Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volkswagen ID. Buzz dalam bentuk produksi dilihat

    Volkswagen ID. Buzz dalam bentuk produksi dilihat

    Jarang-jarang model baru sekarang ini libatkan rekaan Van petak. Mujur Volkswagen akan ada sebuah nanti. Pertama kali dipertontonkan pada Detroit Auto Show 2017, versi produksi bagi Volkswagen ID. Buzz elektrik sepenuhnya telah dilihat, walaupun masih sebagai model ujian yang menggunakan badan van T6.

    Penampilannya nampak lebih pendek dan lebih lebar berbanding van T6 komersial yang dirujuk, dan ia boleh dijangkakan bakal menggunakan penggayaan versi produksi yang pernah dilihat pada model ID. Buzz Concept, serta ilham rekaan yang dipinjam dari ID.3 hatchback dan SUV ID.4.

    Platform Modular Electric Drive Kit (MEB) digunakan untuk ID. Buzz dan ID. Buzz Cargo, yang membolehkan penggunaan sepasang motor elektrik – satu di setiap gandar – untuk mendapatkan output sistem 369 hp. Spesifikasi bateri paling besar akan mempunyai 111 kWh, menawarkan jarak sehingga 600 km; begitu penjelasan Volkswagen ketika pengenalan model konsepnya dulu.

    Volkswagen ID. Buzz dalam bentuk produksi dilihat

    Bagi versi kegunaan yang lebih sederhana, turut ada ada versi pacuan belakang dengan 268 hp, dengan bateri berkuasa 83 kWh. Pada model konsepnya, ID. Buzz boleh mencapai tahap 80% bagi baterinya dalam masa 30 minit pengecasan.

    Volkswagen juga sebelum ini memanklumkan ID. Buzz akan berada di bilik pameran bermula tahun depan, dan antara pasaran yang bakal menerima kelahiran semula van ini dalam bentuk EV termasuklah Amerika, Eropah dan China. Model ini kemudiannya akan diikuti pula dengan versi kargo, ID. Buzz Cargo.

    Model Transporter T6.1 semasa yang ada ketika ini turut menampilkan versi sifar pembebasan gas, walaupun ini dibangunkan bersama ABT. Versi berkenaan menjana kuasa daripada motor elektrik tunggal 112 PS, dengan pek bateri 38.8 kWh atau 77.6 kWh. Menurut Volkswagen Kapasiti yang lebih besar ini membolehkan jarak perjalanan mencecah 400 km (kitaran NEDC).

     
     
  • Toyota dan Subaru dikhabarkan bangunkan hot hatch AWD baharu, bakal didedahkan pada 2022 – laporan

    Toyota dan  Subaru dikhabarkan bangunkan hot hatch AWD baharu, bakal didedahkan pada 2022 – laporan

    Apabila Toyota dan Subaru mengumumkan pakatan kapital baharu pada September 2019, kedua-dua syarikat bersetuju untuk bekerjasama dalam membangunkan kembar Toyobaru generasi akan datang. Perancangan tersebut masih kekal buat masa ini, dengan Subaru telah pun memperkenalkan BRZ baharu pada November lalu, sementara versi Toyota (ada khabar angin mengatakan ia bakal dipanggil GR 86) juga akan muncul tidak lama lagi.

    Menerusi perjanjian ini, di mana ia melibatkan pegangan ekuiti, bakal menyaksikan kedua-dua syarikat bersama membangunkan model pacuan-semua-roda baharu “yang menawarkan sensasi tanpa batas bagi pemanduan semua-roda.” Itulah yang dilaporkan oleh Best Car Web dari Jepun.

    Menurut penerbitan berkenaan, Toyota dan Subaru sedang bekerjama dalam membangunkan satu lagi model Toyobaru, kali ini melibatkan model hot hatch pacuan semua-roda. Dikatakan sebagai “jentera WRC”, model baharu ini dikatakan bakal diperkenalkan pada musim luruh 2022 dan saiznya lebih kurang sama dengan Impreza versi hatchback.

    Perincian mengenai projek terbabit belum didedahkan buat masa ini, tetapi ia bakal menggunakan enjin boxer kebanggaan Subaru, yang juga boleh masuk dengan versi Toyota. Sistem Symmetrical AWD Subaru juga akan digunakan, namun pilihan transmisi masih belum diketahui, tetapi kalau dengan padanan manual, pastinya pemanduan dan pengendalian jentera baharu lebih syiok wo…

    Walau pun Toyota sudah memiliki hot hatch AWD sendiri iaitu dari GR Yaris, tetapi ia tiada rancangan untuk menawarkan model tersebut di Amerika Syarikat. Merujuk pada laman web Toyita USA, pihak di sana dikatakan bakal membawa masuk hot hatch GR, tetapi dalam versi yang agak berbeza.

    Sebelum ini ada perkhabaran mengatakan ia mungkin GR Corolla, tetapi dengan model yang dibangunkan bersama Subaru, ia mungkin hot hatch GR yang pasaran USA bakal terima. “Disebabkan GR Yaris tidak akan dipasarkan di USA, mungkin sudah tiba masanya untuk USA menerima hot hatch Toyota yang tersendiri,” mengikut apa yang tertera pada laman web terbabit.

