Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • MAA sasar jual 600k unit bagi 2022, +17.9% dari 2021

    MAA sasar jual 600k unit bagi 2022, +17.9% dari 2021

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) hari ini memaklumkan bahawa jualan kenderaan yang dicatatkan sepanjang 2021 adalah 508,911 unit. Angka itu 20,603 unit atau 4% berkurang berbanding 2020. Ini tahun kedua berturut-turut Malaysia mencatatkan penurunan dalam jumlah keseluruhan industri (TIV).

    Bagaimanapun, MAA meletakkan sasaran 600k unit bagi tahun 2022 ini, meliputi 91,089 unit atau 17.9% lebih tinggi berbanding tahun lalu. Peningkatan semula ini akan diterajui oleh kenderaan penumpang — MAA meramalkan daripada jumlah itu, 540k adalah kereta penumpang (naik 87,337 unit, +19.3%) dan 60k lagi adalah kenderaan perdagangan (naik 3,752 unit, +6.7%).

    Dalam menetapkan angka 600k tersebut, MAA mempertimbangkan faktor mikro seperti pertumbuhan semula ekonomi global selepas pandemik, serta ramalan pertumbuhan GDP 5.5% hingga 6.5% oleh kerajaan untuk 2022, yang dirancakkan oleh perbelanjaan dalam Belanjawan 2022 serta ekonomi yang semakin pulih.

    MAA sasar jual 600k unit bagi 2022, +17.9% dari 2021

    Perbelanjanaan pengguna juga dijangka meningkat selari dengan pemulihan ekonomi, ditambah pula dengan kadar faedah yang rendah. Dalam mesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Kewangan November lalu, Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan tetapan Overnight Policy Rate (OPR) pada kadar 1.75%, dan ini boleh membantu jadi pemangkin kepada perbelanjaan domestik termasuk untuk pembelian kereta baru.

    Pengecualian SST bagi kenderaan penumpang juga telah dilanjutkan tiga kali, dan kini bakal berakhir 30 Jun 2022. MAA menjelaskan ahlinya akan menggiatkan pengeluaran dan serahan untuk memenuhi permintaan dan tempahan tertunggak. Begitu juga dengan bebas cukai untuk model baru termasuk EV dijangka akan terus mengekalkan permintaan pembeli. MAA juga menjangkakan promosi rancak bakal dilakukan oleh ahlinya untuk meraih dan meningkatkan semula perkongsian pasaran.

    Kekangan yang mungkin memberi kesan pula tentunya keadaan gangguan berkaitan pandemik serta masalah bekalan. Contohnya termasuklah gelombang baru jangkitan Covid-19, kekurangan cip semikonduktor, kos pengangkutan meningkat serta situasi politik Malaysia yang bercelaru. Semua ini akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara, serta jualan kenderaan baru.

     
     
  • Mad Mike akan hasilkan Mazda 3 dengan enjin rotary empat rotor, 1200 hp untuk ke perlumbaan Pikes Peak

    Mad Mike akan hasilkan Mazda 3 dengan enjin rotary empat rotor, 1200 hp untuk ke perlumbaan Pikes Peak

    Mazda pernah dilihat mempatenkan rekaan enjin wankel rotary dengan pengecas turbo generasi baharu. Malah baru-baru ini jenama dari Hiroshima berkenaan dikesan memfailkan paten sebuah kereta sport pacuan belakang yang dijana enjin ikonik tanpa omboh berkenaan, dengan bantuan sistem hibrid.

    Namun dalam dunia sebenar, memang agak mustahil untuk Mazda hasilkan semula kereta sport dengan enjin wankel rotary bagi menggantikan legasi kereta sport RX mereka selepas produksi RX-8 ditamatkan pada 2012. Ini kerana untuk menghasilkan sebuah enjin rotary yang mematuhi undang-undang pencemaran bukannya mudah, lagi-lagi dengan penetapan regulasi baharu yang begitu ketat di Eropah.

    Jadi drifter yang terkenal dengan pelbagai binaan kereta drift Mazda yang dijana oleh enjin wankel rotary dari New Zealand, ‘Mad Mike’ Whiddett, menunggu untuk Mazda menghasilkan sebuah jentara baharu yang dijana enjin rotary adalah seperti menunggu bulan jatuh ke riba. Oleh itu beliau sendiri akan membangunkan sebuah Mazda generasi terkini yang disumbat oleh enjin wankel rotary.

    Seperti yang anda boleh lihat pada illustrasi di atas, ini dia Mazda 3 hatchback yang bakal disumbat enjin rotary! Illustrasi ini disiarkan sendiri oleh Mad Mike di laman Instagram miliknya. Menurut beliau jentera ini akan tampil diperlumbaan ‘panjat bukit’ terulung yang diadakan di Amerika Syarikat iaitu Pikes Peak International Hill Climb (PPIHC) sempena edisi ke-100 yang akan dilangsungkan tahun ini.

    Seperti jentera-jentera drift Mad Mike yang lain, Mazda 3 Hatchback ini akan menerima enjin rotary dengan empat buah rotor, disasarkan akan menjana sekitar 1,200 hp. Mad Mike turut menyatakan bahawa keempat-empat pintu Mazda 3 berkenaan akan kekal boleh dibuka, serta diberikan empat tempat duduk termasuk dua kerusi di kabin belakang.

    Dari iilustrasi tersebut dapat dilihat bahawa Mazda 3 berkenaan diberi kit badan lebar Pandem Rocket Bunny dari Tra Kyoto, bersama sayap GT bersaiz gergasi di bahagian belakang. Ia juga direndahkan serapat yang mungkin dengan permukaan jalan, dipadankan bersama set rim yang lebar.

    Empat muncung ekzos dan empat unit rotor pada enjin kelihatan keluar dari penutup hud hadapan. Dan seperti biasa, jentera baharu Mad Mike ini turut diberikan livery perlumbaan dengan grafik penaja utamanya, Red Bull.

    “Race to Clouds” PPIHC tahun ini akan dilangsungkan pada 26 Jun 2022. Ia merupakan perlumbaan paling lama pernah diadakan di Amerika Syarikat, dengan bermula pada tahun 1916. Pelumba perlu mendaki jalan bukit sejauh 20 km untuk menuju ke puncak tertinggi pada bahagian selatan pergunungan Rocky di Colorado dengan mencatatkan masa terpantas untuk memenangi perlumbaan.

    Setiap tahun PPIHC akan menarik ramai pelumba dan kereta lumba dari seluruh dunia, yang datang dari pelbagai latar belakang disiplin perlumbaan. Kesemua pelumba dan kereta mereka perlu menghabiskan 156-selekoh bermula pada ketinggian 9,390 kaki sehingga puncak Pikes Peak dengan ketinggian 14,115 kaki.

     
     
  • PANDU UJI: Suzuki Swift Sport imej biasa, prestasi penuh teruja – layak jadi hot hatch paling kompetitif?

    PANDU UJI: Suzuki Swift Sport imej biasa, prestasi penuh teruja – layak jadi hot hatch paling kompetitif?

    Pada tahun 2016, Suzuki Malaysia Automobile yang memasang hatchback segmen-B Suzuki Swift di kilang Hicom Automotive Manufacturers Pekan, Pahang telah menutup operasinya setelah menandatangani MoU bersama Proton dan DRB-Hicom. Sejak itu, Suzuki sudah tidak lagi beroperasi di negara ini dan kesemua pusat 3S/4S Suzuki telah diambilalih sepenuhnya oleh Proton.

    Namun pada April 2021, jenama Jepun berkenaan kembali ke pasaran Malaysia dan diuruskan oleh Naza Eastern Motors. Dengan Kerjasama baharu itu, Suzuki telah melancarkan model yang agak high end iaitu Suzuki Swift Sport generasi ketiga pada bulan yang sama dan Suzuki Jimny pula tiba di sini pada September lalu.

