Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Lebih 9,000 EV didaftarkan di Malaysia pada 2023 sahaja, kini lebih 12,000 EV berdaftar sejak 2011

    Lebih 9,000 EV didaftarkan di Malaysia pada 2023 sahaja, kini lebih 12,000 EV berdaftar sejak 2011

    Jualan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia terus mencatatkan momentum yang positif sehingga akhir tahun 2023, ujar Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Tambahnya, Malaysia telah merekodkan lebih 100,000 EV berdaftar setakat ini, laporan Bernama.

    “Lebih 12,000 kenderaan elektrik bateri (BEV) telah didaftarkan sejak 2011 dengan jumlah BEV yang didaftarkan tahun ini sahaja melebihi 9,000 unit,” kata Zafrul dalam ucapannya. Beliau turut percaya bahawa EV akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan eksport industri pembuatan Malaysia.

    “Sektor produk elektrik dan elektronik (E&E), yang merupakan sebahagian besar rantaian bekalan dalam sektor EV, menyumbang 40% daripada 80% eksport Malaysia daripada sektor pembuatan. Oleh itu, terdapat banyak potensi dalam kenderaan generasi baharu di mana lebih banyak komponen diperlukan dalam satu kereta.

    “Apabila anda melihat [kenderaan elektrik], [jumlah cip] boleh meningkat kepada sekurang-kurangnya 3,000 cip untuk satu kereta, dan cip ini datang daripada sektor E&E,” kata Zafrul.

    Dari segi jualan kenderaan elektrik, angka yang disebut di atas iaitu lebih daripada 9,000 unit setakat tahun ini adalah lonjakan besar melebihi 2,631 unit yang dijual pada tahun lepas, yang mana ia juga menunjukkan peningkatan 860% berbanding 274 unit yang dijual di Malaysia pada 2021.

     
     
  • JPJ siar siri 4 kempen panggil balik model kenderaan terlibat – Audi, Kia, Mercedes, Volkswagen, Yamaha

    JPJ siar siri 4 kempen panggil balik model kenderaan terlibat – Audi, Kia, Mercedes, Volkswagen, Yamaha

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyiarkan siri 4/2023 bagi kempen panggil balik (product recall) beberapa model kenderaan yang terlibat oleh syarikat pengeluar. Menurut JPJ, untuk siri kali ini, pihaknya menyenaraikan model kenderaan yang terlibat berdasarkan kepada rekod yang diterima. Sebelum ini, JPJ pernah membuat hebahan bagi siri 3/2023 pada September lalu.

    Jenama kenderaan dan model yang terlibat untuk 4/2023 kali ini adalah seperti senarai di bawah – sila klik nama jenama berkenaan untuk pautan bagi perincian panggilan balik ini:

    Audi

    Mercedes-Benz

    Kia

    JPJ siar siri 4 kempen panggil balik model kenderaan terlibat – Audi, Kia, Mercedes, Volkswagen, Yamaha

    Volkswagen

    • Eos (1F) 2010-2011 – 117 unit
    • Golf Mk6 (1K) 2011 – 1,757 unit
    • Passat CC (3C) 2010 – 338 unit
    • Polo Sedan/Vento (60) 2013 – 344 unit
    • Polo (6R) 2010-2013 – 246 unit

    Yamaha

    • MT-09 (November 2021 – October 2023) – 1,329 unit
    • MT-09 Tracer 9 GT (November 2021 – September 2023) – 995 unit

     
     
  • Harga minyak 14-20 Dis – Masih tiada perubahan

    Harga minyak 14-20 Dis – Masih tiada perubahan

    Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan untuk minggu bertarikh 14 hingga 20 Disember 2023, harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel dikekalkan.

    Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan sebanyak 10 sen seliter pada 20 September lalu.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 27 November lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, memaklumkan bahawa kerajaan bersedia untuk memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar bagi petrol RON 95 pada separuh kedua 2024. Rafizi turut berkata, kerajaan mengambil masa untuk melaksanakan program subsidi bersasar bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar. “Adalah dijangkakan akan ada ketidakpuasan dan masalah sebaik ia dilaksanakan, tetapi kerajaan tidak akan membuat pusingan ‘U’ apabila ia dilaksanakan,” katanya.

     
     
  • Pemandu Ranger langgar empat beranak tunggang motosikal mengaku bersalah, didenda RM6,000

    Pemandu Ranger langgar empat beranak tunggang motosikal mengaku bersalah, didenda RM6,000

    Pemandu trak pikap Ford Ranger dalam satu video tular yang melanggar sebuah motosikal ditunggang empat beranak semalam sudahpun dikenakan tindakan oleh Mahkamah Trafik Jalan Duta hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, pemandu trak pikap yang berumur 22 tahun berkenaan telah dituduh di mahkamah tersebut hari ini di bawah Seksyen 43 (1) APJ 1987 (memandu tanpa kecermatan dan tidak bertimbang rasa terhadap orang lain).

    Tertuduh walau bagaimanapun terus mengaku bersalah dan dikenakan hukuman sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin warganegara. Kesalahan ini direkodkan pada lesen memandunya, dan sekiranya denda gagal dibayar, pemandu berkenaan akan dipenjara selama empat bulan.

    Terdahulu tular video berdurasi 1 minit lapan saat, memaparkan sebuah Ford Ranger yang secara tiba-tiba keluar ke susur lebuhraya dan menghimpit sebuah motosikal yang dinaiki oleh empat beranak. Kejadian tersebut berlaku di Lebuhraya Besraya dari arah Sungai Besi ke Balakong pada 12.30 tengah hari 12 Disember 2023.