    Apa pun, mari kita bersama nantikan kedua-dua syarikat mendedahkan lebih banyak info untuk mengesahkan model yang bakal diperlenalkan ini.

     
     
  • BMW F 850 GS 40 Years Edition tiba di M’sia – RM85.5k

    BMW F 850 GS 40 Years Edition tiba di M’sia – RM85.5k

    Model BMW F 850 GS keluaran khas “40 Years GS Edition” kini sudah tiba di Malaysia pada harga RM85,500 tidak termasuk insurans, tetapi dengan jaminan tiga tahun dan program bantuan tepi jalan percuma tiga tahun.

    Model istimewa ini dikeluarkan sebagai menyambut kewujudan model GS selama lebih 40 tahun dan perbezaan utamanya adalah penampilan yang menggunakan gabungan warna hitam serta kemasan kuning pada pelindung tangan, panel tepi serta tempat duduk. Rim spoked bersaiz 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang pula menggunakan jenis aloi yang berwarna emas.

    Selain daripada itu, model ini juga dipasang terus dengan pakej Comfort, Touring, Dynamic dan Active, yang melengkapkan ia dengan sistem tanpa kunci, pemanas tangan, pemerhati tekanan angin tayar, Dynamic ESA (suspensi elektronik), Cruise Control, rak barangan, Shift Assist Pro, ABS Pro, Dynamic Traction Control (DTC) dan empat mod tunggangan.

    Untuk bahagian teknikal lain, ia masih lagi sama dengan F 850 GS biasa yang diambil sebagai asas, iaitu dipacu oleh enjin dua silinder 853 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 95 hp pada 8,250 rpm dan 92 Nm tork pada 6,250 rpm.

    Bahagian brek motosikal adventure ini menggunakan unit cakera berkembar 305 mm bersama angkup dua piston di hadapan, serta cakera 265 mm bersama angkup satu piston di belakang. Pelindung radiator serta tongkat tengah yang sebelum ini ditawarkan sebagai pilihan tambahan diberi secara terus pada model edisi khas ini.

     
     
  • Tiga stesen MRT ditutup pada 27-28 Feb 2021 bagi kelancaran kerja sistem migrasi Laluan Putrajaya

    Tiga stesen MRT ditutup pada 27-28 Feb 2021 bagi kelancaran kerja sistem migrasi Laluan Putrajaya

    Rapid KL, pengendali tren MRT telah mengumumkan penutupan tiga stesen MRT iaitu Kwasa Damansara, Kampung Selamat dan Sg Buloh pada 27 hingga 28 Februari ini. Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja migrasi Sistem MRT Laluan Putrajaya (dahulunya dikenali sebagai Laluan SSP).

    Untuk stesen Kwasa Damansara, kawasan parkir juga turut ditutup. Tetapi parkir bertingkat di stesen Sg.Buloh dibuka seperti biasa.

    Dengan penutupan sementara ini, perkhidmatan MRT akan berakhir di stesen Kwasa Sentral. Perkhidmatan bas perantara MRT percuma akan disediakan di antara stesen Sg Buloh dan Kwasa Sentral, malah dalam perjalanan akan berhenti di Kampung Selamat. Frekuensi bas perantara berkenaan adalah setiap 15 minit.

    Jajaran MRT Putrajaya, atau sebelum ini dikenali sebagai Jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), sudah 80% siap. Fasa satu jajaran berkenaan dari Kwasa Damansara ke stesen Kampung Batu sepatutnya akan mula beroperasi pada pertengahan 2021, sementara selebihnya akan dibuka kepada umum menjelang 2022.

    Jajaran Putrajaya merupakan jajaran MRT kedua Lembah Klang selepas Jajaran Kajang, yang mula beroperasi pada Julai 2017. Laluan sepanjang 56.2 km akan mempunyai 36 stesen, sembilan daripadanya di aras bawah tanah. Ia akan menghubungkan Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral.

     
     
  • Nissan 400Z 2022 dilihat dalam warna kelabu pula

    Nissan 400Z 2022 dilihat dalam warna kelabu pula

    Minggu lepas, Nissan perkenalkan SUV Pathfinder dan trak pikap Frontier terbaru melalui sebuah acara maya. Turut tampil memberikan taklimat ringkas ialah ketua pereka Nissan, Alfonso Albaisa yang turut menyebut tentang model konsep Z Proto dipenghujungnya.

    Kereta itu menjadi petunjuk kepada model kereta sport akan datang oleh Nissan, dengan nama 400Z. Dan, versi warna kuningnya sudah pernah kelihatan sebelum ini. Tetapi, ada satu lagi versi yang baru dapat dilihat; model sama dalam warna kelabu.

    Dikesan oleh ahli forum NewNissanZ, kereta berkenaan nampak sangat mirip dengan Z Proto, melainkan dengn warna badan yang berbeza, yang kemungkinan besar akan menjadi warna baru bagi kereta sport berkenaan. Tidak ketinggalan, ada beberapa perbezaan lain berbanding model konsepnya.