    Kehadiran semula Swift Sport ZC33S ke pasaran Malaysia bagai memberikan peluang kepada penggemar jentera ini untuk memilikinya. Walau pun sedari dulu, ia tidaklah begitu popular, namun ada keistimewaan model ini masih menjadi dambaan. Terutamanya, ia ditawarkan dengan harga yang masih pada tahap mampu milik. Swift Sport yang diimport sepenuhnya dari Jepun ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM139,900 termasuk pengecualian SST 50% untuk kereta CBU (sehingga hujung Jun 2022). Ia didatangkan dengan waranti pengeluar selama tiga-tahun/100,000 km.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Jualan kenderaan di Malaysia 2021 — TIV 508,911 unit, turun 20k berbanding 2020, kurang 95k unit dari 2019

    Jualan kenderaan di Malaysia 2021 — TIV 508,911 unit, turun 20k berbanding 2020, kurang 95k unit dari 2019

    Sepanjang 2021, sebanyak 508,911 unit kenderaan telah dijual di Malaysia. Dan angka itu melepasi sasaran 500k unit yang diletakkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) selepas dinilai semula dan diumumkan Julai tahun lalu. Sasaran awal jumlah keseluruhan industri (TIV) yang ditetapkan pada awal 2021 adalah 570,000 unit.

    Dibandingkan dengan jualan pada 2020 yang mencatatkan 529,514 unit, apa yang direkodkan pada 2021 itu berkurang sebanyak 20,603 unit, melibatkan penurunan 4%. Ini menandakan penurunan jualan bagi dua tahun berturut-turut di Malaysia, dengan jualan pada 2020 juga turun 12.4% berbanding 604,281 unit yang dicatatkan pada 2019.

    Bagaimanapun, melihat kepada perkembangan dua tahun yang sukar ini akibat pandemik, Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad tetap menyifatkan ini satu pencapaian yang membanggakan oleh pengeluar. “Penguncupan yang lebih kecil bagi TIV pada 2021 itu juga disumbang oleh pendekatan yang diambil oleh kerajaan untuk mengimbangi antara keselamatan nyawa dan pekerjaan supaya tidak melumpuhkan ekonomi domestik,” ujar beliau.

    Jualan kenderaan di Malaysia 2021 — TIV 508,911 unit, turun 20k berbanding 2020, kurang 95k unit dari 2019

    Jualan pada separuh kedua tahun lalu pula dibantu oleh kelonggaran perintah kawalan pergerakan dan pembukaan semula sektor ekonomi. “Ini membantu meningkatkan keyakinan perniagaan yang menyumbang kepada jualan lebih baik, termasuk kenderaan perdagangan yang sangat diperlukan untuk menggerakkan perniagaan,” tambah beliau, yang turut memaklumkan pengecualian cukai sangat membantu mengekalkan permintaan terhadap kenderaan penumpang baru.

    “MAA ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan kerana telah melanjutkan tempoh pengecualian cukai berkenaan. Bukan hanya sekali, bahkan hingga tiga kali, yang terakhir hingga 30 Jun 2022. Kami sangat berbesar hati di atas setiap sokongan yang diberikan terhadap industri ini untuk memastikan kelangsungannya,” ujar beliau.

    Bagi jumlah keseluruhan 2021 pula, kenderaan penumpang menyumbang sebanyak 452,663 unit (turun 28,308 unit, -5.9%), sementara kenderaan perdagangan 56,248 unit didaftarkan (naik 7,705 units, +15.9%). Dalam separuh pertama 2021, jualan naik ke tahap 64,875 unit pada Mac, sebeluk Covid-19 tiba dan merudum kepada jumlah 1,921 unit pada Jun. Ia kemudian naik kembali dan tertinggi pada Disember 2021, dengan angka 65,184 unit.

     
     
  • Proton lancar barangan gaya hidup R3 – boleh didapati di Lifestyle Boutique CoE serta pengedar terpilih

    Proton lancar barangan gaya hidup R3 – boleh didapati di Lifestyle Boutique CoE serta pengedar terpilih

    Selain dari minyak enjin premium R3 yang dilancarkan pagi tadi, Proton turut melancarkan pelbagai lagi barangan gaya hidup dengan jenama sayap perlumbaan rasminya itu. Kini, barangan-barangan jenama R3 ini akan dipasarkan oleh Proton Global Service (PGS), iaitu subsidiari penuh Proton Edar, yang diwujudkan dengan matlamat agar Proton “hadir lebih kerap di sisi peminatnya”.

    Sejak ditubuhkan pada 2003, R3 (singkatan dari Race.Rally.Research) telah mencapai pelbagai kemenangan dalam perlumbaan peringkat domestik dan juga antarabangsa. Antaranya termasuk lima gelaran juara dalam perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM (S1K), malah Proton Motorsport juga telah mencatatkan lapan gelaran juara dalam Kejuaraan Rali Asia Pasifik FIA (APRC).

    Jadi bagi membolehkan peminat-peminat pasukan R3 terus meraikan gelaran-gelaran berkenaan, Proton telah menghasilkan semula barangan-barangan gaya hidup dengan jenama R3. Buat permulaan, anda boleh mendapatkan barangan-barangan R3 seperti topi snapback (RM55), topi baseball (RM55) baju polo dry-fit (RM60), kemeja-T kolar bulat dalam dua rekaan berbeza (RM49) dan juga baju polo kolar zip dry-fit (RM55).

    Untuk kereta, masih lagi tiada sebarang peralatan prestasi mahupun aksesori ditawarkan seperti sebelum ini. Namun PGS telah memperkenalkan minyak pelincir premium jenama R3 yang boleh pelanggan gunakan ketika menservis kereta Proton mereka. Perincian berkenaan minyak enjin tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Proton lancar barangan gaya hidup R3 – boleh didapati di Lifestyle Boutique CoE serta pengedar terpilih

    Bagi pelanggan-pelanggan sekitar Subang, Shah Alam, mahupun bahagian-bahagian lain di Lembah Kelang, anda boleh mendapatkan barangan-barangan gaya hidup R3 ini menerusi outlet Lifestyle Boutique yang terletak di dalam bangunan Pusat Kecermelangan Proton (CoE). Selain dari barangan jenama R3, butik berkenaan turut menjual barangan lain dengan jenama Proton seperti payung, baju kemeja, kotak penyejuk dan lain-lain.

    Barangan-barangan ini turut dijual di seluruh negara menerusi pengedar-pengedar Proton yang terpilih seperti yang tertera di atas, atau anda boleh semak di laman sosial rasmi Proton Cars dan juga Proton Motorsport. Proton turut memberi bayangan bahawa banyak lagi barangan-barangan R3 akan diperkenalkan dalam masa beberapa bulan dari sekarang.

     
     
  • Proton perkenal minyak enjin premium R3 – dibangun bersama Petronas, dari RM158-RM208 untuk 4 liter

    Proton perkenal minyak enjin premium R3 – dibangun bersama Petronas, dari RM158-RM208 untuk 4 liter

    Race.Rally.Research atau R3 – ini adalah jenama sayap prestasi dan perlumbaan rasmi untuk Proton seperti badan-badan penala jenama lain seperti Mitsubishi Ralliart dan Nissan Motorsport International (NISMO), ditubuhkan pada 2003. Ketika ia mula-mula diperkenalkan dahulu, R3 bukan sahaja menghasilkan pelbagai peralatan prestasi untuk enjin, suspensi, kit aerodinamik dan sebagainya, malah mewakili nama Proton dalam perlumbaan-perlumbaan litar dan rali sama ada dalam peringkat domestik atau antarabangsa.

    Namun sejak akhir-akhir ini, tiada sebarang produk R3 yang boleh dibeli oleh peminatnya, malah perlumbaan yang disertai kini terhad hanya di litar Sepang seperti Malaysia Championship Series (MCS) dan Sepang S1000KM (S1K). Tetapi hari ini, Proton melakukan kejutan untuk mula menjual semula produk dengan jenama R3, dan ia dimulakan dengan penawaran minyak enjin premium R3.

