Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz Malaysia yakin dengan ketahanan bateri EV EQS – beri jaminan 10 tahun, 250,000 km

    Mercedes-Benz Malaysia yakin dengan ketahanan bateri EV EQS – beri jaminan 10 tahun, 250,000 km

    Mercedes-Benz EQS dilancarkan minggu lalu dan menjadi satu lagi model elektrik (EV) yang memasuki pasaran Malaysia. Ditawarkan dalam satu varian, EQS 450+ AMG, sedan elektrik ini dijual pada harga RM698,888 bersama insentif cukai yang diberikan untuk EV, tetapi tidak termasuk insurans.

    EV Mercedes-Benz sebenarnya masih baru dalam pasaran Malaysia, dengan yang pertama adalah EQA, dilancarkan Mac lalu. Semasa pengenalan EQS, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut menunjukkan EQB dan EQC, yang mana harga rasminya akan didedah dalam masa beberapa bulan lagi.

    Dengan lebih banyak EV Mercedes-Benz akan tiba di negara kita, kami tanyakan soalan berkenaan ketahanan model ini kepada presiden dan CEO MBM, Sagree Sardien, serta ketua bahagian jualan dan pemasaran MBM, Michael Jopp dalam satu temu ramah selepas pengenalan model EQ Jumaat lepas.

    “Pertama sekali, kami sangat yakin. Jika anda lihat kembali kepada kenderaan hibrid generasi pertama, kita sekarang sekurang-kurangnya sudah maju lebih tiga generasi ke hadapan. Pengurusan bateri kenderaan generasi baru (EV bateri) dibangunkan sendiri, jadi saya boleh katakan banyak usaha dibuat untuk memastikan kenderaan ini berfungsi dengan baik.,” kata Jopp sambil menambah bahawa kemas kini perisian over-the-air (OTA) akan dapat meningkatkan lagi prestasi dan ketahanan model EQ.

    “Kami mungkin telah menguji model EQ ini dengan lebih intensif berbanding model-model lain yang pernah kami lancarkan sebelum ini. Kami sendiri perlu mendapatkan pengalaman terus dengan kenderaan ini kerana kebiasaannya, anda (media) yang lebih cepat dapat memandu kereta-kereta ini,” tambah beliau.

    Ini memang benar kerana sebelum pelancaran EQS, pengurus kanan penentuan harga dan pengurusan produk MBM, Christian Grimberg, serta pengurus bahagian pengurusan produk (EQ, SUV, AMG) MBM, Florian Neff telah memandu unit yang ditutup dengan pelekat camouflage ke sekitar Semenanjung Malaysia termasuk Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur dengan catatan jarak 1,693 km untuk tujuan penilaian. Bagi EQS 450+, ia boleh memberi jarak gerak 782 km dengan sekali cas penuh (WLTP).

    Mercedes-Benz Malaysia yakin dengan ketahanan bateri EV EQS – beri jaminan 10 tahun, 250,000 km

    EQS juga datang dengan jaminan 10 tahun/250,000 km untuk baterinya – mengikut standard jaminan global Mercedes-Benz – dan ini adalah yang paling tinggi di kalangan EV lain yang dijual di Malaysia (biasanya jaminan maksimum adalah lima tahun/160,000 km). Walaupun setelah habis tempoh itu, bateri lithium ion 107.8 kWh tersebut dikatakan masih dapat menyimpan 70% cas di dalamnya.

    “Saya boleh katakan, untuk menyerlahkan lagi keyakinan ini, anda boleh tengok sendiri slaid yang ditunjukkan oleh Michael, sebab itulah kami memberikan jaminan sehingga 10 tahun atau 250,000 km untuk bateri EQS, sebab kami yakin dengan bateri generasi baru ini dan harapnya tidak akan ada masalah seperti sebelum ini,” kata Sardien.

     
     
  • Karamjit Singh kembali beraksi; sertai Kejohanan Rali Nasional M’sia ’22 Rd. 1 di Maran hujung minggu ini

    Karamjit Singh kembali beraksi; sertai Kejohanan Rali Nasional M’sia ’22 Rd. 1 di Maran hujung minggu ini

    Pemandu rali lagenda negara, Karamjit Singh bakal kembali duduk di kokpit pemandu jentera rali untuk menyertai Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) 2022, pusingan pertama yang akan berlangsung di Maran, Pahang bermula 30 hingga 31 Julai ini. Beliau bakal dibantu oleh juru arah berpengalaman, Jagdev Singh dan akan memandu Proton Gen2 Turbo 4WD untuk bersaing dalam kategori P12.

    Proton Gen2 dengan enjin 4G63T dan sistem 4WD dari Mitsubishi Lancer Evo VI tersebut telahpun digunakan oleh Karamjit sebelum ini sejak 2017, dan ia telah direstorasi semula baru-baru ini.

    Turut turun untuk memberi saingan dalam kategori tertinggi berkenaan adalah seorang lagi pemandu rali berpengalaman, Haji Sutan Mustaffa Salihin. Haji Sutan akan memandu jentera Subaru Impreza 4WD, berpasangan dengan juru arah Amiruddin Baharun. Dua lagi pelumba yang berentap dalam kategori P12 ini adalah Muhammad Khairul Nizam Bin Yaacob memandu Mitsubishi Lancer Evo III dan juga Mohd Shahbandi Bin Mohd Desa menggunakan jentera Subaru Impreza GC8 4WD.

    Karamjit Singh kembali beraksi; sertai Kejohanan Rali Nasional M’sia ’22 Rd. 1 di Maran hujung minggu ini

    Pusingan pertama MNRC 2022 ini akan menampilkan lapan SS diatas permukaan gravel, yang diadakan sekitar Felda New Zealand, Maran, Pahang. Manakala acara pelepasan, service park, parc ferme dan juga acara penamat akan dibuat di Jalan Pasar.

