Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Program PJ Car Free Day pada 6 November 2022 – jalan ditutup dari jam 6 pagi hingga 2 petang

    Program PJ Car Free Day bakal berlangsung pada Ahad ini, 6 Npvember 2022, di Laman MBPJ, Seksyen 52. Ini bermakna terdapat beberapa jalan di sekitar bandaraya PJ akan ditutup, untuk menjayakan acara ini, di mana orang awam boleh melakukan pelbagai aktiviti di atas jalan raya tanpa sebarang kerisauan.

    Acara berkenaan akan berlangsung dari jam 6 pagi hingga tengahari. Tetapi penutupan jalan akan dilaksanakan dari jam 6 pagi hingga 2 petang. Jalan Yong Shook Lin akan ditutup sepenuhnya dari laluan trafik sepanjang tempoh itu.

    Salah satu aktiviti yang bakal berlangsung sepanjang PJ Car Free Day ialah DASH Hero Run, acara larian dan beberapa jalan akan ditutup iaitu Jalan Selangor – Jalan Penchala – Bulatan Penchala, Jalan Padang 4/48 – Bulatan Assunta Jalan Selangor, dan Bulatan Selangor.

    PJ Car Free Day diilhamkan dari KL Car Free Morning yang dilangsungkan di pusat bandar Kuala Lumpur. Tetapi acara di KL hanya terhad untuk larian, berbasikal dan skating. Bagi versi PJ pula, lebih banyak acara dianjurkan. Selain DASH Hero Run, antara acara menarik yang boleh disertai ialah fun fair, pertandingan permainan tradisional (congkak, batu seremban, boling kelapa dan banyak lagi), busking, pemeriksaaan kesihatan secara percma dan macam-macam lagi.

     
     
  • Volvo XC90 2023 di Malaysia ditawarkan dalam dua varian Ultimate – B5 pada RM417k, T8 PHEV RM433k

    Volvo XC90 2023 di Malaysia ditawarkan dalam dua varian Ultimate – B5 pada RM417k, T8 PHEV RM433k

    Sama seperti V60 dan XC40, Volvo XC90 pasaran Malaysia juga diperbaharui, dengan model tahun 2023 kini cuma ditawarkan dalam versi Ultimate. Ada dua varian yang disediakan, iaitu B5 Ultimate pada harga RM416,888, dan Recharge T8 Ultimate pada RM432,888 – peningkatan RM4,000 berbanding XC90 B5 Inscription Plus dan Recharge T8 Inscription Plus sebelum ini.

    Bagi XC90 Recharge T8 Ultimate, penggerak plug-in hybrid (PHEV) pada model ini yang terdiri daripada gabungan enjin petrol empat silinder 2.0L turbo berkuasa 317 PS/400 Nm dan motor elektrik 145 PS/309 Nm kini mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 462 PS dan 709 Nm.

    Ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan untuk menghantar kuasa kepada roda hadapan, manakala roda belakang mendapat kuasa daripada motor elektrik, menjadikannya tetapan pacuan semua roda. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 5.3 saat sementara penggunaan bahan api pula boleh menjadi serendah 1.8 l/100 km.

    Dengan kuasa elektrik sahaja, bateri 18.8 kWh pada XC90 Recharge T8 Ultimate boleh memberikan jarak gerak 77 km, dan ini menunjukkan peningkatan berbanding 50 km (bateri 11.6 kWh) yang dicatat model sebelumnya. Masa lima jam diperlukan untuk mengecas penuh baterinya menggunakan pengecas AC 3.7 kW (Type 2), sementara apabila menggunakan soket domestik ia mengambil masa 13 jam.

    Varian asas B5 Ultimate pula digerakkan oleh enjin petrol empat silinder 2.0L turbo yang menyampaikan kuasa kepada semua roda melalui transmisi automatik lapan kelajuan. Turut membantu adalah sistem hibrid ringkas dengan integrated starter generator (ISG) 14PS/40 Nm yang terletak di antara transmisi dan enjin.

    Secara keseluruhannya, varian ini boleh menghasilkan kuasa 263 PS pada 6,000 rpm dan 390 Nm dari 1,800 hingga 4,800 rpm, sekaligus melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat dan memberikan catatan penggunaan bahan api 8.2 l/100 km. Laju maksimum kedua-dua varian baru XC90 ini dihadkan pada 180 km/j.

    Volvo XC90 2023 di Malaysia ditawarkan dalam dua varian Ultimate – B5 pada RM417k, T8 PHEV RM433k

    Melihat kepada perubahan kelengkapan XC90 2023 ini, dua varian yang ditawarkan dapat dibezakan dengan lebih mudah kerana rekaan rim 20 inci lima cabang padanya adalah berlainan. Varian sebelum ini menggunakan rim 20 inci 10 cabang yang sama.

    Kemudiannya bagi kemasan dalam, terdapat tiga kombinasi iaitu kulit Nappa Charcoal/Grey Ash (RC00), kulit Maroon Brown Moritz/Linear Lime (RA30) dan kulit Nappa Maroon Brown/Black Ash (RC30). Kedua-dua kemasan RC00 dan RC30 diawarkan untuk warna badan Denim Blue, Crystal White dan Bright Dusk, sementara RA30 pula cuma disediakan untuk warna badan Onyx Black (juga boleh didapati dengan RC00).

    XC90 2023 pasaran Malaysia juga menerima sistem infotainmen berasaskan Android Automotive OS, yang disambungkan kepada sistem bunyi Bowers & Wilkins 19 pembesar suara, serta skrin sesentuh sembilan inci menegak di tengah papan pemuka. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, sistem infotainmen baru ini boleh digunakan dengan servis dalaman Google dan memerlukan langganan berupa Digital Service Package (DSP), yang dimasukkan sekali dalam harga kereta untuk tempoh selama empat tahun, sebelum memerlukan pembaharuan.

    Selain daripada perubahan yang dinyatakan, senarai kelengkapan varian pengganti baru ini masih sama seperti Inscription Plus sebelum ini, termasuk pendingin hawa empat zon, bumbung panoramik, tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi memori, head-up display serta Active Chassis dengan suspensi udara.

