Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Volkswagen Arteon facelift naik harga hingga RM9k di Malaysia — 2.0 TSI 4Motion R-Line kini RM258,019

    Volkswagen Arteon facelift naik harga hingga RM9k di Malaysia — 2.0 TSI 4Motion R-Line kini RM258,019

    Kelihatannya seperti Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) diam-diam telah mengemaskini harga bagi model Arteon facelift bulan ini. Malangnya, ia tidak melibatkan penurunan harga, dan perubahannya agak besar.

    Varian tunggal 2.0 TSI 4Motion R-Line berkenaan kini RM9,000 lebih mahal berbanding harga tahun lalu, menjadikan harganya kini RM258,019 atas jalan tidak termasuk insuran. Angka ini sudah termasuk sekali pengecualian SST bagi kenderaan CKD, hingga 30 Jun nanti. Ia juga termasuk jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dan pakej servis percuma tiga tahun/45,000 km.

    Kenaikan harga ini bagaimanapun tidak melibatkan sebarang pertambahan kelengkapan, mahupun kenaikan output janaan dari enjin 2.0 liter turbocas empat-silindernya. Janaannya kekal sama, dengan 280 PS dari 5,100 rpm hingga 6,500 rpm dan 350 Nm tork antara 1,700 dan 5,600 rpm. Kuasa dihantar ke semua roda melalui transmisi DSG klac-basah tujuh-kelajuan, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat.

    Volkswagen Arteon facelift naik harga hingga RM9k di Malaysia — 2.0 TSI 4Motion R-Line kini RM258,019

    Kelengkapan standard juga kekal sama. Ini termasuk bodykit R-Line, lampu utama dan lampu belakang LED penuh (di belakang dengan lampu isyarat sequential), rim aloi 19-inci Montevideo dua-tona, sistem tanpa kunci, butang Push Start dan kerusi depan larasan elektrik dengan memori untuk kerusi pemandu — dengan balutan kulit Nappa dan corak gentian karbon.

    Selain itu, turut melengkapi kereta ini adalah kawalan pendingin tiga-zon, lampu dan pengilap automatik, cermin pandang belakang anti-silau, skrin sentuh infotainmen Discorver Pro 9.2-inci dengan kawalan gerakan tangan, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, 12-pembesar suara, sistem bunyi Harman Kardon 700-watt, penyerap hentak adaptif Dynamic Chassis Control (DCC), kamera 360-darjah dan pintu ruang barangan automatik.

    Dari segi keselamatan, Arteon masih sama kekurangan ciri asas seperti brek kecemasan autonomous (AEB), apatah lagi fungsi pemanduan semi-autonomous seperti kawalan melayar adaptif atau bantuan ke tengah lorong. Ia bagaimanapun datang dengan bantuan peninjau titik buta dan bantuan pengekalan lorong dan tujuh beg udara serta kawalan kestabilan.

    Volkswagen Arteon facelift naik harga hingga RM9k di Malaysia — 2.0 TSI 4Motion R-Line kini RM258,019

    Arteon facelift sebelum ini juga sudah diberikan pembaharuan rekaan gril depan dengan jalur lampu bersepadu yang menghubungkannya ke lampu utama, bukaan udara yang direka semula dan grafik lampi belakang baru berbentuk L terbalik. Di dalam, ada corong udara baru dan jalur perak yang menghiasi kabin depan.

    Turut ada adalah suis yang sensitif dengan sentuhan bagi kawalan pendingin hawa (sekali dengan lencana baru VW), dan stereng yang direka semula, serta sistem lampu suasana dengan 30-pilihan warna. Kerusi ErgoComfort padanya pula menampilkan design lebih agresif dengan perehat kepala bersepadu dan logo jahitan R.

     
     
  • SPYSHOT: Honda Odyssey 2022 dilihat diuji di M’sia

    SPYSHOT: Honda Odyssey 2022 dilihat diuji di M’sia

    Selepas dilancarkan buat pertama kali di Malaysia pada tahun 2013, diikuti dengan model facelift pada 2018, berapa kali pernah anda terserempak dengan MPV Honda Odyssey generasi kelima (RC) di jalan raya kita? Walaupun jualannya tidak begitu menyerlah, nampaknya Honda Malaysia mungkin akan terus melancarkan Odyssey facelift terkini ke pasaran tempatan tak lama lagi.

    Unit Odyssey facelift kedua yang dilihat sedang diuji di Jalan Klang Lama ini dijumpai oleh pembaca paultan.org, Azhani Azizi. Namun menerusi imej berkenaan, masih lagi sukar untuk dikenalpasti varian Odyssey yang mana akan dibawa ke pasaran tempatan kelak.

    Di Jepun, model facelift kali kedua berkenaan tampil dalam dua jenis unit rangkaian kuasa iaitu model petrol penuh dan juga versi janaan sistem hibrid petrol-elektrik. Bagi model petrol, ia masih dibekalkan dengan enjin K24W 2.4 liter DOHC i-VTEC berkuasa 175 PS dan tork 225 Nm, dipadankan dengan kotak gear CVT automatik, serta pilihan pacuan hadapan atau pacuan semua roda.

    Manakala untuk Odyssey Hybrid, ia menerima sistem Hybrid i-MMD e:HEV. Unit rangkaian kuasa hibrid berkenaan menggandingkan dua motor elektrik dan juga enjin petrol 2.0 liter kitaran Atkinson berkuasa 145 PS/175 Nm.

    SPYSHOT: Honda Odyssey 2022 dilihat diuji di M’sia

    Dalam kebanyakkan masa, hanya motor elektrik berkuasa 184 PS/315 Nm yang menggerakkan roda hadapan sementara enjin petrol hanya mengecas bateri lithium-ion untuk sistem hibrid tersebut. Namun pada masa-masa tertentu, tayar hadapan turut akan dipacu bersama oleh motor elektrik dan juga enjin petrol.

    Model tingkat taraf ini juga menerima pelbagai perincian terkini yang lain antara konfigurasi lapan tempat duduk yang boleh diatur dalam pelbagai tetapan, tempat duduk baris ketiga yang boleh dicabut untuk memberikan lebih ruang storan, pintu gelangsar sisi yang boleh dibuka/tutup hanya dengan gestur tangan dan juga pelbagai lagi.

    Ketika dilancarkan di Jepun pada 2020, Honda Odyssey facelift ini dijual pada harga bermula 3.495 juta yen (RM139,208) untuk model petrol penuh, serta bermula dari 4.198 juta yen (RM167,214) hingga 4.58 juta yen (RM182,429) untuk model hibrid e:HEV.

    Manakala di Malaysia, model facelift pertama yang dilancarkan pada 2018 ditawarkan hanya dengan pilihan enjin 2.4L, dijual pada harga RM254,800. Agaknya adakah Honda Malaysia akan membawa Odyssey Hybrid e:HEV untuk model 2022 ini nanti kelak?

     
     
  • Honda CB650R dan CBR650R kini dalam grafik baru

    Honda CB650R dan CBR650R kini dalam grafik baru

    Boon Siew Honda Sdn Bhd hari ini memperkenalkan grafik baru bagi dua model siri 650 mereka, iaitu CB650R (naked) dan CBR650R (sports). Bagi CB650R, ia ditawarkan dalam warna Mat Jeans Blue Metallic, Candy Chromosphere Red dan Mat Gunpowder Black Metallic, pada harga RM43,499 sementara CBR650R pula ditawarkan dalam warna Grand Prix Red dan Mat Gunpowder Black Metallic, pada harga RM45,499. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    Selain grafik, bahagian lain masih lagi sama seperti model yang dilancarkan pada tahun lepas, di mana ia menerima peningkatan suspensi, menggunakan fork USD Showa Separate Function Big Piston (SFF- BP) 41 mm yang mempunyai diameter lebih besar serta prestasi lebih baik berbanding fork sebelumnya.

