Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Data jualan kenderaan bagi Disember 2018 ikut jenama

    Data jualan kenderaan bagi Disember 2018 ikut jenama

    Berdasarkan statistik jualan kenderaan yang dikeluarkan oleh MAA bagi bulan Disember 2018, ia memperlihatkan sedikit penurunan jika dibandingkan dengan pencapaian November 2018. Keseluruhannya, 48,188 buah kenderaan telah diserahkan kepada pemilik sepanjang bulan Disember, dan ini adalah 0.2% kurang (bersamaan 94 unit) berbanding November 2018.

    Jika mengikut pecahan jenama pula, Perodua mencatatkan penurunan sebanyak 12.8% dengan hanya berjaya menjual sebanyak 18,402 unit kenderaan. Bagaimanapun, Perodua masih kekal di kedudukan pertama. Sebuah lagi jenama tempatan, Proton, walaupun kekal ditempat ketiga bagaimanapun telah berjaya mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 16.1% kepada 5,598 unit, antara lain disumbangkan oleh X70 yang turut dilancarkan pada bulan yang sama.

    Jenama bukan-nasional yang terus unggul ditangga kedua, Honda pula berjaya meningkatkan jualan sebanyak 13% berbanding November, dengan 8,021 unit. Toyota pula mengikut di belakang, ditempat keempat dengan juga mencatatkan peningkatan sebanyak 12.4% (4,310 unit). Lain-lain jenama Jepun rata-ratanya turut merekodkan peningkatan positif seperti berikut; Nissan (+14.5%), Isuzu (+55.7%), Mitsubishi (+9.8%), Subaru (+23%).

    Renault pula antara yang mencatatkan peratusan peningkatan yang paling tinggi, dengan 287.5% (155 unit berbanding hanya 40 unit pada Nov). Mazda pula tidak mengikut corak yang sama seperti jenama-jenama Jepun yang lain – ia mencatatkan penurunan 23.3%. Begitu juga dengan Volkswagen yang menurun jualannya sebanyak 62% berbanding November 2018.

    Bagi jenama premium, hanya Mercedes-Benz dan Lexus yang menikmati peningkatan jualan pada bulan terakhir 2018, masing-masing dengan kenaikan 17.8% (1,126 unit) dan 25% (70 unit). Lain-lain jenama seperti BMW jualannya menurun sebanyak 5.8%, manakala MINI pula turun 24.8%.

     
     
  • Subaru WRX STI S209 untuk Amerika Syarikat – 341 hp

    Subaru WRX STI S209 untuk Amerika Syarikat – 341 hp

    Sementara seluruh dunia sekarang tertumpu kepada pengenalan Toyota Supra baru, Subaru pula telah mengeluarkan model istimewa sendiri, iaitu WRX STI S209 untuk pasaran Amerika Syarikat. Ini adalah model “talaan STI” pertama Subaru yang dijual secara rasmi di Amerika Syarikat dan datang dalam jumlah yang terhad – 200 unit sahaja.

    Pemasangan model ini masih dilakukan di Kiryu, Jepun, dan segala kerja modifikasi dilakukan di sana dan ia dilakukan selaras dengan peraturan yang diperlukan untuk memasuki pasaran itu. Sudah tentu, sebagai sebuah model STI, kuasa, prestasi, pengendalian dan aerodinamik kenderaan ini telah dipertingkat, dan ia mendapat inspirasi daripada kereta lumba WRX STI Nürburgring Challenge.

    Di bawah bonetnya, enjin boxer empat silinder 2.5 liter turbo EJ25 telah diubah suai termasuk pengecas turbo HKS dengan boost 18 psi (WRX STI biasa cuma 16.2 psi), piston dan connecting rod forged, sistem laluan udara aliran tinggi, pam minyak aliran tinggi, penyuntik bahan api lebih besar, sistem penyembur air intercooler, sistem ekzos prestasi dan modul kawalan enjin talaan khas.

    Subaru WRX STI S209 untuk Amerika Syarikat – 341 hp

    Hasilnya, enjin ini dapat menghasilkan kuasa 342 hp (8% lebih berbanding model biasa) dan ia disampaikan ke semua tayar melalui transmisi manual nisbah rapat enam kelajuan dan sistem pacuan Symmetrical All-Wheel Drive. Kelengkapan lain yang membantu adalah limited-slip differential depan dan belakang, Driver Controlled Center Differential (DCCD), Active Torque Vectoring dan Multi-Mode Vehicle Dynamics Control.

    Penyampaian kuasa juga boleh dilaras oleh pemandu menggunakan sistem SI Drive yang telah dilaras semula dengan tiga mod iaitu Intelligent (I), Sport (S) and Sport Sharp (S#). Menariknya, jurutera STI memberi saranan untuk menggunakan mod Sport untuk pemanduan di litar kerana pemetaan pendikit yang kurang agresif dapat memberikan kawalan lebih baik.

    Selain peningkatan kuasa, S209 juga mendapat rim aloi BBS 19 inci yang dibalut tayar Dunlop SP Sport Maxx GT600A, brek Brembo dengan cakera berliang dan angkup monoblock enam piston di hadapan manakala di belakang pula menggunakan angkup monoblock dua piston.

    Bahagian suspensi juga mendapat talaan semula, bermula dengan spring yang lebih keras, penyerap Bilstein, stabiliser bar 20 mm di belakang, bushing jenis pillow untuk penyambung lateral hadapan dan belakang, serta crossmember depan dan subframe belakang yang diperkuat.

    Disebabkan ia sekarang menggunakan rim baru yang berukuran sembilan inci lebar, S209 telah dipadankan dengan kit badan baru yang lebih lebar 43 mm berbanding WRX STI biasa. Membantu aspek aerodinamik, kereta ini datang dengan spoiler bawah bampar, sayap belakang, sirip tepi, tambahan lubang udara dan bumbung gentian karbon.

    Di dalam, stereng S209 dibalut dengan Ultrasuede serta jahitan warna perak, manakala lencana STI dilekatkan pada beberapa bahagian. Setiap kereta juga datang dengan lencana khas nombor keluaran kenderaan di konsol tengah dan tempat duduk Recaro.

