Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Sistem pengeluaran pelekat kenderaan OKU dikaji semula bagi elak disalahguna – Ab Aziz Kaprawi

    Sistem pengeluaran pelekat kenderaan OKU dikaji semula bagi elak disalahguna – Ab Aziz Kaprawi

    Memandangkan isu penyalahgunaan pelekat kenderaan orang kelainan upaya (OKU) oleh sesetengah pihak terutamanya oleh anggota keluarga OKU berkenaan, kerajaan memutuskan untuk mengkaji semula sistem pengeluarannya.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi, kementerian akan bekerjasama dengan pihak berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menetapkan syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi oleh OKU bagi memperoleh pelekat kenderaan tersebut, laporan Bernama.

    “Hal ini kerana kita khuatir penyalahgunaan pelekat kenderaan tersebut akan menjejaskan kepentingan OKU yang memandu kenderaan mereka sendiri,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara semalam.

    Katanya lagi, garis panduan pengeluaran dan pengedaran pelekat kenderaan OKU telah diguna pakai di semua cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai 2 Mei 2014. Di mana garis panduan yang telah dipersetujui Mesyuarat Majlis Kebangsaan OKU tersebut antara lain turut menetapkan syarat permohonan pelekat kenderaan OKU tertakluk kepada sesebuah kenderaan yang dimodifikasi dan didaftar atas nama OKU yang memiliki kad pengesahan cacat fizikal.

    Dalam masa yang sama, beliau turut berkata, kementeriannya turut bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menggunakan platform media terutamanya media sosial dalam memupuk kesedaran masyarakat berhubung penyalahgunaan tempat letak kenderaan OKU.

     
     
  • Renault Captur S-Edition dapat enjin TCe 150 baharu

    Renault Captur S-Edition dapat enjin TCe 150 baharu

    Renault telah menambah satu lagi varian Captur untuk pasaran Eropah iaitu model edisi terhad S-Edition. Apa yang menariknya, model edisi terhad ini bukan sahaja menerima kekemasan yang lebih bergaya, bahkan turut hadir dengan enjin baharu yang lebih berkuasa.

    Boleh didapati sama ada dengan pilihan manual atau kotak gear klac berkembar EDC enam-kelajuan, enjin baharu 1.4 liter TCe 150 ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 150 hp dan tork 250 Nm, yang mana ternyata lebih berkuasa berbanding enjin petrol sebelumnya 1.2 liter (120 hp, 205 Nm).

    Gandingan enjin baharu ini, Captur S-Edition ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam 9.2 saaat, berbanding TCe 120 yang mencapai 10 saat.

    Renault Captur S-Edition dapat enjin TCe 150 baharu

    Selain enjin, S-Edition turut menerima kekemasan luaran eksklusif dengan warna Iron Blue bersama kombinasi bumbung Etoilé Black atau Platine Grey. Jika tidak menggemarinya, anda boleh memilih kombinasi dari lapan variasi dua-tona berbeza.

    Elemen lain yang ditampilkan termasuklah roda aloi potongan-berlian Filante hitam 17-inci, pelindung pintu Gun Metal Grey dan skid plate serta lencana S-Edition.

    Di dalamnya pula, Captur S-Edition menampilkan upholstery kulit Alcantara/simile dengan jahitan biru pada bahagian perehat lengan, tuil gear dan juga brek parkir.

    Captur spesifikasi Malaysia buat masa ini ditawarkan dengan enjin 1.2 liter TCe 120. Adakan ia patut dipertingkatkan ke 1.4 liter TCe 150 untuk pasaran tempatan? Kongsikan pendapat anda di ruang komen.

     
     
  • Harga bahan api 29 Mac-3 April 2018 – tiada perubahan

    Harga bahan api 29 Mac-3 April 2018 – tiada perubahan

    Seperti biasa, setiap hari Rabu rakyat Malaysia dengan rasa penuh berdebar menantikan berita harga bahan api untuk minggu seterusnya. Namun untuk minggu ini, tiada sebarang perubahan dilihat untuk setiap angka harga jualan kesemua bahan api berkenaan.

    Ya, bermula tengah malam ini hingga 3 April 2018, petrol RON 95 akan kekal dijual pada harga RM 2.20 seliter manakala RON 97 pula RM2.47 seliter. Diesel Euro 2M pula dijual pada harga RM2.18 seliter dan Euro 5M pula berharga RM2.28 seliter.

    Minggu lalu, bahan api RON 95 naik 2 sen seliter dari RM2.18, begitu juga RON 97 dari 2.45 sen seliter berbanding minggu sebelumnya. Bahan bakar diesel juga masing-masing naik 2 sen dengan Euro 2M dijual pada 2.16 sen liter dan Euro 5 dijual pada harga RM2.26 seliter pada minggu sebelum itu.

     
     
  • UMW Toyota panggil balik Vios, Altis dan Alphard tahun 2013-2014 untuk penukaran inflator beg udara

    UMW Toyota panggil balik Vios, Altis dan Alphard tahun 2013-2014 untuk penukaran inflator beg udara

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan “kempen servis istimewa” (nama lainnya adalah panggilan semula) untuk menukar modul inflator dalam sistem beg udara penumpang hadapan bagi beberapa model kenderaan. Panggilan kali ini melibatkan Toyota Vios, Corolla Altis dan Alphard yang dijual UMWT pada tahun antara Januari 2013, hingga Disember 2014 di Malaysia, dan kesemuanya ada sekitar 21,000 unit kenderaan.

