Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Civic 2019 diberi wajah baru untuk pasaran AS

    Honda Civic 2019 diberi wajah baru untuk pasaran AS

    Rasa macam baru saja Honda Civic FC masuk pasaran dunia, kini di Amerika Syarikat diperkenalkan pula versi facelift bagi tahun 2019. Ini kurang beberapa bulan sebelum usianya mencecah tiga tahun – model ini diperkenalkan untuk pasaran AS pada September 2015 lalu.

    Untuk itu, Civic generasi ke-10 itu akan diberi pembaharuan. Apa yang ditambah? Selain daripada penggayaan yang dipertingkat, kedua-dua Civic Sedan dan Coupe 2019 nanti turut akan menerima pakej keselamatan Honda Sensing sebagai ciri standard bagi beberapa peringkat kemasan yang ditawarkan.

    Di depan, bahagian “sayap” pada grilnya kini datang dengan kemasan hitam berkilat (menggantikan warna krom) serta bahagian bawah yang direka semula. Ia tampil sebagai satu rekaan yang bersepadu berbanding pendekatan tiga bahagian terpisah sebelum ini. Menurut Honda juga, lampu utama LED dan halogennya juga diberikan kemaskini.

    Bahagian belakang kini menempatkan perincian krom pada bahagian bawah bampar versi sedan, serta rekaan rim terbaru bagi kedua-dua model – termasuk rim 18-inci pada model dengan tingkat kemasan Touring untuk pasaran AS.

    Varian Sport dikuasakan oleh enjin 2.0 liter DOHC i-VTEC yang dipadankan dengan CVT automatik dengan G-Shift Control atau manual enam-kelajuan di sana. Perincian tambahan lain adalah seperti skrin paparan audio tujuh-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Apa pun, pembaharuan model facelift ini hanya melibatkan Civic Sedan dan Coupe sahaja buat masa ini. Civic Hatcback, Si dan Type R kekal sama seperti versi sedia ada. Menarik tak wajah baru Civic ini?

     
     
  • Pasukan MotoGP SIC-Yamaha ambil Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo sebagai pelumba untuk 2019

    Pasukan MotoGP SIC-Yamaha ambil Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo sebagai pelumba untuk 2019

    Pengarah urusan pasukan Yamaha Factory Racing, Lin Jarvis telah mengesahkan pasukan satelit baru SIC-Yamaha yang akan berlumba dalam MotoGP tahun depan bakal menggunakan khidmat Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo sebagai pelumba. Beliau telah memberitahu perkara ini kepada wartawan World Feed, Simon Crafar.

    “Saya tidak mahu mengatakan kami tidak mempunyai suara, tetapi akhirnya nanti keputusan muktamad berkenaan pelumba ini akan dilakukan oleh pasukan itu sendiri. Mereka adalah pasukan persendirian. Sudah tentu, mana-mana pelumba yang mereka pilih perlu mendapatkan kelulusan daripada kami sama ada mereka berada di tahap yang betul dan mempunyai kapasiti untuk menunggang jentera M1 itu nanti,” jelas Jarvis.

    Selain itu, Jarvis turut menyatakan keyakinan terhadap Morbidelli kerana beliau adalah seorang juara dunia, penunggang akademi dan mempunyai bakat. Tambah Jarvis, pelumba dari Itali itu juga dijangka dapat menunjukkan prestasi lebih baik menggunakan M1 berbanding jentera Honda dalam pasukan EG 0,0 Marc VDS sekarang.

    Melihat kepada Quartararo pula, Jarvis berkata, “Quartararo akan menjadi seorang rookie, tapi beliau muda – cuma 19 tahun – dan berbakat. Prestasinya mungkin tidak begitu baik dalam setahun dua dulu, tapi tahun ini beliau menunjukkan keyakinan. Kes seperti Syahrin telah menunjukkan ada kalanya anda boleh membuat pilihan, dan jika pelumba itu ada bakat dan dibawa masuk tanpa harapan tinggi, mereka akan menunjukkan prestasi baik.”

    Berkenaan dengan kelengkapan yang akan dibekalkan oleh Yamaha kepada pasukan itu, ramai yang tertanya. Jawab Jarvis, “ia akan menjadi sesuatu seperti pasukan Tech 3 atau mungkin juga lebih daripada itu. Seperti yang diketahui, pasukan Tech 3 pada tahun hadapan akan bertukar kepada jentera KTM.

    GALERI: Franco Morbidelli


    GALERI: Fabio Quartararo

     
     
  • Rancangan mansuhkan tol ditangguh sementara waktu

    Rancangan mansuhkan tol ditangguh sementara waktu

    Kerajaan menyatakan bahawa kutipan tol akan diteruskan ketika ini kerajaan tidak berhasrat untuk menyerap kesan kewangan sekiranya kutipan tol dimansuhkan, lapor The Sun.

