Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Land Cruiser 70 Series edisi ulang tahun ke-70 dikeluarkan di Australia, 600 unit sahaja, V8 4.5 liter

    Toyota Land Cruiser 70 Series edisi ulang tahun ke-70 dikeluarkan di Australia, 600 unit sahaja, V8 4.5 liter

    Toyota Land Cruiser kini sudah berusia 70 tahun. Bagi menyambut pencapaian ini, Toyota telah mengeluarkan model edisi khas Land Cruiser 70 di pasaran Australia, di mana semuanya ada 600 unit, dan dibahagikan antara tiga bentuk badan iaitu 320 double cab, 200 single cab dan 80 wagon. Model ini menyertai Land Cruiser Prado edisi ulang tahun yang dikeluarkan di Jepun Jun lalu.

    Bagi Land Cruiser 70 edisi ulang tahun ini, ia menggunakan asas varian GXL, iaitu varian paling tinggi dalam pasaran itu, dan dipasang dengan gril khas warna hitam bersama tulisan Toyota di tengah, serta bampar dan kemasan plastik keliling roda berwarna hitam.

    Turut dijadikan gelap adalah rim serta bahagian dalam lampu hadapan, dan ia kemudiannya ditambah dengan lampu kabus serta DRL LED. Melengkapkan kemasan luar model istimewa ini adalah lencana klasik Land Cruiser di bahagian fender, serta lencana ’70th Anniversary’ di belakang.

    Toyota Land Cruiser 70 Series edisi ulang tahun ke-70 dikeluarkan di Australia, 600 unit sahaja, V8 4.5 liter

    Untuk bahagian dalam, model keluaran khas ini dipasang dengan barangan yang tiada pada model Land Cruiser 70 sebelum ini, termasuk tempat duduk yang dibalut kulit hitam, dan gabungan kemasan ala kayu dan plastik hitam pada roda stereng, papan pemuka, tombol gear serta panel pintu.

    Land Cruiser 70 edisi ulang tahun ke-70 ini digerakkan oleh enjin V8 4.5 liter diesel turbo bersama gabungan transmisi manual lima kelajuan, mampu menghasilkan 202 hp dan 450 Nm tork. Kelengkapan lain adalah seperti pilihan gear rendah, differential depan dan belakang yang boleh dikunci, kapasiti menunda 3,500 kg, salur udara yang ditinggikan serta tangki bahan api 130 liter.

    Model ini akan tiba di wakil pengedar Toyota di Australia pada bulan September dan ditawarkan dalam tiga warna iaitu French Vanilla, Merlot Red dan Sandy Taupe, dengan harga AUD$80,050 (RM250,589) untuk versi single cab, AUD$82,600 (RM258,554) untuk double cab dan AUD$78,500 (RM245,720) untuk wagon.

     
     
  • Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition tiba di Malaysia – RM1.68 juta, terhad 992 unit sahaja di dunia

    Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition tiba di Malaysia – RM1.68 juta, terhad 992 unit sahaja di dunia

    Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition, yang diperkenalkan kepada dunia Jun lalu kini sudah tiba di Malaysia melalui Sime Darby Auto Performance (SDAP), dengan harga jualan RM1,677,409 (termasuk pengecualian SST). Model yang menggunakan asas 911 Targa generasi 992 ini diterapkan dengan rekaan-rekaan warisan Porsche tahun 50-an dan 60-an.

    Model istimewa ini hanya dihasilkan sebanyak 992 unit di seluruh dunia dan dibuat oleh Porsche Exclusive Manufaktur. Rekaan ‘Targa Top’ – iaitu rekaan bumbung boleh buka tetapi masih mengekalkan tiang-B keras – yang begitu sinonim dengan Porsche 911 dikekalkan pada versi ini. Lima warna badan ditawarkan dan warna Cherry Metallic tampil sebagai warna hero.

    Kemudian ia diberikan princian-perincian untuk memperingati model-model klasik Porsche seperti emblem dan logo berwarna emas seperti model-model era 50’an, serta rim 20/21-inci Carrera Exclusive Design yang diilhamkan dari rim Fuchs Porsche Turbo klasik.

    Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition tiba di Malaysia – RM1.68 juta, terhad 992 unit sahaja di dunia

    Model istimewa ini juga diberikan grafik badan seperti livery perlumbaan Porsche ketika zaman awal mereka berlumba, bersama lencana Porsche Heritage pada ruang kargo seperti lencana yang dianugerahkan kepada model klasik Porsche 356 apabila ia mencecah perbatuan 100,000 km.

    Dalam kabin pula model istimewa ini hadir dengan warna dua tona sama ada dengan kulit Bordeaux Red atau hitam digandingkan dengan kulit OLEA club berwarna Atacama Beige. Fabrik corduroy turut digunakan pada tempat duduk dan kemasan pintu yang bukan sahaja memberikan suasana era 50’an, tetapi juga sebagai ‘meniru’ bahan yang digunakan pada Porsche 356.

    Walaupun panel instrumen kekal moden dengan penggunaan teknologi digital sepenuhnya, ia tetap diberikan perisa klasik pada rekaan grafik, dibantu dengan jam randik yang menyala dengan cahaya hijau. Nombor unik berlainan untuk setiap unit diletakkan pada kemasan papan pemuka model ini.

    Model edisi terhad ini juga diberikan emblem ‘Porsche Crest’ klasik yang diperkenalkan pada tahun 1963. Ia boleh ditemui ditekap pada perehat kepala tempat duduk dan sarung kunci, serta pada bonet, penutup tengah rim, roda stereng dan juga pada kunci. Satu lagi yang istimewa, Porsche juga telah mengeluarkan jam tangan 911 Targa 4S Heritage Design Edition Chronograph, yang dijual secara berasingan.

