Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Vespa Primavera Colour Vibe tiba di Malaysia – RM22k

    Vespa Primavera Colour Vibe tiba di Malaysia – RM22k

    Vespa Malaysia telah memperkenalkan satu lagi versi baru bagi model Primavera, dikenali sebagai Primavera Color Vibe, yang dijual pada harga RM22,500 tidak termasuk insurans. Jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    Masih menggunakan ciri teknikal sama seperti Primavera 150 yang lain, versi Color Vibe ini tampil dengan warna istimewa, yang datang dalam dua pilihan iaitu Orange Tramonto atau Blue Adace. Terdapat jalur kontras pada bahagian peletak kaki, tepi badannya, serta juga rimnya.

    Vespa Primavera Colour Vibe tiba di Malaysia – RM22k

    Menggerakkan Primavera Color Vibe adalah enjin satu silinder penyejukan udara i-GET berkapasiti 154.8 cc, bersama padanan transmisi automatik, mampu menghasilkan kuasa 13 hp pada 7,750 rpm dan tork 12.8 Nm pada 6,500 rpm.

    Primavera Color Vibe menggunakan rim saiz 12 inci, dengan padanya terdapat brek cakera 220 mm di hadapan dan brek dram di belakang. ABS datang secara standard. Kedua-dua roda ini disambung kepada casis melalui penyerap hentak tunggal.

     
     
  • PANDU UJI: Mazda CX-8 2.5 Turbo High Plus AWD 2023 – prestasi padu dan imej premium jadi bonus utama

    PANDU UJI: Mazda CX-8 2.5 Turbo High Plus AWD 2023 – prestasi padu dan imej premium jadi bonus utama

    Bagi yang mencari SUV enam-tempat duduk, kini memang sudah ada pilihan Proton X90 yang baru dilancarkan awal Mei lalu. Namun, bagi yang inginkan ‘jenama bukan nasional’, dan mempunyai bajet kewangan lebih padu, mungkin boleh mempertimbangkan Mazda CX-8.

    Biar pun tidak sepopular adiknya, CX-5, namun Mazda CX-8 tetap ada peminatnya yang tersendiri. Mungkin ada juga yang belum menyedari kehadirannya di pasaran, kerana CX-5 yang lebih menonjol, dan barangkali ada yang terkeliru antara CX-8 dan abangnya, CX-9 yang lebih low profile dari segi populariti.

    Pada saat kemunculan Proton X90 di pasaran, dan Toyota Innova Zenix 2023 yang bakal dilancarkan kelak, kehadiran CX-8 ini tidak wajar diketepikan. Boleh dianggap sebagai menambah variasi di dalam segmennya, CX-8 juga ada kelebihan tersendiri yang ditonjolkan.

    Dua bulan yang lalu, kami berkesempatan memandu uji CX-8 2.5 Turbo High Plus AWD untuk versi 2023. Tiada perubahan yang dilakukan, cirinya masih sama dengan model 2022 yang dilancarkan pada Jun tahun lalu.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Ducati buka pusat sehenti baru di Kuala Lumpur

    Ducati buka pusat sehenti baru di Kuala Lumpur

    Ducati Malaysia dalam langkah memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna telah membuka sebuah pusat sehenti baru untuk motosikal jenama Itali tersebut, yang dikenali sebagai Ducati Kuala Lumpur di Wisma Pahlawan, Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Attap, 50000 Kuala Lumpur.

    Terletak di aras bawah sebuah bangunan dengan keluasan 6,557 kaki persegi, Ducati Kuala Lumpur bukan setakat menempatkan ruang pameran, tetapi juga ruang servis dengan kapasiti menerima 100 buah motosikal setiap bulan. Selain daripada itu, ia juga mempunyai kawasan khas untuk produk Scrambler.

    “Pembukaan Ducati Kuala Lumpur ini adalah satu pencapaian penting bagi kami – ia satu sambutan kepada pertumbuhan dan evolusi berterusan jenama ini dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Selain daripada itu, ia juga merupakan satu tanda dedikasi kami kepada komuniti pemilik Ducati yang semakin berkembang di seluruh negara,” kata ketua pegawai operasi Ducati Malaysia, Dennis Michael.

