Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota dan Subaru akan bangunkan 86/BRZ baharu?

    Toyota dan Subaru akan bangunkan 86/BRZ baharu?

    Jika mengikutkan laporan daripada Japan Times, Toyota 86 dan Subaru BRZ berkemungkinan akan datang dengan generasi kedua. Menurut sumber itu, versi serba baru 86 dan BRZ akan tampil pada tahun 2021, dan ini adalah lebih lambat berbanding informasi yang pernah dilaporkan sebelum ini.

    Antara perubahan yang dilaporkan sudah dirancang adalah termasuk enjin lebih besar – menjadi 2.4 liter daripada 2.0 liter – tetapi tidak diberitahu sama ada ia akan menggunakan sebarang pendesak kuasa seperti turbo atau supercharger. Permintaan popular untuk model sekarang ini adalah penambahan pengecas turbo, tetapi menurut ketua jurutera 86 dan Supra, Tetsuya Tada, ini akan mengganggu kestabilan kenderaan dan memerlukan platform serba baru.

    Toyota dan Subaru akan bangunkan 86/BRZ baharu?

    Kereta generasi baru ini juga dikata akan datang dengan lebih banyak teknologi, yang besar kemungkinan akan termasuk Subaru EyeSight, Toyota Safety Sense dan sistem bantuan pemandu lain. Pengendalian lebih mantap juga satu lagi bahagian yang akan dinaik taraf, dan platform Subaru Global (yang digunakan untuk Forester, XV dan Impreza) boleh menjadi permulaan yang baik.

    Toyota 86 dan Subaru BRZ sudah berada di pasaran sejak tahun 2011, dan telah diperbaharui pada tahun 2016. Model yang disegarkan semula tersebut sudah pun berada di Malaysia sejak bulan Julai tahun lepas, dengan harga jualan RM257,502 tidak termasuk insurans untuk 86 dan RM224,389 untuk BRZ.

     
     
  • Perodua perkenal sistem pemantau tekanan angin tayar Bluetooth, aksesori asli dalam barisan GearUp

    Perodua perkenal sistem pemantau tekanan angin tayar Bluetooth, aksesori asli dalam barisan GearUp

    Sebelum ini GearUp sering menampilkan aksesori melibatkan kosmetik untuk Perodua seperti kit badan dan seumpamanya. Terbaharu, Perodua telah mengumumkan satu aksesori baharu yang berbeza dari sebelum ini iaitu Smart Bluetooth TPMS (Tyre Pressure Monitoring System), iaitu sistem yang membolehkan anda memantau tekanan angin tayar setiap masa.

    Produk ini dibangunkan dan diproduksi secara tempatan, serta dijual pada harga pengenalan RM385 sehingga 30 Jun ini. Selepas dari tarikh berkenaan, sistem TPMS Bluetooth ini akan dijual pada harga RM430. Sama seperti barisan aksesori GearUp yang lain, ia dilindungi waranti selama enam-bulan selepas pembelian.

    “Dengan Smart Bluetooth TPMS, Perodua telah menjadi pengeluar kenderaan Malaysia pertama yang memperkenalkan sistem pemantau angin tayar yang berfungsi dengan aplikasi mudah-alih sebagai aksesori asli. Kami di Perodua bangga dengan mengutamakan produk tempatan dan berbuat perkara yang sama, menyumbang kepada ekosistem automotif tempatan,” kata pengarah urusan jualan Perodua, Datuk Dr Zahari Husin.

    Menurutnya lagi, dengan memastikan tayar sentiasa mempunyai angin yang mencukupi dan memanjangkan jangka hayatnya, ia juga secara tidak langsung mengurangkan penggunaan petrol serta membantu keselamatan keseluruhan sesebuah kenderaan itu.

    Smart Bluetooth TPMS ini terdiri dari empat penderia dan satu peranti yang diletakkan di dalam kereta. Setiap penderia berkenaan akan diskru pada setiap injap angin tayar, menggantikan tempat penutup injap biasa. Ia akan menghantar isyarat bacaan tekanan angin tayar kepada peranti di dalam kereta menerusi hubungan Bluetooth.

    Peranti berkenaan pula diberikan empat lampu, mewakili keempat-empat tayar kereta. Sekiranya tekanan angin pada mana-mana tayar berkurangan 8% dari jumlah yang disyorkan, ia akan mengeluarkan bunyi, manakala lampu penunjuk tayar yang dikesan tersebut pula akan menyala.

    Anda juga boleh memuat-naik aplikasi telefon pintar FOBO Tire untuk memantau tekanan angin dan juga suhu setiap tayar berkenaan juga menerusi hubungan Bluetooth. Aplikasi ini turut menyimpan data pada cloud bagi membolehkan ia dikongsi bersama pengguna lain yang dijemput, contohnya ahli keluarga terdekat.

    Tentu ramai yang bertanya adakah setiap penderia berkenaan mudah dicuri bukan? Menurut Perodua, setiap penderia tersebut boleh dikunci menggunakan spana kunci khas yang disertakan. Setiap penderia berkenaan menerima kuasa dari bateri sel-syiling, manakala untuk peranti pula berfungsi dengan bateri bersaiz AA (kesemua bateri diberikan sekali) dan ia turut diberikan penderia pergerakan bina-dalam, yang membolehkan ia dialih kepada mod tidur secara automatik sekiranya tiada pergerakan dikesan.