    MNRC adalah kejohanan baharu selepas Kejohanan Rali Malaysia (MRC) tidak lagi dianjurkan dan ditamatkan pada penghujung musim 2018. MNRC yang akan berlangsung kali ini merupakan kejohanan nasional tertinggi di Malaysia buat masa sekarang. Ia sepatutnya berlangsung dalam lima pusingan bermula pada bulan April tahun lalu. Walau bagaimanapun disebabkan pandemik Covid-19, ia terpaksa ditangguhkan sehingga ke tahun ini.

     
     
  • VIDEO: Perbezaan spesifikasi varian Perodua Alza

    VIDEO: Perbezaan spesifikasi varian Perodua Alza

    Selepas hampir 13 tahun dalam pasaran tempatan, Perodua Alza 2022 generasi kedua telah pun dilancarkan sebagai ganti. Ada banyak pembaharuan bahkan kelainan yang sama sekali menjadikan penawaran kali ini sangat berbeza berbanding yang lama. Namun adakan ia lebih baik atau sebaliknya, terutama dari segi penawaran dan kelengkapan yang ada?

    Tiga varian ditawarkan kepada pelanggan, dengan setiap satunya ada kelebihan dan kekurangan yang membezakan. Alza X, H dan AV yang paling tinggi masing-masing dijual pada harga RM62,500, RM68,000 dan RM75,500 dengan senarai kelengkapan yang berbeza, tentunya.

    Seperti yang sudah diketahui, model generasi baru ini menampilkan teknologi yang jauh lebih moden kerana diasaskan dari platform terkini, Daihatsu New Global Architecture (DNGA), dan merupakan kembar kepada Daihatsu Xenia dan Toyota Avanza/Veloz generasi baru.

    Alza 2022 menggunakan enjin 2NR-VE 1.5 liter empat-silinder NA, diganding dengan kotak gear D-CVT untuk memacu roda hadapan — tiada lagi pilihan kotak gear manual untuk mana-mana variannya. Padanan unit rangkaian kuasa berkenaan telah pun mendapat pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dengan mencapai penggunaan bahan api serendah 22 km/l dalam ujian Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC).

    Ini gandingan enjin dan kotak gear yang sudahpun digunakan untuk Perodua Myvi facelift 2022, yang menjana kuasa sebanyak 103 PS (102 hp) dan tork maksimum 137 Nm. Namun untuk Alza, enjin 2NR-VE tersebut menerima talaan lebih berkuasa, menghasilkan 106 PS dan tork maksima 138 Nm.

    Dari segi teknologi keselamatan juga, Alza 2022 ini diberikan kelengkapan yang jauh lebih moden dan agak terkehadapan berbanding saingan sekelasnya seperti Mitsubishi Xpander dan Honda BR-V. Secara standard, ia datang dengan perincian seperti enam-beg udara, serta sistem bantuan pemanduan keselamatan Advanced Safety Assist (ASA) terkini.

    Malah varian lebih tinggi MPV segmen-B tujuh-tempat duduk ini turut menerima perincian yang agak canggih termasuk kamera pandangan panaromik 360-darjah, dan juga brek parkir elektronik. Tiga varian ditawarkan oleh Perodua untuk Alza 2022 ini, bermula dengan varian asas 1.5 X, varian pertengahan 1.5 H dan juga varian tertinggi 1.5 AV.

    Kami sediakan video yang memberi fokus kepada perbezaan penawaran bagi setiap varian Perodua Alza 2022 ini untuk memudahkan anda.

    Perodua Alza 2022 1.5L AV

    Perodua Alza 2022 dengan kit GearUp

     
     
  • Kia Carnival CKD 2022 – produksi di Kulim bermula bagi versi 7- dan 8-tempat duduk, 3 varian ditawarkan

    Kia Carnival CKD 2022 – produksi di Kulim bermula bagi versi 7- dan 8-tempat duduk, 3 varian ditawarkan

    Kia Malaysia, yang dikendalikan hasil kerjasama antara Kia Corporation dan Bermaz Auto (BAuto), telah mengumumkan Kia Carnival CKD 2022, yang merupakan model Kia pertama diproduksi di bawah kerjasama ini, akan memulakan pengeluarannya di kilang Inokom, yang terletak di Kulim, Kedah.

    Syarikat ini berkata, Carnival pemasangan tempatan, yang telah dipertontonkan awal bulan ini, dijadualkan akan dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi. Seperti yang dijangka sebelum ini, MPV dengan konfigurasi tujuh- dan lapan-tempat duduk ini akan ditawarkan dengan tiga varian.

    Harga rasmi bagi ketiga-tiga varian telah pun bocor awal bulan ini. Harganya bermula RM231,229 atas jalan tanpa insurans bagi varian 2.2D 8-tempat duduk, diikuti dengan 2.2D 8-tempat duduk High pada RM247,229. Manakala untuk 2.2D 7-tempat duduk High pula ditawarkan pada harga RM261,229 atas jalan tanpa insurasn.Carnival CKD ini didatangkan dengan waranti lima-tahun/100,000 km dan pakej penyelenggaran.

    Kesemua varian dijanakan oleh enjin 2.2 liter Smartstream D2.2 empat-silinder turbodiesel, sama seperti versi CBU dengan 11-tempat duduk. Outputnya adalah 202 PS pada 3,800 rpm dan 441 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm, dengan pacuannya dihantar ke roda depan melalui kotak gear automatik lapan-kelajuan, yang turut dilengkapi penukar gear.