    Di dalam manifesto PRU14 lalu, Pakatan Harapan (PH) menyatakan akan memansuhkan tol lebuhraya secara berperingkat. Oleh kerana ia akan membuatkan kerajaan menanggung kos sehingga RM400 bilion sekiranya pemansuhan itu dilakukan, menteri Kerja Raya, baru Bian memaklumkan bahawa kerajaan PH menangguh sementara langkah itu sehingga satu masa yang akan dimaklumkan nanti – bergantung kepada kedudukan kewangan semasa negara.

    “Selepas mempertimbangkan faktor ini, kerajaan bersetuju untuk menangguh cadangan pemansuhan tol sehingga keadaan ekonomi kembali stabil dan mengizinkan. Kerajaan bagaimanapun akan mengkaji pilihan yang lebih praktikal untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat,” jelas beliau di Dewan Rakyat.

    Bulan lalu, CEO KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan telah memaklumkan, kutipan tol di lebuhraya tidak boleh dimansuhkan dalam tempoh 100 hari memandangkan kerajaan mempunyai keutamaan perbelanjaan kewangan yang lebih penting, yang perlu didahulukan ketika ini. Proses itu juga rumit, kerana melibatkan beberapa pihak berkepentingan.

    “Saya fikir kerajaan juga mahu berlaku adil kerana penghapusan tol dan pampasan kepada pemegang konsesi akan memindahkan beban kepada pembayar cukai dan saya rasa (berlaku adil) adalah keutamaan kerajaan,” katanya sebelum ini.

     
     
  • GIIAS 2018: Wuling pertonton SUV yang akan masuk Indonesia, asas daripada Baojun 350 pasaran China

    GIIAS 2018: Wuling pertonton SUV yang akan masuk Indonesia, asas daripada Baojun 350 pasaran China

    Dua pengeluar kenderaan dari China iaitu Dongfeng dan SAIC-GM-Wuling memasuki pasaran China dengan langkah yang berbeza. Wuling memilih untuk menembusi pasaran yang lebih besar dan menaik melalui model MPV, manakala Dongfeng pula, melalui jenama DFSK (Sokon) memilih model SUV Glory 580 yang lebih besar sebagai produk utama.

    Selepas MPV Confero dan Cortez, Wuling juga nanti mungkin akan memperkenalkan model SUV. Ini kerana syarikat itu telah membawa sebuah model SUV ke pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2018, dan ia adalah sebuah model yang diasaskan daripada Baojun 530 pasaran China – juga merupakan produk keluaran SAIC-GM-Wuling.

    Baojun 530 dilancarkan di China Mac lalu, dan ia merupakan sebuah kenderaan lima tempat duduk dengan ukuran 4,655 mm panjang dan 1,835 mm lebar – hampir sama dengan DFSK Glory 580. Sama seperti Hyundai Santa Fe terbaru, lampu paling atas pada bahagian depan SUV Wuling ini hanya adalah untuk lampu siang LED, manakala lampu utama pula terletak di bawah.

    Di pasaran China, Baojun 530 ditawarkan dalam lapan varian dengan piihan enjin 1.8 liter NA atau 1.5 liter turbo yang dipadankan bersama transmisi manual dan automatik enam kelajuan, atau klac berkembar. Pilihan enjin petrol 1.8 NA dan 1.5 turbo ini sama dengan pilihan yang disediakan bagi Glory 580. Kuasa juga hampir sama iaitu sekitar 147 hp dan 230 Nm tork. SUV pacuan roda hadapan ini dilengkapi dengan stereng EPS, suspensi depan McPherson dan suspensi belakang independent.

    Kelengkapan lain yang diberikan adalah termasuk brek ABS, EBD, BA, ESC, Hill Hold COntrol, brek parkir elektronik, pengesan jarak depan dan belakang, kamera undur, sistem pemerhati tekanan tayar, enam beg udara, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin, cruise control, skrin sesentuh lapan inci dengan navigasi serta sistem bunyi Harman Infinity.

    Di China, Baojun 530 dijual pada harga bermula RMB 75,800 (RM45,162) hingga RMB 115,800 (RM68,994). Walaupun begitu, spesifikasi penuh untuk kenderaan yang akan diperkenalkan di Indonesia masih belum disiarkan dan kajian sedang dijalankan. Menurut wakil Wuling, SUV ini masih belum bersedia untuk pelancaran pada tahun ini.