    Masalah pada inflator yang mahu ditukar ini adalah boleh terjadi degradasi pada penggeraknya apabila terdedah lama kepada kelembapan dan suhu tinggi, serta kitaran suhu tinggi. Inflator tersebut mempunyai penggerak ammonium nitrat lembap yang boleh menyebabkan modul tersebut pecah.

    Jika perkara tersebut berlaku, serpihan besi akan menembusi beg udara apabila ia meletup dan boleh terpelanting kuat dalam kenderaan, sekaligus meningkatkan risiko kecederaan ataupun maut.

    UMW Toyota panggil balik Vios, Altis dan Alphard tahun 2013-2014 untuk penukaran inflator beg udara

    UMWT kini sedang mendapatkan alat ganti untuk penukaran inflator ini, dan apabila ia sudah tersedia, mereka akan memaklumkan kepada pemilik untuk membawa kenderaan mereka ke pusat servis Toyota yang berdaftar untuk ditukar. Kerja penukaran boleh mengambil masa antara satu hingga tiga jam, dan semua kos akan ditanggung oleh UMWT.

    Mengambil berat terhadap keselamatan pelanggan, UMWT memanggil pemilik kenderaan yang terlibat untuk menghubungi mana-mana pusat servis berdaftar Toyota atau menghubungi 1800-8-TOYOTA (869682). Pemilik juga boleh memeriksa sama ada kenderaan mereka terlibat atau tidak dengan memasukkan nombor VIN kenderaan di laman web khas panggilan balik ini.

     
     
  • General Motors Korea bakal bankrap jika kesatuan sekerja tidak bersetuju dengan pemotongan kos buruh

    General Motors Korea bakal bankrap jika kesatuan sekerja tidak bersetuju dengan pemotongan kos buruh

    Pengeluar kenderaan dengan jenama Chevrolet yang sesuai untuk pasaran luar Amerika Syarikat seperti Aveo dan Spark, General Motors Korea (GM Korea) akan berhadapan risiko bankrap sekiranya kesatuan sekerjanya tidak bersetuju dengan pemotongan kos buruh pada 20 April ini, lapor Reuters.

    Bulan lalu GM Korea dilaporkan ia telah menutup salah satu dari empat kilang miliknya (yang terletak di Gunsan, Boryeong, Changwon dan Bupyeong-gu) dan firma tersebut turut menyatakan, selain dari persetujuan dari kesatuan sekerja yang perlu dicapai, sokongan dari pihak kerajaan juga amat diperlukan ketika ini bagi membolehkan mereka terus beroperasi.

    Presiden GM International, Barry Engle pula dilaporkan telah memberitahu ketua kesatuan sekerja GM Korea bahawa persetujuan tersebut diperlukan sebelum mereka membentangkan rancangan pemulihannya kepada kerajaan pada 20 April ini.

    Syarikat yang sebelum ini dikenali sebagai GM Daewoo berkenaan terpaksa diisytiharkan bankrap sekiranya gagal mendapatkan persetujuan tersebut sebelum tarikh akhir yang diberikan. Firma itu turut menambah mereka juga turut perlu menyediakan kos operasi berjumlah US$600 juta (RM2.34 billion) menjelang akhir April ini.

    Pengeluar automotif tersebut sudahpun memotong kos melebihi 500 bilion won (US$470 juta, RM1.8 bilion) menerusi persetujuan yang dicapai bersama kesatuan sekerja berkenaan dengan pemotongan gaji, bonus dan juga pengurangan sukarela, namun mereka masih lagi perlu mendapatkan persetujuan untuk memotong pelbagai faedah bernilai US$74-$84 juta (RM285-RM324 juta), menurut sumber rasmi kesatuan itu.

    General Motors Korea bakal bankrap jika kesatuan sekerja tidak bersetuju dengan pemotongan kos buruh

    Kesatuan tersebut juga menjelaskan bahawa mereka tidak meminta sebarang kenaikan gaji dan bonus tahun ini, tetapi mahu majikan mereka menyediakan plan produksi akan datang bersama jaminan perkerjaan.

    Operasi syarikat berkenaan telahpun membuang 5,000 tenaga kerja dari hampir 16,000 orang keseluruhan atau kira-kira 30% tenaga kerjanya. Walau bagaimanapun, produksi akan kembali stabil sekiranya kerajaan memberikan sokongan dan bersetuju dengan pelan yang dibuat oleh GM Korea untuk memulihkan kembali operasinya, menurut dokumen yang dilihat oleh agensi berita tersebut baru-baru ini.

    Hampir 2,500 orang atau 15% dari jumlah keseluruhan pekerja GM Korea telah memohon pakej pemotongan yang telah ditawarkan majikan mereka sebagai satu langkah penstrukturan semula. GM Korea menyatakan mereka mungkin akan mempertimbangkan lebih pemotongan sukarela untuk 680 orang lagi pekerjanya di kilang Gunsan, namun ia hanya akan diambil sebagai pilihan terakhir.

    Selain dari Aveo dan Spark, GM Korea turut menghasilkan model-model Chevrolet lain seperti Orlando, Cruze, Malibu, Trax dan Impala. Syarikat tersebut dimiliki oleh GM dengan pegangan saham 77%, manakala 17% saham dimiliki oleh Bank Pembangunan Korea. 6% saham selebihnya pula dimiliki oleh rakan kongsi GM dari dari China iaitu SAIC Motor.

