Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Toyota Corolla Cross Hybrid 2022 pasaran M’sia – spesifikasi didedahkan; CKD, 122 PS, lebih pantas

    Toyota Corolla Cross Hybrid 2022 pasaran M’sia – spesifikasi didedahkan; CKD, 122 PS, lebih pantas

    Selepas tempahannya dibuka pada Oktober lalu, hari ini UMW Toyota telah mendedahkan secara rasmi Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid, iaitu versi lebih mesra alam berbanding Corolla Cross 1.8V dan 1.8G dengan enjin petrol sepenuhnya yang telahpun berada dalam pasaran Malaysia.

    Walau bagaimanapun, harga rasmi bagi model ini masih lagi belum diumumkan kerana pelancaran rasminya hanya akan dibuat pada 9 malam, 14 Januari nanti. Namun ketika pengumuman tempahannya yang dibuka pada tahun lalu, Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid ini diberikan harga anggaran atas jalan tanpa insuran RM137,000.

    Model 1.8 Hybrid ini akan terus dipasarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) yang diproduksi di kilang UMWT Bukit Raja, Shah Alam. Ia akan dihasilkan sekali dengan varian petrol 1.8V dan 1.8G yang sebelum ini diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand. Secara tidak langsung, Corolla Cross merupakan model pertama Toyota yang diasaskan dari platform baharu Toyota New Global Architecture (TNGA) yang dipasang di Malaysia.

    Seperti juga model pasaran Thailand, Corolla Cross Hybrid pasaran Malaysia ini menerima rangkaian kuasa hibrid elektrik Toyota generasi keempat. Ia terdiri dari enjin kitaran Atkinson 2ZR-FXE 1.8 liter empat silinder berkuasa 98 PS pada takat 5,200 rpm dan tork maksima 142 Nm pada takat 3,600 rpm, bersama motor elektrik berkuasa 72 PS dan tork maksima 163 Nm yang dijana oleh bateri nikel logam hidrat berkapasti 6.5 Ah.

    Toyota Corolla Cross Hybrid 2022 pasaran M’sia – spesifikasi didedahkan; CKD, 122 PS, lebih pantas

    Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan kuasa gabungan 122 PS bagi memacu roda hadapan menerusi kotak gear automatik E-CVT, tanpa menampilkan kelajuan maya yang ditampilkan pada model petrol penuh. Menurut Toyota, secara keseluruhan Corolla Cross Hybrid ini mampu mencapai penggunaan bahan api 23.3 km/l.

    Unit rangkaian kuasa ini menyediakan tiga mod pemanduan iaitu mod Eco yang memberikan penggunaan bahan api paling efisien, mod Sport untuk pemanduan lebih agresif serta mod EV yang memberikan pemanduan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dengan enjin petrol dimatikan terus.

    Bateri untuk sistem hibrid pada Corolla Cross ini ditempatkan di bawah tempat duduk belakang, membolehkan ia mengekalkan ruang kapasiti but belakang. Tidak seperti pengeluar lain yang hanya menawarkan waranti hanya untuk bateri, Toyota memberikan perlindungan waranti untuk keseluruhan sistem hibrid berkenaan (termasuk inverter dan juga unit pengurusan kawalan kuasa) selama lapan-tahun tanpa had perbatuan.

    Pembeli juga boleh memanjangkan perlindungan waranti tersebut dua tahun lebih lama (10-tahun secara keseluruhan) dengan bayaran tambahan RM2,950.

    Toyota Corolla Cross Hybrid 2022 pasaran M’sia – spesifikasi didedahkan; CKD, 122 PS, lebih pantas

    Menurut UMWT lagi, mereka kini yakin dengan ketahanan sistem hibrid terkini Toyota berkenaan dengan memetik kajian lapangan di Singapura, yang membuat penilaian terhadap unit-unit Toyota Prius yang digunakan untuk perkhidmatan Grab. Sejak diperkenalkan pada 2016, tiada langsung kerosakan sistem tersebut dilaporkan sehingga kini, dengan sebahagiannya telah mencatatkan perbatuan lebih 150,000 km dalam tempoh enam tahun.

    UMWT turut menyatakan bahawa kabin model 1.8 Hybrid ini adalah lebih enam desibel lebih senyap berbanding versi petrol penuh ketika ia memecut sepenuhnya, serta empat (hadapan) dan tujuh (belakang) desibel lebih senyap ketika bergerak dengan halaju malar 60 km/j.

    Malah prestasi untuk versi hibrid ini juga lebih baik dari versi petrol kerana model 1.8 Hybrid ini mampu memecut dari 0-50 km/j 2.1 saat lebih pantas; 0-80 km/j 1.7 saat lebih pantas; 0-100 km/j 0.9 saat lebih pantas berbanding Corolla Cross 1.8G dan 1.8V.

    Bagi membezakan penampilan luaran antara versi Hybrid ini dengan model-model petrol penuh, ia menerima lampu hadapan Bi-LED dengan serlahan biru. Fungsi lampu follow-me-home masih diberikan, bersama lampu nyalaan siang dan fungsi larasan manual seperti pada model-model petrol penuh. Model Hybrid ini juga diberikan rim aloi 18-inci yang sama seperti model 1.8V.

    Toyota Corolla Cross Hybrid 2022 pasaran M’sia – spesifikasi didedahkan; CKD, 122 PS, lebih pantas

    Ia juga menerima perincian standard sama seperti kedua-dua varian petrol termasuk lampu kabus LED hadapan dan belakang, pengelap cermin automatik, cermin hadapan akustik, lampu belakang LED, cermin sisi elektrik (auto-lipat, larasan automatik ketika undur), dilengkapi rel bumbung yang boleh menampung beban sebanyak 70 kg serta penderia kaki untuk membuka pintu tailgate belakang.

    Model CKD ini juga menyaksikan tayar Michelin Primacy 4 yang dipadankan pada model CBU sebelumnya digantikan dengan tayar Toyo Proxes CR1 yang didakwa memberikan penggunaan bahan api serta keselesaan yang lebih baik. Model kumpulan pertama CKD ini hanya akan diberikan port USB-A dibelakang, dan ia akan digantikan dengan port USB-C bermula Februari nanti.

    Corolla Cross Hybrid ini menerima kelengkapan dalaman yang lebih baik berbanding varian-varian petrol penuh. Ia diberikan skrin pelbagai info berwarna TFT yang lebih besar bersaiz 7-inci (4.2-inci pada 1.8V dan G) pada panel instrumen, cermin pandang belakang elektrokromik dan sistem pendingin hawa automatik dua zon (zon tunggal untuk varian lain).

    Model ini juga berkongsi perincian dengan model tertinggi petrol 1.8G seperti roda stereng pelbagai fungsi dengan butang kawalan sistem bantuan pemanduan, serta sistem pencahayaan pada pintu hadapan, pemegang cawan dan tray tengah.

    Perincian dalaman lain adalah standard untuk ketiga-tiga varian Corolla Cross pasaran Malaysia termasuk tempat duduk upholsteri kulit hitam dengan fungsi larasan kuasa lapan-hala bagi sebelah pemandu serta fungsi lipat nisbah 60:40 dengan larasan rebah kebelakang satu langkah untuk tempat duduk belakang.

    Sistem infotainmen juga adalah seragam untuk semua varian SUV segmen-B ini, yang terdiri dari skrin sesentuh kapasitif Display Audio sembilan-inci yang menyokong hubungan Apple CarPlay, Android Auto, Miracast, USB dan Bluetooth, serta menerima enam pembesar suara.

    Varian Hybrid bagi Corolla Cross pasaran Malaysia ini masih tidak menampilkan brek parkir elektronik, dan dia masih menggunakan brek parkir manual menggunakan pedal kaki seperti model petrol. Namun ia diberikan karpet kaki serlahan biru bagi menandakan ia adalah varian lebih mesra alam.

    Seperti model juga model petrol 1.8V, model Hybrid ini diberikan sistem bantuan pemanduan keselamatan Toyota Safety Sense. Ia terdiri dari fungsi seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng, cruise control adaptif/Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC), Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

    Klik untuk besarkan

    Selain itu ia turut menerima sistem bantuan pemanduan asas yang turut terdapat pada model asas 1.8G termasuk Pemantau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) serta Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS). Kelengkapan keselamatan standard lain yang turut dibekalkan termasuk tujuh-beg udara, cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofix di belakang serta penderia parkir hadapan dan belakang.

    Sistem kamera perakam digital (DVR atau dashcam) untuk bahagian hadapan adalah standard untuk kesemua varian. Namun untuk mereka yang mahukan unit perakam sebelah belakang, ia turut ditawarkan sebagai ciri opsyen. UMW Toyota turut menawarkan fungsi pengecas telefon pintar tanpa wayar untuk semua varian Corolla Cross, juga dengan bayaran tambahan.

    Ketiga-tiga varian Corolla Cross pasaran Malaysia ini juga diberikan sistem telematik kenderaan (VTS) secara standard. Ia adalah sistem yang mampu untuk menjejaki kedudukan kenderaan menggunakan isyarat GSM/GPS. Sekiranya kereta dicuri, pusat panggilan 24/7 akan dapat mengesannya dengan segera dan memaklumkan pihak berkuasa untuk tindakan pantas. Ciri ini ditawarkan dengan langganan percuma selama tiga tahun.

