Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • KTM Komuter memperkenalkan semula perkhidmatan tren Limited Stop – Seremban-Sentul, waktu puncak

    KTM Komuter memperkenalkan semula perkhidmatan tren Limited Stop – Seremban-Sentul, waktu puncak

    Berita baik untuk pengguna KTM Komuter, KTM Berhad telah mengumumkan perkhidmatan tren Limited Stop akan kembali beroperasi bermula Isnin hadapan, 17 Disember 2022.

    Tren Limited Stop ini adalah terhad pada satu perkhidmatan sahaja pada waktu pagi dari Seremban ke Sentul, dan satu lagi perkhidmatan pada waktu petang dari Sentul ke Seremban. Tren pada waktu pagi akan bergerak dari stesen Seremban pada jam 6.30 pagi, dan mengambil masa selama satu jam 30 minit dan tiba di KL Sentral (8 pagi), sebelum sampai di Sentul pada 8.18 pagi. Perjalanan pulang dari stesen Sentul pula adalah pada jam 5.30 petang, dan dijadualkan sampai di Seremban pada jam 7.29 malam.

    Klik untuk besarkan

    Perkhidmatan ini dipanggil Limited Stop kerana tren hanya akan berhenti di sembilan stesen sahaja. Selain Seremban dan Sentul, tren hanya akan berhenti di stesen Nilai, Kajang, Bandar Tasik Selatan, KL Sentral, Kuala Lumpur, Bank Negara dan Putra.

    Tanpa berhenti di setiap stesen (selain yang disebut di atas), perjalanan akan menjadi lebih pantas. Namun jika anda rasakan tren Limited Stop lebih perlahan berbanding versi sebelumnya, ya anda mungkin betul kerana KTM Komuter turut terjejas dengan projek Klang Valley Double Tracking yang sedang berjalan pada waktu yang sama. Untuk mengetahui jadual perjalanan terkini tren KTM, anda boleh memuat turun aplikasi MyRailtime 2.0 ke dalam telefon pintar anda.

     
     
  • BMW iX3 2022 dijual pada harga bermula RM307k – turun sehingga RM11k selepas pengecualian cukai

    BMW iX3 2022 dijual pada harga bermula RM307k – turun sehingga RM11k selepas pengecualian cukai

    Satu lagi model daripada BMW yang menerima rujukan harga selepas pengecualian cukai yang diberi oleh kerajaan untuk kenderaan elektrik adalah iX3. Ditawarkan dalam dua varian M Sport, iaitu Inspiring dan Impressive, harganya kini masing-masing adalah RM307,160 dan RM325,160, bersama jaminan dua tahun tanpa had batuan.

    Jika dibandingkan dengan harga waktu ia dilancarkan pada Oktober tahun lepas, iX3 Inspiring mencatat penurunan sebanyak RM10,200 manakala iX3 Impressive turun RM11,200. Sekiranya anda mengambil pakej jaminan dan servis tambahan lima tahun pula, harganya akan menjadi RM322,800 untuk iX3 Inspiring dan RM340,800 untuk iX3 Impressive.

    Jika mahu menambah Power Package yang memberikan BMW i Wallbox 22 kW serta BMW i Standard Charging Cable (tidak termasuk kos pemasangan), harga SUV elektrik ini akan menjadi RM327,800 untuk iX3 Inspiring dan RM345,800 untuk iX3 Impressive. Jaminan bateri selama lapan tahun diberikan secara standard.

    Secara mekanikalnya, kedua-dua varian adalah sama sahaja, iaitu dikuasakan oleh motor elektrik berkemampuan 210 kW (286 PS) dan 400 Nm tork, yang terletak di belakang. Dengannya, SUV ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat sebelum mencapai laju maksimum 180 km/j.

    Ia juga dipasang dengan bateri lithium ion 73.8 kWh, yang dapat memberikan jarak gerak antara 453 hingga 461 km sekali cas. Pengecasan pula boleh dilakukan dalam masa sekitar tujuh jam setengah menggunakan kuasa AC maksimum 11 kW sementara apabila menggunakan pengecas pantas DC sehingga 150 kW pula, bateri boleh mencecah tahap 80% penuh dalam masa hanya 32 minit.

    Model iX3 yang tiba di Malaysia adalah versi facelift, sekaligus ia terus mendapat lampu hadapan yang lebih nipis serta penampilan lebih segar. Pakej M Sport diberikan standard, menjadikan ia lebih sporty dengan bukaan udara heksagon yang besar di tengah, bukaan udara tepi berbentuk L, kemasan keliling roda sama warna dengan badan serta diffuser yang besar.

    Perubahan model facelift ini adalah lebih jelas di dalam, dengan papan pemuka baru yang meminjam banyak elemen daripada 3 Series G20 termasuk penukar gear. Skrin di tengah adalah lebih besar, iaitu 12.3 inci untuk kedua-dua varian dan BMW Live Cockpit Professional, yang memberikan panel instrumen digital 12.3 inci.

    BMW iX3 2022 dijual pada harga bermula RM307k – turun sehingga RM11k selepas pengecualian cukai

    Model ini tidak mempunyai pilihan panel digital melengkung seperti iX, dan ia masih menggunakan BMW Operating System 7, bukannya versi generasi kelapan yang paling baru. Sebagai sebahagian daripada pakej M Sport, iX3 juga datang dengan roda stereng M Sport, tempat duduk sport serta lapik bumbung hitam.

    Dalam senarai spesifikasi, tidak banyak perbezaan antara dua varian ini. Inspiring yang merupakan varian asas sudah dilengkapi dengan lampu LED adaptif, rim Style 842 19 inci, balutan kulit Vernasca, papan pemuka dibalut kulit tiruan Sensatec, kemasan brushed aluminium serta penukar gear berwarna perak.

    Turut diberikan adalah sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan pemanas dan memori untuk pemandu, pengawal suhu tiga zon, pengecas Qi tanpa wayar, bumbung panoramik, bantuan letak kereta dengan Reversing Assistant, 12 pembesar suara, sistem bunyi 205 watt, kamera undur serta tailgate bukaan kuasa tanpa sentuh.

    Varian Impressive pula ditambah dengan lampu utama LaserLight, rim Style 890 M 20 inci, head-up display, tingkap tepi kaca akustik, kawalan pergerakan, 14 pembesar suara, sistem bunyi Harman Kardon 464 watt, sistem kamera 360 darjah dan bunyi kenderaan sintetik IconicSounds Electric yang dibangunkan bersama Hans Zimmer.

    Kedua-dua varian juga datang dengan pakej Driving Assistant Professional, yang memberikan pelbagai ciri keselamatan seperti Autonomous Emergency Braking, Evasive Steering Assist, Adaptive Cruise Control with Stop and Go, Lane Centring Assist, Blind Spot Monitoring, Traffic Sign Recognition, Emergency Stop Assist serta Adaptive High Beam.

    Model iX3 ini juga datang standard dengan amaran bunyi untuk pejalan kaki dan Active Protection, iaitu satu sistem yang mengetatkan tali pinggang serta mengunci semua tingkap sekiranya mengesan sebarang risiko perlanggaran (seperti Pre-Safe Mercedes-Benz).

    GALERI: BMW iX3 facelift pasaran global

     
     
  • BMW iX 2022 kini dijual pada harga bermula RM361k – lebih murah sehingga RM65k tanpa cukai dan duti

    BMW iX 2022 kini dijual pada harga bermula RM361k – lebih murah sehingga RM65k tanpa cukai dan duti

    Berikutan langkah kerajaan menghapuskan cukai import dan duti eksais untuk kenderaan elektrik (EV) tahun ini, SUV elektrik BMW iX yang dilancarkan Ogos tahun lalu kini dijual pada harga baru, iaitu RM361,430 untuk varian xDrive40 dan RM407,430 untuk varian xDrive40 Sport, tidak termasuk insurans.

    Jika dibandingkan dengan harga sebelum ini, kedua-dua model tersebut mencatat penurunan harga masing-masing sekitar RM58k dan RM65k, dan didatangkan terus dengan jaminan dua tahun. Jika pemilik mahukan jaminan tambahan serta pakej servis lima tahun tanpa had batuan, harganya akan menjadi RM379,800 untuk xDrive40 dan RM425,800 untuk xDrive40 Sport.

    Pilihan tambahan Power Package (disediakan untuk kedua-dua varian) yang memberikan BMW i Wallbox 22 kW dan kabel pengecas awam pula dijual pada harga RM4,600 – masih sama seperti sebelum pengecualian cukai.

    Berkenaan dengan pakej jaminan dan servis tambahan yang dinyatakan di atas, BMW Malaysia menjualnya pada harga diskaun RM18,370 sekiranya pemilik mendapatkannya terus waktu pembelian (jumlahnya seperti di atas). Jika pemilik tidak membelinya terus, dan mahukannya kemudian, mereka boleh mendapatkan jaminan tambahan enam tahun pada harga RM12,500 dan pakej servis pada harga RM8,000.