     
     
  • Ford Focus akan dijadikan asas bagi model SUV baru

    Ford Focus akan dijadikan asas bagi model SUV baru

    Ada laporan yang menyatakan bahawa Ford bakal memperkenalkan sebuah SUV kecil yang diasaskan oleh model Focus kelak. Model SUV baru berkenaan akan berkongsi bahagian yang sama dengan Focus generasi keempat (seperti Ford Focus Active 2019 sebelum ini), begitu juga dari model Escape/Kuga generasi terbaru. Bezanya, ia akan lebih cenderung ke arah penggayaan off-road yang lebih ranggi.

    Menurut Naib Presiden Eksekutif Ford bagi pembangunan produk, Hau Thai-Tang, model yang belum dinamakan itu akan diposisikan sebagai sebuah kenderaan dengan kecenderungan off-road serta dengan tanda harga yang lebih premium, menurut sebuah laporan Reuters.

    Penawaran itu nanti akan menjadi petunjuk bagaimana pengeluar kenderaan Amerika itu akan memperbaharui barisan produknya yang terbaru, antaranya dengan memanfaatkan binaan yang lebih pelbagai serta peningkatan terhadap perkongsian peralatan untuk membolehkan sesebuah produk baru itu masuk ke pasaran lebih cepat.

    Sumber yang rapat dengan perkara ini pula menyatakan, model baru yang kemungkinan diperkenalkan tahun depan sebagai model tahun 2020 akan mengenakan rekaan yang diwarisi dari model Bronco dari tahun 1960an. SUV terbaru ini selari dengan perubahan arah tuju yang dilakukan oleh Ford di Amerika Utara, yang telah mengumumkan bakal memberhentikan pengeluaran model sedan kerana permintaan yang semakin kurang.

    Ford Focus Active 2019

     
     
  • Kawasaki H2 2019 – kuasa dinaik menjadi 231 PS, panel instrumen dan brek baru, cat boleh elok sendiri

    Kawasaki H2 2019 – kuasa dinaik menjadi 231 PS, panel instrumen dan brek baru, cat boleh elok sendiri

    Semasa acara Bonneville Speed Week di Amerika Syarikat, Kawasaki telah mendedahkan versi terbaru bagi motosikal supercharge mereka iaitu H2 2019. Dalam keadaan asal sebelum ini sahaja, H2 sudah mempunyai senarai spesfikasi yang mengagumkan, dan untuk model 2019 ini ia ditingkatkan lagi.

    Paling menjadi perhatian adalah kuasanya. Daripada 200 PS yang didapati daripada enjin empat silinder selari 998 cc supercharge sebelum ini, ia dinaikkan kepada 231 PS pada 11,500 rpm. Enjin yang sama masih lagi digunakan, tetapi ditambah baik dengan peralatan daripada H2SX seperti ECU, salur udara, penapis udara, palam pencucuh dan beberapa yang lain.

    Setelah kuasa ditingkatkan, Kawasaki turut menaik taraf angkup brek hadapan H2 2019 dengan unit sama seperti yang terdapat pada Ducati Panigale V4 iaitu Brembo Stylema empat piston yang dipadankan bersama cakera separa terapung 330 mm.

    Kemudiannya untuk tayar, apabila keluar dari kilang, H2 2019 akan dipasang terus dengan tayar sport Bridgestone Battlax RS11, iaitu yang bersaiz 120/70 R17 di hadapan dan 200/55 R17 di belakang. Bagi lampu pula, semua lampu yang ada pada H2 2019 kini menggunakan sistem LED termasuk lampu nombor plet.

    Satu lagi ciri menarik bagi model baru ini adalah ia diperkemas dengan cat baru yang dikatakan dapat menghilangkan calar tertentu secara sendiri seterusnya mengekalkan warna krom unik padanya untuk tempoh yang lebih lama.

    Selain daripada itu, model baru ini juga didatangkan dengan panel instrumen TFT berwarna baru dan pemilik boleh menukar mod paparan dalam empat pilihan. Panel ini mempunyai pelbagai informasi termasuk kadar boost, dan ia turut disediakan dengan sistem sambungan kepada telefon pintar baru.

     
     
  • GIIAS 2018: Kia Sportage facelift turut dipertontonkan

    GIIAS 2018: Kia Sportage <em>facelift</em> turut dipertontonkan

    Walaupun Kia tidak hadir secara rasmi di pameran GIIAS 2018, tetapi sebuah model Kia Sportage facelift tetap kelihatan – dengan penampilan bagi generasi keempatnya yang lebih segar, diletakkan pada ruang pameran sebuah syarikat filem penapisan haba.

    Model berkenaan didedahkan pertama kali pada Mei lalu, model ini menerima enjin baru, dengan sedikit perubahan penampilan dan tambahan bagi ciri keselamatan dan infotainmen. Antara pembaharuan yang dibawa ialah rekaan baru bagi bampar depan dan belakang, serta rekaan lampu depan dan belakang.