    Lima warna badan ditawarkan untuk model 1.8 Hybrid ini termasuk Red Mica Metallic, Nebula Blue Metallic, Platinum White Pearl, Silver Metallic serta warna eksklusif Celestite Grey Metallic. Setipa pembelian model ini datang sekali dengan waranti pengeluar selama lima-tahun.

    GALERI: Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid 2022 pasaran Malaysia

    GALERI:Brosur Toyota Corolla Cross Hybrid pasaran Malaysia

     
     
  • DBKL dan Miros bekerjasama memperkenalkan had laju 30 km/j, 50 km/j di zon terpilih di sekitar ibu kota

    DBKL dan Miros bekerjasama memperkenalkan had laju 30 km/j, 50 km/j di zon terpilih di sekitar ibu kota

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sedang berusaha untuk memperkenalkan had laju 30 km/j dan 50 km/j di zon terpilih di sekitar ibu kota Kuala Lumpur tidak lama lagi. Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Lembaga Pengarah MIROS, Datuk Suret Singh, melalui Twitternya baru-baru ini.

    Katanya, kerjasama antara kedua-dua pihak terbabit melibatkan dalam mengenalpasti jalan raya di mana had laju tersebut boleh diperkenalkan sebagai langkah keselamatan. Selain itu, ia juga melibatkan perkongsian data kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kesalahan trafik, laporan Berita Harian.

    Sebelum ini, MIROS mencadangkan had laju standard 30 km/j untuk kawasan bandar, desa dan kediaman sebagai sebahagian daripada Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2021-2030. Cadangan had laju 30 km/j di kawasan-kawasan seperti dinyatakan itu adalah juga sebahagian daripada kempen “Street for Life” di bawah Minggu Keselamatan Jalanraya Global PBB ke-6 (UNGRSW), yang menyasarkan untuk pemberdayaan komuniti di Asia Tenggara untuk melaksanakan had 30 km/j di kawasan yang menyaksikan pejalan kaki bercampur dengan trafik.

    Menurut Ketua Pengarah MIROS, Khairil Anwar Abu Kassim, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berwajib lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan untuk tujuan tersebut.

     
     
  • Baucar Diskaun Automotif Keluarga M’sia bagi mangsa banjir – tebus baucar RM1k di pusat servis terpilih

    Baucar Diskaun Automotif Keluarga M’sia bagi mangsa banjir – tebus baucar RM1k di pusat servis terpilih

    Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kerajaan turut menyediakan inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia kepada rakyat terjejas akibat banjir. Ia adalah sebahagian daripada Kemudahan Bantuan Bencana di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang komprehensif.

    Jelas beliau, inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia sehingga RM1,000 kepada warganegara yang layak adalah untuk pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian termasuk motosikal, trak pikap dan van bertingkap yang rosak akibat banjir.

    Katanya, inisiatif itu dilaksanakan menerusi usaha sama antara kerajaan dan syarikat automotif di mana syarikat terbabit menawarkan diskaun sekurang-kurangnya diskaun 15% bagi kerja pembaikan serta kos tunda kenderaan secara percuma dan kerajaan akan menyediakan baucar diskaun sehingga RM1,000 yang sah sehingga 31 Mac 2022, laporan Malaymail.

    “Bagi memanfaatkan baucar diskaun itu, pemilik kenderaan yang rosak akibat banjir, tidak perlu membuat sebarang permohonan, selain boleh menebus baucar berkenaan di pusat servis atau pengedar sah syarikat automotif yang terbabit.

    Baucar Diskaun Automotif Keluarga M’sia bagi mangsa banjir – tebus baucar RM1k di pusat servis terpilih

    “Pengurangan kos pembaikan dinikmati secara potongan terus daripada kos keseluruhan pembaikan atau kos penggantian kenderaan baharu melalui invois yang akan dikeluarkan oleh pusat servis dan pengedar sah. Baucar ini sah digunakan sehingga 31 Mac ini dan pengguna dinasihatkan untuk segera membuat tuntutan dari pusat servis/pengedar sah yang berdaftar bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya.

    Tambah beliau lagi, setakat ini sebanyak 19 syarikat automotif dengan rangkaian lebih daripada 1,000 pusat servis berdaftar di seluruh negara, telah bersetuju untuk menyertai inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia. Walau bagaimana pun, senarai syarikat yang terbabit bersama dengan pendaftaran pusat servis sah serta bengkel, terutama untuk motosikal akan dikemaskini sepanjang tempoh pelaksanaan.

    19 syarikat automotif yang turut mengumumkan program bantuan baikpulih kenderaan dengan kadar diskaun sekurang-kurangnya 15% adalah termasuk Perodua, Proton, UMW Toyota Motor, Tan Chong Motor, Honda Malaysia, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) dan Volvo Car Malaysia.

    Selain itu TC Euro Cars (Renault), Mercedes-Benz Malaysia, BMW Malaysia, Sime Darby Motor Group (untuk Ford, Hyundai dan lain-lain), Bermaz (Mazda, Peugeot dan KIA), TC Subaru, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd, Boon Siew Honda Sdn Bhd, MODENAS, Mofaz Motorsikal Sdn Bhd dan KMSB Motors Sdn Bhd (Suzuki) turut mengambil bahagian.

     
     
  • VIDEO: Isuzu D-Max 3.0L X-Terrain 4×4 AT — mampu tandingi saingan segmen trak pikap gaya hidup?

    Isuzu tak mahu ketinggalan dalam perlumbaan penawaran segmen trak pikap yang mensasarkan penggunaan lebih kepada gaya hidup berbanding sebagai jentera kerja belasahan. Ini dapat dilihat pada varian D-Max 3.0L X-Terrain 4×4 AT yang ada dalam pasaran ketika ini.

    Rekaannya kini kurang berpetak-petak dan lebih menarik, enjin jimat dengan penambahbaikan, ruang kabin ala SUV, kelengkapan keselamatan ADAS lengkap yang mengkagumkan — semua ini menjadi kelebihannya. Tetapi, pesaing lain juga ada yang menggunakan pendekatan yang sama. Bagaimana D-Max X-Terrain ini berbeza daripada pesaing lain?

    Itu yang kami soroti dalam video kali ini. Adakah ia mampu menjadi pilihan bagi segmennya? Atau, adakah harga yang diletak itu terlalu tinggi berbanding apa yang diberikan dari segi spesifikasi? Hanya ada satu perkara yang sudah terbukti bila bercakap tentang D-Max; ia memang lasak dan tahan lama, boleh digunakan tanpa banyak soal, untuk tujuan apa sekali pun, asalkan masuk akal!

     
     
  • myTukar AutoFair 2022 hujung minggu ini – lebih 1,000 kenderaan terpakai, pelbagai tawaran, hadiah menarik

    myTukar AutoFair 2022 hujung minggu ini – lebih 1,000 kenderaan terpakai, pelbagai tawaran, hadiah menarik

    Acara myTukar AutoFair 2022 telah pun bermula hari ni di myTukar Retail Experience Centre, Puchong Selatan dan akan berlangsung sehingga 9 Januari ini (Ahad). Acara ini dikatakan sebagai acara jualan kenderaan terpakai terbesar di Malaysia, dengan melibatkan lebih 1,000 buah kenderaan pelbagai jenama dari kategori bajet, hinggalah premium.

    Semasa tinjauan ke acara itu, kami dapati penganjur telah mengambil inisiatif mengasingkan kenderaan mengikut negara pengeluar seperti Jepun, Eropah dan Korea, menjadikan pengunjung lebih mudah untuk mencari kenderaan yang dimahukan.

    Selain model yang sudah sememangnya popular, kami juga menjumpai beberapa model yang boleh menarik perhatian kaki kereta seperti Honda S660 dan Subaru BRZ, dan kedua-duanya datang dengan transmisi manual! Berhampiran dengannya pula terdapat model Lexus RC coupe dan Bentley Continental GT.

    Kereta lain yang menarik perhatian kami adalah Proton Iriz berwarna hijau yang telah direndahkan dan menggunakan transmisi manual, serta Perodua Myvi facelift 2015 dengan nombor pendaftaran TU 51. Bagi yang mencari kereta hatchback kompak selain jenama Proton dan Perodua, ada juga beberapa Kia Picanto yang kami temui di kawasan pameran.

    Cabang perniagaan kenderaan terpakai di bawah Sime Darby Motors (SDM), iaitu Sime Darby Auto Selection (SDAS) turut menyertai acara ini, dengan membawa bukan sahaja model jenama BMW (melalui Auto Bavaria), Hyundai, Jaguar, Land Rover dan Ford, tetapi juga beberapa jenama lain.

