Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mitsubishi Mirage lebih sporty, generasi baharu 2019

    Mitsubishi Mirage lebih <em>sporty</em>, generasi baharu 2019

    Setelah menamatkan riwayat sedan segmen-C Lancer, dan Eclipse yang kini dijelmakan menjadi crossover digelar Eclipse Cross, Mitsubishi bakal memperkenalkan model generasi baharu bagi Mirage, dijangka pada tahun 2019.

    Menurut laporan portal Jepun, Response, walau pun masih kekal dengan hatchback bajet, namun pengeluaran Mirage tetap diteruskan kerana masih mempunyai permintaan dalam pasaran global. Malah bagi generasi baharu ini, ia akan dijelmakan sebagai hatchback yang lebih sporty, memberikan persaingan terhadap Suzuki Swift.

    Mitsubishi Mirage lebih <em>sporty</em>, generasi baharu 2019

    Mirage baharu dijangka akan menerap beberapa rekaan Colt Ralliatt

    Generasi baharu ini akan menggunakan platform Common Modular Family (CMF-B) versi Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, berkongsi dengan Nissan March baharu dan SUV Juke generasi akan datang. Response turut meramalkan imej yang lebih agresif bakal dipertaruhkan, dengan wajah “Dynamic Shield” olahan jenama ini, serta ‘meminjam’ gaya overfender Colt Ralliart dan juga wing belakang dari gaya Evo – mungkin juga lebih sporty dan menguja dari itu.

    Gaya itu penting kerana enjinnya yang ditawarkan dijangka sederhana sahaja dengan penjana kuasa 0.9 liter pengecas turbo – sama seperti yang ditampilkan pada March baharu – yang didakwa mampu menghasilkan kuasa 95 PS, sama seperti enjin 1.5 liter empat-silinder turbodiesel. Bukan itu sahaja, versi elektrik sepenuhnya khabarnya dalam perancangan.

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class Sedan akan tampil hujung 2018 – jarak roda sama dengan hatchback, 0.22 Cd

    Mercedes-Benz A-Class Sedan akan tampil hujung 2018 – jarak roda sama dengan hatchback, 0.22 Cd

    Mercedes-Benz telah mengesahkan bahawa A-Class Sedan akan diperkenalkan buat pertama kali pada hujung tahun ini, dan ia adalah sebuah model yang berbeza berbanding A-Class L Sedan yang dilancarkan di China beberapa bulan yang lalu.

    Perbezaan utama adalah jarak roda, di mana model A-Class Sedan ini mempunyai jarak roda yang sama seperti A-Class hatchback iaitu 2,729 mm, berbanding 2,789 mm bagi model ‘L’ di China. Sebagai rujukan tambahan, A-Class L Sedan mencatat panjang 4,609 mm, lebar 1,796 mm dan tinggi 1,460 mm, dan ini adalah 190 mm lebih panjang, serta 20 mm lebih tinggi berbanding model hatchback – lebar pula masih sama.

    Buat masa ini, pengeluar dari Jerman ini tidak mahu mendedahkan dimensi penuh keseluruhan kenderaan, tetapi ada memberitahu tentang aerodinamik A-Class Sedan. Menurut mereka, sedan kompak baru ini mempunyai kadar rintangan angin (drag coefficient) paling rendah bagi kenderaan produksi iaitu pada tahap 0.22 dan bahagian hadapan cuma 2.19 meter persegi.

    Mercedes-Benz A-Class Sedan akan tampil hujung 2018 – jarak roda sama dengan hatchback, 0.22 Cd

    Hasil daripada pengiraan kompueter, simulasi CAE (computer-aided engineering) dan ukuran di dalam terowong angin di Sindelfingen, Mercedes-Benz berjaya mengoptimakan bentuk kereta ini untuk aerodinamik yang terbaik. Antara perinciannya adalah keliling lampu utama yang ditutup rapat serta panel yang hampir penuh di bawah kenderaan.

    Di bahagian lain, rim dan tayar juga ditala rapi untuk ciri aerodinamik, dan di belakang gril radiator terdapat sistem pengatup dua bahagian. Dakwa Mercedes, bahagian ini membantu menjadikan kawasan rintangan angin cuma 0.49 meter persegi.

