Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Malaysia rai penghantaran pertama Honda HR-V 2022 – lebih 1,300 unit telah dihantar sejak dilancar

    Honda Malaysia rai penghantaran pertama Honda HR-V 2022 – lebih 1,300 unit telah dihantar sejak dilancar

    Honda Malaysia telah meraikan penghantaran pertama bagi Honda HR-V 2022 kepada Nurul Hafida Mhd Jais dalam majlis penyerahan rasminya di MJN Motors di Cheras, Selangor.

    Selain menerima kunci bagi HR-V RS e:HEV baharu miliknya, Nurul Hafida turut dihdiahkan aksesori Honda, Ultra Glass Body Coating dan juga cenderahati rasmi Honda bernilai RM5,700 sebagai token penghargaan.

    “Sambutan yang kami terima terhadap HR-V serba baharu ini sangat menggalakkan dan kami percaya model baharu ini sekali lagi akan menjadi sensasi seperti mana sebelum ini. Hari ini, kami teruja untuk menyerahkan HR-V serba baharu kepada pemilik pertamanya, Nurul Hafida,” kata Hironobu Yoshimura, CEO dan Pengarah Urusan Honda Malaysia.

    Tambah beliau, lebih 1,300 unit HR-V serba baharu ini telah dihantar kepada para pelanggan dalam tempoh sebulan selepas ia dilancarkan pada 14 Julai lalu. Buat masa ini, Honda Malaysia telah menerima lebih 20,000 tempahan dan tempoh senarai menunggu mencecah lebih 12 bulan.

    Honda Malaysia rai penghantaran pertama Honda HR-V 2022 – lebih 1,300 unit telah dihantar sejak dilancar

    “Saya telah melakukan kajian mengenai HR-V baharu ini sebelum ia dilancarkan di Malaysia. Gaya luaran dan penampilannya menarik perhatian saya dan disebabkan itulah saya membuat keputusan untuk menempahnya sebaik sahaja tempahannya dibuka,” kata Nurul Hafida yang menghadiri majlis itu bersama keluarganya.

    Sementara itu, Wan Hazmi Dato’ Wan Mustafa, pemilik MJN Motors pula berkata, “Permintaan terhadap HR-V baharu ini adalah tinggi, dan oleh itu, kami berbesar hati menjadi pengedar yang menyampaikan HR-V pertama kepada pelanggan kami. Kami komited untuk terus menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kami dalam semua aspek.”

    HR-V 2022 didatangkan dengan empat varian, bermula dengan model asas S yang dijanakan oleh enjin 1.5 liter naturally-aspirated DOHC i-VTEC empat-silinder. Diikuti dengan dua varian pengecas turbo iaitu E dan V, yang dipadankan dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo.

    Manakala model tertinggi ialah RS e-HEV, yang menampilkan penjana kuasa hibrid Multi-Mode Drive (i-MMD) digandingkan bersama enjin 1.5 liter kitaran Atkinson i-VTEC empat-silinder, dua motor elektrik dan e-CVT. Harganya bermula pada RM114,800 tanpa insurans untuk varian asas dan meningkat hingga RM140,800 untuk pilihan hibrid.

    GALERI: Honda HR-V RS e:HEV 2022

     
     
  • Honda CB250R pasaran Malaysia dipertingkat – RM24k

    Honda CB250R pasaran Malaysia dipertingkat – RM24k

    Honda CB250R versi dipertingkat yang diperkenalkan untuk pasaran Eropah dan Jepun Jun lalu kini sudah tiba di Malaysia dan dijual pada harga RM23,999. Ia ditawarkan dalam dua warna iaitu merah dan hitam, dan datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Meskipun harganya kini meningkat sedikit berbanding RM22,999 pada tahun 2019, model baru ini datang dengan beberapa peningkatan termasuk klac jenis assist/slipper, fork Showa SFF-BP (Separate Function Front Fork – Big Piston) 41 mm serta panel meter yang boleh memaparkan kedudukan gear.

    Bahagian lain semuanya masih kekal sama, termasuk enjin, iaitu unit satu silinder 250 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair yang berkemampuan 27.2 hp pada 9,000 rpm dan 23.4 hp pada 7,750 rpm, digabungkan bersama transmisi enam kelajuan.

    Suspensi belakang CB250R menggunakan monoshock dengan pelarasan pra beban, sementara brek cakera depan dan belakangnya dilengkapi dengan sistem ABS two-channel. Rim menggunakan saiz 17 inci dan dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang.

    Kelengkapan lain CB250R adalah termasuk tangki bahan api 10.1 liter, semua lampu jenis LED, berat keseluruhan 144 kg, tinggi tempat duduk 800 mm serta panel paparan digital LCD.