    Menurut Proton, minyak enjin premium R3 baharu ini “direka khusus untuk melindungi enjin anda dan meningkatkan prestasi kereta anda”. Dua pilihan minyak enjin premium R3 ini ditawarkan untuk pengguna. Pertama adalah minyak enjin R3 P2 Semi-Synthetic SAE 10W-30 dengan penarafan API SN PLUS ILSAC GF-5. Manakala untuk pengguna yang mahukan lebih prestasi, anda ditawarkan dengan minyak enjin R3 P1 Fully-Synthetic SAE 5W-30 dengan penarafan API SP ILSAC GF-6A.

    Kedua-dua minyak enjin ini premium R3 ini dirumus secara khusus untuk kereta “agar dapat meningkatkan, memperkasa dan mengoptimumkan prestasi enjin,” dakwa Proton. Ia dibangunkan berdasarkan minyak asas Etro+ dari Petronas, dan direka dengan salutan penyejukan dinamik untuk mengurangkan haba yang berlebihan dan mengawal suhu, serta membantu mengelakkan kerosakkan pada komponen enjin serta kehilangan prestasi, tambah Proton lagi.

    Proton perkenal minyak enjin premium R3 – dibangun bersama Petronas, dari RM158-RM208 untuk 4 liter

    Minyak enjin ini dijual pada harga bermula RM158.00 untuk R3 P2 Semi-Synthetic 10W-30, dan RM208.00 untuk R3 P1 Fully-Synthetic 5W-30 – kedua-duanya dalam pek botol empat liter. Namun untuk masa terhad, kedua-dua minyak enjin premium R3 ini akan ditawarkan pada harga pengenalan masing-masing RM128 dan RM178 sehingga 30 April nanti.

    Bagi pelanggan-pelanggan sekitar Subang, Shah Alam, mahupun bahagian-bahagian lain di Lembah Kelang, anda boleh mendapatkan minyak enjin premium R3 ini menerusi outlet Lifestyle Boutique yang terletak di dalam bangunan Pusat Kecermelangan Proton (CoE). Selain dari minyak enjin, butik berkenaan turut menjual barangan gaya hidup R3 dan juga Proton seperti kemeja-T, topi, payung, baju kemeja, kotak penyejuk dan lain-lain.

    Barangan-barangan ini turut dijual di seluruh negara menerusi pengedar-pengedar Proton yang terpilih seperti yang tertera di atas anda, atau boleh semak di laman sosial rasmi Proton Cars dan juga Proton Motorsport. Proton turut memberi bayangan bahawa banyak lagi barangan-barangan R3 akan diperkenalkan dalam masa beberapa bulan dari sekarang.

     
     
  • MG ZS EV bakal dijual di Malaysia pada 2022?

    MG ZS EV bakal dijual di Malaysia pada 2022?

    SAIC Motor-CP, pengeluar dan pengedar bagi kereta MG di Thailand, telah merancang untuk mengeksport kenderaan ke negara ASEAN termasuk Vietnam, Indonesia, dan juga Malaysia, seperti yang dilaporkan oleh Manager Daily.

    Zhang Haibo, presiden SAIC Motor-CP dan MG Sales (Thailand), memberitahu penerbitan berkenaan, jualan untuk Malaysia akan bermula tahun ini, walau pun tidak memberitahu syarikat mana yang akan dilantik sebagai pengedar rasminya di sini, serta tidak memaklumkan model yang bakal terpilih untuk dipasarkan.

    Terdahulu, MG ZS EV pernah dijangka tiba ke pasaran Malaysia, pada asalnya ia bakal dipasarkan oleh MG Berjaya. Namun perjanjian tersebut dikatakan gagal mencapai kesepakatan, dan kami dimaklumkan baru-baru ini ada pihak lain yang sedang berunding untuk membawa masuk SUV elektrik segmen-B ini, dan berdasarkan kenyataan Zhang, kita akan dapat tahu lebih lanjut mengenainya tidak lama lagi.

    SUV elektrik segmen-B ini telah pun mula dijual di Thailand sejak 2019 dan ia salah satu model MG yang dijual di negara itu, selain varian bukan-EV termasuk MG ZS, MG 5, MG 3, MG HS (termasuk varian PHEV), MG EP Plus dan trak pikap MG Extender.

    MG ZS EV bakal dijual di Malaysia pada 2022?

    Untuk tahun ini, SAIC Motor-CP juga merancang untuk melancarkan tiga lagi model baharu di Thailand, termasuk model facelift bagi MG ZS EV (mungkin model ini juga yang bakal ke pasaran kita) dan MG HS, serta MG One yang diposisikan di antara model segmen-B dan -C.

    Pengeluar kereta China tersebut telah melakukan pelaburan besar di Thailand sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dalam pengumumannya baru-baru ini, syarikat berkenaan turut berkata sebanyak 2.5 bilion baht (sekitar RM316 juta) telah dilaburkan untuk kilang baterinya bagi menyokong produksi domestik untuk EV pada tahun 2023.

    “Kami telah pun memiliki fasiliti produksi bateri untuk kenderaan elektrik plug-in hybrid di Chon Buri, tetapi kami mahu mengembangkan kapasiti produksi utnuk menghasilkan bateri BEV untuk menyokong pelan eksport,” kata Zhang yang dilaporkan menerusi Bangkok Post.

     
     
  • Proton X70 CKD Pakistan mula keluar dari barisan produksi kilang Al-Haj Automotive terletak di Karachi

    Proton X70 CKD Pakistan mula keluar dari barisan produksi kilang Al-Haj Automotive terletak di Karachi

    Selepas mula menghasilkan Saga pada tahun lalu, fasiliti pemasangan Proton di Pakistan milik Al-Haj Automotive kini mula menghasilkan pula SUV segmen-C Proton X70 CKD di kilang berkenaan. Unit pertama X70 secara rasminya keluar dari barisan produksi kilang tersebut semalam, disaksikan tetamu-tetamu kehormat yang diketuai oleh duta jenama Proton Pakistan, Shahid Afridi iaitu pemain kriket dan bekas ketua pasukan kriket kebangsaan negara berkenaan.

    Ketika dilancarkan di Pakistan pada Disember 2020, X70 yang dibekalkan terus dari kilang Proton Tanjung Malim (CBU) dijual pada harga Rs 4,890,000 (RM116,153) untuk varian Executive AWD dan Rs 5,390,000 (RM 128,030) untuk Premium 2WD. Harga lebih murah untuk model-model CKD yang bakal dipasang di Pakistan juga telah diumumkan pada hari yang sama iaitu bermula Rs 4,690,000 (RM111,402) untuk Executive serta Rs 4,990,000 (RM118,528).

    Proton Pakistan juga memberikan waranti selama lima-tahun/150,000, iaitu pengeluar pertama yang menawarkan waranti sedemikian di pasaran tersebut. Berbeza dengan X70 pasaran Malaysia yang dijana oleh enjin 1.8 liter T-GDI, versi pasaran Pakistan ini diberikan enjin lebih kecil 1.5 T-GDI. Ini adalah untuk disesuaikan dengan konfigurasi cukai di negara tersebut, membolehkan ia dijual pada harga lebih kompetitif.

    Proton X70 CKD Pakistan mula keluar dari barisan produksi kilang Al-Haj Automotive terletak di Karachi

    Enjin 1.5 T-GDI pada X70 pasaran Pakistan ini adalah sama dengan enjin tiga-silinder pada Proton X50 pasaran Malaysia, menghasilkan menjana 176 hp dan tork maksima 255 Nm. Ia turut digandingkan dengan transmisi yang sama iaitu kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan 7DCT.