    Selain daripada ciri aerodinamik ini, Mercedes juga ada menambah bahawa A-Class Sedan akan berkongsi banyak ciri seperti model hatchback, termasuk barisan enjin, sistem keselamatan dan bantuan pemandu, serta sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Ini adalah tambahan kepada ruang kepala lebih luas yang akan disediakan oleh model sedan ini.

    GALERI: Mercedes-Benz A-Class L Sedan di China

     
     
  • Toyota 86 TRD Special Edition 2019 – diberi kit pengendalian lebih mantap, hanya 1,418 unit

    Toyota 86 TRD Special Edition 2019 – diberi kit pengendalian lebih mantap, hanya 1,418 unit

    Jika di Jepun jenama yang melambangkan perlumbaan untuk Toyota kini didominasi oleh Gazoo Racing, tetapi untuk pasaran Amerika Syarikat nama Toyota Racing Development (TRD) masih lagi gah, terbukti dengan perlumbaan yang disertai oleh jenama tersebut masih lagi dikendali oleh TRD seperti di NASCAR. Terbaharu, Toyota telah memperkenalkan model baharu yang menggunakan nama sayap perlumbaan tersebut iaitu Toyota 86 TRD Special Editon 2019.

    Menurut Toyota, 86 TRD ini merupakan model paling ‘hardcore‘ dalam barisan model 86 yang terdiri dari dua lagi versi iaitu varian asas 86 dan 86 GT. Model ini diberikan set penyerap hentak berprestasi tinggi dari Sachs yang didakwa mampu memberikan respon stereng yang lebih tajam dan memberikan lebih kestabilan.

    Ia juga dibekalkan sistem brek dari Brembo bersaiz lebih besar dengan angkup empat silinder di hadapan dan dua silinder di belakang. Pengendalian kereta ini turut dibantu dengan set rim eksklusif bersaiz 18 x 7.5 jj dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 4 bersaiz 215/40R18.

    Toyota 86 TRD Special Edition 2019 – diberi kit pengendalian lebih mantap, hanya 1,418 unit

    Walau bagaimanapun tiada sebarang ubahsuai dilakukan pada enjin model TRD ini. Enjin boxer empat silinder asal dengan sistem suntikan terus D-4S masih lagi menghasilkan 205 hp pada takat 7,000 rpm dan tork maksima 211 Nm pada takat 6,400 rpm (model dengan transmisi automatik hanya menjana 200 hp/205 Nm). Kuasa masih dialirkan ke roda belakang menerusi pilihan kotak gear enam-kelajuan manual atau enam-kelajuan automatik.

    Bagi membezakan TRD Special Edition ini dengan 86 biasa, bahagian luaran model istimewa berkenaan diberikan kit badan TRD yang terdiri dari bampar hadapan, skirt sisi, bampar belakang dengan diffuser serta spoiler belakang. Kereta ini turut menerima tip ekzos keluli tahan karat TRD dan keseluruhan badan menerima warna eksklusif Raven, serta diserikan dengan grafik tiga-warna klasik TRD.

    Masuk ke kabin pula, tempat duduk model istimewa TRD ini diberikan balutan fabrik merah-hitam, tali pinggang keledar berwarna merah, roda stereng juga dengan kemasan merah-hitam dengan serlahan jahitan benang merah, dan juga balutan seperti sued Granlux pada atas papan pemuka bersama logo TRD yang disulam pada bahagian sisi kanan.

    Untuk ciri-ciri lain, model TRD ini masih berkongsi dengan model 86 GT antaranya sistem penghawa dingin dua zon automatik, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, dan juga skrin utama bersaiz 7-inci dengan sistem audio Pioneer dihubungkan kepada lapan pembesar suara. Ia juga dilengkapkan dengan skrin TFT MID bersaiz 4.2 inci yang memberikan bacaan seperti meter G-Force, jam randik, serta lengkung kuasa kuda dan tork.

    Toyota 86 TRD Special Edition 2019 ini hanya dihasilkan sebanyak 1,418 unit, dan ia akan dijual pada pasaran Amerika Utara dengan harga US$32,420 atau sekitar RM132k.

     
     
  • Jualan kenderaan bagi separuh pertama 2018 di Thailand meningkat 19.3%, pengeluaran naik 11.1%

    Jualan kenderaan bagi separuh pertama 2018 di Thailand meningkat 19.3%, pengeluaran naik 11.1%

    Federasi Industri Thai (FTI) memperlihatkan suasana dan pasaran industri automotif yang positif bagi negara itu, lapor Bangkok Post. Ini selepas Thailand mencapai pertumbuhan bagi pengeluaran, jualan domestik dan eksport pada separuh pertama 2018.