     
     
  • Proton sasar jual 800-1,000 unit EV smart setahun di Malaysia; sasaran kumulatif 10k unit menjelang 2027

    Proton sasar jual 800-1,000 unit EV smart setahun di Malaysia; sasaran kumulatif 10k unit menjelang 2027

    Pagi tadi Proton dan smart secara rasminya telah pun memuktamadkan perjanjian di mana Proton dilantik secara sah sebagai pengedar kenderaan jenama tersebut bukan sahaja di Malaysia, malah untuk pasaran Thailand yang akan bermula suku keempat tahun hadapan. Dalam majlis berkenaan, Proton turut ada menyatakan jumlah sasaran jualan mereka untuk kereta elektrik penuh (EV) jenama tersebut.

    Menurut naib CEO Proton Roslan Abdullah dalam sidang media ketika majlis itu, syarikatnya mensasarkan untuk menjual sekitar 800 hingga 1,000 unit EV smart setahun di Malaysia, dan jumlah sasaran kumulatif jualan menjelang 2027 adalah 10,000 unit.

    “Apa yang smart tawarkan adalah produk premium, jadi apabila anda mempunyai produk yang premium berbanding jenama EV lain, saya rasa kami tahu bahawa barisan produk [akan datang] agak sukar untuk diletakkan pada paras di bawah RM150,000,” kata Roslan.

    Beliau turut menyatakan bahawa berdasarkan tahap pendapatan sesetengah pembeli dalam segmen lebih muda, Proton mensasarkan untuk menjual produk ini kepada mereka yang berumur antara 25 hingga 35 tahun, di mana sebahagian daripada mereka sudahpun dilihat mampu memiliki kereta dengan harga lebih dari RM200,000.

    Ini bukan pertama kali smart bertapak di Malaysia. Ketika jenama ini masih sepenuhnya milik Daimler AG, ia dijual dipasaran tempatan oleh DaimlerChrysler Malaysia (sekarang dikenali sebagai Mercedes-Benz Malaysia). Bermula 2019, smart telahpun bekerjasama dengan Geely dan ia hanya akan menghasilkan model-model EV.

    Bagi model pertamanya di bawah kerjasama ini iaitu smart #1 dan model-model seterusnya, ia masih menerima rekaan dari Mercedes-Benz tetapi pembangunannya dibuat oleh Geely dengan menggunakan platform Sustainable Electric Architecture (SEA) yang dihasilkan oleh gergasi automotif China berkenaan.

    Dengan termeterainya perjanjian pengedaran am di antara Proton dan smart Automobile Company hari ini, smart #1 juga akan menjadi model pertama yang akan dijual oleh Proton di Malaysia, dan ia akan dilancarkan secara rasmi pada suku keempat 2023.

    smart #1 membuat kemunculan sulung globalnya di Berlin, Jerman pada awal April lalu, dan kemudian dilancarkan pada pasaran China pada hujung bulan yang sama. Buat masa sekarang ia ditawarkan dalam versi motor elektrik tunggal berkuasa 272 PS dan tork maksima 343 Nm bagi memacu gandar belakang, disuap dengan bateri berkapasiti 66 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 440 km berdasarkan kitaran WLTP.

    smart juga sudahpun mendedahkan varian prestasi untuk model ini yang diberikan lencana Brabus, yang bukan sahaja nampak lebih garang, malah dikatakan bakal menerima satu lagi motor untuk memacu roda hadapan dan mempunyai bekalan kuasa keseluruhan lebih 400 hp. Namun sama ada ia turut akan di bawa ke Malaysia atau tidak masih belum di ketahui.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Proton turut menyatakan bahawa model operasi pengedaran untuk jenama ini di Malaysia akan dibuat berdasarkan operasi smart di pasaran lain. Syarikat itu juga memberitahu ia akan membuat pelaburan dalam rangkaian pengecasan EV dengan kerjasama pembekal pengecasan tempatan, disamping menyedia dan memasang unit domestik untuk pelanggan yang berhasrat mengecas kenderaan mereka di rumah.

     
     
  • Proton gesa kerajaan lanjutkan tempoh pengecualian cukai 100% bagi EV untuk beberapa tahun lagi

    Proton gesa kerajaan lanjutkan tempoh pengecualian cukai 100% bagi EV untuk beberapa tahun lagi

    Susulan pemeteraian perjanjian pengedaran am di antara Proton dan smart Automobile Company yang melantik pengeluar kenderaan nasional itu, menerusi Proton Edar, sebagai pengedar dan pengimport rasmi smart untuk Malaysia dan Thailand, Proton menggesa kerajaan untuk melanjutkan tempoh pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan elektrik (EV).

    Menurut Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah, permintaan untuk melanjutkan tempoh pengecualian cukai ini untuk tempoh beberapa tahun lagi disifatkan sebagai pemangkin bagi menjana permintaan serta pasaran kenderaan sedemikian.