    Dari segi penawaran kelengkapan untuk setiap varian, model pasaran Pakistan ini dilihat sama dengan versi pasaran Malaysia. Model Executive hadir dengan ciri seperti lampu hadapan LED projektor dengan lampu nyalaan siang LED, upholsteri kulit sintetik dengan tempat duduk pemandu larasan berkuasa, sistem infotainmen dengan fungsi “Hi, Proton” dalam bahasa inggeris (hanya untuk infotainmen dan pendingin hawa), kamera 360 darjah, sistem pemantau tekanan angin tayar dan juga rim aloi 18-inci.

    Manakala untuk versi Premium, ia diberikan tambahan upholsteri kulit Nappa, tempat duduk penumpang hadapan larasan berkuasa, sistem “Hi Proton” untuk kawalan cermin tingkap, penderia kaki untuk pintu tailgate berkuasa, rim aloi 19-inci dan juga ciri seperti varian Premium X di Malaysia iaitu bumbung panaromik.

    Model paling tinggi ini juga diberikan sistem bantuan pemanduan yang memberikan fungsi seperti Brek Kecemasan Automatik (AEB), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), cruise control adaptif (ACC), Amaran Keluar Lorong (LDW), Sistem, Pemantau Titik Buta (BLIS), Sistem Amaran Bukaan Pintu (DOW) dan Kawalan Lampu Tinggi Pintar (HBC).

    Untuk warna badan pula, X70 1.5 T-GDI pasaran Pakistan ini diberikan empat pilihan yang sama seperti di Malaysia iaitu Snow White, Armour Silver, Ruby Red dan Space Gray. Tiada pilihan warna Jet Grey dan Cinnamon Brown di sana, tetapi pelanggan di Pakistan menerima satu warna unik iaitu Quartz Black.

    Kilang Proton milik Al-Haj Automotive yang terletak di Karachi ini sepatutnya mula beroperasi sebelum berakhir tahun 2020, namun ia hanya beroperasi secara rasmi pada Oktober 2021. Kilang ini dapat direalisasikan menerusi perjanjian yang dipersetujui dan ditandatangani kedua-dua pihak pada Mac 2019 dengan pelaburan awalan bernilai USD30 juta (sekitar RM125 juta).

    Kilang ini dibina di luar kawasan bandar, dijangka mempunyai kapasiti 25,000 unit satu tahun. Pelan asal kilang ini diumumkan pada tahun 2019, dengan pelaburan awal USD30 juta (sekitar RM121.9 juta). Dalam masa tiga tahun pertama, kilang ini dijangka dapat menyediakan 2,000 peluang pekerjaan terus di sana, dan 20,000 lagi pekerjaan secara tidak langsung apabila operasinya berjalan penuh.

     
     
  • Perdana Menteri tegaskan bahawa pengguna perlu diberikan pilihan untuk gunakan RFID atau tidak

    Perdana Menteri tegaskan bahawa pengguna perlu diberikan pilihan untuk gunakan RFID atau tidak

    Setelah beberapa hari pelbagai masalah kesesakan yang berlaku selepas Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) mengumumkan pelaksanaan pembayaran tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) Touch ‘n Go di lebuhraya tersebut bermula 15 Januari lalu, kini nampaknya kerajaan mula mengambil langkah campurtangan yang serius.

    Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam laporan Astro Awani, pengguna perlu diberikan pilihan sama ada mereka mahu menggunakan sistem RFID berkenaan atau tidak. Beliau menyatakan bahawa mesyuarat Kabinet pada hari ini telah membincangkan isu tersebut dan sepakat dengan ketetapan agar rakyat mesti diberikan pilihan.

    Beliau turut mengambil contoh perkhidmatan ‘Touch n’ Go’ sebelum ini tidak dilaksanakan secara terus namun berbentuk pilihan kepada rakyat ketika ia mula diperkenalkan.

    “Cuma kita kata cadangan bagus tetapi dari segi pengguna mereka mesti diberi pilihan sama ada nak guna RFID atau nak guna ‘Touch n’ Go’ atau ‘Smart TAG’.

    Perdana Menteri tegaskan bahawa pengguna perlu diberikan pilihan untuk gunakan RFID atau tidak

    “Dari segi lorong, jangan semua RFID kalau kita diberi pilihan. Kalau ada 10 lorong, mungkin beberapa lorong RFID Dan selebihnya ‘Touch n’ Go’ dan Smart TAG.

    “Kita tak mahu ada tekanan kepada pengguna jalan raya. Berikan mereka kebebasan memilih. Serah kepada pengguna untuk buat pilihan. Kalau mereka rasa RFID mudahkan jalan, mereka boleh tukar,” katanya.

    Beliau juga menyatakan bahawa Kementerian Kerja Raya telah diarahkan memanggil syarikat konsesi tol terbabit untuk membincangkan perkara tersebut.

    “(Kerajaan) akan pastikan pada masa akan datang, kalau melibatkan bayaran, kena rujuk pada Kabinet,” ujarnya dalam satu sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di Putrajaya hari ini.

     
     
  • SUV elektrik smart – akan dijual di M’sia oleh Proton Edar, EV baharu dari Geely, rekaan Mercedes-Benz

    SUV elektrik smart – akan dijual di M’sia oleh Proton Edar, EV baharu dari Geely, rekaan Mercedes-Benz

    Tahun ini kerajaan telah pun bersetuju untuk mengecualikan sepenuhnya cukai dan duti untuk kereta elektrik penuh (EV), bagi menggalakkan penggunaan kenderaan sedemikian di Malaysia. Sudah tentu, Proton sukar untuk mendapatkan sebarang manfaat dari insentif tersebut memandangkan mereka tiada model sedemikian yang boleh dihasilkan dan dijual pada waktu terdekat.

    Namun jangan lupa, Proton kini merupakan sebahagian keluarga besar kumpulan Geely yang memayungi banyak jenama lain di bawahnya, antaranya jenama smart yang terkenal menghasilkan kereta-kereta bersaiz kompak dan sebelum ini dimiliki sepenuhnya oleh Daimler AG (juga pemilik kepada Mercedes-Benz). Tanpa dijangka, hari ini Proton telah mengumumkan bahawa mereka telahpun mendapat hak untuk menjual kenderaan jenama smart berkenaan menerusi Proton Edar bukan sahaja di Malaysia, malah untuk pasaran Thailand.

    Ini bukan pertama kali smart dijual pada pasaran tempatan. Sebelum ini dua model popularnya iaitu smart fortwo dan forfour telah pun dijual di sini oleh DaimlerChrysler Malaysia (sekarang dikenali sebagai Mercedes-Benz Malaysia) pada pertengahan era 2000. Penjualan kedua-dua model berkenaan kemudiannya dihentikan oleh Daimler.

    SUV elektrik smart – akan dijual di M’sia oleh Proton Edar, EV baharu dari Geely, rekaan Mercedes-Benz

    Namun pada 2019, Geely telah menandatangani perjanjian dengan Daimler bagi membangunkan semula jenama smart; kali ini ia bukan sahaja menghasilkan kereta kompak, tetapi hanya menampilkan unit rangkaian kuasa elektrik penuh. Model-model baharu dari smart akan dibangunkan oleh Geely, tetapi Mercedes-Benz masih bertanggungjawab sepenuhnya terhadap aspek rekaan.

    Barisan model-model generasi baharu smart ini juga akan diproduksi oleh fasiliti milik Geely, dengan kilang khas dibangunkan di Xi’an, kira-kira 1,400 km dari ibu pejabat smart yang terletak di Hangzhou Bay. Model produksi pertama yang bakal dihasilkan dari kerjasama ini telah pun diprebiu menerusi model konsep yang digelar sebagai smart Concept #1, dan telah didedahkan di Munich Motor Show tahun lalu.