    Pemandu Ranger langgar empat beranak tunggang motosikal mengaku bersalah, didenda RM6,000

    Hasil siasatan polis mendapati kesemua mangsa berusia lima hingga 34 tahun cedera ringan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Serdang.

    Dalam laporan Sinar Harian, pemandu Ford Ranger yang juga seorang pereka grafik bernama Mohammad Harith Ismail berkenaan menyatakan bahawa dia melakukan kesalahan itu secara tidak sengaja dan tidak biasa dengan jalan tersebut kerana bukan orang tempatan.

    “Saya juga tidak melarikan diri atau meninggalkan mangsa di situ, sebaliknya terus hantar mereka ke hospital bersama saksi,” katanya. Majistret Fatin Dayana Jalil kemudiannya menasihati Harith supaya lebih berhati-hati dan berwaspada semasa memandu.

     
     
  • Juara WRC 2023, Toyota Gazoo Racing tunjuk livery perlumbaan baru; GR Yaris Rally1 warna hitam matte!

    Juara WRC 2023, Toyota Gazoo Racing tunjuk livery perlumbaan baru; GR Yaris Rally1 warna hitam <em>matte</em>!

    Juara kategori pengeluar dan juga pemandu bagi Kejohanan Rali Dunia 2023, Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR-WRT) telah pun mendedahkan livery perlumbaan pada GR Yaris Rally1 yang bakal digunakan pada musim hadapan – berbanding warna rasmi Gazoo Racing merah-putih hitam yang digunakan sebelum ini, untuk 2024 jentera berkenaan tampil dengan warna badan hitam matte!

    Menurut Toyota rupa baharu ini dihasilkan dari dua konsep; Pertama adalah “kelajuan” yang melambangkan semangat “tidak suka kekalahan” pasukan berkenaan, dan kedua adalah “prototaip” yang mewakili “untuk menghasilkan kereta dengan baka sukan permotoran dan sentiasa berevolusi”.

    Dengan undang-undang yang masih belum berubah, Toyota masih lagi menggunakan jentera GR Yaris Rally1 yang sama untuk WRC 2024. Ia dibina berasaskan kerangka space frame dan dijana enjin 1.6 liter turbo bersama restrictor berdiameter 36 mm bagi menghasilkan kuasa 380 hp

    Kesemua jentera Rally1 juga wajib menggunakan unit modul plug-in Hybrid yang dibangunkan oleh Compact Dynamics, menampilkan bateri lithium ion 3.9 kWj, motor elektrik (Motor Generator Unit atau MGU) berkuasa 100 kW (134 hp) dan tork 180 Nm, serta unit inverter dan unit pengurusan kuasa – kesemuanya diletakkan dalam perumah yang diperbuat dari gentian karbon.

    Motor elektrik berkenaan dihubungkan terus kepada gandar belakang; jadi pada masa-masa tertentu, GR Yaris ini dapat memecut dengan kuasa penuh sekitar 500 hp. Kuasa ‘boost’ dari sistem hibrid elektrik berkenaan dikawal oleh kotak komputer yang telah diselarikan dengan talaan kotak komputer unit pengurasan enjin pembakaran dalaman.

    Untuk musim depan TGR-WRT sudahpun mengesahkan pemandu dari Wales, Elfyn Evans akan bertindak sebagai pemandu utama, dan pemandu Jepun Takamoto Katsuta akan mengemudi jentera kedua pasukan berkenaan. Manakala juara dunia 2022 dan 2023, Kalle Rovanpera pula hanya akan memandu secara separa masa kerana mahu berehat selepas memulakan kariernya sebagai pemandu rali sejak berumur 10 tahun.

    Oleh itu Rovanpera akan memandu jentera ketiga TGR-WRT, berkongsi tempat dengan juara WRC lapan kali Sebastien Ogier yang sudahpun dua musim berlumba secara separa masa dengan pasukan tersebut. Pasukan ini akan terus diketuai oleh bekas pemandu WRC Finland, Jari-Matti Latvala yang menyandang tugas sebagai Prinsipal pasukan.

     
     
  • Red Star Box1 dilancar di China — van panel EV, 81 PS, laju maksimum 90 km/j; tiba di Malaysia Q3 2024

    Red Star Box1 dilancar di China — van panel EV, 81 PS, laju maksimum 90 km/j; tiba di Malaysia Q3 2024

    Sekali pandang, ada iras Tesla Cybertruck? Ini adalah model Red Star Box1, sebuah van panel EV satu tan, yang baru sahaja diperkenalkan di China, seperti dilaporkan oleh portal iNews.

    Model Red Star Box1 ini dikeluarkan oleh syarikat kenderaan China, Hebei HongXing Automobile dan merupakan sebuah van panel dengan penggayaan berkotak dan permukaan rata, yang pendekatannya itu mengingatkan kita kepada model trak pikap Tesla tersebut.

    Model ini menggunakan sebuah motor elektrik daripada Wolong ZF dan bateri lithium-iron phosphate yang tidak dinyatakan kapasitinya. Output motor pula ialah 60 kW, atau 81 PS, dan membolehkan van Box1 ini bergerak hingga kelajuan maksimum 90 km/j.