    Selain daripada itu, model ini mempunyai pengecas USB yang diletakkan di bawah tempat duduk manakala panel instrumen LCD pula diperbaiki (berbanding model tahun 2020) untuk memberikan paparan yang lebih jelas dan mudah dilihat bagi penunggang.

    f

    Enjin yang digunakan pada dua model ini adalah unit empat silinder DOHC 649 cc bersama gabungan transmisi enam kelajuan (dengan klac jenis slip and assist), mampu menghasilkan kuasa maksimum 94 hp pada 12,000 rpm dan 64 Nm tork pada 8,500 rpm.

    Barangan lain yang terdapat pada dua model ini adalah termasuk monoshock belakang, brek cakera berkembar 310 mm serta angkup empat piston di hadapan, cakera brek 240 mm di belakang, ABS, HSTC, lampu LED serta tangki bahan api 15.4 liter.

     
     
  • Triumph Tiger 1200 tiba di Malaysia – dari RM115,900

    Triumph Tiger 1200 tiba di Malaysia – dari RM115,900

    Hanya dua bulan selepas ia didedahkan kepada dunia buat pertama kali, Triumph Tiger 1200 2022 kini sudah tiba di Malaysia. Fast Bikes Sdn Bhd selaku pengedar rasmi motosikal Triumph di Malaysia membawa dua versi Tiger 1200 ini ke dalam negara, iaitu GT Pro dan Rally Explorer, dengan harga jualan masing-masing RM115,900 dan RM130,900 (tambah RM1,000 untuk warna Matt Khaki).

    Peningkatan pada Tiger 1200 tahun 2022 ini adalah sangat menyeluruh, bermula dengan enjin tiga silinder T-Plane baru yang mempunyai kapasiti 1,160 cc dan mampu menghasilkan kuasa 148 hp pada 9,000 rpm dan 130 Nm tork pada 7,000 rpm. Dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, sistem pacuan kini ditukar kepada syaf dan bukan lagi rantai dan quickshifter diberikan terus secara standard.

    Menurut Triumph, melalui kerangka serta enjin baru pada Tiger 1200 ini, beratnya sekarang 25 kg lebih ringan berbanding model sebelumnya, dan 17 kg lebih ringan berbanding pesaing terdekat dalam segmennya yang juga menggunakan pacuan syaf. Berat keseluruhan yang dicatat oleh GT Pro adalah 245 kg sementara Rally Explorer pula 261 kg.

    Perkara utama yang membezakan GT Pro dan Rally Explorer adalah rim, di mana GT Pro menggunakan rim aluminium 19 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dengan tayar yang lebih kepada penggunaan atas jalan biasa sementara Rally Explorer pula datang dengan rim spoked 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang (tanpa tiub), dengan tayar dual purpose. Kemudiannya, Rally Explorer juga datang dengan tangki bahan api lebih besar, iaitu 30 liter, berbanding 20 liter pada GT Pro.

    Kedua-dua versi Tiger 1200 ini menggunakan suspensi elektronik semi aktif Showa, tetapi terdapat perbezaan pada jarak geraknya, iaitu GT Pro 200 mm dan Rally Explorer 220 mm. Bahagian hadapan menggunakan fork USD 49 mm manakala di belakang menggunakan monoshock dengan penyerapan semi aktif dan larasan pra beban automatik.

    Brek spesifikasi tinggi turut digunakan, terdiri daripada cakera berkembar 320 mm dengan angkup Brembo M430 Stylema di hadapan dan pam atas Magura HC1 manakala di belakang menggunakan cakera 282 mm dengan angkup Brembo satu piston. ABS two-channel adalah standard.

    Pakej elektronik pada Tiger 1200 baru ini juga agak lengkap, dengan termasuk sistem Triumph Blind Spot Radar yang dibangunkan bersama Continental. Selain Cornering ABS dan Traction Control, ia juga mempunyai mod tunggangan yang terdiri daripada Road, Rain, Sport, Rider (boleh diubah oleh penunggang), Off-Road dan Off-Road Pro bagi varian Rally Explorer, sementara varian GT Pro mempunyai mod Road, Rain, Sport, Rider dan Off-Road.

    Turut diberikan adalah Cruise Control, Hill Hold Control dan tongkat tengah. Semua informasi penting dipaparkan pada skrin TFT-LCD tujuh inci bersama sistem My Triumph Connectivity yang membenarkan sambungan kepada telefon pintar, navigasi serta GoPro (untuk semua varian).

    GALERI: Triumph Tiger 1200 GT Pro 2022

    GALERI: Triumph Tiger 1200 Rally Explorer 2022

     
     
  • KLIA Ekspres benarkan penumpang bawa basikal naik tren pada hujung minggu, cuti umum secara percuma

    KLIA Ekspres benarkan penumpang bawa basikal naik tren pada hujung minggu, cuti umum secara percuma

    KLIA Ekspres telah mengumumkan kini para penumpang dibenarkan membawa basikal bukan-lipat, skuter dan e-basikal masuk ke dalam tren pada hujung minggu dan cuti umum sahaja. Ia adalah percuma tetapi tambang hanya dikenakan untuk penumpang sahaja.

    Walau bagaimana pun terdapat beberapa syarat yang dikenakan untuk penumpang yang membawa basikal menaiki tren untuk berkayuh ke destinasi tertentu. Pertama, penumpang perlu bersama basikal yang dibawa pada setiap masa ketika berada di dalam tren. Maknanya jangan pula letak basikal di gerabapertama, dan penumpang duduk di gerabak kedua.

    Sebelum ini, hanya basikal jenis lipat (atau lebih popular dikenali sebagai foldie bike) dan skuter jenis lipat sahaja yang dibenar dibawa masuk ke dalam tren, pada hari biasa, hujung minggu dan cuti umum.

    From 12 February onwards, you can bring your non-foldable bicycles, scooters and e-bikes onboard our trains on weekends and public holidays, free of charge.

     
     
  • Mitsubishi berikan sebuah Nintendo Switch percuma!

    Mitsubishi berikan sebuah Nintendo Switch percuma!

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) kini menyediakan hadiah berupa sebuah Nintendo Switch, dan cara untuk memenanginya sangat mudah. Tawaran hadiah berkenaan di Instagram, dan tiada pembelian produk perlu dilakukan. Juga anda tak perlu untuk keluar mengambil gambar dan sebagainya. Begini caranya.

    Untuk ikut serta, apa yang perlu dilakukan ialah ikuti @mitsubishimotorsmalaysia di Instagram, Like hantaran yang ada lihat seperti di bawah ini dan maklumkan kepada MMM kenapa anda mahukan hadiah berkenaan. Kemudian, tag seberapa ramai rakan anda — lebih banyak yang di”tag“, lebih tinggi peluang untuk menang. Dan jangan lupa untuk kongsikan hantaran berkenaan di IG Story anda dan tag MMM untuk kelayakan tambahan.

    Peraduan mini ini bermula sekarang hingga tengah malam 27 Februari nanti. Seorang pemenang bertuah akan dipilih secara rawak dan akan diumumkan pada 28 Februari nanti. Ambil maklum yang hadiah ini terbuka untuk direbut oleh semua warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Silakan mencuba nasib.

     
     
  • Honda CR-V 2023 – lukisan paten terdedah!

    Honda CR-V 2023 – lukisan paten terdedah!