     
     
  • Bangkok 2018: Hyundai Ioniq Electric – EV RM216k

    Bangkok 2018: Hyundai Ioniq Electric – EV RM216k

    Jenama premium Jerman seperti BMW dan Mercedes-Benz kini sedang berusaha gigih menjual model plug-in hybrid CKD di Thailand kerana diberi insentif, tetapi nampaknya Hyundai lebih ke hadapan daripada aspek teknologi kerana telah melancarkan Ioniq Electric di Bangkok Motor Show 2018. Kereta elektrik penuh (EV) ini diimport dari Korea Selatan dan dijual pada harga 1.749 juta baht (RM216,200).

    Pelancaran ini sedikit mengejutkan kerana Hyundai sebelum ini tidak ada memasarkan model Ioniq hibrid atau plug-in hybrid di Thailand. Malah, pengeluar dari Korea ini juga tidak menjual kenderaan penumpang biasa selain H1/Grand Starex.

    Ioniq Electric adalah model EV bagi Ioniq Hybrid yang dijual di Malaysia. Ia dikuasakan oleh motor permanent magnet synchronous dengan 120 PS dan 295 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 9.9 saat dalam mod Sport, manakala kelajuan maksimum pula adalah 165 km/j. Paling penting bagi model EV adalah jarak penggunaannya, iaitu bagi Ioniq EV adalah 280 km sekali cas.

    Untuk mengecas, bateri polimer lithium-ion 28 kWh (dibuat oleh LG, terletak di bawah tempat duduk) pada Ioniq EV boleh dicas hingga penuh menggunakan soket rumah biasa 2.3 kW dalam masa 12 jam, atau empat jam 25 minit menggunakan wallbox 6.6 kW. Jika menggunakan pengecas pantas DC 100 kW pula, ia akan mengambil masa 23 minit untuk mencapai tahap 80%.

    Walaupun secara pintas, Ioniq Electric ini nampak sama seperti model hibrid, ia masih mempunyai elemen rekaan tersendiri yang termasuk gril tanpa lubang, kerana ia tidak mempunyai enjin di hadapan yang perlu disejukkan. Terdapat juga hiasan tembaga pada bampar hadapan/belakang, dan rim 16 inci yang dibalut tayar 205/55.

    Di dalam, bahagian atas papan pemukanya adalah sama seperti model hibrid, tetapi model elektrik ini mendapat konsol tengah yang unik dan tersendiri, memandangkan ia tidak perlu menempatkan tombol gear. Ruang kosong ini dijadikan sebagai tempat meletak barangan manakala di antara tempat duduk penumpang hadapan dan pemandu juga terdapat butang pemanduan EV, pemanas/penyejuk tempat duduk dan brek parkir elektronik.

    Kelengkapan lain yang diberi adalah lampu hadapan LED, tempat duduk kulit, tempat duduk pemandu boleh laras lapan hala secara elektrik, sistem pemasukan tanpa kunci dan butang pemula enjin pengecas telefon tanpa wayar Qi, panel meter digital dan sistem keselamatan serta bantuan pemandu yang lengkap seperti model hibrid.

    Jaminan pengilang yang diberi untuk Ioniq Electric adalah tiga tahun atau 100,000 km, tetapi bateri EV padanya mendapat jaminan lapan tahun tanpa had batuan. Memandangkan ia tidak dipasang di dalam Thailand, Ioniq EV dijual pada harga sedikit mahal iaitu 1.749 juta baht (RM216,200).

     
     
  • Toyota RAV4 tiba di New York – guna platform TNGA, enjin Dynamic Force, penggayaan serba baharu

    Toyota RAV4 tiba di New York – guna platform TNGA, enjin Dynamic Force, penggayaan serba baharu

    Toyota RAV4 2019 serba baru akhirnya ditunjukkan di New York International Auto Show 2018, dan ia adalah model generasi yang kelimat (XA50). Banyak pembaharuan yang diberi pada model ini, dan ia bermula dengan pakej enjin.

    Dua pilihan enjin disediakan pada RAV4 baru untuk Amerika Utara, dan kedua-duanya adalah unit Dynamic Force 2.5 liter. Yang pertama adalah model petrol biasa yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan Direct Shift, manakala satu lagi adalah model hibrid (Toyota Hybrid System II atau THS II) yang dipadankan dengan transmisi CVT elektronik (ECVT). Pasaran lain seperti Australia pula akan mendapat pilihan enjin 2.0 liter.

    Model yang dilengkapi dengan pacuan semua roda boleh dipasang dengan Dynamic Torque Vectoring All-Wheel Drive serta Rear Driveline Disconnect, yang mana ia dapat menghantar 50% tork enjin ke roda belakang, serta mengagihkannya sama ada ke roda kiri atau kanan apabila perlu. Bila AWD tidak diperlukan (seperti atas lebuh raya), penggunaan bahan api dapat dijadikan lebih baik dengan penggunaan klac ratchet-type dog pada kedua-dua syaf roda hadapan dan belakang untuk menghentikan putaran driveshaft, sekaligus menghantar kuasa ke roda hadapan sahaja.

    Sistem AWD baru ini adalah satu daripada tiga pilihan yang disediakan pada RAV4. Dua lagi adalah sistem AWD tanpa Dynamic Torque Vectoring dan All-Wheel Drive with Intelligence (AWD-i) untuk model hibrid. Untuk unit pada model hibrid tersebut, motor elektriknya mampu menghantar 30% lebih kuasa berbanding model sebelumnya.

    Seperti juga Camry dan C-HR, RAV4 baru ini diletakkan atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA). Dengan itu, ia dapat menggunakan suspensi multi-link di belakang, yang menurut Toyota, dapat memberikan pengendalian, kawalan serta NVH yang lebih baik.

