Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PKP di 6 daerah di S’gor mulai 6-17 Mei – Gombak, Petaling, Sepang, Klang, K.Langat dan Hulu Langat

    PKP di 6 daerah di S’gor mulai 6-17 Mei – Gombak, Petaling, Sepang, Klang, K.Langat dan Hulu Langat

    Kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di enam daerah di Selangor mulai 6 hingga 17 Mei 2021. Daerah terbabit ialah Gombak, Hulu Langat, Klang, Kuala Langat, Petaling dan Sepang. Manakala Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam kekal di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

    Perkara ini diumumkan oleh Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian sebentar tadi. Beliau berkata PKP bagi enam daerah berkenaan adalah atas permintaan kerajaan negeri yang mahu mengurangkan peningkatan kes di negeri terbabit, dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju untuk melaksanakannya.

    Tambah beliau, sepanjang PKP ini, pergerakan rentas negeri dan rentas daerah tidak dibenarkan. Walau bagaimana pun hampir semua sektor ekonomi akan dibenarkan terus beroperasi, dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Namun demikian, tambahnya, terdapat perubahan untuk waktu operasi bagi enam daerah berkenaan. Sebagai contoh, stesen minyak hanya dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam sahaja. Perincian lanjut akan menyusul kemudian.

     
     
  • Geely Icon edisi musim bunga diperkenal – varian Koi dan Blazing Love, 1.5L Turbo dengan hibrid ringkas

    Geely Icon edisi musim bunga diperkenal – varian Koi dan Blazing Love, 1.5L Turbo dengan hibrid ringkas

    Setelah dua tahun berada dalam pasaran (China), Geely Icon kini diberikan pembaharuan demi memastikan ia terus segar. SUV kompak tersebut telah diperkenalkan dalam dua versi baru bertemakan musim bunga dan dinamakan sebagai Koi serta Blazing Love. Kedua-duanya menggunakan asas daripada varian paling tinggi i9 hibrid ringkas.

    Versi Blazing Love adalah yang menggunakan warna kelabu kebiruan, dengan bumbung yang berwarna hitam. Bagi menambahkan serinya, gril Expanding Cosmos di hadapan mendapat jalur warna turqoise sementara di bahagian tepi pintu pula terdapat jalur berwarna oren.

    Beberapa bahagian lain turut mendapat kemasan oren, termasuk bawah bampar hadapan, rim, side skirt serta tepi tingkap. Konsep warna ini terus digunakan di bahagian dalam, dengan warna utamanya adalah kelabu, sementara kemasan oren digunakan pada peletak tangan, permukaan papan pemuka bahagian penumpang, tombol gear dan tempat duduk.

    Varian Koi pula dicat warna merah terang dengan bumbung serta cermin sisi yang berwarna putih demi mendapatkan persamaan seperti ikan Koi. Selain plastik berwarna hitam, beberapa bahagian di luar menggunakan kemasan berwarna perak.

    Bahagian dalam versi Koi ini lebih terang kerana keseluruhan tempat duduknya berwarna merah dan beberapa bahagian utama lain juga dibalut kulit merah, termasuk roda stereng. Perinciannya ditambah lagi dengan sulaman emas ukiran pada tombol gear seperti cop tradisional China.

    Kedua-dua model keluaran khas ini dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu yang termasuk Autonomous Emergency Braking, kemampuan pemanduan semi autonomous Level 2 dan bantuan letak kereta jarak jauh tanpa pemandu. Kuasa penggerak datang daripada enjin tiga silinder turbo 1.5 liter yang mampu menghasilkan 174 hp dan 255 Nm tork, bersama bantuan sistem hibrid ringkas 48 volt untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 188 hp dan 300 Nm tork.

     
     
  • Baidu mula program teksi tanpa pemandu di Beijing

    Baidu mula program teksi tanpa pemandu di Beijing

    Baidu telah melancarkan perkhidmatan robotaxi tanpa pemandu sepenuhnya, Apollo Go kepada umum di Beijing. Perkhidmatan ini membolehkan pengguna mendapatkan robotaxi tanpa pemandu yang mengawal kenderan terbabit. Shougang Park di Beijing menjadi lokasi pertama menyaksikan pelancaran perkhidmatan ini, lokasi yang bakal terlibat dalam Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 kelak.

    Baidu menjadi syarikat China pertama yang melancarkan perkhidmatan teksi tanpa pemandu untuk kegunaan komersial ini. Aplikasi mudah alih Apollo Go membolehkan mengguna mendapatkan robotaxi berdekatan melalui sistem automatik dan layan diri sepenuhnya.

    Tunjuk arah realiti maya dan hon jarak jauh membantu pengguna mengenal pasti lokasi dan kedudukan robotaxi berkenaan, yang memerlukan pengguna untuk membuka kunci kenderaan menggunakan kod QR dan kod kesihatan sebelum boleh menaiki kenderaan. Ini termasuklah untuk mengesahkan identiti berikutan situasi pandemik kini, jelas Baidu.

    Sebaik menaiki kenderaan dan menekan butang untuk meneruskan perjalanan, sistem akan memastikan pengguna mematuhi semua protokol dan dalam keadaan selamat — misalnya menutup pintu dengan betul dan menggunakan tali keledar — sebelum memulakan perjalanan. Servis pemanduan jarak jauh 5G diaktifkan sepanjang masa untuk membolehkan operator manusia mengambil alih kendalian dari jauh sekiranya perlu.