    Tiada perubahan mekanikal diberikan di mana model Heritage Design Edition ini kekal digerakkan penjana sama dengan Targa 4S, iaitu enjin boxer enam-silinder 3.0 liter berkuasa 450 PS dan tork maksima 530 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik PDK lapan-kelajuan, dan kuasa diagihkan ke kesemua roda. Dengan sistem launch control, kereta ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 3.6 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 304 km/j.

     
     
  • Proton Iriz facelift 2021 – satu lagi teaser disiar, papar varian SUV, bakal dilancar bersama Persona esok

    Selepas teaser yang lebih menumpukan kepada model sedan Proton Persona facelift 2021 disiarkan semalam, hari ini satu lagi teaser disiarkan yang lebih ditumpukan kepada kembarnya, Iriz facelift 2021 sebelum kedua-dua model dilancarkan secara rasmi esok, 5 Ogos pada pukul 11 pagi.

    Untuk Iriz, teaser ini lebih menjurus kepada varian baharu yang dihasilkan dengan kelengkapan yang membuatkan ia kelihatan seperti sebuah SUV. Tiada nama rasmi diumumkan lagi untuk varian baharu Iriz ini, namun tidak mustahil ia akan dinamakan sebagai Iriz Active, sempena nama model konsep psedo-SUV yang sama dihasilkan Proton pada tahun 2014.

    Video kali ini jelas memaparkan bahawa “Iriz Active” berkenaan menerima kemasan-kemasan pelindung pada pintu dan juga ‘fender flare’ untuk kesemua ruang roda yang seakan dilekatkan dengan bol Allen seperti Satria GTI, yang kesemuanya diwarnakan hitam.

    Selain dari kemasan-kemasan pelindung tersebut, bumbung dan spoiler belakang Iriz berkenaan turut diberikan warna hitam bagi melengkapkan tema dua tonanya. Ia turut menerima rel bumbung berwarna perak bagi memberikan rupa seperti SUV sebenar, serta diberikan set rim dengan rekaan pelbagai jejari baharu.

    Model ini juga dilihat menerima lampu hadapan jenis LED dengan gril baharu berwarna hitam dan jalur merah dengan logo baru Proton, serta kemasan sekeliling gril bawah bersama skid plate berwarna perak yang dilihat seperti abangnya, X50.

    Untuk bahagian dalaman, berberapa perincian telah pun didedahkan dalam video teaser pertama dua hari lalu. Model Iriz kemaskini ini (juga Persona facelift) tidak lagi menampilkan skrin infotainmen tenggelam dalam papan pemuka, tetapi hadir dengan skrin berdiri sendiri yang lebih besar dengan liang pendingin hawa direka semula.

    Proton Iriz <em>facelift</em> 2021 – satu lagi <em>teaser</em> disiar, papar varian SUV, bakal dilancar bersama Persona esok

    Selain antara muka baharu yang ditampilkan pada skrin berkenaan, sistem arahan suara “Hi Proton” juga telah ditingkat taraf yang membolekan ia mengawal operasi sistem elektrikal lain seperti tingkap berkuasa dan juga pendingin hawa, menghampiri kebolehan yang ada pada model X50 dan X70. Namun masih tiada aplikasi Spotify kerana jelas dalam video tersebut ia masih dibekalkan dengan aplikasi Joox untuk mendengar muzik secara streaming.

    Iriz “Active” ini juga menerima konsol terowong yang direka semula yang menampilkan perehat tangan serta ruang storang yang diatur semula. Ia juga menampilkan kemasan piano black serta serlahan merah pada konsol berkenaan dan juga di papan pemuka, serta serlahan jahitan benang merah pada tempat duduk balutan fabrik dan kulit.

    Proton turut memberikan suis kawalan sistem pendingin hawa baharu pada Iriz dan Persona facelift ini, menampilkan paparan digital tersendiri, suis putar lebih kecil serta kawalan lain dengan butang seperti kekunci piano – kesemua ini diinspirasikan dari rekaan pada Proton X50. Pendingin hawa ini juga boleh dikawal menerusi antaramuka khas pada skrin infotainmen.

    Dalam video teaser yang disiarkan sebelum ini juga, Persona facelift dilihat menerima lampu hadapan LED, gril hadapan yang direka semula bersama logo Proton baharu, rim 16-inci rekaan enam-jejari berkembar, manakala untuk bahagian dalaman ia diberikan kemasan kulit perang berliang pada panel dalaman pintu dan juga upholsteri tempat duduk.

    Tempahannya kedua-dua model ini masih belum lagi dibuka, tapi untuk menjadi antara orang terawal untuk memiliki model-model facelift berkenaan, anda sudah boleh mendaftarkan minat di laman sesawang khas yang telah dibuka oleh Proton pada PAUTAN INI.


    GALERI: Teaser Proton Iriz facelift 2021 varian SUV

    GALERI: Teaser Proton Persona facelift 2021

     
     
  • Aston Martin Valhalla di M’sia – 5 tersedia, tinggal 3

    Aston Martin Valhalla di M’sia – 5 tersedia, tinggal 3

    Bulan lalu, Aston Martin mendedahkan versi produksi model Valhalla, sebuah supercar yang sangat berkuasa dengan kedudukan enjin di tengah yang diposisikan penawarannya di bawah model inspirasi F1, Valkyrie. Anda mungkin beranggapan jentera seperti ini sukar untuk dijangkau oleh kebanyakan warga Malaysia — itu memang betul, kerana ia akan menelan kos antara £600,000 (RM3.5 juta) dan £700,000 (RM4.1 juta).

