Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volvo Cars Malaysia jual 1,950 unit kereta sepanjang 2020, 3.6% lebih tinggi dari rekod jualan tahun 2019

    Volvo Cars Malaysia jual 1,950 unit kereta sepanjang 2020, 3.6% lebih tinggi dari rekod jualan tahun 2019

    Volvo Cars Malaysia (VCM) telah mengumumkan bahawa mereka telah menjual sebanyak 1,950 unit kereta sepanjang 2020, yang bukan sahaja dilihat 3.6% lebih tinggi dari angka 1,883 yang dicatatkan pada 2019, malah ia adalah rekod tertinggi yang pernah dicatatkan oleh VCM sejak ditubuhkan walaupun pandemik Covid-19 menjejaskan industri automotif tempatan secara keseluruhan.

    Dengan berlangsungnya Perintah Pergerakan Kawalan (PKP), Volvo mencatatkan kemerosotan jualan sehingga 56.1% pada separa pertama tahun lalu. Namun jualan dilihat melonjak pada separa kedua 2020 dengan Julai menjadi bulan yang merekodkan jualan terbanyak untuk VCM.

    “Kami sangat bangga apa yang telah VCM capai walaupun perlu mengharungi masa sukar dan cabaran yang kami hadapi. Menerusi pelbagai usaha dari pengedar dan staf kami, serta kesempatan dari cuti cukai dari kerajaan, kami mampu untuk menghabiskan tahun yang mencabar ini dengan teguh. Bagi kami, melihat hasil dari usaha kami ini telah lebih merangsang halatuju kami bagi membawakan kereta yang lebih premium, selamat dan mampan untuk rakyat Malaysia,” kata Pengarah Urusan VCM, Nalin Jain.

    Tahun lalu, Volvo telah melancarkan model S60 T8 R-Design dalam versi pemasangan tempatan, dan juga pengenalan Volvo Selekt iaitu program kereta terpakai rasmi yang diiktiraf. VCM turut meluaskan jaringan pengedarnya pembukaan rasmi pusat 3S Sebangga Mitsinbo di Kota Kinabalu, Sabah.

    Volvo Cars Malaysia jual 1,950 unit kereta sepanjang 2020, 3.6% lebih tinggi dari rekod jualan tahun 2019

    Dalam satu majlis dalam talian yang diadakan sebentar tadi, Jain berkata bahawa pandemik yang melanda telah mempercepatkan usaha digitalisasi Volvo, seperti Sistem Tempahan Atas Talian dan Digital Silent Salesman (DSS) 2.0 iaitu platform digital yang menayangkan semua perincian berkenaan semua kereta di semua bilik pameran Volvo VCM.

    Usaha ini juga telah menyisihkan penggunaan brosur yang lazimnya dicetak di atas kertas, dan ia secara tidak langsung turut menyokong usaha Volvo dalam mencapai sasaran kemampanannya. Malaysia merupakan pasaran pertama di dunia yang melancarkan dan mempertingkatkan sistem DSS 2.0 berkenaan.

    Pada suku ketiga 2020, VCM juga telah memulakan kempen Volvo Green Planet, yang mensasarkan untuk memberikan kesedaran berkenaan impak dari jejak karbon yang tinggi. Antara langkah yang diambil termasuk Greenterest Calculator (yang membolehkan anda mengira jejak karbon sendiri), Green Drive (pandu uji kereta elektrik sepenuhnya) dan juga Green Seeds di mana Volvo memberikan anda anak benih pokok untuk ditanam.

    Tahun lalu juga Volvo telah memulakan kempen kesedaran mengapa mereka mula mengehadkan kelajuan maksima kereta-kereta mereka sehingga hanya 180 km/j dengan kempen yang digelar “perbualan yang sangat diperlukan dan kontroversi“. Menurut Jain, walaupun kempen tersebut tidak disukai oleh peminat kereta yang hardcore, ia telah menerima respon positif dari pelanggannya.

    Volvo Cars Malaysia jual 1,950 unit kereta sepanjang 2020, 3.6% lebih tinggi dari rekod jualan tahun 2019

    Jain turut mengingatkan bagaimana inovasi Volvo terhadap tali pinggang keledar tiga-poin yang dihasilkan pada 1959 dan kemudian menerima pelbagai kritikan selepas itu, namun menurut Volvo ia terbukti telah menyelamatkan lebih dari satu juta nyawa.

    Bos besar VCM itu turut menyatakan bahawa tahun 2021 akan menjadi tahun yang sangat sibuk untuk syarikatnya dan yakin bahawa satu lagi rekod akan dicatatkan.

    “2021 akan menjadi tahun yang besar buat VCM kerana kami merancang untuk merombak semua aspek perniagaan kami bagi menggabungkan lebih solusi yang lestari dan juga membawa lebih banyak penawaran produk bagi memenuhi kehendak rakyat Malaysia yang berbeza dalam masa yang sama membantu mereka membuat pilihan yang lebih mampan.

    “Kami akan meneruskan transformasi digital bagi membina sistem digital yang kuat bagi menyokong perjalanan pelanggan agar terus lancar – bermula dari proses pembelian hingga memiliki Volvo dan penjagaan selepas jualan yang mereka perlukan, sementara meneruskan janji kami terhadap servis profesional, menerajui teknologi keselamatan, dan pemikiran prihatin dalam apa jua yang kami buat,” tambahnya.

    Namun Jain masih lagi berahsia apa model baharu Volvo yang akan dilancarkan Malaysia sepanjang tahun 2021 ini.

