Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Tumpu subsidi diesel bersasar terlebih dahulu, tiada keperluan dilaksana untuk RON95 buat masa ini – MOF

    Tumpu subsidi diesel bersasar terlebih dahulu, tiada keperluan dilaksana untuk RON95 buat masa ini – MOF

    Buat masa ini kerajaan akan memberi tumpuan dan keutamaan terhadap pelaksanaan subsidi diesel bersasar terlebih dahulu, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menurut laporan Berita Harian.

    Tambah beliau, setakat ini belum ada keperluan subsidi bersasar itu dilaksanakan ke atas petrol RON95. “Buat masa sekarang fokus pelaksanaan adalah subsidi diesel. Kita bermula dengan diesel dulu. Bila sudah stabil, kita tengok apa boleh dibuat (selepas itu),” katanya bagi mengulas mengenai bila pelaksanaan subsidi bersasar bagi RON95 selepas pelaksanaan subsidi bersasar diesel yang bermula 10 Jun lalu.

    Beliau berkata, tujuan pelaksanaan subsidi diesel bersasar itu adalah untuk mengurangkan ketirisan dalam negara yang mana banyak subsidi keluar ke negara jiran dan sektor tidak berhak mendapat subsidi.

    Tumpu subsidi diesel bersasar terlebih dahulu, tiada keperluan dilaksana untuk RON95 buat masa ini – MOF

    Justeru katanya, pelaksanaan rasionalisasi subsidi bagi petrol RON95 hanya akan dibuat selepas penyasaran subsidi untuk diesel menjadi stabil.

    “Langkah ini adalah sebahagian daripada agenda reformasi di bawah rangka kerja Ekonomi Madani dan ia penting untuk membina Malaysia yang lebih baik pada masa depan. Ini kerana kita mahu mendapatkan pulangan fiskal lebih elok agar boleh melabur balik pada perkara yang penting bagi membina negara.

    “Kita faham kena buat rasionalisasi subsidi, kita bermula dengan diesel buat masa sekarang dan dari segi kerajaan kita fokus kepada rasionalisasi subsidi diesel, bila sudah stabil kita tengok apa yang dibuat. Bagaimanapun berdasarkan maklumat awal kita nampak rasionalisasi subdsidi diesel ini berjaya kerana ketirisan membabitkan diesel di sempadan negara sudah berkurangan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

     
     
  • Proton umum Global Modular Architecture (GMA) – platform model generasi baharu ICE, PHEV dan EV

    Proton umum Global Modular Architecture (GMA) – platform model generasi baharu ICE, PHEV dan EV

    Ketika pendedahan jenama dan logo EV baharunya malam ini, Proton turut mengumumkan bahawa ia kini sedang membangunkan platform modularnya sendiri bagi digunakan pada model-model generasi baharunya kelak tanpa bergantung kepada model-model Geely.

    Platform berkenaan dikenali sebagai Global Modular Architecture (GMA) dan menurut CEO Proton Dr Li Chunrong, ia bakal menjadi asas kepada model-model generasi baharu Proton yang menggunakan unit rangkaian kuasa enjin pembakaran dalaman (ICE), plug-in hybrid (PHEV) dan elektrik sepenuhnya (EV).

    Berdasarkan slaid pembentangan yang ditunjukkan, ada lima model baharu yang dirancang dibangunkan menggunakan platform GMA tersebut. Menurut Li, dengan menyertai kumpulan Geely membolehkan Proton mendapat akses terhadap teknologi-teknologi terbaharu Geely, dan menyepadukan pelbagai perincian baharu terhadap model-model Proton untuk diberi kepada pelanggannya.

    Li mengesahkan bahawa model-model berasaskan platform GMA ini kelak akan direka untuk diproduksi di Malaysia bagi pasaran tempatan dan eksport global. “GMA akan menjadi platform utama kami dan ia akan menyediakan asas untuk banyak model-model baharu, termasuk model PHEV dan BEV,” katanya.

    Proton umum Global Modular Architecture (GMA) – platform model generasi baharu ICE, PHEV dan EV

    Bukan hanya unit rangkaian kuasa, platform GMA ini juga boleh menjadi asas kepada model-model dari pelbagai bentuk badan. Dan dengan sifat modular, ia turut direka untuk mempertingkatkan kadar efisien dalam produksi dengan sasaran penghasilan sebanyak 200,000 unit kenderaan setahun.

    Walau bagaimanapun, model pertama untuk jenama EV Proton eMAS (dieja e.MAS) yang dijadualkan dilancar pada penghujung tahun ini masih lagi belum menggunakan platform GMA tersebut. Ia dibayangkan diasaskan dari Geely Galaxy E5 yang dibina berasaskan platform Global Intelligent New Energy Architecture (GEA) iaitu platform yang berevolusi dari platform Sustainable Experience Architecture (SEA) Geely.

    Model-model berasaskan platform GMA ini kelak berkemungkinan mempunyai hubungan dengan penubuhan pusat R&D baharu Proton di Teluk Hangzhou, China yang diumum kini sedang membangunkan model-model asli generasi baharu Proton iaitu Saga, Iriz dan Persona. Dengan kebolehan platform tersebut menerima unit rangkaian kuasa elektrik penuh, ia juga mungkin akan menjadi asas kepada model EV Proton yang lebih mampu milik.

     
     
  • Proton eMAS dan logo EV didedahkan — model pertama EV Malaysia akan diperkenal Disember 2024

    Proton eMAS dan logo EV didedahkan — model pertama EV Malaysia akan diperkenal Disember 2024

    Proton hari ini mendedahkan jenama EV syarikat itu yang akan dikenali sebagai Proton eMAS (dieja e.MAS), melambangkan nama dengan teknologi elektrik yang bakal diperkenalkan kelak. Nama ini dipilih melalui peraduan teka nama bagi jenama EV Proton tersebut, yang mencatatkan sebanyak 25,432 penyertaan yang berlangsung selama 16 hari bermula 20 Mei-5 June 2024.

    Proton turut memperkenalkan logo rasmi bagi jenama EV ini, yang merupakan lanjutan yang lebih ringkas daripada logo asal kepala harimau sedia ada. Susulan daripada perkembangan ini juga, Proton turut mengumumkan yang model pertama Proton eMAs ini akan diperkenalkan menjelang hujung tahun ini juga.

