Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Suzuki Malaysia buka pendaftaran minat untuk GSX-R150 – harga RM11,XXX, Belang belum ada berita

    Suzuki Malaysia buka pendaftaran minat untuk GSX-R150 – harga RM11,XXX, Belang belum ada berita

    Sejak pengedaran motosikal Suzuki untuk pasaran Malaysia diambil alih oleh syarikat baru hujung tahun 2020, kita sudah melihat pelbagai model berkuasa tinggi dilancarkan. Namun bagi model berkapasiti rendah, sehingga kini ia masih lagi belum tiba – berita sebelum ini memberitahu pelancaran akan berlaku pada suku pertama 2022.

    Sebentar tadi, muncul satu lagi berita – Suzuki Malaysia membuka tempahan minat untuk GSX-R150, melalui satu laman web khas, dan ada lingkungan harga yang dipaparkan, iaitu RM11,xxx. Walaubagaimanapun, bagi Belang yang sepatutnya juga tiba pada sama, tiada sebarang berita lanjut yang disiarkan.

    Ketibaan model ini ke pasaran Malaysia sebenarnya boleh dianggap sudah lambat kerana ia sudah berusia beberapa tahun sejak dilancarkan di negara jiran, sementara melihat kepada harganya pula, ia tidak lari jauh berbanding dua pesaing yang sudah sedia ada dalam pasaran iaitu Yamaha R15 (RM11,988) dan Honda CBR150R (RM12,499).

    Suzuki Malaysia buka pendaftaran minat untuk GSX-R150 – harga RM11,XXX, Belang belum ada berita

    Suzuki GSX-R150 dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok DOHC suntikan bahan api 150 cc yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan 19 hp pada 10,500 rpm dan 14 Nm tork 9,000 rpm.

    Motosikal berbentuk sports ini juga datang dengan brek ABS, panel meter LCD, brek cakera depan dan belakang, tangki bahan api 11 liter, rim 17 inci, fork teleskopik di hadapan, monoshock di belakang serta lampu depan LED.

     
     
  • Volvo XC90 B5 Inscription Plus 2022 kini di Malaysia — SUV mild hybrid dengan 249 PS, harga dari RM387k

    Volvo XC90 B5 Inscription Plus 2022 kini di Malaysia — SUV mild hybrid dengan 249 PS, harga dari RM387k

    Volvo Cars Malaysia (VCM) telah melancarkan model XC90 B5 AWD Inscription Plus, yang menyertai XC90 Recharge T8 AWD Inscription Plus dalam barisan penawarannya. Dengan model kedua berkenaan merupakan model plug-in hybrid, penawaran terbaru ini sedikit berbeza kerana menggunakan teknologi mild-hybrid, dibezakan dengan lencana “B” yang digunakan.

    B5 AWD Inscription Plus kini menggantikan T5 AWD Momentum dan dijual pada harga RM386,842.12 atas jalan tidak termasuk insurans, dan itu termasuk pengecualian SST yang masih berlangsung — pada kadar 100% memandangkan ini model CKD. Sebagai perbandingan, Recharge T8 AWD Inscription Plus dijual pada harga sedikit lebih tinggi, RM393,845.92.

    Janaan kuasa mild hybrid B5 ini bukanlah baru untuk pasaran tempatan, kerana ia pernah ditawarkan untuk XC60 facelift sejak November lalu. Tetapannya sama dengan XC90, dengan enjin petrol empat-silidner Drive-E 2.0-liter dan transmisi lapan-kelajuan automatik yang menyalurkan kuasa ke semua empat roda.

    Volvo XC90 B5 Inscription Plus 2022 kini di Malaysia — SUV mild hybrid dengan 249 PS, harga dari RM387k

    Motor elektriknya pula terletak di antara kedudukan enjin dan transmisi, dan bertindak sebagai generator penghidup bersepadu (ISG), yang membantu menjana semula tenaga kinetik ketika membrek dan menyokong enjin dengan menyediakan tambahan 14 PS (13 hp) dan 40 Nm. Motor elektriknya dan bateri lithium-ion disambungkan dan beroperasi dengan binaan elektrikal 48-volt, dengan output keseluruhan sistem adalah 249 PS (246 hp) dari 5,400 hingga 5,700 rpm dan 350 Nm tork dari 1,800 hingga 4,800 rpm.

    Tetapan mild hybrid ini didakwa menawarkan operasi Start/Stop yang lebih lancar dan memberikan bacaan penggunaan minyak 8.2 liter per 100 km, sementara pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat. Laju maksimum dihadkan pada 180 km/j.

    Dari segi kelengkapan, varian baru ini hampir sama dengan Recharge T8 Inscription Plus, dengan barang standard seperti casis aktif dengan empat suspensi udara, pakej penggayaan luaran Inscription, rim aloi 10-jejari saiz 20-inci hitam dengan tayar 275/45, lampu depan LED dengan ciri Active High Beam serta Active Bending Lights, DRL LED, bumbung panoramik serta sistem pintar tanpa kunci.

    Di dalam, kelengkapan yang disediakan termasuklah kluster instrumen digital 12.3-inci, head-up display, tombol gear kristal Orrefors, tombol kawalan corak berlian, kerusi selesa dengan balutan kulit Nappa, kerusi depan larasan kuasa dengan fungsi memori, kawalan pendingin hawa empat-zon dengan corong dibarisan kedua dan ketiga, sistem infotainmen Sensus Connect (Android Auto dan Apple CarPlay), 19-pembesar suara, sistem bunyi Bowers & Wilkins 1,400-watt dan pengecas telefon tanpa wayar.

    Ciri keselamatan juga sama, model ini turut hadir dengan City Safety (brek kecemasan autonomous dan sokongan stereng), Lane Keeping Aid, penghindaran terkeluar laluan dengan pengesan bucu jalan, penghindaran laluan bertentangan, peninjau titik buta dengan bantuan stereng, amaran lintasan trafik dengan brek automatik, Pilot Assist dan kawalan melayar adaptif semuanya sebagai ciri standard.

    Jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan turut disertakan dengan setiap pembelian, dan pembeli boleh memilih daripada empat warna luaran — Denim Blue, Onyx Black dan Pebble Grey (warna metalik) dan Crystal White (penyudah pearl).

     
     
  • Honda M’sia akan lancarkan program servis bergerak

    Honda M’sia akan lancarkan program servis bergerak

    Honda Malaysia (HMSB) telah mengumumkan bahawa ia akan melancarkan program servis bergerak tidak lama lagi, bagi memberikan lebih fleksibiliti untuk khidmat servis selepas jualannya.

    Program ini disasarkan untuk membolehkan pelanggannya menservis kereta dengan lebih selesa, dan tempahan untuk perkhidmatan tersebut boleh dibuat dengan mudah menggunakan aplikasi HondaTouch. Selepas menerima tempahan, pasukan servis bergerak ini akan ke tempat yang dipilih oleh pelanggan pada masa yang telah ditetapkan.