     
     
  • Perodua Myvi putih klon tular di Pulau Pinang adalah kereta curi, Polis kini buru individu terlibat – laporan

    Curi kereta Perodua Myvi, guna nombor plat sama

    Rujuk post sebelum ini :…

    Posted by Info Roadblock JPJ/POLIS on Monday, 11 January 2021

    Selalunya kes-kes kereta klon akan terjadi kepada model-model jenama import, terutama kereta-kereta berjenama yang diseludup dari negara jiran, kemudian diberikan nombor pendaftaran dan juga cukai jalan palsu yang diklon dari kereta lain yang sah. Tapi, baru-baru ini tular berkenaan sebuah Perodua Myvi generasi ketiga yang turut menjadi mangsa klon, apa cerita ni?

    Menurut laporan Utusan Online, Perodua Myvi berwarna putih yang menggunakan nombor pendaftaran klon berkenaan adalah kereta yang dicuri dan kini pihak polis sedang memburu suspek yang terlibat dalam perkara tersebut. Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan turut mengesahkan bahawa gambar yang tular tempoh hari dirakam orang awam ketika pemilik asalnya menemukan kereta yang menggunakan nombor pendaftaran sama tersebut.

    Laporan berita berkenaan menyebut bahawa dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi 10 Januari lalu, anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPDBD) menerima panggilan daripada seorang individu yang menjumpai sebuah kereta yang menggunakan nombor pendaftaran sama dengan kereta miliknya. Bertindak atas maklumat, Anbalagan berkata bahawa pihaknya telah membawa balik kereta tersebut ke Balai Polis Bayan Lepas setengah jam kemudian.

    Beliau turut menjelaskan bahawa setelah siasatan lanjut dibuat, seorang anggota polis yang juga bertindak sebagai pengadu dalam kes ini mendakwa mengenali pemilik kereta klon yang ditinggalkan berkenaan kerana dia pernah dipanggil untuk direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kes kemalangan kereta di daerah ini pada 7 dan 14 Disember tahun lalu.

    Namun Anbalagan menjelaskan bahawa individu yang didakwa terlibat dalam kemalangan tersebut nyata bukan orang yang sama dengan pemilik Myvi dengan nombor pendaftaran asli kerana dia menafikan terlibat dalam dua kejadian berkenaan.

    Anbalagan turut memberitahu bahawa sehingga kini polis masih belum mengenal pasti identiti sebenar suspek terbabit dan meminta individu berkaitan tampil memberi keterangan berhubung kes kemalangan yang berlaku di daerah Barat Daya tahun lalu.

     
     
  • Kilang pemasangan, perkhidmatan lepas jualan sektor automotif boleh beroperasi dalam tempoh PKP

    Kilang pemasangan, perkhidmatan lepas jualan sektor automotif boleh beroperasi dalam tempoh PKP

    Dalam satu kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini, sektor pengilangan dan perkhidmatan lepas jualan automotif termasuk di dalam Senarai Perkhidmatan Perlu yang dibenarkan untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP yang baru ini, di negeri-negeri yang terlibat seperti yang diumumkan semalam.

    SOP bagi sektor pengilangan dan pembuatan yang di bawah tanggungjawab MITI boleh dimuat turun dari laman sesawang MITI di www.miti.gov.my. Kenyataan itu juga menyebut, syarikat-syarikat yang telah berdaftar dengan pangkalan data MITI iaitu COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) tidak perlu membuat pendaftaran semula untuk beroperasi dalam tempoh PKP, sebaliknya hanya perlu memuat turun surat notifikasi pengesahan pendaftaran yang boleh dimuat turun mulai hari ini, 12 Januari 2021 bermula jam 3.00 petang.

    Selebihnya, SOP operasi kekal sama; “hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan dibenarkan berada di pejabat. Manakala jumlah pekerja kumpulan sokongan dan pekerja-pekerja yang terlibat secara langsung dalam production line akan ditentukan oleh majikan masing-masing dengan mengambil kira pematuhan ketat SOP yang ditetapkan,” makluman dalam kenyataan tersebut.

    Bagaimanapun, tidak jelas sama ada perniagaan servis dan bengkel persendirian, atau perniagaan alat ganti kenderaan tergolong adalam “perkhidmatan lepas jualan automotif” dan akan turut dibenarkan beroperasi juga atau sebaliknya

    MITI dengan kerjasama Pihak Berkuasa Negeri akan menjalankan penguatkuasaan secara berkala di sepanjang tempoh PKP ke atas syarikat-syarikat untuk memastikan pematuhan SOP dan akan mengambil tindakan kompaun kesalahan selaras dengan Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342). Majikan yang didapati melanggar dan tidak mematuhi SOP akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk menutup premis berkenaan.

    Dengan perkembangan berikut, maka tempahan kenderaan yang telah dibuat — misalnya dalam kes Proton X50 yang masih memerlukan tempoh menunggu kepada pelanggan sehingga enam bulan — akan diteruskan untuk memendekkan tempoh tersebut. Pelanggan juga mungkin akan dapat menerima kenderaan baru mereka seperti yang dijadualkan sebelum ini.

     
     
  • Honda Jazz generasi ke-empat akan dilancarkan di Singapura – harga bermula RM292k hingga RM308k

    Honda Jazz generasi ke-empat akan dilancarkan di Singapura – harga bermula RM292k hingga RM308k

    Antara semua pasaran-pasaran dalam ASEAN, Singapura adalah antara pasaran yang paling unik – kerana saiz pasaran yang terlalu kecil dan pengangkutan awam adalah lebih utama, ada pengeluar yang membawa stok terus dari negara asal dan bukan dari hab serantau.

    Antaranya adalah Honda – berbeza dengan pasaran ASEAN lain yang akan menerima Honda City Hatchback bagi menggantikan Jazz, Singapura pula akan terus menerima Jazz dan model generasi baharu tersebut akan dilancarkan di sana tidak lama lagi.