    Turut diumumkan pada majlis ini ialah pelantikan 17 pengedar EV Proton pertama yang telah memeterai perjanjian mereka pada awal hari ini. Permohonan kini dibuka untuk peniaga yang berminat menjadi pengedar dan sasaran awal adalah membuka 30 cawangan menjelang 2025 dengan rancangan mengembangkan rangkaian jualan mengikut keperluan pasaran.

    Setakat ini, dimaklumkan bahawa model pertama itu nanti akan menggunakan asas dari Geely Galaxy E5, seperti yang dibayangkan dalam poster peraduan berkenaan. Model berkenaan menggunakan platform Global Intelligent New Energy Architecture (GEA), yang dibangunkan untuk Sustainable Experience Architecture (SEA) dan khusus untuk kenderaan EV.

     
     
  • Yamaha NMax 2024 buat penampilan global pertama di Indonesia – versi “Turbo”, skrin TFT, ABS, TC

    Yamaha NMax 2024 buat penampilan global pertama di Indonesia – versi “Turbo”, skrin TFT, ABS, TC

    Yamaha hari ini memperkenalkan buat pertama kalinya kepada dunia NMax 2024, di Indonesia, dengan melihatkan perubahan menyeluruh termasuk penampilan, enjin serta kelengkapan. Ia ditawarkan dalam beberapa varian, bermula dari Neo berharga 32.7 juta rupiah (RM9,462) hingga “Turbo Tech Max Ultimate” berharga 45.25 juta rupiah (RM13,093).

    Penampilan NMax 2024 ini berubah terus, dengan rekaan serba baru dan selain lampu belakang LED, lampu hadapannya juga dinaik taraf dengan unit LED projector bertingkat, bersama lampu siang. Bagi tempat duduk, versi Tech Max mendapat unit Comfort Seat, yang dikatakan menggunakan bahan khas serta balutan bertekstur bersama jahitan emas.

    Enjin NMax 2024 masih lagi menggunakan unit satu silinder 155 cc Bluecore VVA, tetapi ia dipanggil sebagai serba baru kerana dipertingkat dengan teknologi Yamaha Electric CVT (Y-ECVT). Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 15 hp pada 8,000 rpm dan tork 14.2 Nm pada 6,500 rpm. Jumlah ini cuma berbeza 0.3 Nm berbanding NMax 155 sebelumnya.

    Yamaha NMax 2024 buat penampilan global pertama di Indonesia – versi “Turbo”, skrin TFT, ABS, TC

    Perkataan “Turbo” yang digunakan pada beberapa varian NMax 2024 ini merujuk bahawa ia datang dengan dua fungsi baru. Pertama adalah Turbo Riding Mode iaitu mod tunggangan yang disediakan dalam dua pilihan iaitu T-Mode (Touring Mode yang lebih santai) dan S Mode (Sport Touring yang lebih bertenaga).

    Kemudiannya, ada pula Turbo Y-Shift, yang boleh digunakan jika penunggang mahukan lebih pecutan ataupun mahukan rasa engine braking yang lebih. Ia boleh diaktifkan melalui butang yang terdapat pada bahagian kiri pemegang dan disediakan dalam tiga tahap iaitu Low, Medium dan High.

    Varian “Turbo” Tech Max juga menerima ciri keselamatan yang lebih tinggi, bermula dengan ABS dual-channel, serta sistem kawalan cengkaman yang boleh mengelakkan tayar belakang daripada tergelincir sewaktu memecut.

    Satu lagi kelebihan pada varian Turbo Tech Max adalah ia dilengkapi dengan skrin bertingkat, yang di bahagian atas menggunakan panel LCD untuk memaparkan tahap minyak, kelajuan serta odometer, sementara di bawah terdapat panel TFT yang boleh memaparkan peta navigasi apabila disambungkan kepada telefon pintar serta aplikasi Garmin Street Cross.

    Varian lain pula masih menggunakan skrin LCD, tetapi dengan rekaan paparan baru. Sama seperti sebelum ini, skrin tersebut boleh disambung kepada telefon pintar dan aplikasi Y-Connect untuk memaparkan notifikasi mesej atau telefon.

    Ciri lain yang disediakan secara standard bagi NMax 2024 adalah termasuk sistem start & stop, brek cakera hadapan dan belakang, rim 13 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 130/70 di belakang, penyerap belakang dengan sub-tank, soket pengecas USB, ruang simpanan 25 liter bawah tempat duduk serta tangki bahan api 7.1 liter. Sistem kunci pintar disediakan hanya pada Neo S ke atas.

     
     
  • Laluan Smart Lane diaktifkan di 18 lokasi di Lebuhraya Utara-Selatan sempena Aidiladha, 14-18 Jun 2024

    Laluan Smart Lane diaktifkan di 18 lokasi di Lebuhraya Utara-Selatan sempena Aidiladha, 14-18 Jun 2024

    Klik untuk besarkan

    Sempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada Isnin hadapan (17 Jun), PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 18 lokasi tumpuan trafik di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 14 hingga 18 Jun ini. Ia bertujuan bagi membantu melancarkan pergerakan trafik di lokasi kritikal di sepanjang lebuhraya berkenaan.

    “Ketika Smart Lane diaktifkan, lorong kecemasan yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong di laluan kritikal lebuh raya.

    “Orang ramai boleh mengenal pasti laluan Smart Lane ini melalui pemasangan Lampu Hijau Berkelip
    (Green Flashing Light) untuk menunjukkan bahawa laluan Smart Lane diaktifkan dan boleh digunakan di lokasi-lokasi yang tertentu. Selain itu, PLUS turut meletakkan papan tanda pemberitahuan dan peringatan Smart Lane di lokasi-lokasi yang terlibat,” kata PLUS.

    Laluan Smart Lane diaktifkan di 18 lokasi di Lebuhraya Utara-Selatan sempena Aidiladha, 14-18 Jun 2024

    Rujukan panduan menggunakan laluan Smart Lane di Lebuhraya PLUS – klik untuk besarkan

    Tambah PLUS, Smart Lane boleh digunakan oleh kenderaan ringan, persendirian atau penumpang. Ia membolehkan pengguna untuk memasuki lorong kecemasan untuk sementara waktu sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama lebuh raya bagi meneruskan perjalanan mereka.

