Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • ANIH keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan untuk Lebuhraya KLK, LPT1 bagi Tahun Baharu Cina

    ANIH keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan untuk Lebuhraya KLK, LPT1 bagi Tahun Baharu Cina

    ANIH Berhad selaku pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) telah mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi tempoh 20-21 Januari dan 24-25 Januari 2023 untuk kedua-dua lebuhraya berkenaan sempena Tahun Baharu Cina. Seperti musim perayaan yang lain, kebiasaannya lebuhraya utama di Semenanjung Malaysia bakal mengalami kesesakan luar biasa.

    Bagi mengurangkan risiko terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di lebuhraya berkenaan, para pengguna diminta untuk merancang perjalanan ke/dari Pantai Timur sewajarnya. Justeru, ANIH menyarankan agar pengguna lebuhrayanya merujuk TTA (seperti yang dipaparkan pada imej di atas) yang dikeluarkan ini bagi kelancaran perjalanan ke destinasi yang dituju.

    Dalam masa yang sama, para pengguna dinasihati untuk memastikan baki kad dan e-Wallet Touch ‘n Go adalah mencukupi bagi pembayaran kadar tol. Dan jangan lupa untuk periksa keadaan kenderaan anda terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan. Pastikan ia selamat dipandu. Selain terus memandu dengan berhemah, patuhi saranan papan tanda trafik, had kelajuan yang ditetapkan dan ikuti arahan petugas lebuhraya demi keselamatan semua.

     
     
  • Pas MyCity kini boleh digunakan untuk perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara MRT hingga 14 Apr

    Pas MyCity kini boleh digunakan untuk perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara MRT hingga 14 Apr

    Rapid KL telah mengumumkan Pas MyCity 3-Hari dan 1-Hari kini boleh digunakan untuk perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara MRT. Ia telah dimulakan sejak 15 Januari lalu sehingga 14 April ini, kecuali bagi perkhidmatan NadiPutra.

    Ia adalah nilai tambah bagi promosi yang diumumkan sebelum ini iaitu kempen Beli 1 Percuma 1 untuk Pas MyCity 3-Hari, di mana ia memberikan peluang kepada pemilik pas untuk menggunakan perkhidmatan rel kendalian Prasarana tanpa jad untuk tiga hari. Promosi tersebut dibuka untuk rakyat Malaysia yang membeli pas berkenaan sehingga 28 Februari 2023.

    Apabila membeli Pas MyCity 3 Hari ini, anda perlu mengimbas kod QR yang tertera pada poster kempen ‘Terima Kasih’ di pejabat perkhidmatan pelanggan Rapid KL atau hab bas Rapid KL terpilih. Kemudian, ia akan menghubungkan ke aplikasi MyRapid Pulse, di mana anda perlu mengisi maklumat peribadi di laman kempen berkenaan. Maklumat lanjut mengenai kempen tersebut menerusi PAUTAN INI.

     
     
  • Toyota Hilux juara Rali Dakar dua tahun berturut-turut; Nasser Al-Attiyah rangkul gelaran ke-3 dengan Toyota!

    Toyota Hilux juara Rali Dakar dua tahun berturut-turut; Nasser Al-Attiyah rangkul gelaran ke-3 dengan Toyota!

    Pemandu rali dari Qatar, Nasser Al-Attiyah yang dibantu oleh juruarah Perancis Mathieu Baumel dengan jentera Toyota GR DKR Hilux T1+ sekali lagi bergelar juara Rali Dakar tahun ini, mempertahankan gelaran yang dirangkul pada 2022. Hilux pasukan Toyot Gazoo Racing berkenaan menamatkan peringkat terakhir rali tersebut pada 15 Januari lalu dengan mendahului 1 jam 20 min 49 saat berbanding pelumba di tempat kedua.

    Seperti tahun lalu, Rali Dakar tahun ini dilangsungkan sepenuhnya di Arab Saudi. Rali sejauh 8,500 km ini dibahagikan kepada 14 peringkat, bermula di Yanbu pada 1 Januari, dan berakhir di Dammam Ahad lalu. Nasser mengungguli empat dari 14 peringkat berkenaan, namun dengan pemanduan yang konsisten dia berjaya terus berada di hadapan dengan masa keseluruhan 45 jam 3 minit dan 15 saat.

    Tempat kedua milik juara WRC sembilan kali, Sebastien Loeb yang memandu Prodrive Hunter T1+ untuk pasukan Bahrain Raid Xtreme. Manakala tempat ketiga pula adalah milik pemandu Brazil, Lucas Moraes yang memandu Toyota Hilux T1+ pasukan Overdrive Racing.

    Toyota Hilux juara Rali Dakar dua tahun berturut-turut; Nasser Al-Attiyah rangkul gelaran ke-3 dengan Toyota!

    Rali Dakar 2023 ini juga menyaksikan empat buah Hilux berada dalam lima kedudukan teratas, termasuk dua GR DKR Hilux T1+ pasukan TGR yang dipandu Giniel de Villiers (tempat ke-4) dan Henk Lategan (tempat ke-5). Untuk Nasser, ini merupakan gelaran juara Dakar kelima buat dirinya dan ketiga dengan memandu Toyota, serta kali keempat dengan berpasangan bersama Baumel.

    “Ini merupakan perasaan yang menakjubkan! Saya perlu berterima kasih dengan ramai orang, bermula dengan setiap anggota pasukan kami. Ia merupakan dua minggu yang sukar, tetapi berupaya untuk kembali dan mempertahankan gelaran kami merupakan perkara yang hebat!” kata Nasser.

    “Saya sangat bangga dengan GR DKR Hilux T1+, dan untuk memenangi perlumbaan tiga kali bersama Toyota Gazoo Racing merupakan sesuatu yang benar-benar istimewa,” tambahnya lagi.