    Kedua-dua varian menampilkan sistem janaan yang sama — dua motor elektrik, diletakkan pada setiap satu gandar yang menyalurkan pacuan semua-roda. Ia memberikan kuasa hingga 326 PS (322 hp atau 240 kW) dan tork 630 Nm, yang membolehkannya dipecut dari titik sifar ke 100 km/j dalam 6.1 saat dan kelajuan maksimum mencecah 200 km/j.

    Kuasa yang disalurkan untuk e-motor dijanakan dari bateri lithium-ion dengan kapasiti tenaga 76.6 kWh (71 kWh) yang mampu memberikan jarak sehingga 425 km mengikut standard WLTP. Untuk pengecasan, xDrive40 menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW menerusi sambungan Type 2, dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar tujuh jam dan 15 minit. Ada juga pengecas pantas DC dengan kuasa sehingga 150 kW menggunakan sambungan CCS2, yang boleh mengecas 0-80% dalam masa 31 minit.

    BMW iX 2022 kini dijual pada harga bermula RM361k – lebih murah sehingga RM65k tanpa cukai dan duti

    Bagi kelengkapannya, xDrive40 didatangkan dengan ciri standard termasuk lampu utama LED dengan bantuan lampu tinggi, roda aerodinamik 21-inci serta bingkai dekoratif moulding dan penutup tingkap dengan rona hitam berkilat.

    Untuk bahagian dalaman pula, ia hadir dengan sistem Live Cockpit Professional dengan paparan kluster instrumen digital 12.3-inci dan juga paparan skrin sesentuh sentral 14.9-inci — yang kedua-duanya dikuasakan oleh BMW Operating System 8 baru.

    Ia turut ditawarkan dengan kabin dengan pakej dalaman Atelier bersama kawalan dan komponen terpiilih dalam rona Gold Bronze. Sementara itu, tempat duduk, papan pemuka, konsol tengah dan perehat tangan tengah diberikan kemasan kulit sintetik Sensatec. Tempat duduk hadapan larasan kuasa juga hadir dengan fungsi memori untuk pemandu, pengecas tanpa wayar dan sistem bunyi HiFi.

    Jika berminat dengan pakej Sport, rodanya boleh ditukar ke unit yang lebih besar bersaiz 22-inci, sementara lampu utama boleh dipilih dengan unit BMW Laserlight. Pakej ini juga termasuk dengan ciri Sport Line termasuk brek sport dengan kaliper brek biru, rekaan yang lebih gelap untuk pencahayaan serta kemasan krom pada gril radiator dan rekaan baharu untuk tirai udara hadapan.

    Untuk sistem keselamatan dan bantuan pemandu, xDrive40 menerima pakej Bantuan Pemanduan dengan amaran ketibaan lorong, amaran menukar lorong, amaran pelanggaran hadapan dengan AEB, amaran lintasan trafik belakang dan pengelak pelanggaran belakang. Selain itu, ia turut diberikan Bantuan Parkir BMW dengan bantuan mengundur, kawalan jarak parking aktif dan kamera pandangan belakang serta kawalan kelajuan pasif.

    Jika anda menambah pakej Sport, ciri lain yang bakal anda dapat termasuklah sistem pemantauan tekanan tayar, Parking Assistant Plus dan kamera pandangan sekeliling, bersama pakej Driving Assistant Professional yang merangkumi kawalan kelajuan adaptif, bantuan kawalan lorong dan stereng, bantuan pengehad kelajuan automatik dan evasion assistant.

    GALERI: BMW iX xDrive40

     
     
  • CAM EC35 merupakan van elektrik pertama kini di Malaysia – 80 hp/200 Nm, jarak 266 km, dari RM130k

    CAM EC35 merupakan van elektrik pertama kini di Malaysia – 80 hp/200 Nm, jarak 266 km,  dari RM130k

    Sendok Group telah mengumumkan pengenalan CAM EC35, yang dikatakan sebagai van elektrik-sepenuhnya yang pertama kini telah mula dijual di pasaran Malaysia. Dipertontonkan pada minggu lalu dalam satu acara di Genting Highlands, syarikat tersebut berkata, van bagi kegunaan komersil itu pada asasnya adalah rebadged model Dongfeng Sokon Automobile (DFSK), disasarkan untuk syarikat logistik dan kurier.

    Ditawarkan pada harga bermula RM130,000, CAM EC35 memiliki dimensi sepanjang 4,500 mm, 1,680 mm lebar dan 1,985 mm tinggi (dengan jarak roda 3,050 mm), dengan ukuran kargo 2,550 mm panjang, 1,480 mm lebar dan 1,280 mm tinggi. Ia dilengkapi dengan motor elektrik yang menawarkan kuasa 80 hp (60 kW) dan tork 200 Nm, dan ia dikuasakan oleh bateri lithium-ion phosphate 38.7 kWh, yang boleh memacu van ini sehingga 266 km (kitaran WLTP).

    Van elektrik penuh ini juga dilengkapi dengan port pengecasan CCS, pengecasan AC mengambil masa sekitar lima jam untuk bateri mencapai tahap pengecas (SOC) dari 20% hingga 80%, dan lapan jam untuk 0-100% menerusi pengecas onboard 6.6 kWh. Sementara itu, dengan menggunakan pengecas DC (sehingga 40 kW), ia mengurangkan 20-80% bagi SOC ke 80 minit dan 2.5 jam dari 0-100%.

    Ciri standard yang diberikan termasuk unit skrin sesentuh lapan-inci dan kamera undur, serta beg udara pemandu, penderia parkir undur dan ABS dengan EBD.

    Sendok Group yang berpusat di Klang, menawarkan kenderaan komersil ringan di bawah jenama CAM, dan berkata EC35 merupakan siri kenderaan elektrik asli pertama dalam barisan model EV edarannya, dan lebih banyak produk yang sedang dalam perancangan untuk diperkenalkan. Antara pelanggan pertama EC35 termasuklah Eclimo Solutions, Car2U dan Jadem Automobile.

     
     
  • KTM 390 Adventure terima peningkatan – lebih lasak

    KTM 390 Adventure terima peningkatan – lebih lasak

    Model adventure berenjin kapasiti rendah keluaran KTM, iaitu 390 Adventure diberikan peningkatan bagi model keluaran tahun 2022. Bahagian pertama yang diubah sudah tentu adalah penampilan, di mana ia sekarang ditawarkan dengan dua grafik baru yang lebih menyamai model-model lebih besar.

    Kemudiannya, sistem kawalan cengkaman pada motosikal ini dinaik taraf dengan dua mod iaitu Offroad dan Street. Dalam mod Offroad, tindak balas kemasukan sistem elektronik untuk mengehadkan kuasa menjadi kurang sensitif sekaligus membenarkan sedikit gelinciran pada roda belakang dan memudahkan pengendalian di atas permukaan licin.

    Dalam mod ini juga, sekiranya penunggang terjatuh atau enjin terpadam, ia masih akan kekal mod yang dipilih dan tidak akan disetkan semula kepada mod Street. Ini bermakna, penunggang tidak perlu menekan semula tetapan kawalan cengkaman tersebut apabila enjin terpadam sekejap.

    Turut dipertingkat adalah bahagian rim, di mana unit aluminium 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakangnya dijadikan lebih tahan lasak. Menurut KTM, rekaan lima cabang yang baru ini dapat meningkatkan ketegaran serta ketahanannya berbanding rekaan enam cabang sebelum ini. Rim tersebut dibalut tayar Continental TKC 70.

    Bahagian mekanikal lain masih kekal sama, bermula dengan enjin satu silinder 373 cc berkuasa 43 hp dan 37 Nm tork, transmisi enam kelajuan, klac slipper, fork WP Apex 43 boleh laras, monoshock WP Apex, brek Bybre, tangki bahan api 14.5 liter, lampu LED serta skrin TFT 5.0 inci.

     
     
  • Transaksi tol RFID di laluan Juru-Skudai di Lebuhraya PLUS bakal bermula 10 malam pada 15 Jan 2022

    Transaksi tol RFID di laluan Juru-Skudai di Lebuhraya PLUS bakal bermula 10 malam pada 15 Jan 2022

    Seperti yang dikhabarkan sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan pembayaran tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di laluan Juru, Pulau Pinang hingga Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula jam 10 malam pada 15 Januari 2022.

    Dengan pelaksanaan tersebut, semua 83 plaza tol di Lebuhraya Utara-Selatan menyediakan sekurang-kurangnya satu lorong RFID untuk membolehkan pelanggan lebuhraya melengkapkan transaksi tol mereka. Ini bermakna, pelanggan kenderaan penumpang persendirian (Kelas 1) mempunyai lebih pilihan sama ada menggunakan kad Touch ‘n Go, SmartTAG atau RFID untuk membayar tol.

