Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Tiada rancangan naikkan kadar VEP untuk kenderaan Singapura yang masuk M’sia melalui Johor – Loke

    Tiada rancangan naikkan kadar VEP untuk kenderaan Singapura yang masuk M’sia melalui Johor – Loke

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengesahkan buat masa ini kerajaan Malaysia tiada rancangan untuk menaikkan kadar bayaran permit masuk kenderaan (VEP) kenderaan berdaftar Singapura yang memasuki negara ini melalui pintu masuk antarabangsa di Johor.

    Katanya lagi, langkah menaikkan kadar VEP hanya akan menyebabkan tindak balas kerajaan Singapura yang akan turut menaikkan kadar bayaran kepada kenderaan Malaysia yang memasuki republik itu. Di mana kadar VEP akan terus dikekalkan RM20 bagi setiap kenderaan berdaftar di Singapura ketika melalui Tambak Johor serta Lebuhraya Hubungan Kedua (SecondLink), Gelang Patah, laporan Harian Metro.

    “Setakat ini, kerajaan tiada rancangan untuk menaikkan kadar VEP. Jika kita berbuat demikian, pasti ada tindak balas (kenaikan harga) dari Singapura juga. Sekiranya kita tingkatkan kadar bayaran itu (VEP) untuk kenderaan Singapura, maka kerajaan Singapura pun akan mengenakan cukai jalan yang lebih tinggi untuk kenderaan Malaysia yang masuk ke Singapura.

    “Pada masa sama, kita juga hendak menggalakkan kemasukan pelancong dari Singapura ke negeri ini supaya dapat menyumbang kepada ekonomi di Johor. Walaupun ada cadangan daripada wakil rakyat (naikkan VEP), tetapi setakat ini, kerajaan tidak ada perancangan untuk meningkatkan kadar itu,” katanya.

    Tiada rancangan naikkan kadar VEP untuk kenderaan Singapura yang masuk M’sia melalui Johor – Loke

    Beliau mengeluarkan kenyataan terbabit bagi mengulas cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad agar kerajaan menaikkan kadar VEP khusus bagi kenderaan Singapura yang mahu memasuki negara ini melalui pintu sempadan antarabangsa di negeri ini.

    Menurut Pandak Ahmad, kenaikan bayaran VEP itu dilihat wajar memandangnya kadar ketika ini amat rendah jika dibandingkan dengan tukaran mata wang negara jiran berkenaan. Di mana beliau mencadangkan kadar bayaran VEP dinaikkan kepada RM40 atau RM50 bagi setiap kenderaan, jika tidak dapat dibuat pada hari biasa, mungkin boleh dilaksana pada hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad.

    Daripada kutipan bayaran VEP sebanyak RM20 yang dikenakan terhadap kenderaan asing itu, RM15 akan dikutip oleh Kerajaan Persekutuan manakala bakinya RM5 disumbangkan kepada kerajaan negeri.

     
     
  • Proton X90 2023 – fakta lebih terperinci sebelum dilancar & dipertonton kepada umum 8 April nanti

    Proton X90 2023 – fakta lebih terperinci sebelum dilancar & dipertonton kepada umum 8 April nanti

    Semalam Proton X90 telah didedahkan kepada media dalam satu sesi pra-tonton yang dibuat di studio rekaan Proton yang terletak di Ibu Pejabat jenama automotif nasional berkenaan di Shah Alam. Segala perincian yang kami keluarkan dalam laporan semalam kebanyakkannya adalah dari kenyataan media yang disiarkan oleh Proton, tetapi kali ini kami turut akan mendedahkan beberapa fakta yang kami dengar menerusi pembentangan yang dibuat dalam sesi pra-tonton tersebut.

    Seperti yang anda boleh lihat, Proton X90 tidak lagi menggunakan rekaan gril Infinite Weave seperti model-model terkini Proton yang lain, tetapi digantikan dengan rekaan seakan batu permata atau pin krom seperti rekaan gril Mercedes-Benz.

    Sebelum ini Proton pernah mendedahkan bahawa rekaan Infinite Weave berkenaan adalah diinspirasikan dari ukiran kayu pada rumah-rumah tradisi Melayu, jadi adakah Proton tidak lagi menggunakan rekaan berasaskan identiti Malaysia?

    Menurut Ketua Pereka Proton Azlan Othman, rekaan pin krom baharu ini sebenarnya diinspirasikan dari corak rekaan pada kain songket Malaysia. Bukan itu sahaja, rekaan busur panah juga masih digunakan pada X90 ini sebagai kemasan berwarna perak yang terletak di bahagian bawah gril berkenaan.

    Proton X90 (kiri) dan Geely Houyue 2023 (kanan)

    Gril tersebut diapit oleh sepasang lampu hadapan LED yang juga menerima rekaan berbeza dari kembarnya di China dan Filipina iaitu Geely Haoyue/Okavango. Lampu X90 ini menampilkan jalur LED untuk lampu nyalaan siang berbentuk-L yang diletakkan pada posisi lebih rendah berbanding jalur LED pada lampu Haoyue.

    Ini membolehkan kluster lampu berkenaan menerima empat unit LED yang disusun secara menegak yang agak sama seperti Honda CR-V. X90 ini juga menerima lampu isyarat membelok LED dengan corak pencahayaan jenis sequential.

    Menurut Pengarah Kejuruteraan Proton, Hazrin Fazail Haroon pula, Proton X90 dihasilkan dari platform Advanced versatile, dan ia mengambil masa bekerja selama 96,000 jam untuk disiapkan. Ini melibatkan ujian pemanduan dalam jarak 1.2 juta km, menukar posisi pemanduan dari sebelah kiri ke sebelah kanan dan X90 menampilkan beberapa perbezaan mekanikal berbanding Geely Haoyue pasaran China.

    Proton X90 juga menampilkan sebanyak 45% kandungan tempatan, dengan 500 komponen dibekalkan oleh vendor-vendor dalam negara.

    Proton X90 2023 – fakta lebih terperinci sebelum dilancar & dipertonton kepada umum 8 April nanti

    Model ini dijana oleh unit rangkaian kuasa hibrid ringkas 48-volt (MHEV), menjadikan ia bukan sahaja model hibrid pertama Proton, malah kenderaan tenaga baharu pertama bagi jenama automotif berkenaan. Unit MHEV tersebut menampilkan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan suntikan bahan api terus (T-GDI) dan dibantu oleh unit stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG) bagi menghasilkan kuasa maksima 190 PS bersama tork maksima 300 Nm.

    Ia berbeza dengan Geely Houyue di China yang menggunakan enjin 1.8 liter T-GDI (sama seperti enjin X70 1.8 Premium) yang menghasilkan 184 PS dan tork maksima 300 Nm. Namun X90 di Malaysia ini menerima unit rangkaian kuasa hibrid yang sama dengan Geely Okavango untuk pasaran China.

    Enjin 1.5 liter T-GDI untuk unit rangkaian kuasa hibrid pertama ini masih sama dengan enjin yang dipadankan pada Proton X50 Flagship dan juga varian-varian 1.5T Proton X70, menghasilkan kuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Manakala unit BSG bagi sistem hibrid ringkas ini pula memberikan tambahan kuasa dan tujahan tork segera 13 hp/45 Nm apabila diperlukan.

    Tidak seperti sistem hibrid konvensional di mana motor elektrik biasanya terletak antara enjin dan kotak gear, unit BSG ini yang dihubungkan ke aci engkol enjin menerusi tali sawat.

    BSG ini berfungsi bukan sahaja untuk menggantikan motor penghidup enjin, malah ia juga mampu mengecas semula bateri lithium-ion sistem hibrid 48-volt tersebut secara pemulihan tenaga brek, dan kemudian turut dapat memberikan bantuan kuasa dan tork segera tambahan kepada enjin pembakaran dalaman konvensional.

    Sistem hibrid ringkas 48V ini bukan sesuatu yang baharu kerana ia turut boleh ditemui pada model-model keluaran Mercedes-Benz. Proton menyatakan bahawa dengan sistem MHEV 48V ini ia bukan sahaja membekalkan kuasa elektifikasi tambahan, malah memberikan pemanduan lebih lancar serta penggunaan bahan api 15% lebih baik.

