Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Gazoo Racing dedah GR Super Sport Concept

    Toyota Gazoo Racing dedah GR Super Sport Concept

    Cabang jenama sukan permotoran baru Toyota iaitu Toyota Gazoo Racing telah menunjukkan sebuah kereta konsep digelar sebagai GR Super Sport Concept yang mendapat banyak teknologi daripada kenderaan lumba elektrik WEC, TS050 Hybrid.

    Di sebalik badannya yang beralun dan cukup aerodinamik ini, terdapat enjin V6 2,400 cc twin-turbo yang digabungkan dengan sistem hibrid Toyota Hybrid System-Racing (THS-R), sama seperti kereta lumba WEC. Dengan sistem elektrik berkecekapan tinggi ini, GR Super Sport Concept sedia untuk memberi kuasa sebanyak 1,000 PS.

    “Daripada membangunkan kenderaan produksi kepada kenderaan sports, kami cuba untuk memasukkan pengetahuan yang didapati daripada perlumbaan dan rali kepada kenderaan produksi. Jadi, ini adalah permulaan bagi cabaran baru Toyota untuk membangunkan kenderaan sports daripada kenderaan lumba. Ia mungkin mengambil banyak masa lagi, tapi sekurang-kurangnya anda sudah ada gambarannya,” kata presiden Gazoo Racing, Shigeki Tomoyama.

    Walaupun kenderaan janaan elektrik dan teknologi IT semakin berkembang, Toyota akan sentiasa berusaha untuk memberikan kenderaan yang menyeronokkan, dan sedar bahawa manusia masih mahu bergerak secara bebas, pergi ke tempat yang jauh, dan sampai dengan cepat berbanding orang lain menggunakan kenderaan yang menarik.

    Sebelum ini juga Gazoo Racing telah melancarkan kenderaan produksi yang ditala khas menjadi lebih berprestasi seperti Yaris GRMN, dan barisan model yang di letakkan lebih bawah sedikit dari GRMN iaitu GR (Gazoo Racing), bagi menjenamakan semula siri G’s (G Sport) yang diperkenalkan sebelum ini. Tujuh model diperkenalkan – Vitz (Yaris) GR Sport, Prius PHV, Mark X, Harrier, Noah, Voxy GR dan Yaris GR.

     
     
  • Rolls-Royce Cullinan – nama rasmi SUV didedahkan

    Rolls-Royce Cullinan – nama rasmi SUV didedahkan

    Setelah sekian lama menyembunyikannya, baru kini Rolls-Royce bersedia untuk mendedahkan projek terbaharu bagu SUV mereka, dikelani sebagai Rolls-Royce Cullinan. Nama yang diambil dari berlian Cullinan, jenama kenderaan mewah ini menyifatkan SUV baharu mereka sebagai “sebuah jentera dengan tujuan yang jelas”.

    Luaran Cullinan dapat dilihat secara keseluruhan walau pun sebelum muncul dengan gambar siluet rasmi yang ditunjukkan di sini. Ternyata ia dipotretkan sebagai SUV mewah, dan telah diuji pada musim sejuk lalu dan juga di Nurburgring Nordschleife bagi pembangunan casis.

    Imej rasmi yang disebarkan hanya menunjukkan SUV ini dari bahagian hadapan dan gambar terakhir yang ditunjukkan sewaktu di Nurburgring menampakkan ia dipadankan dengan bampar belakang produksi, walau pun lampu belakang dan kemungkinan besar bahagian belakangnya masih menggunakan elemen prototaip. Walau bagaimana pun, gambar terbaharu mengesahkan bentangan pintunya akan diproduksi.

    Sebagai model Rolls-Royce yang serba moden, enjin V12 dari BMW dijangka akan dipadankan dengan SUV ini. Bukan itu sahaja, binaan aluminium yang kelihatan pada BMW X7 juga akan dijadikan asas bagi SUV baharu Rolls-Royce ini, bagi menampung pembangunan petrol pengecas-berkembar V12 dari BMW Group.

     
     
  • Mercedes-Benz C-Class facelift W205 didedahkan awal

    Mercedes-Benz C-Class <em>facelift</em> W205 didedahkan awal

    Empat tahun selepas mula dikeluarkan, Mercedes-Benz C-Class W205 akhirnya diberikan facelift, dan gambar awalnya telah dikeluarkan, sebelum ditampilkan secara rasmi semasa Geneva Motor Show bulan depan. Ia datang dengan rekaan baru luar dan dalam, sistem elektronik tambahan seperti pada S-Class facelift dan juga enjin baru.

    Pada bahagian luar, C-Class facelift ini mendapat bampar baru yang kelihatan hampir seperti model AMG, dengan terdapat bukaan udara nipis di bahagian tengahnya. Sementara itu, bagi model AMG Line, gril rekaan berbintik krom diberikan secara standard, bersama bukaan udara tengah yang lebih lebar dan lubang udara tambahan berhampiran tayar. Satu lagi ciri baru adalah pilihan lampu utama Multibeam LED dengan 84 diode dan lampu tinggi Ultra Range, bersama light guide berbentuk C dalam lampu belakang LED model sedan.