    DRL terdiri daripada empat lampu LED, sama seperti Cerato dan Ceed. Versi GT-Line yang dapat dilihat pada model dalam gambar ini turut dilengkapi dengan gril radiator hitam, skid plate hitam-perak dan kemasan krom hitam.

    Tambahan terbesar ialah enjin diesel mild-hybrid EcoDynamics+ 48V yang ditawarkan untuk pasaran Eropah. Ia menggabungkan enjin diesel 2.0 liter ‘R’, bateri 48-volt dan unit penghidup-generator mild-hybrid. Menurut Kia, ini memberikan pengurangan pembebasan CO2 sebanyak 4% mengikut piawaian WLTP.

    Enjin baru ini dipadankan dengan sistem pacuan semua roda, dengan kotak gear enam-kelajuan manual atau transmisi automatik lapan-kelajuan baru. Untuk pasaran Eropah dan Korea Selatan, Sportage baru ini juga ditawarkan dengan enjin 1.6 liter ‘U3’ turbodiesel dengan teknologi SmartStream. Pembakarannya lebih ceap, dan dengan sistem suntikan baru, ia 18 kg lebih ringan dan hadir dengan dua pilihan output; 115 atau 136 PS.

    Kia Sportage facelift ini juga boleh dipilih untuk dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan termaju Kia ketika ini, termasuk kawalan cruise pintar dengan Stop & Go, Surround View Monitor dan Driver Attention Warning.

     
     
  • MAI dan Institut Otomotif Indonesia berganding bahu ke arah program membangunkan kereta ASEAN

    MAI dan Institut Otomotif Indonesia berganding bahu ke arah program membangunkan kereta ASEAN

    Institut Automotif Malaysia (MAI) dan Institut Otomotif Indonesia (IOI) telah menandatangani perjanjian persefahaman untuk mengadakan kerja sama jangka panjang untuk pembangunan industri automotif. Perjanjian itu ditandatangani di Jakarta sempena lawatan menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darrel Leiking ke sana.

    Antara perkara yang dibincang adalah berkaitan potensi pembangunan kereta ASEAN antara kedua-dua negara. Jun lalu, Tun Mahathir memberi bayangan kepada kemungkinan projek kereta antara Malaysia-Indonesia itu.

    Usaha sama berkenaan antaranya termasuk bagi persedian rantaian bekalan melalui peningkatan produk, proses dan kemampuan kaji selidik. Ia juga akan dilanjutkan untuk meneroka ke arah pembangunan kereta ASEAN antara kedua-dua negara.

    MAI dan Institut Otomotif Indonesia berganding bahu ke arah program membangunkan kereta ASEAN

    Bulan Mac lalu, kedua-dua institut telah mengadakan program padanan perniagaan bersama antara vendor-vendor industri automotif kedua-dua negara untuk mengenal pasti rakan perniagaan yang berpotensi. Sejumlah 18 vendor dari Malaysia dan 30 vendor Indonesia dari kluster pengilangan automotif berbeza telah mengambil bahagian, dengan 10 daripada vendor Malaysia berjaya mengenal pastii rakan perniagaan berpotensi dari Indonesia.

    MAI menyatakan, kedua-dua pihak akan terus memberi sokongan dan membantuk kerjasama antara vendor-vendor dari kedua-dua negara ini untuk program pembangunan akan datang. “Banyak lagi program yang akan dianjurkan oleh MAI dan IOI untuk meneroka peluang pasaran dan perpindahan teknologi,” jelas CEO MAI, Datuk Madani Sahari.

     
     
  • Proton Ertiga Xtra – bahagian dalaman dengan warna lebih gelap, skrin infotainmen, harga bermula RM56k

    Proton Ertiga Xtra – bahagian dalaman dengan warna lebih gelap, skrin infotainmen, harga bermula RM56k

    Serentak dengan majlis penyampaian hadiah untuk pusingan akhir Proton 1-Tank Adventure, jenama automotif dari Malaysia berkenaan turut memperkenalkan MPV enam-tempat duduk Ertiga versi kemaskini digelar Proton Ertiga Xtra.

    Kali ini, Ertiga masih kekal dengan tiga versi iaitu varian tertinggi Premium AT (menggantikan Executive Plus sebelum ini), serta dua varian lebih rendah Executive AT dan Executive MT. Jika anda lihat pada bahagian luar, Ertiga masih lagi kelihatan sama, tanpa apa-apa perubahan.

    Perbezaan terbesar pada Ertiga Xtra ini berbanding model asal adalah pada bahagian dalaman di mana kini kesemua model menerima fabrik berwarna perang lebih gelap pada tempat duduk dan kemasan pada panel pintu (kemasan lain masih kekal dengan beige), serta diberikan sistem infotaimen dengan skrin sesentuh 7 inci yang memberikan fungsi, Bluetooth, hubungan Smart E-link kepada telefon pintar bersama pemain DVD. Khas untuk model Premium, ia turut hadir dengan fungsi navigasi GPS.