    Namun, jika anda betul-betul ada wang dan tak tahu apa yang nak dilakukan dengannya, Aston Martin Kuala Lumpur telah umumkan yang pihaknya akan diperuntukkan lima unit model berkenaan untuk pembeli di Malaysia. Jika begitu, mereka yang berhasrat untuk memiliki kereta ini perlu lekas; setakat semalam, dua unit telah menjadi milik orang. Pembeli juga perlu menunggu sebelum model ini tiba di Malaysia, dan penyerahan dijangka akan dilakukan pada penghujung 2023.

    Valhalla beralih daripada jangkaan awal daripada menggunakan enjin 3.0 liter turbo berkembar V6 kepada menggunakan enjin V8 4.0 liter turbo berkembar yang sebenarnya juga bukan calang-calang kerana mampu menghasilkan 740 hp pada 7,200 rpm. Unit enjin ini diperoleh daripada Mercedes AMG, hasil kerjasama antara kedua-dua jenama itu yang terjalin sebelum ini.

    Aston Martin Valhalla di M’sia – 5 tersedia, tinggal 3

    Lebih spesifik, kita mungkin melihat kepada unit V8 yang diambil daripada GT Black Series, kerana enjin V8 Valhalla juga menampilkan flat-plane crankshaft untuk meningkatkan tahap responnya. Bagaimanapun, bahagian transmisinya berbeza kerana Valhalla mendapat unit klac berkembar lapan-kelajuan yang direka khas untuk Aston Martin oleh pembekal Itali, Graziano.

    Transmisi ini, bersama limited-slip differential elektronik di belakang menghantar kuasa dari enjin ke roda belakang. Aston Martin tidak berhenti setakat di situ. Disebabkan telah membuat keputusan untuk menjadikan Valhalla sebagai kereta plug-in hybrid pertama Aston Martin, mereka telah meletakkan sepasang motor elektrik untuk membantu enjin V8 tersebut.

    Satu daripada motor tersebut diletakkan pada gandar hadapan manakala satu lagi di gandar belakang. Secara gabungan, dua motor elektrik ini boleh menghasilkan 204 PS (201 hp), menjadikan kuasa keseluruhan kereta ini 950 PS (937 hp) dan 1,000 Nm tork. Sama seperti kebanyakan PHEV, kereta ini boleh bergerak dengan kuasa elektrik sahaja, dengan menggunakan motor yang berada di hadapan. Dalam mod EV, Valhalla boleh mencecah laju maksimum 130 km/j dan jarak gerak sehingga 15 km.

    Aston Martin Valhalla di M’sia – 5 tersedia, tinggal 3

    Dengan kedua-dua motor elektrik di belakang, serta enjin V8 yang boleh berfungsi secara berasingan untuk memberikan prestasi maksimum, jika dikerah sepenuhnya, Valhalla boleh mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.5 saat, sebelum mencapai laju maksimum 330 km/j.

    Untuk suspensi, bahagian hadapan menggunakan jenis push rod dengan penyerap dan spring dipasang secara inboard sementara belakang pula menggunakan tetapan multi-link. Valhalla juga menggunakan spring dua tahap daripada pembekal Kanada, Multimatic, penyerap dengan spool valve adaptif, brek karbon seramik (dengan teknologi brake-by-wire), rim berlainan saiz (20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang), serta tayar Michelin khas.

     
     
  • Subaru Forester bakal diberikan varian Wilderness

    Subaru Forester bakal diberikan varian Wilderness

    Awal Mac lalu, Subaru telah melancarkan Outback Wilderness, dengan menampilkan beberapa ciri modifikasi yang berkeupayaan untuk dilenjan dalam pemanduan off-road. Terkini, Subaru telah menunjukkan satu lagi model yang bakal menerima sentuhan Wilderness, dan bayangan yang diberikan adalah model Forester.

    Menerusi kedua-dua foto teaser berkenaan, kita tidak dapat melihat lebih banyak perincian untuk model akan datang tersebut, tetapi kedudukan cermin sisi benar-benar memberikan bayangan yang lebih tepat. Di mana model semasa Forester, kedudukan cermin sisinya ditempatkan pada garisan karakter di bawah belt line.

    Selain itu, Forester juga merupakan model Subaru paling laris di Amerika Syarikat, diikuti dengan Outback. Jadi, sudah tentu kedua-dua model berkenaan layak diberikan penawaran varian Wilderness terlebih dahulu berbanding model lain dalam barisannya.

    Subaru Forester bakal diberikan varian Wilderness

    Dengan menjangkakan Forester bakal hadir dengan varian Wilderness, teaser ini juga memaparkan lencana berkaitan dengannya, tayar dan roda yang lebih bersesuaian keupayaan untuk pemanduan off-road. Selain itu, Subaru juga akan memberikan sedikit peningkatan termasuk larasan suspensi yang dipertingkatkan, roda yang lebih spesifik dan juga menampilkan skid plate. Untuk lonjakan kuasa, seperti Outback, tiada perubahan dilakukan pada enjinnya.

    Buat masa ini, tiada tarikh pelancaran rasmi yang diumumkan, namun mungkin juga ia akan berlangsung dalam masa terdekat ini. Selain itu, terdapat kebarangkalian yang Subaru bakal menampilkan varian Wilderness untuk barisan SUV dan crossover kelahirannya yang lain.

     
     
  • Audi RS3 – kereta kompak terlaju di Nürburgring; 8 saat lebih pantas dari Mercedes-AMG A 45 S W177!