    Kit luarannya termasuk lampu utama LED automatik, roda aloi dua-tona jejari-Y 18-inci, rel bumbung warna perak, sementara ciri dalaman termasuk sistem bunyi Bose 12-pembesar suara dan skrin sesentuh infotainmen 12.3-inci, manakala versi High pula turut diberikan paparan instrumen digital 12.3-inci.

    Selain itu spesifikasi kelengkapan bagi model asas masih sama dengan versi CBU, termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, tempat duduk hadapan larasan-kuasa lapan-hala, upholstery kulit tiruan, pengecas tanpa wayar Qi, sistem kamera 360-darjah, tirai mentari manual untuk pintu gelangsar dan perehat tangan pada tingkap sisi serta pintu gelangsar dan pintu tailgate bukaan bebas-tangan.

    Varian spesifikasi High turut menerima ciri tambahan termasuk dwi bumbung suria, tempat duduk pemandu dengan fungsi memori dan pengaliran udara serta haba panas, dengan versi tujuh-tempat duduk diberikan upholstery kulit tulen. Bagi aspek keselamatan, barisan Carnival dilengkapi dengan tujuh beg udara, kawalan kestabilan, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang dan pengingatan pemakaian tali pinggang keledar untuk tempat duduk belakang (dengan penderia ultrasonic untuk mengesan penumpang di belakang).

    Model High turut menerima ciri keselamatan aktif Kia, Drive Wise, termasuk ciri AEB dengan pengesan lintasan trafik, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, bantuan mengekalkan lorong, penghindar titik buta dan perlanggaran lintasan trafik, lampu tinggi automatik dan amaran perhatian pemandu.

     
     
  • Yamaha Fazzio masuk pasaran Thailand – skuter hibrid 125 cc dengan pelbagai kemudahan, dari RM6.6k

    Yamaha Fazzio masuk pasaran Thailand – skuter hibrid 125 cc dengan pelbagai kemudahan, dari RM6.6k

    Selepas Indonesia, kini Thailand pula menerima skuter hibrid daripada Yamaha, iaitu Fazzio. Ini adalah sebuah skuter hibrid yang menggabungkan enjin satu silinder suntikan bahan api Blue Core SOHC 124.86 cc, bersama Smart Motor Generator (SMG), menghasilkan kuasa maksimum 8.3 hp pada 6,500 rpm dan 10.6 Nm tork pada 4,500 rpm.

    SMG memberikan tambahan kuasa apabila baru mula memecut untuk tempoh maksimum selama tiga saat dan kemudiannya, turut membantu lagi kecekapan penggunaan bahan apinya adalah sistem start/stop yang membolehkan enjin mati sendiri apabila berhenti dan hidup apabila pendikit dipulas.

    Sistem brek Fazzio terdiri daripada set cakera di hadapan, dan dram di belakang, dan ia cuma didatangkan dengan sistem Unified Brake System (UBS) yang bertindak seperti Combined Brake System (CBS) oleh Honda, dan tiada ABS. Rim bersaiz 12 inci dan dibalut tayar sama saiz di hadapan dan belakang, iaitu 110/70.

    Di Thailand, ada dua versi yang ditawarkan untuk Fazzio ini, iaitu Standard Version berharga 54,900 baht (RM6,600) dan Smart Key Version berharga 56,600 baht (RM6,880). Bezanya cuma pada sistem kunci, di mana Smart Key Version mendapat sistem kunci pintar.

    Sebagai sebuah skuter, tentunya Fazzio menyediakan pelbagai kemudahan untuk pengguna, dan ini termasuk ruang kaki luas, penyangkut barangan, ruang simpanan bawah tempat duduk 17.8 liter, tangki bahan api 5.1 liter, lampu LED, pengecas USB serta panel meter digital yang boleh disambung kepada telefon pintar dengan aplikasi Y-Connect.

     
     
  • Honda Civic Type R FL5 2023 – aksesori asli dari Honda Access untuk pasaran Jepun diperkenalkan

    Honda Civic Type R FL5 2023 – aksesori asli dari Honda Access untuk pasaran Jepun diperkenalkan

    Honda telahpun memperkenalkan Civic Type R generasi baharu minggu lalu yang diberikan kod casis FL5 bagi menggantikan model FK8 sebelum ini. Seperti biasa, barisan aksesori asli dari Honda Access untuk hot-hatch berkenaan turut diperkenalkan sekali. Honda Access merupakan pengeluar untuk aksesori Modulo Honda, jadi ia biasanya tidak akan memberikan penampilan lebih agresif seperti kelengkapan yang dikeluarkan oleh Mugen.

    Untuk penampilan luaran, Honda Access menawarkan spoiler belakang gentian karbon untuk Type R FL5 ini. Sekali imbas, spoiler CF Honda Access tersebut nampak seakan diberikan rekaan yang sama seperti spoiler asal yang dibekalkan dari kilang. Namun sebenarnya sayap dari Honda Access ini menampilkan rekaan hujung sayap pada sebelah tengah dengan sudut yang lebih agresif, manakala sebelah sisi pula ia direka sebagai ‘bilah’ yang lebih mirip kepada spoiler GT-Wing.

    Menurut Honda Access, dengan pemadanan spoiler ini ia dapat mengurangkan lagi berat keseluruhan Type R FL5 berkenaan sebanyak 1 kg. Spoiler tersebut juga diberikan tenunan gentian karbon berwarna merah (dengan semburan lapisan clear untuk kemasan akhir), dan pada sebelah bawah ia diberikan rekaan yang didakwa memberikan aerodinamik lebih baik dan tambahan untuk downforce sebelah belakang.

