Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Modenas tawarkan lanjutan waranti dengan kerjasama Allianz untuk enam model motosikal, dari RM159

    Modenas tawarkan lanjutan waranti dengan kerjasama Allianz untuk enam model motosikal, dari RM159

    Modenas kini menyediakan program lanjutan waranti untuk enam model keluaran mereka, dengan harga bermula RM159, iaitu untuk Kriss 110, diikuti RM160 untuk Elegan, RM262 untuk Karisma 125, RM192 untuk Pulsar RS200 dan NS200, serta RM404 untuk Dominar 400.

    Melalui lanjutan waranti pilihan ini, pemilik akan mendapat perlindungan tambahan selama dua tahun atau 65,000 km (hanya untuk motosikal yang didaftar bermula 1 September 2022 sahaja), termasuk “kerosakan motosikal yang tidak dijangka bagi semua komponen mekanikal dan elektrikal.”

    Selain daripada itu, pemilik juga akan mendapat manfaat lain seperti bantuan kerosakan 24 jam, perkhidmatan tunda ke pusat servis sah Modenas terdekat dalam jarak 100 km, boleh dipindah milik kepada pemilik baru sekiranya motosikal dijual serta penggunaan alat ganti tulen Modenas bagi setiap baik pulih.

    Program lanjutan waranti ini adalah satu kerjasama antara Modenas dengan Allianz General dan sebarang maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-880-181 atau menghantar WhasApp ke 019-570-8135.

     
     
  • Proton jual 15,880 kenderaan pada bulan Ogos 2022 – catatan bulanan tertinggi dalam masa sembilan tahun

    Proton jual 15,880 kenderaan pada bulan Ogos 2022 – catatan bulanan tertinggi dalam masa sembilan tahun

    Jumlah jualan Proton untuk bulan Ogos 2022 sudah pun keluar, dengan menyaksikan syarikat itu berjaya menyerahkan 15,880 unit kepada pelanggan, dan menjadi catatan jualan bulanan paling tinggi sejak Julai 2013. Ini adalah hasil daripada pengeluaran yang semakin pulih dan bakal meletakkan Proton dalam kedudukan betul untuk terus mencatat pertumbuhan selama empat tahun berturut-turut.

    Untuk lapan bulan pertama tahun ini, Proton telah menjual 87,481 unit kenderaan, dan merupakan peningkatan sebanyak 39.7% berbanding jumlah 62,637 unit yang dicatat pada tempoh sama tahun lepas.

    Kebiasaannya, Proton menggabungkan sekali jumlah jualan domestik dan eksport, jadi dengan eksport yang berjumlah 938 unit bulan lalu, catatan jualan untuk pasaran domestik sepatutnya adalah 14,942 unit. Ini cukup bagus untuk meletakkan Proton di tempat kedua berbanding jenama lain, dengan unjuran perkongsian pasaran sekitar 23.7% bagi bulan Ogos dan 19.5% untuk sepanjang tahun ini.

    Proton jual 15,880 kenderaan pada bulan Ogos 2022 – catatan bulanan tertinggi dalam masa sembilan tahun

    Proton juga sangat bangga dengan pencapaian X50 yang masih berada di tempat teratas dalam segmen SUV “meskipun terdapat pelancaran model baru pesaing terus daripada jenama lain.” Melihat kepada Honda, pengeluaran HR-V baru mungkin masih lagi perlahan kerana masalah bekalan alat ganti.

    Disebabkan itu, “kedudukan Proton di tempat teratas dalam segmen SUV terus tidak dapat dicabar” dan X50 berjaya melepasi jumlah jualan 4,000 unit bagi tiba bulan berturut-turut dengan 4,329 unit berjaya diserahkan pada bulan Ogos. X70 pula mencatat jualan 1,555 unit, menjadikan jumlah keseluruhan SUV yang berjaya dijual adalah 5,884 unit bagi bulan Ogos, dan 37,489 unit bagi keseluruhan tahun ini.

    Saga, dengan catatan 6,156 unit pada bulan lepas bukan setakat menjadi model paling laris Proton, tetapi juga merupakan model ketiga paling popular di dalam negara, bagi bulan Ogos. Jumlah jualan keseluruhan model yang dilancarkan pada bulan Mei lalu ini sekarang sudah mencecah 14,000 unit. Persona, Iriz dan Exora pula masing-masing mencatat 2,612, 962 dan 266 unit.

     
     
  • Proton eksport 938 unit kenderaan sepanjang Ogos 2022, 4,040 keseluruhan tahun ini; Saga paling laris

    Proton eksport 938 unit kenderaan sepanjang Ogos 2022, 4,040 keseluruhan tahun ini; Saga paling laris

    Nampaknya usaha Proton untuk menguatkan kembali jualan pada pasaran eksportnya semakin hari semakin menampakkan hasil – syarikat berkenaan mengumumkan bahawa sepanjang bulan Ogos 2022, ia telah berjaya mengeksport sebanyak 938 unit kenderaan keluar dari Malaysia. Rekod ini adalah lebih tinggi dari jumlah 794 unit yang dicatatkan pada Mac lalu, dan jumlah keseluruhan kenderaan yang dieksport untuk tahun ini telah mencecah sebanyak 4,040 unit.

