Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • MIDA, Perodua bantu syarikat pembekal automotif Malaysia terapkan pendigitalan — 5 lagi syarikat dipilih

    MIDA, Perodua bantu syarikat pembekal automotif Malaysia terapkan pendigitalan — 5 lagi syarikat dipilih

    Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perodua memperkenalkan Program Transformasi Eko-sistem Digital yang bermatlamat untuk mengukuhkan lagi operasi pembekal ke tahap lebih baik dengan memanfaatkan teknologi dan peralatan canggih, serta untuk mendigitalkan proses pengilangan melalui pelaksanaan Indsutri 4.0.

    Acara yang berlangsung hari ini di ibupejabat MIDA di KL Sentral menunjukkan perkembangan kumpulan pertama yang melibatkan tiga pembekal, serta memperkenalkan lima lagi pembekal yang akan ikut serta sebagai kumpulan kedua program terbabit.

    “Kerajaan telah berusaha untuk menilai semula dasar sedia ada dan menyesuaikan strategi pelaburan untuk memastikan iklim perniagaan syarikat Malaysia kekal berdaya saing untuk pelabur asing. Kerajaan juga mengambil usaha berterusan untuk mempromosi dan membantu syarikat tempatan untuk berkembang dan merancakkan lagi penerapan teknologi Industri 4.0 dan pengilangan pintar melalui pelbagai insentif dan kemudahan,” ujar CEO MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman.

    MIDA, Perodua bantu syarikat pembekal automotif Malaysia terapkan pendigitalan — 5 lagi syarikat dipilih

    “Usahasama antar MIDA-Perodua ini bermula sejak tahun 2020 dan menjadi sangat pentih untuk memastikan pembangunan berterusan kemampuan pemain tempatan dalam industri automotif. Kami telah berjaya menyumbang kepada pertumbuhan penting terhadap jumlah pengeluaran Perodua, melalui pemerkasaan rakan industri dan penyedia perkhidmatan yang terliba,” tambah beliau.

    Presiden dan CEO Perodua, CEO Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata program berkenaan selari dengan usaha kerajaan untuk memperkaya aktiviti pembangunan ekosistem teknologi tempatan dari sudut rantaian bekalan dan nilai, aktiviti R&D serta inovasi dan pengkomersilan.

    “Pelaksanaan Industri 4.0 bukan hanya untuk manfaat pembekal automotif, tetapi kesan program ini akan menyumbang juga kepada agenda transformasi digital negara. Program berkenaan juga boleh mempercepat industri di Malaysia, dari yang kecil hingga yang besar, memandangkan ia menyediakan dana dan juga panduan. Peranan Perodua juga selalu tertumpu kepada pembangunan ekosistem automoitf dan program ini menjadi contoh komitmen kami terhadap matlamat itu,” tambah beliau.

    MIDA, Perodua bantu syarikat pembekal automotif Malaysia terapkan pendigitalan — 5 lagi syarikat dipilih

    Fasa pertama program ini telah menyaksikan penglibatan tiga syarikat pembekal Perodua — LSF Technology, J.K. Wire Harness dan Autoliv Hirotako. Semua syarikat besar ini, yang juga turut menjadi pembekal kepada Proton dan jenama bukan nasional yang lain, menerima manfaat daripada Dana Pelaburan Strategik Domestik (DISF) sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu syarikat tempatan untuk memasuki rantaian pembekal global.

    Untuk pusingan kedua program ini, MIDA dan Perodua telah mengenal lima pembekal lain untuk ditransformasi. Syarikat yang terlibat adalah Armstrong Auto Parts, Ingress Aoi Technologies, Namicoh Suria, P.D. Kawamura Kako Manufacturing dan Kumpulan Jebco. Menurut Zainal, semua syarikat ini dipilih berdasarkan kesanggupan pihak pengurusannya untuk naik taraf dan menerapkan aspek pendigitalan dalam operasinya.

     
     
  • Perodua akan lancarkan platform tempahan kereta atas talian dengan bayaran hanya RM100 November ini

    Perodua akan lancarkan platform tempahan kereta atas talian dengan bayaran hanya RM100 November ini

    Perodua bakal melancarkan platform tempahan kereta secara digital pada November ini. Perkara ini didedahkan sendiri oleh presiden dan CEO syarikat berkenaan, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dalam majlis pelancaran Transformasi Ekosistem Digital Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)-Perodua sebentar tadi.

    Buat masa sekarang, Perodua cuma memberikan fungsi untuk pelanggan mendafarkan minat mereka dalam talian untuk kesemua modelnya, tetapi masih belum mempunyai sistem untuk membuat pembayaran secara atas talian bagi melengkapkan tempahan berkenaan. Manakala untuk platform baharu itu kelak, ia akan menampilkan sistem tempahan untuk membeli kereta secara atas talian dengan bayaran RM100.

    Platform tempahan atas talian ini sebenarnya sudah digunakan oleh jenama-jenama automotif lain, dan ia semakin popular digunakan sejak kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19.

    Kebiasaannya platform ini memerlukan pelanggan memilih pengedar yang mereka mahu untuk berurusan, diikuti pilihan model dan varian. Kemudian pelanggan perlu mengisi pelbagai maklumat yang diperlukan sebelum membuat bayaran tempahan minimun secara atas talian, biasanya menggunakan kad kredit/debit.

     
     
  • Honda Breeze generasi baru muncul di China – kembar CR-V generasi ke-enam dengan penggayaan berbeza

    Honda Breeze generasi baru muncul di China – kembar CR-V generasi ke-enam dengan penggayaan berbeza

    Di China, selain dari Honda CR-V, pasaran berkenaan turut menerima satu lagi SUV segmen-C iaitu Honda Breeze. Kedua-dua model berkenaan sebenarnya adalah kembar dengan muka dan beberapa perincian lain yang berbeza, di mana CR-V dipasang dan dijual oleh Dongfeng Honda, manakala Breeze pula dihasilkan dan diedarkan oleh Guangzhou Honda (atau GAC Honda).