    Selain itu, Honda Access juga menawarkan cermin sisi dengan kemasan penutup berwarna merah untuk FL5 ini. Menurut Honda Access lagi, komponen-komponen ini dibangunkan menerusi pengetahuan yang mereka dapat ketika membangunkan model-model Honda talaan istimewa Modulo X untuk pasaran domestik Jepun.

    Pada sebelah dalam pula, ia diberikan kemasan gentian karbon dengan tenunan yang sama untuk konsol tengah (menggantikan kemasan perak asal) dan juga pada panel pintu. Dan jika anda tidak berminat dengan tombol gear aluminium ikonik Type R asli pada FL5 ini, Honda Access menawarkan tombol gear alumite hitam dengan balutan kulit. Honda Access turut menghasilkan perapi pemijak sisi bernyala dan pad tumit pemandu menggunakan alumite hitam yang sama.

    Aksesori Honda Access lain yang ditawarkan untuk Civic Type R 2023 ini termasuk karpet kaki merah yang diperbuat dari material anti-bau dan anti-bakteria, lampu projektor yang memancarkan logo Type R ke bawah ketika pintu dibuka, pad pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi,lampu-lampu LED merah dan putih untuk pelbagai bahagian dalam kabin, tray untuk bahagian kargo serta filem pelindung cat.

    Tidak seperti FK8 yang diproduksi di United Kingdom, Civic Type R FL5 ini kembali diproduksi di Jepun selepas kilang Honda Swindon ditutup sepenuhnya tahun lalu. Perincian lain untuk model generasi baharu ini boleh anda baca dalam laporan pada PAUTAN INI.

    GALERI: Honda Civic Type R FL5 2023

     
     
  • Proton X50 — Panduan kemasikini ATLAS OS sendiri

    Proton X50 — Panduan kemasikini ATLAS OS sendiri

    Sistem infotainmen dalam Proton X50 sekarang sudah boleh dikemaskini kepada sistem operais ATLAS (ACO Tech Local Automotive Services), yang mana boleh dilakukan sendiri oleh pemilik tanpa perlu ke pusat servis.

    Menurut hantara di laman Facebook Proton, kemaskini berkenaan memberikan rekaan antaramuka pengguna yang lebih lancar untuk selera peribadi, pengalaman arahan suara yang lebih baik dan amaran pintar, pengalaman tunjuk arah yang lebih baik dengan ruang marketplace khas.

    Turut disertakan adalah panduan bagaimana untuk kemaskini over-the-air (OTA). Pertama, pengguna sistem operasi Geely Smart Ecosystem (GKUI) yang lama perlu ke menu “Setting” dan klik “System.”

    Mesej “Update Available” akan tertera sekiranya kemaskini OTA sudah sedia untuk kenderaan anda, dengan anda perlu klik “GKUI 19” kemudiannya untuk teruskan, diikuti “Speed First” untuk mula memuat turun sistem operasi yang baru.

    Selesai yang itu, klik “Install” dan sahkan proses berkenaan dengan menekan “Sure” di mesej yang tertera. Sementara perisian berkenaan diaktifkan, pengguna tidak boleh berinteraksi dengan sistem infotainmen berkenaan dan pastikan enjin kenderaan dihidupkan sehingga proses ini selesai — ia akan mengambil masa dalam 10-15 minit.

    Sebaik sahaja kemaskini selesai, head unit akan dihidupkan sendiri dan boleh dilihat sama ada kemaskini terbaru itu sudah sedia dengan masuk ke “Setting” dan klik “System”. Bagi varia Standard dan Executive X50, versi perisiannya akan tertera kod “SW0SXRA0616L5170.00582,” sementara untuk Premium dan Flagship tertulis “SW0SXRA0616H5170.00581”.

     
     
  • Jalan Pintasan Rawang ditutup sementara 31 Julai ini bagi kelancaran Selangor Bypass Half Marathon 2022

    Jalan Pintasan Rawang ditutup sementara 31 Julai ini bagi kelancaran Selangor Bypass Half Marathon 2022

    Majlis Perbandaran Selayang (MSP) telah memaklumkan Jalan Pintasan Rawang atau Rawang Bypass akan ditutup buat sementara kepada semua kenderaan pada 31 Julai 2022. Penutupan selama 12 jam itu akan bermula pada 12 tengahmalam sehingga 12 tengahari pada tarikh berkenaan.

    Menurut MPS, penutupan jalan tersebut bagi memberi laluan kepada penganjuran Selangor Bypass Half Marathon 2022. Berikutan itu, MPS turut menasihati pengguna jalan raya agar menggunakan laluan alternatif dan merancang perjalanan masing-masing sekiranya ingin ke lokasi berhampiran.

    Selangor Bypass Half Marathon 2022 merupakan acara larian anjuran Pejabat EXCO Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Negeri Selangor.

     
     
  • Nissan Rawang kini dipertingkatkan jadi pusat 3S

    Nissan Rawang kini dipertingkatkan jadi pusat 3S

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah mengumumkan Nissan Rawang kini telah dipertingkatkan menjadi pusat 3S (jualan, penyelenggaran dan alat ganti). Sebelum ini, ia sekadar pusat jualan tetapi kini perkhidmatannya telah diperluaskan termasuk bagi selepas jualan bagi memenuhi keperluan pelanggan Nissan yang berada di Rawang dan kawasan sekitarnya.

    Selain dipertingkatkan menjadi pusat 3S, Nissan Rawang turut membawakan Identiti Korporat Nissan dengan penggunaan logo baharu jenama ini, mengikut NRC-NEXT (konsep Peruncitan Nissan global). Ini termasuk dengan rekaan dalaman bilik pameran yang lebih moden yang menempatkan model Nissan terkini termasuk MPV Serena S-Hybrid yang baru dilancarkan awal bulan ini.