    Setiap kenderaan yang dibeli waktu acara yang berlangsung sehingga 9 Januari ini akan datang dengan lanjutan tempoh jaminan setahun dan juga servis setahun percuma; ini jarang ditawarkan untuk kenderaan terpakai sebelum ini. Dan, jika merasakan kereta itu tidak sesuai dengan anda selepas pembelian, ada jaminan untuk anda pulangkannya dalam tempoh lima hari untuk mendapatkan semula wang, tanpa sebarang pertanyaan.

    myTukar AutoFair 2022 hujung minggu ini – lebih 1,000 kenderaan terpakai, pelbagai tawaran, hadiah menarik

    Tawaran istimewa lain turut diberikan kepada pembeli kereta, seperti kadar faedah pinjaman serendah 1.68%, kelulusan pinjaman dan serahan kenderaan pada hari yang sama* serta pengalas kaki Trapo untuk setiap pembelian kereta.

    Ia tidak berhenti di situ sahaja. Anda juga berpeluang memenangi hadiah menarik melalui promosi myTukar Lucky Spin Promo. Ada enam hadiah disediakan untuk pemenang, termasuk Apple iPad generasi kesembilan, pulangan tunai RM888, filem penapis haba Raytech bernilai RM1,000, lanjutan waranti tambahan selama setahun, kad minyak bernilai RM500 atau baucar Trapo bernilai RM500.

    Jika itu masih belum cukup, anda juga mempunyai peluang untuk memenangi sebuah Proton X70 Premium bernilai RM100,000 melalui peraduan Ulang Tahun ke-4 myTukar, yang boleh disertai dengan membeli kenderaan sewaktu acara tersebut. myTukar juga menyediakan tawaran trade-in di lokasi dengan nilai maksimum untuk kenderaan semasa anda ketika acara berlangsung, sekaligus menjadikan urusan lebih mudah.

    Tahap keselamatan yang tinggi akan dipraktikkan sewaktu acara berlangsung – prosedur pencegahan Covid-19 yang ketat akan dipastikan, termasuk kaedah bayaran tanpa sentuhan dan penggunaan pelitup muka sepenuh masa, vaksinasi penuh dan jaga jarak fizikal.

    Maklumat lanjut tentang acara ini boleh didapati di laman rasmi myTukar, atau layari inventori di sini untuk mencari kereta yang anda inginkan. Jumpa di sana!

    myTukar Retail Experience Centre – Puchong Selatan
    Lot 14225, KM 3.8,
    Lebuhraya Damansara-Puchong
    47100 Puchong, Selangor, Malaysia.

     
     
  • VCM siar teaser Volvo V60 – wagon Recharge T8 PHEV ini akan dilancarkan di Malaysia, CKD tak lama lagi?

    VCM siar teaser Volvo V60 – wagon Recharge T8 PHEV ini akan dilancarkan di Malaysia, CKD tak lama lagi?

    Volvo Car Malaysia (VCM) telahpun menyiarkan imej kembar wagon untuk model sedan Volvo S60, iaitu Volvo V60 di laman-laman sosial mereka, dipercayai sebagai teaser sebelum ia dilancarkan secara rasmi di sini. Model tersebut telah pun didedahkan diperingkat global pada Februari 2018, dan kemudian pernah dilihat beberapa kali dipandu di atas jalan raya Malaysia pada 2019, tetapi ia masih belum dilancarkan di sini sehingga sekarang.

    Menerusi teaser yang disiarkan tersebut, Malaysia mungkin akan menerima V60 dengan spesifikasi yang sama seperti S60, iaitu model dengan unit janakuasa plug-in hybrid (PHEV) T8 yang kini dijenamakan sebagai Recharged, dan dihasilkan dalam versi pemasangan tempatan.

    Ini adalah kerana Thailand telah pun menerima pasangan V60 dan S60 ini dalam varian Recharge T8, yang diimport dari kilang Volvo di Malaysia yang terletak di Shah Alam. Malah imej V60 yang dilihat sedang dicaj semula dalam gambar teaser berkenaan menguatkan lagi jangkaan ini.

    Bagi pasaran Thailand, Volvo V60 Recharge berkenaan menerima unit rangkaian kuasa gandingan enjin Drive-E 2.0 liter yang disuap pengecas turbo dan supercharger berkuasa 320 hp/400 Nm, bersama motor stater/generator bersepadu dengan aci engkol serta kotak gear automatik Aisin lapan kelajuan bagi memacu roda hadapan, dan juga motor elektrik berkuasa 87 hp/240 Nm pada gandar belakang.

    VCM siar teaser Volvo V60 – wagon Recharge T8 PHEV ini akan dilancarkan di Malaysia, CKD tak lama lagi?

    Ia bukan sahaja menjadikan V60 tersebut sebuah model pacuan semua roda, malah dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 407 hp/640 Nm. Ini membolehkan wagon tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 180 km/j yang dihadkan oleh Volvo sebagai inisiatif mereka bagi mengurangkan kemalangan maut.

    Bagaimana dengan harga? Buat masa sekarang, kembar sedannya iaitu S60 Recharge T8 R-Design CKD dijual di Malaysia dengan harga atas jalan tanpa insuran RM282,540, termasuk pengecualian sepenuhnnya cukai jualan. Di Thailand pula, V60 ini dijual pada harga bermula 2.29 juta baht (RM286,185), manakala versi sedan S60 dijual lebih murah dengan harga bermula 2.19 juta baht (RM273,688).

    Oleh itu, kita mungkin boleh jangkakan bahawa V60 ini akan dijual lebih mahal berbanding S60 pasaran Malaysia. Peminat-peminat model ‘bumbung panjang’ diluar sana macam mana? Teruja dengan berita ini?

     
     
  • MForce dilantik jadi pengedar Moto Morini di Malaysia

    MForce dilantik jadi pengedar Moto Morini di Malaysia

    Selepas Benelli, SYM, Keeway, SM Sport, WMoto, Brixton dan Niu, MForce Bike Holdings kini menambah satu lagi jenama di bawah pengurusannya apabila dilantik menjadi pengedar rasmi untuk Moto Morini di Malaysia.

    Moto Morini adalah pengeluar motosikal yang berpusat di Itali dan sudah wujud sejak tahun 1937, tetapi kini berada di bawah Zhongneng Vehicle Group dari China. Antara produk yang ditawarkan sekarang adalah X-Cape 650 (adventure-tourer), Corsaro ZZ dan ZT 1200 (naked).

    Selain daripada itu, Moto Morini juga menyediakan pilihan motosikal klasik moden seperti Milano, Super dan Scrambler, manakala dua lagi model iaitu Seimezzo SCR dan STR diberitahu akan diperkenalkan kepada pasaran tidak lama lagi.

    Untuk pasaran Malaysia, MForce bercadang melancarkan Moto Morini X-Cape 650 pada separuh kedua tahun 2022, melalui semua pengedar mereka di seluruh Malaysia. Pada tahun 2021, MForce telah mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 25% berbanding tahun 2020 dan diberitahu akan terus meningkatkan kualiti produk serta servis selepas jualan.

    GALERI: Moto Morini Seimmezzo STR/SCR

    GALERI: Moto Morini X-Cape

    GALERI: Moto Morini Corsaro ZZ

    GALERI: Moto Morini Milano

     
     
  • Toyota GR86 X Initial D FasterClass – tampil Fujiwara Takumi dan Keiichi Tsuchiya dalam bentuk anime!

    Toyota GR86 X Initial D FasterClass – tampil Fujiwara Takumi dan Keiichi Tsuchiya dalam bentuk anime!

    Kalau anda peminat siri anime Initial D, anda pasti ingat babak di mana pelumba lagenda Jepun, “Drift King” Keiichi Tsuchiya melakukan cameo dengan membuat panggilan telefon kepada Bunta Fujiwara, iaitu ayah kepada wata utama Takumi Fujiwara bukan?

    Babak berkenaan dibuat hanya dengan menampilkan suara Tsuchiya yang sedang bercakap di telefon, bersama illustrasi jentera Nissan Skyline GT-R R32 Group A yang pernah di pandunya dalam kejohanan Touring Car Jepun bersama topi keledar ikonik beliau yang berwarna hijau.

    Namun kali ini, Tsuchiya benar-benar muncul dalam bentuk watak animasi Initial D, tetapi bukan dalam episod baharu anime yang telahpun tamat pada tahun 2014 berkenaan, sebaliknya dalam siri video FasterClass GR86 X Initial D yang disiarkan oleh Toyota USA sebagai salah satu kempen promosi untuk Toyota GR86.

    Menurut Toyota USA, FasterClass adalah “tempat di mana pakar jalan raya melakukan kepakaran mereka di tempat duduk pemandu.” Video pertama dalam siri GR86 X FasterClass ini menunjukkan bagaimana Fujiwara Takumi yang sedang memandu Toyota AE86 ‘Panda Trueno’ GT Apex miliknya dicabar oleh sebuah Toyota GR86 yang dipandu seorang perekrut FasterClass misteri.

    Tanpa disangka, Takumi tewas dalam battle berkenaan, dan terdedah bahawa perekrut tersebut sebenarnya adalah Keiichi Tsuchiya yang muncul dalam watak anime. “Panggil saya guru. Selamat datang ke FasterClass.” Kata Keiichi Tsuchiya kepada Takumi Fujiwara pada akhir video berkenaan.

