Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Genesis G90 2022 didedahkan, sasar lawan S-Class

    Genesis G90 2022 didedahkan, sasar lawan S-Class

    Sayap jenama mewah Hyundai, Genesis, yang telah membuktikan kemampuannya untuk bersaing dengan jenama dari Jerman kini memperkenalkan taruhan terbaru melalui G90 terkini. Model ini memasuki generasinya yang kedua dengan reka bentuk dan penampilan yang lebih matang dan menawan, yang didedahkan sebelum perincian lainnya.

    G90 menampilkan takrifan paling elegan bagi bahasa rekaan “Athletic Elegance” yang diterapkan, dengan teknologi baru yang membantunya mencapai imej penampilan yang menakjubkan. Di depan, lampu utamanya tirus, yang dicapai dengan menggabungkan lampu nyalaan siangnya dengan lampu rendah Micro Lens Array (MLA).

    Di antara lampu LED berkenaan terletak pula Crest Grille, yang menampilkan dua corak G-Matrix mesh bertindan untuk memberikan kesan berlapis. Bonet dengan rekaan clampshell, pertama kali dihadirkan untuk model crossover GV60 elektrik mengurangkan lagi garis-garis yang biasanya ada. Lencana yang ada pula kini 80% lebih kurus berbanding yang lama.

    Genesis G90 2022 didedahkan, sasar lawan S-Class

    Bahagian sisi menampilkan garis “parabolic” yang bertemu dengan garis bahu, sementara garis tingkapnya bertemu dengan tiang C. Ini adalah untuk memberikan kesan suasana terbuka dan privasi sekaligus kepada penumpang. Lampu utama khas Two-Line diteruskan di belakang juga, dengan kelebaran penuh untuk memberikan kesan visual tegap.

    Rekaan lain seperti ruang nombor plat, lampu undur dan muncung ekzos telah dialih lebih ke bawah agar tidak mengganggu sentuhan rakaan yang dibawa oleh bahagian atas. Varian dengan jarak antara roda lebih panjang diberikan pintu belakang yang lebih panjang juga, dengan tiang C lebih tebal, tiang B krom dan rim aloi 20-inci unik.

    Genesis G90 2022 didedahkan, sasar lawan S-Class

    Perincian teknikal masih belum diketahui, tetapi G90 ini dilaporkan akan menggunakan enjin 4.4 liter V8 berbanding versi kemaskini bagi unit Smartstream G3.5 turbocas V6 yang digunakan oleh model Genesis yang lebih baru ketika ini. Enjin berkenaan menghasilkan sebanyak 380 PS dan 530 Nm tork, melibatkan pertambahan 10 PS dan 20 Nm berbanding unit 3.3 liter yang paling asas. Kotak gear automatik lapan-kelajuan sedia ada dan sistem pacuan semua roda mungkin akan dikekalkan.

    G90 terbaru ini juga dikhabarkan bakal hadir dalam varian elektrik penuh, sama dengan GV70 yang ditunjuk di Guangzhou awal bulan ini. Kereta tersebut menampilkan motor elektrik di setiap gandarnya untuk memberikan pacuan semua roda dan output keseluruhan 489 PS dan 700 Nm — menggerakkan SUV berkenaan ke kelajuan 100 km/j dalam masa 4.5 saat. Jarak perjalanan ditetapkan sejauh 400 km, dengan kemampuan untuk pengecasan 350 kW melalui pengecas pantas DC.

     
     
  • Porsche 911 GT3 992 dilancarkan di M’sia – bermula RM1.77 juta, pilihan manual dan PDK, 510 PS/470 Nm

    Porsche 911 GT3 992 dilancarkan di M’sia – bermula RM1.77 juta, pilihan manual dan PDK, 510 PS/470 Nm

    Ini dia, versi produksi paling hardcore untuk Porsche 911 generasi 992 buat masa sekarang, iaitu 911 GT3 secara rasmi telah mendarat di pasaran Malaysia! Model ini dijual oleh pengedar rasmi jenama kereta Jerman tersebut, Sime Darby Auto Performance (SDAP) dengan harga bermula RM1,766,244 sebelum ditambah dengan opsyen lain, tetapi sudah termasuk pengecualian cukai SST 50% bagi kereta yang diimport sepenuhnya (CBU).

    Porsche 911 yang difokuskan untuk pemanduan litar ini telah dibuktikan mampu untuk menghabiskan satu pusingan lap di Litar Nürburgring Nordschleife dalam masa tak sampai tujuh minit. Ia dijana oleh enjin boxer enam-silinder 4.0 liter NA yang diambil dari 911 Speedster, menghasilkan kuasa 510 PS pada takat 8,400 rpm dan tork maksima 470 Nm pada takat 6,100 rpm.

    Enjin tersebut mampu untuk menjerit sehingga ke redline yang ditetapkan pada 9,000 rpm, dengan udara disedut masuk ke dalam kebuk pembakaran menerusi sistem individual throttle body (ITB) yang diberikan pada setiap silinder, serta diberikan lifter injap solid bebas penyelenggaraan.

    Porsche 911 GT3 992 dilancarkan di M’sia – bermula RM1.77 juta, pilihan manual dan PDK, 510 PS/470 Nm

    Bagi pasaran Malaysia, pelanggan ditawarkan dengan kedua-dua jenis kotak gear – manual enan-kelajuan atau klac berkembar automatik PDK tujuh-kelajuan – dengan harga yang sama. Ia juga datang dengan pakej GT3 Touring dengan rupa lebih garang, manakala model yang menggunakan kotak gear PDK turut boleh menerima pilihan pakej Touring.

    Bagi model manual, 911 GT3 ini mampu untuk memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat, dan mencapai 200 km/j dalam masa 11.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 320 km/j. Bagi kereta yang dibekalkan dengan kotak gear PDK, ia ternyata lebih pantas dengan pecutan 0-100 km/j hanya 3.4 saat dan mencapai 200 km/j dalam masa hanya 10.8 saat, namun kelajuan maksimanya sedikit rendah iaitu 318 km/j.

    Kedua-dua kotak gear tersebut masih sama dengan 911 GT3 sebelum ini, di mana versi manual masih memberikan fungsi rev-match serta 17 kg lebih ringan dari PDK. Manakala kotak gear PDK pada 992 GT3 ini pula kurang satu nisbah berbanding versi Carrera dan Turbo bagi mengurangkan beratnya serta membolehkan penukar gear mekanikal konvensional dipasang. Pedal penukar gear juga masih diberikan secara standard.