     
     
  • MAA mahu insentif EEV diteruskan dalam NAP 2019

    MAA mahu insentif EEV diteruskan dalam NAP 2019

    Banyak ketidakpastian mengenai kajian semula Dasar Automotif Nasional (NAP) yang akan datang, ini termasuk dengan perubahan kerajaan dan Projek Kereta Nasional Baharu (NNCP). Antara yang paling tidak diketahui adalah status program Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), yang buat masa ini memberi insentif untuk kenderaan jimat bahan api, hibrid dan elektrik.

    Dalam sidang media Persatuan Automotif Malaysia (MAA) hari ini, presidennya Datuk Aishah Ahmad meluahkan harapan untuk melihat program tersebut diteruskan seperti sekarang, di samping menyatakan ia telah memberi manfaat kepada syarikat kereta secara keseluruhan dengan memastikan harga kereta tetap kompetitif.

    “Saya fikirkan perkara yang paling penting dengan kerajaan baharu ini ialah meneruskan NAP 2014, jadi insentif EEV boleh diteruskan dan menyokong semua pemain industri untuk mempunyai kenderaan EEV sendiri,” ujarnya. “Ini yang pelanggan sanggup membelinya, kereta yang mampu milik yang boleh kita jual.”

    Menurut Aishah, sebanyak 18,754 kenderaan hibrid terjual pada tahun lalu, berbanding 13,650 unit pada 2017. Mengikut perbandingan, hanya dua EV sahaja dilancarkan pada 2018, berbanding 11 pada tahun sebelumnya – walaupun pelancaran Nissan Leaf yang bakal berlangsung pada pertengahan tahun ini dilihat mampu memberikan perubahan yang lebih positif.

     
     
  • TAS2019: TOM’S Corolla Sport – tampil lebih agresif

    TAS2019: TOM’S Corolla Sport – tampil lebih agresif

    Seperti yang dijangka, penala lagenda Toyota, TOM’S telah pun secara rasmi melancarkan TOM’S Corolla Sport di Tokyo Auto Salon 2019. Ia merupakan model tingkat taraf Toyota Corolla Hybrid generasi baharu, yang diberikan rupa lebih garang, dan juga sedikit peningkatan pada prestasi.

    TOM’S Corolla Sport ini diberikan splitter udara dari bampar hadapan hingga ke skirt sisi. Manakala pada bampar belakang, ia diberikan diffusser yang lebih radikal dan turut menempatkan empat tip ekzos berbentuk oval dari sistem TOM’S Barrel Titan.

    Badan Corolla ini direndahkan lagi menerusi penggunaan kit sistem suspensi Sport TOM’S, manakala rim asal ditukar kepada rim TOM’S Crosspeed berdiameter 19-inci dengan lebar 8.5j dan offset +45. Kesemua rim berkenaan dibaluti tayar Bridgestone Potenza S007 bersaiz 225/35R19. Sistem brek masih lagi standard, tetapi kesemua pad brek ditukar kepada pad TOM’S Sport.

    TAS2019: TOM’S Corolla Sport – tampil lebih agresif

    Kami tidak dibenarkan untuk masuk ke kereta ini, namun dari luar dapat dilihat TOM’S Corolla berkenaan menerima tempat duduk sport dengan balutan kulit merah gelap, dan ia menerima roda stereng yang diperbuat dari gentian karbon.

    Manakala untuk prestasi, dalam brosur yang disediakan ada menyebut bahawa kereta ini dipadankan dengan sistem pengawal pendikit elektronik L.T.S III yang mampu untuk merubah semula respon dan karekter pedal pendikit dengan dua storan mod Eco dan empat storan mod Sport.

    Dalam keadaan standard, Toyota Corolla Hybrid Hatchback generasi baharu ini dijana enjin 1.8 liter bersama sisitem hibrid THS II dengan kuasa keseluruhan 122 PS. Kuasa hanya disalurkan pada roda hadapan menerusi kotak gear Direct-Shift CVT.

     
     
  • MAA: Jualan kenderaan di M’sia untuk Disember 2018

    MAA: Jualan kenderaan di M’sia untuk Disember 2018

    Angka jualan dan pengeluaran kenderaan di Malaysia untuk bulan Disember 2018 telah pun dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), dan ia menunjukkan sedikit penurunan berbanding apa yang telah dicatatkan pada bulan sebelumnya.

    Secara keseluruhannya, 48,188 buah kenderaan telah berjaya diserahkan kepada pemilik pada bulan Disember, dan ini adalah 0.2% kurang (bersamaan 94 unit) berbanding jumlah pada bulan November 2018. Walaupun begitu, jumlah jualan untuk bulan Disember 2018 menurun sebanyak 12% (bersamaan 6,531 unit) apabila dibandingkan dengan bulan sama pada tahun 2017 (54,719 unit).

    Menurut MAA, sebab utama penurunan ini adalah kebanyakan permintaan pelanggan telah disempurnakan sepanjang tempoh tiga bulan cukai GST ditetapkan pada kadar sifar. Selain daripada itu, kelewatan kelulusan harga jualan kenderaan oleh kerajaan juga sedikit mengganggu waktu pelancaran model baru yang memerlukan harga rasmi.

    Untuk jumlah keseluruhan industri (TIV), tahun 2018 mencatat 598,714 buah kenderaan dan ini melebihi catatan tahun lepas sebanyak 576,652 unit (+3.83% atau 22,089 unit). Untuk bulan Januari, MAA menjangkakan gaya penurunan ini akan berterusan kerana sebab yang sama selain pengguna terus berhati-hati sebelum melakukan pembelian.

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Perodua Aruz 2019 – RM73k-RM78k

    Perodua Aruz sudah pun dilancarkan semalam. Ada dua varian ditawarkan; Aruz 1.5 X dan Aruz 1.5 AV. Harganya pula bermula dari RM72,900 hingga RM77,900 (atas jalan tidak termasuk insurans). Ia juga datang dengan jaminan lima tahun atau 150,000 km.

    Dari segi keselamatan, Aruz telah menerima penarafan ASEAN ANCAP lima-bintang. Selain itu, sebagai penawaran standard, ia juga datang dengan enam beg udara, ABS dengan EBD, kawalan kestabilan (VSC) dan bantuan mula mendaki (HSA).

