Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Lexus GS F dan RC F – model edisi terhad ulang tahun ke-10 dijual di Jepun; berharga 15.5 hingga 17 juta yen

    Lexus GS F dan RC F – model edisi terhad ulang tahun ke-10 dijual di Jepun; berharga 15.5 hingga 17 juta yen

    Tahun lalu, Lexus telah menyambut ulang tahun yang ke-10 bagi divisi prestasi-tinggi -F- dengan mendedahkan dua veri edisi terhad bagi GS F dan RC F. Kini, kedua-dua model tersebut telah pun mula berada di pasaran Jepun, dengan model sedan dijual pada harga 15.5 juta yen (RM551,600) dan coupe pula berharga 17 juta yen (RM604,981).

    Kedua-dua model berkenaan juga dijanakan oleh enjin 2UR-GSE 5.- liter naturally-aspirated V8, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 477 PS pada 7,100 rpm dan tork 530 Nm antara 4,800 hingga 5,600 rpm. Pacuan disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik Sport Direct Shift lapan-kelajuan.

    Sementara penjana kuasanya tidak berubah, Lexus telah mempertingkatkan peredamnya dan juga ekzos titanium yang mampu memantapkan lagi prestasinya.

    Lexus GS F dan RC F – model edisi terhad ulang tahun ke-10 dijual di Jepun; berharga 15.5 hingga 17 juta yen

    Warna matte grey menjadi pilihan bagi kedua-duanya, dengan kit luaran gentian karbon. Selain itu, ia turut menampilkan roda BBS 19-inci dengan perumah kaliper berwarna biru, serta tayar 225/35 untuk hadapan dan 275/35 di belakang.

    Di dalamnya pula, GS F dihiasi dengan tema warna biru, putih dan hitam, terutamanya pada tempat duduk hadapan. Sementara untuk roda stereng dan tombol gear dibaluti kulit berwarna biru dengan jahitan kontras putih.

    Tali pinggang keledar juga berwarna biru dengan microsuede pada seksyen kecil pada panel instrumen. Material yang sama berwarna hitam mnghiasi perehat tangan dan headliner inspirasi-origami. Sementara ini, RC F pula agak mirip dengan GS F, kecuali tempat duduk belakang dan tali pinggang keselamatannya berwarna hitam.

    Lexus GS F ulangtahun ke-10

    Lexus RC F ulangtahun ke-10

     
     
  • Bajaj Dominar 400 2018 – siri video promosi model tahun 2018 dikatakan mempersenda Royal Enfield

    Bajaj baru sahaja memperkenalkan model tahun 2018 bagi Dominar 400 di India, menyaksikan ia kini ditawarkan dalam dua warna baru iaitu Glacier Blue dan Canyon Red, sebagai tambahan kepada warna Rock Matte Black yang sedia ada sebelum ini. Selain itu, semua model baru ini juga didatangkan standard dengan rim 17 inci warna emas.

    Selain daripada perubahan warna, bahagian lain motosikal ini masih lagi sama, termasuklah enjinnya – menggunakan unit satu silinder 373 cc suntikan bahan api, dengan teknologi Triple Spark dan DTS-i. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah sebanyak 35 PS pada 8,000 rpm dan 35 Nm pada 6,500 rpm, disampaikan ke roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis slipper.

    Walaupun hanya diperbaharui pada warnanya, Bajaj cuba meraikan penerimaan baik Dominar 400 di negara itu selama satu tahun, dengan beberapa siri video dimuat naik di laman Youtube. Ada yang menganggap video ini sebagai kreatif dan mencuit hati, namun ada juga yang merasakan ia seperti mempersendakan motosikal jenama lain seperti Royal Enfield, yang juga terkenal di negara itu.

    Bajaj Dominar 400 2018 – siri video promosi model tahun 2018 dikatakan mempersenda Royal Enfield

    Perkara ini boleh dilihat pada ruangan komen video tersebut, tetapi pada penglihatan kami, Bajaj tidak ada menyatakan secara jelas ia ditujukan kepada Royal Enfield, dan sekadar menunjukkan kehebatan motosikal baru mereka. Tonton sendiri video ini di bawah dan beritahu kami pendapat anda.

    Dominar 400 ini juga pernah dilapor akan tiba di negara kita dalam tahun ini, dan ia mempunyai kelengkapan lain termasuk meter jenis digital, fork teleskopik hadapan 43 mm, monoshock boleh laras di belakang, brek cakera depan dan belakang, sistem ABS dan lampu jenis LED sepenuhnya.



