Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Malaysia Autoshow 2020 ditunda dari April ke Julai

    <em>Malaysia Autoshow 2020</em> ditunda dari April ke Julai

    Kalau semalam Geneva Motorshow 2020 diumumkan batal (penganjuran sepatutnya berlangsung awal Mac), ini ada satu lagi acara automotif dilaporkan mengambil langkah yang sama. Gara-gara penularan wabak novel coronovirus atau pun Covid-19, Malaysia Autoshow 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 9-12 April ini terpaksa ditunda ke Julai.

    Menurut penganjur utamanya, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), acara berkenaan terpaksa ditunda sebagai langkah berjaga-jaga, malah keputusan tersebut dibuat demi keselamatan dan kesihatan semua pelawat termasuk peserta pameran. MARii turut memaklumkan, acara berkenaan mungkin akan dilangsungkan pada 2-5 Julai 2020, di lokasi yang sama iaitu Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

    Selain Geneva, Beijing Motorshow 2020 yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 21-30 April turut ditunda ke tarikh lain yang belum dimaklumkan. Bukan itu saja, perlumbaan berskala besar, Qatar MotoGP pada hujung minggu ini turut dibatalkan. Begitu juga dengan Thailand MotoGP yang dijadualkan berlangsung pada 20-22 Mac di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, juga sah dibatalkan.

     
     
  • Mercedes-AMG CLA 35 dan CLA 45 S 4Matic C118 dilancar di Thai – harga bermula RM535k-RM670k

    Mercedes-AMG CLA 35 dan CLA 45 S 4Matic C118 dilancar di Thai – harga bermula RM535k-RM670k

    Thailand telah pun menerima model generasi baharu “A-Class Coupe empat-pintu” iaitu CLA generasi C118, dan ia tidak dipasarkan dalam versi biasa, sebaliknya ditawarkan hanya dalam versi AMG sebenar – Mercedes-AMG CLA 35 4Matic, dan versi paling berkuasa CLA 45 S 4Matic+.

    Kedua-dua model ini dijual pada harga yang tidak murah di Thai iaitu bermula 3.99 juta baht (RM535,500) untuk CLA 35 dan 4.99 juta baht (RM669,800) CLA 45 S, menurut laporan Bangkok Post. Malaysia belum lagi menerima model dengan pintu tanpa kerangka ini, namun model Mercedes-AMG A 35 4Matic sedan empat-pintu sudah pun dilancarkan di sini tahun lalu dengan harga RM348,888 – lebih kurang sama dengan harga hatchback A 45 generasi sebelumnya.

    CLA 35 telah didedahkan buat pertama pada April tahun lalu. Mengambil tempat sebagai model AMG sebenar yang lebih ‘mampu milik’ berbanding CLA 45, ia dijana oleh enjin M260 2.0 liter turbo empat silinder berkuasa 306 PS dan tork maksima 400 Nm.

    Mercedes-AMG CLA 35 dan CLA 45 S 4Matic C118 dilancar di Thai – harga bermula RM535k-RM670k

    Ia digandingkan dengan kotak gear klac-berkembar tujuh kelajuan automatik, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda 4Matic dengan agihan bervariasi-penuh. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat, manakala kelajuan maksima dihadkan kepada 250 km/j.

    Kelengkapan lain yang ditawarkan sebagai ciri standard termasuk roda stereng AMG rata di bawah generasi baharu, balutan kulit berliang bersama serlahan jahitan benang kontras, pedal penukar gear logam dan juga sistem infotainmen berasaskan sistem A.I Mercedes-Benz User Experience (MBUX).

    Manakala untuk CLA 45 S pula, seperti mana yang telah didedahkan Julai tahun lalu, ia kini dijana enjin produksi 2.0 liter empat silinder paling berkuasa di dunia iaitu enjin M139 turbo berkuasa 421 PS dan tork maksima 500 Nm dalam keadaan standard.

    CLA 45 S diberikan kotak gear klac berkembar automatik AMG Speedshift DCT 8-kelajuan, bersama sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic +, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 270 km/j. Model pasaran Thai ini hadir dengan ciri standard seperti tempat duduk bucket AMG.

    GALERI: Mercedes-AMG CLA 35 4Matic C118

    GALERI: Mercedes-AMG CLA 45 S 4Matic+ C118

     
     
  • CFMoto 250 SR dilancar di China – 27.5 hp, tork 22 Nm

    CFMoto 250 SR dilancar di China – 27.5 hp, tork 22 Nm

    Januari tahun lalu, KTNS Holdings Sdn Bhd telah melancarkan model naked 250 NK untuk pasaran Malaysia. Kini, versi fairing penuh bagi model itu, yang dikenali sebagai 250 SR telah pun dilancarkan secara rasmi di negara asalnya iaitu China pada harga 18,150 yuan (RM11,151).

    Sekiranya anda nampak motosikal ini seperti menarik, ia sebenarnya direka bersama oleh syarikat terkenal, Kiska Design yang mempunyai kerjasama dengan pelbagai syarikat dalam pelbagai industri termasuklah KTM. Semua lampu 250 SR menggunakan unit LED.

    Pada bahagian enjin, ia adalah unit satu silinder DOHC 249.2 cc suntikan bahan api, yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slipper, untuk memberikan kuasa sebanyak 27.5 hp pada 9,750 rpm dan 22 Nm tork pada 7,500 rpm. Kalau dibandingkan dengan model 250 cc jenama lain, Yamaha R25 mempunyai lebih 8 hp manakala Kawasaki Ninja 250 mempunyai 11.5 hp lebih kuasa.

