Selain PCX 160, Honda Thailand juga telah melancarkan Wave 110i 2021 untuk pasaran negara itu. Ini adalah sebuah model baru yang menggunakan enjin suntikan bahan api dan diberikan peningkatan di beberapa bahagian.
Enjin yang digunakan adalah versi terbaru daripada barisan Honda Smart Engine, berkapasiti 109.5 cc, dengan sistem SOHC, suntikan bahan api PGM-FI dan penyejukan udara. Ia dipadankan bersama transmisi empat kelajuan dan dikatakan mampu memberi penggunaan bahan api sehingga 76.9 km/l.
Walaupun boleh dikatakan sebagai sebuah model asas dan mampu milik, Wave 110i 2021 turut dinaik taraf dengan lampu jenis LED, ruang simpanan bawah tempat duduk 35% lebih besar, tangki bahan api lima liter dan panel meter baru dengan gabungan skrin LCD.
Kerangka model ini juga adalah baru, sekaligus mampu memberikan kawalan yang lebih mudah dan membantu lagi penjimatan bahan api. Ada beberapa varian yang diperkenalkan di Thailand dan kelengkapan juga boleh jadi berbeza.
Varian yang lebih rendah cuma akan mendapat pemula enjin jenis tendang, padanan brek cakera di hadapan dan dram di belakang serta rim jenis lidi sementara varian lebih tinggi pula mendapat pemula enjin jenis elektrik, brek cakera depan dan belakang serta rim jenis sport lima cabang.
Pasaran United Kingdom (UK) bakal menerima kehadiran Toyota GR Supra dengan padanan enjin 2.0 liter empat-silider. Ini menandakan impak terhadap pelaksanaan Brexit yang mendorong Toyota yang terpaksa mengalah dan menawarkan kereta sport‘entry-level’ atau pun model asas untuk pembeli di sana.
Supra dengan enjin empat-silinder ini sebenarnya hampir sama dengan model enam-silinder sebaris. Ia mampu menghamburkan kuasa hingga 254 hp dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan torn 400 Nm antara 1,500 hingga 4,500 rpm, membolehkannya dipecut dari titik sifar ke 100 km/j dalam 5.2 saat (mengikut perbandingan, model 3.0 liter boleh melakukannya dalam 4.1 saat). Manakala kelajuan maksimumnya dihadkan hingga 250 km/j.
Enjin ini juga dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan ZF dan dengan angka bahan api kombinasi penilaian-WLTP adalah sekitar 7.3 liter per 100 km, dengan pelepasan karbon dioksida sekitar 167 gram per kilometer. Tidak seperti Amerika Syarikat, model asas Supra di UK ini akan terus ditawarkan dengan active locking rear differential dan adaptive dampers, tetapi ia adalah lebih ringan sebanyak 100 kg berbanding model 3.0 liter.
Toyota berkata pengurangan berat masih mampu memberikan pemanduan yang menyeronokkan biar pun kuasanya juga berkurangan. Enjin yang lebih kecil ini didakwa menjadikannya lebih mudah untuk mencapai keseimbangan berat 50:50 dan mengurangkan inertia. Seterusnya, ia meningkatkan respons dan pengendalian yang lebih lincah serta meningkatkan keyakinan pemandunya.
Selain itu, model 2.0 liter turut menerima brek yang sama seperti varian 3.0 liter, bukannya seperti brek bagi pasaran USA yang dikecilkan. Cakera brek tersebut berukuran 348 mm untuk hadapan dan 345 mm di belakang, diapit dengan empat-omboh di hadapan dan kaliper omboh-tunggal di belakang.
Malahan Active Yaw Assist turut menciptakan pergerakan tambahan dengan menggunakan daya brek bebas – seperti sistem vektor tork aktif yang dibangunkan oleh pembuat kereta lain – untuk meningkatkan ketangkasan.
Ciri standard yang turut diberikan termasuklah roda aloi dua-tona 18-inci, skrin sesentuh infotainmen yang lebih kecil bersaiz 8.8-inci, Alcantara upholstery dan sistem bunyi 100-wat dengan empat-pembesar suara. Selain itu, ia turut didatangkan dengan Toyota Safety Sense+ untuk bantuan pemanduan yang merangkumi brek kecemasan sendiri dengan pengesan pejalan kaki dan pengayuh basikal, bantuan kekal lorong, pengesan isyarat trafik dan lampu tinggi automatik.
GR Supra 2.0 turut ditawarkan dengan varian Fuji Speedway Edition, terhad dengan 45 unit untuk UK. Ia ditambah dengan warna badan putih metalik, perumah cermin sisi rona merah dan juga roda aloi 19-inci yang sama seperti model 3.0 liter dengan kemasan matte black.
