Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Puspakom umum beberapa cawangan terpilih bakal beroperasi pada hari Sabtu, 26 Feb 2022

    Puspakom umum beberapa cawangan terpilih bakal beroperasi pada hari Sabtu, 26 Feb 2022

    Puspakom telah mengumumkan beberapa cawangannya akan beroperasi pada esok, 26 Februari 2022.Cawangan terbabit akan dibuka untuk semua perkhidmatan pemeriksaan mulai jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

    Ia melibatkan cawangan Wangsa Maju, Cheras dan Taman Bukit Maluri (Kepong) di Kuala Lumpur; Shah Alam, Padang Jawa, Glenmarie, Petaling Jaya, Banting, Bangi dan Pandan Mewah di Selangor; Mak Mandin di Pulau Pinang; Gopeng di Perak; Seremban di Negeri Sembilan; serta Johor Bahru dan Pasir Gudang di Johor.

    Walau pun pertambahan waktu operasi itu diumumkan pada saat akhir, namun seperti biasa, semua pelanggan diwajibkan membuat temujanji melalui MyPUSPAKOM sebelum hadir pemeriksaan, bermakna tiada kunjungan secara walk-in dibenarkan.

    Sementara itu, Puspakom Senai di Johor, yang sebelum ini dilaporkan tutup mulai 14 Februari untuk proses proses disinfeksi dan sanitasi, kini telah pun kembali beroperasi sejak 20 Februari lalu.

     
     
  • Suzuki Baleno 2022 dilancar di India — 1.2L DualJet dengan 90 PS, MT dan AMT; dari RM35k-RM53k

    Suzuki Baleno 2022 dilancar di India — 1.2L DualJet dengan 90 PS, MT dan AMT; dari RM35k-RM53k

    Maruti Suzuki telah melancarkan Suzuki Baleno serba baru untuk pasaran India, dengan harga bermula 635,000 rupees (RM35,371) bagi varian paling asas. Bagi varian paling tinggi pula, ia dijual pada harga 949,000 rupees (RM52,862). Di India, Baleno dipasarkan sebagai sebuah hatchback premium.

    Baleno generasi kedua ini, sama seperti sebelumnya, dipasang oleh Suzuki Motor Gujarat — sebuah anak syarikat Suzuki Motor — di kilangnya bertempat di Ahmedabad, Gujarat. Walaupun Suzuki menggunakan jolokan “New Age Baleno” yang mencadangkan ia sebuah model serba baru, penawaran terkini ini sebenarnya lebih cenderung kepada facelift ketara dan berkongsi platform Heartect yang sama dengan model lama yang diperkenalkan pada 2015 — rekaannya bagaimanapun diberi banyak pembaharuan dengan panel badan dan kemaskini luaran.

    Ukuran dimensi Baleno terbaru ini juga tidak banyak berbeza, dengan jarak antara roda yang sama 2,520 mm serta kelebaran 1,745 mm. Panjang keseluruhan kenderaan telah dikurangkan kepada 3,990 mm (-5 mm), sementara ketinggian kini 1,500 mm (-10 mm).

    Suzuki Baleno 2022 dilancar di India — 1.2L DualJet dengan 90 PS, MT dan AMT; dari RM35k-RM53k

    Dari segi rekaan, Baleno menerima rekaan depan baru yang lebih menarik, dengan gril lebih lebar berserta perincian dan bingkai krom. Lampu utama juga diberi sentuhan rekaan baru dengan tiga elemen lampu nyalaan siang LED. Bampar juga kini ada lampu kabus yang dihubungkan dengan bukaan udara bahagian bawah, dan bahagian bonet kini semakin rata.

    Dari sisi, profil Baleno kekal tidak ketara perubahannya. Garis bahunya dipertajamkan lagi serta rim 16-inci dengan rekaan baru diberikan. Pilihan warna ada enam; Arctic White, Splendid Silver, Grandeur Grey, Nexa Blue, Opulent Red dan Luxe Beige.

    Perubahan lebih ketara ada di belakang, kini dengan rekaan lampu bentuk C yang dilanjutkan ke tengah, disertai sekali dengan bahagian yang menempatkan kamera undur. Reflektornya juga dialih pada kedudukan lebih tinggi disebabkan rekaan bampar baru ini.

    Suzuki Baleno 2022 dilancar di India — 1.2L DualJet dengan 90 PS, MT dan AMT; dari RM35k-RM53k

    Di dalam, papan pemuka pula mengenakan rekaan serba baru yang nampak lebih moden. Rekaan tiga-lapisan seperti mengambil ilham S-Cross yang terbaru, dengan skrin sentuh sistem infotainmen — dalam tujuh atau sembilan inci — terletak di tengahnya. Corong udara kini lebih kecil dan terletak di bawah.

    Skrin digital baru untuk sistem pendingin juga diberikan untuk Baleno baru ini, diletakkan di baris tengah yang berhubung dengan konsol tengah juga. Rekaan kluster instrumen dan roda stereng juga dipinjam dari S-Cross.

    Baleno datang dalam empat varian — Sigma, Delta, Zeta dan Alpha — dan semuanya dengan gear manual lima-kelajuan. Tiga varian terakhir itu bagaimanapun turut ditawarkan dalam transmisi AMT lima-kelajuan.

    Suzuki Baleno 2022 dilancar di India — 1.2L DualJet dengan 90 PS, MT dan AMT; dari RM35k-RM53k

    Enjin pula menggunakan unit K12N Dualjet 1.2 liter NA empat-silinder yang menghasilkan 90 PS (89 hp) pada 6,000 rpm dan 113 Nm tork pada 4,400 rpm. Kadar penggunaan minyaknya didakwa 22.35 km/l bagi manual dan 22.94 bagi AMT.

    Varian Sigma yang paling asas antaranya datang dengan rim besi 15-inci, lampu utama projektor halogen, lampu belakang LED, tingkap kuasa, pengunci sentral dan sistem tanpa kunci, pendingin hawa automatik, paparan multi-info asas, sensor parking undur, ABS dengan EBD, dua beg udara dan ISOFIX.

    Delta pula ada tambahan pelitup rim, kemasan krom pada gril, pemegang pintu warna badan dan cermin sisi berkuasa (dengan lampu isyarat), sistem infotainmen SmartPlay Studio, kawalan audio pada stereng, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, empat pembesar suara, penggera dan ESP dengan bantuan mula mendaki (AMT sahaja).

    Suzuki Baleno 2022 dilancar di India — 1.2L DualJet dengan 90 PS, MT dan AMT; dari RM35k-RM53k

    Zeta pula kelengkapannya lebih komprehensif. Ini melibatkan tambahan antaranya lampu utama LED automatik, rim aloi 16-inci, perincian kemasan krom di luar dan pemegang pintu, corong pendingin hawa belakang dan slot pengecas, penghidup enjin tanpa kunci, MID berwarna, pengilap cermin belakang, larasan stereng atas-bawah dan teleskopik dan perehat lengan.

    Alpha pula menerima tambahan khas seperi kaca potongan UV, DRL LED, lampu kabus, head-up display, kawalan melayar, cermin pandang belakang anti-silau, sistem infotainmen SmartPlay Pro+ sembilan-inci dengan sistem bunyi Arkamys, stereng balutan kulit, kamera 360-darjah dan ESP. Pesaing Baleno dalam pasaran India termasuk Hyundai i20, Honda Jazz, Volkswagen Polo, Tata Altroz dan Toyota Glanza akan datang.

     
     
  • Honda HR-V 2022 – spesifikasi pasaran Indonesia bocor; 1.5L VTEC Turbo 178 PS & 1.5 DOHC i-VTEC

    Honda HR-V 2022 – spesifikasi pasaran Indonesia bocor; 1.5L VTEC Turbo 178 PS & 1.5 DOHC i-VTEC

    Honda HR-V RS 2022 pasaran Thailand

    Awal bulan ini, foto Honda HR-V generasi ketiga pasaran Indonesia sudah pun tertiris dalam media sosial, yang mendedahkan model tertinggi RS bagi pasaran berkenaan mempunyai dua tip ekzos di belakang, menandakan ia mungkin dijana oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo.