    Bagi sistem bantuan pemandu dan keselamatan, ia dilengkapi City Safety (Autonomous Emergency Braking dengan sokongan stereng), Lane Keeping Aid, Run-off Road Mitigation dengan pengesan pinggir jalan, Oncoming Lane Mitigation, Blind Spot Monitoring dengan Steer Assist, Cross Traffic Alert dengan brek automatik, Run-off Road Protection, Pilot Assist dan Adaptive Cruise Control – semuanya didatangkan standard.

    XC90 2023 disediakan dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan, sementara bagi varian Recharge T8 Ultimate ia datang dengan jaminan bateri PHEV selama lapan tahun, 160,000 km.

     
     
  • Jualan tahunan Proton pada Okt 2022 cecah 115,366 unit, lebih tinggi dari angka tahunan keseluruhan 2022

    Jualan tahunan Proton pada Okt 2022 cecah 115,366 unit, lebih tinggi dari angka tahunan keseluruhan 2022

    Proton mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 13,013 unit (domestik + eksport) sepanjang bulan Oktober 2022, menjadikan jualan kumulatif tahunannya kini sudahpun mencecah sebanyak 115,366 unit. Ini bermakna angka jualan tersebut sudah pun mengatasi jumlah jualan keseluruhan sepanjang tahun lalu sebanyak 114,708 unit dengan berbaki lagi dua bulan untuk melengkapkan tahun ini.

    Menurut Proton, ini merupakan rekod jualan tahunan terbaik pernah dicatatkannya sejak 2014, dan dengan angka berkenaan juga jumlah jualan kumulatif syarikat tersebut dari Januari hingga Oktober meningkat sebanyak 33.10% berbanding tempoh sama pada 2021.

    Walau bagaimanapun, Proton masih menduduki tempat kedua bagi bulan Oktober dalam pasaran dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 21.1%, manakala angka pegangan pasaran dari Januari hingga Oktober telah merosot sedikit kepada 19.9%. Keseluruhan Jumlah Volum Industri (TIV) untuk Oktober dianggarkan melebihi 60,000 unit untuk bulan ketiga berturut-turut dan pasaran automotif Malaysia dilihat bakal memecahkan satu lagi rekod jumlah jualan tahun ini.

    Untuk pecahan model, Saga masih kekal sebagai model Proton paling laris. Sebanyak 5,262 unit sedan segmen-A berkenaan telah diserahkan kepada pelanggan sepanjang Oktober, menjadikan jumlah jualan kumulatifnya kini mencapai 45,965 unit tahun ini. Angka ini juga menunjukkan peningkatan jualan sebanyak 42% berbanding tahun sebelumnya, dan Proton mendakwa ia bukti bahawa model kemaskini Saga yang dilancarkan pada 12 Mei lalu adalah lebih popular berbanding model sebelumnya.

    Seperti biasa juga, model-model SUV antara yang banyak memberikan hasil jualan buat Proton. Sepanjang bulan lalu sebanyak 3,602 unit X50 telah diserahkan kepada pelanggan, menjadikan jumlah jualan setakat ini mencapai 33,193 unit. Proton menyatakan bahawa ini membolehkan X50 menjadi SUV segmen-B paling laris dan juga SUV paling laris di Malaysia secara keseluruhan.

    Manakala Proton X70 pula mencatatkan jualan sebanyak 1,391 unit bulan lalu. Ini membolehkan X70 mencapai jualan 15,536 unit dari Januari hingga Oktober 2022 dan kini berada di tangga kedua sebagai SUV segmen-C paling laris di Malaysia. Ini bermakna Proton telah menjual hampir 50,000 unit SUV tahun ini dengan jumlah jualan keseluruhan X50 dan X70 mencapai 48,729 unit untuk 2022.

    Kembar segmen-B sedan Persona dan hatchback Iriz pula dijual masing-masing sebanyak 1,697 unit dan 661 unit bulan lalu, dan mencatatkan jumlah jualan tahunan setakat ini masing-masing 12,484 unit dan 4,780 unit. Satu-satunya MPV dari Proton iaitu Exora berjaya dijual sebanyak 400 unit bulan lalu, dan kekal sebagai MPV segmen-C paling laris dengan jualan terkumpul tahunan kini mencapai 3,508 unit.

     
     
  • EMOS tawar khidmat tunda motosikal Kawasaki 24/7

    EMOS tawar khidmat tunda motosikal Kawasaki 24/7

    Bagi memberikan lebih kemudahan kepada pengguna, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) kini menyediakan khidmat bantuan tunda bagi motosikal jenama Kawasaki dan rebadge dari jenama Jepun itu, bermula dari 1 November 2022.

    Khidmat ini disediakan bagi motosikal jenama Kawasaki dan rebadge (Kawasaki) yang dikilangkan pada tahun 2022, dan didaftarkan bermula dari 1 Ogos 2022. Kemudiannya, khidmat ini juga sah dalam tempoh setahun selepas tarikh motosikal didaftarkan.

    Melalui khidmat ini, pemilik akan dapat menikmati tunda percuma, tidak kira sama ada disebabkan kemalangan atau kerosakan mekanikal sejauh 100 km pergi dan balik di seluruh Malaysia, termasuklah bandar-bandar utama di Sabah dan Sarawak.

    EMOS tawar khidmat tunda motosikal Kawasaki 24/7

    Sekiranya perjalanan melibatkan jarak lebih dari 100 km, pemilik bagaimanapun perlu membayar tambahan sebanyak RM2 bagi setiap kilometer. Bagi setiap pemilik, mereka layak untuk menerima empat kali khidmat tunda percuma dalam masa setahun.

    Pemilik yang memerlukan khidmat bantuan ini boleh menghubungi talian bebas tol 24 jam Kawasaki Roadside Assistance 24/7 di 1-800-88-0008 dan untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman sesawang rasmi Kawasaki di www.kawasaki.com.my atau Kawasaki WhatsApp Careline 0195708135.