    Pengedar Honda di Singapura iaitu Kah Motor sudah pun mengambil pra-tempahan untuk Jazz generasi ke-empat berkenaan dengan membuka laman pendaftaran minat dalam talian. Ia bakal dipasarkan dalam versi petrol sepenuhnya dan juga versi hybrid, dijual dalam tiga varian iaitu 1.5 Base CVT, 1.5 Home CVT dan H-Luxe Hybrid ECVT – kesemuanya ditawarkan dalam pakej LX.

    Honda Jazz generasi ke-empat akan dilancarkan di Singapura – harga bermula RM292k hingga RM308k

    Spesifikasi sepenuhnya Jazz baharu pasaran Singapura ini masih lagi belum diumumkan, namun laman SgCarMart menyebut bahawa model bukan hibrid akan menerima enjin empat silinder 1.5 liter DOHC i-VTEC berkuasa 119 hp dan tork maksima 145 Nm.

    Manakala untuk Jazz Hybrid, ia akan dibekalkan dengan penjana hibrid i-MMD yang sama seperti Honda City Hybrid RS e:HEV di Malaysia dan Thailand, menggabungkan enjin 1.5 liter dan dua motor elektrik menjana kuasa keseluruhan 124 hp dan tork maksima 145 Nm.

    Berbeza dengan sistem hibrid i-DCD sebelum ini, ia boleh bergerak dengan motor elektrik sepenuhnya sambil enjin petrol hanya mengecas bateri seperti sebuah sistem hibrid range extender atau ‘generator pasar malam’, dan ia turut boleh menggunakan kuasa gabungan antara enjin petrol dan juga motor elektrik untuk memacu roda hadapan untuk kelajuan lebih tinggi.

    Jadi kuasa bateri lithium-ion 1.3 kWj untuk sistem hibrid ini akan sentiasa berada dalam tahap optima dan ia tidak akan ‘lemau’ kerana kehabisan caj, serta dapat memberikan jarak perjalanan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya lebih jauh dari sistem i-DCD.

    Malah dengan kuasa tork 253 Nm dari motor elektrik yang boleh dibekalkan terus dari 0 rpm, Honda Jazz Hybrid ini tidak memerlukan kotak gear sebenar dan ia sentiasa akan mula bergerak menggunakan motor elektrik terlebih dahulu. Tiga mod pemanduan diberikan iaitu Engine Drive, Hybrid Drive dan Electric Drive, di mana penggunaan antara kuasa enjin dan kuasa elektrik akan dikawal oleh komputer berdasarkan situasi pemanduan.

    Untuk harga, model 1.5 Base akan dijual pada harga bermula SGD95,999 (RM292,938) termasuk sijil pemilikan (COE), manakala model 1.5 Home pula akan dijual pada harga bermula SGD98,999 (RM302.092). Model hibrid H-Luxe pula akan dijual pada harga SGD100,999 (RM308,217), termasuk rebat Vehicular Emissions Scheme (VES) bernilai SGD15,000 (RM45,795).

    GALERI: Honda Jazz/Fit Generasi ke-empat di Tokyo Motor Show 2019

     
     
  • Puspakom PJ tutup dari 12 Jan hingga dimaklum kelak

    Puspakom PJ tutup dari 12 Jan hingga dimaklum kelak

    Puspakom telah mengumumkan penutupan cawangannya di Petaling Jaya mulai hari ini, 12 Januari hingga ke tarikh yang bakal dimaklumkan kelak. Ini berikutan terdapat seorang kakitangannya telah disahkan positif COVID-19 dan proses pengesanan kontak juga sedang dijalankan.

    Menurut Puspakom, bagi pelanggan yang mempunyai temujanji di cawangan terbabit, semua bayaran temujanji pemeriksaan yang telah dibuat akan dipulangkan secara automatik.

    Sebagai alternatif, pelanggan yang telah membuat temujanji di Puspakom PJ boleh menjalani pemeriksaan kenderaan secara walk-in dengan pembayaran tunai di cawangan lain termasuk Glenmarie dan Padang Jawa untuk kenderaan persendirian. Manakala bagi kenderaan komersil ringan dan e-hailing pula boleh ke cawangan Cheras, Taman Bukit Maluri (Kepong) dan Padang Jawa.

     
     
  • Talian “Aduan Potholes DBKL” dilancarkan – adu jalan rosak/berlubang di sekitar KL menerusi Whatsapp

    Talian “Aduan Potholes DBKL” dilancarkan – adu jalan rosak/berlubang di sekitar KL menerusi Whatsapp

    Baru-baru ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan talian aduan melalui aplikasi WhatsApp dikenali sebagai ‘Aduan Potholes DBKL’. Ia adalah bagi kemudahan orang ramai membuat aduan atau menyalurkan maklumat berkaitan kerosakan jalan raya di sekitar ibu kota Kuala Lumpur.

    Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah, aplikasi yang dilancarkan pada 7 Januari lalu membantu DBKL untuk segera membaiki sebarang jalan raya rosak atau berlubang berdasarkan maklumat orang ramai bagi memastikan ibu negara bebas daripada jalan berlubang, laporan Bernama.

    “Aduan Potholes DBKL ini diwujudkan demi keselamatan pengguna jalan raya berikutan banyak kes kemalangan dilaporkan berlaku sejak beberapa minggu ini berpunca daripada terdapatnya jalan berlubang.

    Talian “Aduan Potholes DBKL” dilancarkan – adu jalan rosak/berlubang di sekitar KL menerusi Whatsapp

    “Kami akan menghantar pasukan baik pulih dengan kadar segera jika maklumat disalurkan adalah tepat dan penilaian juga dapat dikenal pasti sama ada di bawah DBKL atau konsesi. Bagi jalan berlubang yang saiznya kurang daripada satu meter persegi, tindakan akan diambil dalam tempoh 24 jam daripada aduan diterima,” katanya.