    Dan jangkaan ini diperkuatkan lagi menerusi laporan dari portal automotif Indonesia, Autonetmagz, mendakwa bahawa mereka mendapat maklumat dari sumber yang menyatakan HR-V dipasaran berkenaan akan ditawarkan dalam empat varian, serta dua jenis enjin petrol sepenuhnya.

    Menurut laporan tersebut, model varian asas HR-V 2022 akan diberikan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC NA sama seperti pada Honda City, menjana 121 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,300 rpm. Tidak dinyatakan transmisi yang digandingkan, tetapi model generasi terdahulu HR-V dalam varian asas di negara berkenaan hadir dengan pilihan transmisi enam-kelajuan manual dan juga CVT automatik.

    Honda HR-V 2022 – spesifikasi pasaran Indonesia bocor; 1.5L VTEC Turbo 178 PS & 1.5 DOHC i-VTEC

    Honda HR-V RS 2022 pasaran Thailand

    Manakala untuk model tertinggi, varian Prestige sebelum ini tidak akan ditawarkan lagi dan digantikan dengan varian RS. Model dengan rupa paling sporty ini akan dijana oleh enjin L15BG 1.5 liter VTEC Turbo yang sama dengan Civic, menghasilkan 178 PS dan tork maksima 240 Nm.

    Untuk pengetahuan anda, L15BG ini adalah varian enjin 1.5L VTEC Turbo yang boleh menggunakan petrol yang diadun dengan ethanol (flex-fuel) untuk digunakan di negara seperti Thailand, manakala Civic untuk pasaran Malaysia menerima enjin L15B7 yang menggunakan petrol biasa, menghasilkan kuasa 182 PS.

    Bagi HR-V RS 2022 ini, enjin VTEC Turbo berkenaan hanya digandingkan dengan kotak gear CVT. Varian RS juga disahkan menerima kit badan lebih garang bersama elemen pin krom pada gril hadapan, serta satu-satunya varian yang diberikan enam-beg udara (varian lain hanya empat), sistem kemasukan tanpa kunci, serta paparan instrumen digital tujuh-inci.

    Manakala untuk keselamatan, kesemua varian HR-V 2022 pasaran Indonesia dibekalkan dengan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing, namun fungsi yang tersenarai dalam pakej sistem tersebut masih belum diketahui.

    Honda HR-V 2022 – spesifikasi pasaran Indonesia bocor; 1.5L VTEC Turbo 178 PS & 1.5 DOHC i-VTEC

    Unit prototaip Honda HR-V 2022 yang dijumpai sedang diuji di Malaysia

    Honda HR-V generasi ketiga ini sebenarnya telah terlebih dahulu dilancarkan di Thailand pada November tahun lalu. Di Thai, kesemua varian turut menerima sistem Honda Sensing yang menampilkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan stop & go, bantuan kekal tengah lorong, lampu tinggi automatik dan juga sistem baharu Lead Car Departure Notification seperti Civic.

    Namun HR-V RS pada pasaran Thailand ini tidak diberikan enjin 1.5L VTEC Turbo, sebaliknya menerima unit rangkaian kuasa hibrid i-MMD e:HEV. Sistem berkenaan menggandingkan enjin 1.5 liter kitaran Atkinson i-VTEC berkuasa 105 PS/127 Nm yang dalam kebanyakkan masa hanya mengecas bateri lithium-ion, bersama motor elektrik berkuasa 131 PS/253 Nm.

    Bagaimana dengan Malaysia? Minggu lalu Honda Malaysia (HMSB) telahpun memberikan petunjuk bahawa HR-V generasi ketiga ini turut akan dilancarkan pada pasaran tempatan pada tahun ini dan unit prototaip ujiannya sudah pun dijumpai sedang diuji di atas jalan raya awam baru-baru ini. HMSB juga ada menyatakan bahawa mereka akan hadir dengan lebih penawaran yang menampilkan enjin 1.5L VTEC Turbo dan juga varian hibrid e:HEV; jadi tidak mustahil kita akan menerima HR-V dalam kedua-dua jenis unit rangkaian kuasa berkenaan.

    GALERI: Honda HR-V e:HEV 2022 pasaran Thailand

     
     
  • KTM 890 Duke GP diperkenal – penampilan agresif, satu tempat duduk, spesifikasi seperti model asas

    KTM 890 Duke GP diperkenal – penampilan agresif, satu tempat duduk, spesifikasi seperti model asas

    Selepas versi asas 890 Duke dan 890 Duke R, KTM kini memperkenalkan satu lagi versi bagi model naked tersebut iaitu 890 Duke GP. Keistimewaan utama model ini adalah grafik oren hitam yang mendapat inspirasi daripada jentera lumba MotoGP, berserta rim yang juga menggunakan warna oren terang.

    Tempat duduknya pula sama seperti 890 Duke R, di mana bahagian belakangnya datang dengan penutup untuk menjadikannya seperti motosikal lumba, siap dengan span untuk memberi sokongan tambahan kepada penunggang apabila memecut.

    Walaupun dengan nama dan konsep lumba ini, 890 Duke GP cuma menggunakan spesifikasi seperti 890 Duke biasa, bermakna ia tidak mendapat suspensi boleh laras, brek Brembo Stylema dan pam brek MCS, sementara kuasa daripada enjin dua silinder selari yang digunakan juga cuma 115 hp dan 92 Nm tork, dan bukannya 121 hp/99 Nm seperti 890 Duke R.

    Kelengkapan lain yang diberikan pada 890 Duke GP ini adalah transmisi enam kelajuan, klac anti-hopping, fork WP Apex 43 mm (tanpa pelarasan), monoshock gas WP, steering damper, tayar Continental ContiRoad, brek cakera berkembar 300 mm dengan angkup empat piston di hadapan, tangki 14 liter dan tuil tangan boleh laras.

    Pada bahagian elektronik, model ini datang dengan empat mod tunggangan, ABS dengan mod Supermoto, Motorcycle Stability Control (MSC), Cornering ABS serta panel meter TFT. Berat keseluruhan 890 Duke GP adalah 169 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 820 mm.

     
     
  • Ducati Multistrada V4S 2022 terima warna Iceberg White baru, peningkatan sistem suspensi dan perisian

    Ducati Multistrada V4S 2022 terima warna Iceberg White baru, peningkatan sistem suspensi dan perisian

    Bagi model tahun 2022, Ducati telah memperkenalkan warna baru Iceberg White untuk Multistrada V4S. Warna ini menyertai dua warna lain sedia ada iaitu Ducati Red dan Aviator Grey. Untuk pasaran Malaysia, Multistrada V4S 2021 dijual pada harga RM146,900.

    Satu lagi peningkatan yang diberi adalah untuk suspensi semi elektroniknya. Ia kini ditambah dengan tetapan Minimum Preload, di mana motosikal akan dijadikan lebih rendah, sekaligus memudahkan pengguna naik dan mencecah kaki ke lantai apabila berhenti.

    Untuk perisian pula, kemas kini diberikan pada sistem infotainmen Ducati Connect dan Human-Machine Interface (HMI), di mana paparannya dijadikan lebih jelas dan mudah untuk digunakan oleh penunggang. Kemas kini ini diberikan standard pada Multistrada V4S 2022, tetapi bagi pemilik sedia ada, mereka juga boleh menaik taraf sistem mereka secara percuma di pusat servis.

    Dalam katalog aksesori Ducati Performance, Multistrada V4 dan V4S kini boleh didapati dengan kit suspensi rendah yang menurunkan motosikal sehingga menjadi 790 mm (tinggi tempat duduk), serta kotak barangan tepi aluminium.

    Kotak itu direka oleh Ducati bersama Givi dan ia terdiri daripada kotak tepi serta belakang – akan mula berada di pasaran April 2022. Kapasiti yang disediakan untuk kotak tepi adalah 76 liter sementara untuk kotak atas belakang adalah 41 liter.