    “Bermula jam 10 malam pada 15 Januari ini, pelanggan RFID Touch ‘n Go yang telah pun menggunakan kaedah tersebut untuk membayar tol di lebuhraya-lebuhraya lain sebelum ini boleh menggunakan teknologi tersebut secara menyeluruh di Lebuhraya PLUS.

    Transaksi tol RFID di laluan Juru-Skudai di Lebuhraya PLUS bakal bermula 10 malam pada 15 Jan 2022

    “Dengan pelaksanaan ini juga, pelanggan kenderaan penumpang persendirian (Kelas 1) Lebuhraya PLUS kini boleh beralih kepada RFID untuk menikmati pengalaman perjalanan yang lebih lancar, tanpa sentuh dan menggunakan transaksi e-Dompet,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

    Pada ketika ini, terdapat kira-kira 1.5 juta pelanggan lebuhraya yang telah pun menggunakan RFID Touch ‘n Go untuk membayar tol di kebanyakan lebuhraya lain khususnya di Lembah Klang.

    Pelekat RFID Touch ‘n Go dijual dengan harga RM35 di pusat pemasangan RFID yang sah di seluruh negara (rujuk laman web Touch ‘n Go https://rfidregister.touchngo.com.my/fitment- centres ) dan juga secara atas talian. Pelanggan juga boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung RFID dan bagaimana ia boleh membantu mereka menikmati perjalanan lebuh raya dengan lancar di http://rfid.plus.com.my.

    Anda juga boleh membaca artikel kami mengenai penggunaan RFID ini menerusi:

     
     
  • Honda Civic 2022 dilancar di M’sia – RM126k-RM144k, tiga varian, hanya 1.5L VTEC Turbo 182 PS/240 Nm

    Honda Civic 2022 dilancar di M’sia – RM126k-RM144k, tiga varian, hanya 1.5L VTEC Turbo 182 PS/240 Nm

    Akhirnya, hari ini secara rasminya Honda Civic 2022 dilancarkan ke pasaran Malaysia. Model generasi ke-11 dengan kod casis FE ini muncul buat pertama kali diperingkat global di Amerika Syarikat pada April tahun lalu, bermakna ia sampai ke pasaran tempatan tak sampai setahun dari tarikh berkenaan.

    Sama seperti pasaran Thailand dan Indonesia, Civic generasi terkini ini hanya hadir dengan unit rangkaian kuasa 1.5 liter VTEC Turbo, tanpa pilihan enjin 1.8 liter i-VTEC seperti model genarasi ke-10. Walau bagaimanapun Honda Malaysia masih menawarkan Civic 2022 dalam tiga varian berbeza.

    Ia dimulakan dengan model asas 1.5 E yang dijual pada harga RM125,635, diikuti model pertengahan 1.5 V dijual pada harga RM138,043. Manakala model spesifikasi tertinggi serta menampilkan rupa lebih agresif iaitu Civic 1.5 RS dijual pada harga RM144,350.

    Semua angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk pengecualian cukai jualan oleh kerajaan sehingga 30 Jun 2022. Kesemua model menerima perlindungan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan bersama lima servis dengan kos buruh percuma.

    Honda Civic 2022 dilancar di M’sia – RM126k-RM144k, tiga varian, hanya 1.5L VTEC Turbo 182 PS/240 Nm

    Saiz Civic 2022 ini lebih besar dari Civic FC. Panjang keseluruhanya adalah 4,678 mm (30 mm lebih panjang), bersama jarak roda 2,735 mm (33 mm lebih jauh), serta 3 mm lebih lebar dengan ukuran 1,415 mm dan tinggi 1,802 mm (1 mm lebih rendah). Manakala untuk ruang but, model baru ini menampilkan ruang kargo berkapasiti 497 liter, sedikit lebih kecil berbanding Civic FC dengan 519 liter.

    Dengan ukuran ini, Honda menyatakan bahawa Civic FE menampilkan ruang kaki yang lebih besar terutamanya untuk penumpang belakang. Ia juga menampilkan tiang-A yang ‘ditolak’ 50 mm kebelakangan berbanding Civic FC yang bukan sahaja membuatkan tiang tersebut tidak lagi nampak seperti bersambung dengan hab roda hadapan, malah turut membuatkan bahagian bonet hadapan menampilkan bayang badan yang lebih menarik serta memberikan sudut pandang keluar pada cermin hadapan yang lebih baik.

    Bagi model asas gred E, ia hadir dengan rim aloi 16-inci, lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED penuh, dan juga dua fungsi baharu iaitu pengelap cermin pintar dan juga pembuka penutup but belakang automatik – diberikan penyerap hentak dengan spring torsion bagi membolehkan pergerakan naik sendiri tersebut.

    Varian V pula menerima tambahan perician seperti lampu kabus hadapan, serlahan krom pada pembuka pintu serta rim aloi 17-inci dua tona yang dibalut dengan tayar 215/50R17.

    Untuk model RS, ia diberikan perincian unik bagi memberikan imej lebih agresif, termasuk lampu hadapan LED reflektor automatik yang digelapkan pada sebelah dalam, tip ekzos berkembar yang diserlahkan pada bampar belakang, lencana RS pada gril dan penutup but belakang.

    Honda Civic 2022 dilancar di M’sia – RM126k-RM144k, tiga varian, hanya 1.5L VTEC Turbo 182 PS/240 Nm

    Ia juga menerima serlahan-serlahan hitam berkilat pada penutup cermin sisi, spoiler but belakang, pembuka pintu dan juga antena sirip yu. Apa yang menarik, Civic RS pasaran Malaysia ini dilengkapkan dengan rim aloi 18-inci jejari-Y dalam kemasan hitam kusam, seiras dengan rim Civic Si pasaran Amerika Syarikat. Untuk pengetahuan anda, Civic RS pasa Thailand hanya diberikan rim aloi bersaiz 17-inci.

    Pada bahagian dalaman pula, Civic FE ini tampil dengan rekaan yang lebih minimalis. Papan pemuka model baharu ini direka ringkas – tiada elemen seperti kapal angkasa pada Civic FC, dan ia hanya menampilkan satu panel panjang dengan elemen gril sarang lebah merentangi papan pemuka tersebut, yang menyembunyikan liang pendingin hawa.

    Skrin infotainmen tidak lagi ‘ditanam’ papan pemuka, sebalikya diletakkan seakan berdiri sendiri di bahagian paling atas. Kesemua varian Civic 2022 ini diberikan sistem infotainmen Display Audio. Model varian E diberikan skrin sesentuh tujuh-inci, serta datang standard dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay. Model asas ini juga hanya menerima empat pembesar suara, tempat duduk pemandu larasan manual

    Manakala varian V dan RS pula diberikan skrin sesentuh sembilan-inci dengan fungsi Apple CarPlay tanpa wayar, lapan pembesar suara termasuk empat unit tweeter, tempat duduk pemandu larasan kuasa, upholsteri kulit (gandingan bersama material sued dan jahitan benang merah untuk RS).

    Civic RS juga menerima pelbagai perincian lebih sporty termasuk pelapik bumbung hitam, serlahan jahitan benang merah pada roda stereng dan tombol gear, set pedal aloi, jalur lampu suasana untuk kabin yang bersepadu dengan kemasan hitam berkilat serta lampu pada bahagian ruang kaki.

    Kit-kit standard untuk semua varian termasuk sistem kemasukan tanpa kunci (dengan fungsi kunci walk away dan penghidup enjin jarak jauh), suis penghidup enjin, paparan instrumen digital dengan skrin tujuh-inci (bersama meter kelajuan analog), sistem pendingin hawa automatik zon tunggal bersama liang penghembus belakang.

    Manakala model V dan RS, ia menerima tambahan kit seperti servis telematik Honda Connect, cermin pandang belakang auto-malap dan juga cermin solek dengan sistem pencahayaan.

    Seperti yang diberitahu tadi, kesemua varian Civic 2022 di Malaysia tampil dengan unit rangkaian kuasa yang sama. Ia dijana oleh enjin 1.5 liter empat-silinder VTEC Turbo, menghasilkan kuasa 182 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 rpm sehingga 4,500 rpm.

    Honda Civic 2022 dilancar di M’sia – RM126k-RM144k, tiga varian, hanya 1.5L VTEC Turbo 182 PS/240 Nm

    Jadi berbanding enjin yang sama dalam perut Honda Civic FC, unit penjana VTEC Turbo pada Civic generasi baharu ini adalah 8 PS dan 20 Nm lebih bertenaga. Kuasa dari enjin masih memacu roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik. Ia adalah kotak gear yang sama dari Civic FC namun diberikan talaan baharu yang menjadikan ia lebih responsif dan seronok dipandu, serta varian V dan RS turut menerima tujuh kelajuan maya serta mod manual yang boleh dioperasikan dengan pedal penukar gear.