    Bagi pengguna jalan raya yang ingin menggunakan saluran ‘Aduan Potholes DBKL, bolehlah menghantar aduan berkenaan ke talian 011-62396652 dan sila nyatakan lokasi tepat jalan rosak bagi membolehkan tindakan segera diambil.

    Selain aplikasi itu, DBKL juga mempunyai pelbagai saluran bagi orang awam memanjangkan aduan berkaitan jalan berlubang, antaranya melalui laman web aduan ISPAAA, Hotline DBKL (pusat panggilan), Biro Pengaduan Awam, Aplikasi i-Tegur (KPKT), e-mel, telefon, bersurat selain aduan bersemuka melalui pejabat cawangan DBKL.

    Beliau turut menambah, setakat ini, sejumlah 11,979 kerosakan jalan direkodkan termasuk jalan berlubang sepanjang tahun 2020 dengan keseluruhannya diambil tindakan pembaikan oleh DBKL.

    “Daripada jumlah itu, sebanyak 7,735 kes dikesan melalui rondaan proaktif DBKL sendiri manakala 4,244 lagi adalah melalui aduan awam. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan masalah jalan berlubang antaranya projek pembangunan, korekan utiliti dan kegagalan struktur reka bentuk jalan disebabkan pertambahan jumlah trafik.

    “Selain menggunakan kontraktor turapan, rondaan harian dan berkala sentiasa dilakukan oleh pasukan peronda Public Service Delivery Transformation (PSDT) bagi mengambil tindakan segera terhadap masalah ini,” katanya

     
     
  • Ford tutup kilang di Brazil selepas beroperasi 100-tahun; 3 kilang ditutup untuk capai margin EBIT 8%

    Ford tutup kilang di Brazil selepas beroperasi 100-tahun; 3 kilang ditutup untuk capai margin EBIT 8%

    Ford telah mengumumkan bahawa operasi produksinya di Brazil akan ditamatkan tahun ini. Pengeluar automotif dari Amerika Syarikat berkenaan mengatakan bahawa langkah ini diambil sebagai salah satu strategi bagi mencapai margin operasi global sebanyak 8%.

    Langkah tersebut dilihat agak mengejutkan kerana kilang-kilang Ford di Brazil ini telah beroperasi lebih dari satu abad. Operasi produksi akan ditutup serta merta di Camcari dan Taubate, namun berberapa produksi komponen akan terus berjalan untuk berberapa bulan bagi membekalkan alat ganti dalam pasaran. Manakala kilang yang memproduksi Ford Troller di Horizonte akan terus beroperasi sehingga suku keempat 2021.

    Penutupan operasi-operasi tersebut akan menyebabkan jualan untuk model seperti EcoSport, Ka dan Troller T4 akan dihentikan selepas kehabisan stok akhir. Namun pusat pembangunan Ford di Bahia, litar ujian di Tatui, Sao Paulo dan ibu pejabat wilayah juga di Sao Paulo akan terus beroperasi. Manakala kilang-kilang di negara Amerika Selatan yang lain termasuk di Argentina dan Uruguay tidak terjejas dengan langkah ini.

    “Dengan lebih satu abad di Amerika Selatan dan Brazil, kami tahu ini adalah keputusan sukar, tetapi perlu dibuat untuk mewujudkan perniagaan yang sihat dan lestari. Kami akan berhijrah ke model perniagaan dengan aset yang nipis, ringan dengan menghentikan produksi di Brazil dan menawarkan model yang terbaik dan paling mengujakan dalam portfolio global kami kepada pelanggan,” kata Presiden dan CEO Ford, Jim Farley.

    Ford tutup kilang di Brazil selepas beroperasi 100-tahun; 3 kilang ditutup untuk capai margin EBIT 8%

    “Pasukan Amerika Selatan kami yang dedikasi telah membuat kemajuan yang signifikant dalam merombak operasi kami, termasuk menghentikan pengeluaran produk yang tidak menguntungkan dan keluar dari perniagaan trak berat. Sebagai tambahan untuk mengurangkan kos keseluruhan dalam perniagaan, kami telah melancarkan Ranger Storm, Territory dan Escape, serta memperkenalkan perkhidmatan yang inovatif untuk pelanggan kami,” kata presiden Ford Amerika Selatan dan Kumpulan Pasaran Antarabangsa, Lyle Watters.

    “Sementara usaha-usaha ini memperbaiki hasil pada empat suku kebelakangan ini, keadaan ekonomi yang kekal tidak menguntungkan dan tambahan beban dari pandemik jelas bahawa lebih langkah yang perlu diambil bagi mewujudkan masa hadapan yang mampan dan memberikan pulangan,” jelasnya lagi.

    Menurut Ford, mereka secara aktif membuat penilaian terhadap perniagaannya di seluruh dunia, termasuk di Amerika Selatan, membuat pelbagai pilihan dan mengagihkan modal bagi membolehkan syarikat mencapai margin EBIT 8% yang telah ditetapkan serta menjana aliran tunai yang kuat secara konsisten.

    Ford tutup kilang di Brazil selepas beroperasi 100-tahun; 3 kilang ditutup untuk capai margin EBIT 8%

    Jenama tersebut turut menyatakan bahawa mereka mahu ‘bersaing seperti pesaing” dalam masa yang sama meringkaskan dan memodenkan semua aspek dalam syarikat, serta bertumbuh dengan menggunakan kekuatan sedia ada, menyisih perniagaan automotif konvensional dan bekerjasama dengan pihak lain bagi meningkatkan kepakaran dan keberkesanan.