     
     
  • Honda WR-V – lawan Perodua Ativa mula produksi di Indonesia pada Dis 2022, eksport bermula 2023

    Honda WR-V – lawan Perodua Ativa mula produksi di Indonesia pada Dis 2022, eksport bermula 2023

    Semalam SUV kompak dari Honda iaitu WR-V telah pun membuat kemunculan sulung peringkat globalnya di Indonesia, dan ia akan diproduksi di negara berkenaan kemudian turut dieksport keluar. Menurut pengarah jualan dan pemasaran Honda Prospect Motor, Yusak Billy dalam laporan akhbar Kompas, produksi WR-V akan bermula pada bulan Disember 2022 dengan kumpulan pertama akan dihasilkan sebanyak 1,700 unit.

    Beliau turut menambah bahawa pasaran-pasaran eksport yang akan menerima WR-V dari Indonesia ini bakal diumumkan kemudian, manakala fasiliti produksi mereka mampu menghasilkan sebanyak 6,000 unit SUV berkenaan setahun, bergantung kepada permintaan dan juga bekalan komponen termasuk cip semikoduktor.

    Honda WR-V merupakan SUV segmen-B yang lebih kecil dari HR-V, disasarkan untuk bersaing dengan kembar Perodua Ativa di Indonesia iaitu Daihatsu Rocky dan Toyota Raize. Ia adalah versi produksi bagi SUV RS Concept yang didedahkan di republik tersebut tahun lalu. Tiga varian WR-V ditawarkan di Indonesia iaitu varian asas E dengan harga bermula Rp.271.9 juta (RM82,395), varian pertengahan RS dijual pada harga Rp.289.9 juta (RM87,865), diikuti varian RS dengan Sensing berharga Rp.309.9 juta (RM93,939).

    Sebagai perbandingan, di Indonesia Daihatsu Rocky dijual pada harga bermula Rp 205.2 juta (RM61,825) untuk varian paling asas 1.2L NA dengan kotak gear manual lima kelajuan hingga Rp 273.6 juta (RM82,433) untuk model paling tinggi 1.0 R TC CVT. Jadi secara asasnya harga Honda WR-V ini memang lebih mahal dari Ativa/Rocky walaupun bersaing dalam kelas yang sama

    Honda WR-V – lawan Perodua Ativa mula produksi di Indonesia pada Dis 2022, eksport bermula 2023

    Walaupun dijelmakan kepada model produksi dengan perincian yang lebih munasabah, WR-V masih memberikan imej yang sangat unik dan menarik. Ia dihasilkan dengan ukuran 4,060 mm panjang dan 1,780 mm lebar atau 4 mm lebih pendek berbanding Ativa, tetapi 70 mm lebih lebar dari lawannya dari Perodua/Daihatsu itu.

    Tinggi Honda WR-V ini pula adalah 1,608 mm dan jarak rodanya pula adalah 2,485 mm, bermakna ia 27 mm lebih rendah serta jarak rodanya adalah 40 mm lebih dekat berbanding Perodua Ativa. Ia menerima enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC berkuasa 121 PS dan tork maksima 145 Nm, iaitu unit yang sama diberikan pada Honda City serta HR-V varian paling asas. Kuasa hanya disampaikan ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik.

    Seperti model-model segmen-B dan dan segmen-A Honda yang lain, WR-V turut menerima konfigurasi suspensi topang McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang. Ia juga dipadankan dengan brek cakera di hadapan dan brek dram di belakang untuk semua varian. Sementara untuk roda pula varian diberikan rim 16-inci lima-jejari dengan tayar 215/60R16, manakala varian RS menerima rim 17-inci dua tona dengan tayar 215/55R17.

    Honda WR-V – lawan Perodua Ativa mula produksi di Indonesia pada Dis 2022, eksport bermula 2023

    Model paling asas E datang dengan kelengkapan seperti penghidup enjin jarak jauh, butang penghidup enjin, skrin sesentuh 7-inci, kamera undur dengan pandangan pelbagai sudut, empat pembesar suara, panel pendingin hawa digital, tempat duduk balutan fabrik, empat beg udara dan juga VSA.

    Manakala varian RS pula menerima penggayaan luaran lebih sporty (gril hadapan krom-hitam) tambahan lampu depan LED dengan lampu nyalaan siang LED, ciri kunci pintu automatik ketika bergerak meninggalkan kereta, kluster meter digital dengan paparan 4.2-inci, enam pembesar suara, upholsteri tempat duduk gabungan kulit dan fabrik, stereng dan tombol gear balutan kulit, pendingin hawa automatik, skrin infotainmen 7.0-inci serta cermin sisi lipatan automatik.

    Varian tertinggi RS dengan Sensing masih menerima kelengkapan yang sama seperti varian RS, dan seperti namanya, model ini diberikan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing dengan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan kekal lorong, lampu tinggi automatik, dan sebagainya serta kamera titik buta LaneWatch dan enam beg udara.

    Warna badan yang ditawarkan untuk WR-V ini di Indonesia adalah Taffeta White (E sahaja), Meteoroid Gray Metallic, Crystal Black Pearl, Stellar Diamond Pearl (RS sahaja) dan Ignite Red Metallic (RS sahaja). Pembeli model RS dalam warna Ignite Red Metallic turut ditawarkan dengan pilihan bumbung hitam melibatkan tambahan Rp.2.5 juta (RM757).

    Tiada sebarang petunjuk dari Honda Malaysia sama ada ia berminat untuk membawa model ini ke Malaysia atau tidak. Sekiranya ia di bawa ke sini, ada kemungkinan kita tidak menerima unit dari kilang Indonesia kerana Honda Malaysia lazimnya memproduksi semua model mereka di kilangnya sendiri terletak di Pegoh, Melaka bagi mendapatkan harga jualan yang lebih kompetitif.

    Namun secara realistiknya, agak sukar untuk memasarkan model ini di Malaysia. Ini kerana WR-V merupakan produk entry-level dari Honda, dan ia perlu bersaing dengan model jenama tempatan di sini. Perodua Ativa dijual pada harga bermula RM62,500 sehingga RM72,600 – jadi ramai ke yang sanggup membayar harga sebuah Honda entry-level dalam spesifikasi paling kosong lebih mahal dari varian tertinggi yang ditawarkan Perodua Ativa?