    Porsche 911 GT3 992 dilancarkan di M’sia – bermula RM1.77 juta, pilihan manual dan PDK, 510 PS/470 Nm

    Walaupun badan 992 GT3 ini lebih besar dari 991.2 sebelum ini, ia ditimbang hanya sedikit lebih berat dari model sebelumnya. Model yang diberikan kotak gear manual hanya seberat 1,418 kg, manakala versi dengan kotak gear PDK pula adalah 1,432 kg, atau sekitar 5 kg lebih berat dari 991.2.

    Ini kerana model generasi baharu ini menerima cermin yang lebih ringan, tempat duduk belakang dibuka serta material-material penebat bunyi pada badan telah dibuang. Ia juga diberikan bateri lithium logam fosfat yang lebih ringan secara standard, yang ditimbang 10% lebih ringan dari unit pada model lama.

    Kelengkapan-kelengkapan aerodinamik yang begitu agresif pada GT3 ini juga merupakan perincian standard, dia mana ia mampu untuk meningkatkan downforce sehingga 150%. Bagi mereka yang memilih opsyen GT3 Touring Package, spoiler GT ‘leher angsa’ di belakang akan digantikan dengan spoiler adaptif, manakala keseluruhan bampar hadapan menerima kemasan warna badan, serta jalur kemasan di bawah tingkat sisi menggunakan material aluminium tersadur berkilat.

    Porsche 911 GT3 992 dilancarkan di M’sia – bermula RM1.77 juta, pilihan manual dan PDK, 510 PS/470 Nm

    Manakala untuk casis pula, GT3 diberikan sistem double wishbone pada bahagian hadapan bagi menggantikan topang McPherson, menjadikan ia model produksi jalan raya pertama Porsche menggunakan sistem sedemikian. Menurut Porsche, sistem gantungan bebas hadapan berkenaan membolehkan kejituan pemanduan ditingkatkan, serta memberikan permukaan tayar yang bersentuhan dengan jalan lebih konsisten dalam situasi terbeban.

    Seperti model-model GT3 sebelum ini, ia kekal menampilkan kabin seakan kereta lumba sebenar. Pemandu menerima paparan instrumen yang menampilkan takometer pada bahagian tengah (kini dengan bantuan tukaran gear bersama bar berwarna) yang memberikan bacaan sehingga 10,000 rpm, diapit dengan paparan tujuh-inci pada setiap sisi yang menampilkan skrin litar baharu yang memberikan data-data penting ketika memandu.

    Untuk Infotainmen pula, model ini diberikan skrin sesentuh 10.9-inci yang dilengkapi sistem Porsche Communication Management (PCM) terkini bersama navigasi atas talian dan Porsche Connect Plus. Ia juga diberikan aplikasi Porsche Track Precision membolehkan anda membuat analisa terhadap gaya pemanduan yang telah dibuat di litar.

    Pembeli juga boleh membuat penampilan unik pada kereta masing-masing, dengan penawaran 105 warna klasik yang boleh dipilih. Porsche turut menawarkan program “Paint to Sample” bagi membolehkan anda memiliki 911 GT3 yang lebih istimewa berbanding pemilik lain, serta pelbagai aksesori Porsche Exclusive Manufaktur termasuk bumbung gentian-karbon tanpa kemasan warna, penutup cermin sisi karbon, lampu hadapan LED matrix yang digelapkan dengan lensa lampu belakang jernih, cat istimewa pada rim dan pelbagai lagi.

    GALERI: Porsche 911 GT3 992

     
     
  • HSR: Singapura terbuka terima cadangan Malaysia

    HSR: Singapura terbuka terima cadangan Malaysia

    Pada Januari lalu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong telah mengumumkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dibatalkan. Keputusan ini terpaksa diambil apabila kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat berhubung perubahan dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu berakhir pada 31 Disember 2020.

    Walau bagaimana pun, semalam Lee mengesahkan, pihaknya terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia berkaitan dengan projek HSR dan kedua-dua negara bakal membincangkan lebih terperinci, laporan Bernama.

    “Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mencadangkan perbincangan mengenai HSL dihidupkan semula dan saya menjawab bahawa Singapura dan Malaysia telah mencapai persetujuan sebelum ini untuk menamatkan projek HSR, dan ini telah diselesaikan secara baik.

    “Bagaimanapun, Singapura terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia mengenai projek HSR dan kementerian pengangkutan kedua-dua negara akan membincangkan perkara itu. Singapura berharap menerima butiran lebih terperinci dari Malaysia agar kami boleh mengkajinya dan menimbangkan sekali lagi perkara itu,” kata Lee.

    Pada Mac tahun ini, Malaysia mengumumkan membayar SG$102.8 juta (SG$1=RM3.09) kepada Singapura bagi kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penangguhannya. Bayaran S$102,815,576.00 (RM320,270,519.24) sudah dibuat Kerajaan Malaysia sebagai pampasan terhadap kos ditanggung Kerajaan Singapura dalam pembangunan projek HSR dan berkaitan penangguhan projek berkenaan.

    Sebelum ini, Singapura berkata, jumlah pampasan pembatalan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura akan merangkumi pelbagai kos, tetapi tidak membabitkan kos pembelian tanah. Di mana Singapura sudah membelanjakan S$270 juta setakat ini membabitkan projek berkenaan iaitu merangkumi perkhidmatan konsultan, reka bentuk infrastruktur dan tenaga buruh.

    Mengikut perancangan awal, HSR dijangka beroperasi pada tahun 2026, dicadangkan empat perjalanan bagi setiap jam untuk untuk tempoh kekerapan jadual trennya. Di mana dua perjalanan adalah bagi laluan antarabangsa Kuala Lumpur-Singapura dan Singapura-Kuala Lumpur tanpa henti. Manakala dua lagi membabitkan perjalanan domestik Kuala Lumpur-Iskandar Puteri, Johor serta sebaliknya

     
     
  • Nissan akan labur RM75 bilion dalam elektrifikasi – 23 model elektrik, termasuk 15 EV menjelang tahun 2030

    Nissan akan labur RM75 bilion dalam elektrifikasi – 23 model elektrik, termasuk 15 EV menjelang tahun 2030

    Nissan telah membuat pengumuman akan meningkatkan lagi rancangan elektrifikasi mereka dengan melabur dua trilion yen (RM74.8 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang untuk mempercepatkan lagi elektrifikasi pada barisan model mereka. Di bawah strategi Ambition 2030 yang dibuat, Nissan meletakkan sasaran memperkenalkan 23 model elektrifikasi, termasuk 15 daripadanya adalah kenderaan elektrik bateri (BEV), menjelang tahun 2030.