    Walaupun kekurangan pada aspek kuasa, 250 SR masih mempunyai kelengkapan canggih lain seperti panel instrumen TFT warna penuh dan dua mod tunggangan. Untuk sistem panel instrumen itu, selain memaparkan informasi penting, ia juga boleh disambungkan kepada telefon pintar.

    Kelengkapan lain 250 SR adalah termasuk brek cakera depan dan belakang dengan sistem ABS Continental, fork USD 37 mm di hadapan, monoshock di belakang, rim 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 140/60 di belakang, tangki bahan api 12 liter dan berat keseluruhan 165 kg.

    Walaupun baru dilancarkan di China, melalui maklumat yang kami perolehi, CFMoto 250 SR ini sudah pun berada di Malaysia, tetapi masih dalam proses ujian dan mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa sebelum boleh dijual dalam pasaran.

     
     
  • Jualan Proton Februari 2020 – naik 80% berbanding tempoh sama tahun lalu, 23.8% pegangan pasaran

    Jualan Proton Februari 2020 – naik 80% berbanding tempoh sama tahun lalu, 23.8% pegangan pasaran

    Bagi bulan Februari 2020, Proton umumkan bahawa syarikat itu telah berjaya menyerahan sebanyak 9,974 unit kenderaan kepada pelanggan. Angka berkenaan mewakili peningkatan 17.3% berbanding jualan bulan Januari lalu. Bagi tempoh sama berbanding tahun lalu pula, Proton mencatatkan pertumbuhan 80%.

    Berdasarkan data dalaman Proton, pegangan pasaran bagi bulan kedua 2020 ini juga dijangka berada pada adar 23.8%, angka tertinggi yang pernah dicatatkan sejak Ogos 2013 dan meningkat 10.3% berbanding Februari 2019.

    Menurut Proton lagi, model-model utama yang menyumbang kepada jualan memberangsangkan ini terdiri daripada Persona (2,653 unit) – hampir dua kali ganda jika dibandingkan dengan jualan
    pesaing terdekatnya.

    Sementara itu, X70 menjadi model kedua paling banyak dijual bagi bulan Februari dengan 1,973 unit. Bagi model CKD yang baru dilancarkan pula, setakat ini sudah 7,000 unit ditempah. Model ketiga terbanyak ialah Exora. Bagi Saga, 3,934 unit diserahkan sepanjang Februari, sementara Iriz menduduki tangga kedua bagi segmen B hatchback kompak. “Februari menunjukan angka jualan yang baik untuk Proton, walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) menguncup berbanding Januari.

    “Dengan prestasi jualan seperti yang ditunjukkan, pegangan pasaran kami tumbuh mencecah tahap tertinggi dalam tempoh 77 bulan terakhir. Tempahan bagi Proton X70 2020 juga sangat menggalakkan. Kami sangat teruja dan yakin tentang perancangan untuk tempoh tahun ini,” jelas CEO Proton, Li Chunrong.

     
     
  • Hanya kategori Moto2 dan Moto3 akan berlumba di Qatar hujung minggu ini, MotoGP dibatalkan terus

    Hanya kategori Moto2 dan Moto3 akan berlumba di Qatar hujung minggu ini, MotoGP dibatalkan terus

    Nampaknya pusingan pertama perlumbaan MotoGP musim 2020 di Qatar 8 Mac ini hanya akan melibatkan dua kategori sahaja iaitu Moto3 dan Moto2. Ini adalah kesan daripada langkah membendung penyebaran coronavirus di sana.

    Kerajaan Qatar telah menghadkan kemasukan ke negara itu, dengan meletakkan peraturan khas untuk mereka yang tiba dari beberapa negara termasuk Itali. Bermula hari ini, penumpang yang tiba di Doha melalui penerbangan terus dari Itali, atau telah berada di Itali untuk tempoh dua minggu yang lalu, akan terus dikuarantin sekurang-kurangnya selama 14 hari.

    Seperti yang kita ketahui, mereka yang terlibat dalam MotoGP, tidak kiralah daripada jurutera, pekerja teknikal ataupun pelumba itu sendiri, memang ramai yang datang dari Itali. Disebabkan itu, FIM, IRTA dan Dorna membuat keputusan membatalkan terus perlumbaan kategori MotoGP.

    Hanya kategori Moto2 dan Moto3 akan berlumba di Qatar hujung minggu ini, MotoGP dibatalkan terus

    Sementara itu, bagi kategori Moto2 dan Moto3 pula, pekerja pasukan dan pelumba sememangnya sudah berada di Qatar kerana terlibat dengan sesi ujian selama tiga hari minggu lepas, seterusnya membolehkan perlumbaan diteruskan hujung minggu ini.

    Satu lagi perlumbaan yang akan diteruskan adalah Idemitsu Asia Talent Cup, di mana dua perlumbaan akan dijalankan mengikut jadual sewaktu Qatar Grand Prix. Jadi, kita masih berpeluang melihat beberapa pelumba negara memulakan musim hujung minggu ini.

     
     
  • Geneva International Motorshow 2020 dibatalkan

    Geneva International Motorshow 2020 dibatalkan

    Wabak Covid-19 yang giat merebak dan ketika ini di Eropah menemukan “korban” terbaru; Geneva International Motorshow 2020, sebuah acara berkaitan automotif antara yang terbesar dan terpenting dunia, telah dibatalkan penganjurannya. Ini berikutan kerajaan Switzerland mengharamkan sebarang perhimpunan melebihi 1,000 orang, lapor Automotive News. Pameran berkenaan sepatutnya berlangsung minggu ini.