    Menurut HMSB lagi, langkah untuk memperkenalkan pilihan servis baharu ini juga disasarkan untuk menambahbaik pengalaman servis untuk jenamanya, selari dengan fokus utama syarikat berkenaan untuk tahun ini. Walau bagaimanapun, tarikh sebenar bila perkhidmatan ini akan dilancarkan masih belum diumumkan, tetapi Honda Malaysia ada menyebut bahawa ia akan bermula “dalam masa terdekat”.

    Honda M’sia akan lancarkan program servis bergerak

    Namun, salah satu pengedar rasmi Honda di Lembah Klang iaitu Weststar Auto telah pun memulakan perkhidmatan servis bergerak ini bermula April tahun lalu.

    Program yang dibuat atas inisiatif pengedar itu sendiri menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan yang boleh dibuat di tempat yang dipilih pelanggan dengan servis seperti penukaran minyak dan penapis minyak enjin, pemeriksaan dan penukaran pad brek, penukaran bateri, serta kerja-kerja berkaitan panggilan semula.

     
     
  • Proton jual 100,423 unit X50, X70 dari 12 Dis 2018-31 Jan 2022 – dakwa sebagai jenama No. 1 bagi SUV

    Proton jual 100,423 unit X50, X70 dari 12 Dis 2018-31 Jan 2022 – dakwa sebagai jenama No. 1 bagi SUV

    Proton melancarkan SUV pertamanya, X70 pada 12 Disember 2018, dengan model import sepenuhnya (CBU) yang dijual terlebih dahulu sebelum versi pemasangan tempatan (CKD) diperkenalkan pada 12 Februari 2020. Pengeluar kereta nasional ini kemudiannya memperkenalkan SUV kedua keluarannya, X50, pada 27 Oktober 2020.

    Sejak diperkenalkan, kedua-dua SUV terbabit umpama ‘pisang goreng panas’ dan cukup laku keras, malah sejak pelancaran X70 sehingga 31 Januari 2022, Proton telah menghantar sebanyak 100,423 unit SUV keluarannya.

    Walau bagaimana pun, Proton tidak memperincikan pecahan jualan tahunan untuk model SUV berkenaan tetapi berkata angka yang dicatatkan itu melayakkannya untuk menjadi “jenama SUV nombor satu di Malaysia”. Proton turut berterima kasih kepada para pelanggannya kerana memilih model SUV keluarannya.

    Proton jual 100,423 unit X50, X70 dari 12 Dis 2018-31 Jan 2022 – dakwa sebagai jenama No. 1 bagi SUV

    Tahun lalu, Proton telah menjual sebanyak 114,708 kenderaan, dengan X50 dan X70 masing-masing menjadi model kedua dan ketiga terlaris selepas Saga. Di mana X50 telah mencatatkan 25% daripada jumlah keseluruhan jualan Proton pada tahun 2021, manakala X70 pula sebanyak 14.3%.

    Tahun ini, CEO Proton Li Chunrong menyasarkan syarikat pengeluar ini mampu menjual 150,000 unit kenderaan, iaitu dinaikkan sebanyak 30% daripada sasaran 2021. Bulan pertama tahun 2022 memberikan satu cabaran buat Proton, dengan hanya terjual sebanyak 4,453 unit kenderaan sahaja, penyusutan yang signifikan berbanding jualan cecah lima angka pada sebelum ini. Antara faktor penyebab jualan menyusut pada bulan terbabit ialah bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada hujung tahun lalu, sekaligus menjejaskan pembekal, produksi dan juga jumlah kenderaan yang ada dalam stok pengedar.

    Buat masa ini, X70 menawarkan empat varian standard dengan harga dari RM94,800 hingga RM122,800 serta 2,000 unit Edisi Istimewa yang dijual pada harga RM123,800. Manakala X50 pula dijual pada harga bermula RM79,200 hingga RM103,300 dengan menawarkan empat varian.

     
     
  • AirAsia bakal sewa 100 unit teksi terbang Avolon untuk tawarkan perkhidmatan e-hailing di Asia Tenggara

    AirAsia bakal sewa 100 unit teksi terbang  Avolon untuk tawarkan perkhidmatan e-hailing di Asia Tenggara

    AirAsia Aviation Group Limited (AirAsia) telah menandatangani kerjasama dengan Avolon, syarikat penyediaan pesawat yang berpangkalan di Ireland, untuk menyewa sekurang-kurangnya 100 unit pesawat Vertical Aerospace VX4 electric vertical take-off and landing (eVTOL), ujar kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan terbabit.

    Perjanjian terbabit adalah sebahagian daripada 500 unit pesawat VX4 Avolon yang telah ditempah, dengan nilai AS$2 bilion (RM8.36 bilion). Daripada jumlah tersebut, 250 unit pesawat adalah untuk Gol and Grupo Comporte di Brazil, 100 unit untuk Japan Airlines dan 100 unit untuk AirAsia.

    Menurut Pengerusi dan CEO Vertical Aerospace Domhnal Slattery, pesawat kecil itu akan menjalani ujian penerbangan pada April ini. Manakala Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Berhad, Tony Fernandes yang telah memaklumkan kepada Reuters berkata, kemungkinan besar operasi pesawat yang disasarkan untuk perkhidmatan e-hailing udara itu akan diluluskan lebih cepat untuk Malaysia dan Singapura, berbanding bagi Indonesia, Thailand dan Filipina.

    AirAsia bakal sewa 100 unit teksi terbang  Avolon untuk tawarkan perkhidmatan e-hailing di Asia Tenggara

    Vertical Aerospace VX4

    Malahan menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram kelmarin, Tony turut berkongsi khabar berita ini dan memaklumkan AirAsia Ride sudah bersedia untuk beroperasi dan ia akan bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke KL Sentral dengan tempoh penerbangan hanya mengambil masa selama 11 minit sahaja.

    Pelanggan boleh menempah perkhidmatan e-hailing ini menerusi aplikasi mobil AirAsia dan akan ditawarkan dengan harga yang boleh diakses, seperti yang dilakukan untuk menempah penerbangannya, jelas Tony. “Kami tidak mahu ia menjadi produk eksklusif. Kami mahu semua orang boleh menggunakan perkhidmatan ini,”ujar Tony lagi.

    Pesawat Vertical Aerospace VX4 ini boleh memuatkan seorang juruterbang dan empat penumpang dalam satu masa, dan ia boleh dipacu dalam kelajuan maksimum cecah 325 km/j, dan jarak penerbangan melebihi 160 km. Ia menggunakan penjana kuasa elektrik dengan kadar lebih datu megawat, atau 1,341 hp.