    Untuk keselamatan, semua varian Civic 2022 ini hadir dengan enam beg-udara, brek parkir elektronik dengan fungsi auto hold, sistem kestabilan elektronik dan juga sistem torque vectoring yang diaktifkan oleh brek digelar sebagai Agile Handling Assist.

    Kesemua varian Civic 2022 ini hadir dengan pakej bantuan pemanduan Honda Sensing, menampilkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif bersama stop & go, bantuan pengekal tengah lorong, bantuan kekal lorong dan juga lampu tinggi automatik.

    Sistem Honda Sensing pada Civic generasi baharu ini juga tampil dengan sistem Lead Car Departure Notification yang memberikan amaran kepada pemandu bahawa kereta hadapan sudah pun mula bergerak. Kamera pemantau titik buta Honda LaneWatch turut diberikan pada varian V dan RS ini.

    Lima warna badan ditawarkan untuk Honda Civic 2022 termasuk dua warna baharu Meteoroid Grey Metallic dan Ignite Red Metallic, bersama tiga warna dari model sebelumnya iaitu Lunar Silver Metallic, Crystal Black Pearl dan Platinum White Pearl. Untuk warna terakhir dengan efek mutiara berkenaan, pembeli perlu menambah bayaran sebanyak RM300.

    Setaakt ini, Honda Malaysia telah pun menerima tempahan sebanyak 1,200 unit untuk sedan segmen-C generasi baharu ini selepas ia dibuka pada Disember lalu. Penghantaran kepada pelanggan terawal akan bermula minggu hadapan, namun tempoh menunggu dijangka akan berada pada tahap satu atau dua bulan bergantung kepada varian. Walaupun harganya dilihat lebih tinggi berbanding versi generasi sebelum ini, syarikat berkenaan mensasarkan sebanyak 900 unit Civic 2022 dapat dijual setiap bulan di Malaysia.

    GALERI: Honda Civic 1.5 RS 2022

    GALERI: Honda Civic 1.5 V 2022

     
     
  • Peugeot 2008 2022 di Malaysia – 1.2L PureTech 130 hp, i-Cockpit 10-inci dan ADAS; harga bawah RM130k?

    Peugeot 2008 2022 di Malaysia – 1.2L PureTech 130 hp, i-Cockpit 10-inci dan ADAS; harga bawah RM130k?

    Bulan Januari ini menjadi pilihan beberapa syarikat pengeluar kereta untuk melancarkan model baharu masing-masing di pasaran tempatan. Ini termasuklan Peugeot 2008 serba baharu. SUV segmen-B generasi kedua ini telah beberapa kali dikesan diuji di jalan raya sejak dua tahun lalu, walau pun sebelum Bermaz Auto (BAuto) mengambil alih hak pengedarannya.

    Walau pun tarikh sebenar pelancarannya masih belum diumumkan, namun dokumen spesifikasi tempatan 2008 telah pun mula bersebaran di dalam talian. Ia dikhabarkan diberi enjin 1.2 liter PureTech tiga-silinder petrol sebagai penjana kuasa tunggal yang ditawarkan, dengan kuasa 130 hp dan tork 230 Nm. Ia adalah versi output yang lebih tinggi (ada versi 110 hp), dan lebih 20 hp dan 25 Nm berbanding model lama.

    Memandangkan ia pemasangan tempatan, ia masih menerima kotak gear autp enam-kelajuan (bersama gear penukar lama, sama seperti model Thai), berbanding transmisi lapan-kelajuan baharu, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan. Tiga mod pemanduan turut diberikan buat pertama kali – Eco, Normal dan Sport. Sama seperti sebelum ini, ia turut diberikan roda 17-inci, tetapi dengan tayar yang sedikit besar iaitu 215/60 U205/50 untuk hadapan).


    Foto: Peugeot 2008 Allure (spesifikasi Australia, tanpa lampu utama LED)

    2008 dijangka akan ditawarkan dengan satu kemasan tunggal iaitu Allure, yang didatangkan xdengan lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang LED, lampu belakang kombinasi LED, rel bumbung hitam berkilat, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, kamera undur serta penderia parkir hadapan dan belakang. Pilihan warna luaran termasuk Orange Fusion, Amazonite Grey, Pearl White dan Nera Black.

    Di dalamnya, ia diberikan kluster instrumen digital “tiga-dimensi” 10-inci secara standard dengan rekaan i-Cockpit. Selain itu, ia juga diberikan roda stereng pelbagai-fungsi balutan kulit dua-jejari berdiameter-kecil, bersama paparan skrin sesentuh tujuh-inci freestanding dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Model semasa2008 hanya diberikan fungsi Apple CarPlay, tiada Android Auto.

    Ciri tambahan yang diberikan termasuk sistem kawalan suhu automatik zon-tunggal, suis brek parkir elektronik dengan penahan brek auto, kemasan pemuka gentian karbon, port pengecas USB-A, dua pemegang cawan pada konsol tengah serta perehat tangan di tengah dengan jahitan kontras.

    Peugeot 2008 2022 di Malaysia – 1.2L PureTech 130 hp, i-Cockpit 10-inci dan ADAS; harga bawah RM130k?

    Peugeot 2008 spesifikasi Australia

    Bagi sistem keselamatam, 2008 baharu ini akan dilengkapi dengan bantuan pemandu termaju, seperti brek kecemasan sendiri berasaskan kamera (digelar Brek Keselamatan Aktif), bantuan kekal lorong aktif, amaran perhatian pemandu, sistem pemantauan titik buta, dan bantuan lampu tinggi.

    Selain itu, BAUto juga telah mendedahkan perancangan untuk memperkenalkan e-2008 pacuan elektrik penuh, dengan sasaran pelancaran pada suku keempat 2022. e-2008 digandingkan dengan motor elektrik 130 hp/260 Nm, dengan kuasanya disalurkan dari bateri lithium-ion 50 kWh. Ia mampu mencapai jarak penuh sehingga 310 km mengikut kitaran WLTP, tetapi dikatakan boleh juga mencecah 345 km.

    GALERI: Foto global Peugeot 2008 baharu

     
     
  • Harga minyak 13-19 Jan – RON97 naik 4 sen seliter

    Harga minyak 13-19 Jan – RON97 naik 4 sen seliter

    Nampak gayanya bahan api petrol RON 97 tetap menunjukkan peningkatan harga untuk minggu bertarikh 13 hingga 19 Januari 2022. Jika minggu sebelum ini, ia berharga RM3.03 seliter, namun mulai esok sehingga Rabu hadapan, harganya berubah menjadi RM3.07 seliter, iaitu melibatkan peningkatan harga sebanyak empat sen.

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi petrol RON 95 masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Harga tersebut tidak berubah sejak Februari 2021 dan telah pun mencapai harga siling.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 juga dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter. Sejak minggu lalu, harga diesel gred Euro 5 B7 lebih 20 sen daripada Euro B10/B20.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan iaitu pada 20 Januari 2022.

     
     
  • Touch ‘n Go RFID — penjagaan pelekat lepas dipasang

    Touch ‘n Go RFID — penjagaan pelekat lepas dipasang

    Semakin hampir dengan tarikh pelaksanaan lorong RFID di laluan utama Lebuhraya Utara-Selatan pada 15 Januari ini, PLUS Malaysia menerusi laman Facebook rasmi PLUSMiles ada kongsikan cara penjagaan tag RFID yang telah dipasang di kereta pengguna.

    Ini disenaraikan apa yang boleh dan tidak boleh dibuat terhadap tag RFID, terutama ketika ingin mencuci kenderaan. Kenderaan dengan tag yang baru saja dipasang tidak boleh dicuci dalam tempoh 24 jam selepas itu, tidak kira di mana juga tag itu dilekatkan, sama ada di cermin utama atau di bahagian lampu.

    Selepas tempoh itu, pengguna juga perlu berhati-hati agar tidak menggunakan bahan kimia yang bersifat menghakis ketika mencuci kenderaan mereka, khususnya di bahagian tag RFID itu dilekatkan. Ini tidak pula bermaksud tag RFID itu boleh dicabut sebelum kereta dicuci. Ini kerana, tag berkenaan tidak lagi akan berfungsi jika ia dicabut atau ditanggalkan dari kereta anda.

    Pengguna perlulah berhati-hati ketika mencuci di bahagian tag RFID dilekatkan. Apa yang perlu dilakukan ialah untuk beringat ketika mencuci di kawasan sekitar pelekat itu berada supaya ia tidak rosak atau gagal berfungsi selepas itu.

    Kami juga telah menyediakan laporan berkaitan apa yang perlu anda tahu tentang RFID sebelum menggunakannya. Rujuk pautan ini sebelum anda mula menggunakan RFID. Kad Touch ‘n Go dan SmartTAG bagaimanapun masih lagi boleh digunakan selepas 15 Januari ini, dan hanya akan dimansuhkan penggunaannya secara berperingkat, dan akan dimaklumkan kelak.