    “Walau bagaimanapun, pengguna lebuh raya dilarang sama sekali untuk memandu di lorong kecemasan di lokasi-lokasi lain di mana tiada laluan Smart Lane diaktifkan,” kata PLUS lagi.

    Sementara itu, bagi mengelakkan gangguan terhadap pergerakan trafik, PLUS akan memastikan tiada penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan di Lebuhraya PLUS di antara 12 hingga 19 Jun 2024. Namun begitu, pengecualian diberikan untuk kerja-kerja kecemasan, pengalihan kemalangan serta pembaikan kritikal.

    Untuk mengagihkan trafik, PLUS turut menyediakan jadual perjalanan digital iaitu MyPLUS-TTA
    menerusi Aplikasi PLUS. Untuk mendapatkan jadual digital MyPLUS-TTA, pengguna lebuh raya boleh memuat turun Aplikasi PLUS dan mendaftarkan perjalanan mereka untuk memilih waktu perjalanan yang paling optimum pada perjalanan sempena perayaan Aidiladha di antara 13 hingga 18 Jun 2024.

    Laluan Smart Lane diaktifkan di 18 lokasi di Lebuhraya Utara-Selatan sempena Aidiladha, 14-18 Jun 2024

    Rujukan panduan menggunakan laluan Smart Lane di Lebuhraya PLUS – klik untuk besarkan

    18 lokasi pengaktifan Smart Lane sempena Hari Raya Aidiladha:

    1. Sungai Petani (Selatan) – Hentian Sebelah Tikam Batu, KM108.0 – KM112.0 (15-18 Jun/10 pagi-10 malam)

    2. Bukit Tambun (Utara) – Plaza Tol Juru, KM150.4 – KM146.4 (17-18 Jun/10 pagi-10 malam)

    3. Bandar Cassia – Hentian Sebelah Sungai Bakap, KM155.5 – KM157.2 (Arah Selatan) (17-18 Jun/10 pagi-10 malam)

    4. Gua Tempurung – Gopeng, KM303.2 – KM297.0 (Arah Utara) (14-18 Jun/10 pagi-6 petang)

    5. Slim River – Sungkai, KM367.3 – KM354.0 (Arah Utara) (14-18 Jun/10 pagi-6 petang)

    6. Sungkai – Slim River, KM354.0 – KM356.0 (Arah Selatan) (14-18 Jun/10 pagi-6 petang)

    7. R&R Rawang – Sungai Buaya, KM439.5 – KM435.5 (Arah Utara) (14-18 Jun/9 pagi-7 malam)

    8. Hentian Sebelah Rawang – Persimpangan Rawang, KM437.1 – KM443.3 (Arah Selatan) (14-18 Jun/10 pagi-10 malam)

    9. Nilai – R&R Seremban, KM280.0 – KM276.0 (Arah Selatan) (14-18 Jun/8 pagi-10 malam)

    10. Putra Mahkota – Southville, KM289.4 – KM292.6 (Arah Utara) (14-18 Jun/9 pagi-10 malam)

    11. Restoran Jejantas USJ – Seafield (Lebuhraya ELITE), KM8.1 – KM6.1 (Arah Utara) (14-18 Jun/10 pagi-10 malam)

    12. Bandar Saujana Putra – Putra Heights (Lebuhraya ELITE), KM16.2 – KM13.2 (Arah Utara) (14-18 Jun/10 pagi-10 malam)

    13. Port Dickson – Seremban, KM260.0 – KM263.1 (Arah Utara) (14-18 Jun & 21-23 Jun/11 pagi-11 malam)

    14. Ayer Keroh – Hentian Sebelah Kampung Bemban KM194.5 – KM184.0 (Arah Selatan) (15-17 Jun/2 petang-7 malam)

    15. Kulai – Senai, KM27.0 – KM19.0 (Arah Selatan) (14-18 Jun/6 pagi-8 malam)

    16. Senai – Kulai, KM19.0 – KM27.0 (Arah Utara) (14-18 Jun/6 pagi-8 malam)

    17. Desa Palma – Pasir Gudang, KM4.5 – KM1.9 (Arah Selatan) (14-18 Jun/6 pagi-8 malam)

    18. Pandan – Kempas, KM0.4 – KM6.0 (Arah Utara)(14-18 Jun/6 pagi-8 malam)

     
     
  • Peugeot Malaysia ubah waranti kereta baharu kepada 5-tahun, waranti 7-tahun kini pilihan tambahan

    Peugeot Malaysia ubah waranti kereta baharu kepada 5-tahun, waranti 7-tahun kini pilihan tambahan

    Peugeot Malaysia telah mengumumkan bahawa pakej jaminan standard untuk semua model baharunya adalah selama lima tahun atau 150,000 km, berkuatkuasa serta merta. Menurut syarikat itu, pakej tersebut adalah terdiri dari perlindungan pengeluar selama tiga-tahun manakala dua tahun lagi adalah perlindungan lanjutan.

    Bagaimanapun, pembeli masih boleh memilih pakej waranti 7-tahun atau 200,000 km dengan bayaran tambahan. Peugeot Malaysia juga menawarkan harga promosi sekiranya pelanggan memilih pakej tambahan waranti ini dalam tempoh 90 hari selepas pembelian kereta baharu, atau dengan harga biasa pada bila-bila masa sebelum masuk 90-hari terakhir tarikh waranti asal tamat.

    Untuk model 2008, harga promosi bagi waranti lanjutan ini adalah RM895 manakala harga biasa adalah RM1,557. Bagi model 3008 dan juga 408 yang dilancarkan baru-baru ini, harga promosi untuk lanjutan waranti tersebut adalah RM957, dan RM1,659 untuk harga biasa. Untuk 5008 pula harga promosi adalah RM1,049 dan harga biasa adalah RM1,811.

    Pilihan lanjutan jaminan yang sama turut ditawarkan pada trak pikap Peugeot Landtrek, di mana waranti tiga-tahun/100,000 km asal boleh dilanjutkan dua-tahun kepada lima-tahun/150,000 km dengan tambahan bayaran RM2,942. Ia juga ditawarkan dengan lanjutan waranti empat-tahun bagi memberikan tempoh perlindungan selama tujuh-tahun/200,000 km keseluruhan dengan harga RM5,148 yang boleh ditambah dalam 90 hari pertama selepas membeli trak pikap tersebut.