    Dengan kemenangan ini membolehkan Nasser mengumpul 85 mata untuk Kejuaraan Rali-Raid Dunia (W2RC). Namun mata berkenaan hanya membolehkannya berada di tempat kedua secara keseluruhan kerana Sebastien Loeb berjaya mengumpul 87 mata, hasil dari memenangi tujuh dari 14 peringkat dalam Rali Dakar.

    Abu Dhabi Dessert Challenge akan menjadi cabaran pusingan kedua untuk W2RC 2023, dan ia bakal berlangsung bermula 25 Februari hingga 2 March nanti.

     
     
  • Ops Bersepadu sempena CNY 2023 dilancar, libatkan kerjasama pelbagai agensi di bawah MOT dan KKR

    Ops Bersepadu sempena CNY 2023 dilancar, libatkan kerjasama pelbagai agensi di bawah MOT dan KKR

    Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) telah melancarkan Ops Bersepadu & Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan 2023 sempena cuti Tahun Baru Cina yang bakal berlangsung hujung minggu ini, melibatkan beberapa inisiatif. Majlis ini disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

    Dengan slogan “Pandu Cermat, Sampai Selamat”, Ops Bersepadu ini akan berlangsung dari 18-28 Januari 2023 dan melibatkan beberapa agensi lain yang bernaung di bawah dua kementerian itu, seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS.

    Seramai 2,000 anggota penguatkuasa JPJ akan terlibat dalam operasi tersebut, yang antara lain akan berada juga di dalam bas ekspres, pemantauan melalui Enforcement Based Station (EBS) di 14 lokasi tumpuan di sepanjang lebuhraya serta Ops Khas Motosikal.

    Pra Ops Tahun Baru Cina juga akan diadakan dari 14-17 Januari, melibatkan pemeriksaan bas ekspres di 77 buah depoh dan 28 terminal bas utama seluruh negara bagi memastikan keadaan bas layak berada di atas jalan.

    Selain itu, Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan juga akan dilaksanakan selama dua hari sebelum dan dua hari selepas perayaan, iaitu pada 20-21 Januari 2023 dan 24-25 Januari 2023. Ini bagi mengelak risiko berlakunya nahas jalan raya melibatkan percampuran aliran trafik antara kenderaan berat dan kenderaan penumpang.

    Tujuh kesalahan lalulintas utama juga telah dikuatkuasakan sempena Ops Bersepadu tahun ini; memotong barisan; memotong di garisan berkembar; tidak mematuhi isyarat lampu merah; memandu melebihi had laju; penggunaan telefon bimbit ketika memandu; tidak menggunakan tali atau topi keledar; dan memandu di lorong kecemasan. Semua kesalahan ini tidak hanya dikompaun, tetapi pesalah juga akan dihadapkan ke mahkamah.

    Bagi Kementerian Kerja Raya pula, Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya juga dijalankan di lokasi yang kerap berlaku kemalangan (blackspots). Pada 2022, 53 lokasi ini telah dibaikpulih melibatkan kos RM17.2 juta. Selain itu, 40 lokasi yang berisiko berlakunya kemalangan akibat jalan gelap telah dipasang lampu jalan, melibatkan kos RM4.7 juta. Jumlah blackspots yang dikenalpasti untuk tahun 2023 pula adalah 76 lokasi.

    Bagi tempoh 18-21 Januari 2023 juga, had laju di Jalan Persekutuan seluruh negara akan dikurangkan sebanyak 10 km/j kepada 80 km/j, dan 70 km/j bagi Jalan Negeri.

     
     
  • Honda Brio merupakan kereta paling laris di Indonesia sepanjang 2022; terjual 60,535 unit, RM54k-RM70k

    Honda Brio merupakan kereta paling laris di Indonesia sepanjang 2022; terjual 60,535 unit, RM54k-RM70k

    Jika di Malaysia Perodua Myvi, apa pula kereta yang paling laris di negara jiran kita, Indonesia? Untuk tahun 2022, model yang disahkan paling laris di pasaran republik berkenaan adalah hatchback segmen-A, Honda Brio!

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PT Honda Prospect Motor (HPM), sepanjang tahun lalu sebanyak 61,025 unit Brio telah terjual secara borong kepada pengedar-pengedar. Manakala angka jualan yang didaftarkan kepada pengguna pula adalah berjumlah 60,535 unit.

    Jumlah tersebut masing-masing menunjukkan kenaikan 36% untuk borong dan 34% untuk runcit berbanding jualan 2021. Ini membuatkan HPM sentiasa mengutamakan model berkenaan dalam barisan produksi, lebih-lebih lagi ketika masalah bekalan cip mikro yang berlaku.

    Honda Brio merupakan kereta paling laris di Indonesia sepanjang 2022; terjual 60,535 unit, RM54k-RM70k

    Namun kerana permintaan yang terlalu tinggi terhadap Brio serta masalah bekalan cip mikro yang belum pulih sepenuhnya, masih terdapat lagi tempahan tertangguh yang tidak dapat diserahkan kepada pelanggan.

    “Kami bersyukur bahawa permintaan untuk Honda Brio terus tinggi di sepanjang tahun 2022 lalu, sehingga kami berusaha untuk memaksimakan kapasiti produksi di kedua-dua kilang kami untuk Honda Brio,” kata pengarah inovasi perniagaan, jualan dan pemasaran HPM, Yusak Billy.