Di dalamnya, ia ditampilkan dengan kemasan gentian karbon dan kombinasi upholstery ALcantara hitam dan kulit merah. Harga yang ditawarkan adalah £45,995 (RM252,100), atau £47,395 (RM259,700) bagi varian Fuji Speedway Edition.
Ramai ke yang dah mula rindu Proton Suprima S? Sebagai sebuah hatchback empat-pintu yang dihasilkan oleh Proton, ia sebenarnya tampil dengan imej yang sangat menyenangkan. Tambahan pula, pengendaliannya juga tidak mengecewakan; siapa yang pernah bawa atau masih memilikinya pasti faham. Tetapi, usianya sudah sangat lama. Ada kemungkinan model baru hadir sebagai pengganti.
Theophilus Chin ada hasilkan satu rekaan digital untuk membayangkan model baru berkenaan. Tetapi, ia mengambil asas dari Ford Focus Mk4. Ini dapat dikesan pada bahagian tingkap yang ada serta cermin sisi, serta apron depan dan rekaan bampar belakang. Beberapa unsur pada wajah depan pula sangat jelas dipinjam daripada X50, misalnya bahagian lampu, gril Infinite Weave dan logo. Angkup brek merah SUV berkenaan pun turut disertakan sekali.
Di belakang, rekaan lampu LED yang digunakan jelas diambil daripada X50, sementara nama Proton dalam kemasan krom itu dibawa dari model Suprima S. Bawah sedikit, anda akan dapat lihat rekaan diffuser yang besar (rekaan dari Focus Mk4) dengan empat muncung ekzos.
Lain-lain kelengkapan termasuk DRL LED pada bampar depan, bumbung hitam dengan kaca panoramik, antena “shark fin”, spoiler belakang dengan lampu brek dan lapan sensor parkir. Sebetulnya, rekaan ini agak jauh lari daripada imej render Suprima S yang pernah kita lihat tahun lalu, kan?
Theo memberi nama H50 kepada kereta ini. Geely pula tak ada model hatchback untuk menggantikan penawaran Suprima S ini, dan kebarangkalian untuknya kembali dikeluarkan oleh Proton ketika ini bolehlah kita anggap tidak ada. Jadi, mungkin akan terus jadi impian sajalah, sambil membayangkan rekabentuk yang ada ini.
Seperti yang ramai tahu, Proton ketika ini sedang menumpukan perhatian terhadap pertumbuhan jualan pasaran tempatan dan memperkukuhkan barisan model dengan SUV-SUV baru. Tetapi, sekiranya ada harapan untuk Suprima S kembali nanti, adakan rekaan ini cukup meyakinkan?
Selepas 11 tahun membawa nama Ford untuk berlumba dan menghasilkan pelbagai video Gymkhana, pemandu sensasi Youtube, Ken Block mengumumkan kini sudah tidak lagi bersama jenama Blue Oval berkenaan. Menurut Block dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, bermula Januari 2021 dia adalah agen bebas dan kini mempunyai pilihan untuk memandu pelbagai jentera yang lebih luas.
“Berkerja dengan Ford lebih sedekad yang lalu adalah sangat hebat,” kata Ken Block. “Dari berlumba ke seluruh dunia, sehingga mendapat tontonan setengah bilion dari Gymkhana THREE hingga Gymkhana TEN, menghasilkan siri Gymkhana Files yang mendapat pencalonan Emmy untuk Amazon Prime – bersama membina banyak jentera Ford termasuk Mustang Hoonicorn dan F-150 Hoonitruck yang ikonik – ia adalah kerjasama yang hebat.
“Ia adalah impian menjadi kenyataan untuk bekerjasama dengan syarikat yang membina trak yang ayah saya pandu ketika saya remaja. Saya sangat menghargai sokongan dari Ford selama ini, tetapi saya turut melihat kehadapan apa yang ada pada 2021 yang tiada had, dan kemampuan saya untuk melebarkan sayap lebih besar dan bermain dengan lebih banyak permainan,” jelas Block lagi.
Sepanjang bersama Ford, Ken Block berjaya memenangi 19 perlumbaan bersama 17 podium, dua medal X Games, dan juga menjadi rakyat Amerika pertama yang memperolehi mata dalam kejohanan rali dunia (WRC). Tahun 2020 juga mencatatkan pelbagai kejayaan untuk Ken Block bersama Ford di mana dia menjadi juara di Rally Barbados dengan Ford Fiesta R5, menang dalam kelasnya (dan ketiga keseluruhan) dalam Rally Legend di San Marino bersama Ford Escort Cossie V2, dan memenangi perlumbaan pertama Projekt E untuk FIA World RallyCross Championship di Holjes, Sweden, dengan Ford Fiesta.