    Honda CR-V generasi sedia ada sudah pun berada sekitar lima tahun dalam pasaran global selepas diperkenalkan pada 2017, jadi memang sudah sampai masa ia akan digantikan dengan model generasi baharu tidak lama lagi. Sebelum Honda mengumumkan apa-apa yang rasmi berkenaan SUV tersebut, nah ini dia imej paten untuk CR-V generasi keenam telah pun bocor atas talian.

    CR-V serba baharu berkenaan nampaknya menampilkan muka yang berbeza, dan ia direka lebih mirip seperti HR-V generasi ketiga. Lampu hadapan SUV ini dihasilkan dengan bentuk lebih nipis dan lebar, serta kelihatan bercantum terus dengan gril hadapan yang menampilkan saiz lebih besar. Jalur kemasan pada gril hadapan juga dilihat seperti tertusuk pada kedua-dua belah lampu utama.

    Bonet hadapan model baharu itu juga dilihat menampilkan konsep rekaan yang sama seperti HR-V, dengan bahagian muncung yang lebih tinggi dan kelihatan lebih panjang. Ia juga masih dilihat masih menampilkan kemasan-kemasan pelindung plastik pada ruang roda dan juga di bahagian bawah sisi badan.

    Dari sudut ini juga dapat dilihat lampu belakang CR-V ini masih direka ‘berdiri’ sepanjang tiang-D bersama bahagian bawah seeprti bomerang. Namun setakat ini masih tiada lagi gambar bahagian belakang CR-V generasi keenam ini terdedah.

    Honda CR-V 2023 – lukisan paten terdedah!

    Honda CR-V generasi sedia ada

    Model generasi sedia ada CR-V dilaporkan akan dihentikan produksinya untuk pasaran Jepun tahun ini. Menurut portal permotoran negara tersebut iaitu Creative 311, model generasi baharu CR-V ini akan diperkenalkan pada peringkat global antara hujung tahun ini atau awal tahun 2023.

    Laporan tersebut turut menyebut bahawa CR-V generasi baharu itu akan menerima dua pilihan unit rangkaian kuasa hibrid. Salah satu daripadanya akan menggunakan sistem hibird i-MMD Sport Hybrid digandingkan dengan enjin 2.0 liter, sama seperti Accord Hybrid.

    Unit rangkaian kuasa hibrid dengan dua motor elektrik berkenaan menampilkan sistem yang membolehkan motor elektrik memacu sepenuhnya roda hadapan, manakala enjin petrol dalam kebanyakkan masa hanya mengecas bateri hibrid, dan ada ketika enjin serta motor elektrik memacu bersama roda hadapan.

    Sistem ini membekalkan kuasa keseluruhan Accord Hybrid berkenaan dengan 212 hp bermula 5,000 hingga 6,000 rpm, dan tork maksima 300 Nm bermula 0 hingga 2,000 rpm. Selain dari model hibrid, Honda CR-V 2023 juga dijangka bakal menerima enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang sama seperti model generasi sedia ada.

     
     
  • Pusat 3S Hyundai baharu dibuka di Melaka oleh Sing Kwung Premium – dengan stesen pengecasan EV

    Pusat 3S Hyundai baharu dibuka di Melaka oleh Sing Kwung Premium – dengan stesen pengecasan EV

    Untuk pelanggan Hyundai yang berada di Melaka, ada pusat 3S baharu telah dibuka di negeri ini, dioperasikan oleh Sing Kwung Premium, pengedar automotif bertauliah yang telah mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam industri ini.

    Pusat 3S Hyundai baharu ini terletak di Jalan Abadi 4, Taman Malim Jaya, turut menempatkan bilik pameran dan pusat servis dengan lima petak penyelenggaraan, termasuk dua petak penyelenggaraan pantas. Pusat servis ini mampu menyelenggara 50 buah kereta dalam sehari. Selain itu, pusat 3S ini turut menempatkan ruang lounge untuk pelanggan dengan kemudahan WiFi, ruang permainan kanak-kanak dan juga stesen pengecasan EV untuk pemilik model Kona Electric.

    “Kami berasa gembira dengan penyertaan Sing Kwung dalam keluarga Hyundai. Pengalaman meluas mereka dalam penjagaan automotif dan jualan mampu membantu meningkatkan lagi tahap kepuasan para pelanggan dan menambah nilai kepada rangkaian servis dan jualan sedia ada kami,” ujar Low Yuan Lung, Pengarah Urusan Hyundai-Sime Darby Motors.

    Bilik pameran di pusat 3S ini beroperasi dari jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari, kecuali pada Ahad dan cuti umum yang dibuka dari 10 pagi hingga 5 petang, Waktu operasi untuk pusat servis pula dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang (ditutup pada Ahad dan cuti umum). Anda boleh menghubungi talian 06-3322434 untuk bilik pameran dan 06-3322313 bagi temujanji penyelenggaran.

     
     
  • GALERI: Mercedes-Benz A-Class Sedan CKD V177 di Malaysia – A200 dan A250 AMG Line, RM211k-RM240k

    GALERI: Mercedes-Benz A-Class Sedan CKD V177 di Malaysia – A200 dan A250 AMG Line, RM211k-RM240k

    Pada Oktober tahun lalu, Mercedes-Benz A-Class Sedan V177, bersama GLA H247 menjadi model kereta kompak Mercedes yang pertama dipasang di negara ini. Model CKD yang diperkenalkan iaitu A 200 dan A250 AMG Line, yang menggantikan model CBU sebelum ini, tidak mengalami perubahan ketara daripada segi spesifikasi, malah harganya telah dikurangkan.

    Untuk model A 200 Progressive Line, ia dijual pada harga RM210,903, manakala A 250 AMG Line pula berharga RM239,858, kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans tetapi termasuk dengan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga 30 Jun ini. Menunjukkan harga bagi versi pemasangan tempatan ini, masing-masing kurang RM11,000 dan RM19,000 berbanding dengan unit CBU bersama pengecualian SST.

    Tiada perubahan pada penjana kuasanya, dengan A 200 masih dipadankan dengan enjin dari sumber Renault iaitu unit M282 1.33 liter pengecas turbo empat-silinder dengan hamburan kuasa 163 PS pada 5,500 rpm dan tork 250 Nm dari 1,620 hingga 4,000 rpm. Manakala A 250 pula diberikan enjin dari Mercedes sendiri dengan unit M260 2.0 liter turbo empat-silinder dengan kuasa 224 PS pada 5,500 rpm dan tork 350 Nm antara 1,800 dan 4,000 rpm. Kedua-dua enjin dipadankan dengan transmisi wet dual-clutch tujuh-kelajuan.

    Untuk kelengkapan luarannya, ia masih sama seperti versi CBU, tetapi ada sedikit sahaja perubahan yang dilakukan. Kedua-dua varian kini didatangkan dengan lampu utama LED High Performance dan roda aloi dua-tona 18-inci dengan tayar biasa, dengan A 200 menggunakan tayar ini berbanding tayar run-flats pada model CBU. Sementara itu, perubahan kecil untuk A 250 pula ialah cakera brek hadapan – unit CBU dengan unit cross-drilled tetapi telah digantikan dengan jenis ventilated standard.

    Di dalamnya pula, terdapat beberapa ciri telah digugurkan tetapi digantikan dengan unit lain untuk versi CKD ini. Untuk tempat duduk hadapan A 200, ia kini bukanlah larasan-kuasa, dan sistem pencahayaan 64-warna telah digugurkan. Tetapi kini kedua-dua varian didatangkan dengan kawalan suhu automatik dwi-zon dan corong udara untuk tempat duduk belakang, yang tiada ada pada model CBU.