    “Kami juga menyedari bahawa kekangan pembuat komponen membuatkan kami belum dapat sepenuhnya memenuhi permintaan pelanggan sehingga kini, dan kami akan terus berusaha untuk memenuhi semua permintaan dari pelanggan secepat mungkin untuk Honda Brio dan model-model Honda yang lain tahun ini,” tambahnya lagi

    Honda Brio merupakan kereta paling laris di Indonesia sepanjang 2022; terjual 60,535 unit, RM54k-RM70k

    Honda Brio ditawarkan dalam empat tingkat varian di Indonesia bermula varian asas Brio Satya S, Brio Satya E, Brio RS dan Brio RS Ubranite Edition. Namun kesemua model berkenaan menerima enjin 1.2L i-VTEC empat-silinder yang berkuasa 90 PS dan tork maksima 110 Nm.

    Apa yang menarik, kesemua varian tersebut ditawarkan dengan kotak gear automatik CVT dan juga manual lima kelajuan termasuk untuk varian tertinggi Brio RS Urbanite Edition. Ia dijual pada harga bermula 189,700,000 rupiah (RM54k) untuk Brio Satya S M/T hingga 243,900,000 rupiah (RM70k) untuk Brio RS Urbanite Edition CVT.

    Jika di bawa ke Malaysia, Brio perlu berhadapan dengan hatchback segmen A paling laris di sini iaitu Perodua Axia. Namun dengan harga yang lebih mahal serta perincian yang tidak setara dengan Perodua Myvi, adakah anda rasa Brio boleh dijual dengan laris pada pasaran tempatan?

     
     
  • Rapid KL tawar pas percuma dengan setiap pembelian Pas MyCity 3 Hari – tawaran sah hingga 28 Feb 2023

    Rapid KL tawar pas percuma dengan setiap pembelian Pas MyCity 3 Hari – tawaran sah hingga 28 Feb 2023

    Rapid KL sedang menawarkan kempen ‘Beli 1 Percuma 1’ bagi Pas MyCity 3 Hari, yang membolehkan pemegang kad ini menggunakan rangkaian rel dan bas kendalian syarikat ini untuk tiga hari dalam satu harga. Syarikat pengendali pengangkutan awam ini berkata ia adalah sebahagian daripada kempen ‘terima kasih’ untuk rakyat Malaysia yang membeli pas ini sejak 15 Januari lalu sehingga 28 Februari 2023.

    Apabila membeli Pas MyCity 3 Hari ini, anda perlu mengimbas kod QR yang tertera pada poster kempen ‘Terima Kasih’ di pejabat perkhidmatan pelanggan Rapid KL atau hab bas Rapid KL terpilih. Kemudian, ia akan menghubungkan ke aplikasi MyRapid Pulse, di mana anda perlu mengisi maklumat peribadi di laman kempen berkenaan.

    Sekiranya berjaya, anda akan menerima surat baucar untuk menebus Pas MyCity 3 hari secara percuma menerusi e-mel yang didaftar selepas tempoh kempen ini berakhir. Pas ini terhad untuk 2,023 pelanggan pertama sahaja. Selain itu, anda juga berpeluang memenangi cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik termasuk tiket Aurum Theatre.

    Untuk menebus pas MyCity 3 Hari secara percuma ini, anda perlu ke pejabat perkhidmatan pelanggan LRT KL Sentral dan mengemukakan salinan surat baucar, serta resit asal pembelian pas MyCity 3 Hari dan juga menunjukkan MyKad anda sebagai pengesahan. Tempoh penebusan bermula 4 hingga 31 Mac ini.

     
     
  • Kerajaan Selangor setuju tambah peruntukan RM21.1 juta bagi baikpulih di lokasi cerun runtuh Batang Kali

    Kerajaan Selangor setuju tambah peruntukan RM21.1 juta bagi baikpulih di lokasi cerun runtuh Batang Kali

    Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menambah peruntukan sejumlah RM21.1 juta bagi kerja-kerja baikpulih cerun yang runtuh di Batang Kali. Ia susulan laporan bencana alam tanah runtuh yang dibentangkan oleh Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN).

    Menurut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, penambahan peruntukan bagi baik pulih cerun terbabit adalah hasil cadangan yang dikemukakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), laporan Bernama. Tambah beliau, garis panduan berkaitan aktiviti komersil termasuk tapak perkhemahan akan diusaha sama antara kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk meningkatkan keselamatan warga Selangor yang menjalan aktiviti berkaitan.

    Pada awal pagi 16 Disember 2022, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita mengenai tragedi tanah runtuh di tiga tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang menyebabkan seramai 31 nyawa terkorban.

    Laluan berkenaan telah ditutup buat sementara waktu untuk operasi menyelamat. Namun ia kembali dibuka sejak 6 Januari 2023 dan hanya laluan sementara yang melibatkan satu lorong sahaja. Ia juga terhad kepada pekerja di kawasan Genting Highlands yang mempunyai surat pengesahan majikan selain kenderaan kelas 1 (motokar, teksi dan kenderaan pelbagai guna) serta kenderaan kelas 6 (motosikal dan skuter).

    Dalam masa yang sama, JKR turut menyarankan pengguna jalan raya untuk menggunakan laluan alternatif iaitu laluan Ulu Yam-Batu Caves dan laluan Kuala Lumpur-Ipoh bagi mengurangkan risiko kesesakan.

     
     
  • BYD Atto 3 – 100 unit pertama telah dihantar kepada pelanggan di M’sia; jarak gerak 480 km; dari RM150k

    BYD Atto 3 – 100 unit pertama telah dihantar kepada pelanggan di M’sia; jarak gerak 480 km; dari RM150k

    Penghantaran bagi model BYD Atto 3 telah pun bermula di Malaysia, dengan 100 unit pertama sudah pun diserahkan kepada pelanggan dalam majlis penyerahan yang berlangsung kelmarin. Penghantarannya tidak mengambil masa yang lama selepas crossover elektrik sepenuhnya ini dilancarkan pada Disember tahun lalu.