    Proton akan memberikan waranti selama lima-tahun untuk bateri 48V berkenaan, dan harga gantiannya sekiranya perlu ditukar apabila habis waranti akan diumumkan kemudian.

    Berbanding Geely Houyue yang hanya menerima suspensi jenis Torsion Beam yang ringkas di belakang, Proton X90 pula diberikan sistem gantungan bebas jenis multilink yang lebih jitu dan memberikan pemanduan lebih baik. Ini merupakan konfigurasi yang sama seperti Okavango, tetapi suspensi pada X90 ini ditala semula bagi disesuaikan untuk jalan raya di Malaysia menggunakan kepakaran Proton yang memang sudah dikenali dengan DNA Ride and Handling yang baik.

    Proton X90 2023 – fakta lebih terperinci sebelum dilancar & dipertonton kepada umum 8 April nanti

    Seperti yang didedahkan semalam, X90 menerima bahagian dalaman termasuk papan pemuka yang seiras dengan Haoyue dan Geely Okavango tetapi dalam versi pemandu sebelah kanan. Menurut Proton, X90 menerima bahagian kabin yang direka praktikal untuk digunakan serta kemasan-kemasan yang diperbuat dari material lembut dan anjal.

    Antara tumpuan rekaan pada bahagian dalaman X90 ini adalah penggunaan fungsi-fungsi terhubung. Oleh itu ia diberikan skrin infotaimen berdiri sendiri yang sangat besar bersaiz 12.3-inci pada bahagian tengah, manakala pemandu pula menerima paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 10-inci.

    Bagi skrin sistem infotainmen, ia menampilkan pemproses EO2, ram 6 GB dengan memori dalaman 64 GB serta resolusi paparan 1920 x720 piksel. Namun ia masih tidak menampilkan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, tetapi ia mungkin akan menggunakan sistem hubungan yang dihasilkan oleh Aco Tech seperti X50 dan X70.

    Konsol terowong juga dilihat sama seperti Haoyue/Okavango, hadir dengan tombol gear segi empat, butang pilihan mod pemanduan (Eco, Comfort dan Sport), brek parkir elektronik bersama fungsi auto hold, serta butang-butang untuk sistem bantuan turun bukit dan penderia parkir hadapan.

    Proton menawarkan empat varian untuk X90 ini iaitu Standard, 1.5 TGDi BSG Executive, BSG Premium and BSG Flagship. Bagi tiga varian paling bawah, X90 tampil dengan konfigurasi tujuh-tempat duduk, manakala varian BSG Flagship pula menampilkan konfigurasi enam-tempat duduk.

    Proton X90 2023 – fakta lebih terperinci sebelum dilancar & dipertonton kepada umum 8 April nanti

    Dengan susunan hanya enam-tempat duduk untuk varian Flagship, ia memberikan penampilan yang lebih mewah dan ruang lebih lega bagi penumpang pada baris kedua dengan dibekalkan sepasang tempat duduk kapten bersama perehat kepala pilot. Setakat ini hanya Proton X90 yang tampil dengan konfigurasi enam-tempat duduk ini, manakala Okavango dan Haoyue hanya diberikan versi tujuh-tempat duduk.

    Kapasiti ruang kargo belakang belum lagi dinyatakan dengan terperinci, namun Proton ada menyebut ia menawarkan ruang sehingga 2,050 liter.

    Untuk tempat duduk hadapan kedua-duanya menampilkan liang udara bersama fungsi larasan berkuasa dengan enam hala untuk bahagian pemandu dan empat-hala untuk penumpang. X90 juga hadir dengan tujuh port mengecas terdiri dari port USB Type A, Type C dan pengecas tanpa wayar, serta semua baris tempat duduk menerima port pengecas masing-masing.

    Bagi sistem pendingin hawa pula, SUV ini dibekalkan dengan sistem dua zon, bersama sistem berasingan bagi kabin belakang. Kesemua baris tempat duduk juga menerima liang penghembus masing-masing, dan keseluruhan sistem menerima fungsi G-Clean, ionizer dan juga penuras kabin N95.

    Proton X90 2023 – fakta lebih terperinci sebelum dilancar & dipertonton kepada umum 8 April nanti

    Perincian lain yang turut ditawarkan termasuk upholsteri kulit Nappa, lampu suasana dalam kabin, fungsi kunci automatik sekiranya pemandu berada pada kawasan berhampiran atau beredar dari kenderaan, serta fungsi pintu tailgate pintar.

    Untuk keselamatan, secara keseluruhan X90 menerima 14 fungsi dalam sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS), di mana tiga daripadanya adalah baharu dan tidak pernah dipadankan pada X50 dan X70. Fungsi berkenaan adalah Amaran Pelanggaran Belakang, Amaran Lintasan Trafik belakang dan juga Informasi Tanda Trafik yang boleh membaca tanda-tanda trafik di jalan raya.

    Secara keseluruhan, pakej ADAS yang dibekalkan pada X90 ini cukup untuk pengiktirafan sistem pemanduan autonomi Tahap 2 Tambahan. Perincian keselamatan lain yang turut dibekalkan termasuk dua cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix di belakang, bantuan Auto Park, kamera 360 darjah dengan imej 3D serta sistem pemantau tekanan angin tayar (TPMS).

    Saiz untuk Proton X90 ini masih belum diumumkan secara rasmi, namun ia sudah tentu hampir sama dengan Houyue dan Okavango. SUV tersebut dihasilkan dengan dimensi panjang 4,835 mm dan lebar 1,900 mm serta jarak roda sejauh 2,815 mm.

    Proton X90 2023 – fakta lebih terperinci sebelum dilancar & dipertonton kepada umum 8 April nanti

    Jika dibandingkan dengan X70, X90 adalah 316 mm lebih panjang, 69 mm lebih lebar dan jarak roda 145 mm lebih jauh. Jadi X90 akan berhadapan terus dengan model-model SUV tiga baris tempat duduk yang lain seperti Mazda CX-8 dan juga Hyundai Santa Fe.

    Enam warna badan ditawarkan untuk X90 ini di mana lima daripadanya iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Cinnamon Brown dan Ruby Red adalah sama dengan model-model Proton yang lain, manakala warna Marine Blue adalah pilihan baharu dan ia hanya untuk varian Premium dan Flagship.

    Bumbung suria turut ditawarkan pada X90 namun ia hanya untuk varian tertinggi Flagship. Sementara untuk roda pula, varian Premium dan Flagship diberikan rim aloi 19-inci dengan tayar Continental EcoContact 6 bersaiz 235/50R19, manakala dua varian lebih rendah pula hadir dengan rim 18-inci dengan tayar 225/55R18.

    Proton masih belum mendedahkan sebarang perincian berkenaan harga untuk X90 ini. Namun dengan saiz dan juga perincian yang dilihat lebih maju dari X50 dan X70, kami menjangkakan X90 mungkin dijual pada harga RM130k hingga RM150k. Tarikh pelancarannya juga masih belum dimuktamadkan, tetapi Proton menyatakan bahawa tempahannya akan dibuka bila-bila masa dari sekarang.

    Malah Proton turut mengumumkan bahawa X90 akan di bawa ke enam bandar dalam negara bagi memberikan peluang kepada pelanggan yang berminat untuk melihat model ini secara lebih dekat dalam satu sesi pra-tonton khas bermula 8 April ini.

     
     
  • LLM sambut baik cadangan sistem bayaran tol terbuka

    LLM sambut baik cadangan sistem bayaran tol terbuka

    Susulan kepada pengumuman oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum ini berkaitan sistem bayaran tol terbuka, yang bakal menyaksikan pelaksaannya seawal September kelak, bermula dengan dua lebuhraya iaitu Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) hari ini mengeluarkan satu kenyataan menyambut baik cadangan itu.