    Audi RS3 Sedan 2022 kini sah dinobatkan sebagai kereta kompak terpantas di Litar Nürburgring Nordschleife dengan masa catatan satu lap 7 minit 40.748 saat. Rekod berkenaan dibuat oleh pelumba dan juga pemandu pembangunan Audi Sport, Frank Stippler pada Jun lalu.

    Rekod baharu ini membolehkan RS3 Sedan berkenaan merampas takhta kereta kompak terpantas di litar “The Green Hell” berkenaan dari Renault Megane Trophy R dengan kelebihan 4.64 saat (7 minit 45.38 saat, rekod lap penuh Nürburgring Nordschleife). Namun Megane Trophy R masih lagi kekal sebagai kereta pacuan hadapan produksi terpantas di litar berkenaan kerana RS3 merupakan jentera pacuan semua roda.

    Lawan terus kepada Audi RS3 ini iaitu Mercedes-AMG A 45 S 4Matic+ W177 masih belum membuat sebarang catatan masa rasmi di Nürburgring ini. Namun menerusi cubaan tidak rasmi yang dibuat oleh Sport Auto tahun lalu, A 45 S yang dipandu oleh pelumba professional, Christian Gebhardt berkenaan mencatatkan masa 7 minit 48.8 saat atau sekitar 8 saat lebih perlahan dari RS3.

    Menurut Stippler, faktor utama yang membolehkan RS3 mencatatkan rekod ini adalah kerana teknologi pengagih tork pada sistem AWD Quattro yang dipadankan. RS3 merupakan model pertama Audi yang menerima teknologi tersebut, membolehkan agihan tork antara roda kiri dan kanan pada gandar belakang dibuat (boleh dilaras sepenuhnya).

    Audi RS3 – kereta kompak terlaju di Nürburgring; 8 saat lebih pantas dari Mercedes-AMG A 45 S W177!

    Menerusi teknologi berkenaan, pengagih tork tersebut akan memberikan tork lebih banyak kepada roda belakang sebelah luar yang mempunyai beban lebih besar. Misalnya, ketika ia meredah selekoh ke kanan, tork akan diberikan lebih banyak kepada tayar belakang sebelah kiri, membolehkan RS3 ini masuk ke selekoh dengan sudut putaran stereng lebih tepat.

    “Secara amnya, RS3 baharu ini adalah lebih lincah apabila dipandu pada bahagian tengah sehingga pada penghujung selekoh dan apabila mula memecut keluar dari selekoh berkenaan,” kata Stippler dan menambah bahawa “pengagih tork tersebut merupakan satu perbahan yang besar dari segi kelincahan pemanduan.”

    Audi RS3 yang dipandu untuk mencatatkan rekod ini menggunakan tayar semi-slick Pirelli P Zero Trofeo R, yang ditawarkan sebagai osyen buat pertama kali pada model produksi sebenar. Ia juga menerima sistem brek seramik di hadapan serta pakej RS Sport Suspension dengan penyerap hentak adaptif.

    Sepanjang percubaan mencatatkan rekod ini, Stippler memandu dengan mod pemanduan RS Performance iaitu mod yang ditala khas bagi pemanduan dalam litar lumba, menurut Audi. Mod berkenaan juga mempunyai dua sub-tetapan iaitu Comfort untuk litar dengan permukaan beralun seperti Nürburgring Nordschleife, dan juga tetapan lebih sporty untuk litar dengan permukaan rata seperti Hockenheimring.

    Model RS generasi baharu ini dihasilkan dalam versi hatchback dan sedan. Kedua-dua model berkenaan menerima enjin 2.5 liter lima-silinder TFSI yang menghasilkan 400 PS dan tork maksima 500 Nm, digadingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat atau 0.3 saat lebih pantas dari model sebelumnya.

    Kelajuan maksima RS3 ini dihadkan pada 250 km/j tetapi masih boleh pakej opsyen yang membolehkan kelajuan maksima 280 km/j dicapai. Namun sekiranya masih tidak cukup, pembeli boleh memilih pakej RS Dynamic yang disertakan dengan sistem brek seramik serta kelajuan maksima yang boleh mencapai 290 km/j.

    “Saya sangat bangga untuk keseluruhan pasukan. Semua orang bekerja keras untuk hari ini. Ketika kami mulakan pembangunan, kami tak tahu betapa lajunya kereta sport kompak ini di Nordschleife. Tetapi dalam ujian ketahanan yang dibuat, kami sedar bahawa kami boleh mencapai catatan masa yang baik dan membuat rekod baharu,” kata ketua teknikal projek Audi RS3, Marvin Schwatter.

     
     
  • Honda Malaysia tawar diskaun untuk promosi Ogos – Jazz bawah RM70k, Civic dari RM107k, CR-V RM138k!

    Honda Malaysia tawar diskaun untuk promosi Ogos – Jazz bawah RM70k, Civic dari RM107k, CR-V RM138k!

    Honda Malaysia telah mengumumkan promosi untuk bulan Ogos, yang menyaksikan pengurangan harga untuk model pemasangan tempatan, iaitu Jazz, City, BR-V, Civic, HR-V, CR-V dan Accord.

    Menurut iklan grafik yang disiarkan di atas, kini Honda Jazz 1.5 S berharga dari RM69,511, iaitu melibatkan diskaun sebanyak RM3,000 dari pengecualian SST yang mencecah RM72,511. Sebelum pengecualian SST diperkenalkan, model ini berharga RM75,300.

    Manakala bagi City pula, kini ditawarkan dari RM72,191 (lebih murah sebanyak RM3,000) dan Civic 1.8 S pula dari RM107,326 (berbanding RM109,326). Bagi Accord CKD pula, kini berharga RM172,203 untuk 1.5 TC. Dengan harga pengecualian SST, ia mencecah diskaun lebih RM6,000 (RM178,203) dan harga sebelumnya mencecah RM185,900.