    “Kami kesal untuk memaklumkan bahawa Geneva Motorshow 2020 akan dibatalkan,” ujar seorang jurucakap Palexpo. Pameran berkenaan terus dibatalkan dan bukannya ditangguh. “Pameran seperti ini tidak boleh ditangguh, itu mustahil kerana ia terlalu besar,” jelas beliau.

    Minggu lalu, menteri kesitahan Switzerland, Alain Berset mengumumkan sebarang acara melibatkan 1,000 ke atas adalah dilarang berkuatkuasa serta-merta. “Disebabkan situasi semasa dan penyebaran wabak coronavirus, Majlis Persekutuan telah mengkategorikan keadaan di Switzerland sebagai ‘istimewa’ di bawah Akta Epidemik.

    Geneva International Motorshow 2020 dibatalkan

    “Acara berskala besar melibatkan lebih daripada 1,000 orang adalah dilarang. Perintah itu berkuatkuasa serta-merta sehingga 15 Mac, paling awal,” ujar beliau. Antara model berprofil tinggi yang dijangka akan diperkenalkan ketika pameran itu tahun ini ialah seperti Aston Martin Vantage Roadster, Audi A3 Sportback, BMW i4, Fiat 500 EV, Kia Sorento, Mercedes-Benz E-Class, Porsche 911 Turbo dan Volkswagen Golf PHEV. Hyundai Prophecy dan Polestar Precept juga dijadual untuk dipertontonkan.

    Beberapa jenama kenderaan dan pembekal juga telah mula menarik penglibatan warga kerja mereka di dalam acara berkenaan selepas wabak berkenaan semakin serius di Eropah. Wabak berkenaan telah melumpuhkan bahagian utara Itali, yang bersempadan dengan Switzerland. Setakat 27 Februari, Switzerland mencatatkan sembilan kes coronavirus. Sementara itu, Beijing Motor Show 2020 yang dijadualkan bermula pada 21-30 April turut akan ditangguh. Bagaimanapun, tiada tarikh baru yang diumumkan setakat ini.

     
     
  • Mazda 2 facelift 2020 bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi – harga bermula RM103,670

    Mazda 2 facelift 2020 bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi – harga bermula RM103,670

    Mazda 2 facelift 2020 versi sedan dan hatchback bakal memasuki pasaran Malaysia dengan penawaran varian enjin tunggal petrol 1.5 liter. Walau bagaimana pun, harganya telah ‘dibocorkan’ oleh pengedar Mazda menerusi Facebook.

    Seperti sebelum ini, pasaran kita hanya menerima pilihan tunggal bagi jana kuasa 1,496 cc SkyActiv-G dengan output 114 hp dan tork 148 Nm. Tidak seperti pasaran Thailand yang menerima varian enjin petrol 1.3 liter (93 PS/123 Nm) dan diesel 1.5 liter SkyActiv-D (105 PS/250 Nm) seperti mana yang dilancarkan pada akhir November lalu.

    Untuk pasaran Malaysia, menerusi senarai harga yang disebarkan itu, ciri yang ditampilkan termasuklah lampu utama LED dan GVC Plus, dan kedua-dua model sedan dan hatchback dijual pada harga atas jalan bermula RM103,670, tanpa insurans. Jika dibandingkan dengan pasaran Thai, varian 1.3 SP berharga 690,000 baht atau RM95,203, manakala 799,000 baht atau RM110,307 untuk varian diesel XDL.

    Klik untuk besarkan

    Bagi yang memilih warna luaran Soul Red Crystal, kos tambahan dikenakan sebanyak RM500, iaitu dengan harga atas jalan RM104,170 (tanpa insurans), sementara beberapa ciri tambahan turut disenaraikan juga dengan kos ekstra seperti sistem navigasi (RM1,270) dan lapisan cermin Skytint (RM1,900).

    Tidak dapat dipastikan adakah lampu utama dengan adaptif akan ditawarkan (dengan fungsi lampu tinggi) atau pun unit LED sebagai ciri standard sahaja. Selain itu, juga belum dipastikan adakah model spesifikasi Malaysia juga akan menerima sokongan Apple CarPlay untuk sistem infotainmen Mazda Connect (seperti mana model yang dijual di Thailand), dengan fungsi Android Auto yang diperkenalkan di peringkat global pada Julai lalu.

    Walau bagaimana pun, perincian lanjutnya masih menjadi tanda tanya. Malah pelancaran model ini untuk pasaran Malaysia masih belum dipastikan bila akan terlaksana, tapi dengan senarai harga yang tersebar ini bermakna tempahannya telah dbuka.

    GALERI: Mazda 2 Hatchback XD Sports 2020 (spesifikasi Thailand)

     
     
  • Replika Proton Iswara Group S 2WD Karamjit Singh 1992 – impian kanak-kanak Allan kini tercapai!

    Replika Proton Iswara Group S 2WD Karamjit Singh 1992 – impian kanak-kanak Allan kini tercapai!

    Orang kata, walaupun umur semakin meningkat, lelaki sukar untuk menjadi dewasa dan sentiasa menjadi kanak-kanak – tapi apa yang semakin membesar adalah ‘mainan’ mereka. Mungkin inilah yang sesuai untuk dikaitkan dengan Allan, pemilik replika Proton Iswara Group S 1.6 2WD yang pernah dipandu oleh lagenda rali negara, ‘The Flying Sikh’ Karamjit Singh ini.