    Peugeot Malaysia ubah waranti kereta baharu kepada 5-tahun, waranti 7-tahun kini pilihan tambahan

    Dalam senarai soalan lazim Peugeot Malaysia, syarikat itu menyatakan bahawa perlindungan waranti selama tujuh-tahun tanpa sebarang bayaran tambahan sebelum ini ditawarkan hanya dalam tempoh terhad, bagi meraikan pengambilalihan jenama Peugeot oleh Stellantis di Malaysia.

    Mengenai kenderaan pelanggan yang dibeli daripada pengedar terdahulu, waranti untuk kenderaan-kenderaan ini akan terus diuruskan oleh Stellantis Malaysia, namun bantuan di tepi jalan mungkin berbeza-beza. Untuk memeriksa status waranti kenderaan, pelanggan boleh menyemaknya dengan pusat servis yang bertauliah, atau hubungi pusat panggilan sehenti di 1-800-18-7852 untuk mengetahui lebih lanjut.

    “Pelanggan kami adalah keutamaan kami, dan kami mahu memastikan pengalaman pemilikan tanpa kebimbangan yang dipertingkatkan untuk semua. Kami ingin memberi pelanggan kami kelonggaran untuk memilih perlindungan jaminan mereka berdasarkan keperluan mereka. Kami memahami bahawa pembelian kereta baharu adalah pelaburan yang besar, dan perlindungan lanjutan ini mencerminkan janji kami untuk membina hubungan berpanjangan dengan pelanggan Peugeot yang dihargai di Malaysia,” kata pengarah urusan Stellantis Malaysia Jamie Francis Morais dalam satu kenyataan.

    Bagaimanapun, perlu dimaklumi bahawa kebanyakan model Peugeot kini diberikan tawaran dan rebat istimewa, yang boleh digunakan untuk menampung kos bagi pakej jaminan lanjutan pilihan ini.

     
     
  • Harga minyak 13-19 Jun – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 13-19 Jun – Semuanya dikekalkan

    Bagi minggu bertarikh 13 hingga 19 Jun 2024, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON 97 dan RON 95.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Terdahulu, MOF telah mengumumkan harga baharu bagi diesel Euro B10/B20 yang dinaikkan mulai 10 Jun lalu, kini berkadar RM3.35 seliter untuk Semenanjung Malaysia sahaja. Ia melibatkan kenaikan sebanyak RM1.20 berbanding harga sebelum ini iaitu RM2.15 seliter, yang dikekalkan sejak Februari 2021. Walau bagaimana pun harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada pada RM2.15 seliter.

    Harga minyak 13-19 Jun – Semuanya dikekalkan

    Menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah, harga runcit baharu bahan api itu adalah berdasarkan formula mekanisme harga automatik (APM) bagi bulan Mei.

    Pada 21 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa jemaah menteri telah bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi untuk bahan api diesel. Menurut beliau, sebagai permulaan, penyasaran tersebut hanya melibatkan pengguna bagi kawasan Semenanjung dan tidak melibatkan Sabah serta Sarawak.

    Manakala pada 27 Mei lalu pula, MOF mengumumkan program bantuan subsidi Madani, atau Budi Madani untuk pemilik kenderaan diesel persendirian individu, petani kecil serta pekebun kecil komoditi yang dibuka sejak kelmarin. Ia terbahagi kepada kategori Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi di bawah subsidi Budi Madani. Pemohon yang berjaya bagi kedua-dua kategori akan menerima RM200 sebulan dalam bentuk bantuan kewangan sebagai sebahagian daripada program subsidi bersasar untuk diesel.

     
     
  • Nissan Lightfoot Quest – pertandingan ‘pemanduan jimat petrol’ untuk pemilik Almera, hadiah lumayan

    Nissan Lightfoot Quest – pertandingan ‘pemanduan jimat petrol’ untuk pemilik Almera, hadiah lumayan

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) membuka penyertaan pertandingan Nissan Lightfoot Quest khas untuk pemilik-pemilik Nissan Almera Turbo di Malaysia. Acara yang dikuasakan oleh BHPetrol ini merupakan pertandingan pemanduan eco yang menguji tahap kecekapan pemandu dalam mengekalkan penggunaan bahan api yang rendah menggunakan Almera masing-masing.

    Pertandingan ini akan diadakan pada 22 Jun 2024 (hari Sabtu) dan ia akan bermula dari Petaling Jaya, Selangor dan berakhir di Ipoh, Perak. Peserta yang berminat akan dikenakan bayaran penyertaan sebanyak RM100, dan akan diberikan kemeja-T eksklusif, pek alu-aluan, serta berpeluang memenangi hadiah bernilai lebih RM7,500.

    Pemilik-pemilik Almera yang berminat untuk menyertai pertandingan ini perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan seperti berikut:

    • Peserta hanya dibenarkan menggunakan Nissan Almera 1.0 Turbo N18 dalam semua varian iaitu VL, VLP dan VLT.
    • Almera Turbo yang digunakan perlulah dari model yang diproduksi bermula tahun 2020 hingga 2024.
    • Kenderaan yang digunakan perlulah asli seperti spesifikasi yang dikeluarkan dari kilang dan tidak diubahsuai kecuali ia dibenarkan oleh penganjur. Ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada, penukaran rim dan saiz tayar, rupa dan perincian luaran, rupa dan perincian dalaman, enjin, transmisi, sistem ekzos dan pengambilan udara, serta komponen-komponen lain berkaitan.
    • Peserta perlu menyertakan gambar kereta yang jelas dan berwarna termasuk empat (4) sudut luaran (hadapan, belakang, kiri dan kanan) dan juga dua gambar dalaman iaitu pada bahagian kabin hadapan dan belakang.
    • Setiap kereta yang bertanding hanya boleh memuatkan dua orang iaitu seorang pemandu dan juga seorang penumpang berusia 18-tahun ke atas.
    • Kereta yang digunakan perlu menampilkan bahagian dalaman yang lengkap termasuk semua tempat duduk dan panel pintu, serta membawa tayar gantian di dalam but belakang.