    Seperti yang kami laporkan sebelum ini, Atto 3 telah menerima sambutan yang menggalakkan di pasaran tempatan, dengan 1,000 tempahan diperoleh sejak dilancarkan. Dengan tempahan 100 unit pertama telah dipenuhi, ia mendorong pengedar rasminya di Malaysia, BYD SD Motors Malaysia, untuk membawa lebih banyak kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) ke sini dan difahamkan lebih 500 unit bakal tiba tidak lama lagi.

    Dua varian Atto 3 ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu Standard Range (SR) dengan bateri 49.92 kWh yang memberikan jarak perjalanan 410 km (NEDC, 345 km WLTP), dan Extended Range (ER) dengan bateri 60.48 kWh, dengan jarak 480 km (NEDC, 420 km WLTP). Varian SR ini dijual pada harga RM149,800 sementara varian ER pula pada harga RM167,800.

    Kedua-duanya menggunakan bateri Blade EV oleh BYD sendiri, yang disambung kepada sebuah motor elektrik di depan dengan janaan 204 PS/310 Nm. Atto 3 boleh dicas menggunakan pengecasan AC (Type 2) sehingga 7 kW dan juga pengecasan pantas DC (CCS2), dengan kadar maksimum antara 70 kW atau 80 kW, mengikut kapasiti baterinya. Dengan input lebih tinggi, kadar pengecasan 0-80% boleh dicapai dalam masa 45 minit.

    Ciri keselamatan standard yang diberikan termasuklah roda 18-inci, bumbung suria panoramik, kluster instrumen digital lima-inci, tempat duduk balutan kulit tiruan, tempat duduk hadapan larasan kuasa, kamera 360-darjah, pemantauan tekanan tayar, brek parkir elektronik dengan penahan auto, lampu utama LED, skrin sesentuh infotainmen 12.8-inci, pendingin hawa automatik, kad kunci NFC, dashcam binaan-dalam, lapan pembesar suara, tailgate elektronik, pencahayaan ambien pelbagai-warna, penapis udara PM2.5 dan pengecas tanpa wayar bagi telefon pintar.

    Bagi aspek keselamatan, Atto 3 ini diberikan tujuh beg udara, brek parkir elektrik, enam sensor parkir, sistem pengesan tekanan tayar, ABS dan kawalan kestabilan, sistem kawalan cengkaman, EBD, kawalan menuruni curam, kawalan melayar adaptif kelajuan penuh dengan Stop & Go, brek kecemasan autonomous (AEB), amaran perlanggaran belakang (RCW), pengesan titik buta (BSD), amaran buka pintu (DOW) dan amaran lintasan trafik di belakang.

    Atto 3 didatangkan dalam lima pilihan warna — Ski White, Boulder Grey, Forest Green, Parkour Red dan Surf Blue. Crossover ini didatangkan dengan jaminan selama enam tahun atau 150,000 km, dengan jaminan bateri pula selama lapan tahun atau 160,000 km.

    GALERI: BYD Atto 3 Extended Range di Malaysia

     
     
  • PLUS keluarkan jadual cadangan perjalanan bagi tempoh 19-29 Jan sempena Tahun Baharu Cina

    PLUS keluarkan jadual cadangan perjalanan bagi tempoh 19-29 Jan sempena Tahun Baharu Cina

    Seperti kelaziman setiap kali musim perayaan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut hujung minggu ini.

    “Cadangan tersebut adalah berdasarkan analisa PLUS tentang data corak perjalanan pengguna Lebuhraya Utara-Selatan pada musim-musim perayaan yang lalu. Oleh yang demikian, TTA pada kali ini turut berperanan untuk mengelakkan kenderaan ke pelbagai destinasi bertemu di lokasi-lokasi ‘hot spot’ tertentu di lebuh raya dan terperangkap di dalam kesesakan,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

    TTA yang dikeluarkan itu mencadangkan agar pengguna Lebuhraya Utara-Selatan dari Lembah Klang yang menghala ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor di antara 19 hingga 22 Januari ini dinasihatkan supaya mula memasuki Lebuhraya Utara-Selatan sebelum jam 9 pagi untuk mengelakkan mereka daripada bertembung dengan perjalanan pengguna yang menghala ke destinasi yang lebih dekat pada cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang akan datang.

    Manakala pengguna yang menghala ke destinasi-destinasi lain yang lebih hampir dengan Lembah Klang dinasihatkan mula memasuki Lebuhraya Utara-Selatan di antara jam 12 tengah hari hingga 4 petang.

    PLUS keluarkan jadual cadangan perjalanan bagi tempoh 19-29 Jan sempena Tahun Baharu Cina

    Menurut Zakaria, saranan tersebut diberikan berikutan jangkaan sebanyak dua juta kenderaan sehari bakal menggunakan lebuh raya pada setiap hari puncak pada musim perayaan yang akan datang.

    “TTA merupakan salah satu daripada strategi pengagihan trafik yang digunakan oleh PLUS pada musim perayaan bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selamat dan lebih selesa. Namun begitu, kelancaran perjalanan trafik turut bergantung kepada kejadian-kejadian luar jangka seperti kemalangan dan sebagainya yang boleh mengganggu perjalanan di lebuh raya.

    “Oleh itu, kami menggesa orang ramai supaya menyusun jadual perjalanan mereka berdasarkan TTA yang dikeluarkan bukan sahaja bagi perjalanan untuk keluar dari Lembah Klang sebelum cuti Tahun Baharu Cina, tetapi juga bagi perjalanan mereka pulang ke Lembah Klang selepas bercuti,” jelas Datuk Zakaria.

    Dalam masa yang sama, pengguna RFID pula dinasihatkan supaya memastikan baki e-Wallet yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan di lebuh raya. “Pastikan anda masuk dan keluar dari plaza tol menggunakan mod pembayaran yang sama, iaitu jika masuk dari plaza tol menggunakan lorong RFID, anda juga mestilah keluar menggunakan lorong RFID,”tambahnya.