    Selain dari siri video GR86 X Initial D ini, kempen berkenaan turut menampilkan satu siri video FasterClass yang lebih dekat dengan dunia sukan permotoran sebenar di Amerika Syarikat. Siri video tersebut menampilkan pemilik pasukan Papadakis Racing (pasukan yang berlumba dalam siri Formula D Amerika Syarikat) iaitu Stephan Papadakis sebagai “profesor” yang ingin mengetahui “apa yang boleh dilakukan oleh GR86” dan sudah tiba “masa untuk menguasai pemanduan”.

    Siri video ini turut dibintangi oleh empat orang pemandu Formula D iaitu juara dunia dua kali dan pemandu Papadakis Racing sendiri iaitu Fredric Aasbo, pemandu paling muda pernah dibertanding dalam Formula D iaitu Ken Gushi, Ryan Tuerck dan juga Hunter Taylor. Siri video tersebut tidak kurang hebatnya dengan menampilkan pelbagai aksi termasuk pelbagai gerakan drift, j-turn dan sebagainya.






     
     
  • PANDU UJI: Hyundai Kona 1.6L N Line Turbo — mampu jadi alternatif popular dalam segmennya?

    PANDU UJI: Hyundai Kona 1.6L N Line Turbo — mampu jadi alternatif popular dalam segmennya?

    Barisan kenderaan terbaru Hyundai, termasuk seperti yang dapat kita lihat ditawarkan di Malaysia ketika ini, dari banyak segi memisahkan jenama itu dari imej lama yang pernah ditampilkan sebelum ini. Perhatikan saja model-model seperti Elantra dan Sonata misalnya, yang sama sekali berbeza daripada rekaan model generasi sebelumnya. Dan, dalam beberapa model terkini yang ada itu — jangan lupa di sini juga ada i30 dan MPV mewah Staria yang baru saja dilancarkan — SUV kompak atau crossover Kona mungkin mempunyai pakej penampilan yang paling menarik dan lebih mudah dijangkau oleh pembeli.

    Sekurang-kurangnya dari segi rupa, Hyundai kini lebih cenderung menghasilkan rekaan yang sangat segar, dengan pendekatan yang terarah kepada sentuhan dan selera yang lebih dekat dengan Eropah berbanding Korea. Ini tentunya dengan mudah boleh difahami; syarikat ini ingin menjadi pemain global, justeru perlu meletakkan nilai dan estetikanya di tahap tertinggi untuk diterima secara meluas. Peralihan ini dapat kita lihat dengan jelas; model-model akan datang Hyundai semuanya mengambil jalan yang sama.

    Dan ini jugalah yang menjadikan Kona sangat berbeza. Untuk pasaran Malaysia, terdapat beberapa versi Kona yang sudah diperkenalkan. Ketika dilancarkan secara rasmi pada penghujung Oktober 2020, ia didatangkan dalam versi dengan enjin 2.0L dan juga 1.6L Turbo CBU. Tak lama selepas itu, pada April 2021, Kona facelift 2.0L pula diperkenalkan, dengan menampilkan beberapa penambahbaikan. Kemudian pada Julai 2021, versi yang sedang anda lihat ini, Kona N Line dan Kona 1.6L Turbo facelift pula menjengah pasaran di sini.

    Baca lanjut di sini

     
     
  • VIDEO: PDRM utamakan VVIP berbanding ambulans?

    VIDEO: PDRM utamakan VVIP berbanding ambulans?

    Seperti yang kita ketahui baru-baru ini, tular satu video di media sosial yang memperlihatkan pasukan pengiring Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menghentikan pergerakan sebuah ambulans di satu persimpangan bagi memberikan laluan kepada konvoi yang membawa Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

    Kejadian tersebut berlaku pada 26 Disember 2021, semasa rombongan PM dalam perjalanan bagi melihat sendiri kerja­ kerja pembersihan dilaksanakan pelbagai agensi bagi membantu mangsa banjir dari Taman Sri Nanding, Hulu Langat ke lokasi lain di Masjid Al-Mustaqqim, Batu 16 Hulu Langat dengan diiringi oleh polis trafik.

    Walaupun Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM Selangor telah mengeluarkan kenyataan menerangkan langkah tersebut diambil berdasarkan penilaian awal yang telah dibuat bagi mengelakkan berlakunya kemalangan, ia masih tidak dapat meredakan api kemarahan netizen terhadap apa yang telah disaksikan.

    Malah bukan sahaja pelbagai sindiran telah diberikan kepada PDRM seolah-olah mereka lebih mementingkan VVIP berbanding rakyat biasa, bahkan turut ada yang ‘mengorek’ video-video yang memaparkan bagaimana polis dari negara luar memberikan keutamaan kepada ambulans berbanding konvoi VIP.

    Video yang anda lihat tempoh hari mungkin adalah salah satu dari banyak lagi video yang memperlihatkan bagaimana pasukan pengiring konvoi PDRM ini bekerja. Dan dua video yang kami paparkan kali ini adalah antara video yang memperlihatkan bagaimana pasukan pengiring PDRM ini memberikan keutamaan kepada ambulans berbanding konvoi VVIP yang mereka iring. Kedua-dua video ini juga masih baru, berlaku tak jauh beza dengan tarikh video yang tular tempoh hari.

    Video pertama dimuatnaik oleh saluran YouTube teamESCORT999. Video yang dimuat naik pada 7 November 2021 berkenaan memaparkan aksi seorang pegawai pasukan pengiring Istana Negara yang bertugas untuk mengiringi konvoi VVIP yang membuat cleareance terlebih dahulu, bermula di Istana Negara, Kuala Lumpur hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA).

    Pada minit 9:30, pegawai yang menunggang jentera Kawasaki GTR1400 berkenaan dilihat mengesan sebuah ambulans milik Persatuan Bulan Sabit Merah di satu susur keluar. Setelah membuat penilaian keselamatan, pegawai tersebut dilihat membenarkan ambulans tersebut bergerak terlebih dahulu walaupun jalan berkenaan telah ditutup untuk laluan konvoi VVIP.

    Dalam video ini juga anda boleh lihat betapa lajunya motosikal Kawasaki GTR1400 berkenaan ‘dipepah’ sepanjang lebuh raya MEX, dan mengapa pasukan pengiring Istana Negara ini memerlukan jentera seperti Volvo S90 T5 Momentum serta Honda Civic Type R FK8 untuk melakukan tugas tersebut.

    Video kedua pula disiarkan oleh saluran YouTube Hafify Kadray, yang juga salah seorang anggota pasukan pengiring untuk Ketua Menteri Melaka. Video tersebut dimuat naik pada 2 Disember 2021 menunjukkan satu lagi rutin pekerjaannya, kali ini mengiringi YAB Datuk Seri Utama Dr. Haji Sulaiman bin Md Ali dari pejabatnya yang terletak di Jalan Seri Negeri ke Masjid Al-Azim yang teletak di Bukit Palah.

    Pada minit ke 10:15 video berkenaan, konvoi VVIP tersebut bertemu dengan sebuah ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah cawangan Melaka. Tanpa berlengah, Hafifi terus mengarahkan ambulans berkenaan bergerak terlebih dahulu sambil memperlahankan konvoi dan juga trafik di belakang.

    Hafifi terus berada di belakang ambulans berkenaan sehingga ke minit 11:30, tetapi selepas itu dia memintas dan menyuruh ambulans tersebut mengekorinya sambil dia sendiri menyuraikan trafik yang agak sesak ketika itu agar pergerakan dapat dibuat lebih pantas. Malah Hafifi sempat berhadapan dengan sebuah Honda City yang dilihat agak degil dengan tidak memberikan laluan kepadanya dan ambulans di belakang.

    Tindakan-tindakan yang dibuat oleh para pegawai yang bertugas ini jelas seperti apa yang disebut oleh Ketua JSPT Selangor Supt. Azman bin Shari’al tempoh hari yang menyatakan bahawa ketika dalam menjalankan penugasan trafik, jabatannya sentiasa memberi keutamaan laluan kepada kenderaan-kenderaan kecemasan, terutamanya bagi pihak ambulans dan bomba.

    Jadi apa pendapat anda berkenaan dua video aksi pengiring PDRM ini? Kongsikannya pada ruang komen di bawah atau di laman sosial kami.

     
     
  • Haval Jolion 2022 dilihat di Petaling Jaya – enjin 1.5L turbo, 7DCT, ADAS; bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Haval Jolion 2022 dilihat di Petaling Jaya – enjin 1.5L turbo, 7DCT, ADAS; bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Sekali lagi Haval Jolion dikesan di Malaysia, kali ini oleh seorang pembaca di Petaling Jaya. Ia adalah unit yang sama yang dilihat pada November lalu, dan memberikan bayangan kebarangkalian ia akan dilancarkan pada tahun ini.

    Digelar Chulian (bermaksud Cinta Pertama dalam bahasa Mandarin) di China, SUV segmen-C ini adalah untuk menggantikan Haval H2. Berdasarkan spesifikasi, ia dipadankan dengan enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder, memberikan kuasa 143 PS pada 5,600 hingga 6,000 rpm dan tork 210 Nm pada 2,000 hingga 4,400 rpm.

    Ia turut diberikan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan, dan penggunaan bahan api dianggarkan sekitar 8.0 liter bagi setiap 100 km. Dalam sesetengah pasaran, Jolion diberikan empat mod pemanduan – Standard, Eco, Sport dan Snowfield.