    Walaupun nampak agak besar berbanding model-model smart sebelum ini, Concept #1 sebenarnya dihasilkan dalam saiz yang lebih kecil berbanding crossover segmen-B yang berada dalam pasaran buat masa sekarang seperti Proton X50 dan Honda HR-V, tetapi menampilkan jarak roda yang lebih jauh berbanding Honda CR-V.

    Secara keseluruhan, badan kereta tersebut kelihatan seperti sebiji gula-gula, dengan muka tanpa gril, lampu hadapan dan belakang merentangi keseluruhan lebar, serta bumbung yang kelihatan seperti terapung. Sel keselamatan Tridion yang begitu ikonik pada model-model smart sebelum ini tidak lagi dibawa ke model generasi baharu berkenaan.

    Pada bahagian kabin, Concept #1 ini diberikan rekaan yang minimalis. Papan pemukanya sangat ringkas dengan kemasan-kemasan seakan emas, diberikan skrin sesentuh 12.8-inci ditengah yang berdiri sendiri, liang penghembus udara yang kelihatan seperti pil, dan roda stereng rata di bawah. Ia juga tampil dengan konfigurasi empat tempat duduk, dengan pemisah tengah turut diberikan pada kerusi belakang.

    Rekaan untuk versi produksi nanti mungkin lebih ‘masuk akal’. Namun menerusi lukisan paten bahagian luaran untuk versi produksi sebenarnya yang telah terdedah tempoh hari memperlihatkan rupanya yang hampir sama dengan model konsep ini, kemungkinan rupa pada bahagian kabin ini juga banyak yang masih sama.

    Lukisan paten untuk model produksi SUV EV smart yang nampak sama seperti Concept #1

    Menurut smart, Concept #1 menampilkan pelbagai inovasi teknologi termasuk antara muka “3D globe”, iaitu avatar yang akan belajar dan mengadaptasi kelakuan pemiliknya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI). Ia juga menerima sistem bunyi Beats, komputer berpusat untuk sistem elektronik keseluruhan, kemaskini perisian menerusi sistem over-the-air yang dinamik, serta aplikasi telefon pintar dengan fungsi kunci digital dan servis terhubung bina dalam.

    Tiada sebarang perincian teknikal didedahkan oleh Geely buat masa sekarang, namun SUV elektrik smart ini sah dibangunkan menggunakan platform Sustainable Electric Architecture (SEA), iaitu platform yang dihasilkan oleh Geely khas untuk kereta elektrik penuh.

    Secara spesifiknya, SUV elektrik pertama smart ini akan menggunakan asas platform SEA2 (untuk model-model yang mempunyai julat jarak roda bermula 2,650 mm sehingga 2,900 mm), dan bakal menggunakan bateri paling kecil dibangunkan untuk platform tersebut, memberikan jarak gerak sejauh 450 km dengan sekali cas penuh.

    SUV elektrik smart – akan dijual di M’sia oleh Proton Edar, EV baharu dari Geely, rekaan Mercedes-Benz

    Platform Sustainable Electric Architecture (SEA) rekaan Geely

    Proton selepas ini mungkin turut akan menggunakan platform SEA berkenaan untuk menghasilkan kereta-kereta elektrik sendiri kerana Geely telah mengesahkan bahawa platform ini akan digunakan oleh semua jenama di bawahnya.

    Sebelum ini Proton telah pun menyatakan bahawa mereka telah memulakan rancangan untuk hasilkan model elektrik penuh, hibrid dan PHEV untuk masa hadapan. Jadi dengan dilantik sebagai pengedar smart ini, ia mungkin sebagai latihan untuk Proton bersedia sebelum mula menjual, menyediakan servis selepas jualan dan juga menyediakan pengecas untuk EV jenama sendirinya kelak.

    Setakat ini, Proton Edar masih belum mengumumkan dengan jelas garis masa sebenar untuk pengenalan jenama smart ini. Namun dengan mengambilkira model produksi untuk SUV EV ini yang sah akan diperkenalkan pada peringkat global pada tahun ini, ia mungkin tiba di Malaysia secepat mungkin bagi mendapat manfaat dari langkah insentif yang diumumkan kerajaan tersebut.

    GALERI: smart Concept #1

     
     
  • Harga minyak minggu keempat Januari tidak berubah

    Harga minyak minggu keempat Januari tidak berubah

    Harga bahan api bagi minggu keempat Januari 2022 (20-26 Januari) kekal sama seperti minggu lalu. Ini menjadikan harga petrol RON 97 tetap pada kadar RM3.07 seliter — selepas naik empat sen minggu lalu.

    Harga runcit bagi petrol RON 95 pula masih dikekalkan pada kadar RM2.05 seliter. Harga tersebut tidak berubah sejak Februari 2021 dan telah pun menjadi harga siling.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 juga dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter. Sejak awal Januari 2022, harga diesel gred Euro 5 B7 lebih 20 sen daripada Euro B10/B20.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengah malam ini, hingga Rabu depan iaitu pada 26 Januari 2022.

     
     
  • Proton bakal jual smart EV di Malaysia dan Thailand — Proton Edar dilantik jadi pengimport dan pengedar

    Proton bakal jual smart EV di Malaysia dan Thailand — Proton Edar dilantik jadi pengimport dan pengedar

    Proton dalam perkembangan terbaru telah menandatangani memorandum perjanjian (MoU) dengan smart Automobile Company (smart) untuk bekerjasama dalam memperkenalkan kenderaan tenaga baru (NEV) keluaran smart untuk pasaran ASEAN.

    Perjanjian ini bakal menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama dengan Proton Edar dilantik sebagai pengimport, pengedar dan wakil jualan untuk kenderaan smart di Malaysia dan Thailand. Sementara itu, smart Automobile (Nanning) Sales Co. Ltd, (anak syarikat milik penuh smart Automobile) akan memainkan peranan sebagai pintu masuk untuk smart ke rantau ini.

    Majlis berkenaan ini diadakan secara maya, masing-masing diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah dan Naib Presiden Kewangan, smart Automobile, Ulf Nestler. Ia turut disaksikan oleh Pengerusi PROTON, Dato’ Sri Syed Faisal Albar; Ketua Pegawai Eksekutif, smart Automobiles, Tong Xiangbei; dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton,
    Dr Li Chunrong.

    Proton bakal jual smart EV di Malaysia dan Thailand — Proton Edar dilantik jadi pengimport dan pengedar

    “Dengan ini, Proton akan mengambil langkah pertama dalam perlaksanaan strategi NEV kami. Perjanjian dengan smart membolehkan kami menimba pengalaman dalam penjualan, perkhidmatan dan pengecasan NEV serta membina kemahiran yang diperlukan untuk menguasai sektor yang sedang berkembang pesat. Ini juga merupakan peluang untuk bermanfaat daripada pangkalan pelanggan smart dan membuka lebih banyak peluang untuk jenama Proton,” jelas Syed Faisal.

    Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) meramalkan lebih kurang 10 juta unit Kenderaan Tenaga Baru akan digunakan di Asia Tenggara menjelang tahun 2025. Dengan portfolio produk NEV baru yang akan dilancarkan dalam tahun-tahun mendatang, smart akan berada dalam kedudukan yang baik untuk mengambil kesempatan daripada perkembangan ini.

    “Dengan strategi perniagaan “dual-home” (Eropah and China), syarikat telah pun meliputi dua pasaran automotif utama di dunia. Kini, sebagai rancangan perniagaan pandang ke depan, kami akan berganding bahu dengan Proton di Asia Tenggara.

    Proton bakal jual smart EV di Malaysia dan Thailand — Proton Edar dilantik jadi pengimport dan pengedar

    “Perjanjian ini akan membolehkan kami memasuki pasaran Malaysia dan Thailand lebih awal sebagai pasangan strategik serantau. Proton mempunyai reputasi korporat kelas pertama, pengalaman luas, dan pengetahuan operasi tempatan yang amat berharga. Kami berharap kerjasama ini dapat memberi pengalaman baru kenderaan elektrik yang premium dan pintar kepada pengguna di Asia Tenggara,” ujar Tong Xiangbei.

