Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • RFID adalah masa depan, hapuskan kesesakan dengan cara membantu pelaksanaan MLFF dan ITS — Madani

    RFID adalah masa depan, hapuskan kesesakan dengan cara membantu pelaksanaan MLFF dan ITS   — Madani

    Sistem Touch ‘n Go RFID untuk pembayaran tol, yang dikritik selepas pelaksanaannya yang bermasalah bulan lalu di Lebuhraya PLUS, kini mendapat dukungan pula dari ada Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii). CEO Datuk Madani Sahari berkata kepada The Sun bahawa teknologi berkenaan akan membantu pemansuhan kaunter tol dan mengatasi masalah kesesakan.

    “RFID menjadi sebahagian daripada evolusi teknologi pengangkutan, membawa kita ke arah sistem pengangkutan pintar,” ujar beliau, dan menambah bahawa dengan perbincangan ketika ini hanya tertumpu kepada masalah teknikal, ia akan bertambah baik dari semasa ke semasa. “Kita akan dapat memperluas kemampuan operasinya dalam masa terdekat.”

    Beliau juga menekankan bahawa komen yang diberikan oleh Kementerian Kerja Raya hujung tahun lalu, yang mendakwa RFID patut dilihak sebagai batu loncatan ke arah teknologi yang lebih maju yang berlegar di sekitar Sistem Pengangkutan Pintar (ITS), sebagai satu bentuk komunikasi kenderaan-kepada-segalanya.

    RFID adalah masa depan, hapuskan kesesakan dengan cara membantu pelaksanaan MLFF dan ITS   — Madani

    Beliau juga memaklumkan yang objektif mana-mana lebuhraya pun adalah untuk terus mengalirkan jumlah trafik yang banyak bagi perjalanan jarak jauh dengan sedikit mungkin kesesakan. “Bagaimanapun, dengan adanya kaunter tol di laluan aliran trafik adalah punca utama kesesakan yang merugikan.”

    Madani berkata kutipan bayaran tol perlu dilakukan dengan cara paling cekap untuk meminimumkan situasi kurang senang pengguna yang membayar untuk menggunakan lebuhraya. Pelaksanaan RFID, tambahnya, adalah batu loncatan pertama ke arah sistem aliran bebas multi-lorong (MLFF) untuk sistem kutipan tol laluan terbuka berkelajuan tinggi.

    “MLFF merupakan satu daripada elemen daripada ITS. Dalam ITS, teknologi maklumat dan komunikasi digunakan untuk menambah baik pengangkutan serta menghindar atau menyelesaikan masalah,” katanya dengan menambah pelaksanaan ITS dan penyelesaiannya akan memperbaiki keselamatan, sekuriti dan boleh diharap untuk jalanraya kita. “Ia membantu pengguna untuk mengatur masa perjalanan, laluan dan pilihan pengangkutan dengan lebih baik. Ia juga membantu mengurangkan kesesakan, pencemaran dan pengurangan produktiviti.”

    RFID adalah masa depan, hapuskan kesesakan dengan cara membantu pelaksanaan MLFF dan ITS   — Madani

    Menurut Madani, ITS memerlukan inovasi baru dalam kepintaran buatan, internet of things (IoT), pembangunan bandar pintar, kenderaan autonomous dan keterhubungan dan sistem kooperatif sambungan sebagai sebahagian daripada revolusi industri keempat. “MARii sedang mengusahakan beberapa teknologi yang mendirikan ITS tersebut. Ini termasuk kesepaduan sistem dan prasarana cloud bagi penyelesaian e-bayaran, pengurusan big data dan teknologi kepintaran grid,” tambahnya.

    Beliau turut menambah yang pelaksanaan RFID merupakan sebahagian daripada rancangan ITS di negara ini yang turut melibatkan sistem dan teknologi lain yang berkaitan. “Perbincangan yang berlaku baru-baru ini tentang teknologi yang relevan seperti pengesan nombor plat automatik, perluasan kaedah bayaran serta masalah tenikal lain adalah sangat penting untuk melangkah ke depan, asalkan kesedaran dan pemanfaatan teknologi seperti ini boleh dioptimumkan. Ini seterusnya akan memastikan masa depan yang lebih baik untuk pengangkutan pintar di Malaysia.”

     
     
  • Brabus dan KTM bekerjasama hasilkan Brabus 1300R

    Brabus dan KTM bekerjasama hasilkan Brabus 1300R

    Motosikal yang anda lihat ini sebenarnya adalah KTM 1290 Super Duke R Ego, tetapi ia telah diubah suai dengan kerjasama Brabus dan dinamakan sebagai Brabus 1300R. Ia hanya akan dikeluarkan sebanyak 154 unit sahaja, dengan 77 unit untuk yang berwarna Magma Red dan 77 lagi untuk warna Signature Black.

    Nombor 77 ini sebenarnya simbolik kepada tahun 1977, iaitu tahun Brabus ditubuhkan sebagai sebuah syarikat talaan kenderaan prestasi tinggi di Bottrop, Jerman. Sekarang, apabila mendengar nama Brabus sahaja kita sudah tahu, ia adalah versi model yang lebih garang.

    Brabus 1300R terus nampak berbeza berbanding model asasnya, dengan penggunaan lampu hadapan bulat ala retro dan panel salur udara di bahagian tepi tangki. Ekzos serta rim juga datang sendiri daripada Brabus.

    Banyak panel tambahan pada motosikal ini menggunakan bahan gentian karbon, termasuklah fender hadapan, perumah lampu hadapan, bawah tempat duduk, pelindung rantai, salur penyejuk angkup brek dan pelbagai lagi. Selain daripada itu, Brabus juga telah menghasilkan triple clamp serta peletak kaki CNC aluminium khas untuk motosikal ini.

    Enjin 1290 Super Duke yang menjadi penyebab utama motosikal ini digelar sebagai The Beast masih dikekalkan pada Brabus 1300R, di mana ia adalah unit v-twin 1,301 cc dengan kemampuan 180 hp pada 9,500 rpm dan 140 Nm tork pada 8,000 rpm. Suspensi juga masih menggunakan unit daripada WP yang boleh dilaras secara elektronik dan datang dalam beberapa mod.

     
     
  • Toyota failkan paten transmisi manual untuk EV

    Toyota failkan paten transmisi manual untuk EV

    Toyota telah memfailkan beberapa paten dengan United States Patent and Trademark Office (USPTO) bagi sistem yang mensimulasi operasi transmisi manual beberapa kelajuan dalam kenderaan elektrik. Ketika ini, banyak EV menggunakan kotak gear satu-kelajuan, walaupun beberapa pengeluar menggunakan transmisi dua-kelajuan dalam model seperti Porsche Taycan.

    Menurut paten Toyota, transmisi manual yang dicadangkan bagi EV itu disasarkan untuk pemandu yang sudah terbiasa menukar gear sendiri atau inginkan keseronokan kendalian gear manual. Sistem berkenaan disifatkan sebagai mampu untuk menukar kaawalan mod antara pemanduan biasa dan simulasi manual corak-H.