    Menurut syarikat itu lagi, dengan pengenalan 20 model e-Power dan EV ke dalam pasaran menjelang lima tahun akan datang, mereka meletakkan sasaran untuk meningkatkan skop produk elektrifikasi mereka dalam pelbagai pasaran utama menjelang 2026.

    Dalam langkah ini, Nissan berhasrat menjadikan 75% jualan kenderaan di Eropah terdiri daripada model yang mendapat kuasa elektrik, sementara untuk pasaran domestik (Jepun) pula sehingga 55%. Untuk China pula, mereka meletakkan sasaran lebih 40% manakala untuk Amerika Syarikat juga dalam peratusan yang sama, menjelang tahun 2030.

    Nissan akan labur RM75 bilion dalam elektrifikasi – 23 model elektrik, termasuk 15 EV menjelang tahun 2030

    Selain daripada platform dan model baru, pengeluar dari Yokohama ini juga mempunyai perancangan untuk melabur besar-besaran dalam pembangunan bateri serta teknologi yang berkaitan. Mereka memberitahu akan terus mengembangkan lagi teknologi bateri lithium ion sedia ada dan memperkenalkan teknologi bebas kobalt untuk mengurangkan kos bateri sehingga 65% menjelang 2028.

    Dalam usaha untuk memenuhi permintaan unit pembekal kuasa, Nissan memberitahu akan menyediakan sistem bekalan bateri global, dan berhasrat meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran bateri global secara keseluruhannya kepada 52 GWh menjelang 2026 dan sehingga 130 GWh menjelang 2030.

    Syarikat ini juga meletakkan sasaran untuk mengembangkan lagi penggunaan bateri all-solid-state (ASSB) yang dibangunkan oleh mereka menjelang tahun 2028. ASSB ini dikatakan dapat mengurangkan waktu mengecas sehingga satu per tiga, menjadikan EV lebih cekap, mudah diguna dan dapat mengurangkan kos pek bateri sehingga US$75 (RM317) bagi setiap kWh menjelang tahun 2028.

    Nissan akan labur RM75 bilion dalam elektrifikasi – 23 model elektrik, termasuk 15 EV menjelang tahun 2030

    Sebagai tambahan kepada teknologi baru, Nissan juga akan mengeluarkan dan menggunakan bahan dalam negara untuk EV, bagi menjadikannya lebih kompetitif dan bersedia melabur sehingga 20 bilion yen (RM748 juta) menjelang tahun 2026 untuk menbangunkan struktur pengecas kenderaan. Lebih 30,000 pekerjaan dalam penyelidikan dan pembangunan juga akan terbuka secara global.

    Dalam perkembangan lain, Nissan juga mengumumkan akan meluaskan lagi teknologi autonomous ProPilot kepada lebih 2.5 juta kenderaan Nissan dan Infiniti menjelang 2026, dan mensasarkan untuk menggunakan sistem LIDAR generasi baru pada semua model menjelang 2030.

     
     
  • PEV Open Track Day berlangsung di Sepang pada 3 Dis ini – untuk e-scooter, e-bike, Segway, hoverboard

    PEV Open Track Day berlangsung di Sepang pada 3 Dis ini – untuk e-scooter, e-bike, Segway, hoverboard

    Khas untuk peminat dan pemilik kenderaan elektrik mudah alih (PEV), kini anda boleh melenjan litar F1 sepanjang 5.543 km dengan e-scooter, e-bike, hoverboard, electric unicycle atau e-skateboard!

    Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah mengumumkan penganjuran PEV Open Track Day buat julung kalinya, pada Jumaat ini, 3 Disember 2021, dari jam 8 malam hingga ke tengah malam, bertempat di SIC North Paddock. Pendaftaran akan diadakan di Pit 5 dan 6, dan anda boleh parkir kereta di P1, P2 dan P3. Yuran penyertaan adalah sebanyak RM62.50 untuk setiap individu – boleh menempah slot anda menerusi dalam talian, dan imbas kod QR di atas.

    Walau bagaimana pun, bagi langkah keselamatan, anda perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan. Setiap peserta wajib untuk memakai pelindungan keselamatan seperti helmet dan kasut sukan. SIC juga menggalakkan peserta memakai pad lutut dan pelindung siku.

    Paling wajib ialah semua peserta mestilah lengkap divaksinasi, dan telah lebih 14 hari selepas dos kedua bagi vaksin Pfizer, AstraZeneca atau Sinovac (atau 28 hari bagi suntikan tunggal vaksin J&J dan CanSino). Malah anda juga perlu menandatangani borang pampasan dan penyertaan adalah atas risiko sendiri. Sepanjang acara, Pitstop Cafe juga akan dibuka dan tiada makanan dan minuman dari luar dibenarkan dibawa masuk.

    SIC berkata penganjuran acara ini adalah pengiktirafan kepada peningkatan populariti PEV di Malaysia dan untuk menggalakkan mobiliti mesra alam dan bersih, sejajar dengan inisiatif SIC untuk menggalakkan kehidupan mampan dalam sukan dan mengurangkan pelepasan karbon.

    Sebelum ini, SIC turut membuka litarnya untuk penunggang basikal dan telah menganjurkan acara untuk mereka pada bulan lalu serta mendapat sambutan yang menggalakkan.

     
     
  • GALERI: Mercedes-Benz Vito Tourer facelift di M’sia – bermula RM342k, ditawar sehingga 10-tempat duduk

    GALERI: Mercedes-Benz Vito Tourer <em>facelift</em> di M’sia – bermula RM342k, ditawar sehingga 10-tempat duduk

    Sedang ramai yang lihat persaingan antara Hyundai Staria Premium dengan Toyota Alphard, pasti ramai yang terlupa dengan satu lagi pesaing dari Jerman, Mercedes-Benz Vito Tourer kan? Model tersebut kini sudah pun berada di Malaysia dalam versi facelift, dilancarkan oleh Hap Seng Star (HSS) pada awal bulan ini.