    Honda CR-V generasi keenam sudahpun diperkenalkan untuk peringkat global Julai lalu di Amerika Syarikat, tetapi imej model berkenaan sebenarnya telah didedahkan oleh kementerian industri dan teknologi maklumat China (MIIT) pada bulan Mei. Dan kini giliran Honda Breeze generasi baharu pula didedahkan, dan dijadualkan akan mula dijual pada suku keempat tahun ini.

    Sama seperti konsep asalnya, Breeze baharu ini menerima muka yang berlainan dari CR-V, menampilkan gril atas berbeza yang jauh lebih kecil. Namun ia digantikan dengan liang udara tengah yang lebih besar pada bampar, diapit oleh liang udara sisi berbentuk-C. Breeze seolah-olah diberikan rupanya yang lebih urban dan kurang lasak berbanding CR-V kerana tidak diberikan kemasan skid plate, manakala pelindung badan bawah pintunya lebih nampak seperti skirt sisi yang labuh.

    Di belakang, Breeze diberikan lampu melintang sepenuhnya tanpa bahagian berlampu pada kiri dan kanan cermin belakang. Kluster lampu pada pintu tailgate belakang pula dihubungkan menerusi kemasan berwarna hitam dengan logo Honda di tengahnya, manakala kedudukan perumah nombor pendaftaran masih sama.

    Honda Breeze generasi baru muncul di China – kembar CR-V generasi ke-enam dengan penggayaan berbeza

    Manakala pada bampar, Breeze diberikan reflektor yang direka condong berbanding melintang sepenuhnya pada CR-V, manakala perumah tip ekzos segi empat berkembar pada bahagian bawah masih kekal. Bampar belakang Breeze ini juga menampilkan warna badan sepenuhnya, tanpa sebarang kemasan plastik yang tidak disembur cat.

    Menurut media di China, Breeze menampilkan dimensi lebar 1,866 mm, tinggi 1,691 mm dan jarak roda sejauh 2,700 mm yang sama dengan CR-V. Tetapi dengan rekaan bampar yang berlainan, panjang keseluruhan Breeze diukur pada 4,716 mm atau 22 mm lebih panjang dari CR-V. Tiada sebarang imej sebelah dalam kabin Breeze berkenaan disiarkan setakat ini.

    Menurut laporan yang sama, berdasarkan lencana “240 Turbo” yang ditampal pada Breeze ini, berkemungkinan ia dijana oleh enjin 1.5 liter berkuasa 193 PS (190 hp), dipadankan dengan kotak gear CVT automatik bagi memacu roda hadapan atau semua roda bergantung pada varian. Ia juga mungkin akan ditawarkan dalam versi plug-in hybrid (PHEV) sama seperti model generasi sebelumnya.

    GALERI: Honda CR-V 2023 pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Renault Zoe 2022 di Malaysia – dua varian ditawarkan, harga RM163k dan RM175k, jarak gerak 395 km

    Renault Zoe 2022 di Malaysia – dua varian ditawarkan, harga RM163k dan RM175k, jarak gerak 395 km

    Renault Malaysia telah mendedahkan harga untuk kereta elektrik penuh Renault Zoe, yang kini tiba di Malaysia dalam dua varian, iaitu yang asas, Zoe Zen R110 pada harga RM163,000 dan atasnya, Zoe Intens R135 pada harga RM175,000 tidak termasuk insurans.

    Melihat kepada spesifikasi awal yang diletakkan dalam laman web Renault Malaysia, kedua-dua varian menggunakan pacuan dua roda hadapan, dan bateri 52 kWh, dengan Zen R110 mendapat motor elektrik 110 PS/225 Nm dan jarak gerak WLTP 395 km, manakala Intens R135 mendapat motor 135 PS/245 Nm, tetapi dengan jarak gerak yang sedikit berkurang menjadi 386 km.

    Masa mengecas Renault Zoe 2022 adalah tiga jam, untuk mencapai tahap penuh dari kosong menggunakan sambungan Type 2 dan pengecas AC 22 kW, sementara apabila menggunakan sambungan Type 2 dengan pengecas 7.4 kW, ia akan mengambil masa 9.5 jam. Jika menggunakan pengecas DC 50 kW dengan sambungan CCS2 pula, bateri boleh mencapai tahap 80%, dari kosong dalam masa 70 minit.

    Renault Zoe 2022 di Malaysia – dua varian ditawarkan, harga RM163k dan RM175k, jarak gerak 395 km

    Bagi membantu mendapatkan jarak gerak yang lebih baik, Zoe dilengkapi dengan B-mode, untuk mendapatkan penjanaan semula kuasa yang lebih baik serta mengaktifkan pemanduan satu pedal. Turut disediakan adalah penunjuk pemanduan eco, sementara mod Eco pula membantu memperbaiki penggunaan tenaga dengan mengawal fungsi yang menggunakan lebih banyak tenaga.

    Untuk bahagian luar, Zoe 2022 pasaran Malaysia dilengkapi dengan lampu utama LED penuh Pure Vision dengan lampu DRL berbentuk C bagi kedua-dua varian, dan ia disertakan dengan lampu penunjuk arah dinamik. Rim adalah unit 16 inci, dibalut tayar 195/55, dan ia dicat satu warna untuk Zen R110, sementara Intens R135 mendapat warna dua tona.

    Di dalam, model ini diberikan dengan panel instrumen 10 inci di hadapan pemandu, serta skrin sesentuh Easy Link dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Sambungan lain yang disediakan adalah termasuk Bluetooth, dua soket USB dan AUX, manakala output audio pula disempurnakan oleh enam pembesar suara.

    Varian Intens R135 yang merupakan varian tinggi, ditambah dengan kemampuan navigasi luar talian, soket pengecas USB di tempat duduk belakang, pengawal suhu automatik, cermin pandang belakang elektrokromik, kamera undur, cermin sisi boleh lipat serta pengesan jarak hadapan dan belakang.