    Proton Ertiga Xtra – bahagian dalaman dengan warna lebih gelap, skrin infotainmen, harga bermula RM56k

    Ciri lain masih lagi sama di mana model Premium menerima kemasan jalur krom pada perumah lampu kabus hadapan, cermin sisi boleh lipat berkuasa lengkap dengan lampu isyarat membelok, poket pada kedua-dua belakang tempat duduk hadapan (hanya pemandu untuk Executive), pelaras ketinggian pada tempat duduk pemandu, suis kawalan audio pada stereng serta dua tweeter untuk sistem bunyi.

    Manakala kesemua model menerima rim 15-inci dengan tayar 185/65R15, pendingin hawa manual, pendingin hawa kabin belakang pada bumbung (dengan kawalan kelajuan motor penghembus), empat pembesar suara, dua soket kuasa 12V (satu lagi untuk tempat duduk baris kedua) serta satu port USB.

    Unit janakuasa masih lagi sama dimana kesemua model enjin petrol K14B 1.4 liter DOHC dengan VVT dan sistem suntikan bahan api pelbagai titik dari Suzuki Swift generasi sebelum ini, berkuasa 92 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 130 Nm pada takat 4,000 rpm. Model automatik menerima kotak gear empat kelajuan, manakala manual pula diberikan transmisi lima-kelajuan.

    Bagi keselamatan pula, kesemua Ertiga Xtra diberikan dua beg udara, ciri ABS dengan EBD, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix serta penghadang hentaman sisi untuk mengurangkan risiko kecederaan kepada pemandu dan penumpang.

    Untuk kesemua ini, Proton Ertiga Executive MT dijual pada harga RM56,773 (RM56,713 sebelum ini), Executive AT berharga RM59,525 (RM56,084 sebelum ini) dan Premium RM62,278 (RM62,548 sebelum ini). Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan dengan insuran, tanpa GST mahupun SST – tentunya berbeza selepas 1 September ini setelah rejim cukai SST mula dilaksanakan semula.

     
     
  • GIIAS 2018: Toyota Vios TRD prototaip nampak garang

    GIIAS 2018: Toyota Vios TRD prototaip nampak garang

    Toyota Vios terbaru, yang dikenali dengan nama Yaris Ativ dengan enjin 1.5 liter di Thailand, telah dilancarkan di Indonesia April lalu. Hanya ada tahap kemasan E dan G ditawarkan ketika itu, dengan versi paling lengkap, TRD Sportivo tidak lagi diteruskan.

    Bagaimanapun, ketika pameran GIIAS 2018 yang berlangsung, Toyota Astra Motor ada mempamerkan sebuah model prototaip “Toyota Vios TRD” dengan penampilan yang lebih garang. Versi ini mengenakan bodykit lengkap yang lebih menonjol. Kemasan hitam turut menyuntik imej tersendiri seperti yang dapat dilihat pada perumah lampu kabusnya.

    Bukaan gril pada bahagian bampar bawah juga lebih luas. Ini sedikit sebanyak memberikan “rupa” yang berlainan. Di belakang juga membawa imej sporty yang sama, misalnya dengan tambahan spoiler pada bonet dan juga rekaan bahagian bawah bampar yang lebih “sibuk”.

    Unit yang dipamerkan ini menggunakan rim 17-inci (bukan dari TRD) dengan bahagian tiang A dan C mengenakan warna hitam. Bahagian dalamannya pula diberikan pembalut kerusi merah/hitam dengan logo TRD. Sebelum ini, Yaris Ativ TRD prototaip turut pernah ditunjukkan di Thailand Mac lalu. Kemungkinan besar versi TRD ini akan diperkenalkan secara rasmi nanti.

     
     
  • Proton luluskan 12 lagi pengedar bagi naiktaraf 3S/4S

    Proton luluskan 12 lagi pengedar bagi naiktaraf 3S/4S

    Dalam perkembangan terbaru berkaitan rangkaian dan naik taraf kepada pusat 3S/4S pengedarnya, Proton telah meluluskan 12 lagi pengedar untuk tujuan itu. Daripada jumlah berkenaan, enam merupakan pengedar baru untuk jenama itu, termasuk dua di Sabah.