    Vito Tuorer ini merupakan versi ‘people mover’ berbanding versi komersil Mercedes-Benz V-Class yang menggunakan asas sama. Ia dijual di Malaysia pada harga atas jalan tanpa insuran RM342,036.40, dan menawarkan konfigurasi sehingga 10-tempat duduk.

    Kabin belakang Vito Tourer ini dilengkapi rel kerusi dengan sistem buka-cepat. Ini bermakna pemilik boleh memilih konfigurasi tempat duduk belakang MPV ini mengikut kesesuaian penggunaan, dengan bantuan dari HSS sendiri. Unit yang kami paparkan ini menampilkan tujuh-tempat duduk secara keseluruhan, dengan konfigurasi 2-2-3.

    GALERI: Mercedes-Benz Vito Tourer <em>facelift</em> di M’sia – bermula RM342k, ditawar sehingga 10-tempat duduk

    Penumpang belakang boleh mengakses bahagian kabin belakang MPV ini menerusi dua pintu gelangsar berkuasa yang disediakan pada setiap sisi. Ia juga menerima sistem infotainmen Audio 30 yang menampilkan skrin sesentuh tujuh-inci serta menyokong Android Auto dan Apple Carplay.

    Perincian lain yang turut disertakan termasuk upholsteri kulit sintetik leatherette hitam, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan fungsi memori, roda stereng balutan kulit dengan butang pelbagai fungsi, penel kawalan atas kepala serta sistem pendingin hawa dua-zon Thermotronic bersama kawalan iklim separa automatik Tempmatic untuk kabin belakang (dengan liang hembusan udara pada sisi bumbung).

    Model facelift ini menampilkan liang pendingin hawa berbentuk turbin pada papan pemuka yang direka khas untuk Vito Tourer. Manakala pada bahagian luaran, versi kemaskini ini diberikan gril baharu yang mempunyai slot pada setiap para.

    GALERI: Mercedes-Benz Vito Tourer <em>facelift</em> di M’sia – bermula RM342k, ditawar sehingga 10-tempat duduk

    Selain dari itu, rupa model facelift ini masih nampak sama seperti model sebelum ini. Ia menampilkan dimensi 5,370 mm panjang (lebih panjang dari V-Class yang hanya berukuran 5,140 mm), 2,244 mm lebar, 1,958 mm tinggi dan juga jarak roda sejauh 3,430 mm.

    Selain itu, Vito Tourer ini didatangkan standard dengan rim aloi 17-inci lima jejari berkembar, lampu hadapan LED Intelligent Light System dengan High Beam Assist Plus, pengelap cermin automatik, kamera undur dan sistem pemantau angin tayar.

    Bagi sistem keselamatan dan bantuan pemanduan pula, MPV ini diberikan enam-beg udara, brek kecemasan automatik (AEB), cruise control aktif, Bantuan Tumpuan, Bantuan Titik Buta, Bantuan Angin Lintang, Bantuan Mula Mendaki, Bantuan Kekal Lorong, pakej Lane Tracking dan juga sistem Parktronic, semua ini juga merupakan perincian standard.

    Vito Tourer ini dijana oleh enjin M274 2.0 liter empat silinder turbo yang menghasilkan 211 PS (208 hp) pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 1,300 hingga 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic untuk memacu roda belakang.

    MPV Mercedes-Benz Vito Tourer ini hanya dijual secara eksklusif oleh HSS, dan servis selepas jualannya juga hanya dibuat oleh rangkaian pusat servis syarikat itu sahaja. Sebelum ini, model pre-facelift Vito Tourer hanya dijual oleh Nusa Otomobil dalam versi enjin turbodiesel.

    Empat warna ditawarkan termasuk Obsidian Black Metallic, Rock Crystal White Metallic, Graphite Grey Metallic dan Cavansite Blue Metallic. Setiap pembelian akan disertakan dengan waranti kenderaan 2+2, iaitu dua tahun waranti pengeluar antarabangsa dan dua tahun lagi adalah waranti sambungan yang disediakan oleh insuran Allianz.

    MPV ini perlu diservis setiap 10,000 km atau setahun, berbanding 12,000 km atau setahun untuk model-model penumpang biasa Mercedes-Benz yang lain.

     
     
  • Volvo S90 2022 di M’sia bakal dapat Android Auto OS?

    Volvo S90 2022 di M’sia bakal dapat Android Auto OS?

    Volvo XC60 facelift yang dilancarkan di Malaysia minggu lalu, telah memperkenalkan sistem infotainmen terkini Volvo – berasaskan sistem operasi Android Automotive. Nampaknya mungkin teknologi ini akan ditawarkan untuk model lain Volvo, bermula dengan S90.

    Laman web rasmi Volvo Car Malaysia telah mengiklankan yang S90 dengan “Google built in”, memberikan petunjuk perkhidmatan binaan-dalam Google dan Android Automotive OS baharu akan ditawarkan. Ini merangkumi navigasi Google Maps, Play Store untuk aplikasi dan juga pengaktifan suara Google Assistant. S90 facelift dilancarkan di negara ini pada April lalu tanpa sistem berasaskan Android.

    Sama seperti XC60, setiap pembelian termasuk sekali dengan langganan empat-tahun untuk perkhidmatan yang disebut di atas, bersama dengan data yang diperlukan dan akses untuk perkhidmatan kawalan jauh pada aplikasi Volvo Cars. Satu kelemahan berbanding sistem Sensus Connect sedia ada ialah ia belum lagi menyokong fungsi Apple CarPlay mahupun Android Auto.

    Ciri tambahan bagi Android Automotive OS ini bertepatan dengan pengenalan model 2022 dan model asas T5 Momentum, yang masih belum menerima harga dengan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Varian tersebut, yang dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo petrol 254 PS/350 Nm, ditawarkan dengan harga atas jalan RM328,888 tanpa insurans termasuk SST.

    GALERI: Volvo S90 Recharge T8 Inscription Plus 2021 di Malaysia

     
     
  • Hyundai Palisade 2022 di Malaysia – kelihatan di Sime Darby Motors City, bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Hyundai Palisade 2022 di Malaysia – kelihatan di Sime Darby Motors City, bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Bulan lalu, Hyundai Palisade dikesan sedang dinaikkan atas sebuah treler. Baru-baru ini juga, SUV tersebut kelihatan sekali lagi, di Sime Darby Motors City, Ara Damansara dan fotonya dirakamkan oleh pembaca Edward Koh.