    Allan sebenarnya memang sahabat saya sendiri – mula berkenalan dengannya sekitar tahun 2010 dalam satu facebook group yang mengumpulkan pembina-pembina model kit plastik dalam skala 1/24. Berbeza dengan pembina model kit lain, Allan menumpukan koleksinya kepada model-model rali, khususnya siri Mitsubishi Lancer Evolution. Ini kerana minatnya terhadap kereta bermula dari disiplin rali, dipacu oleh ‘pasukan rali kebangsaan’ kita ketika era 80’an dan 90’an iaitu Petronas EON Racing Team atau PERT.

    Perkenalan dengan Allan telah membuka mata saya, kerana dia orang pertama yang saya jumpa mempunyai obsesi terhadap PERT yang lebih tinggi dari saya sendiri, dan telah menghasilkan model Proton PERT Evo VI binaan Mellors Elliot Motorsport (MEM) dengan nombor pendaftaran WU02 FXB dipandu oleh Karam untuk memenangi gelaran juara dunia WRC kategori Produksi (PWRC) pada tahun 2002, berasaskan kit Tamiya Lancer Evo VI WRC.

    Replika Proton Iswara Group S 2WD Karamjit Singh 1992 – impian kanak-kanak Allan kini tercapai!

    Saya juga telah menerima bantuan dari Allan untuk mencetak decal badan untuk melengkapkan projek saya sendiri iaitu Proton PERT Evo V dengan nombor pendaftaran Proton 1784 juga dipandu Karamjit Singh, berasaskan kit Tamiya Lancer Evo V WRC. Bukan setakat obses dengan model kit plastik sebenarnya, Allan kumpul semua jenis model dan skala, dan kini mempunyai perniagaan menghasilkan rim dan tayar aftermarket dengan jenama CM-Advanced untuk model skala 1/64 seperti HotWheels dan Tomica.

    Berbalik kereta dalam skala penuh, sebagai peminat pasukan PERT, Allan mempunyai lebih dari dua buah kereta berjenama Proton. Iswara 1.3S yang dibuat untuk projek ini sebenarnya telah dibeli baru oleh ayahnya sendiri pada tahun 1997, dan kemudian ‘diturunkan’ kepada Allan sebagai kereta pertamanya.

    Tahun lalu, Allan mengambil keputusan untuk merestorasi semula kereta yang telah berkhidmat selama 22 tahun untuk dia dan keluarganya ini, dan sekaligus untuk merealisasikan impiannya sejak kecil iaitu untuk memiliki salah satu jentera yang pernah dipandu oleh Karamjit Singh!

    Replika Proton Iswara Group S 2WD Karamjit Singh 1992 – impian kanak-kanak Allan kini tercapai!

    Untuk lebih spesifik, replika yang dihasilkan oleh Allan terhadap Iswaranya ini adalah jentera Group S yang dipandu Karam dalam Kejohanan Rali Malaysia pada tahun 1992, dibantu oleh juruarah Zuber Ismail. Jentera Group S ini bukan jentera Group S 2.0L 4G63 4WD dengan nombor pendaftaran BCL 7708 juga pernah dipandu Karam, tetapi ia adalah jentera dengan nombor pendaftaran BCL 7705 dijana oleh enjin Mitsubishi 4G61 1.6L dan hanya memacu roda hadapan.

    Sedikit sejarah berkenaan jentera rali sebenar BCL 7705 berkenaan, ia sebenarnya telah dihasilkan oleh PERT menggunakan asas Saga 8V. Selepas Proton memperkenalkan Saga megavalve dalam pasaran, rupa luaran jentera tersebut turut diubah bagi menyamai rupa model dalam bilik pameran berkenaan.

    Pada awal musim 1992, ia masih kekal dengan rupa sama. Tetapi setelah Iswara dilancarkan pada Ogos 1992, rupa luaran jentera rali ini sekali lagi berubah menjadi sebuah Iswara untuk memastikan ia relevan sebagai duta model terbaharu tersebut dalam dunia sukan bermotor.

    Replika Proton Iswara Group S 2WD Karamjit Singh 1992 – impian kanak-kanak Allan kini tercapai!

    Sekali tengok, rupa jentera rali Iswara 2WD ini nampak seakan sama dengan abangnya yang lebih berkuasa dengan enjin VR4 dan pacuan semua roda itu. Tetapi jika anda lihat dengan teliti, ada berberapa perbezaan yang ketara – ruang roda belakang masih lagi kekal ‘petak’ untuk versi 2WD ini, manakala versi 4WD ia telah ‘dibulatkan’ dan dilebarkan bagi memberi laluan kepada gandar belakang 4WD dan sistem suspensi yang lebih kompleks.

    Sebelum memulakan apa-apa kerja berkenaan kosmetik, Allan terlebih dahulu ‘menyegarkan’ kembali bahagian mekanikal kereta ini. Rak stereng dan juga kesemua lengan-lengan serta bushing pada sistem suspensi Iswara ini telah ditukar baharu, bersama penyerak hentak lebih keras yang menggunakan sistem gas, Monroe Reflex. Tiada pengubahsuaian pada spring dibuat kerana Allan mahu kereta ini kekal tinggi seolah-olah diberikan talaan untuk laluan SS atas permukaan batu kerikil.

    Allan tidak menukar enjin asal 4G13 karburator ini kepada enjin 4G61 dari Mitsubishi Mirage seperti apa yang dilakukan oleh PERT terhadap kereta rali sebenar. Namun enjin 1.3L asal berkenaan telah dibawa keluar dan dirombak rawat sepenuhnya bukan sahaja untuk menyegarkan kembali, tetapi turut mengekstrak berberapa kuasa kuda tambahan dari jumlah asal.

    Replika Proton Iswara Group S 2WD Karamjit Singh 1992 – impian kanak-kanak Allan kini tercapai!