    Bagi crossover dan SUV, BR-V 1.5 E ditawarkan dengan harga dari RM82,726 (lebih murah sebanyak RM4,000); HR-V 1.8. E pula dari RM101,500 (kurang RM2,500) dan CR-V 2.0 2WD pula dari RM137,912 (diskaun cecah RM6,400).

    Untuk pengetahuan anda, diskaun yang diberikan adalah berbeza bagi setiap varian, dan promosi ini hanya berlangsung sepanjang bulan Ogos 2021 sahaja.

     
     
  • Proton Persona facelift 2021 – teaser dedahkan lebih perincian, “Hi Proton” boleh kawal pendingin hawa

    Sebelum dilancarkan sepenuhnya pada 5 Ogos ini, hari ini Proton mendedahkan satu lagi video teaser untuk Persona facelift 2021, yang memaparkan lebih perincian berkenaan sedan segmen-B yang sekali lagi menerima penyegaran tersebut.

    Dalam video ini dapat kita lihat bahawa Persona bukan sahaja diberikan gril hadapan yang direka semula bersama logo Proton baharu, malah pada bahagian kabin ia diberikan upholsteri yang nampak agak premium, menampilkan upholsteri kulit berliang pada tempat duduk dalam kemasan perang.

    Jika dalam video teaser pertama semalam memperlihatkan bahawa sistem arahan suara “Hi Proton” pada Persona dan kembar hatchbacknya, Iriz yang kini sudah boleh mengoperasikan tingkap berkuasa, video teaser kedua ini pula menunjukkan sistem arahan suara berkenaan turut boleh berfungsi untuk mengawal sistem pendingin hawa – satu lagi fungsi yang menghampiri model X50 dan X70.

    Malah skrin infotainmen berkenaan turut mempunyai antaramuka tersendiri untuk mengawal sistem pendingin hawa tersebut, manakala suis kawalan analog untuk sistem berkenaan turut direka semula menampilkan suis putar dan suis tekan dengan bentangan kekunci piano dengan rekaan seakan pada Proton X50, serta diberikan paparan digital tersendiri.

    Dalam video teaser yang disiarkan semalam, Persona turut dilihat menerima lampu hadapan LED, rim 16-inci rekaan enam-jejari berkembar, kemasan kulit perang berliang pada panel dalaman pintu, serta skrin infotainmen yang tidak lagi tenggelam dalam papan pemuka sebaliknya direka berdiri sendiri bagi memberikan paparan lebih besar. Tiada aplikasi Spotify kerana jelas dalam video tersebut ia masih dibekalkan dengan aplikasi Joox untuk mendengar muzik secara streaming.

    Persona facelift ini bakal dilancarkan sekali Iriz facelift 2021, di mana versi hatchback tersebut turut akan menerima varian baharu dengan gaya yang nampak seperti SUV, mungkin akan digelar Iriz Active, sempena nama model konsep psedo-SUV yang sama dihasilkan Proton pada tahun 2014.

    Tempahannya kedua-dua model ini masih belum lagi dibuka, tapi untuk menjadi antara orang terawal untuk memiliki model-model facelift berkenaan, anda sudah boleh mendaftarkan minat di laman sesawang khas yang telah dibuka oleh Proton pada PAUTAN INI.

     
     
  • Toyota Corolla kuasa hidrogen tamatkan perlumbaan jarak jauh Super Taikyu di Jepun, enjin 1.6L GR Yaris

    Toyota Corolla kuasa hidrogen tamatkan perlumbaan jarak jauh Super Taikyu di Jepun, enjin 1.6L GR Yaris

    Sebuah Toyota Corolla yang menggunakan hidrogen sebagai bahan bakar telah melengkapkan perlumbaan jarak jauh Super Taikyu selama lima jam di Jepun, dengan berada di tempat ke 43 daripada 44 keseluruhan kereta yang menamatkan perlumbaan. Ia dipandu oleh Takuto Iguchi, Takamitsu Matsui, Masahiro Sasaki dan presiden Toyota sendiri, Akio Toyoda.

    “Kami berjaya menghabiskan perlumbaan Fuji 24 Hours tetapi dengan pelbagai masalah, jadi kami berhasrat memperbaiki ketahanan kereta ini. Kami menukar sepenuhnya spesifikasi enjin, menjadikan pecutan bertambah baik 9%, berat dikurangkan 40 kg dan beberapa perubahan tetapan lain seperti ketinggian roll centre, kata presiden Toyota Gazoo Racing, Koji Sato kepada motorsport.com.

    Kereta lumba Corolla kuasa hidrogen ini menggunakan enjin tiga silinder 1.6 liter turbo sama seperti GR Yaris yang dipasarkan kepada orang awam, tetapi disesuaikan dengan bahan bakar hidrogen termampat untuk menggantikan petrol. Dalam keadaan standard, enjin G16E-GTS petrol ini mampu menghasilkan 261 PS pada 6,500 rpm dan 360 Nm tork pada 3,000 hingga 4,600 rpm (versi Eropah), sementara model pasaran Jepun menghasilkan lebih 11 PS dan 10 Nm.

    Toyota Corolla kuasa hidrogen tamatkan perlumbaan jarak jauh Super Taikyu di Jepun, enjin 1.6L GR Yaris

    Menurut Sato, peningkatan lain yang dilakukan selepas perbincangan dengan FIA adalah kadan aliran bahan api yang dipertingkat sebanyak 40%. Semasa sesi kelayakan, Corolla kuasa hidrogen ini berjaya mendapat tempat ke-37, dengan catatan masa terbaik dua minit 9.992 saat, iaitu dua saat lebih laju berbanding pelumba kelas ST-5 yang paling perlahan dan beza cuma satu saat dengan kereta kelas ST-4 yang paling perlahan.