    Seperti yang pernah kami khabarkan sebelum ini, Palisade bakal memasuki pasaran Malaysia, selepas perkara ini diumumkan sendiri oleh Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) pada Mac lalu. Malah kemungkinan ia bakal dilancarkan sebelum 2021 melabuhkan tirainya. Jika benar, nampak gayanya tiga bulan berturut-turut HSDM memperkenalkan model baharu iaitu MPV mewah Staria yang dilancarkan pada Oktober lalu, diikuti dengan Kona Electric yang secara rasmi berada di pasaran bulan ini.

    Palisade merupakan model SUV tiga baris tempat duduk mewah yang pertama kali didedahkan pada tahun 2018, dan bergantung kepada spesifikasi, ia boleh menempatkan sehingga tujuh atau lapan orang. Ia lebih besar berbanding Santa Fe, dengan ukuran panjang 4,981 mm, 1,976 mm lebar dan jarak roda 2,900 mm.

    Hyundai Palisade 2022 di Malaysia – kelihatan di Sime Darby Motors City, bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Menurut HSDM, SUV yang bakal dibawa masuk dari Korea Selatan ini akan ditawarkan dengan enjin 3.8 liter naturally aspirated V6, dengan hamburan kuasa mencecah 291 hp dan tork 355 Nm, dan unit suntikan-terus Atkinson-cycle ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan HTRAC AWD.

    Antara ciri yang dijangka akan ditampilkan untuk pasaran kita termasuklah roda 20-inci, kluster instrumen TFT digital 12.3-inci, sistem infotainmen Display Audio 10.25-inci dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Selain itu, unit CBU ini juga mungkin akan dilengkapi dengan tempat duduk dengan ventilasi, dua bumbung suria, pengecas tanpa wayar, kawalan suhu tiga-zon dengan ioniser serta ciri keselamatan SmartSense ADAS.

    Palisade juga telah menembusi pasaran Indonesia, dengan penawaran enjin 2.2 liter CRDi diesel berkuasa 200 PS dan 441 Nm. Pembeli di republik berkenaan boleh memilih tiga versi kemasan, dengan harga antara RM223k hingga RM309k.

     
     
  • EICMA 2021: Moto Guzzi V100 Mandello diperkenalkan

    EICMA 2021: Moto Guzzi V100 Mandello diperkenalkan

    Moto Guzzi kini kembali dengan model sports apabila memperkenalkan V100 Mandelli di pameran EICMA. Model ini juga membawa lebih banyak kelengkapan canggih kepada motosikal retro jenama itu, termasuk suspensi semi aktif, quickshifter, Cornering ABS serta sistem penyejukan cecair.

    Moto Guzzi memanggil V100 Mandello ini sebagai “asas untuk membina masa hadapan”, dan dikatakan sebagai motosikal pertama yang mempunyai ciri aerodinamik adaptif. Penghadang angin di bahagian hadapan tangki V100 ini boleh naik dan turun mengikut kelajuan serta mod tunggangan, sekaligus memberikan lebih perlindungan udara kepada penunggang.

    Kuasa penggerak pula datang daripada enjin v-twin melintang 1,042 cc DOHC, yang mampu menghasilkan 115 hp dan 105 Nm tork. Ia kemudiannya dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan, yang menyampaikan kuasa ke roda belakang menggunakan sistem syaf.

    Penggunaan pendikit ride-by-wire, ECU Marelli 11MP dan IMU six axis menghasilkan tiga pemetaan enjin, empat tahap Traction Control serta empat mod tunggangan yang boleh dipilih untuk penunggang. Suspensi semi aktif Ohlins Smart EC 2.0 dipasang pada motosikal ini, dan ia boleh melaras sendiri mengikut keadaan jalan serta cara tunggangan.

    V100 Mandello direkan lebih ke arah touring, dan disebabkan itu, ia menyediakan posisi tunggangan lebih santai dengan tempat duduk gebu, serta penghadang angin hadapan yang boleh dikawal secara elektrik.

    Ada dua versi V100 Mandello yang ditawarkan untuk pasaran, dengan yang lebih tinggi mendapat suspensi Ohlins, quickshifter, pemanas tangan dan perisian Moto Guzzi MIA yang membenarkan sambungan kepada telefon bimbit untuk operasi pelbagai fungsi dan dipaparkan pada skrin TFT-LCD lima inci di bahagian kokpit. Turut disediakan adalah beg barangan.

     
     
  • Mitsubishi Pajero Sport, Triton Ralliart tiba di Thailand

    Mitsubishi Pajero Sport, Triton Ralliart tiba di Thailand

    Selepas mengumumkan pengenalan semula divisi perlumbaan Ralliart Mei lalu, Mitsubishi kini melancarkan dua model khas Ralliart di pasaran Thailand, iaitu Pajero Sport Ralliart dan Triton Ralliart. Kali terakhir model Ralliart dikeluarkan adalah pada tahun 2010.

    Bagi Pajero Sport Ralliart, ia menggunakan asas daripada model 2.4 GT Plus (berharga 1,299,000 baht atau RM163k), dan dipasang dengan gril Dynamic Shield hitam berkilat, lampu utama projector bi-LED digelapkan, spoiler belakang hitam, bumbung hitam (untuk warna badan White Diamond) dan antena sirip hitam.

    Padanya juga terdapat penghadang lumpur Ralliart, karpet Ralliart, kemasan lengkuk roda hitam berkilat, grafik pelekat khas, serta rim 18 inci warna gelap. Model Ralliart Edition ini ditawarkan dalam dua warna luar, iaitu White Diamond dan Jet Black Mica.

    Pergi kepada Triton pula, model Ralliart ini disediakan untuk kedua-dua badan jenis single cab dan double cab. Kedua-duanya juga menggunakan asas daripada model yang menggunakan enjin diesel turbo 2.5 liter dengan padanan transmisi manual lima kelajuan.

    Untuk aksesori yang dipasang, ia juga mendapat senarai yang sama seperti Pajero Sport, tetapi ditambah dengan pelindung cermin sisi dan pemegang pintu hitam serta lapik tempat barangan belakang khas Ralliart. Model single cab kini mendapat skrin tujuh inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, tetapi model double cab masih menggunakan unit Double-DIN.

    Harga mode Ralliart ini hanya akan didedahkan apabila model ini membuat penampilan rasmi di Thailand Motor Expo nanti. Walaupun ia kelihatan cuma diberi aksesori hiasan dan luaran sahaja, Mitsubishi sebelum ini pernah memberitahu bahawa mereka juga akan menghidupkan kembali “Mitsubishi-ness driving”, dan kita boleh menjangka lebih banyak lagi aksesori Ralliart serta model khas pada masa hadapan.