    Masuk ke dalam, terdapat sistem hiburan dan informasi daripada S-Class facelift, yang melibatkan skrin lebar di tengah dan panel instrumen digital dengan tiga mod paparan. Peliknya, ia tidak dimasukkan sekali dengan ciri Mercedes-Benz User Experience (MBUX) baru seperti pada A-Class, dan masih dikawal menggunakan tombol COMAND, dan bukannya pad sesentuh.

    Mercedes-Benz C-Class <em>facelift</em> W205 didedahkan awal

    Walaubagaimanapun, roda sterengnya kini mempunyai pad sesentuh untuk mengawal kedua-dua skrin, dan pad sesentuh di konsol tengah disediakan sebagai pilihan tambahan. Skema warna bahagian dalam juga adalah baru, iaitu warna kelabu dan hitam, serta coklat untuk model AMG Line. Sistem kawalan keselesaan Energizing baru pula dapat mengawal pendingin hawa, pewangi, pemanas tempat duduk, pengudaraan dan fungsi mengurut.

    Turut diambil daripada S-Class facelift adalah pelbagai sistem bantuan pemandu, yang termasuk Distronic adaptive cruise control yang boleh menggunakan informasi peta untuk melaras kelajuan secara proaktif seperti waktu menghampiri selekoh, simpang atau bulatan. Turut ditambah pada C-Class facelift ini adalah Active Lane Change Assist dan Active Emergency Stop Assist.

    Mercedes masih lagi belum mendedahkan kenderaan ini akan dikuasakan oleh enjin apa, tetapi ada menyatakan ia akan tampil dengan enjin petrol dan diesel generasi baru. Walaupun begitu, hampir pasti ia juga akan dikuasakan oleh enjin petrol turbo yang sudah pun digunakan pada A 250 dengan kuasa 224 hp/ 350 Nm tork.

    Mercedes-Benz C-Class <em>facelift</em> W205 didedahkan awal

    Enjin ini juga boleh didapati dengan sistem hibrid ringkas EQ Boost 48-volt, yang digunakan pada E 350 Coupe dan Cabriolet, menghasilkan 299 hp dan 400 Nm tork. Untuk enjin diesel, unit 2.0 liter OM654 yang menggantikan OM651 2.2 liter sudah boleh didapati pada E-Class dengan kuasa 150 hp/ 360 Nm untuk 200 d dan 194 hp/ 400 Nm untuk 220 d.

    Turut dijangka memberi kuasa kepada C-Class facelift ini adalah enjin petrol enam silinder sebaris 3.0 liter M256, yang boleh dilihat diguna pada S 450 dan CLS 450, juga dengan EQ Boost. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa 367 hp dan 500 Nm. Enjin sama juga dijagka digunakan pada AMG C 53, untuk menghasilkan 435 hp dan 520 Nm tork.

    Paling tinggi adalah AMG C 63, yang menurut khabar, akan mendapat pengecas turbo baru pada enjin V8 biturbo 4.0 liter, untuk menghasilkan kuasa lebih daripada 476 hp dan 650 Nm tork seperti pada model sekarang. Apa pun enjin yang dipilih, transmisi masih lagi unit 9G-Tronic sembilan kelajuan.

     
     
  • Mercedes-AMG G63 2019 – 4.0L V8, 585 hp, 850 Nm

    Mercedes-AMG G63 2019 – 4.0L V8, 585 hp, 850 Nm

    Bulan lalu, Mercedes-Benz telah melancarkan G-Class baru, dan kini seperti yang dijangka, versi yang lebih berkuasa, iaitu Mercedes-AMG G63 pula menyusul. Ia digerakkan oleh enjin lebih berkuasa, iaitu unit 4.0 liter V8 biturbo dengan kuasa 585 hp dan 850 Nm tork antara 2,500 hingga 3,500 rpm. Laju maksimum dihadkan pada 220 km/j (240 km/j dengan AMG Driver’s Package), manakala pecutan 0-100 km/j pula adalah 4.5 saat.

    Enjin V8 ini dipadankan bersama transmisi AMG Speedshift TCT 9G dengan perisian khas untuknya. Fungsi penukaran gear rendah berturut membenarkan pecutan lebih pantas, dan terdapat fungsi double-declutching dalam mod Sport dan Sport Plus. Selain butang pemilih Direct Select (untuk pilihan lima mod atas jalan dan tiga mod offroad), pengguna juga boleh memilih mod Manual menggunakan suis berasingan dan paddle shift.

    Sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic yang diguna menampilkan pembahagian tork 40:60, yang dikatakan oleh Mercedes boleh menjadikan kenderaan ini lebih lincah dan mempunyai cengkaman lebih baik waktu memecut. G63 sebelum ini mempunyai pembahagian tork 50:50.