    Nissan 400Z 2022 dilihat dalam warna kelabu pula

    Antara yang dimaksudkan ialah kereta tersebut menggunakan rim yang berbeza daripada Z Proto. Kit badan sisi pula nampak lebih ringkas, tanpa sebarang kemasan hitam. Tingkap cermin bahagian sisi yang paling kecil pula di tint habis, sementara lencana Z pada model konsep tidak lagi kelihatan.

    Khabar angin menyatakan bahawa ini mungkin menjadi versi produksi bagi Z Proto. Tetapi, mungkin juga ia hanyalah clay model kereta tersebut. Tentang unit enjin yang bakal digunakan pula, ada gambaran awal yang pernah dikongsi menunjukkan bahawa Z Proto menggunakan enjin 3.0 liter turbo berkembar V6 yang turut digunakan pada Infiniti Q60 Red Sport 400.

    Enjin berkenaan menghasilkan sebanyak 400 hp dan 475 Nm tork pada model coupe Infiniti itu. Output untuk kereta sport Nissan pula masih belum didedahkan, tetapi angka yang ada sudah lebih daripada mencukupi untuk membawakan aspirasi sport. Transmisi automatik akan melengkapinya, dan tentulah tidak ketinggalan versi manual enam-kelajuan yang akan ditawarkan sekali.

     
     
  • Proton X50 dijumpai di Thailand, bakal dilancarkan?

    Proton X50 dijumpai di Thailand, bakal dilancarkan?

    Proton X50 nampaknya telah dijumpai oleh Car Spotting Thailand dengan masih menggunakan pelekat samaran di atas jalan raya. Pembangunan khas untuk pasaran negara jiran itu kini sudah bermula, dan ia berlaku selepas Geely membuat pengumuman sedang membangunkan terjemahan Thai untuk sistem kawalan suara “Hi Proton” yang merupakan sebahagian daripada Geely Key User Interface (GKUI).

    Terjemahan asal daripada Mandarin kepada Bahasa Inggeris untuk sistem “Hi Proton” dibuat menggunakan kumpulan ayat, dan kemudiannya diterjemahkan pula kepada Bahasa Thai. Cara ini bagaimanapun tidak sempurna, dan sekarang khidmat pengguna asal bahasa tersebut digunakan untuk memberi saranan berkenaan budaya tempatan dan kebiasaan tempatan, seterusnya memberi konteks dan membantu sistem tersebut memahami arahan yang diberi.

    Di Malaysia, X50 Standard, Executive dan Premium menggunakan enjin petrol tiga silinder turbo 1.5L port fuel injection, yang mampu menghasilkan kuasa 150 PS dan 226 Nm, sementara varian Flagship paling tinggi menggunakan enjin yang sama tetapi dengan sistem direct injection untuk menghasilkan 177 PS dan 255 Nm tork. Transmisi kedua-duanya menggunakan unit klac berkembar tujuh kelajuan, untuk menghantar kuasa kepada roda hadapan.

    Semasa pelancaran rasminya, Proton X50 telah menerima pengiktirafan lima bintang dalam ujian Asean NCAP, dan model yang bakal dipasarkan di Thailand juga akan menggunakan penarafan yang sama. Proton juga pernah mengumumkan bahawa jumlah eksport mereka pada tahun 2020 telah meningkat hampir 50% dan mempunyai rancangan untuk menggandakan lagi jumlah tersebut tahun ini.

    Pada bulan Januari tahun lepas, CEO Proton, Li Chunrong memberitahu Geely telah meminta Proton untuk mengembangkan lagi kehadirannya di serata benua Asia Tenggara, dengan memberi fokus kepada pasaran seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei.

     
     
  • Rapid KL sediakan 15 laluan tambahan untuk Bas Perantara LRT merah jambu mulai 18 Februari ini

    Rapid KL sediakan 15 laluan tambahan untuk Bas Perantara LRT merah jambu mulai 18 Februari ini

    Rapid Bus Sdn Bhd menerusi Rapid KL telah menambah 15 laluan tambahan bagi perkhidmatan Bas Perantara LRT berwarna merah jambu mulai 18 Februari ini. Perkhidmatan yang diperkenalkan sebagai projek perintis September adalah inisiatif bagi meningkatkan kemudahan untuk para penumpang.

    “Inisiatif ini adalah kesinambungan kepada projek perintis menggunakan bas berwarna merah jambu yang bermula pada 3 September tahun lalu, yang mana ia turut melibatkan penambahbaikan perkhidmatan Bas Perantara LRT di sepanjang 10 laluan, yang menghubungkan pengguna ke Stesen LRT Gombak, Taman Melati, Sri Rampai, Wangsa Maju, Setiawangsa dan Dato’ Keramat.

    “Ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak kami untuk meningkatkan mutu perkhidmatan. Dengan penampilan baharu ini, kami mendapati bahawa para pelanggan dan orang ramai lebih senang membezakan di antara bas Perantara LRT dengan bas Rapid KL biasa,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Muhammad Yazurin Sallij.