    Proton Saga masih lagi kekal sebagai model dengan jumlah eksport tertinggi syarikat berkenaan, sementara X70 dan X50 mencatatkan rekod eksport terbaik masing-masing bulan lalu. Proton menjangkakan jumlah eksportnya akan terus meningkat selepas ini apabila operasinya di Afrika Selatan akan secara rasmi bermula semula pada bulan ini.

    “Jualan eksport Proton terus mencapai tahap baharu setiap bulan dan membuktikan bahawa jenama ini berjaya memenangi hati pelanggan baharu di luar pasaran domestik. Jualan eksport adalah penting untuk syarikat mencapai matlamat jangka panjangnya dan membantu meningkatkan imbangan perdagangan untuk Malaysia sambil mempamerkan kualiti dan kepintaran pembekal Malaysia,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah.

    Proton eksport 938 unit kenderaan sepanjang Ogos 2022, 4,040 keseluruhan tahun ini; Saga paling laris

    Selain dari mempamerkan prestasi yang bertambaik pada pasaran eksport, Proton turut mengumumkan bahawa ia mencapai jumlah jualan bulanan tertingginya sejak sembilan tahun, dengan rekod 15,880 unit kenderaan berjaya dijual dalam pasaran domestik dan eksport sepanjang Ogos 2022.

    Ini menjadikan jualan kumulatif tahunan Proton setakat ini adalah 87,481 unit, berbanding hanya 62,637 unit untuk tempoh sama (Januari-Ogos) tahun lalu, atau naik sebanyak 39.7%.

    Prestasi eksport Proton untuk separa pertama 2022 telah pun mencapai 2,722 unit sehingga Jun lalu, atau naik 81.2% berbanding tempoh sama tahun sebelumnnya. Sehingga Julai 2022, Saga masih lagi model yang mencatatkan jumlah eksport tertinggi untuk Proton dengan 1,602 unit telah dieksport untuk separa pertama tahun ini. Pakistan terus menjadi pasaran eksport terbesar Proton dengan mencatatkan 1,770 unit jualan, di mana angka tersebut adalah 183% lebih tinggi berbanding jumlah jualan pada separa pertama 2021.

     
     
  • Nissan Z 2023 masih guna komponen dari 370Z bagi pastikan ia mampu milik dan diluluskan syarikat

    Nissan Z 2023 masih guna komponen dari 370Z bagi pastikan ia mampu milik dan diluluskan syarikat

    Seperti yang diketahui sebelum ini, model generasi baharu Nissan Z yang didedahkan pada Ogos tahun lalu sebenarnya masih menggunakan platform model generasi terdahulu, iaitu Z34 370Z yang dirombak dengan proses kejuruteraan semula yang signifikant, bersama pelbagai komponen yang masih dikongsi terus.

    Malah enjin 3.0 liter V6 Twin Turbo berkuasa 405 PS/475 Nm yang digunakan pada model Z 2023 ini juga dikongsi bersama model-model Nissan lain, khususnya untuk jenama premiumnya iaitu Infiniti Q50 dan Q60. Ketua pakar produk Nissan Z, Hiroshi Tamura memberitahu portal automotif Australia, CarExpert, ini merupakan elemen yang penting bagi memastikan legasi Nissan Z dapat diteruskan.

    Tamura memberitahu bahawa projek pembangunan Nissan Z generasi baharu ini bermula pada Mac 2017, selepas dia menulis sendiri satu nota dengan tulisan tangan. Dalam nota tersebut, Tamura menyatakan bahawa ketika itu Nissan 370Z sudah tidak lagi laris dalam pasaran kerana rekaan luaran, prestasi dan juga pelbagai perkara lain sudah terlalu lama tidak menerima rombakan besar.

    Nissan Z 2023 masih guna komponen dari 370Z bagi pastikan ia mampu milik dan diluluskan syarikat

    Nissan 370Z 50th Anniversary Edition

    Oleh itu bagi membolehkan ia dijual seperti yang diharapkan oleh syarikat, Tamura menulis dalam nota tersebut bahawa ia perlu hadir dengan rupa luaran baharu sepenuhnya, kemaskini perlu dibuat pada sebahagian aspek pada kabin serta memerlukan kuasa enjin sekurang-kurangnya 400 hp yang hanya boleh dicapai menerusi enjin yang disuap oleh dua pengecas turbo.

    Walau bagaimanapun, menghasilkan model kemaskini untuk kereta sport Z mereka bukan menjadi keutamaan Nissan kerana ketika itu kerana syarikat berkenaan sedang bergelut dengan pelbagai masalah, yang menyebabkan pelbagai penstrukturan semula dan juga proses mengurangkan kos sedang dibuat. Jadi, satu-satunya cara bagi pihak pengurusan syarikat meluluskan projek Nissan Z generasi baharu ini adalah dengan menggunakan platform dan juga komponen dari model sedia ada.

    “Secara jujurnya, sekitar 80% pada bahagian badan, kami telah mengubah komponennya. Walau bagaimanapun, menggunakan komponen dari model sedia ada adalah penting buat kami, dan ia bermaksud [pelanggan] akan menikmati harga yang mampu milik,” kata Tamura kepada CarExpert.