Ken Block dan Hoonigan juga telah melancarkan siri video viral baharu iaitu Hoonicorn Vs. The World. Siri dengan 11 episod berkenaan menampilkan Ken Block berlumba dengan Ford Mustang RTR Hoonicorn 1956 menetang pelbagai jentera termasuk Mclaren Senna. Siri berkenaan telah ditonton lebih dari 34 juta kali sejak dilancarkan pada lewat November lalu.
Sempena perpisahan ini, Ken Block turut menghasilkan satu video khas iaitu pemanduan jentera kegemarannya – Ford Mustang Hoonicorn V2 1,400 hp AWD – buat kali terakhir yang telah pun disiarkan di Youtube. Block turut menyatakan bahawa Hoonigan Racing Division akan mengumumkan kerjasama baharu tidak lama lagi
Dalam satu video sempena perpisahan ini yang disiarkan oleh Ken Block di Facebook, dia memulakan ucapan dengan latar belakang jentera-jentera Ford yang dibina sepanjang kerjasama berkenaan, namun diakhiri dengan Subaru Impreza WRX STI yang digunakan dalam video Gymkhana TWO. Malah pada tahun lalu, Hoonigan menghasilkan video Gymkhana terbaharu tanpa Ken Block, tetapi digantikan oleh sahabatnya iaitu Travis Pastrana yang memandu Subaru WRX STI. Adakah ini bayangan bahawa Ken Block akan kembali semula dengan Subaru?
Pengendali Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1), ANIH Berhad, telah memaklumkan bahawa lorong laju di KM126.3 iaitu antara Persimpangan Chenor ke Persimpangan Temerloh kini telah dibuka (kedua-dua hala) kepada lalu lintas sejak 4 petang semalam. Ini bermakna semua laluan di LPT 1 itu telah boleh dilalui oleh semua kenderaan.
Walau bagaimana pun, ANIH menasihati semua pengguna lebuhraya berkenaan untuk mematuhi papan tanda di lokasi dan berhati-hati ketika memandu.
Seminggu yang lalu, beberapa bahagian laluan Temerloh-Lanchang iaitu KM 113 dan KM 115 bagi kedua-dua arah ditenggelami banjir dan tidak boleh dilalui oleh trafik. Ini membuatkan ramai pengguna lebuhraya terbabit terkandas dan perlu berpatah balik atau pun menggunakan laluan alternatif untuk ke Kuala Lumpur mahu pun Pantai Timur.
Keadaan banjir di Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) belum surut, dan sambungan laluan utama antara pantai barat dan pantai timur Semenangjung itu masih belum boleh dilalui oleh trafik di beberapa bahagian.
Pengendali lebuhraya berkenaan, Anih Berhad dalam taklimat kemaskini status tengah hari tadi memaklumkan, ada laluan lain yang kini turut dinaiki air, di KM 126.3 antara Chenor dan Temerloh. Di kawasan berkenaan, lebuhraya telah ditutup sepenuhnya bagi kedua-dua arah sejak 2.30 pagi tadi. Ini merupakan tambahan terbaru kepada laluan Temerloh-Lanchang (KM113 ke KM 115) yang masih lagi ditutup kepada trafik bagi kedua-dua arah.
Bagi laluan Lanchang ke Karak (KM 84.6), tiada berubahan setakat ini di mana laluan arah KL telah dibuka sejak pagi 5 Januari lalu. Laluan bertentangannya bagaimanapun masih ditutup. Dengan E8 ditutup sebahagiannya, laluan alternatif yang dicadangkan melibatkan lencongan ke Negeri Sembilan. Ini kerana jalan lama (Route 2) juga telah dinaiki air dari Maran ke Lanchang.
Bagi yang ingin bergerak dari KL ke Kuantan, anda boleh menyusur keluar lebuhraya itu di Karak dan menuju ke Simpang Pertang di Negeri Sembilan, sebelum meneruskan perjalanan ke Muadzam Shah dan kemudian ke tol Gambang.
Jika dari pantai timur ke KL pula, anda boleh melalui laluan sama dan menuju ke Bahau dari Karak. Ini kemudian akan menyusul ke Kuala Pilah dan Seremban, sebelum anda boleh menggunakan Lebuhraya PLUS atau LEKAS untuk ke KL. Apa pun, kekalkan tumpuan ketika memandu dan sentiasa pastikan keselamatan terjaga di dalam keadaan cuaca tidak menentu ini.
Berdasarkan satu hantaran Twitter oleh Pengerusi Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Datuk Suret Singh, badan itu akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia berkaitan penggunaan wajib helmet bagi pengayuh basikal.
