuk makan di ruang makan di R&R.

    “Selain itu, Pengguna lebuhraya juga dinasihati agar memandu dengan lebih berhati-hati dan lebih peka ketika hujan serta mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan pemanduan. Serta tolong patuhi had laju yang ditetapkan. Juga jangan lupa untuk selenggara kenderaan bagi meningkatan keselamatan selain daripada pemakaian tali pinggang keledar keselamatan di tempat duduk hadapan dan belakang serta kerusi keselamatan kanak-kanak,” ujarnya.

    Pada masa yang sama, pasukan PLUSRonda sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan kepada pengguna lebuhraya dan boleh dihubungi menerusi talian PLUSLine 1800 88 0000 yang beroperasi 24 jam setiap hari. Selain itu, bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar di lebuhraya, sila pastikan baki kad Touch ‘n Go dan eWallet RFID Touch ‘n Go sentiasa mencukupi.

     
     
  • Honda e dengan kit badan lebar dari Innovate Composites – rai pasukan F1 Red Bull Racing Honda

    Honda e dengan kit badan lebar dari Innovate Composites – rai pasukan F1 Red Bull Racing Honda

    Apa sahaja kenderaan empat roda atau dua roda yang Honda hasilkan, pasti ada sahaja yang ‘gatal tangan’ untuk memberikan ubahsuai. Tak terkecuali model produksi kereta elektrik sepenuhnya Honda e yang telah mula dijual di Eropah pada 2020 – ini dia kit badan lebar untuk kereta elektrik comel tersebut dihasilkan oleh Innovate Composites dari UK!

    Kit badan bolt-on ini dihasilkan dari material gentian karbon, dan bakal dihasilkan dalam jumlah terhad untuk dijual kepada pemilik-pemilik Honda e. Manakala kereta yang telah siap dan disiarkan di akaun Instagram rasmi Innovate Composites ini adalah binaan khas mereka untuk meraikan kemenangan Max Verstappen sebagai juara Formula 1 tahun lalu dengan memandu jentera pasukan Red Bull Racing Honda.

    Kit yang dihasilkan ini menampilkan bampar hadapan baharu yang lebih lebar lengkap dengan splitter dan spoiler bawah, panel-panel untuk kesemua fender yang jauh lebih kembang, skirt sisi lebar dan labuh, bampar belakang lebih lebar tetapi singkat dengan rekaan diffuser udara yang agresif serta spoiler belakang yang jauh lebih besar.

    Honda e dengan kit badan lebar dari Innovate Composites – rai pasukan F1 Red Bull Racing Honda

    Ia turut dipadankan dengan set roda yang lebih besar dan lebar bagi disesuaikan dengan badannya yang kini lebih gemuk. Penampilan Honda e berkenaan kemudiannya disudahkan dengan diberikan warna biru gelap bersama grafik perlumbaan Red Bull Racing, seiras dengan jentera Formula 1 Max Verstappen.

    Tiada sebarang peningkatan kuasa dinyatakan oleh Innovate Composites. Dalam keadaan asal, Honda e digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 136 PS dan tork maksima 315 Nm untuk varian Standard, manakala varian Advance menerima motor lebih berkuasa, menghasilkan 154 PS dengan tork yang sama.

    Honda e dengan kit badan lebar dari Innovate Composites – rai pasukan F1 Red Bull Racing Honda

    Motor tersebut diletakkan pada gandar belakang bagi memacu roda belakang untuk memberikan pemanduan yang sporty, bersama bateri lithium-ion 35.5 kWj yang diletakkan pada lantai bagi memberikan nisbah berat 50:50 antara hadapan dan belakang.

    Honda e ini boleh dicaj semula menerusi pengecaj AC menggunakan penghubung Type 2, serta boleh juga menggunakan Power Charger Honda dengan 7.4 kW (bekalan kuasa fasa tunggal) dan 22 kW (bekalan kuasa tiga-fasa), membolehkan kuasa 100% dipenuhkan dalam masa 4.1 jam. Ia juga boleh menggunakan caj cepat DC menerusi hubungan CCS2 bagi memenuhkan bateri sehingga 80% dalam masa hanya 30 minit. Satu caj penuh bateri berkenaan membolehkan kereta elektrik ini bergerak sejauh 220 km.

     
     
  • Transaksi tol guna TNG bakal berakhir menjelang 2025, SmartTAG akan dihenti secara berperingkat – menteri

    Transaksi tol guna TNG bakal berakhir menjelang 2025, SmartTAG  akan dihenti secara berperingkat – menteri

    Belum reda isu isu transaksi tol, difahamkan kerajaan merancang mahu menamatkan penggunaan kad Touch ‘n Go (TnG) serta menghentikan SmartTAG secara berperingkat untuk transaksi tol menjelang 2025. Di mana kutipan tol dengan sistem sekarang bakal digantikan dengan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF), dan pengguna akan dibenarkan untuk membayar kadar tol dengan menggunakan transaksi digital pilihan masing-masing, laporan Free Malaysia Today.

    Jangka masa baharu tersebut adalah lanjutan daripada yang pernah dimaklumkan sebelum ini, ketika kerajaan merancang untuk menamatkan penggunaan TnG dan SmartTAG pada akhir 2023. FMT turut melaporkan dianggarkan terdapat lebih 20 juta kad TnG digunakan buat masa ini, dengan hampir 91% daripada semua transaksi kad adalah untuk pembayaran tol di 31 lebuh raya di seluruh negara.

    Dalam temubual dengan portal berita berkenaan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata syarikat konsesi lebuhrara telah diberitahu untuk bersedia dengan pelaksanaan MLFF menjelang 2025. MLFF ialah sistem tol bebas palang yang menggunakan struktur gantry tanpa pondok atau lorong tol. Pembayaran tol akan dikutip menerusi RFID, dengan kerjasama sistem pengesan nombor plat automatik (ANPR).

    Transaksi tol guna TNG bakal berakhir menjelang 2025, SmartTAG  akan dihenti secara berperingkat – menteri

    Beliau berkata pengguna akan mempunyai kebebasan untuk memilih bagaimana mereka mahu membuat pembayaran tol secara digital. “Tidak lama lagi, terpulang pada orang ramai untuk menggunakan apa jua mod dogital bagi pembayaran, sama ada menggunakan Touch ‘n Go e-wallet atau kad debit atau kredit atay Visa atau Mastercard atau apa pun sistem pembayaran (elektronik) selagi ia boleh digunakan untuk lebuhraya berkenaan,” ujarnya memberitahu FMT.

    Fadillah turut berkata, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berusaha untuk memudahkan pengguna jalan raya dalam membuat pembayaran tol. “Kami dengar permintaan orang ramai untuk menambah lebih banyak kaedah transaksi (secara dalam talian) dan kami juga peka dengan aduan orang ramai yang perlu membuat bayaran awal untuk TnG sama ada menggunakan lebuhraya atau pun tidak,” jelasnya.