    Rapid KL sediakan 15 laluan tambahan untuk Bas Perantara LRT merah jambu mulai 18 Februari ini

    Lima belas laluan baharu itu adalah Taman Dato’ Senu-LRT Sentul (T180), LRT Bangsar-Bangsar Shopping Centre (822), Putra Permai-LRT BK 5 (541), LRT Puchong Prima-Taman Mas Sepang (T603), Stesen LRT Taman Jaya-Taman Sri Sentosa (T640) dan Stesen LRT IOI Puchong-Taman Wawasan (T600).

    Sembilan laluan lain termasuklah Stesen LRT Alam Megah-Sek 27 Shah Alam (T757), Stesen LRT USJ 21-One City (T778), Stesen LRT Kelana Jaya-Kelana Centre Point (T781), Stesen LRT Lembah Subang-Ara Damansara (T782), LRT Taman Bahagia-SS 6 (T783), LRT Taman Paramount-Kg Baiduri(T785), LRT Asia Jaya-Universiti Mahsa (T786), Stesen LRT Asia Jaya-Sekysen 14 & 17 (T787) dan Stesen LRT Kerinchi-Pantai Hill Park (T791).

    Tambah Muhammad Yazurin lagi, maklum balas positif daripada para pengguna dalam satu kaji selidik yang dilaksanakan oleh Rapid Bus memberi keyakinan kepada pihaknya untuk meneruskan program berkenaan. Di mana 81% daripada responden berkenaan menyatakan mutu perkhidmatan telah meningkat di dalam pelbagai aspek seperti lebih senang dicam, pematuhan jadual, kekerapan dan ketersediaan bas.

     
     
  • Petronas lancar filem web animasi Yi Qi sempena CNY

    Sempena menyemarakkan lagi sambutan Tahun Baharu Cina (CNY) bagi tahun ini, Petronas telah melancarkan filem web animasi, “Yi Qi”, yang disiarkan menerusi saluran Youtube dan Facebook rasmi syarikat ini. Petronas berkata, Yi Qi yang bermaksud ‘bangkit bersama’ meneroka tema perpaduan, keberanian, harapan dan ketabahan melalui kehidupan sebuah kota mitos serta penduduknya yang unik.

    Menurut Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz, filem web animasi itu diharap dapat mengingatkan rakyat Malaysia supaya terus memanfaatkan keberanian mereka dalam mencari permulaan dan kebangkitan baharu terutamanya dalam tempoh sukar ini, khususnya dalam memerangi pandemik COVID-19 serta ketidaktentuan ekonomi.

    “Walaupun rentak kehidupan berubah dengan ketara sejak tahun lalu, kita tidak boleh lupa dalam diri kita terletak semangat lebih besar yang memberi kuasa kepada kita mewujudkan rentak baharu seperti kita menyesuaikan diri dengan normal baharu,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    “Yi Qi” mengisahkan kehidupan di tanah mitos yang penghuninya, Penari Tarian Singa, hidup harmoni dengan bergerak dan menari mengikut rentak irama dram di sebuah kota yang sibuk. Ia adalah hasil inspirasi tarian singa tradisional Cina, kerana penari akan bangkit semula jika mereka tersilap langkah, kerana mereka diiringi paluan gendang yang sentiasa menceriakan mereka.

     
     
  • Tesla beli RM6 bilion bitcoin, boleh guna bayar kereta

    Tesla beli RM6 bilion bitcoin, boleh guna bayar kereta

    Berita baik untuk mereka yang kaki bitcoin. Tesla baru saja mengumumkan syarikat itu telah membeli sebanyak US$1.5 bilion (RM6 bilion; 8% daripada simpanannya) matawang bitcoin, serta-merta melonjakkan nilai ke tahap baru. Matawang krypto berkenaan yang biasanya tidak menentu telah meningkat 14% kepada rekod terbaiknya dengan US$43,625 (RM177,095) selepas urusan Tesla itu selesai, lapor Reuters.

    Pada harga semasa, 0.8 bitcoin sudah mencukupi untuk membeli model peringkat kemasukan Tesla Model 3. Dan, pelanggannya memang boleh berbuat demikian kerana CEO, Elon Musk memaklumkan syarikat itu akan menerima matawang krypto berkenaan sebagai satu bentuk bayaran pembelian kereta elektrik keluarnnya, menjadikan Tesla pengeluar kenderaan pertama di dunia yang berbuat demikian.

    “Kami jangka akan mula menerima bitcoin sebagai salah satu keadah transaksi bagi produk keluaran kami dalam masa terdekat, bergantung kepada undang-undang berkaitan dan ketika ini dalam kadar terhad, yang mana kami mungkin mencairkannya sebaik bayaran diterima,” ujar syarikat itu.

    Musk memang dikenali sebagai penyokong matawang krypto ini dan berkata bitcoin kini bergerak menjadi matawang yang diterima secara meluas. “Saya fikir ketika ini bitcoin adalah sesuatu yang baik. Untuk itu, saya menyokongnya. Saya mungkin sedikit terlambat, tetapi saya menyokong bitcoin,” katanya.