    Walau bagaimana pun tidak dipastikan adakah versi hibrid juga akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Di Thailand, Jolion Hybrid diberikan enjin 1.5 liter turbo empat-silider, bersama padanan motor elektrik dan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan, yang menghasilkan kuasa 190 PS dan tork 375 Nm, dengan DCT menyalurkan semua kuasa ke roda hadapan.

    Jika mengikut spesifikasinya, pesaing Proton X70 ini menerima lampu utama projektor LED dengan lampu nyalaan siang LED, lampu belakang kombinasi LED, roda aluminium 18-inci dengan tayar Kumho Solus 225/55, bumbung matahari panoramik saiz penuh, kamera pandangan sekeliling 360-darjah, serta kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin.

    Untuk bahagian dalamnya, ia diberikan paparan utama, paparan pelbagai-info tujuh-inci, paparan skrin lebar freestanding (sama ada unit 10.25- atau 12.3-inci) dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, rotary gear selector dial, dan tempat duduk kulit hitam dengan tetulang kontras putih.

    Haval Jolion Hybrid spesifikasi Thai

    Roda stereng pelbagai fungsi tiga-jejasi balutan kulit juga kelihatan pada unit di dalam foto ini, tetapi tidak terlihat pula alas pengecas telefon pintar tanpa wayar dan corong udara di belakang. Ruang butnya pula berukuran 337 liter, yang boleh dipertingkatkan sehingga 1,133 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan sepenuhnya.

    Dalam pasaran lain, Jolion juga ada yang didatangkan dengan sistem bantuan pemandu termaju. Ini termasuklan kawalan kelajuan adaptif, bantuan kesesakan trafik dengan bantuan membelok pintar, pengesan isyarat trafik, AEB dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, kepekaan ketibaan lorong, bantuan kekal lorong, pemusatan lorong, pemantauan titik buta dengan bantuan tukar lorong dan pengesan kelesuan pemanduan.

    Jolian ini dibangunkan dengan platform baharu dari Great Wall Motor yang diberi nama LEMON, di mana ia membuatkan SUV ini lebih besar berbanding H2. Platformini juga lebih ringan, dan ditambah ketepatan stereng sebanyak 16% dan ketegaran sebanyak 15%, mengurangkan pusat graviti sebanyak 30 mm dan sudut pitch sebanyak 50%.

    GALERI: Haval Jolion Hybrid di Thailand

     
     
  • myTukar Retail Experience Centre Puchong Selatan rasmi dibuka – pusat sehenti kenderaan terpakai

    myTukar Retail Experience Centre Puchong Selatan rasmi dibuka – pusat sehenti kenderaan terpakai

    myTukar Retail Experience Centre yang terletak di Puchong Selatan, bersebelahan dengan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) kini sudah dibuka secara rasmi untuk orang ramai dan pelancarannya dibuat sekali bersama acara myTukar AutoFair 2022 yang bermula hari ini.

    Menurut myTukar, pusat sehenti di Puchong Selatan ini akan diikuti oleh beberapa lagi pusat myTukar lain selepas ini, dan menyediakan satu tempat fizikal bagi orang ramai, sebagai sokongan kepada laman jualan atas talian. Sebelum ini, myTukar juga sudah membuka cawangan di Skudai, Johor Bahru sementara cawangan di Seremban dan Melaka bakal dibuka menjelang Mac 2022.

    Semua servis yang ditawarkan oleh myTukar akan tersedia di pusat sehenti ini, bermaksud anda boleh menjual kereta kepada myTukar, memandu uji serta membeli kenderaan. Di situ juga terdapat pusat servis selepas jualan yang termasuk tempat pemeriksaan serta baik pulih kenderaan.

    “Acara ini menandakan permulaan baru bagi myTukar. Meskipun kami masih lagi memberi fokus untuk pertumbuhan dalam talian, perluasan operasi di luar akan membenarkan kami untuk menyediakan satu tempat khas bagi pelanggan meninjau kenderaan terpakai dan menikmati khidmat selepas jualan,” kata CEO myTukar, Derrick Eng.

    “Pusat sehenti ini akan menjadi langkah pertama untuk kami menghasilkan satu ekosistem lengkap kenderaan terpakai di bawah myTukar. Dengan penambahan baru ini, pengguna kami akan mendapat akses dan pengalaman membeli atau menjual kenderaan yang lebih baik kerana pusat ini akan menyediakan pengalaman yang boleh dilihat terus depan mata,” tambah Derrick.

    Seperti yang dinyatakan di atas, pelancaran rasmi myTukar Retail Experience Centre dibuat sekali dengan pembukaan hari pertama acara myTukar AutoFair 2022. Lebih 1,000 buah kenderaan terpakai dipamerkan sewaktu acara ini dan ia diangkat sebagai acara jualan kenderaan terpakai paling besar dalam negara.

    myTukar Retail Experience Centre Puchong Selatan rasmi dibuka – pusat sehenti kenderaan terpakai

    Setiap kenderaan yang dibeli waktu acara yang berlangsung sehingga 9 Januari ini akan datang dengan lanjutan tempoh jaminan setahun dan juga servis setahun percuma; ini jarang ditawarkan untuk kenderaan terpakai sebelum ini. Dan, jika merasakan kereta itu tidak sesuai dengan anda selepas pembelian, ada jaminan untuk anda pulangkannya dalam tempoh lima hari untuk mendapatkan semula wang, tanpa sebarang pertanyaan.

    Tawaran istimewa lain turut diberikan kepada pembeli kereta, seperti kadar faedah pinjaman serendah 1.68%, kelulusan pinjaman dan serahan kenderaan pada hari yang sama* serta pengalas kaki Trapo untuk setiap pembelian kereta.

    Ia tidak berhenti di situ sahaja. Anda juga berpeluang memenangi hadiah menarik melalui promosi myTukar Lucky Spin Promo. Ada enam hadiah disediakan untuk pemenang, termasuk Apple iPad generasi kesembilan, pulangan tunai RM888, filem penapis haba Raytech bernilai RM1,000, lanjutan waranti tambahan selama setahun, kad minyak bernilai RM500 atau baucar Trapo bernilai RM500.

    Jika itu masih belum cukup, anda juga mempunyai peluang untuk memenangi sebuah Proton X70 Premium bernilai RM100,000 melalui peraduan Ulang Tahun ke-4 myTukar, yang boleh disertai dengan membeli kenderaan sewaktu acara tersebut. myTukar juga menyediakan tawaran trade-in di lokasi dengan nilai maksimum untuk kenderaan semasa anda ketika acara berlangsung, sekaligus menjadikan urusan lebih mudah.

    Tahap keselamatan yang tinggi akan dipraktikkan sewaktu acara berlangsung – prosedur pencegahan Covid-19 yang ketat akan dipastikan, termasuk kaedah bayaran tanpa sentuhan dan penggunaan pelitup muka sepenuh masa, vaksinasi penuh dan jaga jarak fizikal.

    Maklumat lanjut tentang acara ini boleh didapati di laman rasmi myTukar, atau layari inventori di sini untuk mencari kereta yang anda inginkan. Jumpa di sana!

    myTukar Retail Experience Centre – Puchong Selatan
    Lot 14225, KM 3.8,
    Lebuhraya Damansara-Puchong
    47100 Puchong, Selangor, Malaysia.

     
     
  • Pengeluar bas berpangkalan di Johor dijangka hantar 140 unit bas sekolah ke Amerika Syarikat tahun ini

    Pengeluar bas berpangkalan di Johor dijangka hantar 140 unit bas sekolah ke Amerika Syarikat tahun ini

    Mungkin ramai yang tidak tahu, di Malaysia ada pengeluar bas dan badan bas yang telah mencipta nama di peringkat antarabangsa. Gemilang International Limited (GML) yang berpangkalan di Johor, baru-baru ini dijangka akan menghantar 140 unit bas sekolah elektrik sepenuhnya ke California, Amerika Syarikat pada tahun 2022.

    GML yang juga tersenarai di Bursa Hong Kong telah membekalkan bas EV ke AS sejak 2016, ketika pasaran masih menggunakan kenderaan berkuasa bahan api fosil. Berpengalaman lebih 30 tahun dalam merekabentuk, mengeluarkan dan memasang bas, GML turut menghasilkan produk untuk Transit Aliran Bas Iskandar Malaysia (IMBRT), bas bandar elektrik pertama Sarawak untuk Kuching Metro, dan projek perintis bas elektrik oleh kerajaan Sabah untuk pengangkutan awam.

    Selain itu, GML juga telah membekalkan bas aluminium untuk Go KL, Rapid KL, Rapid Penang dan bas pengantara MRT sejak 13 tahun yang lalu.

    Pengeluar bas berpangkalan di Johor dijangka hantar 140 unit bas sekolah ke Amerika Syarikat tahun ini

    “Malah, GML telah membekalkan badan bas untuk pelbagai pembuat EV seperti BYD dan CRRC ke beberapa pasaran termasuk Malaysia, Singapura, Australia sejak 2015, dan kami menjangkakan lebih banyak negara akan mengikuti peralihan kepada EV sebagai peningkatan komitmen perubahan iklim yang telah diumumkan oleh kerajaan di seluruh dunia,” kata Pang Chong Yong, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GML.