    Selari dengan pengumuman berkenaan, LLM bersama syarikat konsesi yang lain akan mengambil langkah sewajarnya untuk menjayakan hasrat kerajaan bagi menjayakan pelaksanaan sistem bayaran tol terbuka tersebut. Melalui sistem ini, pengguna akan mempunyai lebih banyak pilihan bagi kaedah pembayaran tol — termasuk kad debit dan kredit, serta Touch n Go eWallet. Ketika mula dilaksanakan nanti, pengguna yang ingin memanfaatkan kaedah bayaran terbuka ini perlu menggunakan lorong RFID.

    “LLM dan syarikat-syarikat konsesi lebuhraya akan bekerjasama melancarkan pelaksanaan sistem pembayaran tol secara terbuka (Open Payment System) dengan mengambil kira keseluruhan persekitaran sistem tol sedia ada. Pelaksanaan sistem pembayaran tol secara terbuka ini juga adalah inisiatif awal bagi peralihan ke arah sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) yang giat diusahakan ketika ini. Ini adalah merupakan langkah yang tepat dalam usaha Kerajaan/Kementerian memberi pilihan serta kemudahan kepada pengguna bagi tujuan pembayaran tol di lebuh raya,” jelas kenyataan itu.

    LLM sambut baik cadangan sistem bayaran tol terbuka

    Terdahulu, Alexander juga memaklumkan yang lima lebuhraya akan mula melaksanakan sistem bayaran terbuka ini — yang muncul sebagai respon segera kepada isu monopoli oleh Touch n Go — termasuk Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Pantai Baharu (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Jambatan Pulau Pinang. Senarai ini ditambah dengan lima lagi lebuhraya yang akan ikut serta: Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) dan Terowong SMART — menjadikan 11 lebuhraya keseluruhannya ketika ini.

    Berkaitan sistem MLFF pula, Besraya telah dipilih sebagai lokasi Proof of Concept (POC) yang pertama dan akan dimulakan pada Oktober nanti.

    Dengan pengesahan sokongan oleh LLM ini, yang sudah tentunya melibatkan banyak lagi syarikat konsesi di bawahnya, pengguna tentunya akan dapat memanfaatkan sistem bayaran terbuka ini dalam masa terdekat, dengan kawasan perkhidmatan yang lebih meluas.

     
     
  • Program myBAS50 ditawarkan di JB untuk warga M’sia – pas perjalanan tanpa had sebulan bernilai RM50

    Program myBAS50 ditawarkan di JB untuk warga M’sia – pas perjalanan tanpa had sebulan bernilai RM50

    Kini giliran rakyat Malaysia di Johor Bahru, Johor pula berpeluang menyertai program myBAS50 iaitu pas perjalanan bas tanpa had sebulan dengan hanya RM50 sahaja. Pelancaran program ini telah berlangsung semalam dan disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

    Pendaftaran bagi program yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) ini telah mula dibuka sejak 13 Mac lalu dan pas ini boleh digunakan secara rasmi bermula 1 April 2023 di kesemua 19 laluan MyBAS Johor Bahru.

    Terbuka untuk semua rakyat Malaysia, pendaftaran pas ini boleh dilakukan menerusi dalam talian dengan memuat turun aplikasi Lugo atau pun melalui kaunter terpilih di JB CIQ, KSL City Mall, TF Value-Mart Nusa Bestari, Terminal Bas Gelang Patah, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Terminal Bas Kulai.

    Klik untuk besarkan imej

    “Saya tegaskan peningkatan ridership dan ketepatan masa adalah KPI utama pengendali syarikat bas berhenti-henti menerima subsidi kerajaan Stage Bus Services Transformation (SBST). Turut ditekankan inisiatif data terbuka atau Open Transit API selaras dengan cabaran zaman digital. Open data akan membantu orang ramai mencapai masa ketibaan bas secara live dan menggalakkan inovasi dalam digital mobility.

    “Diharapkan inisiatif ini dapat membantu kurang beban kos pengangkutan orang ramai di Johor Bahru,” kata Loke.

    Inisiatif ini dilihat bakal mengurangkan 80% kos pengangkutan sebulan kepada setiap pengguna. Secara langsung akan mengurangkan kos perbelanjaan bulanan kepada pengguna yang menggunakan perkhidmatan bas setiap hari. Sebelum ini pas perjalanan MY50 telah ada diperkenalkan di Lembah Klang dan Pulau Pinang untuk pengangkutan awam.

     
     
  • Proton S50 sah dilancarkan hujung tahun ini – pengganti Preve, segmen-C pencabar Honda Civic

    Proton S50 sah dilancarkan hujung tahun ini – pengganti Preve, segmen-C pencabar Honda Civic

    Selain dari pendedahan SUV tiga baris tempat duduk X90 hari ini, Proton turut mengumumkan bahawa ia akan melancarkan satu lagi model serba baharu menjelang penghujung tahun ini. Menurut CEO Proton Li Chunrong, model berkenaan merupakan model serba baharu dan tidak akan menggantikan mana-mana model yang sedang dijual di bilik pameran Proton buat masa sekarang.

    Dr Li turut menyatakan secara jelas, pada penghujung tahun ini Proton mempunyai lapan model berlainan yang dijual secara serentak. Oleh itu, ia jelas adalah Proton S50, iaitu sedan segmen-C yang akan menggantikan tempat Preve di mana model berkenaan sudah tidak dijual selepas versi kemaskini terakhir diperkenalkan pada 2018. Fakta ini juga mengesahkan bahawa S50 bukanlah sedan yang akan menggantikan model segmen-B Proton Persona.

    Unit prototaip S50 sudah banyak kali dilihat diuji di atas jalan raya awam dalam negara. Ia dikatakan diasaskan dari Geely Emgrand yang dibangunkan menggunakan platform BMA sama seperti SUV Proton X50. Untuk Emgrand, ia dihasilkan dengan dimensi 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm.

    Jadi berbanding Preve, S50 95 mm lebih panjang dan 34 mm lebih lebar, tetapi menampilkan jarak roda yang sama. Ia juga lebih kurang sama besar dengan model-model sedan segmen-C terkini dalam pasaran seperti Honda Civic dan juga Toyota Corolla.

    Proton S50 sah dilancarkan hujung tahun ini – pengganti Preve, segmen-C pencabar Honda Civic

    Di China, Emgrand hanya menerima enjin petrol 1.5 liter NA berkuasa 114 PS dan tork maksima 147 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik. Namun untuk Proton S50 kelak, ia dijangka akan dipadankan dengan enjin sama seperti X50, iaitu unit 1.5 liter tiga-silinder turbo yang menghasilkan 177 PS/ 255 Nm dalam versi paling berkuasa, dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan automatik 7DCT.

    Walaupun dikelaskan sebagai sedan segmen-C, seperti Preve, S50 mungkin akan dijual pada harga sekitar model-model sedan segmen-B dari jenama Jepun. Jadi pasaran S50 agak luas kerana ia bukan hanya bakal mengacau jualan ‘Raja’ sedan segmen-C di Malaysia iaitu Honda Civic, malah turut menjadi alternatif kepada Honda City dan Toyota Vios.

    Buat masa sekarang sedan segmen-B Proton Persona dijual pada harga bermula RM47,800 untuk varian 1.6L Standard CVT hingga RM58,300 untuk varian tertinggi 1.6L Premium CVT. Kami jangkakan varian paling rendah untuk Proton S50 ini kelak mungkin boleh dijual bermula RM60k.

    Sebagai perbandingan, Preve sebelum ini dijual pada harga bermula RM59,990 sehingga RM72,990 ketika ia dilancarkan pada 2012.

    GALERI: Spyshot Proton S50 yang diuji di atas jalan raya awam

    GALERI: Geely Emgrand pasaran Filipina

     
     
  • Proton X90 didedahkan – 1.5 liter turbo 3-silinder hibrid, 190 PS/300 Nm, 6- & 7-tempat duduk, 4 varian

    Proton X90 didedahkan – 1.5 liter turbo 3-silinder hibrid, 190 PS/300 Nm, 6- & 7-tempat duduk, 4 varian

    Proton telah pun mendedahkan imej dan beberapa perincian awalan untuk SUV tiga baris tempat duduk baharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Dalam sesi pratonton bersama media di Shah Alam hari ini, Proton turut mengumumkan bahawa SUV berkenaan sah dikenali sebagai Proton X90.