     
     
  • ACE 2022: Honda City Hatchback — selamat, praktikal serta cekap dalam satu pakej luas dan bergaya

    ACE 2022: Honda City Hatchback — selamat, praktikal serta cekap dalam satu pakej luas dan bergaya

    Kereta dalam segmen B ketika ini menawarkan praktikaliti dan penjimatan, dan lebih menarik, ada pemain baru dalam pasaran tempatan tahun ini. Honda City Hatchback tampil dengan pakej yang menarik, terutama bahagian dalaman yang versatil dengan adanya Ultra Seat dalam empat mod berbeza.

    Dalam Utility Mode, lipat rata kerusi belakang untuk dapat kapasiti ruang maksimum. Dalam Long Mode, rebahkan kerusi penumpang depan dan rendahkan kerusi belakang untuk membawa barangan panjang. Dalam Refresh Mode, lipat kerusi depan ke belakang untuk dapatkan suana ruang rehat. Dalam Tall Mode pula, lipat naik kerusi belakang untuk bawa barangan tinggi.

    Ciri keselamatan juga lengkap untuk City Hatchback, dengan Honda Sensing, yang termasuk di dalamnya ciri seperti Lane Departure Warning, Road Departure Mitigation, Lane Keep Assist System, Forward Collision Warning, Collision Mitigation Braking System, Auto High Beam dan Adaptive Cruise Control. Honda LaneWatch pula membantu memberi amaran titik buta.

    Ciri menarik lain yang ada termasuklah Remote Engine Start dan paparan audio 8.0-inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Honda City Hatchback dikuasakan sama ada oleh enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC atau janaan hibrid bagi varian RS e:HEV yang paling tinggi. Jika ingin mencuba model ini, anda boleh berkunjung ke ACE 2022 hujung minggu ini, 5-6 November dari 9 pagi hingga 7 malam di Pusat Persidangan Setia City (SCCC).

    ACE 2022: Honda City Hatchback — selamat, praktikal serta cekap dalam satu pakej luas dan bergaya

    ACE 2022 menerima tajaan bersama daripada Petron, Yinson GreenTech and myTukar, dan akan membawakan pelbagai tawaran istimewa oleh semua jenama yang terlibat, melibatkan juga pelbagai barisan kenderaan. Antara jenama yang bakal membuat penampilan di acara ini ialah Toyota, Nissan, Hyundai, Proton, Perodua dan Subaru serta jenama skuter Royal Alloy. Beberapa jenama kenderaan premium juga akan turut serta, antaranya Mercedes-Benz (melalui Cycle & Carriage), BMW/MINI (melalui Wheelcorp Premium) dan Volvo (melalui Ingress Swede Automobile).

    Pelanggan di ACE 2022 akan menikmati banyak tawaran istimewa, sebagi tambahan kepada tawaran yang diberikan oleh semua jenama terlibat. Dalam jumlah terhad, akan ada juga baucar minyak Petron bernilai RM50 setiap satu bagi 100 pembeli terawal yang membuat tempahan kereta baru.

    Selain itu, 200 pelanggan terawal yang membuat tempahan kenderaan baru akan menerima gabungan baucar bernilai RM2,500 yang terdiri daripada baucar RM500 bagi filem penapis haba V-Kool, RM500 bagi baucar Dodomat, baucar RM500 untuk penapis udara Blueair, baucar RM500 Recaro untuk kerusi keselamatan kanak-kanak dan baucar RM500 DK Schweizer bagi balutan kulit kustom untuk ruang dalaman kenderaan.

    myTukar juga menawarkan baucar RM1,000 bagi 25 pelanggan pertama yang membuat tempahan kereta terpakai atau trade-in kenderaan mereka menerusi platform berkenaan. Mereka yang trade-in kenderaan akan menerima baucar RM500 masing-masing untuk V-Kool dan Blueair. Sementara 25 lagi pelanggan terawal yang membuat tempahan kereta terpakai akan menerima baucar RM500 untuk Dodomat dan RM500 untuk kerusi kanak-kanak Recaro. Jika anda trade-in kenderaan dan menempah kereta terpakai lain sekaligus, jumlah baucar akan meningkat kepada RM1,500.

    ACE 2022: Honda City Hatchback — selamat, praktikal serta cekap dalam satu pakej luas dan bergaya

    Hadiah tidak berakhir di situ. Tempahan kereta baru yang telah disahkan pula akan membolehkan anda untuk layak dalam cabutan bertuah dengan tawaran pelbagai hadiah, termasuk 10 telefon pintar bernilai RM2,300 setiap satu dan hadiah utama terdiri daripada pakej percutian untuk dua orang bernilai RM10,000!

    Walaupun dengan peraturan pandemik Covid-19 yang semakin longgar kini, kami masih akan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan semua orang. Pengunjung adalah digalakkan untuk menggunakan pelitup muka sepanjang masa ketika berada di dalam ruang pameran, dan cecair sanitasi tangan juga akan diletakkan di beberapa tempat di sepanjang acara berlangsung.

    Banyak lagi perincian promosi yang akan kami kongsikan daripada jenama-jenama yang ikut serta nanti, jadi teruskan bersama kami. Sementara itu, tandakan kalendar anda untuk 5-6 November 2022 untuk ACE 2022 di SCCC. Jumpa hujung minggu ini!

     
     
  • KTM 690 Enduro R dan SMC R 2023 diberi peningkatan

    KTM 690 Enduro R dan SMC R 2023 diberi peningkatan

    KTM 690 Enduro R dan 690 SMC R terus berada dalam barisan penawaran produk KTM dan bagi model tahun 2023, hanya peningkatan kecil dibuat. Ini melibatkan grafik, dengan warna utama oren dan hitam untuk Enduro R, serta tambahan sedikit warna biru pada SMC R.

    Konsep warna sama digunakan pada fabrik baru (yang dikatakan lebih lasak dan mencengkam) tempat duduk dua motosikal ini, sementara kelengkapan lain masih sama seperti model tahun sebelumnya.

    Kedua-dua 690 Enduro R dan SMC R dipacu oleh enjin LC4 satu silinder empat strok 692.7 cc berkuasa 73.7 hp dan 73.5 Nm, bersama padanan kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis slipper Power Assist Clutch (PASC), dan diberikan terus dengan quickshifter.