    Ketika ditanya tentang kesediaan syarikat konsesi lebuhraya untuk melaksanakan MLFF, beliau berkata sekiranya berlaku kelewatan oleh sesetengan pihak terbabit, kerajaan akan mempertimbangkan model pelaburan swasta atau inisiatif kewangan swasta untuk mengambil alih sistem MLFF.

    Transaksi tol guna TNG bakal berakhir menjelang 2025, SmartTAG  akan dihenti secara berperingkat – menteri

    “Model pelaburan tersebut adalah untuk sistem terbuka. Seperti yang anda lihat terdapat banyak lebuhraya di negera ini dan semua sistem perlu disepadukan. Jika kita lihat Singapura dan Taiwan, mereka menggunakan satu pihak sahaja untuk mengawal sistem tersebut,”katanya lagi.

    Berkenaan dengan ANPR pula, beliau berkata, sistem tersebut sedang diuji dalam projek rintis di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS). “Kami juga sedang meneliti cadangan untuk perkongsian awam-swasta atau PFI, tertakluk kepada perbincangan lanjut dengan syarikat konsesi LEKAS dan satu lagi projek perintis di Lebuhraya Besraya tidak lama lagi,” tambahnya. Selain itu, ANPR juga sedang digunakan oleh PLUS di lorong RFID di lebuhraya kendaliannya.

     
     
  • Polis akan pantau aktiviti berhenti dan bersantai di lorong kecemasan Lebuhraya Temiang-Pantai

    Polis akan pantau aktiviti berhenti dan bersantai di lorong kecemasan Lebuhraya Temiang-Pantai

    Selepas tular foto satu kelab kereta yang ‘menguasai’ lorong kecemasan di Lebuhraya Temiang-Pantai tempoh hari, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan bahawa pihaknya akan melakukan rondaan lebih kerap di kawasan berkenaan, lapor Harian Metro.

    Sejak ianya dibuka pada September tahun lalu, lebuhraya yang memudahkan perjalanan dari Seremban ke Kuala Klawang atau Jelebu berkenaan menjadi tumpuan orang ramai untuk bersantai dan mengambil gambar kerana kawasan berkenaan menyajikan pemandangan menghijau dan mendapat jolokan ‘New Zealand Malaysia’. Namun aktiviti berkenaan jelas menjadi kesalahan dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

    “Meletakkan kenderaan di lorong kecemasan lebih-lebih lagi dalam jumlah yang banyak tidak dibenarkan dan ia menjadi satu kesalahan,” kata Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik(JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Shafiei Muhammad.

    “Justeru polis akan melakukan rondaan pemeriksaan bagi memastikan tiada kenderaan diletakkan di lorong kecemasan dan melakukan aktiviti berbahaya lain.

    “Saya difahamkan ada juga yang mengambil kesempatan untuk berniaga, ia memang tidak dibenarkan kerana menjadi kesalahan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT),” tambahnya.

    Menurut Shafiei lagi, pihaknya akan akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai lokasi sesuai yang dibenarkan bergambar.

    Polis akan pantau aktiviti berhenti dan bersantai di lorong kecemasan Lebuhraya Temiang-Pantai

    “Orang ramai diminta tidak melakukan sesuatu aktiviti di lokasi terbabit yang boleh membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

    Isnin lalu Polis Daerah Nilai mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan memanggil sekumpulan pemilik Honda Civic generasi ke-10 (FC) yang berkumpul di lorong kecemasan Lebuhraya Temiang-Pantai berkenaan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman tindakan itu dibuat selepas pihaknya mengesan hantaran menerusi Facebook yang memaparkan sekumpulan individu daripada kelab kereta ‘FCCM-FC Club Malaysia’ memberhentikan kereta untuk bergambar di lebuhraya berkenaan kira-kira 6.30 petang, Sabtu lalu.

    Mohd Fazley turut menyatakan bahawa pihaknya sudah mengenalpasti kira-kira 48 kereta yang terbabit dalam gambar yang tular tersebut, dan hukuman denda juga boleh dikenakan ke atas individu yang terbabit mengikut Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

     
     
  • MOSTI mahu fokus pengeluaran teknologi EV tahun ini

    MOSTI mahu fokus pengeluaran teknologi EV tahun ini

    Melihat akan perkembangan pasaran kenderaan elektrik (EV) di negara ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mahu memfokuskan pengeluaran teknologi EV mulai tahun ini. Menurut menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, ia bertujuan meletakkan Malaysia sebagai pengeluar teknologi EV terutamanya kenderaan elektrik dua roda yang dibangunkan pengusaha tempatan.

    Dengan tema ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi’, ia merupakan salah satu daripada tiga bidang utama yang MOSTI ingin fokuskan pada tahun ini, selain sekuriti kesihatan negara dan inovasi sosial, laporan Bernama.

    “Antara langkah yang diambil adalah pembangunan dan pengkomersialan ekosistem teknologi EV tempatan bersama syarikat pemula dan industri kecil sederhana (IKS), menerusi program ‘Enabling Mobility Electrification for Green Technology’ (Emerge) yang diterajui NanoMalaysia Bhd,” katanya dalam Majlis Amanat 2022 MOSTI bersama Dr Adham pagi tadi.

    Selain itu, Program Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga NanoMalaysia (NESTI) iaitu platform perintis peringkat kebangsaan turut diperkenalkan bagi membangun dan mengkomersialkan sistem penyimpanan tenaga untuk mobiliti elektrik, kegunaan di dalam sektor domestik dan industri serta penyelesaian mudah alih.

    MOSTI mahu fokus pengeluaran teknologi EV tahun ini

    Buat masa ini, MOSTI belum memperincikan lebih lanjut mengenai teknologi EV mesra alam yang diperkatakan ini. Walau bagaimana pun, ia dilihat selaras dengan langkah kerajaan yang bercadang untuk memberikan pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi EV. Pengecualian cukai jalan sehingga 100% juga diberikan kepada kenderaan berkenaan. Perkara ini diumumkan menerusi pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan pada Oktober tahun lalu.

    Malah pada tahun 2017, kerajaan terdahulu bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bagi pasaran EV menjelang tahun 2030 dengan menyasarkan sebanyak 100,000 kereta elektrik, 100,000 motosikal elektrik, 125,000 stesen pengecas dan 2,000 bas elektrik di jalan raya.

    Setahun sebelum itu, syarikat Malaysia iaitu Amber Dual dikatakan bekerjasama dengan Beijing Auto International Corporation (BAIC) untuk menghasilkan EV pertama buatan Malaysia, yang dibangunkan berdasarkan model hatchback sedia ada BAIC EV200. Namun sehingga kini, tiada perkhabaran lanjut mengenainya.