    AirAsia bakal sewa 100 unit teksi terbang  Avolon untuk tawarkan perkhidmatan e-hailing di Asia Tenggara

    Diasaskan pada tahun 2016 oleh Stephen Fitzpatrick, yang juga merupakan pengasas pembekal tenaga Ovo Energy UK, Vertical Aerospace yang berpusat di Bristol, United Kingdom. Pesawat eVTOL pertama mereka, VA-X1 mendapat kebenaran untuk terbang oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam pada 2018.

    VX4 diperkenalkan pada 2021, dan program ujian penerbangannya dijadualkan diteruskan sepanjang tahun ini. Ia mendapat pensijilan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam dan European Union Aviation Safety Agency (EASA) dijadualkan pada 2024, dan selepas itu penghantaran pertamanya akan mula dilakukan.

    Pada Mac 2021, AirAsia telah mendedahkan pihaknya menyasarkan untuk melancarkan perkhidmatan teksi terbang tahun ini, dengan kerjasama National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) untuk perkhidmatan penghantaran dron. NTIS turut bekerjasama erat dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk memastikan keselamatan perkhidmatan udara tanpa pemandu dalam persekitaran bandar memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh CAAM.

     
     
  • Ducati XDiavel Nera 2022 didedah – terhad 500 unit

    Ducati XDiavel Nera 2022 didedah – terhad 500 unit

    Dalam satu siri web terbarunya, Ducati telah memperkenalkan model XDiavel Nera kepada dunia. Keistimewaan model ini adalah ia dihasilkan dengan kerjasama sebuah syarikat Itali yang terkenal dengan kerja kemasan kulit sejak tahun 1912, iaitu Poltrona Frau, dan hanya akan dikeluarkan sebanyak 500 unit sahaja.

    Nera dalam bahasa Itali membawa maksud hitam, dan ini sepadan dengan penampilan serba gelap yang digunakan pada model tersebut. Memberikan kontras kepada penampilannya adalah angkup brek Brembo serta penutup head yang diwarnakan merah.

    Keistimewaan utama pada XDiavel Nera adalah pada bahagian tempat duduk. Ia menggunakan balutan kulit asli lembut buatan tangan Pelle Frau, yang merupakan produk istimewa Poltrona Frau. Pelanggan boleh memilihnya dalam lima warna iaitu Siam, Steel Blue, Cemento, India ataupun Selva.

    Kulit istimewa ini turut digunakan pada bahagian tempat duduk penumpang berserta penyandarnya, dan ia datang dengan ukiran lazer bentuk X yang dianggap sesuai dengan namanya. Nombor keluaran model ini akan dicetak pada bahagian kerangkanya dan setiap pembeli juga diberikan dengan rantai kunci serta fail dokumen yang dibuat daripada kulit Pelle Frau.

    Untuk menjadikan koleksi mereka lebih lengkap, semasa pembelian XDiavel Nera ini, pemilik juga boleh mendapatkan helmet Arai openface yang menggunakan grafik luaran gelap sama seperti motosikal dan fabrik dalam berwarna merah.

    Bahagian mekanikal XDiavel Nera ini masih lagi sama seperti XDiavel S dan Dark, termasuk enjin Testastretta DVT 1,262 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa 160 hp pada 5,000 rpm dan 126 Nm tork pada 5,000 rpm. Antara ciri elektronik yang datang standard pada model ini adalah mod tunggangan, Cornering ABS, Traction Control, Cruise Control, Ducati Power Launch dan skrin TFT 3.5 inci dengan grafik khas XDiavel Nera.

     
     
  • PANDU UJI: Toyota Camry 2.5 V facelift 2022 dengan enjin baharu – pemandu riang, penumpang gembira!

    PANDU UJI: Toyota Camry 2.5 V facelift 2022 dengan enjin baharu – pemandu riang, penumpang gembira!

    Pasaran sedan sudah tidak meriah macam dulu. Buat masa sekarang, sedan yang betul-betul boleh jual adalah dalam kelas segmen-B seperti Toyota Vios dan juga Honda City. Untuk segmen-C, hanya Honda Civic yang betul-betul laku, sementara pencabarnya yang lain seperti Toyota Corolla dan Mazda 3 cuma sekali sekala boleh kita lihat atas jalan raya.

    Ini semua angkara SUV. Boleh kata pembeli model-model sedan yang dijual pada harga bermula RM100k hingga RM150k sebelum ini sudah beralih untuk membeli SUV. Segmen-C pun dah kurang memberangsangkan, apatah lagi segmen-D kan? Bagi model sedan buatan Jepun/Korea yang boleh dikatakan mewah dalam kelas ini bukan sahaja perlu bersaing dengan SUV, malah mereka juga diancam dengan model-model sedan Eropah yang mula masuk ke pasaran entry level seperti Mercedes-Benz A-Class sedan dan juga BMW 2 Series Gran Coupé.

    Walaupun dihimpit oleh bahagian pasaran yang semakin mengecil, Toyota Camry masih kekal bertahan di Malaysia. UMWT telah membawa model generasi ke-lapan Toyota Camry ke pasaran Malaysia pada November 2018, dan minggu ini versi facelift 2022 secara rasminya telah dilancarkan di sini.

    Rasanya semua setuju, antara semua generasi Camry, model terbaharu ini merupakan versi yang paling handsome. Malah jika dibandingkan dengan seteru utamanya iaitu Honda Accord generasi ke-10, Camry tampil lebih menarik dan buat pertama kali ia nampak lebih ‘muda’, meninggalkan imej ‘uncle-uncle’ pada model-model sebelum ini.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Polis Johor cekup lelaki buat aksi wheelie sambil bawa anak semata-mata mahu tarik perhatian netizen

    Seorang lelaki telah ditahan oleh Polis Johor Bahru Utara kerana menunggang motosikal secara berbahaya bersama seorang kanak-kanak yang dipercayai anaknya sendiri. Aksi yang dirakamkan menerusi video itu telah tular di laman media sosial dan mendapat kecaman netizen kerana perbuatan tersebut ternyata mampu mengundang padah.

    Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid, pihaknya menerima maklumat pada 17 Februari lalu dengan paparan video berdurasi 36 saat yang memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal Honda EX5 secara berbahaya.

    “Lelaki terbabit didapati melakukan aksi wheelie sambil menunggang motosikal di Jalan Bukit Impian 1, Taman Impian Emas, Skudai, dipercayai semata-mata bagi meraih perhatian warganet di media sosial. Video terbabit dipercayai dirakamkan oleh seorang rakannya sebelum dimuatnaik ke Facebook lelaki terbabit iaitu ‘Hafiz Sim’ pada 15 Februari 2022,” kata Rupiah.

    Hasil siasatan yang dilakukan oleh pihak polis, lelaki berkenaan berjaya dikesan dan ditahan untuk membantu siasatan.

    Rupiah menambah, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000.

    “Dalam kes ini, tiga saman turut dikeluarkan termasuk kerana nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi, cukai jalan tamat tempoh dan tidak memakai topi keledar. Pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak memandu kenderaan dengan melakukan aksi yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri mahupun pengguna jalan raya,” katanya lagi.