     
     
  • Toyota GR Yaris Sebastien Ogier & Kalle Rovanpera Edition didedahkan di Tokyo Auto Salon 2023

    Toyota GR Yaris Sebastien Ogier & Kalle Rovanpera Edition didedahkan di Tokyo Auto Salon 2023

    Toyota pernah menghasilkan Celica GT-Four Carlos Sainz Edition pada 1991 bagi meraikan kemenangan pemandu pasukan rali dunia Toyota dari Sepanyol berkenaan merangkul gelaran juara WRC pada 1990. Ya, Toyota dah buat dulu sebelum Subaru menghasilkan model Impreza Series McRae dan Impreza RB320 (Richard Burns) serta Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinnen Edition.

    Sekali lagi, sempena meraikan gelaran juara WRC yang dirangkul oleh Sebastien Ogier (2020,2021) dan Kalle Rovanpera (2022) dengan pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT), Toyota telahpun memperkenalkan model edisi terhad GR Yaris Sebastien Ogier Edition dan Kalle Rovanpera Edition ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2023 minggu lalu.

    Kedua-dua model ini walau bagaimanapun masih diperingkat konsep, dan harga, jumlah unit yang akan dihasilkan serta spesifikasi akhirnya nanti akan diumum ketika model produksi sebenarnya didedahkan kelak. Kedua-duanya juga diasaskan dari varian tertinggi GR Yaris pasaran Jepun iaitu GR Yaris RZ High-Performance.

    Toyota GR Yaris Sebastien Ogier & Kalle Rovanpera Edition didedahkan di Tokyo Auto Salon 2023

    Namun kedua-dua model edisi terhad ini menampilkan rupa luaran yang berbeza antara satu sama lain. Bagi Seb Ogier Edition, ia menerima rupa lebih matang dengan menampilkan warna badan kelabu matte, spoiler belakang lebih besar, pelekat badan berwarna hitam pada pintu, bendera Perancis pada rim aloi forged dalam kemasan hitam berkilat, dan angkup brek GR dalam kemasan biru.

    Manakala untuk juara WRC paling muda dalam sejarah, GR Yaris Kalle Rovanpera Edition menampilkan rupa yang lebih agresif dengan dipadankan spoiler belakang ‘leher angsa’ serta splitter pada bampar hadapan yang sama seperti model edisi terhad GRMN Yaris serta grafik badan merah-putih-hitam yang lebih menyerlah.

    Pada bahagian dalaman, kedua-duanya diberikan serlahan warna bendera negara asal pemandu-pemandu berkenaan; Biru, putih, merah untuk Ogier dari Perancis serta biru dan perak untuk Rovanpera yang berasal dari Finland. Plat nombor produksi unik turut akan diberikan, bersama suis pilihan mod sistem pacuan semua roda GR-Four rekaan baharu.

    Toyota GR Yaris Sebastien Ogier & Kalle Rovanpera Edition didedahkan di Tokyo Auto Salon 2023

    Kedua-dua model istimewa ini masih dijana oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo berkuasa 272 PS pada takat 6,500 rpm. Namun ia diberikan talaan tingkat taraf prestasi Kinto yang memberikan tork maksima 390 Nm bermula 3,000 hingga 4,600 rpm, atau 20 Nm lebih besar dari model standard.

    Ia juga menerima mod baharu pada sistem AWD GR-Four yang diberikan talaan unik dari Sebastien Ogier dan Kalle Rovanpera sendiri pada edisi khas masing-masing.

     
     
  • Toyota OutRun 2023 terima lebih 4,300 penyertaan – kutipan dana RM170k untuk Persatuan Kanser M’sia

    Toyota OutRun 2023 terima lebih 4,300 penyertaan – kutipan dana RM170k untuk Persatuan Kanser M’sia

    Selepas tidak diadakan selama tiga tahun, UMW Toyota Motor kembali dengan penganjuran acara larian Toyota OutRun 2023 pada Ahad lalu, 15 Januari yang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Ia melibatkan dua kategori iaitu perlumbaan kompetitif 10 km dan 5 km fun run.

    Untuk penganjuran kali kedua ini, seramai lebih 4,300 peserta telah mengambil bahagian. Dengan tema All for One, Run for All, penganjuran acara larian kali ini adalah bagi mengutip dana untuk Persatuan Kanser Kebangsaan.

    Susulan kejayaan penganjuran Toyota OutRun 2023, Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. berkata, “Kami gembira melihat sambutan dan penyertaan yang menggalakkan untuk Toyota OutRun kedua kami, yang dianjurkan pada skala yang lebih besar berikutan kejayaan acara pertama pada 2019.

    “Sebagai sebahagian daripada komitmen CSR, kami telah bekerjasama dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) untuk inisiatif tahun ini, di mana 100% daripada hasil pendaftaran bernilai
    kira-kira RM170,000, akan disumbangkan kepada mereka”.

    Selain acara larian, beberapa aktiviti lain turut diadakan termasuklah persembahan dari artis jemputan, De Fam dan kemunculan istimewa duta Toyota Yaris, Janna Nick.

     
     
  • Mazda MX-30 R-EV 2023 didedahkan – enjin Wankel Rotary kembali diproduksi untuk sistem hibrid plug-in

    Mazda MX-30 R-EV 2023 didedahkan – enjin Wankel Rotary kembali diproduksi untuk sistem hibrid plug-in

    Akhirnya, Mazda sudahpun mendedahkan model produksi sebenar yang menggunakan kembali enjin rotary di Brussels Motor Show tahun ini – memperkenalkan Mazda MX-30 R-EV 2023! Walau bagaimanapun, tugas untuk enjin rotary pada MX-30 ini bukanlah seperti pada kereta sport Mazda RX-7 terdahulu, sebaliknya ia berfungsi sebagai enjin penambah jarak dengan unit rangkaian kuasa yang dikenali sebagai e-Skyactiv R-EV.