     
     
  • VIDEO: Toyota Corolla Cross 1.8L Hybrid — RM137k

    Ada banyak perkara yang boleh diperkatakan tentang Toyota Corolla Cross Hybrid yang baru dilancarkan untuk pasaran tempatan ini. Ia kini menjadi varian paling tinggi model SUV berkenaan, dengan harga RM137k. Lebih menarik, ia menggunakan sistem hibrid generasi keempat Toyota yang terbukti berkesan dan tanpa masalah.

    Sistem penjana kuasanya terdiri daripada enjin kitaran Atkinson 2ZR-FXE 1.8 liter empat-silinder berkuasa 98 PS pada takat 5,200 rpm dan tork maksima 142 Nm pada takat 3,600 rpm, bersama motor elektrik berkuasa 72 PS dan tork maksimum 163 Nm. Menarik dengan sistem hibrid yang ada padanya adalah pemanduannya tidak lagi rasa jauh berbeza berbanding model petrol biasa.

    Penyampaian kuasanya bertenaga, ruang kabin selesa serta pengendalian yang meyakinkan — semua ini dengan lebih penjimatan bahan api. Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan kuasa gabungan 122 PS bagi memacu roda hadapan menerusi kotak gear automatik E-CVT, tanpa menampilkan sebarang kelajuan maya. Motor elektrik pada model hibrid ini menerima kuasa dari bateri nikel logam hidrat berkapasti 6.5 Ah yang ditempatkan di bawah tempat duduk belakang, membolehkan ia mengekalkan ruang kapasiti but belakang.

    VIDEO: Toyota Corolla Cross 1.8L Hybrid — RM137k

    Aspek keselamatan juga cemerlang. Semua varian Corolla Cross pasaran Malaysia menerima kelengkapan standard termasuk Pemantau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Bantuan Mula Mendaki dan Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS). Kelengkapan standard lain termasuk tujuh-beg udara, cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofix di belakang serta penderia parkir hadapan dan belakang.

    Model 1.8V dan 1.8 Hybrid juga didatangkan dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS) yang menampilkan fungsi seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng, Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC), Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

    Untuk tahu pandangan kami selebihnya berkaitan model SUV terbaru ini, tonton ulasan video yang disediakan. Dan, jangan lupa untuk kongsikan juga pandangan anda.

    GALERI: Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid 2022

     
     
  • Touch ‘n Go akan lancar kad baru guna teknologi NFC – tambah nilai boleh dibuat dengan aplikasi e-Wallet

    Touch ‘n Go akan lancar kad baru guna teknologi NFC – tambah nilai boleh dibuat dengan aplikasi e-Wallet

    Touch ‘n Go telah mendedahkan bahawa mereka akan melancarkan kad pra bayar baharu yang menampilkan teknologi komunikasi bidang-dekat (NFC) dalam tempoh beberapa minggu akan datang, lapor Malay Mail.

    Menurut CEO TNG Digital, Ignatius Ong, teknologi tersebut akan membolehkan pengguna menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka menggunakan port NFC menerusi aplikasi TnG eWallet. Ini tentunya lebih mudah untuk pengguna kerana buat masa sekarang kad berkenaan hanya boleh ditambah nilai menerusi kiosk khas atau kaunter yang menyediakan perkhidmatan berkenaan.

    “Kad Touch ‘n Go yang kami ada dalam edaran untuk tempoh 20 tahun kebelakangan ini tidak mempunyai kebolehan untuk ditambah nilai terus dari eWallet kerana anda memerlukan pembaca kad yang spesifik untuk melakukan transaksi bagi tujuan keselamatan,” kata Ong dalam satu perbincangan panel di hari kedua Minggu MyFintech 2022 hari ini.

    Satu-satunya hubungan yang boleh dibuat antara kad fizikal Touch ‘n Go dengan aplikasi eWallet buat masa sekarang adalah menerusi fungsi PayDirect, di mana caj tol akan ditolak dari baki eWallet terlebih dahulu sebelum menggunakan baki dalam kad yang telah dihubungkan.

    Fungsi PayDirect tersebut hanya akan menggunakan baki dalam kad fizikal sekiranya baki dalam eWallet tidak mencukupi, manakala eWallet berkenaan juga telah direka bagi membolehkan pengguna menggunakan fungsi tambah nilai automatik.

    Idea ini sebenarnya telah disebut oleh TnG pada Januari tahun lalu, dan pada awal nya ia dirancang akan diperkenalkan pada akhir tahun 2021. Sekiranya ia dilancarkan nanti, anda mungkin perlu memiliki telefon pintar yang mempunyai teknologi NFC berkenaan bagi menambah nilai kad Touch ‘n Go menggunakan aplikasi eWallet tersebut.

     
     
  • Ford Mustang Mach-E EV di Malaysia — adakah SUV elektrik dengan jarak 610 km akan diterima di sini?

    Ford Mustang Mach-E EV di Malaysia — adakah SUV elektrik dengan jarak 610 km akan diterima di sini?

    Dengan pengecualian cukai bagi kenderaan EV yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 tahun lalu, yang mencadangkan untuk pengecualian bagi duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi EV CBU hingga 31 Disember 2023, boleh dijangkakan lebih banyak model EV akan diperkenalkan di Malaysia.

    Beberapa syarikat sudah pun mula memperkenalkan model EV masing-masing, atau sekurang-kurangnya membuat perancangan untuk tempoh tersebut. Sime Darby juga tidak ketinggalan — dengan Porsche Taycan dan Hyundai Kona Electric menjadi pemula — dengan memaklumkan mereka akan terus beri tumpuan kepada model EV. Maka, bolehlah dijangkakan turut akan ada aktiviti bagi Ford, dengan Mustang Mach-E mungkin menjadi sebahagian daripada rancangan tersebut.

    Berdasarkan spesifikasi, SUV elektrik berkenaan nampak cukup meyakinkan, terutama dengan ciri pacuan roda belakang, yang ditawarkan dalam versi standard atau extended range. Dalam penawaran asas Standard Range (SR), Mach-E pacuan belakang menggunakan bateri 75.7 kWh (kapasiti pengggunaan sekitar 70 kWh), memberikan jarak kira-kira 440 km.

    Ford Mustang Mach-E EV di Malaysia — adakah SUV elektrik dengan jarak 610 km akan diterima di sini?

    Vers Extended Range (ER) pula menggunakan bateri 98.7 kWh (kapasiti penggunaan 91 kWh), dan ini memberikan jarak perjalanan 610 km (WLTP). Janaan kuasa pula, yang dikemaskini pada 2020, menyediakan 266 hp (269 PS atau 198 kW) bagi SR dan 290 hp (294 PS atau 216 kW) bagi ER, dengan kedua-duanya menjana tork 430 Nm. Pecutan 0-100 km/j bagi kedua-duanya dalam tujuh saat.