    Baidu mula program teksi tanpa pemandu di Beijing

    Robotaxi ini akan mengangkut pengguna dari dan ke lokasi seperti dewan sukan, kawasan bertugas, kedai kopi dan hotel, sementara penggunaannya ketika Olimpik Musim Sejuk Beijing kelak akan menyaksikannya diguna bagi mengangkut atlet dan petugas acara.

    Selain daripada percubaan di Shougang Park ini, operasi autonomous ini juga sudah dicuba di Yizhuang, Haidan dan Shunyi dengan Baidu mensasarkan untuk menganjak ke tahap baru bagi operasi komersial program sama di bahagian-bahagian lain di luar Beijing. Setakat ini, program berkenaan telah melengkapi 10 juta kilometer ujian bagi pemanduan autonomous.

    “Pada masa hadapan, Baidu Apollo akan memperkenalkan robotaxi tanpa pemandu di lebih banyak bandar, membolehkan khalayak untuk mendapatkan perkhidmatan hijau, rendah karbon dan selesa disamping terus mempertingkatkan pengalaman pengguna. Pengkomersialan pemanduan autonomous akan dapat mengatasi kesesakan dengan berkesan dan membantu mencapai tahap neutral karbon di China,” ujar Naib Presiden, Teknologi Pemanduan Autonomous Baidu, Yunpeng Wang.

    Dalam perkembangan berasingan, Januari lalu Baidu mengumumkan usaha sama strategik dengan Zhejiang Geely Holding Group (ZGH) untuk mereka dan mengeluarkan kenderaan elektrik pintar. Baidu akan menumpukan aspek teknologi pemanduan autonomus, manakala ZGH akan menguruskan rekaan kenderaan dan pengilangan.

     
     
  • Perodua jual 20,399 kereta pada April 2021 – Ativa sumbang 22% jualan, 9k unit telah diserah setakat ini

    Perodua jual 20,399 kereta pada April 2021 – Ativa sumbang 22% jualan, 9k unit telah diserah setakat ini

    Perodua telah mengumumkan laporan prestasi jualannya untuk April 2021, yang mendedahkan mereka berjaya menjual dengan anggaran 20,399 unit kenderaan sepanjang bulan lalu. Perodua menyatakan bahawa jumlah berkenaan adalah 16.5% lebih rendah pada bulan Mac (23,431 unit) kerana gangguan bekalan cip semikonduktor yang kini menjejaskan industri automotif di seluruh dunia.

    Dari jumlah keseluruhan pada April berkenaan, 4,624 unit atau lebih 22% daripadanya disumbangkan oleh jualan Perodua Ativa. Secara kumulatif, selepas dilancarkan pada 3 Mac Ativa sudahpun dihantar kepada hampir 9,000 pelanggan yang menempah. Perodua turut mendakwa permintaan terhadap SUV tersebut kekal tinggi dengan purata 290 unit ditempah setiap hari.

    “Tempoh menunggu Ativa kini dari dua hingga empat bulan, bergantung kepada warna dan varian yang diingini. Kami menasihatkan para pelanggan kami yang dihargai untuk bercakap dengan penasihat jualan kami yang sah untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat mengenai tempoh menunggu bagi pelbagai kombinasi varian-warna Ativa,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Perodua jual 20,399 kereta pada April 2021 – Ativa sumbang 22% jualan, 9k unit telah diserah setakat ini

    Dengan keputusan terbaharu ini, jumlah jualan Perodua untuk empat bulan pertama 2021 sudah pun mencapai 78,304 unit. Ia adalah peningkatan yang sangat signifikant dengan kadar 74% (45,034 unit) berbanding tempoh sama tahun lalu; kerana ketika itu bermulanya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan tempahan berada pada tahap minima.

    “Walaupun isu kekurangan cip semikonduktor masih berlangsung secara global, Perodua berjaya menghasilkan 20,278 kenderaan pada April 2021, menjadikan jumlah pengeluaran kami setakat tahun ini sebanyak 80,661 unit,” kata Dato’ Zainal.

    “Isu kekurangan cip merupakan keutamaan kami buat masa ini. Kami sedang mengkaji kesemua sumber yang ada untuk menanganinya, termasuk bekerjasama dengan pihak kerajaan dan rakan-rakan niaga kami untuk mencari penyelesaian.

    Perodua jual 20,399 kereta pada April 2021 – Ativa sumbang 22% jualan, 9k unit telah diserah setakat ini

    “Perodua tetap komited terhadap penghantaran tepat pada masanya, dibantu oleh skala ekonomi kami. Kami mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan yang dihargai atas kesabaran mereka.

    “Kami akan bertungkus lumus untuk menyerahkan sebanyak kenderaan yang mungkin sebelum tamatnya pengecualian cukai jualan kerajaan pada akhir-Jun ini,” tambah beliau.

    Perodua akan kekal dengan sasarannya untuk menjual sebanyak 240,000 kenderaan sepanjang 2021 buat masa sekarang. Sasaran berkenaan adalan 9% lebih tinggi berbanding jumlah keseluruhan jualan Perodua pada tahun lalu iaitu 220,163 unit. Syarikat tersebut turut mensasarkan untuk memproduksi sejumlah 272,000 unit kenderaan tahun ini (+23%), yang dijangka membawa kepada perbelanjaan rekod sebanyak RM6.5 bilion pada tahun ini untuk membeli komponen tempatan.