    Aci sesondol asal sudah tidak lagi digunakan dan Allan menggantikannya dengan unit berdurasi 288 darjah dari Squirt dan ia boleh ditala menerusi penggunaan pulley boleh laras dari Aerospeed. Bagi memastikan injap dapat ditutup lebih pantas dan mampu bertahan dengan letusan dalam kebuk pembakaran yang bertambah kuat dengan penggunaan aci sesondol dengan durasi lebih tinggi, spring injap asal turut diganti dengan spring lebih keras dari Cosworth.

    Muffler dan paip utama sistem ekzos Iswara ini masih lagi kekal standard, dan Allan cuma memadankan extractor 4-2-1 pada enjin ini. Motor penghidup enjin yang lebih berkuasa turut diganti bagi memastikan enjin yang telah diubahsuai ini boleh dihidupkan dengan mudah.

    Kemudian, kabin kereta ini pula mendapat perhatian yang sepatutnya. Kedua-dua tempat duduk hadapan asal telah dicabut dan diganti dengan sepasang tempat duduk bucket keluaran tempatan iaitu SSCus. Tempat duduk belakang masih kekal standard, tetapi ia dibalut semula dengan fabrik sama dengan tempat duduk hadapan. Kesemua panel dalaman pintu yang telah lusuh diganti dengan kemasan baharu.

    Replika Proton Iswara Group S 2WD Karamjit Singh 1992 – impian kanak-kanak Allan kini tercapai!

    Papan pemuka masih kekal dengan papan pemuka Iswara asal. Mesti ramai yang tertanya-tanya, apa benda unit macam meter tambang teksi yang melekat di sebelah kiri tu kan? Ini sebenarnya adalah komputer trip untuk kereta rali sebenar, Leila RC-NONO seperti yang pernah digunakan pada kereta-kereta rali Proton era 80’an.

    Menurut Allan, dia terjumpa komputer trip ini di sebuah kedai halfcut, dan membelinya dalam keadaan tidak lagi boleh digunakan. Walau bagaimanapun, dengan bantuan pakciknya yang pakar dengan peralatan elektronik, komputer ini berjaya dihidupkan kembali.

    Kabin jentera rali replika ini turut dilengkapkan dengan roda stereng Momo yang dihasilkan untuk kereta-kereta Lotus, dan juga tombol gear dari Ralli Art. Allan turut meletakkan satu aksesori rare yang pernah ditawarkan oleh pengedar Proton, EON satu ketika dahulu iaitu sebuah TV poket buatan Casio.

    Setelah semua ini siap, kereta ini dihantar ke kedai cat untuk membuang segala karat pada badan, kemudian dilayangkan dengan warna badan putih, bersama sebahagian panel dari tiang-c kebelakang dan juga spoiler asli dari Galant VR4 diberikan warna hijau Petronas.

    Akhir sekali, livery Proton PERT berdasarkan Proton Saga Iswara Group S 1.6L 2WD yang dipandu oleh Karamjit Singh pada Kejuaraan Rali Malaysia 1992, pusingan kelima ini dihasilkan dengan begitu teliti oleh pakar livery tempatan, Motorsport Playground. Bagi mendapatkan rupa yang benar-benar tepat, projek ini turut mendapat pertolongan dari Datuk Haji Abdul Razak Dawood, iaitu bekas bos pasukan Proton PERT sendiri.

    Allan turut berjaya mendapat set rim Advan Art yang sama seperti digunakan oleh Karamjit Singh, tetapi untuk mudah dipandu di atas jalan raya, ia tidak dibalut dengan tayar rali, sebaliknya menerima tayar Brigestone Potenza RE003 bersaiz 195/55R15.

    Replika Proton Iswara Group S 2WD Karamjit Singh 1992 – impian kanak-kanak Allan kini tercapai!

    Dia juga sebenarnya mempunyai set pod lampu sorot empat sebaris untuk diletakkan pada atas bonet hadapan, tetapi kerana malas mahu bermain sembunyi-sembunyi dengan JPJ, komponen tersebut hanya disimpan dalam ruang but belakang.

    Selepas projek ini siap, Allan telah membawanya untuk ditatap oleh Karamjit Singh sendiri, dan juga bekas kru-kru yang pernah berkhidmat dengan PERT. Malah, Proton R3 sendiri telah ‘menghidu’ projek Allan ini, dan baru-baru ini dia sendiri telah diundang untuk ke markas R3 di Pusat Kecermelangan Proton (CoE) Shah Alam bagi mempertemukan Iswara ini dengan jentera-jentera terkini Proton R3.

    Kami sedang mencari lebih lagi kereta-kereta custom dan ubahsuai untuk dipaparkan di sini. Jika anda mempunyai kereta menarik untuk ditampilkan, jangan segan silu untuk emailkan butiran lanjut kepada [email protected]. Kami akan menghubungi anda semula selepas itu

    GALERI: Replika Proton Iswara Group S 2WD Allan di Ibu Pejabat Proton R3

     
     
  • Shell Helix Eco 0W 20 baharu dilancarkan – minyak enjin sintetik sepenuhnya untuk kereta kompak

    Shell Helix Eco 0W 20 baharu dilancarkan – minyak enjin sintetik sepenuhnya untuk kereta kompak

    Shell Malaysia Trading Sdn Bhd telah melancarkan Shell Helix ECO 0W 20 , minyak enjin sintetik sepenuhnya berkelikatan rendah yang baharu untuk memenuhi keperluan kereta kompak moden dengan kapasiti enjin di bawah 1,200 cc yang kian bertambah di jalan-jalan di Malaysia.