    Untuk ukuran luaran, van ini mempunyai dimensi 4,690 mm panjang, 1,780 mm lebar dan 1,995 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,690 mm. Ruang karga di dalam pula mempunyai ukuran 2,970 mm panjang, 1,645 mm lebar dan 1,290 mm tinggi, dengan kemampuan menampung beban sehingga 1,350 kg.

    Berdasarkan gambar yang ada, Box1 datang dengan ciri pintu yang boleh dibuka sepenuhnya hingga mencecah panel badan bagi memudahkan urusan mengangkut dan menurunkan barang. Di sini pula ada pintu terpisah yang boleh dibuka menegak dan ke bawah, dengan memanfaatkan strut untuk mengekalkan bukaannya.

    Lebih menarik, menurut Pengarah Eksekutif Go Auto, Datuk Azli Nasimuddin menerusi hantaran di LinkedIn-nya, model ini akan dibawa masuk ke Malaysia, dijangka suku ketiga 2024 kelak. Rasa-rasa van ini akan mendapat sambutan di sini?

     
     
  • Perkhidmatan Komuter Lembah Klang dan ETS terjejas akibat kren tumbang di KM355.749 Rawang-Kuang

    Perkhidmatan Komuter Lembah Klang dan ETS terjejas akibat kren tumbang di KM355.749 Rawang-Kuang

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengumumkan perkhidmatan Komuter Lembah Klang dan Tren Elektrik (ETS) masih terjejas sejak lewat petang semalam akibat sebuah kren binaan condong dan tumbang di atas landasan kereta api di KM355.749, antara Rawang dan Kuang serta menyebabkan alat talian atas (overhead line) terputus.

    Kren binaan tersebut digunakan untuk pembinaan projek parkir bertingkat Perbadanan Aset Keretapi (RAC) didapati mendap di kawasan pembinaan, mengakibatkan kren tersebut condong dan tumbang di atas landasan terbabit.

    Insiden tersebut turut menyebabkan perkhidmatan ETS dan KTM Komuter Lembah Klang laluan KL Sentral – Tanjung Malim – KL Sentral mengalami gangguan perkhidmatan dan kelewatan daripada jadual asal melebihi dua jam.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, KTMB berkata perkhidmatan tren yang terjejas adalah KTM Komuter laluan KL Sentral – Tg Malim yang ditamatkan di Stesen Sungai Buloh manakala laluan Tanjung Malim – KL Sentral ditamatkan di stesen Serendah. Penumpang dibawa menaiki bas perantaraan yang disediakan di antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Serendah.

    Perkhidmatan Komuter Lembah Klang dan ETS terjejas akibat kren tumbang di KM355.749 Rawang-Kuang

    Manakala bagi perkhidmatan ETS laluan Padang Besar – Gemas, tren ditamatkan di Stesen Tanjung Malim dan penumpang dibawa menaiki bas perantara yang disediakan dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Sungai Buloh bagi meneruskan perjalanan ke KL Sentral dan Gemas dengan menaiki tren.

    “Untuk ETS bagi laluan Gemas – KL Sentral – Butterworth dan Gemas – KL Sentral – Padang Besar pula, penumpang diaturkan menaiki tren ETS dari KL Sentral ke Stesen Sungai Buloh dan seterusnya dibawa menaiki bas ke Stesen Tanjung Malim untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing, dengan menaiki tren di laluan yang tidak terjejas.

    “Sepanjang gangguan perkhidmatan ini, kakitangan dan anggota Polis Bantuan telah ditempatkan di stesen terbabit bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang yang terjejas,” kata KTMB.

    Perkhidmatan Komuter Lembah Klang dan ETS terjejas akibat kren tumbang di KM355.749 Rawang-Kuang

    CEO KTMB Datuk Mohd. Rani Hisham Samsudin pula berkata, sekiranya ada penumpang yang memutuskan untuk tidak meneruskan perjalanan dengan KTMB boleh menghubungi pengurusan bagi mendapatkan semula pemulangan tambang tiket melalui KTMB-wallet.

    “Akibat insiden itu, seramai lebih 10,000 pengguna ETS dan KTM Komuter terjejas semalam manakala kami jangkakan lebih 30,000 lagi pengguna turut terjejas hari ini kerana proses membaikpulih masih lagi dijalankan.

    “Kerja membaikpulih sedang giat dilaksanakan bagi pemasangan kabel terputus, penggantian komponen rosak dan proses pengujian bekalan elektrik di lokasi terjejas sebelum kembali beroperasi seperti sedia kala. Kita jangkakan semua proses tersebut siap dalam jangka masa 24 dari sekarang,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

    Para pengguna yang terlibat juga boleh mendapatkan info semasa melalui mediasosial rasmi KTMB dan juga daripada kakitangan KTMB yang bertugas di stesen. Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari media sosial rasmi KTMB,

     
     
  • UMWT catat jualan melebihi 10k unit kenderaan bagi November 2023 — YTD naik sebanyak 7.8%

    UMWT catat jualan melebihi 10k unit kenderaan bagi November 2023 — YTD naik sebanyak 7.8%

    Sepanjang bulan November 2023, UMW Toyota Motor telah menjual sejumlah 10,263 unit kenderaan, terdiri daripada 10,020 unit kenderaan jenama Toyota dan 243 unit jenama Lexus. Ini menjadikan jumlah jualan semasa tahunan setakat November 2023 syarikat itu ialah 97,705 unit, atau 7.8% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu (YTD).