    Mercedes-AMG G63 2019 – 4.0L V8, 585 hp, 850 Nm

    Off-road reduction gear kenderaan ini juga telah diperbaharui. Nisbah pengurangan transfer case kini menjadi 2.93, dan lebih tinggi berbanding 2.1 pada model sebelum ini. Ini dapat membantu pergerakan di atas bukit yang curam, memandangkan tork pada roda yang memacu naik seara banyak. Pilihan gear offroad Low Range boleh dilakukan pada kelajuan bawah 40 km/j. Dari Low ke High pula boleh dilakukan pada kelajuan sehingga 70 km/j.

    Atas jalan biasa, G63 dikatakan lebih dinamik dan selesa. Bahagian suspensi telah direka semula sepenuhnya dan kini menggunakan spring gegelung di semua penjuru. Buat pertama kalinya, gandar hadapan mempunyai independent double wishbone, yang dipasang terus kepada kerangka ladder frame tanpa sebarang subframe.

    Pada bahagian belakang, gandar tegar dipegang oleh empat lengan pengawal melintang pada setiap bahagian dan rod Panhard untuk keselesaan. Untuk memastikan kenderaan ini boleh meredah kawasan ekstrem, spring belakangnya mempunyai mampatan 82 mm, dan lantunan 142 mm, manakala jarak kelegaan dari tanah pula adalah 241 mm. Suspensi AMG Ride Control dengan pelarasan adaptif datang secara standard pada G63, bersama stereng pelbagai nisbah yang sensitif kepada kelajuan.

    Model yang lebih berkuasa ini boleh dikenali melalui gril Panamericana yang digunakan, dan ia mempunyai jalur ke bawah, dipadankan bersama bampar AMG yang mempunyai bukaan udara lebih besar dan kemasan perak matte iridium. Lampu utama, penunjuk arah dan lampu belakang semuanya adalah unit LED, manakala Multibeam LED pula disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Bahagian lain yang khas untuk G63 adalah lengkuk roda lebih lebar, yang menempatkan rim 21 atau 22 inci yang dipilih. Pemijak kaki tepi adalah standard, dan terdapat kemasan unik pada bampar hadapan dan belakangnya. Sistem ekzos berkembar yang digunakan disudahi dengan muncung yang keluar pada bahagian bawah pintu belakang. Model ini juga mendapat angkup brek berwarna merah.

    Pada bahagian dalam, ciri unik utama untuk model G63 ini adalah roda stereng AMG Performance, yang dibalut dengan kulit Nappa. Bahagian bawah roda stereng ini mempunyai potongan rata, manakala pada bahagian yang dicengkam, ia mempunyai liang udara. Turut disertakan adalah penukar gear di stereng.

    Seperti biasa, G63 ini juga akan ditawarkan dengan versi Edition 1, yang boleh dipilih dalam pelbagai warna utama, dan warna kontras untuk jalur sport dan cermin sisinya. Pakej AMG Night pula menggunakan rim 22 inci hitam matte berserta kemasan dalam lebih sporty, termasuk penggunaan gentian karbon.

     
     
  • Aplikasi mudahkan pengguna cari tempat letak kereta

    Aplikasi mudahkan pengguna cari tempat letak kereta

    Sebuah syarikat tempatan telah membangunkan aplikasi mudah alih yang bertujuan untuk memudahkan pemandu mencari atau mendapat maklumat semasa bagi kekosongan tempat letak kenderaan di tengah-tengah Lumpur. Menurut laporan Bernama, pemandu bahkan boleh mencari dan menempah kotak parkir yang diinginkan.

    Dengan 2.1 juta kenderaan keluar-masuk ke pusat bandaraya Kuala Lumpur setiap hari serta masalah ruang parkir yang makin kusut, aplikasi yang dibangunkan oleh Bayz Parking itu didakwa boleh menghubungkan antara pemandu yang sedang mencari tempat letak kereta dengan pihak operator parkir.

    “Purata masa yang digunakan oleh pemandu untuk mencari tempat parkir setiap hari di pusat bandar ialah sekitar 25 minit dan terdapat 2.5 juta kenderaan diletakkan di ruang letak kereta setiap hari,” jelas pengasas bersama Bayz Parking, Scoot badger ketika acara Urban Car Parking Mega Trends di World Urban Forum Ke-9 (WUF9).

    Menurut beliau lagi, terdapat 915,000 ruang letak kenderaan di dalam bandar yang tidak berada di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan dan dianggarkan terdapat kira-kira 1.7 juta lagi ruang parkir dalam kawasan bandar.

    “Banyak penduduk di kondominium dalam kawasan bandar mempunyai satu atau lebih ruang parkir yang tidak digunakan. Kita perlu memaksimumkan ruang ini sebaik mungkin,” tambahnya.

    Selain membantu mengurangkan masalah tempat letak kenderaan, beliau menjelaskan, aplikasi yang didakwa menjadi yang pertama seumpamanya di Malaysia turut dapat membantu Kuala Lumpur mengurangkan penggunaan tiket parkir. Pemandu akan mendapat akses kepada ruang berkenaan yang disediakan oleh rakan hos seperti hotel dan kondominium.