    Selain produk baharu ini dan juga kit-kit kemasan dan badan, Perodua GearUp turut menawarkan tempat duduk keselamatan untuk kanak-kanak pada Oktober tahun lalu. Kelebihan pada kesemua aksesori asli ini, anda boleh membelinya ketika menempah kereta baharu, dan kesemua jumlah berkenaan boleh dimasukkan sekali dalam jumlah pembiayaan kereta tersebut.

     
     
  • Manifesto PRU14 Barisan Nasional – tumpuan bagi penyediaan dan naiktaraf sistem pengangkutan awam

    Manifesto PRU14 Barisan Nasional – tumpuan bagi penyediaan dan naiktaraf sistem pengangkutan awam

    Sebelum ini, kami pernah laporkan berkaitan manifesto PAS untuk Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) yang menyentuh sedikit sebanyak tantang industri automotif negara. Terbaru, Barisan Nasional pula mendedahkan manifesto parti itu; walaupun tidak menyentuk industri automotif secara khusus, ia antara lain melibatkan aspek penyediaan pengangkutan awam.

    Daripada manifesto berkenan, BN ingin memberi penekanan terhadap pembangunan kemudahan dan rangkaian pengangkutan awam negara. Antara perkara yang disebut ialah bahawa parti itu akan terus menaiktaraf dan menyelenggara jalan-jalan Persekutuan dengan baik, sebagai alternatif kepada lebuhraya bertol.

    BN juga akan memperkukuh rangkaian pengangkutan di Sabah dan Sarawak melalui naiktaraf jalan-jalan luar bandar yang meliputi 12,500 km keseluruhannya.

    Manifesto PRU14 Barisan Nasional – tumpuan bagi penyediaan dan naiktaraf sistem pengangkutan awam

    Peluasan rangkaian lebuhraya juga akan diteruskan, termasuk pembinaan fasa ketiga Lebuhraya Pantai Timur (LPT), sementara bagi Lebuhraya Pantai Barat (LPB) dari Banting ke Taiping akan disiapkan menjelang tahun 2020 nanti.

    Sementara itu, pembinaan Central Spine Road – atau lebuhraya Kuala Krai-Kuala Pilah – akan diteruskan. Selain mengurangkan kesesakan trafik, laluan sepanjang 325 km yang menghubungkan Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan itu mensasarkan untuk memacu pertumbuhan ekonomi di sepanjang laluan berkenaan.

    Tumpuan turut diberikan kepada projek-projek prasarana seperti pembinaan jalan-jalan kampung, jambatan dan pemasangan lampu jalan tambahan. Paling utama ialah pembinaan sebanyak 383 jambatan kecil di seluruh negara untuk merancakkan lagi perhubungan antara kawasan terpencil dengan bandar-bandar utama.

    Bagi peringkat individu, di bawah rancangan Transformasi Nasional 50 (TN50) akan menyaksikan pengenalan pas pengangkutan awam TN50 (kos dari RM50-RM150). Ini akan membolehkan capaian terhadap pengangkutan awal secara bulanan bagi pelajar, belia bekerja dan warga emas serta yang kurang upaya.

    Manifesto PRU14 Barisan Nasional – tumpuan bagi penyediaan dan naiktaraf sistem pengangkutan awam

    Selain itu, sebagai tambahan kepada program MyLesen, subsidi akan disediakan bagi belia luar bandar yang memohon untuk mendapatkan lesen motosikal B2.

    Lagi berkaitan pengangkutan awam; servis bas perantara akan dipertingkat, terutama kawasan sekitar rangkaian keretapi/tren seluruh negara. Antara pembangunan rangkaian ini yang dimaksudkan ialah HSR Singapura-Kuala Lumpur, East Coast Rail Link sejauh 688 km yang akan menghubungkan Port Klang-Pengkalan Kubor serta kerja-kerja laluan Gemas-Johor Bahru sepanjang 197 km juga masih dalam pembinaan.

    Manifesto berkenaan juga menekankan beberapa projek lain, termasuk rapid transit system (RTS) antara Johor Bahru-Singapura, rancangan pembinaan landasan elektrik dari Subang Jaya ke Terminal Subang Skypark serta landasan berkembar di Lembah Klang – dengan 42 km trek yang akan dibaik pulih. Projek-projek lain termasuk pengenalan sistem pengangkutan bersepadu pintar (ITS), yang akan meliputi semua jenis pengangkutan dan trafik di seluruh negara. Anda teruja dengan manifesto ini?

     
     
  • Chevrolet Malibu facelift 2019 – varian RS baharu, CVT untuk model 1.5L turbo serta rupa yang lebih segar

    Chevrolet Malibu <em>facelift</em> 2019 – varian RS baharu, CVT untuk model 1.5L turbo serta rupa yang lebih segar

    Setelah diperkenalkan buat pertama kali pada 2015, sedan segmen-d dari jenama Amerika Syarikat – Chevrolet Malibu – kini telah muncul dalam bentuk facelift 2019. Selain dari menampilkan rupa yang lebih relevan dalam pasaran, model ini juga diberikan pelbagai tingkat taraf lain, termasuk unit transmisi baharu.