    Menurut Toyota, dalam usaha untuk memperkaya capaian dan mempertingkat khidmat pelanggan, syarikat itu juga mengalu-alukan dua cawangan pengedar di Kota Kinabalu, Sabah. Yang pertama ialah penempatan semula cawangan 1S di Putatan yang dikendalikan oleh Harapan Menang, yang telah menjadi pengedar UMWT sejak 2003. Kedua pula ialah perluasan cawangan 3S di Penampang, yang dikendalikan oleh Armada KK Automobile. Dengan 18 ruang servis, pelanggan boleh menikmati servis dalam kadar yang lebih singkat.

    “Memastikan kepuasan pelanggan berada di tahap tertinggi adalah misi UMWT. Kami percaya yang setiap interaksi perlu melebihi jangkaan pelanggan, dalam cara yang bermanfaat kepada pelanggan. Komitmen kami untuk mempertingkat khidmat pelanggan adalah bertujuan untuk mewujudkan hubungan berterusan bersama mereka,” ujar Presiden UMWT, Datuk Ravindran K.

    Toyota juga berhasil meraih pencapaian memberangsangkan dalam perlumbaan dengan kedudukan penamat petak pertama dan kedua dalam perlumbaan endurans Sepang 1,000 km. Baru dalam penyertaan tahun kedua, Vios dan Yaris Toyota Gazoo Racing Malaysia menduduki dua tangga teratas, dengan Tengku Djan Ley bersama Naquib Azlan memandu Vios #37 dan mengungguli perlumbaan.

    Untuk kempen hujung tahun pula, “Drive into the New Year with Toyota” menawarkan pembiayaan 100% bagi model terpilih, disertai promosi sehingga RM15,000 untuk keseluruhan barisan 13 model Toyota sedia ada. Program penyelenggaraan Toyota Service Savers dengan ansuran bulanan serendah RM18 juga tersedia.

     
     
  • Hayden Haikal intai peluang berlumba dalam kelas GT, bergantung keputusan perlumbaan di Thai minggu ini

    Hayden Haikal intai peluang berlumba dalam kelas GT, bergantung keputusan perlumbaan di Thai minggu ini

    Selepas menjadi juara keseluruhan Idemitsu Super Turbo Championship 2023 untuk kelas Junior di Thailand Jun lalu, pelumba touring car muda negara Hayden Haikal kini mempunyai satu lagi misi untuk dihabiskan untuk tahun ini iaitu melengkapkan Kejohanan Super Series Thailand dalam kelas Super Eco.

    Walaupun peluang untuk bergelar juara keseluruhan dilihat tipis, dua perlumbaan terakhir siri kejuaraan tersebut bagi musim 2023 yang diadakan di Litar Antarabangsa Chang pada 14 hingga 17 Disember ini adalah penting buat Hayden, bagi membuka peluang buatnya untuk bertanding dalam kelas lebih tinggi pada masa akan datang.

    Buat masa sekarang Hayden merupakan satu-satunya pelumba Malaysia yang bertanding secara sepenuh musim dalam dua siri serentak di Thailand. Dia mula berlumba di negara berkenaan pada tahun lalu, dan berjaya bergelar naib juara keseluruhan Super Series Thailand dalam kelas Super Eco 2022 hanya dalam percubaan pertama.

    “Menduduki tempat kedua dalam Kelas Super Eco Siri Super Thailand 2022 dan memenangi Kejohanan Super Turbo Idemitsu tahun ini sudah tentu membantu menyerlahkan kebolehan dan peluang untuk saya di Thailand. Sasarannya adalah untuk berlumba pada peringkat lebih tinggi di Thailand bagi 2024 terutamanya untuk bersaing sama ada dalam kelas perlumbaan GT4 atau GT3 tetapi belum ada apa-apa keputusan muktamad buat masa ini,” kata pelumba yang baru sahaja berumur 19-tahun itu.

    Menurutnya lagi dengan berlumba di Malaysia dan Thailand tahun ini telah membantu mempercepatkan kemajuannya sebagai pelumba.

    “Standard perlumbaan dan tahap persaingan adalah sama di kedua-dua negara, tetapi di Thailand terdapat penekanan yang lebih besar untuk meminimumkan sentuhan antara kereta dan mengawal tahap agresif di litar. Anda boleh laju tetapi dalam masa yang sama anda perlu bersih. Perbezaan bahasa menjadi sedikit kekurangan tetapi pasukan dan saya akan mencuba pada tahap terbaik untuk mengatasinya pada setiap perlumbaan,” ujarnya lagi.

    Hayden juga menyatakan dengan pengalaman pertamanya berlumba sepenuh musim di Thailand sudah cukup baginya untuk bersedia membuat kemunculan sulung dalam kelas GT.

    “Ya, saya dah bersedia untuk naik lebih tinggi dan saya juga telah melengkapkan beberapa ujian walaupun dengan kereta GT lebih berusia bagi membiasakan diri saya dengan jentera. Ia merupakan mesin perlumbaan yang berbeza sepenuhnya tetapi sebaik sahaja anda membiasakan diri dengan keupayaan teknikalnya, anda belajar untuk tidak takut dengan kuasa.”

    Untuk musim 2023 ini Hayden berlumba dengan pasukan baharu iaitu Pipekids Racing. Pasukan tersebut tidak mensasarkan Hayden untuk menjadi juara dalam kejohanan tersebut, sebaliknya dia lebih bertindak sebagai pelumba pembangunan bagi mempertingkatkan jentera baharu pasukan tersebut iaitu sedan segmen-A Honda Brio Amaze.