     
     
  • Careplus tandatangan perjanjian dengan GoAuto untuk Neta EV – kilang CKD di Negeri Sembilan

    Careplus tandatangan perjanjian dengan GoAuto untuk Neta EV – kilang CKD di Negeri Sembilan

    Syarikat pengeluar sarung tangan getah Careplus, telah menandatangani satu perjanjian dengan GoAuto berkenaan pengimportan, pengedaran, pemasangan dan pengilangan kenderaan elektrik melalui usaha sama dengan beberapa syarikat lain. Careplus adalah sebuah syarikat yang termasuk dalam senarai Bursa Malaysia dan perjanjian ini diumumkan dalam satu pemfailan dengan bursa tersebut pada 2 Jun lalu.

    Salah satu syarikat yang terlibat adalah untuk kilang pengeluaran, dengan mereka telah menyediakan sebidang tanah 74 ekar di Chembong, Negeri Sembilan untuk tujuan tersebut. Tanah itu sekarang dimiliki oleh Careplus dan syarikat itu akan mempunyai pegangan sebanyak 51% untuk kerjasama tersebut.

    Syarikat seterusnya yang terlibat adalah Intro Synergy, yang sekarang dimiliki penuh oleh GoAuto, tetapi 30% pegangannya akan dibeli oleh Careplus. Syarikat ini akan bertanggungjawab untuk pengimportan, pengedaran dan penjualan kenderaan elektrik jenama Neta.

    Careplus juga mempunyai niat untuk memasuki perniagaan jualan kenderaan, dan satu lagi syarikat kerjasama lain akan ditubuhkan untuk membuka pusat pengedaran Neta EV dan “akan dikembangkan lagi kepada pengedaran jenama EV lain dengan sokongan kepakaran GoAuto.”

    Neta yang berasal dari China telah membuat penampilan pertama di Malaysia bulan lalu melalui model Neta V, yang kini merupakan EV paling murah di negara kita, dengan harga jualan RM99,800. Bagi 100 pelanggan pertama, mereka akan menerima pulangan balik RM10,000, sekaligus menjadikan harga kereta tersebut cuma RM89,800. Semua peruntukan untuk tawaran itu sudah direbut, tetapi dengan pemasangan tempatan yang akan berlaku, berapa pula harganya nanti?

    GALERI: Neta V di Malaysia

     
     
  • Kerajaan cadang tambah jumlah kamera AWAS

    Kerajaan cadang tambah jumlah kamera AWAS

    Disebabkan keberkesanan kamera Automated Awareness Safety System (Awas) atau yang dahulunya dikenali sebagai Automated Enforcement System (AES), kerajaan bercadang untuk menambah lagi jumlah penggunaan peranti tersebut, lapor Bernama.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan tahap pematuhan pengguna jalan raya kepada peraturan had laju dan isyarat lalu lintas di lokasi pemasangan kamera itu telah mencecah sehingga 99 peratus.

    “Perkara ini berjaya meningkatkan tahap persepsi ditangkap kerana tidak mematuhi peraturan jalan raya seterusnya telah mengurangkan risiko kemalangan jalan raya di lokasi penguatkuasaan Awas,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

    Hasbi memberikan jawapan tersebut bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) tentang status terkini kamera AES dan jumlah yang masih beroperasi dan sebarang kajian terkini dilakukan berhubung keberkesanan penggunaan kamera AES.

    Beliau turut memberitahu bahawa buat masa sekarang terdapat 45 kamera Awas beroperasi dan daripada jumlah itu, hanya satu kamera sedang dalam proses pembaikan serta penyelenggaraan.

    Menteri berkenaan juga menekankan penguatkuasaan kamera Awas bukan bertujuan memerangkap pengguna jalan raya sebaliknya, langkah itu bagi memastikan semua pengguna mematuhi peraturan jalan raya terutamanya di kawasan-kawasan titik hitam yang merupakan lokasi kerap berlakunya kemalangan.

    “Penggunaan kamera sebegini telah membolehkan aktiviti penguatkuasaan berlangsung 365 hari dan 24 jam sehari, serta mengurangkan kebergantungan kepada jumlah tenaga manusia (anggota penguatkuasaan) yang tinggi,” katanya.