    Perjanjian dengan Proton Edar membolehkan smart membina rangkaian jualan dan perkhidmatan pelbagai peringkat di Malaysia dan Thailand, dan juga sebagai pusat pengalaman jenama dan beberapa lokasi jualan yang menyediakan perkhidmatan jualan dan selepas jualan untuk kenderaan smart di pasaran tempatan. Pada masa ini, tiada rancangan untuk bekerjasama di luar prinsip perjanjian yang dipersetujui.

     
     
  • myTukar AutoFair 2022: 443 unit bernilai RM29 juta berjaya dijual dalam tiga hari, Perodua paling banyak

    myTukar AutoFair 2022: 443 unit bernilai RM29 juta berjaya dijual dalam tiga hari, Perodua paling banyak

    myTukar AutoFair 2022 yang berlangsung awal Januari lalu menyaksikan sebanyak 443 buah kenderaan ditempah, daripada inventori 1,000 unit kenderaan yang dipamerkan di myTukar Retail Experience Centre – Puchong Selatan.

    Jualan ketika itu juga bermula dengan sangat meyakinkan, dengan 50 tempahan disahkan menjelang tengah hari Jumaat hari pertama pameran dibuka. Sepanjang tiga hari acara itu berlangsung, jumlah keseluruhan kenderaan dijual adalah 443 unit dengan nilai tempahan RM29 juta. Jenama paling laris ketika acara tersebut ialah Perodua dengan jualan 110 unit, Honda dengan 82 unit, Proton dengan 60 unit dan Toyota 36 unit, menurut myTukar.

    Bagi kenderaan yang lebih mahal pula yang turut dijual di acara itu termasuklah Audi, BMW, Mercedes, MINI dan banyak lagi. Pengunjung ke myTukar AutoFair 2022 juga menikmati pelbagai promosi, seperti pinjaman dengan kadar faedah rendah bermula dari 1.68%, serta pakej servis percuma selama dua-tahun.

    myTukar AutoFair 2022: 443 unit bernilai RM29 juta berjaya dijual dalam tiga hari, Perodua paling banyak

    Selain itu, pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah menarik melalui promosi myTukar Lucky Spin Promo. Enam hadiah disediakan untuk pemenang, termasuk Apple iPad generasi kesembilan, pulangan tunai RM888, filem penapis haba Raytech bernilai RM1,000, lanjutan waranti tambahan selama setahun, kad minyak bernilai RM500 atau baucar Trapo bernilai RM500.

    Pengunjung turut mempunyai peluang untuk memenangi sebuah Proton X70 Premium bernilai RM100,000 melalui peraduan Ulang Tahun ke-4 myTukar, yang boleh disertai dengan membeli kenderaan sewaktu acara tersebut. myTukar juga menyediakan tawaran trade-in di lokasi dengan nilai maksimum untuk kenderaan semasa anda ketika acara berlangsung, sekaligus menjadikan urusan lebih mudah.

    Tahap keselamatan yang tinggi akan dipraktikkan sewaktu acara berlangsung – prosedur pencegahan Covid-19 yang ketat akan dipastikan, termasuk kaedah bayaran tanpa sentuhan dan penggunaan pelitup muka sepenuh masa, vaksinasi penuh dan jaga jarak fizikal.

     
     
  • SPYSHOT: Proton X90 dikesan sedang ‘panjat Genting’

    SPYSHOT: Proton X90 dikesan sedang ‘panjat Genting’

    Sudah menjadi kebiasaan, apabila satu-satu model baharu akan dilancarkan oleh Proton pada masa hadapan, unit ujiannya pasti akan kelihatan ‘merayau’ di sekitar semenanjung Malaysia untuk diuji, sebagai salah satu proses pembangunannya.

    Begitu juga dengan SUV tujuh-tempat duduk Geely Haoyue yang dikhabarkan akan dijelmakan Proton X90 – selepas unit ujiannya dikesan pertama kali berhampiran dengan kilang Proton di Hicom, Shah Alam pada Mei tahun lalu, prototaip model tersebut kini kelihatan lebih kerap diuji di atas jalan raya awam.

    Terbaharu, pembaca paultan.org Akid Basarom mengirimkan kepada kami satu set gambar Proton X90 tersebut sedang diuji di sekitar jalan berbukit di Genting Highland. Kali ini, unit prototaip X90 berkenaan tampil dengan pelekat penyamaran yang berbeza dari unit ujian sebelum ini, namun nombor trade plate yang digunakan dilihat sama seperti unit prototaip Proton Saga yang pernah dilihat diuji sebelum ini.

    Tiada sebarang petunjuk rasmi diberikan oleh Proton berkenaan spesifikasi X90 pasaran Malaysia kelak. Di China, Geely Haoyue ditawarkan dalam versi lima- atau tujuh-tempat duduk. Namun ia hanya ditawarkan satu pilihan unit rangkaian kuasa iaitu enjin 1.8 liter empat-silinder turbo berkuasa 181 hp dan tork maksima 300 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan, sama seperti Proton X70 sedia ada.

    SPYSHOT: Proton X90 dikesan sedang ‘panjat Genting’

    Model ini juga telah dilancarkan di Filipina, dijual dengan nama Geely Okavango. Berbanding Haoyue di China, Okavango diberikan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder yang digandingkan bersama sistem hibrid ringkas 48-volt. Ia menghasilkan kuasa keseluruhan 190 PS dan tork maksima 300 Nm, dan dipindahkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan.

    Apa yang menarik, unit rangkaian kuasa hibrid ringkas berkenaan telah pun dipamerkan di Galeri Inspirasi, iaitu ruang istimewa di Pusat Kecemerlangan Proton (ibu pejabat jenama berkenaan) di Subang, yang memaparkan pelbagai informasi dari segi warisan sejarah, teknologi sedia ada dan juga hala tuju mereka selepas ini.

    Proton menamakan unit rangkaian kuasa berkenaan sebagai 1.5L TGDi dengan sistem stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG). Menurut maklumat yang diberikan Proton, unit 1.5L TGDi dengan BSG tersebut menghasilkan kuasa yang sama seperti enjin 1.5L TGDi yang ada pada Proton X50 Flagship buat masa sekarang.

    Jadi tidak mustahil, Proton X90 ini mungkin model pertama Proton yang akan dijana oleh unit rangkaian kuasa hibrid. Dengan jumlah ujian yang dilihat semakin kerap ini juga, mungkin tarikh pelancaran SUV yang lebih besar dari X70 ini sudah semakin dekat.

     
     
  • AirAsia ingin jadi syarikat penghantar makanan dan ride-hailing terbesar di Asia, ambil alih Delivereats

    AirAsia ingin jadi syarikat penghantar makanan dan ride-hailing terbesar di Asia, ambil alih Delivereats

    AirAsia Group kini telah menetapkan sasaran untuk menjadi syarikat penghantar makanan dan ride-hailing terbesar di Asia. Menurut laporan The Edge, CEO Tan Sri Tony Fernandes yakin bahawa AirAsia Food dan “aplikasi super” mereka boleh menjadi satu daripada agensi kembara dalam talian terbesar di Asia.

    Ini adalah susulan kepada pengambilalihan platform penghantar makanan dalam talian tempatan, Delivereat. “Ketika saya mulakan AirAsia, saya selalu terfikir sama ada kami boleh menjadi syarikat penerbangan terbesar, dan kami berjaya. Kami syarikat keempat terbesar di Asia… kami bermula dengan hanya dua pesawat, 200,000 penumpang, dan kini kami telah mencecah 90 juta penumpang,” ujarnya.