    Ciri standard yang dikekalkan termasuklah sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan paparan digital berkembar 12.3-inci, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kulit upholstery tiruan Artico (dengan gentian mikro Dynamic di dalamnya untuk A 250), bilah pengelap cermin/lampu automatik, bantuan parkir, enam pembesar suara dan kamera undur.

    Bagi kit bantuan pemanduan dan keselamatan pula ia termasuk tujuh beg udara dan brek kecemasan sendiri, dan untuk A250 CKD ditambah pula dengamn pemantauan titik buta dan amaran membuka pintu, tetapi telah disingkirkan lampu tinggi automatik.

    GALERI: Mercedes-Benz A 250 AMG Line Sedan CKD V177

    GALERI: Mercedes-Benz A 200 Sedan CKD V177

     
     
  • Toyota Voxy 2022 dilancarkan di Indonesia – RM163k, tujuh tempat duduk, enjin 2.0L Dynamic Force, CVT

    Toyota Voxy 2022 dilancarkan di Indonesia – RM163k, tujuh tempat duduk, enjin 2.0L Dynamic Force, CVT

    Selepas membuat kemunculan di Jepun awal tahun ini, kini ‘adik’ kepada Vellfire, iaitu Toyota Voxy dalam versi generasi keempat kini secara rasmi dilancarkan di pasaran Indonesia. Model berkenaan dibawa terus dari Jepun dan Toyota Astra Motor menawarkan Voxy hanya dalam satu varian iaitu 2.0 CVT.

    Ia dijual pada harga 558.2 juta rupiah (RM162,987), menjadikan ia model ketiga paling mahal dalam barisan MPV Toyota yang ditawarkan di Indonesia selepas Alphard dan Vellfire, yang dijual pada harga lebih dari satu bilion rupiah. Walaupun ia sebuah MPV yang bersegi, Voxy generasi baharu ini turut diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) sama seperti model-model sedan, hatchback mahupun SUV generasi baharu Toyota yang lain.

    Secara spesifiknya, Voxy menerima platform TNGA untuk model segmen-C iaitu GA-C. Ia diberikan struktur badan yang dirombak semula bagi memberikan ruang dalaman lebih luas – khususnya pada bahagian tiang-C yang kini disusun lebih tegak berbanding model sebelumnya.

    Toyota Voxy 2022 dilancarkan di Indonesia – RM163k, tujuh tempat duduk, enjin 2.0L Dynamic Force, CVT

    Rombakan ini membolehkan Voxy diberikan ukuran antara tiang-C kiri dan kanan sejauh 1,295 mm, atau 75 mm lebih lebar dari versi generasi ketiga. Ia juga diberikan bumbung lebih tinggi dengan ukuran tinggi keseluruhan 1,405 mm, memberikan rasa kabin yang lebih terbuka, dakwa Toyota.

    Sebagai model yang lebih sporty berbanding kembarnya iaitu Noah (hanya dijual di Jepun setakat ini), Voxy diberikan lampu nyalaan siang yang lebih nipis. Ia diberikan gril bampar hadapan yang sangat besar dan kelihatan seperti menjadi perumah kepada lampu hadapan utama LED.

    MPV ini juga diberikan tiang-D yang digelapkan, bagi membuatkan ia kelihatan seperti sebahagian dari cermin tingkap sisi belakang dan bumbung yang terapung. Voxy turut diberikan lampu belakang yang berbeza dari Noah, dengan lensa jernih dan juga panel penghubung yang lebih tegak merentangi pintu tailgate belakang dalam kemasan perak.

    Toyota Voxy 2022 dilancarkan di Indonesia – RM163k, tujuh tempat duduk, enjin 2.0L Dynamic Force, CVT

    Pasaran Indonesia menerima Voxy dengan konfigurasi tujuh-tempat duduk, bersama kabin dengan tema warna gelap. Perincian standard lain yang dibekalkan termasuk cermin sisi elektrik dengan pemanas, pintu sisi gelangsar bantuan kuasa dengan akses tanpa sentuhan, pintu tailgate berkuasa, upholsteri fabrik dan perapi-perapi kulit.

    Pemandu menerima paparan pelbagai info tujuh-inci dan paparan head-up. Manakala untuk sistem infotainmen, ia diberikan skrin sesentuh sembilan-inci pada papan pemuka dan juga skrin hiburan yang diletakkan pada bumbung untuk penumpang kabin belakang. Selain itu, Voxy pasaran Indonesia ini juga diberikan pengecas telefon pintar tanpa wayar, serta sistem penghawa dingin dua-zon bersama liang penghembus siling di belakang.

    Model ini juga datang lengkap dengan sistem bantuan pemanduan keselamatan Toyota Safety Sense. Ia menampilkan sistem-sistem seperti Sistem Pra-Pelanggaran (brek kecemasan automatik), Bantuan Mengesan Lorong, Dynamic Radar Cruise Control, Lampu Tinggi Automatik, pemantau titik buta dan juga Brek Sokongan Parkir.

    Sistem keselamatan lain yang turut diberikan termasuk brek parkir elektronik dengan fungsi Brake Hold, pemantau pandangan panaromik, cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak ISOFIX dan juga tujuh-beg udara. Sistem telemetik T Intouch juga dibekalkan, memberikan maklumat kepada pemilik berkenaan lokasi kenderaan, pengesan kenderaan yang dicuri, kemaskini status kenderaan, pengingat servis serta fungsi lain seperti geofencing, bantuan tepi jalan dan lain-lain.

    Toyota Voxy 2.0 CVT 2022 pasaran Indonesia ini menerima unit rangkaian kuasa yang sama seperti versi JDM, iaitu enjin Dynamic Force M20A-FKS 2.0 liter berkuasa 170 PS dan tork maksima 202 Nm, digandingkan dengan kotak gear Direct-Shift CVT automatik untuk memacu roda hadapan.

    Ia hanya datang dengan pilihan rim aloi 17-inci bersama tayar 205/55R17, dan ditawarkan dengan empat warna badan iaitu White Pearl, Glitter Black, Sparkling Black Pearl dan Metal Stream. Di Indonesia, Voxy perlu bersaing dengan Nissan Serena yang dijual dalam dua varian – bermula dengan X-Grade berharga 465.15 juta rupiah (RM135,969) dan Highway Star berharga 515 juta rupiah (RM150,541).

     
     
  • Triumph Speed Triple RR dilancarkan untuk pasaran Malaysia – enjin 1,160 cc, suspensi Ohlins, RM119,900

    Triumph Speed Triple RR dilancarkan untuk pasaran Malaysia – enjin 1,160 cc, suspensi Ohlins, RM119,900

    Triumph mempunyai pelbagai motosikal jenis moden klasik di dalam barisan produk mereka, tetapi model Speed Triple RR yang diperkenalkan kepada dunia September lalu membawa sesuatu yang lebih istimewa. Ia menggunakan asas daripada Speed Triple RS, tetapi dipadankan bersama bentuk badan klasik ala cafe racer.

    Kini, model tersebut sudah tiba di Malaysia, dengan pilihan warna Red Hopper/Storm Grey dan Crystal White/Storm Grey, dan dijual pada harga RM119,900 tidak termasuk insurans dan pendaftaran. Pembeli juga akan menerima pelindung bawah enjin serta penutup tempat duduk belakang yang diwarnakan sama seperti badan.

    Penggeraknya, iaitu enjin tiga silinder 1,160 cc serta kotak gear enam kelajuan yang mampu menghasilkan 177.6 hp dan 125 Nm tork masih adalah sama dengan RS, dan ia datang terus bersama quickshifter naik dan turun gear serta klac jenis slip and assist.