    Bagi pengecasan, SR boleh dicas menggunakan pengecas pantas 115 kW DC, sementara ER hingga 150 kW. Dalam kadar pengecasan maksimum, ini boleh memberikan 90 km dalam 10 minit, dan mengecas SR dari 10%-80% dalam masa hampir 38 minit. Dengan ER, 117 km range boleh diperoleh dalam 10 minit, dan memerlukan 45 minit untuk 10%-80% SOC.

    Berapa agaknya harga model ini jika ia tiba nanti? Di UK, versi SR dijual pada harga £42,530 (RM240,000), jadi untuk menjangkakan sekitar RM250k agak masuk akal. Adakah Mach-E dalam harga sebegitu akan menarik perhatian pembeli di sini?

     
     
  • Proton Wira 1.8 DOHC EXi Limited dalam skala 1/24 – hasil kreatif Faqih Jamaludin dari kit Lancer Evo III

    Proton Wira 1.8 DOHC EXi Limited dalam skala 1/24 – hasil kreatif Faqih Jamaludin dari kit Lancer Evo III

    Perkara biasa untuk peminat-peminat kereta, kalau tak dapat beli kereta idaman, kadang kala cukup la dapat simpan model-model skala kecil kereta yang disukai tersebut. Jadi tak hairan mengapa ramai orang dewasa yang sanggup berhabis ribuan ringgit untuk membeli model-model skala yang diperbuat dari logam (die-cast).

    Namun bagi yang lebih hardcore, mereka mungkin akan beralih ke hobi membina model kit plastik pula. Walaupun hobi membina model kit ini jauh lebih leceh kerana kereta yang dibeli perlu dipasang dan diwarnakan sendiri, ia sebenarnya lebih seronok kerana jika anda cukup kreatif, kerana model kit yang dihasilkan tersebut dapat dibuat lebih terperinci mengikut rupa atau spesifikasi yang betul-betul anda mahukan seperti kereta sebenar.

    Kalau anda berminat dengan hobi membina model kit ini, anda mungkin perlu melawat Facebook Group Big Boys Small Toys Club (BBSTC). Ini adalah antara kelab pembina model kit khususnya untuk model-model automotif (motosikal dan kereta) yang paling aktif di Malaysia.

    Proton Wira 1.8 DOHC EXi Limited dalam skala 1/24 – hasil kreatif Faqih Jamaludin dari kit Lancer Evo III

    Baru-baru ini tular satu hasil kerja yang dipaparkan dalam Group Facebook BBSTC berkenaan – ia adalah model Proton Wira 1.8 DOHC EXi Limited yang dihasilkan oleh modeler bernama Faqih Jamaludin. Untuk pengetahuan anda, model kit untuk Proton Wira ini memang tiada langsung dijual dalam pasaran. Jadi untuk menghasilkan Wira 1.8 Tiang Gol ini, Faqih menggunakan kit Mitsubishi Lancer GSR Evolution III yang dikeluarkan oleh Hasegawa dalam skala 1/24.

    Perkara pertama yang dibuat oleh Faqih untuk merubah Lancer Evo berkenaan kepada Proton Wira adalah dengan memotong dan membuang bahagian bampar hadapan. Dia kemudiannya menghasilkan sendiri bampar Wira tersebut menggunakan plat plastik (atau lebih dikenali sebagai plaplate).

    Dia kemudiannya memotong dan membuang bahagian penutup bonet dan juga gril hadapan, dan membentuk semula perumah lampu hadapan kerana lampu Wira menampilkan rupa yang lebih bulat berbanding Lancer. Juga dengan plaplate serta bahan putty, Faqih membentuk kembali bonet hadapan, gril dan juga bampar hanya dengan menggunakan tangan dan peralatan-peralatan modeling lain.

    Selesai bahagian muka, Faqih beralih pula ke bahagian belakang. Bahagian ini turut ditambah dengan bahan putty bagi menjadikan Lancer berkenaan sedikit lebih panjang agar seiras dengan Proton Wira, kemudian bahagian lampu dan juga perumah plat pendaftaran turut diukir dan dibentuk hanya menggunakan tangan.

    Seperti yang kita tahu, Lancer dan Wira menampilkan profil sisi yang sama, jadi Faqih hanya perlu membuang skirt sisi Evo III tersebut, dan membina semula skirt sisi yang seiras dengan Proton Wira 1.8 DOHC EXi juga menggunakan putty. Faqih juga mengubahsuai spoiler Evo III berkenaan agar kelihatan seperti spoiler ‘Tiang Gol’ Wira 1.8 Limited.

    Untuk pengetahuan anda, kit Lancer Evo III dari Hasegawa ini didatangkan dengan dua set tempat duduk hadapan iaitu Recaro SR3, dan juga sepasang tempat duduk Recaro N-Joy yang sememangnya perincian standard untuk Lancer Evo II dan Wira 1.8 DOHC Limited.

    Proton Wira 1.8 DOHC EXi Limited dalam skala 1/24 – hasil kreatif Faqih Jamaludin dari kit Lancer Evo III

    Jadi Faqih memilih untuk memadankan set tempat duduk Recaro N-Joy berkenaan. Manakala untuk papan pemuka, panel konsol tengah Evo III tidak digunakan, sebaliknnya Faqih membentuk sendiri panel konsol tersebut agar seiras dengan papan pemuka Proton Wira.

    Setelah siap semua, badan Wira ini disembur dengan layangan primer, kemudian disudahkan dengan warna hitam yang nampak sedikit ke’ungu’an. Bonet Wira ini juga diberikan decal dengan efek gentian karbon. Satu lagi yang menarik, tip ekzos asal Evo III ini juga sebenarnya seiras dengan tip ekzos berkembar Wira 1.8 DOHC.

    Untuk mendapatkan set rim AAC 14-inci dalam skala 1/24 ini memang agak mustahil. Jadi Faqih hanya menggunakan kembali set rim OZ Chrono yang datang sekali dengan kit Evo III Hasegawa ini.

    Sebenarnya selain dari Wira 1.8 ini, Faqih sebelum ini turut pernah menghasilkan Wira Aeroback juga menggunakan kit asas Lancer Evo dari Hasegawa, dan juga Daihatsu Mira L200 yang kelihatan seperti Perodua Kancil diasaskan dari kit Daihatsu Mira L70 keluaran Fujimi.

    GALERI: Proton Wira 1.8 DOHC EXi Limited hasil restorasi Dream Street Restoration

     
     
  • MINI Recharged – program ubah suai model klasik kepada EV dengan kuasa 122 PS, jarak gerak 160 km

    MINI Recharged – program ubah suai model klasik kepada EV dengan kuasa 122 PS, jarak gerak 160 km

    MINI telah memperkenalkan satu program khas yang dinamakan sebagai Recharged, di mana ia mengubah suai model klasik Mini kepada kereta pacuan elektrik sepenuhnya. Dibangunkan oleh sepasukan jurutera dari kilang MINI di Oxford, program ini dijalankan khas hanya di United Kingdom dan serasi dengan strategi masa hadapan jenama itu ke arah elektrifikasi.