    Hayden menghabiskan perlumbaan pada kedudukan kelima dan keenam pada dua perlumbaan pusingan pertama, dan kemudian mencatatkan keputusan lebih baik iaitu kedua dan keempat untuk perlumbaan di pusingan kedua. Tetapi kerana masalah mekanikal pada kereta, Hayden hanya mampu menamatkan perlumbaan pusingan ketiga pada kedudukan ke-12 dan ke-20.

    Ini menyebabkan Hayden hilang peluang untuk merebut gelaran juara keseluruhan pada pusingan keempat nanti, namun dia masih berpeluang untuk mengulangi prestasi tahun lalu iaitu untuk bergelar naib juara.

    Hayden Haikal intai peluang berlumba dalam kelas GT, bergantung keputusan perlumbaan di Thai minggu ini

    “Kami adalah pasukan baharu dan amat menyeronokkan kerana dapat menjadi sebahagian daripada proses untuk membangunkan pasukan dan Honda Brio Amaze (sedan) dengan potensi sepenuhnya bagi menentang Suzuki Swift, Toyota Yaris serta Honda Brio (hatchback) yang penuh dalam grid. Kami telah belajar banyak sebagai satu pasukan dan semoga pengalaman tahun ini akan meletakkan Pipekids Racing pada kedudukan yang lebih kukuh untuk merebut kejuaraan pada 2024,” katanya.

    Hayden bermula dengan go-kart dan selepas itu mula berlumba dalam siri perlumbaan one make Toyota Gazoo Racing Vios Challenge ketika baru berusia 14-tahun, iaitu pelumba termuda yang bertanding dalam kejohanan berkenaan. Pada umur 16 tahun dia dinobatkan sebagai juara bagi kelas Sporting untuk pelumba-pelumba amatur, kemudian berjaya bergelar juara untuk kategori Super Sporting pada tahun berikutnya menewaskan pelumba-pelumba professional lain dalam negara.

    Sehingga kini Hayden sudahpun mempunyai pengalaman kompetitif selama enam tahun dalam perlumbaan touring car, dan pernah menaiki podium dalam perlumbaan endurance Sepang 1000KM, Malaysia Championship Series (MCS) dan siri Malaysia Speed Festival (MSF).

     
     
  • 1,203 aduan diselesaikan daripada 5,836 diterima menerusi aplikasi MyJalan setakat 6 Dis – KKR

    1,203 aduan diselesaikan daripada 5,836 diterima menerusi aplikasi MyJalan setakat 6 Dis – KKR

    Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menyelesaikan 1,203 aduan daripada 5,836 aduan yang diterima menerusi aplikasi MyJalan setakat 6 Disember 2023, laporan Bernama.

    Aplikasi MyJalan yang dilancarkan pada 24 Ogos tahun ini, telah menerima sejumlah 5,836 aduan setakat ini, manakala 1,532 daripadanya melibatkan jalan yang diselia oleh KKR, dan selebihnya adalah di bawah tanggungjawab pihak berwajib yang lain menurut Menteri KKR Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    Daripada 1,532 aduan untuk jalan seliaan KKR, aduan tertinggi melibatkan jalan berlubang iaitu sebanyak 523, sementara jalan rosak dan lampu jalan masing-masing dengan 289 aduan. Manakala aduan berkenaan lampu isyarat sebanyak 161, penandaan jalan (96), halangan (77), papan tanda (34), fasiliti awam (31), kelengkapan jalan (22) dan tanah runtuh (10).

    1,203 aduan diselesaikan daripada 5,836 diterima menerusi aplikasi MyJalan setakat 6 Dis – KKR

    MYJalan menerima semua jenis aduan jalan raya yang diselenggara KKR selaras prinsip ‘No Wrong Door Policy’ atau dasar menyalurkan maklumat supaya kerosakan jalan raya, lampu jalan dan lampu isyarat dapat dibaik pulih.

    Sebelum ini, Alexander berkata, “Kempen MYJalan dipilih sebagai inisiatif kerajaan dilaksanakan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memupuk rasa cinta kepada infrastruktur jalan raya yang lama menjadi nadi penggerak rakyat dan ekonomi.

    Aplikasi MYJalan dan advokasi penyenggaraan serta keselamatan jalan raya adalah pengisian utama Kempen MYJalan sebagai langkah memperkenal dan memberi kesedaran kepada rakyat untuk lebih prihatin terhadap aspek penjagaan jalan raya seluruh negara.

     
     
  • Dakwaan subsidi diesel dihapus pada 1 Januari 2024 berita palsu, ujian fleet card masih berjalan-KPDN

    Dakwaan subsidi diesel dihapus pada 1 Januari 2024 berita palsu, ujian fleet card masih berjalan-KPDN

    Baru-baru ini tular dalam media-media sosial satu notis yang memberitahu bahawa mulai 1 Januari 2024 pengguna yang mahu mengisi bahan api diesel tidak lagi menerima subsidi kerajaan kecuali untuk mereka yang mempunyai fleet card sahaja.

    Walau bagaimanapun dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) malam semalam menafikan dakwaan tersebut. Kementerian itu menegaskan apa yang sebenarnya berlaku adalah ia kini sedang melaksanakan projek rintis bagi melihat keberkesanan sistem fleet card dan Sistem MySubsidi Diesel, melibatkan enam syarikat yang menerima kuota bagi skid tank, yang akan tamat tempoh pada 14 Januari ini.