     
     
  • Benelli Dong diperkenal di Indonesia – skuter elektrik berbentuk unik, motor 1.2 kW, laju maksimum 45 km/j

    Benelli Dong diperkenal di Indonesia – skuter elektrik berbentuk unik, motor 1.2 kW, laju maksimum 45 km/j

    Semasa acara Indonesia International Motor Show (IIMS) 2021 yang dijalankan secara virtual, Benelli telah memperkenalkan sebuah skuter elektrik yang dipanggil sebagai Dong. Ia membawa rekaan unik, serta teknologi penggerak yang semakin mendapat perhatian di negara tersebut.

    Benelli Dong mudah menarik perhatian ramai melalui rekaan luar kebiasaan, dengan bahagian belakangnya seakan terapung. Saiznya mungkin agak kecil, tetapi masih boleh dinaiki dua orang dan disokong oleh suspensi jenis monoshock di hadapan (bukan jenis fork) dan belakang.

    Motor elektrik 1.2 kW pada skuter ini diletakkan terus di bahagian hab belakang, dan ia mendapat kuasa daripada bateri 1.56 kWh yang boleh dicabut keluar untuk memudahkan pengguna mengecas. Melalui pakej ini, ia boleh bergerak sehingga 60 km dengan satu cas penuh dan mencapai laju maksimum 45 km/j.

    Daripada catatan ini kita sudah boleh tahu Benelli Dong disediakan lebih kepada penggunaan jarak dekat, dan di bawah tempat duduknya tiada tempat meletak barang. Walaubagaimanapun, bahagian lantai dijadikan luas dan terdapat penyangkut kecil untuk barangan ringan.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk meter jenis digital, rim 10 inci, semua lampu jenis LED (unit bersepadu siap penunjuk arah di belakang), dua mod kuasa serta bunyi khas apabila berfungsi sebagai ciri keselamatan.

     
     
  • Subaru XV 2.0i-P 2021 dinaiktaraf – tempat duduk kulit, sambungan Apple CarPlay, Android Auto; RM132k

    Subaru XV 2.0i-P 2021 dinaiktaraf – tempat duduk kulit, sambungan Apple CarPlay, Android Auto; RM132k

    Motor Image telah mengumumkan naiktaraf bagi model XV 2.0i-P 2021 dengan memberikan beberapa ciri tambahan baharu. Walau bagaimana pun, terdapat pertambahan kos yang dikenakan, dan model tersebut kini RM3,000 lebih mahal iaitu mencecah RM131,788 tanpa insurans, termasuk pengecualian cukai jualan (SST) dan waranti lima-tahun/100,000 km. Model asas 2.0i digugurkan dari pasaran tempatan, jadi 2.0i-P kini varian paling bawah dalam barisan XV tempatan, bersama varian paling mahal GT Edition berharga RM137,788.

    Bagi penaiktarafan model XV 2.0i-P 2021 ini, terdapat sedikit ciri pertambahan termasuklah ia kini diberikan material uphosltery kulit dan suede dengan roda hitam dan kelabu bersama jahitan jingga, menggantikan fabrik dan kulit tiruan. Kemasan baharu ini adalah eksklusif untuk pasaran Malaysia dan Thailand – yang kedua-duanya dikendalikan oleh Motor Image.

    Turut ditambah ialah unit utama baharu dengan skrin sesentuh lapan-inci serta ketersambungan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Namun ia masih tidak diberikan sistem kamera 360-darjah seperti mana yang diumumkan sebelum ini – yang ditampilkan pada varian GT Edition.

    Subaru XV 2.0i-P 2021 dinaiktaraf – tempat duduk kulit, sambungan Apple CarPlay, Android Auto; RM132k

    Selain itu, ciri lain masih dikekalkan, termasuklah lampu utama LED adaptif, lampu belakang LED, roda aloi dua tona 17-inci, rel bumbung warna perak, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjon, kawalan suhu automatik dwi-zon, paparan pelbagai-inci tengah 6.3-inci, tempat duduk pemandu larasan kuasa, enam pembesar suara dan kamera undur.

    Aspek keselamatan juga tidak perubahan, masih kekal dengan enam beg udara dan kawalan kestabilan. Tiada sistem bantuan pemandu EyeSight diberikan, mengikut laporan sebelum ini, Motor Image mahu menampilkannya pada model facelift.

    Bahagian mekanikal juga dikekalkan, dengan unit FB20D 2.0 liter naturally-aspirated dan suntikan-terus empat-silinder, dengan kuasa 156 PS pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm. Kuasa ini disalurkan menerusi Lineartronic CVT dengan tujuh nisbah maya dan sistem Symmetrical All-Wheel Drive, bersama fungsi X-Mode yang direka untuk memberikan pengendalian terbaik bagi pemanduan off-road.

     
     
  • GALERI: Hyundai Elantra 1.6 Executive 2021 – RM140k

    GALERI: Hyundai Elantra 1.6 Executive 2021 – RM140k

    Semalam, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) secara rasmi telah mengumumkan pengenalan Elantra 1.6 Executive untuk pasaran Malaysia. Disember tahun lalu, varian tunggal bagi Elantra 2021 Premium diperkenalkan di sini, dan varian Executive terbaru ini merupakan penambahan terbaru penawaran lebih rendah model berkenaan. Ia juga diimport sepenuhnya dari Korea Selatan, dengan harga pengenalan RM139,888.