    Model RR ini juga mendapat peningkatan pada bahagian suspensi, di mana ia dipasang dengan unit kawalan elektronik Ohlins yang terdiri daripada fork USD 43 mm di hadapan dan monoshock RSU di belakang. Melaluinya, pengguna boleh melaras mampatan dan lantunan secara elektronik.

    Bahagian brek menggunakan angkup Brembo Stylema bersama cakera 320 mm berkembar di hadapan, manakala di belakang menggunakan cakera 220 mm bersama angkup Brembo dua piston. Cornering ABS diberi sebagai ciri standard, bersama sistem kawalan cengkaman, lima mod tunggangan serta sistem pengesanan angkatan tayar hadapan.

    Semua lampu motosikal ini menggunakan unit LED, termasuk lampu penunjuk arah, dan ia didatangkan bersama sistem tanpa kunci, tangki bahan api 15.5 liter, tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP3 V3 serta kemasan gentian karbon pada beberapa bahagian. Beratnya pula cuma lebih satu kilogram berbanding RS, iaitu 199 kg.

     
     
  • UMW Toyota Motor lantik Takashi Obata sebagai timbalan pengerusi baharu, gantikan Akio Takeyama

    UMW Toyota Motor lantik Takashi Obata sebagai timbalan pengerusi baharu, gantikan Akio Takeyama

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan pelantikan Takashi Obata sebagai timbalan pengerusi baharu bermula 1 Februari 2022. Beliau menggantikan Akio Takeyama yang sebelum ini memegang jawatan yang sama lebih tujuh tahun.

    Obata yang berpengalaman selama 30 tahun dalam Toyota Motor Corporation, menyelia jualan dan perancangan produk untuk pasaran global. Dengan UMWT, beliau komited untuk menyesuaikan diri dengan CASE (singkatan bagi Connected Cars, Autonomous driving, Shared and Electric) dan neutraliti karbon.

    “Ini adalah keutamaan yang sedang diusahakan secara agresif oleh Toyota di peringkat global dan telah pun bermula di Malaysia dengan pelancaran Toyota Corolla Cross Hybrid baru-baru ini. Saya berbesar hati kerana diamanahkan tanggungjawab ini untuk mengemudi perniagaan ke arah itu.

    “Saya amat berterima kasih kepada Akio Takeyama yang kerana meninggalkan legasi yang luar biasa semasa beliau bersama UMW Toyota Motor. Peranan ini sudah pasti mencabar tetapi saya yakin kita akan dapat mencapai lebih banyak lagi kejayaan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

    UMW Toyota Motor lantik Takashi Obata sebagai timbalan pengerusi baharu, gantikan Akio Takeyama

    Akio Takeyama (kanan) bersama Shawn Lee dalam Toyota Gazoo Racing Festival

    Di bawah kepimpinan Takeyama, UMWT telah mencapai pelbagai kejayaan, termasuklah pelancaran kilang pembuatan di Bukit Raja, Klang (kini diiktiraf sebagai kilang Toyota yang memiliki kualiti dan produktiviti tertinggi di Asia), memperkenalkan Gazoo Racing (festival dan varian kereta), serta meletakkan jenama Toyota dalam carta jualan tertinggi kereta bukan-nasional.

    “Saya sangat bertuah kerana diberi peluang untuk berkhidmat di Malaysia selama dua tempoh. Sepanjang dua tugasan saya di Malaysia selama 12 tahun, saya mempunyai dua frasa utama yang sentiasa saya ingat – ‘Dilahirkan Semula’ dan ‘Perubahan & Cabaran’. Masa saya di Malaysia dihabiskan untuk memperkenalkan model kereta yang lebih baik dan perkhidmatan pelanggan terbaik sambil terus menyumbang kepada industri automotif Malaysia,” kata Takeyama.

    Tambah beliau lagi, “Tahun-tahun yang saya habiskan di negara ini benar-benar indah dan mengujakan, dipenuhi dengan begitu banyak peristiwa penting, cabaran dan pencapaian. Ini tidak mungkin berlaku tanpa sokongan padu daripada pasukan saya dan semua pihak berkepentingan kami.”

     
     
  • Triumph Tiger Sport 660 tiba di Malaysia – dari RM50k

    Triumph Tiger Sport 660 tiba di Malaysia – dari RM50k

    Triumph Tiger Sport 660 yang baru sahaja didedah kepada dunia Oktober tahun lalu kini sudah tiba di Malaysia. Ia dijual pada harga bermula RM49,900 untuk yang menggunakan warna Lucerne Blue, Sapphire Black dan Graphite/Black, sementara yang berwarna Korosi Red dan Graphite pula dijual pada harga RM50,900 tidak termasuk insurans dan pendaftaran.

    Motosikal jenis adventure/tourer ini mengambil asas daripada Trident 660, dan hampir semua kelengkapan teknikalnya sama seperti model naked tersebut. Ini termasuklah enjin tiga silinder DOHC tiga silinder bersama kotak gear enam kelajuan yang mampu menghasilkan kuasa 81 PS pada 10,250 rpm dan 64 Nm tork pada 6,250 rpm.

    Walaubagaimanapun, Tiger Sport 660 ini dijadikan lebih sesuai untuk tugas jelajah, yang membawa kepada perubahan panel badan serta tangki bahan api yang lebih besar (17.2 liter). Suspensi yang lebih panjang (unit Showa sama seperti Trident 660 tetapi dengan jarak gerak 150 mm) juga menjadikan tempat duduknya lebih tinggi, iaitu 835 mm.

    Pada bahagian meter, Tiger Sport 660 menggunakan unit TFT dengan rekaan unik khas untuknya, dan ia boleh disambung dengan sistem My Triumph Connectivity untuk memberikan fungsi sambungan kepada telefon pintar dan GoPro, setelah mendapatkan aksesori tambahan yang disediakan sebagai pilihan.

    Melalui skrin ini juga anda boleh melihat pilihan dua mod tunggangan yang disediakan (Road/Rain), ABS serta kawalan cengkaman (boleh ditutup). Brek menggunakan set daripada Nissin, dengan cakera berkembar 310 mm dan angkup dua piston di hadapan, dan cakera 255 mm dengan angkup satu piston di belakang. Rim masih adalah unit 17 inci dan dibalut dengan tayar Michelin Road 5.

    GALERI: Triumph Tiger Sport 660

    GALERI: Triumph Tiger Sport 660 dengan aksesori

     
     
  • Tak dapat anjur reunion, bekas pelajar restore coaster tahun 80-an untuk diberi semula kepada sekolah

    Tak dapat anjur reunion, bekas pelajar restore coaster tahun 80-an untuk diberi semula kepada sekolah

    Pandemik Covid-19 mengubah kita dalam banyak perkara. Bagi bekas pelajar Batch 2001 Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, mereka sepatutnya menganjurkan pertemuan bekas pelajar pada tahun 2021. Walaubagaimanapun, acara seperti itu, yang melibatkan perkumpulan ramai orang dirasakan tidak sesuai dalam waktu pandemik.

    Bagi setiap batch, peluang menganjurkan pertemuan bekas pelajar ini hanya akan berlaku sekali sahaja, dan pada tahun yang berikutnya, ia akan diberi kepada batch lain. Disebabkan itu, mereka tidak mahu sekadar membiarkan 2021 berlalu tanpa menganjurkan sesuatu buat sekolah yang mereka sayangi.