     
     
  • Nissan Silvia dilapor bakal muncul kembali sebagai EV

    Nissan Silvia dilapor bakal muncul kembali sebagai EV

    Menurut sebuah laman web dari Jepun, iaitu Best Car Web, Nissan mempunyai perancangan untuk menghidupkan semula nama Silvia pada tahun 2025 melalui satu projek yang dipanggil sebagai “Pure EV Silvia Revival.” Nissan sendiri tidak mengesahkan perkara ini, tetapi laman web itu mendakwa rancangan tersebut berpunca daripada lukisan render yang dihasilkan oleh timbalan presiden Nissan Design Europe, Matthew Weaver September lalu.

    Model yang dihasilkan dalam render tersebut mengambil banyak inspirasi daripada Silvia pertama, yang menggunakan nama kod CSP311 dan diperkenalkan pada tahun 1964 di Tokyo Motor Show. Antara yang boleh dilihat jelas adalah garis badan yang bersambung dari depan, ke tepi dan belakang.

    Weaver juga dapat menggunakan rekaan yang lebih licin dan kemas memandangkan kereta elektrik tidak memerlukan banyak lubang udara untuk sistem penyejukan. Ruang antara lampu kiri dan kanan ditutup sepenuhnya sementara lampu juga menggunakan bentuk bulat seperti CSP311.

    Nissan Silvia dilapor bakal muncul kembali sebagai EV

    Silvia yang pertama juga dikenali sebagai Datsun Coupe 1500, dan pada waktu itu, ia dibina atas platform yang sama dengan Fairlady. Model ini hanya dikeluarkan dalam jumlah yang terhad, iaitu 554 unit sahaja antara tahun 1965 hingga 1968 dan Nissan juga memberitahu dalam siaran akhbar berkenaan render Weaver bahawa “ada pekerja kami yang sudah lama pun belum pernah melihatnya betul-betul di depan mata.”

    Selepas CSP311, nama Silvia tidak lagi digunakan sehinggalah ia dibawa kembali pada tahun 1975 untuk model S10 yang menggunakan platform S Nissan. Dari waktu itu, nama Silvia terus digunakan untuk S110, S12 dan generasi yang paling dikenali ramai, iaitu S13, S14 dan S15. Model terakhir yang menggunakan nama Silvia adalah S15, dan pengeluarannya telah pun dihentikan pada tahun 2002.

    Render yang dihasilkan oleh Weaver ini bukanlah satu-satunnya rekaan semula model retro moden oleh Nissan, kerana pada tahun 2013, mereka telah menunjukkan model konsep IDx yang mengambil inspirasi daripada Datsun 510. Sehingga kini, model tersebut masih belum menjadi realiti tetapi melalui strategi produk baru mereka yang melihatkan kelahiran Z baru, kemungkinannya seperti ada. Harap-harap betullah ya.

     
     
  • Ford Ranger Raptor R 2022 mungkin dapat enjin V8

    Ford Ranger Raptor R 2022 mungkin dapat enjin V8

    November tahun lalu, Ford telah mendedahkan buat kali pertama Ranger 2022, dengan varian paling tinggi yang ditawarkan adalah Wildtrak, menggunakan enjin diesel turbo 3.0 liter V6 yang diambil daripada F-150. Bagi yang merasakan ia masih lagi tidak cukup, ini ada khabar yang menggembirakan.

    Menurut laporan CarsGuide, dua eksekutif paling tinggi Ford, iaitu timbalan presiden pembangunan produk global, Trevor Worthington dan pengarah sukan permotoran global Ford Performance, Mark Rushbook telah menyatakan secara terbuka bahawa mereka mahu menghasilkan sebuah Ranger Raptor “ultimate“, ataupun Raptor R.

    Untuk mendapatkan lebih kefahaman tentang perkara ini, mari kita lihat kepada Bronco Desert Racer, iaitu sebuah SUV spesifikasi lumba yang dipacu oleh enjin Coyote V8 5.0 liter. Ia akan dibangunkan oleh syarikat sama yang membuat Ford GT, iaitu pakar kejuruteraan lumba dari Kanada, Multimatic.

    Ford Ranger Raptor R 2022 mungkin dapat enjin V8

    Worthington mengaku terdapat potensi untuk menghasilkan Ranger Raptor dengan semangat yang sama seperti Bronco DR, dan beliau juga menambah bahawa “terdapat banyak peluang” untuk perkara ini berlaku kerana asas Bronco dan Ranger dibangunkan oleh pasukan Ford di Australia.

    Tambah menarik lagi, Rushbrook menyatakan terdapat banyak komponen mekanikal yang sama antara Bronco dan Ranger. Beliau juga mengangguk apabila ditanya sama ada Ranger Raptor V8 akan menjadi tarikan bagi pasaran Australia. Walaubagaimanapun, kedua-dua individu ini tidak memberi pengesahan tentang projek tersebut.

    Apabila masuk ke pasaran nanti, Ranger Raptor akan bersaing terus dengan Toyota GR Hilux serta Volkswagen Amarok V6, dan harganya mungkin akan jadi lebih tinggi berbanding AUD$75,000 (RM226k) bagi Ranger Raptor sekarang. Walaupun begitu, Wothington masih yakin terdapat tempat untuk kenderaan sebegitu dalam pasaran Australia.

     
     
  • Mitsubishi Ralliart bawa model konsep talaan Delica, Eclipse Cross, Outlander dan lain-lain ke TAS 2022

    Mitsubishi Ralliart bawa model konsep talaan Delica, Eclipse Cross, Outlander dan lain-lain ke TAS 2022

    Selain dari Vision Ralliart Concept, badan penala rasmi yang telah dihidupkan semula berkenaan turut akan membawa pelbagai lagi model-model konsep ubahsuai berdasarkan model-model produksi Mitsubishi ke Tokyo Auto Salon 2022 yang akan berlangsung bermula 14 hingga 16 Januari ini.

    Buat masa sekarang, Mitsubishi sememangnya tiada model-model sedan mahupun hatchback yang masih dijual di Jepun, jadi model-model konsep ubahsuai ini adalah berdasarkan barisan model MPV, SUV dan juga Kei-Car jenama tiga berlian berkenaan.

    Yang pertama adalah Mitsubishi Delica D:5 yang digelar sebagai Tough x Tough. Tidak seperti Delica generasi terdahulu di mana kita di Malaysia mengenalinya sebagai van, Delica generasi terbaharu di Jepun kini merupakan sebuah model MPV. Namun ini tidak menghalang ia untuk menerima sentuhan Ralliart untuk kelihatan lebih lasak.

    Antara ubahsuai yang diberikan pada Mitsubishi Delica D:5 Tough x Tough Ralliart ini termasuk suspensi yang ditinggikan bagi memberi lebih jarak kelegaan tanah, pelindung plastik untuk kesemua ruang roda, tayar off-road, bar lampu LED di atas cermin hadapan, gril baharu, bull bar, pemijak sisi, pelindung bawah badan dan juga kotak simpanan pada bumbung.

    Delica D:5 yang nampak bersedia untuk meredah hutan ini turut diberikan jalur badan ikonik Ralliart pada sisi sebelah bawah, kemasan merah pada perumah lampu kabus dan penutup cermin sisi serta mudflap untuk kesemua ruang roda bagi membuatkan ia nampak seperti jentera rali.

    Satu lagi model konsep lasak digelar sebagai Outlander Wild Adventure Style, yang semestinya diasaskan dari SUV segmen-C Mitsubishi Outlander generasi terkini. Menurut Mitsubishi, SUV ini dihasilkan unuk pemandu yang gemarkan aktivi luar, dan ia turut menerima pelbagai aksesori dari jenama kelengkapan aktiviti lasak Jepun iaitu Ogawa.

    Antara kelengkapan yang telah diberikan pada Outlander Wild Adventure Style ini termasuk rak bumbung, penunda treler dan juga peralatan perkhemahan dari Ogawa. Ia juga menerima banyak kemasan-kemasan badan perak dan krom, serta dilengkapi dengan bar sisi, pelindung bampar belakang manakala badannya dilayangkan dengan warna badan yang digelar Black Diamond.

    Selain dari konsep-konsep lasak, Mitsubishi turut membawa konsep untuk ubahsuai jalan raya yang digelar Ralliart Style, yang dihasilkan dari crossover segmen-B Mitsubishi Eclipse Cross dan sekali lagi, Mitsubishi Outlander. Kedua-dua model tersebut menerima warna badan putih bersama serlahan-serlahan merah dan perincian-perincian Ralliart seperti pelekat jalur badan dan mudflap.