    Pada bahagian luar, model 2019 ini diberikan muka menampilkan gril hadapan yang lebih besar dan garang, serta sepasang lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED dengan grafik baharu, menjadikan ia kelihatan lebih agresif. Di bahagian belakang pula, Malibu facelift menerima lampu LED “dua elemen” berbentuk-Y, manakala pada sisi perubahan dapat dilihat pada set-set rim dengan rekaan baharu.

    Untuk fasa facelift ini, Malibu kini mempunyai versi RS dalam barisan modelnnya. Versi lebih sporty berkenaan menerima kemasan luaran berwara hitam termasuk pada gril hadapan dan emblem “bowtie” Chevy. Model tersebut juga turut diberikan spoiler belakang, rim 18-inci dengan kemasan digilap serta dua tip ekzos. Walau bagaimanapun, Malibu RS masih kekal menggunakan lampu belakang lama, tidak menerima unit yang berbentuk-Y.

    Masuk ke kabin, model RS berkenaan menerima balutan kulit pada roda stereng dan juga tombol gear, bersama upholsteri fabrik hitam. Pemandu dan penumpang akan dihiburkan dengan skrin sesentuh lapan-inci pada sistem Chevrolet Infotainment 3 (dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto), manakala kamera undur diberikan standard pada semua varian. Untuk kemasan Premier, pemanas tempat duduk dan kluster informasi pemandu bersaiz lapan-inci yang boleh dikonfigurasikan semula turut ditambah.

    Chevrolet Malibu <em>facelift</em> 2019 – varian RS baharu, CVT untuk model 1.5L turbo serta rupa yang lebih segar

    Chevrolet Malibu 2019 hadir dengan tiga varian enjin petrol, bermula dari model asas yang dijana enjin turbo 1.5 liter berkuasa 160 hp/250 Nm yang digandingkan dengan kotak gear CVT baharu yang menggantikan kotak gear enam-kelajuan automatik. Manakala untuk versi paling berkuasa, ia digerakkan dengan enjin 2.0 liter turbo berkuasa 250 hp/352 Nm, bersama kotak gear automatik sembilan-kelajuan.

    Untuk versi lebih mesra alam Malibu Hybrid pula, ia menerima enjin petrol 1.8 liter berkuasa 182 hp, digandingkan dengan sistem dua motor elektrik dari Chevrolet Volt dan disuap dengan pek bateri lithium-ion 1.5 kWh, 80-sel. Dalam mod elektrik sepenuhnya, ia mampu dipandu pada kelajuan malar 55 bsj (88 km/j). Versi ini turut mengekalkan sistem Pemulihan Haba Gas Ekzos yang akan memindahkan haba dari ekzos untuk memanaskan enjin dan kabin.

    Untuk keselamatan pula, Malibu 2019 menerima platform keselamatan Teen Driver, 10-beg udara serta sistem kawalan kestabilan elektronik, ABS dan EBD. Ciri opsyen yang ditawarkan pula termasuk sistem amaran pejalan kaki hadapan, bantuan kekal lorong, cruise control adaptif dan pelbagai lagi. Selain dari RS, varian sebelum ini iaitu L, LS, LT, Premier dan Hybrid masih kekal ditawarkan pada pasaran Amerika Syarikat.

     
     
  • Hafizh Syahrin beri kejutan lagi di MotoGP Argentina

    Hafizh Syahrin beri kejutan lagi di MotoGP Argentina

    Setelah mendapatkan dua mata yang tidak dijangka pada perlumbaan pertama di Qatar tempoh hari, pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin sekali lagi memberikan persebahan yang sangat memberangsangkan pada perlumbaan MotoGP Grand Prix Argentina yang berlangsung semalam.

    Memulakan perlumbaan dari petak kedua terakhir, Hafizh – atau El Pescao – berjaya “meloloskan” diri untuk menduduki tempat kesembilan di akhir perlumbaan, dengan menunggang jentera Yamaha YZR-M1. Ini membolehkan beliau mendapat tujuh mata bagi kejuaraan ini, sebagai tambahan kepada dua mata yang diperoleh pada perlumbaan pertama – keseluhannya kini dengan sembilan mata.

    Dengan sembilan mata ini, Hafizh menduduki tangga ke-13 dalam kejuaran dunia berkenaan, dan menjadi pendahulu bagi pelumba-pelumba baru yang ada. Beliau mendahului sebanyak tiga mata dan enam mata di depan pelumba baru seperti Franc Morbidelli dari Itali dan Takaaki Nakagami dari Jepun.

    Hafizh Syahrin beri kejutan lagi di MotoGP Argentina

    Perlumbaan kedua MotoGP hujung minggu lalu menyaksikan banyak drama. Antaranya permulaan yang ditunda disebabkan penunggang-penunggang memilih untuk menukar semula kepada tayar biasa daripada tayar basah selepas litar bertukar kering.

    Penunggang Australia, Jack Miller yang menunggang jentera Ducati bagi pasukan Pramac Racing hanya sekejap menikmati kedudukan pendahulu sebelum dipintas kembali oleh Marc Marquez. Marquez juga kemudiannya sempat dikenalkan penalti kerana bertembung dengan Valentino Rossi, membuatkan Rossi terjatuh dari jenteranya walaupun dapat meneruskan perlumbaan semula selepas itu.