Cadangan itu bertujuan untuk mengurangkan kecederaan kepada pengayuh sekiranya terlibat dalam kemalangan. Ada kajian yang telah menunjukkan bahawa pengayuh cenderung berisiko tinggi terkesan akibat kecederaan kepala.
Banyak negara lain yang telah mewajibkan penggunaan ini. Australia misalnya yang menjadi negara pertama melaksanakan undang-undang tersebut; semua yang terlibat menggunakan basikal diwajibkan menggunakan helmet, termasuk kanak-kanak. Dan, bukan sembarangan helmet; ia perlulah dari jenis yang diberikan kelulusan.
Di Singapura, penggunaan helmet untuk pengayuh basikal mula diperkenalkans sejak tahun 2018. Tanpa perlu pelaksanaan undang-undang pun, rasanya apa saja yang dapat menyumbang kepada jaminan keselamatan semua perlu kita amalkan secara natural, tanpa perlu menunggu untuk dipaksa-paksa.
Selepas mengalami kenaikan selama lapan minggu berturut-turut, petang ini Kementerian kewangan memaklumkan bagi minggu bertarikh 9 hingga 15 Januari 2021, harga petrol RON 97 dan RON 95 adalah kekal seperti minggu sebelumnya.
Ini bermakna RON 95 masih kekal pada paras RM1.84 seliter, manakala RON 97 pula RM2.14 seliter.
Walau bagaimana pun, untuk minggu baharu ini, harga diesel pula mengalami kenaikan sebanyak satu sen seliter. Iaitu bagi gred Euro 2M bakal menjadi RM2.02 seliter dan Euro 5 pula RM2.12 seliter.
Semua harga tersebut efektif mulai 12.01 tengahmalam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 15 Januari 2021.
Orang kata, penglibatan di dalam litar serta dunia perlumbaan adalah tempat pembangunan teknologi baru, dan itulah yang ditunjukkan oleh pasukan lumba Malaysia, TKKR Racing. Mereka mengambil kapcai Yamaha Y15ZR dan mengubah suainya menjadi seperti jentera lumba Moto 3.
Apa yang mahu dibuktikan adalah dua perkara – anda tidak perlu memilih jentera Kalex MiniGP untuk terlibat dalam perlumbaan atau masuk ke dalam kategori tertentu yang lebih tinggi, dan hasil kejuruteraan Malaysia juga mampu menjadi sama tahap seperti negara lain di persada antarabangsa.
Jentera prototaip TKKR Racing ini dibangunkan sendiri di bengkel kejuruteraan mereka di Seremban, Negeri Sembilan, di mana di situ juga terdapat pelbagai kelengkapan canggih termasuk makmal ujian jentera serta mesin dyno. Model prototaip ini masih lagi menggunakan enjin asas Y15ZR, tetapi dibesarkan sehingga 200 cc.
Bahagian rangka melibatkan pengubahsuaian yang banyak, dan bahagian asal yang tinggal cuma di hadapan. Subframe belakang diganti dengan unit buatan khas daripada aluminium gred pesawat yang boleh ditanggalkan, dan digabungkan bersama lengan ayun daripada Rapido. Tiub pemegang stereng juga diperkuat dengan besi tambahan.
Setelah melalui pengubahsuaian rangka ini, ia dipasang dengan panel badan jenis lumba seperti jentera Moto 3. Seperti yang boleh dilihat, model prototaip ini masih lagi dalam proses pembangunan dan TKKR sedang melakukan proses perletakan tangki serta bahagian badan yang lain.
Manurut pengasas pasukan TKKR Racing, Bobie Farid Shamsudin, pasukan beliau turut mempunyai beberapa perancangan lain seperti meletakkan tapak stereng yang boleh dilaras dan juga sistem pengurusan enjin Motec pada jentera ini. Fork hadapan menggunakan unit daripada YZF-R15, dan ia dijadikan boleh laras dengan penukaran bahagian dalaman serta springnya.
“Perancangannya adalah memastikan semua siap untuk ujian di Sepang hujung bulan ini dan melihat apa yang boleh diperbaiki. Dimensi prototaip ini sama seperti jentera Moto 3, pada panjang jarak rodanya, dan kami telah membuang banyak barang untuk menjadikannya lebih ringan,” kata Bobie.
Setakat ini masih tidak diberitahu sekiranya TKKR Racing akan menawarkan kit ubah suai ini untuk jualan kepada orang ramai tetapi daripada apa yang dilihat ini, adakah anda rasa ia menarik?
Mercedes-Benz telahpun memperkenalkan sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) versi terbaharunya yang akan dipadankan secara opsyen pada model sedan EQS elektrik sepenuhnya akan datang. Apa yang mengejutkan, sistem ini menampilkan skrin gergasi digelar Hyperscreen yang meliputi hampir keseluruhan papan pemuka!