    Dalam kata mudah, enjin rotary pada crossover ini berfungsi hanya untuk mengecas bateri bateri lithium-ion seperti “generator pasar malam”, sementara roda digerakkan sepenuhnya oleh motor elektrik. Oleh itu, MX-30 R-EV ini dibekalkan dengan enjin Wankel Rotary yang dikenali dengan kod 8C, berkapasiti 830 cc dan mampu menghasilkan 75 PS (74 hp atau 55 kW) tork maksima 116 Nm.

    Ia merupakan enjin rotary Mazda generasi baharu dan menggunakan sistem suntikan bahan api terus dan juga perumah rotor yang diperbuat dari aluminium, serta liang kemasukan dan port ekzos seperti enjin 13B Renesis pada Mazda RX-8 masih dikekalkan. Risau dengan masalah apex seal yang selalu ‘bocor’? Enjin 8C ini menerima apex seal yang lebih tebal dengan ukuran 2.5 mm.

    Enjin rotary ini masih diletakkan pada bahagian hadapan, sementara bateri lithium-ion dengan kapasti 17.8 kWj diletakkan pada bahagian bawah lantai. Manakala motor elektrik yang memacu roda hadapan pula mampu menghasilkan 170 PS (168 hp atau 125 kW) dan tork maksima 260 Nm – lebih berkuasa tetapi kurang tork berbanding MX-30 EV dengan motor 145 PS (143 hp atau 107 kW) dan 271 Nm.

    Dengan enjin rotary berada di hadapan, versi R-EV ini adalah 130 kg lebih berat dari versi EV pada 1,778 kg. Namun ia masih bolehkan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.1 saat berbanding 9.7 saat untuk model EV, dengan kelajuan maksima masih dihadkan pada 140 km/j.

    Kapasiti bateri lithium-ion yang dibekalkan tersebut juga hanya separuh dari kapasiti bateri MX-30 EV. Ini membolehkan ia menggerakkan crossover tersebut dalam jarak 85 km (110 untuk pemanduan dalam bandar) menurut standard WLTP.

    Mazda MX-30 R-EV 2023 didedahkan – enjin Wankel Rotary kembali diproduksi untuk sistem hibrid plug-in

    Namun itu merupakan jarak tanpa enjin rotary dihidupkan. MX-30 R-EV ini dibekalkan dengan tangki petrol dengan kapasiti 50 liter, dan enjin rotary tersebut menggunakan 1 liter petrol untuk jarak 100 km. Namun Mazda belum mengeluarkan angka rasmi jarak gerak gabungan bagi model ini.

    Sistem hibrid sesiri pada model ini juga mempunyai sokongan sistem pengecas plug-in (PHEV). Bateri hibrid tersebut boleh dipenuhkan dalam masa 50 minit menggunakan sistem AC 11.kW (1.5 jam dengan 7.2 kW). Ia juga menyokong pengecas pantas DC sehingga 36 kW bagi membolehkan kadar cas dipenuhkan 20-80% dalam masa 25 minit. Ia turut boleh berfungsi sebagai “powerbank” dengan port kuasa yang membekalkan 1,500 watt untuk menghidupkan pelbagai peralatan elektrik.

    Tiga mod pemanduan ditawarkan pada MX-30 R-EV ini Normal, EV dan Charge. Dalam mod Normal, ia akan memberikan operasi seakan EV biasa, tetapi akan menghidupkan enjin rotary ketika memecut.

    Mod EV pula akan menggunakan kuasa elektrik dari bateri sepenuhnya dan hanya akan menghidupkan enjin sekiranya cas hampir habis. Manakala dalam mod Charge, enjin akan dihidupkan untuk mengecas dan mengekalkan kadar cas bateri tersebut pada tahap yang pemandu tetapkan.

    Dari segi rupa, model R-EV ini nampak seiras dengan MX-30 EV. Perbezaan yang dapat dilihat adalah dari segi rekaan rim, serta ia diberikan logo tiga segi sebagai simbol untuk enjin Wankel Rotary.

    Ia juga ditawarkan dalam versi ‘Edition R’, yang menampilkan warna badan hitam bersama serlahan warna bumbung seakan Mazda R360 Coupe (kereta penumpang pertama Mazda) digandingkan dengan kemasan dalaman Maroon Rouge Metallic. Logo-logo rotor turut diberikan pada karpet kaki serta perehat kepala tempat duduk.

     
     
  • Karamjit Singh: Rali adalah hidup saya, hanya akan berhenti berlumba bila sudah tidak boleh menang

    Karamjit Singh: Rali adalah hidup saya, hanya akan berhenti berlumba bila sudah tidak boleh menang

    Tanggal 29 Januari 2023, genap 60 tahun umur legenda sukan rali tempatan, Karamjit Singh. Dalam usia yang kebanyakkan orang menganggapnya sebagai ‘umur emas’, Karamjit masih berlumba dan sentiasa mencari jalan untuk mendapatkan penaja bagi membolehkan dia terus beraksi dalam laluan Super Stage perlumbaan rali.

    Ini menyebabkan ada suara-suara yang mengatakan Karamjit perlu bersara, dan memberi peluang pada muka-muka baharu. Namun hakikatnya, Karamjit masih lagi pantas. Oktober tahun lalu Karam ke Indonesia bagi menyertai pusingan keempat Kejurnas Rally Sprint Indonesia pusingan ketiga dan keempat Kejurnas Rally Indonesia yang berlangsung Sirkuit Suwarnadwipa Nusantara, Muara Bungo, Jambi.