     
     
  • Toyota GR Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition – model konsep sempena ulangtahun ke-100 Le Mans

    Toyota GR Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition – model konsep sempena ulangtahun ke-100 Le Mans

    Sempena sambutan 100-tahun perlumbaan Le Mans 24 Jam pada hujung minggu ini, Toyota telah mendedahkan model konsep Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition. Model konsep ini dihasilkan berasaskan Prius generasi baharu dan dibina sebagai penghormatan kepada perlumbaan ketahanan berkenaan di mana ia menjadi platform untuk Toyota bagi membangunkan teknologi hibrid perlumbaan sejak 2012.

    Buat masa sekarang, Toyota boleh dikatakan mendominasi perlumbaan Le Mans 24 Jam ini dengan memenangi lima perlumbaan secara berturut-turut sejak 2018. Jenama dari Jepun berkenaan mensasarkan satu lagi gelaran juara tahun ini dengan mempertaruhkan jentera lumba hibrid GR010.

    Bagi model konsep GR Prius yang didedahkan ini, ia menerapkan rekaan yang diinspirasikan dari jentera lumba GR010 tersebut. Ia jelas dilihat pada lampu LED hadapan yang diletak pada bahagian bampar yang kini direka lebih lebar serta diberikan gril signatur GR dan juga spoiler pada bahagian bawah.

    Toyota GR Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition – model konsep sempena ulangtahun ke-100 Le Mans

    Ia juga diberikan rim 18-inci dari Rays Engineering dengan rekaan sama seperti rim pada jentera lumba GR010, disalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 235/50. Menurut Toyota, suspensi GR Prius ini juga sudah diubahsuai bagi memberikan jarak trek roda yang lebih jauh, secara tidak langsung kesemua fender juga perlu dilebarkan.

    Selain itu ia juga dilengkapi dengan bonet hadapan gentian karbon serta kit aero lain termasuk canards pada bampar hadapan, skirt sisi lebih lebar, diffuser belakang lebih menonjol serta spoiler belakang dengan sayap bersaiz besar. Walau bagaimanapun Toyota tidak menyatakan sama ada sistem rangkaian kuasa untuk Prius ini diubahsuai atau tidak.

    Untuk model standard Prius yang dijual dalam pasaran, ia boleh dipilih dalam versi paling berkuasa menampilkan sistem plug-in hybrid (PHEV) menggandingkan enjin Dynamic Force M20A-FXS 2.0 liter empat silinder, pek bateri lithium-ion dan juga motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 223 PS (220 hp atau 164 kW), membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.7 saat.

    Toyota GR Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition – model konsep sempena ulangtahun ke-100 Le Mans

    Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition ini nanti akan dipamerkan bersama Mazda MX-30 R-EV. Ini kerana Toyota dan Mazda bersama Organisasi Pelancongan Nasional Jepun (JNTO) akan melangsungkan pameran di Perkampungan Pengeluar Le Mans.

    Mazda MX-30 R-EV yang menggunakan enjin Wankel Rotary sebagai enjin penambah jarak bagi crossover hibrid berkenaan dipilih bagi memperingati jentera lumba Mazda 787B yang menggunakan enjin Wankel Rotary, menjadi kereta lumba pertama dari Jepun yang memenangi perlumbaan Le Mans pada tahun 1991.

     
     
  • ‘Abang Sado’ tunjal kepala wanita sudah ditahan polis

    Semalam tular satu video yang dipercayai berlaku di Cameron Highland, di mana seorang lelaki berbadan sasa ‘menunjal’ kepala seorang pemandu wanita kerana tidak berpuas hati wanita berkenaan memotong kenderaannya secara merbahaya.

    Susulan kejadian itu, Berita Harian melaporkan bahawa Polis Perak telahpun menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden tersebut. Lelaki berkenaan ditahan sebentar tadi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk tindakan lanjut.

    Berita tersebut turut menyebut bahawa Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

    Dalam video berdurasi 59 saat yang tular berkenaan, dapat dilihat seorang lelaki berbaju merah keluar daripada kereta Proton Persona yang dipandunya dan mengetuk cermin kenderaan di belakangnya sebelum memarahi pemandu wanita serta ‘menunjal’ kepala mangsa.

    Kejadian itu berlaku kira-kira jam 5.30 petang semalam, dan pemandu wanita berusia 24 tahun berkenaan dilemparkan kata-kata kesat oleh lelaki itu sebelum kepalanya ditunjal.