    Sejak pengumuman itu dibuat, penganalisis memaklumkan syarikat lain juga akan mempertimbang untuk menerima matawang digital sebagai sebahagian daripada skim perniagaan mereka. Pengasas Galaxy Digital, Mike Novogratz berkata; “itu apa yang pelanggan mahu, ia hala tuju dunia ketika ini.” Sesetengah pihak melihat perkembangan ini menjurus kepada langkah untuk mengabsahkan matawang krypto sebagai matawang utama, dan hanya menunggu masa untuk pihak lain mengikut jejak ini.

     
     
  • Lotus keluarkan Elise dan Exige Final Edition sebagai tanda hormat akhir sebelum pengeluaran dihentikan

    Lotus keluarkan Elise dan Exige Final Edition sebagai tanda hormat akhir sebelum pengeluaran dihentikan

    Pengeluaran Lotus Elise dan Exige akan diberhentikan hujung tahun ini, dan dengan itu, syarikat dari Hethel, United Kingdom tersebut telah mendedahkan beberapa model Final Edition yang akan dikeluarkan bagi memberi penghormatan akhir kepada model yang masing-masing sudah berada dalam pasaran selama 25 dan 21 tahun itu.

    Kesemuanya ada lima varian Final Edition (dua Elise dan tiga Exige) yang akan ditawarkan kepada pelanggan, dengan setiap satunya akan dibuat dalam jumlah yang terhad. Sudah tentu, ini adalah model yang sesuai untuk pengumpul kenderaan, tetapi ada juga di antara model ini yang mendapat penambahan kuasa.

    Melihat pertamanya kepada Elise Final Edition, pelanggan boleh mendapatkan kereta ini dalam pelbagai warna termasuk Azure Blue (warna yang digunakan dalam gambar kereta produksi pertama yang diberikan kepada media pada tahun 1996), hitam (warna yang sudah sinonim dengan cabang permotoran Lotus) serta Racing Green (warna asal Elise semasa didedahkan kali pertama pada tahun 1995).

    Pilihan varian untuk Elise Final Edition bermula dengan Elise Sport 240, di mana ia menggunakan enjin empat silinder supercharge 1.8 liter 2ZR-FE daripada Toyota, untuk menghasilkan 243 PS (240 hp) pada 7,200 rpm dan 244 Nm tork antara 3,000 hingga 7,000 rpm.

    Jika dibandingkan dengan Elise Sport 220 sebelumnya, model baru ini menawarkan 23 PS (23 hp) lebih kuasa, laju maksimum 237 km/j, lebih pantas 0.1 saat dalam membuat pecutan 0-100 km/j (4.5 saat) dan mempunyai nisbah berat kepada kuasa lebih baik (260 hp bagi setiap tan).

    Ini bukan sahaja disebabkan oleh kuasa yang lebih tinggi, tetapi juga barangan lain seperti rim aloi forged yang dua kg lebih ringan untuk menjadikan berat keseluruhannya cuma 922 kg. Untuk menjadikan kereta lebih ringan lagi, pemilik boleh mendapatkan panel gentian karbon, bateri lithium ion serta cermin belakang polikarbonat, yang secara keseluruhannya akan menjadikan berat kenderaan menurun menjadi 898 kg.

    Di bahagian dalam, Elise Sport 240 mendapat panel instrumen digital TFT dengan dua mod skrin, rekaan roda stereng baru dan dibalut dengan gabungan kain Alcantara serta kulit, serta kemasan dan corak jahitan baru pada tempat duduk.

    Pergi kepada Elise Cup 250, enjin sama masih digunakan, tetapi ia menghasilkan lebih kuasa iaitu 248 PS (245 hp) dan 244 Nm. Memang, jumlah itu cuma lebih 2 hp, tetapi fokus sebenar model ini adalah pada aerodinamik, dengan pemasangan splitter hadapan, sayap belakang, diffuser belakang, serta sambungan di bahagian tepi yang secara keseluruhannya memperbaiki daya tolak ke bawah (downforce) menjadi 66 kg pada 161 km/j dan 55 kg pada kelajuan maksimum 248 km/j.

    Lotus keluarkan Elise dan Exige Final Edition sebagai tanda hormat akhir sebelum pengeluaran dihentikan

    Tetapan yang lebih memberi fokus kepada penggunaan litar ini juga datang dengan rim forged serba ringan M Sport, tayar Yokohama Advan A052, penyerap sport Bilstein, anti-roll bar boleh laras, bateri lithium ion dan cermin belakang polikarbonat. Sama seperti Elise Sport 240, pemilik juga diberikan pilihan barangan gentian karbon yang boleh menurunkan berat menjadi 931 kg.

    Melihat kepada Exige, model Final Edition terdiri daripada Exige Sport 390, Exige Sport 420 dan Exige Cup 430, dengan kesemuanya menggunakan enjin V6 3.5 liter 2GR-FE daripada Toyota. Warna ikonik yang ditawarkan adalah termasuk Metallic White (warna yang digunakan semasa Exige V6 pertama kali didedahkan pada tahun 2011) dan Metallic Orange (warna yang digunakan pada kereta media pertama pada tahun 2000 dan Exige GT3 Concept).