    Karamjit menang besar dalam perlumbaan berkenaan. Dia muncul juara untuk kelas M3 dan kelima secara keseluruhan dalam Rally Sprint, juara kelas M3 dan kelima keseluruhan dalam Kejurnas Rally pusingan ketiga, serta juara kelas M3 dan keempat secara keseluruhan dalam Kejurnas Rally pusingan keempat!

    Karamjit Singh: Rali adalah hidup saya, hanya akan berhenti berlumba bila sudah tidak boleh menang

    Di Malaysia, Karamjit baru sahaja dinobatkan sebagai juara Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) 2022, membuktikan dia masih bertahan sebagai pemandu rali paling laju dalam negara buat masa sekarang.

    Dan kesemua pencapaian ini dicapai dengan sebuah kereta lama iaitu Proton Gen2 Turbo 4WD yang berusia 15 tahun dan jauh ketinggalan dari jentera-jentera rali moden buat masa sekarang. Bayangkan sekiranya Karamjit diberikan jentera terkini dalam spesifikasi Rally2/R5 atau AP4.

    “Perlumbaan rali telah menjadi minat saya selama lebih 35 tahun. Dalam tempoh berkenaan, saya sentiasa melakukan yang terbaik kearah mencapai kejayaan untuk negara dan pasukan saya. Sekarang pada umur 60 tahun, apabila orang bertanya bila saya akan bersara, dengan mudah saya mengatakan saya akan bersara apabila saya dah tak boleh menang,” kata Karamjit Singh dalam kenyataan selepas menerima trofi MNRC 2022 di Hotel Sama-Sama, Sepang semalam.

    Karamjit Singh: Rali adalah hidup saya, hanya akan berhenti berlumba bila sudah tidak boleh menang

    “Perlumbaan rali ialah hidup saya. Ia adalah tempat di mana saya boleh memaksimakan bakat dan kepakaran saya. Ada masa-masa sukar yang perlu ditempuhi, tetapi tanpa rendah, kita tidak akan merasa tinggi. Apa yang terus memacu saya adalah sokongan peminat di Malaysia yang menyapa saya di mana sahaja. Saya tahu saya sedang buat sesuatu yang betul,” tambahnya lagi.

    Bukan hanya Karamjit seorang sahaja pelumba veteran yang masih bertanding secara kompetitif dalam usia sedemikian. Juara WRC dua kali Carlos Sainz misalnya, juga menyambut hari jadi yang ke-60 tahun ini tetapi masih berlumba dalam rali paling lasak di dunia iaitu Rali Dakar.

    Untuk tahun ini, Karamjit masih bersama dengan pasukan Cisco Racing yang telah diwujudkan bersama Rabin Nijhar pada 2021, dan terus berganding dengan juruarahnya, Jagdev Singh. Gandingan berkenaan merancang untuk bertanding dalam musim penuh MNRC 2023 bermula Jun ini, serta merancang untuk menyertai rali-rali diperingkat antarabangsa.

    Karamjit Singh: Rali adalah hidup saya, hanya akan berhenti berlumba bila sudah tidak boleh menang

    Antara rali di luar negara yang dirancang adalah untuk menyertai pusingan di Kejurnas Rali dan Rali Sprint di Indonesia, pusingan untuk APRC 2023 dan juga satu rali di India.

    Cisco Racing juga bercadang untuk menyewakan Proton Gen2 yang dipandu oleh Karamjit kepada pelumba rali dari luar negara sekiranya mereka mahu untuk menyertai mana-mana pusingan MNRC 2023 di sini. Sementara untuk Karamjit, pasukan berkenaan bercadang untuk membangunkan satu jentera baru khas untuk MNRC yang diasaskan dari kerangka Perodua Myvi generasi ketiga.

    Myvi berkenaan dirancang untuk disumbatkan dengan enjin 2.0 liter turbo bersama sistem pacuan semua roda; butirannya boleh anda baca pada PAUTAN INI. Sementera untuk rali antarabangsa, Cisco Racing bercadang untuk menggunakan jentera dari Skoda yang tidak berada disini bagi menjimatkan kos seperti kos pengangkutan dan sebagainya.

     
     
  • Toyota Mirai terawal di M’sia — 4 unit FCEV ini untuk SEDC Energy, satu lagi untuk Ketua Menteri Sarawak

    Toyota Mirai terawal di M’sia — 4 unit FCEV ini untuk SEDC Energy, satu lagi untuk Ketua Menteri Sarawak

    Akhirnya, empat unit model kereta dengan teknologi hydrogen fuel cell (FCEV), Toyota Mirai generasi kedua yang terawal di Malaysia kini telah diserahkan kepada SEDC Energy di Sarawak, bersama dengan serahan sebuah lagi Mirai kepada Ketua Menteri Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

    Ini adalah susulan kepada sebuah kereta dari model sama yang pernah dilihat di Kuching sebelum ini, dan khabar angin tentangnya untuk tiba di Malaysia dengan sendirinya disahkan, dan Sarawak menjadi yang pertama menerima unit terawal tersebut.

    Toyota Mirai menggunakan hydrogen fuel cell yang mempunyai jarak perjalanan sama seperti kereta biasa dan boleh diisi semula dalam masa hanya lima minit, dilihat mempunyai potensi besar sebagai kenderaan mesra alam yang mensisakan hanya air dalam operasinya.

    Toyota Mirai terawal di M’sia — 4 unit FCEV ini untuk SEDC Energy, satu lagi untuk Ketua Menteri Sarawak

    Ini juga adalah selari dengan usaha SEDC Energy dalam perancangan Hydrogen Economy and Electric Mobility untuk Sarawak, yang ingin dijadikan jalan rintis untuk berdepan dengan perubahan iklim. Ini merupakan satu daripada langkah untuk mewujudkan kesedaran awam terhadap banyak lagi penyelesaian yang ada dalam mobiliti.