    Minggu lalu, FTI mendedahkan prestasi bulan Jun yang menggalakkan, di mana pengeluaran bertambah sebanyak 7.7% kepada 188,970 unit, didorong oleh trak pikap bagi tujuan eksport.

    “Eksport menunjukkan prestasi dan pertumbuhan yang lebih dari jangkaan kami disebabkan oleh pasaran luar utama negara, iaitu di Timur Tengah sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang rancak akibat kenaikan harga minyak,” jelas jurucakap badan itu, Surapong Paisitpatanapong. Jualan domestik bagi June melonjak 25.9% kepada 87,854 unit, naik 3.4% bagi tempoh bulan-ke-bulan.

    Disebabkan peningkatan angka bulan Jun ini, pengeluaran keseluruhan bagi separuh pertama 2018 meningkat sebanyak 11.1% bagi tempoh tahunan kepada 1.057 juta kenderaan. Jualan kereta di Thailand setakat separuh pertama 2018 ialah 489,118 unit, iaitu bersamaan dengan pertumbuhan 19.3% bagi tempoh sama tahun lalu. Eksport pula naik 4.8% bagi enam bulan pertama tahun ini kepada 561,960 unit, bernilai 290.892 bilion baht (+2.6%).

    Dengan prestasi kukuh setakat ini, badan itu bagaimanapun masih lagi belum menyemak semula angka-angka sasaran bagi tempoh penuh tahun ini. Pencapaian awal yang dijangkakan bagi tempoh penuh 2018 ialah 2.1 juta pengeluaran (dari 2 juta), jualan domestik antara 960,000-980,000 (dari 900k) dan eksport 1.12 juta (dari 1.1 juta).

     
     
  • Prolintas promosi aplikasi hantar isyarat kecemasan

    Prolintas promosi aplikasi hantar isyarat kecemasan

    Bagi pengguna Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Kajang SILK, Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) telah menyediakan aplikasi mudah alih baharu untuk anda. Aplikasi ini bagi membolehkan pengguna lebuhraya berkenaan menghantar isyarat kecemasan untuk meminta bantuan pasukan peronda.

    Menurut CEO Kumpulan, Datuk Mohammad Azlan Abdullah, aplikasi itu juga boleh digunakan bagi menerima maklumat trafik dan perkhidmatan lain di kesemua lebuhraya terbabit.

    Katanya, pengguna hanya perlu memilih jenis kecemasan pada aplikasi tersebut dan secara automatik lokasi mereka akan dapat dikesan oleh pasukan peronda menerusi GPS pada telefon pintar.

    Klik untuk besarkan

    “Pelaksanaan aplikasi ini adalah kesinambungan bagi kempen komunikasi #contactlahkami yang dilancarkan pada Mac 2017. Aplikasi ini adalah bagi mewujudkan komunikasi dua hala dengan para pengguna lebuhraya terbabit,” ujarnya.

    Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi App Store dan Google Play secara percuma. Bagi 1,000 pelanggan pertama yang memuat turunnya, bakal menerima baucar bernilai RM10.

     
     
  • Audi Q3 2019 – teaser mula disiar sebelum pelancaran

    Audi telah mula mengeluarkan teaser bagi model Q3 generasi kedua, yang dijadualkan bakal membuat penampilan global pertama 25 Julai nanti. Video di atas menunjukkan sedikit ciri pada crossover baru ini, yang akan memberi saingan kepada model seperti Mercedes-Benz GLA, BMW X1 dan Volvo XC40.

    Berdasarkan kepada apa yang ditunjuk, banyak ciri seperti yang pernah dilihat pada unit ujian memang akan diguna pada model produksi. Ini termasuk gril Singleframe yang lebih tajam, dan di setiap penjuru terdapat lampu utama yang lebih berbucu bersama lampu DRL unik. Pada bahagian bucu bampar hadapan, terdapat lubang udara (tapi tertutup).

    Di bahagian lain, Q3 generasi kedua ini mempunyai fender yang lebih kembung serta garisan badan yang lebih jelas di atas sedikit pada pembuka pintu. Berbeza dengan model generasi pertama, model baru ini juga akan mempunyai cermin sisi yang diletakkan rendah sedikit.