    Bukan itu sahaja, pelanggan Nissan sedia ada juga boleh menghantar kereta untuk diselenggara di pusat servis yang dikendalikan oleh barisan juruteknik yang berkemahiran tinggi serta dilengkapi dengan alat ganti tulen. Pusat servis ini memiliki dua petak penyelenggaran untuk selenggara pantas dan dengan perkhidmatan yang berkualiti.

    Nissan Rawang kini dipertingkatkan jadi pusat 3S

    Terletak di No.7-G, 9-G & 7-1, Jalan Bandar Baru Rawang 16, Pusat Bandar Baru Rawang, pusat 3S ini beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 7 malam untuk setiap Isnin hingga Jumaat, 8.30 pagi hingga 6 petang pada setiap Sabtu dan 10 pagi hingga 5 petang pada setiap Ahad bagi bahagian jualan. Manakala untuk pusat servis pula, ia dibuka pada jam 8.30 pagi hingga 6 petang pada setiap Isnin hingga Sabtu dan ditutup pada hari Ahad dan cuti umum.

    ETCM turut memaklumkan pihaknya telah membuka tiga lagi pusat pengedaran baharu yang terletak di Taiping (Perak), Kluang (Johor) dan Sibu (Sarawak) bagi memenuhi permintaan para pelanggan di daerah terbabit.

     
     
  • Toyota Vios 2023 D92A – video teaser disiar, dalaman nampak premium, bakal didedah di Thailand Ogos ini!

    Toyota Vios 2023 D92A – video <em>teaser</em> disiar, dalaman nampak premium, bakal didedah di Thailand Ogos ini!

    Nampaknya khabar angin yang bertiup sebelum ini menyatakan bahawa Toyota Vios generasi baharu bakal didedahkan di Thailand pada Ogos ini adalah benar – laman sosial Toyota Motor Thailand sudah pun menyiarkan video teaser untuk sedan segmen-B generasi baharu berkenaan, dan mengumumkan bahawa ia bakal diperkenalkan pada 9 Ogos ini! Dan apa yang lagi menarik, sebahagian rupa Vios 2023 berkenaan turut terdedah pada video teaser pertama ini!

    Menerusi video berkenaan, dapat dilihat bahawa Vios generasi keempat tersebut menerima muka dengan lampu hadapan yang nipis dan tajam seakan Toyota Corolla, bersambung terus dengan gril sebelah atas yang juga direka nipis. Sementara gril bampar pula direka besar berbentuk-heksagon bersama elemen bar tebal yang melintang seakan Toyota Avanza generasi baharu.

    Seperti yang dijangka sebelum ini, Vios 2023 ini adalah versi produksi untuk model konsep Daihatsu DN-F Sedan, yang muncul di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017. Ia diserlahkan menerusi profil sisi Vios produksi ini yang menampilkan rekaan garis bumbung, tingkap sisi dan juga garis bahu seakan coupe diinspirasikan dari versi konsep berkenaan.

    Manakala di belakang, lampu utama bagi model generasi baharu ini turut menampilkan rupa yang lebih nipis serta bersegi. Namun berbeza dengan model konsep Daihatsu DN-F Sedan yang diberikan ruang nombor pendaftaran pada bampar, model produksi Vios ini nampaknya diberikan perumah nombor pendaftaran pada bahagian penutup but yang lebih tinggi.

    Video pendek yang berdurasi hanya 15 saat ini juga sempat memberikan sebahagian rupa bahagian dalam Vios 2023 ini. Ia kini menerima papan pemuka yang jauh lebih minimalis seakan Honda Civic, dengan skrin berdiri sendiri pada bahagian tengah. Stereng yang diberikan pada Vios baharu ini juga nampaknya seiras dengan stereng Perodua Ativa AV/Perodua Alza AV 2022/Toyota Veloz 2022, menandakan ia menerima sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense dengan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2.

    Perincian premium turut boleh dilihat pada kabin Vios generasi baharu ini dimana ia menerima balutan upholsteri kulit berwarna merah bukan hanya pada tempat duduk, malah pada sebahagian besar papan pemuka serta perehat tangan tengah serta banyak diberikan bahagian sentuhan lembut.

    Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, Toyota Vios generasi keempat ini akan diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), dan sebab itulah ia menggunakan kod projek D92A yang seiras dengan kod-kod projek model baharu dari Perodua. Ia juga adalah pelengkap kepada trio model konsep DN yang didedahkan oleh Daihatsu pada 2017, iaitu DN-Trec (dijelma sebagai SUV Daihatsu Rocky/Toyota Raize/Perodua Ativa), DN Multisix (dijelma sebagai MPV Daihatsu Xenia/Toyota Avanza dan Veloz/Perodua Alza 2022).

    Bagi model pasaran Thailand, Vios mungkin kekal menggunakan nama Yaris Ativ dan terus dijana enjin 1.2 liter seperti model generasi sedia ada, bagi membolehkan ia dijual di pasaran berkenaan dengan menerima manfaat insentif Kereta Eco Thailand. Manakala bagi pasaran lain, Vios dijangka akan terus menerima enjin 1.5 liter NA.

    Malah ada laporan menyatakan bahawa Vios generasi keempat ini bakal ditawarkan dalam versi hibrid, bagi memberikan saingan terus kepada Honda City RS e:HEV yang menerima unit rangkaian kuasa hibrid elektrik i-MMD. Untuk Vios hibrid, ia dikhabarkan menerima unit rangkaian kuasa 1.5L hybrid yang sama digunakan pada model Toyota Aqua pasaran Jepun/Toyota Prius c.

    Toyota Vios 2023 D92A – video <em>teaser</em> disiar, dalaman nampak premium, bakal didedah di Thailand Ogos ini!