    Sebelum pandemik, apa yang biasanya dilakukan oleh bekas pelajar adalah satu hujung minggu seperti karnival di sekolah, dengan pelbagai acara yang bukan sahaja boleh membenarkan bekas pelajar sekolah yang telah wujud sejak tahun 1957 ini bertemu kembali, tetapi juga aktiviti yang memberi manfaat kepada pelajar dan guru.

    Bagi Batch 2001, semua ini terpaksa diubah, dan salah satu projek yang diusahakan adalah membaik pulih bas kecil/coaster yang sudah berkhidmat lama di sekolah itu; sejak tahun 80-an lagi. Coaster ini telah memberi banyak kenangan kepada ramai pelajar di STAR dan hanya dihentikan khidmatnya pada tahun 2018 kerana sudah terlalu uzur.

    Pada waktu ia masih tegap, inilah kenderaan yang digunakan untuk pelajar pergi ke klinik, lawatan belajar, kunjungan ke sekolah lain, pertandingan sukan dan pelbagai lagi. STAR adalah sebuah sekolah berasrama penuh lelaki, jadi apabila ada peluang keluar dari sekolah dengan menaiki coaster ini, ia pastinya menjadi satu pengalaman yang diingati (apatah lagi apabila dapat melawat ke sekolah yang ada pelajar perempuan).

    Projek restorasi ini dimulakan pada penghujung tahun 2019, di mana coaster ini telah ditarik dari Ipoh, ke sebuah bengkel di Subang untuk baik pulih, bermula dengan bahagian mekanikal. Enjin diesel asal berkapasiti 3,200 cc kini diganti dengan unit 3,400 cc sementara transmisi pula masih lagi unit lima kelajuan sama seperti asal.

    Tak dapat anjur reunion, bekas pelajar restore coaster tahun 80-an untuk diberi semula kepada sekolah

    Setelah bahagian mekanikal berfungsi baik, semua bahagian lain coaster ini pula dicabut, sehingga hanya tinggal rangka. Seperti kebiasaan bagi sebuah kenderaan yang telah berusia lebih 40 tahun, ia menampakkan karat-karat namun tidak terlalu teruk. Proses sandblasting digunakan untuk membuang karat-karat ini, sementara bahagian lantai pula keseluruhannya diganti baru.

    Tempat duduk semuanya masih menggunakan unit asal, tetapi span telah diganti dan dibalut dengan kulit tiruan berwarna merah. Walaupun sebelum ini boleh menempatkan sehingga 22 orang di dalamnya, tempat duduk yang boleh dilipat di bahagian tengah telah dibuang sekaligus menjadikan kapasitinya kini hanya 14 orang.

    Bagi menambah sedikit ciri moden di dalam coaster ini, ia telah dipasang dengan sistem infotainmen berasaskan Android, dengan skrin kawalan sesentuh di bahagian hadapan, serta skrin tambahan di atas bumbung untuk penumpang di belakang. Melengkapkan sistem ini adalah pembesar suara berserta equalizer.

    Dalam keadaan asal, coaster ini tidak mempunyai sistem pendingin hawa dan apa yang boleh dilakukan oleh penumpang untuk mendapatkan angin hanyalah membuka tingkap. Keadaan itu, selepas restorasi masih lagi sama – memasang sistem pendingin hawa dengan kelengkapan seperti compressor, condenser dan blower memerlukan ubah suai yang melibatkan pemotongan rangka – tetapi ia telah ditambah baik dengan pemasangan beberapa kipas kecil.

    Bahagian badan coaster ini dicat dengan skema warna sama seperti asal, termasuk logo serta nama sekolah, tetapi yang menjadikannya ia nampak lebih ranggi adalah pemasangan rak bumbung buatan khas berserta tangga. Bukan setakat itu, bampar hadapan juga nampak lebih garang dengan adanya kangaroo bar – mengingatkan kepada modifikasi campervan di luar negara.

    Disebabkan oleh pelbagai kekangan, terutamanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang dua tahun lepas, restorasi coaster ini mengambil masa agak lama dan hanya siap Januari lalu. Tanpa melengahkan masa lagi, selepas itu, pelajar Batch 2001 STAR terus mengadakan roadtrip dari Subang, Selangor ke Ipoh, Perak untuk menyerahkan coaster ini kepada sekolah.

    Tak dapat anjur reunion, bekas pelajar restore coaster tahun 80-an untuk diberi semula kepada sekolah

    Perjalanan mereka tidak terus melalui lebuh raya, sebaliknya melalui jalan lama dengan beberapa persinggahan di tempat-tempat ikonik di Perak seperti menara condong Teluk Intan serta bekas tapak lombong bijih timah Tanjung Tualang. Menjadikannya lebih istimewa, mereka turut menggunakan semula khidmat individu yang sudah berpuluh tahun menjadi pemandu di STAR, iaitu Pak Abu.

    Sama seperti dulu, Pak Abu tidak merungut sepatah pun meskipun perjalanan melibatkan banyak hentian dan agak lama, malah beliau gembira dapat memandu semula coaster tersebut yang kini sudah kembali elok. Apabila sampai di Ipoh, majlis penyerahan coaster ini diadakan secara ringkas bersama wakil guru di sekolah.

    Perjalanan seperti ini menambah lagi memori mereka bersama coaster tersebut dan jika dulu mereka masih remaja belasan tahun, sekarang pula masing-masing sudah berusia dengan ada yang sudah tidak berambut, menjadi bapa dan lambang kebahagiaan (perut buncit) semakin terserlah.

    Secara keseluruhannya, projek restorasi coaster ini memakan belanja sekitar RM80k dan bagi orang biasa, ia mungkin sesuatu yang tidak mudah diterima akal. Mungkin ramai yang akan mengatakan lebih baik jika ia digunakan untuk membeli van atau bas baru, tetapi bagi pelajar Batch 2001 STAR, coaster ini dianggap sebagai sesuatu yang mempunyai nilai sentimental dan tidak patut dilupuskan begitu sahaja.

    Sekarang, apabila ia sudah bangkit semula, mereka berharap ia dapat kembali memberi khidmat kepada pelajar, dan lebih penting lagi, meninggalkan memori yang boleh diceritakan kepada anak cucu. Pendapat anda macam mana? Tidakkah ini satu projek yang menarik dan unik?

     
     
  • Kerajaan sedia peruntukan RM150 juta untuk bas henti-henti MyBas di Johor — 19 laluan, ada bas EV

    Kerajaan sedia peruntukan RM150 juta untuk bas henti-henti MyBas di Johor — 19 laluan, ada bas EV

    Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi tempoh tiga tahun kepada kerajaan negeri Johor bagi pelaksanaan perkhidmatan bas henti-henti myBas, melalui Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) bertujuan untuk memperbaiki kualiti perkhidmatan bas di negeri itu.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menjelaskan program yang akan dilaksanakan bermula Mac nanti dijangka akan memberikan manfaatk kepada 6.4 juta penumpang setahun, sekaligus menggalakkan penggunaan bas sebagai mod pilihan rakyat, lapor Harian Metro.

    “Buat kali pertama, kita perkenalkan kenderaan elektrik (EV) untuk Johor Bahru. Ada lapan bas EV khusus untuk kawasan pusat bandar raya. Sebab itu kita lakar sejarah, perkenalkan SBST dan dalam konteks Johor Bahru, kita perkenalkan teknologi bas yang kini sedang diterima pakai di peringkat global,” katanya. Program ini menurutnya sangat baik dan sudah dilaksanakan di Kangar, Ipoh, Seremban dan Kuala Terengganu.