     
     
  • Honda Elevate diperkenalkan di India – SUV segmen B baru dengan enjin 1.5L NA, transmisi CVT atau 6MT

    Honda Elevate diperkenalkan di India – SUV segmen B baru dengan enjin 1.5L NA, transmisi CVT atau 6MT

    Honda Elevate telah membuat penampilan global pertama di India, dan ia menjadi tanda kemasukan semula jenama tersebut ke dalam pasaran segmen SUV di negara itu (sebelum ini ada CR-V dan BR-V tetapi telah dihentikan). Tempahan untuk model baru ini akan dibuka pada bulan Julai dan harganya rasminya hanya akan diumumkan pada waktu itu. Mengikut jangkaan, ia akan dijual bermula pada 1.05 juta rupee (RM58,518).

    Menurut Honda, nama Elevate itu menggambarkan pemerkasaan, pembebasan, penerokaan, kepelbagaian, aspirasi, transformasi dan evolusi. Model ini akan bersaing dalam pasaran SUV segmen B yang cukup kompetitif, mencabar Hyundai Creta, Kia Seltos, Volkswagen Taigun, Skoda Kushaq, Maruti Suzuki Grand Vitara dan Toyota Urban Cruiser Hyryder.

    Untuk dimensi, Elevate mencatat ukuran panjang 4,312 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,650 mm dan jarak roda 2,650 mm. Ini meletakkan ia hampir seperti Creta dan HR-V yang berada dalam pasaran kita, tetapi Elevate mengatasi jarak roda kedua-dua model yang disebutkan sebanyak 40 mm. Ia juga mencatat jarak dari tanah 220 mm dan luas ruang simpanan belakang 458 liter.

    Honda Elevate diperkenalkan di India – SUV segmen B baru dengan enjin 1.5L NA, transmisi CVT atau 6MT

    Berkenaan reka bentuk, Elevate tampil tegap dengan di hadapan terdapat gril yang besar serta lampu utama nipis yang bersambung di bahagian tengah dengan kemasan krom. Muka seakan CR-V ini diperlengkap dengan lampu kabus di hujung bampar serta skid plate hiasa di bawah bampar. Pergi ke belakang, terdapat lampu dengan pencahayaan berbentuk L seakan WR-V serta kemasan yang menyambungkan keduanya di bahagian tengah.

    Di dalam, SUV ini dilihat mendapat sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 10.25 inci, yang boleh disambung kepada Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Skrin ini terletak di atas corong pendingin hawa dan butang kawalannya, sementara di hadapan pemandu terdapat panel instrumen digital tujuh inci. Pada konsol tengah terdapat beberapa ruang untuk barangan kecil serta cawan.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada Elevate adalah termasuk telematik Honda Connect, rim 17 inci, bumbung panoramik, kamera undur, LaneWatch, Vehicle Stability Assist, Hill Start Assist, dan pakej Honda Sensing yang termasuk Collision Mitigation Braking System, Lane Keeping Assist System, Auto High Beam, Road Departure Mitigation System, Adaptive Cruise Control dan Lead Car Departure Notification.

    Di bawah bonetnya terdapat enjin empat silinder 1.5 liter NA, yang mampu menghasilkan 121 PS (119 hp atau 89 kW) pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,300 rpm. Enjin DOHC i-VTEC yang boleh digunakan dengan gasohol ini juga digunakan pada model City di sana dan ia dipadankan dengan sama ada transmisi CVT atau manual enam kelajuan untuk menggerakkan dua roda hadapan.

    Enjin hibrid juga akan ditawarkan bagi model ini pada masa hadapan, dengan menggunakan tetapan seperti City Hybrid, iaitu gabungan enjin empat silinder 1.5 liter Atkinson-cycle bersama dua motor elektrik dan transmisi e-CVT, untuk memberikan kuasa keseluruhan 126 PS (124 hp atau 93 kW) dan tork 253 Nm.