    Nissan Z 2023 masih guna komponen dari 370Z bagi pastikan ia mampu milik dan diluluskan syarikat

    Beliau turut menambah bahawa projek Nissan Z generasi baharu ini mungkin tidak akan diluluskan oleh Nissan sekiranya pembuat-pembuat keputusan mahukan ianya dibangunkan dengan platform baharu sepenuhnya serta kos R&D dan produksi yang tinggi.

    Untuk pengetahuan anda, ketika Nissan Z34 dibangunkan, ia juga sebenarnya bukan menggunakan platform baharu, sebaliknya menggunakan platform model generasi sebelumnya iaitu Z33 350Z, iaitu platform “Front Midship” Nissan yang pertama kali digunakan pada Infiniti G35, muncul pada tahun 2001. Jadi secara asasnya, kerangka yang digunakan ini sudahpun berumur sekitar 20-tahun.

    Dalam laporan sebelum ini, Hiroshi Tamura mengesahkan bahawa kerangka yang digunakan pada Nissan Z 2023 menerima kejuruteraan semula yang ekstensif bagi menghasilkan kerangka yang jauh lebih kuat. Sistem suspensi hadapan double wishbone juga masih digunakan, namun kali ini ia menampilkan geometri yang telah direka semula bersama sudut caster lebih besar. Ia sudah tidak lagi menggunakan sistem stereng kuasa bantuan hidraulik, dan digantikan dengan sistem bantuan elektrik.

    Ia didatangkan standard dengan kotak gear enam-kelajuan manual dan menampilkan opsyen transmisi sembilan-kelajuan automatik. Seperti enam generasi Z sebelum ini, kuasa dari enjin dialirkan sepenuhnya hanya ke roda belakang. Malah versi kotak gear manual turut ditawarkan dengan LSD jenis mekanikal pada gandar belakang, Launch Control, Downshift Rev Matching (heel and toe automatik) serta aci pacu dari kotak gear ke gandar belakang yang diperbuat dari komposit gentian karbon.

    Dan antara daya penarik utama pada Nissan Z 2023 ini sudah tentu pada rekaan luaran dan dalamannya, kerana menerima inspirasi yang sangat besar dari model klasik kereta sport Z generasi pertama iaitu Nissan Fairlady Z/Datsun 240Z S30 1969.

    GALERI: Nissan Z 2023

     
     
  • Pemandu Honda City yang memotong di garisan berkembar di Pahang telah ditahan polis

    Nampak gayanya kisah kemalangan jalan raya yang berpunca dari kenderaan memotong di jalan berselekoh, yang hanya ada satu lorong atau pun di garisan berkembar memang sukar menjadi pengajaran di kalangan segelintir pemandu.

    Jika anda lihat video di bawah ini, boleh ‘mengucap’ panjang disusuli dengan mengecam tindakan pemandu Honda City berwarna merah yang memotong di garisan berkembar di laluan luar bandar, seperti yang dirakamkan menerusi dashcam kenderaan yang bertentangan dengannya. Mujur ada kawasan berumput di bahu jalan yang membolehkan kenderaan perakam mengelak dan berhenti mendadak di bahu jalan tersebut. Sekurang-kurangnya dapatlah dia mengelak dari bertembung dengan Honda City terbabit.

    Insiden tersebut berlaku pada 29 Ogos lalu dan dikongsikan menerusi laman Facebook Muadzam Maju. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar, insiden terbabit berlaku di KM124 Jalan Kuantan-Segamat. Menerusi rakaman video tersebut, Honda City dengan plat nombor pendaftaran JVC 9323 telah pun dapat dikesan, beralamat di Bukit Beruang, Melaka.

    Dan disebabkan video berkenaan telah pun tular dan mendapat perhatian pihak polis, pemandu Honda berkenaan akhirnya menyerah diri di IPD Rompin pada 30 Ogos dan telah pun ditahan serta disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan atas kesalahan pemanduan secara berbahaya.

    Harap video yang tular ini mampu dijadikan pengajaran buat semua pemandu agar lebih berwaspada dan bertimbang rasa ketika memandu. Jangan kerana kealpaan kita, orang lain yang tidak bersalah menjadi mangsa. Selain itu, pentingnya ada dashcam di dalam kenderaan, kerana ia boleh juga dijadikan bahan bukti untuk kesalahan sebegini.

     
     
  • JPJ eBid: Siri plat VJR, SYV bakal dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari W.P Kuala Lumpur dan Sabah bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini W.P Kuala Lumpur, VJR, bakal dibuka bidaan mulai esok, 2 September, dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 6 September 2022. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 7 September. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah pula, SYV, bidaannya bakal dibuka bermula 4 September dan akan berakhir jam 10 malam pada 8 September 2022. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 9 September ini.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Subaru XV 2023 diperkenalkan pada 15 September ini

    Subaru XV 2023 diperkenalkan pada 15 September ini

    Subaru XV generasi akan datang dijadualkan bakal didedahkan 15 September ini, seperti mana yang diuar-uarkan sendiri oleh pengeluarnya menerusi video yang telah disebarkan menerusi Internet.