    Kerajaan sedia peruntukan RM150 juta untuk bas henti-henti MyBas di Johor — 19 laluan, ada bas EV

    Tambah beliau, pelaksanaan 128 myBAS di negeri itu akan membabitkan 19 laluan di lima koridor iaitu Kota Tinggi, Masai, Kulai, Gelang Patah dan Pontian, yang dijangka memberi manfaat kepada penduduk di sepanjang jajaran perkhidmatan sejauh 1,052 kilometer.

    Sementara itu, Menteri Besar, Johor Datuk Hasni Mohammad pula berkata, walaupun Johor mempunyai perancangan projek pengangkutan berskala besar termasuk Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru dan Projek Rapid Transit System Link (RTS Link), namun sistem bas berhenti-henti masih perlu diperkasakan.

    “Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Pasir Gudang akan digabungkan dengan sistem (pengangkutan) yang baik dan terkini, dengan ketepatan masa perkhidmatan dan kawasan liputannya, malah bas yang diperkenalkan dalam SBST ini juga membabitkan bas mini, bas biasa dan bas elektrik, tentunya ini sesuatu yang setara dengan bandar raya Johor Bahru,” katanya.

     
     
  • KLIA Ekspres benarkan penumpang bawa basikal bukan-lipat naik tren pada hujung minggu, cuti umum

    KLIA Ekspres benarkan penumpang bawa basikal bukan-lipat naik tren pada hujung minggu, cuti umum

    KLIA Ekspres telah mengumumkan kini para penumpang dibenarkan membawa basikal bukan-lipat, skuter dan e-basikal masuk ke dalam tren pada hujung minggu dan cuti umum sahaja. Ia adalah percuma tetapi tambang hanya dikenakan untuk penumpang sahaja.

    Walau bagaimana pun terdapat beberapa syarat yang dikenakan untuk penumpang yang membawa basikal menaiki tren untuk berkayuh ke destinasi tertentu. Pertama, anda yang membawa basikal bersama (tolong sorong/angkat basikal anda, bukannya berkayuh pula dalam stesen ya) perlu menggunakan aisle gate yang lebar untuk masuk ke dalam stesen KLIA Ekspres.

    Kemudian, anda perlu memberi laluan terlebih dahulu kepada penumpang lain yang keluar dari tren. Jangan berasak-asak bawa basikal ketika penumpang lain sedang keluar dari tren, bersabarlah terlebih dahulu.

    Selain itu, anda hanya dibenarkan menggunakan tangga atau pun lif ketika membawa basikal, penggunaan eskalator adalah tidak dibenarkan sama sekali. Kemudian, anda perlu bersama basikal yang dibawa pada setiap masa ketika berada di dalam tren. Maknanya jangan pula letak basikal di koc pertama, dan anda duduk di koc kedua pula.

    Bukan itu sahaja, jangan sesekali meletakkan basikal anda berhampiran pintu masuk/keluar serta jangan menghalang laluan penumpang lain. Anda juga tidak dibenarkan untuk duduk di atas basikal anda ketika di dalam tren. Apa pun, jangan sampai membuatkan penumpang lain berasa kurang selesa bila anda membawa basikal bersama.

    Sebelum ini, hanya basikal jenis lipat (atau lebih popular dikenali sebagai foldie bike) dan skuter jenis lipat sahaja yang dibenar dibawa masuk ke dalam tren, pada hari biasa, hujung minggu dan cuti umum. Selain KLIA Ekpres, KTM Berhad juga telah menawarkan perkhidmatan sewa Koc Basikal Ekpres untuk penumpang membawa basikal ke dalam tren untuk ke mana-mana destinasi pilihan.

     
     
  • New York guna kamera untuk saman kereta ekzos bising – denda boleh dikenakan sehingga RM3.6k

    New York guna kamera untuk saman kereta ekzos bising – denda boleh dikenakan sehingga RM3.6k

    Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (DEP) Bandaraya New York di Amerika Syarikat kini sudah pun menggunakan kamera khas untuk mengesan dan memberikan saman bagi kereta-kereta yang menghasilkan bunyi ekzos terlalu bising, lapor Road & Track.

    Menurut portal berkenaan, perkara tersebut disedari apabila akaun Facebook Lowered Congress menyiarkan satu notis dari DEP New York kepada seorang pemilik BMW M3 yang menyatakan bahawa keretanya menghasilkan bunyi yang terlalu kuat.

    “Saya menulis kepada anda kerana kereta anda telah dikenalpasti menggunakan peredam bunyi yang tidak mematuhi Seksyen 386 Undang-undang Kenderaan dan Trafik, yang melarang bunyi bising yang berlebihan dari kenderaan bermotor. Kenderaan anda telah direkodkan oleh kamera yang mengambil gambar kenderaan dan nombor pendaftaran. Sebagai tambahan, meter bunyi telah merakam tahap desibel ketika kenderaan menghampiri dan melepasi kamera berkenaan,” tulis notis DEP yang dihantar kepada pemilik BMW M3 tersebut

    Walau bagaimanapun, saman tidak dikeluarkan serta merta oleh jabatan tersebut. Sebaliknya pemilik M3 berkenaan perlu membawa keretanya untuk diperiksa oleh DEP, dan kemudian diberikan peluang untuk memasang kembali peredam bunyi yang mematuhi undang-undang – lebih kurang sama dengan proses advokasi yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Malaysia.

    New York guna kamera untuk saman kereta ekzos bising – denda boleh dikenakan sehingga RM3.6k

    Namun sekiranya pemilik tidak hadir ke pemeriksaan yang telah ditetapkan itu, mereka boleh dikenakan saman maksima sehingga USD875 (RM3,663), dengan denda tambahan sekiranya mereka tidak mempedulikan saman berkenaan.

    Jurucakap DEP Bandaraya New York turut mengesahkan perkara ini kepada Road & Track dalam atu email yang dibalas, dan menyatakan bahawa ia adalah projek rintis yang telah pun bermula sejak September tahun lalu. Kamera yang digunakan tersebut berfungsi sama seperti kamera perangkap had laju, tetapi diberikan tambahan pengesan tahap bunyi.

    Jabatan tersebut turut menjelaskan bahawa program berkenaan akan dinilai semula pada 30 Jun nanti, dan hasil dapatannya akan menentukan sama ada ia akan terus berjalan atau dihentikan. DEP Bandaraya New York turut menyatakan bahawa inisiatif yang mereka lakukan ini tidak ada kaitan dengan inisiatif yang dibuat oleh Gabenor Kathy Hochul untuk mengurangkan pencemaran bunyi di kota itu.

    Menurut R&T, September lalu Kathy telah menandatangani undang-undang baharu yang membolehkan pemilik kenderaan dengan bunyi ekzos yang melebihi had dibenarkan disaman dengan nilai USD150 (RM628) sehingga USD1,000 (RM4,187) – tertinggi berbanding negeri-negeri lain di AS.

     
     
  • Modenas siar teaser Karisma 125S – lancar 24 Februari

    Modenas siar teaser Karisma 125S – lancar 24 Februari

    Dalam masa beberapa hari lagi, Modenas nampaknya akan melancarkan sebuah model baru apabila mereka menyiarkan sebuah video teaser di media sosial. Ia adalah untuk Karisma 125 S baru, dan diberitahu akan dilancarkan secara maya 24 Februari ini.

    Apa yang dapat dilihat melalui video ini cumalah bahagian depannya sahaja, dan di situ, kita boleh menyaksikan bahawa Karisma 125 S baru ini mempunyai lampu hadapan jenis LED dengan DRL, warna dan grafik yang menyerlah serta brek hadapan jenis cakera.