     
     
  • Volkswagen Golf 2019 – imej render, penggayaan baru

    Volkswagen Golf 2019 – imej <em>render</em>, penggayaan baru

    Volkswagen Golf sepanjang pengelanannya sejak 1974 menjadi model paling popular pengeluar Jerman itu dengan jumlah jualan mencecah 34 juta unit. Dan, kita tahu model generasi kelapannya (Mk8) akan mula dikilangkan seawal Jun 2019.

    Setakat ini, masih belum ada banyak berkaitannya yang kita ketahui, melainkan beberapa hal seperti kelengkapan teknologi pemanduan dengan fungsi autonomous. Dari sudut rekaan, Golf Mk8 masih lagi rahsia, dan pilihan terbaik untuk membayangkannya ialah melalui imej render – seperti biasa oleh Theophilus Chin.

    Volkswagen Golf 2019 – imej <em>render</em>, penggayaan baru

    Rekaan yang ditampilkan ini menggunakan pendekatan profil yang hampir sama seperti model sebelumnya, dengan iras model Polo. Ciri tambahan terbaru yang ditampilkan adalah seperti lampu utama dengan DRL LED dan dua dua projektor dikedua-dua sisi (tidak seperti Jetta), lampu isyarat mengambil bentuk melintang dengan LED.

    Rim dengan rekaan Y digunakan pada unit bayangan ini, dan kalau dilihat lebih dekat, unit ini turut dilengkapi dengan bumbung panoramik. Di belakang, lampunya mengambil inspirasi dari Jetta, melengkapkan rekaan hatchback yang ada. Apa pandangan anda tentang imej render ini?

     
     
  • Hafizh Syahrin naik ke MotoGP ganti Jonas Folger?

    Hafizh Syahrin naik ke MotoGP ganti Jonas Folger?

    Sekarang ini sedang berlegar desas-desus bahawa pelumba motosikal negara yang berusia 23 tahun, Hafizh Syahrin dikatakan masuk dalam senarai pelumba yang akan menggantikan Jonas Folger dalam pasukan Monster Yamaha Tech3. Awal tahun ini, Folger disahkan menarik diri bagi perlumbaan musim 2018 kerana faktor kesihatan.

    Berita tentang Hafizh Syahrin ini disiarkan oleh Motorcycle News, yang memetik maklumat daripada beberapa sumber. Antaranya adalah bos pasukan tersebut iaitu Herve Poncharal, yang ditemui sewaktu ujian di Litar Sepang, dan beliau mengesahkan Hafizh memang berada dalam senarai tersebut.

    Walaubagaimanapun, masih belum ada sebarang keputusan yang dibuat berkenaan perkara ini kerana ia melibatkan banyak pihak, dan Poncharal sendiri berhadapan kesukaran untuk menjelaskan perkara ini kepada penaja serta rakan kongsi, dan akhirnya barulah membuat keputusan.

    Hafizh Syahrin naik ke MotoGP ganti Jonas Folger?

    “Sebelum ini nama Syahrin memang tiada dalam senarai, tapi kini memang beliau ada – tapi percayalah, masih jauh lagi sebelum keputusan boleh dibuat. Sekarang, saya sendiri penat dengan situasi ini. Kami perlu menjaga pengeluar motosikal dan juga penaja, dan dalam kontrak yang saya jual kepada mereka, ia menggunakan nama Johann Zarco dan Jonas Folger sebagai pelumba. Perkara yang berlainan perlu dibincang, dan semua orang mempunyai idea mereka sendiri,” tambah Poncharal.

    Jika benar Hafizh dipilih sebagai pelumba kategori MotoGP menggantikan Folger, beliau akan menjadi pelumba pertama dari Asia Tenggara yang berlumba dalam kategori premier tersebut. Dari tahun 2013, hingga tahun 2017, Hafizh telah berlumba dalam kategori Moto2, dan tahun ini beliau berlumba di bawah naungan pasukan SIC.

     
     
  • Hyundai Santa Fe – rekaan papan pemuka pula muncul

    Hyundai Santa Fe – rekaan papan pemuka pula muncul

    Sebelum ini, Hyundai telah menunjukkan teaser serta lakaran digital model Santa Fe generasi keempat. Ini memberikan gambaran yang lebih jelas bagaimana penampilan SUV yang akan diperkenalkan hujung bulan ini nanti. Dan sekarang, ada pula gambar spyshot ruang dalamannya, yang muncul buat kali pertama.

    Apa yang dapat dikesan ialah, Santa Fe tidak hanya mengambil inspirasi bagi rekaan luaran dari model Kona; ruang dalaman juga mengikut jejak yang sama. Model crossover berkenaan menjadi pemula kepada imej kenderaan terbaru yang dihasilkan Hyundai selepas ini, dan ia diteruskan dengan Santa Fe.