    Walau pun rekaannya tidak begitu jelas kelihatan menerusi klip video ini, namun nampak gayanya XV terkini ini bakal menerima lampu utama yang direka semula dengan lampu nyalaan siang LED pada dua jaluran terpisah, berbanding model semasa yang menggunakan satu unit elemen berbentuk-C.Untuk bahagian belakangya pula, kelihatan lampynya yang turut menggunakan elemen berbentuk-C.

    Walau bagaimana pun, untuk ruang kabinnya tidak pula ditunjukkan menerusi viduo ini, namun difahamkan XV generasi ketiga ini bakal membawa elemen yang agak mirip dengan WRX 2022, yang menampilkan skrin sesentuh infotainmen 11.6-inci serta bezel yang sama bagi kawalan pendingin hawa.

    Subaru XV 2023 diperkenalkan pada 15 September ini

    Perincian penjana kuasa bagi XV baharu ini juga akan didedahkan. Di Jepun, XV generasi kedua ditawarkan dengan enjin 1.6 liter naturally-aspirated empat-silinder boxer yang mampu menghamburkan kuasa hingga 115 PS pada 6,200 rpm dan tork 148 Nm pada 3,600 rpm.

    Sementara ini, bagi versi e-Boxer hybrid pula, ia diberikan enjin 2.0 liter kitaran-Atkinson dengan 145 PS/188 Nm yang digandingkan bersama motor elektrik 14 PS/65 Nm; Lineartronic CVT dan pacuan semua-roda diberikan secara standard untuk kedua-dua versi.

    Manakala di Amerika Syarikat (USA) pula, XV yang dikenali sebagai Crosstrek, menerima barisan enjin yang berlainan. Di mana pasaran USA diberikan enjin 2.5 liter petrol 182 hp/239 Nm dan 2.0 liter petrol 152 hp/195 Nm, kedua-dua enjin empat-silinder boxer ini digandingkan dengan Symmetrical All-Wheel Drive secara standard.

    GALERI: Subaru XV 2.0i-P EyeSight GT Edition 2022 di Malaysia

     
     
  • Pengecas DC 180 kW di R&R Pedas Linggi arah utara sudah boleh digunakan dengan JomCharge atau Setel

    Pengecas DC 180 kW di R&R Pedas Linggi arah utara sudah boleh digunakan dengan JomCharge atau Setel

    Satu pengecas pantas DC 180 kW ABB baru di stesen Petronas R&R Pedas Linggi arah utara kini sudah boleh digunakan. Dengannya, pengguna EV yang mahu menggunakan pengecas pantas dalam perjalanan dari JB ke KL tidak perlu lagi membuat pusingan U untuk menggunakan pengecas di Shell R&R Tangkak arah selatan. Mereka cuma perlu meneruskan lagi perjalanan 80 km lagi ke hadapan.

    Dua lot letak kereta disediakan untuk pengecas ini, dan ia menyediakan dua kabel CCS2 yang sekarang boleh mengeluarkan 180 kW apabila hanya satu kabel sahaja yang digunakan. Sekiranya dua-dua sedang diguna, 90 kW dikeluarkan untuk setiap satu.

    Pengecas baru ini adalah pengecas kedua dalam rangkaian pengecas Petronas/Gentari dengan kerjasama Mercedes-Benz Malaysia (MBM) dan EV Connection (EVC). Pengecas 180 kW pertama adalah di stesen Petronas R&R Gambang menghala ke Pantai Timur.

    Pengecas DC 180 kW di R&R Pedas Linggi arah utara sudah boleh digunakan dengan JomCharge atau Setel

    Ada beberapa perbezaan antara pengecas baru ini dengan pengecas di Gambang. Pengecas di Gambang dihadkan kepada kuasa maksimum 90 kW bagi setiap kabel (walaupun hanya satu sedang digunakan), dan anda perlu membayar RM2.20 bagi setiap minit.

    Kabel pengecas di Pedas Linggi pula boleh mengeluarkan sehingga 180 kW jika hanya satu sedang digunakan. Bagaimana pula dengan harga? Setakat ini harga masih belum diumum, dan ia boleh digunakan secara percuma sehingga 16 September 2022. Walaupun percuma, anda masih perlu mengaktifkannya dengan aplikasi JomCharge ataupun Setel.

    PlugShare: Pengecas 180 kW Petronas R&R Pedas Linggi arah utara

    Gunakan kod “5h9f3” apabila anda memuat turun aplikasi Setel

     
     
  • Honda Civic Type R 2023 – spesifikasi didedah, enjin 2.0L VTEC Turbo kini hasilkan 330 PS dan 420 Nm

    Honda Civic Type R 2023 – spesifikasi didedah, enjin 2.0L VTEC Turbo kini hasilkan 330 PS dan 420 Nm

    Semasa Civic Type R serba baru didedahkan Julai lalu, Honda tidak memberitahu berapa banyak kuasa yang dihasilkan oleh enjin VTEC Turbo pada model hot hatch tersebut. Sekarang dengan pelancaran untuk pasaran Jepun dan Amerika Syarikat (AS) telah pun diumum, kita sudah mendapat jawapannya.