    Datang dengan sistem pendikit ride-by-wire, dua motosikal ini disediakan dengan dua mod tunggangan dan ia juga dibantu oleh Motorcycle Traction Control (MTC) serta Motor Slip Regulation (MSR). Sistem ABS pada roda belakang boleh ditutup, dan ia dipanggil dengan nama berbeza, iaitu mod Offroad bagi Enduro R, dan mod Supermoto bagi SMC R.

    Walaupun menggunakan asas sama, Enduro R dan SMC R mempunyai beberapa kelengkapan yang berbeza termasuk rim, brek dan suspensi bagi menjadikannya sesuai dengan kegunaan masing-masing iaitu enduro dan supermoto.

    Pada Enduro R, ia dilengkapi fork WP Xplor 48 serta monoshock Wp Xplor boleh laras sepenuhnya (masing-masing dengan jarak gerak 250 mm), rim 21 inci di hadapan dan 8 inci di belakang dengan tayar Mitas E07 serta angkup brek Brembo dengan cakera 300 mm di hadapan dan 240 mm di belakang.

    SMC R pula datang dengan fork WP Apex 48 dan monoshock WP Apex (boleh laras sepenuhnya), rim spoked tanpa tiub 17 inci dengan tayar Bridgestone S21, serta brek cakera 320 mm dengan angkup Brembo M4.32 di hadapan dan cakera 240 mm dengan angkup satu piston di belakang.

    Kedudukan dua motosikal ini juga berbeza, dengan Enduro R menyediakan tinggi tempat duduk 929 mm, manakala SMC R pula 892 mm. Kapasiti tangki bahan api yang terletak di bahagian belakang kedua-dua motosikal ini adalah sama, iaitu 13.5 liter.

     
     
  • Honda Malaysia buka pusat 3S terbesar di Kuching

    Honda Malaysia buka pusat 3S terbesar di Kuching

    Honda Malaysia telah pun membuka pusat 3S baharu yang terletak di Lot 13105, Sec 65, KTLD, Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub, Kuching, Sarawak dan dikendalikan oleh Northmont Capital Sdn. Bhd. Ia disasarkan dapat memberikan kemudahan yang lebih optimum bagi para pelanggan Honda yang menetap di bandar berkenaan dan kawasan sekitarnya.

    Menelan belanja sebanyak RM15 juta, pusat 3S Honda yang baharu ini berada dalam bangunan seluas 2,339 meter persegi dalam kawasan berkeluasan 4,711 meter persegi, menjadikannya sebagai pusat 3S terbesar di Sarawak. Ia menempatkan 12 petak penyelenggaraan, tiga petak membaiki am dan satu petak servis tayar, dengan keseluruhannya mampu menyelenggara sehingga 50 unit kereta sehari.

    Selain itu, ia turut menempatkan ruang lounge yang selesa untuk para pelanggan, di samping kemudahan WiFi secara percuma dan sudut permainan kanak-kanak. Bukan itu sahaja, pusat 3S baharu ini turut menyediakan kemudahan memperbaharui cukai jalan dan perlindungan insurans, perkhidmatan mencuci kereta, servis pendingin hawa kenderaan, servis pejajaran dan pengimbangan tayar dan beberapa lagi kemudahan untuk para pelanggan.

    Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, “Tahun ini Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) telah mencatatkan prestasi jualan yang memberangsangkan, dan menyumbang 5% untuk jumlah jualan syarikat dari Januari hingga September 2022. Daripada 5% sumbangan jualan tersebut, Sarawak merupakan penyumbang tertinggi dengan 3%.

    “City merupakan model yang paling dicari di Sarawak, menyumbang 22% kepada jumlah jualan negeri di wilayah ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan Honda di Malaysia Timur atas kepercayaan dan sokongan mereka terhadap jenama Honda.”

    Tambah beliau lagi, setakat ini, Sarawak merekodkan hampir 40,000 penyelenggaraan, iaitu meningkat 17% berbanding tahun 2021. “Justeru, pembukaan pusat 3S baharu ini adalah tepat pada masanya untuk memenuhi permintaan dan keperluan pelanggan yang semakin meningkat. Saya yakin ia dapat menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang dipertingkatkan kepada pelanggan kami di Kuching dan seterusnya meningkatkan kepuasan pelanggan,” sambungnya.

     
     
  • Volvo V60 Recharge T8 Ultimate di Malaysia – PHEV berkuasa 462 PS, 709 Nm, harga dari RM321,888

    Volvo V60 Recharge T8 Ultimate di Malaysia – PHEV berkuasa 462 PS, 709 Nm, harga dari RM321,888

    Bagi V60 model tahun 2023, Volvo Car Malaysia (VCM) telah menggantikan varian Recharge T8 Inscription dengan Recharge T8 Ultimate. Wagon ini sekarang dijual pada harga RM321,888 tidak termasuk insurans, menjadikannya RM16,000 lebih tinggi berbanding sebelum ini.

    Melihat kepada kelengkapan, V60 Recharge T8 Ultimate datang dengan sistem infotainmen baru Android Automotive OS yang disambungkan kepada skrin sesentuh sembilan inci menegak di tengah papan pemuka. Melaluinya, anda dapat menggunakan servis dalaman Google seperti Google Assistant, Google Maps dan Google Play Store.

    Servis ini, bersama fungsi jarak jauh Volvo Cars App memerlukan langganan berupa Digital Service Package (DSP), yang dimasukkan sekali dalam harga kereta untuk tempoh selama empat tahun, sebelum memerlukan pembaharuan. Anda masih akan mendapat sistem pendingin hawa dua zon dan sistem bunyi Harman Kardon 600 watt, tetapi jumlah pembesar suara telah dikurangkan dari 16 menjadi 14.

    Untuk kemasan dalam, terdapat dua padanan yang ditawarkan, iaitu kulit Maroon Brown Morit/Linear Lime dan kulit Charcoal Moritz/Metal Mesh. Pilihan ini ditawarkan untuk apa-apa sahaja warna luar ((rystal White, Onyx Black, Thunder Grey dan Bright Dusk).