    Pada bahagian dalam, Zen R110 mendapat balutan fabrik, sementara Intens R135 mendapat balutan gabungan kain dan kulit berwarna hitam. Untuk bahagian keselamatan, kedua-dua varian Zoe 2022 diberikan dengan Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Adaptive High Beam, Stability Control, Traction Control, ABS, Brake Assist, Hill Start Assist dan empat beg udara. Varian Intens R135 kemudiannya mendapat tambahan Blind Spot Warning.

    Renault Zoe 2022 ditawarkan di Malaysia dalam warna hitam dan putih untuk varian Zen R110, sementara varian Intens R135 ditawarkan dalam warna hitam, biru, ungu dan merah.

     
     
  • GALERI: Mercedes-AMG A35 Sedan CKD di Malaysia – harga kurang RM5k dari versi CBU, bermula RM344k

    GALERI: Mercedes-AMG A35 Sedan CKD di Malaysia – harga kurang RM5k dari versi CBU, bermula RM344k

    Dilancarkan pada Jun lalu, versi pemasangan tempatan (CKD) bagi Mercedes-AMG A 35 Sedan ini ditawarkan pada harga atas jalan RM343,888 tanpa insurans, termasuk dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

    Sebagai perbandingan, harga versi CKD ini adalah kurang RM5,000 berbanding versi CBU yang dilancarkan pada tahun 2019, yang berharga RM348,888, juga termasuk SST. Ketibaan A 35 Sedan CKD ini melengkapkan keseluruhan barisan A-Class Sedan termasuk A 200 Progressive Lin dan A 250 AMG Line, yang kini ditawarkan dengan model pemasangan tempatan.

    A 35 Sedan ini dijanakan oleh enjin M260 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder yang dipadankan dengan transmisi dwi-klac AMG Speedshift 7G tujuh-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke semua empat rodanya menerusi sistem AMG Performance 4Matic. Ia membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.8 saat dan kelajuan maksimum boleh dicapai pada 250 km/j.

    Terdapat beberapa ciri tambahan diberikan untuk model CKD ini, yang tidak ditampilkan pada versi CBU. AMG A 35 CKD ini kini ditampilkan dengan pakej Parking dengan kamera 360-darjah, paparan utama dan kawalan stereng AMG. Selain ini, AMG A 35 baharu ini turut diberikan pengecas tanpa wayar, MBUX Interior Assistant dan Keyless-Go Comfort.

    Ciri lain yang turut diberikan untuk kabinnya termasuklah roda stereng AMG Performance balutan kulit Nappa, sistem bunyi sekeliling Burmester,pencahayaan ambien 64-warna, ambang pintu dan alas lantai AMG, dwi paparan digital 10.25-inci, Apple CarPlay dan Android Auto.

    Dan ia masih mengekalkan ciri yang lebih kurang sama seperti sebelum ini, termasuk kemasan luaran dengan aloi jejari-berkembar-lima AMG 19-inci, kit badan AMG, lampu utama Multibeam LED dengan High Beam Assist Plus. Manakala pilihan warna yang diberikan termasuklah Polar White, Cosmos Black, Iridium Silver, Mountain Grey dan Denim Blue.

     
     
  • Hyundai Staria Malaysia bakal dapat 10 tempat duduk?

    Hyundai Staria pertama kali dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada Oktober 2021, dan sekarang hanya ditawarkan dalam satu varian sahaja, iaitu 2.2D Premium, berharga RM366,768 tidak termasuk insurans. Varian ini datang dengan tujuh tempat duduk, tetapi melalui gambar yang kami terima ini, nampaknya ia mungkin disertai oleh satu lagi varian 10 tempat duduk.

    Selain daripada jumlah tempat duduk, model di dalam gambar ini juga didapati mempunyai senarai kelengkapan yang berbeza berbanding varian 2.2D Premium. Di dalamnya kelihatan pemain audio yang lebih ringkas dan bukannya skrin sesentuh lapan inci, butang kawalan pendingin hawa biasa dan penukar gear yang menggunakan tombol, bukannya suis/butang. Tempat duduk masih dibalut kulit dan panel instrumen masih menggunakan unit digital.

    Bagi bahagian luarnya, gril hadapan yang besar itu mempunyai rekaan berbeza yang diwarnakan sama seperti badan, dan tidak menerima kemasan yang kelihatan mewah. Lampu hadapan juga nampak seperti unit halogen, dan bukannya LED seperti pada 2.2D Premium.

    Berkenaan tempat duduk itu, model di dalam gambar ini mempunyai empat baris tempat duduk, dengan susunan 2-3-2-3 dan baris pertama mempunyai konsol tengah yang boleh dilipat. Pada bumbung masih terdapat corong pendingin hawa, tetapi kemasannya bukan Alcantara.

    Hyundai Staria Malaysia bakal dapat 10 tempat duduk?

    Kami masih tidak tahu enjin apakah yang menggerakkan model 10 tempat duduk ini, tetapi berkemungkinan ia adalah enjin sama, iaitu unit empat silinder diesel turbo 2.2 liter berkemampuan 177 PS dan tork 431 Nm, dipdankan bersama tranmsisi automatik untuk menghantar kuasa ke roda hadapan.

    Dengan kelengkapan yang lebih ringkas dan lebih banyak tempat duduk, varian baru Staria ini mungkin ditawarkan untuk pelanggan yang mencari kapasiti penumpang lebih banyak tetapi tidak memerlukan ciri-ciri mewah seperti 2.2D Premium. Ia juga mungkin dijadikan sebagai pengganti Grand Starex yang mempunyai 11 tempat duduk.

    Grand Starex diklasifikasikan sebagai kenderaan komersial dan sehingga kini masih dijual dalam versi Executive Plus berharga RM165,888. Kita perlu tunggu dan lihat bila Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) akan memperkenalkan varian baru Staria ini, dan lebih penting lagi, berapa harganya.