    Tarikh sebenar majlis pelancaran X90 ini masih belum dimuktamadkan, namun ia akan diadakan sekali dengan sambutan ulangtahun ke-40 Proton dalam masa terdekat. Seperti yang diketahui sebelum ini, X90 diasaskan dari Geely Haoyue untuk pasaran China, dan hari ini ia disahkan menerima unit rangkaian kuasa hibrid ringkas 48-volt (MHEV) yang sama seperti versi pasaran Filipina iaitu Geely Okavango.

    Sistem berkenaan menggabungkan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (sama dengan enjin X50 dan X70, kini turut telah dipasang oleh Proton di Tanjong Malim) dan unit stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG) bagi menghasilkan kuasa maksima 190 PS bersama tork maksima 300 Nm.

    Proton X90 didedahkan – 1.5 liter turbo 3-silinder hibrid, 190 PS/300 Nm, 6- & 7-tempat duduk, 4 varian

    Sebelum ini Proton turut mengesahkan bahawa produksi X90 ini sudahpun bermula di fasilitinya di Tanjong Malim, Perak. Menerusi pendedahan hari ini, dapat dilihat X90 menerima beberapa perincian yang berbeza dari Houyue dan Okavango.

    Muka hadapan Proton X90 ini menampilkan rekaan gril “diamond” atau krom pin yang lebih ringkas seperti rekaan gril Mercedes-Benz, bersama bingkai elemen busur panah yang masih lagi dikekalkan. Tiada lagi rekaan gril Infinite Weave seperti pada X70 dan X50 pada X90 ini.

    Rekaan lampu utamanya juga berbeza di mana kedudukan bahagian lampu isyarat sequentialnya berada dalam jalur yang paling bawah dalam unit berkenaan, dengan empat petak lampu LED di atasnya. Haoyue dan Okavango menampilkan lampu utama matriks dengan kedudukan jalur berkenaan di tengah dan diapit oleh masing-masing tiga dan satu unit LED di atas dan bawahnya.

    Proton X90 didedahkan – 1.5 liter turbo 3-silinder hibrid, 190 PS/300 Nm, 6- & 7-tempat duduk, 4 varian

    Proton X90 ini juga sudah tentu menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) berdasar kamera yang terletak di bahagian atas cermin hadapan serta set penderia yang berada di bahagian bawah gril hadapan bagi memberikan fungsi sistem brek kecemasan automatik dan sebagainya.

    Antara perincian ADAS lain yang sah disertakan adalah termasuk Amaran Lintasan Trafik Belakang, Amaran Pelanggaran Belakang serta Informasi Tanda Trafik yang boleh membaca tanda-tanda trafik di jalan raya – Proton menyatakan bahawa X90 merupakan model pertamanya yang diberikan perincian tersebut.

    Proton X90 ini akan ditawarkan dalam empat varian bermula 1.5 TGDi BSG Standard, BSG Executive, BSG Premium and BSG Flagship. Model Standard hingga Premium menampilkan konfigurasi tujuh-tempat duduk, manakala varian Premiun datang dalam versi enam-tempat duduk yang lebih mewah di mana bahagian baris tengahnya diberikan sepasang tempat duduk kapten dengan perehat kepala pilot.

    Seperti yang anda boleh lihat, X90 menerima bahagian dalaman termasuk papan pemuka yang seiras dengan Haoyue dan Geely Okavango tetapi dalam versi pemandu sebelah kanan. Ia menampilkan skrin infotaimen berdiri sendiri bersaiz 12.3-inci dengan pemproses EO2 pada bahagian tengah, paparan instrumen digital dengan skrin 10-inci, serta liang penghawa dingin empat segi dihubungkan dengan panel kemasan yang merentangi sepenuhnya papan pemuka tersebut.

    Proton X90 didedahkan – 1.5 liter turbo 3-silinder hibrid, 190 PS/300 Nm, 6- & 7-tempat duduk, 4 varian

    Konsol terowong juga dilihat sama, hadir dengan tombol gear segi empat yang kelihatan seiras dengan Geely Haoyue versi kemaskini untuk tahun 2020. Turut dapat dilihat butang pilihan mod pemanduan (Eco, Comfort dan Sport), brek parkir elektronik bersama fungsi auto hold, serta butang-butang untuk sistem bantuan turun bukit dan penderia parkir hadapan pada konsol terowong tersebut.

    Bagi pecahan kelengkapan mengikut varian, X90 Standard menerima perincian seperti lampu hadapan LED penuh, rim aloi 18-inci, upholsteri dalaman fabrik, skrin infotainmen bersaiz 12.3-inci dan juga kamera undur.

    Model Executive pula menerima tambahan dan tingkat taraf perincian termasuk pemadanan sistem pemantau tekanan angin tayar (TPMS), pintu tailgate bantuan kuasa, upholsteri kulit sintetik leatheretta, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-hala, liang untuk kedua-dua tempat duduk hadapan dan juga kamera 360 darjah bersama paparan 3D.

    Untuk model Premium, perinciannya dipertingkat dengan penawaran sistem ADAS, rim aloi 19-inci, upholsteri kulit Nappa, tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat-hala, pengecas tanpa wayar, dan sistem bantuan parkir automatik.

    Proton X90 didedahkan – 1.5 liter turbo 3-silinder hibrid, 190 PS/300 Nm, 6- & 7-tempat duduk, 4 varian

    Manakala varian tertinggi Flagship pula merupakan satu-satunya model yang datang dengan bumbung suria, selain suis ‘bos’ pada tempat duduk penumpang hadapan serta tempat duduk kapten di baris kedua.

    Saiz X90 ini sudah tentu sama dengan Houyue dan Okavango. Ia dihasilkan dengan dimensi panjang 4,835 mm dan lebar 1,900 mm serta jarak roda sejauh 2,815 mm. Jika dibandingkan dengan X70, X90 adalah 316 mm lebih panjang, 69 mm lebih lebar dan jarak roda 145 mm lebih jauh.

    Jadi X90 akan berhadapan terus dengan model-model SUV tiga baris tempat duduk yang lain seperti Mazda CX-8 dan juga Hyundai Santa Fe.

    Enam warna badan ditawarkan untuk X90 ini di mana lima daripadanya iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Cinnamon Brown dan Ruby Red adalah sama dengan model-model Proton yang lain, manakala warna Marine Blue adalah pilihan baharu dan ia hanya untuk varian Premium dan Flagship.

    Dengan saiz dan juga perincian yang dilihat lebih maju dari X50 dan X70, kami menjangkakan X90 ini mungkin dijual pada harga RM130k hingga RM150k. Berminat? Pastikan anda bersedia untuk menempah model ini – Proton akan mengumumkan pembukaan tempahan X90 bila-bila masa dari sekarang.

    Malah Proton turut mengumumkan bahawa X90 akan di bawa ke enam bandar dalam negara bagi memberikan peluang kepada pelanggan yang berminat untuk melihat model ini secara lebih dekat dalam satu sesi pra-tonton khas bermula 8 April ini!

    Lebih perincian berkenaan Proton X90 ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: Geely Haoyue 2023

     
     
  • Proton Satria Neo R3 Lotus Racing diiklankan dijual pada harga RM128k – masih nampak macam baru!

    Proton Satria Neo R3 Lotus Racing diiklankan dijual pada harga RM128k – masih nampak macam baru!

    Ketika dilancarkan pada 2010, Proton Satria Neo R3 Lotus Racing iaitu model edisi terhad hanya 25-unit dijual pada harga RM115,000, atau sekitar sekali ganda lebih mahal dari Satria Neo CPS biasa. Namun dalam satu iklan jualan yang dibuat oleh laman Facebook tempatan, Prestige Motorcars baru-baru ini, harga Neo R3 Lotus Racing terpakai berkenaan tidak turun, malah lebih mahal dengan dijual pada harga RM128,000!

    Berdasarkan gambar yang disertakan, Neo R3 Lotus Racing berkenaan masih lagi dalam keaadan sempurna seperti baharu pada bahagian luaran dan dalaman, bersama semua peralatan-peralatan yang masih asli, serta meter perbatuan enjin yang mencatatkan perjalanan sejauh 86,060 km.