    Kereta lumba hidrogen Toyota ini diletakkan dalam kategori ST-Q, dengan menggunakan penampilan ORC Rookie Racing, dan menamatkan perlumbaan 27 pusingan di belakang pemenang keseluruhan, McLaren 720S GT3 pasukan Floral Racing ABSSA Motorsport yang dipandu oleh Keita Sawa, Teruhiko Hamano dan Shintaro Kawabata.

     
     
  • Aston Martin Valkyrie Roadster bakal ditunjuk 12 Ogos

    Aston Martin Valkyrie Roadster bakal ditunjuk 12 Ogos

    Tahun ini merupakan ulang tahun ke-70 Aston Martin memasuki pasaran Amerik Utara. Untuk meraikan pencapaian tersebut, pengeluar kenderaan British ini akan menganjurkan acara khas di Pebble Beach Concours d’Elegance yang bakal berlangsung pertengahan Ogos nanti.

    Majlis itu akan berlangsung di sebuah ruang binaan khas dengan keluasan 11,300 kaki persegi, menghadap Pebble Beach Golf Links, tempat di mana syarikat itu akan mempamerkan pelbagai model sebagai tanda hormat kepada sejarahnya dan juga merintis jalan ke hadapan.

    Menurut Aston Martin, akan ada dua kereta yang akan membuat penampilan rasmi sulung untuk pasaran itu kelak, termasuk Valhalla dan juga apa yang disifatkan sebagai “produk baru yang menarik yang memperkukuh penghormatan terhadap prestasi bagi jenama ini.” Banyak yang telah diketahui tentang Valhalla, namun untuk model kedua, hanya sekilas saja ditunjukkan — iaitu versi roadster bagi model Valkyrie.

    Aston Martin Valkyrie Roadster bakal ditunjuk 12 Ogos

    Dalam gambar berkenaan, dapat dilihat bahagian perehat kepala dengan agak jelas, serta scissor doors berbanding pintu gullwing bagi model coupe. Untuk bumbung pula, memandangkan kereta ini tidak menyediakan banyak ruang untuk mekanisme kuasa, Valkyrie Roadster mungkin memerlukan pemiliknya untuk memasang semua bumbung secara manual.

    Valkyrie merupakan hypercar “mid-engine” flagship Aston Martin yang sebelum ini dikenali sebagai AM-RB 001 dan hanya terhad kepada 150 unit. Dikuasakan oleh enjin 6.5 liter NA V12 yang dibangunkan bersama Cosworth dan menampilkan sistem hibrid ala KERS, Valkyrie menjana 1,176 PS (1,160 hp) dan 900 Nm tork.

     
     
  • Hyundai Santa Cruz dalam kempen iklan digital pamer gaya hidup aktif ikon kreatif tempatan di California

    Hyundai Santa Cruz dalam kempen iklan digital pamer gaya hidup aktif ikon kreatif tempatan di California

    Hyundai kerap menamakan SUV keluarannya dengan nama bandar di Amerika. Untuk model trak pikap kompak terbarunya, ia menggunakan nama sebuah bandar tepian pantai California, Santa Cruz. Ia juga sebuah trak yang lebih cenderung memenuhi gaya hidup berbanding tujuan lain.

    Untuk itu, menurut Hyundai, trak tersebut membawa semangat sempena tempat nama itu dipinjam, dengan kehidupan di sana yang lebih tertumpu kepada keinginan untuk melakukan hal-hal mencabar. Sesuai dengan tema tersebut, pendekatan pemasaran dan iklan bagi “Sport Adventure Vehicle” yang pertama ini, Hyundai bekerjasama dengan bekas pemain skate dan pembikin filem dokumentari, Satcy Peralta, serta individu lain yang sinonim dengan bandar tersebut.

    Iklan panjang dalam bentuk video digital itu yang diberi judul “Journey Through Santa Cruz” menampilkan antara lain surfer terkenal Matt Rockhold, artis Jimbo Phillips dan juga pemain skate wanita, Lady Lurkers. Semua ini melambangkan semangat yang ingin dibawah oleh trak Santa Cruz.

    “Santa Cruz merupakan jenis kenderaan yang berbeza yang menggabungkan kelebihan SUV dengan kepelbagaian trak pikap untuk memudahkan lagi pengguna. Kempen digital pertama ini adalah untuk menunjukkan pengembaraan dan gaya hidup yang dibawa oleh kenderaan unik ini, yang mampu memenuhi penggunaan di bandar dan juga menggalas cabaran lain,” jelas Ketua Pegawai Pemasaran Hyundai Motor Amerika, Angela Zepeda.

    Hyundai bulan lalu telah mendedahkan perincian pakej dan harga bagi Santa Cruz 2022. Trak ini dijual pada harga bermula US$23,990 (RM101,341) hingga kepada US$39,720 (RM167,785) bagi varian tertinggi 2.5L Turbo AWD Limited.

     
     
  • Hayat Toyota Avalon di Amerika bakal ditamatkan

    Hayat Toyota Avalon di Amerika bakal ditamatkan

    Toyota dilaporkan bakal menamatkan penawaran Toyota Avalon di pasaran Amerika Syarikat. Menurut Automotive News, jabatan pembelian Toyota telah memberitahu para pembekal mereka melalui surat bahawa produksi Avalon akan dihentikan selepas pengenalan model 2022.