    Chong Yong berkata, tempahan 120 unit bas sekolah sepanjang 12 meter dan 20 unit lagi sepanjang 7.5 meter adalah luar biasa bukan hanya kerana ia menjadi satu kejayaan untuk pasaran AS, tetapi ia juga membabitkan kuantiti terbesar daripada satu pesanan bas EV yang pernah diterima pihaknya.

    “Pasaran bas sekolah EV di AS sangat besar dengan aspek pertumbuhan berpotensi. Ini adalah hasil daripada Perjanjian Infrastruktur Bipartisan (Akta Pelaburan Infrastruktur dan Pekerjaan) diumumkan baru-baru ini yang ditandatangani menjadi undang-undang oleh Presiden AS, Joe Biden, dengan memperuntukkan AS$2.5 bilion (kira-kira RM10.5 bilion) untuk membeli bas sekolah elektrik untuk daerah sekitar AS.

    “Dengan rancangan baharu untuk menukar kesemua 500,000 bas sekolah AS kepada kenderaan emisi sifar, kami yakin dapat menguasai lebih banyak bahagian pasaran dengan pengalaman industri selama tiga dekad kami serta kelebihan daya saing utama membabitkan struktur aluminium super ringan,” katanya.

     
     
  • Audi Q5 Sportback 2022 di Malaysia – “coupe” facelift Q5 dengan S line 2.0 TFSI quattro, berharga RM405k

    Audi Q5 Sportback 2022 di Malaysia – “coupe” facelift Q5 dengan S line 2.0 TFSI quattro, berharga RM405k

    Selain Audi A4 facelift, kami juga merakamkan foto Q5 Sportback di Audi Setia Alam by Rimau International. SUV dengan gaya ala coupe ini dilancarkan pada Ogos lalu, dan ini pertama kali kita melihatnya di hadapan mata.

    Hanya satu varian sahaja yang ditawarkan iaitu S line 2.0 TFSI quattro dengan harga atas jalan RM404,879 tanpa insurans. Harga tersebut termasuk dengan rebat 50% cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilanjutkan sehingga 30 Jun ini, serta didatangkan dengan waranti lima-tahun dengan tanpa had perbatuan.

    SUV ini dilengkapi dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder, dipadankan dengan sistem mild hybrid 12-voltan dan mampu menghasilkan sehingga 249 PS dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 370 Nm antara 1,600 dan 4,500 rpm. Ia juga diberikan transmisi S Tronic tujuh kelajuan klac berkembar dan pacuan AWD Quattro datang secara standard, dan ia membolehkan SUV ini memecut 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 240 km/j. Angka kombinasi bagi bahan apinya pula sekitar 8.0 liter bagi setiap 100 km.

    Audi Q5 Sportback 2022 di Malaysia – “coupe” facelift Q5 dengan S line 2.0 TFSI quattro, berharga RM405k

    Sportback ini yang diperkenalkan sebagai sebahagian daripada barisan Q5, telah ditambah dengan garisan bumbung yang lebih bercerun menghala ke belakang kereta. Ia masih mengekalkan ukuran ketinggian yang sama iaitu 1,660m dan lebar juga sama 1,893 mm, tetapi dipanjangkan sedikit sebanyak tujuh milimeter (cecah 4,689 mm), manakala pekali seretannya dikurangkan ke 0.30. Berbanding Q5 standard, butnya juga lebih kecil mencecah 510 liter, namun kapasiti kargo boleh dipertingkatkan hingga 1,480 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan.

    Ia banyak mengambil ilham rekaan daripada Q5 facelift, termasuklah gril “bingkai tunggal” yang lebih lebar, lampu utama LED trapezoidal dan lampu belakang LED yang direka semula. Model S line ini juga menerima gril unik dan corong pengambilan udara hadapan kemasan krom, serta rekaan bampar belakang baharu yang menggugurkan paip ekzos ‘quad’ yang digantikan dengan diffuser hitam bersaiz besar.

    Untuk pasaran Malaysia, ia juga diberikan roda aloi dua-tona lima-jejari 20-inci, bersama pakej Black Appearance sebagai sebahagian pakej Premium. Ini termasuklah serlahan hitam berkilat pada gril, sudut bampar hadapan, kemasan tingkap dan jaluran sisi serta belakang, menggantikan ciri krom sedia ada.

    Audi Q5 Sportback 2022 di Malaysia – “coupe” facelift Q5 dengan S line 2.0 TFSI quattro, berharga RM405k

    Di dalamnya, secara asas, ia sama sahaja seperti Q5 biasa, dengan Audi Virtual Cockpit Plus diberikan standard dan ia termasuk paparan instrumen digital penuh 12.3-inci, skrin sesentuh 10.1-inci di tengah siap dengan MMI Navigation Plus, Audi Connect, Audi Smartphone Interface dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Selain itu, ia turut diberikan sistem bunyi premium Bang & Olufsen 3D dengan 19-speaker dan pakej Park Assist dengansistem kamera 360-darjah.

    Bukan itu sahaja, ciri standard yang turut diberikan termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu automatik tiga-zon, kawalan kelajuan, tempat duduk sport larasan kuasa untuk pemandu bersama fungsi memori, upholstery kulit asli dan tiruan, kemasan Aluminium Rhombus, pencahayaan ambien 30-warna, peredam adaptif dan tailgate kuasa bebas-tangan.

    Ciri keselamatan pada Q5 Sportback ini juga adalah sedikit lebih baik berbanding Q5 biasa, dengan Audi Pre Sense belakang, Rear Cross-Traffic Assist, Exit Warning System, Lane Change Warning, Park Assist dan kamera 360 darjah diberikan terus. Walau bagaimana pun, ia masih tidak dilengkapi Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dan Lane Keep Assist.

    Kereta yang dipaparkan menerusi foto ini dilengkapi dengan lampu utama LED matrix yang ditawarkan secara pilihan (dengan kamera di atas cermin hadapan) dengan lampu nyalaan siang LED, di mana pakej ini perlukan kos tambahan sebanyak RM10,478. Ciri pilihan lain termasuklah lampu utama OLED (RM12,595, atau RM20,956 dengan lampu utama matrix), bumbung suria panoramik (RM16,082), paparan utama (RM10,374), cermin pintu hitam (RM1,118), kaliper brek merah (RM3,488), dan roda stereng flat-bottommed untuk stereng dinamik (RM11,805).

    Audi turut menawarkan dua pilihan roda Audi Sport, kedua-duanya dengan kemasan dua-tona. Roda aloi 20-inci ini ditawarkan dengan harga RM5,709, manakala untuk saiz 21-inci dengan kemasan matte grey berharga RM11,641.

     
     
  • Porsche Macan facelift 2022 dilancarkan di Malaysia – bermula RM433k, 3 varian, talaan enjin lebih berkuasa

    Porsche Macan facelift 2022 dilancarkan di Malaysia – bermula RM433k, 3 varian, talaan enjin lebih berkuasa

    Selepas didedahkan untuk peringkat global Julai tahun lalu, versi facelift kedua untuk Porsche Macan akhirnya secara rasmi dilancarkan pada pasaran Malaysia. Pengedar jenama berkenaan untuk pasaran tempatan, Sime Darby Auto Performance (SDAP) menawarkan Macan facelift 2022 ini terus dalam tiga varian iaitu versi asas Macan, Macan S dan Macan GTS.

    Bagi pasaran Malaysia, model asas Macan dijual pada harga bermula RM433,154. Model Macan S pula dijual pada harga bermula RM623,593, diikuti Macan GTS yang boleh dibeli dengan harga bermula RM786,232. Kesemua angka yang dinyatakan ini adalah merangkumi cukai dan duti, tetapi tidak termasuk bayaran atas-jalan, insuran mahupun apa-apa perincian opsyen.

    Setiap pembelian diberikan sekali dengan waranti dan juga pakej penyelenggaraan percuma selama dua tahun. Namun untuk pembeli yang mahukan perlindungan waranti lebih lama, mereka boleh memilih program Porsche Approved Warranty dengan bayaran tambahan (harga adalah berdasarkan permintaan).

    Berbanding model facelift pertama yang diperkenalkan pada 2018, versi kemaskini terbaharu Macan ini menampilkan bampar hadapan yang direka semula, dengan diberikan gril utama yang lebih kecil bersama rekaan sisi berbentuk-C persis Macan Turbo sebelum ini.

    Porsche Macan facelift 2022 dilancarkan di Malaysia – bermula RM433k, 3 varian, talaan enjin lebih berkuasa

    Bahagian bawah apron bampar berkenaan juga diberikan satu lagi liang kemasukan udara yang turut menempatkan sepasang lampu kabus. Kesemua varian Macan kini diberikan lampu hadapan Porsche Dynamic Light System (PDLS) bersama cermin sisi Sport Design (menampilkan ‘kaki’ berbentuk-V) yang sebelum ini hanya diberikan pada Macan Turbo.