    Menurut MINI, idea untuk program ini sudah ada sebelum kereta elektrik pertama jenama itu, iaitu MINI Cooper SE dijual kepada awam lagi. Kemudiannya pada tahun 2018, pengenalan Classic Mini Electric waktu acara New York International Auto Show juga menarik banyak reaksi positif, sehingga pasukan di Oxford ini berusaha untuk menyediakan pakej ubah suainya.

    Pemilik kereta Mini klasik boleh menghantar kereta mereka dan enjin pembakaran dalaman A Series sedia ada padanya akan diganti kepada motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa 122 PS (121 hp atau 90 kW) dalam program ini.

    MINI memberitahu, pakej ini boleh menghasilkan pecutan 0-100 km/j dalam masa sekitar sembilan saat dan motor elektrik itu mendapat kuasa daripada bateri voltan tinggi yang boleh dicas menggunakan output 6.6 kW dan memberikan jarak gerak sehingga 160 km. Setiap kereta yang dibuat juga akan menerima panel instrumen yang diubah suai – masih nampak klasik tetapi dengan penunjuk tambahan seperti kedudukan gear, jarak gerak dan suhu.

    Bagi mengekalkan warisan sejarah kereta klasik ini, ubah suai yang dibuat kepada pemacu elektrik ini boleh diubah semula kepada enjin biasa sekiranya pemilik mahu. Malahan, enjin asal yang dikeluarkan juga akan ditanda dan disimpan supaya boleh dipasang kembali.

    Melalui program MINI Recharged ini, pemilik dapat memandu kereta kesayangan mereka di zon emisi rendah yang wujud di banyak bandar besar dan biasanya tidak boleh diakses oleh kereta pembakaran dalaman. Pemilik juga tidak perlu mendaftar semula kenderaan mereka selepas ubah suai dibuat.

     
     
  • QJMotor SRT 800 tiba di Malaysia, lancar tengah tahun

    QJMotor SRT 800 tiba di Malaysia, lancar tengah tahun

    Semasa pelancaran Moto Morini X-Cape 650 hujung minggu lalu, MForce Bike Holdings turut mempamerkan model baru QJMotor SRT 800 yang dikatakan bakal berada di pasaran Malaysia menjelang suku kedua tahun 2022. Harga dikatakan mungkin berada di sekitar RM50k tetapi ia masih belum disahkan sepenuhnya kerana bergantung kepada kelulusan VTA.

    Walaupun berada di bawah jenama QJMotor, motosikal adventure/tourer ini dilihat mempunyai panel tempat duduk yang tertulis TRK, sekaligus memberi gambaran ia juga bakal dijual di beberapa tempat sebagai Benelli TRK 800.

    Ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana QJMotor dan Benelli berada di bawah syarikat induk yang sama, sementara apabila ditanya pula kepada MForce sama ada kedua-dua jenama ini akan dijual sekali di Malaysia, mereka cuma menjawab “perkara ini sedang dibincangkan dan keputusan masih belum dibuat.”

    Bentuk SRT 800 adalah mengikut rekaan tipikal sebuah motosikal adventure, dengan bahagian hadapan yang tinggi serta tangki bahan api 18.5 liter. Skrin TFT-LCD tujuh inci memaparkan informasi penting kepada penunggang, dan semua lampunya adalah menggunakan unit LED.

    Model SRT 800 yang dipamerkan waktu acara di Alor Setar, Kedah ini menggunakan rim spoked 19 inci, namun pengunjung yang hadir turut diberitahu bahawa versi yang menggunakan rim aloi turut akan dibawa ke dalam negara.

     
     
  • Ford Bronco Raptor 2022 diperkenal dengan enjin V6 EcoBoost 3.0 liter twin turbo, peningkatan ciri offroad

    Ford Bronco Raptor 2022 diperkenal dengan enjin V6 EcoBoost 3.0 liter twin turbo, peningkatan ciri offroad

    Ini adalah Ford Bronco Raptor, sebuah model yang diangkat sebagai Bronco street-legal paling berkuasa dan mendapat banyak peningkatan untuk memuaskan penggemar offroad hardcore dan akan mula dijual tahun ini.

    Di bawah bonetnya terdapat enjin EcoBoost petrol V6 3.0 liter twin turbo yang dikatakan boleh menghasilkan kuasa sekurang-kurangnya 400 hp. Ford masih belum mendedahkan jumlah kuasa sebenar, tetapi enjin sama yang digunakan pada Explorer ST menghasilkan 400 hp dan 563 Nm tork.

    Apapun, enjin 3.0 liter ini memberikan peningkatan besar berbanding enjin V6 2.7 liter twin turbo berkuasa 310 hp dan 542 Nm yang digunakan pada varian di bawahnya. Ford juga memberitahu bahawa enjin yang lebih besar ini mendapat manfaat daripada talaan khas untuk Raptor dan mempunyai sistem penyejukan udara dan intercooler yang dipertingkat dan dibuat khas untuk bertahan dengan suhu di padang pasir.

    Turut dipasang adalah sistem ekzos berkembar dengan injap aktif serta panjang paip sama pada kedua-dua belah bagi meningkatkan bunyinya. Pemandu boleh menikmati bunyi ekzos ini dalam empat mod iaitu Normal, Sport, Quiet dan Baja.

    Dari enjin, ia disambung kepada transmisi 10 kelajuan dengan pedal penukar magnesium serta sistem pacuan empat roda yang mempunyai tiga mod dan klac kapasiti tinggi. Transfer case turut menerima peningkatan, dengan kini mempunyai nisbah rendah 3.06 4×4 LO sehingga 67.7:1 untuk merangkak atas batu.

    Sistem ini disambungkan kepada G.O.A.T. (Goes Over Any Type of Terrain) Terrain Management System yang mempunyai pilihan tujuh mod. Paling unik adalah mod Baja yang mengaktifkan kalibrasi anti-lag turbo, boleh digunakan untuk memecut di atas pasir, sementara mod lain adalah seperti Tow/Haul, Trail Control, Trail Turn Assist dan Trail One-Pedal Driving.

    Fokus yang diberikan kepada prestasi offroad juga menyaksikan pelbagai peningkatan bahagian suspensi, yang mendapat inspirasi daripada siri perlumbaan hardcore Ultra4. Antaranya adalah seperti gandar yang sama seperti kereta lumba Bronco DR Racing SUV, dengan di hadapan adalah unit Dana 50 Heavy-Duty AdvanTEK semi-float dengan ring gear 235 mm, sementara pemacu Dana 44 AdvanTEK dipertingkat dengan half-shaft yang mempunyai ring gear 210 mm.