    Pada model tersebut, sistem hibrid itu menggandingkn enjin 1.5L Dynamic Force tiga-silinder kitaran Atkinson berkuasa 91 PS/120 Nm bersama dua motor elektrik dan set gear planetary. Motor elektrik paling besar dalam sistem berkenaan mampu menghasilkan kuasa 80 PS/141 Nm. Sistem yang sama turut digunakan pada Toyota Yaris dan Yaris Cross pasaran Eropah.

    Apa pun, perincian penuh nanti mungkin akan diketahui ketika pelancaran model ini di Thailand pada bulan hadapan. Jadi apa pendapat anda berkenaan rupa Vios baharu ini? Adakah ia bakal memberikan saingan sukar kepada seteru utamanya iaitu Honda City?

    GALERI: Daihatsu DN F-Sedan Concept di GIIAS 2017

     
     
  • Aveta SVR180 dilancar untuk pasaran M’sia – RM9,998

    Aveta SVR180 dilancar untuk pasaran M’sia – RM9,998

    Aveta hari ini melancarkan sebuah motosikal yang mereka panggil sebagai “supermoped” untuk pasaran Malaysia, iaitu SVR180, pada harga RM9,998 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Ia ditawarkan dalam empat warna iaitu hitam, biru, cyan dan merah.

    SVR180 dipacu oleh enjin empat strok suntikan bahan api satu silinder DOHC penyejukan cecair 175 cc dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa 16.8 hp pada 8,500 rpm dan 15.5 Nm tork pada 8,500 rpm. Jika dibandingkan dengan Y15ZR, jumlah ini adalah cuma lebih tinggi 1.4 hp dan 1.7 Nm.

    Aveta SVR180 dilancar untuk pasaran M’sia – RM9,998

    Menggunakan rekaan serba moden, SVR180 turut hadir dengan kelengkapan seperti lampu hadapan dan lampu siang LED, panel meter digital, brek cakera hadapan dan belakang (tiada ABS), fork teleskopik, gril radiator serta pengecas USB.

    Rim yang digunakan pada SVR180 adalah bersaiz 17 inci, dengan dibalut tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, tangki bahan apinya pula berkapasiti 6.6 liter. Motosikal ini masih menggunakan kunci (bukan keyless) dan butang pemula untuk dihidupkan (tiada penendang kaki).

     
     
  • MIROS jelajah 12 lokasi bagi program subsidi kerusi kanak-kanak MyCRS, permohonan dilulus segera

    MIROS jelajah 12 lokasi bagi program subsidi kerusi kanak-kanak MyCRS, permohonan dilulus segera

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sedang mempromosikan program subsidi kerusi kanak-kanak Keluarga Malaysia (MyCRS). Di mana program ini adalah untuk membantu golongan B40 bagi mendapatkan kerusi berkenaan.

    Menurut MIROS, sebanyak 256,202 pemohon yang layak daripada jumlah keseluruhan pemohonan yang mencecah 473,346. Ini adalah 36% lebih tinggi daripada had 188,000 menerusi program terbabit. Subsidi diberikan berdasarkan pembelian dan bukannya kelayakan, sebab itu mereka yang layak perlu membuat pembelian kerusi kanak-kanak dengan segera di 259 cawangan sah seluruh negara, atau menerusi dalam talian.

    Walau bagaimana pun, bagi memperhebatkan promosi program ini, MIROS mula menjelajah dari satu lokasi ke satu lokasi di Semenanjung Malaysia termasuk di klinik kesihatan kendalian kerajaan. Menerusi siri jelajah ini, MIROS akan membantu ibubapa dari golongan B40 untuk memohon secara terus subsidi dan akan mendapat kelulusan segera di lokasi terbabit. Selain itu, pengedar kerusi kanak-kanak yang terpilih juga mengambil bahagian dalam siri jelajah ini bagi membantu pelanggan memilih jenis kerusi keselamatan kanak-kanak yang bersesuaian. Lokasi dan tarikh program jelajar ini adalah seperti di bawah.

    MIROS jelajah 12 lokasi bagi program subsidi kerusi kanak-kanak MyCRS, permohonan dilulus segeraMIROS jelajah 12 lokasi bagi program subsidi kerusi kanak-kanak MyCRS, permohonan dilulus segera

    Selain itu, MIROS turut berkata, sesi pemeriksaan percuma bagi kerusi keselamatan kanak-kanak juga akan dilakukan di lokasi terpilih – Apple Baby House, Alor Setar; Kico Baby Centre, Kubang Kerian; Mother’s First Choice, Kemaman. Di mana ibu bapa yang telah mempunyai kerusi berkenaan digalakkan untuk mengambil bahagian dan mempelajari lebih terperinci mengenai pemasangan yang betul serta pemilihan jenis kerusi mengikut usia dan ketinggian anak-anak kecil.

    Program Jelajah Subsidi MyCRS ditaja dengan kerjasama Koopers Distribution Crolla Baby dan Quinton Baby sebagai penaja platinum. Manakala SNS Products dan Little One Group pula sebagai penaja emas.

    Diumumkan menerusi Bajet 2022, kerajaan memberi subsidi 50% atau sehingga RM150 untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak bagi golongan B40. Peruntukannya melibatkan kos sebanyak RM30 juta dan ia terhad kepada 188,000 pemohonan ketika diumumkan. Setiap individu yang layak boleh menuntut subsidi untuk satu kerusi kanak-kanak sahaja.

     
     
  • Mahindra siar teaser lima SUV EV – didedah 15 Ogos

    Mahindra siar teaser lima SUV EV – didedah 15 Ogos

    Sejak beberapa bulan lepas, Mahindra telah menyiarkan beberapa siri teaser pendek yang menunjukkan bahagian tertentu tiga model elektrik yang dianggap masih lagi merupakan model konsep berdasarkan bentuk cermin sisi, rim, tempat duduk serta beberapa lagi bahagiannya.