    Gambar yang ada ini mendedahkan rekaan papan pemuka dengan skrin tengah terapung bagi sistem infotainmen – satu pendekatan yang agak kerap kita lihat sekarang ini. Di bawah skrin sentuh itu pula terletak susunan butang dan tombol, dengan corong pendingin hawa yang tirus seperti pada Kona, tetapi dengan bucu yang lebih tajam.

    Stereng yang dapat dilihat pula adalah dari yang kebiasaan kita lihat ada pada SUV kecil. Elemen jahitan juga ada pada papan pemuka ini, memberikan visual yang agak kemas juga – walaupun tidak tampil begitu menonjol berbanding elemen rekaan yang sudah pernah dihasilkan sebelum ini.

    Lain pula ceritanya pada bahagian luar, Santa Fe mempunyai penampilah yang sangat berbeza dan segar secara menyeluruh, dengan lampu dua lapisan serta gril besar seperti pada Kona. Garis utama pada padan Santa Fe, bermula dari lampu hadapan dan berakhir di lampu belakang – membuatkannya nampak besar. Ada khabar angin kata model baru ini nanti boleh naik lapan orang. Apa pandangan anda?

     
     
  • Ford Freestyle – crossover berasaskan Figo di India

    Ford Freestyle – crossover berasaskan Figo di India

    Pasaran India diperkenalkan dengan sebuah model baru yang dikategorikan sebagai “compact utility vehicle (CUV)” iaitu Ford Freestyle. Ia sebenarnya adalah satu versi crossover bagi model hatchback Figo, yang sudah berada dalam pasaran negara itu sejak tahun 2015.

    Bagi menjadikan Freestyle ini berlainan dengan Figo, rekaannya telah diubah sedikit, termasuk pada bahagian gril hadapan, yang menggunakan corak mesh berbanding jalur melintang pada Figo. Bampar juga ditukar kepada unit rekaan baru, yang datang dengan skid plate hiasan berwarna perak, kemasan plastik di sekeliling kenderaan, serta rel bumbung.

    Masuk ke dalam, suasananya hampir sama di antara dua kenderaan tersebut, kecuali terdapat bahagian tengah papan pemuka yang meletakkan skrin sesentuh 6.5 inci. Skrin ini disambungkan dengan sistem hiburan dan informasi SYNC 3, yang datang dengan pemain media, navigasi serta aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto.

    Ford Freestyle – crossover berasaskan Figo di India

    Di bawah bonet, Freestyle dikuasakan oleh enjin petrol tiga silinder NA 1.2 liter Ti-CVT yang mampu menghasilkan 96 PS dan 120 Nm tork. Kuasa ini disampaikan ke tayar hadapan melalui transmisi manual lima kelajuan, dan menurut laporan IndianAutosBlog, pilihan enjin diesel juga akan ditawarkan, iaitu menggunakan unit 1.5 liter TDCi berkuasa 100 PS dan 215 Nm tork.

    Pelancaran rasmi kenderaan ini hanya akan dilakukan pada suku kedua 2018, dan Freestyle akan diletakkan di bawah EcoSport yang terletak di dalam segmen B. Freestyle dikeluarkan di India, dan juga akan dieksport ke negara Eropah, Afrika dan Timur Tengah.

     
     
  • Isyarat trafik di lintasan pejalan kaki diperlukan – Miros

    Isyarat trafik di lintasan pejalan kaki diperlukan – Miros

    Bagi memastikan kenderaan berhenti untuk memberi laluan kepada pejalan kaki yang mengggunakan lintasan perjalan kaki, Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati pemasangan isyarat trafik adalah wajar untuk laluan terbabit.

    Menurut Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, pihaknya turut mengesyorkan agar pihak penguat kuasa undang-undang mengeluarkan saman atau mengenakan sistem potongan mata sekiranya pemandu tidak memberi laluan kepada pengguna lintasan pejalan kaki.

    Katanya, Miros melakukan pemerhatian terhadap tingkah laku pejalan kaki dan pemandu di lintasan pejalan kaki yang mempunyai dan tidak mempunyai isyarat trafik. Pemerhatian itu mendapati sekitar 74% pemandu tidak memberi laluan kepada pejalan kaki di lintasan pejalan kaki, terutama di persimpangan yang tidak dilengkapi isyarat trafik.