     
     
  • 80% pelanggan di Jawa Timur masih pilih transmisi manual berbanding automatik – Daihatsu Indonesia

    80% pelanggan di Jawa Timur masih pilih transmisi manual berbanding automatik – Daihatsu Indonesia

    Kalau kita lihat kebanyakkan model-model baharu yang dilancarkan di Indonesia, masih banyak yang hadir dengan pilihan varian dengan kotak gear manual. Tidak seperti Malaysia di mana antara model mampu milik yang ditawarkan dengan kotak gear manual adalah Proton Saga Standard, dan juga Perodua Axia E generasi terdahulu (dikhabarkan akan dijual semula tidak lama lagi).

    Ini adalah kerana permintaan untuk model-model dengan kotak gear manual ini mendapat permintaan yang sangat rendah di Malaysia, sehinggakan ia tidak lagi berbaloi untuk diproduksi oleh pengeluar.

    Agaknya berapa banyak lagi permintaan untuk kotak gear manual tersebu di Indonesia sehingga ia masih ditawarkan secara meluas di negara berkenaan? Menurut David Gunawan, ketua rantau Astra Daihatsu untuk kawasan Jawa Timur, Bali dan Nusa Tenggara, permintaan terhadap model dengan kotak gear manual bagi Daihatsu sememangnya masih lagi sangat tinggi.

    “Untuk kami di Daihatsu, memang manual masih sangat diminati. Tapi memang kalau untuk jenama lain, saya lihat pasti transmisi automatik lebih diminati. Di Daihatsu sendiri kita juga perlu melihat modelnya, kerana setiap model mempunyai dominasi yang berbeza antara manual dan automatik,” kata David kepada portal automotif Indonesia, Autonetmagz.

    80% pelanggan di Jawa Timur masih pilih transmisi manual berbanding automatik – Daihatsu Indonesia

    “Contohnya untuk Rocky (kembar kepada Perodua Ativa), tentunya pilihan transmisi automatik lebih dominan berbanding manual. Tetapi untuk Sigra dan Xenia (kembar kepada Perodua Alza), komposisi yang membeli transmisi manual lebih besar berbanding transmisi automatik,” jelas David dan menambah bahawa pilihan transmisi manual untuk pelanggan Daihatsu di Jawa Timur masih mencecah 80%.

    Apa yang dinyatakan oleh Daihatsu Indonesia ini agak sama dengan apa yang disebut oleh Honda Indonesia sebelum ini. Menurut pengarah pemasaran jualan dan inovasi perniagaan PT Honda Prospect Motor, Yusak Billy ketika pelancaran Honda WR-V E dengan kotak gear manual enam kelajuan bulan lalu, Honda masih mempunyai ramai pelanggan yang mahukan kereta dengan kotak gear manual khususnya diluar kawasan Pulau Jawa.

    “Honda WR-V E transmisi manual ini kami tawarkan untuk memenuhi permintaan pelanggan, terutamanya dari luar Pulau Jawa yang ada keperluan dan keadaan bentuk muka bumi yang lebih bervariasi. Dengan tetap menampilkan pelbagai kelebihan dari Honda WR-V, kami percaya varian ini akan memberikan lebih banyak pilihan dengan nilai yang lebih besar bagi pelanggan.” katanya.

     
     
  • Kamera AWAS tingkatkan pematuhan undang-undang trafik, kurangkan risiko kemalangan jalan raya – MOT

    Kamera AWAS tingkatkan pematuhan undang-undang trafik, kurangkan risiko kemalangan jalan raya – MOT

    Menerusi pelaksanaan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), Kementerian Pengangkutan (MOT) mengesahkan ia dapat meningkatkan pematuhan undang-undang trafik, sekaligus mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

    Timbalan Menteri MOT, Datuk Hasbi Habibollah berkata, menerusi kajian yang dijalankan oleh mendapati tahap pematuhan penggunaan jalan raya kepada peraturan had laju dan isyarat lalu lintas adalah mencecah 99% secara keseluruhannya, laporan Berita Harian.

    Setakat ini, terdapat 45 kamera AWAS atau sebelum ini dikenali sebagai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang sedang beroperasi dan dikuatkuasakan.

    “Daripada jumlah itu 44 kamera sudah beroperasi sepenuhnya dan satu dalam proses pembaikan dan penyelenggaraan. Penggunaan kamera AWAS juga berjaya meningkatkan tahap persepsi ditangkap kerana tidak mematuhi peraturan jalan raya dan seterusnya mengurangkan risiko kemalangan jalan raya di lokasi peguatkuasa,” katanya ketika jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

    Kamera AWAS tingkatkan pematuhan undang-undang trafik, kurangkan risiko kemalangan jalan raya – MOT

    Kenyataan ini adalah bagi menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun, (PH-Port Dickson) mengenai status terkini kamera penguatkuasaan ini dan jumlah yang masih beroperasi.