    Ini menjadikannya sekitar RM19k lebih murah berbanding varian Premium, dan melibatkan beberapa perbezaan atau pengurangan berbanding varian tertinggi Premium sebelum ini. Antaranya varian Executive ini mengenakan kerusi balutan fabrik hitam dengan benang putih, larasan kerusi manual dan instrumen lebih konvensional dengan paparan multi-info 4.2-inci.

    GALERI: Hyundai Elantra 1.6 Executive 2021 – RM140k

    Ia bagaimanapun tidak datang dengan fungsi pemanas serta liang pengudaraan untuk kerusi depan, termasuk fungsi pemanas stereng (walaupun masih lagi balutan kulit) serta pengecas telefon tanpa wayar turut telah digugurkan. Tidak lupa, tiada juga ciri cermin pandang belakang elektrokromatik.

    Kelengkapan lain yang turut terkesan ialah ciri Hyundai SmartSense, yang pada varian ini hanya datang dengan tahap paling asas. Executive ini hanya menerima kawalan melayar pasif, amaran titik buta dan amaran lintasan trafik belakang. Fungsi selebihnya yang ada pada varian Premium, tiada pada varian Executive.

    GALERI: Hyundai Elantra 1.6 Executive 2021 – RM140k

    Inilah ciri-ciri yang membezakan kelengkapan antara kedua-dua varian tersebut. Selebihnya, penampilannya berkongsi ciri yang sama; lampu utama LED projektor, lampu belakang kombinasi LED dengan elemen lampu jalur, rim 17-inci dua tona, skrin lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta enjin 1.6 liter Smartstream (123 PS, 154 Nm) dan kotak gear IVT dengan empat mod pemanduan. Apa pandangan anda tentang varian paling asas Elantra ini?

     
     
  • Kia EV6 diumumkan untuk UK – dari RM232k-RM292k

    Kia EV6 diumumkan untuk UK – dari RM232k-RM292k

    Selepas sebulan mendedahkan Kia EV6, pengeluar kereta bnerkenaan mengumumkan crossover sepenuhnya elektrik tersebut akan dijual di United Kingdom (UK) tidak lama lagi, dan penghantaran pertama akan bermula pada Oktober 2021. Terdapat tiga varian yang ditawarkan – EV6, EV6 GT-Line, dan EV6 GT-Line S.Manakala varian tertinggi EV6 GT, dijadualkan akan dilancarkan pada suku kedua tahun 2022.

    Setiap varian EV6 yang dipasarkan di UK akan dilengkapi dengan pek bateri lebih besar berkapasiti 77.4 kWh. Ciri standard untuk semua varian termasuklah paparan panoramik dengan skrin sesentuh berkembar 12.3-inci, dilengkapi ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem UVO Connect.

    Varian EV6 yang paling rendah ditawarkan pada harga dari £40,895 (RM232k), dan didatangkan dengan ciri standard termasuk lampu utama LED, roda aloi kelabu gelap 19-inci, upholstery kulit vegan, pencahayaan ambien dalaman, sistem kawalan suhu automatik dwi-zon, pemilih mod pemanduan, bantuan pemanduan lebuhraya, kawalan kelajuan pintar berasaskan GPS dengan fungsi stop/go, AEB dengan fungsi belokan di persimpangan, pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal.

    Kia EV6 diumumkan untuk UK – dari RM232k-RM292k

    Varian asas EV6 diberikan motor elektrik 168 kW (228 PS, 350 Nm) yang menyalurkan kuasa ke gandar belakang. Pengecasan penuh mampu memberikannya jarak hingga 510 km (kitaran WLTP), dan senibina elektrikal 800 voltan mampu memberikannya pengecasan pantas. Kia berkata EV6 boleh dicas dari 10% hingga 80% dalam hanya 18 minit.

    Untuk model pertengahan GT-Line, ia diberikan sama ada bentuk RWD atau AWD, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 239 kW (325 PS dan 605 Nm). Ia membolehkan crossover elektrik ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.2 saat dan diberikan kit penggayaan GT-Line termasuk roda hitam 19-inci dan upholstery kulit vegan kelabu cerah dan hitam suede.

    Ia turut diberikan kaca privasi, dwi lampu utama LED dengan lampu tinggi adaptif, tempat duduk rehat premium, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan tiga pin vehicle-to-load yang menyalurkan kuasa sehingga 3.6 kW. Yang bersamaan dengan saluran kuasa untuk mengoperasikan televisyen 55-inci dan pendingin hawa melebihi 24 jam, serta boleh digunakan untuk mengecas kenderaan elektrik lain jika diperlukan.

    GT-Line S berharga dari £48,395 (RM275k; RWD) hingga £51,895 (RM295k; AWD), menerima ciri yang dipertingkatkan termasuk roda 20-inci, tempat duduk dengan pengaliran udara dan penghabaan, tailgate berkuasa, bumbung panoramik kuasa, sistem audio Meridian dengan 14-pembesar suara, bantuan parkir pintar, bantuan mengelak pelanggaran parkir, bantuan pemanduan lebuhraya dan paparan utama.

    Kedua-dua GT-Line dan GT-Line S turut dilengkapi dengan pam pemanas bateri pilihan, yang boleh memaksimakan jarak pemanduan ketika dalam kondiri cuaca sejuk. Pam pemanas ini adalah standard bagi EV6 GT, yang masih dalam fasa terakhir proses pembangunannya.