    Ketika ini, syarikat berkenaan menyatakan aplikasi berkenaan sudah mula boleh digunakan, tetapi terhad kepada beberapa kawasan disekitar Kuala Lumpur, Subang dan Petaling Jaya. Anda rasa pendekatan ini boleh berjaya kalau pelaksanaannya semakin meluas?

     
     
  • Johor kenalpasti Jln Persekutuan 50 sebagai kawasan hitam – mohon PLUS tambah lorong laluan JB-KL

    Johor kenalpasti Jln Persekutuan 50 sebagai kawasan hitam – mohon PLUS tambah lorong laluan JB-KL

    Kerajaan negeri Johor telah mengenal pasti laluan Jalan persekutuan 50 (FT 50) dari Batu Pahat-Ayer Hitam sebagai kawasan hitam (kemalangan) dengan rekod kemalangan maut yang tinggi manakala laluan Johor Bahru-Kuala Lumpur pula seringkali mengalami kesesakan lalu lintas bukan hanya pada waktu puncak tetapi di sepanjang kawasan keluar masuk sempadan daerah.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri Datuk Ir Hasni Mohammad, justeru pihaknya berharap agar kerajaan persekutuan dapat membantu menambah baik laluan FT 50 dan perluasan Lebuhraya PLUS Malaysia Bhd (PLUS) laluan Johor Bahru-Kuala Lumpur daripada empat lorong kepada enam lorong bermula dari Skudai, sehingga ke persimpangan Ayer Keroh, Melaka, laporan Bernama.

    “Kerajaan negeri yang diwakili Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah pun menekankan hasrat ini kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam lawatan beliau ke negeri ini baru-baru ini,” katanya kepada pemberita semalam.

    Katanya lagi, oerkara ini perlu disegerakan agar ia selaras dengan pembinaan projek-projek pengangkutan awam bagi melancarkan aliran lalu lintas di jalan-jalan utama di negeri ini dan meningkatkan ciri-ciri keselamatan jalan berkenaan.

    “Pihak kerajaan negeri tidak hanya memberikan tumpuan dalam meningkatkan sistem pengangkutan awam seperti pembinaan Bas Rapid Transit (BRT), Sistem Transit Rapid (RTS) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) tetapi juga mahu isu-isu kesesakan jalan raya itu mendapat perhatian.

    Johor kenalpasti Jln Persekutuan 50 sebagai kawasan hitam – mohon PLUS tambah lorong laluan JB-KL

    “Sebagai contoh, di kawasan FT 50, walaupun terdapat penurunan jumlah kematian akibat kemalangan maut daripada 206 kes pada tahun 2016 kepada 165 kes pada tahun 2017, ia tetap merupakan kes kemalangan maut yang tertinggi di Johor dan kedua tertinggi dalam negara, ” jelasnya.

    Menurut Hasni, kerajaan negeri memandang serius perkara ini dan berharap kerajaan pusat dapat memberikan kelulusan kepada peruntukan cadangan-cadangan ini yang telah dipohon sejak tahun 2014.

    Katanya, bagi laluan FT 50, langkah-langkah seperti meningkatkan pencahayaan di kawasan persimpangan dan pembinaan median untuk mengelak kenderaan membuat lintasan atau pusingan di tempat yang tidak sewajarnya perlu segera dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan di kawasan tersebut.

    Bagi laluan Johor Bahru-Kuala Lumpur, kesesakan didapati berlaku di kawasan-kawasan tol seperti di susur keluar Kulai, Sedenak, dan Skudai.

    “Kita berharap agar perkara ini dapat disegerakan. Terdapat 15 kawasan hitam (kemalangan) yang kerajaan negeri telah kenal pasti di Johor dan setiap tahun kita telah melakukan beberapa penambahbaikan sementara dari segi jalan raya, pencahayaan, kawasan-kawasan pusingan dan papan tanda.

    Setiap kawasan hitam mempunyai masalah dan cara penyelesaian yang berbeza, jadi jumlah peruntukan untuk penambahbaikan perlu diteliti terlebih dahulu sebelum apa-apa tindakan boleh diambil,” katanya.

     
     
  • Ford akan bina Everest Raptor pula selepas ini?

    Ford akan bina Everest Raptor pula selepas ini?

    Setelah muncul dengan trak pikap berprestasi tinggi Ford Ranger Raptor, Ford Performance kini bermain dengan idea untuk menghasilkan SUV lebih liar yang diasaskan dari Ford Everest pula, lapor portal Drive.

    Ini kerana bukan sahaja Ranger dan Everest berkongsi paltform yang sama, malah Ranger Raptor turut menerima berberapa rekaan yang diambil dari Everest untuk suspensi belakang iaitu Watt’s Linkage dan juga spring jenis gegelung.

    “Tiada sebab [untuk kami tidak menghasilkan Everest Raptor],” kata ketua Jurutera Ford Performance, Jamal Hameedi. “F-150 Raptor pertama adalah jauh dari impian kami jika dilihat pada kejayaannya, dan kejayaan tersebut telah melahirkan Ranger Raptor. Jadi untuk menghasilkan SUV sedikit sukar kerana anda perlu melakukan sesuatu pada suspensi belakang. Dari segi badan luaran pula ia bukan sekadar badan luaran [dan itu] menjadi cabaran unik bagaimana anda mahu mempakejkannya,” tambah Jamal lagi.