    Toyota juga memberitahu casis unibody ini 57% lebih tegar berbanding model sebelum ini, dan turut mengakibatkan perubahan dimensi. RAV4 baru ini berukuran 4,595 mm panjang (-5 mm), 1,854 mm lebar (+10 mm) dan 1,699 mm tinggi (-5 mm). Perubahan paling besar adalah pada jarak roda, yang kini menjadi 2,689 mm, iaitu 30 mm lebih panjang berbanding model sebelum ini. Jarak kelegaan dari tanah pula 165 mm (+13 mm).

    Ukuran baru ini turut disertai dengan rekaan yang diubah sepenuhnya. Ia kini nampak lebih hampir kepada model konsep FT-AC yang ditampilkan semasa pameran Los Angeles Auto Show tahun lepas. Di hadapannya terdapat gril seperti Tacoma, lampu yang lebih tajam dan di bawah terdapat lampu kabus serta skid plate.

    Penampilan ranggi ini disempurnakan lagi dengan kemasan platik yang dipasang pada bahagian kenderaan yang lebih rendah serta lengkuk tayar. Lampu belakang kenderaan ini juga lebih tajam, dan pada C-pillar terdapat garisan hitam yang mahu menjadikan bumbungnya kelihatan seperti terapung.

    Toyota RAV4 tiba di New York – guna platform TNGA, enjin Dynamic Force, penggayaan serba baharu

    Masuk ke dalam, suasananya nampak lebih elegan dan kemas. Satu skrin sesentuh yang besar menguasai bahagian tengah papan pemuka, dan ia boleh didapati dalam pilihan tujuh atau lapan inci bergantung kepada sistem bunyi yang dipilih – Entune 3.0, Entune 3.0 Audio Plus atau Entune 3.0 Premium Audio.

    Pada bahagian konsol tengah pula terdapat tombol gear bersama tombol pemilih mod pemanduan. Bahagian ini kelihatan seperti unit yang terdapat pada model Lexus, dan butang brek letak kenderaan elektronik juga terletak berhampiran.

    Selain daripada itu, stereng RAV4 baru juga mempunyai lebih banyak butang kawalan, serta panel instrumennya menggunakan unit skrin tujuh inci. Turut diberi adalah cermin pandang belakang yang dipanggil sebagai Digital Display Rearview Mirror. Dengan satu sentuhan butang, pemandu akan mendapat pandangan yang lebih luas pada cermin ini.

    Pada aspek keselamatan, RAV4 datang secara standard dengan lapan beg udara, serta kelengkapan lain seperti Toyota Safety Sense (TSS) 2.0, yang termasuk Pre-Collision System with Pedestrian Detection (PCS w/PD), Full-Speed Range Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert with Steering Assist (LDA w/SA), Automatic High Beam (AHB), serta dua yang baru, Lane Tracing Assist (LTA) dan Road Sign Assist (RSA).

     
     
  • Uber matikan sistem pengelak pelanggaran pada Volvo XC90 ketika kemalangan maut di Arizona berlaku

    Uber matikan sistem pengelak pelanggaran pada Volvo XC90 ketika kemalangan maut di Arizona berlaku

    Bagi mengelakkan salah faham berlaku mengapa sistem pengelak pelanggaran pada Volvo XC90 pemanduan sendiri milik Uber yang terlibat dalam kemalangan maut di Arizona minggu lalu, pembekal radar dan kamera sistem berkenaan iaitu Aptiv (sebelum ini dikenali sebagai Delphi Automotive) menjelaskan bahawa syarikat aplikasi perkongsian kenderaan itu telah mematikan sistem bantuan pemanduan tersebut dalam ujian kereta tanpa pemandu yang dijalankan, menurut laporan Bloomberg.

    “Kami tidak mahu masyarakat keliru atau beranggapan telah berlaku kegagalan pada teknologi yang kami bekalkan kepada Volvo, kerana itu bukannya kes sebenar,” kata jurucakap Aptiv, Zach Peterson. Peterson mengesahkan bahawa sistem bantuan pemanduan standard SUV Volvo berkenaan “tidak ada kena mengena” dengan sistem pemanduan sendiri dari Uber.

    Dalam kejadian menyayat hati yang berlaku di Tempe, Arizona, Amerika Syarikat minggu lalu, Elaine Herzberg, wanita berumur 49 tahun maut dirempuh Volvo XC90 pemanduan sendiri (masih mempunyai seorang pemandu sandaran di tempat duduk pemandu) milik Uber yang sedang diuji ketika melintas sebatang jalan yang gelap.

    Selepas berlakunya insiden tersebut, Uber menghentikan kesemua ujian terhadap kereta tanpa pemandunya di seluruh Amerika Utara, manakala gabenor Arizona, Doug Ducey menggantung kelayakan Uber untuk melakukan ujian sedemikian di jalan raya awam negeri berkenaan.

    Namun buat masa sekarang Uber masih lagi berdiam diri dari mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengesahkan sama ada mereka benar-benar mematikan sistem bantuan pemanduan tersebut. Manakala jurucakap Volvo pula berkata, pihaknya tidak akan membuat sebarang spekulasi berkenaan insiden tersebut dan masih menunggu hasil siasatan penuh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional dan juga Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional (NHTSA).

    Dalam masa yang sama, pembekal cip dan penderia kepada Aptiv iaitu Mobileye (anak syarikat Intel) telah pun menguji menggunakan perisian mereka terhadap video rakaman kejadian tersebut. Menurut syarikat itu, sistem berkenaan mampu mengesan mangsa (Herzberg) satu saat sebelum berlakunya impak menerusi video yang dimainkan pada monitor televisyen.