    Setakat ini, lebih 1,205 pelanggan di UK telah menempah crossover elektrik terbaharu Kia ini. Malahan tempahannya juga telah ditutup, dan sesiapa yang berjaya menempahnya turut layak menerima tawaran servis pengecasan, termasuklah langganan percuma selama setahun untuk KiaCharge Plus. Ini termasuklah rangkaian pengecasan IONITY pan-European ultra-rapid EV.

     
     
  • Rentas negeri cetus 13 kluster sejak April lalu – KKM

    Rentas negeri cetus 13 kluster sejak April lalu – KKM

    Sebanyak 13 kluster dikesan mengakibatkan jangkitan COVID-19 sejak April lalu gara-gara aktiviti merentas negeri. Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, ia termasuk satu kluster di Kelantan yang dikesan berkaitan varian dari Afrika Selatan membabitkan 10 individu, laporan Berita Harian.

    Katanya, ia membabitkan Kluster Kabu di Kedah yang berasal dari Pulau Pinang; Kluster Taman Malim Jaya di Melaka (dari Selangor); Kluster Jalan Gapam di Negeri Sembilan (dari Melaka); Kluster Taman Rakyat di Terengganu (dari Sabah); Kluster Kampung Domis, Kelantan (dari Selangor); Kluster Kampung Bunut Sarang Burung, Kelantan (dari Kuala Lumpur).

    Selain itu, Kluster Seri Kuantan, Pahang (dari Kuala Lumpur); Kluster Pengkalan Batik, Melaka (dari Selangor); Kluster Taman Changkat, Perak (dari Selangor); Kluster Jalan Kesidang, Kluster Kota Shahbandar dan Kluster Air Budi, Melaka (dari Perak, Selangor dan Kuala Lumpur) serta Kluster Jarang Emas, Melaka (dari Selangor).

    “Berikutan itu, aktiviti rentas negeri tidak akan dibenarkan hingga 17 Mei ini sehingga pengumuman seterusnya. Untuk kategori subkluster komuniti, berdasarkan kepada jumlah kes diperoleh, ia membabitkan kontak rapat atau kontak keluarga.

    “Ada yang berlaku di majlis pengebumian, keraian, perkahwinan, sambutan perayaan, pertunangan dan banjir, selain apa yang berlaku di rumah panjang Sarawak seperti gotong-royong, pengebumian dan aktiviti kemasyarakatan,” katanya. Sehingga 1 Mei lalu, sejumlah 1,669 kluster dilaporkan.

     
     
  • Polis cadangkan agar Malaysia guna plat nombor pendaftaran seragam dengan cip untuk elak jenayah

    Polis cadangkan agar Malaysia guna plat nombor pendaftaran seragam dengan cip untuk elak jenayah

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan supaya semua kenderaan di negara ini diseragamkan dengan ‘e-plate’ atau nombor pendaftaran standard dilengkapi cip keselamatan sebagai langkah untuk pencegahan jenayah, lapor Berita Harian.

    Perkara ini disebut oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, dalam program Ruang bicara PDRM terbitan Bernama TV bertajuk ‘Trend Jenayah Semasa Penularan Pandemik COVID-19’, semalam. Menurutnya, e-plate ini antara perkara yang dicadangkan jabatannya kepada kerajaan dalam menyaingi perubahan teknologi dan menghadapi trend jenayah semakin sofistikated.

    “Sudah tiba masa negara kita menggunakan nombor pendaftaran standard dilengkapi cip keselamatan atau e-plate yang mana ia sudah lama digunakan di negara maju selain di Singapura dan Thailand.

    “Kalau kita tengok, nombor pendaftaran standard tanpa cip keselamatan dipakai di Indonesia, Vietnam dan Laos tetapi kita masih menggunakan nombor pendaftaran yang cacamarba, termasuk nombor pendaftaran ‘fancy’ dan sebagainya.

    “Sekiranya penggunaan nombor pendaftaran diseragamkan, ia dapat mencegah jenayah. Sukar untuk individu atau penjenayah membuat nombor pendaftaran palsu dan sebagainya kerana ia diselaraskan dan hanya satu badan atau jabatan membuat nombor pendaftaran,” katanya.

    Beliau juga menyatakan bahawa penggunaan sistem sedemikian juga akan meningkatkan kecekapan dan mengurangkan ketidakpatuhan pengguna jalan raya, termasuk tidak mematuhi lampu isyarat, selain dapat membantu JSJ menangani kes kecurian kenderaan yang mana jenayah itu penyumbang tertinggi kepada kes jenayah di negara ini.

    Huzir menjelaskan bahawa cadangan tersebut diusulkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan untuk dipertimbangkan.

     
     
  • Honda N7X – model konsep untuk BR-V generasi baharu, buat pendedahan sulung di Indonesia

    Honda N7X – model konsep untuk BR-V generasi baharu, buat pendedahan sulung di Indonesia

    Honda telahpun mendedahkan model konsep baharu mereka yang digelar “New 7-Seater eXcitement” atau N7X Concept. Model ini dibangunkan oleh Honda R&D Asia Pacific, dan pendedahan sulungnya dibuat oleh Honda Indonesia – jadi jelas bahawa SUV 7-tempat duduk ini sebenar preview untuk Honda BR-V generasi baharu, di mana model BR-V sedia ada sudahpun berada lebih lima-tahun dalam pasaran.