     
     
  • Harga alat ganti kenderaan naik 25%-60%, isu kekurangan bekalan menjadi antara faktor – laporan

    Harga alat ganti kenderaan naik 25%-60%, isu kekurangan bekalan menjadi antara faktor – laporan

    Kenaikan harga barangan sedunia bukanlah suatu perkara yang mengejutkan apatah lagi selepas sektor ekonomi dibuka sejurus sekatan pergerakan akibat pandemik Covid-19 ditarik balik. Walau bagaimana pun, ekonomi dunia yang lesu hingga mengakibatkan kenaikan kadar inflasi sekaligus mendorong peningkatan harga barangan tidak dapat dielakkan.

    Harga alat ganti kenderaan juga turut terkesan hingga memberikan beban terhadap pengguna akhir. Presiden Persatuan Peniaga Aksesori Automotif Malaysia, Lim Bee Choo, berkata bekalan alat ganti yang terjejas teruk di peringkat global sejak pandemik, ditambah pula dengan konflik Rusia-Ukraine serta perang harga USA-China menjadi punya utama kenaikan harga alat ganti naik hingga 25%.

    “Terdapat kekurangan alat ganti, terutamanya untuk kenderaan buatan Eropah. Ini telah menyebabkan harga meningkat kira-kira 25%,” katanya seperti yang dilaporkan oleh The Star.

    Tambah beliau, Eropah juga sedang berhadapan dengan krisis tenaga selepas Rusia menggantung bekalan ke benua terbabit berikutan sekatan Kesatuan Eropah.

    “Tanpa tenaga, kilang tidak dapat beroperasi,” sambungnya lagi.

    Selain itu, kataya, dasar sifar-Covid, di mana larangan pergerakan telah dilaksanakan jika terdapat wabak, juga telah menganggu bekalan alat ganti untuk kenderaan Jepun dan Korea Selatan.

    “Kebanyakan komponen kenderaan Jepun dan Korea Selatan diperbuat di China, jadi polisi ini memberi kesan terhadap bekalan. Bukan itu sahaja, harga minyak enjin dan tayar juga meningkat disebabkan situasi global ini,” katanya.

    Presiden Persatuan Usahawan Automotif Prosper Malaysia, Mohd Karim A. Rahman pula berkata, kenaikan harga alat ganti sehingga 60% adalah bergantung pada komponen yang perlu ditukarkan.

    Harga alat ganti kenderaan naik 25%-60%, isu kekurangan bekalan menjadi antara faktor – laporan

    “Selain alat ganti, harga tayar, minyak enjin, dan minyak pelincir juga meningkat antara 10% dan 15%. Harga minyak pelincir biasanya naik sekitar 2% hingga 3% setiap dua ke tiga tahun, namun tahun ini harganya naik dua kali ganda,” katanya.

    Tambah belia, disebabkan kenaikan harga alat ganti, mekanik perlu berbincang dengan pelanggan terlebih dahlu berkenaan dengan harganya sebelum menempah alat ganti terbabit.

    “Biasanya, kami akan mengambil masa kira-kira seminggu untuk menempah alat ganti daripada pembekal kami tetapi pada masa kini, alat ganti itu akan mengambil masa sebulan untuk sampai,” katanya sambil menambah bahawa harga akhirnya akan ditanggung oleh pelanggan sendiri.

    Mohd Karim turut menasihatkan pemilik kenderaan supaya berhati-hati dengan alat ganti yang dijual secara dalam talian kerana kualiti produk mungkin diragui.

     
     
  • Pemilik Proton Satria Neo R3 Lotus Racing berkumpul di Dream Street Restoration, USJ hujung minggu lalu

    Pemilik Proton Satria Neo R3 Lotus Racing berkumpul di Dream Street Restoration, USJ hujung minggu lalu

    Selepas berkumpul buat pertama kali pada November tahun lalu di Genting Highland, kemudian berpeluang untuk melawat fasiliti Proton R3 di Shah Alam Mei lalu, pemilik-pemilik antara model produksi Proton yang paling rare dan paling berprestasi, Satria Neo R3 Lotus Racing sekali lagi berkumpul hujung minggu lalu, kali ini di Dream Street Restoration (DSR) yang terletak di Subang Jaya, Selangor.

    Perhimpunan kali ini juga agak bermakna buat pemilik-pemilik ini kerana pengasas bersama DSR, En. Suriya Sankaran sebenarnya merupakan ketua projek Satria Neo R3 Lotus Racing ini ketika beliau bertugas di Proton R3. Malah sebahagian dari pemilik-pemilik Satria Neo R3 Lotus Racing ini sudahpun menggunakan khidmat kepakaran DSR bagi menyelenggara kereta mereka.

    Seperti yang diketahui, hanya 25-unit Satria Neo R3 Lotus Racing dihasilkan oleh Proton dan ia dilancarkan pada Mac 2010. Namun hanya 22-unit yang masih berada di atas jalan raya. Menurut salah seorang pemilik Neo Lotus Racing ini, Devan Gunaseelan, buat masa sekarang seramai 17 orang pemilik model ini telah pun dikesan (termasuk Dato Rosyam Noor) dan berhubung sesama mereka, dan kesemua unit kereta berkenaan masih disahkan wujud.

    Pemilik Proton Satria Neo R3 Lotus Racing berkumpul di Dream Street Restoration, USJ hujung minggu lalu

    Devan yang bertanggungjawab untuk mengesan dan menghimpunkan hampir kesemua pemilik-pemilik tersebut menyatakan bahawa dia kini sedang mencari dua lagi pemilik Satria Neo R3 Lotus Racing tersebut yang masih belum dapat dikesan semula. Dalam perhimpunan kali ini, sebanyak lima-unit Satria Neo Lotus Racing dapat dikumpulkan, dan apa yang menarik mereka bukan hanya dari Lembah Klang, malah ada yang sanggup datang dari Pulau Pinang, Ipoh, dan seorang lagi pemilik adalah dari Singapura!