    Sama seperti Civic Type R FK8 sebelum ini, model baru FL5 juga masih menggunakan enjin empat silinder turbo 2.0 liter, yang dipadankan bersama transmisi manual enam kelajuan untuk memacu roda hadapan. Sementara FK8 menghasilkan 320 PS (316 hp) dan tork 400 Nm, Civic Type R baru ini pula berkemampuan 330 PS (326 hp) pada 6,500 rpm dan 420 Nm dari 2,600 hingga 4,000 rpm – peningkatan 10 PS (10 hp) dan 20 Nm.

    Jumlah ini hanya untuk model pasaran Jepun, sementara di AS pula ia adalah berlainan. Disebabkan oleh peraturan emisi di sana, kuasa enjin model pasaran AS dihadkan kepada 319 PS (315 hp) sementara tork masih 420 Nm. Walaupun tidak setinggi kuasa model pasaran Jepun, ia masih lagi meningkat 9 PS (9 hp) dan 20 Nm berbanding FK8 pasaran AS sebelum ini.

    Jumlah kuasa lebih tinggi ini adalah hasil daripada pengecas turbo yang direka semula, di mana saiz, bentuk serta jumlah bilah dalam turbin dioptimakan bersama laluan udara ke bahagian intake. Perubahan lain adalah termasuk kadar laluan udara yang meningkat serta sistem ekzos lebih cekap (turut mempunyai injap aktif).

    Selain penambah baikan pada bahagian enjin, Honda juga telah menyatakan beberapa perubahan lain yang dibuat pada Type R baru ini. Antaranya, bahagian bukaan untuk radiator telah ditingkatkan sebanyak 48% hasil daripada bukaan gril yang diluaskan, seperti yang boleh dilihat pada bahagian hadapan model FL5 ini.

    Turut digunakan adalah flywheel yang lebih ringan serta sistem rev-match yang ditala semula untuk memastikan pemasaan rev yang lebih sempurna apabila menukar kepada gear lebih rendah. Transmisi model ini juga mendapat batang penukar berketahanan tinggi serta corak laluan penukaran yang lebih tepat, dan dipadankan bersama LSD jenis helical serta tombol aluminium.

    Pada bahagian suspensi, tetapan MacPherson di hadapan berserta multi-link di belakang telah ditala semula untuk kestabilan laluan lurus serta rasa stereng yang lebih baik. Anda masih akan mendapat penyerap kawalan elektronik, yang boleh dilaras mengikut mod pemanduan Comfort, Sport dan R+, sementara mod Individual memberikan pelarasan yang lebih terperinci.

    Honda Civic Type R 2023 – spesifikasi didedah, enjin 2.0L VTEC Turbo kini hasilkan 330 PS dan 420 Nm

    Kelengkapan pada brek termasuk cakera hadapan two-piece masih lagi sama seperti model sebelum ini, tetapi sistemnya telah dipadankan bersama penyejukan yang lebih baik serta booster yang ditala semula untuk memberikan lebih rasa dan kawalan.

    Honda juga bekerja rapat dengan Michelin untuk membangunkan tayar Pilot Sport 4S yang digunakan pada Type R baru ini, di mana ia bersaiz 265/30 – 20 mm lebih lebar dan dipadankan bersama rim 19 inci yang dikatakan mempunyai rekaan yang dapat membantu stabiliti.

    Kombinasi rim dan tayar baru ini menjadikan lebar antara tayar kiri dan kanan di hadapan bertambah 25 mm, sementara di belakang bertambah 12.7 mm. Apabila bergabung dengan badan hatchback, serta rekaan khas untuk Type-R, kereta ini menjadi 20 mm lebih panjang dan 15 mm lebih lebar. Kedudukan kenderaan juga semakin rendah 12.7 mm, dan Honda juga memberitahu pemandu dapat duduk lebih rendah dengan rekaan tempat duduk baru.

    GALERI: Honda Civic Type R 2023

     
     
  • Tambang percuma buat pemegang kad OKU hingga 30 Sept – MRT, LRT, KL Monorel, BRT, bas Rapid KL

    Tambang percuma buat pemegang kad OKU hingga 30 Sept – MRT, LRT, KL Monorel, BRT, bas Rapid KL

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong telah mengumumkan semua pemegang kad OKU boleh menikmati tambang percuma untuk pengangkutan awam bermula semalam, 31 Ogos sehingga 30 September 2022 sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65. Tambang percuma itu khusus untuk pemegang kad OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pemegang kad konsesi OKU MyRapid.

    Ia adalah melibatkan semua pengangkutan awam yang dikendalikan oleh Prasarana, termasuk LRT, MRT, KL Monorel, BRT, bas henti-henti dan Rapid Mobiliti.

    Kemudahan ini bakal memanfaatkan pengguna di kalangan OKU bagi perkhidmatan bas dan rel dengan purata masing-masing seramai 23,527 dan 26,762 orang bagi tempoh sebulan, ujar Wee menerusi catatannya di laman Facebook rasminya.

    Ini bukanlah kali pertama tambang percuma diberikan untuk rakyat. Pada Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan semua pengguna KTM Komuter dan pengangkutan awam kendalian Prasana berpeluang menikmati tambang percuma selama sebulan.