    Ford Ranger Raptor diasaskan dari model Ranger T6 standard, namun ia telah mendapat kejuruteraan semula yang ekstensif. Trak pikap ini dijana enjin diesel dari siri Panther EcoBlue 2.0 liter baharu, disuap dua pengecas turbo bagi menghasilkan 213 PS/500 Nm yang jelas lebih berkuasa dari enjin turbodiesel Puma 3.2 liter Duratorq (200 PS/470 Nm) pada varian tertinggi Ranger standard.

    Ford akan bina Everest Raptor pula selepas ini?

    Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear automatik Getrag 10R80 10-kelajuan bersama Terrain Menagement System bagi memberikan pelbagai mod pemanduan untuk off-road dan permukaan tar. Kerangka model ini juga dibina lebih tegar dari Ranger biasa, serta dipadankan dengan sistem brek lebih besar bersama suspensi dengan geometri dan talaan baharu dan turut menerima penyerap hentak Fox Racing Shox.

    Ford Australia juga memberitahu portal berkenaan bahawa mereka berpendapat SUV berprestasi tinggi adalah masa hadapan dan persoalan adakah Everest Raptor akan dihasilkan bukanlah persoalan yang tidak masuk akal.

    “Untuk jangkamasa panjang ia adalah logik jika anda lihat fakta bahawa kenderaan penumpang kini telah dipintas oleh SUV pada tahun ini [2017]. Ia pastinya akan ada permintaan untuk SUV yang berorientasikan prestasi atau sekurang-kurangnya bergaya lebih sporty pada masa akan datang,” kata pengurus komunikasi produk Ford Australia, Damion Smy.

    GALERI: Ford Everest 3.2L Titanium

    GALERI: Ford Ranger Raptor 2018

     
     
  • Benelli TNT 135 LE – terhad 1,000 unit, harga RM9,988

    Benelli TNT 135 LE – terhad 1,000 unit, harga RM9,988

    Mforce Bike Holdings Sdn Bhd, iaitu pengedar rasmi untuk motosikal jenama Benelli di Malaysia telah memperkenalkan sebuah model edisi terhad yang dinamakan sebagai TNT 135 LE. Model ini hanya dikeluarkan sebanyak 1,000 unit dan menggunakan asas daripada TNT 135 yang pernah dilancarkan pada bulan Disember tahun 2016 yang lalu.

    Bermakna, bahagian utama motosikal mini/fun bike ini masih lagi sama iaitu menggunakan enjin 134.7 cc satu silinder empat strok yang berkuasa 12.6 hp pada 9,000 rpm dan 10.8 Nm tork pada 7,000 rpm, dan penyampaian bahan api dilakukan oleh sistem suntikan elektronik (EFI). Transmisi pula adalah unit lima kelajuan.

    Pembaharuan yang dilakukan untuk model edisi terhad ini bermula pada bahagian penampilan, di mana ia menggunakan pelekat grafik khas, pada bahagian panel badan utama dari depan sampai ke belakang, yang boleh didapati dalam pilihan tiga warna iaitu hitam, putih dan merah.

    Benelli TNT 135 LE – terhad 1,000 unit, harga RM9,988

    Kemudiannya ia turut dilengkapi dengan aksesori yang biasanya ditambah oleh pemilik selepas membeli sebuah motosikal standard termasuk pelindung ekzos gaya gentian karbon, pelindung enjin, pelindung axle depan dan belakang, cermin sisi hitam serta pelekat nombor edisi keluaran. Turut diberi adalah barangan aksesori aluminium warna merah pada pelbagai bahagian termasuk pemijak kaki, pelindung tangan, tuil gear dan brek, penutup tempat mengisi minyak hitam, penutup penapis minyak dan penutup takung minyak brek.

    Bahagian lain motosikal masih sama seperti model standard, iaitu fork USD 41 mm di hadapan, monshock boleh laras di belakang, brek cakera 220 mm bersama angkup dua piston di hadapan, cakera 190 mm dan angkup satu piston di belakang, rim 12 inci dibalut tayar 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang, tinggi tempat duduk 780 mm, tangki minyak 7.2 liter dan berat kering 116 kg.

    Harga TNT 135 LE ini ditetapkan pada RM9,988 termasuk GST, tetapi tanpa insurans, dan ia datang dengan jaminan pengeluar selama satu tahun atau 10,000 km. Sebagai perbandingan, model standard sebelum ini dilancarkan pada harga RM8,469 (termasuk GST, tanpa insurans).