    “Kami akan bekerja bersungguh-sungguh dengan kesatuan, pekerja, dan pemegang kepentingan yang lain bagi membangunkan cara untuk menghadapi impak yang sukar dengan pengumuman ini. Saya mahu tekankan bahawa kami komited kepada rantau ini dalam masa yang lama dan akan terus menawarkan jualan penuh, servis dan sokongan waranti kepada pelanggan. Ini adalah benar kerana kami memasarkan pilihan kenderaan SUV elektrifikasi, pikap dan kenderaan komersial yang menarik dari dalam dan luar wilayah,” jelas Watters lagi.

    Dengan langkah ini, Ford dijangka akan merekodkan caj pra-cukai barangan istimewa sekitar $4.1 bilion (RM16.65 bilion), termasuk sekitar $1.6 bilion (RM6.5 bilion) caj bukan tunai yang berkait dengan penghapusan cukai tertentu dan untuk mempercepatkan penyusutan dan pelunasan. Dan selebihnya untuk pembayaran pemisahan, penamatan, penyelesaian dan pembayaran lain akan dibayar secara tunai. Ford juga akan mencari pembeli untuk kilang-kilangnya yang ditutup berkenaan.

     
     
  • Agong isytihar darurat hingga 1 Ogos 2021 — tiada perintah berkurung, tambahan larangan pergerakan

    Agong isytihar darurat hingga 1 Ogos 2021 — tiada perintah berkurung, tambahan larangan pergerakan

    Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mengisytiharkan darurat sebagai langkah proaktif untuk membendung penularan Covid-19. Tempoh pelaksanaannya adalah sehingga 1 Ogos 2021, ataupun lebih awal sekiranya pandemik dapat dikawal.

    Jadi, apa yang perlu diketahui tentang tempoh darurat ini? Antara yang paling utama ialah tiada perintah berkurung serta tiada pilihan raya yang akan berlangsung sepanjang tempoh berkenaan. Pemerintahan negara juga akan berjalan seperti biasa, dan tentera tidak akan mengambil alih kuasa — melainkan tentera dan lain-lain akan dikerah untuk membantu dalam sebarang usahan untuk memerangi pandemik. Selain itu, sidang parlimen juga digantung.

    Tentang larangan pergerakan, tiada tambahan terbaru melainkan seperti apa yang telah diumumkan semalam, tentang pelaksanaan semula PKP di enam buah negeri termasuk Selangor, Johor, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula 13 Januari hingga 26 Januari 2021.

    Bagi tempoh sama, beberapa negeri lain diletakkan di bawah PKPB, melibatkan Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan sementera PKPP pula dikenakan di Perlis dan Sarawak.

    Agong isytihar darurat hingga 1 Ogos 2021 — tiada perintah berkurung, tambahan larangan pergerakan

    Setakat semalam, berikut perkara dan larangan yang perlu anda tahu sebagai pematuhan tempoh PKP terbaru ini. Sama seperti sebelum ini, denda sehingga RM1,000 boleh dikenakan bagi mereka yang melanggar perintah berkenaan.

    • Perjalanan rentas negeri adalah dilarang di seluruh negara
    • Perjalanan rendah daerah Tidak dibenarkan bagi negeri di bawah PKP
    • Semua aktiviti sosial atau sukan yang melibatkan perhimpunan besar tidak dibenarkan di negeri PKP
    • Pergerakan dalam 10 km sahaja untuk membeli barangan keperluan di negeri PKP
    • Hanya dua orang satu kereta dibenarkan untuk tujuan membeli barangan keperluan
    • Tiada makan di kedai; premis makanan hanya boleh menjalankan urusan bungkus bawa balik dan penghantaran

    Semoga kita dilindungi. Kekal selamat, semua.

     
     
  • SPYSHOT: SUV MG HS dikesan di Juru, Pulau Pinang

    SPYSHOT: SUV MG HS dikesan di Juru, Pulau Pinang

    MG HS telah pun dikesan sedang diuji di Juru Autocity, Perai, Pulau Pinang oleh pembaca paultan.org, Faiz SMJ. Adakah ia memberikan petanda bahawa SUV segmen-C ini bakal memasuki pasaran kita tidak lama lagi?

    Di beberapa pasaran yang telah pun menerima kemasukan MG HS ini, termasuk Australia, SUV ini dilengkapi dengan enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder petrol yang mampu menghamburkan kuasa hingga 160 hp dan tork 250 Nm, serta dipadankan dengan transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan. Ia mampu memberikan persaingan buat SUV yang sama segmen dengannya di pasaran Malaysia termasiuk Volkswagen Tiguan dan Proton X70.

    Dengan ciri kelengkapan tersebut, membuatkan MG HS lebih padu berbanding kuasa yang dihasilkan oleh crossover ZS EV janaan elektrik sepenuhnya, dengan hamburan 150 PS tetapi memiliki lebih tork iaitu 350 Nm hasil pacuan motor elektrik, yang menjanakan bateri lithium-ion 44.5 kWh yang menawarkan sehingga 335 km bagi pemanduan.

    SPYSHOT: SUV MG HS dikesan di Juru, Pulau Pinang

    Setakat ini, hanya ciri luaran yang kita nampak, tetapi kalau mengikut laman web MG Australia, model ini dilengkapi dengan Android Auto dan Apple CarPlay, yang boleh diakses menerusi skrin infotainmen warna sepenuhnya bersaiz 10.1-inci. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan port bagi USB, dan juga sistem enam-pembesar suara.

    Versi pasaran Australia juga menerima kelengkapan MG Pilot, yang merangkumi AEB, kawalan kelajuan adaptif, bantuan menukar lorong, pengesan titik buta, amaran ketibaan lorong, bantuan kelajuan pintar, dan bantuan kesesakan trafik, menurut laman web jenama berkenaan. Turut diberikan ialah pencahayaan dalaman boleh dikonfigurasi dan juga bumbung suria panoramik penuh.