    Toyota Avalon merupakan sedan flagship yang diletakkan lebih tinggi dari Camry di Amerika Syarikat, dan mula dijual di pasaran berkenaan bermula pada tahun 1994. Walau bagaimanapun, jurucakap Toyota mengesahkan bahawa Avalon akan terus ditawarkan di pasaran China, dihasilkan di kilang FAW-Toyota Tianjin kerana permintaan terhadap sedan besar masih lagi tinggi di Republik tersebut.

    Toyota sendiri masih belum membuat pengumuman rasmi berkenaan perkara ini, tetapi laporan tersebut menyebut bahawa keputusan untuk menghentikan penawaran Avalon ini adalah kerana pasaran sedan di Amerika Syarikat yang semakin mengecil.

    Malah, sejak pengenalan Avalon generasi kelima pada 2018, hasil jualan dari tahun ke tahun menunjukkan pembeli sudah tidak begitu minat lagi terhadap sedan, walaupun Avalon dihasilkan dalam versi TRD yang lebih sporty buat pertama kali.

    Rekod jualan setahun penuh pertama Avalon generasi kelima berkenaan pada 2019 menunjukkan Toyota hanya mampu menjual sedan tersebut dengan jumlah 27,767 unit, jatuh 17.3% berbanding 2018. Ia menjadi lebih buruk pada 2020 apabila jumlah jualannya jatuh 33.7% kepada hanya 18,421 unit. Tetapi ada peningkatan ditunjukkan tahun ini dengan 10,328 unit dijual pada separa pertama 2021, naik 36.6% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Namun angka tersebut masih dilihat jauh lebih rendah berbanding Camry dan juga SUV RAV4. Dalam separa pertama 2021, Toyota telah menjual sebanyak 177,671 unit Camry dan juga 183,360 unit RAV4 pada pasaran Amerika Syarikat.

    Toyota Avalon generasi kelima ini diasaskan dari platform GA-K Toyota, yang dikongsi bersama Camry dan Lexus ES. Ia dijana oleh pilihan enjin sama ada unit 3.5 liter V6 bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan Direct Shift, atau enjin 2.5 liter empat silinder Dynamic Force dengan sistem hibrid. Avalon ditawarkan dalam 10 varian berbeza untuk pasaran AS.

     
     
  • Honda CRF250R 2022 – lebih ringan, kuasa meningkat

    Honda CRF250R 2022 – lebih ringan, kuasa meningkat

    Motocross khas untuk kegunaan litar, CRF250R telah diberikan peningkatan yang menjadikannya lebih ringan dan berkuasa bagi model tahun 2022. Secara keseluruhannya, model ini sekarang 3 kg lebih ringan (104 kg), hasil daripada antaranya pengurangan berat pada bahagian kerangka (-700 gram) dan subframe (-320 gram).

    Ketegaran lateral kerangka ini juga telah dikurangkan sebanyak 20%, supaya dapat memperbaiki prestasi laju di selekoh, cengkaman serta ketepatan pengendalian sambil mengekalkan daya tahan kilasnya. Turut diubah untuk menyesuaikannya dengan kerangka ini adalah lengan ayun serta bahagian sokongan tapaknya.

    Bahagian suspensi kini ditala semula, dengan fork USD 49 mm Showa di hadapan dipasang dengan piston baru lebih besar, untuk memberikan serapan serta maklum balas lebih baik, sementara spring pula ditukar dengan unit yang menggunakan besi 120 gram lebih ringan.

    Enjin masih lagi menggunakan unit satu silinder 249.4 cc DOHC yang sama, tetapi melalui perubahan yang dibuat pada bahagian intake dan head, kuasanya dapat ditingkatkan 10% dan tork naik 15%. Tiga mod penyampaian kuasa disediakan, dengan Mode 1 untuk keadaan standard, Mode 2 lebih lembut dan Mode 3 paling agresif.

    Model ini juga datang dengan ciri launch control elektronik, yang disediakan dalam tiga tahap, boleh mengekalkan kitaran enjin bermula pada tahap 8,250, 8,000 dan 9,500 rpm sewaktu mahu memulakan pecutan. Turut diperbaiki adalah ciri ergonomik dengan tempat duduk 10 mm lebih rendah, jarak kelegaan dari tanah 333 mm dan jarak roda lebih pendek (1,486 mm).

     
     
  • Honda NSX Type S akan didedahkan Ogos ini – hanya 350 unit, versi akhir sebelum pengeluaran dihentikan

    Honda NSX Type S akan didedahkan Ogos ini – hanya 350 unit, versi akhir sebelum pengeluaran dihentikan

    Sejak Honda NSX generasi kedua (juga dikenali sebagai Acura NSX di Amerika Syarikat) diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 2015, ramai yang sudah mengatakan nanti akan ada versi yang lebih ganas, berkemungkinan menggunakan lencana “Type R”.

    Nampaknya, memang betul, Honda telah mengumumkan mereka akan memperkenalkan NSX versi prestasi tinggi, tetapi ia tidak akan dipanggil sebagai Type R. Sebaliknya, pengeluar dari Jepun itu akan menggunakan nama Type S, dan ini bukanlah kali pertama kerana NSX asal tahun 90-an dulu juga pernah diperkenalkan dengan versi Type S.

    Sama konsep seperti model lama itu, NSX Type S baru akan menerima pelbagai peningkatan yang dapat meningkatkan kepuasan memandu. Dalam kata Honda, “NSX Type S menaikkan lagi tahap prestasi yang sudah sedia mengagumkan pada supercar ini, memberi lebih kuasa, lebih pecutan, pengendalian lebih tepat dan pengalaman pemanduan lebih beremosi.”