    Minyak enjin Shell Helix ECO 0W 20 baharu ini menjanjikan ekonomi bahan api yang lebih baik dan perlindungan yang unggul terhadap kehausan dan geseran bagi bahagian enjin. Ia juga mempunyai formula dengan kadar penyejatan rendah yang sentiasa membantu melincir dan melindungi enjin dengan baik.

    “Shell Helix ECO yang baharu dengan kelikatannya yang lebih rendah, dapat membantu mengurangkan penggunaan bahan api dan memastikan pemanduan yang lebih lancar. Kini pemilik kereta boleh menikmati penjimatan dari segi kos penyenggaraan yang lebih rendah kerana ia adalah minyak enjin premium sintetik sepenuhnya yang berupaya membersihkan enjin anda di samping memberikan perlindungan enjin yang optimum sehingga penukaran minyak yang seterusnya,” kata May Tan, Pengurus Besar Pemasaran, Shell Lubricants.

    Terdapat dalam pek 3.5 liter yang sesuai digunakan bagi sekali penukaran minyak, harga runcit bagi Shell Helix ECO 0W 20 baharu ialah RM143.50 di Semenanjung Malaysia dan RM144.20 untuk Sabah dan Sarawak. Ia boleh didapati di bengkel-bengkel Shell Helix yang berdaftar di seluruh negara.

    Sempena pelancarannya di Malaysia, setiap pek 3.5 liter Shell Helix ECO 0W 20 ‘Untuk Pasaran Malaysia’ yang tulen didatangkan dengan pelindung matahari percuma. Tawaran ini sah dari 1 Mac 2020 sementara stok masih ada.

     
     
  • Volkswagen T1 e-Bulli – ‘Bas Samba’ elektrik 1966

    Volkswagen T1 e-Bulli – ‘Bas Samba’ elektrik 1966

    Volkswagen Commercial Vehicles telah menerap penggayaan bagi “Bas Samba” versi moden termasuk memberikan kenderaan elektrik yang diberi nama T1 e-Bulli tersebut dengan penjana kuasa dan senibina daripada teknologi terkini. Kalau ikut sejarah silamnya, van pengangkut Bulli agak popular pada tahun sekitar 60an dan 70an. Jadi dengan binaan versi baharu ini, ia seakan mengembalikan semula model ikonik ini untuk generasi kini.

    Sentuhan retro masih jelas kelihatan pada rekaan luarannya, namun masih diberikan penggayaan kontemporari dan moden, termasuk dengan lampu utama LED bulat yang ditambah baik untuk pandangan pada waktu malam, selain terus mengekalkan nilai estetika T1. Sentuhan yang hampir sama juga dibawa ke bahagian kabin, termasuk rekaan speedometer yang berdasarkan ciri asalnya, begitu juga dengan pemilih gear untuk transmidi automatik dengan ciri iluminasi LED. Konsol yang dipasang di siling pula menampilkan tablet sebagai paparan informasi termasuk fungsi kenderaan.

    Perincian teknikalnya masih belum didedahkan. Walau bagaimana pun, kemungkinan besar van Bulli ini akan menggunakan platform yang sama seperti yang direncana pada model konsep I.D. Buzz Difahamkan e-Bulli ini akan diperkenalkan di Techno Classica 2020 di Essen, Jerman, pada bulan ini, di mana ia juga akan menampilkan banyak model elektrik yang lain.

    Telah disahkan akan dilancarkan pada 2022, I.D. Buzz yang menggunakan platform MEB untuk varian penumpang dan pengangkut kargo, dengan padanan motor elektrik 201 hp yang menawarkan jumlah keseluruhan kuasa sebanyak 369 hp menerusi gandar hadapan dan belakang, bersama bateri 111 kWh yang menawarkan jarak pacuan hingga 600 km mengikut kitaran NEDC. Larasan pacuan roda-belakang dengan kuasa 268 hp dari janaan bateri 83 kWh juga ditawarkan sebagai pilihan.

    GALERI: Model konsep Volkswagen I.D. Buzz

     
     
  • Toyota laburkan US$426 juta dalam Pony.ai China

    Toyota laburkan US$426 juta dalam Pony.ai China

    Toyota kini melabur dalam jumlah yang besar ke atas Pony.ai, sebuah syarikat pemanduan autonomous China sebagai sebahagian daripada lanjutan kerjasama niaga yang dibentuk Ogos lalu, ketika kedua-dua syarikat bersetuju memulakan program pemanduan autonomous bersama di China. Dana terbaru ini, yang mencecah US$462 juta; ini menjadikan nilai semasa Pony.ai melebihi US$3 bilion.

    Kedua-dua syarikat dijangka untuk meneruskan usaha mereka di dalam pembangunan teknologi pemanduan autonomous dan pelaksanaan perkhidmatan mobiliti. Selain daripada melanjutkan kesepaduan sistem Pony.ai pada kenderaan Toyota, kerjasama itu juga akan meneroka kemungkinan di dalam lapangan perkhidmatan mobiliti.

    Perniagaan start-up dari China itu ditubuhkan pada 2016, dan telah menguji perkhidmatan Robotaxi sejak penghujung 2018 di Guangzhou dan mendakwa mereka menjadi yang pertama di China yang menawarkan perkhidmatan kereta pandu sendiri kepada umum di sana.

    November tahun lalu, syarikat itu juga melancarkan perkhidmatan Robotaxi di Amerika Syarikat. Perkhidmatan ulung itu, yang dipanggil BotRide, dimulakan di Irvine, California menggunakan Hyundai Kona Electric yang dipasangkan sensor dan perisian pemanduan autonomous Pony.ai. Satu lagi program sama turut diumumkan baru-baru ini untuk dijalankan di Fremont.