     
     
  • Toyota Alphard, Vellfire facelift 2018 – harga pasaran Malaysia sudah disiar, antara RM351k hingga RM541k

    Toyota Alphard, Vellfire <em>facelift</em> 2018 – harga pasaran Malaysia sudah disiar, antara RM351k hingga RM541k

    Harga dan spesifikasi awal untuk Toyota Alphard dan Vellfire facelift telah didedahkan dalam laman web UMW Toyota Motor, dan sebelum ini juga ia sudah dibuka untuk tempahan. Dua MPV mewah yang dikemas kini dan mempunyai harga yang lebih tinggi tersebut menerima rekaan serta beberapa ciri baru, manakala Alphard pula menerima enjin V6 baru.

    Untuk Vellfire, enjin 2.5 liter sama seperti sebelum ini dikekalkan, dan ia kini dipasarkan pada harga RM350,800, iaitu peningkatan sebanyak RM5,600 berbanding model sebelum ini. Alphard pula, dijual pada harga RM429,800 untuk model 3.5 liter standard dan RM540,800 untuk 3.5 Executive Lounge. Ini masing-masing adalah peningkatan sebanyak RM26,400 dan RM35,100. Semua harga ini tidak termasuk insurans, bersama jaminan tanpa had batuan lima tahun.

    Perubahan paling besar, bagi Alphard adalah enjinnya, iaitu sekarang menggunakan unit 2GR-FKE 3.5 liter V6 dengan sistem suntikan terus D-4S dan VVT-iW. Kuasanya meningkat sebanyak 29 PS dan 21 Nm menjadi 300 PS pada 6,600 rpm dan 361 Nm tork pada antara 4,600 hingga 4,700 rpm. Transmisi automatik Direct Shift lapan kelajuan baru juga diguna untuk menggantikan unit enam kelajuan sebelum ini.

    Toyota mendakwa penggunaan bahan api untuk kenderaan ini juga bertambah baik dalam ujian JC08 Jepun, menjadi antara 10.4 dan 10.6 km/l berbanding 9.5 km/l sebelum ini. Untuk Vellfire, enjin empat silinder 2AR-FE 2.5 liter Dual VVT-i masih dikekalkan, di mana ia mampu menghasilkan 180 PS pada 6,000 rpm dan 235 Nm tork pada 4,100 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT yang juga sama seperti sebelum ini.

    Perubahan lain lebih kepada kosmetik, di mana kedua-duanya mempunyai ‘muka’ yang baru. Alphard kini mempunyai gril yang lebih besar, dengan kemasan krom berjalur turun ke bawah, manakala lampunya pula menggunakan unit LED boleh laras sendiri dengan lampu selekoh dan lampu siang LED (grafik baru).

    Vellfire pula mempunyai gril krom dengan permukaan rata lebih besar, bersama lampu kabus bersegi dan di penjuru bampar terdapat bahagian seperti bukaan udara yang besar. Akhir sekali, terdapat lampu belakang baru, dengan pencahayaan dalaman berpetak, hiasan krom pada pintu but dan rekaan rim 18 inci baru.

    Di dalam, kenderaan ini menggunakan rekaan panel instrumen baru, serta ciri standard baru yang termasuk pengecas Qi tanpa wayar, dan cermin pandang belakang berasaskan kamera digital yang dipanggil full display mirror (FDM) – pertama kali digunakan pada Lexus LS baru.

    Lain daripada itu, senarai kelengkapan masih lagi sama, Vellfire datang dengan sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, pintu gelungsur kuasa elektrik, tempat duduk balutan kulit, boleh dilaras secara elektrik dan mempunyai liang udara, tempat duduk kapten di baris kedua, tempat duduk Ottoman untuk bahagian hadapan dan baris kedua, bumbung suria hadapan, bumbung panoramik di belakang, sistem navigasi DVD-AVN dengan skrin sesentuh tujuh inci dan lapan pembesar suara.

    Toyota Alphard, Vellfire <em>facelift</em> 2018 – harga pasaran Malaysia sudah disiar, antara RM351k hingga RM541k

    Untuk Alphard pula, model standard datang dengan jumlah kelengkapan yang sama, tetapi model Executive Lounge menerima tempat duduk baris kedua VIP yang lebih lebar, boleh disandar secara elektrik, pelarasan Ottoman dan mempunyai liang udara. Model ini juga menggunakan balutan kulit semi-aniline, skrin sesentuh lapan inci untuk sistem navigasi dan sistem bunyi JBL 17 pembesar suara.

    Pada bahagian keseleamatan, semua model kini mendapat Blind Spot Monitor (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA) sebagai tambahan kepada tujuh beg udara, ABS, EBD, BA dan Vehicle Stability Control (VSC). Walaubagaimanapun, pakej Toyota Safety Sense yang datang secara standard untuk model Jepun tidak diberitahu ada pada unit pasaran Malaysia ini.

    Apabila mendapatkan kenderaan dengan UMWT, pembeli akan menerima sebuah kenderaan yang ditala khas untuk keadaan cuaca, jalan serta peraturan di Malaysia. Ini termasuklah talaan yang dilakukan pada ECU enjin, cermin sisi yang lebih lebar serta sistem nevigasi dan audio yang khas untuk Malaysia. Dan sudah tentu, kereta yang dipasarkan melalui pengedar rasmi diberikan jaminan lima tahun tanpa had batuan, dan jaminan keberadaan alat ganti selama 10 tahun.