    Bagi varian AV, ia menerima tambahan ciri keselamatan ASA 2.0, yang kini tampil dengan ciri baru iaitu pengesanan pejalan kaki, serta kelajuan efektif yang bertambah untuk pengaktifannya. Sebagai contoh, brek automatik kini berkesan sehingga kelajuan 80 km/j (dulu hanya 30 km/j), pengesanan pejalan kaki sehingga 50 km/j serta amaran pra-perlanggaran sehingga kelajuan 100 km/j.

    Aruz menggunakan enjin 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder yang menjana kuasa sebanyak 104 PS dan 136 Nm tork. Enjin ini jug ada ciri Dual VVT-i dan Eco Idle, dan penggunaan minyaknya mampu memberikan 15.6 km bagi setiap liter petrol.

    Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Perodua Aruz, tonton video yang kami sediakan ini.

    Bacaan lanjut berkaitan Perodua Aruz:



     
     
  • TAS2019: Barisan jentera lumba lagenda Toyota Supra

    TAS2019: Barisan jentera lumba lagenda Toyota Supra

    Bagi menaikkan lagi semangat yang ada pada Toyota GR Supra Super GT Concept yang membuat penampilan di Tokyo Auto Salon 2019, Toyota turut membawa jentera-jentera perlumbaan Supra dari generasi-generasi sebelum ini yang pernah berlumba di Jepun. Kereta-kereta berkenaan adalah Fujitsu Ten Tom’s Supra 1990, Cerumo Supra 2001, Esso Ultraflo Supra 2002 dan Supra HV-R 2007.

    Kita mulakan dengan Fujitsu Ten Tom’s Supra. Kereta ini dibina berasaskan Supra generasi ketiga MA70 dan berlumba dalam kejohanan Touring Car Jepun 1990. Oleh itu, kereta ini dihasilkan dengan spesifikasi FIA Group A atau production modified, bermaksud ia masih lagi menggunakan enjin asal enam-silinder 3.0 liter turbo 7M-GTE. Untuk tujuan homolagasi Group A juga, Supra Turbo Group A ini juga telah dihasilkan untuk versi jalan raya, hanya terhad kepada 500 unit.

    Di sebelah Supra MA70 tersebut pula adalah jentera JGTC Cerumo Supra GT500 2001 dari generasi A80. Supra ini dipandu oleh pasangan Yuji Tachikawa dan Takeichi Hirokiri, dan kedua-dua mereka berjaya meraih gelaran juara keseluruhan kategori pemandu untuk kelas GT500 musim berkenaan.

    Seterusnya adalah satu lagi jentera ikonik Esso Ultraflo Supra untuk perlumbaan Super GT tahun 2002. Jentera ini dipandu oleh pasangan Akira Iida dan Juichi Wakisaka – mereka turut mencapai keputusan yang sama iaitu juara keseluruhan Super GT 500 untuk musim 2002.

    Akhir sekali adalah Supra HV-R yang dibina oleh pasukan Toyota Team Sard pada tahun 2007. Kereta ini pada asalnya adalah jentera Super GT, dan kemudian diubahsuai dengan menyumbatkan unit janakuasa hibrid petrol-elektrik AWD. Jentera berkenaan digunakan untuk berlumba dalam siri perlumbaan ketahanan Jepun Super Taikyu Endurance.

    Supra HV-R ini berjaya menjuarai pusingan Tokachi 24 Jam pada musim berkenaan, dan ia diiktiraf sebagai kereta hibrid petrol-elektrik pertama di dunia yang memenangi perlumbaan.

    Seperti yang diumumkan sebelum ini, Toyota Supra generasi baharu A90 bakal kembali semula ke Super GT bermula pada tahun 2020. Namun Toyota masih belum mengumumkan spesifikasi teknikal dan enjin apa yang bakal digunakan untuk kereta lumba tersebut.

    Tetapi tahukah anda untuk generasi A80 sebelum ini Supra tidak pernah menggunakan enjin asalnya iaitu 2JZ-GTE dalam perlumbaan Super GT? Ini kerana dalam perlumbaan ini tidak dinyatakan ia perlu menggunakan enjin asli, sebaliknya hanya dihadkan pada aspek kuasa kuda.

    Untuk jentera JGTC 1995, Supra dijana oleh enjin 2.1 liter empat silinder turbo 4T-GTE, kemudian digantikan dengan enjin empat-silinder 2.0 liter turbo 3S-GTE seperti pada kereta lumba Toyota Celica WRC. Enjin-enjin berkenaan tidak mempunyai masalah untuk ditala bagi menghasilkan kuasa maksima 500 hp, dan berbanding enjin enam-silinder 2JZ, rekaan empat-silinder ini lebih ringan dan kompak dan membolehkan ia diletak lebih rendah dan hampir dengan kokpit, bagi mendapatkan nisbah berat dan titik graviti lebih baik.

    Namun pada era awal Y2k, jentera Supra Super GT mula dijana oleh enjin 4.3 liter V8 3UZ-FE tanpa bantuan turbo. Enjin berkenaan dipilih kerana dapat menghasilkan tork linear yang lebih besar dari enjin-enjin turbo berkapasiti kecil.

    Setelah jentera Supra generasi baharu ini berlumba dalam siri Super GT nanti, ia bukan sahaja akan membawa kembali nama Supra dalam Super GT, malah nama Toyota itu sendiri. Ini kerana apabila Supra direhatkan pada akhir musim 2006, ia kemudian diambil alih oleh divisi mewahnya iaitu Lexus bermula pada 2007.

     
     
  • Honda HR-V facelift dilancarkan di Malaysia – empat varian, termasuk Hybrid, dari RM109k hingga RM125k

    Honda HR-V facelift dilancarkan di Malaysia – empat varian, termasuk Hybrid, dari RM109k hingga RM125k

    Honda Malaysia telah pun melancarkan Honda HR-V facelift secara rasminya, dan ia ditawarkan dengan empat varian. Pertama kali dipertontonkan di sini pada Julai lalu, varian yang ditawarkan ialah tiga unit petrol dengan model asas Grade E, diikuti dengan Grade V dan paling tinggi, RS. Manakala varian keempat pula ialah HR-V Hybrid, dan Malaysia merupakan satu-satunya negara selain Jepun yang menerima kemasukan varian ini.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, perubahan rekaan luaran bagi kitaran pertengahan ini dilihat lebih segar termasuk gril yang disemak semula, menampilkan palang yang lebih besar dengan logo Honda, bersama lampu utama LED sepenuhnya jenis reflektor baharu, bampar yang diprofil semula dan lampu kabus LED. Bahagian belakang pula menerima jaluran krom melintang baharu pada tailgate disambung pada lampu belakang, yang kini ditampilkan dengan unit LED jenis tiub.