    Suspensi menggunakan perkakas daripada Ford, iaitu sistem High-Performance Off-Road Stability Suspension (HOSS) dengan Live Valve technology. Sama seperti F-150 Raptor, sistem ini terdiri daripada penyerap separa aktif Fox 3.1 dengan reservoir bersepadu di hadapan, dan reservoir berasingan untuk belakang. Suspensi ini bergantung kepada sensor untuk mengetahui keadaan jalan dan melarasnya mengikut keadaan yang sesuai.

    Ford Bronco Raptor 2022 diperkenal dengan enjin V6 EcoBoost 3.0 liter twin turbo, peningkatan ciri offroad

    Semua komponen ini dipasang pada kerangka besi berkekuatan tinggi dengan tapak penyerap baru dan lengan kawalan khas untuk memberikan jarak gerak suspensi 330 mm di hadapan (+60%) dan 356 mm (+40%) di belakang. Tinggi kenderaan sendiri meningkat sebanyak 122 mm berbanding Bronco asas empat pintu, menjadi 333 mm. B-pillar dan C-pillar yang diperkuat menjadikan ketahanan kilasannya bertambah 50%, dan ia ditambah lagi dengan plet besi di bawah kenderaan sebagai perlindungan.

    Perubahan lain pada bahagian badan adalah lengkuk roda yang lebih lebar 249 mm berbanding Bronco biasa, dan ia memang diperlukan untuk memuatkan rim beadlock 17 inci dan tayar all-terrain BFGoodrich KO2 37 inci – Ford mendakwa ia adalah tayar paling besar pernah dipasang untuk SUV produksi di Amerika. Tayar yang besar ini juga memerlukan peningkatan pada sistem stereng kuasa elektrik kenderaan.

    Selain kedudukan yang tinggi serta lengkuk roda yang lebih lebar, anda juga boleh mengenali Bronco Raptor ini melalui bahagian badan lain yang berbeza berbanding Bronco biasa, seperti fender, hiasan pada pintu, bonet serta gril dengan tulisan Ford yang besar.

    Lampu utama LED dengan DRL warna kuning dan lampu penanda bersepadu warna kuning juga adalah antara peningkatan yang diberi, bersama lampu kabus LED dan lampu offroad daripada Rigid. Bampar besi hadapan daripada Ford Performance juga mempunyai cangkuk serta bahagian yang boleh dicabut untuk memberi lebih kelegaan.

    Untuk menjadikan penampilannya lebih ranggi, Ford menyediakan Graphics Package yang memberikan pelekat khas pada bahagian tepi kenderaan dan bonet. Pilihan warna juga ada banyak, termasuk Hot Pepper Red Metallic, Velocity Blue Metallic, Eruption Green Metallic, Shadow Black, Iconic Silver Metallic, Area 51, Cactus Gray, Cyber Orange Metallic Tri-Coat, Oxford White, serta Code Orange khas Ford Performance.

    Bahagian kabin yang sama seperti Bronco biasa masih digunakan, dengan panel instrumen digital 12 inci yang mempunyai paparan khas Raptor, roda stereng lebih tebal, tempat duduk sport daripada Ford Performance, kemasan khas serta pilihan balutan tempat duduk vinyl atau suede. High Package disediakan diberi secara standard, dan ia termasuk skrin sesentuh untuk sistem infotainmen 12 inci, sementara Lux Package pula memberikan Adaptive Cruise Control dan sistem bunyi 10 pembesar suara B&O.

     
     
  • Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid dipanggil balik ekoran isu ECU – 3,421 unit terlibat untuk diprogram semula

    Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid dipanggil balik ekoran isu ECU –  3,421 unit terlibat untuk diprogram semula

    Daihatsu telah mengumumkan panggilan balik bagi Rocky e-Smart Hybrid, yang melibatkan isu unit kawalan untuk penjana kuasa hibrid elektrik-petrol. Pengeluar kereta Jepoun itu berkata kerosakan pada ECU terbabit mungkin menyebabkan “penjanaan kuasa yang tidak betul”.

    Di mana enjin pembakaran dalaman boleh terhenti semasa kenderaan dipandu. Lampu ‘check engine’ pada panel instrumen akan menyala dan pecutan kenderaan akan dikurangkan. Jika kenderaan terus dipandu dengan enjin yang bermasalah, ia mungkin tidak berterusan lama kerana akan kehabisan kuasa bateri.

    Penjana kuasa Rocky e-Smart Hybrid digerakkan sepenuhnya oleh motor elektrik 106 PS/170 Nm, sementara pembakaran dalaman 1.2 liter WA-VEX tiga-silinder pula bertindak sebagai generator (seperti range extender). Enjin ini mampu menghasilkan 82 PS dan 105 Nm tork.

    Untuk menyelesaikan masalah ini, Daihatsu akan memprogramkan semula ECU pada semua kenderaan yang terlibat, dan pemilik SUV berkenaan akan dimaklumkan menerusi e-mail dan saluran komunikasi lain.

    Menurut Daihatsu lagi, sebanyak 3,421 unit Rocky e-Smart Hybrid terlibat dengan panggilan semula ini, iaitu meliputi nombor casis dari A202S-0000061 hingga A202S-0004018. Unit ini dikeluarkan antara 1 November 2021 dan 3 Disember 2021.

    Di pasaran Malaysia, Daihatsu Rocky dijelmakan sebagai Perodua Ativa, dan ia telah dilihat diuji di Malaysia sebelum Rocky e-Smart Hybrid sendiri diperkenalkan.

    Perodua juga mendedahkan bahawa pihaknya turut membuat kajian pasaran untuk Ativa versi hibrid. Malah pada November lalu, CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad turut berkata, lebih banyak model hibrid turut akan didedahkan bila tiba masanya.

    GALERI: Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid

     
     
  • Renault akan hasilkan model baru guna platform CMA Geely – produksi di Korea bakal bermula pada 2024

    Renault akan hasilkan model baru guna platform CMA Geely – produksi di Korea bakal bermula pada 2024

    Zhejiang Geely Holding Group (ZGH) dan Renault Group telahpun menandatangani perjanjian untuk melancarkan barisan model baharu yang dihasilkan khas untuk pasaran Korea Selatan.

    Sebagai sebahagian dari perjanjian tersebut, Geely akan memberikan lesen untuk teknologi platform dan juga rangkaian kuasa kepada Renault-Samsung Motors (RSM), yang kemudiannya akan memproduksi model-model hibrid dan enjin pembakaran dalaman di Busan untuk pasaran tempatan dan juga eksport.

    Menurut Renault, kerjasama ini adalah sebahagian dari program “Renaulution” bagi menambahbaik jenama RSM, dengan produksi model yang masih lagi belum diumumkan. Namun model tersebut didakwa akan “mencapai dan melebihi jangkaan pasaran tempatan”, dan akan mula diproduksi bermula pada tahun 2024.