    Kawalan yang dimaksdukan itu termasuk “pedal klac” dan “penukar gear” acah, yang mencadangkan sistem berkenaan hanya akan menyediakan rasa transmisi manual tetapi tidak menyediakan tujuan khusus bagi operasi kenderaan, tidak seperti pada kereta dengan enjin pembakaran dalaman biasa. Pedal yang dimaksudkan juga datang dengan “penjana daya reaksi penukaran” untuk memberikan sensasi yang biasanya diperoleh ketika seretan klac di flywheel ketika ia dilepaskan sebahagiannya.

    Bergantung kepada kedudukan penukar yang bertindak balas terhadap gear maya, karekteristik tork yang bersangkutan dengan kelajuan pusingan motor elektrik adalah sedikit berbeza. Pengawalnya akan mengira kelajuan maya enjin pada enjin maya yang berasaskan gear maya yang dipilih, yang kemudiannya dipaparkan di tachometer.

    Disember lalu, Toyota dan Lexus mempersembahkan prototaip yang mempertontonkan EV berpotensi yang mungkin menjadi barisan kenderaannya menjelang 2030. Beberapa kereta sport turut terlibat, dan teknologi yang dinyatakan ini mungkin akan digunakan untuk model2 tersebut. Apapun, masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada benar Toyota akan membangunkan sistem yang dipatenkan ini.

     
     
  • Puspakom tutup sementara cawangan Senai, Johor

    Puspakom tutup sementara cawangan Senai, Johor

    Puspakom telah mengumumkan penutupan sementara Pusat Pemeriksaan Kenderaan cawangan Senai, Johor mulai hari ini (14 Februari 2022) bagi melakukan proses disinfeksi dan sanitasi. Ini adalah bagi memastikan keselamatan semua pihak.

    Menurut Puspakom, pengoperasian semula cawangan terbabit akan diumumkan kelak. Justeru, bagi pelanggan yang telah membuat temujanji pemeriksaan di cawangan tersebut, bayaran temujanji akan dipulangkan secara automatik dalam tempoh 30 hari dan pelanggan diminta untuk mengabaikan Peringatan Temujanji MyPUSPAKOM jika ada menerimanya.

    “Sebagai alternatif, pelanggan yang terlibat boleh hadir ke cawangan berdekatan seperti Puspakom cawangan Johor Bahru atau Kluang dan dibenarkan hadir secara walk-in dan membuat bayaran di sana dengan membawa slip temujanji Puspakom Senai sebagai bukti temujanji,” kata Puspakom lagi menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya, orang ramai boleh mengikuti Facebook Puspakom Sdn Bhd atau melayari www.puspakom.com.my untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung operasi Pusoakom dari semasa ke semasa.

     
     
  • Chery Omoda 5 sah akan dilancar di M’sia;1.6L Turbo 197 PS, 7DCT – pencabar Proton X50 dan Honda HR-V!

    Chery Omoda 5 sah akan dilancar di M’sia;1.6L Turbo 197 PS, 7DCT – pencabar Proton X50 dan Honda HR-V!

    Lewat tahun lalu, Chery telah mengesahkan bahawa mereka bakal masuk semula ke pasaran Malaysia pada 2022. Dan satu lagi berita yang baharu kami terima, jenama automotif China berkenaan mengesahkan bahawa SUV segmen-B dengan rekaan funky iaitu Chery Omoda 5 sah bakal dilancarkan pada pasaran kita.

    Omoda 5 didedahkan secara rasmi buat pertama kali pada November 2021, manakala produksinya di China baru sahaja bermula. Ia adalah model global yang akan dijual di pasaran Eropah dan Australia, serta Malaysia turut disenaraikan antara pasaran awal yang akan menerima SUV tersebut. Menurut pengerusi Chery, Omoda 5 akan “menetapkan standard baharu untuk Chery dalam aspek kepuasan pelanggan, tahap kompetitif, corak pemikiran digital, pembuatan dan kualiti.”

    Manakala naib pengurus besar Chery, Gao Xinhua pula menyatakan bahawa Omoda 5 telah berada dalam peringkat pembangunan dalam masa 18 bulan, disasarkan untuk menjadi produk global sebenar, serta menerima maklum balas yang baik diperingkat domestik dan antarabangsa selepas didedahkan di Guangzhou Auto Show 2021 kira-kira tiga bulan lalu.

    Model ini dihasilkan sebagai lawan terus kepada Honda HR-V, dan sekiranya ia tiba di Malaysia sudah tentu perlu berhadapan dengan Proton X50. Omoda 5 merupakan produk pertama dalam startegi Chery 4.0, dan jenama tersebut turut mengatakan bahawa SUV ini disasarkan kepada “pembeli muda dalam kumpulan umur 25-30 tahun.”

    Chery Omoda 5 sah akan dilancar di M’sia;1.6L Turbo 197 PS, 7DCT – pencabar Proton X50 dan Honda HR-V!

    Di Malaysia jika kita menyebut tentang Chery, sudah tentu akan teringat rupa MPV Chery Eastar yang pernah dijual di sini satu ketika dahulu bukan? Tetapi, Omoda 5 menampilkan rupa yang nampak seperti langsung tiada kaitan dengan Chery Eastar.

    Falsafah rekaan baharu pada Omoda 5 ini dikenali sebagai “Art in Motion” (seni dalam pergerakan). Muka SUV tersebut diberikan gril hadapan yang sangat besar tanpa bingkai, dengan lampu nyalaan siang LED nipis yang dilihat seperti ‘diadun’ bersama gril berkenaan.

    Lampu hadapan utama LED dengan teknologi Matrix SUV ini pula diletakkan pada bahagian bampar, seperti rekaan terkini Hyundai dan juga Mitsubishi. Garis bumbung Omoda 5 ini direka landai kebelakang, bersama lampu-lampu belakang yang direka tajam, membuatkan ia nampak seakan model-model rekaan terkini dari Lexus/Toyota.

    Dari segi saiz, Omoda 5 dihasilkan dengan dimensi 4,400 mm panjang, 1,830 mm lebar and 1,585 mm tinggi, dengan jarak roda sejauh 2,630 mm. Sebagai perbandingan, Honda HR-V terbaharu (generasi ketiga yang belum dilancarkan di Malaysia) dihasilkan dengan dimensi 4,330 mm panjang, 1,790 mm lebar, 1,590 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,610 mm – jelas Omoda 5 adalah sedikit lebih besar.

    Chery Omoda 5 sah akan dilancar di M’sia;1.6L Turbo 197 PS, 7DCT – pencabar Proton X50 dan Honda HR-V!

    Dalam kabin, Omoda 5 diberikan perincian seperti roda stereng balutan kulit rata di bawah, skrin berkembar 12.3-inci (untuk instrumen dan infotainmen, seperti Mercedes-Benz), kawalan pusat untuk media dan pendingin hawa, dan juga terowong tengah yang tinggi untuk memisahkan ruang pemandu dan penumpang hadapan, serta tempat duduk sport yang kelihatan mewah.

    Menurut laporan sebelum ini, Chery Omoda 5 menerima enjin dari siri Kunpeng terbaharu Chery iaitu unit 1.6 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (TGDI) berkuasa 197 PS dan 290 Nm, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh kelajuan untuk memacu roda hadapan.