     
     
  • WTCR 2021 – Lynk & Co Cyan Racing sekali lagi sapu bersih juara dunia untuk pemandu dan pengeluar!

    WTCR 2021 – Lynk & Co Cyan Racing sekali lagi sapu bersih juara dunia untuk pemandu dan pengeluar!

    Nampaknya masih tiada lagi pasukan yang boleh menewaskan penguasaan Lynk & Co Cyan Racing dalam siri FIA World Touring Car Cup (WTCR) – pasukan yang mewakili divisi mewah Geely iaitu Lynk & Co dalam perlumbaan tersebut sekali lagi menyapu bersih gelaran juara dunia untuk kategori pemandu dan pengeluar untuk tahun kedua berturut-turut!

    Kedua-dua gelaran tersebut ditentukan pada pusingan terakhir yang berlangsung di Sochi Autodrom, Rusia hujung minggu lalu. Pemandu Lynk & Co Cyan Racing yang juga juara WTCR tahun sebelum ini, Yann Ehrlancher tiba di Rusia dengan hanya memerlukan 36 mata sahaja lagi bagi sah dinobatkan sebagai juara dunia WTCR buat kali kedua.

    Ehrlacher yang baru sahaja berumur 25 tahun (menjadi juara WTCR paling muda dalam sejarah tahun lalu) disahkan sebagai juara hanya pada Race 1 selepas Lynk & Co 03 TCR yang dipandunya melepasi garisan penamat di kedudukan ke-lima. Tambahan mata dikutip lagi pada Race 2 dengan menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-enam, membolehkan ia berada di hadapan Frédéric Vervisch dari pasukan Comtoyou Team Audi Sport dengan kelebihan 21 mata.

    WTCR 2021 – Lynk & Co Cyan Racing sekali lagi sapu bersih juara dunia untuk pemandu dan pengeluar!

    Rakan sepasukan Ehrlacher yang juga pakciknya, Yvan Muller turut menyumbang tambahan mata dengan menghabiskan Race 1 di tempat ke-lapan, tetapi tidak bernasib baik kerana terlibat dalam kemalangan pada Race 2 menyebabkan beliau tidak dapat menamatkan perlumbaan. Namun 319 mata yang telah dikutip sudah cukup membolehkan pasukan Cyan Racing Lynk & Co berada 54 mata di hadapan pasukan Comtoyou Audi untuk sekali lagi bergelar juara dunia untuk kategori pasukan.

    Untuk rekod, Lynk & Co Cyan Racing turut telah dinobatkan sebagai juara kategori pasukan pada tahun pertama penampilannya dalam WTCR iaitu 2019, menyaksikan ini tahun ketiga berturut-turut pasukan lumba dengan jenama dari China tersebut mempertahankan kejuaraan berkenaan.

    Malah, Cyan Racing yang sebelum ini berlumba dengan jenama Volvo telahpun memenangi gelaran juara dunia untuk pemandu (menerusi pemandu Sweden, Thed Bjork) dan pasukan pada 2017, iaitu tahun terakhir kejuaraan Touring Car dunia dilangsungkan dalam format WTCC. Gelaran kategori pasukan untuk WTCR masih dipegang mereka pada 2018 tetapi ketika itu dijenamakan sebagai Yyan Muller Racing (berlumba dengan Hyundai i30 N TCR) sebelum pembangunan jentera lumba Lynk & Co 03 dilengkapkan.

    WTCR 2021 – Lynk & Co Cyan Racing sekali lagi sapu bersih juara dunia untuk pemandu dan pengeluar!

    “Ia satu perasaan yang menggembirakan apabila menyedari bahawa kami telah merangkul lapan daripada sepuluh gelaran dunia dalam tempoh lima tahun yang lalu. Ini melangkawi jangkaan paling gila yang kami rasa apabila kami mulakan program kejohanan dunia penuh pada 2016. Saya mahu sampaikan ucapan berbanyak terima kasi kepada semua yang terlibat untuk prestasi luar biasa tahun ini,” kata pemilik dan pengasas Cyan Racing, Christian Dahl.

    “Sekali lagi juara dunia, rasanya sangat menakjubkan! Berbanyak terima kasih kepada semua orang di Cyan Racing dan Lynk & Co, saya tak mampu lakukan ini tanpa mereka. Terlalu banyak tekanan hujung minggu ini dan untuk menobatkan musim ini dengan gelaran dunia kedua berturut-turut tidak dapat saya digambarkan. Saya akan simpan perasaan ini untuk masa yang lama,” kata Yann Ehrlacher.

    Ketua Geely Group Motorsport, Alexander Murdzevski Schedvin pula berkata: “Kami sangat gembira dengan keputusan hebat Cyan Racing yang telah dicapai dengan kereta lumba Lynk & Co 03 TCR. Dalam satu lagi musim WTCR yang ultra-kompetitif, Cyan Racing dengan kru dan pemandu mereka telah tampil di atas dan memanjangkan lagi ucapan tahniah kami kepada semua yang terlibat.”

    “Tahniah kepada Cyan Racing dan Yann Ehrlancher untuk gelaran dunia 2021. Ini merupakan tahun yang sungguh sukar kerana pandemik dan untuk pasukan bagi mencapai keputusan ini merupakan bukti yang luar biasa atas usaha mereka. Ia sekali lagi membuktikan kekuatan kereta-kereta Lynk & Co. Saya mahu memanjangkan ucapan terima kasih kepada jurutera, mekanik dan pemandu untuk usaha mereka yang telah merealisasikan keputusan ini,” kata Naib Presiden Geely Auto Group, Victor Yang.

    Dalam perlumbaan di Rusia semalam, pelumba pasukan Zengo Motorsport, Mikel Azcona dengan memandu jentera Cupra Leon Competición menamatkan Race 1 di tempat pertama, diikuti oleh pemandu pasukan Engstler Hyundai N Liqui Moly, Jean-Karl Vernay yang memandu Hyundai Elantra N TCR. Manakala Gilles Magnus yang memandu Audi RS3 LMS pasukan Comtoyou Team Audi Sport menamakan perlumbaan tersebut di tempat ketiga.