    Karisma 125 yang berada dalam pasaran sekarang sudah dilancarkan sejak tahun 2016 dan ketibaan model baru ini memang dianggap perlu untuk memastikan ia terus dapat bersaing. Model itu menggunakan asas daripada Kymco Ace 9, tetapi bagi model baru ini, kami masih belum pasti ia menggunakan asas daripada model jenama apa. Melihat kepada laman web Kymco untuk pelbagai negara, kami tidak dapat menemui model yang sama seperti Karisma 125 S ini.

    Karisma 125 dipacu oleh enjin satu silinder 124.6 cc cc penyejukan udara dengan sistem bahan api karburetor, dan datang dengan kelengkapan seperti rim 14 inci, padanan brek cakera di hadapan dan dram di belakang, tangki bahan api 4.6 liter serta panel meter analog biasa.

    Melalui model baru yang akan dilancarkan nanti, kami harap ia akan menerima peningkatan dengan ciri seperti sistem suntikan bahan api, brek ABS ataupun meter digital. Bagi kapasiti enjin, mungkin Modenas memang sengaja tidak mahu menggunakan enjin 150 cc pada model ini, dan mahu mensasarkan ia kepada pengguna dalam kelas pertengahan serta penggunaan yang lebih santai.

     
     
  • Rapid KL perkenalkan perkhidmatan bas City Hop dengan 2 laluan percubaan, tambang promosi RM1

    Rapid KL perkenalkan perkhidmatan bas City Hop dengan 2 laluan percubaan, tambang promosi RM1

    Rapid KL telah memperkenalkan perkhidmatan bas City Hop baharu, yang bakal membawa anda melawat tempat menarik di sekitar stesen LRT. Dianggap sebagai “cara paling mudah untuk melawat tempat menarik di sekitar KL, buat masa ini ada dua laluan percubaan yang sedang dilaksanakan sehingga 30 April 2022.

    Bagi Laluan CH01 dari LRT Gombak ke Zoo Negara, ia juga akan berhenti di pusat membeli-belah Melawati Mall dan KL East Mall, sebelum sampai ke Zoo Negara. Bagi perjalanan pulang ke stesen LRT, bas tersebut akan berhenti bertentangan dengan Zoo Negara, bertentangan Melawati Mall (Taman Permata) dan bertentangan KL East Mall (Satay Samuri).

    Klik untuk besarkan

    Manakala untuk laluan CH02 Pasar Seni-Tasik Perdana, ia memiliki tujuh hentian iaitu Gerai Taman Perdana, Taman Rama-Rama, Taman Burung, Memorial Tun Abdul Razak, Muzium Polis, Masjid Negara dan stesen tren KTM Kuala Lumpur. Bas tersebut akan bergerak dari Gate B di Stesen MRT Pasar Seni.

    Menurut Rapid KL, bas City Hop akan bergerak dari stesen LRT sebanyak 10 kali sehari, bermula dari jam 8.30 pagi dengan selang jarak sejam. Buat masa ini, tambang promo sebanyak RM1 diperkenalkan dan bayaran boleh dibuat menerusi kad Touch ‘n Go. Walau bagaimana pun, semua pas perjalanan tanpa had Rapid KL (MyCity, My50, Keluarga Malaysia) dan diskaun konsesi tidak boleh digunapakai untuk perkhidmatan bas City Hop ini.

     
     
  • Enjin hidrogen Toyota 5.0L V8 dibangunkan oleh Yamaha – hasilkan 455 PS dan tork maksima 540 Nm!

    Enjin hidrogen Toyota 5.0L V8 dibangunkan oleh Yamaha – hasilkan 455 PS dan tork maksima 540 Nm!

    Ramai yang sudah tahu bahawa pembuat motosikal dari Jepun iaitu Yamaha seringkali membantu Toyota untuk membangunkan enjin-enjin prestasi seperti membina kepala silinder untuk enjin-enjin kod ‘G’ Toyota (aci sesondol berkembar dengan sudut luas) dan juga enjin V10 untuk supercar Lexus LFA.

    Terbaharu, Yamaha telah pun membina satu lagi enjin prestasi bentangan V8 untuk Toyota, tetapi kali ini digerakkan dengan bahan api hidrogen! Bukan lagi rahsia bahawa Toyota kini serius untuk menghasilkan enjin hidrogen memandangkan enjin pembakaran dalaman janaan bahan api fosil akan diharamkan di pelbagai negara di dunia kerana undang-undang pencemaran yang semakin ketat, dan pembangunan enjin baharu ini adalah salah satu dari usaha berkenaan.

    Enjin hidrogen ini diasaskan dari enjin petrol V8 2UR-GSE dengan kapasiti 5.0 liter yang boleh ditemui dalam perut model-model produksi seperti Lexus IS 500 F Sport Performance, LC 500, GS F dan RC F. Menurut Yamaha, modifikasi yang dibuat bagi membolehkan ia beroperasi menggunakan hidrogen adalah termasuk pada penyuntik bahan api, kepala silinder, manifold kemasukan dan banyak lagi.

    Enjin hidrogen Toyota 5.0L V8 dibangunkan oleh Yamaha – hasilkan 455 PS dan tork maksima 540 Nm!

    Yamaha turut menyatakan bahawa enjin hidrogen ini mampu menghasilkan kuasa 455 PS pada takat 6,800 rpm dan tork maksima 540 Nm pada takat 3,600 rpm. Sebagai perbandingan, untuk enjin yang sama menggunakan bahan api petrol dalam model produksi Lexus RC F, ia menjana 477 PS pada takat 7,100 rpm dan tork maksima 530 Nm bermula pada takat 4,800 rpm sehingga 5,600 rpm.

    “Enjin hidrogen mempunyai rasa mesra semula jadi yang menjadikannya mudah digunakan tanpa menggunakan alat bantuan pemanduan elektronik. Setiap orang yang datang untuk memandu uji kereta prototaip ini biasanya akan ragu-ragu pada permulaan, tetapi kemudian akan keluar dari kereta dengan senyuman lebar di wajah mereka,” kata Takeshi Yamada dari Bahagian Pembangunan Automotif, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknikal Yamaha.

    Salah satu kualiti yang dinilai oleh Yamada dan pasukannya sepanjang proses pembangunan enjin ini digelar sebagai Kanno Seino, yang boleh ditafsirkan sebagai “prestasi sensual atau keghairahan.”

    Salah satu punca datangnya Kanno Seino pada enjin hidrogen tersebut adalah dari bunyi ekzos berfrekuensi tinggi dihasilkan dari manifold ekzos 8 kepada 1, yang bukan sahaja memberikan cabaran kepada jurutera untuk mengejar prestasi, malah turut memberikan “tarikan baharu untuk enjin pembakaran dalaman yang masih belum dilihat oleh dunia,” kata Yamada lagi.

    Bagi yang belum mengetahui, konsep enjin pembakaran dalaman yang menggunakan hidrogen ini adalah berlainan dengan konsep sel bahan api hidrogen pada model-model produksi Toyota seperti Mirai yang menggunakan sel bahan api hidrogen bagi menjana kuasa elektrik, membolehkan motor elektrik memacu roda.

    Enjin hidrogen ini pula berfungsi sama seperti enjin pembakaran biasa, tetapi bahan api fosil seperti petrol atau diesel digantikan terus dengan hidrogen. Selain dari enjin V8 ini, Toyota sudah pun membangunkan versi hidrogen untuk enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo (enjin yang sama pada GR Yaris) dan disumbatkan pada Corolla Sport yang berlumba dalam perlumbaan endurance Super Taikyu di Jepun, serta pada unit prototaip GR Yaris yang telah didedahkan kepada umum sebelum ini.