    “Bagi persimpangan yang mempunyai isyarat trafik, hanya 8.2% pemandu tidak mematuhi peraturan lalu lintas (melanggar isyarat lampu merah) di lintasan pejalan kaki. Sementara itu, 95.4% pejalan kaki menggunakan crosswalk (lintasan pejalan kaki) dengan cara sewajarnya di persimpangan yang tidak mempunyai isyarat dan 83.1 peratus di persimpangan yang mempunyai isyarat,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

    Tambah Lee lagi, 8.3% pemandu pula didapati menggunakan telefon bimbit ketika berada di lintasan pejalan kaki, manakala 6.8% pejalan kaki menggunakan alat itu ketika melintas di lintasan pejalan kaki yang tidak mempunyai isyarat dan 5.1% di persimpangan yang mempunyai isyarat.

    Manakala kajian yang dilakukan sebuah universiti tempatan pula mendapati kesediaan pemandu untuk berhenti di lintasan pejalan kaki adalah sangat rendah, katanya.

    “Pejalan kaki akan berpeluang melintas sekiranya kenderaan bergerak secara berkumpulan. Keadaan ini mungkin disebabkan wujud salah faham tentang hak laluan di lintasan pejalan kaki yang tidak mempunyai isyarat. Tambahan lagi, pejalan kaki dan kenderaan di negara ini tergolong sebagai trafik yang terikat dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987. Akta itu digubal untuk memberi peruntukan tentang peraturan melibatkan kenderaan bermotor dan trafik di jalan raya serta perkara lain yang mempunyai kaitan dengan jalan raya dan kenderaan,” katanya.

     
     
  • GALERI: Ujian MotoGP di Sepang – Lorenzo terpantas

    GALERI: Ujian MotoGP di Sepang – Lorenzo terpantas

    Sesi ujian pertama bagi pasukan MotoGP tahun ini telah berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang beberapa hari yang lalu dan berakhir dengan kebanyakan pasukan berjaya mengumpul pelbagai data berguna untuk perlumbaan sebenar nanti.

    Paling jelas boleh dilihat oleh orang ramai tentunya bentuk aerodinamik bahagian hadapan motosikal, atau lebih spesifik lagi bahagian fairing yang mempunyai bentuk seperti sayap. Setiap pasukan mempunyai cara dan bentuk yang tersendiri untuk menjadikannya lebih efektif, dan anda boleh melihat sendiri perbezaannya melalui gambar di bawah.

    Turut dapat diperhatikan adalah pasukan-pasukan yang turun ke Sepang ini menguji beberapa jentera berkemungkinan untuk melihat yang mana dapat menunjukkan prestasi lebih baik. Namun, keseluruhan sesi ujian ini sudah tentu adalah untuk mengumpul data dan maklumat, supaya pelarasan terbaik dapat dilakukan apabila perlumbaan sebenar berlangsung, bermula di Qatar 18 Mac nanti.

    GALERI: Ujian MotoGP di Sepang – Lorenzo terpantas

    Sebaik tamat hari terakhir ujian di Litar Sepang ini, pelumba paling pantas yang dapat direkod adalah Jorge Lorenzo, daripada pasukan Ducati, dengan catatan masa 1:58.830. Ini seterusnya diikuti Dani Pedrosa dari pasukan Honda Repsol dengan tambahan 0.179 saat dan seterusnya Cal Crutchlow dengan tambahan 0.222 saat.

    Sebelum perlumbaan MotoGp sebenar berlangsung, masih akan terdapat beberapa siri ujian lagi iaitu di Litar Buriram, Thailand 16 Februari ini dan Qatar pada 1 Mac.

     
     
  • Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi kini sah nombor satu untuk 2017; tewaskan VW, Toyota jatuh no.3

    Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi kini sah nombor satu untuk 2017; tewaskan VW, Toyota jatuh no.3

    Nampaknya momentum jualan global bagi Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi yang dicatatkan pada setengah tahun lalu berjaya dikekalkan hingga penghujung tahun, dan jangkaan yang dibuat oleh CEO kumpulan automotif berkenaan, Carlos Ghosn jelas menjadi kenyataan – Pakatan Perancis-Jepun tersebut berjaya menumpaskan juara tahun lalu iaitu Volkswagen Group dengan jualan keseluruhan 10,608,366 kenderaan penumpang dan kenderaan komersial ringan sepanjang 2017.

    Sepanjang 2017, Kumpulan Volkswagen berjaya menjual sejumlah 10.53 juta kenderaan untuk menduduki tangga kedua dan angka berkenaan dilihat lebih tinggi dari 2016 dengan jumlah 10.3 juta. Manakala untuk gergasi Asia – Toyota – pula, tahun 2017 menyaksikan jenama tersebut jatuh lagi satu anak tangga dengan rekod jualan 10.2 juta kenderaan.