    Malaysia mungkin menerima Honda HR-V 2022 dengan enjin 1.5L VTEC Turbo berkuasa 182 PS/240 Nm, manakala Proton X50 Flagship pula sememangnya telah dilancarkan dengan enjin 1.5L TGDI berkuasa 177 PS/255 Nm. Sekiranya Chery Omoda 5 ini dilancarkan dengan harga yang betul, adakah anda sanggup mengenepikan dua pilihan yang lebih popular berkenaan untuk kuasa lebih besar atau rupa yang lebih tersendiri?

     
     
  • Proton X50 kini di Mauritius, harga bermula RM121k

    Proton X50 kini di Mauritius, harga bermula RM121k

    Secara senyap-senyap, rupanya Proton telahpun mula menjual SUV segmen-B mereka iaitu Proton X50 ke pasaran Mauritius awal bulan ini. Tiada sebarang hebohan mahupun pelancaran dibuat, namun menerusi hantaran yang dibuat di laman Facebook Proton Mauritius, model berkenaan mula dijual secara rasmi bermula pada 4 Februari lalu.

    Pengumuman bahawa X50 ini akan masuk ke pasaran Mauritius telahpun dibuat pada November tahun lalu, dengan pra tempahan dibuka pada 10 Disember 2021. Proton Mauritius juga mengumumkan bahawa 10-unit X50 yang ditawarkan untuk dipra tempah tersebut habis dijual kesemunya pada hari yang sama!

    Pada pasaran berkenaan, X50 dijual pada harga atas jalan tidak termasuk insuran bermula 1,275,000 Rupee Mauritius. Ia juga menerima perlindungan waranti pengeluar selama lima tahun atau 150,000 km.

    Kami cuba mencari maklumat berkenaan harga dan spesifikasi Proton X50 ini di laman sesawang rasmi Proton Mauritius, namun hasilnya agak mengecewakan kerana bukan sahaja tiada harga, malah ia masih dalam keadaan caca-marba seolah-olah mereka yang membuat laman tersebut tidak tahu membezakan antara spesifikasi X50 dan X70.

    Menerusi foto-foto yang disiarkan dalam laman Facebook berkenaan, dan juga kandungan video dalam akaun YouTube Car Doctor (ditaja oleh Proton Mauritius), nampaknya kepulauan berkenaan menerima X50 dalam varian tertinggi Flagship dengan spesifikasi hampir sama dengan model pasaran Malaysia.

    Ia dijana oleh enjin 1.5 liter tiga silinder-turbo dengan sistem suntikan terus (T-GDI) menghasilkan 177 PS dan tork maksima 255 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan bagi memacu roda hadapan. Ia juga menerima pelbagai perincian lain seperti bumbung panaromik, cat tema dua tona dengan bumbung berwarna hitam, rim aloi 18-inci kemasan dua tona, upholsteri dalaman dengan kulit sintetik leatherette, sistem arahan “Hi,Proton” dan pelbagai lagi.

    Proton X50 Flagship ini juga menerima sistem bantuan pemanduan dengan kebolehan autonomi Tahap 2, menampilkan sistem seperti Adaptive Cruise Control dengan Lane Centring Assist, sistem bantuan letak kenderaan untuk keluar dan masuk, brek kecemasan automatik, Lane Keeping Assist serta lampu tinggi automatik.

     
     
  • Nissan bawa tiga model konsep berasaskan Frontier 2022 ke Chicago Auto Show 2022 minggu ini

    Nissan bawa tiga model konsep berasaskan Frontier 2022 ke Chicago Auto Show 2022 minggu ini

    Nissan telah mengumumkan bahawa mereka akan membawa beberapa model konsep yang berasaskan Frontier 2022 ke Chicago Auto Show 2022 minggu ini. Ia masing-masing dinamakan sebagai Project 72X, Project Hardbody dan Project Adventure.

    Bagi Frontier Project 72X, ia memberikan gambaran moden kepada trak popular Datsun 720 yang pertama kali diperkenalkan di Amerika Syarikat pada tahun 1979. Antara suntikan inspirasi daripada trak klasik itu yang digunakan adalah seperti warna luar kelabu dengan jalur grafik putih, rim besi yang dicat putih, kit tinggi 2.5 inci serta sport bar di bahagian belakang.

    Frontier Project Hardbody yang berwarna merah pula dihasilkan sebagai penghormatan kepada trak ikonik Nissan Hardbody D21, dan ia menerima kit tinggi tiga inci, rim rekaan khas block style seperti Hardbody asal, tempat meletak tayar gantian di bahagian atas ruang belakang serta grafik gaya 80-an.

    Paling ganas antara tiga trak konsep ini adalah Frontier Project Adventure. Kedudukannya ditinggikan sehingga lima inci dan dipadankan bersama tayar mud-terrain 34 inci, salur udara gentian karbon, pemijak tepi serta struktur khas di atas bumbung yang bukan sahaja boleh digunakan untuk meletak barang, tetapi juga khemah untuk berehat.

    Frontier yang digunakan sebagai asas untuk model konsep ini dilancarkan untuk pasaran Amerika Syarikat pada bulan Februari 2021, dan ia merupakan sebuah trak pikap saiz sederhana yang menggantikan Frontier D40 (dikenali di negara kita sebagai Navara “Mother Trucker”). Ia dipacu oleh enjin petrol V6 direct injection 3.8 liter berkuasa 310 hp/381 Nm, bersama padanan transmisi automatik sembilan kelajuan.

     
     
  • Ta Win Holdings bangunkan kilang baru bagi rebut peluang peningkatan industri EV di Asia Tenggara

    Ta Win Holdings bangunkan kilang baru bagi rebut peluang peningkatan industri EV di Asia Tenggara

    Anda mungkin tak tahu, ada bahagian penting dalam kereta elektrik Tesla sebenarnya dihasilkan di Malaysia bukan? Ta Win Holdings, salah satu pengeluar tembaga terbesar dalam negara yang membekalkan rod wayar tembaga kepada Tesla dan Toyota menerusi pembekal komponen automotif iaitu Aptiv yang berpusat di Ireland, menjangkakan ia akan membuka kilang baharu dengan teknologi pembuatan mereka sendiri.

    Ini adalah kerana syarikat tersebut mahu merebut peluang-peluang baharu dalam industri mobiliti elektrik yang kini semakin rancak. Pengarah urusan Ta Win, Ngu Tieng Ung memberitahu Nikkei Asia bahawa permintaan terhadap produk yang dikeluarkan syarikatnya kini sedang meningkat naik, terutamanya apabila semakin banyak jenama automotif mewujudkan barisan pembekalan dan pembuatan mereka di Asia Tenggara.

    November lalu, Ta Win telah pun mula membina kilang penyinaran alur elektron pertama dalam negara milik swasta menerusi anak syarikatnya iaitu Cyprium Wire Technology. Kilang berkenaan terletak di Alor Gajah, Melaka. Teknologi pembinaan dan juga pembuatan kilang tersebut diuruskan oleh CGN Dasheng Electron Accelerator Technology, iaitu anak syarikat China General Nuclear Power Group.

    Menurut Ngu, setelah kilang tersebut siap ia akan membantu Ta Win untuk membekalkan wayar ikatan silang penyinaran untuk industri kenderaan elektrik global, dan juga produk-produk kabel yang menggunakan teknologi ikatan silang alur elektron mereka yang sudah dipatenkan.