    KPDN turut menjelaskan bahawa projek rintis ini sama sekali tidak melibatkan pengguna kenderaan diesel individu.

    “Proses pengujian ini perlu dilaksanakan bagi melihat kecekapan sistem yang dibangunkan, agar ia benar-benar menepati spesifikasi dan matlamat penyasaran semula subsidi diesel, seperti mana yang dirancang.

    “KPDN berharap agar tidak ada mana-mana pihak menghebahkan sesuatu perkara yang tidak jelas dan boleh mengelirukan orang ramai,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu turut memaklumkan, sebarang pengumuman rasmi berhubung mekanisme pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel akan dibuat kementerian itu dan Kementerian Kewangan, setelah sesi libat urus dan jalanan ujian sistem fleet card dan Sistem MySubsidi Diesel, selesai dilaksanakan.

     
     
  • Asia Cross Country Rally kembali ke Malaysia untuk edisi 2024; Karamjit & Saladin ketuai pasukan negara!

    Asia Cross Country Rally kembali ke Malaysia untuk edisi 2024; Karamjit & Saladin ketuai pasukan negara!

    Belum lagi reda kehangatan Malaysian Rally Sprint 2023 yang berlangsung hujung minggu lalu, ini satu lagi berita peminat sukan rali dalam negara – perlumbaan rali rentas negara, Asia Cross Country Rally (AXCR) telah mengesahkan bahawa Malaysia akan menjadi sebahagian dari laluan rali berkenaan pada tahun hadapan, dan satu pasukan rali dari Malaysia juga bakal beraksi dalam perlumbaan itu!

    Ini bukan kali pertama Malaysia menjadi sebahagian dari laluan perlumbaan rali tersebut di mana kita merupakan antara negara pertama menyertai penganjurannya bermula pada edisi pertama pada 1996 sehingga tahun 2000. Kali terakhir Malaysia terlibat sebagai salah satu lokasi rali ini adalah 20-tahun lalu iaitu pada tahun 2003.

    AXCR merupakan rali rentas negara ala-Rali Dakar yang dilangsungkan merentas negara-negara Asia Tenggara dan diselia oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), menyajikan aksi off-road dengan cuaca panas dan lembab merentasi hutan dan kawasan pergunungan.

    Penganjuran rali ini terhenti seketika pada tahun 2020 kerana pandemik Covid-19. Ia kemudiannya disambung semula untuk edisi 2022, menyaksikan pasukan Mitsubishi Ralliart yang secara rasmi kembali berlumba dan memenangi rali dengan perjalanan keseluruhan 1,524 km itu bermula dari Buriram, Thailand dan berakhir di Angkor Wat, Kemboja.

    Asia Cross Country Rally kembali ke Malaysia untuk edisi 2024; Karamjit & Saladin ketuai pasukan negara!

    Manakala pada tahun lalu, perlumbaan ini bermula dari Pattaya, Thailand dan berakhir di Prasat Wat Phou, Laos melibatkan perjalanan sejauh 2,000 km, dan ia dimenangi oleh Toyota Fortuner dari pasukan Toyota Gazoo Racing Indonesia.

    Bagi perlumbaan tahun hadapan, pihak penganjur sudah pun mengesahkan ia akan bermula di Thailand pada 11 Ogos, dan bakal berakhir di Malaysia 17 Ogos 2024. Namun butiran laluan untuk rali ini masih lagi belum didedahkan, dan ia akan diumumkan selepas ini.

    Walau bagaimanapun rali ini dijangka bukan sahaja akan menarik peminat-peminat sukan permotoran tempatan, yang paling penting ia turut disasarkan untuk memperlihatkan lokasi-lokasi alam semula jadi, perkampungan, bandar-bandar, masyarakat dan kepelbagaian budaya di Malaysia yang disifatkan sebagai “Truly Asia“, seterusnya bakal menjana industri pelancongan tempatan.

    “Kami akan berhubung dengan komuniti tempatan dan juga memberikan mereka pengalaman untuk terlibat dalam sukan permotoran kerana ramai penduduk-penduduk kampung ini merupakan kali pertama mereka melihat acara seperti ini, dan ini juga dapat menunjukkan kecantikan dalam setiap negeri,” kata Remus Xin, promoter global untuk AXCR dalam sesi sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur sebentar tadi.

    Asia Cross Country Rally kembali ke Malaysia untuk edisi 2024; Karamjit & Saladin ketuai pasukan negara!

    Beliau turut menambah, para peserta rali dan juga pasukan turut akan berhubung dengan sekolah-sekolah tempatan sepanjang laluan rali bagi menjalankan pelbagai sesi amal dan juga aktivit ramah mesra.

    Bagi pasukan Malaysia yang ditubuhkan untuk menyertai rali ini, tiga orang pemandu berpengalaman dan seorang penunggang dalam kategori motosikal sudah disahkan dalam majlis yang sama. Ia akan diketuai oleh dua legenda rali negara iaitu ‘The Flying Sikh’ Karamjit Singh dan Saladin Mazlan untuk kereta pertama dan kedua, serta seorang pemandu wanita yang kini sedang meningkat naik, Leona Chin.

    Manakala untuk kategori motosikal, pasukan negara akan diwakili oleh Tommy Lee – pelumba touring car yang bukan sahaja hebat di litar, malah kini aktif dengan pengembaraan motosikal rentas negara.