    Sebagai permulaan, Proton bakal membawa masuk SUV crossover elektrik penuh smart #1 ke pasaran Malaysia pada awal suku keempat (Q4) tahun 2023. Manakala Thailand pula akan menerima model yang sama pada separuh kedua tahun 2024. Unit yang dibawa masuk adalah pemanduan sebelah kanan (RHD), sesuai untuk pasaran kedua-dua negara berkenaan.

    Ketika ditanya sama ada Proton terlalu lambat untuk memasarkan EV keluaran smart ini hingga hujung tahun hadapan, Roslan berkata terdapat banyak manfaat yang boleh dicapai oleh Proton menerusi langkah itu.

    “Langkah menyediakan EV dari smart Automotive pada hujung tahun depan dapat memberikan kami peluang untuk mengkaji dan mempelajari kehendak pasaran. Ia bagi menjadikan model EV ini kelak dapat menepati kehendak pengguna Malaysia selain memastikan ekosistem infrastruktur EV dapat dipertingkatkan.

    “Kami juga menyasarkan untuk memperkenalkan model #1 pada umum seawal Mei depan dan biasanya tempahannya akan dibuka sebulan sebelum dilancarkan secara rasmi. Untuk harganya, ia akan diumumkan ketika ia dilancarkan,” katanya.

     
     
  • UK akan bentang cadangan no. pendaftaran dan had laju untuk basikal bagi cegah tunggangan berbahaya

    UK akan bentang cadangan no. pendaftaran dan had laju untuk basikal bagi cegah tunggangan berbahaya

    Setiausaha Pengangkutan Britain, Grant Shapps sudah pun mencadangkan untuk mengenakan had laju serta memberikan nombor pendaftaran untuk basikal, dan ia akan dibentangkan di Parlimen negara berkenaan pada lewat tahun ini, menurut laporan akhbar tempatan Wiltshire Live.

    Undang-undang berkenaan akan dikuatkuasakan untuk mengelakkan “kemalangan maut disebabkan tunggangan basikal yang merbahaya,” dan Shapps menyatakan bahawa beberapa tabiat penunggang basikal di atas jalan raya perlu dihentikan. Beliau menyatakan bahawa buat masa sekarang penunggang basikal tidak akan dikenakan undang-undang sekiranya menunggang dengan laju, dan perkara ini perlu diperbetulkan dengan turut mengenakan had laju untuk basikal.

    “Secara khususnya di mana terdapat lebih banyak jalan raya dengan had laju 20 batu sejam (32 km/j), penunggang basikal dengan mudah melebihi had laju tersebut, jadi saya mahu had laju berkenaan turut membabit penunggang basikal” tambah Shapps. Beliau turut menyatakan bahawa untuk mengenal pasti penunggang basikal yang melanggar undang-undang berkenaan, kerajaan mungkin akan mewajibkan basikal untuk mempunyai nombor pendaftaran dan insuran atau kaedah lain bagi tujuan tersebut.

    “Saya tidak nampak sebab mengapa penunggang basikal perlu melanggar undang-undang jalan raya, mengapa mereka perlu laju, mengapa mereka perlu melanggar lampu merah dan boleh terlepas dari sebarang tindakan,” kata ahli Parlimen Britain itu lagi.

    Buat masa sekarang, penunggang basikal yang menjadi punca kemalangan maut terhadap pejalan kaki di UK hanya boleh dipenjara selama dua tahun. Pengenalan undang-undang baharu ini kelak dijangka bakal menutup kelemahan undang-undang sedia ada tersebut.

     
     
  • Hyundai Motor Group kini pengeluar kenderaan ketiga terbesar di dunia mengikut jumlah jualan 1H 2022

    Hyundai Motor Group kini pengeluar kenderaan ketiga terbesar di dunia mengikut jumlah jualan 1H 2022

    Menurut laporan daripada Korea Times, Hyundai Motor Group kini adalah pengeluar kenderaan ketiga terbesar di dunia (mengikut jumlah jualan), dengan kumpulan syarikat itu mengumumkan beberapa hari lalu mereka berjaya menjual 3.3 juta kenderaan dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2022.

    Berada di tempat pertama dan kedua mengikut jumlah jualan adalah Toyota dengan catatan 5.1 juta kenderaan terjual dalam tempoh sama, diikuti Volkswagen Group dengan catatan empat juta kenderaan. Menurut laporan itu lagi, pada tempoh sama tahun lepas, Hyundai Motor Group berada di tempat kelima mengikut jumlah jualan.