    Insiden itu membolehkan Miller, Alex Rins, Johann Zarco dan Cal Crutchlow berada di dalam kelompok di depan, dengan Cal Crutchlow dari pasukan CWM LCR Honda yang menunggang Honda RC213-V berjaya muncul juara dengan catatn masa 40 minit 36.342 saat.

    Hafizh Syahrin beri kejutan lagi di MotoGP Argentina

    Tempat kedua menjadi milik rakan sepasukan Hafizh dari Monster Tech 3 Yamaha, Zarco, dengan hanya ketinggalan 0.251 saat sementara tempat ketiga menjadi milik Alex Rins yang menunggang jentera Suzuki.

    Pelumba kegemaran ramai, Rossi pula sekadar menapatkan perlumbaan di tempat ke-19. Jorge Lorenzo menduduki tempat ke-15, sementara rakan sepasukan Ducati, Andrea Dovizioso ditempat ke-6.

    Bagi perlumbaan Moto2 pula, Khairul Idham Pawi dari pasukan Idemitsu Honda Team Asia menduduki tempat ke-24 diakhir perlumbaan. Manakala seorang lagi pelumba Malaysia, Zulfhami Khairuddin dari pasukan SIC Racing ditempat ke-26.

    Dalam kategori Moto3, Adam Norrodin dari Petronas Sprinta Racing berjaya menduduki tempat kelima, memberikannya tujuh mata berharga. Siri perlumbaan seterusnya akan berlangsung di Grand Prix Amerika di Austin Texas pada 22 April.

     
     
  • Lagi satu nombor plat khas muncul – kali ini abjad X

    Lagi satu nombor plat khas muncul – kali ini abjad X

    Lepas satu, satu lagi nombor pendaftaran siri khas diperkenalkan. Baru sahaja kami siarkan berkenaan nombor dengan abjad XX, kini ada pula siri baharu yang menggunakan abjad tunggal X.

    Tiada perincian sempena apa nombor pendaftaran siri ini dikeluarkan, tetapi ia berkemungkinan berkaitan dengan organisasi atau yayasan. Namun apa yang diketahui, nombor ini akan bermula dari X 1 hingga X 9999. Mereka yang berminat boleh membida nombor ini bermula 23 April nanti, manakala keputusannya akan diumumkan pada 7 Mei 2018.

    Jika anda berminat untuk membida nombor digit tunggal, anda perlu bermula dengan harga rezab minima RM50,000, manakala nombor dua-digit pula harga rezab ditetapkan pada RM10,000. Nombor tiga-digit pula perlu dibida pada harga minima RM3,000, manakala nombor empat-digit lain perlu dibida bermula RM1,000.

    Siri plat khas X dan XX ini akan mengikut jejak langkah siri YY dan UU yang diumumkan bulan lalu. Selain itu, kita juga sudah pernah lihat pelbagai lagi nombor plat khas yang dikeluarkan, sebagai contoh GG, GTR, VIP, PATRIOT, PERFECT dan banyak lagi.

     
     
  • VW Tiguan Comfortline – pakej ‘Wild’ RM5k diperkenal

    VW Tiguan Comfortline – pakej ‘Wild’ RM5k diperkenal

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah memperkenalkan pakej penggayaan ‘Wild’ untuk Tiguan Comfortline, dan ia dijual pada harga RM5,099. Melalui pakej ini, pembeli akan menerima pedal sport aluminium, hiasan pada but warna krom, plet krom pada tempat masuk barang, muncung ekzos krom, scuff plate dengan logo Tiguan dan penapis haba cermin “VW Tint”.

    Pakej ini adalah satu usaha pengedar tempatan untuk menaikkan imej Tiguan Comfortline, iaitu varian yang lebih rendah bagi SUV tersebut. Satu lagi varian yang terletak di atasnya adalah Highline. Tiguan Comfortline dipasang di Malaysia dan dijual pada harga RM149,578. Dicampur dengan pakej ini, harganya menjadi RM154,677, tidak termasuk insurans.

    Baru-baru ini juga, VPCM secara senyap telah menaik taraf sistem infotainmen MIB pada Tiguan Comfortline dan Highline, menyaksikan varian Highline didatangkan bersama sistem Discover Media lapan inci, manakala Comfortline pula mendapat sistem Composition Media bersaiz sama, tetapi tidak mempunyai naivgasi GPS dan kamera undur.

    VW Tiguan Comfortline – pakej ‘Wild’ RM5k diperkenal

    Tiguan generasi kedua ini dilancarkan di Malaysia hampir satu tahun yang lalu, dan ia dikuasakan oleh enjin TSI 1.4 liter dengan kuasa sebanyak 150 PS dan 250 Nm tork antara 1,500 hingga 3,500 rpm. Enjin turbo ini dipadankan bersama transmisi automatik klac berkembar enam kelajuan DSG dan dikatakan dapat memberi penggunaan bahan api 6.7 liter bagi setiap 100 km. Pecutan 0-100 km/j pula dapat dilakukan dalam masa 8.9 saat.

    Seperti model Volkswagen yang lain juga (bermula 1 Januari 2018), Tiguan datang dengan program penyelenggaraan percuma tiga tahun atau 45,000 km, jaminan pengilang lima tahun dan bantuan tepi jalan lima tahun. Anda boleh melihat spesifikasi penuh kenderaan ini di CarBase.my.