    Barisan pelumba yang diumumkan ini dijangka bakal memberikan saingan yang sengit dalam perlumbaan tersebut di mana bagi Saladin dan Karamjit, kedua-duanya pernah menyertai pusingan Kejohanan Rali Dunia (WRC) paling lasak di dunia iaitu Safari Rally di Kenya.

    Asia Cross Country Rally kembali ke Malaysia untuk edisi 2024; Karamjit & Saladin ketuai pasukan negara!

    Saladin menyertai Safari Rally pada pada tahun 2000 memandu untuk pasukan Subaru Rally Team Japan, menghabiskan perlumbaan tersebut di tempat ke-13 dari 55 penyertaan, dan menduduki tangga ke-4 dalam kategori Group N. Manakala Karamjit Singh pula datang ke WRC Safari Rally pada tahun 2002 dengan pasukan Proton PERT, menghabiskan perlumbaan ditangga ke-10, dan juara bagi kelas Group N.

    “Apa yang saya mahu katakan, ia akan menjadi pengalaman yang menakjubkan untuk kami bertiga dengan Saladin dan Leona di sini, ketiga-tiga kami tak sabar untuk bersaing dalam acara ini dan sudah tentu untuk membanggakan Malaysia. Dan kami berharap untuk pulang dengan trofi kemenangan,” kata Karamjit Singh.

    Walaupun sudah berusia 61 tahun, Karamjit masih lagi kompetitif dengan membawa pulang tiga trofi juara di pusingan keempat Kejurnas Rally Sprint Indonesia serta pusingan ketiga dan keempat Kejurnas Rally Indonesia pada 2022, ketika itu bersama mendiang Jagdev Singh sebagai juruarah.

    “Kami sudah menyertai rali sejak sekian lama, dan saya rasa dengan pengalaman kami, saya dan Karamjit dalam Safari Rally iaitu rali yang istimewa sejauh lebih dari 1,000 km, kami sudah pun berhadapan dengan macam-macam cabaran. Saya rasa pengalaman ini sudah cukup buat kami,” kata Saladin Mazlan.

    Juara AXCR 2022 pasukan Mitsubishi Ralliart (kiri) dan juara AXCR 2023 pasukan Toyota Gazoo Racing Indonesia (kanan)

    Selepas 12 tahun menyepi dari sebarang kejohanan rali peringkat antarabangsa, Saladin dilihat mula aktif semula tahun ini dan bertanding di pusingan ketiga dan keempat dalam Kejohanan Rali Thailand RAAT 2023. Walaupun berlumba dengan kereta lama dan kurang berkuasa berbanding pelumba-pelumba lain, beliau masih mampu menghabiskan kedua-dua rali berkenaan dalam kedudukan podium.

    “Sebagai pelumba wanita saya mahu menginspirasikan lebih ramai wanita untuk keluar dan menerokai pelbagai pengalaman dan pengembaraan baharu,” kata Leona Chin. Dia yang kini berusia 37 tahun sudah pun berlumba sejak berumur 18-tahun, menyertai pelbagai disiplin perlumbaan termasuk perlumbaan litar, drift, Gymkhana dan rali. Untuk AXCR 2024 ini Leona dijangka akan digandingkan dengan juruarah wanita bagi membentuk satu krew wanita sepenuhnya.

    Walau bagaimanapun jentera dan livery perlumbaan bagi pasukan Malaysia ini masih belum dimuktamadkan. Menurut pengurus pasukan, James Leong, kesemua itu akan diumumkan dalam sidang media yang akan dibuat pada masa akan datang. Namun James tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan pengeluar-pengeluar rasmi seperti pasukan Toyota Gazoo Racing Indonesia dan Tant Sports Thailand bersama Mitsubishi Ralliart, dan semua peluang kerjasama seperti itu masih terbuka.

     
     
  • Pusat 4S Chery terbesar di M’sia dibuka di Medini, JB

    Pusat 4S Chery terbesar di M’sia dibuka di Medini, JB

    Selepas membuka bilik pameran 4S di Kuantan, Chery Malaysia melebarkan lagi sayapnya ke selatan tanahair dengan membuka pusat 4S terbesar di Malaysia setakat ini. Pusat 4S berkenaan, dikendalikan oleh Gagner Auto, terletak di Medini, Johor Bahru.

    Sebagai pusat 4S, fasiliti di Medini ini dilengkapi dengan pusat sehenti bagi jualan, alat ganti, penyelenggaran dan juga perkhidmatan mengetuk dan mengecat badan kenderaan. Chery berkata bangunan [usat 4S ini menampilkan rekaan mesra-alam sekitar dan menggunakan peralatan cekap tenaga.

    Dalam majlis pelancaran pusat 4S berkenaan, Chery turut mengambil kesempatan mempertontonkan Omoda E5 untuk wilayah selatan. Versi elektrik bagi SUV Omoda 5 itu telah pun dipertontonkan kepada pihak media minggu lalu menjelang pelancarannya yang direncanakan berlangsung pada suku pertama (Q1) 2024.

    Pesaing bagi BYD Atto 3 Extended Range ini diberikan bateri lithium logam fosfat berkapasiti 61 kWj. Ini membolehkan SUV ini bergerak sejauh 430 km dalam kitaran ujian WLTP, dengan kuasa disalurkan ke motor elektrik hadapan dengan kuasa 201 hp dan tork maksima 340 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam 7.6 saat.