    Menurut Pakatan berkenaan, permintaan yang semakin meningkat untuk SUV, kenderaan komersial ringan dan juga kenderaan elektrik sepenuhnya membantu menaikkan jumlah jualan sebanyak 6.5% tahun lalu, yang juga tahun penuh pertama Mitsubishi sebagai ahli dalam kumpulan tersebut. Sepanjang 2017 juga, Pakatan berkenaan telah menjual kenderaan pada hampir 200 buah negara di bawah 10 jenama iaitu Renault, Nissan, Mitsubishi, Dacia, Renault Samsung Motors, Alpine, Lada, Infiniti, Venucia dan Datsun.

    Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi kini sah nombor satu untuk 2017; tewaskan VW, Toyota jatuh no.3

    “Dengan lebih 10.6 juta kenderaan penumpang dan kenderaan komersial ringan dijual pada 2017, Renault-Nissan-Mitsubishi telah menjadi kumpulan automotif nombor satu di dunia. Evolusi ini merupakan cerminan kepada betapa luas dan mendalam barisan model kami, penampilan kami dalam pasaran global dan penerimaan pelanggan terhadap teknologi kenderaan kami,” kata Carlos Ghosn.

    Jualan Renault telah miningkat 8.5% kepada 3,761,634 unit pada 2017. Ia merupakan tahun yang mencatatkan rekod untuk jenama Perancis tersebut, dan disahkan sebagai jenama nombor dua di Eropah. 2017 juga mencatatkan rekod terbaik bagi jenama mampu miliknya, Dacia.

    Nissan pula menjual sebanyak 5,816,278 unit kenderaan, meningkat 4.6%. Di Amerika dan China, jenama Jepun ini telah mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 1.9% dan 12.2%. Manakala divisi mewahnya iaitu Infiniti pula menjual sejumlah 246,492 unit atau peningkatan sebanyak 7%.

    Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi kini sah nombor satu untuk 2017; tewaskan VW, Toyota jatuh no.3

    Anggota baharu pakatan ini -Mitsubishi- telah menjual 1,030,454 kenderaan sepanjang 2017, 10% lebih tinggi dari 2016. Peningkatan jualan tertinggi dapat dicapai di pasaran China, yang kini telah menjadi pasaran terbesarnya. Di China, permintaan terhadapa SUV Outlander yang dibina secara pemasangan tempatan menghasilkan jumlah jualan keseluruhan 129,160 unit atau peningkatan jualan sebanyak 56%.

    Prestasi Mitsubishi di rantau ASEAN juga sangat menyakinkan apabila jenama berkenaan berjaya menjual sebanyak 242,224 unit atau peningkatan sebanyak 17%, terutamanya setelah MPV-SUV Mitsubishi Xpander dilancarkan di Indonesia. Manakala di tanah kelahirannya, MMC turut mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 7%.

    Penguasaan Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi diperkuatkan lagi dengan teknologi elektrik dan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) kerana kumpulan berkenaan terlebih dahulu meneroka segmen tersebut sebelum ianya menjadi trend. Sejak 2010, selepas Nissan Leaf diperkenalkan buat pertama kali, Pakatan ini telah berjaya menjual sebanyak 540,623 unit EV menerusi pelbagai model dengan pelbagai jenama di bawah naungannya. Secara kumulatif juga, Pakatan berkenaan kini peneraju global bagi kereta dan kenderaan komersial ringan yang dijana oleh elektrik sepenuhnya.

    Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi kini sah nombor satu untuk 2017; tewaskan VW, Toyota jatuh no.3

    Nissan Leaf generasi kedua telah pun dilancarkan pada pasaran Jepun hujung tahun lalu, dan ia bakal menerjah pasaran lain pula di seluruh dunia pada tahun ini, termasuk Malaysia. Kereta elektrik ini telah pun ditempah sebanyak 40,000 unit dari seluruh dunia, termasuk 13,000 daripadanya untuk pasaran Jepun sahaja. 13,000 unit lagi Leaf telah dikhususkan untuk pasaran Amerika, manakala 12,000 unit lagi merupakan tempahan dari benua Eropah. Sejak Disember 2010, sejumlah lebih dari 300,000 Leaf telah pun berjaya dijual.