    Bagi rodanya pula, E, V dan Hybrid dipadankan dengan aloi 17-inci, dibaluti tayar profil 215/55, sementara RS pula dilengkapi roda lima-jejari dua-tona 18-inci dan tayar 225/50. Bagi berat badannnya pula, E seberat 1,275 kg, sementara V pula 1,271 kg. Manakala RS dan Hybrid, masing-masing seberat 1,290 kg dan 1,300 kg.

    Honda HR-V facelift dilancarkan di Malaysia – empat varian, termasuk Hybrid, dari RM109k hingga RM125k

    Manakala untuk ruang but pula, bagi semua varian petrol, ia berkapasiti 437 liter dengan tempat duduk belakang normal, ditambah sehingga 1,032 liter jika ia dibaringkan.Untuk varian hybrid pula memiliki ruang but yang sedikit kecil, dengan 404 liter jika tempat duduk belakang dalam keadaan normal, dan 991 liter pula jika ia dibaringkan. Tidak seperti versi petrol, hibrid tidak didatangkan dengan tayar simpanan sebaliknya dibekalkan dengan kit membaiki tayar sementara.

    Walau bagaimana pun, tiada perubahan untuk penjana kuasa bagi versi petrol, ia masih mengekalkan enjin 1.8 liter SOHC i-VTEC dengan kuasa 142 PS pada 6,500 rpm dan tork 172 Nm pada 4,300 rpm, serta dipadankan dengan transmisi CVT bersama pedal penukar gear. Spesifik untuk model RS ia kini hadir dengan sistem stereng Variable Gear Ratio (VGR) baharu.

    HR-V Hybrid menampilkan penjana kuasa Sport Hybrid i-DCD (intelligent dual-clutch drive) seperti Jazz Hybrid. Ia menggabungkan enjin 1.5 liter twin-cam i-VTEC Atkinson-cycle dan motor elektrik 22 kW (30 PS)/160 Nm, yang dikuasakan oleh bateri lithium-ion Blue Energy, dipadankan dengan transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan.

    Kuasa dari penjana kuasa itu meningkat berbanding Jazz, dengan 132 PS pada 6,600 rpm dan tork 156 Nm pada 4,600 rpm. Hasil kombinasi dari motor elektrik, sistem tersebut dapat menghasilkan 152 PS dan tork 190 Nm, sedikit tinggi berbanding model janaan petrol.

    Honda HR-V facelift dilancarkan di Malaysia – empat varian, termasuk Hybrid, dari RM109k hingga RM125k

    Secara standard, semua varian dilengkapi dengan butang penghidup enjin/kemasukan pintar, pendingin hawa automatik, lampu utama auto, lampu nyalaan siang, kawalan kelajuan, pedal penukar gear, kawalan audio pada roda stereng dan empat pembesar suara untuk sistem audio.

    Semua versi didatangkan dengan roda stereng tiga-jejari, tetapi E dan Hybrid dengan kemasan kulit, dengan upholstery separa kulit hitam untuk dua model itu. Ia turut menampilkan lampu utama halogen (dengan larasan manual) dan lampu kabus hadapan jenis mentol dan skrin paparan sistem audio pula dengan unit 6.8-inci.

    Manakala varian V dan RS ditambah dengan roda stereng kulit sepenuhnya dan upholstery kulit penuh, dengan kemasan hitam pada V. Kedua-dua varian juga menerima lampu utama LED (dengan larasan auto), lampu kabus hadapan LED dan konfigurasi LED ke lampu belakang. Malah V dan RS juga didatangkan dengan skrin paparan audio 7.0-inci, dan menerima tempat duduk larasan berkuasa lapan-hala.

    Bagi keselamatan pula, HR-V didatangkan dengan ciri standard termasuk enam beg udara (dua di hadapan, sisi dan tirai sisi), yang sebelum ini hanya pada varian V. Selain itu, ia ditampilkan bersama isyarat berhenti kecemasan (ESS), bantuan kestabilan kenderaan (VSA) dan bantuan mula mendaki (HSA) serta kamera pandang belakang pelbagai-sudut sebagai standard untuk semua model.

    Untuk warna pula, lima pilihan ditawarkan bagi HR-V 1.8L E dan V – ini termasuk warna baharu Passion Red Pearl, di samping White Orchid Pearl, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic dan Ruse Black Metallic. RS pula menerima tiga pilihan warna – Passion Red Pearl, White Orchid Pearl dan Modern Steel Metallic.

    Manakala HR-V Hybrid pula ditawrkan dengan tiga warna, tetapi tiada pilihan merah, hanya Lunar Silver Metallic, White Orchid Pearl dan Modern Steel Metallic.

    Honda HR-V facelift dilancarkan di Malaysia – empat varian, termasuk Hybrid, dari RM109k hingga RM125k

    HR-V facelift ditawarkan dengan harga seperti berikut:

    • HR-V 1.8L E – RM108,800
    • HR-V 1.8L V – RM118,800
    • HR-V 1.8L RS – RM124,800
    • HR-V Sport Hybrid i-DCD – RM120,800

    Semuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans, dan ada tambahan kos sebanyak RM300 bagi pemilihan warna White Orchid Pearl. Honda Malaysia juga terus menawarkan waranti lapan-tahun – dengan perbatuan tanpa gad – untuk bateri hibrid.

    Pakej aksesori turut ditawarkan untuk HR-V facelift, dan ia terdiri daripada Modulo Package (RM5,737), Urban Package (RM1,716) dan Utility Package (RM902).