     
     
  • Alfa Romeo tunjuk Giulia GTA baharu menerusi video

    Walau pun penganjuran Geneva Motor Show 2020 terpaksa dibatalkan ekoran penularan wabak coronovirus, namun masih banyak pengeluar kereta yang mahu memperkenalkan model baharu masing-masing mengikut perancangan asal untuk acara berkenaan. Ini termasuklah Alfa Romeo yang telah bersedia untuk mendedahkan versi Giulia yang lebih hot, dengan nama gelaran Giulia GTA.

    GTA (Gran Turismo Alleggerita) merupakan nama plat bagi salah satu ikon dalam sejarah syarikat berkenaan, dan pertama kali digunakan pada tahun 1965 menerusi Giulia Sprint GTA yang dikeluarkan dengan jumlah terhad – hanya 500 unit – bagi tujuan perlumbaan.

    Ada laporan menyatakan model ini akan dipacukan oleh enjin 2.9 liter pengecas turbo V6 dengan hamburan kuasa 620 hp, lebih prestasi berbanding model biasa Giulia Quadrifoglio (503 hp/600 Nm). Selain lonjakan kuasa, dijangkan model ini turut menerima pengurangan berat dan juga peningkatan aerodinamik.

    Giulia GTA bukanlah satu-satunya model yang akan diperkenalkan oleh ALfa Romeo, malah model untuk kegunaan trak – GTAm – juga akan ditampilkan di peringkat global. Model tersebut dikatakan telah mengurangkan beberapa cirinya termasuk kalis bunyi dan tempat duduk belakang juga ‘disingkirkan’ untuk pengurangan berat, sementara aerodinamik dan kerangka badannya ditambahbaik.

     
     
  • BMW F900R, F900XR dilancar di M’sia – dari RM62.5k

    BMW F900R, F900XR dilancar di M’sia – dari RM62.5k

    Pertama kali didedahkan waktu pameran EICMA 2019 hujung tahun lalu, kini model F900R dan F900XR sudah tiba di Malaysia dengan harga jualan masing-masing RM62,500 dan RM69,500 tidak termasuk insurans. Jaminan yang diberi adalah selama tiga tahun bersama program bantuan tepi jalan tiga tahun.

    Kedua-dua F900 XR dan F900 R menggunakan enjin sama, iaitu unit dua silinder selari 895 cc, yang sebenarnya adalah enjin yang dipertingkat daripada enjin 853 cc pada F850 GS. Enjin baru ini mampu menghasilkan kuasa 105 hp pada 8,750 rpm dan 92 Nm tork pada 6,500 rpm. Ia dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan penunggang boleh memilih mod tunggangan Rain dan Road.

    Walaupun dua motosikal ini berkongsi banyak ciri yang sama, keduanya mempunyai karekter yang berbeza di mana F900 XR adalah sebuah motosikal sport touring manakala F900 R pula adalah sebuah roadster naked. Pada F900 XR anda boleh melihat ia menyediakan keadaan tunggangan yang lebih tegak serta panel badan yang disesuaikan untuk perjalanan jauh termasuk penghadang angin hadapan yang boleh dilaras.

    F900 R pula mempunyai panel badan yang lebih minimum dan bahagian belakang yang lebih kurus. Kedua-duanya menggunakan tangki bahan api plastik, dengan kapasiti masing-masing 13 liter untuk F900 R dan 15.5 liter untuk F900 XR.

    Bahagian lain yang berbeza adalah suspensi, di mana F900 XR menggunakan fork USD hadapan dengan jarak gerak 170 mm di hadapan dan monoshock 172 mm di belakang sementara F900 R pula menggunakan suspensi dengan jarak gerak 135 mm di hadapan dan 142 mm di belakang. Dalam keadaan standard ia tidak boleh dilaras, tetapi pemilik diberikan pilihan suspensi pelarasan elektronik Dynamic ESA sebagai tambahan.

    BMW F900R, F900XR dilancar di M’sia – dari RM62.5k

    Barangan lain yang datang secara standard pada dua model ini adalah semua lampu jenis LED, skrin TFT 6.5 inci dengan ciri BMW Connectivity dengan BMW Motorrad Multi-Controller, brek cakera berkembar dengan angkup Brembo di hadapan, Automatic Stability Control (ASC) serta brek ABS.

    Ciri tambahan yang dijual berasingan pula termasuk Adaptive Cornering Light, Keyless Ride, Shift Assistant Pro, Intelligent Emergency Call, Intelligent Emergency Call, Riding Mode Pro, yang memberikan dua lagi tambahan mod tunggangan serta sistem Dynamic Traction Control (DTC), ABS Pro, Dynamic Brake Control (DBC) dan Engine Drag Torque Control (MSR).

    GALERI: BMW F 900 XR 2020

    GALERI: BMW F 900 R 2020

     
     
  • VinFast kini intai aset Holden di Australia

    VinFast kini intai aset Holden di Australia

    Minggu lalu, jenama automotif dari Australia, Holden disahkan bakal ditutup sepenuhnya oleh pemiliknya iaitu General Motors pada hujung tahun ini. Hal ini nampaknya menarik perhatian nama baharu dalam industri iaitu Vinfast yang berasal dari Vietnam untuk mengambil alih aset-aset Holden yang bakal ditinggalkan di Australia, menurut laporan carsales.com.au.