    “Jadi, kini saya terfikir pula, adakan kami boleh jadi syarikat penghantar makanan dan ride hailing terbesar? Hari ini, secara rasmi saya katakan, kami boleh. Kami boleh ke luar sana dan berkembang lebih pantas berbanding pesaing sama seperti yang kami lakukan sebagai syarikat penerbangan sebelum ini,” tambah beliau.

    AirAsia ingin jadi syarikat penghantar makanan dan ride-hailing terbesar di Asia, ambil alih Delivereats

    Beliau menambah, liputan perkhidmatan menyeluruh dalam aplikasi berkenaan juga akan diperkenalkan di Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina dalam masa terdekat. Kini dengan pasukan yang lebih besar, beliau menambah kumpulan itu lebih teruja dengan kerjasama, kerana itu akan menyokong strategi untuk memberikan yang terbaik sebagai sebuah syarikat penghantaran di ASEAN.

    Ogos tahun lalu, sayap logitik digital AirAsia, Teleport mengambilalih sepenuhnya Delivereat pada harga US$9.8 juta (RM41 juta) untuk mengukuhkan servis penghantaran di negara ini. Tony juga menyuarakan kemampuan Delivereat untuk berdiri sendiri dan kekal mapan dengan operasi yang menawarkan platform perniagaan dan pekerjaan kepada komuniti.

     
     
  • PLUS ganti pelekat RFID yang rosak secara percuma

    PLUS ganti pelekat RFID yang rosak secara percuma

    Pelbagai rungutan yang diterima dari pengguna selepas Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) mengumumkan pelaksanaan pembayaran tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) Touch ‘n Go di sepanjang laluan Juru, Pulau Pinang hingga Skudai, Johor bermula 15 Januari lalu. Antara rungutan tersebut adalah tentang ketahanan tag pelekat untuk sistem berkenaan yang didakwa mudah rosak.

    Sebagai respon terhadap masalah tersebut, syarikat konsesi yang menguruskan lebuhraya itu, PLUS Malaysia mengumumkan bahawa mereka akan menggantikan mana-mana tag pelekat RFID yang rosak dan tidak boleh digunakan di plaza tol.

    Menurut PLUS Malaysia, kakitangannya akan sentiasa bertugas di plaza-plaza tol dengan alat pengimbas mudah alih bagi membantu pengguna RFID sekiranya tidak berjaya melepasi palang tol. Sekiranya pelekat tag berkenaan masih tidak boleh diimbas walaupun menggunakan pengimbas mudah alih tersebut, kakitangan yang bertugas berkenaan akan memberikan kupon kepada pelanggan untuk membuat ujian diagnostik penuh.

    PLUS ganti pelekat RFID yang rosak secara percuma

    Ujian tersebut perlu dibuat di pusat pemasangan RFID terdekat, dan sekiranya pelekat tag RFID tersebut disahkan rosak, Touch ‘n Go akan menggantikannya dengan yang baru tanpa sebarang pembayaran.

    Langkah ini adalah salah satu penambah baikkan yang dibuat oleh PLUS sebagai respon kepada maklum balas yang diberikan oleh pengguna. PLUS juga mengumumkan bahawa mereka kini menggandakan petugasnya di plaza-plaza tol bagi membantu pengguna RFID yang bermasalah, serta menambahbaik kebolehlihatan papan tanda.

    Syarikat tersebut menasihatkan pengguna agar menggunakan lorong RFID di plaza tol dengan betul mengikut panduan yang telah ditunjuk pada papan tanda yang telah disediakan

    PLUS ganti pelekat RFID yang rosak secara percuma

    Sejak lorong RFID dibuka di Lebhraya berkenaan Sabtu lalu, PLUS merekodkan kadar penggunaan bagi sistem berkenaan telah meningkat 10%. Syarikat tersebut turut berharap agar lebih ramai pengguna akan menggunakan sistem itu, yang dikatakan selari dengan populariti sistem bayaran tanpa sentuh dan e-dompet buat masa sekarang, dan akan memberikan “pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan menyeronokkan.”

    Anda juga boleh membaca artikel kami mengenai penggunaan RFID ini menerusi:

     
     
  • Porsche Taycan 2022 kini dijual tanpa cukai di M’sia – dari RM508k-RM934k, sehingga RM218k lebih murah

    Porsche Taycan 2022 kini dijual tanpa cukai di M’sia – dari RM508k-RM934k, sehingga RM218k lebih murah

    Pengedar Porsche untuk pasaran Malaysia, Sime Darby Auto Performance (SDAP) hari ini mengumumkan harga baharu untuk kereta sport berkuasa elektik penuh (EV) iaitu Porsche Taycan setelah menerima pengecualian cukai sepenuhnya tahun ini bagi menggalakkan penggunaan teknologi lebih mesra alam tersebut, seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2022 di Parlimen tahun lalu.

    Sekarang anda boleh memiliki Porsche Taycan bermula pada harga RM508,000 untuk model asas pacuan roda belakang, atau lebih RM76,000 lebih murah dari sebelum ini. Model pacuan semua roda Taycan 4S pula dijual pada harga RM595,000 (RM105,000 lebih murah), diikuti Taycan Turbo dijual pada harga RM793,000 (lebih RM224,000 lebih murah). Manakala model paling berkuasa Taycan Turbo S pula dijual pada harga RM934,000, atau RM218,000 lebih murah dari sebelumnya.

    Ini menjadikan kesemua barisan model Taycan dijual pada harga dibawah RM1 juta. Malah SDAP turut menawarkan varian baharu untuk Taycan iaitu Taycan GTS, yang diletakkan antara varian 4S dan Turbo. Model ini dibekalkan dengan kuasa 517 PS (598 PS dengan overboost), dan menerima bateri lithium-in 93.4 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 504 km (dalam kitaran WLTP) dengan sekali cas. Ia dijual pada harga RM708,000.

    Selain dari Taycan sedan, versi crossover wagon iaitu Taycan Cross Turismo turut dijual lebih murah setelah mendapat pengecualian cukai berkenaan. Model asas Taycan Cross Turismo kini dijual pada harga bermula RM555,000 (lebih RM90,000 leboh murah), diikuti Cross Turismo 4S dijual pada harga RM617,000 (RM111,727 lebih murah). Manakala versi lebih berkuasa Taycan Cross Turismo Turbo pula dijual pada harga RM798,000, atau hampir RM171,000 lebih murah dari sebelum ini.

    Porsche Taycan 2022 kini dijual tanpa cukai di M’sia – dari RM508k-RM934k, sehingga RM218k lebih murah

    Walau bagaimanapun, harga-harga yang dinyatakan ini tidak termasuk bayaran-bayaran seperti pendaftaran dan lain-lain. Kereta elektrik penuh juga kini dikecualikan dari dikenakan cukai jalan. Untuk pengetahuan anda juga, model-model Taycan dan Taycan Cross Turismo yang dibawa oleh SDAP ke Malaysia kini sudahpun ditingkat taraf ke versi 2022. Jadi versi dengan spesifikasi standard sebelum ini telah pun menerima perician opsyen tanpa tambahan bayaran.

    Semua model kini diberikan perician seperti sistem pendingin hawa empat-zon, cermin sisi lipat bantuan kuasa, skrin sesentuh untuk penumpang hadapan, sistem ParkAssist bersama kamera 360-darjah secara standard. Harga yang dinyatakan juga adalah termasuk pengecas onboard AC 22 kW (sekali ganda lebih berkuasa dari pengecas 11 kW asal), Mobile Charger Connect dengan skrin sesentuh lima-inci dan hubungan WiFi, kabel pengecas Mode 3 (Type 2) dan juga Home Energy Manager untuk mengawal kuasa pengecas bagi mengelakkan beban berlebihan terhadap sistem elektrikal rumah.

    Harga baharu untuk Porsche Taycan pasaran Malaysia ini dibuat hanya sehari selepas Shell dan Porsche Asia Pacific mengumumkan pembukaan stesen pengecas pantas DC 180 kW pertama dalam rangkaian pengecas kelajuan tinggi rentas sepadan. Dua pengecas yang terletak di Tangkak, Johor adalah unit pertama dari enam stesen yang akan memulakan operasinya pada suku pertama 2022.