    Kemajuan Hyundai Motor Group dalam pasaran global antaranya berlaku disebabkan oleh masalah pengeluaran yang dihadapi oleh pengeluar lain akibat daripada kekurangan semikonduktor. Memetik kata daripada pakar, laporan Korea Times itu juga mengatakan bahawa Hyundai mencatat penurunan lebih kecil (5.1%) berbanding pengeluar lain pada separuh pertama tahun ini.

    Hyundai Motor Group kini pengeluar kenderaan ketiga terbesar di dunia mengikut jumlah jualan 1H 2022

    Pengeluar lain yang mengalami penurunan jualan pada separuh pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas adalah Toyota, dengan catatan 6%, Volkswagen 14%, Stellantis 16%, gabungan Renault-Nissan-Mitsubishi 17.3% dan General Motors 18.6%.

    Kenaikan kedudukan Hyundai Motor Group turut dibantu oleh peningkatan jualan jenama mewah Genesis mereka, yang mencatat jualan 25,668 unit di Amerika Syarikat, dan ini adalah satu rekod jualan separuh tahun pertama baru bagi jenama tersebut.

    Melihat kepada kenderaan elektrik, Hyundai Motor Group menjual 27,000 EV di Amerika Syarikat antara Januari ke Mei tahun ini, sekaligus meletakkan kumpulan syarikat itu di tempat kedua di belakang Tesla, mengikut jumlah jualan. Antara model yang popular adalah Hyundai ioniq 5 dan Kia EV6.

     
     
  • Proton bakal jual kenderaan smart di Malaysia dan Thailand – mulai Q4 2023, #1 jadi model pertama

    Proton bakal jual kenderaan smart di Malaysia dan Thailand – mulai Q4 2023, #1 jadi model pertama

    Seperti mana yang didedahkan buat pertama kali pada April 2022, secara rasminya Proton bakal membawa masuk kenderaan elektrik (EV) jenama smart untuk pasaran Malaysia dan Thailand. Di mana Proton Edar telah dilantik sebagai pengimport dan pengedar rasmi bagi smart untuk kedua-dua pasaran berkenaan.

    Majlis menandatangani perjanjian pengedaran am di antara Proton dan smart Automobile Company telah pun berlangsung pagi ini. Menerusi kerjasama ini, Proton bakal melancarkan model smart #1 pada awal suku keempat (Q4) 2023 untuk Malaysia terlebih dahulu, sebelum menjengah ke pasaran Thailand pada separuh kedua tahun 2024. #1 akan menjadi model pertama yang mewakili kemunculan semula jenama ini di pasaran automotif ASEAN.

    Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed A.R Albar berkata, Proton juga berhasrat untuk melabur dalam rangkaian pengecasan dengan kerjasama pembekal pengecasan tempatan. Dengan menyasarkan untuk memasang rangkaian pengecasan berkenaan di laluan yang popular merangkumi kawasan luar bandar dan juga bandar.

    Di samping itu, Proton juga sedang membuat persediaan untuk menyedia dan memasang unit pengecasan domestik untuk pelanggan yang ingin mengecas EV mereka di rumah.

    CEO Proton Dr Li Chunrong pula berkata, “Proton membuat keputusan untuk menjalinkan kerjasama dengan smart sebagai langkah untuk membangunkan EV di bawah jenama Proton sendiri pada masa hadapan selain mempertingkatkan kepakaran syarikat ini dalam segmen baharu yang diterokai ini.

    “Kami juga mahu memperoleh pengetahuan tentang teknologi berkaitan termasuk segi membina rangkaian pengecasan dan keperluan yang diingini oleh para pelanggan.”

    Proton bakal jual kenderaan smart di Malaysia dan Thailand – mulai Q4 2023, #1 jadi model pertama

    Berkenaan dengan jangkaan masa untuk melancarkan #1 di pasaran tempatan, Roslan Abdullah selaku Timbalan CEO Proton berkata “Dijangkakan paling awal Mei hadapan smart #1 akan diperkenalkan di sini. Kami menyasarkan sebanyak antara 800 hingga 1,000 unit setahun bagi jualannya di Malaysia. Ini juga merupakan unit pemanduan sebelah kanan pertama bagi #1 yang dikhaskan untuk pasaran ASEAN.

    “Berkenaan dengan harganya, memandangkan ia merupakan SUV premium, sukar untuk meletakkan harganya di bawah RM100k, walau bagaimana pun, kami akan pastikan harganya dalam lingkungan yang mampu milik.”

    smart #1 merupakan SUV crossover elektrik penuh pertama keluaran smart dengan penggayaan Mercedes-Benz dan dibangunkan oleh Geely. Dibina atas platform Sustainable Electric Architecture (SEA) Geely, #1 menggunakan bateri lithium-ion 66 kWh yang boleh memberikan jarak gerak 440 km mengikut standard WLTP. Ia memberi kuasa kepada motor elektrik yang menyampaikan 272 PS (200 kW) dan 343 Nm secara maksimum kepada roda belakang.