    Honda NSX Type S akan didedahkan Ogos ini – hanya 350 unit, versi akhir sebelum pengeluaran dihentikan

    Perincian selanjutnya masih belum didedahkan, dan kita cuma akan mengetahuinya apabila kereta tersebut membuat penampilan rasmi 12 Ogos nanti di Monterey Car Week. Honda memberitahu, nanti kita boleh menjangka enjin V6 hibrid 3.5 liter, serta sistem Super Handling All-Wheel Drive (SH-AWD) yang dipertingkat.

    Pada model NSX standard, enjin V6 ini mampu menghasilkan 507 PS (500 hp) dan 550 Nm, sementara tiga motor elektrik yang diletakkan padanya – dua di hadapan dan satu antara enjin dan transmisi – menyumbang kepada kuasa keseluruhan sebanyak 581 PS (573 hp) dan 645 Nm.

    Bersama pengumuman ini, Honda juga telah menyiarkan beberapa gambar dan video teaser model baru ini, yang menampakkan rekaan rim lima cabang, diffuser belakang lebih agresif, warna matte baru, kemasan gentian karbon serta lencana Type S di luar.

    Kemudiannya terdapat juga lencana nombor keluaran, yang menandakan eksklusiviti model tersebut, kerana ia diberitahu cuma akan dikeluarkan sebanyak 350 unit sahaja, dengan 300 untuk AS, 30 untuk Jepun dan 20 lagi untuk negara lain.

    Satu yang mungkin menyedihkan, versi Type S ini akan menjadi keluaran terakhir NSX sebelum ia dihentikan hujung tahun 2022 nanti. Ya, hanya beberapa tahun sahaja NSX ini dikeluarkan dan kita juga masih tidak mengetahui sama ada model generasi ketiga akan dibangunkan ataupun tidak. Disebabkan itu, Type S akan menjadi model yang dikejar oleh pengumpul kereta, sama seperti model NSX terdahulu.

     
     
  • Bridgestone Ecopia H/L 001 dilancarkan di Malaysia – tayar SUV eko bermula RM295, saiz 15 hingga 18-inci

    Bridgestone Ecopia H/L 001 dilancarkan di Malaysia – tayar SUV eko bermula RM295, saiz 15 hingga 18-inci

    Bridgestone Malaysia telahpun melancarkan tayar Ecopia H/L 001, iaitu tayar yang dihasilkan khas untuk SUV yang disifatkan sebagai tayar yang menampilkan keseimbangan antara keselamatan, jangka hayat yang panjang dan juga kecekapan bahan api.

    Seperti siri Ecopia sebelum ini, ia adalah tayar jenis eko yang menawarkan rintangan golekan rendah bagi memberikan kadar penggunanaan bahan api yang ekonomi. Namun Bridgestone menyatakan bahawa tayar baharu ini disifatkan untuk pemandu yang “mahukan semua”. Jadi ia bukan sekadar tayar eko, tetapi turut dihasilkan dengan mengambilkira faktor prestasi dan juga cengkaman/keselamatan di atas permukaan jalan basah.

    Menurut Bridgestone, Ecopia H/L 001 ini dihasilkan lanjutan dari kejayaan tayar EP850 sebelum ini, dan “memberikan prestasi pengendalian basah dan membrek diinspirasikan keyakinan, permukaaan sentuhan yang dioptimakan bagi menghasilkan bunga tahan lebih lama, serta rintangan golekan bagi mempertingkatkan kadar efisien bahan api dan menjimatkan kos”.

    “Ecopia H/L 001 ialah tayar rintangan golekan rendah yang direka untuk SUV tanpa mengorbankan keselamatan dan keselesaan. Menerusi maklum balas pasaran kami, sifat utama yang pemandu SUV mahukan dalam menilai satu-satu tayar adalah cengkaman, prestasi ketika basah, jangka hayat dan juga keselesaan. Ecopia H/L 001 merupakan tayar yang cemerlang dalam semua aspek tersebut dengan penambahan bonus jimat bahan api,” kata Michael Chung, pengarah urusan Bridgestone Tyre Sales Malaysia.

    Cengkaman ketika basah yang baik pada tayar ini dihasilkan dari rekaan serong yang ditambahbaik bagi memberikan titik sentuhan yang rata, di mana ia membolehkan tayar berkenaan mencengkam permukaan jalan yang basah dengan daya geseran yang lebih tinggi. Rekaan bunga tayar baharu ini juga memberikan prestasi anti-hydroplaning dan pengendalian lebih baik.

    Tayar Ecopia untuk SUV ini juga mempunyai ‘cuping’ yang lebih dalam pada bahagian bahu yang direka bagi meningkatkan kekerasan serta rintangan kehausan. Rekaan baharu itu juga dihasilkan bagi mengelakkan tayar tersebut dari berubah bentuk serta memberikan jangka hayat lebih lama. Bridgestone turut mendakwa bahawa tayar ini menggunakan teknologi NanoPro-Tech yang dipertingkat bagi menawarkan rintangan golekan yang rendah untuk menyumbang kepada penjimatan bahan api dan pengurangan emisi CO2.

    Ecopia H/L 001 ditawarkan untuk rim berdiameter bermula 15- hingga 18-inci, dengan harga bermula dari RM294 hingga RM854 seunit. Bridgestone turut menawarkan promosi sempena pelancarannya bermula hari ini sehingga 30 September dengan memberikan rebat tunai masing-masing RM40, RM60 dan RM80 jika anda membeli set tayar untuk roda bersaiz 16″, 17″ atau 18″. Promosi ini berlangsung di Bridgestone B-Select, Pro Shop dan juga pengedar-pengedar Bridgestone yang bertauliah.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025