    Satria Neo R3 Lotus Racing ini merupakan model yang dibangunkan sepenuhnya oleh sayap perlumbaan rasmi Proton iaitu R3, dan ia dihasilkan bagi meraikan kembalinya semula Lotus – ketika itu pembuat kereta sport British berkenaan masih milik Proton sepenuhnya – ke perlumbaan Formula 1.

    Bukan hanya nama “R3”, “Lotus Racing” dan jumlah produksi yang sangat terhad membuatkan kereta ini mahal, ia benar-benar dipenuhi dengan pelbagai komponen prestasi yang sangat premium dan eksklusif.

    Neo Lotus Racing ini masih dijana oleh enjin 1.6 liter sama seperti enjin CPS pada model standard. Namun enjin berkenaan telah ditala semula oleh R3 dengan memadankan aci sesondol durasi lebih tinggi bersama pulley boleh laras, sistem ekzos logam tahan karat dan sistem kemasukan yang direka semula serta kotak komputer enjin talaan khas.

    Ini membolehkan enjin tersebut mampu menghasilkan 145 hp dan tork maksima 168 Nm berbanding hanya 125 hp/150 Nm pada model CPS standard. Bukan sahaja lebih berkuasa, sistem injap bervariasi CPS ala-VTEC pada enjin ini juga dibuka lebih cepat iaitu pada 4,000 rpm (4,400 rpm bagi CPS biasa) dan ia tidak mempunyai masalah untuk menjerit sehingga 7,000 rpm.

    Kotak gear manual lima kelajuan pada Neo R3 Lotus Racing ini juga disentuh semula oleh R3 dengan diberikan nisbah gear lebih rapat, bersama nisbah akhir 4.625 yang lebih besar dari standard. Ini membolehkan model istimewa tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.2 saat sebelum mencapat kelajuan maksima 205 km/j.

    Antara kelengkapan mekanikal lain yang dipadankan pada Neo R3 Lotus Racing ini termasuk sistem suspensi perlumbaan boleh laras sepenuhnya dari Ohlins, sistem brek hadapan dengan cakera larik dan angkup empat omboh dari AP Racing, rim aloi ringan 16×7 inci dari Advanti dengan tayar Bridgestone Adrenalin RE001 bersaiz 205/45 R16, dan pelbagai lagi.

    Proton Satria Neo R3 Lotus Racing diiklankan dijual pada harga RM128k – masih nampak macam baru!

    Untuk rupa luaran, model ini diberikan kit badan R3 yang dihasilkan untuk kereta lumba Satria Neo sebenar yang berlumba di Asian Touring Car Series (ATCS), bersama fender sisi hadapan khas dari material FRP dengan liang dan logo Lotus Racing, penutup bonet enjin dan door sach gentian karbon, serta layangan warna hijau Lotus Racing Green bersama jalur perlumbaan kuning dari bonet hingga pintu hatch belakang.

    Manakala dalam kabin, Satria Neo R3 Lotus Racing ini diberikan tempat duduk bucket R3 balutan kulit Nappa dan sulaman logo Lotus Racing pada perehat kepala, roda stereng balutan kulit dengan tanda pukul 12 berwarna kuning serta perincian-perincian asli R3 seperti tombol gear, set pedal aloi dan juga butang penghidup enjin.

    Selain itu ia juga diberikan kemasan-kemasan hijau pada papan pemuka, serta panel pintu yang diberikan upholsteri kulit istimewa bersama panel-panel hijau.

    Berbalik pada unit yang diiklankan untuk dijual ini, boleh dilihat bampar hadapannya masih lagi menggunakan komponen asli. Bampar hadapan bagi Neo R3 Lotus Racing ini antara komponen yang agak sukar dijaga kerana bahagian spoiler bawahnya yang begitu rendah akan menyebabkan bampar berkenaan retak sekiranya terhentak pada permukaan jalan.

    Proton Satria Neo R3 Lotus Racing diiklankan dijual pada harga RM128k – masih nampak macam baru!

    Lazimnya sekiranya bampar berkenaan retak, perkara yang mudah untuk dilakukan adalah menukar bampar tersebut dengan bampar aftermarket untuk Satria Neo yang pernah dijual oleh R3 satu ketika dahulu – sekali imbas bampar berkenaan nampak sama, tapi jika dilihat dengan teliti, bampar aftermarket R3 tersebut mempunyai sepasang lampu kabus serta bahagian spoiler bawah yang lebih tinggi.

    Unit yang hendak dijual ini juga disarungkan dengan tayar Bridgestone Potenza Adrenalin RE003 bagi menggantikan tayar Potenza Adrenalin RE001 yang kini tidak lagi dijual. Ini menunjukkan bahawa pemilik asalnya begitu komited bagi memastikan kereta ini berada dalam keadaan benar-benar hampir ke spesifikasi asli.

    Walaupun Proton mengumumkan bahawa hanya 25-unit Satria Neo R3 Lotus Racing ini dihasilkan, sebenarnya hanya 22-unit yang dijual dalam pasaran, manakala tiga unit lagi merupakan unit pra-pembangunan yang tidak jual.

    Malah menerusi pertemuan penulis dengan kumpulan pemilik Proton Satria Neo R3 Lotus Racing ini di Dream Street Restoration tahun lalu, difahamkan bahawa tiga dari 22-unit sudah tidak lagi berada di atas jalan raya – sebuah telah dijelmakan sebagai kereta lumba sepenuhnya, sebuah lagi telah di’convert’ sebagai kereta konsep Proton Artiga, dan sebuah lagi sudah pun ‘total lost’ kerana terlibat dalam kemalangan.

    Seramai 17 orang pemilik Satria Neo Lotus Racing ini disahkan masih wujud serta masih berhubung sesama mereka, manakala pemilik lagi dua unit model edisi terhad ini masih dicari.

    Dengan semua fakta ini, adakah anda rasa RM128k masih terlalu mahal untuk sebuah Proton lama? Apa pun, ia adalah ‘harga buka’ yang ditawarkan oleh penjual. Harga pasaran sebenar untuk model ini seharusnya berpandukan berapa harga jualan sebenarnya nanti sekiranya ia benar-benar terjual kelak.

     
     
  • Jaguar I-Pace 2023 kini di Malaysia – dua varian, 400 PS/696 Nm, jarak EV 470 km; dari RM460,800

    Jaguar I-Pace 2023 kini di Malaysia – dua varian, 400 PS/696 Nm, jarak EV 470 km; dari RM460,800

    Hari ini, Jaguar Land Rover Malaysia telah melancarkan SUV elektrik pertama sepenuhnya, I-Pace untuk pasaran tempatan. Hadir dengan dua varian iaitu Black LE berharga dari RM460,800 dan HSE berharga RM498,800.

    Kedua-dua varian menampilkan penjana kuasa dwi-motor dengan hamburan kuasa mencecah 400 PS dan tork 696 Nm yang disalurkan ke semua roda, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.8 saat dengan kelajuan cecah 400 m dalam 12.4 saat.

    Kuasa yang diperoleh dari pek bateri 90 kwh ini mampu memberikan jarak maksimum sehingga 470 km mengikut kitaran ujian WLTP. Dengan pengecas AC 11 kW menerusi pengecas tiga-fasa dengan kabel pengecas Type 2 yang mampu memberikan kadar 53 km per jam (WLTP) dengan status pengecasan sifar hingga bateri penuh selama 8.6 jam. Jika menggunakan pengecas DC 100 kW menerusi soket kombinasi CCS2, ia mampu dicas penuh dalam tempoh 15 minit, dengan memberikan jarak pacuan 125 km.

    Kit standard yang diberikan untuk kedua-dua varian termasuklah lampu utama larasan-sendiri LED dan lampu nyalaan siaang LED dengan fungsi ‘follow-me-home’, lampu belakang LED, lampu kabus belakang, cermin sisi larasan-kuasa dengan fungsi kelam-sendiri untuk bahagian pemandu, cermin hadapan akustik, dan bilah pengelap dengan penderia-hujan. Kit luaran untuk kedua-dua varian menampilkan bilah hadapan bawah dengan lapisan pintu rona hitam berkilat.