    Bagi pemilik Almera Turbo yang berminat, anda boleh mendaftar sekarang secara atas talian dengan klik pada PAUTAN INI. Selepas mendaftar, tunggu panggilan telefon dari penganjur untuk mengesahkan penyertaan tersebut. Sejurus penyertaan disahkan, pantau peti masuk email yang telah anda berikan untuk menerima arahan pembayaran yuran penyertaan.

    Anda perlu membayar yuran penyertaan dengan cara yang ditunjuk dalam email berkenaan, dan kemudian menunggu balasan email dari penganjur yang akan menyertakan panduan pertandingan. Setelah lengkap semua ini, barulah anda hadir ke pertandingan pada tarikh yang ditetapkan.

    Bagi tujuan keselamatan, ETCM mengingatkan bahawa penganjur tidak akan berkomunikasi atau meminta informasi dari pemohon/peserta melalui aplikasi Whatsapp dan platform mesej lain. Penganjur juga tidak akan meminta nama pengguna atau kata laluan aplikasi perbankan menerusi panggilan telefon, email, aplikasi Whatsapp atau platform mesej lain.

    Jadi untuk pemilik Almera, jika benar-benar mahu menguji kemahiran pemanduan anda sambil berpeluang memenangi hadiah, kami ingatkan jangan lupa untuk mendaftar dengan klik pada PAUTAN INI!

     
     
  • BMW i5 Limited Edition 2024 Auto Bavaria — aksesori M Performance RM100k, 22 unit sahaja; RM450k

    BMW i5 Limited Edition 2024 Auto Bavaria — aksesori M Performance RM100k, 22 unit sahaja; RM450k

    Model edisi istimewa BMW, seperti 218i Gran Coupe Final Edition, turut dipamerkan ketika acara Auto Bavaria AutoFest di KL Base hujung minggu lalu. Antara model yang ada ialah BMW i5 Limited Edition, yang diberikan alatan kelengkapan M Performance bernilai lebih RM100,000 dan dijual dengan harga RM449,800.

    BMW i5 Limited Edition adalah eksklusif untuk Auto Bavarian, dan ia dibezakan dengan kelengkapan aksesori luaran dan dalaman yang diberikan. Di luar misalnya, model istimewa ini dilengkapi dengan splitter depan gentian karbon M Performance, perumah cermin sisi gentian karbon, skirting sisi M Performance, diffuser belakang M Performance, serta spoiler belakang gentian karbon M Performance.

    BMW i5 Limited Edition 2024 Auto Bavaria — aksesori M Performance RM100k, 22 unit sahaja; RM450k

    Rim juga berbeza dengan unit 21-inci Performance jejari bersilang Style 943 M dalam warna Frozen Midnight Grey dan tayar 255/35R21 di depan dan 285/30R21 di belakang — saiz yang sama dengan varian eDrive40 M Sport yang menjadi model asasnya.

    Kelengkapan M Performance lain turut dipasangkan di dalam untuk i5 Limited Edition ini, iaitu kemasan door sill gentian karbon M Performance. Untuk kabin, ciri selebihnya sama sahaja dengan varian eDrive40 M Sport yang ada ketika ini. Antara kelengkapannya termasuklah stereng M Sport tiga-jejari multi-fungsi serta kerusi balutan kulit.

    BMW i5 Limited Edition 2024 Auto Bavaria — aksesori M Performance RM100k, 22 unit sahaja; RM450k

    Ciri standard lain ialah BMW Curved Display yang menggabungkan panel instrumen 12-3-inci dengan paparan skrin sentuh 14.9-inci, serta BMW Interaction Bar. Sedan elektrik ini dipacu oleh motor elektrik di belakang yang menghasilkan 313 PS dan 400 Nm tork, yang boleh dinaikkan menjadi 340 PS dan 430 Nm tork ketika menggunakan My Mode Sport dan fungsi Sport Boost/Launch Control.

    Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam enam saat, dengan laju maksimum 193 km/j. Pek bateri pula menggunakan kapasiti 83.9 kWh yang diletak di bahagian lantai, dengan jarak WLTP sejauh 528 km. Untuk pengecasan, wallbox AC 11 kW memerlukan lapan jam 15 minit untuk satu cas penuh, sementara pengecas DC 205 kW memolehkan 10-80% dalam masa 34 minit.

     
     
  • BMW 218i Gran Coupe Final Edition — kemasan hitam berkilat, rim jejari-Y, pad pengecas; harga lebih RM5k

    BMW 218i Gran Coupe Final Edition — kemasan hitam berkilat, rim jejari-Y, pad pengecas; harga lebih RM5k

    BMW 218i Gran Coupe Final Edition yang diumumkan minggu lalu sempat dipertontonkan ketika Auto Bavaria AutoFest di KL Base hujung minggu lalu. Kami bawakan galeri penuh model berkenaan di sini.

    Menggunakan asas dari varian 218i GC M Sport sebelum ini, ia hadir dengan kelengkapan tambahan untuk penampilannya. Varian terbaru ini dijual pada harga RM223,800 (dengan jaminan standard dua-tahun) atas jalan tidak termasuk insurans. Jika inginkan jaminan lanjutan lima-tahun dan pakej servis, harganya ialah RM244,400.

    Berbanding 218i Gran Coupe M Sport biasa tersebut, ini melibatkan pertambahan sebanyak RM5,000 (dengan atau tanpa kos jaminan lanjutan dan pakej servis) untuk kelengkapan tambahan yang diberikan bagi Final Edition ini. Antara kelainannya ialah lanjutan bagi pakej M hitam berkilat Shadowline: kini dengan kemasan sama diberikan untuk bahagian gril dan muncung ekzos (asalnya kemasan krom). Rekaan bampar M Sport yang agresif juga digunakan untuk Final Edition ini.

    BMW 218i Gran Coupe Final Edition — kemasan hitam berkilat, rim jejari-Y, pad pengecas; harga lebih RM5k

    Selain itu, rim 18-inci Style 553 M dwi-warna yang ada untuk varian baru ini juga berbeza daripada Style 819 M untuk versi M Sport-nya. Di dalam, Final Edition ini menerima juga ciri pengecasan tanpa wayar serta sistem bunyi hi-fi dengan 10-pembesar suara, serta amplifier 205W.