    Senarai pengedar baru ini termasuk Victorange, Fook Loi Corporation, Ming Heng, Grand Arena Automotive dan YS Autoworld. Bagi Pengarah Eksekutif Kumpulan Fook Lai Cooperation, Thomas Chiu, beliau sentiasa yakin dengan kemampuan Proton untuk “bangkit dan menguasai pasaran sekali lagi”. Untuk itu, pihaknya melabur bukan saja untuk satu, tetapi dua cawangan – satu pusat 4S di Kota Kinabalu dan satu pusat 3S di Sandakan.

    CEO Ming Heng Motor, Eric Lee pula memberi penekanan terhadap pentingnya kepuasan pengguna. “Untuk kekal bagi jangka masa lama dalam perniagaan ini, keperluan pengguna perlu diutamakan. Pelangganlah yang akan menyampaikan kepada lebih ramai orang betapa baik atau buruknya layanan sesebuah jenama terhadap mereka,” jelasnya.

    Enam lagi pengedar merupakan mereka yang sedia ada, yang akan menaik taraf kepada pusat 3S atau 4S, dengan penampilan premis yang serba baru untuk memberikan pengalaman berbeza kepada pelanggan. Ini termasuk penggunaan warna identiti korporat yang baru, biru muda.

    Proton luluskan 12 lagi pengedar bagi naiktaraf 3S/4S

    Pengarah Urusan Tiang Siang Deluxe Auto, Steven Tan pula menjelaskan; “Untuk mengubah tanggapan orang ramai terhadap Proton, ia bermula dari cawangan atau bilik pameran. Kemudian, servis yang baik perlu diberikan kepada pelanggan, bukan hanya dari sudut jualan, tetapi lepas jualan juga.”

    Menurut Proton, syarikat itu telah meluluskan 93 premis untuk dinaik taraf kepada pusat 3S dan 4S. Jumlah ini merangkumi 85% daripada sasaran awal iaitu 109 premis yang ingin dicapai bagi tempoh menjelang Oktober tahun ini. Syarikat itu yakin akan dapat memenuhi sasaran berkenaan dengan tempoh yang masih berbaki ketika ini.

    “Semua rancangan kami mengikut jadual, dengan semua negeri rata-ratanya telah memenuhi kuota bagi naik taraf premis jualan melainkan lima negeri ini; Melaka, Johor, Terengganu, Perak dan Wilayah Tengah. Bagaimanapun, jumlahnya sangat sedikit. Kami yakin, sebelum Oktober, kami akan dapat mencapai keseluruhan 109 premis jualan yang sudah dinaik taraf kepada pusat 3S dan 4S,” jelas CEO Proton Edar, Abdul Rashid Musa.

     
     
  • Honda Malaysia umum senarai pemenang bagi “Sprint to the Suzuka Circuit” – bakal saksikan F1 di Jepun

    Honda Malaysia umum senarai pemenang bagi “Sprint to the Suzuka Circuit” – bakal saksikan F1 di Jepun

    Honda Malaysia telah mengumumkan senarai nama pemenang bagi kempen “Sprint to the Suzuka Circuit” yang dilancarkan April lalu. 10 daripada pelanggan bertuah Honda yang membeli dan mendaftarkan model Civic Type R FK8 dari 1 April hingga 30 Jun 2018 telah dipilih sebagai pemenang.

    Pemenang ditentukan berdasarkan jawapan paling kreatif bagi dua soalan ringkas. Setiap seorang daripada mereka akan menerima hadiah bernilai sehingga RM30,000. Ini termasuk dua tiket penerbangan kelas perniagaan, dua tiket untuk menyaksikan perlumbaan F1 2018 di Litar Suzuka di Jepun nanti serta penginapan lima hari empat malam di sana. Tidak lupa juga dua set cenderahati rasmi dari Honda.

    Sejak dilancarkan tahun lalu, tempahan untuk Civic Type R kini lebih daripada 100 unit. Dengan kelebihan tanpa cukai GST ketika ini, model berkenaan dijual pada harga RM301,928.

    Senarai pemenang adalah seperti berikut:

    Honda Malaysia umum senarai pemenang bagi “Sprint to the Suzuka Circuit” – bakal saksikan F1 di Jepun

     
     
  • GIIAS 2018: DFSK Dongfeng Sokon Glory 580 – SUV 1.5L tujuh-tempat duduk buatan China, dari RM69k

    GIIAS 2018: DFSK Dongfeng Sokon Glory 580 –  SUV 1.5L tujuh-tempat duduk buatan China, dari RM69k

    Dongfeng Sokon atau DFSK merupakan jenama baharu yang mengambil bahagian dalam Gaikindo Indonesia Internation Auto Show (GIIAS) 2018. Ia lebih dikenali sebagai Sokon di republik berkenaan, merupakan produk pertama bagi jenama dari China yang mendapat sambutan di sana, atas sebab utama ialah harganya yang murah.