    Dengan wujudnya DSR bersama fasiliti sehenti baharu mereka yang secara rasmi dibuka sebulan yang lalu, kesemua Satria Neo R3 Lotus Racing ini dapat diselenggara dan direstorasi semula dengan cara yang sepatutnya bukan sahaja kerana ia diterajui oleh bekas ketua projek pembangunan model tersebut, malah DSR turut dianggotai oleh beberapa bekas staf R3 yang lain.

    Antara masalah pemilik-pemilik tersebut adalah bagi mendapatkan alat ganti terutamanya komponen badan sekiranya ia rosak. Ini kerana kereta ini hanya dihasilkan sebanyak 25-unit seumpanya di dunia, dan Proton tidak lagi membekalkan komponen-komponen gantian tersebut.

    Pemilik Proton Satria Neo R3 Lotus Racing berkumpul di Dream Street Restoration, USJ hujung minggu lalu

    Malah baru-baru ini, DSR turut telah memproduksi semula bonet hadapan Satria Neo ini yang dihasilkan dari lapisan Karbon Basah tenunan berkembar (twin weave wet carbon) bersama lapisan gentian kaca dengann kualiti yang sama serta melepasi ujian pembangunan CMSS (ujian komponen material).

    Selain itu, DSR kini turut boleh mendapatkan perlindungan insuran khas untuk Satria Neo R3 Lotus Racing ini dengan menawarkan perlindungan sehingga RM75,000 untuk kereta yang telah berusia lebih dari 10-tahun tersebut.

    Ketika dilancarkan pada 2010, Satria Neo R3 Lotus Racing ini dijual pada harga RM115,000. Ia masih dijana oleh enjin 1.6 liter CPS, namun dengan aci sesondol durasi lebih tinggi bersama pulley boleh laras, sistem ekzos logam tahan karat dan kemasukan rekaan semula, kotak komputer enjin talaan khas – kesemuanya dari R3, enjin tersebut mampu menghasilkan 145 hp dan tork maksima 168 Nm (125 hp/150 Nm untuk CPS standard).

    Pemilik Proton Satria Neo R3 Lotus Racing berkumpul di Dream Street Restoration, USJ hujung minggu lalu

    Bukan sahaja lebih berkuasa, sistem injap bervariasi CPS ala-VTEC pada enjin ini juga dibuka lebih cepat iaitu pada 4,000 rpm (4,400 rpm bagi CPS biasa) dan ia tidak mempunyai masalah untuk menjerit sehingga 7,000 rpm.

    Kotak gear manual lima kelajuan pada Neo R3 Lotus Racing ini juga disentuh semula oleh R3 dengan diberikan nisbah gear lebih rapat, bersama nisbah akhir 4.625 yang lebih besar dari standard. Ini membolehkan model istimewa tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.2 saat sebelum mencapat kelajuan maksima 205 km/j.

    Antara kelengkapan mekanikal lain yang dipadankan pada Neo R3 Lotus Racing ini termasuk sistem suspensi perlumbaan boleh laras sepenuhnya dari Ohlins, sistem brek hadapan dengan cakera larik dan angkup empat omboh dari AP Racing, rim aloi ringan 16×7 inci dari Advanti dengan tayar Bridgestone Adrenalin RE001 bersaiz 205/45 R16, dan pelbagai lagi.

    Untuk rupa luaran, model ini diberikan kit badan R3 yang dihasilkan untuk kereta lumba Satria Neo sebenar yang berlumba di Asian Touring Car Series (ATCS), bersama fender sisi hadapan khas dari material FRP dengan liang dan logo Lotus Racing, penutup bonet enjin dan door sach gentian karbon, serta layangan warna hijau Lotus Racing Green bersama jalur perlumbaan kuning dari bonet hingga pintu hatch belakang.

    Manakala dalam kabin, Satria Neo R3 Lotus Racing ini diberikan tempat duduk bucket R3 balutan kulit Nappa dan sulaman logo Lotus Racing pada perehat kepala, roda stereng balutan kulit dengan tanda pukul 12 berwarna kuning serta perincian-perincian asli R3 seperti tombol gear, set pedal aloi dan juga butang penghidup enjin.

    Selain itu ia juga diberikan kemasan-kemasan hijau pada papan pemuka, serta panel pintu yang diberikan upholsteri kulit istimewa bersama panel-panel hijau.

     
     
  • Pak Cik Shell tunjuk kenapa jangan berada di kawasan titik buta lori tangki minyak — pemandu tak nampak

    Pak Cik Shell tunjuk kenapa jangan berada di kawasan titik buta lori tangki minyak — pemandu tak nampak

    Awal bulan ini, sebuah video tular di media sosial menunjukkan sebuah trak tangki minyak berlanggar dengan sebuah Perodua Myvi. Dalam sedutan pendek itu, pemandu Myvi telah berada dalam kawasan titik buta lori tangki minyak berkenaan ketika cuba masuk ke laluan utama, menyebabkan pemandu lori terbabit tidak nampak kereta berkenaan dan kedua-duanya kemudian bergeser.

    Ia sebuah kemalangan yang boleh dielakkan, dengan pengajaran yang boleh diceduk adalah untuk pemandu lain sentiasa berwaspada ketika berada di sekitar kenderaan komersial yang besar. Titik buta bagi kenderaan dengan saiz itu adalah jauh lebih banyak dan luas berbanding kenderaan penumpang biasa, seperti dijelaskan oleh Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading, Shairan Huzani Husain yang juga dikenali dengan nama “Pak Cik Shell” dalam satu video yang dimuat naik di akaun Instagram beliau.

    Dalam video berkenaan, Pak Cik Shell memanjat naik ke atas sebuah lori tangki minyak dan tunjukkan pandangan utama yang dilihat oleh seorang pemandu lori dari kabinnya. Pemandangan mungkin akan nampak jelas dan lapang dari dalam, tapi sebaik keluar dari kabin lori, barulah nampak ada beberapa kereta dan motosikal di sekililing lori tangki minyak, dan ada daripadanya yang hanya beberapa kaki dari lori.