     
     
  • Lotus Exige Cup 430 Type 25 – tribute kereta lumba F1

    Lotus Exige Cup 430 Type 25 – tribute kereta lumba F1

    Lotus telah mengeluarkan sebuah model istimewa yang dinamakan sebagai Exige Cup 430 Type 25. Ia memberikan penghormatan kepada kereta lumba F1 Lotus yang pernah mendominasi perlumbaan pada tahun 1963, iaitu Type 25, dan dihasilkan sebanyak 25 unit sahaja.

    Type 25 layak untuk dihormati kerana sepanjang berlumba dalam F1 daripada tahun 1962 hingga 1967, ia telah mencatat pelbagai kejayaan dan paling diingati, menjadi juara keseluruhan – pemandu dan pengeluar – pada tahun 1963 dengan memenangi tujuh daripada 10 perlumbaan.

    Kereta lumba ini menaikkan nama pengasas Lotus iaitu Colin Chapman kerana menggunakan kejuruteraan yang berbeza dengan pesaing lain, antaranya menjadi kereta F1 pertama yang menggunakan rekaan casis fully stressed monocoque. Ia juga menjadi permulaan kepada kelahiran kereta lumba lain Lotus termasuk Type 33 dan Type 49.

    Lotus Exige Cup 430 Type 25 – tribute kereta lumba F1

    Bahagian luar Exige Cup 430 Type 25 ini boleh dipilih dalam warna Lotus Racing Green atau English White, bersama jalur pinstripe warna kontras pada splitter hadapan, bukaan udara di hadapan, penghadang cermin belakang unik, panel bumbung serta spoiler belakang.

    Pada bahagian belakang, kereta ini menggunakan tempat duduk lumba gentian karbon edisi Type 25 yang dibalut dengan Alcantara hitam, serta trim khas, dengan jalur unik pada penyandar kepala dan penyandar belakang, dengan jahitan kontras. Kemasan yang mempunyai warna sama seperti luar badan digunakan pada tempat duduk, konsol transmisi, keliling panel pendingin hawa dan ia diselitkan sekali dengan gentian karbon. Juga unik adalah tombol gear kayu seperti kereta F1 dulu.

    Di bawah hudnya masih terletak enjin V6 3.5 liter supercas sama seperti Exige Cup 430, dan ia mampu menghasilkan kuasa sebanyak 430 hp dan 440 Nm tork antara 4,000 hingga 6,800 rpm. Pecutan 0-100 km/j boleh dibuat dalam masa 3.3 saat dan boleh mencapai laju maksimum 290 km/j.

    Lotus Exige Cup 430 Type 25 – tribute kereta lumba F1

    Walaupun mempunyai berat cuma 1,056 kg, kereta ini masih mempunyai pendingin hawa, sistem hiburan single-DIN dengan sambungan iPod dan Bluetooth, cruise control dan pelapik kaki penuh dalam kenderaan, tetapi pemilik masih diberi pilihan untuk mendapatkan kereta yang kosong bagi menjimatkan berat.

    Transmisi pula adalah unit manual enam kelajuan, dan ia turut mempunyai sistem kawalan cengkaman boleh ubah (enam kedudukan boleh dipilih), penyerap boleh laras Nitron, anti-roll bar boleh laras Eibach, tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 dan angkup brek empat piston AP Racing.

     
     
  • GALERI: Perodua Myvi 1.3G dan 1.3 Premium X – senarai spesifikasi tak jauh beza, harga lebih murah

    GALERI: Perodua Myvi 1.3G dan 1.3 Premium X – senarai spesifikasi tak jauh beza, harga lebih murah

    Lima bulan selepas dilancarkan, Perodua Myvi terus menerima sambutan yang menggalakkan. Itu sudah boleh diagak. Namun, seperti yang berulang kali dinyatakan oleh pengeluarnya, apa yang tidak dijangkakan lebih awal ialah pengguna akan lebih ramai memilih untuk memiliki model 1.5L berbanding 1.3L.

    Sehingga kini, perhatian lebih banyak diberikan kepada model 1.5L, dan tempoh menunggu bagi model ini juga masih agak panjang jika anda membuat tempahan sekarang kerana permintaan terhadapnya masih begitu tinggi.

    Tetapi halnya berbeza dengan model 1.3L yang mempunyai banyak stok tersedia. Untuk itu, adakah berbaloi untuk menunggu lama bagi mendapatkan model 1.5L? Atau adakan penawaran pada model 1.3L ini juga memberi lebih nilai dengan tanda harga yang dikenakan.

    GALERI: Perodua Myvi 1.3G dan 1.3 Premium X – senarai spesifikasi tak jauh beza, harga lebih murah

    Bagi galeri ini, kami mempertemukan kedua-dua varian model 1.3L dalam warna Peppermint Green khusus untuknya; varian G dan juga Premium X. Kedua-duanya hadir dengan ciri standard seperti lampu utama LED, sistem tanpa kunci, empat beg udara dan kawalan kestabilan kenderaan (VSC). Ia juga kini lebih murah daripada model sebelumnya, dan datang dengan jaminan pengeluar lima tahun atau 150,000 km.

    Model ini menggunakan enjin 1.3 liter Dual VVT-i (1NR-VE) yang menghasilkan 94 hp pada 6,000 rpm dan 121 Nm pada 4,000 rpm. Ia dipadankan dengan sistem transmisi automatik elektronik empat kelajuan (hanya model asas 1.3L ada ditawarkan dengan transmisi manual lima-kelajuan). Ia juga lengkap dengan stereng kuasa elektronik dan rim 14-inci.