    Ngu turut menjelaskan bahawa wayar ikatan silang penyinaran tersebut mampu bertahan sehingga 25 tahun dan tahan panas sehingga 300 darjah selsius – ia adalah jauh lebih baik dari produk menggunakan penebat biasa yang hanya bertahan selama tujuh tahun dan tahan suhu hanya sehingga 105 darjah selsius. Wayar ikatan silang penyinaran ini juga lebih kalis terhadap lecetan, api, minyak dan asid, membolehkan ia lebih sesuai sebagai material untuk aplikasi EV bervoltan tinggi.

    Ta Win Holdings bangunkan kilang baru bagi rebut peluang peningkatan industri EV di Asia Tenggara

    Ngu berkata kilang baharu tersebut akan mempunyai kapasiti untuk menghasilkan wayar dan kabel ikatan silang penyinaran sepanjang 420 km sehari. Kereta elektrik biasanya memerlukan wayar sepanjang 6 km hingga 8 km, “di mana 70% daripadanya adalah wayar voltan tinggi,” tambah Ngu lagi.

    “Sebagai pengeluar wayar tembaga voltan tinggi milik swasta di rantau ini, kami mempunyai peluang yang sangat cerah…kami sudah mula menerima pelbagai pertanyaan,” kata Ngu.

    Kilang berkenaan dijangka akan siap pada Jun, tetapi Ta Win merancang untuk menambah dua lagi fasiliti produksi dalam masa 24 bulan. “Ia tentu akan meletakkan kami di landasan bagi terus memacu perniagaan kami dalam rantaian pembekalan EV global serta memperkasakan prospek jangka masa panjang kami untuk maju kehadapan,” tambahnya lagi.

    Ta Win Holdings telahpun tersenarai dalam Bursa Malaysia dan mempunyai nilai pasaran berjumlah RM478 juta. Selain membekalkan wayar tembaga kepada Aptiv, Ta Win turut memegang kontrak jualan eksklusif dengan Posco International (syarikat perdagangan terbesar Korea Selatan) untuk membekalkan rod wayar tembaga.

    Kontrak yang bernilai kira-kira RM2.7 bilion tersebut melibatkan pembekalan produk tembaga seberat 65,000 tan metrik selama tiga tahun kepada pelanggan utama Posco iaitu lljin Materials dan SK Nexilis.

     
     
  • Toyota Camry 2022 facelift untuk Malaysia ditunjuk dalam teaser, pelancaran pada 17 Februari

    Toyota Camry 2022 facelift untuk Malaysia ditunjuk dalam teaser, pelancaran pada 17 Februari

    Dilancarkan di Thailand November lalu, Toyota Camry facelift kini bakal tiba pula di Malaysia. Pengedarnya, UMW Toyota Motor telah mengeluarkan petunjuk bahawa pelancarannya akan dilakukan pada 17 Februari ini. Versi dikemaskini berkenaan ditawarkan selepas tiga tahun model XV70 generasi ketiga itu diperkenalkan pada 2018.

    Tidak banyak yang boleh dilihat dalam gambar wajah depan yang ditunjuk ini, melainkan bukaan udara di tengah yang lebih ketara dan diapit oleh kerangka bentuk C di sisinya. Pembaharuan lain mungkin juga akan melibatkan rekaan rim baru dan lampu belakang dalam penyudah gelap.

    Di dalam, perubahan dijangkakan lebih ketara, dengan tambahan skrin sentuh terapung untuk infotainmen berukuran sembilan inci. Kelengkapan bantuan pemandu Toyota Safety Sense 2.5+, yang kini melibatkan pengesan pejalan kaki waktu malam dan pengesan pengayuh basikal waktu siang serta kawalan melayar adaptif yang diperkemas antara hal yang akan termasuk sekali.

    Toyota Camry 2022 facelift untuk Malaysia ditunjuk dalam teaser, pelancaran pada 17 Februari

    Ada juga petunjuk kepada sistem janaan kuasa baru yang akan diperkenalkan untuk model berkenaan. Sebelum ini, Camry menggunakan enjin lama 2AR-FE 2.5 liter Dual VVT-i empat-silinder dengan transmisi enam-kelajuan dari model generasi ketujuh berbanding enjin Dynamic Force yang ditawarkan di pasaran lain.

    Ketika itu, khabar angin mengatakan keputusan untuk menggunakan enjin lama tersebut adalah disebabkan oleh kekurangan bekalan enjin baru yang ada, yang kini semakin bertambah baik. Enjin Dynamic Force sejak itu sudah mula diperkenalkan di Malaysia untuk model RAV4 serta Lexus ES 250.

    Jika ini menjadi kenyataan, Camry baru ini nanti akan menerima pertambahan kuasa. Dilengkapi dengan suntikan terus D-4S dan nisbah mampatan 13:1 serta mampu mencapai kecekapan suhu 40%, unit A25A-FKS ini menghasilkan 25 PS dan 15 Nm tork tambahan, memberikan 209 PS pada 6,000 rpm dan 250 Nm pada 5,000 rpm. Ini akan digandingkan dengan transmisi automatik Direct Shift lapan-kelajuan.

     
     
  • Great Wall Motor kembali ke M’sia tahun 2022 – Haval H6, Jolion, Ora Good Cat EV dijangka diperkenalkan

    Great Wall Motor kembali ke M’sia tahun 2022 – Haval H6, Jolion, Ora Good Cat EV dijangka diperkenalkan

    Great Wall Motor (GWM) telah mengumumkan rancangan untuk mengembangkan perniagaannya di Asia Tenggara dengan memasukkan Malaysia dan tiga lagi negara lain ke dalam operasi serantaunya tahun ini. Perkara ini didedahkan oleh Elliot Zhang, presiden Great Wall Motor ASEAN dan Thailand, ketika taklimat rancangan 2022 untuk pasaran Thai, laporan Nikkei Asia.

    “Untuk tahun 2022, kami akan terus mengembangkan perniagaan kami di ASEAN, dengan Thailand sebagai lokasi untuk ibu pejabat serantau. Bagi usaha untuk mengembangkan lagi perniagaan di antara rantau ASEAN, kami merancang untuk melancarkan GWM ke empat lagi buah negara, iaitu Malaysia, Vietnam, Filipina dan Singapura,” ujarnya. Buat masa ini, jenama tersebut berada di pasaran Thailand, Laos, Kemboja dan Brunei.

    Pengeluar kereta itu memasuki pasaran Thailand pada tahun lalu apabila memperoleh kilang pemasangan General Motors, dan kemudian mengulangi hasrat untuk menjadikan kemudahan tersebut sebagai hab pembuatan untuk Asia Tenggara. “Kami sudah mempunyai kilang kami di Rayong, dan kami akan terus melabur dalam kilang itu untuk menjadi hab bagi mengeluarkan produk kami untuk pasaran ASEAN,” kata Zhang.

    Jenama itu juga menggariskan strategi pertumbuhannya untuk Thailand, mengatakan bahawa ia bersedia untuk melancarkan lima model baharu di negara tersebut dan menjadikan jualan di pasaran itu kepada 20,000 unit tahun ini, meningkat dengan ketara daripada 3,702 unit yang diperoleh pada 2021.