    Merujuk kepada spyshot sebelum ini, bentuk asas Q3 baru ini tidak akan jauh berbeza dengan model sekarang, dengan bahagian-bahagian kecil seperti lampu diubah sedikit. Video rasmi ini tidak menunjukkan bahagian dalam, tapi kita pernah melihat ciri seperti paparan instrumen digital, skrin sesentuh besar serta rekaan stereng baru melalui unit ujian.

    Pilihan biasa enjin diesel dan petrol mungkin akan ditawarkan pada Q3 baru ini, bersama pilihan pacuan semua roda Quattro. Ia juga dijangka dibangunkan atas platform MQB seperti kebanyakan model Q yang lain, dan mungkin nanti akan ditawarkan dengan enjin hibrid.

     
     
  • Honda Civic sedan kembali ke pasaran UK – hanya enjin petrol 1.0L dan diesel 1.6L, bermula RM104k

    16_Civic_Sedan_148-e1445249066696_BM

    Jika kita sudah lama tidak menerima Honda Civic versi hatchback, lain pula ceritanya di pasaran UK kerana negara berkenaan sudah sekian lama tidak menerima model Civic sedan empat pintu. Namun Honda telah mengumumkan bahawa pasaran UK akan menerima semula versi berkenaan menerusi model generasi kesepuluh bermula Ogos ini.

    Untuk pasaran tersebut, Civic sedan akan dijual pada harga bermula £19,395 (sekitar RM104k) dan hadir dengan satu pilihan enjin petrol dan satu enjin diesel. Untuk versi petrol, Civic sedan di UK hanya akan dijana tiga-silinder 1.0 liter turbo berkuasa 129 PS/200 Nm (Malaysia menerima model 1.5 liter Turbo berkuasa 173 PS/220 Nm) digandingkan sama ada dengan kotak gear enam-kelajuan manual atau CVT automatik.

    Manakala untuk versi diesel pula, Civic sedan akan menerima enjin 1.6 liter i-DTEC dengan talaan kuasa 120 PS. Enjin tersebut boleh dipilih sama ada menggunakan kotak gear manual enam-kelajuan ataupun automatik sembilan-kelajuan.

    Untuk varian, versi sedan ini juga akan menerima tiga spesifikasi varian asas SE, dan dua lagi varian lebih tinggi SR dan EX. Kesemua varian ini akan menerima sistem bantuan pemanduan Honda Sensing secara standard yang terdiri dari brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong dan juga cruise control adaptif. Bagi model dengan kotak gear automatik, ia turut dipadankan dengan fungsi low-speed follow.

    Honda Civic sedan kembali ke pasaran UK – hanya enjin petrol 1.0L dan diesel 1.6L, bermula RM104k

    Untuk model SR, ia ditambah dengan kelengkapan lain seperti lampu dan pengelap cermin automatik, penderia parkir dan juga sistem penghawa dingin automatik. Varian tertinggi EX pula diberikan lebih lagi ciri seperti lampu hadapan LED, upholsteri kulit pada tempat duduk dan juga pengecas telefon pintar tanpa wayar.

    Menurut jurucakap Honda UK, kehadiran model sedan ini akan melengkapkan barisan model Civic di UK. “Dengan hatchback dan sekarang model empat-pintu kini ditawarkan, kami mempunyai barisan model Civic yang mantap, sama ada untuk pelanggan korporat atau runcit yang sedang memcari kereta,” jelasnya.

    Sejak Civic dipisahkan pada generasi ketujuh di mana versi Asia/Amerika (ES) dan Eropah (EP), pasaran UK tidak lagi menerima model sedan sehinggalah pada generasi kesembilan, itupun hanya untuk versi hibrid, dan ia telahpun dihentikan sejak tujuh tahun lalu pada pasaran tersebut. Model generasi kesepuluh ini menyaksikan Civic mula dibina semula sebagai model global dimana kesemua pasaran di dunia, sama ada dari versi sedan atau hatchback dibina menggunakan platform yang sama.

    Namun untuk versi sedan empat pintu ini, pasaran UK menerima kereta yang dipasang di kilang Honda Turki, manakala versi hatchback kekal diproduksi di Kilang Honda Swindon, UK. Kemasukan Civic empat pintu ini juga menyaksikan Honda UK kembali menjual sedan setelah Accord dihentikan jualannya pada tahun 2015.