    Ciri selebihnya sama sahaja untuk Final Edition dan M Sport, dengan kelengkapan standardnya termasuk pelapik bumbung anthracite, kerusi sport di depan, balutan kulit Dakota, kemasan dalaman “Illuminated Boston”, lampu utama LED (dengan bantuan lampu tinggi) serta lampu kabus, Comfort Access, kawalan pendingin dua zon, pakej Driving Assistant, pakej Parking Assistant serta BMW Live Cockpit Profesional dengan paparan 10.25-inci.

    BMW 218i Gran Coupe Final Edition — kemasan hitam berkilat, rim jejari-Y, pad pengecas; harga lebih RM5k

    Begitu juga dengan enjin, unit 1.5 liter turbocas tiga-silinder sebaris petrol kekal ada, menjana sebanyak 140 PS (138 hp atau 103 kW) dan 220 Nm tork. Ini digandingkan dengan transmisi klac berkembar Steptronic tujuh-kelajuan yang memacu roda depan. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.7 saat, dan laju maksimum 213 km/j.

    Pilihan warna pula ada tiga: Skyscraper Grey, Black Sapphire dan Alpine White, dengan kemasan kulit hitam dan perincian biru. Setiap pembelian datang dengan bantuan tepi jalan dan sokongan hotline kemalangan dan juga BMW Service Online.

     
     
  • Pengusaha bas persiaran dan bas ekspres terkesan dengan kenaikkan diesel, kos naik 15 hingga 30%

    Pengusaha bas persiaran dan bas ekspres terkesan dengan kenaikkan diesel, kos naik 15 hingga 30%

    Bukan semua kenderaan pengangkutan diberikan subsidi bahan api diesel menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0. Antara yang tidak tersenarai menerima bantuan tersebut dan terpaksa membayar harga diesel RM3.35 seliter selepas penyasaran subsidi bahan api tersebut dimulakan oleh kerajaan bermula 10 Jun lalu adalah bas persiaran.

    Menurut presiden Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia Steven Chong dalam laporan The Star, ini telah menyebabkan kesemua 150 ahlinya terjejas keranan kos operasi yang meningkat sebanyak 30%.

    “Selain daripada harga diesel yang diapungkan, kami perlu membayar semua jenis perbelanjaan seperti penyelenggaraan bas, bil, gaji, alat ganti dan kini kita perlu membayar cukai perkhidmatan sebanyak 8%. Pengusaha tidak mampu untuk menyerap harga,” kata Chong.

    Chong menyatakan bahawa pengusaha-pengusaha bas ini gusar akan kehilangan pelanggan kerana sebut harga pakej persiaran yang telah diberikan sebelum ini adalah berdasarkan harga diesel bersubsidi dengan kadar RM2.15 liter sebelum ini. “Dengan kadar baharu ini, ia pastinya lebih mahal, dan kami bimbang ejen tidak akan mengambil tawaran dari kami,” tambahnya.

    Pengusaha bas persiaran dan bas ekspres terkesan dengan kenaikkan diesel, kos naik 15 hingga 30%

    Memorandum berkenaan harga bahan api juga telah diserahkan kepada menteri pelancongan, seni dan budaya semalam, dan memorandum tersebut menyatakan bahawa persatuan itu menerima “ribuan panggilan telefon” daripada pengusaha bas persiaran berikutan kadar diesel baharu RM3.35 setiap liter yang perlu dibayar oleh pengendali perkhidmatan bas, kata Chong dan menambah bahawa kos tambahan itu terpaksa diserap dan sebut harga harga asal tidak boleh ditarik balik.

    Presiden Persekutuan Pelancongan Malaysia Datuk Tan Kok Liang pula menjangkakan kenaikan 27% dalam kos perkhidmatan pelancongan di Semenanjung Malaysia. Namun menurutnya pengusaha pelancongan akan mematuhi kadar yang disediakan untuk komitmen yang telah ditandatangani sebelum ini. “Kita perlu menghormati komitmen yang dibuat, tetapi ia akan menyaksikan kita kehilangan wang,” katanya dan menggesa kerajaan supaya mempunyai tempoh tangguh selama 12 bulan untuk industri pelancongan menyesuaikan kadar mereka.

    Manakala Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia Nigel Wong pula merayu agar kenderaan berkuasa diesel dalam sektor pelancongan dimasukkan dalam senarai kenderaan skim sistem kawalan diesel bersubsidi (SKDS). “Jika ada ruang untuk bernafas pasti akan membantu,” kata Wong, sambil menambah bahawa mereka telah meminta untuk bertemu dengan kementerian perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup (KPDN).

    Perkhidmatan bas ekspres juga bakal terkesan dengan penyasaran subsidi diesel ini kerana walaupun tersenarai dalam SKDS 1.0, pengusaha diberikan kouta terhad terhadap diesel yang boleh dibeli pada harga RM1.88 seliter.

    Pengusaha bas persiaran dan bas ekspres terkesan dengan kenaikkan diesel, kos naik 15 hingga 30%

    “Kuota untuk bas ekspres telah ditetapkan pada 2,880 liter sebulan, yang hanya cukup sekitar 15 hari,” kata Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali.

    Dalam perkembangan sama, menteri pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menyatakan bahawa pengusaha bas ekspres tidak sepatutnya menaikkan kadar tambang kerana subsidi diesel terus diberikan menerusi kad fleet diesel bersubsidi di bawah SKDS.

    “…tidak sepatutnya berlaku (kenaikan tambang), subsidi diesel terus diberikan kepada pengusaha bas ekspres dan bas sekolah.

    “Mereka tidak terkesan dari segi kenaikan harga diesel sebab pengusaha bas sekolah, bas ekspres ini sudah sedia terima subsidi. Jadi apa yang mendorong mereka menaikkan harga tambang,” kata Loke dalam laporan Bernama bagi mengulas khabar angin berkaitan kemungkinan berlaku kenaikan tambang bas ekspres, bas sekolah dan bas persiaran susulan pengumuman kenaikan harga diesel.

    Pengusaha bas persiaran dan bas ekspres terkesan dengan kenaikkan diesel, kos naik 15 hingga 30%

    Beliau turut menambah kadar tambang bas ekspres tidak boleh dinaikkan sesuka hati kerana ia adalah di bawah seliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

    “Bagi bas sekolah, kita tidak kawal harganya cuma kita galakkan perbincangan antara pengusaha bas sekolah dengan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

    “Bas persiaran pula adalah untuk kegunaan pelancong asing dan bagi tujuan pelancongan bukannya kegunaan harian, jadi tidak ada subsidi untuk sektor pelancongan.