    Kedua-dua varian juga diberikan roda aloi ‘Style 5068’ 20-inci, dengan hitam berkilat untuk Black LE dan kelabu gelap berkilat dengan kemasan berlian untuk HSE. Untuk varian Black LE, ia diberikan suspensi jenis spring gegelung untuk passive damping, manakala suspensi udara kawalan elektronik untuk HSE.

    Dwi-Motor pula dilengkapui dengan All Surface Progress Control (ASPC), dengan vektor tork diaktifkan brek, Bantuan Mula Mendaki, Pelancar Cengkaman Rendah, dengan kawalan kestabilan elektronik untuk keselamatan aktif.

    Sistem bantuan pemandu untuk I-Pace merangkumi brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan dengan pengehad kelajuan, paparan kondisi pemandu, pengesan isyarat trafik dengan pengehad kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, kamera pandangan belakang serta penderia bantuan parkir hadapan dan belakang.

    Manakala ciri kelengkapan dalaman termasuk butang penghidup enjin, kawalan suhu dua-zon, cermin pandangan belakang kelam-sendiri, perehat tangan hadapan dengan storan, ruang storan di bawah tempat duduk untuk barisan kedua, perehat tangan belakang dan penderia kualiti udara. Untuk pemandu, turut menerima roda stereng pelbagai-fungsi kemasan kulit, dan tempat duduk belakang boleh dilipat dengan nisbah 40:20:40.

    Varian Black LE turut diberikan tempat duduk upholstery kemasan kulit, tempat duduk hadapan larasan kuasa 12-hala dengan fungsi memori dan perehat kepala manual, sementara HSE pula menerima tempat duduk hadapan spesifikasi Windsor Leather and Performance dengan larasan elektronik 14-hala bersama fungsi pemanas dan penyejuk, serta fungsi memori posisi.

    Untuk kelengkapan infotainmen pula, ia diberikan sistem Pivi Pro yang menampilkan skrin sesentuh 10-inci dan 5.5-inci dengan Connected Navigation Pro dan Penetapan Pintar, paparan pemandu interaktif, penerima isyarat radio AM dan FM, ketersambungan Bluetooth dan kawalan suhu, dua corong kuasa 12-voltan dan lima punca USB serta pad pengecasan peranti tanpa wayar. Untuk audio, Black LE menerima sistem bunyi standard, manakala HSE diberikan sistem bunyi sekeliling Meridian 3D.

    Pembelian mana-mana varian I-Pace didatangkan dengan tempoh waranti komprehensif selama lima tahun atau 150,000km dan khidmat bantuan tepi jalan tiga-tahun. Ia juga termasuk servis percuma sehingga lima-tahun atau 102,000 km serta waranti Bateri Kenderaan Elektrik sehingga lapan-tahun atau 160,000 km.

    Jaguar Land Rover Malaysia juga memberikan kredit percuma RM1,000 dalam aplikasi DC GoToU mereka bagi tempahan yang diterima dalam tempoh pelancaran sehingga 28 Mei 2023, yang membolehkan pengguna meninjau lokasi pengecasan dengan mudah sepanjang perjalanan.

     
     
  • Pengakhiran monopoli Puspakom – Malaysia akan laksana ujian kenderaan berkala seperti MoT UK?

    Pengakhiran monopoli Puspakom – Malaysia akan laksana ujian kenderaan berkala seperti MoT UK?

    Minggu lepas, menteri pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan bahawa perkhidmatan pemeriksaan kenderaan akan dibuka kepada syarikat lain dan ia tidak lagi hanya eksklusif kepada Puspakom apabila konsesi syarikat itu berakhir 31 Ogos 2024 nanti.

    Bergantung nanti berapa banyak saingan yang akan muncul, ia sepatutnya dapat memberikan pilihan kepada pemilik kenderaan untuk memilih tempat melakukan pemeriksaan. Langkah meluaskan lagi lapangan ini juga membawa kepada kemungkinan Malaysia menggunakan ujian kelayakan berada atas jalan raya berkala seperti MoT di United Kingdom.

    Malaysia juga ada ujian seperti ini, dipanggil sebagai Pemeriksaan Kenderaan Secara Suka Rela, tetapi seperti yang boleh dilihat pada namanya, ia bukanlah pemeriksaan wajib. Program ini diperkenalkan sebagai sebahagian daripada perkara yang terdapat dalam Polisi Automotif Negara (NAP) 2014 dan sepatutnya membawa kepada ujian kelayakan jalan raya yang wajib pada masa hadapan.

    Pengakhiran monopoli Puspakom – Malaysia akan laksana ujian kenderaan berkala seperti MoT UK?

    Ditawarkan kepada kenderaan berusia lebih lima tahun sewaktu baru diperkenalkan, pemeriksaan ini masih lagi wujud melalui Puspakom, dan disediakan bagi mereka yang mahukan pemeriksaan 25 bahagian kenderaan secara suka rela – itupun kalau mereka cukup sabar untuk melalui prosesnya.

    Pernah dinyatakan juga sebelum ini bahawa untuk memastikan program seperti ini berjaya, sepatutnya pusat pemeriksaan tidak terhad pada satu agensi atau syarikat sahaja, seperti Puspakom. Jika tidak, apabila ia diwajibkan, pasti akan menyebabkan kesesakan kerana hanya Puspakom sahaja yang boleh melakukan pemeriksaan tersebut.

    Keputusan kerajaan untuk membuka khidmat ini kepada lebih banyak syarikat boleh membuatkan pemeriksaan kelayakan atas jalan secara wajib satu realiti, tetapi ia masih akan mengambil masa sebelum dapat dilaksana bagi menentukan perkara seperti kekerapan, bahagian yang perlu diperiksa serta kos.

    Pengakhiran monopoli Puspakom – Malaysia akan laksana ujian kenderaan berkala seperti MoT UK?

    Dalam ujian MoT UK, beberapa perkara pada kenderaan diperiksa untuk memastikan ia mematuhi tahap peraturan yang telah ditetapkan. Ini termasuklah antaranya struktur badan, pintu, cermin, brek, lampu, tayar, stereng, suspensi, tali pinggang dan juga hon. Pemeriksaan suka rela yang disediakan oleh Puspakom juga melakukan perkara yang hampir sama.

    Di UK, semua kenderaan yang berusia lebih tiga tahun perlu melakukan pemeriksaan MoT berkala demi memastikan ia layak berada di atas jalan raya. Sekiranya ada perkara yang tidak kena, ia perlu diatasi terlebih dahulu sebelum kereta tersebut dikenakan cukai dan boleh dipandu atas jalan.

    Walaubagaimanapun, perlu dinyatakan bahawa di UK, bengkel kecil pun mempunyai lesen dan kelayakan untuk melakukan pemeriksaan MoT dan mengeluarkan sijil, sekaligus menjadikan prosesnya lebih mudah dan pantas. Info terkini yang diperoleh, untuk negara kita, penyedia khidmat pemeriksaan baru ini tidak boleh sekadar bengkel biasa, dan perlu mempunyai aturan seperti Puspakom.

    Sekiranya pemeriksaan berkala betul-betul dilaksanakan di Malaysia, tentunya jalan raya akan menjadi lebih selamat. Selain daripada itu, sistem ini juga boleh digunakan sebagai pengukur kelayakan kereta lama untuk berada atas jalan, berbanding polisi akhir hayat yang mahu melupuskan semua kenderaan berusia lebih 20 tahun.

    Kereta lama, kalau dijaga dengan baik dan disahkan melalui pemeriksaan berkala, masih boleh dikira layak berada atas jalan melalui program seperti MoT ini. Walaubagaimanapun, ia akan melibatkan tambahan kos dan mungkin tidak akan digemari oleh pemilik kenderaan. Ini adalah antara perkara yang perlu diambil kira oleh kerajaan.

    Bagi anda bagaimana? Adakah Malaysia patut melakukan pemeriksaan berkala seperti ini? Adakan ia berbaloi untuk dibuat? Kongsikan pendapat anda melalui ruang komen di bawah.