    Bagi Exige Sport 390, ia menggantikan Exige Sport 350 sebelum ini, dan dipasang dengan supercharger Edelbrock untuk menghasilkan kuasa 402 PS (397 hp) pada 7,000 rpm dan 420 Nm dari 3,000 hingga 6,700 rpm. Ini bersamaan peningkatan 52 hp berbanding model sebelumnya, dan pecutan 0-100 km/j menjadi 3.8 saat (-0.1 saat) dan laju maksimum kini 277 km/j (+3 km/j).

    Exige Sport 420 pula adalah satu peningkatan yang dibuat pada model Exige Sport 410. Kuasanya kini bertambah 10 hp dan 7 Nm, menjadi 426 PS (420 hp) dan 427 Nm. Ini juga adalah Exige yang boleh mencatat laju maksimum paling tinggi, iaitu 290 km/j (+16 km/j), tetapi masa pecutan 0-100 km/j masih lagi sama dengan Exige Sport 410, iaitu 3.4 saat.

    Kereta sport ini juga mendapat penyerap Nitron boleh laras, anti-roll bar Eibach boleh laras di depan dan belakang, angkup brek empat piston AP Racing, sistem ekzos titanium dan sistem kawalan cengkaman khas yang dibangunkan untuk bersesuaian dengan sukan permotoran.

    Model akhir sekali, paling atas adalah Exige Cup 430. Kuasa, masa pecutan serta laju maksimumnya masih lagi sama seperti sebelum ini, iaitu 436 PS (430 hp), 440 Nm, 3.3 saat dan 280 km/j. Ia juga dipasang dengan pelbagai barangan gentian karbon, dan rim forged (bersama tayar Michelin Pilot Sport Cup 2) yang membantu menjadikan berat keseluruhannya cuma 1,110 kg.

    Exige Cup 430 juga mendapat barangan bahagian pengendalian yang sama seperti Exige Sport 420, tetapi ditambah dengan komponen gentian karbon seperti splitter hadapan, panel akses hadapan, bumbung, keliling diffuser, salur udara, pintu but dan sayap belakang. Ia juga dipasang terus dengan sistem ekzos titanium.

    GALERI: Lotus Elise Sport 240 Final Edition

    GALERI: Lotus Elise Cup 250 Final Edition

    GALERI: Lotus Exige Sport 390 Final Edition

    GALERI: Lotus Exige Sport 420 Final Edition

    GALERI: Lotus Exige Cup 430 Final Edition

     
     
  • Mitsubishi Outlander 2022 — unit pertama dihantar

    Mitsubishi sedang menarik perhatian terhadap Outlander generasi keempat terbaru keluarannya dengan cara mengumumkan unit pertama model itu kini sudah meninggalkan premis pemasangannya di Kilang Okazaki bertempat di Aichi, Jepun. SUV berkenaan dihantar semala menuju Amerika Syarikat, dan akan membuat penampilan sulungnya 17 Februari nanti.

    Cabang Amerika Utara syarikat itu juga telah mengumumkan kerjasama dengan Amazon untuk menjayakan satu acara maya, dan menjadikan Outlander sebagai kenderaan pertama yang diperkenalkan melalui Amazon Live. Kereta ini sudah mula diacah pada bulan Disember tahun lalu.

    Menurut Mitsubishi, Outlander dibangunkan di bawah semangat istilah Jepun “I-Fu-Do-Do”, yang bermaksud asli dan majestik. Syarikat itu menambah yang SUV berkenaan menampilkan keteguhan dari luar dan dalam, dengan rekaan ruang kabin yang diperhalus, sementara rekaan bahagian wajah depannya pula akan menjadi penanda aras kepada arah tuju rekaan Mitsubishi di masa hadapan.

    Reka bentuk model baru ini juga sudah kita ketahui penampilannya daripada beberapa gambar yang mula muncul penghujung tahun lalu. Rekaannya nampak lagi matang dan menonjol berbanding model terdahulu, ia meminjam banyak ilham sentuhan rekaan daripada Engelberg Tourer/e-Yi Concept 2019, menggunakan wajah depan Dynamic Shield terbaru yang memisahkan lampu utamanya — sentuhan sama yang kini ada pada Xpander dan Eclipse Cross facelift.

    Membuatkan Outlander tampil lebih moden dan bergaya dengan rekaan cermin utama yang meliputi penuh, serta tiang D warna hitam berkilat untuk berikan kesan bumbung terapung. Setakat ini masih belum ada pendedahan berkaitan sistem janaan kuasanya melainkan Outlander akan terus ditawarkan dengan enjin petrol dan juga varian plug-in hybrid.

    Pada model konsep Engelberg, ia menggunakan sistem PHEV, dengan enjin 2.4 liter, motor elektrik pada setiap gandar dan bateri berkapasiti lebih besar 20 kWh. Jarak perjalanan mod elektrik sepenuhnya kereta ini mencapai 70 km dan jarak perjalanan keseluruhan mencecah 700 km.