     
     
  • MBSJ akan kenakan peraturan had parkir dua-jam di kawasan sibuk — libatkan Subang, Taipan, Sunway

    MBSJ akan kenakan peraturan had parkir dua-jam di kawasan sibuk — libatkan Subang, Taipan, Sunway

    Untuk mengelak masalah parkir di kawasan padat, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ) memperkenalkan satu pendekatan baru, dengan meletakkan had dua jam maksimum bagi kawasan-kawasan berkenaan.

    Menurut Datuk Bandar Subang Jaya, Johary Anuar, MBSJ merancang untuk melaksanakan pendekatan tersebut bermula 1 Jun dan kawasan komersial yang berpotensi dalam bidang kuasa majlis itu sedang dalam penilain, termasuk USJ 9 dan 10 (Taipan), SS19, Bandar Puteri Puchong dan Bandar Sunway.

    “Semua ini akan dikenali sebagai ‘zon parkir dua-jam’. Kami juga mengkaji jalan serta kawasan lain. Kadar bagi semua zon ini adalah 60 sen bagi setengah jam dan RM1.20 sejam,” jelasnya seperti dilaporkan The Star. Johary juga menjelaskan langkah itu telah dipertimbangkan sejak beberapa waktu sebelum ini.

    MBSJ akan kenakan peraturan had parkir dua-jam di kawasan sibuk — libatkan Subang, Taipan, Sunway

    “Kami mensasarkan untuk menjadikan kemudahan parkir tepi jalan tersedia untuk pengunjung ke kawasan itu dan bukannya didominasi oleh mereka yang bekerja di situ. Kami akan memperkenalkan sistem untuk meninjau kenderaan yang diparkir di kawasan berkenaan untuk memaklumkan penguatkuasa kami sekiranya ada kenderaan yang diparkir lebih daripada masa yang dibenarkan,” tambahnya.

    Dalam perkembangan lain, sistem parkir awam MBSJ juga akan beralih sepenuhnya kepada bayaran online bermula 1 April. Ini bermakna, penggunaan kupon gores dan bayaran di mesin akan berakhir pada 31 Mac, dan akan digantikan e-kupon dan aplikasi mudah alih. Aplikasi ketika ini, seperti Smart Selangor Parking, Flexi Parking, Jom Parking serta e-wallet Boost dan Touch ‘n Go akan terus diterima.

    Mereka yang tidak memiliki telefon pintar boleh membayar parkir di vendor sah e-kupon. Mereka yang memiliki kupon parkir yang belum digunakan pula akan diberi pulangan wang sebelum 31 Mac. Perincian proses dan lokasi untuk itu akan diumumkan kelak.

     
     
  • Mercedes-Benz C-Class W206 2022 kini di M’sia – C200 Avantgarde Line, RM288k; C300 AMG Line, RM330k

    Mercedes-Benz C-Class W206 2022 kini di M’sia – C200 Avantgarde Line, RM288k; C300 AMG Line, RM330k

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun melancarkan barisan C-Class W206 2022 untuk pasaran tempatan. Ia ditawarkan dengan dua varian iaitu C 200 Avantgarde Line dan C 300 AMG Line. Kedua-duanya adalah model import sepenuhnya (CBU) yang berharga RM288,334 untuk C 200 Avantgarde Line dan RM330,681 bagi C 300 AMG Line. Ia adalah harga atas jalan, dengan rebat cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga 30 Jun 2022, tanpa insurans serta ditawarkan dengan waranti empat-tahun tanpa had perbatuan.

    Bagi varian C 200 Avantgarde Line, ia diberikan enjin 1.5 liter turbo empat-silinder dengan hamburan kuasa 204 hp pada 5,800 rpm hingga 6,100 rpm dan tork 300 Nm pada 1,800 rpm hingga 4,000 rpm. Sekaligus memberikannya pecutan 0-100 km/j dalam 7.3 saat dan kelajuan maksimum boleh dicapai sehingga 246 km/j.

    Manakala C 300 AMG Line pula ditampilkan dengan unit M254 dalam kapasiti 2.0 liter empat-silinder dengan hamburan kuasa 258 hp pada 5,800 rpm hingga 6,100 rpm, sama seperti sebelum ini, tetapi lonjakan tork dinaikkan kepada 400 Nm pada 2,000 rpm hingga 3,200 rpm, berbanding 370 Nm sebelumnya. Kedua-dua varian C-Class turut diberikan transmisi 9G-Tronic sembilan-kelajuan dan penghidup-generator bersepadu (ISG).

    Mercedes-Benz C-Class W206 2022 kini di M’sia – C200 Avantgarde Line, RM288k; C300 AMG Line, RM330k

    Di mana ISG dengan bateri berkapasiti 70 Ah ini menggunakan sistem elektrikal on-board 48 voltan berfungsi bagi memastikan enjin lebih pantas meningkatkan kuasa prestasi tetapi dalam masa yang sama membolehkannya memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien. ISG ini turut memberikan tambahan kuasa sehingga 15 kW dan lebih tork sebanyak 200 Nm untuk memberikan kuasa yang lebih padu buat kedua-dua varian ini.

    Turut diberikan ciri keistimewaan buat C 300 ialah tambahan kuasa sebanyak 20 kW bagi ledakan kuasa yang lebih menguja, hasil teknologi twin-scroll yang bertindak balas lebih pantas dengan sistem forced induction. Teknologi tersebut dibangunkan hasil kerjasama antara pembuat pengecas turbo Mercedes-Benz dan pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula 1. Selain taruhan kuasa yang lebih padu, ia juga dikombinasikan dengan penjimatan bahan api yang lebih maksimum.

    Selain itu, kedua-dua varian turut diberikan ciri kelengkapan bagi pengendalian yang sama termasuklah suspensi Agility Control dengan selective damping system dan Dynamic Select.

    Dibangunkan menggunakan platform MRA generasi kedua ciptaan Mercedes-Benz sendiri, barisan C-Class 2022 ini memiliki dimensi berukuran 4,751 mm panjang, 1,820 mm lebar dan 1,438 mm tinggi, iaitu ia lebih panjang sebanyak 65 mm, 10 mm lebih lebar tetapi sembilan mm lebih rendah berbanding versi W205. Manakala jarak rodanya pula berukuran 2,865 mm iaitu 25 mm lebih panjang berbanding model terdahulu.

    Bagi imej luaran pula, ada sedikit perbezaan di antara kedua-dua varian ini, walau bagaimana pun ia masih mengetengahkan elemen rekaan yang sporty, hasil kombinasi overhang hadapan yang lebih pendek, jarak roda dan overhang belakang yang lebih panjang. Bagi C 200 Avantgarde Line, ia diberikan gril lourve menegak dengen elemen hiasan tambahan, serta kemasan krom pada bahagian apron hadapan. Manakala C 300 AMG Line pula menerima gril dengan rekaan bintang tiga bucu dalam kemasan krom.

    C 200 Avantgarde Line turut ditampilkan dengan roda aloi-ringan lima-jejari 18-inci dengan run-flat tyre. Untuk C 300 AMG Line pula, ia diberikan roda aloi-ringan pelbagai-jejari AMG 19-inci serta kit baik pulih tayar TIREFIT, bumbung suria gelangsar panoramik dan sistem brek dengan cakera brek yang lebih besar pada gandar hadapan.

    Untuk bahagian belakang pula, rekaan tipikal masih diberikan buat kedua-dua sedan ini. Walau bagaimana pun, buat pertama kalinya, ia menggunakan lampu dengan dua-kepingan rekaan, di mana fungsi pencahayaan telah dibahagikan di antara lampu side wall dan boot lid. Inilah antara ciri signitur yang ditampilkan buat C-Class yang turut dikenali sebagai ‘Baby Benz’, model paling laris bagi produk keluaran Mercedes-Benz.

    Manakala ciri kelengkapan luaran lain sama termasuklah lampu utama LED High Performance, bantuan lampu tinggi adaptif, cermin sisi boleh dilipat secara elektronik, underbody protection dan bilah pengelap cermin dengan penderia hujan.