    “Video yang disiarkan oleh polis berkenaan nampaknya telah menunjukkan bahawa batu asas kepada sistem kenderaan pemanduan sendiri, iaitu keupayaan mengesan dan mengelaskan objek, merupakan tugas yang mencabar. Ia merupakan teknologi yang sama diperlukan, sebelum menggalas cabaran yang lebih getir, sebagai elemen asas untuk kereta tanpa pemandu sepenuhnya pada masa hadapan,” kata CEO Mobileye, Amnon Shashua dalam kenyataan yang disiarkan pada laman web Intel.

     
     
  • F60 MINI Cooper S E Countryman All4 dikesan di M’sia

    F60 MINI Cooper S E Countryman All4 dikesan di M’sia

    F60 MINI Cooper S E Countryman All4 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi di pasaran Malaysia, telah dikesan di The Curve baru-baru ini. Pendaftaran bagi yang berminat untuk model pertama plug-in hybrid jenama ini telah pun dibuka biar pun harganya belum didedahkan lagi.

    Unit yang dibaluti kain ini mengesahkan elemen yang dipadankan untuk Countryman PHEV spesifikasi Malaysia, termasuk kelihatan roda aloi MINI Yours Masterpiece 19-inci. Lain-lain elemen termasuklah lampu utama LED, skrin infotainmen 6.5-inci dan sistem Radio MINI Visual Boost.

    Conutryman PHEV ini dipadankan dengan enjin petrol 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder (134 hp dan 220 Nm), transmisi automatik Steptronic enam-kelajuan, motor elektrik yang dipasang di belakang (87 hp dan 165 Nm) dengan transmisi kelajuan-tunggal dua-fasa, dan bateri 7.6 kWh.

    Secara keseluruhannya, sistem ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 221 hp dan tork 385 Nm, cukup untuk memacu SUV ini dari 0-100 km/j dalam hanya 6.8 saat. Mengikut kitaran ujian European Union, Countryman plug-in hybrid ini dianggarkan menggunakan bahan api sekitar 2.1 liter bagi setiap 100 km.

    Cooper S E Countryman All4 baharu ini bakal menyertai model petrol termasuk Cooper Countryman, Cooper S Countryman dan John Cooper Works Countryman. Harga bagi model plug-in hybrid ini masih belum didedahkan – namun model semasa Countryman berharga RM239,888 dan RM348,888.

    GALERI: F60 MINI Cooper S E Countryman All4

     
     
  • Bentley Continental GT First Edition dipertontonkan di Malaysia – hanya unit terhad, berharga RM2.15 juta

    Bentley Continental GT First Edition dipertontonkan di Malaysia – hanya unit terhad, berharga RM2.15 juta

    Selepas melancarkan Bentley Continental GT bulan lalu, Bentley Kuala Lumpur telah mempertontonkan model First Edition untuk individu dan media terpilih. Berdasarkan Continental GT dengan beberapa sentuhan istimewa dan pilihan secara standard, varian edisi terhad ini dikatakan bakal menjadi ekpresi muktamad bagi grand tourer Bentley, yang dibawakan khas oleh pasukan perekanya.

    Hanya mereka yang memiliki mata yang tajam dapat mengesan keunikan First Edition ini dari luar, terutamanya dengan lencana fender Union Jack. Rekaan luaran bagi Continental GT menggambarkan model generasi ketiga ini memiliki paras rupa yang terbaik hingga tiada apa kekurangan yang dapat dibongkarkan.

    Lebih banyak elemen menarik pada bahagian dalam, bermula dengan plat tapak First Edition, lencana pada papan pemuka dan jahitan kontras pada lembaran “berlian-dalam-berlian” pada upholstery kulit. Kereta ini juga didatangkan secara standard dengan dwi kekemasan venir, dengan empat pilihan kayuan Tamo Ash, Liquid Amber, Dark Stained Madrona dan Dark Fiddleback Eucalyptus – dipadankan bersama Grand Black yang eksklusif untuk First Edition.

    Bentley Continental GT First Edition dipertontonkan di Malaysia – hanya unit terhad, berharga RM2.15 juta

    Elemen standard lain yang turut ada pada First Edition ini adalah Bentley Rotating Display yang membolehkan pemandu untuk beralih antara skrin sesentuh infotainmen 12.3-inci dan meter analog – yang kesemuanya tersembunyi oleh panel kayuan apabila enjin dimatikan. Pencahayaan dan ambang pintu iluminasi juga ditampilkan dengan beberapa warna, turut tersenarai dalam elemen yang disediakan.

    Manakala sistem bunyi 10-pembesar suara, 650-watt masih dikekalkan, cuma pilihan ekstra memberikan stereo Bang & Ilufsen dengan 16-pembesar suara dan 15,000 wat. Kereta di dalam foto ini dilengkapi dengan sistem Naim bersama 18-pembesar suara dan kuasa yang lebih tinggi sehingga 2,200 watt.

    Beberapa elemen melibatkan kos yang besar pada model standard Continental GT telah ditampilkan termasuk Mulliner Driving Specification dengan roda aloi ringan 22-inci, pedal sport, dan penutup tempat minyak.