    Mitsubishi juga mengesahkan, Outlander baru ini juga akan menampilkan teknologi pacuan Super All-Wheel Control (S-AWC) versi dipertingkat sebagai sebahagian daripada paltform baru ini. Kereta ini terlebih dahulu akan dilancarkan di US, Kanada dan Puerto Rico sebelum memasuki pasaran global yang lain.

     
     
  • Mercedes-Benz M’sia sahkan pengeluaran model CKD kompak, SUV tahun ini – A-Class, GLA, mungkin GLE?

    Mercedes-Benz M’sia sahkan pengeluaran model CKD kompak, SUV tahun ini – A-Class, GLA, mungkin GLE?

    Tahun lepas merupakan tahun yang agak sibuk untuk Mercedes-Benz Malaysia (MBM) dengan pelancaran AMG A 35, A 45 S dan CLA 45 S, C 200 AMG Line serta GLA dan GLB. Malahan untuk tahun ini, MBM juga telah merencana pelbagai perancangan untuk melangkah lebih agresif biar pun negara masih dilanda pandemik COVID-19. Antara perancangan yang telah disahkan termasuk pengenalan model pemasangan tempatan (CKD) bagi barisan kereta kompak dan SUV.

    Sebelum ini model import sepenuhnya (CBU) A-Class, B-Class, CLA, GLA dan GLB yang dibawa masuk ke pasaran tempatan, dan membuatkan harganya agak tinggi, biar pun jualannya tetap memberangsangkan. Kini, MBM mengambil peranan bagi memastikan strategi CKD yang lebih agresif dengan memproduksikan secara tempatan model-model yang disebut itu.

    Walau bagaimana pun, kami tidak menjangkakan MBM akan memproduksi secara tempatan untuk semua kereta kompak, mungkin model-model terpilih sahaja terutamanya yang melihatkan jualan paling laris. Ini termasuklah A-Class Sedan yang agak popular di sini, begitu juga dengan hatchback lima-pintu yang mungkin termasuk dalam senarai.

    Turut dijangkakan ialah GLA, memandangkan ia juga mendapat sambutan menggalakkan di pasaran tempatan bagi segmen SUV premium. Manakala abangnya, GLB, yang memberikan pilihan SUV tujuh-tempat duduk kompak dalam pasaran turut tersenarai. Untuk B-Class dan CLA, walau pun kurang popular dan MBM juga telah mengesahkan tiada varian AMG untuk barisan CLA.

    Bagi SUV yang bersaiz lebih besar, GLE telah disenaraikan untuk diproduksi di sini, untuk menyertai barisan GLC dan GLC coupe yang telah pun ditawarkan dengan model CKD. Harga versi CKD ini mungkin akan dikurangkan berbanding harga sedia ada iaitu RM584,721 untuk GLE 450. Sekaligus memberikan persaingan yang lebih sengit buat BMW X5 xDrive45e dan Volvo XC90 T5 Twin Engine, kedua-duanya merupakan model CBU.

    Satu lagi model yang kemungkinan akan dipertimbangkan ialah EQC, yang telah dilancarkan tahun lalu tetapi masih belum dijual secara rasmi. Jika EQC diletakkan dalam senarai model yang bakal di’CKD’kan, ini membuatkannya sebagai kenderaan elektrik pertama yang dipasang di Malaysia dan pastinya harganya lebih menarik. Walau bagaimana pun, ini hanya kebarangkalian sahaja, kerana ECQ telah pun dipasang di Thailand mulai tahun ini. Mungkin juga agak mustahil untuk ia dipasang di sini dalam tempoh waktu yang terdekat.

     
     
  • Mercedes-Benz Services Malaysia biayai lebih dari 50% kereta baru — nilai kontrak cecah RM717 juta

    Mercedes-Benz Services Malaysia biayai lebih dari 50% kereta baru — nilai kontrak cecah RM717 juta

    Pernah tahu betapa popularnya servis pembiayaan dari sesebuah jenama kenderaan di negara ini? Mercedes-Benz misalnya telah umumkan bahawa melalui Mercedes-Benz Services Malaysia (MBSM), syarikat itu telah membiayai lebih daripada 50% daripada keseluruhan kereta barunya yang dijual oleh pengedar rasmi.

    Tahun lalu sahaja, syarikat berkenaan telah merekodkan keseluruhan portfolio pembiayaan berjumlah RM2.27 bilion, dengan jumlah kontrak baru bernilai RM717 juta — walaupun dalam keadaan pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan. Angka itu sedikit menurun berbanding 2019 yang masing-masing mencatatkan RM2.6 bilion dan RM1 bilion.

    Sebagai tambahan, MBSB turut melancarkan produk insurans baru pada 2020, Star Protect dan Star Protect Plus, menawarkan manfaat tambahan kepada pelindungan biasa. Ini menjadi pelengkap terbaru antaranya bagi Agility Financing serta pakej sewa beli FinanceCare sedia ada.

    Agility Financing mungkin menjadi penawaran MBSM yang paling dikenali, menawarkan ansuran bulanan yang rendah dan tempoh pinjaman yang lebih pendek. Sebaik tempoh itu matang, pelanggan boleh memilih untuk melangsaikan baki jumlah yang ada, atau membuat pembiayaan semula atau terus melepaskan pemilikan kereta mereka.