    Pusat 4S Chery terbesar di M’sia dibuka di Medini, JB

    Bateri tersebut boleh dicas dengan sistem AC 9.9 kW atau pengecas pantas DC80 kW yang boleh memenuhkan kuasa dari 0-85% dalam masa 35 minit. Ia juga boleh berfungsi sebagai “powerbank bergerak” untuk membolehkan pelbagai peralatan elektrik beropersi menerusi sistem V2L 3.3 kW.

    “Dengan kemasukan Chery ke wilayah selatan Malaysia, yang mempunyai pusat 4S terbesarnya di Medini, kami percaya ini akan menyumbang kepada pelbagai aspek pembangunan, memupuk kemajuan ekonomi, alam sekitar dan teknologi. Dengan pelancaran Omoda E5 kami yang akan datang, kumpulan Chery menyokong kepada persekitaran yang lebih mampan, merangsang pelaburan dalam pembangunan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui sambil mempromosikan integrasi bandar pintar,” kata Lee Wen Hsiang, Timbalan Presiden Chery Malaysia.

    Selain daripada mengembangkan rangkaiannya, Chery juga telah mengumumkan ketibaan sub-jenama Jaecoo yang akan datang, yang akan dilancarkan tahun depan. Model Jaecoo pertama untuk pasaran Malaysia ialah J7, dan dua unit pemanduan sebelah kanan SUV itu sedang diuji di Malaysia.

    GALERI: Chery Omoda E5 di Malaysia

     
     
  • Rombakan kabinet saksikan Fadillah Yusof dinamakan sebagai menteri peralihan tenaga dan daya guna awam

    Rombakan kabinet saksikan Fadillah Yusof dinamakan sebagai menteri peralihan tenaga dan daya guna awam

    Hari ini, perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan kabinet, setahun selepas ‘kerajaan perpaduan’ memerintah. Peralihan jawatan yang sudah dijangka dan dibincangkan ramai ini menyaksikan beberapa muka baru dalam kabinet serta beberapa kementerian yang mempunyai portfolio besar dipecahkan kepada dua.

    Antara yang berkenaan dengan industri automotif adalah pelantikan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai menteri peralihan tenaga dan daya guna awam. Dua jawatan lain beliau, iaitu sebagai timbalan perdana menteri kedua dan menteri hal ehwal Sabah dan Sarawak masih dikekalkan.

    Peralihan tenaga dan daya guna awam adalah satu portfolio baru yang diasingkan daripada kementerian sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim. Sebelum ini dipegang oleh Nik Nazmi Nik Ahmad, beliau sekarang dinamakan sebagai menteri sumber asli dan kelestarian alam. Jika mengikut nama kementerian tersebut, kenderaan elektrik mungkin berada di bawah pengawasan Fadillah – bersama kita saksikan.

    Rombakan kabinet saksikan Fadillah Yusof dinamakan sebagai menteri peralihan tenaga dan daya guna awam

    Melihat kepada bahagian lain, Datuk Armizan Mohd Ali kini diangkat menjadi menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup bagi menggantikan Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia Julai lalu. Sementara itu, Dr Zaliha Mustafa kini bukan lagi menteri kesihatan (diganti dengan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad) dan ditukar kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk Wilayah Persekutuan.

    Pelantikan yang bakal menarik banyak tumpuan adalah CEO KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang dilantik sebagai menteri kewangan II. Anwar yang masih merupakan menteri kewangan menyatakan, beliau kini mempunyai bantuan daripada ‘pasukan yang kuat dan profesional’.

     
     
  • Daftar dalam laman web PADU untuk subsidi bahan api, cara alternatif untuk kawasan pedalaman

    Daftar dalam laman web PADU untuk subsidi bahan api, cara alternatif untuk kawasan pedalaman

    Nampaknya rakyat Malaysia perlu mendaftar secara dalam talian melalui laman web Pangkalan Data Utama (PADU) bagi mengetahui sama ada mereka layak untuk mendapat subsidi bahan api bersasar atau tidak. Ini terlihat melalui satu muatan dalam X (Twitter) yang menunjukkan gambar poster yang diambil di kawasan pameran kementerian kewangan di acara Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani hujung minggu lalu.

    Dalam salah satu gambar itu juga tertulis selain kemas kini dalam talian melalui laman PADU (akan dilancar bulan depan), mereka yang berada di kawasan pedalaman dan tidak mempunyai akses internet boleh mendaftar dan membuat kemas kini secara manual di tempat seperti pejabat daerah/penghulu/MPKK/PBT, Pusat Ekonomi Digital atau Pusat Internet Desa.

    Bulan lalu, menteri ekonomi, Rafizi Ramli berkata bahawa mekanisme subsidi bersasar akan dilaksana selepas pusat pengumpulan data PADU mula beroperasi Januari tahun depan. Ada tiga mekanisme yang kemungkinan besar akan digunakan untuk melaksanakan subsidi bersasar untuk petrol dan diesel ini tahun depan.

    Pertama adalah dengan mengikut kelayakan pendapatan boleh belanja bersih kepada individu menerusi pendekatan perlindungan sosial. Seterusnya adalah isi rumah melalui pendekatan hibrid iaitu perlindungan sosial dan bantuan sosial, dan kemudian yang terakhir, isi rumah dan individu menggunakan kaedah kad subsidi.

    Menurut perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal November lalu, subsidi bersasar untuk diesel hanya akan dilaksana di kawasan Semenanjung Malaysia sahaja, sementara di Sabah dan Sarawak walaupun tiada subsidi ini, diesel akan dijual pada harga subsidi, sementara harga diesel di Semenanjung akan dinaikkan mengikut harga semasa.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025