    Bentley Continental GT First Edition dipertontonkan di Malaysia – hanya unit terhad, berharga RM2.15 juta

    Sementara itu, City Specification pula menambahkan pembuka but bebas-tangan, amaran pejalan kaki, pengesan isyarat trafik dan brek bandar, manakala bagi Touring Specification pula menampilkan kawalan kelajuan dengan bantuan kesesakan trafik, bantuan laluan aktif, paparan head-up, night vision dengan kamera infrared dan pre-sense braking.

    Bahagian mekanikalnya tiada perubahan, First Edition menggunakan enjin 6.0 liter twin-turbocharged, suntikan-terus W12 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 626 hp pada 6,000 rpm dan tork 900 Nm dari 1,350 rpm ke 4,500 rpm. Ia juga dipadankan dengan transmisi dwi-klac lapan-kelajuan baharu yang menyalurkan kuasa ke semua roda menerusi sistem pacuan semua-roda aktif dengan penvektoran tork menerusi brek.

    Ia membolehkan kereta dua-pintu bersaiz besar ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 3.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum sehingga 333 km/j. Pada masa yang sama, penggunaan pengaktifan silinder dan start/stop yang boleh berfungsi apabila enjin dimatikan- memberikan penjimatan bahan api sehingga 12.2 liter per 100 km.

    Suspensi dikendalikan oleh double wishbone di hadapaan dan multilinks di belakang dengan suspensi udara standard dan kawalan olengan adaptif-sepenuhnya 48-voltan yang pertama kali dilihat pada Bentayga. Bentley menggelarkannya sebagai Dynamic Ride, dan menggunakan penggerak elektronik untuk mengawal palang anti-olengan pada kedua-dua gandar, meningkatkan lagi keselesaan pengendalian.

    Akhir sekali, berkaitan dengan harganya. Jika model standard Continental GT bermula RM1.9 juta sebelum GST, cukai jalan dan pendaftaran, bagi First Edition ini ia ditawarkan dengan harga jangkaan RM2.15 juta. Bagi yang memang berkemampuan ‘tahap-gaban’, pasti tak kisah untuk memperuntukkan bajet sebesar itu untuk mendapatkan pujaan hati ini bukan?

     
     
  • Bangkok 2018: Toyota Yaris Ativ TRD, Vios TRD kelak

    Bangkok 2018: Toyota Yaris Ativ TRD, Vios TRD kelak

    Semalam kami telah memaparkan galeri Toyota Yaris Ativ yang sedang dipertontonkan di Bangkok Motor Show 2018. Kali ini giliran Toyota Yaris Ativ TRD, sedan segmen-B yang disolek oleh Toyota Racing Development, sekaligus memberikan bayangan ia kemungkinan wajah Vios TRD kelak iaitu bagi model masa akan datang.

    Yaris Ativ dilancarkan di Thai pada Ogos 2017 dengan lima varian – J Eco, J, E, G dan S – dengan yang paling sporty adalah S. Walau bagaimana pun tiada versi TRD ditawarkan setakat ini. Bagi Yariz Ativ TRD yang ditawarkan dengan unit terhad, dijual oleh pengedar Toyota dalam tempoh dua bulan, selepas itu bahagian yang terlibat akan dijual secara berasingan.

    Yaris Ativ dalam kekemasan S telah pun menerima lip merah yang nipis, tetapi gaya TRD telah menambahkan satu lagi di bahagian bawah dan kekemasan merahnya lebih tebal. Lip tersebut digandingkan dengan spoiler hadapan dan lampu kabus yang dikelilingi dengan tiga-strake.

    Bangkok 2018: Toyota Yaris Ativ TRD, Vios TRD kelak

    Sementara di bahagian sisinya ditampilkan dengan dua-tona skirt, selain perumah cermin sisi dengan hitam berkilat dan jaluran merah yang telah ditampilkan pada varian S.

    Manakala di belakangnya pula, sedan ini menerima di bahagian but dan kepingan panjang di belakang dihiasi lip merah yang tebal bagi memadankannya dengan bahagian hadapan. Tiada rim unik TRD, namun Yaris Ativ TRD membuatkan anda perlu membayar esktra bagi kit badannya.

    Ativ merupakan kereta eko Thai, ia dijanakan oleh enjin 1.2 liter dengan 86 PS/108 PS, dipadankan bersama CVT automatik. Kereta ini telah ditawarkan di Singapura sebagai Toyota Vios baharu dengan enjin 1.5 liter bersama CVT, seperti mana model semasa Vios di negara kita.

    GALERI: Toyota Yaris Ativ E dan S

     
     
  • Porsche Panamera Sport Turismo – wagon mewah kini diperkenalkan secara rasmi di M’sia dengan 3 varian

    Porsche Panamera Sport Turismo – wagon mewah kini diperkenalkan secara rasmi di M’sia dengan 3 varian

    Setelah setahun diperkenalkan buat pertama kali di Geneva Motor Show 2017, dan di prebiu di Malaysia November tahun lalu, Porsche Panamera versi wagon atau dikenali sebagai Panamera Sport Turismo hari ini diperkenalkan secara rasmi pada pasaran tempatan.

    Pengedar rasmi Porsche di Malaysia, Sime Darby Auto Performance (SDAP) membawa tiga varian wagon berprestasi tinggi berkenaan iaitu Panamera 4 Sport Turismo, Panamera Turbo Sport Turismo, dan model lebih mesra alam Panamera 4 E-Hybrid Sport Turismo. Namun untuk acara pagi ini, hanya dua model dipertontonkan kepada umum iaitu varian asas 4 Sport Turismo dan 4 E-Hybrid Sport Turismo.