     
     
  • Perodua Alza AV kini boleh guna Apple CarPlay – bagi pemilik sedia ada, akan diaktifkan semasa servis

    Perodua Alza AV kini boleh guna Apple CarPlay – bagi pemilik sedia ada, akan diaktifkan semasa servis

    Sekarang sudah sah Perodua Alza 2022 varian AV kini boleh menggunakan fungsi Apple CarPlay. Kami diberitahu tentang perkara ini oleh pembaca, Syafiq Ismail, dan Perodua juga telah mengesahkan bahawa mereka sudah mendapat sijil serta kelulusan yang sepatutnya untuk menggunakan fungsi tersebut.

    Semasa pelancaran bulan lalu Alza AV menjadi model Perodua pertama yang mempunyai sistem sambungan Android Auto, melalui skrin sesentuh 9.0 incinya, tetapi fungsi Apple CarPlay tidak disediakan kerana Perodua masih menunggu sijil kelulusan MFi daripada Apple.

    Sijil ini memerlukan tiga tahap pembangunan, dengan pelbagai ujian kualiti serta prestasi dijalankan bagi memastikan unit infotainmen tersebut dapat berfungsi dengan sepatutnya apabila CarPlay beroperasi. Melihat tulisan berkenaan proses pensijilan ini, Apple menjangka proses pensijilan MFi Program ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya empat bulan.


    Android Autp pada skrin 9.0 inci Alza AV

    Jadi, bagaimana dengan kereta yang sudah dihantar? Perodua akan menghidupkan fungsi Apple CarPlay ini apabila anda menghantar kereta untuk servis atau pemeriksaan. Bagi pengguna iPhone, anda boleh ingatkan mereka di pusat servis.

    Kini dengan adanya Apple CarPlay, ia menjadi satu lagi ciri pada Alza yang pertama kali ditawarkan oleh Perodua. Ciri-ciri lain adalah seperti Android Auto, brek parkir elektronik dengan Brake Hold automatik, brek cakera belakang, pemerhati 360 darjah serta mod pemanduan (Eco, Normal, Sport).

     
     
  • Proton X90 2023 dijumpai lagi sedang diuji jalan raya – kali ini di Melaka dengan penyamaran lebih ringan

    Proton X90 2023 dijumpai lagi sedang diuji jalan raya – kali ini di Melaka dengan penyamaran lebih ringan

    Sebelum ini Proton sudah dilihat beberapa kali menguji SUV tujuh-tempat duduk yang diasaskan dari Geely Haoyue (juga dikenali sebagai Okavango pada pasaran tertentu luar China) yang dikhabarkan akan dijual dengan nama Proton X90. Unit ujian SUV berkenaan baru-baru ini dijumpai lagi oleh pembaca paultan.org Lim Wei Leong di Melaka.

    Apa yang menarik perhatian kami, unit ujian kali ini mengenakan pelekat penyamaran yang lebih ‘ringan’ dari sebelum ini, serta menggunakan nombor plat perdagangan yang berbeza. Dapat dilihat, cermin tingkap paling belakang kini tidak tertutup sepenuhnya seperti sebelum ini, memperlihatkan rupa cermin belakang yang seiras dengan Haoyue.

    Bentuk lampu belakang juga kini nampak lebih jelas walaupun ia seolah-olah mahu disorokkan dengan pelekat-pelekat hitam disekelilingnya. Namun set gambar kali ini tidak menunjukkan bahagian hadapan SUV berkenaan. Untuk unit-unit ujian sebelum ini, ia masih lagi dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD), dan mungkin yang terbaharu ini adalah unit ujian dalam versi sebelah kanan (RHD).

    Sebelum ini kami difahamkan Proton merancang untuk melancarkan X90 ini pada suku ketiga tahun ini, tetapi ia terpaksa ditangguh sehingga tahun hadapan atas pelbagai sebab.

    Proton X90 2023 dijumpai lagi sedang diuji jalan raya – kali ini di Melaka dengan penyamaran lebih ringan

    “Sepatutnya tahun ini, rancangan asal, kalau bukan kerana MCO adalah tahun lepas,” kata naib CEO Proton Roslan Abdullah sebelum ini. “Ia sepatutnya dibuat Q3 tahun ini, tetapi ia ditunda lagi dan sekarang kawan kita di China (Geely) juga sedang mengalami lockdown,” jelasnya lagi.

    Selain dari itu, Proton juga menyatakan bahawa penangguhan pelancaran model baharu ini adalah kerana ia sedang menumpukan untuk menyelesaikan masalah ketersediaan alat ganti di pusat-pusat 3S dan 4S rasminya, serta cuba untuk menyiapkan secepat mungkin tempahan-tempahan pelanggan bagi model sedia ada bagi membolehkan mereka mendapat insentif pengecualian SST.