    Toyota Alphard facelift 2018

    Toyota Vellfire facelift 2018

     
     
  • Daihatsu Sirion terbaru dilancarkan di Indonesia – hanya enjin 1.3L MT/AT ditawarkan, dari RM53k-RM56k

    Daihatsu Sirion terbaru dilancarkan di Indonesia – hanya enjin 1.3L MT/AT ditawarkan, dari RM53k-RM56k

    Seperti yang kami laporkan sebelum ini, Daihatsu Sirion telah pun dilancarkan di Indonesia hari ini. Ia mengikut jejak yang terdahulu; merupakan model rebadge daripada Perodua Myvi dan diimport sepenuhnya (CBU) dari Malaysia.

    Daihatsu Sirion terbaru ini bagaimanapun hanya ditawarkan dalam pilihan enjin 1.3L, dengan gandingan antara kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan. Hanya ada satu peringkat kemasan diperkenalkan, dengan harga 182.5 juta Rupiah (RM52,655) bagi model MT manakala 193.2 juta Rupian (RM55,819) bagi versi AT.

    Harga berkenaan adalah lebih mahal jika dibandingkan dengan varian 1.3L yang dijual di Malaysia, dari harga antara RM44,300 hingga RM48,300. Apa pun, Daihatsu Sirion 1.3L di Indonesia mengenakan penampilan yang sama seperti versi 1.5L di sini, antaranya dengan rim 15-inci dan head unit 2-DIN dengan skrin sentuh. Selebihnya kelengkapan yang sama pada Myvi 1.3 Premium X digunakan.

    Sirion turut datang dengan lampu utama LED, lampu kabus, sensor parkir depan dan belakang, sistem tanpa kunci dan Push Start, stereng balutan kulit dengan butang kawalan audio/panggilan telefon dan lain-lain. Ciri unik yang dibangunkan untuk pasaran tempata di sini, iaitu memori untuk sistem pendingin hawa, turut disertakan untuk pasaran Indonesia.

    Ciri-ciri keselamatan yang ada pada Sirion juga sama. Antaranya ABS, EBD, VSC, peringatan tali keledar belakang dan empat beg udara. Enjin yang digunakan ialah 1NR-VE 1.3 liter Dual VVT-i yang menghasilkan 95 PS dan 121 Nm, tetapi tiada ciri Eco-Idle seperti pada varian 1.3 Premium X di sini.

    Jika anda ingin tahu lebih lanjut tentang Myvi 2018, ikuti laporan komprehensif yang telah kami sediakan sebelum ini, antaranya laporan pandu uji serta ulasan video perbandingan dengan model lamanya.

    Perodua Myvi 2018 1.3 Premium X

     
     
  • Honda Legend 2018 – model JDM generasi baharu diasaskan dari Acura RLX pasaran Amerika Syarikat

    Honda Legend 2018 – model JDM generasi baharu diasaskan dari Acura RLX pasaran Amerika Syarikat

    Jika sebelum ini Honda Legend di bawa ke Amerika Syarikat dengan lencana Acura, model generasi baharu ini nampaknya sudah terbalik kerana Acura RLX yang dibina untuk pasaran Amerika Syarikat, kini di bawa ke Jepun dan diberikan lencana Legend, dijual sebagai model generasi baharu.

    Untuk pasaran negara matahari terbit berkenaan, Legend ditawarkan dengan hanya varian tunggal Hybrid EX, dijual pada harga 7,074,000 yen (RM257,596). Legend JDM ini juga dilihat tampil seiras dengan Acura RLX USDM, menampilkan gril berbentuk pentagon diapit oleh sepasang lampu utama Jewel Eye, bonet hadapan berotot, bampar hadapan baharu, lampu belakang LED dan juga diffuser belakang yang turut menempatkan tip ekzos bersalut krom.

    Masuk ke kabin, anda dihidangkan dengan material dalaman yang dipertingkatkan bersama warna-warna kemasan baharu. Selain dari itu, rupa setiap komponen dalam kabin adalah sama dengan RLX, kecuali logo-logo Acura yang ditukar kepada logo Honda.

    Begitu juga dengan enjin, Legend diberikan unit janakuasa Sport Hybrid Super-Handling All-Wheel Drive (Sport Hybrid SH-AWD) yang menggabungkan enjin petrol V6 3.5 liter suntikan bahan api terus berkuasa 314 PS/371 Nm, transmisi automatik klac berkembar DCT tujuh-kelajuan dan juga tiga buah motor elektrik.

    Secara keseluruhan, unit berkenaan menghasilkan kuasa 382 PS/463 Nm serta memberikan ekonomi penggunaan bahan api 16.4 km/l pada kitaran JC08 Jepun. Honda turut memperteguhkan kerangka kereta ini dengan meluaskan lagi penggunaan bahan pelekat, serta menala semula suspensi bagi memberikan pemanduan dan pengendalian yang lebih baik.