     
     
  • Audi RS3 sedan rasmi di pasaran Malaysia – bermula RM646,990, 2.5L 5-silinder turbo, 400 PS/500 Nm!

    Audi RS3 sedan rasmi di pasaran Malaysia – bermula RM646,990, 2.5L 5-silinder turbo, 400 PS/500 Nm!

    Selepas dipertontonkan di Malaysia sejak Oktober tahun lalu, kini sedan prestasi Audi RS3 Sedan secara rasmi mula dijual di pasaran Malaysia dan pelanggan yang berminat sudah boleh mula menempahnya.

    Menurut pengedar Audi di Malaysia iaitu PHS Automotive Malaysia (PHSAM), model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM646,990 dengan waranti standard selama dua-tahun, manakala pelanggan yang memilih Audi Assurance Package (tambahan tiga tahun waranti) perlu membeli dengan harga RM655,990.

    Sedan RS3 dalam versi generasi kedua ini masih mengekalkan konfigurasi enjin 2.5 liter lima silinder turbo dengan sistem pacuan semua roda. Kali ini enjin TFSI berkenaan mampu menghasilkan kuasa lebih besar iaitu 400 PS bermula 5,600 rpm hingga 7,000 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 2,250 rpm hingga 5,600 rpm.

    Audi RS3 sedan rasmi di pasaran Malaysia – bermula RM646,990, 2.5L 5-silinder turbo, 400 PS/500 Nm!

    Ia digandingkan dengan kotak gear S tronic klac berkembar tujuh-kelajuan dan sistem pacuan quattro, membolehkan sedan ini memecut dari pegun hingga 100 km/j hanya dalam masa 3.8 saat sebelum mencatatkan kelajuan maksimum 250 km/j. Malah Audi RS Sedan ini juga telah mencatatkan tujuh minit dan 40.748 saat di litar Nurburgring Nordschleife – lapan saat lebih laju berbanding Mercedes-AMG A45S W177.

    RS3 Sedan ini juga merupakan Audi pertama yang menampilkan RS Torque Splitter, iaitu sistem yang membolehkan tork pada gandar belakang diagihkan secara bervariasi bagi memberikan dinamik sisi serta kestabilan yang lebih baik. Tork juga boleh dialirkan sepenuhnya ke gandar belakang sekiranya pemandu mengaktifkan RS Torque Rear untuk melakukan aksi drift.

    Manakala mod RS Performance pula akan menyelaras sistem rangkaian kuasa untuk prestasi optimum ketika dalam litar lumba, Ia juga datang standard dengan sistem suspensi adaptif yang memberikan pemanduan selesa tanpa mengorbankan prestasi pengendalian dan kemampuannya di selekoh.

    Audi RS3 sedan rasmi di pasaran Malaysia – bermula RM646,990, 2.5L 5-silinder turbo, 400 PS/500 Nm!

    Lain-lain ciri RS yang ada pada RS3 Sedan ini termasuk cakera brek seramik, rim aloi 19-inci dengan rekaan 10-jejari, bampar depan dan belakang khusus untuk model RS yang lebih agresif serta sistem ekzos RS.

    Antara perincian yang diberikan pada RS Sedan pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan Matrix LED dengan latar belakang gelap, lampu nyalaan siang digital LED serta corak nyalaan unik hanya untuk model RS bagi lampu dinamik/coming home/leaving home.

    Manakala pada bahagian dalaman, RS Sedan di Malaysia diberikan kabin dengan tema warna hitam, merah atau hijau, tempat duduk sports balutan kulit Nappa dengan corak sulaman sarang lebah RS, roda stereng RS rata di bawah, dan juga paparan instrumen digital Virtual Cockpit dengan skrin 12.3-inci.

    Ada enam warna badan untuk Audi RS Sedan pasaran Malaysia ini iaitu Kyalami Green, Kemora Grey, Glacier White, Mythos Black, Python Yellow dan juga Daytona Gray. Sekarang macam mana? Anda pilih Audi RS3 ini atau Mercedes-AMG CLA45S berkuasa 421 PS/500 Nm yang dijual pada harga RM467,691?

     
     
  • Hanya satu ujian teori untuk pengambilan lesen kereta dan motosikal mungkin akan dilaksana tidak lama lagi

    Hanya satu ujian teori untuk pengambilan lesen kereta dan motosikal mungkin akan dilaksana tidak lama lagi

    Tidak lama lagi, ujian teori untuk mereka yang ingin mendapatkan lesen kereta dan motosikal akan diseragamkan semula, lapor The Star. Menteri pengangkutan, Anthony Loke dipetik berkata bahawa ramai pemandu dan penunggang menyatakan mereka terpaksa mengambil ujian teori untuk lesen motosikal dan lesen kereta secara berasingan sebelum ini.

    “Ini tidak seperti dulu, di mana kita hanya perlu melengkapkan ujian teori sekali sahaja untuk kedua-dua lesen. Saya rasa kita boleh ringkaskan untuk mengurangkan beban orang ramai,” kata Loke dalam satu temu ramah radio semalam sambil menambah bahawa satu cadangan sudah pernah beliau hantar semasa bertugas sebagai menteri pengangkutan pada tahun 2018.

    Mengikut peraturan sekarang, sesiapa yang ingin mengambil lesen kereta atau motosikal secara berasingan mestilah melepasi dua kali ujian teori, iaitu satu untuk setiap lesen. Ujian teori ini melibatkan 50 soalan dan calon perlu menjawab sekurang-kurangnya 42 soalan dengan betul untuk lepas, sementara jika mengambil ujian untuk dua lesen secara serentak, ia melibatkan 70 soalan dan calon perlu menjawab sekurang-kurangnya 59 soalan dengan betul.

    Hanya satu ujian teori untuk pengambilan lesen kereta dan motosikal mungkin akan dilaksana tidak lama lagi

    Sementara itu, Loke turut menambah bahawa satu kenyataan akan dibuat tidak lama lagi berkenaan penambahan tempoh sah lesen memandu warga Malaysia, di mana pada waktu ini, ia ditetapkan pada lima tahun.

    Pada bulan Februari yang lalu, Loke memberitahu bahawa tempoh sah maksimum selama 10 tahun sedang dipertimbangkan. Buat masa sekarang, pembaharuan lesen melibatkan bayara RM30 setiap tahun bagi lesen memandu kelas D, dengan tempoh minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun.

     
     
  • Penutupan lorong pada waktu malam di laluan Shah Alam-Subang di NKVE pada 30 Mac-Nov 2023

    Penutupan lorong pada  waktu malam di laluan Shah Alam-Subang di NKVE pada 30 Mac-Nov 2023

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa terdapat penutupan lorong pada waktu malam secara berperingkat di antara KM10.5 hingga KM11.3 laluan Shah Alam-Subang dan KM11.7 hingga KM11.1 laluan Subang-Shah Alam di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) mulai 30 Mac 2023.

    Penutupan lorong tersebut adalah bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf Jambatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang merentangi NKVE di KM11.25 di antara Persimpangan Shah Alam dan Subang.

    “Kerja naik taraf yang akan dilaksanakan secara berperingkat selama tujuh bulan tersebut dijangka siap sepenuhnya pada awal November 2023. Ia akan dijalankan pada waktu malam bermula jam 10 malam hingga 5 pagi sepanjang tempoh tersebut.

    Klik untuk besarkan

    “Ia akan melibatkan penutupan lorong pada waktu malam secara berperingkat di antara KM10.5 hingga KM11.3 laluan Shah Alam-Subang dan KM11.7 hingga KM11.1 laluan Subang-Shah Alam. Semua lorong akan dibuka semula kepada pengguna lebuh raya mulai jam 5 pagi bagi memastikan tiada gangguan terhadap aliran trafik terutamanya pada waktu-waktu puncak,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Justeru, pengguna lebuh raya terbabit dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini sepanjang tempoh tersebut. Mereka juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit.

    Pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat trafik atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.