    Jelasnya, kamera AWAS bukanlah bertujuan memerangkap pengguna jalan raya, sebaliknya ia bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan jalan raya terutamanya di kawasan titik hitam di mana nahas kerap berlaku sebelum ini.

    Di mana penggunaan kamera AWAS membolehkan aktiviti penguatkuasaan berlangsung 365 hari dan 24 jam sehari dan mengurangkan kebergantungan kepada jumlah tenaga manusia iaitu anggota penguatkuasaan.

    “Kerajaan akan menambah kamera AWAS ini tetapi mengikut keperluannya dalam jangka panjang dan melihat impak kewangan, kerana ianya memang berkesan,” katanya.

     
     
  • Kawasaki Z900 dan Z900 SE kembali ke Malaysia – enjin empat silinder 948 cc, harga dari RM43,900

    Kawasaki Z900 dan Z900 SE kembali ke Malaysia – enjin empat silinder 948 cc, harga dari RM43,900

    Model naked Kawasaki Z900 kini kembali ke dalam pasaran Malaysia dengan diedarkan oleh Edaran Modenas Sdn Bhd, dan ditawarkan dalam dua versi iaitu Z900 (asas) yang berharga RM43,900 dan Z900 SE pada harga RM55,900 (tidak termasuk insurans).

    Untuk warna, Z900 dalam keadaan standard datang dalam warna Metallic Spark Black, tetapi pelanggan diberikan pilihan warna Metallic Matte Graphene Steel Gray yang memerlukan bayaran tambahan RM1,000, menjadikan harganya RM44,900. Z900 SE pula cuma datang dalam watu warna istimewa, iaitu Candy Lime Green.

    Ciri teknikal kedua-dua versi Z900 yang dipasang di Gurun, Kedah ini kebanyakannya adalah sama, termasuk enjin, yang menggunakan unit empat silinder selari 948 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 125 hp pada 9,500 rpm dan tork 98.6 Nm pada 7,700 rpm.

    Walaubagaimanapun, Z900 SE ditambah dengan angkup brek hadapan Brembo M4.32 berkembar serta cakera floating 300 mm bagi menggantikan unit Nissin empat pot dan cakera 300 mm biasa Z900 standard. Sistem ABS diberikan standard pada kedua-dua versi Z900 ini.

    Kemudiannya, Z900 SE juga mendapat barangan suspensi Ohlins, yang terdiri daripada fork 41 mm boleh laras berwarna emas di hadapan, dan monoshock S46 boleh laras di belakang. Pada versi standard, kedua-dua fork dan monoshock masih boleh dilaras, tetapi bukan unit daripada jenama lain.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada kedua-dua Z900 ini adalah panel instrumen TFT-LCD yang boleh disambung kepada telefon pintar, sistem kawalan cengkaman, tiga pilihan mod tunggangan, tangki bahan api 17 liter serta semua lampu jenis LED. Berat keseluruhannya adalah 211 kg.

    GALERI: Kawasaki Z900 2023

    GALERI: Kawasaki Z900 SE 2023

     
     
  • Kia Picanto facelift 2024 – imej bocor sebelum didedah secara rasmi, rekaan garang inspirasi dari EV6!

    Kia Picanto <em>facelift</em> 2024 – imej bocor sebelum didedah secara rasmi, rekaan garang inspirasi dari EV6!

    Kia Picanto generasi ketiga bakal diperkenalkan dalam versi facelift kali kedua tidak lama lagi. Namun sebelum pendedahan rasminya dibuat, imej untuk hatchback kompak segmen-A tersebut dalam varian paling sporty iaitu GT-Line nampaknya telah tertiris di internet terlebih dahulu.

    Dan apa yang menarik, Picanto facelift 2024 ini nampkanya tampil dengan rupa yang sangat garang, dengan inspirasi diambil dari rekaan model elektrik penuh Kia EV6! Pengaruh berkenaan jelas boleh dilihat pada bahagian muka di mana ia menerima sepasang lampu hadapan baharu berbentuk-T bersama gril hadapan menampilkan bar krom yang dilihat seperti menghubungkan kedua-dua lampu berkenaan.