    Untuk makluman, MG HS di Australia ditawarkan dengan lima varian dan harganya bermula dari AUD29,900 (RM93,455) untuk varian asas, meningkat hingga AUD40,690 (RM127,181) untuk model spesifikasi penuh.

     
     
  • PKP dilaksanakan semula di S’gor, P.Pinang, KL, Putrajaya, Johor, Sabah dan Melaka mulai 13-26 Jan

    PKP dilaksanakan semula di S’gor, P.Pinang, KL, Putrajaya, Johor, Sabah dan Melaka mulai 13-26 Jan

    Atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam buah negeri yang tersenarai dalam zon merah, mulai 13 hingga 26 Januari 2021. Negeri yang terbabit ialah Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Johor, Sabah dan Melaka.

    Sepanjang tempoh yang sama, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) turut dilaksanakan iaitu melibatkan Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Sementara Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula dilaksanakan di Perlis dan Sarawak.

    Perkara ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin petang ini. Menurut beliau, keputusan ini diambil disebabkan peningkatan kes harian COVID-19 di negeri terbabit sejak akhir Oktober 2020. Bahkan bermula penghujung November 2020, fenomena kes harian empat digit bagi COVID-19 direkodkan setiap hari sehinggalah rekod tertinggi yang telah dilaporkan pada 7 Januari 2021, iaitu sebanyak 3,027 kes.

    “Berdasarkan nilai R-naught semasa yang berada pada paras 1.1 bagi kadar kebolehjangkitan COVID-19 di Malaysia, unjuran kes harian di negara ini dijangka boleh mencecah sehingga 5,000 kes sehari pada minggu kedua bulan April 2021 dan akan melonjak kepada 8,000 kes sehari pada minggu keempat bulan Mei 2021.

    PKP dilaksanakan semula di S’gor, P.Pinang, KL, Putrajaya, Johor, Sabah dan Melaka mulai 13-26 Jan

    “Justeru, berdasarkan penilaian risiko oleh KKM, MKN serta pelbagai kementerian dan agensi serta nasihat pakar-pakar kesihatan awam di dalam negara, Kerajaan bersetuju dengan pandangan bahawa satu tindakan yang tegas perlu diambil untuk memutuskan rantaian jangkitan penularan virus COVID-19,” ujar beliau.

    Beliau turut menambah, negeri-negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh KKM dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum. KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat.

    “Bagi mengurangkan risiko jangkitan dan memutuskan rantaian COVID-19 ini, aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan beramai-ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan adalah tidak dibenarkan sama sekali.

    “Selain itu, pergerakan rentas negeri adalah tidak dibenarkan di seluruh negara manakala bagi kawasan PKP, pergerakan rentas daerah juga tidak dibenarkan. Susulan itu, operasi sekatan jalan raya (SJR) akan mula berkuatkuasa pada jam 12.01 tengah malam, 13 Januari ini,” jelasnya lagi.

    Tambah beliau, bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan orang ramai adalah terhad di dalam 10 kilometer radius sahaja. Bagi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit yang berdekatan, hanya dua anggota isi rumah yang dibenarkan untuk keluar dan berada di dalam kenderaan yang sama. Mana-mana individu yang melanggar larangan ini boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

    “Pasar raya, perkhidmatan kesihatan termasuk klinik, hospital dan farmasi, serta bank dibenarkan beroperasi di kawasan PKP pada tahap berjaga-jaga. Patuhi SOP ketika berada di tempat- tempat ini seperti memakai pelitup muka dengan betul, jaga penjarakan fizikal dan kerap gunakan hand sanitizer. Sekiranya tidak ada keperluan segera atau mendesak, tidak perlulah keluar rumah. Stay at home,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan seluruh rakyat untuk terus mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan. “Ya betul kita akan menerima bekalan vaksin tidak lama lagi tetapi itu bukan satu-satunya langkah pencegahan dan pastinya bukan untuk penyembuhan.

    “Pencegahan paling utama adalah dengan diri kita sendiri melakukan amalan mencuci tangan menggunakan sabun dengan kerap, gunakan hand sanitizer sekiranya tiada punca air yang berdekatan, pakai pelitup muka ketika berada di tempat-tempat awam, jaga jarak fizikal dan elakkan dari bersentuhan,” ujarnya.

     
     
  • Petronas bawakan trak pam minyak ROVR ke Temerloh pula – kini di dua lokasi berbeza, hingga 15 Januari

    Petronas bawakan trak pam minyak ROVR ke Temerloh pula – kini di dua lokasi berbeza, hingga 15 Januari

    Minggu lalu, Petronas telah menggerakkan trak pam minyak ROVR ke Kuala Lipis, Pahang, yang teruk dilanda musibah banjir besar. Trak ROVR biasa mampu membawa kapasiti sebanyak 3,000 liter bahan api, dan boleh melakukan pengisian minyak dari kedua-dua belah bahagian.

    Kali ini, Petronas menggerakkan jentera yang sama ke satu lagi daerah yang turut terjejas teruk dengan banjir iaitu di Temerloh. Hampir kesemua stesen minyak di Pahang tidak dapat beroperasi, walau pun keperluan untuk mendapatkan bahan api ini kian terdesak di sana.

    Menurut Petronas, trak pikap ROVR ini telah berada di daerah berkenaan sejak Jumaat lalu, dan akan berada di sekitar Temerloh sehingga 15 Januari ini. Ia ditempatkan di dua lokasi berbeza iaitu di hadapan balai bomba dari jam 11 pagi hingga 3 petang (bergantung pada keadaan) dan di Hospital Sultan Hj Ahmad Shah dari jam 4 petang hingga 7 malam.

    Tambah Petronas lagi, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen bagi membangunkan solusi inovatif ketika berhadapan dengan situasi yang sukar sebegini. Malahan syarikat petroleum negara ini turut berharap langkah ini dapat membantu pihak berkuasa tempatan dan barisan hadapan dalam operasi mencari dan menyelamat.