    “Kos pelancongan di negara kita memang cukup kompetitif, mungkin ada sedikit kenaikan kos untuk pelancong asing namun saya rasa ia boleh diterima mereka,” katanya lagi.

     
     
  • Kerajaan teliti cadangan masukkan lebih banyak jenis kenderaan untuk subsidi diesel bawah SKDS – KPDN

    Kerajaan teliti cadangan masukkan lebih banyak jenis kenderaan untuk subsidi diesel bawah SKDS – KPDN

    Setakat ini terdapat 33 jenis kenderaan pengangkutan darat yang dinyatakan layak untuk mendapat subsidi diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 dan 2.0. Ini termasuk bas ekspres, bas sekolah, lori kargo am, lori minuman botol, lori peti sejuk, lori luton, van berpanel/tingkap serta lori penggerak utama (prime mover).

    Walaubagaimanapun, kementerian perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup (KPDN) memberitahu ia sedang mengkaji kemungkinan menambah lebih banyak jenis kenderaan dalam senarai tersebut. Ini berlaku setelah pelbagai pihak menghantar permohonan dan rayuan berkaitan penambah baikan SKDS selepas harga diesel diapungkan kepada RM3.35 seliter Isnin lalu – lapor Bernama.

    “Antara cadangan lain yang diterima adalah seperti menaikkan kuota asas sedia ada sekarang di bawah SKDS 1.0 untuk jenis kenderaan pengangkutan awam seperti bas sekolah dan bas ekspres,” kata menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali.

    Kerajaan teliti cadangan masukkan lebih banyak jenis kenderaan untuk subsidi diesel bawah SKDS – KPDN

    “Kementerian sedang meneliti semua ini, dan ia akan diangkat segera untuk pertimbangan jawatankuasa kelulusan subsidi diesel yang dianggotai oleh KPDN, kementerian kewangan (MOF), kementerian pengangkutan, jabatan pengangkutan jalan (JPJ), agensi pengangkutan awam darat dan jabatan kastam diraja malaysia (JKDM),” kata Armizan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Pengumuman oleh KPDN ini muncul selepas beberapa laporan berita menyatakan ada sektor perniagaan berkaitan pengangkutan darat akan menaikkan harga kerana tidak termasuk dalam senarai kenderaan yang layak untuk subsidi diesel. Ini antaranya termasuk trak tunda serta pengendali bas peranginan.

     
     
  • BAIC BJ30, BJ60 tiba di M’sia pada 2025 – tiada rancangan untuk EV; hibrid, PHEV dipertimbangkan

    BAIC BJ30, BJ60 tiba di M’sia pada 2025 – tiada rancangan untuk EV; hibrid, PHEV dipertimbangkan

    BAIC yang membuat kemunculan di Malaysia dengan memperkenalkan model X55 dan BJ40 baru-baru ini, dikatakan bakal memperkenalkan dua lagi model SUV ala-off-road baharunya di pasaran tempatan pada tahun hadapan.

    Bercakap pada sidang media baru-baru ini, Pengarah Urusan BAIC Malaysia Lee FY berkata, BJ30 dan BJ60 dijangka akan dilancarkan pada tahun depan, menyertai model BJ40 Plus, walau bagaimana pun perinciannya masih belum didedahkan. BJ30 terkini telah dilancarkan di China pada awal tahun ini, menggantikan model asalnya yang telah pun dikeluarkan sejak 2015.

    Walau pun kononnya ia SUV kompak, namun BJ30 baharu ini lebih luas, dengan 4,730 mm panjang, malah lebih panjang berbanding Honda CR-V. Ia juga ditampilkan dengan gaya yang lebih moden, bersama rekaan ala 4×4 iras-iras Ford Bronco dan Land Rover Defender.

    Bahagian dalamnya juga nampak gayanya tampil moden, termasuk skrin sesentuh infotainmen dengan skrin sebesar 14.5-inci yang dioperasikan oleh prosesor automotif Qualcomm Snapdragon 8155. BJ30 ini juga dikatakan sesuai menjadi ‘camping SUV’, dan mampu membawa kapasiti kargo hingga 1.496 liter dengan tempat duduk belakang dibaringkan, serta mempunyai fungsi vehicle-to-load (V2L) dan tempat duduk hadapan yang boleh dibaringkan dengan satu-sentuhan.

    Pembeli mempunyai dua pilihan penjana kuasa, kedua-duanya dnegan unit yang sama iaitu 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder, sama seperti X55. Model petrol mampu menghasilkan 188 PS dan tork 305 Nm, dengan kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac basah tujuh-kelajuan. Sementara versi hibrid pula dengan gandingan penjana kuasa 158 PS/235 Nm, motor elektrik 177 PS/315 Nm dan dedicated hybrid transmission (DHT) dua-kelajuan, bersama pilihan pacuan semua-roda dengan motor belakang 75 PS/135 Nm.

    BAIC BJ30, BJ60 tiba di M’sia pada 2025 – tiada rancangan untuk EV; hibrid, PHEV dipertimbangkan

    Satu lagi model yang bakal diperkenalkan di sini ialah BJ60, SIV bersaiz besar berukuran 5,040 mm panjang, bahkan lebih panjang berbanding Toyota Land Cruiser J3000. Diperkenalkan pada tahun 2022, SUV ini tampil dengan gril lima-port yang lebih kurang sama dengan BJ40 dengan kemasan berbentuk-U (disambungkan dengan lampu utama), dipadankan dengan badan tinggi dan berkotak, diserlahkan lagi dengan fender flare dan tayar simpanan yang diletakkan di bahagian luar belakangnya.

    Di dalamnya, kelihatan papan pemuka dan konsol tengah yang besar, bersama corong udara segi empat tepat dan skrin sesentuh ‘freestanding’ tengah 12.8-inci. Ciri pilihan lain termasuk sistem bunyi Infinity dengan 12-pembesar suara dan tujuh-tempat duduk.