    Honda Legend generasi baharu pasaran Jepun juga turut dipadankan dengan pakej bantuan pemanduan Honda Sensing yang terdiri dari gabungan sistem Cruise Control adaptif, sistem mengekor kelajuan rendah (Low-Speed Follow atau LSF), sistem amaran perlanggaran hadapan (Forward Collision Warning System atau FCW), sistem brek menghindari perlanggaran (Collision Mitigation Braking System atau CMBS), bantuan kekal lorong (Lane Keeping Assist System atau LKAS), sistem amaran pertukaran lorong (Road Depature Mitigation System atau RDM) dan juga amaran keluar lorong (Lane Departure Warning atau LDW).

     
     
  • Geely SL – imej sedan kompak terbaru di China bocor

    Geely SL – imej sedan kompak terbaru di China bocor

    Sebelum ini, SUV segmen B terbaru Geely pernah didedahkan. Kini, satu lagi imej model terbaru sedan kompak pengeluar China itu bocor diinternet, melalui CarNewsChina. Gambar yang sedang anda lihat ini ialah bagi model Geely SL, yang dijangka akan diperkenalkan untuk pasaran China pada separuh kedua tahun ini.

    Menurut laporan awal, model berkenaan akan diposisikan antara Emgrand GL dan Borui, dengan dua enjin turbocaj ditawarkan. Yang pertama ialah enjin 1.0 liter tiga-silinder yang menghasilkan 134 hp dan 180 Nm, sementara satu lagi enjin 1.4 liter empat-silinder dengan janaan 131 hp dan 215 Nm.

    Dari segi dimensi binaannya, Geely SL mempunyai 4,680 mm panjang, 1,785 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak antara roda 2,670 mm. Berbanding Emgrand GL, model ini 48 mm lebih panjang dengan jarak antara roda kurang 20 mm dan lebih sempit 4 mm. Ia juga lebih rendah 10 mm.

    Rekaan yang ditampilkan pula membawa kesinambungan yang sama seperti model-model terkini Geely yang pernah kita lihat. Gril diampit oleh lampu utama dengan rekaan bersegi, sementara bahagian bawah bampar mempunyai bucu masukan udara yang luas.

    Di belakang, kemasan krom menghubungkan lampu di sisi, dengan logo Geely ditengah. Ruang corong ekzos pula ada dua, bersekali pada bahagian bawah bampar belakang berkenaan, memberikan imej yang lebih kemas untuk sedan ini.

     
     
  • Kenderaan berat dilarang berada di jalan raya selama empat hari pada tarikh tertentu sempena TBC ini

    Kenderaan berat dilarang berada di jalan raya selama empat hari pada tarikh tertentu sempena TBC ini

    Kerajaan mengambil pelbagai langkah bagi memastikan perjalanan pengguna yang mahu pulang ke kampung selamat dan lancar sempena cuti Tahun Baharu Cina (TBC) hujung minggu ini.

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lain berkata, ini termasuklah larangan telah dikeluarkan terhadap kenderaan berat daripada berada di jalan raya pada dua hari sebelum TBC dan dua hari lagi selepas perayaan tersebut, iaitu bertarikh 14 hingga 15 Februari dan 24 hingga 25 Februari ini, laporan News Strait Times.

    “Larangan bagi kenderaan berat ini telah dipraktikkan sebelum ini (untuk mengurangkan kemalangan dan memastikan trafik lancar) dan kami juga melaksanakan kempen keselamatan jalan raya selama 14 hari bermula 9 Februari lalu,” ujarnya.

    Walau bagaimana pun, seperti sebelum ini, kenderaan berat yang menghantar keperluan harian seperti lori minyak, makanan dan perubatan terkecuali daripada larangan yang telah dikeluarkan ini.

     
     
  • Pekerja asing, ekspatriat yang terlibat dengan kesalahan jalan raya berulang mungkin diusir

    Pekerja asing, ekspatriat yang terlibat dengan kesalahan jalan raya berulang mungkin diusir

    Ekoran menerima maklum balas daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) susulan pelbagai kesalahan jalan raya dilakukan oleh pekerja warga asing, Jabatan Imigresen akan mempertimbangkan tindakan tegas termasuk pengusiran terhadap individu berkenaan yang melakukan kesalahan berulang di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Menurut Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali, antara kesalahan berulang yang dilakukan termasuk tiada lesen memandu dan cukai jalan, menggunakan dokumen palsu serta kesalahan trafik lain, laporan Bernama.

    “Walaupun jumlah mereka (yang melakukan kesalahan jalan raya) adalah kecil, tetapi kita tidak boleh berkompromi, walaupun mereka ada pas sah (untuk bekerja). Tindakan pengusiran boleh dilakukan jika mereka terus-menerus melakukan kesalahan di bawah APJ 1987,” katanya pada sidang media selepas sesi libat urus bersama wakil JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

    Tambahnya lagi, ini termasuklah bagi ekspatriat yang boleh dikenakan tindakan sama kerana Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi jika rekod JPJ menunjukkan mereka melakukan kesalahan berulang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025