     
     
  • Ferrari failkan paten enjin turbo elektrik – laporan

    Ferrari failkan paten enjin turbo elektrik – laporan

    Ferrari telah memfailkan permohonan paten (gambar di atas) untuk enjin pengecas turbo elektrik empat-silinder dengan Pejabat Paten Eropah, menurut Autoguide.Di mana ia akan menjadi enjin empat-silinder pertama bagi jenama ini dalam tempoh lebih dua dekad.

    Mengikut paten ini, ia mempunyai turbin yang diletakkan di dalam saluran ekzos, dan didorong oleh gas ekzos. Tidak seperti pengecas turbo konvensional, tiada sambungan mekanikal antara turbin yang dipacu ekzos dan pemampat, sebaliknya tenaga diperoleh untuk menyimpan kuasa elektrik melalui penjana elektrik.

    Tenaga yang tersimpan kemudiannya akan digunakan untuk menjana motor daya tarikan (traction) dan akan membantu menggerakkan roda serta memaksa pemampat elektrik yang berfungsi sebagai komponen induksi dalam pelarasan tersebut. Idea di sebalik penggunaan elektrik bukan sahaja untuk mengurangkan turbo lag, tetapi juga untuk meningkatkan kualiti bunyi enjin pengecas turbo.

    Ferrari failkan paten enjin turbo elektrik – laporan

    Lebih cepat putaran turbin ekzos, nada ekzos yang lebih tinggi dapat diperoleh, menurut pemfailan paten tersebut. Ia juga bermaksud walaupun sesuatu seperti injap ekzos sama ada dibuka atau ditutup sepenuhnya, turbin membolehkan lebih banyak variasi nada terhasil dengan mengubah kelajuannya. Oleh kerana tenaga disimpan oleh penjana, prestasinya tidak akan berkurang jika ECU melambatkan turbin ekzos untuk mendapatkan bunyi yang diingini.

    Pengecasan turbo kini merupakan perkara biasa dalam barisan Ferrari, termasuk bagi model Portofino dan 488 Pista. Model pertama Ferrari bagi pengecas turbo ialah 208 GTS Turbo, juga model 2.0 liter dalam konfigurasi V8.

    GALERI: Ferrari Portofino

     
     
  • Benelli pilih Malaysia sebagai tapak ujian motosikal ASEAN, Best Shop pertama di Selangor kini dibuka

    Benelli pilih Malaysia sebagai tapak ujian motosikal ASEAN, Best Shop pertama di Selangor kini dibuka

    Yakin dengan kemampuan pengurusan syarikat di Malaysia, Benelli Global telah melantik Benelli Malaysia sebagai satu-satunya pusat ujian jalan di Asia Tenggara, yang membawa maksud, setiap produk baru yang akan dilancarkan untuk pasaran ASEAN akan diuji di Malaysia terlebih dahulu.

    “Kejayaan ini memberikan kita motivasi yang sangat besar. Pada tahun 2017 Benelli Malaysia menerima anugerah bagi pencapaian terbaik untuk kategori jualan global, pengurusan jualan rangkaian serta pelancaran produk,” kata pengurus besar MForce Bike Holdings Sdn Bhd, Asri Ahmad.

    Sementara itu bagi orang ramai, sebuah pusat sehenti bagi motosikal Benelli dipanggil Benelli Best Shop telah dibuka di Kajang, bawah pengurusan Kedai Motorsikal Tenaga Sdn Bhd. Ia terletak di No.2, Jalan Hentian 2, Pusat Hentian Kajang, Jalan Reko, 43000 Kajang, Selangor dan merupakan Benelli Best Shop pertama di Selangor. Secara keseluruhannya kini, ada empat Benelli Best Shop di Malaysia.

    Melalui pusat ini, orang ramai boleh menikmati pelbagai khidmat termasuk pameran dan jualan rangkaian penuh motosikal Benelli, pusat servis canggih serta jualan aksesori serta alat ganti. Ia dibuka dari jam 9 pagi hingga 7 malam bagi hari Isnin hingga Jumaat, dan 9 pagi hingga 6 petang pada hari Sabtu. Hari Ahad pula ia ditutup.