    Mercedes-Benz C-Class W206 2022 kini di M’sia – C200 Avantgarde Line, RM288k; C300 AMG Line, RM330k

    Menjengah bahagian kabinnya, elemen serba mewah dan sofistikated menjalari segenap ruang. Papan pemukanya dibahagikan kepada seksyen atas dan bawah, dengan seksyen ala-sayap bersama corong bulat umpama nacelles enjin pesawat dengan hamparan serba mewah yang melunjur dari konsol tengah. Ia juga ditampilkan dengan paparan tengah bagi memaparkan fungsi kenderaan yang boleh dikawal menerusi skrin sesentuh berkualiti tinggi.

    Ia turut menampilkan pengimbas cap jari yang ditempatkan di bawah paparan tengah, di mana ia boleh mengenalpasti identiti anda dengan lebih pantas. Ini kerana data peribadi anda dilindungi. Apabila anda menyentuh pengimbas terbabit, sistem akan membenarkan akses pengguna.

    Kedua-dua varian ini juga berkongsi ciri kelengkapan yang sama termasuk Keyless Go, kawalan suhu automatik Thermatic, balutan kulit hitam Artico untuk tempat duduk, juga balutan kulit Nappa dengan rona hitam untuk papan pemuka dan beltline, tempat duduk hadapan dengan sokongan lumbar, sistem pengecas tanpa wayar, konsol tengah dengan gaya criss-cross dalam rona kelabu perak, pencahayaan ambien dengan pantulan logo jenama, panel ambang pintu dengan perkataan Mercedes-Benz, tirai suria manual untuk tingkap sisi dan tirai suria elektronik untuk cermin belakang.

    Untuk C 200 Avantgarde Line, ia diberikan roda stereng pelbagai-fungsi balutan kulit dengan kemasan paten berlian kelabu perak, sementara C 300 AMG Line pula lebih elegan dengan roda stereng sport pelbagai-fungsi balutan kulit Nappa. Selain itu, ia turut diberikan konsol tengah dengan optik dan elemen metal, alas lantai AMG, sistem pemantauan dalaman, bantuan suara “Hey Mercedes” dan boot lid remote closing.

    Bagi sistem multimedia, kedua-dua varian menerima paparan skrin sentuh menegak 11.9-inci, serta panel instrumen 12.3-inci terapung dan juga sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Selain itu, ia juga diberikan Advanced Connecting Plus, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Bagi aspek keselamatan, kedua-duanya turut dilengkapi Active Blind Spot, Active Lane Keeping Assist, Active Brake Assist, cruise control, Urban Guide Vehicle Protection, Active Parking Assist dengan Parktronic, Mercedes-Benz Emergency Call System, pelindungan pejalan kaki dan sistem pemantauan tekanan tayar. C 200 Avantgarde hanya diberikan kamera undur biasa, sebaliknya C 300 AMG Line menerima kamera 360 darjah.

    Dalam majlis pelancarannya pagi ini, Mercedes-Benz Malaysia turut mengesahkan model pemasangan tempatan (CKD) bagi barisan C-Class baharu ini akan dikeluarkan pada separuh kedua tahun ini. Ia akan diproduksi di kilang pemasangannya di Pekan, Pahang.

    GALERI: Mercedes-Benz C 200 Avantgarde Line 2022


    GALERI: Mercedes-Benz C 300 AMG Line 2022


     
     
  • Toyota Veloz 2022 dilancarkan di Thailand – bermula RM103k hingga RM113k, ada Toyota Safety Sense

    Toyota Veloz 2022 dilancarkan di Thailand – bermula RM103k hingga RM113k, ada Toyota Safety Sense

    Toyota Avanza generasi baharu telah pun dilancarkan di Indonesia pada November tahun lalu, dan sekarang MPV tujuh-tempat duduk berkenaan kini mendarat pula di Thailand. Namun di Thai, pelanggan dipasaran berkenaan tidak menerima Avanza biasa, sebaliknya hanya boleh memilih versi premium yang dikenali sebagai Toyota Veloz, berbanding Indonesia yang menerima kedua-dua versi.

    Dengan status “premium”, Veloz 2022 pasaran Thailand ini dijual pada harga 795,000 baht (RM102,800) untuk varian asas Smart, sehingga 875,000 baht (RM113,100) untuk varian Premium. Sebagai perbandingan, Toyota Avanza generasi sebelum ini dijual pada harga bermula 649,000 baht (RM84,000) di sana.

    Seperti yang diketahui, Veloz dan Avanza generasi terkini ini tidak lagi menggunakan casis semi-monocoque dan bentangan enjin hadapan pacuan belakang (FR), tetapi ia dibina berasaskan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang jauh lebih moden (sama dengan kembar Daihatsu Rocky/Toyota Raize/Perodua Ativa.) dengan konfigurasi enjin hadapan pacuan hadapan (FF).

    Dengan platform modular baharu ini juga membolehkan Veloz dihasilkan lebih besar, kini dengan dimensi 4,395 mm panjang (+205 mm), 1,730 mm lebar (+70 mm) dan 1,700 mm tinggi (+5mm). Jarak roda juga lebih jauh dengan ukuran 2,750 mm, atau bertambah 95 mm berbanding model generasi sebelumnya.

    Toyota Veloz 2022 dilancarkan di Thailand – bermula RM103k hingga RM113k, ada Toyota Safety Sense

    Veloz pasaran Thailand ini hanya ditawarkan dengan enjin 2NR-VE 1.5 liter yang menghasilkan 106 PS pada 6,000 rpm dan 137 Nm pada 4,200 rpm. Enjin tersebut menampilkan konfigurasi yang hampir sama dengan Perodua Myvi facelift 2022 kerana menggunakan kotak gear D-CVT yang lebih moden dari transmisi 4AT konvensional sebelum ini.

    Dari segi penggayaan, Veloz menerima gril hadapan besar berbentuk trapezoid, bersama sepasang lampu hadapan LED yang nipis, kelihatan berhubung menerusi bar krom merentangi bahagian atas gril berkenaan. Perumah lampu kabus juga direka sporty menampilkan perapi berbentuk-T dalam kemasan krom.

    MPV ini juga diberikan perincian seakan SUV menerusi rekaan bonet hadapan dengan sisi lebih tinggi dari tengah, kesemua fender yang direka mempunyai ‘gelembung’, serta kemasan skid plate berwarna perak yang berada di bawah bampar hadapan dan belakang.

    Dalam kabin, Veloz diberikan papan pemuka yang direka melintang dan berlapis, menampilkan skrin infotainmen berdiri sendiri di tengah bersama kemasan-kemasan perak pada papan pemuka dan pintu. Dengan menggunakan platform DNGA pacuan hadpaan ini juga membolehhkan tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat rata kerana lantainya tidak digangu dengan propeller shaft dan juga gandar hidup di belakang.

    Kelengkapan standard yang diberikan pada Veloz pasaran Thailand ini termasuk rim aloi 16-inci, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, upholsteri separa leatherett, paparan instrumen digital tujuh-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, kamera undur, dan juga skrin sembilan-inci untuk sistem infotainmen dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Bagi model Premium, ia ditambah dengan perincian tambahan termasuk rim aloi 17-inci dan juga sistem kamera pemantau 360-darjah. Varian paling mahal ini juga diberikan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense. Sistem berkenaan adalah seiras dengan sistem Perodua Safety Drive Assist (PSDA) yang ditawarkan pada Perodua Ativa. Ia menawarkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, amaran keluar lorong dan juga lampu hadapan automatik.

    Untuk kedua-dua varian, kelengkapan keselamatan standard yang dibekalkan pada Veloz 2022 pasaran Thailand ini termasuk enam-beg udara, kawalan kestabilan elektronik, pemantau titik buta dan juga amaran lintasan trafik belakang.

    Sekarang kita dah tahu perincian dan harga untuk Toyota Avanza dan Veloz bagi pasaran Indonesia dan Thailand. Di Indonesia juga MPV ini dijual dengan logo Daihatsu iaitu Daihatsu Xenia. Seperti yang dicanangkan sebelum ini, kita di Malaysia bakal menerima MPV ini dengan logo Perodua, iaitu model generasi baharu Alza bagi menggantikan model sedia ada yang akan diberhentikan produksinya pada April ini.