    Tahun lalu, Renault kekal sebagai peneraju kereta elektrik di Eropah dengan bahagian pasaran sebesar 23.8% – disumbangkan dari peningkatan jualan sebanyak 38%. Renault Zoe merupakan kereta elektrik paling laris di Eropah dengan peningkatan jualan kepada 44%. Sejak 2011, Renault telah menjual lebih dari 150,000 EV di seluruh dunia. Untuk 2017 sahaja, Pakatan tersebut telah menjual 91,000 kenderaan elektrik, 11% lebih tinggi dari 2016.

    Sebagai salah satu pelan strategik Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi 2022, kumpulan tersebut menjangkakan sinergi tahunannya akan mencapai 10 bilion euro pada akhir 2022. Sebagai tambahan, 12 kenderaan elektrik baharu dan 40 kenderaan dengan teknologi pemanduan sendiri akan dilancarkan. Pengenalan model-model baharu ini dijangka akan meningkatkan jualan tahunan lebih dari 14 juta unit dengan pendapatan hingga 240 bilion euro pada penghujung rancangan enam-tahun berkenaan.

     
     
  • Laluan pejalan kaki yang menghubungkan stesen MRT Bandar Utama-One Utama mula dibuka hari ini

    Laluan pejalan kaki yang menghubungkan stesen MRT Bandar Utama-One Utama mula dibuka hari ini

    Memasuki tahun ke-dua beroperasi, akhirnya laluan pejalan kaki di antara stesen MRT Bandar Utama dan pusat membeli-belah One Utama telah pun mula dibuka hari ini. Dengan ukuran sepanjang 35 meter, jambatan laluan pejalan kaki itu dibina sepenuhnya oleh Bandar Utama City Corporation Sdn Bhd (BUCC) iaitu pemilik pusat membeli-belah terbabit.

    Laluan tersebut menghubungkan Pintu Masuk B di stesen berkenaan ke Hotel One World berhamporan Restoran Zuan Yuan dan aras bawah One Utama. Selain itu, pengguna MRT juga boleh menggunakan laluan akses lain termasuk Hotel One World, IBM dan menara pejabat KPMG, Media Prima (TV3) dan 1 First Avenue.

    Selain itu, pihak pengurusan One Utama turut menyediakan bas pengantara ke/dari pusat membeli-belah terbabit dan penumpang dihantar ke Terminal Bas MRT di 1Powerhouse di mana juga terdapat fasiliti MRT Park & Ride di situ.

     
     
  • Lotus bakal bina dua sports car baru menjelang 2020

    Lotus bakal bina dua <em>sports car</em> baru menjelang 2020

    Lotus telah mendedahkan rancangan untuk mengeluarkan produk pertamanya sejak bernaung di bawah pengeluar kenderaan dari China, Geely. Menurut Car Magazine, syarikat itu akan memperkenalkan dua model sports car pada 2020, dengan diikuti oleh sebuah SUV pada 2022.

    CEO Lotus, Jean-Marc Gales memaklumkan penerbitan berkenaan, kereta sport baru itu akan menggantikan model sedia ada, sementara satu lagi model ialah edisi terhad dengan tumpuan spesifikasi litar untuk kegunaan jalan raya sebagai varian spesifikasi paling tinggi.

    Tambah beliau, model yang lebih murah akan menggunakan platform aluminium sedia ada Lotus, manakala versi yang lebih mahal akan menggunakan platform gentian karbon dan menjadi model flagship prestasi tinggi dari model 3-11.

    Kereta baru itu akan diasaskan menggunakan garisan badan yang sama, tetapi lebih sederhana berbanding pada 3-11 yang lebih tajam imejnya. Gales juga menambah, walaupun kedua-duanya akan menampilkan ciri termaju dari segi rekaan dan aerodinamik, ia juga akan jadi lebih praktikal, tanpa mengorbankan karektor sedia ada kenderaan Lotus.

    Bagi perihal enjin, Gales tidak mengesahkan sama ada akan menggunakan enjin-enjin dari Volvo atau Geely. Kekurangan enjin V6 dari kedua jenama itu mungkin akan menyaksikan enjin 3.5 liter V6 dari Toyota akan dikekalkan, paling tidak untuk model prestasi tinggi.

    Beliau juga menekankan, dua model terbaru itu nanti akan menampilkan sisi teknologi yang dipertingkat, termasuk pada bahagian yang tidak kelihatan. Sebagai contoh peralatan pendawaian elektrik akan digantikan dengan senibina elektrikal canggih, kemungkinan besar dari Volvo.

     
     
  • VIDEO – Jentera Formula E generasi kedua didedah

    Perlumbaan Formula E sudah berlangsung selama empat tahun, dan bagi musim baru tahun ini, ia akan menggunakan jentera baru, yang digelar sebagai generasi kedua. Jentera ini akan digunakan untuk tiga musim perlumbaan Formula E akan datang.