    Walaupun dengan bentuk badan wagon, dimensi Sport Turismo adalah lebih kurang sama dengan versi sedannya – panjang keseluruhan 5,049 mm, lebar 1,937 mm dan jarak roda 2,950 mm – model ini cuma sedikit tinggi dari Panamera standard dengan 1,428 mm (+5 mm).

    Porsche Panamera Sport Turismo – wagon mewah kini diperkenalkan secara rasmi di M’sia dengan 3 varian

    Model wagon ini turut diberikan spoiler belakang aktif, yang boleh dilaras kepada tiga peringkat untuk menghasilkan daya tekanan kebawah tambahan sebanyak 50 kg pada gandar belakang. Apabila kereta ini mencapai kelajuan 170 km/j, spoiler berkenaan akan dilaras secara automatik pada ‘posisi prestasi’ dengan sudut tambahan satu darjah.

    Fungsi spoiler berkenaan turut akan diaktifkan pada kelajuan 90 km/j sekiranya pemandu memilih mod pemanduan Sport atau Sport Plus. Hanya ketinggian pada Sport Turismo ini tidak sama dengan versi sedan; 5 mm lebih tinggi (1428 mm), manakala dimensi lain yang diukur dengan 5049 mm panjang, 1937 lebar serta jarak roda 2,950 mm adalah sama seperti Panamera sedan.

    Seperti yang disebutkan tadi, Sport Turismo diberikan tempat duduk belakang untuk tiga orang, yang menurut Porsche ia sebenarnya merupakan konfigurasi 2+1, yang mana kedua-dua tempat duduk bahagian sisi direka sebagai tempat duduk individual, bagi memastikan keselesaan maksimum untuk penumpang. Walau bagaimanapun, tempat duduk belakang yang direka hanya untuk dua orang seperti pada model sedan masih ditawarkan sebagai opsyen.

    Porsche Panamera Sport Turismo – wagon mewah kini diperkenalkan secara rasmi di M’sia dengan 3 varian

    Sebagai sebuah wagon, Panamera Sport Turismo menawarkan ruang but dengan kapasiti 520 liter (425 liter untuk varian E-Hybrid), 20 liter lebih besar berbanding pada versi sedan. Sekiranya tempat duduk belakang dilipat sepenuhnya (boleh lipat dengan nisbah 40:20:40), ruang kargo keseluruhannya dapat diperbesarkan hingga 1,390 liter (1,295 liter untuk E-Hybrid), sekitar 50 liter lebih besar berbanding sedan.

    Janakuasa untuk model shooting brake ini masih sama seperti versi sedannya dan kesemua model dipadankan dengan kotak gear PDK automatik lapan-kelajuan sebelum memindahkan kuasa ke keempat-empat roda dengan sistem pacuan semua roda aktif. Panamera 4 Sport Turismo menampilkan enjin 2.9 liter V6 turbo berkembar berkuasa 330 PS/450 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-00 km/j dalam masa hanya 5.3 saat (dengan pakej Sport Chrono) sebelum mencapai kelajuan maksima 259 km/j.

    Model hibrid Panamera 4 E-Hybrid pula diberikan unit janakuasa hibrid plug-in, menggabungkan enjin 2.9 liter V6 dari varian Panamera 4, digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 136 PS/400 Nm menghasilkan kuasa keseluruhan 462 PS/700 Nm. Gabungan berkenaan membolehkan versi ini memecut dari pegun hingga 100km/j dalam masa 4.6 saat (dengan pakej Sport Chrono) dan dapat mencapai kelajuan maksima 275 km/j.

    Manakala untuk varian paling berkuasa Panamera Turbo Sport Turismo, ia dijana enjin petrol V8 4.0 liter dengan turbo berkembar mampu menghasilkan 550 PS pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 770 Nm dicapai antara 1,960 dan 4,500 rpm. Model paling pantas ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.6 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 304 km/j.

    Dengan kesemua kelengkapan ini, varian asas Porsche Panamera 4 Sport Turismo dijual pada pasaran tempatan dengan harga bermula RM990,000. Versi hibrid Panamera 4 E-Hybrid Sport Turismo pula dijual pada harga bermula RM1,125,000, manakala varian tertinggi Panamera Turbo Sport Turismo dijual pada harga RM1,940,000.

    Kesemua model Porsche yang dijual oleh SDAP disertakan sekali dengan perlindungan waranti bersama pakej servis percuma (termasuk alat ganti dan kos buruh) selama empat-tahun.

    GALERI: Porsche Panamera 4 E-Hybrid Sport Turismo

    GALERI: Porsche Panamera 4 Sport Turismo

     
     
  • Proton tandatangani perjanjian dengan 10 lagi pengedar dalam naiktaraf Pusat 3S dan 4S

    Proton tandatangani perjanjian dengan 10 lagi pengedar dalam naiktaraf Pusat 3S dan 4S

    Proton telah mengadakan majlis menandatangani perjanjian dengan 10 lagi pengedarnya yang bersetuju untuk menaiktaraf cawangan masing-masing kepada 3S dan 4S. Sebelum ini, sebanyak sembilan pengedar telah menandatangani perjanjian yang sama.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong yang turut hadir dalam majlis itu, “Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kami melihat lebih banyak pengedar yang turut serta untuk bersetuju menaiktaraf cawangan mereka. Tentunya ini memberi makna yang positif, bahawa Proton adalah jenama yang baik untuk pelaburan – jenama yang berpotensi.