    Volvo V60 Recharge T8 Ultimate di Malaysia – PHEV berkuasa 462 PS, 709 Nm, harga dari RM321,888

    Kemasan krom serta bumbung panoramik seperti varian T8 Inscription sebelum ini masih ada pada T8 Ultimate. Rim bagaimanapun adalah baru, iaitu unit 19 inci lima cabang, dengan tayar 235/40. Selain daripada itu, tiada lagi muncung ekzos berkembar di bahagian bawah bampar varian baru ini.

    Senarai kelengkapan lain masih sama, termasuk tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi memori, head-up display, panel instrumen digital 12.3 inci, kamera 360 darjah, lampu utama LED adaptif, rel bumbung, sistem masuk dan hidupkan enjin tanpa kunci, serta tombol gear kristal Orrefors.

    Untuk sistem bantuan pemandu pula, terdapat pakej Pilot Assist yang membolehkan pemanduan semi-autonomous Level 2 yang termasuk Adaptive Cruise Control dan Lane Centring Assist. Turut diberi adalah City Safety untuk Autonomous Emergency Braking, Front and Rear Collision Mitigation, Lane Keeping Assist, Run-off Road Mitigation, Blind Spot Monitoring dan Rear Cross Traffic Alert dengan brek automatik.

    Penggerak plug-in hybrid pada model ini juga menerima naik taraf, dengan kuasanya kini menjadi 462 PS dan 709 Nm (sebelum ini 407 PS dan 640 Nm). Tetapan pacuan semua roda ini terdiri daripada enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo supercharge bersama transmisi automatik lapan kelajuan untuk roda hadapan, sementara roda belakang mendapat kuasa daripada motor elektrik.

    Untuk enjin pembakaran dalaman itu sahaja, ia boleh menghasilkan 317 PS pada 6,000 rpm dan 400 Nm dari 3,000 hingga 5,400 rpm, manakala motor elektrik pula menghasilkan 145 PS dan 309 Nm. Hasil gabungan dua sumber ini, V60 boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat dan memberikan penggunaan bahan api serendah 1.4 l/100 km.

    Jarak gerak 90 km boleh dicapai melalui pemanduan elektrik penuh, dan ini adalah 49 km lebih jauh berbanding varian T8 Inscription. Ia adalah hasil daripada penggunaan bateri 18.8 kWh, yang lebih besar berbanding bateri 11.6 kWh sebelum ini. Bateri tersebut mengambil masa lima jam untuk penuh apabila menggunakan pengecas AC 3.7 kW, (sambungan Type 2), sementara apabila menggunakan soket domestik biasa ia mengambil masa 13 jam. V60 datang dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan, serta jaminan lapan tahun, 160,000 km untuk bateri PHEV padanya.

     
     
  • Kuala Terengganu ByPass telah pun dibuka secara rasmi – laluan sepanjang 5.8km, kos RM384.3 juta

    Kuala Terengganu ByPass telah pun dibuka secara rasmi – laluan sepanjang 5.8km, kos RM384.3 juta

    Baru-baru ini, kerajaan negeri Terengganu telah pun melancarkan Jalan Pintas Kuala Terengganu (Kuala Terengganu ByPass) yang sudah dibuka untuk laluan trafik. Laluan ini membabitkan kos pembinaan mencecah RM384.3 juta dan ia diharap mampu memberi manfaat kepada 70,000 pengguna.

    Kuala Terengganu ByPass sepanjang 5.8 kilometer ini menghubungkan Jalan Kelantan dan Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (Jalan Pantai) di Kuala Ibai. Tujuannya untuk memberi alternatif kepada pengguna dari Terengganu Utara/Kota Bharu yang ingin ke Terengganu Selatan/Kuantan, sudah tak perlu masuk ke Pusat Bandaraya Kuala Terengganu.

    Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata projek membabitkan laluan sepanjang 5.8 kilometer itu diluluskan Kerajaan Persekutuan pada Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), laporan Bernama.

    “Kalau mengikut tempohnya, biasanya projek jalan sepanjang hampir 6 km ini tidak lama tetapi disebabkan cabaran untuk melaksanakan termasuk pengalihan utiliti, pengambilan tanah, COVID-19 dan sebagainya ia mengambil masa yang lama. Alhamdulillah, projek ini dapat disiapkan hasil kerjasama erat di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri walaupun pelbagai cabaran termasuk ada tambahan masa dan kos,” katanya.

    Beliau turut berkata berkata, pembukaan jajaran itu juga sebagai laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan trafik di Jalan Persekutuan FT03 sedia ada di Bandaraya Kuala Terengganu terutamanya pada waktu puncak, musim perayaan utama dan cuti sekolah.

    Pada mulanya ia diumumkan dibuka pada April lalu bagi mengatasi kesesakan menjelang Hari Raya Aidilfitri. Namun pembukaannya ditangguhkan disebabkan kerja-kerja kemasan oleh pihak kontraktor yang belum siap ketika itu.

     
     
  • Zeekr 009 dilancar di China – MPV EV bermula RM324k, lebih besar & lebih mewah dari Alphard

    Zeekr 009 dilancar di China – MPV EV bermula RM324k, lebih besar & lebih mewah dari Alphard

    Selepas didedahkan Ogos lalu, jenama kenderaan elektrik (EV) mewah dari Geely iaitu Zeekr kini secara rasmi melancarkan MPV EV Zeekr 009 ke pasaran China. Menurut laporan CarNewsChina.com, MPV ini ditawarkan dalam dua varian berbeza iaitu Zeekr 009 WE dengan bateri 116 kWj dijual pada harga 499,000 yuan (RM324k), dan juga Zeekr 009 ME yang menerima bateri 140 kWj dijual pada harga 588,000 yuan (RM382k).

    Kedua-dua varian ini menerima unit penggerak yang sama iaitu dua motor elektrik yang diletak masing-masing di gandar hadapan dan belakang menjadikannya MPV pacuan semua roda, dengan kuasa keseluruhan 544 hp dan tork maksima 686 Nm. Ini membolehkan MPV bersaiz besar tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.5 saat!