Menurut pembuat automotif Jerman berkenaan, Hyperscreen MBUX ini merupakan “skrin paling besar dan paling pintar pernah dipadankan pada model produksi Mercedes-Benz.” Secara keseluruhan, skrin berkenaan berukuran 56-inci (141 cm) yang terdiri dari tiga skrin berasingan termasuk paparan instrumen digital 12.3-inci, dan dua skrin dengan teknologi OLED iaitu paparan tengah 17-7-inci dan skrin untuk penumpang bersaiz 12.3-inci.
Skrin-skrin ini dilindungi oleh Gorilla Glass lapisan tunggal yang melengkung serta anti-reflektif. Manakala liang udara penghawa dingin gaya-turbin yang perlu diletakkan pada skrin-skrin berkenaan diberikan perumah sekeliling plastik, dalam kemasan Silver Shadow menerusi proses tiga lapisan.
Ia turut dipadankan dengan lampu suasana di bahagian bawah skrin tersebut bagi membolehkan ia kelihatan seolah-oleh terapung pada papan pemuka berkenaan.
Sistem ini bukan sahaja menampilkan saiz “yang tak pernah dibuat orang”, malah turut beroperasi dengan sistem terkini, menggunakan teknologi kecerdasan buatan (A.I) sebagai teknologi utama untuk ‘berhubung’ dengan pengguna. Secara asasnya, perisian pada sistem MBUX ini akan sentiasa belajar berkenaan kebiasaan penggunaan oleh pemiliknya bagi memberikan saranan unik bagi keselesaan, infotainmen dan juga fungsi kenderaan.
Contohnya, jika pemandu kereta tersebut selalu menggunakan pemanas pada roda stereng dan pemanas tempat duduk pada permukaan tertentu, larasan tersebut akan disarankan kepada pemandu berkenaan sejurus selepas dia menghidup suis pemanas tempat duduk.
Satu lagi contoh, sekiranya pemilik kereta berkenaan selalu menalifon nombor tertentu pada petang Selasa, sistem berkenaan akan bertanya kepada pemiliknya adakah dia mahu melakukan panggilan berkenaan pada masa-masa tersebut.
Teknologi A.I pada sistem MBUX ini juga mempunyai kesedaran konteks-sensitif yang akan mengingati posisi GPS di mana sistem suspensi boleh laras EQS ini perlu ditinggikan bagi mendapatkan lebih kelegaan tanah, contohnya ketika merentasi bonggol pada laluan yang biasa dilalui, di mana sistem ini akan menyarankan fungsi tersebut kepada pemandu.
Bagi memudahkan lagi penggunaan sistem MBUX ini, ia diberikan pendekatan “zero-layer”, di mana fungsi yang selalu digunakan akan sentiasa dipaparkan pada skrin Home, dan pengguna tidak perlu mencari semula fungsi berkenaan atau menggunakan arahan suara.
Oleh itu, sistem navigasi akan sentiasa diletakkan di hadapan dan tengah, manakala modul lain yang lebih kecil seperti media dan telefon diletakkan di atas kawalan penghawa dingin.
Penumpang hadapan turut mendapat skrin mereka sendiri yang turut boleh dioperasikan secara berasingan dari skrin utama, dan diberikan pelbagai pilihan fungsi hiburan. Sistem tersebut diberikan tujuh slot profil, membolehkan setiap satunya menyimpan larasan individu berasingan dan tidak bercampur dengan larasan yang digemari oleh pemandu.
Sekiranya tempat duduk penumpang hadapan kosong, skrin berkenaan akan menjadi sebahagian kemasan untuk kabin, memaparkan animasi bintang menampilkan logo Mercedes-Benz bergantung mood yang dipilih.
Paparan-paparan informasi berkenaan penggunaan tenaga pada kereta elektrik sepenuhnya EQS ini turut akan diberikan kepada pemandu dengan cara yang tidak sama dengan paparan konvensional yang lain.
Sistem MBUX dengan Hyperscreen ini digerakkan dengan CPU 8-core dan juga RAM 24 GB (dengan jalur lebar 46.4 GBps). Fungsi lain yang turut dipadankan termasuk kamera pelabagai fungsi dan penderia cahaya dan 12 actuator di bawah skrin sesentuh untuk tindak balas haptik.
“Dengan Hyperscreen MBUX, visi rekaan kini menjadi kenyataan”, kata ketua pegawai rekaan di Daimler Group, Gorden Wagener. “Kami gabungkan teknologi dengan rekaan dalam gaya menarik yang memberikan pelanggan kemudahan penggunaan yang tidak pernah ditawarkan sebelum ini. Kami sukakan gaya ringkas, kami sudah mencapai tahap baru untuk MBUX,” tambahnya.