    Jadi, agak-agak apa spesifikasi yang bakal kita dapat menerusi Perodua nanti, dan bagaimana pula dengan harga? Adakah Toyota juga akan turut membawa Veloz ke pasaran tempatan sebagai kembar kepada Alza generasi kedua seperti kembar Perodua Aruz dan Toyota Rush sebelum ini? Sama-sama kita nantikan perkembangannya nanti.

     
     
  • PACE 2022 bakal berlangsung 19-20 Mac ini – peluang akhir untuk nikmati penjimatan cukai, pelbagai hadiah

    PACE 2022 bakal berlangsung 19-20 Mac ini – peluang akhir untuk nikmati penjimatan cukai, pelbagai hadiah

    Tahun ini, acara Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org sekali lagi kembali. Seperti biasa, ia akan menyediakan pelbagai tawaran menarik untuk kereta premium baru dan terpakai, berserta hadiah dan macam-macam lagi. Sekali lagi, ia akan dianjurkan di Pusat Konvensyen Setia City, dan anda dijemput hadir pada 19-20 Mac ini.

    Memandangkan pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan akan berakhir 30 Jun ini, PACE adalah peluang terakhir untuk anda menikmati penjimatan cukai sebanyak 50% untuk kenderaan CBU dan 100% untuk kenderaan CKD. Jika anda ada rasa mahu membeli kereta baru, inilah masanya, dan kereta baru anda juga akan tiba sebelum Hari Raya.

    Antara jenama yang menyertai acara ini adalah termasuk Mercedes-Benz (diwakili oleh Hap Seng Star), BMW dan MINI (diwakili oleh Auto Bavaria), Volkswagen, Volvo, Jaguar, Land Rover, Ford dan Hyundai. Turut hadir adalah motosikal daripada BMW Motorrad dan Harley-Davidson.

    PACE 2022 bakal berlangsung 19-20 Mac ini – peluang akhir untuk nikmati penjimatan cukai, pelbagai hadiah

    Setiap jenama ini akan mempunyai tawaran mereka sendiri, tetapi seperti kebiasaan, setiap pembelian di PACE juga akan memberikan anda tambahan hadiah serta penjimatan. Antaranya, setiap tempahan kenderaan akan diberikan baucar RM2,500, di mana ia terdiri daripada RM500 untuk lapis pelindung cat Kuzig Glanz, RM500 untuk tint V-Kool, RM500 untuk pembersih udara Blueair, RM500 untuk tempat duduk kanak-kanak Recaro dan RM500 untuk barangan Ogawa.

    Jenama yang hadir di dalam acara ini juga akan membawa kenderaan terpakai mereka yang berkualiti dan pembeli akan menerima baucar RM1,000 yang terdiri daripada dua pilihan rawak baucar RM500 sama ada daripada Kuzig Glanz, V-Kool, Blueair atau Recaro Kids.

    Bukan setakat itu, mereka yang membeli kenderaan di PACE 2022 juga berpeluang untuk memenangi 10 unit telefon pintar yang berharga RM3,500 setiap satu. Hadiah utama yang disediakan pula adalah pakej percutian bernilai RM25,000 untuk dua orang. Semua perincian lanjut ada di sini.

     
     
  • Modenas Karisma 125S dilancarkan di M’sia – RM5,397

    Modenas Karisma 125S dilancarkan di M’sia – RM5,397

    Modenas hari ini telah melancarkan skuter Karisma 125S baru untuk pasaran Malaysia, dengan harga pasaran RM5,397 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    Walaupun masih menggunakan nama Karisma, model baru ini tidak mempunyai sebarang persamaan dengan Karisma yang dilancarkan pada tahun 2016, kerana ia menggunakan asas yang berlainan.

    Karisma 125S dipacu oleh enjin satu silinder 124.8 cc dengan sistem suntikan bahan api dan mampu menghasilkan kuasa 9.4 hp pada 7,500 rpm dan 10 Nm tork pada 6,000 rpm. Transmisi adalah jenis automatik tali sawat V.

    Ditawarkan dalam tiga warna iaitu biru, merah dan emas, bahagian luar Karisma 125S ini juga mendapat lampu hadapan dan belakang LED, lampu kecemasan serta rim 14 inci yang dibalut tayar 80/90 di hadapan dan 90/90 di belakang.

    Suspensi menggunakan padanan fork teleskopik dan satu penyerap hentak di belakang, sementara brek pula menggunakan unit cakera di hadapan dan dram di belakang (tiada ABS). Tangki bahan api berkapasiti 5.1 liter.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada skuter ini adalah termasuk ruang simpanan bawah tempat duduk 14 liter, soket pengecas USB di bawah bahagian pemegang, suis pembuka tempat duduk, meter kombinasi analog dan digital, serta penghidup enjin elektrik dan tendang.

     
     
  • Puspakom umum jadual pemeriksaan di lapangan bagi Mac 2022, termasuk untuk lokasi Sabah/Sarawak

    Puspakom umum jadual pemeriksaan di lapangan bagi Mac 2022, termasuk untuk lokasi Sabah/Sarawak

    Puspakom telah mengeluarkan jadual unit pemeriksaan kenderaan bagi Semenanjung, dan ujian di lapangan bagi Sabah dan Sarawak bagi bulan Mac 2022.

    Unit trak pemeriksaan di lapangan akan berkunjung ke Perak, Johor, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan. Tujuan usaha ini dijalankan adalah untuk melayani pelanggan yang tinggal jauh dari cawangan Puspakom. Perkhidmatan yang disediakan antaranya adalah pemindahan pemilikan dan pemeriksaan kenderaan rutin.

    Tiada trak “Transformer” besar di Malaysia Timur, tetapi petugas dan kelengkapan ujian luar kawasan akan mengunjungi Ranau, Kudat, Kota Belud, Kunak, Kapit, Limbang dan Marudi, dan beberapa lagi pekan kecil di Sabah dan Sarawak.

    Puspakom memaklumkan bahawa pelanggan boleh berkunjung terus ke lokasi yang dinyatakan pada tarikh yang ditetapkan tanpa perlu membuat temu janji dalam talian terlebih dulu seperti yang diperlukan jika berurusan di cawangan Puspakom. Jam operasi unit pemeriksaan di lapangan ini adalah dari 8 pagi hingga 6 petang. Sentiasa patuhi SOP.

    Dalam perkembangan lain, Puspakom Senai di Johor yang sebelum ini ditutup untuk kerja-kerja sanitasi kini sudah kembali beroperasi sejak 20 Februari lalu. Pelanggan dikehendaki untuk membuat temujanji sebelum berkungjung ke cawangan.

     
     
  • Volkswagen Passat Elegence 2.0 TSI 2022 – RM184k, rim Bonneville 18-inci baru, Android Auto tanpa wayar

    Volkswagen Passat Elegence 2.0 TSI 2022 – RM184k, rim Bonneville 18-inci baru, Android Auto tanpa wayar

    Dua minggu lalu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah pun melancarkan versi kemaskini bagi model tahun 2021 untuk Passat Elegence 2.0 TSI. Kalau anda nak tengok lebih dekat kereta tersebut, ia kini sedang dipamerkan di Pusat Membeli-belah 1 Utama sempena acara jelajah Volkswagen Tour. Jauh sangat nak pergi tengok? Mari kami belanja anda galeri penuh.

    Versi kemaskini ini menerima rim 18-inci Bonneville baharu dalam kemasan dua tona, bersama logo VW baharu yang lebih ringkas. Manakala pada bahagian kabin, tingkat taraf yang diberi termasuk panel kawalan sentuhan tindak balas haptik untuk sistem pendingin hawa tiga-zon (sama seperti Passat R-Line dan Arteon), serta Android Auto tanpa wayar pada sistem infotainmen Discover Pro dengan skrin 9.2-inci.

    Dengan tingkat taraf yang diberikan ini, Passat Elegence 2.0 TSI kini dijual RM801 lebih mahal dari sebelum ini, pada harga RM183,680. Angka yang disebutkan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2022.

    Tiada sebarang perubahan dari segi mekanikal – Passat Elegence pasaran Malaysia ini masih dijana oleh enjin TSI 2.0 liter empat silinder turbo, menghasilkan kuasa 190 PS dan tork maksima 320 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan, memacu roda hadapan.