     
     
  • Toyota Camry facelift 2022 dilancarkan – RM199,110, enjin 2.5L Dynamic Force 209 PS/250 Nm, TSS 2.5+

    Toyota Camry facelift 2022 dilancarkan – RM199,110, enjin 2.5L Dynamic Force 209 PS/250 Nm, TSS 2.5+

    Selepas berada lebih tiga tahun dalam pasaran, Toyota Camry generasi kelapan kini secara rasmi dilancarkan dalam versi facelift 2022 untuk pasaran Malaysia. Model kemaskini ini menerima sedikit perubahan rupa dan juga perincian, namun ia diberikan tingkat taraf unit rangkaian kuasa yang agak signifikant.

    Sama seperti sebelum ini, sedan segmen-D Toyota ini masih ditawarkan dalam satu varian tunggal ini Camry 2.5 V. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM199,109.50, termasuk pengecualian cukai jualan sehingga hujung Jun 2022. Sama seperti model Toyota baharu lain, ia diberikan perlindungan waranti selama lima tahun, tanpa had perbatuan.

    Pada bahagian luaran, model facelift ini diberikan bampar hadapan dengan rekaan sedikit berbeza yang lebih menyerlahkan liang ambilan udara, rim aloi 18-inci rekaan baharu dengan kemasan dua tona (hitam-aloi digilap) dibalut dengan tayar Bridgestone Turanza T005 A bersaiz 235/45R18, dan juga lampu belakang dengan lensa yang digelapkan sedikit.

    Perincian lain seperti lampu hadapan bi-LED projektor automatik dengan fungsi follow me home, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus dan lampu belakang LED, cermin sisi yang boleh dilipat secara automatik, pengelap cermin automatik dan dua tip ekzos krom adalah sama seperti model sebelum ini.

    Toyota Camry facelift 2022 dilancarkan – RM199,110, enjin 2.5L Dynamic Force 209 PS/250 Nm, TSS 2.5+

    Manakala untuk kabin, perubahan yang diberikan termasuk sistem pendingin hawa tiga zon (hanya dua zon sebelum ini) skrin infotainmen Display Audio lebih besar dengan ukuran 9.0-inci (7.0-inci sebelum ini), yang turut disokong hubungan Android Auto dan Apple Carplay. Camry juga kini diberikan tempat duduk belakang yang boleh dicondongkan sedikit ke belakang bagi memberikan posisi duduk yang lebih relaks.

    Larasan untuk perehat belakang bagi tempat duduk belakang tersebut boleh dibuat menerusi kawalan elektrik. Suis berkenaan diletakkan pada perehat tangan tengah yang boleh disorokkan. Selain untuk kerusi, perehat tangan tersebut turut menampilkan dua pemegang cawan, suis kawalan audio, suis kawalan pelindung cahaya cermin belakang dan juga suis kawalan pendingin hawa khas untuk kabin belakang.

    Perincian standard lain yang turut dibekalkan pada Camry 2022 ini termasuk upholsteri kulit hitam, bentangan meter analog Optitron dengan skrin pelbagai informasi berwarna tujuh-inci di tengah, paparan HUD pada cermin hadapan, sistem audio JBL, tempat duduk penumpang hadapan larasan elektrik lapan hala, tempat duduk pemandu larasan kuasa 10-hala dengan fungsi memori (dua slot) dan upholsteri kulit lembut hitam.

    Ia juga menerima cermin pandang belakang elektrokromik, sistem kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, brek parkir elektronik dengan fungsi brake hold, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi dan juga perakam video digital (dashcam).

    Toyota Camry facelift 2022 dilancarkan – RM199,110, enjin 2.5L Dynamic Force 209 PS/250 Nm, TSS 2.5+

    Toyota Camry 2.5 V facelift ini tidak lagi menggunakan enjin 2AR-FE 2.5 liter yang sudah digunakan sejak Camry generasi keenam, sebaliknya ia digantikan dengan enjin baharu dari siri Dynamic Force iaitu unit A25A-FKS empat-silinder 2.5 liter. Ini bermakna Camry pasaran Malaysia sudahpun diberikan enjin terkini sama seperti model pasaran Thailand. Enjin ini juga telah berada dalam perut Lexus ES pasaran Malaysia.

    Enjin Dynamic Force 2.5 liter NA ini menampilkan sistem injap bervariasi VVT-iE pada injap kemasukan dan juga VVT-i pada injap ekzos, sistem suntikan terus D-4S serta nisbah mampatan 13:1 membolehkan ia mencapai keberkesanan suhu sehingga 40%. Ia mampu menjana 209 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 253 Nm pada takat 5,000 rpm. Jadi berbanding enjin 2.5 liter sebelum ini, enjin baharu tersebut menghasilkan kuasa 25 PS/18 Nm lebih besar.

    Ia dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan Direct Shift 8-AT bagi menggantikan kotak gear auto enam-kelajuan sebelum ini. Menurut Toyota, kotak gear tersebut bukan sahaja menawar nisbah gear lebih luas, malah ia sebenarnya dihasilkan dengan saiz yang lebih kompak. Mod pemanduan Eco, Normal dan Sport juga disertakan pada unit rangkaian kuasa baharu ini.

    Untuk keselamatan, Camry 2022 ini menerima sistem bantuan pemanduan keselamatan Toyota Safety Sense (TSS) yang ditingkat taraf, digelar sebagai TSS 2.5+. Sistem berkenaan menampilkan fungsi tambahan seperti pengesan pejalan kaki sebelah malam, pengesan penunggang basikal sebelah siang, dan juga sistem cruise control adaptif yang dipertingkat.

    Fungsi TSS lain termasuk Sistem Pra-pelanggaran, Amaran Keluar Lorong dengan Bantuan stereng, serta Lampu Tinggi Automatik masih dikekalkan. Perincian keselamatan lain yang turut dibekalkan pada Camry facelift 2022 ini termasuk tujuh beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix, Pemantau Titik Buta dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang, Bantuan Mula Mendaki, penderia parkir depan dan belakang serta sistem pemantau tekanan angin tayar.

    Camry hadir dengan sistem telematik kenderaan (VTS), iaitu sistem bersepadu yang membolehkan anda memantau serta berkongsi lokasi sebenar kereta anda menerusi aplikasi telefon pintar. Filem penapis haba dan keselamatan Toyota Premium Security juga diberikan standard untuk sedan ini.

    Pembeli Toyota Camry 2022 ini masih ditawarkan dengan lima warna badan iaitu Red Mica, Platinum White Pearl Mica, Silver Metallic, Graphite Metallic dan juga Burning Black CS GF.

     
     
  • Honda Malaysia akan lancarkan dua model baru tahun ini – HR-V dengan VTEC Turbo, BR-V generasi kedua?

    Honda Malaysia akan lancarkan dua model baru tahun ini – HR-V dengan VTEC Turbo, BR-V generasi kedua?