    Berikit merupakan spesifikasi penuh dan elemen yang ditawarkan untuk setiap varian HR-V facelift:

    Honda HR-V 1.8L Grade E

    Ciri standars:

    • Enjin 1.8 liter dengan 142 PS pada 6,500 rpm dan 172 Nm pada 4,300 rpm
    • Transmisi CVT
    • Roda aloi 17-inci dengan tayar profil 215/55
    • Ruang kargo dengan 437 liter, dan 1,032 liter dengan tempat duduk belakang dibaringkan
    • Tidak dicat hitam untuk bampar bawah hadapan/belakang dan ambang sisi
    • Perumah cermin sisi dan pemegang pintu luar sama warna dengan badan
    • Lampu utama halogen, auto, larasan manual
    • Lampu belakang LED
    • Lampu nyalaan siang
    • Lampu kabus hadapan jenis mentol
    • Antena sirip jerung
    • Kemasan plat lesen krom gelap
    • Butang penghidup enjin/kemasukan pintar
    • Kawalan audio pada roda stereng
    • Pedal penukar gear
    • Meter kombinasi pelbagai-informasi termaju
    • Pendingin hawa auto
    • Kawalan kelajuan
    • Roda stereng tiga-jejari, kulit
    • Upholstery hitam separa kulit
    • Sistem audio dengan paparan 6.8-inci, empat pembesar suara
    • HDMI/USB dan sambungan telefon bebas tangan
    • Enam beg udara (dua di hadapan, sisi, tirai sisi)
    • Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA)
    • ABS, EBD, penahan brek automatik dan bantuan mula mendaki
    • Cagak Isofix
    • Kamera pandang belakang pelbagai-sudut

    Warna: Passion Red Pearl, White Orchid Pearl, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic, Ruse Black Metallic.

    Honda HR-V 1.5L Hybrid

    Ciri standard:

    • Enjin 1.5 liter twin-cam i-VTEC Atkinson-cycle dengan 132 PS pada 6,600 rpm dan 156 Nm pada 4,600 rpm
    • Motor elektrik 22 kW (30 PS)/160 Nm, dengan bateri lithium-ion Blue Energy
    • Sistem Sport Hybrid i-DCD dengan gabungan kuasa 152 PS dan 190 Nm
    • Transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan
    • Ruang kargo hingga 404 liter, 991 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan
    • Tambahan:

    • Suis kawalan stereng Intelligent Multi-Information Display (i-MID)
    • Kit baiki tayar sementara, bagi menggantikan tayar simpanan

    Warna: White Orchid Pearl, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic

    Honda HR-V 1.8L Grade V

      Tambahan:

    • Lampu utama LED, larasan auto
    • Lampu kabus hadapan LED
    • Lampu belakang LED (jenis dwi-tiub)
    • Pemegang pintu luaran krom
    • Upholstery hitam kulit penuh
    • Roda stereng tiga-jejari, kulit penuh
    • Tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-arah
    • Sistem audio paparan 7.0-inci
    • Kamera LaneWatch

    Warna: Passion Red Pearl, White Orchid Pearl, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic, Ruse Black Metallic.

    Honda HR-V 1.8L RS

    Tambahan:

    • Gril hadapan jenis-sport
    • Kemasan lampu kabus hadapan gaya-mesh
    • Warna hitam untuk bampar bawah hadapan/belakang dan ambang sisi dan perumah cermin sisi
    • Pemegang pintu luaran krom gelap
    • Roda aloi dua-tona 18-inci, tayar 225/50
    • Upholstery ivory kulit penuh, kemasan kontras kelabu gelap
    • Pedal sport

    Warna: Passion Red Pearl, White Orchid Pearl, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic, Ruse Black Metallic

    GALERY: Honda HR-V facelift, varian RS

    GALERI: Honda HR-V 1.5L Hybrid

    GALERI: Honda HR-V 1.8L E

     
     
  • Tabiat pemanduan bukan pengukur kecekapan; sikap individu pendorong kemalangan jalan raya – MIROS

    Tabiat pemanduan bukan pengukur kecekapan; sikap individu pendorong kemalangan jalan raya – MIROS

    Sering kali terdengar, pemandu lelaki lebih cekap berbanding wanita. Tetapi pemandu lelaki mudah bersikap agresif dan baran di jalan raya, sering nak tunjuk hero. Manakala pemandu wanita ini pula sering buat pertimbangan yang kurang tepat sewaktu memandu. Alahai…macam-macam anggapan dan persepsi, membandingkan antara pemandu lelaki dan wanita.

    Walau bagaimana pun, persepsi wanita kurang cekap memandu berbanding lelaki kurang tepat, sebaliknya golongan itu lebih mematuhi undang-undang jalan raya, peka dan bersistematik dalam merancang perjalanan.

    Menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Siti Zaharah Ishak, berkata tabiat pemanduan bukan pengukur bagi menentukan kecekapan antara lelaki dan wanita yang mempunyai kelebihan serta kelemahan tertentu berkaitannya, laporan Berita Harian.

    Katanya, selain jantina, sikap individu juga menjadi pendorong kepada masalah kemalangan dan kematian pengguna jalan raya.

    Tabiat pemanduan bukan pengukur kecekapan; sikap individu pendorong kemalangan jalan raya – MIROS

    Siti Zaharah turut berkata, berdasarkan kajian MIROS mendapati bilangan pemandu lelaki yang terbabit dalam nahas jalan raya tujuh kali lebih tinggi berbanding wanita. Statistik pada 2017, umpamanya menunjukkan jumlah kematian pemandu lelaki adalah seramai 5,885 orang berbanding pemandu wanita hanya 854 orang.

    “Angka berkenaan jelas mempamerkan corak pemandu lelaki terbukti lebih berbahaya dan kurang berhemah jika dibandingkan dengan wanita. Oleh itu, stigma mengenai kegagalan wanita untuk menguasai kecekapan pemanduan dan tidak berhati-hati di jalan raya sebenarnya adalah tidak benar,” katanya.

    Walau bagaimana pun, jelasnya, wanita mempunyai kekurangan dalam keupayaan spatial (ruang dan jarak) berbanding lelaki terutama ketika memandu di jalan raya. Di mana masalah anggaran jarak mengakibatkan pemandu wanita akan bertindak terlalu berhati-hati dan menyukarkan kenderaan lain dan dianggap mengundang risiko kemalangan.

    “Ia termasuk sewaktu mereka memandu untuk melintas persimpangan yang tidak mempunyai lampu isyarat, memotong dan ketika meletakkan kenderaan. Tindakan wanita yang banyak berfikir menghilangkan fokus pemanduan membuatkan mereka tidak konsisten dan ada kala lambat membuat keputusan untuk mengubah arah,” katanya.