     
     
  • Keliru dengan SOP semasa PKP? Polis juga kadang kala keliru, akui Pengarah JKDNKA Bukit Aman

    Keliru dengan SOP semasa PKP? Polis juga kadang kala keliru, akui Pengarah JKDNKA Bukit Aman

    Dengan pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sentiasa berubah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, tentu ramai daripada anda yang keliru bukan? Nampaknya kekeliruan ini bukan hanya terjadi dikalangan orang awam – menurut laporan Malay Mail, sebahagian anggota polis juga keliru dengan apa yang sedang dikuatkuasakan sekarang ini.

    Laporan yang dipetik dari berita Mingguan Malaysia tersebut menyatakan bahawa perkara ini diakui sendiri oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar. Menurutnya, ini adalah semula jadi kerana penguatkuasaan dibuat dalam skala yang besar.

    Abd Rahim berkata bahawa dengan sekitar 100,000 orang anggota polis dan juga penguatkuasa dari agensi lain, pasti terdapat pelbagai tafsiran yang berbeza terhadap SOP dan juga aplikasi undang-undang.

    Keliru dengan SOP semasa PKP? Polis juga kadang kala keliru, akui Pengarah JKDNKA Bukit Aman

    “Kami tak boleh nak nafikan apabila semua orang ada pemahaman berlainan terhadap undang-undang, ia pasti akan menimbulkan masalah. Kami dalam proses mendidik pegawai kami berkenaan SOP ketika PKP ini,” katanya.

    “Dalam komunikasi biasa sekalipun, apabila kami memberikan informasi dari seorang ke seorang, apabila ia sampai ke individu ke-10, mesej tersebut mungkin sudah berbeza. Cuba bayangkan memberikan informasi kepada 100,000 pegawai di seluruh negara, dan sudah tentu akan timbul masalah,” jelasnya lagi.

    Ini sudah tentu mendatangkan ketidakpuasahatian dari orang ramai yang dikenakan notis kompaun kerana apa yang ditafsirkan tersebut tidak betul. “Kami cuba perbaiki situasi ini, tetapi apabila kami sudah lakukan, ada lagi SOP baru yang ditambah,” kata Abd Rahim.

    Keliru dengan SOP semasa PKP? Polis juga kadang kala keliru, akui Pengarah JKDNKA Bukit Aman

    Walau bagaimanapun, beliau turut menjelaskan bahawa pihak berkuasa kini lebih peka terhadap situasi, dan notis kompaun yang dipersoalkan kini sudahpun berkurangan. Pihak berkuasa juga kini membuat pelbagai pengesahan baru bagi memastikan tiada lagi yang diberikan saman yang salah.

    “Pada masa hadapan sebelum mana-mana penguatkuasa keluar bertugas, kami akan memberikan taklimat dan penerangan kepada mereka dan selepas pulang dari bertugas, kami akan memeriksa kompaun yang mereka keluarkan dan mengesahkan sama ada ia benar-benar melanggar SOP,” jelasnya.

    Namun, Abd Rahim menambah bahawa “undang-undang yang ada sekarang menyatakan bahawa anda tidak boleh keluar kecuali anda ada alasan yang betul-betul kukuh.” Jadi seeloknya, kalau tiada keperluan, duduklah sahaja di rumah bagi mengelakkan anda tidak sengaja melanggar apa-apa SOP yang sentiasa berubah ini.

     
     
  • Lanjutan PKP akan bantu lindungi industri automotif untuk terus pulih – Persatuan Pembekal Perodua

    Lanjutan PKP akan bantu lindungi industri automotif untuk terus pulih – Persatuan Pembekal Perodua

    Walau pun kebanyakan sektor ekonomi terpaksa akur dengan impak yang muram disebabkan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan kedua (PKP 2.0) sehingga 18 Feb 2021 namun Persatuan Pembekal Perodua (P2SA) optimis dengan keadaan ini.

    Menurut presidennya Musa Zahidin Ahmad Zaidee, lanjutan PKP 2.0 ini dilihat mampu membantu melindungi industri ketika ia mula mencatatkan pemulihan tahun ini.

    “Walaupun situasi pandemik COVID-19 masih terus menjadi kebimbangan utama bagi 129 ahlinya, PKP 2.0 dijangka mampu mengawal situasi tersebut sehingga program vaksinasi bermula. Kebanyakan ahli kami berada di Selangor tetapi mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

    “Dengan komunikasi berkesan antara ahli kami dan pengeluar peralatan tulen (OEM) kami, kami percaya kami akan dapat mencatatkan prestasi lebih baik tahun ini,” ujarnya kepada Bernama.

    Tambahnya lagi, P2SA dan Perodua akan bekerjasama untuk mewujudkan SOP bagi keseluruhan ekosistem automotif.

    “SOP ini termasuklah mematuhi prosedur keselamatan ketat di tempat kerja, asrama pekerja yang menyediakan tempat tinggal yang selamat bagi kakitangan dan menawarkan ujian COVID-19 bergilir bagi kesemua pekerja,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025