    Dalam satu majlis bersama media hari ini, Honda Malaysia telah mengumumkan rancangan perniagaan mereka untuk tahun ini. Antara yang termasuk dalam perancangan ini adalah pelancaran dua model serba baru bagi tahun 2022 – Civic tidak dikira kerana sudah dilancarkan bulan lalu.

    Sudah tentu, nama sebenar model tersebut tidak didedahkan, tetapi Honda ada memberitahu bahawa mereka mahu mengembangkan lagi versi RS e:HEV pada model masa hadapan mereka, berserta teknologi canggih generasi seterusnya, seperti VTEC Turbo, Honda Sensing dan Honda CONNECT.

    Daripada sini, kami boleh membuat jangkaan. Selain daripada itu, jika melihat kepada barisan model utama Honda di Malaysia juga, kita sudah boleh tahu bahawa HR-V dan BR-V sudah agak lama tidak diperbaharui dan perlu diganti. Di negara jiran sebenarnya model pengganti ini sudah pun ada dan kita boleh menjangka ketibaannya ke dalam negara tidak lama lagi.

    Honda Malaysia akan lancarkan dua model baru tahun ini – HR-V dengan VTEC Turbo, BR-V generasi kedua?

    Honda HR-V generasi baru diperkenalkan kepada dunia pertama kali Februari tahun lalu, dan di Jepun ia didatangkan dengan enjin petrol 1.5 liter DOHC i-VTEC bersama kotak gear CVT yang sama. Walaubagaimanapun di Thailand, waktu pelancarannya November lalu, ia hanya diperkenalkan dalam versi hibrid berserta varian paling tinggi RS e:HEV.

    Nadi utama penggerak hibrid ini adalah enjin 1.5 liter NA kitaran Atkinson dengan 105 hp dan 127 Nm tork dari 4,500 rpm hingga 5,000 rpm. Ia digandingkan bersama transmisi automatik e-CVT, bateri lithium-ion dan dua motor elektrik. Digabungkan semuanya, janaan maksimum adalah 131 hp dan 253 Nm tork dari 0 hingga 3,500 rpm.

    Namun apa yang lebih menarik adalah versi 1.5 VTEC Turbo seperti yang pernah dilihat dalam spyshot di Indonesia. Kita boleh menjangkakan ini adalah enjin yang telah dinaik taraf, sama seperti Civic, dengan kuasa yang boleh mencecah 182 PS dan tork maksimum 240 Nm. Kotak gear mungkin masih adalah unit automatik CVT.

    Honda Malaysia akan lancarkan dua model baru tahun ini – HR-V dengan VTEC Turbo, BR-V generasi kedua?

    Bagi BR-V, model ini telah pun dilancarkan di Indonesia hujung tahun lepas, dengan kesemua varian menggunakan enjin 1.5 liter i-VTEC empat-silinder DOHC yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 121 PS pada 6,000 rpm dan tork 145 Nm pada 4,300 rpm. Bergantung kepada varian, transmisinya boleh jadi antara manual enam kelajuan, atau automatik CVT.

    Varian paling tinggi BR-V di Indonesia, iaitu Prestige CVT turut didatangkan dengan Honda Sensing, yang merangkumi brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, bantuan pemusatan lorong, kepekaan ketibaan hadapan, lampu tinggi automatik dan kamera titik buta LaneWatch.

     
     
  • Honda Malaysia lancar perniagaan pemilikan kereta terpakai bertauliah tahun ini – turut diberikan waranti

    Honda Malaysia lancar perniagaan pemilikan kereta terpakai bertauliah tahun ini – turut diberikan waranti

    Honda Malaysia (HM) telah mengumumkan akan melancarkan perniagaan pemilikan kereta terpakai rasminya pada tahun ini. Dipanggil Honda Certified Used Car, inisiatif untuk mengembangkan perniagaan ini adalah bagi memberikan pilihan kepada pelanggan untuk membeli kereta Honda.

    Walau bagaimana pun, HM belum memaklumkan lebih terperinci mengenainya dan ia akan didedahkan menjelang pelancarannya kelak. Tetapi Honda Certified Used Car ini dijangka lebih kurang sama dengan perniagaan Toyota Topmark oleh UMW Toyota Motor, BMW Premium Selection, Perodua POV dan Hyundai Promise.

    Apa yang pasti kereta terpakai yang bakal dijual ini akan diperakui selepas menjalani pemeriksaan sepenuhnya dan bebas daripada kerosakan besar akibat kemalangan, serta akan diberikan waranti oleh pengedar rasminya. Pihak HM pastinya mahukan ketenangan minda pelanggan sebagai titik utama jualan dalam perniagaan kereta terpakai ini, selain mempunyai kawalan sepenuhnya dalam penilaian sebelum ia dibuka untuk jualan kepada umum.

     
     
  • Honda Malaysia catat jualan 53,031 unit bagi 2021, sasar peningkatan jualan 50% untuk tahun ini

    Honda Malaysia catat jualan 53,031 unit bagi 2021, sasar peningkatan jualan 50% untuk tahun ini

    Dengan situasi pandemik Covid-19 yang masih berlarutan kesannya terhadap ekonomi global dan tempatan sepanjang 2021, serta gangguan bekalan cip kenderaan peringkat global, Honda Malaysia berhasil mengekalkan kedudukan nombor satu untuk pasaran tempatan bagi segmen kenderaan penumpang bukan nasional.

    Ini melibatkan sejumlah 53,031 unit kenderaan berjaya dijual sepanjang tahun lalu, dengan peratusan perkongsian pasaran sebanyak 10.4%. Tahun lalu, bagi model serba baru untuk pasaran tempatan, Honda Malaysia hanya sempat memperkenalkan Honda City Hatchback. Harga bagi varian City Hatchback e:HEV juga baru saja diumumkan, dijual pada harga RM107,783 termasuk pengecualian SST hingga 30 Jun 2022.

    Bagaimanapun, dengan jangkaan TIV tahun ini pada kadar 600,000 unit, Honda Malaysia menetapkan sasaran jualan bagi 2022 sebanyak 80,000 unit. Ini merupakan peningkatan sebanyak 50% berbanding pencapaian jualan tahun lalu.

    Momentum jualan tahun ini juga dijangka akan dipacu oleh model City Hatchback dan Honda Civic 2022 yang diperkenalkan Januari lalu. Selain itu, Honda juga mengumumkan bakal memperkenalkan dua model serba baru untuk tahun ini.

     
     
  • Sime Darby pertimbangkan kemungkinan jadi operator stesen pengecas EV, dengan rangkaian seluruh negara

    Sime Darby pertimbangkan kemungkinan jadi operator stesen pengecas EV, dengan rangkaian seluruh negara

    Dengan permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV) dijangka akan bertambah kelak disebabkan langkah kerajaan untuk merancakkan lagi aspek elektrifikasi, Sime Darby menyatakan syarikat itu akan memanfaatkan gelombang berkenaan dengan penglibatan yang lebih menyeluruh, dan bukan hanya sekadar menyediakan produk.