    Tiada sebarang petunjuk rasmi diberikan oleh Proton berkenaan spesifikasi X90 pasaran Malaysia kelak. Namun ketika perasmian fasiliti baharu mereka di Tanjung Malim yang kini sudah mula memasang enjin 1.5 liter turbo dengan sistem suntikan terus (TGDI), Proton mendedahkan bahawa ia akan melancarkan tiga model baharu antara 2023 dan 2024, dan dua daripadanya adalah menggunakan enjin turbo tiga-silinder ini. Jadi salah satu model yang dikatakan tersebut berkemungkinan adalah X90.

    Geely Haoyue (atas) dan lakaran digital Proton X90 oleh Theophilus Chin

    Di China, Geely Haoyue ditawarkan dalam versi lima- atau tujuh-tempat duduk. Namun ia hanya ditawarkan satu pilihan unit rangkaian kuasa iaitu enjin 1.8 liter empat-silinder turbo berkuasa 181 hp dan tork maksima 300 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan, sama seperti Proton X70 sedia ada.

    Manakala di Filipina, model ini diberikan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder yang digandingkan bersama sistem hibrid ringkas 48-volt. Ia menghasilkan kuasa keseluruhan 190 PS dan tork maksima 300 Nm, dan dipindahkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan.

    Apa yang menarik, unit rangkaian kuasa hibrid ringkas berkenaan telah pun dipamerkan di Galeri Inspirasi, iaitu ruang istimewa di Pusat Kecemerlangan Proton (ibu pejabat jenama berkenaan) di Subang, yang memaparkan pelbagai informasi dari segi warisan sejarah, teknologi sedia ada dan juga hala tuju mereka selepas ini.

    Proton menamakan unit rangkaian kuasa berkenaan sebagai 1.5L TGDi dengan sistem stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG). Menurut maklumat yang diberikan Proton, unit 1.5L TGDi dengan BSG tersebut menghasilkan kuasa yang sama seperti enjin 1.5L TGDi yang ada pada Proton X50 Flagship buat masa sekarang. Jadi tidak mustahil, Proton X90 ini mungkin model pertama Proton yang akan dijana oleh unit rangkaian kuasa hibrid.

    GALERI: Imej intipan Proton X90 2023 yang dijumpai sebelum ini

     
     
  • Harga minyak 18-24 Ogos – RON97 turun 5 sen seliter

    Harga minyak 18-24 Ogos – RON97 turun 5 sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 18 hingga 24 Ogos 2022, Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan harga runcit bagi petrol RON97 sekali lagi dilaporkan turun iaitu sebanyak 5 sen seliter, menjadikannya daripada RM4.40 seliter ke RM4.35 seliter.

    Harga baharu tersebut akan berkuatkuasa mulai 12 tengah malam ini sehinggalah pada Rabu hadapan, 24 Ogos 2022.

    Manakala harga petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Untuk diesel Euro B10/B20 juga, harganya turut dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Nissan Almera Turbo kini ditawarkan dengan pakej Tomei – RM8k; aerokit, pedal sport, tinted, visor pintu

    Nissan Almera Turbo kini ditawarkan dengan pakej Tomei – RM8k; aerokit, pedal sport, tinted, visor pintu

    Jika anda peminat Nissan, tentu sahaja pernah mendengar jenama Tomei – penala dari Jepun ini sudahpun serasi menghasilkan kereta-kereta lumba Nissan/Datsun sejak era 70’an lagi. Khas untuk Nissan Almera generasi baharu, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengumumkan bahawa aksesori Tomei kini sudahpun ditawarkan untuk sedan segmen-B dengan enjin turbo berkenaan.

    Aksesori Tomei ini datang dengan dua pakej berbeza (bergantung kepada varian) untuk dipadankan pada Almera Turbo pasaran Malaysia, dijual pada harga RM8,000 setiap satu pakej. Walau bagaimanapun, kedua-dua pakej ini hanya menampilkan komponen-komponen yang melibatkan pengayaan, tanpa sebarang sentuhan prestasi.

    Untuk model varian asas Almera VL dan varian pertengahan Almera VLP, pakej aksesori Tomei ini adalah terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan, belakang dan skirt sisi kemasan dua tona, lid spoiler pada but belakang, set pedal sport termasuk untuk perehat kaki, serta filem penapis haba ICE Cool.

    Nissan Almera Turbo kini ditawarkan dengan pakej Tomei – RM8k; aerokit, pedal sport, tinted, visor pintu

    Manakala untuk varian paling tinggi Almera VLT, pakej Tomei ini adalah termasuk kit aero, filem penapis haba dan pedal sports yang sama seperti pakej VL dan VLP, tetapi diberikan penambahan pelindung pembuka untuk keempat-empat pintu, kemasan kicking plate pada bendul pintu serta visor cermin pintu.