    Bagi varian GTS, keseluruhan bahagian ‘mulut’ pada bampar hadapan berkenaan diberikan warna hitam tanpa sebarang permukaan dengan warna badan bagi memberikan rupa yang lebih agresif. Pada profil sisi, bahagian ‘bilah’ di bahagian bawah pintu kini diberikan rekaan tiga-dimensi baharu, sementara di belakang Macan facelift 2022 ini menerima diffuser berwarna hitam yang lebih besar bersama sepasang reflektor cahaya yang diposisikan lebih tinggi.

    Dalam kabin, Macan terkini ini menerima konsol tengah baharu yang menampilkan panel rata yang diberikan kawalan sensitif sentuhan bagi menggantikan butang kawalan konvensional sebelum ini – sama seperti model-model baharu Porsche yang lain termasuk Taycan, Panamera dan Cayenne.

    Tombol gear juga kini lebih pendek tanpa boot kulit, serta diberikan gate tukaran gear yang lebih kecil bersama kemasan sekeliling krom yang nipis. Rombakan bahagian berkenaan juga memberikan ruang storan di belakang suis brek parkir elektronik yang lebih besar tetapi ia kini tidak diberikan penutup.

    Porsche Macan facelift 2022 dilancarkan di Malaysia – bermula RM433k, 3 varian, talaan enjin lebih berkuasa

    Perincian-perincian baharu lain yang turut diberikan pada Macan facelift 2022 ini termasuk roda stereng GT Sport yang diambil dari model 911 terkini, bersama jam analog yang direka semula dan diberikan secara standard untuk semua varian.

    Untuk sistem infotainmen, model ini menerima skrin sesentuh 10.9-inci yang berfungsi dengan sistem Porsche Communication Management (PCM). Dua suis putar di bahagian bawah skrin tersebut masih lagi kekal, namun butang-butang analog lain yang sebaris dengannya telah digantikan dengan kawalan sensitif-sentuhan yang nampak lebih ringkas.

    Bagi unit rangkaian kuasa pula, kesemua varian Macan masih lagi diberikan kotak gear klac berkembar automatik PDK tujuh-kelajuan serta sistem pacuan semua roda bersama Porsche Traction Management (PTM). Namun untuk barisan pilihan enjin, kesemuanya telah ditala semula dengan tekanan bahan api yang ditingkatkan kepada 350 bar bagi memberikan agihan bahan api yang lebih baik kepada setiap silinder, sekaligus memberikan pembakaran yang dioptimakan.

    Oleh itu, model asas Macan yang dikuasakan enjin 2.0 liter empat-silinder turbo kini menjana 265 PS dan tork maksima 400 Nm, atau 13 PS/30 Nm lebih berkuasa dari sebelum ini. Talaan baharu ini juga membuatkan ia lebih pantas dengan pecutan 0-100 km/j yang hanya mengambil masa 6.2 saat (0.5 saat lebih pantas) serta mencapai kelajuan maksima 232 km/j (225 km/j sebelum ini).

    Porsche Macan facelift 2022 dilancarkan di Malaysia – bermula RM433k, 3 varian, talaan enjin lebih berkuasa

    Macan S dan Macan GTS masih lagi dijana oleh enjin V6 2.9 liter dengan pengecas turbo berkembar. Talaan baharu tersebut membolehkan enjin pada Macan S bernafas dengan 380 PS dan tork maksima 530 Nm, atau 26 PS/40 Nm lebih berkuasa dari sebelumnya. Kuasa yang lebih besar tersebut membolehkan Macan S 2022 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat (0.5 saat lebih pantas) sebelum mencapai kelajuan maksima 259 km/j (254 km/j sebelum ini).

    Bagi model Macan GTS pula, enjin berkenaan kini menghasilkan 440 PS dan tork maksima 550 Nm, atau 60 PS dan 30 Nm lebih berkuasa dari versi sebelum ini. Ia membolehkan SUV ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.0 saat (0.3 saat lebih pantas) serta mencatatkan kelajuan maksima 272 km/j, atau 11 km/j lebih laju dari model sebelumnya.

    Kesemua angka prestasi yang disebut ini adalah untuk model yang datang dengan pakej opsyen Sport Chrono. Jika pakej tersebut tidak dipadankan, masa pecutan 0-100 km/j yang dicatatkan oleh setiap varian adalah 0.2 saat lebih lambat.

    Talaan casis model facelift 2022 ini juga telah dioptimakan bagi memberikan tindak balas dan respon yang lebih baik. Kesemua varian menerima penyerap hentak adaptif Porsche Active Suspension Management (PASM), manakala Macan GTS diberikan suspensi udara secara standard yang ditala lebih keras 10% di hadapan, 15% di belakang.

    Menurut SDAP, model asas Macan dan Macan S pasaran Malaysia ini menerima Premium Package sebagai ciri standard. Pakej tersebut meliputi perincian seperti tempat duduk hadapan comfort dengan larasan elektrik 14-hala bersama fungsi memori, Power Steering Plus, Park Assist (termasuk kamera undur dan pemantau sekeliling), cermin padang belakang malap sendiri serta sistem bunyi dari Bose.

    Sebanyak 14 warna badan ditawarkan untuk pembeli Macan facelift di Malaysia termasuk warna baharu Papaya Metallic dan Gentian Blue Metallic, manakala warna Python Green adalah khas untuk Macan GTS. Jika anda mahukan warna yang berbeza, SDAP turut menawarkan program Paint to Sample dari Porsche untuk penampilan yang benar-benar unik.

    Bukan itu sahaja, pembeli juga ditawarkan dengan pelbagai pilihan rim dengan saiz bermula 19- hingga 21-inci, pelbagai pilihan kombinasi upholsteri, kemasan dan pelbagai lagi yang boleh anda buat menerusi konfigurator yang disedia oleh Porsche bagi membolehkan anda mendapatkan sebuah Macan yang berbeza dengan unit pemilik lain.

     
     
  • Roslan Abdullah kini Timb. Ketua Pegawai Eksekutif Proton, ganti tempat Dato’ Radzaif yang telah bersara

    Roslan Abdullah kini Timb. Ketua Pegawai Eksekutif Proton, ganti tempat Dato’ Radzaif yang telah bersara

    ????????????????????????????????????

    Proton hari ini mengumumkan bahawa Encik Roslan Abdullah kini secara rasmi telahpun menjawat jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan. Beliau telah memulakan tugas tersebut bermula 1 Januari 2022 bagi menggantikan tempat Dato’ Radzaif Mohamed yang telah bersara dari jawatan berkenaan pada 31 Disember 2021.

    Sebelum ini Roslan merupakan Naib Presiden, bahagian Pemasaran dan Jualan untuk Proton dan juga sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bagi Proton Edar Sdn Bhd (PESB), sejak 1 Jun 2020.

    Beliau merupakan pemegang ijazah sarjana Kewangan dan Perakaunan daripada Universiti Brighton, United Kingdom dan mempunyai pengalaman selama tiga dekad dalam bidang automotif termasuk perlantikannya dalam Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) serta ISUZU HICOM Malaysia. Sebelum menyertai Proton, Roslan Abdullah merupakan Presiden dan juga Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB).

    “Roslan Abdullah telah memainkan peranan penting didalam mengukuhkan pengurusan di dalam Proton dan memberi panduan kepada pengurusan keseluruhan perniagaan, khususnya dengan pengukuhan fungsi bahagian pemasaran dan jualan. Saya yakin kita mampu menjalinkan kerjasama yang erat untuk memacu syarikat kearah kejayaan,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Proton hari ini, syarikat berkenaan turut menzahirkan penghargaan yang tinggi kepada Dato’ Radzaif Mohamed. Beliau sebelum ini telah dilantik ke jawatan berkenaan pada 1 April 2016, dan dikenali kerana telah memainkan peranan penting dalam memantau proses sehingga termeterainya perkongsian di antara DRB-HICOM dan Zhejiang Geely Holding (Geely), seterusnya membantu Proton ke kedudukan terkini dalam industri automotif.

    “Proton ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Dato’ Radzaif untuk segala sumbangan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi sehingga kami mencapai kejayaan. Kepentingan untuk mendapatkan sesuatu perkara itu secara tepat semasa bermulanya perkongsian dengan Geely amat kritikal dan mustahak di dalam memastikan proses pembaharuan syarikat sehingga kini dan kepimpinannya dalam tempoh berkenaan tidak ternilai harganya,” tambah Dr Li Chunrong.

     
     
  • VinFast perkenal SUV elektrik VF5, VF6 dan VF7 di AS – lengkapkan 5 model, pilihan segmen-A hingga -E

    VinFast perkenal SUV elektrik VF5, VF6 dan VF7 di AS – lengkapkan 5 model, pilihan segmen-A hingga -E

    Jenama automotif dari Vietnam, VinFast hadir ke acara Consumer Electronics Show (CES) tahun ini yang berlangsung di Las Vegas dengan memperkenalkan tiga SUV elektrik sepenuhnya iaitu VF5, VF6 dan VF7. Dengan kehadiran tiga lagi model ini, VinFast kini mempunyai lima model EV untuk ditawarkan dalam pasaran termasuk VF8 dan VF9 yang telah diperkenalkan sebelum ini, melengkapkan pilihan dari segmen A bersaiz kompak, sehingga model bersaiz besar dalam segmen-E untuk pasaran AS kelak.