    Dengan semua jenama dan pengedar sayap automotifnya akan berada di garis depan peralihan itu, syarikat tersebut turut melihat untuk terlibat dalam lapangan elektro-mobiliti, lapor The Star. Menurut CEO Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson, kumpulan itu sedang mengambil pendekatan proaktif untuk merancakkan lagi ekosistem EV, dan salah satu daripadanya adalah untuk meneroka kemungkinan menjadi operator tempat pengecasan.

    “Kami sudahpun menjalankan perniagaan untuk menyediakan stesen pengecas melalui anak syarikat kami. Kami berharap akan mendapatkan pembangun hartanah untuk memasang stesen pengecas untuk projek mereka. Sebagai tambahan, kami sedang mempetimbangkan untuk menjadi operator stesen pengecas, seperti stesen petrol, di seluruh negara,” tambahnya.

    Sime Darby pertimbangkan kemungkinan jadi operator stesen pengecas EV, dengan rangkaian seluruh negara

    Ini akan membantu menyelesaikan isu berkaitan prasarana seperti kekurangan stesen pengecas. Bagaimanapun, beliau menambah idea berkenaan masih dalam pertimbangan, dan perniagaan seperti itu masih lagi dalam penerokaan mereka. “Kami masih tidak pasti dengan hal itu. Kami masih ingin melihat sama ada ia wajar diceburi atau sebaliknya,” ujarnya.

    Kumpulan berkenaan aktif merancakkan aktiviti elektrifikasi sejak tahun lalu. Pada November, mereka mengumumkan telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Ecoride, sebuah usaha sama kenderaan kegunaan khas (SPV) antara Perisind Samudra dan GreenTech Malaysia, untuk meneroka peluang perniagaan melibatkan pembelian armada EV dan servis lepas jualan.

    Syarikat itu juga telah melabur besar di dalam syarikat-syarikat mobiliti, menyediakan RM42 juta untuk servis perkongsian kenderaan serta paltform kereta terpakai dalam talian di Singapura, Carro (di Malaysia dikenali sebagai MyTukar). Pada Disember, Sime Darby mengumumkan mereka telah menandatangani MoU dengan Tenaga Nasional (TNB) untuk meneroka beberapa usaha bagi merancakkan lagi penggunan EV di negara ini.

     
     
  • DBKL tawar Kadar Khas Notis Kompaun 2022 sehingga 30 Jun ini – termasuk bagi kesalahan trafik

    DBKL tawar Kadar Khas Notis Kompaun 2022 sehingga 30 Jun ini – termasuk bagi kesalahan trafik

    Sempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Jubli Emas 50 Tahun Bandar Raya Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan Kadar Khas Notis Kompaun 2022 bermula 16 Februari hingga 30 Jun 2022. Menurut DBKL, pemberian kadar khas itu turut membabitkan notis kompaun trafik yang belum dijelaskan dan kadar berjadual mengikut kesalahan bagi notis kompaun kesalahan am.

    Bagaimanapun, inisiatif kadar khas itu tidak terpakai bagi kesalahan yang disenarai hitam dan kesalahan kes am yang tiada dalam kadar berjadual.

    “Untuk kesalahan trafik yang melibatkan motosikal, kadar kompaun yang dikenakan adalah RM10 bagi tempoh saman yang dikenakan antara hari pertama sehingga lebih 30 hari. Manakala untuk kereta, MPV dan lori kecil, kadar kompaunnya pula ialah RM15 untuk tempoh hari pertama sehingga ketujuh, naik ke RM20 untuk hari kelapan dan seterusnya.

    “Bagi kesalahan trafik yang melibatkan bas dan lori pula, kadar kompaun untuk tempoh hari pertama sehingga ketujuh ialah RM15, dan meningkat ke RM50 untuk hari kelapan dan seterusnya,” kata DBKL menerusi kenyetaan yang dikeluarkan.

    Orang ramai boleh menikmati kadar khas ini dengan membuat semakan dan bayaran menerusi semua kaunter bayaran DBKL serta kaunter Pos Malaysia di seluruh negara. Selain itu, semakan dan bayaran juga boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi MOBIS-DBKL atau secara Jompay menerusi aplikasi perbankan.

     
     
  • Stesen Petron terima penarafan 5-bintang dari pihak berkuasa tempatan bagi kempen Tandas Kita Bersih

    Stesen Petron terima penarafan 5-bintang dari pihak berkuasa tempatan bagi kempen Tandas Kita Bersih

    Petron Senawang

    Petron telah menerima penarafan lima-bintang untuk 113 stesen perkhidmatannya di lapan buah negeri iaitu Johor, Pulau Pinang, Pahang, Terengganu, Perak, Kedah, Selangor dan Wilayah Persekutuan, menerusi kempen “Tandas Kita Bersih” untuk mengekalkan kebersihan dan fungsi tandas di dalam premis.

    “Penilaian ini telah mengiktiraf komitmen kami bagi kecemerlangan perkhidmatan pelanggan. Keperluan dan jangkaan pelanggan adalah penting bagi kami dan kami mahu mereka mempunyai pengalaman positif setiap kali mereka melawat stesen servis Petron, [dan] matlamat kami adalah untuk menjadikan stesen kami sebagai pusat sehenti pilihan untuk semua orang,” kata Ketua Perniagaan Peruncitan dan Komersil Petron, Choong Kum Choy.

    Kempen “Tandas Kita Bersih” ini adalah anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap negeri. Ia diadakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan tandas terutamanya di fasiliti tandas awam bagi mewujudkan tandas awam yang bersih dan selamat untuk keselesaan pengguna dan seterusnya dapat membudayakan amalan penjagaan dan penggunaan tandas yang betul dalam kalangan masyarakat.

    Stesen Petron terima penarafan 5-bintang dari pihak berkuasa tempatan bagi kempen Tandas Kita Bersih

    Petron Rantau Panjang

    “Komitmen, kerja berpasukan dan konsisten adalah faktor utama dalam memastikan tandas kami mencapai standard “tandas model” untuk stesen minyak di negara ini,” kata rakan niaga Petron Senawang 2, Mokhtar Paunari, di mana cawangannya memenangi tempat pertama di peringkat Kebangsaan 2019 bagi kategori stesen servis.

    Sementara itu, Petron Rantau Panjang memenangi tempat ketiga di Kelantan dalam pertandingan yang sama di peringkat negeri.

    Menurut Petron, program “Tandas Kita Bersih” turut menyokong aspirasi syarikat untuk mempromosikan budaya sanitasi yang baik di semua stesen perkhidmatan Petron, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) PBB, iaitu memastikan akses kepada air bersih dan sanitasi yang baik untuk semua.

     
     
  • Toyota Camry facelift 2022 akan dilancarkan 9 malam ini – terima enjin Dynamic Force bersama TSS 2.5+?