    Cupra Leon Competición pasukan Zengo Motorsport sekali lagi memenangi perlumbaan di Rusia berkenaan pada Race 2, kali ini menerusi jentera yang dipandu oleh Robert Huff. Insiden pelanggaran yang berlaku antara Azcona dan Yvan Muller sejurus sahaja Safety Car masuk semula ke pit ketika perlumbaan tersebut berlangusng membolehkan Huff meluru ke depan untuk memimpin perlumbaan berkenaan.

    Dua lagi podium untuk Race 2 di Rusia tersebut diisi oleh dua buah Audi RS3 LMS iaitu Frédéric Vervisch dari pasukan Comtoyou Team Audi Sport, diikuti oleh Nathanaël Berthon dari pasukan Comtoyou DHL Team Audi Sport.

     
     
  • Sistem kaunter JPJ cawangan JB ‘kuno’ – Menteri

    Sistem kaunter JPJ cawangan JB ‘kuno’ – Menteri

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mendedahkan, perkhidmatan kaunter pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Taman Daya, Johor Bahru didapati tidak cekap dan mengamalkan sistem kuno yang tidak mesra pelanggan.

    Perkara ini diluahkan menerusi entri Facebook rasmi beliau semalam selepas melakukan lawatan mengejut di cawangan JPJ terbabit bagi meninjau sendiri keadaan di sana semalam.

    “Secara terus terang, saya sedih dan terkilan apabila melihat orang ramai masih beratur panjang di sekeliling Bangunan JPJ Johor. Saya terus menyiasat punca yang menyebabkan “queue” yang panjang. Ada yang memberitahu saya bahawa Lesen Memandu Malaysia (LMM) tidak dapat diperbaharui di UTC dan Pejabat Pos. Ada juga yang mempersoalkan sistem MySikap yang transaksinya dibuat secara dalam talian, namun masih lagi perlu hadir ke JPJ untuk urusan percetakan,” katanya.

    Beliau dimaklumkan, barisan panjang itu berpunca daripada LMM tidak dapat diperbaharui di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan pejabat pos.

    Melalui tinjuan itu juga, beliau turut mendapati, daripada empat mesin cetak Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang dibekalkan oleh pembekal perkhidmatan, Percetakan Keselamatan Nasional (PKN), hanya dua mesin sahaja yang berfungsi di Pejabat JPJ Johor ini (semalam).

    “Perkara ini amat mengecewakan dan saya terus menghubungi serta mengarahkan PKN segera membaiki atau menghantar mesin cetak LMM. Jangan buang masa orang ramai beratur panjang dan berjemur di bawah matahari yang terik. Pihak PKN berjanji akan melakukan tindakan serta-merta.

    Sistem kaunter JPJ cawangan JB ‘kuno’ – Menteri

    Ka Siong turut menegur warga JPJ Johor supaya memantau kesesakan di bangunan itu, terutama pada Ahad, di samping meminta kesulitan dihadapi dilaporkan terus kepadanya. Beliau turut memberi nombor telefon bimbitnya kepada pegawai JPJ Johor dan berpesan supaya orang awam tidak dibiar menunggu berjam-jam hanya untuk mendapatkan cetakan LMM.

    “Selepas lawatan kerja mengejut ini, saya dapat membuat kesimpulan bahawa sistem perkhidmatan kaunter JPJ yang sedia ada terlalu kuno (lebih daripada 10 tahun) dan perlu ada anjakan paradigma ke arah digitalisasi untuk jangka panjang bagi memastikan semua perkhidmatan kaunter JPJ menjadi lebih efisyen dan tidak menyusahkan rakyat.

    “Saya akan cuba sedaya upaya mengimbangi jurang di antara perancangan JPJ dan aspirasi rakyat. Apa yang penting, perkhidmatan yang diberikan perlulah sentiasa baik, lancar, menjimatkan masa dan memenuhi kehendak orang ramai,”katanya.

     
     
  • 3.78 juta kenderaan belum diperbaharui LKM – JPJ

    3.78 juta kenderaan belum diperbaharui LKM – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengesahkan sehingga 16 November lalu, ssebanyak 3.78 juta kenderaan di seluruh negara dikesan belum memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan.

    Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli, pemilik diberi tempoh hingga 31 Disember ini untuk memperbaharui LKM kenderaan masing-masing. Malahan pemilik diingatkan tidak memperbaharui LKM di saat akhir bagi mengelak kesesakan di kaunter-kaunter cawangan JPJ yang turut dibuka pada hujung minggu hingga 31 Disember ini.

    “Pengguna boleh datang ke mana-mana kaunter cawangan JPJ, senarai waktu boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi JPJ. Buat masa sekarang, kami beri peluang untuk mereka perbaharui LKM dan selepas 31 Disember tiada lagi arahan daripada kerajaan untuk menyambung moratorium dan sebagainya.

    3.78 juta kenderaan belum diperbaharui LKM – JPJ

    “JPJ memang menjangkakan berlaku serbuan pada saat-saat akhir kerana situasi itu adalah perkara biasa yang berlaku setiap kali tarikh akhir sudah semakin dekat. Serbuan luar jangka oleh orang awam itu nanti bukan sahaja akan berlaku di pejabat JPJ malah ia juga berlaku di pejabat pos,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

    Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan LKM juga boleh diperbaharui secara dalam talian jika pemilik tidak mahu bersesak di kaunter JPJ.

    Pada September lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, mengumumkan tempoh moratorium lanjutan pembaharuan LKM dilanjutkan hingga 31 Disember ini dan pemilik LKM yang telah tamat tempoh sah perlu memastikan kenderaan masing-masing dilindungi insurans sah serta menunjukkan sijil perlindungan insurans bagi tujuan pemeriksaan.

    Walau bagaimana pun, sejak 24 November lalu pula, JPJ mula melaksanakan Ops Sedar bagi tindakan pemantauan dan penguatkuasaan melalui sekatan jalan raya yang dibuat di beberapa lokasi terpilih. Ia berikutan masih ramai pengguna jalan raya yang gagal memiliki perlindungan insurans kenderaan.

     
     
  • Selangor sasar pasang 10,000 stesen pengecas kereta elektrik menjelang 2025, 1,000 unit pertama pada 2022

    Selangor sasar pasang 10,000 stesen pengecas kereta elektrik menjelang 2025, 1,000 unit pertama pada 2022

    Kerajaan negeri Selangor telah mengumumkan sasaran untuk memasang 10,000 stesen pengecas kereta elektrik (EV) di seluruh negeri tersebut menjelang tahun 2025, dengan 1,000 unit stesen pertama dijangka akan siap dipasang pada tahun hadapan, menurut laporan Selangor Journal.