    Sistem keselamatan juga kekal sama dengan diberikan fungsi seperti pemantau titik buta Side Assist dengan amaran lintasan trafik belakang, sistem pemantau tekanan angin tayar, enam beg udara dan juga kawalan kestabilan elektronik. Ya, model kemaskini Passat Elegence ini masih belum diberikan sistem brek kecemasan automatik.

    Volkswagen Passat Elegence 2.0 TSI ini dipamerkan bersama Golf Mk8 yang baru dilancarkan minggu lalu. Anda boleh cari reruai Volkswagen Tour yang terletak di Centre Court, Old Wing, Aras Bawah, Pusat Membeli-belah 1 Utama yang berlangsung bermula 23 hingga 27 Februari, dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam.

     
     
  • Honda EX5 edisi ulang tahun ke-35 – terhad 2,000 unit

    Honda EX5 edisi ulang tahun ke-35 – terhad 2,000 unit

    Boon Siew Honda Sdn Bhd hari ini telah melancarkan satu model EX5 edisi terhad untuk pasaran Malaysia, dijual pada harga 5,198 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Model ini hanya akan dikeluarkan sebanyak 2,000 unit dan dihasilkan sebagai memperingati ulang tahun ke-35 pengenalan EX5 di Malaysia.

    Keistimewaan model ini adalah ia menggunakan warna Extravagant Gold Metallic, dan datang dengan rim spoked aloi (tayar bertiub) berwarna emas. Tempat duduknya menggunakan warna coklat dua tona sementara di bahagian tepi badan pula terdapat pelekat khas warna merah, biru dan putih, bersama tulisan “Limited Edition”.

    Perincian teknikal model edisi terhad ini masih sama seperti EX5 biasa, bermula dengan enjin satu silinder suntikan bahan api 109 cc SOHC bersama transmisi manual, menghasilkan 8.5 hp pada 7,500 rpm dan 8.62 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Kelengkapan lain adalah ringkas sahaja, termasuk brek jenis dram di hadapan dan belakang, tangki bahan api 4.3 liter, pemula enjin elektrik dan tendang, fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang dan berat keseluruhan 97 kg. Seperti kebiasaan bagi motosikal Honda, EX5 edisi terhad ini datang dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km (yang mana tiba dahulu).

     
     
  • Toyota GR Corolla akan buat kemunculan sulung lewat tahun ini, mula dijual di Amerika Syarikat pada Oktober

    Toyota GR Corolla akan buat kemunculan sulung lewat tahun ini, mula dijual di Amerika Syarikat pada Oktober

    Toyota telah beberapa kali menyiarkan teaser bagi hot-hatch baharunya, iaitu GR Corolla untuk pasaran Amerika Syarikat, tetapi sehingga kini persoalan bila ia akan dilancarkan masih belum terjawab. Namun menerusi laporan The Drive, GR Corolla akan mula dijual di AS pada Oktober tahun ini, berdasarkan video yang disiarkan oleh saluran YouTube Driven District.

    Namun video berkenaan kini sudah tidak lagi ditonton oleh orang awam, tetapi ia sempat ditangkap layar. Ia menunjukkan dokumen dalaman dari pengedar Toyota yang mengandungi maklumat berkenaan pelancaran produk baharu dan juga acara yang bakal dilangsungkan tahun ini, dengan tertera “GR Corolla mula dijual” dijadualkan pada bulan Oktober.

    Apa yang menarik lagi, dokumen tersebut turut mendedahkan bahawa Toyota hanya mensasarkan jualan GR Corolla tersebut hanya sebanyak 90 unit di New York tahun ini. Mungkin kerana ia dihasilkan dalam jumlah terhad, dan turut mengambil kira ia dilancarkan hampir di penghujung tahun.

    Walaupun dokumen ini nampak menyakinkan, segala perincian sebenar masih perlu ditunggu dari kenyataan rasmi dari Toyota sendiri. Sebelum ini Toyota telah mengesahkan bahawa GR Corolla akan dilancarkan di AS, sebagai ganti kepada jentera rali produksi jalan raya GR Yaris yang tidak dijual di sana.

    Menerusi teaser yang disiarkan oleh Toyota USA sebelum ini, model berkenaan dibayangkan akan diasaskan dari Corolla Hatchback dengan platform TNGA-C, dan menerima sistem mekanikal yang sama seperti GR Yaris seperti enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo berkuasa 272 PS, kotak gear manual enam-kelajuan dan juga sistem pacuan semua roda GR-Four.

    Masih tidak dapat dipastikan sama ada GR Corolla ini hanya akan dijual di Amerika Syarikat atau ia turut akan menjadi model global dan dijual pada pasaran lain. Namun Toyota dilihat sudahpun mendaftarkan tanda dagang “GR Corolla” di Australia tahun lalu.

     
     
  • Toyota bZ4X EV tidak akan dijual di Jepun, hanya ditawar menerusi langganan – produksi mulai April ini

    Toyota bZ4X EV tidak akan dijual di Jepun, hanya ditawar menerusi langganan – produksi mulai April ini

    Produksi bagi Toyota bZ4X akan bermula pada April ini, tetapi Toyota berkata model semua=elektik pasaran semasa yang pertamanya ini tidak akan dipasarkan di Jepun. Sebaliknya SUV elektrik ini akan ditawarkan kepada pengguna menerusi perkhidmatan langganan Kinto, laporan Nikkei.

    Ia akan bermula seawal Mei atau Jun ini. Malahan syarikat pengeluar kereta ini juga akan menawarkan bZ4X kepada pelanggan korporat menerusi saluran sewaan yang lain, termasuk rangkaian pengedar Rent-a-Lease.

    Menurut laporan terbabit, keputusan Toyota untuk tidak menjual SUV ini kepada pasaran domestik kerana rakyat Jepun agak lambat menerima EV disebabkan harganya yang tinggi serta kekurangan stesen pengecasan di negara berkenaan.

    Kenderaan elektrik memang agak jarang kelihatan di pasaran kereta terpakai di Jepun, memandangkan baterinya yang merosot hingga mempengaruhi nilai jualan semula, tambah laporan itu lagi. Bagi perkhidmatan langganan, ia membolehkan pelanggan memandu bZ4X mengikut sewaan bulanan, tanpa perlu risau mengenai nilai tukar-belinya.

    Keputusan ini juga didorong dengan tumpuan kepada pasaran yang lebih besar dengan pemintaan yang lebih utuh untuk kenderaan elektrik. Di bawah pelan yang diberikan kepada pembekal pada akhir Januari lalu, Toyota dilaporkan menyasarkan pengeluaran di bawah 60,000 unit model EV untuk peringkat global pada tahun fiskal 2022. Dan untuk tahun 2023, ia dikurangkan kepada 50,000 unit sahaja.

    Ia sejajar dengan “jumlah pengeluaran yang rendah” untuk model kenderaan yang dikeluarkan oleh syarikat ini pada tahun lalu. Dari jumlah itu, kurang dari 10% diperuntukan untuk pasaran Jepun. Selebihnya akan dipasarkan di pasaran yang lebih besar termasuk ke Amerika Utara dan Eropah, di mana pasaran EV di sana adalah lebih pesat

    Dengan angka produksi yang dirancangkan untuk bZ4X, sudah pasti kita tertanya-tanya berapa pula unit yang akan diperuntukan untuk pasaran yang lebih kecil termasuk Malaysia. Sebelum ini, dilaporkan, EV terbabit akan diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2023.

     
     
  • Honda Monkey One Piece Edition dilancar di Thailand – terhad 300 unit, datang bersama kotak harta karun

    Satu lagi model kolaborasi Honda Monkey diperkenalkan di Thailand dan kali ini menggunakan konsep anime terkenal dari Jepun, iaitu One Piece. Model ini dikeluarkan oleh bengkel modifikasi Cub House, tetapi sebenarnya adalah permintaan daripada Honda Thailand sendiri yang mahu mensasarkan dolongan pengumpul. Sebelum ini, mereka juga pernah mengeluarkan Monkey Gundam Edition, Monkey Dragon Ball Edition dan Monkey Hot Wheels Edition.