     
     
  • Kia Niro EV kini di Korea, tiba di Eropah akhir 2018

    Kia Niro EV kini di Korea, tiba di Eropah akhir 2018

    Kia Niro EV telah pun mula dijual di Korea Selatan hujung minggu baru-baru ini dan berjaya menerima pra-tempahan sebanyak lebih 5,000 unit sejak tempahannya bagi pasaran domestik ini dibuka pada Februari lalu.

    Niro EV diletakkan bersama varian hibrid dan plug-in hybrid Hyundai termasuk Hyundai Kona EV yang kini mencapai lebih 200,000 unit yang terjual diperingkat global sejak 2016. Secara keseluruhan, sebanyak 65,000 unit telah terjual di Eropah, di mana Niro EV bakal dipasarkan di sana pada akhir tahun ini.

    Ini merupakan kereta elektrik global kedua Kia selepas Soul EV, dijanakan oleh motor 204 PS/395 Nm, dengan pek bateri lithium-polymer 64 kWh. Ia mampu memacunya sehingga 450 km dalam julat pengecasan tunggal, dan pengecasan hingga 80% menerusi pengecas pantas 100 kW hanya mengambil lebih kurang 54 minit. Manakala versi yang kurang sikit kuasanya dengan penggunaan bateri lithium-polymer 39.2 kWh bakal ditawarkan kemudian.

    Kia Niro EV kini di Korea, tiba di Eropah akhir 2018

    Niro EV mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam 7.8 saat, dan Kia berkata ia turut memberikan kestabilan dan keseronokan pemanduan, hasil pusat graviti yang rendah. Pek bateri ditempatkan di bahagian bawab badan iaitu di lantai but. Ruang but pula mencecah 451 liter.

    Pada bahagian luar, versi EV ini boleh dibezakan dengan model hibrid dan plug-in hybrid melalui gril yang tertutup, bersama soket pengecas, serta bukaan udara pada bawah bampar yang direka semula dengan kemasan warna hijau dan lampu nyalaan siang LED berbentuk tajam. Kemasan hijau tadi turut digunakan pada bahagian bawah bampar, manakala side skirt pula kelihatan lebih sporty, bersama rim 17-inci baharu.

    Di dalamnya, ia menampilkan kemasan biru yang sama seperti di bahagian luaran, sementara rekaan pada konsol tengah telah diringkaskan bagi menempatkan tombol shift-by-wire. Untuk aspek keselamatan, kenderaan elektrik ini masih mengekalkan segala ciri yang ada pada model Niro yang lain, termasuk Front Collision Assist (FCA), Lane Keeping Assist (LKA), Smart Cruise Control (SCC), Driver Attention Warning (DVA) dan Back Collision Warning (BCW).

    GALERI: Kia Niro Hybrid

     
     
  • SIC dan TOC bekerjasama untuk program Bina Bakat

    SIC dan TOC bekerjasama untuk program Bina Bakat

    Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Kolej Automotif TOC (TOC) telah bekerjasama untuk mewujudkan satu program baru iaitu TOC Bina Bakat. Ia bertujuan untuk mengembangkan lagi bakat yang berpotensi untuk masa depan dalam sukan permotoran, dan pelajar boleh mendapatkan pinjaman 100%, dengan bayaran semula hanya perlu dilakukan apabila mereka sudah mendapat kerja.

    Melalui kursus Motorsport Technology, Automotive Technology, Master Technician dan Superbike Technician, TOC memberikan laluan permulaan atau tambahan untuk pelajar yang berminat untuk membina karier dalam sukan permotoran. Dalam kursus ini, mereka akan menerima 80% pengalaman praktikal dan akan menggunakan kenderaan sama seperti di dalam suasana kerja sebenar.

    Pengasas kolej TOC, Adeline Foo berkata, “ramai yang sedang berminat dengan sukan permotoran di Malaysia dan kita mempunyai bakat yang bagus seperti di dalam MotoGP. Sepatutnya, kemahiran lain juga perlu ditingkatkan.” Acara menandatangani perjanjian kerjasama ini juga dihadiri oleh pelumba profesional tempatan termasuk Hafizh Syahrin, Adam Norrodin dan Zulfahmi Khairuddin.