    Ia turut disesuaikan dengan bampar hadapan baharu yang sangat agresif dengan rekaan lebih bersegi. Selain dari sepasang liang ambilan udara palsu bersaiz besar yang bersambung dengan gril utama bampar, ia juga dilihat diberikan aliran tirai udara yang direka menegak nampaknya seperti mengalirkan udara terus ke ruang roda hadapan.

    Kia Picanto <em>facelift</em> 2024 – imej bocor sebelum didedah secara rasmi, rekaan garang inspirasi dari EV6!

    Dengan perubahan drastik pada lampu hadapan, Picanto facelift ini juga memerlukan fender hadapan dan juga penutup hud baharu. Bentuk sisi Picanto ini masih lagi nampak sama seperti sebelum ini, dan ia juga menerima set rim dua tona baharu dengan rekaan juga diinspirasikan dari rim EV9.

    Di belakang, rekaan asas kluster lampu masih nampak sama. Namun ia kini digandingkan dengan bar lampu yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate belakang bersama grafik baharu yang menampilkan jalur LED. Rekaan bampar belakang turut berubah di mana ia kini menerima reflektor yang berdiri bersama diffuser dengan sirip-sirip yang lebih agresif.

    Imej yang bocor ini juga turut mendedahkan bahagian dalaman bagi Picanto facelift berkenaan. Ia nampaknya masih kelihatan sama seperti versi terdahulu, tetapi diberikan beberapa peningkatan seperti paparan instrumen digital dan juga grafik baru pada skrin infotainmen.

    Kia Picanto <em>facelift</em> 2024 – imej bocor sebelum didedah secara rasmi, rekaan garang inspirasi dari EV6!

    Model facelift ini mungkin akan mengekalkan konfigurasi sistem mekanikal yang sama seperti model sebelumnya. Untuk versi facelift 2021, Picanto sudah pun ditawarkan dengan enjin 1.0 liter turbo dan pilihan kotak gear Automated Manual Transmission (AMT) – ia bukan kotak gear automatik konvensional dengan fungsi tukaran manual, sebaliknya ia sememangnya kotak gear manual lima kelajuan, dengan klac kering tunggal dan tukaran gear yang dioperasikan secara automatik oleh unit-unit actuator.

    Picanto generasi ketiga ini pernah dijual oleh Naza Kia di Malaysia sebelum ini. Dan selepas jenama Korea tersebut diambil alih oleh Bermaz, tiada sebarang bayangan bahawa ia bakal di bawa semula ke pasaran tempatan. Dengan rupa baru yang lebih garang ini, adakah anda rasa Picanto perlu kembali ke sini?

     
     
  • Yamaha Tenere 700 World Rally 2023 guna grafik bersejarah, dapat kelengkapan tertinggi bagi modelnya

    Yamaha Tenere 700 World Rally 2023 guna grafik bersejarah, dapat kelengkapan tertinggi bagi modelnya

    Yamaha nampaknya masih belum puas mengembangkan lagi variasi motosikal adventure Tenere 700 mereka dengan terbaru, memperkenalkan Tenere 700 World Rally di Eropah. Kebanyakan peningkatan yang diberi pada versi ini sama seperti Tenere 700 World Raid yang diperkenalkan pada tahun 2022, kecuali penampilannya.

    Tenere 700 World Rally menggunakan tema warna klasik yang bersejarah bagi Yamaha, di mana sebelum ini ia pernah digunakan pada motosikal lumba Stephane Peterhansel, dengan warna utama biru, dan terdapat jalur speedblock perak serta jalur merah jambu.

    Grafik istimewa ini juga dibuat pada World Rally bagi menyambut ulang tahun ke-40 sejak Tenere pertama diperkenalkan kepada dunia. Melengkapi keseluruhan penampilannya adalah kelongsong fork, tempat duduk serta rim yang berwarna hitam.