     
     
  • Pasaran kenderaan terpakai dijangka meningkat dua angka pada tahun 2022, 2023 dan 2024 – FMCCAM

    Pasaran kenderaan terpakai dijangka meningkat dua angka pada tahun 2022, 2023 dan 2024 – FMCCAM

    Nampaknya bukan sahaja permintaan untuk kenderaan baru sahaja yang meningkat. Industri kenderaan terpakai juga sama, dengan dilaporkan dalam laluan betul untuk mencatat pertumbuhan dua angka pada tahun ini, sehingga tahun 2024, seperti yang diberitahu oleh presiden Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM), Datuk Tony Khor.

    Dalam satu temu ramah dengan The Star, Khor berkata, meskipun pada tahun 2021 catatan jualan kenderaan terpakai tidak mencecah 400,000 unit, tahun ini ia dijangka melebihi jumlah tersebut. “Kami mengunjurkan peningkatan dua angka pada tahun 2022, 2023 dan 2024, dan menjangkakan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 10% untuk tiga tahun akan datang,” tambah Khor.

    Tambah beliau, sektor ini dijangka menunjukkan kadar pertumbuhan tinggi pada masa hadapan, dengan dibantu oleh populariti serta kemudahan platform kenderaan terpakai dalam talian serta sentimen pengguna yang lebih baik.

    Pasaran kenderaan terpakai dijangka meningkat dua angka pada tahun 2022, 2023 dan 2024 – FMCCAM

    Selain daripada itu, Khor turut menyatakan bahawa di negara maju lain, nisbah jualan kenderaan terpakai berbanding kenderaan baru adalah sekitar dua kepada satu. Sementara di Malaysia jumlah tersebut masih lagi lebih rendah, Khor optimis nisbah itu akan menjadi lebih hampir seperti di negara lain.

    Khor juga berharap jualan kenderaan baru akan terus bertambah. “Apabila lebih ramai orang membeli kenderaan baru, mereka juga perlu menjual kenderaan lama mereka,” kata beliau. Walaubagaimanapun, dengan kekurangan kenderaan baru yang berlaku sekarang, ia juga telah memberi kesan kepada pasaran kenderaan terpakai, di mana ramai yang memilih untuk terus pakai kereta sedia ada.

     
     
  • Minyak RON 95, diesel dijangka ikut harga pasaran tahun depan – bersedia nak bayar RM4 untuk seliter?

    Minyak RON 95, diesel dijangka ikut harga pasaran tahun depan – bersedia nak bayar RM4 untuk seliter?

    Pengguna kenderaan di Malaysia akan membayar harga pasaran untuk petrol RON 95 dan diesel tidak lama lagi, memandangkan terdapat kemungkinan tinggi subsidi bersasar akan dilaksanaka tahun hadapan. Ini adalah pandangan daripada Maybank Investment Bank, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    “Kami menjangkakan harga RON95 dan diesel yang lebih tinggi tahun depan dengan semakan semula subsidi bahan api. Kami difahamkan ujian mekanisme subsidi bersasar dimulakan bulan lalu dan akan berjalan tiga hingga enam bulan. Justeru, anggapan kami subsidi bahan api akan disemak semula tahun depan sebagai sebahagian agenda dalam Bajet 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober ini,” kata Maybank IB dalam satu nota penyelidikan.

    Sekarang ini memang nampak jelas subsidi bahan api menyeluruh di Malaysia perlu dirombak. Golongan berpendapatan tinggi T20 kini menikmati sekitar RM8 bilion subsidi minyak berbanding RM6 bilion oleh golongan B40. Perkara ini didedahkan oleh menteri kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz Mei lalu.

    Minyak RON 95, diesel dijangka ikut harga pasaran tahun depan – bersedia nak bayar RM4 untuk seliter?

    Beliau mengulang kembali apa yang dikatakan pada bulan Mei, iaitu golongan kaya di Malaysia menikmati bahagian besar subsidi daripada kerajaan. “Untuk setiap RM1 subsidi bahan api, 53 sen pergi kepada golongan T20 manakala 15 sen kepada B40. Jadi sebagai contoh, jika jumlah subsidi tahun ini dijangka menjadi RM30 bilion, lebih RM15 bilion pergi kepada T20, kata beliau pada masa itu.

    Sebabnya adalah mudah. Golongan atasan ini mempunyai lebih banyak kereta, kereta mereka mempunyai tangki lebih besar dan menggunakan lebih banyak bahan api. Subsidi bersasar memang diperlukan, tetapi agak sukar untuk mendapat satu sistem yang boleh memberi manfaat kepada penerima yang sepatutnya dan universal.

    Pada bulan Julai, Tengku Zafrul menyatakan bahawa satu mekanisme untuk subsidi bersasar sedang diuji. “Kerajaan ingin melaksanakan satu mekanisme subsidi bersasar yang kukuh dan tidak memberikan kesan buruk kepada rakyat,” kata beliau.

    Minyak RON 95, diesel dijangka ikut harga pasaran tahun depan – bersedia nak bayar RM4 untuk seliter?

    “Keutamaan kerajaan adalah sebarang mekanisme subsidi bersasar ini dapat memberi manfaat kepada semua. Subsidi kita tetap akan laksanakan tetapi perlu memastikan sistem dan pelaksanaannya adalah tepat. Ujian seperti ini memberikan hasil tepat kepada kerajaan bagi menentukan tahap penggunaan rakyat. Ini kerana setiap pengguna bahan api adalah berbeza antara luar bandar dan bandar. Sub-segmen subsidi ini perlu diperhalusi,” kata Zafrul.