    Kedua-dua varian 1.3G dan 1.3 Premium X ini dilengkapi dengan sensor parkir, cermin sisi berkuasa dengan lampu isyarat pada unit yang sama, lampu belakang LED dengan light guide serta cermin depan akustik dan antena radio “shark fin”.


    Myvi 1.3G (kiri) dan 1.3 Premium X.

    Di dalam, kedua-duanya mempunyai suis tingkap automatik sebelah pemandu (naik dan turun), kawalan pendingin hawa digital, ruang barangan di tengah, unit radio DIN berkembar, sokongan SUB dan Bluetooth serta pengecas USB ditawarkan sebagai standard.

    Bagi varian 1.3L Premium X, ia mempunyai beberapa tambahan ciri. Ini termasuk lampu kabus halogen di depan, sensor parkir bahagian depan, sistem Eco Idle serta bantuan mula mendaki. Stereng juga dinaiktaraf kepada material kulit dengan butang kawalan audio dan telefon.

    Model 1.3L kini ditawarkan dengan senarai spesifikasi yang menarik juga, dan dijual pada harga yang lebih murah. Ia juga tidak jauh berbeza dari spesifikasi 1.5L – yang antara lain turut dilengkapi dengan enam beg udara dan Advanced Safety Assist (ASA, bagi varian paling tinggu sahaja).

    Ia menggunakan enjin 1.5 litre Dual VVT-i (2NR-VE) dengan janaan 102 hp pada 6,000 rpm dan 136 Nm pada 4,200 rpm. Walaupun lebih hanya lapan hp dan 15 Nm, untuk kereta saiz dan seberat Myvi, perbezaan prestasi pemanduan akan dapat dirasai dengan ketara.

    Lain-lain ciri yang menjadi kelebihan bagi model 1.5L ialah rim 15-inci, bodykit dwi-tona dan Smart-Tag binaan dalam. Bagi spesifikasi paling tinggi 1.5 Advance, ia menerima kerusi kulit, unit audio dengan skrin sentuh lengkap dengan navigasi dan Smartlink dan kemara undur. Tidak terlalu banyak beza dari model 1.3L sebenarnya. Satu lagi, warna Granite Grey yang khusus untuk 1.5L.

    Kalau anda ingin membeli Myvi sekarang, dan mahukan model 1.5L, kebarangkaliannya adalah anda mungkin perlu tunggu lama dan tak akan mendapat serahannya untuk Hari Raya nanti. Melihat kepada senarai spesifikasinya, model 1.3L juga tidak ketinggalan jauh, tambahan pula dengan tanda harga yang lebih murah. Adakah 1.3L ini sudah memenuhi keperluan anda? Kalau ya, kenapa perlu tunggu lama-lama untuk dapatkan model 1.5L?

    Perodua Myvi 1.3G

    Perodua Myvi 1.3 Premium X

     
     
  • VIDEO: Honda Mean Mower Mk.2 kini bersedia rampas semula rekod mesin rumput paling laju di dunia

    Bulan lalu Honda telah mengumumkan mereka akan merampas semula rekod mesin rumput paling laju di dunia menerusi yang jentera baharu dibina, digelar sebagai Mean Mower Mk.2. Terbaharu, satu lagi video pendek disiarkan, memaparkan mesin rumput berkenaan telah dihidupkan oleh pemandunya, Jess Hawkins, dan bersedia untuk memcahkan rekod tersebut.

    Mesin rumput terbaharu ini dijana enjin 1,000 cc dari Honda Fireblade dan dirombak semula bagi menghasilkan kuasa 190 hp, serta digandingkan dengan kotak gear sequential enam-kelajuan. Transmisi tersebut turut menerima sentuhan semula dengan gear satu yang jauh lebih panjang, bagi membolehkannya mencatatkan masa pecutan 0-60 bs/j (0-96 km/j) dalam masa tidak sampai 3 saat.

    Namun perubahan yang benar-benar membantu memperbaiki prestasi mesin rumput terkini ini adalah kedudukan tempat duduknya. Menerusi Mean Mower Mk.2, tempat duduk perlumbaan gaya go-kart dipadankan dan terletak sangat rendah pada casis bagi membolehkan geseran aerodinamik yang disebabkan oleh pemandu dapat dikurangkan.

    Selain itu, mesin rumput berprestasi tinggi ini turut dipadankan dengan tayar perlumbaan dari Hoosier, pedal-box gaya-perlumbaan, roda stereng Sparco dan juga sistem brek dengan cakera berliang bersaiz besar – ia masih lagi mampu untuk memotong rumput walaupun diubahsuai berorientasikan kelajuan.

    VIDEO: Honda Mean Mower Mk.2 kini bersedia rampas semula rekod mesin rumput paling laju di dunia

    Jess Hawkins yang bakal menggalas tugas memandu mesin rumput ini pula sebenarnya adalah seorang pemandu go-kart handalan dan pemenang tempat kedua Mini Challenge Great Britain 2017.