    DFSK Glory 580 boleh dianggap seperti Honda CR-V dengan tujuh-tempat duduk, yang ditawarkan harga yang sama dengan Honda BR-V. Ia bermula dari Rp 245.9 juta (RM69,488) untuk 1.8 liter manual, dan versi paling tinggi dengan enjin 1.5 liter turbo dan CVT yang ditawarkan pada harga Rp 308 juta (RM87,042).

    Sebagai perbandingan, Honda BR-V berharga dari Rp 236.5 juta (RM66,836) hingga Rp 272.5 juta (RM77,010), sementara CR-V pula berharga dari Rp 437 juta untuk 2.0 NA (RM123,492) hingga Rp 511 juta (RM144,398) untuk varian tertinggi 1.5L turbo. Boleh dikatakan harga DFSK Glory 580 adalah setengah daripada harga CR-V.

    GIIAS 2018: DFSK Dongfeng Sokon Glory 580 –  SUV 1.5L tujuh-tempat duduk buatan China, dari RM69k

    Penggayaan Glory 580 sederhana sahaja, tetapi sedikit mirip dengan imej hadapan Honda HR-V dan kelihatan seperti Hyundai Santa Fe daripada bahagian sisi, sementara lampu belakang pula terang-terangan “diinspirasikan” dari Audi Q5 generasi pertama. Bahagian dalamnya pula ada sedikit sentuhan gaya seperti Volkswagen.

    Bgai suspensinya, SUV ini menggunakan topang MacPherson di hadapan dan torsion untuk belakang, dengan cakera brek dan roda 17-inci. Sokon berukuran 4,680 mm panjang dan 1,845 mm lebar, dengan 96 mm lebih lebar berbanding CR-V dan lebih sempit sebanyak 10 mm. Jarak rodanya pula 2,780 mm iaitu 120 mm lebih panjang berbanding CR-V. Seperti Honda di Indonesia, ia juga menawarkan dua tempat duduk yang kecil untuk barisan ketiga.

    Untuk bahagian mekanikalnya pula, ia adalah pacuan roda hadapan dengan enjin 1.8 liter naturally aspirated bersama hamburan kuasa 139 PS dan 187 Nm, dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan. Buat masa ini tiada 1.8L auto, jadi bagi mendapatkan CVT automatik (dengan mod manual), ia menawarkan enjin 1.5 liter turbo dengan 150 PS dan tork 220 Nm dari 1,800 hingga 4,000 rpm. Ia sedikit rendah berbanding CR-V dengan 190 PS/240 Nm, tetapi Honda ditetapkan dua kali ganda dari harganya kan. Manakala penjana kuasa 1.5T juga didatangkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

    GIIAS 2018: DFSK Dongfeng Sokon Glory 580 –  SUV 1.5L tujuh-tempat duduk buatan China, dari RM69k

    SUV Sokon ditawarkan dengan varian Comfort dan Luxury bagi 1.5L Turbo CVT (1.8L MT hanya Comfort sahaja). Comfort menerima kabin berwarna hitam, tempat duduk balutan kulit, roda stereng pelbagai-fungsi, GPS, corong udara belakang dengan panel kawalan, skrin sesentuh lapan-inci, brek parkir elektronik, kamera undur, ABS/EBD/BA dan dua beg udara.

    Bagi Luxury, sudah pasti menerima ciri yang lebih menarik termasuk rim dua tona, kemasan dalaman dengan dua-tona hitam-coklat (seperti foto di atas), tempat duduk pemandu dengan enam-cara larasan (dari empat), kemasukan tanpa kunci dengan butang push-start, skrin sesentuh 10-inci, cermin tingkap automatik naik/turun (dari hanya di sebelah pemandu sahaja), sistem pemantauan tekanan tayar, peringatan pemakaian tali pinggang keledar penumpang dan beg udara sisi yang menjadikannya sejumlah empat unit. Glory 580 dilindungi waranti tujuh-tahun atau 150,000 km.

    Dongfeng merupakan pengeluar kereta China yang memasuki dan melabur di Indonesia selepas Wuling. Dilancarkan pada November 2017, kilang di Serang dengan kos pelaburan US150 juta mampu mengeluarkan kapasiti sebanyak 50,000 unit setahun. Malah ia juga mempunyai perancangan untuk membina kilang enjin dengan kos pelaburan sebanyak $300 juta, dan Dongfeng mensasarkan untuk mengeksport Glory 580 dan trak pikap ke Thailand dan Vietnam, bermula tahun hadapan.

     
     
  • Grab, KWSP jalin MoU skim i-Saraan untuk pemandu

    Grab, KWSP jalin MoU skim i-Saraan untuk pemandu

    Penyedia perkhidmatan Grab telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menggalakkan pemandu-pemandu di bawah seliaan syarikat itu ikut serta dalam program simpanan persaraan sukarela, dikenali sebagai Caruman Sukarela Insentif Persaraan (i-Saraan).