    Melalui video di bawah, anda akan dapat melihat rupa jentera Formula E terbaru ini dari setiap sudut, dan ia turut dinyatakan mempunyai banyak kelebihan berbanding jentera lumba sebelum ini. Antaranya adalah kapasiti simpanan tenaga hampir dua kali ganda dan jarak gerak juga berganda.

    Ini sekaligus menjadikan setiap kumpulan dan pemandu boleh menamatkan perlumbaan dalam kelajuan lebih tinggi, tanpa melakukan sebarang hentian sewaktu perlumbaan. Ini juga adalah petunjuk jelas kemajuan yang berjaya dicapai dalam teknologi bateri dan motor kenderaan elektrik.

    VIDEO – Jentera Formula E generasi kedua didedah

    Ini cuma berlaku dalam masa empat tahun sahaja, dan seterusnya nanti, teknologi ini akan sampai kepada orang ramai melalui kenderaan elektrik produksi. Menurut pengasas dan ketua pegawai eksekutif Formula E, Alejandro Agag, jentera baru ini juga adalah satu tanda revolusi kepada sukan permotoran.

    Jentera Formula E generasi baru yang sebenar hanya akan muncul secara fizikal di Geneva Motor Show 6 Mac ini, dan ia sebenarnya telah direka sendiri oleh FIA. Pereka dari seluruh dunia dikumpul untuk projek ini dan memberikan banyak kelainan berbanding rekaan lain dalam industri sukan permotoran.

     
     
  • Jaguar I-Pace hanya perlukan 45 minit untuk caj 80%

    Jaguar I-Pace hanya perlukan 45 minit untuk caj 80%

    Perkembangan teknologi kenderaan elektrik kini bertambah menarik. Terbaru, Jaguar telah mendedahkan model elektrik sepenuhnya yang pertama jenama itu, I-Pace akan diperkenalkan kepada dunia 1 Mac ini. SUV berkenaan sebelum ini dipertontonkan dengan nama sama sebagai model konsep pada 2016.

    Jenama pengeluar dari Britain itu menyifatkan I-Pace sebagai “kenderaan harian yang sempurna untuk apa saja – urusan seharian atau malah boleh diharapkan ketika cuaca di bawah suhu sifar.” Seperti yang terlihat pada gambar ini, proses pembangunan model berkenaan turut melibatkan ujian dalam keadaan ekstrem.

    Dalam hal ini, I-Pace dibawa ke Artik, di kemudahan ujian musim sejuk Jaguar Land Rover di Arjeplog, Sweden, dengan suhu yang boleh jatuh ke tahap -40 darjah celsius. Persekitaran beku seperti itu juga baik untuk memerhatikan prestasi sistem pacuan semua roda elektrik yang digunakan.

    Walaupun perincian lanjut tentang sistem janaan kuasa model ini belum didedahkan, Jaguar bagaimanapun ada memberi petunjuk terhadap keupayaan mengecas yang pantas. Difahamkan, hanya dalam masa 45 minit, bateri yang ada padanya boleh mencapai 80% penuh, asalkan ia menggunakan penegcas 100kW DC. Kalau dirujuk pada kenyataan 2016 lalu, Jaguar menyatakan tempoh yang diperlukan untuk sampai ke tahap yang sama bagi bateri lithium-ion 90 kWh ialah 90 minit menggubakan pengecas 50 kW DC.

    Jika sama seperti model konsep ketika itu, unit produksi ini nanti dijangka akan mampu memberikan jarak perjalanan 500 km (kitaran NEDC). Baterinya dipasang pada lantai pada platform khusus untuk kenderaan elektrik. Sistem pada model konsep SUV ini dahulu mampu menghasilkan 400 PS/700 Nm, dengan pecutan 0-96 km/j dalam masa 4 saat.

     
     
  • Porsche jelaskan mengapa sistem breknya berbunyi

    Bagi menerangkan dengan jelas kepada orang awam dan pelanggannya mengapa sistem brek kebanyakkan model-model keluarannya menghasilkan bunyi mendecit/berdengung ketika beroperasi, Porsche telah menyiarkan video untuk menerangkan dengan jelas apa yang berlaku.

    Menurut Porsche dalam video berkenaan, dengan diameter cakera brek yang besar dan diperbuat dari material berteknologi tinggi, getaran kecil tentunya akan terhasil ketika pad brek mencengkam cakera berkenaan, khususnya pada kelajuan tinggi.