Sistem asal MBUX ini pertama kali diperkenalkan pada tahun 2018, dipadankan pada A-Class generasi W177 sedia ada, dan kemudian turut digunakan pada model-model lain. Menurut Mercedes-Benz, sehingga kini lebih dari 1.8 juta kereta mereka telah pun menggunakan sistem ini di seluruh dunia.
Sistem generasi kedua MBUX telah muncul pada September tahun lalu, diperkenalkan pada S-Class W223 dan menawarkan peningkatan signifikant dari segi prestasi, fungsi dan juga antara muka. Manakala sistem MBUX dengan Hyperscreen ini pula adalah evolusi terbaharu teknologi tersebut, dan sedan elektrik sepenuhnya EQS berkenaan akan membuat kemunculan pada tahun ini.
Bulan lalu, Honda telah memperkenalkan model baru PCX 160 di pasaran Jepun, dan kini ia mula memasuki pasaran Thailand pula. Selain rekaan, PCX 160 ini mempunyai pelbagai peningkatan berbanding PCX 150 termasuklah pada bahagian enjin.
PCX 160 dikuasakan oleh enjin satu silinder empat injap berkapasiti 156.93 cc bersama sistem suntikan bahan api, SOHC dan penyejukan cecair. Bagi model pasaran Jepun, enjin yang menggunakan nisbah mampatan tinggi 12:1 ini mampu menghasilkan kuasa 15.8 PS pada 8,500 rpm dan 15 Nm tork pada 6,500 rpm, sekaligus menjadikannya 1.1 PS dan 1.8 Nm tork lebih berkuasa berbanding PCX 150 yang berada dalam pasaran kita sekarang.
Antara peningkatan yang dibuat pada enjin ini untuk menjadikannya lebih responsiif, mesra alam dan lancar adalah ekzos baru, salur kemasukan udara lebih cekap, penggunaan cam chain tensioner lifter hidraulik serta rekaan crankshaft baru. Enjin ini juga datang dengan ciri start/stop menggunakan ACG Starter.
Selain daripada enjin baru ini, PCX 160 turut menerapkan peningkatan lain seperti PCX 125 yang dilancarkan di Eropah November lalu, termasuk penampilan serba baru dengan lampu LED, penghadang angin hadapan lebih besar, tempat duduk lebih selesa serta tinggi tempat duduk cuma 764 mm.
Ruang simpanan di bawah tempat duduk adalah 2.4 liter lebih besar, dengan kapasiti penuh 30.4 liter, dan ia turut dilengkapi dengan soket pengecas USB. Bagi kunci pintar yang digunakan untuk model ini, selain mengawal butang pemula enjin dan ruang simpanan bawah tempat duduk, ia juga boleh mengawal kunci untuk kotak barangan belakang yang dijual berasingan. Sekiranya pemilik beredar dan kotak itu masih belum dikunci, ia akan terkunci sendiri.
Di bahagian kokpit, panel instrumen LCD menggunakan paparan baru sementara kerangka model ini pula diubah untuk menjadikannya lebih tegap, dan sekarang mempunyai berat 131 kg, manakala tangki bahan api berkapasiti 8.1 liter.
Rim bersaiz sama antara depan dan belakang pada model sebelum ini telah diubah dengan kini menggunakan saiz 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang (tayar 110/70 dan 130/70). Suspensi hadapan masih lagi sama tetapi dua penyerap di belakang mempunyai tahap gerak yang lebih panjang iaitu 95 mm.
Untuk pasaran Thailand, Honda menawarkan dua versi bagi PCX 160 ini iaitu versi yang menggunakan brek CBS dan versi ABS. Selain sistem ABS, PCX 160 ABS juga diberikan tambahan sistem kawalan cengkaman Honda Selectable Torque Control (HSTC) serta brek cakera di belakang untuk melengkapi brek cakera di hadapan. PCX 160 CBS menggunakan brek dram di belakang.
Selain model yang dipacu enjin biasa, pengguna Thailand juga ditawarkan dengan PCX 160 e:HEV yang menggunakan gabungan enjin sama pada PCX 160, dengan motor elektrik AC yang mendapat kuasa daripada bateri lithium ion.
Selain menawarkan penjimatan bahan api dan pecutan lebih pantas, model hibrid ini juga datang dengan dua mod tunggangan iaitu D untuk keadaan biasa dan S untuk rasa yang lebih sporty. Ruang simpanan bawah tempat duduk model ini bagaimanapun adalah sedikit lebih kecil.