    Bagi model VLT ini, secara standard ia sudahpun diberikan boot lid spoiler belakang, oleh sebab itu ia diberikan tambahan komponen bagi menggantikan kos spoiler berkenaan. Namun jika anda rasa masih tidak cukup sporty, ETCM turut menawarkan sayap belakang Tomei GT yang lebih besar dari boot lid spoiler dengan harga RM1,400. Sebagai pilihan aksesori asli, kesemua aksesori Tomei ini menerima waranti selama tiga tahun/100,000 km.

    Buat masa sekarang, Nissan Almera dijual pada harga atas jalan dengan SST bermula RM83,888 untuk varian VL, meningkat kepada RM89,888 untuk varian pertengahan VLP, dan varian tertinggi VLT pula berharga RM95,888.

    Pelanggan turut boleh menerima kereta baharu masing-masing terus dilengkapkan dengan aksesori Tomei ini dengan harga bermula RM91,888 (RM93,288 bersama spoiler GT) untuk varian VL, RM97,888 (RM99,288 bersama spoiler GT) untuk varian VLP dan RM103,888 (RM105,288 bersama spoiler GT) untuk VLP.

    Walau bagaimanapun, dalam promosi yang sedang berlangsung sekarang, setiap pembelian Almera akan menerima pakej akseosri Tomei ini secara PERCUMA, dan pelanggan cuma perlu membayar harga spoiler GT jika mereka mahukan komponen berkenaan.

     
     
  • Haval Cool Dog tampil rekaan menarik, enjin 1.5L turbo

    Haval Cool Dog tampil rekaan menarik, enjin 1.5L turbo

    Ora Good Cat keluaran Great Wall Motors (GWM) anda mungkin kenal, kerana ia sudah pun berada di negara kita dan berada dalam perancangan untuk pelancaran secara rasmi, dan sekarang, syarikat itu memperkenalkan satu lagi model baru di China iaitu Cool Dog.

    Nama yang digunakan memang unik, tetapi sebenarnya rekaan SUV ini juga boleh dikatakan agak menarik. Ia mengikut trend, di mana sekarang juga banyak SUV kompak yang direka sebegini, bagi memberi pilihan berbanding rekaan SUV crossover biasa, manakala bentuknya pula lebih banyak berpetak dan seakan mengingatkan kepada Ford Bronco.

    Cool Dog mempunyai ukuran panjang 4,520 mm, lebar 1,875 mm dan tinggi 1,745 mm tall, sementara jarak roda pula adalah 2,710 mm. Menggerakkannya adalah enjin empat silinder 1.5 liter turbo, dipadankan bersama kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan untuk menghasilkan 184 hp dan tork 275 Nm. Pelanggan boleh memilih versi pacuan dua roda hadapan ataupun pacuan semua roda.

    Setakat ini masih belum ada sebarang berita pengenalan Cool Dog di pasaran selain China, dan nampaknya kita perlu memerhatikan berita dari Australia untuk mengetahui sama ada ia akan dijadikan sebagai sebuah model global ataupun tidak.

    Bagi pasaran Malaysia, Great Wall Motors baru sahaja membuat pengumuman kemasukan semula jenama itu, dan selain Ora Good Cat, model lain yang akan diperkenalkan adalah termasuk Haval H6 dan Haval Jolion, bermula suku keempat tahun ini.

     
     
  • PANDU UJI: Volvo V60 T8 Recharge – RM305,888, CKD, 407 hp/640 Nm; wagon terakhir Volvo berkuasa petrol

    PANDU UJI: Volvo V60 T8 Recharge – RM305,888, CKD, 407 hp/640 Nm; wagon terakhir Volvo berkuasa petrol

    Bila kita berborak pasal Volvo, perkara pertama yang biasa disebut sudah tentu berkenaan keselamatan. Tetapi selalunya tidak boleh tidak ‘perborakkan’ tersebut pastinya akan beralih kearah menyebut model-model wagon ikonik yang cool dihasilkan oleh Volvo bukan? Seperti perabot-perabot Ikea, jenama automotif dari Sweden ini amat mahir menghasilkan model yang bukan sahaja praktikal, malah menampilkan bentuk yang sangat cantik.

    Satu lagi faktor yang membuatkan model-model Volvo wagon ini begitu mengujakan, ia turut hadir dengan prestasi yang mengejutkan – rupa sahaja macam ‘ayah-ayah’, tapi kadang kala lebih laju dari kereta sport! Lihat sahaja bagaimana Volvo memasarkan model wagon 745 Turbo pada era 80’an dengan membayangkan ia adalah seperti Lamborghini atau Porsche cuma dengan lebih ruang kargo.