    Kini, pengeluar dari India itu mengeluarkan satu lagi teaser, dan kali ini menunjukkan ada lima SUV elektrik, yang akan didedah buat kali pertama pada 15 Ogos ini. Teaser terbaru ini cuma menampakkan bayangan tepi semua SUV tersebut.

    Empat daripadanya dilihat mempunyai bentuk seakan SUV coupe, dengan bumbung yang rendah di bahagian belakang serta cermin belakang yang condong, sementara satu lagi mempunyai bentuk yang lebih berpetak. Saiz antara lima SUV ini juga dilihat berbeza dengan ada di antaranya mungkin dibuat sebagai SUV lima tempat duduk dan tujuh tempat duduk.

    Tiada apa yang diketahui setakat ini tentang penggerak elektrik SUV ini, tetapi teaser-teaser yang dikeluarkan ada menunjukkan ciri antaranya seperti lampu LED berbentuk C, lampu suasana mengelilingi pemandu di bahagian kokpit, penukar gear yang masih menggunakan tombol serta bumbung panoramik besar.

    Daripada slogan “Born Electric” yang digunakan, kita boleh menjangkakan semua SUV ini dibangunkan dari awal sebagai kenderaan elektrik, sementara ayat “Oxfordshire, UK” memberitahu bahawa ia direka di Mahindra Advanced Design Europe (MADE).

     
     
  • Tempahan kenderaan tertunggak dipercayai cecah lebih 500k unit – tempoh menunggu lebih lama

    Tempahan kenderaan tertunggak dipercayai cecah lebih 500k unit – tempoh menunggu lebih lama

    Meskipun ekonomi Malaysia dikatakan masih lagi belum pulih sepenuhnya daripada kesan negatif akibat pandemik, jualan kenderaan baru nampaknya menunjukkan keadaan yang sebaliknya. Pada 20 Jun lalu, semasa pengumuman pengecualian cukai tidak disambung, menteri kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu bahawa industri automotif mempunyai tempahan tertunggak sekitar 264,000 buah kenderaan.

    Sekarang, menurut penganalisis Hong Leong Investment Bank, jumlah itu kini dipercayai telah meningkat lagi sehingga melebihi 500,000 unit. Perkara ini dilaporkan oleh Berita Harian, yang memetik kata-kata penganalisa HLIB Research, Daniel Wong, yang memberitahu bahawa tempahan tertunggak kini sudah melebihi setengah juta unit.

    Peningkatan berganda ini adalah hasil daripada tempahan yang dibuat pada bulan lepas, apabila pembeli berpusu-pusu ke pusat pameran untuk merebut waktu akhir pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan kepada kenderaan baru yang ditempah sebelum 30 Jun dan didaftar sebelum 31 Mac tahun depan.

    Dalam kenyataan yang sama, Wong turut memberitahu bahawa meskipun jumlah tempahan tertunggak yang tinggi ini dijangka dapat membantu pemulihan jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) sehingga hujung tahun depan, TIV tahun 2023 masih dijangka perlahan.

    Tempoh menunggu yang lama dijangka berlaku untuk semua model daripada semua pengeluar. Bagi Perodua yang berjaya mengumpul 25,100 tempahan dalam tempoh satu hari sahaja (30 Jun), mereka memberitahu bahawa pelanggan boleh menjangka tempoh menunggu antara enam hingga tujuh bulan, bergantung kepada model.

    Walaubagaimanapun, ada di antaranya akan melibatkan tempoh yang lebih lama – dalam satu dokumen dalaman yang kami lihat sendiri, Perodua menyatakan bahawa tempoh menunggu untuk varian Axia yang lebih tinggi kini adalah sekitar 10.5 hingga 11 bulan, sementara Bezza varian atas pula mencecah 12.5 hingga 13 bulan.

    Honda pula, semasa pelancaran HR-V baru menyatakan bahawa tempahan untuk SUV tersebut telah melepasi 20,000 unit, dan tempoh menunggu kini sudah melebihi 12 bulan. Melihat kepada syarikat lain, Mercedes-Benz Malaysia juga telah memberitahu bahawa tempoh menunggu untuk model mereka kini mencecah enam bulan.

     
     
  • Pemohonan lesen teksi individu untuk orang awam dilanjutkan sehingga hujung tahun ini – KP APAD

    Pemohonan lesen teksi individu untuk orang awam dilanjutkan sehingga hujung tahun ini – KP APAD

    Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengumumkan pemohonan bagi lesen teksi dan kereta sewa individu di bawah perniagaan milikan tunggal dan perkongsian untuk orang awam dilanjutkan sehingga hujung tahun ini. Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Pengarahnya Datuk Azlan Shah Al-Bakri menerusi program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM baru-baru ini.

    Sejak ia dibuka pada April lalu, kuota kelulusan Lesen Teksi dan Kereta Sewa ditetapkan sebanyak 1,000 lesen bagi tahun 2022. Walau bagaimana pun, sehingga tarikh akhir permohonannya pada 30 Jun lalu, hanya sekitar 200 lesen atau 20% kuota sahaja yang telah dipenuhi. Justeru, Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui APAD telah memutuskan untuk melanjutkan pembukaan pemohonan lesen ini.

    “Jika dahulu, banyak pemberian lesen teksi diberikan kepada syarikat dan syarikat terbabit yang akan memajakkan kenderaan atau permit kepada individu. Namun selepas mendapat maklum balas daripada pemain industri yang berpendapat demi kelangsungan hidup, lesen berkenaan wajar dibuka secara individu. Atas keprihatinan kerajaan, maka kami melaksanakan program ini.