    Kita masih perlu menunggu untuk perincian selebihnya, yang mungkin akan diumumkan sewaktu Bajet 2023 bulan hadapan. Melihat kepada negara jiran, Indonesia, mereka juga sedang dalam dilema berkenaan subsidi bahan api. Dengan peruntukan subsidi yang telah berganda tiga kali, republik itu kini bercadang meningkatkan harga bahan api sehingga 30%.

    Adakah anda bersedia untuk membayar bahan api mengikut harga pasaran? RON 97 sekarang berada pada harga RM4.30 seliter.

     
     
  • Aston Martin DBX707 diperkenalkan di Malaysia – enjin 4.0L V8, 707 PS dan 900 Nm; bermula dari RM1.098 juta

    Aston Martin DBX707 diperkenalkan di Malaysia – enjin 4.0L V8, 707 PS dan 900 Nm; bermula dari RM1.098 juta

    Aston Martin Kuala Lumpur akhirnya membawa masuk SUV mewah paling berkuasa di dunia, Aston Martin DBX707 untuk pasaran tempatan. Dikuasakan oleh enjin 4,0 liter pengecas turbo-berkembar V8 ini dengan hamburan output 707 PS (697 hp) pada 4,500 rpm dan tujahan tork 900 Nm pada 6,000 rpm. Peningkatan signifikan ini memberikannya kuasa tambahan sebanyak 157 PS dan 200 Nm berbanding model terdahulu.

    SUV ini turut digandingkan bersama kotak gear automatik sembilan-kelajuan dengan multi-plate wet cluth. Ia merupakan kotak gear dari Mercedes-AMG yang pertama kali diperkenalkan untuk model E 63 W213. Gandingan kedua-dua komponen mekanikal tersebut membolehkan SUV ini dipecut dari 0-100 kmj dalam 3.3 saat dan kelajuan maksimum cecah 310 km/j!

    Beberapa bahagian mekanikal yang pastinya sangat membantu untuk ledakan prestasi yang lebih menguja. Antaranya carbon ceramic brake (CCB) yang berukuran 420 mm di hadapan dan 390 mm di belakang diberikan secara standard untuk DBX707. CCB ini diapit dengan kaliper 6-piston dan ia juga menyumbang kepada pengurangan berat jentera sebanyak 40.5 kg.

    Aston Martin DBX707 diperkenalkan di Malaysia – enjin 4.0L V8, 707 PS dan 900 Nm; bermula dari RM1.098 juta

    Selain itu, damper valving baharu turut diberikan bagi mempertingkatkan sistem suspensi udaranya bagi selari dengan peningkatan untuk kawalan badan dan respons stereng kuasa elektrik. Untuk pengendalian yang lebih padu, mod pemanduan GT Sport dan Sport+ kini turut ditampilkn dengan “Race Start”.

    DBX707 ini berukuran 5,039 mm panjang, 2,220 mm lebar, 1,680 mm tinggi dan jarak roda pula 3,060 mm. Untuk ruang penyimpanan barang di belakang, kapasitinya mencecah 638 liter (tambahan 81 liter untuk storan di bawah lantai). SUV ini memiliki jarak kelegaan tanah sehingga 175 mm.

    Melihat imej yang dibawa, penggayaan DBX707 ini pastinya menambahkan keterujaan para peminatnya. Ia diberikan gril hadapan yang lebih besar dengan enam palang mendatar dan juga digandingkan bersama lampu utama LED dengan fungsi lampu tinggi automatik serta lampu nyalaan siang (DRL) baharu yang nipis melunjur ke bawah jaluran tunggal.

    Selain itu, ia turut digandingkan dengan corong pengambilan udara, saluran penyejukan brek dan splitter hadapan baharu. Peningkatan ciri ini membantu menambahkan lagi aliran udara penyejukan untuk mengekalkan prestasi yang optimum.

    Bukan itu sahaja, lip spoiler baharu turut ditambah pada bahagian bumbung yang turut berfungsi meningkatkan kestabilan kenderaan bila dipacu dalam kelajuan yang tinggi. Ia juga diberikan dua diffuser belakang berkembar dengan sistem ekzos segi empat rona hitam yang lebih besar.

    Menariknya, ekzos baharu ini turut menerima talaan baharu bagi memberikan bunyi yang lebih unik dan menguja. Untuk rodanya pula, ia kekal dengan saiz 22-inci secara standard yang dibaluti tayar Pirelli P Zero 285/40 di hadapan dan 325/35 di belakang. Ia juga diberikan pintu tanpa bingkai soft-close dan bumbung suria kaca panoramik.

    Aston Martin DBX707 diperkenalkan di Malaysia – enjin 4.0L V8, 707 PS dan 900 Nm; bermula dari RM1.098 juta

    Menjengah bahagian kabinnya, ciri serba mewah, sporty dan sofistikated menyerlah di sana sini. Antara ciri yang diberikan termasuklah tempat duduk hadapan dengan ketetapan tiga fungsi memori, tempat duduk balutan kulit dan Alcantara, kemasukan tanpa kunci dengan butang start/stop, kawalan suhu automatik tiga-zon, cermin pandang belakang auto-kelam dan pencahayaan ambien dengan 64 warna.