     
     
  • BMW Malaysia lancar pusat 4S baru Regas Premium Sabah di Kota Kinabalu – gantikan FM Autohaus

    BMW Malaysia lancar pusat 4S baru Regas Premium Sabah di Kota Kinabalu – gantikan FM Autohaus

    BMW Malaysia dengan pengedar sahnya, Regas Premium Auto telah melancarkan rangakaian pengedaran terbaru Regas Premium Sabah di Kota Kinabalu. Ia mengambil alih peranan daripada FM Autohaus dan akan beroperasi di lokasi sedia ada berkeluasan 53,500 kaki persegi yang terletak di Jalan Penampang.

    Pusat 4S berkenaan akan menyediakan berkhidmatan berkaitan kepada kenderaan BMW dan BMW Motorrad, termasuk kemudahan servis bagi jenama BMW i dan MINI. Regas Premium Sabah merupakan sebuah usaha sama antara TM Vision Auto Services, sebuah anak syarikat TBMC Group, dengan Regas Premium Auto.

    Regas Premium Auto juga merupakan wakil pengedar rasmi bagi BMW, MINI dan BMW Motorrad di negeri Sarawak. Syarikat itu juga turut mengendalikan jenama BMW i setakat tahun 2016, dan memperkenalkan kemudahan mengecas umum bagi BMW i yang pertama di Borneo, bertempat di CityOne Megamall Kuching tahun lalu.

    BMW Malaysia lancar pusat 4S baru Regas Premium Sabah di Kota Kinabalu – gantikan FM Autohaus

    “Dengan Regas Premium Sabah kini menjadi wakil pengedar terbaru kami di Kota Kinabalu, pemiliknya, Tan Brothers Machinery Company (TBMC) dan Kumpulan Syarikat Regas bukanlah asing dengan industri automotif premium di Malaysia Timur,” jelas Pengarah Urusan dan CEO BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl.

    Pasaran di Borneo menyumbang kepada 500 kenderaan bagi jualan BMW Group Malaysia, dengan Sabah sendiri menyumbang kepada 200 unit kenderaan. Pada 2017, syarikat ini menyaksikan peningkatan jualan sebanyak 17% bagi semua barisan model kenderaan berbanding 2016.

     
     
  • Sabah mahu tarik pelabur bangunkan kilang pembuatan kereta – sasar kerjasama Toyota, Nissan

    Sabah mahu tarik pelabur bangunkan kilang pembuatan kereta – sasar kerjasama Toyota, Nissan

    Sabah mengesahkan sedang merangka perbincangan dengan Toyota dan Nissan bagi membangunkan kilang pembuatan dan pemasangan kereta di negeri tersebut.

    Menurut Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Sarifuddin Hata, usaha tersebut bukan sahaja akan dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan malah membuka potensi lebih tinggi kepada industri hiliran, laporan Bernama.

    Sarifuddin berkata, inisiatif itu juga akan memberi pendedahan kepada Sabah untuk terus memacu sektor automatif dengan lebih pesat dalam tempoh masa lima hingga 10 tahun.

    “Rakyat tempatan Sabah berupaya untuk memaju sektor automotif ini melalui usaha yang turut dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah dengan melahirkan belia berkemahiran tinggi dan kreatif,” katanya.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI Mk7.5 pasaran Eropah dihentikan kerana undang-undang emisi baharu yang lebih ketat

    Volkswagen Golf GTI Mk7.5 pasaran Eropah dihentikan kerana undang-undang emisi baharu yang lebih ketat

    Jika sebelum ini Volkswagen Golf R Mk7.5 dilaporkan terpaksa dikurangkan kuasa sebanyak 10 PS, varian paling asas hot-hatch Golf GTI nampaknya lebih malang kerana jualannya di Eropah terpaksa dihentikan terus oleh VW kerana ujian penggunaan bahan api dan pencemaran baharu Worldwide Harmonised Light Vehicle Test Procedure (WLTP) yang lebih ketat dari NEDC akan dilaksanakan September ini, lapor Autocar.

    Walau bagaimanapun, Golf GTI Mk7.5 masih lagi dijual dalam varian Performance, berkuasa 245 PS (15 PS lebih berkuasa) dengan harga £1,465 atau sekitar RM7.8k lebih mahal dari versi standard (£29,930 atau sekitar RM160k pada pasaran UK).

    Satu lagi varian GTI yang lebih berkuasa iaitu Golf GTI TCR yang diinspirasikan dari jentera perlumbaan TCR sebenar juga bakal diperkenalkan dipasaran tahun ini, masih lagi menggunakan enjin 2.0 liter TSI yang sama, namun ditala bagi menghasilkan kuasa 290 PS dan tork maksima 370 Nm.