    Untuk kategori Kei, Mitsubishi mempersembahkan K-EV Concept X-Style, iaitu Kei-Car berkuasa elektrik sepenuhnya yang dijadualkan akan diperkenalkan dalam bentuk model produksi pada tahun ini. Tiada sebarang perincian teknikal didedahkan untuk model ini, tetapi rupanya agak seiras dengan Kei-Car produksi sedia ada iaitu Mitsubishi eK X.

    Model konsep ini diberika warna badan dua tona yang terdiri dari rona biru solid kusam dan juga bumbung dengan warna tembaga (dikatakan sebagai mewakili gegelung dalam motor elektrik). Grafik logo X juga dilihat dilekat pada badan K-EV Concept X-Style berkenaan

    Akhir sekali, Mitsubishi turut akan membawa model konsep ubahsuai Minicab-MiEV B-Leisure Style. Ia dihasilkan dari kenderaan komersial kompak (Kei-Truck/Kei-Van) Mitsubishi Minicab-MiEV, dan disifatkan sebagai kenderaan komersil elektrik dalam kelas tersebut yang dibekalkan dengan kelengkapan perniagaan dan perkhemahan solo.

    Jadi anda boleh lihat Kei-Van elektrik ini diberikan awning, meja perkhemahan, dan juga katil lipat, manakala pada sebelah dalam ia direka dengan lantai rata serta diberikan meja rendah, kerusi dan permaidani. Ia juga hadir dengan MiEV Power Box, yang membolehkan bateri utama van berkenaan digunakan untuk menghidupkan peralatan elektrik seperti pembuat kopi dan komputer laptop.

     
     
  • Pengecas pantas Shell Recharge EV di M’sia mulakan operasi — pengecas 180 kW DC di enam stesen

    Pengecas pantas Shell Recharge EV di M’sia mulakan operasi — pengecas 180 kW DC di enam stesen

    Mac tahun lalu, Shell dan Porsche Asia Pacific umumkan rancangan untuk melaksanakan rangkaian pengecas prestasi tinggi (HPC), yang pertama melangkaui sempadan di Asia Tenggara, untuk kereta elektrik untuk membolehkannya digunakan dengan selesa dalam perjalanan antara Semenanjung dan Singapura.

    Rangkaian baru itu, yang melibatkan 12 pengecas di enam stesen Shell yang terletak di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan di Malaysia, kini telah bermula dengan pengenalan lokasi pertama di stesen Shell kawasan rehat Tangkak (arah Selatan), yang akan beroperasi secara rasmi bermula esok.

    Ini kemudiannya akan diikuti oleh pengenalan di stesen Shell R&R Seremban (arah Utara), R&R Seremban (arah Selatan), R&R Pagoh (arah Selatan), RTC Simpang Pulai (arah Utara) dan R&R Tapah (arah Selatan). Tahun lalu, syarikat berkaitan memaklumkan yang rangkain tersebut akan tersedia menjelang separuh pertama 2022.

    Setiap daripada enam stesen terbabit akan dilengkapi dengan pengecas pantas 180 kW DC yang menampilkan dua penyambung CCS Type 2. Tetapan itu membolehkan sebuah kenderaan dicas pada kadar penuh 180 kW, atau dua kenderaan pada kadar 90 kW setiap satunya dalam satu masa.

    Pengecas pantas Shell Recharge EV di M’sia mulakan operasi — pengecas 180 kW DC di enam stesen

    Rangkaian HPC Shell ini akan melengkapi rangkaian pengecas EV lain syarikat itu yang sedia ada, terdiri daripada 18 tempat mengecas “Reserve + Shell Recharge” di Malaysia serta 18 pengecas pantas 50 kW Shell Recharge serta 87 pengecas awam Greenlot di Singapura.

    Menurut Shell, ada tiga kaedah bagaimana pengguna boleh memanfaatkan rangkaian 180 kW Recharge tersebut. Pertama, melalui cara bayar ikut penggunaan. Terbuka kepada semua pengguna EV, tanpa ada langganan diperlukan untuk ini. Di Malaysia, bayaran yang dikenakan adalah RM4 yuran pengesahan dan RM20 bagi setiap lima minit pengecasan untuk 25 minit pertama, dengan RM20 bagi setiap lima minit berikutnya. Ini akan menjadikan jumlahnya RM240 sejam (atau RM244 dengan yuran pengesahan).

    Cara kedua ialah melalui langganan selama setahun, yang menawarkan status Gold Member. Kos langganan ialah RM835 setahun, tetapi ini menawarkan kepada pelanggan kadar pengecasan lebih murah — bagi 10 jam pertama setiap tahun, pengguna akan membayar RM12 bagi setiap lima minit untuk 25 minit pertama, diikuti dengan RM5 bagi setiap tambahan lima minit berikutnya (yuran pengesahan RM4 kekal).

    Ini menjadikan kadarnya RM95 sejam (atau RM99 dengan yuran pengesahan) dengan langganan. Selepas 10 jam pertama itu digunakan, tambah nilai kuota disediakan pada kadar RM80 sejam, walaupun kadar standard akan dikenakan kemudiannya.

    Pengecas pantas Shell Recharge EV di M’sia mulakan operasi — pengecas 180 kW DC di enam stesen

    Langganan juga menawarkan 10% pulangan tunai bagi semua stesen pengecas di Shell Recharge AC, serta kemudahan untuk menempah ruang mengecas melalui aplikasi ParkEasy — selepas pengesahan dan tempahan, ruang berkenaan akan dikhaskan untuk anda sehingga tempoh sejam sebelum ketibaan anda.

    Ketiga, ia eksklusif untuk pengguna Porsche EV, dengan keahlian Platinum percuma selama tiga tahun diberikan untuk setiap pembelian model Taycan. Kadarnya juga lebih rendah — bagi 12 jam pertama yang digunakan setiap tahun, pengguna akan membayar RM10 bagi setiap lima minit bagi 25 minit pertama. Ini diikuti dengan RM5 bagi tambahan setiap lima minit selepas itu (RM4 yuran pengesah juga masih kekal).

    Ini menjadikan kadar RM85 sejam (RM89 dengan yuran pengesahan). Tambah nilai kuota selepas 12 jam penggunaan juga ada pada kadar RM60 sejam, dengan kadar standard untuk pengecasan. Pemilik Taycan dari Malaysia juga boleh menikmati diskaun eksklusif sebanyak SGD 0.10 per kWh daripada kadar dikenakan ketika mengecas di Singapura, sah untuk 600 kWh pertama setahun.

    Sebagai tambahan, pengguna Porsche juga akan boleh memanfaatkan pengecas prestasi tinggi 175 kW yang tersedia di empat Pusat Porsche di negara ini.

     
     
  • Siri plat pendaftaran AMG dibuka bidaan pada 16 Jan

    Siri plat pendaftaran AMG dibuka bidaan pada 16 Jan

    Jika anda peminat atau mungkin pemilik kenderaan Mercedes-AMG, inilah masanya untuk mendapatkan siri plat nombor pendaftaran dari negeri Perak ini. Ia sebenarnya siri plat nombor pendaftaran biasa, tapi nampak macam istimewa pula.

    Siri plat nombor pendaftaran AMG ini bakal dibuka bidaan pada 16 Januari 2022. Tempoh bidaannya menerusi JPJeBid adalah selama lima hari, dan bakal berakhir jam 10 malam pada 20 Januari ini. Seperti biasa, keputusan bidaannya akan dipaparkan pada keesokan harinya, 21 Januari 2022. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida boleh mengetahui sebarang perkhabaran atau keputusan menerusi e-mel.

    Selain nombor digit tunggal ‘VIP’, nombor yang bakal menjadi rebutan pastinya ‘8’ atau gabungan digit menarik termasuk ‘8055’, serta yang sinonim dengan model Mercedes-AMG seperti ’63’ dan ’45’ yang begitu popular.

    Bukan setakat itu sahaja, Mercedes juga ada mengeluarkan beberapa model AMG prestasi asas dengan siri ’35’ (A-Class, A-Class Sedan, GLB) dan ’43’ (C-Class, C-Class Coupe, GLC). Begitu juga dengan ’53’ bagi CLS dan GLE Coupe. Jika anda berminat mendapatkan siri plat nombor pendaftaran AMG ini, jangan lupa tarikh 16 Januari ini untuk mula membida. Untuk kos bidaan, tertakluk pada ketetapan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perak dan anda boleh mengetahuinya menerusi laman Facebook organisasi terbabit.

     
     
  • Proton sokong inisiatif k’jaan menerusi baucar RM1k untuk baikpulih kenderaan yang rosak akibat banjir

    Proton sokong inisiatif k’jaan menerusi baucar RM1k untuk baikpulih kenderaan yang rosak akibat banjir

    Proton telah menyatakan sokongannya terhadap inisiatif kerajaan menerusi pemberian Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir besar baru-baru ini. Baucar bernilai RM1,000 akan diterima oleh Proton sebagai pembayaran untuk baikpulih kenderaan yang rosak akibat banjir. Ia juga adalah sebahagian daripada program bantuan banjir yang telah diumumkan oleh Proton sebelum ini iaitu diskaun sebanyak 50% untuk alat ganti terpilih, 25% diskaun kos buruh serta perkhidmatan tunda kenderaan serta pembersihan luaran kenderaan secara percuma.