    Untuk konsol tengah pula, terletaknya kawalan untuk mod pemanduan baharu dan butang bagi suspensi, kawalan kestabilan, mod kotak gear manual dan ekzos aktif. Selain itu, ia juga diberikan Infotainment Touchpad and Dial, kamera belakang dengan sistem kamera 360-darjah dan pedal sport dengan kemasan krom satin.

    Bagi aspek keselamatannya, ia diberikan Kawalan Kelajuan Adaptif, Pengehad Kelajuan, Amaran Pelanggaran Hadapan, Brek Kecemasan Sendiri (AEB) dengan pengesan pejalan kaki, Amaran Ketibaan Lorong (LDW), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Menukar Lorong (LCW), Amaran Trafik Lintasan Belakang (RCT) dan Pengesan Isyarat Trafik (TSR).

    Selain itu, ia juga tampil dengan Amaran Titik Buta (BSW), Amaran Pintu Dibuka, enam beg udara, cagak ISOFIX, bantuan Parkir dan pengesan parkir hadapan dan belakang dengan visual indicator.

    Aston Martin DBX707 kini telah pun dibuka tempahan untuk pasaran Malaysia dan ditawarkan pada harga bermula RM1,098,000 tidak termasuk segala jenis cukai dan pilihan ciri kustom. Ia juga diberikan pilihan waranti lanjutan sehingga 20 tahun.

     
     
  • Harga minyak 1-7 September – semuanya kekal

    Harga minyak 1-7 September – semuanya kekal

    Bagi minggu pertama September 2022, Kementerian Kewangan telah mengumumkan tiada kenaikan harga bagi ketiga-tiga bahan api utama. Justeru, harga runcit bagi petrol RON 97 masih dikekalkan pada RM4.30 seliter seperti pada minggu sebelum ini.

    Manakala harga petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling turut dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20 juga, harganya turut dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Volvo C40 Recharge bakal dilancar untuk pasaran Malaysia – 408 PS, 660 Nm, jarak gerak elektrik 420 km

    Volvo C40 Recharge bakal dilancar untuk pasaran Malaysia – 408 PS, 660 Nm, jarak gerak elektrik 420 km

    Volvo Car Malaysia (VCM) telah membuat pengumuman bahawa pelancaran Volvo C40 Recharge semakin hampir, dengan membuka laman khas untuk pendaftaran minat orang ramai serta pendedahan beberapa perincian awal. Apabila tiba nanti, C40 Recharge akan menjadi model elektrik kedua syarikat itu, selepas XC40 Recharge Pure Electric.

    Antara yang didedahkan adalah jarak gerak elektrik 530 km dan masa pecutan 0-100 km/j 4.7 saat. Bagi jarak gerak itu, ia melebihi jarak gerak WLTP 420 km yang dinyatakan untuk C40 sewaktu ia diperkenalkan buat kali pertama secara global Mac lalu, tetapi ia mengikut standard NEDC . Sebagai perbandingan, mengikut penilaian WLTP, XC40 Recharge Pure Electric mampu mencatat jarak gerak 418 km.

    Apa pun, masa pecutan itu jelas memberi petunjuk kepada unit penggerak elektrik motor berkembar P8 AWD yang digunakan pada XC40 Recharge Pure Electric, tetapi ia lebih lambar 0.2 saat. Jumlah kuasa keseluruhan adalah 408 PS (402 kW atau 300 kW) dan tork 660 Nm, dengan sumbernya datang daripada bateri lithium ion berkapasiti 78 kWh. Kedua-dua pengecas AC Type 2 dan DC CCS2 boleh digunakan, dengan masa hanya 40 minit untuk penuh dari kosong ke 80% (DC).

    Selain daripada pecutan yang lebih pantas, C40 juga menawarkan penampilan yang lebih sporty, dengan garis bumbung yang lebih sporty dan landai ke belakang, bagi menyesuaikannya dengan imej Coupe yang dibawa. Perbezaan tersebut menjadikan C40 ini 70 mm lebih rendah (1,582 mm) berbanding XC40.

    Rupa garis bumbung yang berbeza juga memerlukan bahagian dari tingkap sisi belakang C40 ini direka semula. Dengan pintu hatch yang lebih landai, C40 diberikan dua spoiler – satu pada bumbung dan satu lagi pada hujung bahagian but. Lampu belakang juga sudah tentu perlu dirombak bagi disesuaikan dengan bentuk baharu ini.

    Ketibaan C40 Recharge ke pasaran Malaysia sebenarnya sudah diketahui sejak awal tahun lagi, iaitu sewaktu pelancaran XC40 Recharge Pure Electric, dan ia dijangka dipasang di dalam negara (CKD). Harga masih tidak diketahui, tetapi melihat kepada Thailand, C40 Recharge dijual lebih mahal berbanding XC40 Recharge Pure Electric. Di Malaysia, XC40 Recharge Pure Electric dijual pada harga RM262,460 tidak termasuk insurans.

    GALERI: Volvo C40 Recharge

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025