    Syarikat ini menambah pihaknya akan terus mengembangkan bidang elektrifikasi di Thailand, dan dijangka ia dilihat menerusi perkembangan ketara dalam segmen itu pada tahun ini. Menurut Pengarah Urusan GWM Thailand Narong Sritalayon, jumlah jualan kereta tahunan Thailand dijangka mencecah 850,000 unit pada 2022, meningkat 12% daripada tahun sebelumnya, dan daripada jumlah itu, 11.4% (atau kira-kira 94,000 unit) adalah menjadi model elektrik.

    Ini adalah lebih daripada dua kali ganda daripada 40,000 kenderaan elektrik yang dijual di negara tersebut pada tahun lepas, katanya. Untuk mengembangkan lagi pasaran, Narong berkata syarikat itu akan melabur dalam infrastruktur EV, terutamanya dalam stesen pengecasan, dan pihaknya berharap untuk menambag kepada 55 stesen di seluruh negara tahun ini.

    Dengan kembalinya jenama tersebut ke pasaran Malaysia bakal menyaksikan beberapa model yang dijangkakan diperkenalkan di sini. Ini termasuklah Haval Jolion, yang pernah dilihat sedang diuji di sini pada tahun lepas dan sekali lagi pada Januari lalu. Di Thailand, SUV segmen-B itu turut ditawarkan dalam varian hibrid, dikuasakan oleh enjin 1,.5 liter pengecas turbo empat-silinder elektrifikasi yang menghasilkan kuasa kombinasi sehingga 190 PS dan tork 375 Nm, dengan transmisi DCT menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

    Selain itu, Haval H6 di pasaran Thailand juga ditawarkan dengan varian plug-in hybrid. Ia dikuasakan oleh enjin 1.5 liter pengecas turbo dan motor elektrik, dengan kuasa 243 PS dan 530 Nm. Model ketiga pula adalah Ora Good Cat, yang pernah dipertontonkan di sini pada Disember tahun lalu. Ia dijangka akan diperkenalkan oleh Go Auto pada tahun ini.

    GALERI: Haval Jolion Hybrid, pasaran Thailand

    GALERI: GWM Ora Good Cat, LHD dipertontonkan di Malaysia

    GALERI: Haval H6 Plug-in Hybrid

     
     
  • Volkswagen Passat Elegance 2022 kini diberikan aloi Bonneville 18″, Android Auto tanpa wayar – RM184k

    Volkswagen Passat Elegance 2022 kini diberikan aloi Bonneville 18″, Android Auto tanpa wayar – RM184k

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan sedikit peningkatan untuk kelengkapan yang diberikan kepada Passat Elegance 2.0 TSI. Untuk model tahun 2022, sedan segmen-D ini diberikan set baharu roda aloi Bonneville 18-inci dua-tona, menggantikan unit aloi pelbagai-jejari Liverpool 18-inci yang digunakan pada model sebelum ini.

    Selain itu, ia juga diberikan panel sentuhan baharu dengan maklumbalas haptic untuk sistem suhu tiga-zon Climatronic, yang mirip ditawarkan pada model Passat R-Line dan Arteon. Manakala unit utama Discover Pro 9.2-inci, yang sebelum ini hanya menyokong Apple CarPlay tanpa wayar, kini ia turut ditambah dengan Android Auto tanpa wayar.

    Bukan itu sahaja, ia juga kini ditampilkan dengan lencana VW baharu (dengan huruf yang lebih nipis), dan termasuk pada lencana pada roda stereng. Walau bagaimana pun, dengan adanya ciri yang dipertingkatkan ini, harganya juga naik sedikit. Kini Passat Elegance 2.0 TSI berharga RM183,680 (termasuk pengecualian SST), naik sebanyak RM1,824 berbanding sebelum ini.

    Volkswagen Passat Elegance 2022 kini diberikan aloi Bonneville 18″, Android Auto tanpa wayar – RM184k

    Lain-lain ciri masih dikekalkan, begitu juga dengan pilihan warna dan juga enjin 2.0 liter empat-silinder. Untuk Elegance, enjin ini mampu memberikan kuasa hingga 190 PS dan tork 320 Nm, dipadankan dengan transmisi dwi-klac DSG tujuh-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

    Walau bagaimana pun, model ini masih tidak didatangkan dengan brek kecemasan sendiri, tetapi dikekalkan dengan ciri sedia ada termasuk pemantauan titik buta Side Assist dengan kepekaan trafik lintasan belakang, sistem pemantauan titik buta, enam beg udara dan kawalan kestabilan.

     
     
  • Bosch tambah pelaburan RM1.9b bagi kembangkan fasiliti semikonduktor di Malaysia dan Jerman

    Bosch tambah pelaburan RM1.9b bagi kembangkan fasiliti semikonduktor di Malaysia dan Jerman

    Krisis semikonduktor di peringkat global nampaknya mungkin tidak akan selesai dalam masa terdekat ini. Menurut laporan Reuters, Bosch menjangkakan masalah cip dan peningkatan kos bahan mentah akan terus menjejaskan pengeluaran kenderaan sepanjang 2022.

    Setakat ini, pengeluaran kenderaan di Eropah masih belum pulih ke tahap pra-pandemik. Pada tahun 2019, lebih 92 juta kenderaan dihasilkan di Eropah, berbanding 80 juta pada 2021. Walau pun pengeluaran yang jauh lebih rendah, namun banyak pengeluar kereta utama mencatatkan keuntungan yang tinggi, dan Bosch meramalkan sebanyak 85 juta kenderaan akan dikeluarkan di Eropah pada tahun ini.

    Bagi mengekalkan bekalan cip, Bosch merancang untuk melabur sekitar US$457 million (RM1.9 bilion) untuk mengembangkan fasiliti pembuatan semikonduktor di Pulau Pinang (Malaysia), Dresden dan Stuttgart (Jerman). Difahamkan syarikat terbabit tidak merancang untuk melakukan sebarang pelaburan selain perancangan tersebut.

    Bosch tambah pelaburan RM1.9b bagi kembangkan fasiliti semikonduktor di Malaysia dan Jerman

    CEO Bosch Stefan Hartung memberitahu penerbitan terbabit, “Tahun lalu, secara jelasnya kami tidak mempunyai cip yang mencukupi untuk memenuhi permintaan. Namun ia akan menjadi lebih baik untuk 2022, signifikannya pada separuh kedua tahun ini. Moga pada 2023 ia semakin bertambah baik dan segera pulih.”

    Bosch menduduki tangga tertinggi dalam senarai Automotive News Europe bagi 100 pembekal utama global, dengan jualan mencecah US$46.52 bilion (RM194.62 bilion) pada 2020. Untuk 2021 pula, ia mencatatkan keuntungan sebanyak US$90 bilion (RM376.51 bilion) melebihi paras pra-pandemik, dengan margin EBIT sebanyak 4% (meningkat daripada 2.8% pada 2020).

    Syarikat itu menjangkakan pendapatan akan meningkat semula tahun ini, sekiranya “tiada gangguan tambahan yang besar.” Bahagian penyelesaian mobilitinya, yang terdiri daripada segmen komponen automotif yang membawa masuk sebahagian besar hasil Bosch, menyaksikan pertumbuhan yang lebih lemah disebabkan oleh kekurangan cip.

     
     
  • Ford Ranger Raptor 2023 bakal didedahkan pada 22 Februari ini – akan dijana enjin 3.0L V6 Turbodiesel?