    Malah pada era 90’an, Volvo pernah membuat perkara tidak masuk akal di mana syarikat tersebut menggunakan model wagon 855 sebagai asas kereta lumba British Touring Car Championship (BTCC), bagi berlumba dengan kereta-kereta lumba sedan yang lain.

    Baca lanjut di sini

     
     
  • Sedan segmen B Perodua dibayangkan dengan ciri rekaan dari Toyota Vios terbaru, platform DNGA

    Sedan segmen B Perodua dibayangkan dengan ciri rekaan dari Toyota Vios terbaru, platform DNGA

    Toyota Vios generasi keempat yang baru didedahkan di Thailand (dipanggil sebagai Yaris Ativ) awal bulan lalu menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) sama seperti Perodua Ativa dan Alza dalam pasaran kita. Katakanlah kalau Perodua bercadang untuk membuat satu sedan segmen B dengan menggunakan asas daripada Vios terbaru ini, agak-agak bagaimana rupanya?

    Jika sukar untuk anda bayangkan, ini dia ada lukisan digital yang dihasilkan oleh Theophilus Chin, yang menunjukkan sebuah sedan Perodua dengan konsep rekaan dari Vios. Seperti yang boleh anda lihat, beliau bukan setakat menukar logo sahaja, tetapi juga bahagian-bahagian lain supaya lebih bersesuaian dengan model lain dalam barisan produk Perodua.

    Antara yang dimaksudkan adalah seperti gril lebih besar dengan bahagian dalam seperti Alza, lampu hadapan lebih nipis, kemasan warna perak di sepanjang garisan bonet yang bersambung dengan lampu serta bukaan udara di bucu bampar yang lebih kecil.

    Sedan segmen B Perodua dibayangkan dengan ciri rekaan dari Toyota Vios terbaru, platform DNGA

    Di bahagian belakang, lampu serta penutup but nampak masih dikekalkan dari Vios, tetapi bampar direka semula untuk mempunyai lekuk yang lebih ke dalam dan bukaan udara hiasan di bucu dijadikan lebih menegak dan nipis. Bahagian bawah bampar pula tidak lagi mempunyai kemasan seperti diffuser.

    Apa pendapat anda dengan rekaan sedan Perodua kedua yang dihasilkan oleh Theo ini, dan boleh diletakkan di atas Bezza kerana saiznya yang lebih besar? Adakah ia nampak lebih menarik berbanding Vios baru itu?

     
     
  • Sistem Pengangkutan Bandar Kuching bakal punya Rapid Transit Automatik; guna FCEV pertama di dunia

    Sistem Pengangkutan Bandar Kuching bakal punya Rapid Transit Automatik; guna FCEV pertama di dunia

    Sarawak Metro telah mendedahkan bahawa sistem Rapid Transit Automatik (ART), yang berada di tengah-tengah Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), bakal meliputi laluan sejauh 70 km dengan merangkumi tiga landasan dan 31 stesen untuk fasa pertama.

    Menurut Sarawak Metro lagi, sistem transit yang bakal mula dibangunkan pada tahun 2025 ini, menggunakan kenderaan trackless janaan sel bahan hidrogen (FCEV) yang pertama di dunia, yang beroperasi di laluan khas, dan boleh membawa 300 penumpang dalam satu masa dan bergerak dalam kelajuan 70 km/j.

    Fara 1 KUTS ini akan melibatkan pembinaan dan operasi dua laluan – Laluan Samarahan (Laluan 1) dan Laluan Serian (Laluan 2). Laluan Samarahan bermula di Kota Samarahan dan menuju bahagian barat laut meliputi jarak 28.5 km, dengan perhentian akhir di stesen SM14 berhampiran Hikmah Exchange.

    Sistem Pengangkutan Bandar Kuching bakal punya Rapid Transit Automatik; guna FCEV pertama di dunia

    Peta Transit KUTS, Fasa 1 – klik untuk besarkan

    Manakala Laluan Serian pula bermula di Batu 12 dan menghala ke bahagian utara sejauh 24.5 km dan perhentian akhir di Isthmus berhampiran Pusat Konvensyen Borneo. Kedua-dua laluan 1 dan 2 akan melalui stesen pertukaran di Simpang Tiga di mana ia dicadangkan dibina bersebelahan tempat letak kereta awam Wisma Persekutuan, laporan The Star pada Jun lalu.

    Sistem Rapid Transit Automatik ini akan berfungsi sebagai nadi pengangkutan jalan raya awam di ibu negeri serta kawasan Kuching, ujar Sarawak Metro seperti yang dicatatkan menerusi laman web rasminya.

    Anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak, Sarawak Metro telah ditugaskan oleh kerajaan negeri Sarawak untuk mengubah sistem pengangkutan jalan awam negeri di kawasan bandar utama.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025