    Monkey One Piece Edition ini datang dalam dua versi iaitu satu yang berkisar tentang watak Monkey D. Luffy, sementara satu lagi menggunakan konsep Tony Tony Chopper. Bagi setiap versi, hanya 150 unit akan ditawarkan kepada orang ramai.

    Jika dibandingkan dengan model standard, Monkey One Piece Edition mendapat grafik istimewa mengikut watak One Piece yang digunakan, pada tangki serta panel tepinya, sementara getah pemegang hendal juga turut ditukar dengan yang mempunyai warna. Di atas tangki terdapat pelekat nombor keluaran setiap model.

    Selain motosikal itu sendiri, pembeli Monkey One Piece Edition juga akan diberi dengan “kotak harta karun” yang didalamnnya terdapat beberapa lagi aksesori khas seperti kain penutup motosikal, helmet, papan nombor plet, rantai kunci, karpet serta risalah yang mengikut watak Luffy/Chopper.

    Bahagian mekanikal tidak diusik dan Monkey adalah dipacu oleh enjin satu silinder suntikan bahan api 125 cc bersama kotak gear empat kelajuan, menghasilkan kuasa 9.2 hp pada 7,000 rpm dan 11 Nm tork pada 5,250 rpm. Kelengkapan lainnya adalah seperti rim 12 inci, brek cakera depan dan belakang dengan sistem ABS, fork USD di hadapan, dua penyerap hentak di belakang, berat keseluruhan 107 kg, tangki bahan api 5.6 liter dan meter jenis digital.

     
     
  • Yinson jalin usaha sama dengan GreenTech bangun rangkaian ChargEV — perluasan, baik pulih, aplikasi

    Yinson jalin usaha sama dengan GreenTech bangun rangkaian ChargEV — perluasan, baik pulih, aplikasi

    Syarikat yang tersenarai dalam Bursa, Yinson melalui anak syarikatnya Yinson Green Technologies telah menandatangani perjanjian usaha sama rakan kongsi dengan GreenTech Malaysia, sebuah anak syarikat milik penuh Koperasi Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia, sebuah agensi di bawah bidang kuasa Kementerian Alam Sekitar dan Air.

    GreenTech sebelum ini tidak asing lagi dengan rangkaian pengecasan ChargEV untuk kereta elektrik dan plug-in hybrid, dan tujuan usaha sama ini adalah untuk mempercepat pembangunan prasarana pengecasan EV di Malaysia.

    Di bawah perjanjian ini, Yinson akan memiliki kepentingan majoriti dalam syarikat usaha sama tersebut, yang akan menjalankan komersialisasi, operasi dan penyelenggaraan ChargEV, yang merupakan rangkaian pengecasan paling besar di Malaysia dengan lebih 400 stesen pengecas di seluruh negara. Perjanjian ini adalah susulan kepada persetujuan yang dimeterai Oktober 2021 lalu.

    Yinson jalin usaha sama dengan GreenTech bangun rangkaian ChargEV — perluasan, baik pulih, aplikasi

    Ditubuhkan pada 1983, Yinson bermula sederhana dalam lapangan pengangkutan dan logistik sebelum terlibat dengan industri minyak dan gas melalui pengeluaran luar pesisir. Pada 2014, Yinson membeli syarikat FPSO dari Norway dan menyertai perniagaan storan pengeluaran terapung dan offloading. Terbaru, ia telah meluaskan perniagaan melibatkan teknologi hijau dan tenaga diperbaharui.

    Yinson memaklumkan usaha sama berkenaan memanfaatkan pengalamannya dalam logistik, pentadbiran kemapanan, pembangunan teknologi dan sinergi dari kepelbagaian perniagaan yang diceburi syarikat itu. Rakan niaga strategik dengan GreenTech mensasarkan untuk mengekalkan kedudukan ChargEV sebagai penyedia prasarana stesen pengecas EV utama di Malaysia.

    Yinson berkata dengan kekuatan kedua-dua pihak yang digabungkan ini, pengguna EV di Malaysia boleh menjangkakan rangkaian ChargEV yang lebih kukuh, dengan rancangan penambahbaikan melibatkan baik pulih dan naik taraf stesen sedia ada, menambahbaik standard khidmat pelanggan dan pembangunan sistem belakang baru serta aplikasi mudah alih.

    Yinson jalin usaha sama dengan GreenTech bangun rangkaian ChargEV — perluasan, baik pulih, aplikasi

    Pengerusi GreenTech, Datuk Hiswani Harun berkata melalui kerjasama ini, GreenTech menjangkakan peningkatan bukan hanya angka stesen pengecas di seluruh negara — dari 400 kepada 2,500 — tetapi juga untuk menambahbaik dan menyusun strategi penembusan lokaliti, operasi dan fungsi keseluruhan.

    “Usaha sama ini adalah bukti keakraban antara Yinson dan GreenTech, dan melambangkan langkah penting di masa depan untuk kedua-dua pihak yang berkongsi matlamat sama untuk mempercepat peralihan Malaysia ke arah rangkaian pengangkutan mapan. Dengan menyediakan rangkaian pengecasan yang boleh dipercayai, berpatutan dan mudah dicapai, kami mensasar menjadika EV sebagai pilihan mobiliti yang menarik untuk semua warga Malaysia, yang sudah tentu akan membantu menghindarkan kesan perubahan iklim,” jelas Naib Presiden Eksekutif Yinson, Eirik Barclay.

    “Pasukan Yinson-ChargEV telah bekerja sama sejak tahun lalu untuk mengenal pasti naik taraf penting terhadap prasarana ChargEV dalam rangka formalisasi usaha sama itu. Kami kini bergerak lebih pantas untuk melaksanakan rancangan kami, dan sangat teruja untuk memperkenalkan penambahbaikan ini kepada warga Malaysia dalam masa terdekat,” tambah Naib Presiden Kanan Yinson bagi Elektromobiliti, Ruslin Tamsir.

     
     
  • Nissan Leaf 2022 dapat sedikit perubahan di Eropah

    Nissan Leaf 2022 dapat sedikit perubahan di Eropah

    Nissan Leaf telah diberikan peningkatan bagi model tahun 2022 di Eropah, dengan mendapat sedikit perubahan pada bahagian luarannya. Hatchback elektrik ini akan mula dijual di benua itu April ini dan terus ditawarkan dalam dua versi.

    Pilihan pertama adalah model asas dengan bateri 40 kWh dan motor elektrik di hadapan, menghasilkan 150 PS (148 hp) dan 320 Nm tork, sementara varian yang lebih tinggi adalah e+ yang mendapat bateri 62 kWh dan berkemampuan 217 PS (214 hp) dan 340 Nm tork – tidak berubah seperti sebelum ini.

    Perubahan yang diberi untuk kali ini hanya pada bahagian luar, bermula dengan logo baru Nissan pada gril, rim dan pintu but. Pelanggan juga kini disediakan dengan pelbagai pilihan rim untuk Leaf 2022, dari saiz 16 inci hingga 17 inci, termasuklah rekaan seperti di dalam gambar.

    Pilihan warna badan juga ada banyak, termasuk tambahan lima warna satu tona dan lima warna dua tona. Menurut Nissan, dua warna baru, iaitu Pearl Blue dan Magnetic Blue diambil daripada Qashqai dan Ariya kerana warna itu telah terbukti popular di kalangan pelanggan.

    Selain daripada itu, semua bahagian Leaf ini masih lagi sama seperti sebelum ini, termasuk kemasan di dalam – kecuali logo. Sistem infotainmen NissanConnect masih lagi digunakan, bersama skrin sesentuh, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay serta pakej ProPILOT yang memberikan pelbagai sistem bantuan (semi autonomous) dan keselamatan .

     
     
  • Aston Martin DBX ‘The One Edition’ untuk Malaysia – warna Concours Blue, roda 23-inci, dari RM1.1 juta

    Aston Martin DBX ‘The One Edition’ untuk Malaysia – warna Concours Blue, roda 23-inci, dari RM1.1 juta

    Aston Martin Kuala Lumpur telah mengumumkan versi kustom untuk Aston Martin DBX yang dilancarkan di Malaysia pada akhir tahun 2020. Dikenali sebagai The One Edition, model khas ini dinamakan disebabkan keunikan spesifikasinya, dan ia merupakan satu-satunya untuk pasaran di sini.