    Menyentuh kemampuannya untuk memotong rumput, menurut Honda, Mean Mower Mk.2 ini boleh digunakan untuk tujuan berkenaan tanpa had kelajuan seperti pada Mean Mower asal – bermaksud anda boleh memotong rumput walaupun pada kelajaun 100 bs/j. Bilah pemotong rumput berkenaan pula diperbuat dari material gentian-karbon, dan digerakkan dengan sebuah motor elektrik kecil.

    Rekod mesin rumput paling laju di dunia buat masa sekarang dipegang oleh sebuah mesin rumput Stihl T6 yang diubahsuai sebuah syarikat dari Norway dengan menyumbat LS V8 dari GM. Mesin rumput berkenaan mencatatkan rekod kelajuan maksima 215.7 km/j, dan memadamkan rekod yang dicatatkan oleh Honda Mean Mower Mk.1 dengan kelajuan maksima 187.6 km/j.

     
     
  • Sistem VEP di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura bakal bermula pada penghujung April ini

    Sistem VEP di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura bakal bermula pada penghujung April ini

    Implementasi caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) kepada semua kenderaan berdaftar di negara asing yang memasuki Malaysia melalui Tambak Johor dan Lebuh raya Linkedua dijangka bermula hujung bulan ini, menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi dalam laporan Bernama.

    Menteri berkenaan menjelaskan lagi bahawa sistem VEP berkenaan kini sedang menjalani ujian bersama ‘Touch ‘n Go e-Wallet’ bagi tujuan pembayaran caj jalan raya (RC) tanpa tunai. Perlaksanaan sistem tersebut juga akan melibatkan kerja-kerja pengubahsuaian, pemasangan infrastruktur dan pembangunan sistem integrasi melibatkan (JPJ) Jabatan Pengangkutan Jalan, PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan Kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia).

    “Selain itu penyelasaran prosedur dengan agensi-agensi yang berada di pintu sempadan juga perlu dimuktamadkan sebelum pelaksanaan VEP,” kata Abdul Aziz ketika menjawab soalan Anuar Abdul Manap (BN-Sekijang) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

    Sistem VEP di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura bakal bermula pada penghujung April ini

    AppleMark

    Menurutnya lagi tag VEP berkenaan yang menggunakan teknologi pengecaman frekuensi radio (RFID) dan diintegrasikan dengan sistem pembayaran tanpa menggunakan wang tunai yang dibangunkan ‘Touch ‘n Go’, akan turut dilaksanakan di laluan Malaysia-Thailand tahun ini.

    Sebagai tambahan, Abdul Aziz berkata kementerian bercadang untuk melaksanakan teknologi RFID yang boleh mengesan kenderaan klon dan mengenal pasti saman tertunggak kepada kenderaan tempatan pada awal tahun depan. Kerajaan juga kini sedang berbincang dengan pihak Touch ‘n Go untuk memberi tag RFID secara percuma kepada rakyat.

    Abdul Aziz turut menyatakan, sehingga kini kira-kira 450,000 kenderaan dari Singapura melalui kedua-dua laluan itu setiap bulan dengan melibatkan kutipan RC sebanyak RM150 juta.

     
     
  • Siri nombor plat khas bermula XX pula ditawarkan

    Siri nombor plat khas bermula XX pula ditawarkan

    Bila agaknya nak habis penawaran nombor plat siri khas ini? Walaupun sudah banyak dikeluarkan sebelum ini, ia nampaknya macam belum cukup. Terbaru, giliran siri nombor plat XX pula muncul untuk “direbut” oleh mereka yang mungkin berminat.

    Sekali lagi, ia dikeluarkan melalui Yayasan Modal Insan Harta (YMIH) – organisasi sama yang membawakan siri plat GG awal tahun ini. Masih belum ada sebarang perincian tentang bukaan tender atau harga permulaan bagi bidaannya, tetapi seperti biasa ia akan bermula dari XX 1 hingga XX 9999.

    Siri plat khas XX ini mengikut jejak langkah siri YY dan UU yang diumumkan bulan lalu. Selain itu, kita juga sudah pernah lihat pelbagai lagi nombor plat khas yang dikeluarkan, sebagai contoh GG, GTR, VIP, PATRIOT, PERFECT dan banyak lagi. Lepas ini apa pula yang akan muncul?

     
     
  • Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak siap lebih awal

    Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak siap lebih awal

    Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo bagi sektor di Sarawak, yang melibatkan jarak 1,089 km, dijangka siap lebih awal daripada jadual. Bernama melaporkan, pembinaan yang dijangka siap pada 2021 itu kini berada pada kadar dua peratus lebih cepat bagi pembinaannya.

    Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin di dalam sidang Dewan Rakyat semalam berkata, peratusan yang telah disiapkan pada bulan lalu bagi projek berkenaan ialah sebanyak 14.76% berbanding peratusan yang perlu dicapai mengikut jadual asal iaitu 12.78%.

    Beliau menjelaskan, projek pembinaan mega yang dari Telok Melano, Sematan ke Miri itu melibatkan 11 pakej pembinaan dan telah diselesaikan secara berperingkat sejak September 2016.

    “Kerja-kerja masih dijalankan bagi semua pakej berkenaan dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2021,” jelas beliau ketika menjawab pertanyaan dari Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) di Dewan Rakyat sesi semalam.

    Rosnah turut menambah, nilai kos bagi setiap pakej yang terlibat adalah antara RM580 juta hingga RM2.11 bilion.