     
     
  • Lebuhraya Besraya terpilih sebagai lokasi Proof of Concept MLFF pertama, dilaksana hujung Okt 2023

    Lebuhraya Besraya terpilih sebagai lokasi Proof of Concept MLFF pertama, dilaksana hujung Okt 2023

    Akhirnya pelaksanaan sistem Aliran Bebas Pelbagai-Lorong atau Multi-Lane Fast Flow (MLFF) bakal menjadi realiti selepas ia diperkatakan sejak tahun 2009.

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah mengumumkan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) telah terpilih sebagai lokasi Proof of Concept (POC) MLFF yang pertama yang akan dilaksanakan pada penghujung Oktober 2023.

    “Saya juga ingin memaklumkan bahawa keputusan lokasi pelaksanaan Proof of Concept (POC) MLFF telah pun diputuskan dengan Lebuhraya Sungai Besi telah dipilih sebagai lokasi POC yang pertama. Pelaksanaan POC ini akan dibuat pada penghujung Oktober 2023 bagi menilai sistem MLFF sebelum ia dilaksanakan bagi kesemua lebuh raya di Malaysia.

    Lebuhraya Besraya terpilih sebagai lokasi Proof of Concept MLFF pertama, dilaksana hujung Okt 2023

    “Kementerian juga sedang mengadakan rundingan bersama syarikat konsesi yang lain bagi mendapatkan satu lagi lebuhraya bagi pelaksanaan POC MLFF. Keputusan lokasi POC kedua ini akan saya umumkan dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook rasminya.

    Tambah beliau sistem pembayaran terbuka dan MLFF ini tidak boleh dilaksanakan semalaman dan perlu melalui pelbagai peringkat. Di mana perkara ini bukannya mudah untuk dilaksanakan dan memerlukan perancangan teliti serta penetapan penggunaan teknologi yang berpatutan. Malahan ia juga memerlukanrundingan bersama pelbagai pihak sebelum ia dapat dilaksanakan sepenuhya.

    “Dengan itu, saya ingin memohon kerjasama semua pihak agar dapat bersabar dan memberikan sedikit masa kepada pasukan di kementerian ini yang komited dalam melaksanakan sistem pembayaran terbuka ini sekaligus memastikan transisi MLFF ini dapat dilaksanakan secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024.”

    Walau bagaimana pun, sehingga kini, kerajaan masih belum memaklumkan bagaimana sistem MLFF ini akan berfungsi di Malaysia. Kebarangkalian pengguna perlu membeli peranti khusus untuk bayar tol atau pun tidak, ia masih belum diketahui.

     
     
  • Lima lagi lebuhraya sertai sistem bayaran terbuka Sept ini – LDP, SPRINT, KESAS, MEX, Terowong SMART

    Lima lagi lebuhraya sertai sistem bayaran terbuka Sept ini – LDP, SPRINT, KESAS, MEX, Terowong SMART

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengesahkan terdapat lima lagi lebuhraya telah bersetuju untuk melaksanakan sistem pembayaran terbuka di plaza tol masing-masing yang akan dimulakan pada pertengahan September 2023.

    Lebuhraya terbabit ialah:

    • Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)
    • Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT)
    • Lebuhraya Shah Alam (KESAS)
    • Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX)
    • Terowong SMART

    Ia menjadikan jumlah keseluruhannya mencecah 11 lebuhraya termasuk yang diumumkan pada minggu lalu iaitu Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Pantai Baharu (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE).

    Ini bermakna pengguna lebuhraya terbabit dibenarkan untuk menggunakan kaedah pilihan pembayaran tanpa tunai selain kad Touch ‘n Go (TnG) untuk kadar tol. Ini termasuklah penggunaan kad debit/kredit, dan lain-lain.

    Lima lagi lebuhraya sertai sistem bayaran terbuka Sept ini – LDP, SPRINT, KESAS, MEX, Terowong SMART

    Menurut Alexander lagi, pelaksanaan sistem pembayaran terbuka adalah antara inisiatif awal sebagai peralihan ke arah sistem Aliran Bebas Pelbagai-Lorong atau Multi Lane Free Flow (MLFF) yang sedang giat diusahakan.

    “Pelaksanaan sistem pembayaran terbuka ini yang menggunakan pelbagai teknologi yang sesuai juga adalah merupakan salah satu langkah persediaan peralihan ke arah MLFF, dengan terminal pembayaran tol menggunakan kad debit/kredit disediakan pada satu lorong di plaza tol.

    “Usaha ini juga merupakan langkah awal yang diambil oleh KKR dan pihak terlibat bagi memastikan keberkesanan sistem yang efisien selain menyelesaikan segala isu yang mungkin timbul sebelum pelaksanaan sepenuhnya MLFF kelak. Perkara ini amat saya tekankan bagi memastikan pengguna tidak mengalami sebarang kesukaran ketika pelaksanaan sepenuhnya MLFF tidak lama lagi,” katanya.

     
     
  • Guna kad debit untuk bayar parkir tidak selamat? Mudah diakses oleh scammer – Ahmad Maslan

    Guna kad debit untuk bayar parkir tidak selamat? Mudah diakses oleh scammer – Ahmad Maslan

    Sejak kebelakangan ini, penggunaan kad debit/kredit banyak dilaksanakan untuk pembayaran di tempat parkir kenderaan. Ia merupakan antara pilihan kaedah transaksi tanpa tunai yang memberikan kemudahan kepada pengguna dalam membuat pembayaran. Walau bagaimana pun, ada banyak pihak yang meragui kebolehpercayaan penggunaan kad debit/kredit secara PayWave dan tidak menggunakan kod pin.

    Hal ini turut dibangkitkan menerusi persidangan Dewan Negara yang semalam, di mana Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan sendiri mengakui data pengguna yang menggunakan kad debit untuk membuat pembayaran di tempat letak kereta tanpa tunai tidak selamat dan mudah untuk diakses oleh scammer.

    Menurut beliau, data-data berkenaan boleh diakses hanya menggunakan perisian hasad (malware), laporan Sinar Harian.

    “Saya setuju apa yang disebut itu, jadi kita kena terus berhati-hati dan angka yang saya nyatakan dalam Dewan Rakyat mengenai penipuan scam untuk negara hampir 22,000 orang telah menjadi mangsa dan kerugian sekitar RM850 juta. Itu adalah satu angka yang tinggi dan kita harap sentiasa berhati-hati terutama menggunakan kad-kad yang boleh diakses menggunakan perisian khas terhadap akaun,” katanya.

    Guna kad debit untuk bayar parkir tidak selamat? Mudah diakses oleh scammer – Ahmad Maslan

    Kenyataan beliau adalah bagi menjawab soalan Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang ingin mengetahui sama ada data pengguna kad debit selamat dan terpelihara sekiranya membuat pembayaran di tempat letak kereta tanpa tunai.

    Walau bagaimana pun, Ahmad Maslan tidak memperincikan sebarang maklumat mahu pun bukti yang mengesahkan aktiviti scammer yang membabitkan isu penggunaan kad debit ini.

    Pada tahun 2017, Bank Negara Malaysia pernah memaklumkan bahawa kaedah pembayaran menggunakan kad debit ini adalah selamat memandangkan terdapat teknologi chip EMV yang digunakan bagi menjana kod dinamik setiap kali transaksai dilakukan serta ia juga dapat mengelakkan kad terbabit diklon.

    Mungkin scammer memerlukan terminal PayWave palsu bagi menutup terminal PayWave yang sebenar bagi tujuan kecurian, atau pun mengubah suai perkakasan terbabit. Jadi jika anda curiga dengan terminal PayWave yang terdapat di tempat awam seperti di kawasan parkir, anda perlu melaporkan perkara ini segera kepada pihak pengurusan parkir berkenaan.

    Selain itu, ada isu lain yang sering diperkatakan oleh netizen iaitu pemotongan sejumlah RM250 sekiranya membuat pembayaran menggunakan kad debit secara PayWave dan nilai itu akan dikembalikan kemudian selepas menolak jumlah kadar bayaran sebenar seperti mana berlaku sekiranya mengisi minyak di stesen minyak. Sebenarnya jumlah had kumulatif pemotongan tersebut boleh ditetapkan oleh pengguna menerusi bank perkhidmatan yang digunakan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025