    Apa yang uniknya pada versi ini? Pertama, ia menampilkan warna luaran biru perak Concours Blue, warna yang sama pada Aston Martin One-77 ketika ia diperkenalkan di peringkat global. Susulan pengumuman warna terbabit telah disingkirkan menerusi palet warna DBX di peringkat global, pengedar tempatan, Wearnes, mengambil keputusan untuk menampilkan rona ini, menjadikan ia satu-satunya DBX dengan warna terbabit.

    Selain rona yang unit, The One Edition turut diberikan roda hitam sutera 23-inci, dimensi roda yang paling besar pernah diberikan untuk model Aston Martin. Roda tempaan penuh ini, turut menyerlahkan lagi penampilan SUV ini, dengan kemasan hitaam sutera serta kontras berlian halo pada rim.

    Aston Martin DBX ‘The One Edition’ untuk Malaysia – warna Concours Blue, roda 23-inci, dari RM1.1 juta

    Bukan itu sahaja, The One Edition turut menerima pakej luaran hitam berkilat termasuk ekzos sport yang dipertingkatkan. Manakala di dalamnya, ia ditampilkan dengan kulit dwi-tona Oxford Tan dan Onyx Black.

    Walau bagaimana pun, tiada perubahan mekanikal dibuat,ini bermakna ia masih dikekalkan dengan enjin Mercedes-Benz M177 4.0 liter pengecas turbo berkembar V8 dengan hamburan kuasa 550 PS dan tork 700 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi auto 9-Tronic Mercedes sembilan-kelajuan, membolehkan DBX ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.5 saat, dan kelajuan maksimum cecah 291 km/j.

    Harga bagi Aston Martin DBX adalah dari harga asas RM818,000, sebelum pilihan yang ditawarkan, cukai dan kos atas jalan. Dan bagi DBX The One Edition ini pula, harganya dari RM1,100,000, sebelum segala macam cukai.

     
     
  • Mazda CX-30 Ignite Edition 2022 kini di Malaysia – tingkat taraf gaya dan kit, bermula RM169k-RM181k

    Mazda CX-30 Ignite Edition 2022 kini di Malaysia – tingkat taraf gaya dan kit, bermula RM169k-RM181k

    Mazda CX-30 2.0G High

    Pengedar Mazda di Malaysia, Bermaz Motor telah pun mengemaskini barisan model Mazda CX-30 untuk tahun 2022, dan ia melibatkan penampilan dua varian baharu Ingnite Edition. Ini menjadikan CX-30 adalah model kedua yang mendapat varian Ignite Edition tersebut selepas CX-9 pada September tahun lalu.

    Kemaskini ini juga menyaksikan varian 2.0G High AWD digugurkan dari penawaran, manakala dua varian Ignite Edition baharu ini diasaskan dari model 2.0G High dan juga varian yang telah digugurkan 2.0G High AWD.

    Oleh itu jika anda ke bilik pameran Mazda sekarang, CX-30 ditawarkan bermula dengan varian asas 2.0G Core (RM145,759), 2.0G High (RM160,109), 2.0G High Ignite Edition (RM169,044), 2.0G High AWD Ignite Edition (RM180,689), serta satu-satunya varian diesel iaitu 1.8D High (RM168,673.60).

    Kesemua harga yang dinyatakan di atas adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan sudah termasuk insentif potongan cukai jualan sebanyak 50% untuk model yang diimport sepenuhnya (CBU) sehingga akhir Jun nanti. Sebelum ini Bermaz pernah menyatakan CX-30 akan hadir dalam versi pemasangan tempatan (CKD), namun masih tiada garis masa sebenar bila ia akan dilancarkan.

    Varian Ignite Edition ini menampilkan pelbagai perbezaan kosmetik berbanding model yang diasaskannya. Antaranya adalah rim 18-inci dan penutup cermin sisi yang diberikan kemasan hitam (masing-masing kemasan perak dan warna badan pada varian 2.0G High). Manakala untuk kabin, Ignite Edition menerima upholsteri kulit berwarna Burgundy.

    Mazda CX-30 Ignite Edition 2022 kini di Malaysia – tingkat taraf gaya dan kit, bermula RM169k-RM181k

    Mazda CX-30 2.0G High

    Ignite Edition juga menerima kamera pemantau 360-darjah bagi menggantikan kamera undur biasa. Manakala sistem bantuan pemanduan i-Activesense pada dua varian tertinggi ini pula diberi tingkat taraf dengan penambahan Amaran Lintasan Trafik Hadapan (FCTA), Amaran Tumpuan Pemandu dan Pemantau Pemandu. Ia juga diberikan sistem pemanduan autonomi Tahap 2 menerusi sistem Cruising & Traffic Support (CTS).

    Fungsi-fungsi terdahulu untuk i-Activesense masih terus dibekalkan, dan ia termasuk sistem seperti Sistem Lampu Hadapan Adaptif, Kawalan Lampu Tinggi (HBC), Pemantau Titik Buta (BSM), Sistem Amaran Keluar Lorong (LDWS), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), brek kecemasan automatik Smart City Brake Support untuk hadapan dan belakang, serta cruise control adaptif Mazda Radar Cruise Control (MRCC).

    Selain itu, kedua-dua varian Ignite Edition ini masih tampil dengan perincian-perincian yang diambil terus dari model 2.0G High dan 2.0G High AWD. Ia termasuk lampu hadapan LED automatik dengan lampu nyalaan siang LED, pengelap cermin hadapan automatik, bumbung suria dan pintu tailgate belakang bantuan elektrik, paparan pelbagai info tujuh-inci, paparan head up berwarna, pedal penukar gear, sistem pendingin hawa dua zon dengan liang penghembus belakang, tempat duduk pemandu larasan berkuasa dan juga skrin infotainmen 8.8-inci.

    Kedua-dua varian tertinggi ini juga menerima sistem i-Stop dan G-Vectoring Control Plus, namun hanya model 2.0G High AWD Ignite Edition diberikan fungsi Off-road Traction Assist. Fungsi tersebut adalah sebahagian dari sistem pacuan semua roda i-Activ Mazda yang dihubungkan kepada kotak gear dan juga enjin, bagi memberikan cengkaman maksima pada permukaan jalan yang licin.

    Mazda CX-30 Ignite Edition 2022 kini di Malaysia – tingkat taraf gaya dan kit, bermula RM169k-RM181k

    Mazda CX-30 2.0G High

    Menurut Bermaz lagi, kini semua varian CX-30 diberikan port USB pada papan pemuka dan di bawah perehat tangan hadapan khas untuk menghubungkan telefon pintar dengan sistem infotainmen Mazda Connect, bagi membolehkah sistem berkenaan menerima input media serta hubungan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Tiada perubahan pada bahagian mekanikal untuk kesemua varian CX-30 pasaran Malaysia. kesemua varian petrol 2.0 datang dengan enjin SkyActiv-G 2.0 liter empat silinder NA berkuasa 162 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 213 Nm pada 4,000 rpm. Model diesel pula diberikan enjin SkyActiv-D 1.8 liter empat silinder turbodiesel berkuasa 114 hp pada takat 4,000 rpm dan tork maksima 270 Nm bermula 1,600 rpm hingga 2,700 rpm.

    Kedua-dua pilihan enjin ini juga menerima kotak gear automatik konvensional enam-kelajuan. Kecuali model AWD, varian-varian lain dalam barisan model CX-30 pasaran Malaysia ini hanya memacu roda hadapan.

    Dengan perubahan yang dibuat terhadap crossover ini, barisan model untuk Mazda CX-30 pasaran Malaysia adalah seperti berikut:

  • Mazda CX-30 2.0G Core – RM145,759
  • Mazda CX-30 2.0G High – RM160,109
  • Mazda CX-30 1.8D High – RM168,673.60
  • Mazda CX-30 2.0G High Ignite Edition – RM169,044
  • Mazda CX-30 2.0G High AWD Ignite Edition RM180,689
  •