    Toyota Camry facelift 2022 akan dilancarkan 9 malam ini – terima enjin Dynamic Force bersama TSS 2.5+?

    Seperti yang diumumkan minggu lalu, malam ini secara rasmi UMW Toyota Motor akan melancarkan model facelift untuk Toyota Camry generasi kelapan bagi pasaran Malaysia. Berbanding imej teaser hanya menampilkan lampu hadapan tempoh hari, pagi ini UMWT memaparkan secara keseluruhan muka hadapan Camry facelift 2022 tersebut bagi menambah debaran pelancarannya.

    Seperti yang anda boleh lihat, Camry facelift ini diberikan bampar hadapan baharu dengan rombakan rekaan dibuat pada gril sebelah bawah, yang lebih menyerlahkan lagi liang pengambilan udara berkenaan. Jika mengambil model facelift pasaran Thailand yang telah pun dilancarkan pada Oktober tahun lalu sebagai rujukan, model pasaran Malaysia ini mungkin diberikan rim rekaan baharu bersama lampu belakang yang digelapkan sedikit.

    Antara tingkat taraf perincian dalaman yang boleh dijangka untuk model facelift ini termasuk skrin sesentuh bagi sistem infotainmen yang lebih besar. Ia juga mungkin akan diberikan sistem bantuan pemanduan yang dikemaskini iaitu Toyota Safety Sense 2.5+ yang menampilkan pengesan pejalan kaki waktu malam, pengesan penunggang basikal waktu siang dan juga cruise control adaptif yang dipertingkat, sama seperti versi pasaran Thailand.

    Toyota Camry facelift 2022 pasaran Thailand

    Tiada sebarang perincian teknikal diumumkan oleh UMWT buat masa sekarang, tetapi syarikat tersebut membayangkan bahawa Camry facelift ini akan menerima enjin baharu 2.5 liter Dynamic Force, bagi menggantikan enjin 2AR-FE yang sudah digunakan sejak generasi keenam.

    Enjin A25A-FKS 2.5 liter NA Dynamic Force yang telah pun digunakan pada Camry pasaran lain termasuk Thailand, Australia dan Amerika Syarikat berkenaan menerima sistem suntikan terus D-4S serta nisbah mampatan 13:1 membolehkan ia mencapai keberkesanan suhu sehingga 40%.

    Ia juga menghasilkan kuasa yang lebih besar iaitu 209 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 250 Nm pada takat 5,000 rpm, atau 25 PS/18 Nm lebih berkuasa dari sebelum ini. Enjin tersebut turut dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan Direct Shift 8AT baharu bagi menggantikan kotak gear enam kelajuan automatik sebelum ini.

    Apa pun, kita tunggu sahaja pelancaran rasminya pada pukul 9 malam nanti untuk spesifikasi penuh dan juga harga bagi model kemaskini berkenaan. Anda boleh tonton secara langsung menerusi media sosial rasmi Toyota Malaysia, atau anda boleh sahaja menunggu laporannya dari kami.

     
     
  • Rundingan projek Lebuhraya Trans Borneo antara Malaysia-Brunei diteruskan – Ismail Sabri

    Rundingan projek Lebuhraya Trans Borneo antara Malaysia-Brunei diteruskan – Ismail Sabri

    Nampak gayanya projek pembinaan Lebuhraya Trans Borneo bagi laluan yang menghubungkan Malaysia dan Brunei bakal disempurnakan apabila kedua-dua negara sepakat untuk memuktamadkan rundingan. Perkara ini disahkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang berkata, cadangan projek itu dalam dua fasa iaitu bagi fasa satu pembinaan kini pada tahap 77%, manakala fasa dua akan membabitkan Brunei dalam dua segmen.

    Tambah beliau, segmen satu adalah menaik taraf dan membina semula laluan jajaran dari persimpangan Kuala Baram di Miri ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujoh di Kuala Belit, Brunei sepanjang lima kilometer, dijangka bermula pada 2023. Manakala segmen dua kini dalam proses mereka bentuk dan mengambil balik tanah, yang dijangka siap dalam masa 48 bulan, laporan Bernama.

    “Segmen dua pula adalah pembinaan jalan baharu dan naik taraf jalan sedia ada sepanjang 74 kilometer melalui Limbang dan Lawas.

    “Pelaksanaan kedua-dua projek ini akan memperkemaskan kesalinghubungan antara Malaysia dan Brunei. Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan saya bersetuju kedua-dua negara meneruskan rundingan serta konsultasi untuk meneliti dan memuktamadkan cadangan projek ini,” katanya.

    Rundingan projek Lebuhraya Trans Borneo antara Malaysia-Brunei diteruskan – Ismail Sabri

    Beliau berkata, dalam tempoh 11 tahun, hanya 87.27 kilometer daripada 528.45 kilometer sempadan darat atau 17% yang sudah disusun dan ditanda, daripada jumlah itu hanya 34.15 kilometer yang dimuktamadkan.

    “Kedua-dua negara bersetuju menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi kawasan itu yang sudah dimuktamadkan. Seterusnya, Jawatankuasa Persempadanan Darat akan bermesyuarat untuk memuktamadkan kawasan yang selebihnya dengan segera,” katanya.

    Lebuhraya Trans Borneo adalah sistem rangkaian jalan raya utama menghubungkan Kalimantan (Indonesia), Sarawak dan Sabah (Malaysia) serta Brunei. Untuk laluan Sarawak dan Sabah, jika mengikut perancangan asal, ia akan bermula dari Kalabakan ke Serudong, Sabah kemudian ke Simenggaris Kalimantan melalui Tawau.

    Jajaran itu akan melalui kawasan Melinau untuk ke Daerah Krayan seterusnya ke Long Bawan (di Kalimantan Utara) yang terletak bertentangan dengan Ba’Kelalan sebelum ke Long Medan dan keluar semula dari Buduk Nur Ba’Kelalan. Dari situ, Lebuhraya Trans Borneo akan dihubungkan dengan Sabah-Sarawak Link Road

     
     
  • KTMB tawar diskaun 25% bagi Pakej Keluarga Malaysia untuk tren ETS, KTM Intercity hingga 31 Dis

    KTMB tawar diskaun 25% bagi Pakej Keluarga Malaysia untuk tren ETS, KTM Intercity hingga 31 Dis

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 25% di bawah Pakej Keluarga Malaysia untuk warganegara Malaysia yang menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Intercity. Diskaun ini telah pun dimulakan sejak 14 Februari lalu dan berlangsung sehingga 31 Disember 2022.

    Menurut KTMB, pemberian diskaun ini adalah bagi pembelian minimum empat tiket dalam satu transaksi (dewasa dan kanak-kanak), untuk semua perkhidmatan ETS, Ekspres Rakyat Timuran dan Ekspres Selatan menggunakan kod promo KMKTMB2.