    “Dengan begitu ramai rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir baru-baru ini, sebarang bentuk bantuan yang diberikan adalah suatu pemberian yang tidak ternilai. Proton menyahut seruan untuk melangkah ke hadapan dan ingin mengumumkan bahawa kami menyokong penuh inisiatif baucar diskaun automotif kerajaan,” ujar kenyataan yang dikeluarkan oleh Proton.

    “Kerosakan yang disebabkan oleh banjir pada akhir tahun lalu tidak pernah berlaku sebelum ini dan beribu-ribu kenderaan pemilik Proton telah terjejas teruk. Sehingga kini, pusat servis kami telah menerima 1,023 kenderaan yang rosak akibat banjir dan kami menjangkakan lebih banyak lagi jumlahnya dalam beberapa minggu akan datang. Justeru, inisiatif menerusi bancar diskaun ini amat dihargai kerana ia dapat membantu pemilik kami untuk kembali ke jalan raya secepat mungkin,” ujar Timbalan CEO baharu Proton Roslan Abdullah.

    Bagi kenderaan yang diisytiharkan ‘total loss’, Proton juga akan menerima baucar RM1,000 untuk menjadi sebahagian daripada bayaran pendahuluan (downpayment) untuk pembelian kereta baharu, tertakluk pada terma dan syarat. Hubungi pusat servis rasmi berhampiran untuk maklumat lanjut.

    Proton sokong inisiatif k’jaan menerusi baucar RM1k untuk baikpulih kenderaan yang rosak akibat banjir

    Seperti yang diumumkan pada 30 Disember lalu, menerusi Kemudahan Bantuan Bencana di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang komprehensif, kerajaan telah mengumumkan inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia sehingga RM1,000 kepada warganegara yang layak adalah untuk pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian termasuk motosikal, trak pikap dan van bertingkap yang rosak akibat banjir.

    Inisiatif itu dilaksanakan menerusi usaha sama antara kerajaan dan 19 buah syarikat automotif yang mengambil bahagian. Di mana syarikat terbabit menawarkan diskaun sekurang-kurangnya diskaun 15% bagi kerja pembaikan serta kos tunda kenderaan secara percuma dan kerajaan akan menyediakan baucar diskaun sehingga RM1,000 yang sah sehingga 31 Mac 2022

    19 syarikat automotif terbabit termasuklah Perodua, Proton, UMW Toyota Motor, Tan Chong Motor, Honda Malaysia, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) dan Volvo Car Malaysia.

    Selain itu TC Euro Cars (Renault), Mercedes-Benz Malaysia, BMW Malaysia, Sime Darby Motor Group (untuk Ford, Hyundai dan lain-lain), Bermaz (Mazda, Peugeot dan KIA), TC Subaru, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd, Boon Siew Honda Sdn Bhd, MODENAS, Mofaz Motorsikal Sdn Bhd dan KMSB Motors Sdn Bhd (Suzuki) turut mengambil bahagian.

     
     
  • Mitsubishi Xpander 2022 — model facelift bakal dilancar di Thailand tidak lama lagi, CVT ganti 4AT

    Mitsubishi Xpander 2022 — model facelift bakal dilancar di Thailand tidak lama lagi, CVT ganti 4AT

    Mitsubishi Xpander facelift bakal diperkenalkan di Thailand dalam masa terdekat, beberapa bulan selepas MPV yang diperkemas itu ditunjuk di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2021. Menurut Headlightmag, Xpander baru itu akan dilancarkan pada Mac.

    Pembaharuan yang dilakukan terhadap MPV berkenaan termasuklah wajah depan Dynamic Shield baru dengan lampu posisi LED rekaan semula, lampu utama bentuk T yang lebih menarik (LED untuk varian lebih tinggi), pintu ruang belakang dengan rekaan baru lampu LED gabungan serta bampar belakang baru. Model paling lengkap datang dengan rim 17-inci aloi.

    Jika MPV ini nampak lebih seimbang penampilannya, itu adalah kerana Mitsubishi melakukan sedikit perubahan kepada profilnya. Overhang bahagian depan ditambahn 75 mm, sementara ruang belakang dipanjangkan sebanyak 45 mm. Ia lebih tinggi 20 mm, dengan jarak kelegaan tanah 225 mm, yang paling tinggi dalam kelasnya.

    Mitsubishi Xpander 2022 — model facelift bakal dilancar di Thailand tidak lama lagi, CVT ganti 4AT

    Dari sudut casis, Xpander baru ini menerima mounting strut depan yang ditinggikan, manakala penyerap hentak belakang diberikan silinder yang lebih besar. Injap penyerap hentak prestasi tinggi digunakan untuk semuanya, meningkatkan kualiti pemanduan.

    MPV tujuh-tempat duduk ini masih menggunakann enjin 4A91 1.5 liter empat-silinder petrol, menghasilkan 105 PS dan 141 Nm tork. Kali ini, CVT menggantikan kotak gear automatik empat-kelajuan, yang didakwa akan memberikan kecekapan bahan api lebih baik. Ini turut disumbangkan oleh sistem kitaran gas ekzos luaran (EGR).

    Ciri tambahan lain termasuk brek parkir elektronik dengan fungsi Auto Hold, paparan skrin sentuh lapan-inci (unit di Malaysia saiz sembilan inci), kawalan pendingin hawa zon tunggal dengan paparan digital serta roda stereng baru.

    Konsol tengah juga menerima rekaan baru untuk menempatkan ruang terbuka yang lebih luas, dengan ada penawaran datang bersama perehat lengan yang boleh menempatkan botol minuman 600 ml botol minuman. Kelengkapan lain termasuk USB Type A dan Type C yang terletak di belakang.

    Di Indonesia, Xpander baru ini ditawarkan dalam enam warna — Quartz Metallic Pearl, Graphite Grey Metallic, Jet Black Mica, Red Metallic, Deep Bronze Metallic, dan warna baru Blade Silver Metallic. Bila pula agaknya model ini sampai di sini?

     
     
  • BMW Malaysia, Tian Siang pasang stesen pengecas EV di Hotel Prestige dan Hotel Light di Pulau Pinang

    BMW Malaysia, Tian Siang pasang stesen pengecas EV di Hotel Prestige dan Hotel Light di Pulau Pinang

    BMW Group Malaysia dan Tian Siang Premium Auto telah menambah tiga lagi fasiliti BMW i Charging di Pulau Pinang, iaitu di Hotel Prestige di George Town dan Hotel Light di Seberang Jaya.

    “Kami telah bekerjasama rapat dengan pengedar rangkaian kami bagi memperkenalkan BMW i pada 2015 untuk memastikan infrastruktur pengecasan yang diperlukan disediakan untuk memacu mobiliti elektro di negara ini. Kami di BMW percaya dengan masa depan elektrifikasi, dan berkongsi tanggungjawab ini dengan semua pihak termasuk rakan pengedar kami seperti Tian Siang Premium Auto,” kata Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.

    Sementara itu, Tan Ka Kin dari Tian Siang Premium Auto pula berkata, “Sebanyak tiga fasiliti BMW i Charging baharu telah ditambah di Pulau Pinang. Sehingga kini, kami telah pun mempunyai 10 fasiliti sedia ada yang diperkenalkan sebelum ini di Ipoh dan Pulau Pinang. Kami juga akan terus mengembangkan lagi infrastruktur pengecasan di negeri-negeri ini, serta berharap dapat memperkukuhkan lagi keyakinan pengguna terhadap mobiliti elektrik yang dilihat berkembang secara progresif dalam beberapa tahun kebelakangan ini.”

    Stesen pengecasan tersebut menempatkan Wallbox dengan operasi tiga-fasa 11 kW dan Type 2. Sebelum ini, Tian Siang telah memasang fasiliti BMW i Charging di Ipoh (Hotel WEIL, Banjaran Hotsprings Retreat) dan Pulau Pinang (Gurney Paragon Mall dan Hotel Iconic).

     
     
  • Kia Carnival 2022 dilancar secara rasmi untuk Malaysia – satu varian 2.2D 11 tempat duduk, harga RM196,341

    Kia Carnival 2022 dilancar secara rasmi untuk Malaysia – satu varian 2.2D 11 tempat duduk, harga RM196,341

    Anda mungkin sudah nampak banyak laporan tentang Kia Carnival baru untuk pasaran Malaysia, tetapi inilah dia pengumuman rasmi dari Bermaz. MPV tersebut sudah pun dijual secara rasmi, dengan harga RM196,341 seperti yang diumumkan sebelum ini (atas jalan tanpa insuran, dan termasuk 50% pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2022). Jaminan yang diberi pula adalah selama lima tahun atau 100,000 km bersama servis penyelenggaraan percuma lima-tahun/100,000 km.