    Walaupun ia dinamakan sebagai konsep, N7X ini nampak seakan sudah bersedia untuk diproduksi dan tidak menampilkan ciri-ciri khayalan – boleh dijangka hampir kesemua perincian yang anda nampak pada model konsep ini bakal tampil pada BR-V generasi kedua nanti.

    N7X ini nampaknya menampilkan perubahan yang besar berbanding BR-V sedia ada, tampil dengan rupa yang lebih lasak. Muka SUV ini seakan diinspirasikan dari model facelift terbaharu MPV mewah Honda Odyssey, tampil dengan gril hadapan yang terdiri jalu-jalur dan bar krom, diapit oleh lampu hadapan yang tajam bersama jalur LED lampu nyalaan siang bina dalam berbentuk-L.

    Honda N7X – model konsep untuk BR-V generasi baharu, buat pendedahan sulung di Indonesia

    Ia diberikan satu lagi gril pada bampar hadapan bersama kemasan skid plate di bawahnya, serta kedua-dua bahagian sisi menempatkan kemasan perumah lampu kabus juga diberikan satu lagi jalur LED. Seperti model-model terbaharu Honda yang lain, N7X juga tampil dengan bonet hadapan seakan mempunyai ‘jendul’.

    Pada bahagian sisi, N7X diberikan rekaan lebih ringkas dari BR-V. Tiada lagi garis-garis yang bersimpang siur, sebaliknya hanya menampilkan satu garis karekter bermula dari lampu hadapan, melalui bahagian bawah pembuka pintu dan bersambung pada lampu belakang. Kemasan pelindung badan pada semua ruang roda juga kini lebih nipis dan tidak menggangu bahagian badan lain di atasnya.

    Di belakang, N7X ini menampilkan lampu yang lebih nipis dan tajam dan juga grafik LED yang kelihatan seperti sedan Honda City. Pintu tailgate juga kelihatan lebih ringkas dan kemas – tiada lagi bar reflektor yang menghubungkan kedua-dua lampu serta permukaan lebih rata, manakala perumah nombor plat masih kekal di bawah.

    Honda N7X – model konsep untuk BR-V generasi baharu, buat pendedahan sulung di Indonesia

    Honda masih belum mendedahkan sebarang imej bahagian dalaman N7X ini. Tetapi menerusi visual dari video pengenalan yang disiarkan, papan pemuka model konsep ini juga menampilkan rekaan yang jauh berbeza dari BR-V sedia ada, bersama rekaan-rekaan suis kawalan pendingin hawa dan roda stereng yang baru.

    Video berkenaan juga menunjukkan bahawa N7X turut menerima sistem bantuan titik buta Honda LaneWatch. Selain dari rupa, Honda masih belum mengumumkan sebarang perician lain termasuk unit rangkaian kuasa yang digunakan pada SUV tujuh-tempat duduk ini. Setakat ini, apa pandangan anda terhadap N7X? Boleh jadi ancaman baru kepada pasaran SUV/MPV tujuh tempat duduk lain seperti Mitsubishi Xpander dan Toyota Rush/Daihatsu Terios/Perodua Aruz?

     
     
  • Saga model paling laris di M’sia, pintas Myvi untuk April 2021; Proton jual 15k unit 3 bulan berturut-turut

    Saga model paling laris di M’sia, pintas Myvi untuk April 2021; Proton jual 15k unit 3 bulan berturut-turut

    Proton telah pun mengumumkan prestasi jualan mereka untuk April 2021 – mereka berjaya menjual sebanyak 15,017 unit kenderaan bulan lalu, mengekalkan momentum jualan melebihi 15k unit untuk bulan ketiga berturut-turut tahun ini. Angka tersebut menunjukkan ia adalah peningkatan sebanyak 0.18% berbanding bulan Mac. Proton biasanya akan mencampurkan jualan domestik dan eksport dalam pengumuman mereka.

    Dengan jualan melebihi 15k unit berkenaan, Proton menganggarkan mereka kini memegang 26.7% bahagian dalam pasaran. Jualan kumulatif untuk empat bulan pertama tahun ini sudah pun mencapai 47,843 unit, dengan anggaran pegangan bahagian pasaran sebanyak 24.4%. Ini mungkin membuatkan Proton selesa berada di tempat kedua di belakang Perodua dalam kedudukan keseluruhan.

    Proton juga mendakwa model paling mampu milik keluaran mereka, Proton Saga merupakan model paling laris bulan lalu, dengan jualan sebanyak 5,472. Ini bermakna Saga telah pun berjaya memintas jualan model paling laris di Malaysia sejak sekian lama iaitu Perodua Myvi pada April 2021. Ini juga sebenarnya kali kedua Saga mencatatkan rekod sebagai model bulanan paling laris selepas Mei 2020, walaupun jualan pada bulan lalu sebenarnya lebih rendah dari Mac.

    Barisan SUV Proton terus mencatatkan jualan yang memberangsangkan dan menyumbangkan bahagian yang besar secara keseluruhan. Sebanyak 3,583 unit Proton X50 telah berjaya dihantar kepada pelanggan sepanjang April (rekod tertinggi setakat ini), serta 2,101 unit untuk X70. Ini bermakna Proton berjaya menjual sebanyak 5,684 unit SUV sepanjang bulan lalu, iaitu bulan kedua tertinggi pernah dicatatkan untuk barisan model X, hanya sedikit rendah berbanding rekod pada Mac.