    “Malah kita menjadi satu-satunya negara di dunia ini yang memberikan lesen teksi secara individu, bukannya sekadar menerusi syarikat. Bukan itu saja, kita longgarkan lagi syarat pemohonan. Kalau melihat statistik, 40% demografik pemain industri ini adalah di kalangan mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Jadi kita longgarkan syarat untuk memudahkan pemain-pemain industri sedia ada dan yang baharu untuk memohon. Secara tak langsung, pengangkutan awam dapat menjadi pemangkin ekonomi negara,” katanya.

    Pemohonan lesen teksi individu untuk orang awam dilanjutkan sehingga hujung tahun ini – KP APAD

    Menurut kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh MOT sebelum ini, syarat permohonan kali ini juga berbeza di mana APAD telah memansuhkan keperluan syarat pengalaman memandu teksi atau kereta sewa antara satu hingga tiga tahun yang termaktub di bawah Program Transformasi Industri Teksi (TITP) sebelum ini. Namun yang demikian, syarat-syarat lain masih dikenakan bagi memastikan penyertaan pemohon adalah kekal berdaya saing dan berkualiti dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penumpang.

    “Dulu kita perlukan sekurang-kurangnya pengalaman selama tiga tahun dari aspek memandu teksi, kemudian dikurangkan kepada setahun, barulah boleh memohon lesen teksi individu. Namun sekarang ini, tidak perlu ada pengalaman langsung pun tidak mengapa, asalkan individu terbabit memilik lesen pengangkutan awam (PSV).

    “Selain itu, individu terbabit tidak boleh muflis, harus mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM sama ada untuk syarikat pemilikan sendiri atau perkongsian, tidak disenarai hitam oleh PDRM, APAD dan JPJ serta mempunyai 30% bukti keupayaan kewangan untuk mengeluarkan kenderaan atau menggunakan kenderaan sendiri dengan menunjukkan geran milikan. Walau bagaimana pun, penjawat awam tidak dibenarkan untuk memohon lesen teksi, termasuk juga lesen bas dan lori,” katanya.

    Berkenaan dengan usia kenderaan yang layak diluluskan untuk dijadikan teksi pula, Azlan berkata, “Kenderaan itu perlu berusia maksimum 10 tahun dan ke bawah. Jika dulu, tidak boleh lebih tiga tahun. Tapi kini kita sudah tetapkan had usia kenderaan untuk memudahkan cara pemohonan.

    Pemohonan lesen teksi individu untuk orang awam dilanjutkan sehingga hujung tahun ini – KP APAD

    “Kalau kenderaan sudah berusia sembilan tahun, lesen yang diberi hanya untuk setahun sahaja. Kalau (kenderaan) berusia lima tahun, lesen hanya untuk lima tahun. Kami memberikan fleksibiliti untuk pemain-pemain industri sedia ada atau pun yang baru demi kelangsungan hidup. Di samping membantu menjana ekonomi negara, mereka juga dapat memperoleh pendapatan sendiri,” jelasnya lagi.

    Beliau turut menambah, pihakknya juga mengalu-alukan pemandu wanita untuk memohon. Sehingga kini, lebih kurang 3% pemandu wanita yang memiliki lesen teksi.

    “Kalau kita lihat, wanita sekarang tak macam dulu. Di Prasarana sendiri, kita ada pemandu bas wanita yang ada lesen bas. Bukan mudah untuk memandu bas, terutamanya di kota besar seperti di Kuala Lumpur. Tapi dengan adanya semangat berdaya saing, mereka boleh melakukannya. Malahan kita tidak membeza-bezakan antara pemandu lelaki dan wanita, semuanya menerima inisiatif yang sama. Kita mahu membantu mereka demi kelangsungan hidup dan ia menjadi touch point antara golongan B40 dengan kerajaan,” katanya lagi.

    Menjawab soalan mengenai kadar tambang teksi, beliau menjawab, “Pada masa ini, dalam beberapa minggu lalu terdapat rungutan dan rintihan di kalangan pengguna mengenai kadar tambah e-hailing yang naik mendadak. Ia disebabkan permintaan yang tinggi dan penawaran yang kurang. Tambang e-hailing tidak dikawal selia, tidak seperti (tambang) teksi. Bila perkara ini berlaku (tambang e-hailing naik), permintaan terhadap teksi semakin meningkat.

    “Cuma apa yang kita inginkan, bagi memastikan daya saing dapat dipertingkatkan (termasuk kadar tambang yang dikawal selia), permintaan (teksi) dilakukan secara melalui atas talian termasuk aplikasi. Buat masa ini, gunakan aplikasi yang telah sedia ada. Ada juga persatuan teksi yang sedang membangunkan aplikasi sendiri, pihak kerajaan sangat mengalu-alukannya tetapi ia perlu menepati syarat yang ditetapkan.”

    Azlan turut berkata, sejak pemohonan lesen teksi individu ini dibuka pada orang awam sejak 18 April lalu, pihaknya paling banyak menerima pemohonan dari individu yang berada di sekitar Lembah Klang.

    “Kami membuka kuota sebanyak 1,000 unit permit teksi individu sehingga hujung tahun ini. Jika ada lebih permintaan, jumlah permit akan akan ditambah lagi bersesuaian dengan permintaan. Setakat ini, lebih kurang 200 permit sahaja yang telah dikeluarkan, masih berbaki 800 unit lagi. Justeru, kami berharap dengan adanya platform yang sedia ada ini, ia dapat membuka ruang dan peluang untuk mereka yang ingin memohonnya. Jika ada kes yang tidak mampu, kami akan bantu termasuk pemberian geran sedia ada, dan banyak lagi kelonggaran lain,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025