    Trak komersial ada empat titik buta yang dipanggil “no zones” dan sekiranya anda memandu di belakang, betul-betul di depan atau di sebelah lori berkenaan, pemandunya tidak akan dapat melihat kenderaan anda. Jadi, perlu berhati-hati dan elakkan memotong lori seperti ini dari sebelah kiri atau elakkan daripada berada dalam titik butanya. Beri ruang secukupnya dan hindari kemalangan dengan pertimbangan bijak dan peka ketika memandu.

     
     
  • Tambang percuma bagi semua jenis basikal – KTMB

    Tambang percuma bagi semua jenis basikal – KTMB

    Bermula 6 Ogos lalu, Keretapi Tanah Melayu (KTMB) telah mula menawarkan tambang secara percuma untuk basikal yang dibawa menaiki KTM Komuter Lembah Klang, KTM Komuter Utara dan Skypark Link pada waktu tertentu.

    Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha berkata, sebelum ini KTM Komuter mengenakan caj RM2 kepada pengguna yang membawa basikal.

    “Bermula 18 April lalu, KTM Komuter mengumumkan tiada lagi caj dikenakan. Namun hanya basikal lipat atau ‘folding bike’ sahaja dibenarkan dibawa menaiki tren sepanjang masa pada hari hujung minggu.

    “Bagaimanapun, bermula 6 Ogos, KTM Komuter membenarkan semua jenis basikal untuk dibawa menaiki tren komuter di luar waktu puncak pada hari bekerja dan sepanjang masa pada hari minggu,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Seremban Cyclo Tourism – Terokai Seremban Dengan Basikal di Stesen Keretapi Seremban, semalam.

    Mohd Zain berkata, inisiatif itu adalah satu daripada usaha KTMB dalam mempromosikan gaya hidup sihat kepada Keluarga Malaysia dengan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak.

     
     
  • PM umum kerajaan cadang bina litar Drag untuk setiap negeri bagi bangunkan sukan permotoran negara

    PM umum kerajaan cadang bina litar Drag untuk setiap negeri bagi bangunkan sukan permotoran negara

    Ketika merasmikan acara RXZ Members 4.0 Tahun 2022 yang berlangsung di Terengganu International Drag Strip di Gong Badak hari ini, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan bercadang untuk membina sebuah litar khusus bagi perlumbaan drag di setiap negeri.

    Menurut beliau dalam laporan Bernama, cadangan ini dibuat dalam usaha memperkasakan program pembangunan sukan permotoran dalam negara, dan ia akan dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentang Oktober ini.

    “Setakat ini sudah ada dua litar drag yang dibina iaitu di Terengganu dan Melaka,” katanya dan menambah apabila litar-litar yang dicadangkan itu siap, ia akan memberi peluang kepada golongan belia untuk membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul.

    Dalam perkembangan sama, Ismail juga menyeru golongan muda supaya menyertai MyFit@Motorsports 2022 iaitu program pembangunan permotoran peringkat akar umbi, melibatkan pembangunan sukan motosikal dan kereta yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan.

    Menurutnya, di bawah program itu, peserta berpeluang mendapat pendidikan melalui latihan, kursus dan klinik, sekali gus dapat mencungkil bakat atlet permotoran negara bagi menyertai kejohanan serta perlumbaan di peringkat negeri dan nasional. Tambahnya lagi, kerajaan akan sentiasa menyokong aktiviti kelab-kelab permotoran, terutama dalam menjayakan program amal bagi membantu rakyat yang ditimpa kesusahan seperti dilanda banjir, bagi mengurangkan aktiviti tidak sihat di jalanan.

    “Pertubuhan berkaitan permotoran banyak melakukan aktiviti amal… Ketika banjir banyak kelab motor terlibat dengan kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir.

    “Mungkin boleh anjurkan (perhimpunan penunggang) setiap tahun dan kerajaan boleh beri penajaan… dapat ketengahkan minat anak-anak muda, dapat kurangkan tanggapan negatif terhadap penunggang yang dikaitkan dengan pelbagai nama seperti Mat Motor,” katanya.

     
     
  • MSF Touge 2022 Bukit Putus – Yoong catat masa terpantas 1 minit 50.376 saat dengan Lancer Evo X!

    MSF Touge 2022 Bukit Putus – Yoong catat masa terpantas 1 minit 50.376 saat dengan Lancer Evo X!

    Selepas tertangguh lebih dari dua tahun, akhirnya MSF Touge, iaitu perlumbaan dalam disiplin Hillclimb di jalan raya awam berjaya dilangsungkan dengan jayanya di jalan Bukit Putus, Negeri Sembilan pada 7 Ogos lalu. Acara berkenaan berjaya mengumpulkan sejumlah 46 buah kereta untuk berentap mencatatkan masa terpantas bagi mendaki laluan berliku dalam jarak 2.4 km berkenaan.

    Pelbagai jenis kereta yang turut serta dalam perlumbaan Stage 1 di Bukit Putus ini, dari sebuah Mazda 2 berwarna Soul Red yang standard kilang, sehingga “monster” seperti Nissan Skyline R32 dan Sylvia S15 bertanding dalam pelbagai kategori yang disediakan.

    Variasi barisan pelumba juga tidak kurang meriahnya – dari pelumba-pelumba amatur peringkat akar umbi, drifter, malah ada juga pelumba profesional yang pernah bertanding di peringkat antarabangsa.

    Bagi kategori Road Cars 1600, ia diungguli oleh Tan Ten Cek yang memandu Honda Fit RS dengan catatan masa terbaik 1 minit 57.027 saat. Walaupun ini merupakan kategori untuk kereta jalan raya dengan enjin berkapasiti di bawah 1.6 liter, Honda Fit yang dipandu oleh Tan berkenaan mencatatkan masa lebih baik dari sebahagian kereta sport sebenar seperti Toyota 86 ZN6 dan Nissan Sylvia. Untuk kategori Road Cars 2000 pula, ia dimenangi oleh Ahmad Ikram Ajmain yang memandu Toyota 86 dengan catatan masa 1 minit 53.913 saat.