    Tiga lagi model Proton juga telah mencatatkan jualan bulanan terbaik untuk 2021 pada April. Persona telah terjual sebanyak 2,266 unit (kedua dalam kelas sedan segmen-B), Exora berjaya dijual sebanyak 616 unit, manakala Iriz yang dibantu dengan model edisi terhad R3 juga telah mencatatkan jualan bulanan terbaik sejak 2019, terjual sebanyak 974 unit (ketiga dalam kelas hatchback segmen-B).

    “April adalah bulan yang bagus untuk industri automotif dan selain dari PROTON, beberapa jenama lain juga mempunyai bulan terbaik tahun ini. TIV dianggarkan melebihi 56,000 unit kerana semua jenama sedang berusaha untuk memenuhi pesanan penjualan sebelum berakhirnya insentif cukai penjualan PENJANA pada akhir bulan Jun,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eskekutif, Proton Edar.

    “Bagi Proton, kami meneruskan usaha untuk memenuhi permintaan produk kami yang tinggi di samping mengekalkan tahap kualiti produk. Pada masa yang sama, kami fokus untuk meningkatkan khidmat pelanggan dan menangani masalah berkaitan dengan ketersediaan alat ganti, satu aspek yang sangat penting ketika jumlah penjualan kami sedang meningkat. Kami menjangkakan situasi akan semakin pulih dan kami tetap berusaha keras untuk memendekkan jangka masa itu,” tambahnya lagi

    Bulan lalu juga upacara pecah tanah untuk kilang stamping terbaharu Proton juga telah dibuat di Tanjong Malim. Fasiliti bernilai RM200 juta berkenaan dijangka akan mula beroperasi pada suku ketiga 2022, dan ia membolehkan Proton menghasilkan panel-panel badan yang lebih besar.

     
     
  • Hyundai Elantra 1.6 Executive 2021 di M’sia — RM140k

    Hyundai Elantra 1.6 Executive 2021 di M’sia — RM140k

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) dengan rasminya memperkenalkan Elantra 1.6 Executive untuk pasaran Malaysia. Ini menjadi tambahan varian kepada penawaran sebelum ini, 1.6 Premium yang dilancarkan di Malaysia Disember tahun lalu. Varian lebih rendah ini juga diimport sepenuhnya dari Korea Selatan, dengan harga pengenalan RM139,888.

    Ini menjadikannya sekitar RM19k lebih murah berbanding varian Premium. Untuk itu juga, tentulah ada ciri dan kelengkapan yang dikurangkan pada varian ini. Paling ketara ialah pada bahagian dalamannya; model Executive ini mengenakan kerusi balutan fabrik hitam dengan benang putih, larasan kerusi manual dan instrumen lebih konvensional dengan paparan multi-info 4.2-inci.

    Ia juga tidak datang dengan fungsi pemanas serta liang pengudaraan untuk kerusi depan, termasuklah fungsi pemanas stereng (walaupun masih lagi balutan kulit) serta pengecas telefon tanpa wayar turut digugurkan. Tidak lupa, tiada juga ciri cermin pandang belakang elektrokromatik.

    Hyundai Elantra 1.6 Executive 2021 di M’sia — RM140k

    Kelengkapan lain yang turut terkesan ialah ciri Hyundai SmartSense, yang pada varian ini hanya datang dengan tahap paling asas. Executive ini hanya menerima kawalan melayar pasif, amaran titik buta dan amaran lintasan trafik belakang. Fungsi selebihnya yang ada pada varian Premium, tiada pada Executive.

    Inilah yang membezakan kelengkapan antara kedua-dua varian tersebut. Selebihnya, penampilannya berkongsi ciri yang sama; lampu utama LED projektor, lampu belakang kombinasi LED dengan elemen lampu jalur, rim 17-inci dua tona, skrin lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta enjin 1.6 liter Smartstream (123 PS, 154 Nm) dan kotak gear IVT dengan empat mod pemanduan.

    “Kami menerima permintaan yang agak banyak daripada pelanggan yang mahukan Elantra terbaru ini dengan tanda harga yang lebih rendah. Seperti kereta import lainnya, kadar tukaran matawang asing menjadi penentu utama bagi harga kenderaan di sini,” ujar Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung. Apa pandangan anda tentang varian paling asas Elantra ini?

     
     
  • Honda X-ADV 2021 dilancarkan untuk Malaysia – kuasa bertambah, kelengkapan dipertingkat, harga RM67,799

    Honda X-ADV 2021 dilancarkan untuk Malaysia – kuasa bertambah, kelengkapan dipertingkat, harga RM67,799

    Honda X-ADV 2021 baru sahaja didedahkan untuk pasaran Eropah November tahun lalu, dan kini ia sudah pun dilancarkan di Malaysia dengan harga RM67,799 tidak termasuk insurans. Tiga warna ditawarkan, iaitu hitam, merah dan perak, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Bentuk asas model ini masih lagi menggunakan konsep sama tetapi hampir kesemua panel badan adalah baru untuk menjadikannya lebih agresif, termasuklah lampu hadapan LED yang dilengkapi dengan DRL LED. Bentuk tempat duduk turut diubah supaya penunggang dapat menjejak tanah dengan lebih mudah dan tingginya sekarang adalah 820 mm. Penghadang angin baru di hadapan boleh dilaras lima tahap secara manual.