     
     
  • Toyota, Honda, Nissan, Ford & FCA terkesan masalah kekurangan cip semikonduktor; produksi kini terjejas

    Toyota, Honda, Nissan, Ford & FCA terkesan masalah kekurangan cip semikonduktor; produksi kini terjejas

    Nampaknya pandemik Covid-19 menyebabkan satu lagi masalah yang tidak terjangka dalam industri automotif – disebabkan semakin ramai yang terpaksa bekerja dari rumah, permintaan terhadap komputer riba meningkat, begitu juga dengan komputer peribadi dan konsol permainan video, secara tidak langsung menyebabkan bekalan cip semikonduktor untuk penghasilan sistem elektronik kenderaan terjejas!

    Disember lalu, Volkswagen adalah pengeluar automotif pertama yang terjejas berkenaan masalah ini apabila produksi dikilangnya terganggu akibat kekurangan bekalan cip semikonduktor. Dan sekarang, lebih banyak syarikat automotif yang berhadapan masalah yang sama.

    Toyota, Nissan, Ford dan Fiat Chrysler Automobiles (FCA) menyatakan minggu lalu bahawa mereka akan menghentikan sebahagian produksi kenderaan pada Januari ini berikutan kekurangan bekalan cip semikonduktor, lapor Reuters. Honda turut menyatakan bahawa mereka telah mula nampak impak daripada kekurangan bekalan komponen tersebut, dan bakal mengurangkan produksi Honda Fit (Jazz) untuk pasaran domestik di kilang Suzuka kira-kira 4,000 unit bulan ini, menurut Nikkei.

    Toyota pula menyatakan bahawa produksi trak pikap Tundra di kilang San Antonio, Texas juga akan dikurangkan tetapi jumlah sebenar tidak dinyatakan. Manakala untuk Nissan, produksi Nissan Note di kilang Oppama, Jepun sedang dirancang untuk dikurangkan. Laporan awal oleh Nikkei turut melaporkan bahawa jumlah pengeluaran Note akan dikurangkan kira-kira 5,000 unit pada bulan ini berbanding 15,000 unit yang dirancang.

    Toyota, Honda, Nissan, Ford & FCA terkesan masalah kekurangan cip semikonduktor; produksi kini terjejas

    Di Amerika Utara, Ford menyatakan bahawa produksi di kilang Louisville, Kentucky akan dihentikan sementara. Kilang berkenaan yang menghasilkan SUV seperti Ford Escape dan Lincoln Corsair dicutikan selama seminggu, menggantikan cuti yang sepatutnya diberikan pada tempoh kemudian pada tahun ini.

    Manakala untuk FCA, produksi semula Jeep Compass yang sepatutnya bermula di kilang Toluca, Mexico minggu hadapan akan dianjak lebih lambat. Produksi model Chrysler 300, Dodge Charger dan Challenger di kilang Brampton, Ontario juga terpaksa dihentikan sehingga akhir bulan ini.

    Pembekal-pembekal utama cip untuk pengeluar automotif seperti NXP Semiconductor menyatakan bahawa mereka tidak menyangka bahawa produksi industri automotif akan pulih semula begitu cepat selepas terjejas akibat pandemik Covid-19, menyebabkan mereka sukar untuk membekalkan semula cip-cip berkenaan mengikut keperluan.

    Toyota, Honda, Nissan, Ford & FCA terkesan masalah kekurangan cip semikonduktor; produksi kini terjejas

    Production line of the new factory.

    Disember lalu, syarikat berkenaan turut menyatakan dalam surat kepada pelanggannya bahawa mereka terpaksa menaikkan harga untuk semua produk kerana berhadapan kos material “yang naik mendadak” dan juga bekalan cip “sangat kurang”.

    Bulan lalu Volkswagen menyatakan bahawa bekalan semikonduktor yang terjejas memaksa mereka untuk mengatur semula produksi di fasiliti yang terletak di China, Amerika Utara dan Jerman. Pembekal komponen automotif Jerman iaitu Bosch dan Continental pula memberikan amaran berkenaan kekurangan bekalan semikonduktor ini dan berkata produksinya sedang ditingkatkan, dan untuk menaikkan bekalan akan mengambil masa.

    Setakat ini General Motors dan BMW menyatakan mereka masih belum terjejas dengan masalah kekurangan cip semikonduktor ini, tetapi akan memantau sitausi berkenaan dengan lebih rapat.

     
     
  • General Motors perkenal logo baru, fokus strategi EV

    Dengan hala tuju masa depan General Motors yang lebih cenderung kepada kenderaan elektrik, syarikat itu kini melancarkan kempen pemasaran dengan nama “Everybody In” untuk merancakkan lagi penggunaan EV oleh semua. Bersempena dengan itu juga, GM turut memperkenalkan logo baru yang mencerminkan perubahan identiti berkenaan.

    “Sepanjang sejarah, akan ada detik-detik perubahan yang berlaku. Kami percaya detik seperti itulah yang sedang kita depani ketika ini, bagi menggerakkan penggunaan EV yang lebih meluas untuk semua,” ujar Ketua Pegawai Pemasaran Global General Motors, Deborah Wahl. “Tidak seperti sebelumnya, kita mempunyai penyelesaian, keupayaan, teknologi dan skala untuk melibatkan semua orang dengan EV. Identiti baru dan kempen jenama kami direka untuk mencerminkan hal ini,” tambah beliau.

    Logo baru GM menampilkan imej yang lebih moden dan vibrant, dengan penggunaan gradient warna biru yang menurut syarikat itu melambangkan “langit cerah di masa hadapan dengan sifar emisi”. Sementara itu, bucu bulat dan huruf kecil memberikan rasa yang lebih merangkum, dengan garis di bawah “m” melambangkan pertalian dengan logo lama GM.