    CEO KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata mereka yang mendaftar untuk program ini akan menikmati pilihan untuk simpanan selamat, memandangkan badan itu mempunyai rekod baik selama ini, sekali gus menjamin dan mempertingkat nilai simpanan pencarum bagi tempoh panjang, lapor Bernama.

    “Dengan mencarum untuk skim berkenaan, pemandu-pemandu Grab dapat menikmati manfaat yang sama seperti ahli-ahli KWSP yang lain, seperti agihan dividen tahunan bagi dana persaraan mereka, pelepasan cukai serta manfaat kematian,” jelas beliau dalam satu kenyataan.

    Shahril juga memaklumkan, bagi ahli berusia bawah 55 tahun, kerajaan akan menambah 15% lagi bagi sumbangan tahunan. Ini adalah sebagai tambahan kepada dividen dan manfaat lain, mececah sehingga maksimum RM250 setiap tahun sehingga 2022.

    Grab, KWSP jalin MoU skim i-Saraan untuk pemandu

    Melalui kerja sama dengan KWSP ini, ia membuka ruang kepada Grab untuk menyokong usaha kerajaan bagi mewujudkan sebuah eco-system perlindungan yang lebih menyeluruh, melalu langkah awal untuk memastikan nasib pemandu-pemandunya terjamin dan terbela, jelas ketua Grab Malaysia, Sean Goh.

    “Malah, daripada kaji selidik dengan pemandu-pemandu kami, 75% daripada mereka telah menyatakan minat untuk menyimpan untuk persaraan mereka menerusi kerja sama ini. Untuk itu, kami ingin menggalakkan mereka untuk memanfaatkan perkembangan ini yang dapat menjamin masa depan kewangan mereka,” tambah Sean.

    Syarikat juga akan menyumbang tambahan lima peratus daripada jumlah yang dicarum oleh pemandu-pemandu terpilih, dengan maksimum RM80 setahun, sebagai tambahan kepada insentif kerajaan.

    i-Saraan sebelum ini dikenali dengan nama Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia (SP1M), merupakan sebuah program yang membolehkan individu yang bekerja sendiri tanpa pendapatan bulanan tetap untuk menyimpan bagi tujuan persaraan mereka sebagai ahli KWSP.

     
     
  • GIIAS 2018: Hyundai Grand Starex, H-1 MPV facelift

    GIIAS 2018: Hyundai Grand Starex, H-1 MPV <em>facelift</em>

    Selain SUV Santa Fe, ruang pameran Hyundai di acara GIIAS 2018 turut disertai dengan sebuah lagi model yang juga tidak asing lagi di Malaysia, Hyundai Grand Starex versi wajah baru. Di Indonesia, model ini dikenali sebagai H-1.

    Pasaran Malaysia pernah menyaksikan beberapa versi facelift sebelum ini. Tetapi, untuk peringkat global, itu dilakukan hanya sekali sejak model ini diperkenalkan pada 2007. Kini ia muncul dalam facelift yang terbaru sekali lagi.

    Grand Starex dalam penampilannya yang terbaru ini menerima pembaharuan di depan; tidak lagi menggunakan lampu utama susunan menegak seperti dulu, sebaliknya hadir dengan lampu utama LED projektor trapezoid melintang. Gril besar masih lagi kekal dengan saiz seperti sebelumnya.

    Ruang masukan udara di bawah turut direka semula (dengan DRL LED), sementara bonet pula lebih tinggi untuk memberikan perlindungan yang lebih baik terhadap pejalan kaki sekiranya berlaku kemalangan. Bahagian belakang pula masih kekal sama, kecuali bampar bawah serta lampu belakang yang hadir dengan rekaan baru. Varian Elegance yang paling asas dipasangkan tayar 215/70 R16 manakala varian lebih tinggi seperti XG dan Royale menggunakan saiz 235/60 R17.

    Dengan bahagian luaran yang menerima perubahan sama seperti versi yang diperkenalkan untuk pasaran Korea Selatan Disember lalu, ruang dalaman pula lain ceritanya. Versi di Indonesia ini tidak menerima papan pemuka terbaru yang ditawarkan untuk pasaran domestik di Korea.

    Model ini ditawarkan dengan pilihan enjin termasuk Theta II 2.4 litre MPI petrol dan A2 2.5 litre CRDi turbodiesel (170 PS/441 Nm). Harga di Indonesia ialah dari Rp 487 juta (RM137,565) bagi XG petrol hingga Rp 599 juta (RM169,132) bagi Royale CRDi. Adakah Starex dengan wajah baru ini turut akan sampai di Malaysia?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025