    Di hadapan pemandu kini terdapat panel digital TFT 5.0 inci berwarna untuk memaparkan segala informasi penting. Ia juga boleh disambungkan kepada telefon pintar serta headset (tidak disertakan) melalui Honda Smartphone Voice Control System dan membolehkan kawalan panggilan, emel, muzik dan navigasi.

    Enjin yang digunakan juga masih lagi sama, iaitu unit dua silinder selari SOHC 745 cc, tetapi kuasanya telah ditingkatkan sebanyak 4 hp, menjadi 57.8 hp pada 6,750 rpm dan 69 Nm tork pada 4,750 rpm. Enjin ini juga sekarang sudah melepasi tahap Euro 5 dan boleh dikerah sehingga 7,000 rpm. Antara yang diubah adalah pemasaan injap serta kecekapan kemasukan udara serta ekzos.

    Pada bahagian transmisi, nisbah gear untuk unit klac berkembar (DT) enam kelajuan padanya telah diubah untuk menjadikan pecutan awal lebih pantas (gear 1, 2 dan 3 lebih pendek) dan meningkatkan kecekapan bahan api serta kebolehgunaan gear pada kelajuan lebih tinggi (gear 4, 5 dan 6 lebih panjang). Selain penukaran gear automatik, transmisi ini juga mempunyai mod manual dengan kawalan naik dan turun gear menggunakan butang.

    Untuk kawalan kuasa, X-ADV 2021 menggunakan sistem ride by wire dan penunggang disediakan dengan lima mod iaitu Standard, Sport, Rain, Gravel dan User. Dalam empat mod yang pertama, tahap penyampaian kuasa, engine braking, Honda Selectable Traction Control (HSTC) dan ABS dilaras pada tahap tertentu sementara dalam mod User, penunggang boleh melaras semua ciri ini pada tahap yang mereka mahukan. HSTC mempunyai tiga tahap dan ia juga boleh ditutup terus.

    Honda X-ADV 2021 dilancarkan untuk Malaysia – kuasa bertambah, kelengkapan dipertingkat, harga RM67,799

    Di sebalik panel badan X-ADV 2021 ini terdapat kerangka besi rekaan baru yang menjadikan beratnya lebih ringan satu kilogram dan membantu penggunaan ruang – kapasiti ruang simpanan bawah tempat duduk meningkat menjadi 22 liter dan boleh memuatkan helmet full face. Di bahagian ini juga soket 12V telah diganti dengan soket USB.

    Antara kemudahan yang disediakan oleh skuter ini adalah seperti sistem kunci pintar, Emergency Stop Signal (ESS), tangki bahan api 13.2 liter, lampu penunjuk arah boleh tutup sendiri, tongkat tengah, penghadang tangan serta ruang simpanan kecil di bawah pemegang.

    Pada bahagian roda, ia dilengkapi dengan rim spoke 17 inci, tayar 120/70, brek cakera berkembar 296 mm, angkup empat piston serta fork USD 41 mm di hadapan manakala di belakang terdapat rim 15 inci, tayar 160/60, brek cakera 240 mm, angkup satu piston serta monoshock.

     
     
  • SPYSHOT: Mercedes-AMG One lalui ujian jalanan akhir

    SPYSHOT: Mercedes-AMG One lalui ujian jalanan akhir

    Dua tahun tertangguh, kini akhirnya Mercedes-AMG bersedia untuk membawa hypercar One ke fasa produksi tahun ini. Kereta yang menggunakan enjin jentera Formula One ini dilihat sedang melalui ujian jalanan akhir, dengan bentuknya sekarang mungkin adalah bentuk akhir yang akan diguna.

    Kebanyakan bentuk asasnya masih lagi sama seperti model yang ditunjukkan pada tahun 2017 dan muncul hujung tahun lepas dalam satu video promosi, tetapi sekarang anda boleh melihat ia sudah mempunyai lampu yang berfungsi dan lebih sesuai untuk kereta jalanan, serta cermin sisi sebenar yang melekat pada pintu.

    Kereta ini juga dilengkapi dengan sistem aerodinamik aktif, di mana antaranya adalah sirip tepi fender dan sayap belakang, yang boleh dilaras mengikut mod pemanduan atau kelajuan. Bahagian-bahagian lain juga cukup menarik dan mempunyai fungsi tersendiri untuk meningkatkan prestasinya.

    SPYSHOT: Mercedes-AMG One lalui ujian jalanan akhir

    Persamaan kereta ini dengan jentera F1 bukan sekadar satu gimik pemasaran, tetapi ia lebih istimewa kerana betul-betul menggunakan enjin F1 yang diletakkan di belakang, iaitu unit V6 turbo 1.6 liter daripada W07 Hybrid. Ini adalah enjin yang membantu Nico Rosberg memenangi gelaran juara dunia pada tahun 2016.

    Sama seperti kereta F1, enjin pada model One ini juga mempunyai dua unit motor-generator elektrik untuk memacu compressor pada tahap rpm rendah dan memberikan pecutan tambahan apabila diperlukan. Sudah tentu, ada beberapa bahagian yang diubah supaya ia sesuai untuk digunakan atas jalan raya biasa termasuk had rpm (11,000) dan sistem bahan api (boleh menerima petrol RON 98). Mercedes mendakwa, kuasa One boleh mencecah 1,000 PS dan mencapai laju maksimum 350 km/j.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025