    Perancangan EV bagi GM termasuklah pelaburan berjumlah USD27 bilion untuk membangunkan produk yang relevan, dengan 30 EV global baru direncanakan pengenalannya menjelang penghujung 2025. Platform Ultium menjadi kunci utama kepada perkembangan ini, kerana ia akan menjadi asas kepada pelbagai kenderaan, termasuk GMC Hummer EV dan Cadillac Lyriq. Seni bina modular ini juga membolehkan pembinaan kenderaan berbeza saiz, bentuk dan harga, dengan jarak perjalanan mencecah 724 km (450 batu).

     
     
  • Aprilia Tuono 660 masuk pasaran UK – kuasa 94 hp, berat 183 kg, sistem elektronik sama seperti RS660

    Aprilia Tuono 660 masuk pasaran UK – kuasa 94 hp, berat 183 kg, sistem elektronik sama seperti RS660

    Semasa Aprilia RS660 didedahkan buat pertama kali, ramai yang sudah mengetahui ia akan diikuti pula oleh versi naked, Tuono. Kini, ia telah pun didedahkan sepenuhnya, dengan perbezaan biasa bagi model naked iaitu pemegang jenis lebih tinggi serta offset fork yang telah diubah untuk menjadikan tunggangan lebih selesa.

    Asas model ini masih sama seperti RS660, termasuklah rangka serta lengan ayun aluminiumnya, dan juga suspensi boleh laras Kayaba di depan dan belakang. Menurut Aprilia, fairing hadapan Tuono 660 juga telah diuji dalam terowong angin seperti RS660, dan lampu hadapannya menggunakan unit LED dengan DRL. Berat keseluruhan model ini adalah 183 kg.

    Ia digerakkan oleh enjin dua silinder selari 660 cc dengan sistem penyejukan cecair dan menepati tahap emisi Euro 5. Kuasa maksimum yang mampu dihasilkan adalah 94 hp, sedikit rendah berbanding 100 hp pada RS660, tetapi nisbah akhirnya lebih pendek untuk menghasilkan maklum balas serta pecutan lebih baik.

    Sistem elektronik yang diberikan pada Tuono 660 juga adalah sama seperti RS660, termasuk kawalan cengkaman beberapa tahap, wheelie control, cruise control, engine brake control, ABS yang boleh ditutup serta pilihan mod tunggangan.

    Menurut Aprilia, terdapat lima mod tunggangan yang disediakan oleh Tuono 660, dengan tiga daripadanya untuk kegunaan atas jalan biasa dan dua lagi untuk kegunaan di dalam litar. Panel instrumen menggunakan skrin TFT berwarna sama seperti RS660. Tuono 660 sudah mula dijual di United Kingdom, dengan harga £9700 (RM53,145) dan ditawarkan dalam warna Acid Gold, Concept Black dan Iridium Grey.

     
     
  • Tiada penjana hibrid untuk Honda Civic Type R generasi baru, kekal sebagai kereta sport mekanikal

    Tiada penjana hibrid untuk Honda Civic Type R generasi baru, kekal sebagai kereta sport mekanikal

    Selain dari penggunaan pengecas turbo dan suspensi adaptif, Honda Civic Type R FK8 adalah antara kereta sport yang paling ‘asli’ ditawarkan dalam pasaran buat masa sekarang.

    Ia masih menggunakan konfigurasi pacuan roda hadapan tanpa sistem AWD yang rumit, masih dibekalkan dengan LSD mekanikal dan bukan sistem torque vectoring, malah sehingga sekarang Honda masih tidak menawarkan kotak gear manual bagi memastikan pembeli Type R masih lagi seorang yang sangat suka memandu.

    Nampaknya semua karekter ini masih akan dibawa kepada model generasi seterusnya – walaupun benua Eropah, UK dan juga Jepun bakal mengharamkan kereta dengan kuasa petrol sepenuhnya dalam masa lebih kurang 10 tahun lagi, Honda akan terus menghasilkan Civic Type R tanpa sebarang bantuan teknologi elektrifikasi, menurut laporan Autocar.

    Portal berkenaan menyatakan bahawa, Honda Civic Type R generasi baharu tersebut akan tiba di pasaran UK pada separa pertama tahun hadapan, dan ini mungkin “edisi terakhir” dengan DNA asli Type R.

    Model prototaip Honda Civic generasi ke-11 versi sedan (kiri) dan versi hatchback yang sedang diuji (kanan)

    Honda telah pun mendedahkan rupa Honda Civic generasi ke-11 November lalu, dalam bentuk sedan sebagai prototaip dan ia dijangka menghampiri rupa produksi sebenarnya. Model Type R generasi baharu pula masih akan dihasilkan dalam versi hatchback lima pintu.

    Walaupun Civic generasi baharu dalam versi asas kelihatan lebih ‘sopan’ berbanding generasi FC sedia ada, model Type R nanti dilaporkan masih akan diberikan penampilan dengan kit aerodinamik yang agresif. Varian tanpa sayap belakang yang besar seperti model Type R Sport Line pada model sedia ada juga dijangka masih akan ditawarkan di UK.

    Enjin K20C 2.0 liter VTEC Turbo pada model generasi sedia ada juga dilaporkan akan terus digunakan pada model generasi baharu nanti. Kuasa yang dihasilkan juga mungkin lebih kurang sama, namun ia diperhalusi bagi memberikan respon dan penghantaran tork yang lebih baik.

    Autocar turut menyebut bahawa sistem suspensi dua paksi pada bahagian hadapan yang berkesan menangani torque steer, serta senjata mekanikal lain seperti LSD, suspensi multilink di belakang dan pelbagai lagi akan terus di bawa pada Honda Civic Type R generasi baharu ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025