    Ford Ranger Raptor 2023 bakal didedahkan pada 22 Februari ini – akan dijana enjin 3.0L V6 Turbodiesel?

    Selepas model generasi baharu trak pikap Ford Ranger didedahkan pada November tahun lalu, kini tiba masa ia tampil dengan varian prestasinya – Ford mengesahkan bahawa Ranger Raptor 2023 akan didedahkan untuk peringkat global pada bulan ini! Pendedahan tersebut akan dibuat secara atas talian, dan anda boleh menyaksikannya secara langsung PAUTAN INI pada 22 Februari nanti.

    Tiada sebarang perincian teknikal mahupun petunjuk rasmi berkenaan Ranger Raptor ini disebut oleh Ford, namun jenama Blue Oval tersebut menyifatkan bahawa Ranger Raptor 2023 tersebut “dibangunkan untuk peminat off-road,” dan ia telah “menerima kejuruteraan teknologi yang lebih pintar untuk mengawal komponen-komponen yang lebih lasak bagi mewujudkan Ranger Raptor paling canggih pernah dihasilkan.”

    Awal bulan ini, unit prototaip ujian Ranger Raptor generasi baharu tersebut dilihat sedang diuji di Thailand. Walaupun mengenakan pelekat penyamaran, Ranger Raptor berkenaan jelas menerima pelindung badan plastik yang nampak lebih menonjol, bersama overfender yang lebih tebal serta pemijak sisi magnesium khas.

    Ia juga dijangka akan menerima perincian lain kamera pemantau 360-darjah, pemantau titik buta, lampu kombinasi LED di belakang serta rim 20-inci sama seperti Ranger Wildtrak. Raptor merupakan varian model paling tinggi bagi Ranger, jadi boleh dijangkakan ia turut akan hadir dengan paparan instrumen digital dan ciri bantuan pemanduan lengkap.

    Unit ujian Ford Ranger Raptor 2023 yang dilihat di Thailand

    Untuk unit rangkaian kuasa, pelbagai spekulasi telah tersebar. Ada laporan mengatakan Ranger Raptor 2023 ini mungkin akan dijana oleh enjin diesel 2.0 liter dengan dua pengecas turbo seperti model sedia ada. Menurut eksekutif Ford pula, mereka boleh sahaja menyumbat enjin Coyote V8 5.0 liter dari Mustang kerana asas Ranger generasi baharu ini banyak dikongsi bersama SUV Ford Bronco.

    Namun spekulasi yang paling relevan untuk Ranger Raptor ini mungkin ia akan menerima enjin 3.0 liter V6 turbodiesel. Ini kerana enjin tersebut sememangnya telah dipadankan pada varian Wildtrak untuk Ranger generasi baharu ini. Enjin berkenaan mungkin akan menerima talaan lebih berkuasa untuk Ranger Raptor kelak.

    Apa pun, kita tunggu sahaja pendedahan Ford Ranger Raptor 2023 ini yang akan dibuat tidak sampai dua minggu dari sekarang. Tapi jangan lupa untuk terus bersama kami kerana Ford mungkin akan mendedahkan beberapa perincian kecil sebelum ia didedahkan sepenuhnya.

    GALERI: Ford Ranger Wildtrak 2022

    GALERI: Ford Ranger Sport 2022

    GALERI: Ford Ranger XLT 2022

    GALERI: Lakaran-lakaran rekaan Ford Ranger 2022

     
     
  • Rapid KL umum dua laluan baharu untuk bas perantara LRT di Subang Jaya dan Bukit Jalil

    Rapid KL umum dua laluan baharu untuk bas perantara LRT di Subang Jaya dan Bukit Jalil

    Rapid KL telah mengumumkan dua laluan baharu untuk bas perantara LRT, satu di Subang Jaya dan satu lagi di Bukit Jalil. Laluan berkenaan masih dalam peringkat percubaan sehingga 30 April ini.

    Bagi laluan bas untuk Subang Jaya, ia adalah untuk stesen LRT USJ 7 bagi Laluan Kelana Jaya, yang juga menempatkan stesen BRT. Laluan T776B ini bermula dari Apartment Angsana dan melalui Pangsapuri Jati, Medan Selera USJ 1, Pusat Industri IKS USJ 1, Pangsapuri Permai untuk ke stesen LRT USJ 7. Dari stesen tersebut, bas akan berhenti di Goodyear Court 3, SMK USJ 8 dan Zon Perindustrian USJ 1 sebelum kembali ke Apartment Angsana.

    Manakala bagi Laluan Sri Petaling, laluan baharu tersebut melibatkan bas T581B di antara PPR Bukit Jalil dan stesen LRT Alam Sutera. Ia akan berhenti di Paragon Heights, Taman LTAT, Residensi Bukit Jalil dan Perumahan Cahaya. Kedua-dua laluan T581B dan T776B mengambil masa 15 sahaja, bergantung pada keadaan trafik. Selang masa pula setiap 30 minit ketika waktu puncak dan setiap satu jam di luar waktu puncak. Waktu operasi bermula 6 pagi hingga 11.30 malam.

    Malah Rapid KL turut memaklumkan, terdapat perkhidmatan bas perantara percuma untuk pusat membeli-belah Pavilion Bukit Jalil yang baru dibuka dari LRT Awan Besar. Perkhidmatan bas percuma itu adalah sehingga 28 Februari ini.

     
     
  • Kerajaan mempertimbangkan bina terowong SMART di Shah Alam bagi kurangkan risiko banjir – Ismail Sabri

    Kerajaan mempertimbangkan bina terowong SMART di Shah Alam bagi kurangkan risiko banjir – Ismail Sabri

    Kerajaan mempertimbangkan untuk membina sistem SMART (Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir) di Shah. Alam untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan, laporan The Star. Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, Ia adalah antara cadangan jangka pendek dan jangka panjang yang dikemukakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk menyelesaikan isu banjir di negara ini dan bagi meminimumkan kesan bencana tersebut terhadap rakyat.

    Ismail Sabri berkata, cadangan untuk membina lebih banyak terowong seperti SMART di kawasan berkepadatan tinggi seperti Shah Alam telah dikemukakan dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana kebangsaan yang dipengerusikan oleh beliau baru-baru ini.

    Pembinaan terowong SMART bermula pada tahun 2003 dan siap dibina pada 2007, dengan kos sekitar RM1.88 bilion. Terowong sepanjang 9.7 km ini merupakan terowong pengurusan banjir paling panjang di Asia Tenggara dan kedua terpanjang di Asia, malahan ia juga menjadi terowong dwi-fungsi pertama di dunia dengan terowong sepanjang 4 km yang boleh dilalui kenderaan.

    “Mesyuarat terbabit juga telah meluluskan pelbagai cadangan yang dikemukakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) termasuk sungai-sungai utama dinaiktaraf, didalam dan dilebarkan, benteng dan ban sungai serta parit ditinggika serta membina lebih banyak tebatan banjir. Terdapat juga cadangan untuk membangunkan kawasan penempatan berdaya tahan seperti ‘sponge city’ di China,” katanya lagi.

    Tambah beliau, “Penyelesaian secara komprehensif ini memerlukan peruntukan yang besar membabitkan ratusan bilion ringgit yang memakan masa panjang, oleh itu mesyuarat bersetuju supaya kerajaan memfokuskan terhadap kawasan berisiko tinggi dan diberikan keutamaan untuk melaksanakan pelan penyelesaian masalah banjir.”