    Zamil Syaheer yang memandu ‘The Joker’ Nissan Sylvia S15 berwarna ungu lengkap dengan lampu neon “kedai Tom Yam” pada bawah badan kereta tersebut pula berjaya menjadi juara untuk kategori Super Street Limited, dengan catatan masa terbaik 1 minit 57.206 saat.

    Manakala juara perlumbaan Japan Super Taikyu Endurance 2009 dari Johor, Farique Hairuman berjaya menjadi juara untuk kategori Ultimate 1600. Farique memandu Toyota AE86 berwarna merah dengan enjin 4A-GE 20V pasukan Wan Aji Garage (W.A.G), tiba di garis penamat dengan catatan masa 1 minit 56.040 saat.

    MFS Touge kali ini juga menyediakan kategori khas untuk Proton Saga generasi pertama iaitu Saga Cup, di mana kategori ini dimenangi oleh Rahmat Rizuawan yang memandu Saga LMST dengan catatan masa terbaik 2 minit 23.896 saat.

    Bintang pada MSF Touge kali ini adalah Ee Yoong Chern – Mitsubishi Lancer Evolution X Final Edition yang dipandunya bukan sahaja mengungguli kategori Ultimate Open, malah catatan masa terbaik 1 minit 50.376 saat yang dibuat adalah catatan paling pantas direkodkan pada hari perlumbaan berkenaan. Yoong turut memenangi kategori Tuner Production dengan memandu Mazda RX-8, membuat catatan masa terbaik 1 minit 54.918 saat.

    Acara kali ini turut disertai oleh beberapa orang drifter yang datang bukan untuk mencatatkan masa terpantas, tetapi sekadar untuk “menikmati” laluan touge secara “halal” dan selamat. Antaranya adalah drifter/YouTuber dari Sarawak iaitu Hee Wei Seng, yang melakukan aksi drift untuk setiap selekoh di sepanjang laluan MSF Touge Bukit Putus ini tanpa henti dengan memandu Nissan Skyline R32 yang dijana oleh enjin V8!

    Sesi kali ini juga diserikan dengan tiga orang pemandu wanita, iaitu Vera Teh yang memandu Toyota Yaris serta Azura dan Jane Cheah masing-masing memandu Toyota 86 ZN6.

    Dengan kejayaan penganjuran MSF Touge Hillclimb buat kali pertama ini, MSF kini sedang melihat peluang untuk kembali menganjurkan acara serupa pada masa akan datang.

    “Kami percaya bahawa sebagai penganjur, dan juga sebagai pasukan operasi serta pasukan-pasukan yang bertanding serta para pemandu telah membuktikan bahawa kita mampu mengadakan acara perlumbaan hillclimb dengan selamat dan dalam keadaan yang terkawal. Kami berharap untuk berkembang ke laluan-laluan jalan raya lain yang hampir sama di seluruh negara, dan berharap untuk disokong oleh pihak berkuasa tempatan dan badan-badan penyelia bagi memastikan sukan perlumbaan yang menyeronokkan dan mudah untuk disertai ini dapat disebarkan ke bahagian lain dalam Malaysia,” kata pengasas dan prinsipal MSF, Adian Yein.

     
     
  • Polisi pengurusan kenderaan akhir hayat sedang dikaji, bakal dilaksana menjelang 2025 – MOSTI

    Polisi pengurusan kenderaan akhir hayat sedang dikaji, bakal dilaksana menjelang 2025 – MOSTI

    Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba mengesahkan kerajaan sedang mengkaji pendekatan sesuai bagi polisi pengurusan kenderaan akhir hayat atau end-of-life vehicle (ELV). Malah ia juga disasarkan untuk dilaksana menjelang tahun 2025.

    Menurut Dr Adham, pembangunan polisi berkenaan adalah penting supaya kenderaan yang sudah berakhir jangka hayat boleh dimanfaatkan menerusi pelbagai komponen dan bahan yang masih boleh diguna pakai agar tidak sekadar menjadi bahan buangan yang sia-sia, laporan Bernama.

    “Lambakan kenderaan usang sehingga menjadi punca wabak denggi, dipercayai berlaku kerana masih belum ada polisi yang membolehkan tindakan sewajarnya diambil dengan penekanan diberikan kepada kaedah pelupusan yang tepat,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mewakili Konsortium Penyelidikan ELV dan Malaysia Automotive Recyclers Association (MAARA).

    Tambahnya lagi, dalam merangka pelan hala tuju ELV yang sesuai, Malaysia melihat kepada Singapura dan Jepun yang telah mempunyai kepakaran dalam pengitaran semula ELV.

    “70% barang dileraikan dari ELV boleh dieksport ke negara lain, dan industri ini berpotensi mencecah RM10 bilion. Berdasarkan data Kementerian Pengangkutan, sehingga Mei 2022 jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia ialah 33 juta, dengan 19 juta daripadanya adalah kenderaan berusia 10 tahun ke atas,” katanya.

    Polisi pengurusan kenderaan akhir hayat sedang dikaji, bakal dilaksana menjelang 2025 – MOSTI

    Mengenai MoU yang ditandatangani hari ini Dr Adham berkata Konsortium Penyelidikan ELV yang melibatkan tiga universiti iaitu UTM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bekerjasama dengan pihak industri iaitu MAARA dalam menyelesaikan permasalahan kenderaan akhir hayat secara mengitar semula bahan komponen ELV atau mengolah satu produk lain.

    MoU yang dimeterai bertujuan mengumpul maklumat dan pengetahuan mengenai pembuatan semula dan kitar semula, memupuk kerjasama antara industri dan ahli konsortium melalui penyelidikan dan program latihan serta membangunkan pelan pembuatan semula dan kitar semula bagi menyokong Dasar Automotif Nasional 2020.