    Getaran tersebut walaupun kecil, akan menghasilkan bunyi yang kuat kerana permukaan yang luas pada cakera secara tidak langsung akan bertindak seperti pembesar suara dan menyebabkan bunyi berkenaan jelas kedengaran.

    Porsche menegaskan lagi, material termaju yang digunakan untuk menghasilkan cakera berkenaan difokuskan untuk mendapatkan kuasa cengkaman terbaik, dan bukan untuk keselesaan dengan menghasilkan kadar bunyi yang rendah. Kesimpulannya, video ini ingin menerangkan bahawa bunyi berkenaan merupakan ‘karekter’ pada produknya dan bukan kerosakan pada mana-mana sistem mekanikal.

    Oleh itu, pembuat kereta sport dari Jerman tersebut memberitahu kepada pelanggannya agar jangan gusar dengan bunyi itu dan sekiranya masih tidak yakin, hantar terus kenderaan mereka ke pusat Porsche bertauliah dan pemeriksaan serta penilaian terhadap sistem brek berkenaan akan dilakukan.

     
     
  • Subaru Outback 2018 EyeSight bakal dilancarkan di Malaysia – tempahan kini dibuka, bermula RM239,688

    Subaru Outback 2018 EyeSight bakal dilancarkan di Malaysia –  tempahan kini dibuka, bermula RM239,688

    Ketika pelancaran model facelift bagi Subaru Outback yang dilengkapi dengan EyeSight di Singapore Motor Show baru-baru ini, kami dimaklumkan ia akan diperkenalkan di Malaysia pada suku kedua 2018. Sementara menantikan detik pelancarannya, laman web Subaru Malaysia telah memaparkan senarai harga untuk Outback 2018 ini berserta dengan spesifikasinya.

    Varian Outback 2.5i-S EyeSight akan ditawarkan dengan harga atas jalan RM239,688.40 tanpa insurans, iaitu lebih RM10k berbanding model pre-facelift. Seperti sebelum ini, Outback diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

    Bagi spesifikasinya, Outback facelift ini akan dijanakan oleh enjin 2.5 liter boxer empat-silinder dengan hamburan kuasa 175 PS pada 5,800 rpm dan tork 235 Nm pada 4,000 rpm (mengikut spesifikasi Singapura). Ia turut tampil dengan pacuan empat-roda menerusi Lineartronic CVT dan sistem Subaru Symmetrical All-Wheel.

    Subaru Outback 2018 EyeSight bakal dilancarkan di Malaysia –  tempahan kini dibuka, bermula RM239,688

    Turut menjadi sebahagian daripada penjana kuasa ini ialah fungsi SI Drive dan X-Mode yang memberikan keupayaan pacuan off-road yang dipertingkatkan, seperti mana pada model Subaru yang lain termasuk Forester dan XV baharu.

    Lain-lain elemen yang tersenarai termasuklah lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk-C, bumbung matahari berkuasa, active grille shutter dan roda aloi 18-inci. Lampu hadapan SUV ini bukan sahaja menerima fungsi automatik on/off, malah ia turut berpusing mengikut arah putaran stereng.

    Di dalamnya, ia menampilkan sistem infotainmen skrin sesentuh lapan-inci baharu dengan ketersambungan ANdroid Auto dan Apple CarPlay. Malahan turut menampilkan sistem bunyi Harman/Kardon pengesan suara yang telah ditambah baik, bagi mempertingkatkan lagi sistem hiburan.

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem sistem penghawa dingin dua-zone bersama liang tambahan untuk bahagian belakang, port USB bahagian belakang, tempat duduk berkuasa untuk pemandu bersama fungsi memori, brek parkir elektronik, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, kemasukan dengan kod pin, pintu taligate berkuasa dan pedal penukar gear.

    Bagi elemen keselamatan, Outback ini dilengkapi dengan tujuh-beg udara (dua hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu), Vehicle Dynamics Control (VDC), pemantau titik buta, bantuan mula mendaki, Active Torque Vectoring selain sistem Subaru EyeSight yang terdiri dari sistem brek pra-pelanggaran, Kawalan kelajuan adaptif, sistem pengurusan pendikit pra-pelanggaran, amaran keluar laluan, Lane Sway Warning dan juga amaran kereta hadapan mula bergerak.

    Buat masa ini, Subaru Outback baharu ini masih belum dilancarkan di Malaysia, jadi ia masih tidak kelihatan di mana-mana bilik pamerannya. Walau bagaimana pun, tempahannya bagi model Subaru pertama yang dilengkapi dengan EyeSight di pasaran Malaysia telah pun dibuka.

    GALERI: Subaru Outback 2018 di Singapore Motor Show 2018

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025