    Disember lalu, Vinfast berpindah ke Port Melbourne bagi memulakan operasi mereka di Australia, dan lokasi tersebut sebenarnya adalah hampir dengan ibu pejabat Holden, serta mereka juga sebenarnya sudahpun menerima berberapa ratus orang bekas jurutera Holden untuk bekerja.

    “Australia merupakan pasaran automobil yang membangun yang mempunyai pembekal dan kemahiran sedia ada yang VinFast mahukan. VinFast Engineering Australia adalah bertanggungjawab untuk pembangunan produk untuk model-model akan datang kami,” kata timbalan CEO VinFast, Jim DeLuca.

    VinFast kini intai aset Holden di Australia

    Jenama Vietnam berkenaan dilaporkan berminat untuk mengambil alih fasiliti rekaan dan kejuruteraan yang bakal ditutup oleh GM kerana penutupan Holden, termasuk pusat ujian Lang Lang. “Kami sekarang ini sedang berusaha bersama rakan perniagaan untuk membuat penggayaan kenderaan dan validasi. Kami berminat dengan mana-mana jenis intergrasi vertikal yang akan membuatkan kami lebih efisien dan perniagaan lebih efektif kos,” respon DeLuca.

    Menurut laporan ini lagi, VinFast kini sudahpun mengambil bekas eksekutif-eksekutif Holden untuk bekerja, termasuk naib presiden pembuatan global, Shaun Calvert yang pernah bekerja di Holden dan GM antara 2001 hingga 2017.

    Bekas staf senior Holden lain yang kini turut telah menyertai VinFast termasuk veteran Holden dan GM selama 25-tahun Kevin Yardley, dan ketua integrasi casis dan janakuasa Joe Sawyer yang telah berkhidmat di Holden selama 23-tahun. Dikhabarkan buat masa ini masih ada lagi 800 orang yang masih bekerja bersama Holden termasuk beratus orang staf kejuruteraan dan rekaan, jadi VinFast masih boleh mendapatkan lebih banyak tenaga mahir.

    VinFast kini intai aset Holden di Australia

    “Kami ada ramai rakan sekerja Australia di kilang kami di Vietnam yang telahpun menyertai kami sejak kami mulakan projek ini. Mereka merupakan bahagian yang penting dalam keluarga kami dan menyumbangkan kejayaan untuk syarikat kami,” kata DeLuca.

    VinFast adalah sebahagian dari syarikat swasta terbesar di Vietnam iaitu Vingroup yang mempunyai aset mencecah US$35 bilion (RM148 bilion). Ia dimiliki oleh rakyat Vietnam dengan latar belakang pendidikan di Russia iaitu Pham Nhat Vuong, dan konglomerat ini turut terlibat dalam perniagaan hartanah, industri kesihatan, peruncitan dan juga taman tema.

    VinFast mensasarkan untuk menjadi pengeluar kereta elektrik dan mempunyai misi bagi mengeksport kereta dengan teknologi tersebut ke Amerika Syarikat pada tahun 2021. Untuk projek ini, Vuong menanam modal sebanyak US$2 bilion (RM8.45 bilion) dari poketnya sendiri bagi mencapai sasaran tersebut.

    VinFast kini intai aset Holden di Australia

    “Sasaran utama kami adalah untuk menghasilkan jenama antarabangsa. Ia halatuju yang sangat susah dan kami perlu mencurahkan banyak usaha. Tetapi hanya ada satu jalan di hadapan,” kata Vuong pada Disember lalu.

    “Kami mempunyai keinginan untuk menghasilkan jenama Vietnam yang mempunyai reputasi berkelas dunia. Cabaran terbesar kami adalah produk Vietnam tidak mempunyai jenama antarabangsa. Di mata ramai rakan antarabangsa, Vietnam masih negara yang miskin dan terkebelakang. Kami perlu mencari jalan untuk memasarkan dan membuktikan bahawa produk kami mewakili dinamik dan pembangunan Vietnam yang kini telah mencapai standard tertinggi di dunia,” tambahnya lagi.

    Buat masa sekarang, VinFast mempunyai dua model premium iaitu sedan mewah LUX A2.0 dan SUV mewah LUX SA2.0 pada pasaran domestik mereka, masing-masing dihasilkan bersasaskan sedan BMW 5 Series F10 dan SUV BMW X5 F15, dan rekaannya menerima sentuhan firma dari Itali iaitu Pininfarina.

    Selain model mewah ini, Vinfast turut menghasilkan hatchback kompak yang direbadge dari Chevrolet Spark, diberi nama VinFast Fadil.

    GALERI: VinFast LUX A2.0

    GALERI: VinFast LUX SA2.0

    GALERI: VinFast Fadil

     
     
  • Harga minyak 29 Feb-6 Mac: RON97 naik, diesel turun

    Harga minyak 29 Feb-6 Mac: RON97 naik, diesel turun

    Untuk minggu bertarikh 29 Februari hingga 6 Mac 2020, harga runcit bagi petrol RON 97 dilaporkan akan naik sebanyak dua sen iaitu menjadi RM2.40 seliter berbanding RM2.38 seliter pada minggu sebelum itu.

    Namun harga runcit bagi petrol RON 95 kekal seperti minggu sebelumnya iaitu RM2.08 seliter.

    Manakala harga diesel pula turun sebanyak satu sen, menjadi RM2.13 seliter untuk Euro 2 dan RM2.23 bagi Euro 5. Kesemua harga baharu yang diumumkan ini adalah efektif mulai 12 tengahmalam ini sehingga Jumaat hadapan.

    Dengan harga runcit bagi kedua-dua produk bahan api ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan bagi tempoh 29 Februari hingga 6 Mac 2020 adalah berjumlah RM6.12 juta.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024