     
     
  • JPJ bakal laksana sistem pengujian lesen memandu secara automasi e-testing bermula April 2022

    JPJ bakal laksana sistem pengujian lesen memandu secara automasi e-testing bermula April 2022

    Bagi meningkatkan integriti dan kebolehpercayaan masyarakat terhadap sistem pengujian lesen memandu yang diadakan secara elektronik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal melaksanakan e-testing (sistem pengujian lesen memandu secara automasi) bermula April ini.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ,Datuk Zailani Hashim, menerusi sistem tersebut, pegawai penguji JPJ akan memantau dari bilik kawalan, manakala calon yang diuji berada bersendirian dalam kereta. Sistem ini juga sekaligus mengurangkan jumlah pegawai JPJ yang bertugas. Bukan itu sahaja, keputusan ujian memandu juga akan dijana secara terus, laporan Bernama.

    “Segala arahan atau kesalahan yang dilakukan oleh calon terbabit akan dipantau serta ditegur melalui bilik kawalan khas yang disediakan di Institut Memandu (IM) terbabit,” katanya.

    Tambah beliau, calon ujian memandu sistem e-Testing ini perlu melalui enam peringkat iaitu belajar dalam kelas, litar dan jalan raya. Di mana bagi sesi pembelajaran di dalam kelas dan jalan raya tiada perubahan, sebaliknya hanya sesi belajar di dalam litar sahaja ada sedikit perubahan iaitu pegawai dan calon tidak akan duduk sekali di dalam kereta.

    JPJ bakal laksana sistem pengujian lesen memandu secara automasi e-testing bermula April 2022

    Katanya, setakat ini ada 232 institut memandu di seluruh negara dan mereka boleh mendapatkan aplikasi e-Testing ini secara pembelian menerusi pusat penyedia yang dilantik JPJ.

    “JPJ akan mengadakan pemeriksaan dari masa ke semasa sama ada modul yang digunakan institut memandu dalam e-Testing itu menepati enam elemen ditetapkan JPJ. Sistem ini sudah dipraktikkan di Korea dan Jepun, sementara Malaysia akan ke arah itu bagi meningkat kemudahan kepada orang awam menggunakan perkhidmatan JPJ,” katanya.

    Pada tahun 2018, Menteri Pengangkutan terdahulu, Anthony Loke, dilaporkan berkata, sistem ini bertujuan untuk mengurangkan gangguan manusia serta mengelakkan berlakunya budaya sogokan untuk mendapatkan lesen atau ada yang menggelarnya lesen “gerenti lulus”.

    Di mana institut dan sekolah memandu perlu memasang kamera pada papan pemuka (dash cam) di dalam semua kenderaan untuk ujian supaya ada rakaman kemahiran pemanduan dapat direkodkan ketika sesi berlangsung. Sekiranya calon itu gagal dan merasa itu disebabkan kerana mereka tidak membayar wang sogokan, calon boleh membuat rayuan berdasarkan bukti dari video berkenaan.

     
     
  • Yamaha Fazzio dilancar untuk pasaran Indonesia – skuter hibrid 125 cc dengan pelbagai kemudahan

    Yamaha Fazzio dilancar untuk pasaran Indonesia – skuter hibrid 125 cc dengan pelbagai kemudahan

    Yamaha hari ini telah melancarkan sebuah skuter baru untuk pasaran Indonesia, iaitu Fazzio. Ia adalah sebuah skuter hibrid, yang datang dengan pelbagai kelengkapan serta harga yang bermula 21.7 juta rupiah (RM6,340). Harga itu meletakkannya sedikit lebih mahal berbanding Gear 125 S (Ego Gear) yang dijual pada harga 17.95 juta rupiah (RM5,244).

    Penggerak utama skuter ini adalah enjin satu silinder suntikan bahan api Blue Core SOHC 124.86 cc, berkuasa 8.3 hp pada 6,500 rpm dan 10.6 Nm tork pada 4,500 rpm, dan dipadankan bersama transmisi automatik CVT.

    Enjin ini kemudiannya boleh dibantu oleh sistem hibrid yang terdiri daripada Smart Motor Generator, memberikan tambahan kuasa apabila baru mula memecut untuk tempoh maksimum selama tiga saat. Menambahkan lagi kecekapan penggunaan bahan apinya adalah sistem start/stop (enjin mati sendiri apabila berhenti dan hidup apabila pendikit dipulas).

    Selain keistimewaan pada penggeraknya, Fazzio turut mengutamakan kemudahan kepada pengguna, dengan menyediakan kelengkapan seperti ruang simpanan bawah tempat duduk 17.8 liter, sistem kunci pintar, soket pengecas USB, poket barangan di bawah bahagian pemegang, dua penyangkut barangan, ruang kaki yang luas dan bahagian gantungan aksesori di tepi.

    Pengguna juga diberikan dengan sistem Yamaha Motorcycle Connect, yang dapat digunakan untuk disambung dengan telefon pintar dan memaparkan pelbagai informasi tambahan pada panel instrumen digital penuh di hadapan. Lampu hadapan pula menggunakan unit LED dengan rekaan berbentuk lonjong sementara rim menggunakan saiz 12 inci. Brek çakera hanya untuk roda hadapan manakala brek belakang menggunakan sistem dram.

     
     
  • BBS Japan dilantik pembekal tunggal untuk rim baru 18-inci Formula 1; kini turut guna semula penutup rim

    BBS Japan dilantik pembekal tunggal untuk rim baru 18-inci Formula 1; kini turut guna semula penutup rim

    BBS Japan telah dinamakan sebagai “pembekal rim rasmi” untuk perlumbaan Formula 1 dengan perjanjian pembekalan selama empat tahun, untuk kesemua 10 pasukan yang bertanding bermula musim 2022. Pengumuman tersebut dibuat ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2022 minggu lalu, dan langkah ini dibuat untuk menyeragamkan penggunaan roda bagi semua pasukan dengan sasaran mewujudkan persaingan perlumbaan yang sengit disamping mengurangkan kos pembangunan.

    Sebelum ini, kesemua pasukan Formula 1 bebas untuk menggunakan rim dari pengeluar lain seperti OZ Racing dan Enkei. Manakala untuk tayar, langkah penyeragaman telah dibuat lebih awal iaitu bermula 2011, dengan kesemua pasukan diwajibkan menggunakan tayar yang dihasilkan oleh Pirelli.

    Bermula musim ini juga jentera-jentera Formula 1 akan dihasilkan berdasarkan pelbagai undang-undang baharu, antaranya langkah yang radikal menerusi penggunaan rim berdiameter 18-inci, bagi menggantikan rim 13-inci yang telah digunakan sejak sekian lama.

    BBS Japan dilantik pembekal tunggal untuk rim baru 18-inci Formula 1; kini turut guna semula penutup rim

    Rim yang lebih besar tersebut juga dibenarkan untuk dipadankan dengan penutup rim. Perincian berkenaan sebelum ini pernah digunakan dalam Formula 1, namun ia telah diharamkan bermula pada musim 2010. Penutup rim ini berperanan untuk mengelakkan terjadinya ‘gelora keracak’ (wake turbulence) dalam masa yang sama memberikan penampilan lebih baik pada jentera F1 generasi baharu tersebut.

    Rupa awalan jentera-jentera genrasi baharu dengan rim lebih besar ini telah pun dapat dilihat menerusi sesi-sesi ujian yang telah dilakukan oleh pasukan-pasukan yang bertanding pada Disember lalu. Namun untuk rupa sebenar, kita masih lagi perlu untuk menunggu setiap pasukan memperkenalkan jentera baharu masing-masing secara rasmi sebelum bermulanya Formula 1 musim ini.