    Kedua-dua varian itu juga menerima pek bateri litium-nikel-mangan-kobalt yang dibekalkan oleh CATL, membolehkan versi 116 kWj bergerak sejauh 702 km (mengikut kitaran CLTC), manakala model dengan bateri 140 kWj pula boleh bergerak sejauh 822 km dengan satu cas penuh. Perincian berkenaan pengecas tidak didedahkan, namun ada dinyatakan dengan pengecas pantas, bateri tersebut boleh dipenuhkan dari 10% hingga 80% hanya dalam 28 minit.

    Zeekr 009 dilancar di China – MPV EV bermula RM324k, lebih besar & lebih mewah dari Alphard

    Seperti yang telah didedahkan sebelum ini, Zeekr 009 turut dihasilkan menerusi platform Sustainable Experience Architecture (SEA) dari Geely. Platform yang dibangunkan khusus untuk EV berkenaan telah pun menjadi asas kepada EV shooting brake Zeekr 001, crossover kompak smart #1, SUV berprestasi Lotus Eletre, trak pikap EV Radar RD6 dan pelbagai lagi.

    Ia menampilkan dimensi panjang 5,209 mm, lebar 2,024 mm, tinggi 1,856 mm dan jarak roda sejauh 3,205 mm. Jadi saiz MPV dari Zeekr ini jelas lebih besar dari Alphard kerana model keluaran Toyota berkenaan hanya dihasilkan dengan dimensi panjang 4,945 mm, lebar 1,850 mm serta jarak roda 3,000 mm.

    Berbanding Alphard yang direka seakan van, Zeekr 009 ini tampil dengan muncung hadapan lebih panjang dan rekaan badan lebih tegap, serta set rim dan juga gril dalam kemasan perak yang sangat besar membuatkan ia nampak seperti SUV dari Amerika Syarikat. Gril berkenaan direka tanpa liang udara, sebaliknya menerima elemen jejari menegak yang unik.

    Zeekr 009 dilancar di China – MPV EV bermula RM324k, lebih besar & lebih mewah dari Alphard

    Sebenarnya jejari tersebut turut menerima sejumlah 154 jalur LED, yang diberi nama “lampu air terjun” oleh Geely. Lampu hadapan utama MPV ini terletak pada bahagian tengah bampar, manakala jalur LED berbentuk ‘cakar’ diatasnya adalah lampu nyalaan siang.

    MPV ini juga menerima tiang-A unik yang turut diberikan cermin, membolehkan titik buta di bahagian berkenaan dikurangkan. Ia dipadankan dengan pintu gelangsar untuk kabin belakang, namun rekaan pembuka pintu hadapan dan belakang yang nampak bercantum, seolah-olah ia menerima pintu jenis “suicide door”.

    Profil sisi MPV ini juga nampak “bersih” dengan garis badan tegak ke belakang tanpa “simpang siur”, serta diberikan jalur perak yang agak tebal pada sebelah atas tingkap sisi. Manakala pada tiang-C, ia diberikan kemasan yang seiras dengan gril hadapan, dan nampak seiring dengan rekaan jejari pada set rim.

    Zeekr 009 dilancar di China – MPV EV bermula RM324k, lebih besar & lebih mewah dari Alphard

    Di belakang, lampu utamanya direka menegak dan kelihatan bersambung dengan rel pintu gelangsar, bersama grafik LED berbentuk-T, bersambung dengan grafik LED dengan motif cakaran yang lebih kecil pada bar lampu yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate belakang. Secara keseluruhan bahagian belakang MPV ini juga nampak minimalis dengan hanya menampilkan garis-garis melintang bersama satu jalur perak merentangi sepenuhnya bahagian bawah bampar.

    Pada bahagian kabin, upholsteri kulit Nappa adalah perincian standard untuk MPV ini. Ia diberikan enam tempat duduk dengan konfigurasi 2-2-2, serta turut ditawarkan dengan pilihan lebih mewah menampilkan hanya dua tempat duduk di kabin belakang seperti Lexus LM350. Tempat duduk kapten yang diletakkan pada baris kedua direka dengan lebar 70 cm, bersama kusyen setebal 12 cm, lengkap dengan meja yang boleh dilipat.

    Penumpang kabin belakang juga menerima skrin gergasi bersaiz 15.6-inci dengan hubungan internet 5G. Skrin tersebut turut memberikan fungsi unjuran tanpa wayar, fungsi sidang video dengan kualiti HD 1080P, dan boleh dihubungkan kepada konsol permainan video Nintendo Switch.

    Untuk sistem bunyi pula, ia dibekalkan oleh Yamaha dipadankan dengan sebanyak 20 pembesar suara, termasuk pembesar suara yang diletakkan di perehat kepala tempat duduk kapten. Zeekr 009 ini juga diberikan suspensi udara yang boleh merendahkan badannya bagi memudahkan penumpang masuk ke kabin.

    Manakala pada sebelah dalam pintu gelangsar belakang, ia menampilkan Smart Bar iaitu panel kawalan dengan skrin sentuhan sensitif bersaiz 3.4-inci untuk mengawal fungsi seperti larasan tempat duduk, pendingin hawa, kunci pintu dan juga pelindung matahari. Selain itu, ia juga menerima bumbung suria pada tempat duduk baris pertama, manakala penumpang di baris kedua dan ketiga pada kabin belakang menerima bumbung panaromik yang lebih besar untuk menikmati pemandangan langit.

    Zeekr 009 ini didakwa menerima “lebih dari 30 fungsi” bantuan pemanduan pintar. Ia termasuk sistem cruise control adaptif bersama bantuan kekal tengah lorong yang berfungsi pada semua kelajuan, sistem parkir automatik, pengelak pelanggaran belakang, bantuan tukar lorong automatik, brek kecemasan automatik semasa mengundur, bantuan lampu isyarat dan lain-lain.

    Kesemua sistem ini dikawal menerusi cip berprestasi tinggi dual 7nm EyeQ5H dari Mobileye yang menerima input dari tujuh kamera HD 8-megapiksel, empat kamera sekeliling 2-megapiksel, sebuah radar gelombang milimeter jarak ultra-jaun dan 12 radar ultrasonic jarak dekat.