    Volkswagen Golf GTI Mk7.5 pasaran Eropah dihentikan kerana undang-undang emisi baharu yang lebih ketat

    Menurut Volkswagen, mereka tidak akan melakukan apa-apa perubahan pada varian asas Golf GTI berkuasa 230 PS berkenaan untuk mematuhi prosedur WLTP memandangkan generasi seterusnya, Golf Mk8 akan diperkenalkan pada tahun hadapan.

    Bagi Golf R Mk7.5 pasaran Eropah, jenama berkenaan terpaksa memadankan particulate filter khas pada sistem ekzos, secara tidak langsung terpaksa mengurangkan kuasanya dari 310 PS kepada hanya 300 PS.

    Prosedur WLTP ini bukan hanya menjejaskan Volkswagen, malah turut melibatkan kereta berkuasa tinggi dari jenama lain. BMW M3 F30 misalnya, juga terpaksa dihentikan terus kerana kos untuk memadankan particulate filter khas pada sistem ekzos model tersebut tidak berbaloi dan M3 hanya akan muncul semula dengan generasi baharu G80 pada tahun 2020 nanti.

    GALERI: Volkswagen Golf GTI Mk7.5 pasaran Eropah

    GALERI: Volkswagen Golf GTI Mk7.5 pasaran Malaysia

     
     
  • Perkhidmatan Komuter Ekspres Seremban-Nilai-KL Sentral kembali beroperasi mulai 25 Julai ini – Loke

    Perkhidmatan Komuter Ekspres Seremban-Nilai-KL Sentral kembali beroperasi mulai 25 Julai ini – Loke

    Selepas dihentikan selama beberapa tahun, perkhidmatan Ekspress Komuter Seremban-Nilai-KL Sentral akan kembali beroperasi pads 25 Julai (Rabu) ini. Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, ini sebahagian usaha kerajaan untuk menggalakkan rakyat menaiki pengangkutan awam, laporan Bernama.

    Katanya, perkhidmatan ekspres ini akan menawarkan satu trip sehala dari Seremban ke KL Sentral pada waktu pagi dan satu trip dari KL Sentral ke Seremban pada sebelah petang, dan hanya ditawarkan pada hari bekerja sahaja. Pada sebelah pagi, ia akan bermula di Seremban jam 7.08 pagi, tiba di Nilai pada jam 7.25 pagi, dan berhenti seminit untuk mengambil penumpang sebelum meneruskan perjalanan ke KL Sentral yang dijangka tiba jam 8.19 pagi.

    Manakala sebelah petang pula dari KL Sentral jam 5.55 petang, tiba di Nilai jam 6.50 petang dan dijangka tiba di stesen Seremban pada jam 7.10 malam.

    “Buat masa ini, tambang perjalanan yang dikenakan adalah sama dengan tambang biasa, iaitu dari Seremban ke KL Sentral RM8.70, Nilai ke KL Sentral RM7 dan Nilai ke Seremban RM3.60,” ujarnya kepada pemberita.

    Perkhidmatan Komuter Ekspres Seremban-Nilai-KL Sentral kembali beroperasi mulai 25 Julai ini – Loke

    Beliau turut memaklumkan telah berjumpa dengan pihak pengurusan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) sebulan yang lepas dan meminta mereka untuk memulakan kembali perkhidmatan ekspres ini memandangkan ramai penduduk Seremban bekerja di Kuala Lumpur.

    “Tren ini juga tren tambahan dan ia tidak mengganggu jadual perjalanan tren sedia ada. Ia mampu memuatkan 1,118 penumpang pada satu-satu masa, iaitu 328 tempat duduk dan 790 muatan penumpang berdiri,” ujarnya lagi.

    Loke turut berkata, beliau akan memastikan waktu perkhidmatan tren ini dipantau dan meminta pihak KTMB untuk menghantar laporan kepada pihaknya.

    “Saya akan cuba pastikan tren ekspres ini sampai tepat pada masanya dan saya telah meminta pihak KTMB untuk membuat satu aplikasi web dan mobile untuk memudahkan para penumpang memeriksa waktu perjalanan tanpa perlu tunggu di stesen-stesen,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025