    Agak mengelirukan sebenarnya barisan model EV yang ditawarkan oleh VinFast ini kerana model-model berkenaan sebelum ini telah pun ditukarkan namanya. Jadi untuk lebih jelas, kami sediakan garis masa untuk memudahkan anda melihat dengan jelas kesemua SUV elektrik yang ditawarkan oleh VinFast ini.

    VinFast mula memperkenalkan model-model EV mereka buat pertama kali pada Januari tahun lalu dengan tiga model pertama iaitu VF31, VF32 dan VF33. Ketiga-tiga model berkenaan kemudiannya diberikan nama baharu iaitu VF e34, VF e35 dan VF e36.

    Buat masa sekarang VF e34 hanya dijual di pasaran Vietnam, manakala VF e35 dan e36 akan dijual di pasaran lain termasuk Amerika Syarikat. Oleh itu, model VF e35 dan VF e36 tersebut telah pun di bawa ke acara CES 2022 ini, dan dilancarkan dengan nama VF8 dan VF9 dengan pra-tempahan untuk kedua-duanya sudah boleh dibuat dengan bayaran USD200 (RM840).

    Dengan membuat tempahan berkenaan, pelanggan akan menerima e-baucer masing-masing bernilai USD3,000 (RM12,607) dan USD5,000 (RM21,012). Manakala untuk harga, SUV segmen-D VF8 akan dijual pada harga bermula USD41,000 (RM172,303) dan SUV segmen-E VF9 pula akan dijual pada harga bermula USD56,000 (RM235,340).

    Pembelian kedua-dua model berkenaan diberikan perlindungan waranti selama 10 tahun tetapi dengan had perbatuan 200,000 km. Model dengan varian Eco dan Plus menerima sistem pemanduan autonomi Tahap 2+, manakala varian Premium diberikan sistem pemanduan autonomi Tahap 3 dan Tahap 4.

    Kedua-dua SUV ini merupakan sebahagian strategi VinFast untuk mencapai pasaran lebih luas di peringkat global, dan turut disertai dengan tiga lagi model baharu yang diperkenalkan di CES 2022 ini, mengesahkan kemaskini pelabur pada Oktober lalu bahawa VinFast akan menambah model dalam barisan model EV mereka, dengan tiga lagi model bagi penawaran segmen-A sehingga segmen-C.

    Model-model yang disebut tersebut adalah VF e32 (segmen-A), VF e33 (segmen-B) dan VF e34P (segment-C). Namun untuk pasaran Amerika Syarikat, ketiga-tiga model tersebut diberi nama baharu iaitu VF5, VF6 dan VF7. Walau bagaimanapun, buat masa sekarang VinFast hanya memberikan foto-foto bahagian luaran ketiga-tiga model tersebut tanpa gambar-gambar bahagian dalam dan juga sebarang spesifikasi teknikal.

    Dari segi rekaan luaran, profil garis badan VF5 kelihatan seperti Hyundai Creta bersama perincian-perincian yang nampak sama seperti VF8 termasuk rekaan gril dan bonet hadapan serta lampu utama. Manakala bahagian belakang pula nampak sama seperti VF9 dengan perincian seperti bar lampu yang direka nipis.

    VinFast VF6 juga tampil dengan rupa yang hampir sama, tetapi ia nampak lebih melengkung secara keseluruhan, dengan saiz yang lebih besar. Perincian-perician yang sama turut dibawa kepada model VF7, namun model ini dilihat sebagai model paling bergaya dengan bentuk badan seakan sebuah coupe, pembuka pintu yang tenggelam dan pelbagai lagi. Ketiga-tiga EV baharu ini dijangka bakal dijual bermula pada tahun 2023.

    GALERI: VinFast VF5 (VF e32)

    GALERI: VinFast VF6 (VF e33)

    GALERI: VinFast VF7 (VF e34P)

    GALERI: VinFast VF8 (VF e35)

    GALERI: VinFast VF9 (VF e36)

     
     
  • Audi A4 2.0 TFSI quattro 2022 di Malaysia – RM359k

    Audi A4 2.0 TFSI quattro 2022 di Malaysia – RM359k

    Audi A4 facelift 2022 telah pun diperkenalkan di negara ini pada Jun tahun lalu. Ia hadir dengan pilihan tunggal advanced 2.0 TFSI quattro, dan kini telah pun dipertontonkan di Audi Setia Alam oleh Rimau International.

    Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM358,900, bersama insentif potongan cukai jualan (yang dilanjutkan sehingga 30 Jun 2022). Seperti model-model Audi lain, ia juga diberikan sekali dengan waranti selama lima tahun, tanpa had perbatuan.

    Bagi aspek prestasinya, ia dijanakan oleh dijana oleh enjin 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 249 PS (245 hp) bermula 5,000 rpm hingga 6,000 rpm dan tork maksima 370 Nm bermula 1,600 hingga 4,500 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Dengan lencana “quattro”, sudah tentu kuasa dialirkan ke kesemua roda, yang membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.8 saat. Penggunaan bahan apinya sekitar 7.1 liter bagi setiap 100 km.

    Spesifikasi utamanya termasuk lampu utama dan lampu belakang LED, dengan indikator membelok dinamik. Cermin sisi dengan fungsi auto-kelam dan pemanas juga diberikan secara standard, serta turut menerima rim aloi Dynamic Style 10-jejari 18-inci kemasan Graphite Grey bersama tayar 245/40R18. Pakej advanced trim line juga diberikan secara standard yang terdiri dari kemasan perak pada gril, perumah lampu kabus dan bampar belakang.

    Untuk bahagian kabinnya, kemasan Silver Aluminium Ellipse, elemen kemasan leatherette, sistem pendingin hawa kawalan iklim tiga-zon, pelindung matahari manual pada cermin pintu belakang, roda stereng tiga-jejari balutan kulit dan juga sistem lampu ambien.

    Bagi sistem infotainmen pula, model ini diberikan sistem MMI Navigation plus Audi dengan asas MMI touch pada Modular Infotainment System 3 (MIB 3), yang tidak lagi menampilkan roda klik/pad sesentuh pada konsol tengah.

    Manakala bagi ciri keselamatan, ia dilengkapi dengan enam beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix pada kiri dan kanan tempat duduk belakang serta pada tempat duduk penumpang hadapan, hold assist, parking aid Plus bersama kamera 360-darjah, serta sistem cruise control bersama pengehad kelajuan.

     
     
  • Honda bakal bina kilang khas untuk kereta elektrik di Wuhan – kapasiti tahunan 120k, guna tenaga bersih

    Honda bakal bina kilang khas untuk kereta elektrik di Wuhan – kapasiti tahunan 120k, guna tenaga bersih

    Donfeng Honda Automobile, iaitu syarikat kerjasama antara Dongfeng Motor Group, Honda Motor dan juga Honda Motor (China) Investment telah mengumumkan bahawa ia bakal membina sebuah kilang baharu yang dikhaskan hanya untuk memproduksi kenderaan elektrik (EV).

    Kilang tersebut akan dibina di Zon Pembangunan Ekonomi Wuhan di wilayah Hubei, China dengan keluasan sekitar 630,000 meter persegi. Operasi produksi kilang baharu berkenaan dijangka akan bermula pada 2024, dengan kapasiti asas pengeluaran sebanyak 120,000 unit setahun.

    Fasiliti tersebut disifatkan sebagai sebuah kilang pintar yang sangat efisien dan mampu untuk memproduksi EV dari peringkat asas sehingga ke produk siap sepenuhnya – bermaksud ia bakal dilengkapi dengan fasiliti untuk proses seperti stamping, kimpalan, mengecat, pemasangan dan juga pemeriksaan lengkap kenderaan. Honda mensasarkan untuk mencapai tahap peneraju industri dalam aspek automasi, khususnya pada barisan pemasangan.

    Honda juga memberikan fokus yang besar terhadap aspek neutraliti karbon. Oleh itu ia menjanjikan “inisiatif-inisiatif kearah kelestarian secara proaktif” yang termasuk penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti kuasa solar, air kitar semula, dan pelbagai lagi kaedah bagi mengurangkan emisi sebatian organik meruap (VOC).

    Sebelum ini Honda telah pun mendedahkan siri e:N iaitu e:NS1 dan e:NP1 – kedua-duanya adalah SUV elektrik penuh yang bakal muncul sebagai model produksi dan dijual dalam pasaran China dalam tempoh berberapa bulan dari sekarang.

    Dongfeng Honda bakal menghasilkan e:NS1, iaitu versi produksi bagi model konsep SUV e:prototype yang didedahkan pada April tahun lalu, dan diasaskan dari Honda HR-V generasi ketiga. Manakala e:NP1 pula akan dihasilkan oleh satu lagi entiti kerjasama tempatan Honda di China iaitu GAC Honda.

    Honda sebelum ini juga telah mengumumkan bahawa ia akan meningkatkan penjualan model EV dan FCEV (EV sel bahan api) di pasaran-pasaran untama sehingga 40% dari jumlah jualan keseluruhannya menjelang 2030, dan akan meningkat kepada 80% menjelang 2035. Jenama automotif Jepun berkenaan merancang untuk menjadi jenama elektrik penuh 100% pada 2040.