     
     
  • ACE 2022: Tawaran istimewa menanti di SCCC hujung minggu ini — tambahan RM50 baucar minyak Petron

    ACE 2022: Tawaran istimewa menanti di SCCC hujung minggu ini — tambahan RM50 baucar minyak Petron

    Tinggal beberapa hari saja lagi ke acara pameran dan jualan kenderaan Auto Car Expo (ACE) anjuran paultan.org hujung minggu ini, 5-6 November 2022 bertempat du Pusat Persidangan Setia City (SCCC), dari 9 pagi hingga 7 malam.

    ACE 2022 turut menerima tajaan bersama daripada Petron, Yinson GreenTech and myTukar, dan akan membawakan pelbagai tawaran istimewa oleh semua jenama yang terlibat, melibatkan juga pelbagai barisan kenderaan. Antara jenama yang bakal membuat penampilan di acara ini ialah Toyota, Nissan, Hyundai, Proton, Perodua dan Subaru serta jenama skuter Royal Alloy.

    Beberapa jenama kenderaan premium juga akan turut serta, antaranya Mercedes-Benz (melalui Cycle & Carriage), BMW/MINI (melalui Wheelcorp Premium) dan Volvo (melalui Ingress Swede Automobile).

    Pelanggan di ACE 2022 akan menikmati banyak tawaran istimewa, sebagi tambahan kepada tawaran yang diberikan oleh semua jenama terlibat. Dalam jumlah terhad, akan ada juga baucar minyak Petron bernilai RM50 setiap satu bagi 100 pembeli terawal yang membuat tempahan kereta baru.

    Selain itu, 200 pelanggan terawal yang membuat tempahan kenderaan baru akan menerima gabungan baucar bernilai RM2,500 yang terdiri daripada baucar RM500 bagi filem penapis haba V-Kool, RM500 bagi baucar Dodomat, baucar RM500 untuk penapis udara Blueair, baucar RM500 Recaro untuk kerusi keselamatan kanak-kanak dan baucar RM500 DK Schweizer bagi balutan kulit kustom untuk ruang dalaman kenderaan.

    ACE 2022: Tawaran istimewa menanti di SCCC hujung minggu ini — tambahan RM50 baucar minyak Petron

    myTukar juga menawarkan baucar RM1,000 bagi 25 pelanggan pertama yang membuat tempahan kereta terpakai atau trade-in kenderaan mereka menerusi platform berkenaan. Mereka yang trade-in kenderaan akan menerima baucar RM500 masing-masing untuk V-Kool dan Blueair. Sementara 25 lagi pelanggan terawal yang membuat tempahan kereta terpakai akan menerima baucar RM500 untuk Dodomat dan RM500 untuk kerusi kanak-kanak Recaro. Jika anda trade-in kenderaan dan menempah kereta terpakai lain sekaligus, jumlah baucar akan meningkat kepada RM1,500.

    Hadiah tidak berakhir di situ. Tempahan kereta baru yang telah disahkan pula akan membolehkan anda untuk layak dalam cabutan bertuah dengan tawaran pelbagai hadiah, termasuk 10 telefon pintar bernilai RM2,300 setiap satu dan hadiah utama terdiri daripada pakej percutian untuk dua orang bernilai RM10,000!

    Walaupun dengan peraturan pandemik Covid-19 yang semakin longgar kini, kami masih akan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan semua orang. Pengunjung adalah digalakkan untuk menggunakan pelitup muka sepanjang masa ketika berada di dalam ruang pameran, dan cecair sanitasi tangan juga akan diletakkan di beberapa tempat di sepanjang acara berlangsung.

    Banyak lagi perincian promosi yang akan kami kongsikan daripada jenama-jenama yang ikut serta nanti, jadi teruskan bersama kami. Sementara itu, tandakan kalendar anda untuk 5-6 November 2022 untuk ACE 2022 di SCCC. Jumpa hujung minggu ini!

     
     
  • Tun M mempersoalkan manifesto PH untuk hapuskan tol Lebuhraya PLUS jika memenangi PRU15

    Tun M mempersoalkan manifesto PH untuk hapuskan tol Lebuhraya PLUS jika memenangi PRU15

    Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengkritik manifesto baharu Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan tol jika gabungan itu memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) termasuk mempersoalkan kebolehlaksanaannya.

    Bekas Perdana Menteri itu mempersoalkan dari mana datangnya dana untuk membaiki lebuh raya, kalau bukan dari tol, laporan FMT.

    “Mereka (sebelum ini) mendakwa bahawa mereka akan menghapuskan tol. Dan kali ini, mereka masih berjanjikan perkara yang saya. Saya tidak percaya rakyat akan menyokong mereka kerana mereka tahu bahawa negara memerlukan tol,” katanya.

    Pada 31 Oktober lalu, pengerusi DAP Lim Guan Eng menyatakan bahawa PH sedia memansuhkan tol di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) jika mereka diberi mandat membentuk kerajaan selepas PRU15 ini.

    Tun M mempersoalkan manifesto PH untuk hapuskan tol Lebuhraya PLUS jika memenangi PRU15

    Dalam masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa PH telah pun berjaya mengurangkan bayaran tol sebanyak 18 peratus ketika menerajui kerajaan selama 22 bulan. Beliau menyatakan PH boleh menghapuskan tol lebuh raya itu jika diberikan tempoh mentadbir selama lima tahun.

    Dalam janji keenam manifesto PH untuk PRU14 sebelum ini antara lain menyatakan gabungan itu akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

    Kalau hendak dibandingkan dengan Autobahn di Jerman yang tidak dikenakan kutipan tol, boleh dipandu laju dan selamat. Tetapi untuk rangkaian lebuhraya persekutuan tersebut yang terkenal dengan ‘tiada had kelajuan’ hanyalah percuma untuk kereta sahaja, tol hanya dikenakan untuk trak atau kenderaan lain dengan berat lebih 7.5 tan.

    Tetapi adakah ia sesuai (sifar tol) dilaksanakan di sini? Kita perlukan sektor swasta untuk membiayai kos pembinaan dan penyelenggaraan lebuhraya, seperti yang diamalkan di negara kita. Adakah mana-mana sektor swasta yang bermurah hati untuk membiayai sepenuhnya tanpa mengaut keuntungan? Apa pendapat anda mengenai perkara ini?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025