    Renault akan hasilkan model baru guna platform CMA Geely – produksi di Korea bakal bermula pada 2024

    Model-model baharu RSM berkenaan akan dibina berasaskan platform Compact Modular Architecture (CMA) yang telah dibangunkan oleh Geely bersama Volvo. Platform tersebut telah pun digunakan oleh pelbagai model dari pelbagai jenama di bawah Geely Group seperti Geely Xingyue L, Polestar 2, Lynk & Co 01 serta Volvo XC40.

    Renault juga belum mengumumkan model dalam kelas mana yang akan dihasilkan menerusi platform tersebut, namun tak mustahil ia akan dimulakan dengan SUV terlebih dahulu.

    “Geely sudah mempunyai rekod yang terbukti dalam mewujudkan kerjasama yang menghasilkan keuntungan bersama dengan fokus terhadap teknologi, pengalaman dan perkongsian idea dengan matlamat utamanya untuk menghasilkan produk yang lebih berkualiti dan lestari. Kami tak sabar untk bekerjasama dengan Renault dan meneroka sinergi-sinergi baharu yang menggabungkan kekuatan dari kedua-dua pihak bagi menghasilkan nilai untuk pengguna akhir,” kata pengasas dan pengerusi ZGH, Eric Li (Li Shufu).

    Renault akan hasilkan model baru guna platform CMA Geely – produksi di Korea bakal bermula pada 2024

    “Kami gembira untuk memulakan kerjasama yang inovatif dengan Geely Group, yang mempunyai rekod mengkagumkan dalam industri automotif. Menerusi projek ini, Geely Holding dan Renault Group telah membina halatuju bagi meneruskan perjalanan dan sumbangan selama 20 tahun RSM dalam industri Korea Selatan,” kata CEO Renault Group, Luca de Meo.

    Kerjasama ini pertama kali disebut pada Ogos tahun lalu, dengan kedua-dua syarikat menandatangani Memorandum Persefahaman bagi mewujudkan pakatan kerjasama. Selepas Renault menamatkan kerjasama dengan satu lagi entiti dari China iaitu Dongfeng (Dongfeng Renault) sebelum ini, jenama Perancis berkenaan mula mencari rakan kongsi baharu di negara tersebut.

    Model-model yang akan dihasilkan oleh RSM bersama Geely di Korea Selatan ini mungkin akan dieksport ke China. Malah dengan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara Korea Selatan dan Amerika Syarikat mungkin membolehkan Geely mengeksport kereta mereka yang di produksi di fasiliti RSM ke AS.

     
     
  • Kuala Terengganu Bypass dijangka siap April ini

    Kuala Terengganu Bypass dijangka siap April ini

    Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof telah mnegesahkan projek Kuala Terengganu Bypass dijangka siap dalam tempoh lima bulan lebih awal iaitu pada April ini. Katanya, projek yang sebelum ini dijadual siap pada September tahun ini sudah mencapai kemajuan hampir 92%.

    Projek Kuala Terengganu Bypass yang menelan kos RM220 juta, bermula pada 2016 itu sebelum ini tertangguh disebabkan beberapa isu teknikal, laporan Berita Harian.

    Jelas Fadillah, “Ia berkaitan dengan pengambilan tanah yang mengambil masa untuk diselesaikan, reka bentuk yang perlu disesuaikan dengan keadaan tapak dan beberapa perkara yang perlu ditambah baik, di samping penularan COVID-19 yang membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Setakat ini, projek itu sudah mencapai hampir 92% dan dijangka siap pada September tahun ini. Tetapi, selepas mendengar taklimat daripada pasukan projek Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor mereka memberi komitmen untuk menyiapkan projek ini lebih awal iaitu pada April tahun ini,” katanya ketika melakukan tinjauan projek Kuala Terengganu Bypass semalam.

    Kuala Terengganu Bypass dijangka siap April ini

    Tambah beliau, projek di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) itu bertujuan mengurangkan kesesakan trafik seterusnya menjimatkan jarak dan tempoh perjalanan pengguna sebanyak 30 minit dari Kuantan ke Kota Bharu atau sebaliknya.

    Di mana pelaksanaannya dapat memberi manfaat kepada 70,000 penduduk terutama di Bandar Baru Bukit Besar, selain menggalakkan pertumbuhan ekonomi dengan membawa koridor baharu pembangunan di daerah Kuala Terengganu.

    Kuala Terengganu Bypass melibatkan laluan sepanjang 5.875 kilometer bermula dari persimpangan Tok Molor, Jalan Tok Adis (T12) hingga ke Kampung Durian Burung di Jalan Persekutuan FT03 Kota Bharu-Kuala Terengganu. Selain itu, dua persimpangan iaitu persimpangan Tok Molor dan persimpangan Tok Ku turut dinaiktaraf kepada persimpangan bertingkat.

     
     
  • Nissan Skyline GT-R R32 Gr. A yang pernah dipandu Keiichi Tsuchiya terjual pada harga RM1.02 juta!

    Nissan Skyline GT-R R32 Gr. A yang pernah dipandu Keiichi Tsuchiya terjual pada harga RM1.02 juta!

    Jika kita berborak pasal Keiichi Tsuchiya, sudah tentu kita terbayang akan Toyota Corolla AE86 yang begitu ikonik dengan pelumba lagenda Jepun yang terkenal dengan gelaran “The Drift King” berkenaan. Namun tahukah anda pada era awal 90’an, Tsuchiya sebenarnya agak sinonim dengan Nissan Skyline GT-R R32.

    Ketika itu Keiichi Tsuchiya sahaja seringkali tampil kemana sahaja dengan R32 GT-R miliknya, dan beliau turut pernah muncul dalam siri filem “Shuto Kousoku Trial” juga memandu R32 peribadinya. Malah ketika itu Keiichi Tsuchiya juga bertanding dalam siri Kejuaraan Touring Car Jepun (JTCC) untuk musim 1991 dengan jentera Nissan Skyline GT-R R32 Group A pasukan Klepper Taisan, bergandingan dengan ‘Tok Guru’nya sendiri iaitu Takahashi Kunimitsu.

    Team Taisan mempunyai dua buah jentera Skyline GT-R Group A ini – sebuah sudah pun diletakkan di muzium milik Nissan, dan sebuah lagi telah muncul untuk dijual menerusi Collection Car Auction ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2022 bermula 14 Januari lalu, dan ia dilelong menerusi platform Yahoo Auction.

    Nissan Skyline GT-R R32 Gr. A yang pernah dipandu Keiichi Tsuchiya terjual pada harga RM1.02 juta!