    Sementara itu Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail dalam ucapannya berkata 99% daripada komponen kenderaan yang layak dilupus, dapat digunakan semula.

    Presiden MAARA Datuk Khan Mohd Akram Khan pula berkata MAARA kini mempunyai 200 ahli terdiri daripada pemain dalam industri ELV yang bersedia mengeksport bahagian yang boleh dikitar semula dari kenderaan yang sudah tamat hayat.

     
     
  • Honda Malaysia anjur promosi Raikan Keharmonian sepanjang Ogos 2022 – penjimatan hingga RM4k

    Di negara kita, Ogos sering kali dikaitkan dengan bulan patriotik memandangkan setiap kali 31 Ogos kita akan menyambut Hari Kemerdekaan. Honda Malaysia turut mengambil kesempatan meraikan bulan ini dengan menganjurkan kempen promosi ‘Raikan Keharmonian. Digabungkan dengan “Togetherness Bonus” dengan rebat tunai bagi penjimatan sehingga RM4,000.

    Model BR-V dan CR-V diberikan rebat sehingga RM1,000, sementara model sedan City pula ditawarkan penjimatan sebanyak RM2,000. Model yang paling mahal, Accord pula ditawarkan dengan penjimatan sehingga RM4,000.

    Walau bagaimana pun, kempen promosi ini tidak disertai HR-V baharu. Memandangkan tempoh menunggunya lama dan tiada sebab untuk Honda Malaysia menawarkan insentif untuk SUV generasi ketiga ini. Begitu juga dengan Civic FE yang diperkenalkan pada Januari lalu, juga tidak termasuk dalam promosi yang sedang berlangsung ini. Sama juga dengan City Hatchback, yang diperkenalkan pada Disember 2021.

    Jadi, jika anda merancang untuk membeli kereta baharu, inilah masa yang tepat untuk membuat keputusan memilih model ‘bangsa H’ yang menjadi idaman hati. Promosi ini sedang berlangsung sehingga 31 Ogos 2022.

     
     
  • Wuling Air EV – bermula RM74k, kereta elektrik paling murah di Indonesia, jarak gerak 200 km hingga 300 km

    Wuling Air EV – bermula RM74k, kereta elektrik paling murah di Indonesia, jarak gerak 200 km hingga 300 km

    Kita tahu bahawa Indonesia kini antara negara dalam rantau Asia Tenggara yang begitu agresif dalam pelan peralihan terhadap penggunaan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) selain dari Thailand dan Singapura. Namun, adakah anda pernah terfikir, kereta elektrik yang mana merupakan model EV yang paling mampu milik di negara tersebut buat masa sekarang?

    Ini dia Wuling Air EV – dalam acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2022 yang sedang berlangsung sekarang, kereta ini diumumkan merupakan EV paling murah di negara tersebut ketika ini, menurut laporan Autonetmagz. Wuling mengesahkan bahawa Air EV dijual pada harga atas jalan untuk Jakarta bermula 238 juta rupiah (RM74k) untuk varian asas dengan bateri 18 kWj sehingga 295 juta rupiah (RM89k) untuk varian paling tinggi dengan bateri 27 kWj.

    Seperti yang kita ketahui Wuling merupakan jenama dari China, namun untuk Air EV ini kemunculan sulung globalnya dibuat di Indonesia terlebih dahulu dalam versi pemanduan sebelah kanan pada 1 Jun lalu, sementara versi pemanduan sebelah kiri didedahkan di China pada 3 Jun 2022.

    Ini kerana Wuling Air EV versi pemanduan sebelah kanan tersebut dipasang di kilang produksi Wuling di Cikarang, Bekasi, Jawa Barat, yang telah pun menerima insentif dari kerajaan Indonesia kerana menghasilkan kereta elektrik secara pemasangan tempatan. Oleh itu, Air EV pasaran Indonesia ini juga turut sistem arahan suara yang diberikan secara standard untuk semua varian menggunakan Bahasa Indonesia.

    Wuling Air EV – bermula RM74k, kereta elektrik paling murah di Indonesia, jarak gerak 200 km hingga 300 km

    Air EV ini sebenarnya merupakan model tingkat taraf berdasarkan kereta elektrik mikro yang popular China, Wuling Hongguang Mini EV. Ia dihasilkan dalam dimensi panjang 2,974 mm, lebar 1,505 mm, tinggi 1,631 mm dan jarak roda hanya 2,010 mm. Dengan saiz ini, ia hanya dipadankan dengan rim berdiameter 12-inci.

    Bagi memudahkan anda membayangkan saiznya, Air EV ini adalah 666 mm lebih pendek, 115 mm kurang lebar serta jarak roda 445 mm lebih dekat berbanding Perodua Axia. Namun ia mungkin menerima ruang kelegaan kepala yang lebih dari Axia kerana Air EV ini adalah 121 mm lebih tinggi.

    Kabin Air EV ini menerima empat tempat duduk dengan tempat duduk belakang yang boleh dilipat secara 50:50. Antara perincian standard lain yang diberikan termasuk skrin paparan berkembar 10.25-inci, hubungan internet, brek parkir elektrik dengan sistem auto hold, dan suis putar yang menggantikan fungsi tombol gear konvensional. Ia juga turut ditawarkan dengan upholsteri kulit sintetik.

    Manakala untuk unit rangkaian kuasa, Air EV ditawarkan dalam dua versi motor elektrik iaitu 31 KW (41 PS) atau 50 kW (68 PS). Model dengan bateri 18 kWj mempunyai jarak gerak sejauh 200 km, manakala versi dengan bateri 27 kWj pula boleh bergerak sejauh 300 km. Lima warna ditawarkan untuk pasaran Indonesia ini iaitu Peach Pink, Pristine White, Galaxy Blue, Avocado Green dan Lemon Yellow.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025