     
     
  • GALERI: Honda Jazz, City, BR-V dan HR-V – White Orchid Pearl kini ganti warna solid Taffeta White

    Untuk barisan model 2018, Honda Malaysia (HM) kini tidak lagi menawarkan warna Taffeta White untuk model Jazz, City, BR-V dan juga HR-V dalam brosur mereka. Jadi, untuk menggantikan warna tersebut, jenama berkenaan menggantikannya dengan satu lagi jenis putih dengan efek mutiara iaitu White Orchid Pearl.

    Warna tersebut sebenarnya telah pun ditawarkan oleh Honda Malaysia sebelum ini, tetapi ia hanya pada model-model lebih premium iaitu Civic, Accord dan CR-V. Menurut HM lagi, penawaran ini adalah berdasarkan tinjauan terhadap penerimaan pembeli, di mana 38% pembeli Civic, 33% pembeli Accord dan 26% pembeli CR-V memilih warna premium berkenaan untuk kereta baharu mereka.

    Selain kilaun mutiara, White Orchid Pearl mempunyai lapisan kekuningan diatas warna asas putih berkenaan, berbanding Taffeta White yang tampil sebagai warna putih solid biasa. Oleh itu, Honda Malaysia mengenakan bayaran lebihan bagi pembeli yang berminat untuk memilih warna baharu berkenaan.

    Untuk model Jazz dan City bukan dari versi hibrid (model hibrid sememangnya diberikan pilihan warna ini sejak dilancarkan), pembeli yang berminat perlu menyediakan bayaran tambahan sebanyak RM120, manakala model BR-V dan HR-V yang lebih besar pula dikenakan sebanyak RM300. Jadi, sekiranya anda mahukan kereta Honda baharu anda dari model-model yang dinyatakan di atas dengan warna putih, anda perlu membayar lebih sedikit kerana warna solid Taffeta White kini tidak lagi ditawarkan.

    GALERI: Honda Jazz 1.5 V 2018

    GALERI: Honda City 1.5 S 2018

    GALERI: Honda BR-V 1.5 E 2018

    GALERI: Honda HR-V Mugen 2018

     
     
  • MINI Cooper S Countryman Sports tiba di M’sia – siap kit badan JCW, naik taraf kelengkapan, harga RM246k

    MINI Cooper S Countryman Sports tiba di M’sia – siap kit badan JCW, naik taraf kelengkapan, harga RM246k

    Selain MINI Cooper S E Countryman plug-in hybrid, MINI Malaysia turut melancarkan Copper S Countryman Sports hari ini. Ia datang dengan pelbagai aksesori John Cooper Works, dan menandakan kedatangan semula model pemasangan tempatan bersama model yang dikuasakan oleh enjin petrol, tetapi dengan harga lebih rendah.

    Model ini dijual pada harga RM245,888 tidak termasuk insurans, dan ini adalah RM24,000 lebih murah berbanding model Cooper S diimport sepenuhnya (CBU) yang dilancarkan tahun lalu, dan RM10,000 lebih murah berbanding Cooper S E. Pemilik juga diberikan jaminan selama empat tahun, tanpa had batuan dan servis berkala percuma.

    Pada bahagian luar, MINI Cooper S Countryman Sports dilihat datang dengan kit aerodinamik John Cooper Works yang lebih agresif, dengan bampar hadapan lengkap bersama salur udara di penjuru, serta diffuser dan spoiler di belakang. Melengkapkan penampilannya adalah rim JCW Course Spoke 19 inci dengan tayar run-flat.

    MINI Cooper S Countryman Sports tiba di M’sia – siap kit badan JCW, naik taraf kelengkapan, harga RM246k

    Masuk ke dalam pula, model ini dilengkapi dengan lapik bumbung warna anthracite, plet tepi pintu JCW dan sistem informasi dan hiburannya telah dinaik taraf dengan unit yang lengkap bersama sistem navigasi skrin sesentuh 8.8 inci (sebelum ini 6.5 inci), 12 pembesar suara dan sistem bunyi Harman Kardon.

    Sama seperti sebelum ini, kemasan yang digunakan adalah kulit Carbon Black Cross Punch, stereng JCW dengan pedal penukar gear, perincian garis krom dan trim MINI Yours hitam berkilat dan berlampu. Kelengkapan lain yang didatangkan secara terus adalah lampu utama dan lampu kabus LED, pengawal pendingin hawa dua zon, cruise control serta lampu dan pengelap cermin automatik.

    Turut diberi adalah cermin pandang belakang malap sendiri, tempat duduk sports larasan kuasa dengan simpanan memori bagi bahagian pemandu, Park Assist, pintu but kuasa dengan fungsi bukaan tanpa pegang dan penanda kawasan MINI FindMate Bluetooth. Suspensinya pula adalah unit sports.

    Kuasa untuk kenderaan ini masih lagi datang daripada enjin petrol 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan 192 hp pada 5,00 hingga 6,000 rpm dan 280 Nm tork antara 1,350 hingga 4,600 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan, untuk menyampaikan kuasa ke roda hadapan, dan membolehkan pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam masa 7.4 saat, laju maksimum 224 km/j dan penggunaan bahan api 6.1 liter bagi setiap 100 km.

    Anda juga boleh melihat lebih terperinci spesifikasi kenderaan ini dan membandingkannya dengan kenderaan lain di CarBase.my.


     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025