    “Pelanggan hari ini sangat berbeza dari dahulu. Apa yang mereka mahu apabila melangkah masuk ke dalam bilik pameran adalah standard piawaian yang berbeza, sejajar dengan keperluan gaya hidup pada masa kini. Proton perlu peka dengan keperluan pasaran semasa agar kami kekal kompetitif dan dapat memberi perkhidmatan kepada para pelanggan secara profesional dan berintegriti,” kata Dr. Li.

    Turut hadir sama ialah Yohan Mokhtar, Pengarah Projek Khas Proton dan juga para pengedar yang terlibat.

    Positif dengan jenama, pengedar sedia ada mengambil peluang untuk berkembang bersama Proton. Tidak melepaskan peluang yang ada, walau di mana sahaja, persaingan untuk memastikan pelanggan berpuas hati menjadi agenda utama mereka yang berada dalam industri jualan dan perkhidmatan.

    Antara pengedar yang terlibat bagi sesi kali ini adalah Rohamas Autoservices, Wasilah Global Sdn Bhd, Regal Motors Holdings Sdn Bhd dan LHM One Stop Car Service Centre. Di mana rata-rata para pengedar ini berkeyakinan tinggi terhadap Proton malah tidak sabar untuk menantikan model-model baharu dari jenama ini. Mereka juga berpendapat, antara faktor kejayaan sesebuah jenama kenderaan ialah memiliki rangkaian pengedar dan pusat sehenti yang efisien, selain teknologi, kualiti dan rekaan kenderaan yang menarik.

     
     
  • Grab jamin tambang tidak terkesan selepas bergabung dengan Uber – SPAD pastikan hak pengguna terjamin

    Grab jamin tambang tidak terkesan selepas bergabung dengan Uber – SPAD pastikan hak pengguna terjamin

    Selepas mengumumkan pengambilalihan perkhidmatan Uber di Asia Tenggara, Grab memberikan jaminan, perkara ini tidak akan memberikan sebarang kesan terhadap kadar tambangnya. Perkara ini turut disahkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

    Katanya, kerajaan boleh mengambil tindakan terhadap Grab jika ia didapati menaikkan tambang berikutan penggabungan Grab-Uber di Asia Tenggara.

    Dalam masa yang sama, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) turut mengesahkan akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Persaingan Malaysia dan badan bukan kerajaan yang relevan bagi memastikan hak pengguna terjamin berikutan penggabungan Grab dan Uber di Asia Tenggara, laporan Bernama.

    SPAD menyebut, pendirian suruhanjaya itu terhadap pengawalseliaan sektor e-hailing tidak berubah dengan penggabungan tersebut. Di mana suruhanjaya itu akan terus memantau dan menyelia sektor e-hailing berdasarkan rangka perundangan dan polisi sedia ada agar industri ini mampu berkembang sejajar dengan medan persaingan sihat, tahap keselamatan operasi yang baik serta memastikan kebajikan penumpang dan pemandu sentiasa terpelihara.

    Menurut SPAD, ia juga ingin memastikan industri teksi dan e-hailing akan beroperasi dan bersaing secara adil di bawah inisiatif Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang bertujuan meningkatkan tahap profesionalisme dan daya saing teksi konvensional.

     
     
  • Bangkok 2018: Honda Civic Red Hatchback dan Sedan

    Bangkok 2018: Honda Civic Red Hatchback dan Sedan

    Honda Thailand telah mendedahkan edisi istimewa untuk Civic Hatchback di Bangkok Motor Show 2018. Honda Civic Hatchback Red turut menyertai edisi “Red” bagi Honda Civic FC Sedan, yang telah diperkenalkan pada akhir tahun lalu.

    Honda Civic Red, pada dasarnya dengan warna Rallye Red yang ditawarkan pada varian tertinggi bagi Civic, boleh didapati pada varian 1.8EL dan Turbo RS bagi Civic Sedan – kedua-dua spesifikasi tertinggi ini dipadankan dengan enjin 1.8 liter naturally aspirated dan 1.5 liter pengecas turbo di Thailand.

    Elemen yang ditampilkan termasuklah Honda LaneWatch (kamera pada cermin sisi sebelah kiri), unit utama skrin sesentuh tujuh-inci dengan Apple CarPlay dan panel meter LCD digital.

    Bangkok 2018: Honda Civic Red Hatchback dan Sedan

    Civic Hatchback yang dijual di negara berkenaan hanya ditawarkan dengan enjin 1.5 VTEC Turbo, jadi edisi “Red” berasaskan varian berkenaan. Seperti sedan, enjin ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 173 PS dan tork 220 Nm dari 1,700 hingga 5,500 rpm, dipadankan dengan CVT automatik dengan pedal penukar gear.

    Juga seperti sedan FC, hatch lima-pintu ini turut dipadankan dengan roda 17-inci tetapi dalam berlainan rekaan bilah. Bampar bawah di hadapan juga tampil dengan rekaan yang berbeza – kelihatan “corong udara” yang besar di sekeliling lampu kabus. Tidak seperti Civic Type R tanpa beberapa elemen aero, namun sekilas pandang ia kelihatan agak mirip.

    Dark Ruby Red Pearl yang ditawarkan oleh Honda malaysia bagi Civic pasaran tempatan (kelihatan pada HR-V dan Civic) sebenarnya mempunyai bayangan yang lebih gelap, hampir kepada maroon jika dibandingkan dengan warna “Ferrari Red” yang terang. Jika Civic Red ini ditawarkan di Malaysia, adakah ia bakal mendapat sambutan? Tetapi pastinya tidak untuk Civic Hatchback yang takkan ditawarkan di pasaran kita.

    GALERI: Honda Civic Red

    GALERI: Honda Civic Hatchback Red

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025