    Lain-lain cadangan yang turut dikemukakan termasuklah mewujudkan Pusat Ramalan Cuaca Numerikal Kebangsaan; meningkatkan sistem siren dan amaran berkaitan banjir di pusat Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) selain pemantauan bencana banjir menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

    Kerajaan mempertimbangkan bina terowong SMART di Shah Alam bagi kurangkan risiko banjir – Ismail Sabri

    “Turut dicadangkan ialah membangunkan sistem ramalan dan amaran banjir berasaskan kecerdasan buatan serta sistem amaran awal banjir lumpur, menaik taraf 100 buah stesen pencerapan cuaca permukaan automatik sedia ada yang usang,” katanya lagi.

    Malah beliau juga telah mengarahkan pihak berkuasa untuk memastikan perancangan bandar mengambil kira risiko banjir. “Kita juga akan mengukuhkan komuniti setempat di mana ketua masyarakat akan ditugaskan sebagai responden pertama dalam sesuatu bencana,” kata Ismail Sabri.

    Banjir besar yang melanda beberapa negeri baru-baru ini telah menyebabkan kerugian besar hampir mencecah RM6.1 bilion yang melibatkan kerosakan harta dan insfrastruktur awam, rumah, kenderaan dan premis perniagaan.

     
     
  • SISMA Auto Hub dibuka di Glenmarie, Shah Alam – pusat 3S untuk beli, jual, servis kereta mewah

    SISMA Auto Hub dibuka di Glenmarie, Shah Alam – pusat 3S untuk beli, jual, servis kereta mewah

    SISMA Auto telah mengumumkan pembukaan SISMA Auto Hub, pusat 3S premium pelbagai jenama kereta mewah yang terletak di Glenmarie, Shah Alam, iaitu tapak yang dahulunya merupakan pusat 3S Land Rover. Di mana SISMA Auto Hub Glenmarie ini memberikan pilihan kepada pelanggan untuk membeli, menjual atau mendapatkan servis bagi sebarang jenama kereta mewah.

    Pusat 3S premium ini menampilkan bilik pameran yang memuatkan 14 buah kereta dan 16 ruangan servis yang dilengkapi dengan peralatan dan kelengkapan diagnostik terkini. Pelanggan SISMA Auto Hub juga boleh membeli kereta mewah terpakai yang disahkan daripada nama yang dipercayai.

    Selain itu, mereka juga boleh menjual kereta mewah terpakai pada harga yang berpatutan, dengan cepat dan telus dan mendapatkan khidmat servis bagi sebarang jenama kereta mewah yang dibeli dari mana-mana juga dengan mudah.

    “Bagi kami, pengalaman premium 3S sewajarnya disediakan untuk semua pemilik kereta mewah. Di SISMA Auto Hub, pasukan kami yang berkemahiran tinggi akan memberikan perkhidmatan unggul yang sinonim dengan SISMA Auto,” kata Syed Khalil Syed Ibrahim, Pengarah Urusan, SISMA Auto.

    Selain daripada Jaguar Land Rover (Malaysia) dan SISMA Auto Hub, syarikat tersebut pada masa ini mengendalikan dua cawangan Volvo, iaitu bilik pameran di Bukit Bintang, dan Pusat Service and Selekt di Glenmarie, yang terletak bersebelahan dengan SISMA Auto Hub. Malahan Volvo Car Malaysia telah mengiktiraf SISMA Auto menerusi anugerah ‘Dealer of the Year’ untuk dua tahun berturut-turut iaitu bagi 2020-2021.

    Dalam masa yang sama, SISMA Auto menyasarkan untuk terus berkembang bersama jenama Volvo di Malaysia dan telah memulakan kerja pembinaan pusat kemudahan utama Volvo 3S di Sungai Besi. Pusat 3S empat tingkat yang mempunyai keluasan 50,000 kaki persegi ini melambangkan kemajuan perniagaan Volvo yang dikendalikan oleh SISMA Auto. Pusat kemudahan SISMA Auto Volvo yang baharu dijangka akan mula beroperasi pada penghujung 2022.

     
     
  • Volkswagen Golf Mk8 2022 bakal dilancarkan pertengahan Feb ini – varian GTI dan R-Line, CKD

    Volkswagen Golf Mk8 2022  bakal dilancarkan pertengahan Feb ini – varian GTI dan R-Line, CKD

    Pada Oktober lalu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan bahawa Volkswagen Golf Mk8 bakal dilancarkan di sini, dengan menawarkan dua varian iaitu R-Line dan GTI.

    Nampak gayanya tarikh pelancaran itu semakin hampir, malah VPCM secara rasminya akan melancarkan Golf Mk8 pada pertengahan Februari ini, menurut apa yang dimaklumkan menerusi Facebook VWClubMalaysia. Malahan semalam VPCM telah mengumumkan kuiz (berakhir pada 11 Feb) di Instagram di mana orang ramai berpeluang memenangi dua pas untuk menyertai majlis pelancarannya yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

    Menerusi perkhabaran yang pernah dikongsikan sebelum ini, varian R-Line diberikan enjin 1.4 liter TSI dengan hamburan 150 PS dan tork 250 Nm. Namun tidak lagi diberikan DSG klac kering tujuh-kelajuan, sebaliknya dipadankan dengan kotak gear torque converter (dari Aisin) lapan-kelajuan yang memacukan kuasa ke roda hadapan. Ia membolehkan R-Line ini mengambil masa 8.5 saat untuk mencapai 100 km/j, berbanding 8.2 saat bagi Golf R-Line Mk7.5 yang dilengkapi DSG.

    Volkswagen Golf Mk8 2022  bakal dilancarkan pertengahan Feb ini – varian GTI dan R-Line, CKD

    Manakala untuk GTI, ia dikuasakan dengan unit EA888 2.0 liter turbo empat-silinder, yang menghasilkan 245 PS dan 370 Nm, iaitu meningkat 15 PS dan 20 Nm berbanding GTI terdahulu, dan dipadankan dengan DSG klac kering tujuh-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan. GTI ini mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.4 saat.

    Buat masa ini, harganya masih belum didedahkan, tetapi unit pemasangan tempatan (CKD) dari kilang Volkswagen di Pekan, Pahang ini dijangka akan ditetapkan harga yang lebih kompetitif berbanding model sebelumnya. Ketika Golf Mk7.5 CBU dilancarkan pada 2019, 1.4 TSI R-Line ditawarkan pada harga RM166,990, sementara GTI pula berharga RM239,990.

    GALERI: Volkswagen Golf GTI Mk8 2022

    GALERI: Volkswagen Golf TSI R-Line 2022

     
     
  • PANDU UJI: Kia Carnival 2022 lebih bergaya dan prestasi sederhana tapi menang bab praktikaliti

    PANDU UJI: Kia Carnival 2022 lebih bergaya dan prestasi sederhana tapi menang bab praktikaliti

    Sebelum ini, kehadiran Kia Carnival di Malaysia tidaklah begitu diperhatikan. Malah kelibatnya agak jarang-jarang kelihatan di jalan raya. Bagaikan ia MPV yang kurang popular. Mungkin ramai yang kurang yakin dengan prestasinya, atau barangkali rekaannya kurang menambat hati. Atau lebih ramai memilih untuk membeli SUV berbanding MPV.