Jumlah kuasa untuk semua model PCX 160 pasaran Thailand ini tidak didedahkan sementara harganya pula bermula 91,900 baht (RM12,348) untuk PCX 160 dan 107,500 baht (RM14,444) untuk PCX 160 e:HEV.
Imej pertama Geely Borui 2021 dah mula muncul di Internet. Sedan yang diperkemas itu kini antara lain menggunakan rekaan gril ala Volvo, meninggalkan rekaan “Expanding Cosmos” yang digunakan sebelum ini.
Lagi sentuhan baru adalah pada rekaan bampar yang diberikan rekaan semula, yang sekali imbas, nampak seperti mengambil ilham daripada rekaan Volvo, misalnya model S60. Naik taraf penampilan lainnya termasuk rim aloi lima-jejari hitam rekaan baru, kemasan hitam berkilat keliling kenderaan serta rekaab bampar belakang yang diperkemas. Rekaan dua ekzos kekal dalam bentuk trapezoidal.
Selebihnya, belum diperincikan perubahan lain yang akan turut terlibat, terutamanya pada bahagia dalam kabin dan sistem janaan kuasa. Borui GC9 sudah berada dalam pasaran sejak 2015, jadi ini mungkin facelift terakhir untuknya.
Setakat ini, Borui pernah ditawarkan dengan beberapa jenis enjin, antaranya dari 1.8 liter turbocas empat-silinder hinggalah 2.4L NA, dan juga 3.5L V6. Pada pertengahan 2018, Geely memperkenalkan pula Borui GE, yang memanfaatkan unit 1.5 liter (versi mild-hybrid dan plug-in hybrid) yang dibangunkan bersama Volvo.
Antara kelengkapan lain Borui termasuk panel instrumen 12.3-inci, serta paparan infotainmen dengan skrin sentuh di tengah bersaiz hingga 12.3 inci. Head unit ini merangkumi beberapa servis termasuk capaian 4G, eko-sistem pintar GKUI, pengesanan suara pintar, sistem tunjuk arah Garmin serta perpustakaan media dalam talian yang komprehensif. Varian lebih tinggi turut didatangkan dengan sistem bunyi Harman Kardon dengan 14-pembesar suara.
Untuk keselamatan, ia lengkap antaranya dengan ciri kawalan melayar adaptif, brek kecemasan autonomous, bantuan mengekalkan lorong, kawalan lampu tinggi automatik pintar, peninjau titik buta, pengesan papan tanda had laju, head-up display dan bantuan parkir. Jadi ke model ini untuk Proton Perdana?
Kia Stinger 2021 telah pun diperkenalkan secara rasmi di United Kingdom (UK), dan ditawarkan dengan satu varian tunggal, GT S. Dengan harga asas bermula £42,595 (RM232k), penampilannya diperkemaskinikan, dan ia turut didatangkan dengan waranti tujuh-tahun/160,000 km.
Stinger GT S masih menggunakan enjin yang sama Lambda II 3.3 liter turbo-berkembar V6 yang mampu menghamburkan sehingga 373 PS pada 6,000 rpm dan tork 510 Nm dari 1,300 hingga 4,500 rpm. Tiada peningkatan kuasa bagi prestasinya, dan untuk pengetahuan anda, enjin dengan kapasiti lebih kecil iaitu 2.5 liter dan 2.0 liter empat-silinder tidak ditawarkan di pasaran UK.
Varian GT S ini turut dilengkapi dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan, menyalurkan pacuan ke roda belakang. Ia boleh mencapai pecutan 0-96 km/j dalam masa 4.7 saat, dan kelajuan maksimum yang boleh dicapai mencecah 270 km/j.
Bagi rekaannya, ia menampilkan sepasang lampu utama LED yang dirombak semula bersama lampu nyalaan siang LED, lampu belakang yang diprofilkan bersama kluster lampu baharu, bampar belakang yang lebih maskulin dan disambung diffuser dan corong ekzos berkembar, serta roda aloi aluminium lima-jejari berkembar 19-inci.
Untuk bahagian kabinnya, keseluruhan senibinanya masih dikekalkan, cuma ada beberapa elemen yang dipertingkatkan termasuklah kluster instrumen baharu dengan paparan LCD yang lebih besar bersaiz 7.0-inci, paparan infotainmen skrin sesentuh 10.25-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto dan juga pemetaan Eropah pada navivasi onboard GPS.
Lain-lain ciri kelengkapan termasuklah alas pengecas tanpa wayar Qi, sistem bunyi premium Harmon Kardon dengan 15-pembesar suara “yang disamakan dengan kualiti dewan konsert”, subwoofer dan amplifier. Selain itu, ia turut diberikan sistem kawalan jauh bagi penghidup enjin, kamera pandangan sekeliling 360-darjah dan juga tailgate kuasa pintar.