    Tabiat pemanduan bukan pengukur kecekapan; sikap individu pendorong kemalangan jalan raya – MIROS

    Bukan itu sahaja, wanita juga dikatakan suka melakukan pelbagai tugas sepanjang pemanduan juga menjadi faktor hilang daya tumpuan.

    “Dalam satu masa, wanita boleh memandu sambil lakukan aktiviti lain termasuk bersembang, menggunakan telefon dan berswafoto dalam kenderaan boleh mengundang kepada kecuaian pemanduan. Sungguhpun nisbah kes kemalangan antara pemandu lelaki dan wanita ada besar namun angka kemalangan membabitkan pengguna jalan raya wanita meningkat,” katanya.

    Siti Zaharah berkata, ciri pemanduan lelaki dan wanita berbeza lantas mempengaruhi pemanduan mereka seperti persepsi keselamatan dan keselesaan dalam kereta sendiri. Selain itu, pemandu lelaki pula mempunyai kemahiran dalam pergerakan tubuh badan (psikomotor) yang lebih tinggi berbanding wanita.

    “Dari aspek kecekapan pemanduan, pemandu lelaki pula dikenal pasti memiliki kemahiran lebih tinggi berbanding wanita. Kelebihan dimiliki ini menjadikan lelaki berkeyakinan dan mengambil sikap tidak endah sehinggakan kebanyakannya mengambil risiko dengan memandu laju serta dengan secara berbahaya,” katanya.

     
     
  • Toyota Avanza dan Veloz facelift dilancar di Indonesia

    Toyota Avanza dan Veloz facelift dilancar di Indonesia

    Setelah gambarnya bocor beberapa minggu yang lepas, kini Toyota Avanza facelift 2019 sudah pun dilancarkan secara rasmi di Indonesia. Menariknya, Toyota Astra Indonesia turut memperkenalkan satu lagi model baru yang sebenarnya adalah sama sahaja dengan Avanza tetapi dijadikan lebih mewah iaitu Veloz.

    Perubahan paling utama bagi model facelift ini sudah tentu adalah penampilannya, di mana pada bahagian depan, anda akan dapat melihat lampu jenis bertingkat, yang seperti mendapat inspirasi daripada MPV lebih besar Vellfire, sementara bampar pula dijadikan lebih agresif dengan bukaan tengah yang lebih besar dan garis menegak di penjurunya. Ada yang mengatakan, rekaan ini nampak seperti rekaan bampar Mitsubishi Xpander.

    Pergi ke bahagian belakang, lampu jenis menegak masih lagi digunakan, tetapi pemantul cahaya pada pintu but dijadikan terpisah dua dan lebih nipis, dan terdapat jalur krom melintang yang bersambung sepanjang bahagian belakang kenderaan. Rim pula bersaiz 14 dan 15 inci (bergantung kepada varian).

    Anda juga boleh melihat terdapat beberapa perincian kecil yang berbeza di antara Avanza dan Veloz, sebagai contoh untuk bahagian luarnya, kemasan krom pada gril dan pintu but belakang (kemasan pada Veloz berwarna seakan keemasan), bentuk lampu kabus belakang serta bentuk bahagian bukaan udara bawah bampar.

    Rekaan asas bentuk papan pemuka Avanza facelift ini masih lagi sama, tetapi penggunaan skrin infotainmen baru serta butang kawalan pendingin hawa digital menjadikan penampilannya berbeza. Kemudiannya, unit pada Avanza pula menggunakan warna dua tona (atas hitam dan bawah putih kekuningan) manakala Veloz semuanya berwarna hitam.

    Ada dua enjin yang ditawarkan untuk Avanza dan Veloz facelift ini iaitu unit empat silinder 16V DOHC Dual VVT-i 1,329 cc dengan kuasa 96.5 hp/120.6 Nm dan juga unit empat silinder 16V DOHC Dual VVT-i 1,496 cc (sama seperti Perodua Aruz, Myvi dan Rush)dengan kuasa 104 hp dan 136 Nm tork. Ia boleh didapati dengan transmisi automatik empat kelajuan ataupun manual lima kelajuan.

    Toyota Avanza dan Veloz facelift dilancar di Indonesia

    Bagi Avanza, terdapat lima varian ditawarkan di sana iaitu 1.3E A/T, 1.3E M/T, 1.3G A/T, 1.3G M/T dan 1.5G M/T dengan harga antara 191.1 juta Rupiah (RM55,646) hingga 221.25 juta Rupiah (RM64,425). Veloz pula ditawarkan dalam empat varian iaitu 1.3 A/T, 1.3 M/T, 1.5 A/T dan 1.5 M/T dengan harga antara 215.65 juta Rupiah (RM62,795) hingga 239.45 juta Rupiah (RM69,725).

    Antara kelengkapan lain yang ada pada Avanza dan Veloz facelift 2019 (bergantung pada varian) adalah beg udara hadapan, butang pemula enjin, sistem masuk tanpa kunci, suspensi MacPherson dan brek cakera di hadapan, suspensi 4-Link Lateral Rod dan brek dram di belakang, cermin sisi boleh lipat secara elektronik, pengesan undur dan tempat duduk balutan fabrik.

    GALERI: Toyota Avanza facelift 2019 pasaran Indonesia

    GALERI: Toyota Veloz facelift 2019 pasaran Indonesia

     
     
  • PANDU UJI: Perodua Aruz SUV untuk rakyat Malaysia?

    PANDU UJI: Perodua Aruz SUV untuk rakyat Malaysia?

    Kenderaan jenis SUV bukanlah sesuatu yang baru di dalam barisan kenderaan yang pernah diperkenalkan oleh Perodua. Sekurang-kurangnya ada dua model yang pernah kita saksikan berada di atas jalan Malaysia hasil keluaran syarikat itu untuk model SUV – lama dahulu ada Kembara, dan kemudian pada tahun 2008, ia disusuli pula oleh pengenalan model Nautica.

    Kini, selepas sedekad sepi daripada model SUV, Perodua kembali dengan Aruz – buat pertama kali juga ia merupakan sebuah model SUV tujuh-tempat duduk, berbanding dengan model-model terdahulu yang hanya menyediakan lima kapasiti penumpang.