    Walau bagaimana pun, sudah tiba masanya persepsi tersebut diperam atau dilupakan terus dengan kehadiran Carnival 2022 di pasaran tempatan. Carnival serba baharu yang dibawa masuk terus dari negara kelahirannya, Korea Selatan, bagai mengubah 360 darjah pandangan skeptikal mengenainya. Tengok di hadapan mata, mampu menggetarkan jiwa. Tetapi adakah rekaan yang lebih versatil dan prestasinya berbaloi dengan harganya yang agak tinggi iaitu hampir RM200k?

    Baru-baru ini kami diundang menyertai sesi pandu uji Carnival 2022 oleh Dinamikjaya Motors (anak syarikat Bermaz Auto), dari ibu pejabatnya di Shah Alam menuju ke Ipoh, Perak. Walau pun jarak pemanduan yang agak pendek secara bergilir, namun ia masih memberi sedikit kesempatan untuk berkongsi pengalaman mengendalikan model baharu dari Kia ini yang lebih mahu digelar sebagai Grand Utility Vehicle (GUV), bukannya MPV.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • MSF SuperMoto 2021/2022 – Hafizh Syahrin bakal beri saingan dalam pusingan ketiga 13 Februari ini

    MSF SuperMoto 2021/2022 – Hafizh Syahrin bakal beri saingan dalam pusingan ketiga 13 Februari ini

    Pusingan ketiga perlumbaan MSF Supermoto 2021/2022 yang akan berlangsung hujung minggu ini (11 Februari) di Litar Tangkak bakal menyaksikan pelumba MotoGP dan World Superbike Championship (WSBK) negara, Hafizh Syahrin memberi saingan kepada pelumba elit lain seperti Azlan Shah Kamaruzaman (juara Asian Road Racing) dan Danial Haiqal dari pasukan KMTR.

    “Saya suka bila beliau berlumba sekali kerana ia akan menjadikan perlumbaan lebih ‘syok’ dan mengujakan,” kata Azlan yang sebelum ini pernah selalu berentap dengan Hafizh dalam perlumbaan. Paling diingati adalah waktu perlumbaan Moto2 di Suzuka pada tahun 2015 di mana Azlan berjaya memintas Hafizh dan menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan kelebihan masa hampir lima saat.

    Hafizh pula memberitahu bahawa beliau hanya akan cuba berlumba dengan tenang kerana masih mencari rentak. Disember lepas, beliau sudah bertanding dalam perlumbaan supermoto yang dianjurkan oleh ZK Racing dan Brad, dan berjaya mendominasi keseluruhan perlumbaan. Dalam persada antarabangsa, tahun ini Hafizh akan menyertai MIE Racing dalam perlumbaan WSBK, menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R.

    Bagi Danial yang baru berusia 22 tahun dan sudah menunjukkan saingan sengit kepada pelumba berpengalaman seperti Azlan dan Gabit Saleh semasa pusingan kedua, beliau akan berusaha sebaik mungkin dalam perlumbaan. “Saya harap dapat memberikan saingan yang hebat kepada dua pelumba GP itu dan terus mengumpul mata untuk kejuaraan. Perlumbaan hujung minggu ini pastinya berbeza berbanding perlumbaan yang lain.”

    Perlumbaan yang bakal berlangsung hujung minggu ini bagaimanapun tidak akan disertai oleh Gabit yang merupakan juara FIM Supermoto atas masalah kesihatan. Perlumbaan ini akan disiarkan secara langsung melalui laman MSF Series serta Facebook MotoMSF bermula dengan sesi kelayakan pada jam 11.30 pagi.

    Perlumbaan MSF Supermoto melibatkan saingan empat kategori iaitu Rookie, Adavanced, All Stars Legend dan All Stars Pro. Selepas dua pusingan, kategori Rookie menyaksikan Ng Hoi Yew berada di tangga teratas, diikuti Philip Tang dan Brian Kee Thau Liang, kategori Advanced didominasi oleh Syafiq Asyraf, diikuti Afiff Izzuddin dan Osama Abdullah, manakala dalam kategori All Stars Legends Kenny Lee berada di tempat teratas, mendahului Oh Kang Beng dan Keith Chia. Bagi kategori All Stars Pro, Daniel Haiqal kini mencatat mata paling banyak, diikuti Gabit Saleh dan Zhafir Zarkasha.

     
     
  • Jualan lembab VinFast dan pelaburan besar dalam EV sebabkan Vingroup rugi sekitar USD 1 bilion tahun lalu

    Jualan lembab VinFast dan pelaburan besar dalam EV sebabkan Vingroup rugi sekitar USD 1 bilion tahun lalu

    Vingroup, syarikat induk bagi jenama automotif Vietnam iaitu VinFast merekodkan kerugian sebelum cukai sekitar 23.9 trilion dong Vietnam (sekitar USD1 bilion atau RM4.4 bilion) pada segmen pembuatannya tahun lalu, menurut laporan Nikkei.

    Kerugian tersebut adalah disebabkan jualan lembab bagi model-model VinFast yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman di Vietnam, dalam masa yang sama jenama tersebut membuat banyak pelaburan terhadap perniagaan kereta elektrik sepenuhnya (EV).

    Tahun lalu, kereta dengan enjin konvensional VinFast mencatatkan jualan sebanyak 35,700 unit, atau meningkat 20% berbanding tempoh sama pada 2020. Walau bagaimanapun, kilang pemasangan syarikat berkenaan di Cat Hai, Hai Phong yang telah beroperasi sejak 2019 beroperasi dalam kapasiti yang sangat rendah, memandangkan fasiliti berkenaan dibina bagi menghasilkan 250,000 unit kereta setahun.

    VinFast sebelum ini sudah pun menyatakan bahawa mereka akan mula menghentikan penghasilan kereta berkuasa petrol, dan akan bertukar kepada jenama elektrik sepenuhnya menjelang akhir 2022. VinFast turut menyatakan bahawa mereka telah menerima hampir 40,000 tempahan untuk model-model EV mereka dalam tempoh tidak sampai empat minggu selepas dilancarkan.

    VF e34 merupakan model EV pertama VinFast, dilancarkan pada 2021. Tahun ini VinFast akan memperkenalkan model VF5, VF8 dan VF9, manakala VF6, VF7 dan juga model sedan baharu serta pelbagai model lain akan diperkenalkan bermula 2023.

    Untuk bertukar menjadi syarikat EV sepenuhnya, Vingroup perlu membuat pelaburan yang besar termasuk untuk menyediakan kilang bateri serta mewujudkan jaringan pengedar di Amerika Syarikat dan Eropah. Menurut pengasas dan pengerusi Vingroup iaitu Pham Nhat Vuong kepada media, kerugian dalam perniagaan automotifnya memang sudah dijangka dalam masa terdekat.

    Melihat kepada prestasi kewangannya, Vingroup merekodkan kerugian bersih kumulatif sekitar 7.5 trilion VND (sekitar RM1.38 bilion), berlawanan dengan keuntungan sebanyak 4.5 trilion VND (sekitar RM829 juta) yang dicatatkan pada 2020.