    Pakej Keluarga Malaysia ini adalah sebagai menyahut seruan kerajaan bagi membantu memulihkan ekonomi negara dan dalam masa yang sama KTMB mahu terus optimis dalam memastikan perkhidmatan tren kekal menjadi pilihan utama melalui promosi dirangka khas untuk Keluarga Malaysia, ujar kenyataan yang dikeluarkan oleh KTMB.

    Menerusi pakej ini, KTMB turut menyasarkan peningkatan jualan tiket terutama ketika musim cuti sekolah pada Mac ini dan sambutan Aidilfitri pada Mei. Justeru, pengguna disaran membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau melalui laman sesawang KTMB.

    Dalam masa yang sama, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut menyambut baik usaha KTMB ini dalam memberikan perkhidmatan terbaik buat Keluarga Malaysia. “Mudah-mudahan Pakej Keluarga Malaysia ini dapat memberi manfaat kepada semua terutamanya ketika musim cuti persekolahan dan perayaan,” kata Dr Wee.

     
     
  • Volkswagen Golf R Mk8 dilancar untuk pasaran Malaysia – 2.0L TSI 320 PS/420 Nm, AWD, RM356k

    Volkswagen Golf R Mk8 dilancar untuk pasaran Malaysia – 2.0L TSI 320 PS/420 Nm, AWD, RM356k

    Para media yang hadir dalam acara pelancaran Golf GTI Mk8 dan pengenalan Golf R-Line Mk8 hari ini turut dikejutkan dengan pelancaran varian prestasi Golf R Mk8. Dengan ketibaannya, kini terdapat tiga varian untuk Golf Mk8 di pasaran Malaysia.

    Berbeza berbanding GTI dan R-Line yang dipasang di Pekan Pahang, Golf R pula diimport sepenuhnya (CBU), dan dijual pada harga RM356,412 tidak termasuk insurans dan cukai jalan, dan dikira bersama pengecualian SST. Harga ini menunjukkan peningkatan yang tinggi berbanding Golf R Mk7.5 yang dijual pada harga RM295,990 sebelum ini.

    Didedahkan kepada dunia November tahun 2020, Golf R Mk8 dipacu oleh enjin 2.0 liter TSI EA888 yang mampu menghasilkan kuasa 320 PS dan 420 Nm tork (sebelum ini 300 PS dan 380 Nm tork). Padanan transmisi yang digunakan adalah DSG klac berkembar tujuh kelajuan, bersama sistem pacuan AWD 4Motion, membantunya untuk melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

    Sistem 4Motion pada differential belakang model ini bukan sahaja boleh mengagihkan kuasa antara gandar hadapan dan belakang, tetapi juga roda kiri dan kanan. Selain daripada itu, sistem baru ini juga boleh memberikan tork sehingga 100% kepada roda luar – Volkswagen memanggilnya sebagai R-Performance Torque Vectoring.

    Menguruskan pengagihan tork ini adalah Vehicle Dynamics Manager, yang juga bekerja dengan pengunci differential elektronik XDS serta sistem serapan adaptif DCC. Sistem ini juga boleh mengawal pengagihan tork dengan membrek dan menyediakan enam mod pemanduan iaitu Comfort, Sport, Race, Individual, Special dan Drift.

     
     
  • Volkswagen Golf R-Line Mk8 2022 kini boleh ditempah – CKD, 1.4L TSI, 8AT, harga antara RM155k-RM165k

    Volkswagen Golf R-Line Mk8 2022 kini boleh ditempah – CKD, 1.4L TSI, 8AT, harga antara RM155k-RM165k

    Selain daripada GTI yang diletakkan sebagai varian lebih tinggi, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) turut memperkenalkan varian R-Line untuk Golf Mk8 pasaran Malaysia. Model ini telah dipertontonkan awal pada November lalu, dan tempahan untuknya kini sudah dibuka, dengan harga anggaran antara RM155k ke RM165k. Sama seperti versi GTI, Golf R-Line ini juga dipasang di Pekan, Pahang (CKD).

    Dengan harga jangkaan yang lebih murah berbanding varian GTI, Golf R-Line Mk8 ini datang dengan enjin yang juga lebih kecil, iaitu unit 1.4 liter TSI, berkuasa 150 PS dan 250 Nm. Dalam pasaran antarabangsa, Golf Mk8 ini juga datang dengan pilihan enjin hibrid ringkas 1.5 eTSI, tetapi ia tidak dibawa ke Malaysia.

    Walaupun enjin ini bukanlah lagi asing, ia kini dipadankan bersama transmisi baru daripada Aisin, iaitu unit automatik torque converter lapan kelajuan yang menggantikan kotak gear klac berkembar DSG pada model R-Line sebelum ini.

    Volkswagen Golf R-Line Mk8 2022 kini boleh ditempah – CKD, 1.4L TSI, 8AT, harga antara RM155k-RM165k

    Sudah sedia tampil dengan kemasan serba sporty, Golf R-Line ini sukar dibezakan dengan Golf GTI, dengan bahagian yang berlainan cuma rim, ekzos dan gril sahaja. Golf R-Line mendapat rim Valencia 17 inci, lampu utama LED Plus serta lampu belakang LED. Lencana yang digunakan pula cuma menunjukkan huruf R, dan mungkin boleh menyebabkan orang tersalah sangka dengan model prestasi Golf R.

    Bahagian kabin minimalis pada Golf Mk8 ini dipadankan bersama tempat duduk yang dibalut padanan fabrik dan kain seakan suede, serta sulaman logo R pada penyandar kepala. Bentuk tempat duduk ini malah nampak lebih sporty berbanding tempat duduk GTI sementara di papan pemuka tidak banyak butang fizikal kerana diganti dengan panel sesentuh. Sistem infotainmen MIB3 yang digunakan boleh disambung dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Senarai kelengkapan untuk Golf R-Line ini termasuk butang pemula enjin, pengawal suhu tiga zon (corong belakang dengan kawalan suhu), brek parkir elektronik (tanpa auto hold), lampu suasana, lampu utama automatik serta dua soket pengecas USB-C masing-masing di hadapan dan belakang.

    Untuk sistem keselamatan, ciri yang diberi adalah ringkas sahaja iaitu enam beg udara, ABS, ESP dan cagak Isofix untuk tempat duduk penumpang hadapan dan belakang. Tiada ciri bantuan seperti Autonomous Emergency Braking (AEB) ataupun sistem semi autonomous lain pada model ini.

    Golf R-Line Mk8 ditawarkan dalam lima warna iaitu Moonstone Grey (solid), Kings Red dan Atlantic Blue (metalik) serta Deep Black dan Oryx White (pearl). Seperti biasa, jaminan yang diberikan adalah selama lima tahun tanpa had bantuan, bersama penyelenggaraan percuma tiga tahun dan bantuan tepi jalan lima tahun.

    GALERI: Volkswagen Golf R-Line 2022