    Kuasanya pula disalurkan dari unit 2.0 liter turbo yang dipadankan dengan sistem hibrid ringkas 48-voltan, sekaligus memberikan output hingga 266 PS dan tork 406 Nm. Selain itu, penjana kuasa lain yang turut diberikan sebagai pilihan ialah 2.9 liter turbodiesel dengan 163 PS/400 Nm, tapi disebabkan harga diesel yang dinaikkan baru-baru ini, kemungkinan besar ia tidak akan ditawarkan di pasaran kita. Selain itu, kotak gear automatik lapan-kelajuan dan pacuan empat-roda separa masa turut diberikan secara standard.

    Walaupun langkah ke arah elektrifikasi di kalangan pembuat kereta China giat berjalan, namun Lee memberitahu kami bahawa BAIC Malaysia pada masa ini tidak bercadang untuk membawa mana-mana kereta elektrik ke negara ini. Dia berkata bahawa kekurangan infrastruktur pengecasan awam, terutamanya apabila ia berkaitan dengan pengecas pantas DC menjadi antara penyebabnya. Walau bagaimanapun, syarikat ini sedang mempertimbangkan model hibrid dan plug-in hybrid (PHEV) kerana ia lebih sesuai dengan gaya hidup di sini.

    GALERI: BAIC BJ30

    GALERI: BAIC BJ60

     
     
  • Kerajaan akan salurkan semula penjimatan daripada subsidi diesel kepada STR, pengangkutan awam – PM

    Kerajaan akan salurkan semula penjimatan daripada subsidi diesel kepada STR, pengangkutan awam – PM

    Penjimatan sebanyak RM4 bilion yang diperoleh daripada penghapusan subsidi pukal untuk diesel akan disalurkan semula kepada rakyat, khususnya melalui penambah baikan pengangkutan awam serta program Sumbangan Tunai Rahmah, kata perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Penjimatan (daripada subsidi diesel bersasar) ini akan memberi sokongan kepada keperluan pengangkutan awam. Bayangkan STR kita untuk sembilan juta orang, dalam bentuk subsidi tunai terus, itu RM10 bilion. Wang (penjimatan) itu bukan untuk naikkan elaun menteri ataupun kepentingan lain, saya tumpukan hal ini,” kata beliau.

    Sementara sedar langkah kepada subsidi bersasar ini tidak digemari ramai, PM memberitahu beliau akan terus melakukan yang terbaik untuk negara, meskipun dikritik, sambil menyatakan bahawa beliau mahu membuktikan bahawa bukan semua ahli politik perompak, sombong dan mempergunakan rakyat, lapor Bernama.

    Kerajaan akan salurkan semula penjimatan daripada subsidi diesel kepada STR, pengangkutan awam – PM

    Anwar menegaskan bahawa subsidi diesel dilaksanakan untuk memastikan ia tidak memberi manfaat kepada golongan maha kaya dan orang luar. “Saya memberitahu kabinet, kita perlu membuat keputusan yang wajar, kita mesti membantu rakyat majoriti,” kata beliau.

    “Kita tidak sepatutnya menyediakan subsidi kepada golongan maha kaya, industri besar serta warga asing. Ini bukan diskriminasi kepada warga asing kerana mereka tidak membayar cukai, caruman (yang mereka bayar) pula adalah sangat sedikit. Tanggungjawab utama kami adalah kepada rakyat,” tambah Anwar.

     
     
  • UMW Toyota jual 8,422 unit kenderaan bagi Mei 2024; catat jualan keseluruhan 39.2k unit setakat ini

    UMW Toyota jual 8,422 unit kenderaan bagi Mei 2024; catat jualan keseluruhan 39.2k unit setakat ini

    UMW Toyota Motor (UMWT) menutup bulan Mei 2024 dengan jualan sebanyak 8,422 unit kenderaan, termasuk dari jenama Lexus. Bagi angka 2024 setakat ini, Toyota mencatatkan sebanyak 39,211 unit terjual. Untuk rekod, jualan pada April lalu yang dicatatkan ialah 7,345 unit.

    “Prestasi baik sepanjang bulan Mei mencerminkan kesungguhan kami untuk memberikan perkhidmatan dan produk cemerlang yang memenuhi keperluan pelanggan kami. Kejayaan program komuniti juga memperkukuh kesungguhan kami terhadap kemapanan alam sekitar serta tanggungjawab sosial, sekaligus memperkukuh juga peranan kami sebagai pelopor industri automotif yang meliputi falsafah “Move Your World” kami,” jelas Presiden UMWT, Datuk Ravindran K.

    Antara aktiviti utama yang dijalankan bulan lalu ialah program Toyota Eco Youth (TEY) ke-23, yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. Program peringkat kebangsaan ini memberdayakan pelajar dari usia 13 hingga 17 tahun dari 16 buah sekolah, dengan memberi tumpuan kepada Kaedah Penyelesaian Masalah 8 Langkah Toyota untuk mempromosi pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah.

    UMW Toyota jual 8,422 unit kenderaan bagi Mei 2024; catat jualan keseluruhan 39.2k unit setakat ini

    Sejak pengenalannya pada 2001, TEY telah melibatkan seramai 300,000 pelajar dari 521 sekolah, dan memupuk kebertanggungjawaban terhadap alam sekitar dalam kalangan generasi muda. Bagi TEY 2024/2025, hadiah wang tunai yang tersedia berjumlah RM80,000 dan itu menjadi insentif terhadap penyelesaian inovatif yang selari dengan pelan tindakan alam sekitar UMWT untuk mencapai sifar pembebasan CO2 menjelang 2050.

    UMWT turut mengumumkan edisi ketiga bagi acara Toyota Start Your Impossible Outrun 2024, sebuah acara larian kebajikan yang disasarkan untuk meningkatkan kesedaran terhadap barah. Bakal berlangsung di Dataran Merdeka bulan ini, acara tahunan itu menyokong Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia. Larian tersebut terdiri daripada beberapa kategori, termasuk perlumbaan dengan hadiah keseluruhan RM50,000.

    Selain itu, UMWT juga memperkenalkan promosi “Peace of Mind” sepanjang Jun 2024, menawarkan pelanggan sehingga 100% pembiayaan untuk model terpilih. Promosi penjimatan sehingga RM7,500 juga diberikan untuk Yaris terkini, serta ansuran bulanan bermula dari RM688 untuk Vios.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025