    Buat permulaan, model yang dibawa ke Malaysia adalah model CBU yang diimport dari Korea Selatan, sebelum ditawarkan sebagai model CKD apabila produksi model pemasangan tempatan berkenaan bermula bulan Mei nanti. Pasaran Malaysia juga hanya ditawarkan dengan satu varian tunggal iaitu 2.2D dengan 11-tempat duduk.

    Varian ini digerakkan oleh enjin 2.2 liter turbodiesel Smartstream yang mampu menghasilkan kuasa 199 hp (202 PS) pada takat 3,800 rpm dan tork maksima 441 Nm bermula 1,750 hingga 2,750 rpm. Kuasa dihantar kepada kotak gear automatik lapan-kelajuan bagi memacu roda hadapan.

    Kia Carnival 2022 dilancar secara rasmi untuk Malaysia – satu varian 2.2D 11 tempat duduk, harga RM196,341

    Antara kelengkapan standard yang diberikan pada Kia Carnival pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan projektor LED berkembar bersama lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, bersama lampu kombinasi belakang dan lampu kabus belakang yng masih mneggunakan mentol biasa.

    Ia juga diberikan perincian lain seperti lampu dan pengelap cermin automatik dan rim 18-inci jejari-Y bersama tayar 235/60R18. Carnival generasi baharu untuk pasaran Malaysia ini juga sudahpun menerima logo baharu Kia yang diletakkan pada bonet, pintu tailgate, penutup tengah rim dan juga pada beg udara roda stereng.

    Dalam kabin, ia menerima papan pemuka yang direka bersama konsol tengah tinggi, pemilih gear jenis tombol putar serta skrin sesentuh 12.3 inci untuk sistem infotainmen, dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Untuk panel instrumen, ia menggandingkan meter analog bersama paparan pelbagai info dengan skrin TFT-LCD 4.2 inci.

    Untuk konfigurasi tempat duduk, 11-kerusi berkenaan disusun dalam empat barisan iaitu 2-3-3-3. Baris kedua dan baris ketiga boleh dilipat dengan nisbah 40:20:20, dengan tempat duduk tengah untuk kedua-dua baris tersebut direka sebagai tempat duduk sementara yang boleh disimpan bagi memberikan ruang laluan untuk berjalan merentasi baris. Kerusi baris akhir adalah kerusi jenis bench yang boleh dilipat bagi memberikan lebih ruang kargo.

    Bagi aspek keselamatan, Kia Carnival 2022 pasaran Malaysia ini dilengkapkan dengan enam beg udara, kawalan stabiliti, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix pada baris kedua, penderia parkir hadapan dan belakang, kamera pemantau 360-darjah, pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang. Walaubagaimanapun, model ini tidak diberikan sebarang sistem bantuan pemandu seperti brek kecemasan automatik (AEB) atau Adaptive Cruise Control.

    Kelengkapan lain yang turut diberi adalah sistem kemasukan tanpa kunci bersama butang penghidup enjin, kawalan pendingin hawa tiga zon, tempat duduk hadapan larasan kuasa, balutan kulit tiruan Saddle Brown, pengecas telefon pintar Qi tanpa wayar, enam pembesar suara, sistem kamera 360 darjah serta pintu gelangsar dan pintu but bukaan kuasa tanpa sentuhan. Enam warna badan ditawarkan untuk Kia Carnival ini iaitu Snow White Pearl, Silky Silver, Aurora Black Pearl, Panthera Metal, Astra Blue dan Flare Red.

     
     
  • Volvo V60 Recharge T8 Inscription 2022 kini di bilik pameran di Malaysia – RM286,907, 407 hp/640 Nm

    Volvo V60 Recharge T8 Inscription 2022 kini di bilik pameran di Malaysia – RM286,907, 407 hp/640 Nm

    Selepas Volvo Cars Malaysia (VCM) meletakkan harga untuk Volvo V60 Recharge T8 Inscription dilaman sesawang rasmi mereka tempoh hari, sekarang wagon kacak berkenaan sudah pun berada di bilik pameran. Tak sempat pergi tengok? Mari kami belanja anda galeri penuh model berkenaan.

    V60 ini tiba di Malaysia dua tahun lewat berbanding kembar sedannya iaitu S60. Namun berita baiknya, ia juga dihasilkan sebagai model pemasangan tempatan (CKD) di fasiliti Volvo di Shah Alam. Ini membolehkan ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM286,907, bersama pengecualian sepenuhnya cukai jualan. Jadi berbanding S60 Recharge T8, model ‘bumbung panjang’ V60 Recharge T8 ini dijual pada harga hanya RM4,000 lebih mahal.

    Sama seperti model-model terkini Volvo, model ini turut menerima waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan, bersama waranti untuk bateri hibrid selama lapan-tahun atau 160,000 km yang mana sampai dulu. Model V60 pasaran Malaysia ini kemasan mewah Inscription, berbanding kemasan lebih sporty R-Design untuk versi kembar sedannya S60.

    Volvo V60 Recharge T8 Inscription 2022 kini di bilik pameran di Malaysia – RM286,907, 407 hp/640 Nm

    Seperti biasa, model wagon ini sudah pasti memberikan praktikaliti dan juga ruang kargo belakang yang lebih besar berbanding sedan. Untuk itu, V60 ini hadir dengan ruang but belakang berkapasiti 529 liter, berbanding hanya 442 liter untuk model sedan. Tempat duduk belakang turut boleh dilipat dengan nisbah 60:40 bagi memberikan ruang kargo keseluruhan 1,441 liter. But belakang model ini turut dilengkapi dengan pemegang barang runcit.

    Dengan kemasan Inscription, V60 pasaran Malaysia ini diberikan rupa lebih elegen berbanding S60 R-Design dengan gaya lebih garang. Oleh itu, ia menampilkan bampar hadapan dengan kemasan aliran udara lebih kecil, lebih banyak kemasan-kemasan krom serta rim aloi 19-inci lima jejari berkembar yang berlainan rekaan.

    Manakala pada bahagian dalaman, kabin V60 Inscription diberikan kemasan-kemasan Driftwood dan Linear Lime, berbanding kemasan-kemasan aloi pada S60 R-Design. Pembeli wagon ini turut ditawarkan dengan pilihan upholsteri kulit sama ada dalam warna Maroon Brown atau Charcoal.

    Volvo V60 Recharge T8 Inscription 2022 kini di bilik pameran di Malaysia – RM286,907, 407 hp/640 Nm

    Model V60 pasaran Malaysia ini juga masih diberikan sistem infotainmen Sensus dengan skrin 9.7-inci yang diposisikan secara potret. Ia bukan sistem terkini yang dihasilkan berdasarkan sistem android, namun kelebihannya ia masih mampu menyokong hubungan Apple CarPlay dan Android Auto yang tidak ditawarkan untuk sistem baharu tersebut.

    Kelengkapan lain yang turut dipadankan termasuk lampu hadapan LED adaptif,rel bumbung berwarna perak, sistem kemasukan tanpa kunci dengan penghidup enjin menggunakan suis tombol putar, sistem pendingin hawa automatik dua zon, bumbung panaromik, tempat duduk hadapan kawalan elektrik dengan fungsi memori, tombol gear kristal Orrefors, paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, kamera 360-darjah, Park Assist serta sistem bunyi Harmann Kardonn 600-watt bersama 16-pembesar suara.

    Dengan lencana Recharge T8, V60 ini menerima unit rangkaian kuasa gandingan enjin Drive-E 2.0 liter yang disuap pengecas turbo dan supercharger berkuasa 320 hp/400 Nm, bersama motor stater/generator bersepadu dengan aci engkol serta kotak gear automatik Aisin lapan kelajuan bagi memacu roda hadapan, dan juga motor elektrik berkuasa 87 hp/240 Nm pada gandar belakang.

    Ia bukan sahaja menjadikan V60 tersebut sebuah model pacuan semua roda, malah dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 407 hp pada takat 5,700 rpm dan tork maksima 640 Nm bermula 1,200 hingga 5,400 rpm.

    Untuk keselamatan, semua sistem bantuan pemanduan termaju Volvo pada S60 turut dibekalkan pada V60 ini. Ia termasuk sistem Pilot Assist dengan kebolehan pemanduan separa-autonomi Tahap 2, yang menggandingkan sistem cruise control adaptif dan juga bantuan pengekal tengah lorong.

    Ia juga menerima brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwan besar, bantuan stereng untuk mengelak, pengelak pelanggaran belakang, bantuan kekal lorong, pengelak keluar jalan raya, pengelak masuk laluan bertentangan, pemantau titik buta serta amaran lintasan trafik belakang bersama brek automatik.