    Di dalam pelan transformasi Perodua yang pernah diumumkan dahulu, lima model digariskan menjadi pemangkin kepada usaha berkenaan, dan langkah itu dimulakan oleh model Axia terlebih dahulu pada tahun 2014. Ini diikuti dengan model sedan pertama yang dikeluarkan, Perodua Bezza yang mula menemui pelanggan pada tahun 2016. Kemudian, lahir Myvi generasi ketiga yang dilancarkan pada 2017. Aruz menjadi model keempat yang lahir dari plan transformasi yang sama.

    Perodua Aruz bukanlah sebuah model unik hanya untuk Perodua. Ia juga bukan seperti Myvi yang menyaksikan hampir keseluruhan rekaan luarannya yang dapat kita lihat itu dihasilkan oleh pereka tempatan – dari kosong, sehinggalah terhasil reka bentuk hatch berkenaan. Serba-serbi tentang rekaannya baru, dan meninggalkan terus imej dan reka bentuk hatchback ala Daihatsu Boon/Toyota Passo yang menjadi asasnya sejak mula.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • TAS2019: Jun Super Lemon Honda Fit/Jazz RS GK5

    TAS2019: Jun Super Lemon Honda Fit/Jazz RS GK5

    Jun Auto Mechanic antara penala old timer Jepun yang masih setia mempamerkan hasil karya mereka ke Tokyo Auto Salon 2019. Tiga demo car di bawa acara berkenaan iaitu Jun 420GTR (Nissan GT-R R35), Jun Super Lemon Toyota 86, dan yang paling menarik perhatian dan relevan dengan kita adalah Jun Super Lemon Fit RS diasaskan dari Honda Jazz/Fit GK5 varian RS.

    Jun melakukan ubahsuai lengkap terhadap Super Lemon Fit RS ini bukan sahaja dari segi rupa, malah lengkap dengan kuasa dan pengendalian yang lebih baik. Tak lengkap la kalau sebuah kereta demo Jun jika enjin tidak diusik bukan? Fit RS ini masih dijana enjin L15B, tetapi aci sesondol (camshaft) asal telah ditukar kepada unit berdurasi lebih tinggi bagi membolehkan lebih banyak campuran udara bahan api ke kebuk pembakaran.

    TAS2019: Jun Super Lemon Honda Fit/Jazz RS GK5

    Dapat dilihat juga, kotak angin untuk sistem pengambilan udara asal telah dibuang, diganti dengan penapis udara berprestasi tinggi bersama paip ram aloi. Untuk ekzos, manifold masih lagi standard, tetapi paip utama hingga muffler, ia menerima set sistem Blitz Nur-Spec VSR. Walau bagaimanapun, perincian berkenaan unit pengurusan enjin dan jumlah kuasa yang dihasilkan tidak didedahkan oleh Jun. Menurut mereka lagi, sistem transmisi juga masih lagi dalam keadaan standard iaitu kotak gear enam-kelajuan manual, ya, manual!

    Untuk pengendalian, Fit ini menerima set suspensi lengkap D2 Japan Street, dan ia juga menerima roll cage lengkap yang pastinya memberikan respon pemanduan lebih tegap dan jitu. Kuasa enjin disampaikan ke permukaan jalan dengan tayar Yokohama Advan Neova AD80 bersaiz 245/45R17 yang membaluti set rim Yokohama Advan RZ3 bersaiz 17×7.5 j. Manakala untuk memberhentikan hatchback segmen-B in dengan lebih cepat, Jun memadankan sistem brek lengkap D2 Japan dengan angkup jenis monoblok.

    Untuk bahagian luaran, Jun Super Lemon Fit RS ini diberikan kelopak mata, lip spoiler dan juga skirt sisi dengan sayap ‘Twin Cam’ dari Jun, bersama spoiler gt SARD R-Wing, serta cermin sisi gentian karbon lebih kecil – ringkas, tetapi dengan set rim, tayar dan juga brek yang kelihatan, kereta ini nampak begitu agresif. Seperti jentera-jentara Jun lain yang menerima nama ‘Super Lemon’, Fit RS ini diberikan warna badan Vivid Yellow.

    Anda akan lebih teruja melihat bahagian dalam Fit RS talaan Jun ini. Selain dari roll cage yang dinyatakan tadi, ia turut dipadankan dengan tempat duduk perlumbaan dari Bride, lengkap dengan tali pinggang empat-poin, sementara tempat duduk belakang dan juga karpet telah dikeluarkan. Roda stereng asal pula digantikan dengan stereng Works Bell tiga-jejari balutan kulit dengan jahitan benang kuning, sementara pemain infotaimen juga dibuka, digantikan dengan komputer paparan informasi dan sistem data logging Blitz TOUCH.

     
     
  • Proton X70 – 15k tempahan, 2k unit telah dihantar

    Proton X70 – 15k tempahan, 2k unit telah dihantar

    Nampak gayanya Proton X70 yang dilancarkan pada 12 Disember lalu menerima sambutan yang begitu menggalakkan. Sehingga kini, Proton telah menerima sejumlah 15,000 unit tempahan untuk SUV pertama mereka itu, dan telah menghantar kira-kira 2,000 unit kepada pelanggan yang menempahnya. Malah syarikat itu berkata mereka akan bekerja keras untuk mempercepatkan lagi kadar penghantaran pada bulan-bulan yang akan datang.

    “Proton sangat berterima kasih atas sokongan rakyat Malaysia terhadap X70 dan kami akan cuba menghantar unit yang ditempat secepat yang mungkin. Ini adalah permulaan yang dicari oleh syarikat kami dan berharap untuk meneruskan momentum untuk aktiviti kami sepanjang tahun,” ujar timbalan CEO Proton Datuk Radzaif Mohamed.

    Buat masa ini, X70 adalah model import sepenuhnya (CBU) dari China, dan ia ditawarkan dengan empat varian bersama harga bermula RM99,800. Unit pemasangan tempatan (CKD) SUV ini dijangka bakal bermula pada Oktober 2019 setelah inisiatif pengembangan kilang Proton di Tanjung Malim selesai.