    Rancangan berkenaan telah disebut oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari semalam. Bercakap ketika membentangkan Belanjawan Kerajaan Selangor 2022 dalam sidang dewan undangan negeri, beliau menyatakan bahawa Selangor kini mahu menjadi perintis terhadap penggunaan EV, dan dengan pembangunan infrastruktur pengecas ini akan membantu perkembangan itu dengan lebih pantas.

    Amirudin turut berkata bahawa kerajaan negeri dan pihak-pihak swasta akan bekerjasama dalam projek ini, di mana ia akan melibatkan pelabuan bernilai RM10 juta. Walau bagaimanapun beliau belum memperincikan jenis pengecas yang akan dipasang mahupun kadar kuasa yang mampu dibekalkan oleh pengecas-pengecas berkenaan. Kemudahan ini juga dijangka tidak percuma, dan servis tersebut perlu dibayar oleh pengguna.

    Namun Amirudin ada menyatakan bahawa insentif akan diberikan kepada perniagaan dan industri yang membuat pelaburan terhadap projek infrastruktur EV, serta caj parkir untuk pengguna-pengguna EV akan diberikan secara percuma bermula tahun hadapan.

    “Insentif ini termasuk pengurangan yuran perniagaan dan cukai taksiran. Selain itu, bayaran parkir di bawah bidang pihak berkuasa tempatan juga akan dikecualikan untuk pengguna EV pada 2022,” jelas beliau.

    Perancangan yang dibuat oleh kerajaan negeri Selangor ini adalah selari dengan halatuju kerajaan pusat untuk menggalakkan penggunaan kereta elektrik bermula tahun hadapan. Menerusi pembentangan Bajet 2022 tempoh hari, kerajaan telah mengumumkan cadangan untuk mengecualikan duti eksais dan eksport, cukai jualan dan juga cukai jalan kereta elektrik penuh dalam tempoh dua tahun, bermula 1 Januari 2022.

     
     
  • Proton tayang enjin 1.5L TGDi dengan sistem hibrid BSG – bakal diguna pada SUV 7-tempat duduk X90?

    Proton tayang enjin 1.5L TGDi dengan sistem hibrid BSG – bakal diguna pada SUV 7-tempat duduk X90?

    Proton baru sahaja melancarkan Galeri Inspirasi, iaitu ruang istimewa di Pusat Kecemerlangan Proton (ibu pejabat jenama berkenaan) di Subang, yang memaparkan pelbagai informasi dari segi warisan sejarah, teknologi sedia ada dan juga hala tuju mereka selepas ini.

    Apa yang menarik, Proton turut mempamerkan enjin 1.5 liter Turbo GDi yang dilengkapi dengan sistem hibrid ringkas, bersama dua lagi enjin yang telah pun digunakan pada model produksi sedia ada iaitu 1.8 liter T-GDi (Proton X70) dan 1.5L T-GDi (Proton X50).

    Menurut informasi yang ditulis oleh Proton pada iPAD yang disediakan pada ruang pameran tersebut, unit rangkaian kuasa hibrid berkenaan menampilkan sistem stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG) yang digandingkan dengan enjin pembakaran dalaman 1.5 liter tiga silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (GDi).

    BSG ini merupakan satu motor elektrik kecil yang bukan sahaja bertugas untuk menggantikan motor penghidup enjin, malah ia juga mampu mengecas semula bateri sistem hibrid dan boleh memberikan bantuan kuasa dan tork segera tambahan kepada enjin pembakaran dalaman konvensional.

    Proton tayang enjin 1.5L TGDi dengan sistem hibrid BSG – bakal diguna pada SUV 7-tempat duduk X90?

    Bagi sistem yang ditunjukkan oleh Proton ini, ia mungkin beroperasi dengan asas seni bina elektrikal 48-volt bersama bateri lithium-ion. Buat masa sekarang, sistem yang sama telah pun digunakan pada model-model produksi Geely seperti Geely Azkarra (kembar X70) dan Okavango (atau Haoyue di China) pasaran Filipina. Geely Icon di China juga menerima sistem yang sama.

    Pada model-model tersebut, unit rangkaian kuasa 1.5L TGDi BSG tersebut menghasilkan kuasa 190 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 300 Nm bermula 1,500 rpm sehingga 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan bagi memacu roda hadapan.

    Namun dalam maklumat pada iPAD yang disediakan oleh Proton tersebut menyatakan bahawa unit rangkaian kuasa 1.5L TGDi BSG yang bakal mereka gunakan ini hanya menghasilkan kuasa yang sama seperti enjin 1.5L tiga-silinder TGDi yang ada pada Proton X50 Flagship buat masa sekarang.

    Agaknya model mana yang akan menerima unit rangkaian kuasa pertama Proton ini? Baru-baru ini, CEO Proton Edar, Roslan Abdullah ada menyatakan Proton telah memulakan rancangannya untuk memperkenalkan model-model dengan teknologi elektrifikasi termasuk hibrid, PHEV dan juga elektrik penuh (EV). Namun disebabkan pelbagai lagi masalah yang perlu di atasi seperti kekurangan fasiliti mengecas yang masih kurang dalam negara, Proton mungkin akan memperkenalkan model hibrid terlebih dahulu.

    Malah, baru-baru ini juga dilihat sedang rancak menguji Geely Okavango/Haoyue yang dikatakan akan dihasilkan sebagai SUV tujuh-tempat duduk, Proton X90 – ini mungkin model pertama Proton yang akan menerima unit rangkaian kuasa hibrid ringkas berkenaan.

    Untuk pengetahuan anda juga, kembar Okavango di China iaitu Haoyue masih hanya ditawarkan dengan enjin 1.8L TGDi yang sama dengan X70. Tak mustahil juga Proton akan menawarkan unit rangkaian kuasa 1.5L TGDi BSG ini kepada X70 kerana konfigurasi yang sama telah diberikan pada Azkarra.

    Apa pun, kita tunggu dan lihat sahajalah perkembangan ini. Jadi jangan lupa untuk ikuti kami secara rapat bagi mengetahui laporan-laporan terbaharu berkenaan perkara ini. Anda pula bagaimana? Mana satu model yang anda rasa patut terima sistem hibrid ini terlebih dahulu?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025