    Lelongan tersebut telahpun tamat pada 23 Januari lalu, dan Nissan Skyline GT-R R32 Group A Klepper Taisan ini telah terjual pada harga 27,845,000 yen tanpa cukai, atau sekitar RM1.02 juta! Kereta yang terjual ini masih dalam keadaan asal, malah kesan-kesan calar pada perlumbaan terakhirnya masih boleh dilihat pada badan kereta tersebut.

    Kereta ini bertanding dalam kelas tertinggi JTCC ketika itu iaitu kelas JTC-1, memerlukan ia dibina berdasarkan spesifikasi Group A atau ‘Production Modified’. Oleh itu, ia masih perlu menggunakan sistem pacuan semua roda ATTESA-ETS Pro dan enjin asal RB26DETT 2.6 liter dengan dua pengecas turbo, tetapi telah diubahsuai bagi menghasilkan kuasa melebihi 540 hp.

    Walau bagaimanapun, enjin asal pada unit yang dilelong ini telah digantikan dengan enjin RB26DETT dalam spesifikasi N1. Namun untuk majoriti perincian lain seperti suspensi, sistem penyejukan, rim magnesium dengan sistem nat tunggal dan lain-lain masih kekal dengan peralatan dalam spesifikasi Group A.

     
     
  • Proton dinamakan sebagai salah satu jenama kereta rasmi Sukan Asia ke-19 Hangzhou 2022 di China

    Proton dinamakan sebagai salah satu jenama kereta rasmi  Sukan Asia ke-19 Hangzhou 2022 di China

    Walaupun masih belum ada model-model Proton dijual ke pasaran China, jenama kereta nasional Malaysia berkenaan telah dinamakan sebagai salah satu jenama yang akan membekalkan kereta rasmi untuk Sukan Asia ke-19 Hangzhou 2022, yang bakal berlangsung dari 10 hingga 25 September 2022 nanti.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Proton hari ini, mereka dipilih kerana kaitannya dengan Geely Auto Group, yang merupakan Rakan Kongsi Prestij Rasmi untuk sukan yang bakal berlangsung di Hangzhou, dalam wilayah Zhejiang, China berkenaan.

    Proton menyatakan bahawa pengiktirafan ini bukan sekadar memberikan peluang kepada mereka untuk menyokong acara pelbagai-sukan terbesar di Asia tersebut, malah secara tidak langsung akan memberikan peluang kepada Proton untuk tampil sebagai jenama antarabangsa dan meningkatkan imej di Asia.

    Dengan perlantikan ini, Proton akan membawa kesemua model sedia ada mereka termasuk Proton Persona, Iriz, Exora, Saga, X50 dan X70 untuk bertugas di Sukan Asia Hangzhou 2022.

    Disamping itu, Proton turut akan melancarkan kempen peringkat nasional untuk meningkatkan keterujaan dikalangan rakyat Malaysia menjelang sukan tersebut, bagi menaikkan semangat olahragawan negara yang sedang berusaha untuk menyampaikan persembahan terbaik mereka di Sukan Asia kelak. Kempen akan dijalankan dengan meraikan semangat kesukanan di kalangan rakyat dan menonjolkan peranan sukan dalam memupuk perpaduan, selain dari mempromosikan aktiviti kecergasan dan sukan.

    Kempen tersebut juga adalah “untuk mengukuhkan hubungan di antara Proton dengan orang ramai, selaras dengan slogan acara tahun ini – ‘Heart to Heart, @Future'” menurut Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan tersebut.

    “Mencerminkan komitmen Proton ke arah ‘Inspiring Connections’ dan usaha berterusan kami untuk kecemerlangan, kami ingin menampilkan cara baru bagi memeriahkan Sukan Asia ke-19 melalui kempen-kempen kami. Acara pelbagai sukan di Asia akan memberikan platform penting kepada Proton, dan matlamat kami adalah untuk menghubungkan semua lapisan masyarakat untuk menyertai kami dan memberikan sokongan kepada olahragawan negara bagi mendorong mereka untuk mencapai kejayaan, dan meraikan identiti kita sebagai sebahagian dari Keluarga Asia,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

    Kempen ini akan dimulakan dengan “Peraduan PROTON Ignite Your Life” di mana pelanggan berpeluang untuk memenangi hadiah apabila mereka menempah dan mendaftar model-model baharu Proton yang terdiri dari Persona, Iriz, Exora, Saga, X50 ataupun X70 dari 1 Februari hingga 31 Julai 2022.

    Antara hadiah menarik yang ditawarkan menerusi peraduan ini termasuk hadiah utama iaitu perjalanan eksklusif ke Hangzhou untuk merasai acara sukan berkenaan secara langsung, serta hadiah bulanan seperti e-baucar untuk produk sukan.

     
     
  • Michelin Pilot Sport 5 diperkenalkan, rekaan Dual Sport Tread, tahan lebih lama, saiz dari 17″-20″

    Michelin Pilot Sport 5 diperkenalkan, rekaan Dual Sport Tread, tahan lebih lama, saiz dari 17″-20″

    Michelin telah memperkenalkan Pilot Sport 5, yang menggantikan model tayar popularnya sebelum ini, Pilot Sport 4. Menurut pengeluar tayar dari Perancis itu, model generasi kelima Pilot Sport itu menawarkan “ketahanan yang lama dan prestasi berterusan, dan cengkaman brek maksimum atas jalan basah dan kering.”

    Seperti juga dengan Pilot Sport 4, Pilot Sport 5 baru menampilkan “Teknologi Maklum Balas Dinamik”, yang mana hybrid belt yang diperbuat daripada aramid dan nylon menyediakan pengukuhan struktural kepada tayar dan mengekalkan kestabilan permukaan yang bersentuhan dengan jalan.

    Sementara itu, “Teknologi Binaan MaxTouch” mengagihkan secara sekata daya pecutan, membrek dan di selekoh, menawarkan hayat tayar yang lebih panjang. Untuk itu, Pilot Sport 5 juga mempunyai “Rekaan Bunga Dual Sport,” yang mana permukaan luar dan dalam tayar berkenaan mempunyai corak bunga yang berbeza.

    Michelin Pilot Sport 5 diperkenalkan, rekaan Dual Sport Tread, tahan lebih lama, saiz dari 17″-20″

    Corak luaran dengan blok kukuh memberi cengkaman kering yang maksimum, sementara corak dalam mengendalikan cengkaman dalam keadaan basah. Michelin juga menekankan “Groove Clear”, yang merujuk kepada corak bunga yang mengalirkan air ke dalam saluran transversal lebar dan jauh daripada tayar untuk keselamatan dan kendalian ketika dalam hujan.

    Sama seperti produk tayar lain Michelin, Oilot Sport 5 turut diberikan rekaan dinding sisi sentuhan premium untuk menarik perhatian. Saiz bagi PS5 ini bermula dari 205/40R17 hinggalah ke 275/45R20, yang semuanya mempuyai indeks kelajuan “Y” yang bermaksud 300 km/j.