    Untuk Toyota pula, dalam merancakkan lagi penerimaan kenderaan dengan elektrifikasi, syarikat itu telah melabur dalam melakukan R&D untuk mengkomersialkan kenderaan hydrogen fuel cell. Dengan penyerahan ini, UMW Toyota Motor dan SEDC Energy akan memanfaatkannya untuk menilai potensi teknologi berkenaan sebagai jalan untuk membangunkan ekonomi rendah karbon melalui sistem fuel cell dalam kenderaan dan mobiliti.

    UMW Toyota juga sangat menghargai usaha Sarawak Economic Development Corporation (SDEC) melalui anak syarikat milik penuhnya, SEDC Energy untuk melaksanakan aspirasi kerajaan Sarawak dalam menjadi pelopor tenaga hijau di negara ini.

     
     
  • Mazda MX-30 2023 – unit spesifikasi tempatan pertama tiba di M’sia – 145 PS, jarak gerak 199 km; RM199k

    Mazda MX-30 2023 – unit spesifikasi tempatan pertama tiba di M’sia – 145 PS, jarak gerak 199 km; RM199k

    Unit Spesifikasi tempatan pertama bagi Mazda MX-30 telah pun tiba di Malaysia, selepas beberapa bulan kenderaan elektrik (EV) ini dilancarkan pada Jun tahun lalu. Foto yang terpapar di sini merupakan varian tertinggi MX-30 EV High, yang ditawarkan pada harga atas jalan RM198,780 tanpa insurans, dan merupakan antara satu daripada dua varian yang ditawarkan – satu lagi ialah MX-30 EV Mid.

    Kuasa disalurkan dari bateri lithium-ion 355-voltan yang diletakkan di bawah lantai kenderaan dengan kapasiti tenaga mencecah 35.5 kWh, yang mampu memberikan jarak gerak hingga 199 km dalam pengecasan tunggal mengikut standard NEDC.

    Ia menjanakan kuasa kepada motor elektrik pemasangan hadapan dengan hamburan 145 PS (143 hp atau 107 kW) dan tork 271 Nm, membolehkan pecutan dari 0-100 km/j dalam 9.7 saat dan kelajuan maksimum cecxah 140 km/j. Untuk pengecasannya, MX-30 menerima AC input (Type 2) pada 6.6 kW, dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar lima jam jika menggunakan wallbox.

    Jika menggunakan palam pencucuh kuasa biasa dan pada kadar maksimum 3 kW, ia mengambil masa sekitar 12 jam untuk pengecasan penuh. Sebagai alternatif, terdapat juga pengecas pantas DC dengan soket CCS2, yang boleh menaikkan kadar bateri dari kosong ke 80% dalam masa 36 minit menggunakan input 40 kW.

    Mazda MX-30 2023 – unit spesifikasi tempatan pertama tiba di M’sia – 145 PS, jarak gerak 199 km; RM199k

    Antara kelengkapan standard luaran termasuklah lampu utama LED, DRL LED, lampu belakang kombinasi LED Signature di belakang serta lampu kabus dan lampu undur LED. Turut disediakan ialah sensor pengilap cermin dan sistem tanpa kunci, serta empat sensor parkir di depan dan enam di belakang. Kedua-dua varian menggunakan rim 18-inci dengan tayar 215/55.

    Di dalamnya, ia diberikan sistem infotainmen skrin sesentuh 8.8-inci (dengan Android Auto dan Apple CarPlay) berserta dengan paparan skrin sesentuh tujuh-inci untuk kawalan suhu – yang pertama ditawarkan oleh jenama ini. Manakala skrin ketiga pula merupakan paparan pelbagai-inco TFT LCD tujh-inci yang terletak di hadapan pemandu. Selain itu, ia turut diberikan kawalan suhu dwi-zon, brek parkir elektronik, pencahayaan dalaman LED, pedal penukar gear, paparan utama yang dipantul ke cermin hadapan serta roda stereng dan tombol gear balutan kulit.

    Untuk MX-30 EV mid pula menerima sistem audio lapan-pembesar suara, kerusi balutan fabrik, kerusi depan larasan enam-hala dan kamera undur. Varian High pula ada 12-pembesar suara dengan sistem bunyi Bose. Selain itu, varian lebih tinggi itu juga diberikan kerusi balutan kombinasi fabrik dan kulit dengan larasan lumbar dua-hala, dua momori untuk kedudukan kerusi serta fungsi pemanas. Kamera undur untuk varian ini pula memaparkan tinjauan 360-darjah, serta ada bumbung suria larasan elektrik.

    Mazda MX-30 2023 – unit spesifikasi tempatan pertama tiba di M’sia – 145 PS, jarak gerak 199 km; RM199k

    Untuk sistem keselamatan, ia dilengkapi dengan tujuh beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, Dynamic Stability Control, Traction Control dan ISOFIX. Bagi sistem bantuan pemandu, kereta ini dilengkapi dengan i-Activesense yang terdiri daripada AEB, fungsi Start/Go dengan kawalan melayar adaptif Mazda, penggera perhatian pemandu, peninjau titik buta, penggera lintasan trafik di belakang, sistem bantuan mengekalkan lorong, amaran penukaran lorong — semuanya standard untuk kedua-dua varian.

    Varian Mid datang dengan lampu depan adaptif (AFS) dan kawalan lampu tinggi, sementara varian High menerima lampu utama LED adaptif (ALH), amaran lintasan trafik depan serta sokongan melayar dan trafik (CTS).

    Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Polymetal Gray dan Machine Gray, serta pilihan dua-tona warna Jet Black Mica (dengan tiang warna perak), Zircon Sand (dengan bumbung hitam) dan Soul Red Crystal (dengan bumbung hitam). Mazda MX-30 datang dengan jaminan lima-tahun atau 100,000 km, yang mana dulu dan bateri pula dengan jaminan lapan-tahun atau 160,000 km.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025