    Berkenaan kelengkapan, World Rally ini didatangkan dengan pakej tertinggi bagi Tenere, bermula dengan tangki bahan api 23 liter (apabila digabungkan dengan tangki asal 16 liter, boleh memberi jarak perjalanan sehingga 500 km), tempat duduk lebih rata, ekzos Akrapovic serta skrin TFT lima inci yang boleh disambung kepada telefon pintar.

    Pada bahagian suspensi, World Rally dipertingkat dengan fork Kayaba 43 mm dengan jarak gerak 230 mm (+20 mm) boleh laras sepenuhnya di hadapan, sementara di belakang terdapat monoshock boleh laras sepenuhnya yang juga mempunyai jarak gerak lebih 20 mm berbanding monoshock pada model standard. Turut membantu pengendalian adalah steering damper Ohlins boleh laras yang diberikan secara standard.

    Yamaha Tenere 700 World Rally 2023 guna grafik bersejarah, dapat kelengkapan tertinggi bagi modelnya

    Cakera serta angkup Brembo pada model ini masih lagi sama seperti model standard, tetapi sistem ABS padanya telah dinaik taraf dengan kini menyediakan tiga pilihan mod. Mod 1 mengaktifkan ABS untuk roda hadapan dan belakang, Mod 2 untuk depan sahaja dan Mod 3 menutupnya secara terus.

    Enjin World Rally ini masih sama seperti Tenere 700 lain iaitu unit Crossplane CP2 dua silinder selari bersama padanan transmisi enam kelajuan, yang mampu menghasilkan kuasa 72.4 hp pada 9,000 rpm dan 69 Nm tork pada 6,500 rpm. Rim hadapan menggunakan unit 21 inci sementara di belakang terdapat rim 18 inci.

     
     
  • Polis Johor berkas dua suspek yang menyamar jadi polis – guna lampu beacon cuba tahan kenderaan lain

    Ketua Polis Johor, Dato’ Kamarul Zaman Mamat mengesahkan pihaknya telah memberkas dua suspek yang dipercayai menyamar sebagai anggota polis dan cuba menahan kenderaan lain di KM 41.5 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara, berhampiran Kulai, pagi semalam.

    Menurutnya, berdasarkan laporan yang diterima, terdapat satu video tular dimuatnaik di laman media sosial Facebook oleh pemilik akaun Freeman Gan yang memaparkan dia dikejar sebuah kereta yang dinaiki tiga individu yang menyamar sebagai pasukan polis.

    Ekoran insiden terbabit, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kulai telah memberkas dua suspek lelaki tempatan berumur 43 tahun dan 48 tahun untuk siasatan lanjut.

    “Salah seorang suspek merupakan penjawat awam dan berdasarkan semakan, dia tidak memiliki sebarang rekod jenayah. Manakala seorang lagi suspek mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah. Pihak polis juga telah merampas beberapa barangan seperti baju pantulan cahaya, lampu beacon mudah alih, lampu suluh, headlight dan sebuah Honda City.

    Polis Johor berkas dua suspek yang menyamar jadi polis – guna lampu beacon cuba tahan kenderaan lain

    “Kedua-dua suspek direman di Mahkamah Majistret Kulai jam 10 pagi tadi. Kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan , jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau pun kedua-duanya dan Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih besar, dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000, yang mana lebih besar, atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” kata Kamarul Zaman.

    Tambahnya, Polis Johor tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak mengikut undang-undang dalam usaha membanteras kejadian jenayah.

    Awal pagi semalam, video berdurasi 26 saat berkenaan tular di Facebook memaparkan mangsa dikejar sebuah kereta berwarna perak, dinaiki tiga lelaki yang menyamar sebagai polis. Rakaman video pendek itu menunjukkan kesemua suspek berpakaian ves seperti polis dan mengenakan penutup muka bagi mengelak wajahnya dirakam. Salah seorang suspek turut memegang lampu beacon, manakala suspek yang duduk di tempat duduk belakang pula menyuluh ke arah kenderaan mangsa sebagai isyarat menyuruh mangsa berhenti.

     
     
  • JPJ eBid: JWH dan RAR bakal dibuka bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Johor, JWH, ia bakal dibuka bidaan pada 8 Jun ini dan berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 12 Jun. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 13 Jun 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Perlis pula, RAR, bidaannya bakal dibuka bermula 17 Jun 2023 selama tujuh hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 21 Jun. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 22 Jun ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025