    Pada tahun lalu, pengeluar kereta nasional pertama ini telah mengumumkan akan membuat pelaburan sebanyak RM1.2 bilion untuk mempertingkatkan lagi fasiliti di kilang Tanjung Malim yang bakal memproduksikan X70 dan juga model Proton yang akan datang.

    GALERI: Proton X70 Premium 2WD

     
     
  • Perodua Aruz – perincian aksesori katalog GearUp

    Perodua Aruz – perincian aksesori katalog GearUp

    Pelbagai perincian telah didedahkan waktu pelancaran Perodua Aruz, dan ini termasuklah barisan aksesori yang ditawarkan dalam katalog GearUp. Senarainya mungkin lebih pendek daripada aksesori bagi model Perodua lain, tetapi ia masih banyak, termasuk untuk gaya, kemudahan ataupun barangan-barangan lain.

    Sebagai permulaan, terdapat pakej Utility yang berharga RM450 untuk Semenanjung Malaysia, dan ini termasuk visor pada pintu, lapik kaki serta alas untuk bahagian barangan. Jika anda tidak mahu memiliki semua barangan ini, ia masih boleh dibeli secara berasingan.

    Bagi yang mementingkan keselesaan pemanduan, anda boleh mendapatkan pelapik kedap bunyi bagi bahagian bawah hud dan dalam pintu dengan masing-masing berharga RM80 dan RM455. Perodua juga ada menawarkan tempat duduk kanak-kanak siap dengan cangkuk Isofix dalam dua jenis iaitu untuk yang mempunyai berat bawah 13 kg pada harga RM785 dan RM975 untuk kanak-kanak berat sehingga 36 kg (umur sehingga 12 tahun).

    Selain daripada barangan tadi, masih banyak lagi aksesori yang ditawarkan oleh Perodua seperti sistem pemerhati tekanan angin tayar yang boleh disambung kepada aplikasi dalam telefon pintar (RM430), beg barangan kecil (RM37), kit bantuan kecemasan (RM33.50) dan magnet pemegang telefon (RM30).

    Perodua Aruz dilancarkan untuk pasaran Malaysia dalam dua varian iaitu 1.5X pada harga RM72,900 dan 1.5AV pada harga RM77,900 (tidak termasuk insurans). Anda boleh melihat spesifikasi penuh Aruz di CarBase.my dan membandingkannya dengan pesaing lain dalam segmennya.

    Bacaan lanjut berkaitan Perodua Aruz:

    GALERI: Perodua Aruz 1.5X dengan aksesori GearUp

    GALERI: Perodua Aruz 1.5AV dengan aksesori GearUp

     
     
  • Perodua Aruz – bagaimana ciri pada ASA 2.0 berfungsi

    Perodua Aruz yang baru dilancarkan datang dengan pelbagai ciri keselamatan, dengan yang diberi standard untuk kedua-dua varian termasuk enam beg udara, ABS, EBD, BA, VSC, Hill Start Assist, Hill Descent Control dan cagak Isofix pada tempat duduk baris kedua.

    SUV ini juga menampilkan pakej keselamatan Advanced Safety Assist (ASA), yang datang dalam versi 2.0 dengan beberapa naik taraf, khas untuk varian paling tinggi 1.5 Advance (AV).

    Walaupun mempunyai nama versi 2.0, sistem ini masih mempunyai komponen yang sama seperti pada Myvi baru, iaitu termasuk Pre-collision Warning (PCW), Pre-collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC), tetapi prestasi ada di antaranya telah diberikan peningkatan.

    Perodua Aruz – bagaimana ciri pada ASA 2.0 berfungsi

    Untuk Pre-collision Warning (PCW), ia berfungsi dengan memberi amaran apabila kemalangan hampir berlaku dan menyedarkan pemandu melalui bunyi buzzer sebelum kemalangan betul-betul berlaku. Pada Myvi, sistem ini berfungsi pada kelajuan antara 4 km/j hingga 30 km/j tetapi pada Aruz, ia boleh beroperasi pada kelajuan lebih tinggi iaitu 4 km/j hingga 100 km/j.

    Itu adalah untuk pengesanan kenderaan, tetapi PCW Aruz juga boleh mengesan pejalan kaki. Jadi, apabila ada kemungkinan berlaku perlanggaran dengan pejalan kaki, amaran akan dikeluarkan, dan ia boleh berfungsi pada kelajuan antara 4 km/j hingga 50 km/j.

    Sekiranya pemandu tidak memberi tindak balas kepada amaran audio dan visual yang dikeluarkan, sistem Pre-collision Braking (PCB) pula akan masuk campur untuk membrek kenderaan. Sistem yang juga dikenali dengan nama Autonomous Emergency Braking (AEB) ini bertindak dengan memberi dua tahap kuasa brek iaitu pertama secara sedikit dan kemudiannya barulah lebih kuat, apabila objek semakin dekat.

    Apabila mengesan kenderaan, PCB boleh beroperasi pada kelajuan antara 4 km/j hingga 80 km/j, manakala apabila mengesan pejalan kaki, ia boleh beroperasi pada kelajuan dari 4 km/j hingga 50 km/j. Menurut Perodua, pada kelajuan 30 km/j (lebih 10 km/j berbanding sistem pada Myvi), sistem ini boleh membantu Aruz mengelakkan kemalangan sepenuhnya. Pada kelajuan sederhana (30 hingga 80 km/j untuk kereta dan 30 hingga 50 km/j untuk pejalan kaki), sistem ini tidak boleh mengelakkan kemalangan tetapi boleh mengurangkan kesan perlanggaran.

    Untuk FDA dan PMC pula, operasinya masih lagi sama. FDA memberi amaran apabila kereta di hadapan sudah mula bergerak daripada keadaan berhenti (seperti di lampu isyarat atau kesesakan trafik) dan ia diaktifkan apabila anda berada dalam jarak 10 meter daripada kereta hadapan.

    Sistem PMC mampu memutuskan penyampaian kuasa dari enjin sekiranya ia mengesan terdapat halangan di hadapan kenderaan, dalam jarak empat meter. Ia tidak akan membenarkan kereta bergerak ke hadapan dan kuasa enjin akan dikawal sehingga selama lapan saat. Sistem ini dapat mengelakkan kemalangan yang berlaku apabila pemandu tersalah pijak pedal secara tidak sengaja.

    Bacaan lanjut berkaitan Perodua Aruz:

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025