Bagi aspek keselamatan, Stinger GT S 2021 diberikan ciri yang sama seperti sebelum ini iaitu Advanced Driver Assistance, namun ditampilkan beberapa ciri tambahan. Antaranya Pemantauan Pandangan Titik Buta (lebih kurang sama seperti yang diberikan pada Hyundai Sonata terbaharu).
Selain itu, ia turut menampilkan sistem bantuan kekal dan pemusatan lorong, bantuan pemanduan lebuhraya, amaran keluar selamat, kepekaan penumpang belakang, brek kecemasan sendiri dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, bantuan mengelak pelanggaran titik-buta, bantuan pengehad kelajuan pintar dan kawalan kelajuan pintar.
Seperti yang diketahui, hujan lebat di berberapa bahagian semenanjung Malaysia telahpun menyebabkan banjir besar, serta menyebabkan jalan-jalan utama di tutup sekaligus memutuskan bekalan sumber. Ia turut menjejaskan operasi stesen minyak, menyebabkan ramai yang tidak dapat mengisi semula bahan api untuk kenderaan masing-masing.
Bagi mengurangkan impak masalah ini, Petronas mengambil langkah proaktif bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menghantar trak pam minyak bergerak ROVR ke Kuala Lipis, Pahang bagi memberikan bekalan bahan api kepada pasukan penyelamat dan juga penduduk setempat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut hadir ke pengkalan trak ROVR di Kuala Lipis berkenaan semalam untuk meninjau operasi agihan bekalan sebanyak 3,000 liter bahan api tersebut.
“Inisiatif ini merupakan bukti komitmen kami bagi membangunkan solusi inovatif yang bukan sahaja menyediakan perkhidmatan pada pasaran, malah turut terbukti penting ketika situasi seperti sekarang ini. Kami harap dapat memberikan lebih banyak bantuan kepada barisan hadapan bagi menerima bekalan bahan api yang diperlukan dalam operasi menyelamat tanpa sebarang ganguan,” jelas Petronas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Trak ROVR Petronas ini diperkenalkan pada lewat 2018 untuk memberikan perkhidmatan terhadap pelanggan komersilnya. Ia kemudiannya diperluaskan pada pelanggan awam pada pertengahan 2019. Ketika hari biasa, trak ROVR ini akan beroperasi di kawasan trafik tinggi tanpa stesen minyak di kawasan berdekatan. Ia menyediakan khidmat pengisian bahan api seperti stesen konvensional termasuk memberikan mata ganjaran kepada pemegang kad Mesra Petronas.
Ingat lagi bagaimana iklan Ford Ranger Raptor dan Volkswagen Amarok yang diharamkan di Australia kerana menyajikan aksi lasak seperti melompat dan sebagainya yang didakwa “mempromosikan pemanduan tidak selamat”? Kini satu lagi iklan di negara Kanggaru tersebut menerima nasib yang sama iaitu iklan barisan model Toyota Yaris, menampilkan hot-hatchGR Yaris.
Seperti yang boleh anda tonton dalam video di atas, GR Yaris tersebut hanya memaparkan aksi lasak tak sampai 2 saat dalam babak di mana tuannya tergesa-gesa keluar dari garaj dan meninggalkan Toyota Celica GT-Four yang sedang diperbaiki kerana terlambat untuk meraikan ulangtahun perkahwinan ibu bapanya.
Menurut laporan portal CarExpert, iklan Toyota ini didakwa “mempromosikan pemanduan kelajuan tinggi dan boleh mempengaruhi orang untuk memandu laju yang sememangnya sangat bahaya,” dan ia melanggar kod Pengiklanan Kenderaan Bermotor Persekutuan Industri Automotif dalam dua aspek; pemanduan tidak selamat dan memandu melebihi had laju.
Biro Standard Pengiklanan Australia pula menyatakan iklan Toyota ini tidak mempromosikan kelajuan yang tidak selamat, namun cara GR Yaris keluar dari garaj secara laju berkenaan boleh disifatkan sebagai “pemanduan tidak selamat”.
“Toyota akan mengambil pendapat dan aduan ini secara sangat serius. Walau bagaimanapun, kami percaya iklan berkenaan tidak bertentangan dengan kod FCAI atau standard undang-undang dan regulasi yang digunakan oleh komuniti jalan dan pemanduan,” kata Toyota dalam kenyataan yang dikeluarkan berhubung perkara ini.
Namun Toyota tetap akan mengubahsuai iklan Yaris berkenaan sebelum ia ditayangkan semula. Iklan tersebut memaparkan semua versi Yaris yang ditawarkan di Australia iaitu Yaris standard, SUV Yaris Cross dan juga jentera rali jalan raya GR Yaris.